Isnin, 1 Februari 2016

Kelab Greenboc

Kelab Greenboc


Yang Bawa Masalah Kepada Negara Ialah Najib, Bukan Mukhriz...

Posted: 01 Feb 2016 01:05 AM PST

Tindakan mengemukakan tiga nama calon Menteri Besar Kedah bagi menggantikan Datuk Seri Mukhriz Mahathir bukan penyelesaian sebenar kepada masalah rakyat, kata Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar.

Beliau berkata, rakyat Kedah tidak berminat untuk mengetahui calon menteri besar baharu sebaliknya mahu mengetahui sebab menteri besar perlu ditukar.

"Persoalan kemelut politik Kedah masih berterusan tanpa ada penyelesaian berteraskan kedamaian dan keinsafan. Penyelesaian yang dicari hanya berteraskan dendam untuk melenyapkan musuh politik Putrajaya. Penyelesaian tanpa melihat kepada hati nurani dan akal budi rakyat Kedah," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Mahfuz juga menegaskan, mudarat yang lebih besar kepada negara bukan menteri besar Kedah sebaliknya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sendiri.

Usaha menggulingkan Mukhriz tidak akan menyelesaikan segala beban kos sara hidup rakyat dan tidak membantu pertumbuhan ekonomi negara.

"Adakah dengan menyempurna agenda politik dendam Putrajaya terhadap Mukhriz, ekonomi Malaysia akan pulih, nilai mata wang Malaysia akan pulih dan kukuh, pendapatan negara akan bertambah?

"Pulihkah keyakinan pelabur terhadap Malaysia dengan buang Mukhriz? Apakah harga getah dan kelapa sawit akan meningkat?

"Apakah dengan gugurnya Mukhriz sebagai menteri besar akan selesaikan segala masalah beban kos sara hidup rakyat?" soalnya yang juga Yang Dipertua PAS Pokok Sena.

Rakyat Kedah bukan lembu dicucuk hidung

Mahfuz juga yakin rakyat Kedah bijak dalam membuat keputusan berkaitan krisis yang berlaku dan tidak akan terpedaya dengam politik dendam yang diamalkan sebahagian pemimpin Umno negeri itu.

"Saya percaya rakyat Kedah bukannya boleh dibuat lembu dicucuk hidung. Mungkin ada beberapa kerat Ahli Parlimen dan Adun serta Ketua Umno Bahagian yang boleh jadi seperti lembu dicucuk hidung, tetapi tidak kepada majoriti rakyat Kedah yang punya hati nurani dan akal budi yang tinggi," katanya lagi.


Justeru beliau memohon agar Sultan Kedah dan Jemaah Pemangku Sultan tidak dilibatkan dalam krisi politik yang didakwa tidak beradab ini.

"Kedegilan politik yang tidak bertempat yang memaksa serta mengheret Tuanku Sultan dan Jemaah Pemangku Sultan Kedah bagi menyelesai masalah dalaman Umno sekaligus menyempurna agenda politik peribadi Najib yang giat menghapus musuh politik beliau," katanya.

Pada 27 Januari lalu, sebahagian anggota Exco Kedah tidak menghadiri mesyuarat.

Tindakan itu bukan saja melanggar ikrar mereka kepada sultan malah menyebabkan pihak istana murka.

Keengganan exco berkenaan menghadiri mesyuarat pada menjejaskan proses pentadbiran dan perancangan diatur kerajaan negeri untuk pembangunan rakyat di negeri berkenaan. -Malaysia Dateline


Rakyat Kedah pertahan Mukhriz, gesa Umno henti main politik, kata pemerhati

Kemelut menteri besar Kedah yang tercetus hampir 2 minggu lalu dan masih berlarutan hingga kini, disifatkan rakyat negeri itu, termasuk pemimpin akar umbi parti, satu cerminan kepada imej Umno sebenar yang tidak akan dapat menerima budaya baharu merentasi fahaman politik.

Datuk Seri Mukhriz Mahathir membuktikan beliau mampu mentadbir negeri tanpa mengira ideologi politik yang berbeza tetapi cara ini tidak dapat diterima pemimpin dalam Umno Kedah, para pemerhati memberitahu The Malaysian Insider.

Dan berbeza dengan pemimpin terdahulu, tidak dapat disangkal lagi, anak negarawan Tun Dr Mahathir Mohamad itu disenangi segenap lapisan masyarakat tanpa mengira parti dan fahaman politik.

"Saya sendiri lihat bagaimana rakyat Kedah sangat sayangkan beliau (Mukhriz)," kata Mejar Anuar Abdul Hamid, ketua Umno cawangan Jalan Badlishah di utara tanah air itu.

"Semasa program di Sanglang tempoh hari, kita boleh lihat ramai di kalangan pelajar dan tok-tok guru sekolah pondok yang datang," katanya merujuk kepada program Selasa lalu yang diadakan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Hitam bagi menyatakan sokongan kepada Mukhriz.

"Ini pemimpin muda yang sanggup tidur di pondok. Pernah pemimpin terdahulu buat macam ini? Kita tengok sendiri, orang PAS pun senang dengan Mukhriz ini," katanya.

Anuar mengikuti perkembangan dan banyak program Mukhriz sejak kemelut politik di Kedah bermula selepas 14 ketua Umno bahagian mengadakan sidang media pada 20 Januari menyatakan pendirian menolak Mukhriz, yang juga ketua badan perhubungan Umno negeri.

Kemelut politik menteri besar Kedah amat memeranjatkan, kata Anuar, memandangkan Mukhriz bukan seorang yang terpalit dengan skandal atau mempunyai rekod tidak baik sepanjang lebih 2 tahun memerintah negeri.

"Ia amat mengejutkan. Mukhriz seorang pemimpin yang bersih daripada sebarang kontroversi dan skandal," katanya.

Nasib Mukhriz mungkin akan diketahui hari ini susulan pertemuan antara Jemaah Diraja Kedah dan semua ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Barisan Nasional di Alor Star yang dijangka berlangsung pagi ini.

Sementara itu, bekas setiausaha kerja Umno Kedah, Zahran Abdullah berkata tindakan sekumpulan pihak menentang Mukhriz menunjukkan pemimpin lama parti itu "gila kuasa".

"Pemimpin lama ini sudah lapuk, tetapi mereka masih gila kuasa. Kita nak kesinambungan anak muda, jadi Mukhriz adalah calon terbaik.

"Kita mahu Mukhriz terus mentadbir negeri ini," katanya yang pernah berkhidmat di pejabat Umno negeri sekitar tahun 2010.

Kumpulan anti Mukhriz memberi alasan mahu menyingkirkan menteri besar itu kerana beliau gagal menyatukan parti dan jentera di Kedah, tiada strategi untuk pilihan raya umum (PRU) akan datang dan terlalu banyak menghabiskan masa di Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, majoriti rakyat negeri itu yang ditemui The Malaysian Insider tidak membangkitkan isu tersebut.

"Saya sokong Mukhriz dan sangat sedih dengan apa yang berlaku," kata Aishah Aziz, seorang pekerja di Starbucks Coffee, Aman Sentral.

"Mengapa kumpulan tersebut nak menjatuhkan menteri besar? Bukan masalah besar Mukhriz berada di Kuala Lumpur," katanya.

Sementara itu, Maznah Abdullah, 45, yang berniaga sendiri berkata rakyat senang dengan Mukhriz yang tidak mempunyai skandal atau imej buruk.

"Apa salah Mukhriz? Adakah dia jahat? Setahu saya, dia tidak pernah menimbulkan kontroversi pun," katanya.

Berdepan kemelut ini, hanya Umno yang dilihat bersungguh-sungguh dalam agendanya menukar Mukhriz, namun pemimpin pembangkang negeri itu masih berada di belakang menteri besar.

Salah seorang pemimpin kanan PAS, Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar juga menyokong pentadbiran Mukhriz walaupun tidak secara terang-terangan.

"Pilihan yang ada ialah mengekalkan Mukhriz sebagai MB hingga akhir penggal kerana sudah tentu keadaan akan kembali kepada status quo," katanya mengulas kemelut politik yang berlaku di Kedah itu.

Malah, parti pembangkang tidak agresif dalam memberi tekanan kepada Mukhriz untuk mendesaknya berundur.

Sebaliknya, ia hanya menyatakan mereka berpeluang cerah merampas semula Kedah selepas gagal mempertahankannya pada PRU 2013.

"PAS yakin peluang PRU14 berpihak kepada PAS. Krisis menteri besar yang berlaku adalah bonus kepada PAS," kata Pesuruhjaya PAS Kedah Dr Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi.

Beliau tidak mempunyai masalah dengan imej agamawan dibawa Mukhriz dan tidak menolak kemungkinan ia faktor menyebabkan Mukhriz senang dirapati rakyat.

Mukhriz, yang dilihat seperti mengambil kesempatan menyerang kembali mereka yang menentangnya, semalam berkata ketua Umno bahagian Kedah yang mengadakan sidang media menuntut penyingkiran beliau itu perlu memohon maaf kepada Sultan dan Jemaah Diraja Kedah.

Katanya, tindakan mereka itu tidak mewakili majoriti ahli Umno mahupun kehendak rakyat Kedah.

Beliau juga berkata, ahli majlis eksekutif yang tidak menghadiri mesyuarat exco Kedah yang dipengerusikannya Rabu lalu, juga perlu memohon maaf kerana gagal menjalankan tugas mereka.

-TMI


"KP PAS Kelantan Seperti Budak Kecil Yang Masih Menyusu"

Posted: 31 Jan 2016 10:30 PM PST

Usul pindaan Akta 355: Ketua Pemuda Pas Kelantan gagal faham isu, bidas Husam

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Salor, Datuk Husam Musa membidas kenyataan Ketua Pemuda Pas Kelantan, Ahmad Fadhli Shaari yang mendesak beliau meletakkan dua jawatannya sebagai Adun dan Yang Dipertua Pas Kubang Kerian.

Menurut Husam, Pemuda Pas Kelantan gagal memahami isu berlaku berkaitan usul pindaan Akta 355 yang membabitkan dua pemimpin, Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dan Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyudin Hassan.


"Di bawah konsep akauntabiliti yang juga satu dari teras 'Membangun Bersama Islam, seseorang pemimpin perlu memikul kesan kegagalan tindakannya, apa lagi bila tindakan itu diambil secara bersendirian dan tidak dirujuk pada organisasi.

"Sefaham saya, menerusi roadmap pelaksanaan undang-undang syariah oleh Jawatan Kuasa Teknikal Bersama Negeri dan Pusat, tidak ada cadangan bill persendirian 355 diputuskan.

"Ini bermakna apabila ada individu yang mempengaruhi Presiden Pas (Datuk Seri Abdul Hadi Awang) untuk membawa usul persendirian itu dan langsung tidak dirujuk pada parti terlebih dahulu, mereka perlu bertanggung jawab atas kegagalan bill itu dibentangkan seperti dijanjikan sampai hari ini.

"Bahkan, membawa usul secara pra matang telah melenyapkan atau merosakkan roadmap asal. Ia lebih membawa kegagalan berbanding kejayaan," ujar Husam.

Jelasnya lagi tindakan tergesa-gesa itu lebih bersifat riya' dan agenda peribadi.

"Sudah hampir setahun berlalu sejak usul persendirian itu difailkan tetapi ternyata hingga kini, ia gagal dibentangkan.

"Ini menunjukkan, tidaklah rugi jika tindakan itu ditangguhkan pada masa itu dan dibincangkan secara lebih masak dan diputuskan secara kolektif, " terangnya lagi.

Lantas Husan berkata, Ketua Pemuda Pas Kelantan seolah anak kecil yang belum lepas susuan dan berteriak takut-takut botol susuannya tidak bersambung.

"Anda gagal menarik minat anak muda yang kritis dan juga gagal mempamirkan sikap pemuda Islam yang menilai sesuatu berdasarkan neraca kebenaran dan bukannya asobiyyah kelompok.

"Saya hairan, jika Ketua Pemuda Pas berani, kenapa beliau tidak hadir mewakili Kerajaan Negeri dalam forum itu,"
soal Husam lagi.

Dalam satu kenyataan dipetik Pemuda Pas Kelantan membuat serangan balas dengan menggesa bekas Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa meletak jawatan sebagai Adun Salor dan Yang Dipertua Pas Kubang Kerian.

Kenyataan dibuat setelah Husam membuat gesaan supaya dua pemimpin, Datuk Takiyuddin Hassan dan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah bertanggungjawab termasuk mempertimbangkan meletak jawatan dalam parti setelah gagal membawa usul pindaan Akta 355 di Parlimen.

Ahmad Fadhli berkata, Husam perlu meletak dua jawatan itu kerana tidak lagi membantu untuk mengukuh kerajaan dan parti.

"Hakikatnya desakan beliau agar Datuk Mohd Amar dan Datuk Takiyuddin meletak jawatan hanya untuk menarik perhatian orang ramai sahaja," katanya. -Malaysia Dateline





ULASAN GB

Husam Musa mengemukakan pandangannya sewaktu berforum. Beliau dijemput untuk bersama-sama membincangkan dan memberi pandangan di dalam forum bertajuk "Forum Agenda Rakyat Kelantan : Akta 355 & Hudud di Malaysia" bersama-sama dengan ahli-ahli penal yang lain.

Manakala Ketua Pemuda PAS Kelantan itu bersuara sendirian dan tidak hadir di dalam forum berkenaan. malah tiada lansung wakil dari kerajaan negeri Kelantan menghadirinya.

Menilai hujjah-hujjah Husam Musa, memang terdapat justifikasi unjtuk beliau menyarankan supaya dua pemimpin, Datuk Takiyuddin Hassan dan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah bertanggungjawab termasuk mempertimbangkan meletak jawatan dalam parti setelah gagal membawa usul pindaan Akta 355 di Parlimen.

Jadi tempelakan Husam kepada Ahmad Fadhli Shaari seolah anak kecil yang belum lepas susuan dan berteriak takut-takut botol susuannya tidak bersambung amat wajar dan tepat.

Tiada ulasan: