Maklumat berhubung sesuatu resipi, artis, simptom penyakit dan kaedah rawatan penyakit, profil individu, gambar, sebutlah apa sahaja, semuanya boleh diperoleh dengan mudah melalui enjin carian ini. Semuanya di hujung jari sahaja.

Walau bagaimanapun, akses yang terlalu longgar tanpa kawalan ini sebenarnya boleh memudaratkan malah mendatangkan bahaya, terutamanya dalam konteks kesihatan. Mungkin ada yang pernah mende­ngar perkataan Cyberchondria yang bermaksud individu yang terlalu obses pada pencarian menerusi Internet dalam segala hal termasuk mendiagnosis masalah kesihatan.

Menurut Presiden Kelab Doktor-Doktor Malaysia, Dr. Muhammad Hakim Nordin, Cyberchondria adalah antara isu yang kini sering diperkatakan dalam kalangan doktor dan pegawai perubatan.

Kini, seakan sudah menjadi trend dalam kalangan generasi celik teknologi maklumat (IT) untuk hanya menaip beberapa kata kunci mengenai sesuatu penyakit pada komputer atau telefon pintar mereka dan terus sahaja mendapat jawapan yang diinginkan mengenai penyakit tersebut.

Sebagai contohnya dengan menaip perkataan demam, sakit sendi atau batuk pada 'Dr. Google' maka akan keluarlah segala jenis maklumat mengenai penyakit dihidapi. Dengan sebegitu mudah mereka boleh mendapatkan diagnosis mengenai sesuatu penyakit daripada 'Dr. Google' - tanpa nasihat atau konsultansi doktor.

Ini kerap berlaku dalam kalangan masyarakat yang kurang berpengetahuan dalam bidang kesihatan. Mereka cenderung mengambil jalan pintas dengan hanya mencari maklumat di enjin carian dan terus mempercayai apa yang dibaca itu. Dan kalau maklumat itu negatif, mereka mulai risau serta memikirkan yang bukan-bukan tentang penyakit yang mungkin dihidapi, sedangkan doktor belum mengesahkan apa-apa­pun.

"Carian menerusi Google tidak semestinya memberikan hasil yang relevan mengenai pe­nyakit dihidapi individu yang melakukan pencarian tersebut. Tindakan mereka ini boleh mewujudkan perasaan takut terutama jika hasil carian itu membawa kepada diagnosis penyakit kronik seperti kanser,'' kata Dr. Muhammad Hakim kepada Utusan Malaysia.

Malah, lebih memburukkan keadaan jika wujud kecenderungan untuk individu itu mempersoalkan keputusan atau rawatan yang diberikan oleh doktor dengan alasan mereka telah melakukan pencarian di Google mengenai penyakit yang dialami walaupun apa yang ditemui hanya sekadar simptom berkaitan.

"Ini berlaku hampir setiap hari di peringkat fasiliti kesihatan hospital dan klinik kerajaan mahupun swasta. Ia menjadi serius kerana mereka lebih percaya hasil penemuan di Internet berbanding keputusan doktor, pemeriksaan ke atas pesakit dan juga ujian darah.

"Akhirnya mereka enggan mengikut nasihat doktor termasuk dalam pengambilan ubat menyebabkan penyakit yang dihidapi mungkin tidak dapat dirawat dengan baik. Malah jika penyakit itu serius se­perti tekanan darah tinggi dan diabetes, sikap sebegini hanya me­nyumbang kepada peningkatan kes penyakit kronik," katanya.

Tidak dinafikan de­ngan adanya teknologi Internet semuanya menjadi mudah dan cepat. Katakanlah seseorang itu mempunyai simptom seperti selesema, sakit sendi, muntah dan cirit-birit dan dia melakukan carian dalam Internet mengenai simptom tersebut. Maka carian itu menunjukkan dia meng­alami jangkitan virus penyebab masalah cirit-birit, sedangkan menurut Dr. Muhammad Hakim, simptom itu juga sebenarnya relevan dengan demam denggi.

Bahayanya adalah jika demam denggi itu lambat dikesan maka pesakit yang terkena jangkitan virus itu berisiko menghadapi denggi berdarah.

Tafsiran sesuatu penyakit itu seharusnya dilakukan oleh mereka yang profesional, bukannya 'Dr. Google'. Ini kerana dibimbangi jika tersalah diagnosis boleh meningkatkan risiko sesuatu penyakit itu menjadi lebih serius.

Hasil pemeriksaan penulis menerusi pencarian Google turut mendapati kebanyakan maklumat di dalam Internet sudah lapuk selain banyak juga yang dipertikaikan oleh ribuan masyarakat di seluruh dunia.

Lebih membahayakan lagi apabila sesuatu penyakit atau isu kesihatan itu menjadi viral melalui media sosial seperti Facebook, Instagram dan WhatsApp.

Maklumat yang diperoleh terus dikongsi tanpa merujuk kebenaran atau kesahihannya terlebih dahulu- menyebabkan sesuatu yang tidak benar itu menjadi viral, sehingga memudaratkan.

"Saya merasakan maklumat di Internet perlu ditapis namun perkara itu agak mustahil. Hasil pemerhatian kami dalam kalangan doktor perubatan kebanyakan penulis berkaitan kesihatan bukanlah mereka yang berpengalaman dalam bidang tersebut.

"Malah mungkin ada di antara mereka tidak pernah langsung terdedah dan berpengalaman dalam bidang kesihatan. Maklumat yang di­tulis mungkin merujuk hanya kepada pengalaman sendiri, rakan-rakan atau keluarga yang merupakan testimoni lemah untuk dijadikan sebagai bahan rujukan yang sahih.

"Tetapi yang mengecewakan sebilangan besar laman sesawang ini didominasi dengan bahan-bahan yang sensasi demi meraih rating dan populariti," kata Dr. Muhammad Hakim.

Walau bagaimanapun menurutnya, Kelab Doktor-Doktor Malaysia tidak menolak kepentingan Internet dalam bidang kesihatan. Begitupun masyarakat perlu mencari bahan rujukan yang boleh dipercayai seperti yang berteraskan rujukan perubatan iaitu PUBMED, British Medical Journal, New England Journal of Medicine.

Meskipun laman-laman tersebut mengandungi kajian yang kompleks untuk difahami orang awam namun kesahihan maklumat yang disediakan sentiasa memberi ilmu baharu mengenai sesuatu penyakit. Ini boleh menjadi panduan kepada profesional serta para doktor agar kaedah rawatan kepada pesakit dapat diperbaiki dan dipertingkatkan dari semasa ke semasa.