Selasa, 16 Februari 2016

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


Hishammuddin perlu perinci isu pencerobohan kapal China

Posted: 16 Feb 2016 03:31 AM PST

liewchintong03-480x300

Oleh Syazana Hasanudin


KUALA LUMPUR : Ahli Parlimen Kluang, Liew Chin Tong kesal dengan jawapan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein pagi tadi berhubung pencerobohan kapal Penguatkuasa Maritim China di perairan sekitar Beting Patinggi Ali, kira-kira 84 batu nautika dari pantai Miri.

Menganggap kenyataan Hishammuddin sebagai pelik dan membingungkan, beliau berkata Menteri Pertahanan harus memaklumkan butiran pencerobohan itu secara terperinci supaya langkah konkrit dan tegas dapat diambil semua pihak.

"Beliau perlu memaklumkan sama ada kapal itu menceroboh perairan Malaysia atau Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE), iaitu zon laut yang ditetapkan oleh Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu.

"Berapa kerapkah keadaan seperti ini berlaku dan berapa lamakah tempohnya?" kata Pengarah Pendidikan Politik DAP Kebangsaan itu pada kenyataan media hari ini.

Beliau mengulas maklum balas Hisammuddin bahawa kapal itu tidak lagi berada dalam perairan Malaysia dan sedang mengatur satu kunjungan hormat Duta Besar China, Dr Huang Huikang dengan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem sebagai usaha diplomatik.

Ia berikutan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim pada November 2015 bahawa Malaysia menghantar bantahan diplomatik setiap minggu ekoran kehadiran kapal berkenaan di perairan negara.

Chin Tong berkata, rakyat perlu tahu sama ada kapal Penguatkuasa Maritim China itu melakukan laluan ikhlas (innocent passage) atau penguatkuasaan operasi serta rondaan kerana ia melibatkan keselamatan dan pertahanan negara.

"Jika ia laluan ikhlas dan China secara terbuka menyatakan kepatuhan kepada peruntukan Bangsa-Bangsa Bersatu Konvensyen Undang-Undang Laut (UNCLOS) serta menghormati tuntutan kedaulatan Malaysia di kawasan itu, ia perlu diselesaikan secara diplomatik.

"Namun, jika kapal China menjalankan operasi penguatkuasaan dan melanggar peraturan UNCLOS serta kedaulatan negara, langkah konkrit dan tegas perlu diambil bagi memastikan kapal itu segera meninggalkan perairan Malaysia dan memohon maaf secara rasmi," katanya.

Chin Tong turut mempersoal kenyataan Hishammuddin yang mahu memudahkan pertemuan antara Duta China dan Ketua Menteri Sarawak berkenaan isu itu kerana baginya, Hishamuddin seolah-olah bertindak sebagai orang tengah.

"Mengapa Hishamuddin bertindak sebagai 'utusan' Adenan sedangkan isu mempertahankan kedaulatan Malaysia berada di bawah bidang kuasa persekutuan?

"Saya merupakan pendokong tegar idea desentralisasi, namun dalam negara yang menjunjung amalan desentralisasi sekalipun, isu pertahanan dan dasar luar jelas di bawah bidang kuasa pusat.

"Hishamuddin mestilah memberi jawapan lebih baik daripada yang beliau kemukakan. Jika begitulah responnya, beliau wajar meletak jawatan sebagai Menteri Pertahanan selaras dengan sistem demokrasi yang matang," katanya.-Roketkini.com


Bawa masuk pekerja asing: Tindakan malas kerajaan atasi masalah

Posted: 16 Feb 2016 03:28 AM PST

wong shu qi 3

Oleh Syazana Hasanudin


KUALA LUMPUR : Kerajaan Persekutuan patut memperkasa kemahiran belia serta sektor penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam industri pembuatan tempatan, bukannya membawa masuk 1.5 juta pekerja asing bagi menyelesaikan isu itu.

Setiausaha Publisiti DAP Johor, Wong Shu Qi berkata Malaysia terlalu lama terperangkap dalam amalan industri berkemahiran dan bergaji rendah, malah tersekat dalam perangkap pendapatan sederhana sejak 1990 akibat kegagalan dasar perindustrian kerajaan UMNO BN.

"Kerajaan sepatutnya menambah baik industri tempatan dengan meningkatkan R&D, sebaliknya mereka memperkaya kroni mereka di tahap permulaan, iaitu tahap industri paling penting. Contoh terbaik merupakan Perwaja.

"Generasi kini tidak belajar apa-apa kecuali pengklonan produk negara lain. Hari ini, kereta nasional kita tidak mampu bersaing di pasaran global," katanya pada kenyataan media hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Zahid Hamidi yang mencabar belia di Malaysia bekerja di sektor 3D (Dangerous, Dirty, Difficult) jika mereka tidak mahu pekerja asing dibawa atas alasan tenaga kerja yang ramai diperlukan bagi membangunkan ekonomi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Senai itu berkata Zahid terlepas pandang fakta betapa industri di negara ini ketinggalan di pasaran global dan menyediakan pekerjaan bergaji dan berkemahiran rendah yang gagal menarik minat graduan tempatan.

"Isu utama bukanlah 1.5 juta pekerja asing tetapi mengapa kita memerlukan mereka? Zahid mendakwa tiada penduduk tempatan berminat dalam pekerjaan 3D. Namun pernahkah beliau meninjau keadaan bekerja dalam industri pembuatan?

"Bagaimana kerajaan boleh menyalahkan generasi tempatan yang berpendidikan tinggi apabila pekerjaan ditawar industri itu tidak sepadan dengan tahap dan pelaburan pendidikan mereka?" katanya.

Beliau berkata, sektor 3D tidak semestinya memerlukan pekerja asing bergaji rendah jika teknologi digunakan dalam industri itu dan gaji ditawarkan setanding dengan negara maju seperti Jepun.

"Kita boleh lihat pekerjaan sektor 3D di negara maju adalah kurang kotor, berbahaya dan dipandang rendah. Contohnya, pemungut sampah di Jepun juga merupakan mekanik profesional yang mengendalikan mesin sampah berteknologi canggih, lalu mereka dipandang tinggi.

"Justeru, membawa masuk pekerja asing merupakan tindakan kerajaan paling malas. Kita perlu mendesak kerajaan agar melabur lebih banyak wang dalam menaik taraf teknologi industri negara bagi menjamin daya saing tinggi dalam pasaran global," katanya. -Roketkini.com


Zahid dangkal perlekeh anak muda

Posted: 16 Feb 2016 03:24 AM PST

SHEIKH_OMAR_ALI_SENAWANG_03072015_TMIKAMAL_ARIFFIN_09

Oleh Syazana Hasanudin


KUALA LUMPUR : Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Zahid Hamidi tidak wajar memperlekeh golongan belia dengan mencabar mereka menceburi sektor 3D (Dirty, Difficult, Dangerous) jika kerajaan Persekutuan tidak mengambil sebarang usaha menambah baik sektor pekerjaan itu.

Penolong Setiausaha Publisiti DAP Johor, Sheikh Omar Ali berkata tindakan itu mencerminkan sikap Zahid yang ada masalah 3D iaitu 'Dayus, Defensif, Dangkal' ekoran kenyataannya yang cuba menuding jari ke arah pihak lain.

"Zahid dayus apabila beliau lari dari masalah sebenar seperti menyediakan peluang pekerjaan dengan penetapan gaji minimum yang setimpal.

"Beliau bersikap defensif dengan terus mencabar golongan belia. Kononnya, beliau boleh mengacah-acah anak muda untuk membenarkan tindakannya yang ingin membawa masuk 1.5 juta pekerja Bangladesh.

"Beliau juga saya anggap dangkal apabila dengan mudah memperlekeh anak muda sebagai seolah-olah malas bekerja, tidak ada jati diri dan tidak berani berusaha keras bagi mencari sesuap nasi untuk survival mereka," katanya.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Zahid mencabar anak muda yang bekerja dalam sektor 3D jika mereka menolak kemasukan pekerja asing ke negara ini pada ucapannya di Perhimpunan Agung Tahunan Majlis Belia Selangor ke-32 di Shah Alam tempoh hari.

Sheikh Omar pada kenyataan media hari ini, berkata kerajaan harus memainkan peranan bagi memastikan sektor pekerjaan 3D lebih selamat, berbaloi dan bermaruah, bukannya cuba menyalahkan pihak lain.

"Isunya bukanlah tentang kesediaan anak muda menceburi sektor 3D. Sehingga kini pun, jumlah anak muda tempatan yang bekerja dalam sektor itu mencecah puluhan ribu.

"Namun, apakah usaha kerajaan bagi memastikan sektor pekerjaan 3D lebih selamat, berbaloi dan bermaruah? Adakah golongan belia boleh digajikan pada kadar berpatutan agar dapat meneruskan survival mereka?" katanya.

Beliau berkata jika kerajaan menawarkan gaji setimpal dengan pekerjaan supaya mampu menarik minat anak muda, seterusnya menjana lebih banyak peluang pekerjaan untuk orang tempatan.

"Kita ambil contoh Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP). Sejak 2012, MPSP menjalankan dasar pengambilan pekerja separa mahir dan tidak mahir untuk kerja-kerja melibatkan pengumpulan sampah dan pembersihan.

"Gaji yang ditawarkan adalah pada kadar minimum RM1500. Ia bukanlah satu angka lumayan tetapi cukup bagi menarik minat lebih kurang 2000 pekerja tempatan.
 
"Pokoknya, kadar gaji yang berpatutan memainkan peranan besar," katanya. -Roketkini.com


Zahid perlu buat pilihan belia Malaysia atau Bangladesh

Posted: 16 Feb 2016 03:05 AM PST

 
Belia masa ini sudah bijak dan mengingati setiap penghinaan yang dilakukan oleh seseorang pemimpin 


Zahid


PETALING JAYA: Kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berhubung kemasukan 1.5 juta warga Bangladesh untuk bekerja di Malaysia terus dikritik hebat oleh pengguna alam maya.

Terbaru, seorang pengguna Facebook, Jufazli Shi Ahmad berkata, kenyataan Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri itu telah menimbulkan persoalan sama ada beliau mementingkan pemilihan belia Malaysia atau belia Bangladesh yang akan memberikan undi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) nanti.

"9.1 juta belia Malaysia akan turun mengundi pada PRU ke-14. Datuk Seri (Zahid Hamidi) mahu undi daripada kami atau mahu undi daripada 1.5 juta belia negara Bangladesh?," tulisnya.

Pada masa sama, Jufazli yang juga seorang pensyarah di sebuah kolej swasta mengingatkan semua pemimpin negara supaya sentiasa bermuhasabah diri.

Katanya, belia pada masa ini sudah bijak untuk memilih semasa PRU nanti dan akan ingat setiap penghinaan yang dilakukan oleh setiap pemimpin.

"We all here tidak akan lupa penghinaan sesiapa kepada belia. Kami bukan belia yang tiada maruah dan harga diri di muka bumi ini.

"Kami belia yang pemalas dan tidak mahu kerja kotor dan tidak mahu kerja berat ini akan turun mengundi menentukan nasib anda semua (pemimpin) dengan izin Allah SWT.

"Maka, kepada semua belia Malaysia yang menjadi penentu masa depan negara, jangan lupa daftar mengundi ya. Sama-sama kita mengundi nanti. Ingatlah, jadilah pengundi yang bijak," tulisnya di ruangan status.

Sebelum ini , Zahid mencabar belia supaya menggantikan pekerjaan yang dilakukan oleh warga asing di negara ini jika mereka dihantar pulang ke negara asal.

Timbalan Perdana Menteri itu berkata, tidak ramai anak muda mahupun belia yang sanggup bekerja dalam sektor 3D, iaitu 'dangerous', 'demeaning' dan 'dirty'.

Beri peluang kerja kepada 400,000 penganggur tempatan

Posted: 16 Feb 2016 03:00 AM PST

 
"Saya tidak menolak sepenuhnya penggunaan tenaga kerja asing, tetapi bukan sehingga mengabaikan warga tempatan."


Raja-Azura_PEKAEJA-ASING_600


KUALA LUMPUR: Membawa masuk pekerja asing dalam bilangan yang besar merupakan satu tindakan yang tidak adil terhadap lebih 400,000 warga tempatan yang masih menganggur.

Pengarah Eksekutif Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera (Peneraju) Raja Azura Raja Mahayuddin berkata demikian ekoran peluang pekerjaan bagi rakyat tempatan didapati diisi oleh warga asing sekaligus mengabaikan hak warga tempatan.

"Saya tidak menolak sepenuhnya penggunaan tenaga kerja asing, tetapi bukan sehingga mengabaikan warga tempatan.

"Kalau kita tengok statistik pengangguran, golongan yang tidak bekerja berjumlah 400,000 atau tiga peratus. Tetapi jumlah pekerjaan yang diisi pekerja asing tentunya melebihi jumlah itu.

"Saya tak kata kita langsung tidak perlukan pekerja asing, cuma menyarankan supaya sektor atau bidang tertentu perlu mengutamakan pekerja tempatan, terutama Bumiputera," katanya dalam sidang media di Hotel Primiera di sini tadi.

Memetik laporan Bernama 14 Jun 2015, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar berkata setakat 2015, terdapat 400,000 orang yang mencari pekerjaan pada setiap masa.

Di samping itu, beliau juga menjangkakan situasi tersebut akan menyebabkan lebih ramai warga tempatan, terutama Bumiputera akan menceburi bidang perniagaan.

"Pada pandangan saya, semua orang mempertimbangkan sama ada bekerja atau berniaga, cuma mungkin tiada pendedahan yang mencukupi tentang peluang yang ada. Oleh itu, kami juga berusaha untuk menguar-uarkan program yang ditawarkan oleh Peneraju supaya dapat mendidik rakyat," katanya lagi.

Melalui Peneraju Tunas, Peneraju Skil dan Peneraju Profesional, agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri itu menawarkan program pembiayaan pendidikan, kemahiran dan pensijilan professional kepada golongan Bumiputera yang layak

Isu RM2.6 bilion : Tan Seng Giaw pertahan Mohd Bakke

Posted: 16 Feb 2016 02:58 AM PST

 
Sewaktu Mohd Bakke menjawat jawatan sebagai Pengerusi 1MDB pada tahun 2009, masalah itu tidak wujud lagi.


Tan-Sri-Mohd-Bakke-Salleh


PETALING JAYA: Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Dr Tan Seng Giaw yakin bekas Pengerusi 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Tan Sri Mohd Bakke Salleh tidak pernah mengeluarkan kenyataan kononnya wang RM2.6 bilion daripada syarikat 1MDB.

Seng Giaw berkata, PAC juga tidak pernah menyentuh isu RM2.6 bilion kepada Mohd Bakke kerana dia (bekas Pengerusi 1MDB) tidak lama bersama 1MDB.

"Dia di situ tidak sampai enam bulan. Itupun mesyuarat satu dua kali sahaja.

"Orang yang tak tahu jangan buat kenyataan seumpama itu," katanya ketika dihubungi Free Malaysia Today hari ini.

Justeru, Ahli Parlimen DAP-Kepong berpendapat adalah tidak adil untuk menanyakan isu RM2.6 bilion kepada Mohd Bakke.

"Sewaktu Mohd Bakke menjawat jawatan sebagai Pengerusi 1MDB pada tahun 2009, masalah seperti itu masih lagi tidak wujud lagi," tambahnya lagi.

Semalam, Mohd Bakke menafikan khabar angin di media sosial bahawa dia mengeluarkan kenyataan kepada PAC bahawa wang RM2.6 bilion kononnya daripada syarikat 1MDB.

Beliau juga dikatakan tidak pernah menyebut atau melafaz mengenai perkara itu semasa memberi keterangan kepada PAC dalam siasatan jawatankuasa tersebut terhadap 1MDB.

PKR Selangor memberontak, dakwa Azmin tak adil

Posted: 16 Feb 2016 02:55 AM PST

 
Azmin didakwa membelakangkan keputusan parti dan tidak mematuhi Pekeliling dalam pemilihan ahli majlis pihak berkuasa tempatan.


azmin-ali


KUALA LUMPUR : Sekumpulan pimpinan cabang PKR Selangor mendakwa Menteri Besar dan Pengerusi PKR negeri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengamalkan sikap pilih kasih dan utamakan kroni dalam pemilihan ahli majlis pihak berkuasa tempatan (PBT).

Bergabung dengan ahli PKR yang lantang, Badrul Hisham Shaharin, kumpulan itu mendakwa Azmin membelakangkan cadangan ahli majlis daripada cabang tertentu di Selangor dan garis panduan oleh Pekeliling Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor yang dikeluarkan pada 2013.

Setiausaha PKR cabang Kelana Jaya Murali Subramaniam menyatakan, Fasal 4 Pekeliling tersebut menyatakan bahawa ahli majlis mestilah bermastautin di kawasan mereka berkhidmat sekurang-kurangnya lima tahun.

Garis panduan PKR turut menyatakan cabang sepatutnya memberikan calon mereka kepada pimpinan negeri sebelum disahkan oleh pimpinan pusat, namun ia tidak berlaku, katanya.

"Apa yang berlaku di Selangor, tak ikut apa yang diputuskan dalam mesyuarat cabang. Selepas mesyuarat kami beri cadangan kepada Menteri Besar malangnya beliau tidak ambil nama yang kami berikan.

"Mereka letak nama sendiri untuk kami luluskan, ketua cabang kami bantah dan tak nak luluskan, nama lain dilantik.

"Kami tak puas hati apa yang dibuat oleh Azmin. Tak tahu kenapa cakap tak serupa bikin," katanya dalam sidang media hari ini.

Murali mendedahkan seorang ahli Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) dilantik walaupun beliau tidak dicadangkan oleh Cabang Kelana Jaya dan bermastautin di SS 2, Petaling Jaya.

Badrul Hisham pula menyatakan Azmin tidak menghormati PKR dan cabang parti itu walaupun Perlembagaan parti menyatakan cabang mempunyai hak bersuara untuk memilih calon termasuk calon pilihanraya.

Beliau turut memetik laporan sebuah portal pada 22 Januari lalu yang menyatakan ahli DAP, Abdul Aziz Bari dihalang untuk menjadi Ahli Majlis Perbandaran Ampang Jaya kerana bermastautin di kawasan Majlis Perbandaran Selayang.

Justeru, beliau meminta pimpinan tertinggi PKR untuk memberikan perhatian terhadap apa yang berlaku di bawah pimpinan Azmin.

"Salah satu kritikan terhadap pentadbiran Tan Sri Khalid (Ibrahim) ialah beliau tidak membantu parti.
"Sekarang macam mana kita nak berkhidmat untuk masyarakat kalau ahli majlis tak duduk di sana, tidak ada hubungan dengan cabang?

"Ini lebih teruk dari UMNO. Azmin tak menghormati parti sendiri. Ini sebabnya UMNO suka dia dan semua kritikan tidak diambil pimpinan UMNO untuk serang Azmin," katanya.

Tun M dakwa 16 tong hadiah pertunangan anak Najib

Posted: 16 Feb 2016 02:49 AM PST

 
Barang-barang yang dibeli itu diangkat oleh dua orang anggota tentera


mahathir-3


PETALING JAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa majlis pertunangan anak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang pernah dihadirinya sebelum ini menyediakan hadiah sebanyak 16 tong untuk diserahkan kepada bakal menantunya.

Menerusi rakaman video yang dimuat naik di blog Din Turtle, Dr Mahathir memberitahu, beliau melihat sendiri hadiah-hadiah tersebut yang diangkat oleh dua orang anggota tentera.

"Kalau tanya MAS punya orang dia kata, bertong-tong beli barang. Kadang-kadang tak dan punggah lagi yang ni beli yang lain pulak.

"Saya pi (pergi) dia punya majlis bertunang. Saya terkejut, 16 tong hadiah dua orang askar angkat. Ini tong bukan dulang.

"Ia bukan sikit..macam-macam ada dalam tu..jam ada, kasut ada, baju ada, kain ada..pasal lalu tepi saya," katanya.

Beliau yang menjelaskan hadir ke majlis pertunangan itu ketika hubungannya masih lagi baik dengan Perdana Menteri.

Dr Mahathir turut mempersoalkan sumber kewangan yang banyak digunakan oleh Najib bagi tujuan berkenaan.

LIHAT VIDEO DI SINI

Anak Zahid tukar nama IG selepas teruk dikritik

Posted: 16 Feb 2016 02:42 AM PST

 
Nurulhidayah dipercayai menukar sebanyak tiga kali nama akaun IG dalam masa sehari susulan kenyataannya menyokong kemasukan 1.5 juta pekerja Bangladesh


Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid


PETALING JAYA: Setelah teruk dikritik oleh netizen di laman sosial, anak perempuan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid menukar sebanyak tiga kali nama akaun Instagramnya (IG) dalam masa satu hari.

Beliau berbuat demikian dipercayai susulan kenyataaannya mengenai isu kemasukan 1.5 juta pekerja Bangladesh ke Malaysia sebagai satu isu yang kecil dan tidak seharusnya diperbesarkan, mendapat kritikan dan mengundang kemarahan orang ramai.

Pemerhatian FMT, nama akaun IG ditukar tiga kali dari "deltanovzulu" kepada "limatangonovzulu" dan terbaru "DELTALIMATANGONOVZULU".

Ketiga-tiga nama itu berbeza dengan nama asal akaun yang digunakan anak Nurulhidayah iaitu "akubocahzahid".

Dalam profile akaun IG, Nurulhidayah juga menulis "Found me" (jumpa saya) selepas kenyataaannya mengenai kemasukan pekerja Bangladesh ke Malaysia menjadi viral di laman sosial.

Dalam masa sama, Nurulhidayah terus menerima kritikan daripada netizen yang meluahkan tidak puas hati dengan kenyataannya itu.

"Hang (awak) tau apa. pernah hidup susah. Hang tak tau macamana kami kat bawah ni dok berebut kerja dengan Bangla (Bangladesh). Depa (mereka) ambil Bangla sebab nak bayar murah. Hard labour. Tetapi orang Malaysia, rakyat Malaysia, tidak mahu bayar dengan setimpal. Mana boleh bayar setimpal dengan Bangla. Depa tidak ada anak bini di sini. Depa hantar duit je balik ok," kata Norhashiki Hashi.

"Sila maafkan saya jika apa yang saya bakal taip disifatkan sebagai kurang ajar/sensitif terhadap individu-individu yang terlibat: Betapa bodohnya anak-beranak ini! Otak memang ternampak sangat terlahir di xxxxx! Sekian, terima kasih," komen Kyrez Vicq.

"Oh awak anggap 1.5juta Bangla masuk Malaysia isu kecil wah banyak bagus lu punnya fikiran ini macam tak salah perompak masuk rumah kamu rompak," komen Sashikumar Gunachandiran.

Usim perkenal menu ihtimam bantu warganya hadapi masalah kelaparan

Posted: 16 Feb 2016 01:50 AM PST

THE MALAYSIAN INSIDER


 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
Universiti Sains Islam Malaysia (Usim) mengambil langkah proaktif dengan memperkenalkan menu bajet atau dikenali sebagai menu ihtimam (prihatin) dalam usaha memastikan warganya tidak berdepan dengan masalah kelaparan.

Naib Canselor Prof Datuk Dr Musa Ahmad berkata langkah itu inisiatif pihak pengurusan universiti dalam usaha meringankan bebanan dan menjaga kebajikan pelajar Usim yang mungkin terpaksa berlapar akibat masalah kewangan.

"Diharapkan dengan adanya pelan tindakan seperti ini tiada lagi kedengaran isu pelajar lapar kerana inisiatif ini menunjukkan keprihatinan universiti tanpa membezakan pelajar malah kemudahan ini juga terbuka kepada kakitangan Usim," katanya dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur, hari ini.

Harga yang ditetapkan bagi menu sarapan ialah RM1.50 manakala RM3 bagi menu makan tengah hari. Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Usim, Imran Razalle berkata pelancaran menu itu merupakan usaha yang baik daripada pihak universiti.

"MPP Usim mengalu-alukan langkah ini yang sekali gus membuktikan keprihatinan pihak universiti terhadap kebajikan pelajarnya. Dengan cara ini ia mampu meringankan beban hidup pelajar," katanya. – Bernama
 
 

BERITA RM2,600 JUTA YANG TERUS BERBEZA-BEZA

Posted: 16 Feb 2016 01:10 AM PST

shahbudindotcom

 

 

 
 
 
Lupakan seketika pelbagai versi yang berbeza-beza mengenai wang RM2,600 juta yang masuk ke akaun peribadi Najib Razak yang pernah kita dengar dan baca beberapa waktu sebelum ini yang antaranya dikatakan untuk UMNO menang pilihanraya, memerangi keganasan,  menegakkan fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah, melawan DAP dan entah apa-apa yang lain lagi.

Ini pula cerita yang agak baru, setelah nama Najib Razak dibersihkan oleh Peguam Negara, tapi nampaknya versi mengenai wang tersebut masih juga berbeza-beza lagi.

Cerita 1
 
Dalam temubual dengan sebuah akhbar berbahasa Inggeris, Ahad lalu, Ketua Penerangan UMNO Annuar Musa berkata, derma RM2,600 juta yang masuk ke akaun peribadi Najib Razak bukanlah "suatu jumlah yang besar"  untuk menghadapi satu pilihanraya umum.

"Anda mesti mempunyai wang yang cukup. Dalam sistem UMNO, pembiayaan hanya datang daripada presiden. Kami tidak pernah persoalkannya.

"Jentera dan semua orang dalam parti akan meminta wang daripada presiden, walau siapa pun presiden parti," tambah beliau.

Annuar juga menegaskan, adalah sangat tidak beretika untuk Perdana Menteri dan Presiden UMNO jika parti tidak mempunyai wang yang cukup untuk menghadapi pilihanraya.

Nampak logik dan masuk akal hujah-hujah beliau itu.

Soalnya, apakah Annuar terlupa dengan pengumuman Peguam Negara bahawa Najib sudah memulangkan sejumlah RM2,030 juta daripada wang derma tersebut atas alasan ia tidak digunapakai?

Bermakna, dengan pemulangan wang itu tidaklah banyak mana yang digunakan untuk menghadapi pilihanraya tahun 2013 lalu dan bagaimana Annuar tetap mengatakan wang RM2,600 juta bukanlah suatu jumlah yang besar?

Kenapa sebagai Ketua Penerangan UMNO, Annuar memberi jawapan sebegitu dalam usahanya mempertahankan Najib?

Cerita 2
 
Sekumpulan imam baru-baru ini dijemput menghadiri pertemuan dengan seorang menteri, yang antara lain intisarinya ialah memberi penjelasan berkaitan wang derma yang sama.

Dalam perjumpaan itu, menteri terbabit dikatakan mengesahkan wang yang diterima Najib itu memang datangnya daripada keluarga Diraja Arab Saudi.

Kata menteri tersebut, wang itu pula sebenarnya diperolehi hasil daripada faedah simpanan keluarga Diraja Arab Saudi yang diletakkan di pelbagai institusi kewangan di luar negara.

Oleh kerana keluarga Diraja Arab Saudi tidak mahu menggunakan wang faedah itu yang dianggap sebagai riba, maka ia didermakan kepada pelbagai negara untuk projek-projek pembangunan yang mana Najib menerimanya bagi mewakili Malaysia, demikian kata salah seorang peserta yang hadir mengulangi maksud penjelasan menteri berkenaan dalam perjumpaan tersebut.

Sekali lagi, adakah menteri terbabit juga terlupa dengan penjelasan Peguam Negara bahawa sebahagian besar atau sebanyak RM2,030 juta daripada RM2,600 juta telah dikembalikan semula oleh Najib kerana tidak digunapakai.

Kalau benar wang itu diberikan untuk projek-projek pembangunan, kenapa pula perlu dikembalikan?

Sekali lagi, kenapa dalam usaha pelbagai pihak mahu terus mempertahankan wang tersebut, jawapannya sering saja berbeza-beza dan tidak senada?
 
 
 

Pelaburan FGV: Rafizi dakwa Tabung Haji rugi RM933 juta

Posted: 16 Feb 2016 01:03 AM PST

MALAYSIAKINI




Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli hari ini mendakwa Lembaga Tabung Haji menanggung kerugian atas kertas RM933 juta melalui pelaburan dalam Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV).

Di sebalik kerugian itu, katanya, Tabung Haji masih mengekalkan sahamnya dalam syarikat perladangan yang disenaraikan itu walaupun pendapatannya menurun kerana wujudnya campur tangan politik.

"Tindakan Tabung Haji yang langsung tidak mengambil apa-apa tindakan melindungi dana pendeposit dalam keadaan sudah jelas pelaburan di dalam FGV merugikan bukanlah satu sifat profesional yang biasa ditunjukkan sebuah institusi pelaburan bertaraf antarabangsa seperti Tabung Haji.

"Tindakan terus memegang saham FGV sehingga menyebabkan kerugian terkumpul RM933 juta sudah tentu berkait rapat dengan kedudukan FGV sebagai inisiatif utama pentadbiran (Perdana Menteri) Datuk Seri Najib Razak," katanya pada satu sidang media di Sungai Besi hari ini.

Beliau berkata sepanjang Tabung Haji terlibat di dalam FGV, keuntungan hasil dari penjualan saham syarikat itu hanyalah RM7.6 juta.

Jumlah itu, katanya adalah terlalu sedikit berbanding jumlah terkumpul yang dibayar oleh Tabung Haji untuk membeli saham-saham FGV pada harga RM1.3 bilion

Menurut Rafizi yang juga adalah ahli parlimen Pandan, berbeza dengan institusi pelaburan kerajaan yang lain seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) yang mengurangkan kerugian mereka dan mengambil langkah mengurangkan pegangan di antara 2012 hingga 2015.

Justeru, katanya rakyat mempunyai hak untuk mendesak supaya semua campur tangan politik di dalam Tabung Haji dihentikan segera.

Katanya, sebagai langkah awal untuk memberi jaminan kepada rakyat bahawa Tabung Haji akan dibebaskan dari campur tangan politik ialah dengan menukar Pengerusi Tabung Haji sedia ada dengan seorang yang lebih layak dan lebih ahlinya di dalam hal ehwal pelaburan Islam.


Mahathir: Tiada serah kalah dalam pertarungan lawan Najib

Posted: 16 Feb 2016 12:34 AM PST

Lu Wei Hoong

 


Selepas hampir setahun 'menyerang' kepimpinan Datuk Seri Najib Razak - Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan hari ini bahawa tidak akan menyerah kalah dalam usahanya menumbangkan perdana menteri.

"Saya berpegang apabila kita jatuh, kita perlu bangun semula dan cuba lagi dan lagi. Ia sama ada apa yang kita lakukan itu berbaloi atau tidak," kata perdana menteri paling lama berkhidmat di negara ini selama 22 tahun itu.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan inisiatif 'My New Proton' di Shah Alam hari ini.

Mengulas soalan bahawa usahanya yang dimulakan sejak April tahun lalu hampir pudar untuk menggulingkan Najib daripada jawatan, Mahathir berkata bahawa undang-undang negara tidak dilaksanakan dengan betul dan adil.

"Undang-undang sedia ada tidak dilaksanakan dengan betul. Undang-undang baru kemudian digubal untuk tujuan menangkap dan membicarakan orang.

"Saya tahu semasa zaman saya ada ISA tetapi saya tidak gunakannya untuk menangkap orang yang kritik saya. Hanya apabila mereka melakukan sesuatu kepada negara."

Mahathir juga berkata bahawa mengkritik kerajaan adalah sebahagian daripada demokrasi.

'Kerana seorang lelaki'

"Jika kita kritik kerajaan sekarang, kita akan ditahan, disoal dan dibicarakan. Jika tidak boleh kritik, maka di manakah demokrasi?

"Undang-undang yang digunakan berbeza bergantung kepada siapa diri anda. Jadi seseorang mesti mengatakan sesuatu. Saya katakan kerana saya mahu negara ini yang mempunyai reputasi yang baik."

Menurut Mahthir, beliau tidak pernah menyarankan penggunaan kekerasan atau keganasan dalam menuntut perubahan dalam kepimpinan.

"Hari ini reputasi negara adalah teruk. Orang tanya kepada saya apa yang telah berlaku kepada negara awak? Ia adalah memalukan. Semua kerana kepimpinan seorang lelaki.

"Jika kita membuat kesilapan, kita perlu mengubah dengan cara yang aman. Saya tidak sokong keganasan.

"Tetapi apabila saya bersuara, saya diganggu dengan ugutan penangkapan," katanya, merujuk kepada gesaan pemimpin Umno tertentu bahawa tulisannya di blog berunsur hasutan.

Ditanya apa langkah seterusnya akan, Mahathir berkata masalah yang melanda negara adalah kepimpinan Najib.

"Saya masih tekankan perlunya Najib berundur," katanya.


Perang Internet berterusan: Amrans Fans jawab anak TPM

Posted: 16 Feb 2016 12:30 AM PST

MALAYSIAKINI




"Siapa yang patut tunggu siapa dekat Mahsyar?" begitu soal balas Amran Fans terhadap anak timbalan perdana menteri Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid.

Ini susulan kenyataan Nurulhidayah untuk menunggu pengkritik bapanya di padang mahsyar, selepas akaun Facebook parodi itu mencadangkan beliau bekerja seperti operator pusat khidmat panggilan untuk menyahut cabaran bapanya.

Dalam serangan berterusannya, Amran Fans membangkitkan dakwaan hati rakyat negara ini yang sering disakitkan para menteri.

"Siapa yang patut tunggu sapa dekat Mahsyar? Kami rakyat marhaen yang sering disakitkan hati oleh pak pak menteri ni nak kira macam mana?

"Takut bapak engkau itu saja nanti yang penat nak mencari kami. Kalau takat nak jumpa Amran seorang, di mamak saja sudahlah," kata pengendali akaun parodi popular itu.

Setakat berita ini ditulis, Amran Fans mempunyai pengikut besar hampir 900,000 orang.

Bapa Nurulhidayah, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini mencabar belia di Malaysia melakukan 'kerja kotor' jika tidak mahu pekerja asing di bawa masuk.

Selepas namanya dibangkitkan, Nurulhidayah kemudian membalas di Instagramnya dengan berkata beliau akan berkenalan "pencipta dan penyampai serta penyebar fitnah terhadapnya. dengan mereka di Padang Mahsyar - merujuk kepada

"Seronok baca komen-komen kau orang ini. Bagus. Sesuai dengan sel-sel otak yang tak berapa nak berhubung tu," sindir Nurulhidayah yang menggunakan akaun @deltanovzulu.

Kerajaan sebelum ini dipalit kontroversi selepas dilapor hendak membawa masuk ramai 1.5 juta pekerja asing daripada Bangladesh.

Kementerian Dalam Negeri tidak berapa lama selepas itu bagaimanapun menjelaskan tiada angka mutlak bagi kemasukan pekerja Bangladesh ke negara ini kerana ia bergantung kepada keperluan sebenar majikan semasa permohonan dibuat.


Perunding penghijrahan Sirul pula ancam dedah semua

Posted: 16 Feb 2016 12:26 AM PST

MALAYSIAKINI




Robert K Chelliah, perunding penghijrahan yang membantu bekas polis elit Sirul Azhar Umar, mengugut mendedahkan perbualan peribadi mereka jika beliau dinamakan dalam senarai lima orang yang mahu didedahkan.

Chelliah, rakyat Australia kelahiran Malaysia, berkata beliau akan mendedahkan tahap akses pegawai-pegawai tinggi Malaysia terhadap Sirul ketika dalam tahanan imigresen di Sydney, jika Sirul "mempolitikkan bantuan politik (Chelliah)"

"Saya akan dipaksa mendedahkan bentuk perbualan-perbualan dia dengan saya dan perbualan kami dengan peguam Malaysianya," kata Chelliah kepada akhbar negara kanggaru itu, The Australian.

Harian itu melaporkan Chelliah bertindak sebagai perunding penghijrahan Sirul sejak Februari tahun lalu.

Chelliah mendakwa beliau cuba "memujuk (Sirul) tampil dengan kebenaran" tetapi "proses itu dirampas oleh beberapa pihak berkepentingan dalam cawangan khas dan sistem politik Malaysia".

Sirul disabitkan membunuh wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu dan dijatuhi hukuman mati bersama rakan sekerja Azilah Hadri.

Dalam video dari Pusat Tahanan Villawood di mana dia ditahan, Sirul berkata akan menamakan individu yang didakwa cuba merasuah atau memujuknya mengaitkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam kes pembunuhan Altantuya.

Peguam Americk Sidhu (gambar) membuat tanggapan awal bahawa beliau percaya lima orang itu termasuk Chelliah.

Americk juga berkata, kemungkinan besar pihak lain ialah anggota parlimen PAS Datuk Mahfuz Omar, bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, bekas pemimpin akar umbi Umno Khairuddin Abu Hassan dan Editor Sarawak Report Clare Rewcastle-Brown.

Americk pernah menjadi peguam kepada mendiang penyiasat persendirian P Balasubramaniam, yang dikaitkan dengan kes itu ketika beliau diupah oleh rakan rapat Najib, Abdul Razak Baginda.

Abdul Razak telah didakwa bersubahat dalam pembunuhan Altantuya tetapi dibebaskan tanpa dipanggil membela diri.

Ambil kira 'qaul al-sahabi' dalam isu jagaan anak

Posted: 16 Feb 2016 12:17 AM PST

Dr Muhammad Nur Manuty

 


ULASAN Dalam menyelesaikan konflik pertukaran agama, perceraian dan masalah penjagaan anak yang berlanjutan, dua perkara utama hendaklah diberikan perhatian.

Pertamanya, jaminan prinsip keadilan berlaku untuk kedua-dua pihak keluarga. Keduanya, kepentingan anak-anak itu sendiri perlu diberi keutamaan.

Kes ini adalah amat rumit. Ia tidak boleh diselesaikan dalam masa yang singkat.

Dalam isu ini, dicadangkan supaya sebuah mahkamah khas membicarakan isu pertukaran agama, perceraian dan penjagaan anak-anak perlu segera ditubuhkan.

Akta yang bersesuaian mengenainya hendaklah dirangka dan diluluskan segera oleh parlimen.

Justeru, ura-ura menteri di jabatan perdana menteri untuk meminda akta berkaitan yang akan dibentangkan di parlimen dalam masa terdekat dialu-alukan.

Kita berharap agar dua prinsip utama yang kita sebutkan di atas diberikan perhatian serius.
Penyelesaian lebih fleksibel

Sementara itu itu, PKR mencadangkan supaya enakmen undang-undang jenayah Islam negeri-negeri jika mahu dipinda pada masa hadapan, selain berpandukan empat mazhab fekah, hendaklah juga merujuk kepada pelbagai pandangan lain, terutama qaul al-sahabi (pendapat sahabat).

Dengan cara ini, penyelesaian lebih fleksibel, komprehensif dan mudah diterima oleh pelbagai pihak yang terlibat dapat dirumuskan.

Di saat berlakunya krisis seperti ini, secara fitrahya, demi kasih sayang kepada anak-anak, sudah pasti setiap pasangan akan memberikan keutamaan kepada kebajikan dan keperluan psikologi mereka.

Justeru, sudah tentulah mereka menyedari bahawa anak-anak mereka, perlu didewasakan dalam suasana rasa dipunyai, selamat dan dilindungi.

Kajian-kajian psikologi mengesahkan bahawa anak-anak yang ibu-bapa mereka terlibat dalam perceraian (secara tidak harmoni), lazimnya mengalami trauma tekanan mental yang serius.

Anak-anak ini lazimnya akan mengalami emosi yang tidak stabil, rendah harga diri (self esteem) dan hilang keyakinan diri.

Paling parah, ia boleh membentuk perasaan tidak puas hati, hilang rasa hormat dan wujud pula rasa memberontak kepada ibu bapa dan persekitaran sosial.

Mekanisme ADR

Sehubungan dengan fakta-fakta di atas, penyelesaian terunggul kepada konflik keluarga ini adalah melalui mekanisme alternative dispute resolution (ADR).

Melalui kaedah ini, kedua-dua pihak sebaiknya bersetuju untuk merujuk kes mereka kepada pihak ketiga yang bertindak sebagai orang tengah.

Pihak ketiga ini, hendaklah terdiri daripada pakar undang-undang sivil dan syariah, kaunseling, psikologi keluarga dan kanak-kanak.

Dengan kaedah ini, kesemua pihak akan merasa lebih dihormati dan dihargai.

Perkara yang boleh mengaibkan mana-mana pihak hendaklah dirahsiakan kepada umum.

Dengan ini, anak-anak akan merasa lebih selamat, dilindungi dan berupaya menghadapi masa depan secara lebih yakin dalam membina kehidupan baru yang lebih mencabar.

Sesungguhnya, menjaga kepentingan anak-anak dan menyalurkan rasa kasih sayang terbaik kepada mereka adalah penyelesaian terunggul yang perlu dipertimbang semua pihak, demi kesejahteraan rakyat dan negara pada masa depan.

DR MUHAMMAD NUR MANUTY pengerusi Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama PKR.

Ini dia 3D: Dayus, defensif, dangkal

Posted: 16 Feb 2016 12:14 AM PST

Sheikh Omar Ali 




ULASAN Cabaran Datuk Seri Zahid Hamidi kepada anak muda Malaysia agar bekerja dalam sektor yang dirty, difficult and dangerous (3D) hakikatnya mencerminkan sikap beliau yang 'dayus, defensif dan dangkal'.

Zahid dayus apabila beliau lari dari permasalahan sebenar seperti menyediakan peluang pekerjaan dengan penetapan gaji minimum yang setimpal.

Beliau juga bersikap defensif semasa ucapannya di hadapan belia di Perhimpunan Agung Tahunan Majlis Belia Selangor ke-32 di Shah Alam tempoh hari dengan terus mencabar anak muda.

Kononnya beliau boleh mengacah-acah anak muda untuk membenarkan tindakannya yang ingin membawa masuk 1.5 juta pekerja Bangladesh.

Timbalan perdana menteri juga dangkal apabila dengan mudahnya memperlekehkan anak muda sebagai seolah-olah malas bekerja, tidak ada jati diri dan tidak berani untuk berusaha keras bagi mencari sesuap nasi untuk hidup.

Ibarat menuding jari ke arah orang lain, Zahid tidak perasan empat jari menghala kepada dirinya sendiri. Pada saya, persoalan utama bukanlah tentang kesediaan anak muda untuk menceburi bidang pekerjaan di sektor 3D.

Keselamatan pekerja

Sehingga kini pun jumlah anak muda yang melakukan kerja dalam sektor 3D telah mencecah puluhan ribu. Namun persoalannya, apakah usaha yang diambil oleh kerajaan untuk memastikan sektor pekerjaan 3D lebih selamat, berbaloi dan bermaruah?

Adakah mereka boleh digajikan pada kadar setimpal dan sesuai untuk meneruskan survival hidup seharian?

Sebagai contoh, berapakah syarikat yang didakwa dan didenda oleh Jabatan Keselamatan Dan Kesihatan Pekerjaan kerana tidak menyediakan tempat pekerjaan yang menepati syarat keselamatan?

Isunya ialah aspek keselamatan pekerja dalam sektor 3D.

Kita ambil pula contoh Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP). Sejak 2012, MPSP telah menjalankan dasar pengambilan pekerja separa mahir dan tidak mahir untuk kerja-kerja melibatkan pengumpulan sampah dan pembersihan. Gaji yang ditamatkan adalah pada kadar minimum RM1,500.

Negara semua warga

Ia tidaklah satu angka yang lumayan, tetapi cukup untuk menarik minat lebih kurang 2000 pekerja tempatan. Pokoknya, kadar gaji yang berpatutan memainkan peranan besar.

Sekiranya, kerajaan menjalankan dasar yang sama, lebih banyak lagi peluang pekerjaan untuk orang tempatan khususnya anak muda dapat dijana.

Malaysia adalah negara untuk semua warganya tanpa mengira sama ada mereka berkelulusan ijazah atau yang mahir berniaga sahaja.

Selagi rakyat kita mahu bekerja dan memiliki kemahiran tertentu, merekalah kelompok yang akan menerima kesan besar atas dasar pengambilan tenaga kerja asing ini.

Namun persoalan ini hanya dapat dijawab sekiranya kerajaan amanah dan menguruskan kewangan negara dengan adil, tidak boros dan tidak tiris.

Walaupun begitu, saya berasa tidak pelik sama sekali dalam keadaan pelbagai skandal melibatkan pimpinan negara hari ini, kerajaan dengan mudah mengambil jalan pintas dengan membawa masuk tenaga pekerja asing.

Ini bukan jalan penyelesaian yang tuntas.


SHEIKH OMAR ALI penolong setiausaha publisiti DAP Johor.


'Siasatan cepat ke atas Mahathir tapi bisu tentang Jho Low'

Posted: 16 Feb 2016 12:04 AM PST

MALAYSIAKINI




Bekas pemimpin Umno Bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan hari ini menggesa Ketua Polis Tan Sri Khalid Abu Bakar untuk membekalkan maklumat terkini mengenai laporan polis mengenai skandal 1MDB dan dakwaan pembabitan ahli perniagaan Jho Low, yang dibuatnya pada 12 Disember, 2014.

Khairuddin menuntut penjelasan, selepas Khalid, semalam berkata polis membuka kertas siasatan terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad dalam masa dua hari laporan polis terhadap bekas perdana menteri itu.

"Sebagai pelapor saya mempunyai hak untuk meminta penjelasan dan pencerahan dari Khalid Apakah Jho Lo sudah dipanggil oleh pihak polis untuk soal siasat?

"Kalau sudah dipanggil oleh polis, saya ingin bertanya bila? Apa perkembangannya?

"Kalau polis belum soal siasat Jho Lo; saya pun nak tanya kenapa? Dah lama dah saya buat laporan polis!" katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ketua Polis Negara, semalam berkata siasatan sedang dijalankan terhadap Dr Mahathir berikutan pelbagai laporan polis ke atasnya.

Menurutnya, Mahathir disiasat kerana fitnah jenayah berhubung lebih satu kemas-kini di blog yang mendakwa Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali tidak akan bertindak terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kerana terhutang budi.

Apandi membersihkan Najib daripada sebarang salah laku berhubung 'derma' RM2.6 bilion yang berada di akaun bank perdana menteri dan wang RM42 juta daripada SRC International.

Khairuddin sejak tahun 2014 membuat pelbagai laporan, termasuk dengan agensi-agensi penguatkuasaan antarabangsa, mengenai skandal 1MDB.

Ini mendorong siasatan sedang dijalankan di Singapura, Switzerland, Hong Kong, Perancis dan United Kingdom.

Khairuddin dan peguamnya Matthias Chang kemudiannya didakwa cuba mensabotaj ekonomi melalui laporan berkenaan.

Kedua-dua mereka kemudiannnya ditangkap dan ditahan untuk lebih sebulan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan dan Langkah-Langkah Khas Akta (Sosma) tetapi Mahkamah Tinggi membebaskan mereka kerana mendapati mereka tidak dituduh dengan kesalahan keselamatan.

Selepas tonton ‘Ola Bola’, Nazir timbulkan isu rasuah, perkauman

Posted: 16 Feb 2016 12:01 AM PST

MALAYSIAKINI




Filem tempatan 'Ola Bola' membawa kembali kenangan zaman dahulu kepada rakyat negara ini termasuk Pengerusi Kumpulan CIMB Datuk Seri Nazir Razak, yang sedih selepas menontonnya kerana gejala rasuah dan perkauman telah menjahanamkan negara.

Melalui kemas-kini di akaun Instagram semalam, adik kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak itu mengakui beliau menyukai filem itu kerana ia membawa kembali kenangan semasa di Stadium Merdeka pada malam kegemilangan pasukan bola sepak negara.

"Lebih penting lagi, ia mengingatkan kita bahawa Malaysia adalah lebih baik ketika itu.

"Rasuah kemudiannya menjahanamkan bola sepak negara.

"Gejala rasuah dan perkauman juga menjahanamkan pembinaan negara kita. Saya sangat sedih selepas itu," kata Nazir.

'Ola Bola' sebuah filem yang diilhamkan berdasar kejayaan negara melayakkan diri ke Sukan Olimpik di Moscow pada tahun 1980. Ia membuat kejutan dengan meraih RM2.5 juta selepas empat hari pertama tayangan.

Ia memaparkan pelakon pelbagai kaum, sama seperti yang menganggotai pasukan bola sepak Malaysia pada 1980. Mula ditayangkan pada 28 Januari, ia kini sedang dipertontonkan di 126 pawagam di seluruh Malaysia dan Brunei.

Filem ini diterbitkan oleh Astro dan diarahkan oleh Chiu Keng Guan.

Antara yang membintanginya, termasuk Bront Palarae, JC Chee, Luqman Hafidz, Saran Kumar Manokaran, Marianne Tan, Katrina Ho dan Frankie Lee.


Majlis Fatwa Negeri sekat hakim wanita

Posted: 15 Feb 2016 11:55 PM PST

Zikri Kamarulzaman




Ada di kalangan Majlis Fatwa Negeri yang tidak mahu menerima wanita daripada menjadi hakim, kata Ketua Hakim Syarie, Tan Sri Ibrahim Lembut.

Ibrahim berkata pada masa ini hanya Wilayah Persekutuan, Melaka, Perlis, Kelantan dan Sabah yang membenarkan wanita menjadi hakim Mahkamah Syariah.

Beliau berkata, meskipun Majlis fatwa Kebangsaan memutuskan bahawa wanita boleh menjadi hakim syariah, namun negeri-negeri tidak terikat dengan fatwa berkenaan.

"Tapi ada negeri yang tak mahu terima hakim wanita walau Majlis Fatwa Kebangsaan kata harus.

"Kita tak boleh nak buat apa sebab di Majlis Negeri ini, dia kuasa tertinggi di situ," kata Ibrahim yang juga adalah Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Wacana Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia di Institut Latihan Islam Malaysia di Bandar Baru Bangi, hari ini.

Ibrahim berkata, dalam kebanyakan kes, kelayakan wanita lebih tinggi berbanding lelaki untuk menjadi hakim dan kenaikkan pangkat.

"Wanita tidak diberi peluang untuk naik pangkat, walaupun CGPA mereka lebih baik daripada lelaki," katanya.

Ibrahim berkata, Jabatan Kehakiman Syariah telah berusaha supaya wanita menjadi hakim Mahkamah Syariah sejak 2012.

Gajah bergajah-gajah, pelanduk mati tersepit

Posted: 15 Feb 2016 11:42 PM PST

Muhammad Ariff Mohamad Nizam

 


ULASAN Merentas Lautan Pasifik, Datuk Seri Mohd Najib Abd Razak bersama barisan pemimpin serta elitis negara Asean sedang bersidang bersama Barack Obama yang kini dalam pecutan akhir sebelum melabuhkan tirai pentadbirannya.

Yang pasti, sidang kemuncak AS-Asean ini adalah episod akhir bagi beliau dalam drama pertembungan antara dua kuasa yang menjadikan Asean sebagai perisai.

Ia juga bertindak sebagai pentas akhir Obama mengukuhkan agenda Pasak Asia (meminjam terma Hishamuddin Rais yang merujuk kepada Pivot to Asia) – legasi pentadbirannya yang dilakar bagi mengekang kemaraan China menuju puncak kuasa dunia.

Ketegangan geopolitik di rantau ini tidak akan berkesudahan meskipun Obama angkat kaki dari Rumah Putih – dengan kehadiran kedua-dua kuasa ini yang bersifat agresif – tempiasnya pula dirasai negara-negara Asean.

Balik semula ke rantau ini, Filipina menjangkakan keputusan pertikaian wilayahnya dengan China bakal diputuskan pada bulan Mei akan datang; ia juga bakal menyaksikan satu lagi episod baharu dalam siri drama geopolitik di rantau ini.

Sementara itu, kita di Malaysia pula masih bingung dengan kehadiran kapal pengawal pantai milik China di perairan Sarawak dan ditegaskan oleh Datuk Seri Hishammuddin Hussien sebagai terkawal.

Jelas di kala AS hampir pasti mengikat Asean, China pula muncul merentapnya dengan segala tindak-tanduk sebaliknya.

Yang tersepit kini adalah negara-negara Asean – seperti Malaysia, yang kerajaannya jelas memperlihat keperluan berhubungan yang sihat dengan kedua-dua kuasa ini.

Ketegasan terhadap China

Situasi di perairan Gugusan Beting Patinggi Ali di kejauhan jarak 84 batu nautika dari Pantai Miri, Sarawak ini amatlah mendesak untuk diberi pandangan yang serius oleh pemerintah.

Ia tidak wajar disepikan daripada pengetahuan akar umbi.

Pencerahan daripada pemerintah diperlukan sekaligus merungkai kegusaran dan persoalan tentang situasi ini khususnya para nelayan yang terkesan selama dua tahun kebelakangan ini.

Apabila dirujuk dan dibelek laporan, ada juga yang menggunakan terma kapal perang sebagai merujuk kepada kapal pengawal pantai, ia jauh sekali meleset dan mengelirukan.

Jika dirujuk agensi kawalan pantai kerajaan China – yang ditubuhkan pada 2013 selepas digabungkan dengan beberapa agensi keselamatan maritim China – kapal pengawal pantai bertindak sebagai perisai mengawal perairannya dan menguat kuasa perundangan samudera.

Persoalannya, di perairan Gugusan Beting Patinggi Ali, memetik laporan Bernama pada tahun lalu, jentera China ini mula muncul di perairan berkenaan semenjak tahun 2013.

Dan ia ditegaskan oleh Malaysia sebagai pencerobohan perairan negara pada Jun tahun lalu menerusi bantahan diplomatik kepada China apabila didapati jentera tersebut berlabuh di kawasan berkenaan yang dirangkumkan sebagai kawasan perairan Zon Eksklusif Ekonomi (EEZ) Malaysia.

Konvensyen Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Perundangan Samudera (UNCLOS) mentakrifkan keluasan jarak EEZ sebagai 200 batu nautika dari titik rendah perairan negara (baseline).

UNCLOS menetapkan hak kedaulatan kepada negara pemilik EEZ yang sekali gus bebas untuk menerokanya (termasuk aktiviti perikanan) dan membataskan penerokaan negara lain.

Pun begitu, ia masih menjamin hak kebebasan negara lain untuk menyusur lautan dan ruang udara di kawasan berkenaan.

Ia didatangkan dengan prinsip hak laluan ikhlas (innocent passage) sebagaimana yang ditegaskan oleh Liew Chin Tong, anggota parlimen Kluang dalam kenyataannya membidas Hishammuddin semalam.

Pendeknya, boleh saja menyusurinya asalkan tidak mengancam kepentingan negara pemiliknya – China.

Kalau nak menyusur, silakan, asalkan tidak ancam kedaulatan Malaysia. Tetapi, kalau sudah berlabuh, itu lain macam tujuannya.

Bagi negara seperti Malaysia, ia serius dan dilihat sebagai ancaman dan lebih-lebih lagi dengan sifat China yang kini agresif membuat tuntutan di pelosok Laut China Selatan.

Lebih menggusarkan, ia barang kali secara hakiki tidak memberi ancaman secara fizikal; seperti wilayah dan sempadan – tetapi memberi kesan kepada aktiviti perikanan para nelayan tempatan yang dikatakan tidak selesa dan gusar untuk meneruskan aktiviti ekonomi mereka.

Dirumuskan, ia dilihat sebagai melanggar prinsip hak laluan ikhlas – kerana sudah memberi ancaman,
bukan kepada negara secara fizikal tetapi kepada warganya dalam sisi spektrum kedaulatan negara secara komprehensif.

China kawal pantai kita?

Berbalik kepada kapal pengawal pantai milik China, apa yang dibuatnya berlabuh di kawasan EEZ Malaysia?

Sedangkan ia digariskan untuk mengawal perairan China dan kawasan yang berkepentingan baginya (dibaca: dituntutnya).

Jawapan Hishammuddin pula seakan ragam China ini tidak memberi kesan kepada kedaulatan negara walhal pada hakikatnya, ya, Malaysia terkesan.

Perlu ditegaskan bahwa kawasan EEZ ini tidak dimiliki Malaysia secara azali tetapi ia diperoleh melalui tuntutan.

Meskipun dinyatakan oleh Datuk Seri Shahidan Kassim, menteri di Jabatan Perdana menteri (JPM) yang bertanggungjawab, bahawa perairan di kawasan beting berkenaan tiada dalam tuntutan dibangkitkan China, namun, jika Malaysia bersikap acuh tak acuh mungkin sekali memberi ancaman memudaratkan kelak.

Lebih malang, jawapan pemerintah juga tidak selari; si polan kata menceroboh, si polan kata terkawal, si polan kata tiada maklumat, si polan ni pula kaitkan dengan usaha mencari dan menyelamat, si polan tu pula aturkan pertemuan si polan yang lain dengan si polan dari China.

Maka, apa sebenarnya situasi di perairan ini? Mohon pencerahan wahai pemerintah!


Mat Sabu tak mahu sumbangan ke akaun peribadi

Posted: 15 Feb 2016 11:39 PM PST

MALAYSIAKINI




Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) Mohamad Sabu mengucapkan terima kasih atas bantuan orang ramai padanya bagi membayar ganti rugi mahkamah bagi mengelakkan diisytihar muflis.

Bagaimanapun, kata pegawai khas presiden AMANAH Mohd Azhar Mat Dali, Mohamad tidak mahu sumbangan tersebut disalurkan kepada akaun peribadi beliau. ‎

"Setiap sumbangan hendaklah melalui saluran yang sah dan dalam makluman AMANAH," katanya.
Azhar berkata sebarang urusan sumbangan boleh terus menghubungi Seketariat Sahabat Mat Sabu di talian 011-35712316.

AMANAH semalam meminta orang ramai menghubungi pihaknya terlebih dahulu sebelum menghulurkan bantuan kepada Mohamad Sabu yang harus membayar ganti rugi RM200,000.

Setiausaha agungnya, Mohd Anuar Tahir berharap usaha itu dapat diselaraskan dan dilakukan dengan elus bagi mengelakkan pertikaian di kemudian hari dan supaya tidak timbul fitnah.

Mohamad berdepan tuntutan muflis selepas gagal melunaskan ganti rugi kepada Datuk Wan Ahmad Wan Omar (gambar) kerana memfitnah bekas timbalan pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) itu berhubung isu 'projek IC' di Sabah.

Kenyataan itu disiarkan lidah rasmi PAS, Harakah edisi 1 hingga 3 Februari 2013, yang mana Mohamad ketika masih timbalan presiden PAS.

Peguam Wan Ahmad, Noor Hazira Abu Haiyan seperti dilaporkan media berkata, pihaknya memfailkan petisyen pemiutang terhadap Mohamad untuk mendapatkan semula ganti rugi itu berserta faedah.


Rafizi: MARA patut tuntut RM14 juta bagi asrama di Australia

Posted: 15 Feb 2016 11:34 PM PST

MALAYSIAKINI




Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli hari ini mempersoalkan Majlis Amanah Rakyat (MARA) yang didakwa gagal untuk menuntut semula A$4.75 juta (RM14 juta pada kadar pertukaran semasa), yang terlebih bayar kepada anak syarikat milik penuhnya Thrushcross Land Holdings Limited kepada pemaju projek Wanissa Properties Pty Ltd.

Jumlah itu berkaitan dengan pembelian asrama pelajar di Dudley House di Melbourne, Australia, oleh MARA pada harga A$22.5 juta (RM66.7 juta pada kadar semasa) pada tahun 2013.

Urus niaga itu didedahkan oleh akhbar harian Australia, The Age pada Jun tahun lalu.

Rafizi berkata bahawa lapan bulan sudah berlalu sejak beliau membuat susulan ke atas dakwaan bahawa pembelian itu dibuat pada harga yang terlalu tinggi.

Bercakap pada sidang media di pejabat Pusat Pemantauan dan Pendedahan Maklumat (NOW) beliau juga membekalkan dokumen mahkamah yang difailkan di Australia yang katanya akan menunjukkan dengan tepat bagaimana MARA boleh mendapatkan wang berkenaan daripada individu yang dinamakan dalam saman itu.

"Walaupun pelbagai invois yang berlainan dikeluarkan dan bertindih, semakan dengan pihak berkuasa percukaian Australia menunjukkan bahawa jumlah akhir yang dibayar kepada Leuven Capital, Optimus Capital Group dan TRR Heritage adalah AUD4.75 juta," katanya.

Pemimpin PKR itu juga berkata semua syarikat berkenaan mempunyai kaitan dengan MARA.

Antara dokumen mahkamah yang diedarkan kepada media, mereka yang dinamakan itu termasuk CEO Pelaburan MARA Berhad, Ahmad Nazim Abdul Rahman dan beberapa pemimpin Pemuda Umno.

"Bukti keterlibatan individu-individu terbabit juga adalah sangat jelas dan sepatutnya tindakan telah diambil oleh Tan Sri Annuar Musa sejak dari tahun lalu.

"Dalam kemelut masalah kewangan MARA sehingga menyebabkan ramai lagi pelajar Melayu/ bumiputera menghadapi kesempitan, jumlah RM14 juta ini sepatutnya dituntut dengan segera dari individu-individu terbabit," katanya.

Rumah roboh dibadai ombak

Posted: 15 Feb 2016 11:29 PM PST

Rumah roboh dibadai ombak
Rumah Hazura roboh akibat dibadai ombak besar.
 


PAKA - Fenomena air pasang besar yang melanda pesisir pantai daerah ini minggu lalu turut menyebabkan sebuah keluarga di Pantai Laut hilang tempat tinggal selepas rumah mereka roboh dibadai ombak kuat.

Mangsa, Hazura Halias, 33, berkata, kejadian ombak besar pada 7 Februari lalu umpama mimpi ngeri buat mereka sekeluarga apabila sebahagian rumah yang didiami, roboh.

Bagaimanapun katanya, tiada kemalangan jiwa berlaku kerana mereka sekeluarga sempat melarikan diri ke rumah bapa mentuanya ketika kejadian berlaku.

"Saya dan empat anak berusia antara 9 bulan hingga 13 tahun baru sahaja ke rumah bapa mentua yang berada di belakang rumah kami.

"Ketika itu air pasang dan ombak kuat membadai hingga ke tengah dinding rumah. Sebaik sahaja suami selesai mengemas dan bawa barang penting keluar, kedengaran dentuman kuat. Rupa-rupanya rumah kami roboh," katanya.

Menurut Hazura, suaminya, Zulaimi Mohamad, 38, yang bekerja sebagai nelayan, memang berasal dari situ dan sentiasa berdepan risiko setiap kali tiba musim tengkujuh atau air pasang.

"Ketika air pasang atau musim tengkujuh, kami akan menumpang di rumah bapa mentua, tetapi sebenarnya rumah mereka juga berdepan bahaya. Tahun demi tahun hakisan teruk melanda sehinggalah rumah kami yang didirikan di atas tanah orang lain akhirnya roboh.

"Besar harapan kami agar ada pihak membantu memberi penempatan baru kerana mustahil untuk kami berpindah ke tempat lain atau bina rumah baru. Dengan pendapatan suami yang tidak menentu dan saya pula hanya suri rumah, memang tidak mampu. Tambahan lagi kami perlu menanggung tiga anak yang bersekolah," katanya.
 
Mohon masalah diberi perhatian
Bapa mentua Hazura, Mohamad Othman, 72, berkata, walaupun keadaan rumahnya juga usang, namun dia tiada pilihan lain dan terpaksa menumpangkan anak serta cucunya itu.

"Kira-kira 10 rumah penduduk di sini turut berdepan risiko, termasuklah rumah saya.

"Pihak berkaitan diminta memberi perhatian terhadap masalah ini kerana jika tidak dibantu, apalah nasib akan melanda kami nanti.

"Buat masa sekarang, dua anak saya bersama isteri dan anak masing-masing terpaksa menumpang di rumah ini. Manakala yang satu lagi bila-bila masa boleh mengalami kejadian sama," katanya.

Bagi seorang lagi penduduk, Selamah Hitam, 63, setiap kali musim tengkujuh atau ombak besar, dia dan anaknya akan menumpang di rumah saudara-mara.

"Saya tinggal di sini sejak 60 tahun lalu, walaupun berdepan bahaya, tapi tiada tempat lain lagi hendak kami tuju. Sekarang, bahagian rumah saya makin mereput dan tidak mustahil jika ombak besar berlaku lagi, ia akan roboh.

"Kami sangat mengharapkan tempat tinggal lebih baik, tetapi apakan daya tidak mampu. Apa yang boleh diharap sekarang agar ada pihak yang bersimpati," katanya.

Sedia penempatan baharu untuk mangsa

Sementara itu, Pegawai Pembangunan Dungun, Datuk Din Adam turut melakukan kunjungan di kawasan berkenaan dan akan berusaha memindahkan keluarga terlibat ke tempat lebih selamat serta selesa.

Din berkata, tapak penempatan baharu seluas empat hektar di Kampung Telaga Emas disediakan untuk pemilik rumah yang terjejas akibat fenomena ombak besar dan angin kencang.

"Buat masa ini, kira-kira 50 rumah di kampung berkenaan dengan 10 daripadanya berisiko runtuh akibat hakisan di pesisir pantai. Kerajaan negeri akan sedia tapak penempatan baru untuk keluarga terjejas yang diyakini lebih selamat daripada ancaman hakisan.

Kerajaan juga sedang meneliti senarai mereka yang layak untuk dipindahkan ke penempatan baru.

Keutamaan diberi kepada mereka yang terjejas hakisan dan penduduk miskin di sekitar Paka. Tohmahan mengatakan kerajaan tidak ambil peduli mengenai masalah ini adalah tidak benar, tapi ia tidak boleh diselesaikan dalam sekelip mata dan keutamaan akan diberi kepada yang lebih memerlukan," katanya.

Pas letak calon bukan Islam untuk checkmate DAP

Posted: 15 Feb 2016 11:23 PM PST

Prof Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak


KUALA LUMPUR - Langkah Pas meletakkan calon bukan Islam dari Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak pada April ini dipercayai untuk membuat checkmate terhadap usaha DAP yang mula menurunkan calon Melayu sejak Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 lalu.

Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa, Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak berkata, percubaan kedua Pas itu dilihat sebagai satu peringatan kepada DAP bahawa parti Islam itu mampu mencabar musuh ketatnya walaupun bersendirian.

"Apabila DAP meletakkan calon-calon Melayu untuk berlawan dengan Pas ataupun Umno, ia akan memberi kesan kepada kedua-dua parti itu jika bertanding. Bila DAP meletakkan calon Melayu, Pas juga sebenarnya bersedia untuk meletakkan calon Cina.

"Kita lihat bahawa pertelagahan antara Pas dengan DAP ini masih belum selesai dan pilihan raya kali ini akan menjadi medan di mana masing-masing beradu kekuatan dan strategi iaitu untuk memastikan lawan mereka kalah atau menang," katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Sebelum ini, Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mengumumkan bahawa parti Islam itu akan bertanding di 11 kerusi Dun Sarawak dan mengetegahkan calon bukan Islam untuk bertanding dalam pilihan raya negeri itu.

Mengulas lanjut, Mohamed Mustafa juga berkata, strategi Pas itu dijangka memecahkan undi kepada pembangkang jika parti Islam itu meletakkan calonnya di kawasan luar bandar sekaligus memberi kelebihan kepada BN.

"Kalau Pas meletakkan calonnya di kawasan DAP, sudah pasti ia akan memberikan satu kelebihan kepada BN, sebab undi akan pecah di kalangan mereka yang mengundi pembangkang, kerana mungkin ada yang mengundi Pas.

"Kalau Pas bertanding, Pas akan mengambil undi pembangkang, undi yang biasanya diberikan kepada parti-parti pembangkang, kerana BN Sarawak sangat kuat, di mana mempunyai penyokong setia yang kuat," ujarnya.

Ditanya mengenai keberkesanan strategi Pas mengetengahkan calon bukan Islam, beliau bagaimanapun berkata ia bergantung kepada kawasan mana yang ditandingi Pas.

"Kalau benar Pas ingin bertanding di kawasan yang majoritinya Melayu, sudah tentu undi Cina itu akan pergi kepada DAP, kalau pergi pada dia pun tak semua, sebab Pas meletakkan calon bukan Melayu, bermakna pengundi ada pilihan.

"Peluang Pas tidak begitu tinggi di Sarawak, sebenarnya memang tipis, adakah motifnya meletakkan calon hanya untuk memecahkan undi dan siapa yang akan menerima kesan buruk dan siapa yang akan dapat faedah, itu kita tak tahu," katanya lagi.

Tiada ulasan: