Jumaat, 12 Februari 2016

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


MAT OH MAT, CERDIKLAH SIKIT MAT...

Posted: 12 Feb 2016 07:46 AM PST

shahbudindotcom

 

 
 
 
Baru sebentar tadi, Ahmad Maslan menulis di Twitternya memaklumkan bahawa beliau hari ini pergi ke menunaikan solat Jumaat di Masjid Wilayah Persekutuan adalah dengan berjalan kaki daripada pejabatnya di Menara Miti.

Sambil memuatnaik empat keping gambarnya sedang berjalan kaki itu, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu juga berkata, ia adalah suatu riadah yang baik untuknya.

Mat oh Mat, apa dah jadi ni Mat? Kenapa sampai begitu sekali mahu menonjolkan diri?

Walaupun menyebut berjalan kakinya pergi dan balik menunaikan solat itu adalah riadah yang baik, tetapi bukankah hal-hal berkaitan ibadah dengan Tuhan ini tidak perlu ditunjuk-tunjuk dan diberitahu kepada orang lain?

Berjalan kaki atau merangkak sekali pun, biarlah ianya hanya urusan antara kita dengan Tuhan. 

Kenapa perlu diheboh-hebohkan, kalau bukan untuk menunjuk-nunjuk? 

Lagi pula, tidakkah menunjuk-nunjuk boleh mengurangkan pahala?

Jika orang lain mengambil gambarnya dan kemudian memasukkannya dalam mana-mana laman atau rangkaian sosial, ia mungkin tidak menghairankan, namun kenapa sampai beliau sendiri memberitahunya kepada umum?

Tidakkah ini dilihat memang sengaja mahu menunjuk-nunjuk?

Dalam pada itu, bukankah beliau sekarang ialah Pengerusi Biro IT UMNO yang menjaga tentera-tentera siber yang beribu-ribu orang ramainya?

Mengapa tidak diminta seorang dua daripada mereka yang boleh mengambil gambarnya dan kemudian menghebahkannya kepada umum, jika pun beliau ingin sangat memberitahu kepada umum tentang kesanggupannya berjalan kaki ke masjid itu?

Kalau orang lain melakukannya, nampaklah ia "natural", walaupun mungkin ia juga memang dibuat secara sengaja dan dirancang.

Tetapi dengan secara sengaja, mungkin pegawainya sendiri mengambil beberapa keping gambarnya sedang berjalan kaki dan kemudian menghebahkan melalui Twitter miliknya, langsung tidak terlihat "kenaturalannya", bahkan sesiapa pun akan mengatakannya memang dirancang sejak awal lagi.

Cerdiklah sikit Mat,  takkanlah pointer 3.85 tak mampu berfikir lebih daripada itu?


Kerajaan ‘kacau’ SPRM antara punca persepsi rasuah negara merosot

Posted: 12 Feb 2016 05:50 AM PST

 
1MDB dan derma politik RM2.6 bilion ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri turut pengaruhi skor Malaysia dalam CPI 2015. 


akhbar-satar_1mdb_sprm_600


KUALA LUMPUR: 'Gangguan' kerajaan terhadap institusi dan agensi penguatkuasaan antara punca skor dan kedudukan negara merosot dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2015

Antaranya ialah penukaran Peguam Negara dan Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman dan pemindahan pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Selain itu, kontroversi berhubung hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan isu derma politik RM2.6 bilion ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri turut banyak mempengaruhi skor Malaysia dalam CPI 2015

Presiden Transparency International- Malaysia (TI-M), Datuk Akhbar Sattar, berkata, semua isu itu dinilai oleh badan penyelidik tempatan dan luar negara untuk merumuskan skor Malaysia dalam CPI 2015.

"Hasil tinjauan mendapati kontroversi terbabit sudah menjejaskan kredibiliti kerajaan dan mempengaruhi sentimen pelabur dalam membuat keputusan untuk melabur di negara ini.

"Perkembangan ini menjadikan kredibiliti kerajaan terjejas dan nama baik negara tercalar," katanya dalam wawancara eksklusif bersama FMT, di sini, hari ini.

Akhbar berkata, skor dan kedudukan Malaysia dalam CPI sangat mempengaruhi sentimen pelabur untuk membuat keputusan melabur di negara ini.

Ranking Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah 2015 menurun daripada tangga ke-50 pada tahun 2014 kepada tangga ke-54 pada 2015, manakala skor CPI juga menurun daripada 52 mata sebelumnya kepada 50

Rani Kulup jual kopi jenama ‘Kopidap’

Posted: 12 Feb 2016 05:47 AM PST

 
Kopi Kopidap itu disifatkan 'lebih special' berbanding kopi yang berada di pasaran.


ranikulup_kopi_600


PETALING JAYA: Aktivis selebriti, Abdul Rani Kulup Abdullah akan melancarkan minuman kopi jenamanya sendiri iaitu 'Kopidap'.

Presiden Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibbah (MJMM) yang lebih mesra dipanggil 'ayah' itu berkata, pelancaran kopi itu akan dibuat di sebuah restoran di Shah Alam pada minggu hadapan.

"Tarikh (pelancaran) kita akan beritahu. Kopi ini diusahakan bersama rakan-rakan ayah seramai tiga orang.

"Kita akan pasarkan secara besar-besaran di Malaysia, Singapura, Brunei dan Indonesia," katanya ketika dihubungi FMT, di sini, hari ini.

Beliau yang turut dikenali sebagai 'raja report' mendedahkan, kopi Kopidap itu adalah 'lebih special' berbanding kopi yang berada di pasaran.

"Kita 'special' sikit, nanti ayah bagi tahu minggu depan," katanya.

Naikkan denda pesalah trafik didik masyarakat?

Posted: 12 Feb 2016 05:44 AM PST

Sirajuddin Salleh

 


ULASAN Kenyataan ketua polis negara (KPN) dalam The Star pada 11 Februari 2016 yang mencadangkan kenaikan denda kesalahan trafik RM300 bagi mendidik pengguna jalan raya supaya tidak memecut amatlah di sokong.

Cadangan ini dibuat berikutan laporan operasi keselamatan jalan raya di musim perayaan tahun baru Cina baru baru ini tidak meninggalkan kesan yang diharapkan.

Sebenarnya, kegagalan mencapai matlamat ini juga berlaku di musim musim perayaan lain.

Saban tahun, laporan dikeluarkan kerajaan menunjukkan ribuan kes kemalangan, kemalangan maut, kecederaan dan kematian seolah-olah satu pencapaian negara atau suatu kemestian pula.

Kita seolah-olah berbangga memaparkan statistik yang menggerunkan tanpa noktahnya!

Berbanding dengan negara-negara lain,statistik kemalangan di negara kita adalah yang tertinggi di ASEAN, kalaupun tidak di dunia.

Berbagai-bagai alasan dan sebab musabab dijadikan punca atau penyumbang kepada kemalangan yang tinggi ini.

Tentunya banyak untuk dihitung. Tetapi walau apa pun puncanya, jika kenderaan berkenaan tidak laju, atau tidak dipecut, mampukah berlaku kematian, kecederaan parah dan kerosakan besar berlaku?

Bezakanlah kesan atau akibatnya nya jika dua kenderaan bertembung hanya dengan kelajuan 10km sejam dengan dua kenderaan bertembung selaju 180kmj.

Didik dengan hukuman 

Oleh itu, faktor yang paling utama dalam hal kemalangan jalan raya adalah kelajuan! Speed kills (kelajuan membunuh) dalam bahasa lnggeris.

Kita semua tahu, di jalan-jalan raya dan lebuh raya ada motor-motor besar dan kereta yang memecut lebih 200km sejam.

Tabiat ini mesti dihentikan segera dan orang ramai mesti dididik supaya tidak memecut melampaui had laju ditetapkan.

Salah satu cara mendidik adalah dengan menghukum mereka yang bersalah! Ini akan turut memberi pengajaran kepada pemandu pemandu lain.

Untuk itu, beberapa faktor mesti diambil kira.

Pertama,hukuman atau denda itu mestilah adil. Jangan tetapkan satu kadar denda untuk semua kelajuan melebihi had – one formula fits all.

Itu tidak adil namanya. Apakah sama kesalahan mencuri seribu ringgit dengan merompak berbilion ringgit?

Kita harus ingat bahwa majoriti pemandu mematuhi undang-undang. Sesekali mereka terlajak 10 atau 20km sejam melampaui had laju.

Oleh itu denda untuk mereka RM200 sudah memadai untuk menjadi peringatan supaya lebih berhati-hati di masa hadapan

Ada juga pemandu yang kaki laju hingga 30 atau 40km melebihi had laju. Dendalah mereka ini RM400. Naikkan denda ini RM 200 setiap 20km melebihi had laju.

Undang-undang bukan untuk ikan bilis 

Malah,denda pada kaki pecut dan pembuli jalanan biarlah melebihi RM1,000. Kesalahan mereka amat besar.

Minoriti inilah yang menjadi dalang sebenar di jalan dan lebuh raya. Hukumlah mereka sekeras mungkin agar jalan dan lebuh raya kita menjadi aman dan selamat.

Kedua, denda yang dikenakan hendaklah tegas tanpa kompromi. Jangan pilih bulu dalam menjatuhkan hukum. Undang-undang bukan untuk ikan bilis semata-mata.

Ketiga, tindakan hendaklah diambil di seluruh negara dengan satu standard yang sama. Semenanjung, Sabah dan Sarawak sama sahaja.

Keempat, hebahkan setiap suku tahunan bilangan denda mengikut kategori pesalah. Orang ramai akan gerun dan terdidik.

Kelima, permudahkan cara pembayaran denda seperti di mana-mana balai polis, pejabat pos atau pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Semua langkah menangani masalah pesalah trafik yang lain adalah untuk menyokong tindakan kawalan had laju ini.

Percayalah, jika kawalan had laju ini dibuat dengan berkesan, kadar kematian dan kecederaan akibat kemalangan jalan raya akan turun mendadak.

Kertas cadangan mengenai isu ini pernah dua kali di kemukakan kepada agensi-agensi berkenaan.

SIRAJUDDIN SALLEH pengerusi Biro Pendidikan PERKASA.


1,400 polis bertugas di perlawanan Piala Sumbangsih

Posted: 12 Feb 2016 05:41 AM PST

MALAYSIAKINI




Polis menempatkan 1,400 anggota untuk berkawal menjaga keselamatan sepanjang berlangsungnya perlawanan Piala Sumbangsih 2016 antara Johor Darul Ta'zim (JDT) dan pasukan Selangor di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam esok.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, ACP Sulaiman Salleh berkata lima kenderaan Unit Simpanan Persekutuan (FRU) turut disediakan di kawasan stadium bagi menangani sebarang kemungkinan.

Katanya, penyokong diminta mematuhi sepenuhnya arahan keselamatan termasuk tidak membawa sebarang bahan letupan, senjata tajam atau barangan yang boleh mencederakan, serta dilarang melakukan provokasi atau pertelingkahan yang boleh mencetuskan pergaduhan antara kedua-dua pihak.

"Orang ramai juga dilarang meminum minuman keras dan melakukan sebarang bentuk vandalisme seperti membakar tempat duduk penonton ketika atau selepas perlawanan.

"Mereka seharusnya menjaga tingkah laku, moral dan menunjukkan etika positif serta semangat kesukanan yang tinggi sepanjang berlangsungnya perlawanan," kata beliau dalam sidang media di Johor Bahru hari ini.

Tambahnya, polis tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas, sekiranya didapati mereka melanggar peraturan ditetapkan.

Perlawanan JDT menentang skuad Zainal Abidin Hassan itu, akan disiarkan secara langsung di saluran televisyen TV3 pada 9 malam, esok.- Bernama

Pemilik Vivekananda Ashram gagal batal keputusan Jabatan Warisan Negara

Posted: 12 Feb 2016 05:28 AM PST

MALAYSIAKINI




Syarikat Vivekananda Ashram Kuala Lumpur hari ini gagal membatalkan keputusan Jabatan Warisan Negara untuk mewartakan kawasan bangunan Vivekananda Ashram di Brickfields, yang berusia 110 tahun, sebagai tapak warisan.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Hanipah Farikullah membuat keputusan itu selepas membenarkan bantahan awal yang dikemukakan Jabatan Peguam Negara terhadap permohonan syarikat itu bagi mendapatkan kebenaran semakan kehakiman untuk mencabar keputusan itu.

Hanipah membuat keputusan itu dalam kamarnya dengan dihadiri peguam Datuk David Gurupatham, yang mewakili syarikat itu selaku pemohon.

Turut hadir dalam prosiding itu ialah Peguam Kanan Persekutuan Mazlifah Ayob yang bertindak bagi pihak Jabatan Warisan Negara, Pesuruhjaya Warisan Jabatan Warisan Negara Dr Zainah Ibrahim, Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia dan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia sebagai responden.

Mazlifah ketika ditemui pemberita berkata mahkamah turut menolak permohonan syarikat Vivekananda untuk mendapatkan kebenaran semakan kehakiman atas alasan permohonan itu adalah pramatang dan bersifat akademik.

Mahkamah juga tidak membuat sebarang perintah berhubung kos, katanya.

Mazlifah berkata permohonan itu pramatang berikutan tindakan syarikat Vivekananda memfailkan permohonan itu lebih awal sebelum proses rayuan kepada menteri pelancongan dan kebudayaan Malaysia selesai.

"Pemohon telah membuat rayuan kepada menteri pelancongan dan kebudayaan menerusi sepucuk surat bertarikh 7 Oktober 2015. Bagaimanapun, sebelum menteri berkenaan membuat keputusan berhubung rayuan itu, permohonan ini difailkan pada 13 Oktober 2015," katanya.

Menteri berkenaan kemudian menolak rayuan itu dan mengekalkan kawasan berkenaan sebagai tapak warisan.

Pada 13 Oktober tahun lepas, syarikat Vivekananda yang juga pemilik hartanah berkenaan, memfailkan permohonan itu bagi memohon satu perintah certiorari untuk membatalkan keputusan dan notis bertarikh 15 Julai 2015 jabatan berkenaan yang akan mewartakan kawasan bangunan Vivekananda Ashram, berkeluasan 43,558 kaki persegi (13,276.47 meter persegi) sebagai tapak warisan di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005.

Syarikat itu juga memohon satu deklarasi bahawa kawasan sekitar bangunan itu tidak didefinisikan sebagai warisan semula jadi atau warisan kebudayaan untuk diwartakan sebagai tapak warisan kebangsaan di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005, sebaliknya hanya bangunan Vivekananda Ashram diwartakan sebagai tapak warisan.

Pemohon juga memohon mahkamah mengeluarkan perintah mandamus supaya Jabatan Warisan Negara mempertimbang cadangan untuk mewartakan hanya bangunan Vivekananda Ashram sebagai tapak warisan dan membenarkan hartanah persekitarannya untuk dimajukan.

Syarikat itu turut memohon satu perintah certiorari untuk membatalkan perintah perlindungan interim jabatan berkenaan dan secara alternatif, jabatan itu membayar ganti rugi kepada syarikat itu kerana telah dilucutkan kegunaan hartanahnya.

Selain itu, syarikat berkenaan juga memohon perintah injuksi interim untuk menghalang jabatan berkenaan daripada mengambil sebarang tindakan terhadap syarikat dan tapak bangunan terbabit sehingga permohonan selesai.

Sehubungan itu, ia memohon gantirugi RM60,093,920 daripada Jabatan Warisan Negara sebagai pampasan kewangan kerana syarikat itu dinafikan hak asasinya untuk menggunakan hartanah berkenaan.
- Bernama


TPM lantik Haron Din ketua kluster dakwah MPI

Posted: 12 Feb 2016 05:21 AM PST

MALAYSIAKINI




Mursyidul Am PAS Datuk Haron Din antara ketua kluster yang dilantik Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Zahid Hamidi dalam Majlis Perundingan Islam (MPI) yang bermesyuarat semalam.

Haron dilantik sebagai ketua kluster dakwah yang akan membawa cadangan kepada MPI untuk disepakati bersama dan menyelaraskan perbincangan di masa depan.

Selain Haron, enam lagi dilantik mengetuai kluster-kluster lain. Lantikan-lantikan lain seperti berikut:
  • Tan Sri Muhamad Ali Hashim (ekonomi)
  • Tan Sri Prof Dr Kamal Hasan (pendidikan)
  • Datuk Asyraf Wajdi Dusuki (sosial)
  • Prof Datuk Sri Zaleha Kamarudin (undang-undang)
  • Datuk Dr Siddiq Fadzil (pemikiran Islam)
  • Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir (politik)
Menurut Asyraf Wajdi, timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri, anatra resolusi dicapai dalam pertemuan semalam ialah untuk menghimpunkan 87 anggota-anggota MPI pelbagai latar dan ideologi bawah tujuh kluster khusus.


Ini, katanya, bagi membolehkan perbincangan lebih tuntas dan telus dilakukan bagi mencari formula terbaik dan mencadangkan penyelesaian terhadap pelbagai isu umat Islam di Malaysia.

"Di samping itu TPM setuju bahawa MPI harus meraikan kepelbagaian pemikiran dan menghormati perbezaan," katanya.

Mufti Perlis Datuk Asri Zainul Abidin, Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) dan bekas pemimpin kanan PAS yang kini memimpin Pergerakan Kesederhanaan Global (GMM) Nasharuddin Md Isa dikatakan turut hadir dalam acara itu.

Asyraf Wajdi sebelum ini berkata pertemuan pemimpin-pemimpin politik, NGO Islam, ulama dan cendekiawan Islam itu bertujuan membincangkan perkara-perkara melibatkan kepentingan umat Islam.

Menurut Bernama, MPI dianggotai tokoh pelbagai latar belakang meliputi ahli agama, ahli akademik, tokoh korporat dan pemimpin NGO.

Ia berperanan sebagai kumpulan pemikir bagi membantu kerajaan dalam memberikan idea dan cadangan ke arah melaksanakan agenda pembangunan negara menurut landasan syarak.

PAS sebelum ini menyatakan kesediaannya bekerjasama dengan mana-mana pihak demi kepentingan Islam, termasuk Umno.
 
DR ASYRAF WAJDI DUSUKI
RESOLUSI MAJLIS PERUNDINGAN ISLAM (MPI) RAI "AUTHORITY OF IDEAS" BUKANNYA "IDEAS OF THE AUTHORITY".
Antara resolusi penting Majlis Perundingan Islam (MPI) yang dipengerusikan oleh TPM YAB Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tadi ialah untuk menghimpunkan ahli2 Majlis seramai 87 orang daripada pelbagai latar belakang, ideologi dan fikrah dibawah 7 kluster khusus bagi membolehkan perbincangan secara lebih tuntas dan telus dapat dilakukan bagi mencari formula terbaik mencadangakan pen...



GKCM sahut cabaran Ku Nan

Posted: 12 Feb 2016 05:14 AM PST

Shakira Buang  




Gerakan Ketua Cawangan Malaysia (GKCM) mengesahkan pihaknya kini dalam proses melobi supaya semua ketua Umno cawangan mengemukakan usul mendesak Datuk Seri Najib Razak berundur daripada jawatannya sekarang dan mengadakan pemilihan parti secepat mungkin.

Pengerusinya, Kamarulazman Habibur Rahman berkata langkah tersebut diambil bagi menyahut cabaran Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor supaya ahli akar umbi mengemukakan usul tersebut sekiranya hilang keyakinan terhadap Najib.

"Ya, itu (gerakan melobi cawangan seluruh negara membawa usul mendesak Najib berundur) dalam perancangan kami. Langkah tersebut juga dibuat untuk semua cawangan di seluruh negara menyatakan pendirian mereka.

"Ini kerana, Umno cawangan telah dicabar oleh setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan yang berkata, kalau tak yakin (pada presiden Umno) maka jalan yang paling baik adalah kemukakan usul," katanya (gambar) kepada Malaysiakini.

Mengulas lanjut Kamarulazman berkata beliau tahu usaha tersebut akan disekat di peringkat bahagian.

Walaupun begitu Kamarulazman yakin keinginan mereka dikongsi bersama oleh sebahagian ahli Umno.

Malah, Kamarulazman yang juga Ketua Cawangan Umno Taman TKK berkata ahli parti itu akan menggunakan kewarasan mereka untuk bertindak.

"Kami tahu usaha kami akan disekat oleh ketua bahagian di mana setiap ketua cawangan ini akan panggil bagi memastikan tidak ada gerakan sedemikian dilakukan.

"Kami pasti ahli ada kewarasan mereka sendiri untuk berbuat demikian dan pandangan mereka akan dibawa ke peringkat bahagian kerana hanya saluran itu sahaja yang kami ada," katanya.

Tegas Kamarulazman lagi beliau tidak pernah mengapi-apikan atau menghasut ahli di peringkat akar umbi supaya membuat usul terhadap Najib namun keinginan itu tetap muncul dari semasa ke semasa.

"Ada cadangan kemuka usul untuk presiden berundur tapi masalahnya ia tidak lepas ke peringkat bahagian.

"Kami akan pastikan usul ini dibawa ke bahagian," tegas Kamarulazman.

Najib ketika ini berada dalam situasi yang sangat mencabar selepas terpalit dengan pelbagai dakwaan salah laku sehingga wujud desakan dari dalam dan luar Umno untuk berundur.

Malah, usaha tersebut diteruskan dengan 13 cawangan Umno dalam bahagian Teluk Kemang, Negeri Sembilan menggesa supaya Najib meletakkan jawatan.

Kumpulan itu yang diketuai oleh Kamarulazman sendiri berkata, sebagai pemimpin akar umbi beliau tidak berniat untuk menghukum presiden parti berhubung isu yang melanda negara ketika ini.

Sebaliknya, pengunduran Najib perlu dilakukan bagi memastikan Umno tidak menjadi mangsa keadaan oleh pengundi pada pilihan raya umum akan datang.


Mengenang kekasih semua rakyat Malaysia

Posted: 12 Feb 2016 05:11 AM PST

1 


Mujahid Yusof Rawa


ULASAN Terdetik lirik lagu Alleycats: "Setahun sudah berlalu, Februari muncul kembali dengan kehangatan semalam."

Kalau Alleycats mengenangkan kekasihnya, saya terkenangkan kekasih semua rakyat Malaysia, tak lain tak bukan Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat (TGNA).

Dan seperti Alleycats menyambung liriknya "tanpa kusedari kupetik mawar merah, kutulis sebuah puisi", bagi saya, cukuplah pena untuk kutulis sebuah makalah pada hari ini 12 Februari, berkongsi saat bersama TGNA.

Pertemuan pertama saya ialah ketika TGNA berkunjung ke rumah sewa saya di Mesir pada awal pagi musim dingin 1991 semasa saya masih menuntut di Universiti al-Azhar, Kaherah.

Beliau hadir makan pagi di rumah saya ditemani anaknya Ustaz Nik Omar dan sekali gus mentahnik (belah mulut) anak sulung saya Nidhal Mujahid yang lahir di Mesir pada 3 November 1991.

Saya berasa amat teruja kerana anak sulung saya diberikan peluang didoakan oleh TGNA sempena sebulan anak ini berkenalan dengan dunia.

Bukan itu sahaja, saya terharu kerana walaupun saya 'budak mentah' pelajar tahun akhir di al-Azhar, seorang yang bertaraf menteri besar dan mursyidul Am PAS sudi menjejak kaki di rumah sewa kami pada awal pagi yang dingin.

Ini kemungkinan kesetiaan persahabatan TGNA dan ayahanda saya Haji Yusof Rawa, mursyidul am PAS yang pertama dan kedua mungkin persahabatan akrab saya dan anaknya Ustaz Nik Omar.

Apa pun ia saat indah disaksikan musim dingin Kaherah, tokoh besar mengunjungi pondok usang kami dan bersarapan ringkas seisi keluarga.

Saya berasa seperti anaknya dan TGNA melayan kami sekeluarga seperti anggota keluarganya.

Ayah saya seronok mendengar berita kunjungan TGNA di mana mereka berdua saling hormat menghormati antara satu sama lain dengan penuh ukhuwah.

Pemikiran kontroversi 

Detik saya sudah dewasa dalam perjuangan, pemikiran kontroversi saya sering menimbulkan perasaan tidak senang hati kelompok 'ulama' dalam PAS.

Dua buku saya Menuju PAS Baru dan Rejuvenasi PAS menggegarkan fahaman konservatif di kalangan sesetengah pemimpin PAS. Teori keluk ketiga saya yang mengandaikan satu pengorganisasian semula PAS yang lebih inklusif dan progresif dengan projek "menasionalkan PAS" untuk kekal relevan disanggah sebagai projek mencairkan prinsip "kepimpinan ulama" dan dasar Islam PAS.

Perdebatan hangat berterusan selama lima tahun sebelum kami disingkirkan telah pun mencipta satu kebangkitan dalam PAS.

Orang pertama yang mengambil berat isu ini ketika saya dituduh antiulama, liberal dan bermacam lagi label ialah TGNA.

Beliau menjemput saya ke pejabat Menteri Besar di Kota Darulnaim setelah saya membuat temu janji dengannya dan mempersembahkan buku saya Menuju PAS Baru kepadanya.

Jelas wajahnya persis seorang ayah yang walaupun hari itu beliau bercuti tidak sihat tetapi bersedia bertemu saya di pejabat.

Beliau mulakan dengan menyatakan betapa beliau sangat keletihan dan harapkan generasi muda seperti kami menyambung legasi politik Islam di Malaysia.

Saya seterusnya mempersembahkan buku saya sambil diminta oleh beliau memberi ringkasan intipati utama buku ini.

Saya memberi penjelasan buku setebal 200 lebih muka surat ini pada asasnya ialah mahu melihat PAS maju ke hadapan dan saya memetik ayat dalam salah satu hujah saya iaitu dari surah al-Qasas ayat 26.

Saya menjelaskan kepimpinan sebenar bukan atas keulamakan tetapi adalah al-qawwiy dan al-amin iaitu berkemampuan dan beramanah.

Beliau diam seketika sambil mengangguk-angguk mendengar ayat tersebut lalu merenung jauh. Terungkap di bibirnya kata-kata pelat Kelantan:

"Sungguh hok ustaz sebut tu, nak buat guano. Susoh puok kito nih. Dia nak hok ustaz jugak."

(Betul yang ustaz sebut itu, hendak buat macam mana. Payah orang kini ini. Dia hendak kalangan ustaz juga).

Tiba-tiba dengan tidak semena-mena dia menyebut nama Husam Musa, seolah-olah di Kelantan hanya satu saja sebab Husam ditolak sesetengah pihak kerana bukan seorang ulama atau tiada title ustaz.

Jelas TGNA menolak pandangan ini kerana TGNA bersetuju dengan konsep al-qawwiy dan al-amin adalah untuk kelayakan kepimpinan.

Dengan pertemuan itu, sebulan kemudian atas cadangan TGNA, dianjurkan forum saya dan Sdr Riduan Mohamad Nor penentang tegar idea saya di pejabat PAS Kelantan bagi mengupas buku kontroversi saya itu.

Pertemuan terakhir

Sebelum pertemuan terakhir saya dengan TGNA, saya sempat menziarahi beliau di rumahnya di Pulau Melaka untuk menyerahkan buku Berdialog Dengan Gereja kerana TGNA menulis dalam kata pengantar dalam buku tersebut.

Saya menunjukkan kepadanya gambar-gambar dalam buku tersebut yang merakamkan pertemuan bersejarah beliau dan Uskop Sebastian selaku Ketua Katolik Wilayah Utara di Pulau Pinang.

Saya dan Sdr Abdul Rahman Kasim yang menemukan mereka pada kemuncak isu "kalimah Allah" berlatarbelakangkan kepada inisiatif dialog yang saya dan rakan-rakan gerakkan sejak tahun 2009.

TGNA membelek gambar-gambar tersebut terserlah wajah kegembiraan kerana TGNA adalah pembela utama konsep kedamaian dalam hubungan antara agama serta konsep manusia dari keluarga yang sama dari anak cucu Nabi Adam.

Semasa berlangsung Persidangan Kesatuan Ahli Parlimen Negara Islam di Istanbul sedang berlangsung, saya yang antara mewakili Malaysia terpaksa minta izin kepada Tuan Speaker Parlimen Malaysia, Tan Sri Pandikar Amin Mulia untuk pulang awal kerana khabar berita TGNA yang sakit tenat.

Tan Sri amat memahami dan mengizinkan saya pulang awal menaiki pesawat pertama malam itu ke Kuala Lumpur dan kemudian terus bergegas ke Kota Bharu.

Esok paginya saya sudah berada di Hospital USM Kubang Kerian dan dapat bertemu dengan izin doktor yang merawat TGNA.

Doktor tersebut sebelumnya memberikan sedikit taklimat perkembangan TGNA. Pada awal pagi itu saya mengadap TGNA dan sempat mencium tangannya.

Dia memandang saya sayu sambil senyum seperti biasanya lalu bertanya khabar saya dalam nada suara yang lemah.

Saya berbisik menyampaikan salam Tan Sri Speaker dengan ucapan sempat sembuh begitu juga seorang peniaga berbangsa Turki di sebuah bazar di Istanbul yang meminta saya sampaikan salam kerana beliau amat menghormati TGNA.

TGNA mengangguk, air matanya kelihatan dari kelopak matanya sambil beliau menyebut begitu keletihan semenjak akhir ini.

Saya tidak mahu memanjangkan perbualan walaupun Allah mengetahui betapa kalau boleh tanpa bicara pun saya rela duduk di situ menatap wajahnya di saat akhir hidupnya.

Saya kucup dahinya dan mencium tangannya mengundurkan diri dengan penuh rasa sayu dan sedih seolah terdetik dalam hati saya, ini kemungkinan saat akhir saya bersamanya sebagai pemimpin saya, rakan karib ayahanda saya dan sebagai ayahanda saya juga.

Tanggal 12 Februari tahun yang lalu saya hanya sempat bersamanya dalam solat jenazah, terbaring kaku tubuh manusia kerdil yang berjiwa besar mengadap bertemu Penciptanya.

Itulah sebabnya kenapa beliau berjuang tanpa penat lelah kerana mahu mengadap Tuhan dalam keadaan sebaiknya.

Selesai coretan ini untuk ditatapi pada hari sedih 12 Februari setahun sudah berlalu. Tidak seperti lirik Alleycats:

"Tapi sayang pada siapa kan kuberi. Kuberikan saat-saat bermakna ini untuk tatapan semua."

Moga engkau di aman di sana wahai Tok Guru.


Ajaibnya Nik Aziz di mata Aziz

Posted: 12 Feb 2016 05:01 AM PST

Anne Muhammad

 


Tanpa berselindung pengarah tersohor Aziz M Osman mengakui beliau mengagumi bekas Mursyidul Am PAS allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan menganggapnya sebagai insan yang perlu dicontohi.

Pernah berjumpa secara peribadi dengan Nik Aziz beberapa kali, Aziz berkata perwatakan yang dibawa oleh bekas menteri besar itu menyebabkan beliau menjadikannya sebagai ikon.

"Secara peribadi saya mengagumi pembawakan hidupnya almarhum…

"Saya sempat berkunjung, melawat dan ke rumah dia, solat berjemaah Maghrib bersama, berbuka dan bertarawih dan di situ seperti apa yang saya dengar berita mengenai Nik Aziz, dia seorang yang lembut.

"Almarhum (orangnya) lembut. Ajaibnya apabila almarhum membaca (ayat al-Quran) semua senyap, hingga pin jatuh pun boleh dengar.

"Heningnya apabila almarhum imamkan solat," katanya ketika hadir di program wacana Mengenang Murobbi Ummah di Kuala Lumpur hari ini.

Kata Aziz, sebagai Muslim dia seperti orang lain mengagumi Rasulullah yang boleh dilihat sebagai "komander, ayah, suami dan pemimpin".

Contoh seperti itu, katanya, dapat dilihat pada perwatakan dan kewibawaan Nik Aziz sepanjang hayatnya.

"Kalau nak tunjuk contoh (akhlak dan kesederhanaan) Rasulullah susah (sebab baginda sudah wafat) tapi ia telah ditunjukkan oleh almarhum. Lihatlah rumah dia, dan cara dia," katanya.

Nik Aziz meninggal dunia pada 12 Februari tahun lalu di kediamannya di Kampung Pulau Melaka, Kelantan.

Beliau merupakan menteri besar Kelantan antara tempoh 1990 hingga 2013.

Siapa punya kerja ni?’

Posted: 12 Feb 2016 04:55 AM PST


'Siapa punya kerja ni?'
Objek seperti pocong dipercayai perbuatan budak nakal yang diletakkan di kawasan pembuangan sampah berdekatan kubur cina di Duyong, semalam.
 

MELAKA - Gara-gara ternampak lembaga putih seakan-akan pocong yang diletakkan di kawasan pembuangan sampah berdekatan Kubur Cina Duyong, di sini, seorang pemuda nyaris kemalangan dalam kejadian awal pagi semalam.

Norzaimy Zakariah, 32, yang menetap di Taman Desa Duyong berkata, dalam kejadian kira-kira 1.40 pagi itu, dia yang memandu kereta jenis Perodua Viva berseorangan dalam perjalanan menghala ke Bukit Duyong dan terserempak dengan lembaga putih yang diletakkan di sebatang pokok kawasan itu.

Disebabkan terkejut, katanya, dia nyaris kemalangan apabila hampir merempuh tong sampah yang berada di tepi jalan, sebelum dia keluar dari kereta dan melihat lebih dekat lembaga terbabit.

"Saya betul-betul terkejut sebab jalan ini memang selalu saya lalu. Tapi malam tadi (semalam) tiba-tiba ternampak benda putih.

"Mula-mula saya ternampak kain putih yang tergantung di pokok sebelum terlihat objek putih di sebatang pokok lain.

"Saya keluar kereta sebab nak pastikan betul atau tidak, tapi bila lihat secara dekat rupanya seperti lembaga yang realiti sebelum bergegas memberitahu rakan," katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.

Norzaimy berkata, dia yang tidak puas hati pergi semula ke tempat itu bersama rakannya namun apabila mendekati objek tersebut dia berasa tidak sedap hati sebelum beredar.

Menurutnya, disebabkan beberapa persoalan bermain di fikirannya, lebih kurang jam 8 pagi semalam, dia pergi semula ke lokasi itu dan mendapati objek yang disangkakan lembaga itu sebenarnya dua batang kayu yang diikat dengan baju Melayu berwarna putih.

"Ada seorang pakcik pekerja SWM yang membuka ikatan objek itu, Difahamkan petang sebelum kejadian, objek seperti hantu Cina turut diletakkan di situ.

"Mungkin ini perbuatan budak-budak nakal untuk menakutkan orang ramai. Jika dibiarkan, ia boleh mendatangkan masalah seperti kemalangan terutama mereka yang lemah semangat," katanya.

Aziz M Osman nafi sertai Pas

Posted: 12 Feb 2016 04:49 AM PST

 Aziz M Osman nafi telah menyertai Pas
Aziz (kiri) hadir di program Mengenang Murobbi Ummah, di Myharakah Bazaar, di sini, hari ini.


KUALA LUMPUR - Pengarah terkenal tanah air, Aziz M Osman hari ini menafikan dirinya menyertai Pas.
Menurut Aziz, meskipun beliau memandang tinggi perjuangan Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, tidak terfikir olehnya untuk menyertai parti itu kerana beliau tidak meminati bidang politik.

"Saya bukan ahli Pas. Saya tidak terlibat dengan dunia politik. Saya tidak tahu tentang politik dan saya tidak baca surat khabar (untuk tahu tentang politik).

"Saya hanya cuba menjadi seorang yang positif sejak saya balik daripada misi kemanusiaan di Syria," katanya ketika ditemui di program Mengenang Murobbi Ummah, di Myharakah Bazaar, di sini, hari ini.

Aziz yang segak mengenakan baju Melayu hitam hari ini mencuri perhatian petugas media, sekaligus menimbulkan persoalan tentang keberadaannya di pentas Pas.

Menjelaskan sebab sebenar beliau berada di pentas Pas hari ini, Aziz berkata, beliau berada di situ untuk menceritakan pengalaman peribadinya bersama Allahyarham.

Selain itu, beliau juga turut mengambil kesempatan menggunakan platform itu untuk menceritakan pengalamannya membantu mangsa-mangsa peperangan di Syria.


Polis gesa henti buat pelbagai spekulasi

Posted: 12 Feb 2016 04:46 AM PST

Pengusaha restoran nasi kandar maut ditembak
Lokasi kejadian tembak


GEORGETOWN - Orang ramai diminta supaya tidak membuat pelbagai spekulasi terhadap kes tembak melibatkan seorang pengusaha restoran nasi kandar dalam kejadian awal pagi kelmarin.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, orang ramai juga diminta tidak membuat spekulasi terutamanya di media sosial yang boleh menggusarkan masyarakat.

"Saya nasihatkan supaya semua pihak bertenang dan tidak membuat sebarang spekulasi terhadap kes ini.

Ada yang meninggalkan komen di laman Facebook dengan mengatakan kes ini melibatkan politik dan pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Saya minta agar berhenti dari membuat sebarang spekulasi, biar polis siasat dahulu.

"Kita masih belum mengetahui motif sebenar kejadian ini. Oleh demikian, orang ramai jangan membuat spekulasi sehingga menggusarkan masyarakat. Komen-komen negatif ini sama sekali tidak tepat dan tidak benar, oleh itu, berhentilah dari terus membuat andaian sendiri," katanya kepada media.

[ARTIKEL BERKAITAN: Pengusaha restoran nasi kandar maut ditembak]

Mior Faridalathrash berkata, sehingga kini, pihaknya belum membuat tangkapan dan kes masih disiasat.

"Kita masih mengkaji rakaman kamera litar tertutup (cctv) yang berdekatan dengan tempat kejadian.

Setakat ini, apa yang pasti, ia melibatkan dua lelaki yang menaiki motosikal dan yang melepaskan tembakan adalah pembonceng motosikal. Mereka berusia lingkungan lewat 20 an.

"Dari rakaman itu juga kita mendapati, penunggang motosikal berkulit  gelap manakala pemboncengnya berkulit cerah. Mereka dipercayai rakyat tempatan namun siasatan masih dijalankan. Dari rakaman cctv ini, kita percaya dan yakin kes ini boleh diselesaikan dalam tempoh terdekat," katanya.

Sementara itu, Mior Faridalathrash turut menafikan mangsa terlibat dengan pergaduhan keluarga dalam perniagaan restoran nasi kandar Line Clear.

"Mangsa tidak terlibat dengan pergaduhan keluarga dalam isu nasi kandar Line Clear. Memang benar, mangsa ada membuka restoran nasi kandar iaitu Nasi Kandar Beyond tetapi ia tidak ada kena mengena dengan isu Line Clear.

"Mangsa hanya mempunyai perhubungan keluarga dengan pengusaha Line Clear namun dia tidak terlibat dengan masalah perniagaan itu," katanya.

Dalam kejadian awal pagi Khamis lalu, seorang pengusaha restoran nasi kandar maut selepas ditembak dari jarak dekat dalam satu kejadian di Jalan Datuk Keramat di sini.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 pagi itu, mangsa Syed Amen Jainul Abdin mati ditempat kejadian selepas terkena lima das tembakan di bahagian kepala, badan dan tangan.

November lalu, tindakan mangsa meluahkan kekecewaan terhadap pegawai JPJ di bangunan JPJ Cawangan Batu Uban berhubung isu sita kereta viral di media sosial.


Mara akan jelaskan bayaran penajaan pelajar

Posted: 12 Feb 2016 04:38 AM PST

 Annuar Musa


IPOH - Majlis Amanah Rakyat (Mara) akan menjelaskan bayaran penajaan bernilai RM264 juta kepada lebih 11,000 pelajarnya yang mengikuti pengajian di Institusi Pendidikan Mara (Ipma)  pada penghujung Februari ini.

Pengerusinya, Tan Sri Annuar Musa berkata, kelewatan pembayaran itu disebabkan Mara perlu melakukan pelarasan terhadap pelbagai perkara termasuk urusan tajaan pelajar sedia ada.

"Pembayaran tersebut tertakluk kepada pelajar yang mengikuti pengajian di Ipma bagi sesi pengambilan Julai/September 2015.

"Sementara bagi pelajar sesi Januari 2016, keputusan rasmi berkaitan penajaan akan diketahui pada penghujung Mac depan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam Program Ramah Mesra Bersama Warga Mara Perak, Universiti Kuala Lumpur Royal College of Medicine Perak (UniKL RCMP) Kampus Tasek, di sini, hari ini.

Menurutnya, pelajar Ipma bagi sesi Julai/September 2015 dan Januari 2016 itu ditaja berdasarkan syarat yang telah ditetapkan dibawah Status Ekonomi Sosial (SES).

"Bagi pelajar dari keluarga berpendapatan melebihi RM8,000 sebulan dan ke bawah layak dipertimbangkan untuk terima penajaan penuh meliputi yuran dan elaun sara hidup (ESH).

"Manakala, bagi pelajar dari keluarga berpendapatan melebihi RM8,001 hingga RM15,000 sebulan  pula layak dipertimbangkan untuk mendapat sebahagian penajaan sama ada yuran pengajian atau ESH," katanya.

Beliau berkata, Mara turut menafikan dakwaan sesetengah pihak yang menyatakan bahawa agensi tersebut telah menghentikan tajaan terhadap pelajarnya disebabkan kegawatan ekonomi.

"Untuk pengetahuan semua, Mara pada ketika ini sedang menaja lebih 75,000 pelajar yang mengikuti pengajian dalam dan luar negara meliputi program persediaan seperti Diploma, Ijazah Sarjana Muda, Profesional, Sarjana serta Doktor Falsafah (PhD)," katanya. 

Katanya, kerajaan juga prihatin dan sentiasa membantu Mara dalam menyelesaikan pelbagai perkara terutama membabitkan bayaran penajaan.

"Pada tahun lepas, kita terima daripada kerajaan sebanyak RM2.12 bilion bagi menguruskan penajaan ini dan jumlah berkenaan tidak pernah dikurangkan malahan meningkat setiap tahun," katanya.


Dr Vida pernah jadi cikgu sebelum mula berniaga

Posted: 11 Feb 2016 08:53 PM PST

SINAR HARIAN


Dr Vida
Ketua Pegawai Eksekutif Vida Beauty Sdn Bhd, Datuk Seri Dr Hasmiza Othman atau lebih dikenali sebagai Datuk Vida viral kerana menjadi penaja Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa). - Foto BERNAMA
 

UMUM mungkin telah mengenali siapa Datuk Seri Dr Vida, pengasas produk kecantikan Vida Beauty Sdn Bhd dan produk kesihatan berjenama Pamoga.

Apa tidaknya, penampilan yang ditonjolkan lain daripada yang lain, pakaian sedondon sentiasa dilengkapi dengan barang kemas bergemerlapan termasuk mahkota di kepala.

'Trademark' 'Qu Puteh Qu Puteh, Barulah Putih' dengan dua jari berbentuk 'V' di pipi sambil memuncungkan bibir memastikan Dr Vida atau nama sebenarnya Hasmiza Othman dikenali ramai dan diingati.

Tambahan pula, kebelakangan ini, anak kelahiran Machang, Kelantan itu sering menaja pelbagai program berbentuk hiburan di kaca televisyen yang pada setiap kali iklan, beliau sendiri akan muncul mempromosi produknya dengan cara tersendiri.

Penulis baru-baru ini berkesempatan bertemu dengannya untuk mengenali wanita berusia 44 tahun itu dari lebih dekat dan pertemuan itu sedikit sebanyak menonjolkan lagi watak sebenarnya.

Siapa Datuk Seri Vida

Mungkin ramai yang ingin tahu dari mana datangnya nama Vida sedangkan namanya sebenarnya adalah Hasmiza.

Ketika soalan itu diajukan, sambil ketawa beliau menjelaskan dulu rakannya sering memanggil Miza dan ada yang memangil Ida, namun beliau mengkomersialkan nama itu kepada Vida kerana menganggap huruf 'V' mempunyai nilai yang tinggi.

Diminta menceritakan latar belakangnya dan bagaimana beliau berjaya bergelar 'multi-milionaire' hari ini, dalam dialek pekat Kelantan, Hazmiza berkata; "Saya sudah merasa jerih perih, kegagalan demi kegagalan dalam perniagaan, perit disabotaj dan dianiaya malahan turut difitnah."

Beliau juga pernah menghadapi cabaran paling getir apabila kehilangan dua daripada empat anak tersayang dalam kebakaran rumah tiga tahun lepas. Namun, enggan dirinya tewas di tengah jalan. Hasmiza tanpa putus asa, bangkit menempuh cabaran sehingga berjaya seperti hari ini.

Sejauhmana kejayaan Hasmiza, mungkin ramai yang sudah melihat sendiri kediaman mewahnya yang bernilai RM22 juta di Ipoh, Perak, memiliki 22 rumah mewah yang ada diantaranya dihuni pekerjanya.

Malah beliau turut memiliki belasan kereta mewah, tidak terkecuali barangan kemas yang sentiasa menghiasi dirinya.

"Saya pernah merasakan semuanya, kegagalan, kehilangan, apa yang berlaku menguatkan semangat saya untuk berjaya di dunia dan akhirat. Jika saya tidak kuatkan semangat, saya tidak akan mengecapi kejayaan seperti hari ini.

Bermula dari bawah

Menceritakan dari awal kisah dirinya, kehidupan Hasmiza senang semasa kecil tetapi berubah tiba-tiba apabila ayah yang memiliki kilang papan meninggal dunia. Ibunya terpaksa menoreh getah untuk menyara beliau tiga beradik.

Untuk menampung belanja persekolahan, beliau mula meniaga secara kecil-kecilan dengan menjual kacang putih dan nasi bungkus kepada rakan di sekolah.

Ketika menyambung pengajian dalam jurusan Sarjana Muda Pendidikan (Kesusasteran Melayu dan Sejarah) di Universiti Sains Malaysia Pulau Pinang, Hasmiza turut berniaga produk dari Kelantan seperti kain batik, telekung, sambal daging dan keropok yang dijualnya kepada rakan-rakan dan pensyarah.  

"Apa yang saya tak buat, semasa belajar saya berniaga dan bekerja kilang, kerja restoran makanan segera (KFC)," katanya yang tidak menghirau penat dan lelah.

Selepas habis belajar, saya ditugaskan mengajar di sekolah SJK (C) Poi Lam di Ipoh.

Walaupun sudah ada pendapatan bulanan tetap sebagai guru, minat untuk berniaga tidak pernah terpadam. Justeru, beliau mengambil keputusan mendalami bidang kecantikan iaitu dandanan rambut dan solekan.  

Kelahiran Vida Beauty

Setelah ilmu dandanan dan solekan terisi dalam dada, beliau memberanikan diri membuat pinjaman bank sebanyak RM100,000 untuk membuka salun kecantikan.

"Dengan gaji cikgu RM3,000 pada masa tu, saya terpaksa membayar balik pinjaman bank sebanyak RM2,000, duit yang tinggal RM1,000 itu yang saya gunakan untuk bayar rumah dan kereta dan untuk makan. Itu antara masa-masa sukar yang terpaksa saya tempuhi," katanya.

Mungkin masih cetek pengalaman, Hasmiza terpaksa berdepan halangan pertama apabila semua wang pinjaman sebanyak RM100,000 itu digunakan untuk kerja-kerja ubahsuai kedai.

"Semua RM100,000 habis digunakan untuk mengubahsuai kedai untuk dijadikan salun kecantikan. Tiada langsung wang untuk modal pusingan, untuk beli barangan berniaga, lucukan, kedai sudah cantik, tapi tiada barang untuk dijual.

Jadi, saya terpaksa cari duit lagi dengan meniaga di pasar malam, meniaga makanan, telekung semua saya jual untuk dapat modal bagi membuka salun kecantikan."

Hasmiza nekad berhenti kerja setelah 12 tahun bergelar guru dan segera mendaftar sebagai tenaga pengajar di Majlis Latihan Vokasional Kebangsaan (MLVK) dengan mengajar kursus dandanan rambut dan solekan di pusat berkenaan.

Untuk meningkatkan kemahiran pelajar-pelajarnya, Hasmiza berpendapat mereka perlu diberi cabaran.

"Dalam kelas saya mereka ini potong rambut sesama sendiri, cuci muka sesama sendiri, pada saya ia tidak mencabar maka saya beri mereka cabaran. Saya beli kerusi RM15 sebiji dan bawa pelajar-pelajar ini ke pasar raya untuk beri khidmat cuci muka secara percuma kepada orang ramai.

"Alhamdulillah ia mendapat sambutan, kemudian saya belikan kerusi panjang, untuk beri peluang lebih ramai pelajar saya mempraktikkan ilmu yang dipelajari.

"Selepas itu mereka mahukan produk untuk mencuci muka...maka dari situlah saya lahirkan kosmetik saya, Vida Beauty," katanya.

Kehabisan modal

Jelas Hasmiza, beliau memperolehi geran kerajaan sebanyak RM1 juta sebagai modal untuk memulakan perniagaan kosmetiknya. Separuh daripada wang berkenaan digunakan untuk melakukan kajian dan penyelidikan (R&D) produk.

Beliau juga ke beberapa negara untuk mencari bahan terbaik bagi menghasilkan kosmetiknya.

Manakala separuh lagi digunakan untuk mengiklankan produknya dalam sebuah majalah tempatan dengan kos RM100,000 dan mengiklan produk Vida Beauty menerusi radio swasta dan televisyen dengan kos RM400,000 namun wang itu seolah-olah hilang sekelip mata tanpa menampakkan hasil.

"Kegagalan pengiklanan yang menyebabkan saya rugi besar dan saya sangat-sangat tertekan dan disahkan mengalami tekanan darah tinggi. Namun apa yang berlaku sebenarnya ada hikmahnya. Sebagai seorang yang suka bereksperimen, saya cuba mengubati darah tinggi saya itu dengan mencipta formula sendiri.

"Saya cuba gunakan gamat yang sifatnya menyejukkan dan menggunakan khasiat buah delima sebagai bahan anti-oksidan dan daripada situ lahirlah pula produk kesihatan, Pamoga.

Alhamdulillah, ia berjaya mengurangkan tekanan darah tinggi saya. Bagaimanapun kegagalan daripada aspek pengiklanan menyebabkan jualan tidak berganjak dan dalam tempoh setahun hanya kira-kira 500 botol Pamoga sahaja yang terjual.

Nyaris tutup kedai

Serik untuk mengiklan lagi, Hasmiza akhirnya memutuskan untuk menutup perniagaan. Namun, sebagai cubaan kali terakhir beliau mencabar diri untuk melakukan sendiri iklan produk jualannya di radio RTM Kelantan FM.  

Selama dua hari berturut-turut beliau bercakap sendiri di radio mempromosi produk terutamanya Pamoga dengan durasi 15 minit untuk satu sesi.

Pada hari ketiga ketika beliau benar-benar nekad untuk menutup kedai di sebuah pasar raya di Kota Baharu, dilihatnya ramai yang berkerumun di hadapan kedainya itu.

"Saya ingat ada yang pengsan, tapi alangkah terkejutnya saya apabila rupa-rupanya mereka yang berkumpul ramai-ramai di depan kedai saya tu nak beli Pamoga. Itulah yang berlaku enam tahun lepas.

Dari situ jualan semakin meningkat, dengan iklan gaya testimoni pengguna yang berkesan, produk ini semakin mendapat sambutan hingga melonjak jualan mencapai 100,000 botol sebulan.

Itu baru Pamoga, saya ada lebih 100 produk," katanya.

Hasil jualan kesemua produknya mula mencapai lapan angka sebulan selepas hampir 10 tahun beliau berniaga.

"Sebab itu saya sangat berhati-hati dalam bab iklan. Dalam masa yang sama saya mula melabur dalam drama dan filem tempatan dan beberapa bisnes sampingan yang lain. Mula menaja beberapa program di televisyen dan terbaru, menaja pasukan bola sepak Kelantan sebanyak RM16 juta, dengan syarat, stadium Kelantan dicat warna pink (merah jambu)," katanya sambil tertawa.

Gagal dalam iklan buat Dr Vida kreatif

Menurutnya, beliau sangat cerewet soal iklan memandangkan telah beberapa kali mengalami kegagalan.

"Jika diikutkan, saya telah rugi jutaan Ringgit daripada pengiklanan yang tidak  berkesan. Sebab itu saya buat sendiri iklan... Saya sendiri bertindak menjadi model untuk produk saya, saya sendiri yang akan cakap mengenai produk saya. Daripada situ saya perlu kreatif mencipta tagline sendiri, penampilan 'bling-bling', kalau tak bing-bling, tak sah. Itu semua untuk 'jual' produk saya.

"Itu semua agar orang akan ingat siapa Vida dan produk syarikat saya, Vida Beauty Sdn Bhd. Sangat kontra dengan siapa saya sebenarnya di rumah. Saya sebenarnya seorang yang berpenampilan sederhana.

Kalau tiada urusan perniagaan, saya tak mekap, kalau di rumah saya hanya memilih baju kaftan.

"Daripada segi pemasaran pula, saya banyak belajar daripada kegagalan. Itulah 'resepi rahsia' perniagaan saya," katanya.

Cabaran  

Semakin rancak bercerita, beliau berkata dalam tempoh itu juga bukan sedikit cabaran yang terpaksa dihadapinya termasuk masalah saingan produk tiruan, unsur sabotaj dan berhadapan fitnah.

Terbaru, salah satu daripada produknya iaitu Qu Puteh Whitening Pro 9 diarah ditarik balik daripada pasaran kerana dikatakan mengandungi paras tinggi merkuri (raksa).

Hasmiza berkata beliau akur dengan arahan Kementerian Kesihatan itu dan berkata pengguna yang telah membelinya boleh memulangkannya.

Selain itu beliau sedar akan komen-komen negatif yang diterima namun ia tidak mematahkan semangat untuk meneruskan dengan perniagaanya.

"Saya tahu ramai yang mencemuh terutama dengan penampilan saya, tapi biarlah, saya dah kebal. Mereka tak faham saya...saya ada hala tuju sendiri.. kalau saya ikut kata-kata mereka, tak ke manalah saya," katanya.

Jelasnya, beliau menjadikan anak-anak sumber inspirasi dan sebagai seorang yang terpaksa bekerja keras sejak dari kecil beliau tidak mahu anak-anak turut merasai kesusahan yang pernah ditempuhinya.

"Saya berasal dari keluarga susah, saya pernah rasa susah... jadi saya tak mahu anak-anak rasa seperti apa yang saya rasa. Merekalah inspirasi saya, sumber kekuatan saya. Saya juga mengajar mereka berniaga dari kecil... nampaknya kedua-duanya memang ada minat berniaga," katanya.

Untuk tahun ini, kalendar perniagaannya semakin padat dengan memfokuskan beberapa perniagaan baharu, termasuk air mineral dan minuman isotonik selain memperkukuhkan jenama DSV (Datuk Seri Vida). Beliau juga merancang untuk meluaskan pemasaran produknya ke beberapa negara luar.

================================================================================
Tips perniagaan

Sebelum mengakhiri temubual lebih sejam itu dengan penulis, beliau turut diminta memberikan tips kepada mereka yang ingin menceburi bidang perniagaan terutama bagi yang tidak mempunyai modal.

"Ya, selalunya mereka ni terfikir-fikir soal modal, cukup ke modal nak buat itu, nak buat ini...nak tunggu modal besar jatuh dari langit? Jangan, nak berniaga, buat saja dulu tak payah tunggu ada modal besar.

"Kalau ada RM10 buat meniaga cara RM10. Kalau ada RM100 buat bisnes yang sesuai dengan modal RM100. Contohnya jika ada RM10, apa perniagaan yang boleh dibuat. Jualah air ke, keropok lekor ke, kalau ada RM100, berniagalah barangan yang sesuai dengan modal RM100," katanya.

Satu lagi, tambahnya, kebanyakan peniaga yang sudah mengecapi keuntungan akan mudah tergoda untuk berbelanja.

"Bila yang dah dapat duit itu ramai yang lupa, nak beli itu, nak beli ini, buat rumah beli kereta. Pada saya itu salah, saya sendiri hanya menikmati hasil usaha saya hanya enam tahun kebelakangan ini selepas saya bertungkus-lumus 16 tahun.

"Sebelum ini saya beli beg tangan pun setahun satu, saya dah ada duit tapi saya menahan diri daripada berbelanja. Dulu ada yang kata saya 'cap ayam' atau imej saya kekampungan sebab tak pakai barangan berjenama... tapi saya bersabar.

Memang ia sangat memerlukan ketahanan daripada segi psikologi untuk tidak berbelanja sedangkan kita tahu kita ada wang, tapi saya tahu saya ada kekuatan wang tunai dan saya tak ada hutang," katanya.

Satu lagi petua daripada Hasmiza, sebagai orang Islam, perbanyakkan bersedekah kerana bila bersedekah rezeki yang diperolehi berkat selain selalu berdoa yang merupakan 'senjata' kejayaan bagi ummah. - Bernama


Arwah pergi dahulu sebelum tahu saya mengandung'

Posted: 11 Feb 2016 08:47 PM PST


'Arwah pergi dahulu sebelum tahu saya mengandung'
Anis Naziha
 
 
SHAH ALAM - "Menghadapi kehilangan orang yang rapat dengan kita bukanlah mudah," demikian luah balu wartawan pemotoran Sinar Harian, Allahyarham Nik Norul Hidayat Nik Mustafa‎ yang maut dalam kemalangan 9 Julai lalu.
 
Diselangi airmata, Anis Naziha Abdul Rauf berkata, meskipun perjalanan hidupnya tidak lagi seperti dahulu, dia harus terus kuat mengharungi hari mendatang lebih-lebih lagi dia kini sarat mengandungkan anak tunggal pasangan itu.
 
‎"Nik pergi dalam keadaan tidak tahu saya mengandung, saya sendiri pun tidak sedar yang saya mengandung sehinggalah rakan menasihati saya untuk lakukan pemeriksaan (selepas pemergian suami)

"Meskipun perit untuk menghadapi takdir, saya perlu kuat dan terus tabah untuk mengharungi hidup bersama anak yang bakal lahir pada bulan hadapan," katanya ketika berkongsi kisahnya selepas menerima sumbangan Kumpulan Media Karangkraf kepada keluarganya, di sini, hari ini.
 
Allahyarham Nik Norul Hidayat Nik Mustafa yang lebih mesra dipanggil Nik meninggal dunia jam 6.41 pagi di Hospital Putrajaya, setelah terbabit dalam kemalangan di Kilometer 19.6 Lebuhraya Elite.

Mengakui sedar tentang perubahan tingkah laku Allahyarham beberapa ketika sebelum meninggal dunia, Anis berkata, dia tidak pernah menyangka ia merupakan petanda Allahyarham akan pergi meninggalkannya buat selama-lamanya.
 
"Pada kebiasaannya, sebelum arwah ke tempat kerja, saya akan selalu berpesan kepadanya supaya dia berhati-hati. Saya tidak pernah terlupa berpesan tentang hal yang sama. 
 
"Dan ditakdirkan ALLAH, pada hari itu (hari kemalangan) saya terlupa beri pesanan itu kepadanya," luah Anis yang tidak dapat menyembunyikan dukanya.
 
Menurut wanita berusia 32 tahun ini juga, dia juga pernah bermimpi tentang kemalangan menimpa Allahyarham sebelum tragedi itu berlaku.
 
"Lima hari sebelum kejadian, saya ada bermimpi bahawa arwah meninggal akibat kemalangan dan terlalu ramai orang yang datang untuk melakukan solat jenazah ke atasnya.
 
"Pada masa itu saya anggap mimpi itu hanya mimpi biasa," ujarnya lagi.
 
Anis turut terkilan kerana suaminya tidak sempat menjamah nasi beriani kambing yang dibelinya untuk berbuka puasa bersama pada Ramadan lalu.
 
"Dia minta saya belikan nasi beriani kambing untuk berbuka puasa sekali…tapi dia tidak sempat makan," katanya yang tidak dapat menahan sebak.
 
Al Fatihah
 
 

Aura Tok Guru Nik Aziz tiada tandingan

Posted: 11 Feb 2016 08:45 PM PST

Aura Tok Guru Nik Aziz tiada tandingan
 

"HARI ini genap setahun pemergian ayah, rindu itu sangat tebal. Sama juga dengan adik-beradik yang lain. Hampir setiap hari saya melalui tanah kubur ayah, sedekahkan al-Fatihah.

"Ayah sentiasa dekat dengan saya. Jarak kubur ayah dengan rumah saya tidak jauh. Setiap hari mesti ada salam dan doa dari saya untuk ayah."

Demikian luahan Nik Amalina, anak kesembilan Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, ketika menerima kunjungan Sinar Harian di kediamannya di Pulau Melaka, baru-baru ini.

"Kerinduan itu tidak pernah hilang. Tapi kami tidak tunjuk kerinduan itu hingga buat mak sedih. Kami jaga mak dengan baik. Kami tahu mak sunyi dan kerinduan mak lebih daripada kami," katanya.

Menurutnya, mereka juga sentiasa berbincang adik-beradik untuk saling mengambil berat dan menjaga segala keperluan emak.

Beliau, kakak atau abangnya akan menemani emak ke mana sahaja beliau pergi.

"Bila mak beritahu kami nak ke mana-mana, secara automatiknya salah seorang daripada adik-beradik akan menemani mak secara bergilir-gilir mengikut tempat dan majlis yang akan mak hadiri," katanya.

Pemain muda lebih nampak duit, bukan pertahan maruah negara

Posted: 11 Feb 2016 08:44 PM PST


Pemain muda lebih nampak duit, bukan pertahan maruah negara
 

MAIN bola sepak kerana duit bukan demi mempertahankan maruah negara itulah perspektif lagenda bola sepak kebangsaan, Datuk Santokh Singh terhadap penampilan pemain hari ini.

Bekas pemain pertahanan skuad kebangsaan era 80an itu berkata, beliau tidak percaya kepada pemain pelapis yang membarisi pasukan bola sepak sedia ada.

"Saya tidak pernah pergi ke stadium untuk tengok bola kerana saya tak percaya kepada pemain-pemain muda sekarang.

"Terus terang saya katakan mereka bukan main untuk maruah atau untuk negara tetapi mereka main semata-mata untuk duit. Oleh sebab itu, saya tidak berapa suka dengan situasi ini," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di Kuala Lumpur, semalam.

Bekas pemain Selangor ini turut menasihatkan pemain muda sekarang harus betulkan niat turun ke padang iaitu demi negeri atau negara dan membawa pulang kemenangan.

Bagaimanapun, Santokh tidak menafikan pemain pelapis kini mempunyai kualiti tetapi disiplin harus diperbaiki untuk mara dan mencipta nama di peringkat antarabangsa.

"Kualiti pemain memang ada tapi mereka tidak tahu menggunakan kualiti (mereka) itu saja.

"Sebenarnya mereka ada masa depan untuk ke peringkat antarabangsa namun disiplin mesti dibaiki jika ingin maju," katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Bekas Pemain Bola Sepak Kuala Lumpur, Mohd Irwan Rizal mengulas berkenaan campur tangan politik dalam arena bola sepak negara yang dilihat menjadi punca kerencaman dalam sukan kegemaran rakyat Malaysia ini.

"Jangan main politik dalam bola sepak, tak salah orang politik sokong sukan ini tapi bukan orang politik jadi pengurus, tentukan kesebelasan utama itu yang jadi masalah.

"Sebaiknya pasukan bola sepak dikendalikan pakar dalam bidang ini serta mempunyai minat terhadap bola sepak untuk menjadi peneraju," katanya.

Reaksi senada turut dizahirkan lagenda bola sepak negara, Khalid Ali yang mahu pasukan kebangsaan segera menurunkan ranking negara ke tahap selesa.

"Banyakkan program pemantapan pemain harap ranking Malaysia turun  dalam tempoh tiga, empat tahun ini," katanya

Lokomotif Ekspres Rakyat 2 terbakar dekat Kamunting

Posted: 11 Feb 2016 08:37 PM PST

MALAYSIAKINI




Semua penumpang dan petugas tren Ekspres Rakyat 2, yang lokomotifnya terbakar semasa dalam perjalanan dari Johor Bahru ke Butterworth, Pulau Pinang berada dalam keadaan selamat.

Lokomotif yang membawa sembilan gerabak itu terbakar di Kampung Kuala Tanjung, dekat Kamunting kira-kira 80 kilometer dari Ipoh.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kamunting, Mohd Taufik Abd Sattar mengesahkan perkara itu berdasarkan pemeriksaan ke atas lebih 300 penumpang serta pegawai Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) di atas tren berkenaan.

Menurut Mohd Taufik pihaknya menerima panggilan mengenai kebakaran itu kira-kira pukul 8.43 malam sebelum sepasukan enam anggota bergegas ke lokasi kejadian yang turut dibantu oleh Balai Bomba dan Penyelamat Taiping.

"Semasa jentera tiba, kepala keretapi (lokomotif) itu telah 30 peratus terbakar dan kebakaran berjaya dikawal kurang daripada 30 minit, tapi semua penumpang selamat," katanya ketika dihubungi Bernama di sini malam ini.

Sementara itu, Pengurus Kanan Pemasaran KTMB Mohd Noordin Kimi ketika dihubungi berkata semasa kejadian terdapat lima petugas syarikat termasuk dua pemandu di dalam tren itu.

Beliau berkata kecekapan dan kepantasan petugas KTMB yang memisahkan segera gerabak dengan lokomotif yang terbakar sekali gus mengelak daripada berlakunya perkara tidak diingini.

"Sebaik mereka sedar ada kebakaran pada bahagian lokomotif, pemandu terus berhenti dan pisahkan dengan gerabak untuk mengelak api daripada terus merebak," katanya.

Menurut Mohd Noordin semua penumpang akan meneruskan perjalanan ke Butterworth menggunakan tren yang sama selepas lokomotif gantian tiba dari mana-mana stesen di utara.

Selasa lepas, sebuah lokomotif tren Ekspres Rakyat terbakar kira-kira satu kilometer dari stesen KTMB Sungai Gadut, dekat Seremban ekoran kerosakan enjin.

Dalam kejadian 2.35 petang itu, seramai 310 penumpang dan pemandu kereta api yang dalam perjalanan dari Johor Baharu ke Pulau Pinang, selamat.- Bernama


38 motosikal musnah terbakar

Posted: 11 Feb 2016 08:26 PM PST

ANTARAPOS.COM


Post Pic

 
GEORGETOWN: Sebanyak 38 motosikal yang diletakkan di tingkat bawah sebuah blok rumah pangsa di Taman Jelutong, di sini, musnah terbakar, pagi tadi. 
 
Kejadian kira-kira jam 6 pagi itu turut mengakibatkan sebuah bilik stor dan tiga kenderaan jenis Proton Saga, Toyota Camry dan Toyota Harrier rosak teruk. 
 
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.22 pagi sebelum dua jentera bersama 14 anggota tiba di lokasi dalam tempoh tiga minit. 
 
"Sebaik tiba, bomba mendapati sebahagian motosikal di tingkat bawah blok rumah pangsa berkenaan sedang terbakar dan kami mengambil masa kira-kira 20 minit untuk mengawal api daripada merebak ke seluruh kawasan berkenaan. Kebakaran kebakaran berjaya dipadamkan pada jam 6.50 pagi," katanya. 
 
Ketika ini, pegawai forensik bomba sedang melakukan pemeriksaan bagi mengenal pasti punca kejadian.
 
 

Polis rampas dadah, tahan tiga lelaki disyaki pengedar di pedalaman S'wak

Posted: 11 Feb 2016 08:24 PM PST

ANTARAPOS.COM


Post Pic

KUCHING: Polis menahan dua lelaki warga Indonesia dan seorang lelaki tempatan daripada etnik Kenyah yang disyaki pengedar dadah, selepas memeriksa sebuah kereta dalam rondaan mencegah jenayah di simpang Uma Belor, Sungai Asap, di daerah Belaga, lebih 750km dari sini, malam tadi.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak SAC Dev Kumar M.M Sree Shunmugam berkata antara yang dirampas satu laras senapang patah buatan sendiri, satu kelopak mengandungi 11 peluru jenis .22, dua peluru senapang patah, sebila keris, 10 paket dipercayai syabu dan 27 straw juga dipercayai syabu.
Beliau berkata ketiga-tiga lelaki berumur antara 32 hingga 40 tahun itu ditahan selepas dua anggota peronda unit MPV mengesan mereka dalam sebuah kenderaan Toyota Hilux dalam keadaan mencurigakan di hadapan sebuah rumah tidak bernombor di simpang berkenaan pada 10 malam tadi.
Dalam kenyataan di sini hari ini, beliau yang mengucapkan tahniah kepada dua anggota MPV yang membuat tangkapan itu berkata pasukan Bahagian Jenayah Berat D9 Ibu Pejabat Polis Kontinjen akan membuat siasatan susulan mengenai kes rampasan senjata dan peluru berkenaan.
Katanya polis percaya ketiga-tiga lelaki itu terbabit dalam kegiatan mengedar dadah ke kawasan pedalaman di Sarawak.

Kembali sokong PAS petanda ahli PAN keliru - Penganalisis politik

Posted: 11 Feb 2016 08:23 PM PST

 Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar

 
Post Pic

 
 
SHAH ALAM: PAS digesa mendedahkan sekumpulan ahli Parti Amanah Negara (PAN) yang kini didakwa kembali menyokong parti lamanya, demikian menurut penganalisis politik, Datuk Dr Firdaus Abdullah.
 
Sekiranya tidak dilakukan, PAS akan dilabel sekadar menyebarkan spekulasi tanpa adanya bukti konkrit bahawa adanya kumpulan mengubah arah perjuangan.
 
Ujar Firdaus, sekiranya dakwaan itu berasas, maka ia menunjukkan ada 'sesuatu yang tidak kena' dalam perjuangan politik PAN.
 
"Untuk memastikan dakwaan itu kuat, Datuk Takiyuddin Hassan (Setiausaha Agung PAS) perlu mendedahkan butiran itu atau adakan sidang media di antara pihak yang telah kembali ke pangkal jalan itu.
 
"Jika dakwaan itu benar, saya rasa ia satu petanda sudah timbul kesedaran di kalangan sesetengah pihak yang sewaktu memberikan sokongan kepada PAN adalah kerana keliru, emosional atau mendapat informasi yang salah," katanya ketika dihubungi Antarapos, hari ini.
 
Firdaus mengulas dakwaan Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan bahawa wujudnya sekumpulan ahli PAN kini kembali menyokong perjuangan PAS.
 
Menerusi pertemuan antara beliau dan kumpulan tersebut, Takiyuddin memberitahu ahli-ahli PAN berkenaan mengakui telah tersalah faham dengan arah tujuan parti serpihan PAS itu.
 
Takiyuddin meminta kepimpinan PAN menyiasat sendiri perkara berkenaan memandangkan beliau tidak mahu mendedahkan nama-nama individu yang terlibat.
 
Sebelum ini Ahli Parlimen Kota Bharu itu juga menyatakan keyakinannya bahawa ramai ahli PAN akan kembali kepada PAS dalam tempoh enam bulan ini.
 
Timbalan Presiden PAN, Salahuddin Ayub bagaimanapun menyelar dakwaan PAS dengan menyifatkan ia sebagai satu dakwaan murahan.
 
Firdaus juga tidak menolak bahawa dakwaan Takiyuddin itu memberi kebimbangan kepada PAN sekiranya perkara itu benar.
 
"Sudah tentu ada kerunsingan di pihak mereka (PAN). Ia menunjukkan perjuangan mereka ada keraguan di kalangan penyokong. Kebimbangan di pihak PAN adalah wajar," kata Firdaus.
 
PAN merupakan parti serpihan PAS selepas sebilangan pemimpinnya, yang dikenali sebagai golongan profesional kalah dalam pemilihan parti itu pada Jun tahun lalu.
 
 

Pengerusi baharu: Akar umbi UMNO terkilan

Posted: 11 Feb 2016 08:20 PM PST

 
Pelantikan Ahmad Bashah sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah baharu dianggap terburu-buru dan tidak tepat pada masanya


Ahmad-Bashah_kedah_umno_600


PETALING JAYA: Pelantikan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah disifatkan tindakan yang terburu-buru.

Ketua UMNO Cawangan Bandar Laguna, Zahran Abdullah berkata akar umbi UMNO Kedah sememangnya terkilan dengan pelantikan tersebut.

Katanya, pelantikan itu tidak tepat masanya kerana UMNO sepatutnya menitikkan soal perpaduan dan mengembalikan keyakinan rakyat Kedah.

"Ia tak beretika (kerana) dengan jatuhkan (Datuk Seri) Mukhriz (Mahathir) sebagai Menteri Besar.
Sepatutnya mereka menitikkan soal rakyat, perpaduan dan bagaimana nak gerakkan UMNO dan Barisan Nasional di Kedah untuk kejayaan dalam PRU14, daripada fikir soal politik," katanya ketika dihubungi FMT.

Hari ini, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menamakan Ahmad Bashah untuk jawatan tersebut selepas beliau baru sahaja menggantikan Mukhriz bagi kerusi Menteri Besar.

Tengku Adnan juga mengumumkan Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid dilantik Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah.

Mengulas lanjut, Zahran berpandangan pelantikan itu akan menambah imej buruk UMNO.

"Rakyat lihat satu benda menyedihkan kerana kita ada seorang pemimpin yang mempunyai rekod yang baik, cemerlang dan bersih. Dari segi penampilan, dia (Mukhriz Mahathir) yang menyenangkan.

"Akhirnya kita terpaksa menerima keputusan parti, walaupun kita tahu keputusan itu sebenarnya bukan tepat pada masanya," katanya lagi.

Muhkriz pada 3 Feb lepas meletakkan jawatannya sebagai Menteri Besar Kedah tetapi menyerahkan kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menentukan jawatannya sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah.

Common sense’ akhirnya menang – Azmi Sharom

Posted: 11 Feb 2016 08:12 PM PST

 
Namun begitu, beliau tetap berwaspada dan mengambil sikap 'tunggu dan lihat' memandangkan keputusan itu belum dibuat secara rasmi di mahkamah. 


azmii-sharom


PETALING JAYA: Pensyarah undang-undang, Profesor Madya Dr Azmi Sharom akui bersyukur dengan keputusan Peguam Negara Tan Sri Apandi Ali yang menggugurkan dakwaan di bawah Akta Hasutan 1948 terhadapnya.

"Saya bersyukur apabila akal budi akhirnya menang (common sense has prevailed).

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada peguam saya, kawan-kawan dan keluarga yang memberi sokongan dan sabar sepanjang tempoh ini," katanya ketika dihubungi.

Namun begitu, beliau tetap berwaspada dan mengambil sikap 'tunggu dan lihat' memandangkan keputusan itu belum dibuat secara rasmi di mahkamah.

"Pengguguran ini hanya dinyatakan dalam kenyataan dan masih tidak rasmi. Belum digugurkan di mahkamah, jadi kita kena tunggu (di mahkamah)," katanya lagi.

Dalam satu kenyataan pagi tadi, Peguam Negara Tan Sri Apandi Ali memutuskan untuk menggugurkan dakwaan di bawah Akta Hasutan ke atas Azmi selepas melihat keterangan semua saksi pendakwaan di mahkamah.

Pada tahun 2014, Azmi didakwa di bawah Seksyen 4(1)(b) dan Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 ekoran kenyataannya dalam artikel bertajuk 'Take Perak crisis route for speedy end to Selangor impasse, Pakatan told' yang disiarkan di The Malay Mail Online pada 14 Ogos yang lalu.

Shahbudin: Najib tidak tahu keutamaan penjimatan

Posted: 11 Feb 2016 08:05 PM PST

 
Shahbudin mempersoal bagaimana kerajaan dapat berjimat dengan mengelak menggunakan karpet merah semasa persiapan menyambut beliau dalam lawatan kerja serta majlis rasmi yang dihadirinya.


najib-shahbudin


PETALING JAYA : Seorang rakan Datuk Seri Najib Tun Razak yang telah beralih arah beberapa bulan lalu, menyifatkan Perdana Menteri semakin hilang keutamaan menentukan apa yang perlu dilakukannya untuk menyelamatkan negara.

Bekas Naib Ketua Pemuda Setiawangsa, Shahbudin Husin berkata, menurut rakan Najib itu lagi, walaupun tanpa karpet merah sekiranya sikap dan perangai Najib masih tidak berubah, tiada sebarang perubahan yang dapat dirasakan rakyat.

Pada masa yang sama, Shahbudin turut mempersoal kenyataan Najib mengenai penjimatan yang akan dilakukan tanpa menggunakan karpet merah untuk menyambutnya dalam lawatan kerja dan majlis rasmi yang dihadirinya.

"Apa yang sebenarnya dapat dijimatkan dengan tidak menggunakan karpet merah? Apakah selama ini penggunaan karpet merah yang menyebabkan kewangan negara jadi tenat?

"Adakah dengan tidak menggunakannya lagi, ekonomi negara akan segera melonjak dan hutang yang bertimbun dapat dikurangkan?," soalnya menerusi entri di blognya shahbudindotcom.blogspot.my.

Shahbudin dalam masa yang sama turut mempersoalkan sebab Najib tidak mengumumkan penjimatan yang lebih besar oleh kerajaan.

Antara yang dimaksudkan ialah seperti mengurangkan saiz kabinet, pemotongan gaji dan elaun menteri serta membuang penasihat dan duta khas bertaraf menteri yang tidak memberi sebarang faedah.

"(Selain itu) menghadkan majlis jamuan sempena hari perayaan kepada menteri-menteri dan timbalan menteri dan memotong sebahagian peruntukan Jabatan Perdana Menteri yang berjumlah lebih RM20 bilion untuk tahun 2016?," katanya.

Baru-baru ini, Najib menegur persiapan menyambut beliau dalam lawatan kerja serta majlis rasmi yang dihadirinya.

Menurut Najib, terdapat beberapa perkara boleh dilakukan bagi mengurangkan perbelanjaan, termasuk mengurangkan penggunaan karpet merah dan hidangan istimewa.

Tiada ulasan: