DIALOG RAKYAT |
- SIAPA PULA SELEPAS SWITZERLAND?
- 1MBD: Pihak berkuasa Singapura rampas "sejumlah besar" akaun bank
- Cari waris: Bayi ditinggal dalam wad 64 hari
- Lemas: Mayat murid darjah enam ditemui
- Khairuddin buat laporan SPRM ke atas AG esok
- Ali Tinju buat laporan polis lakaran Najib bermuka ‘badut’
- Isu MB: Masih belum ada keputusan
- 'Cikgu, ada budak masuk air'
- Cermin kereta dipecah, Adun Sekinchan hilang RM20,000
- 'Apakah dosa Mukhriz lebih besar dari Najib?'
- Firma pelaburan Malaysia jual hartanah di London
- Wakil pembangkang menghadap esok
- Bekas bos SB ingatkan SPRM, jangan takut dengan gertakan
- MIC minta ahli buat laporan polis terhadap Palanivel
- Krisis Kedah: Penganalisis jangka pertemuan petang ini tentukan nasib Mukhriz
- Mohd Amar dan Takiyuddin enggan layan gesaan Husam
- PRN Sarawak: Prinsip satu lawan satu kekal - Azmin
- MCA berkrisis lagi?
SIAPA PULA SELEPAS SWITZERLAND? Posted: 01 Feb 2016 07:27 AM PST shahbudindotcomWalaupun kedudukan Najib Razak kelihatan selamat di dalam negara berikutan keputusan Peguam Negara membebaskannya daripada sebarang salah laku jenayah berkaitan kemasukan wang beribu-ribu juta ke akaun peribadinya, isu berkaitan 1MDB nampaknya belum berakhir lagi. Ini berikutan pejabat Peguam Negara Switzerland tiba-tiba mendedahkan telah menemui bukti berkaitan pemindahan wang yang mencurigakan berjumlah kira-kira RM16,800 juta yang dikaitkan dengan 1MDB melalui institusi kewangan negara itu. Sehubungan itu, bukti penting tersebut akan diserahkan kepada pejabat Peguam Negara Malaysia dalam masa terdekat ini, sambil Peguam Negara Switzerland berharap bantuan selanjutkannya akan diberikan bagi menentukan kebenaran tentang penemuan tersebut. Sementara kita semua menanti-nanti apakah bukti penting yang dimiliki oleh pejabat Peguam Negara Switzerland itu, Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua semalam segera menyoal apakah derma RM2,600 juta yang masuk ke akaun peribadi Najib merupakan sebahagian daripada wang yang ditransaksi secara haram yang berjumlah RM16,800 juta itu? Sehingga ini, soalan Tony Pua itu belum lagi dijawab sama ada oleh 1MDB mahu pun Peguam Negara, Apandi Ali. Berkaitan penemuan oleh pihak berkuasa Swirzerland pula, 1MDB hanya memberikan "jawapan selamat" iaitu mereka tidak pernah dihubungi oleh mana-mana pihak untuk bertanyakan lebih lanjut berkaitan perkara itu. Tetapi, agak pelik mengapa 1MDB tidak berani menyanggah secara terang-terang penemuan bukti yang diperolehi oleh Peguam Negara Switzerland itu sebagaimana yang kerap dilakukan sebelum ini demi memperlihatkan syarikat itu benar-benar tidak ada "kong-kali-kong" dalam urusniaganya. Persoalan juga timbul, apakah transaksi haram yang ditemui oleh Peguam Negara Switzerland itu turut sama dapat dikesan oleh Ketua Audit Negara yang sedang melakukan audit terhadap 1MDB? Begitu juga, apakah isu berkaitan wang sebanyak RM16,800 juta itu akan turut menjadi fokus kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara atau PAC yang sedang dalam proses menyiasat syarikat pelaburan yang ditubuhkan oleh Najib itu? Dengan penemuan bukti oleh Peguam Negara Switzerland itu, pastinya ramai yang kembali terjaga dan menggigau di tengah-tengah malam memikirkan nasib dan ketentuan takdir di masa hadapan. Apatah lagi, menurut seorang peguam, N Sivananthan, adalah amalan biasa bagi pihak pendakwaan di Switzerland membuat pengumuman secara terbuka sesuatu kes jenayah berprofil tinggi kerana mereka mengamalkan ketelusan yang tinggi serta untuk memastikan orangramai mengetahui setiap perkembangan kes yang sedang disiasat. Dalam hal ini, sebagaimana yang sudah sudah dinyatakan semalam, Peguam Negara Malaysia haruslah mengotakan janjinya untuk memberi kerjasama sewajarnya kepada rakan sejawatannya di Switzerland bagi menegakkan kebenaran dan keadilan berkaitan transaksi wang yang mencurigakan itu. Bermakna, sebarang hasilnya nanti, setelah bukti itu diserahkan kepada Peguam Negara kita, ia pasti akan didedahkan secara terbuka sekali lagi kepada seluruh dunia. Tidak semestinya penemuan itu menjurus berkaitan Najib, tetapi tentulah apa saja bukti salah laku berkaitan 1MDB akan memberikan tempias kepadanya juga. Selain itu, apakah setelah Switzerland, pihak berkuasa negara-negara lain seperti London, Hong Kong, Perancis, AS, Singapura dan sebagainya akan turut menemui bukti-bukti yang mencurigakan juga berkaitan 1MDB selepas ini? Jika itu berlaku, bagaimanakah imej negara dan Najib di mata dunia? Setidak-tidaknya penghargaan harus diberikan kepada Khairuddin Abu Hassan dan Matthias Chang yang gigih membuat laporan ke pelbagai negara sebelum ini, meskipun mereka "sengsara" disosmakan kerananya. |
1MBD: Pihak berkuasa Singapura rampas "sejumlah besar" akaun bank Posted: 01 Feb 2016 07:21 AM PST Astro AwaniKenyataan itu yang disiarkan di portal berita Singapura, Channel News Asia, berkata pihak berkuasa negara itu sekeras-kerasnya tidak akan bertolak-ansur dengan aktiviti pengubahan wang haram yang berlaku di Republik itu. Laporan itu dikeluarkan sebagai respon pertanyaan media, berbunyi: "Singapura tidak akan bertolak-ansur dengan sebarang penggunaan sistem kewangan sebagai perlindungan (refuge) atau pembiayaan haram. Dari pertengahan tahun lalu, Jabatan Perhubungan Komersil dan Pihak Berkuasa Monetari Singapura telah menjalankan penyiasatan secara aktif bagi memantau sebarang aktiviti pengubahan wang haram dan beberapa kesalahan di Singapura. "Sehubungan dengan penyiasatan itu, kami telah mencari dan akan terus mencari maklumat dari institusi-institusi kewangan serta menemuramah beberapa individu, dan telah merampas sejumlah besar akaun bank," Laporan itu turut menyebut, Singapura akan bekerjasama dengan pihak-pihak berkuasa yang berkaitan, termasuk Malaysia, Switzerland dan Amerika Syarikat. "Kami telah memberi respon kepada permintaan luar yang telah dibuat dengan memberikan maklumat bagi membantu siasatan kami. Oleh kerana, penyiasatan sedang dijalankan, kami tidak dapat memberi apa-apa maklumat lanjut pada peringkat ini." |
Cari waris: Bayi ditinggal dalam wad 64 hari Posted: 01 Feb 2016 07:16 AM PST SHAH ALAM - Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Petaling sedang mengesan ibu kandung atau waris bayi yang dilahirkan di Hospital Kuala Lumpur pada 15 November lalu bagi tujuan penempatan kanak-kanak. Menurut Pegawainya, Ishak Muhammad, bayi itu ditinggalkan di Wad 7A selama 64 hari dan ibunya bernama Erlina Jabat, warganegara Indonesia. "Siasatan telah dibuat ke alamat pendaftaran di hospital dan mendapati tiada sesiapa mengenali ibu kandung terbabit. "Maklumat ibu kandung itu diperlukan untuk penempatan, pengurusan dokumen dan hal-hal berkaitan kanak-kanak pada masa depan," katanya dalam satu kenyataan hari ini. Katanya, bayi berkenaan diletakkan sementara dalam jagaan Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Petaling. "Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai ibu atau waris bayi terbabit boleh menghubungi Pegawai Pelindung JKM, Mohd Nizam Mat Napi di talian 03-78422584 atau 03-78422587," katanya. |
Lemas: Mayat murid darjah enam ditemui Posted: 01 Feb 2016 07:14 AM PST KOTA TINGGI - Mayat murid darjah enam yang dikhuatiri lemas ketika mandi bersama dua rakannya di Pantai Tanjung Sepang, Sungai Rengit petang Sabtu lalu berjaya dijumpai kira-kira jam 2.35 petang tadi. Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Penawar, Mohd Fadli Ismail berkata mayat Heng Tock Peng, 12 dijumpai kira-kira satu kilometer dari lokasi kejadian. "Mayat mangsa dijumpai terapung di kawasan perairan sebelum dibawa ke darat oleh anggota penyelamat. Ketika ditemui mangsa hanya berseluar tidak berbaju. "Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis dan dibawa ke Hospital Kota Tinggi untuk tindakan selanjutnya," katanya kepada Sinar Harian. Mohd Fadli berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) hari ini membabitkan pencarian sejauh empat kilometer dari lokasi kejadian yang melibatkan kawasan persisir pantai. Katanya, ekoran keadaan laut bergelora serta angin kuat dan juga ombak setinggi tiga meter menyebabkan pencarian dilaut tidak dapat dijalankan. Tambahnya, ekoran penemuan itu operasi SAR yang dijalankan 24 jam sejak tiga hari lalu ditamatkan. Artikel Berkaitan
|
Khairuddin buat laporan SPRM ke atas AG esok Posted: 01 Feb 2016 07:09 AM PST MALAYSIAKINI Bekas Naib Ketua Umno Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan berkata beliau akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Peguam Negara, Tan Sri Apandi Ali esok. Katanya, laporan itu bagi membolehkan SPRM membuat siasatan rapi ke atas Apandi sama ada terdapat unsur salahgunakuasa atau manipulasi fakta dalam mengendalikan kes sumbangan RM2.6 bilion serta RM42 juta wang SRC International Sdn Bhd yang masuk ke akaun peribadi Perdana Menteri. Laporan itu akan dibuat di Ibu Pejabat SPRM kira-kira jam 11 pagi esok, kata Khairuddin. "Saya amat berharap SPRM akan menjalankan siasatan secara telus dan rapi ke atas peguam negara tanpa sebarang unsur berat sebelah," "30 juta rakyat Malaysia amat mengharapkan keadilan serta meletakkan harapan yang amat tinggi kepada SPRM untuk melaksanakan tugas mereka secara jujur mahupun amanah," katanya dalam mesej melalui Whatsapp kepada Malaysiakini. Minggu lalu, Apandi membersihkan nama Datuk Seri Najib Razak berhubung derma RM2.6 bilion yang diterimanya dan kes berkaitan bekas anak syarikat 1MDB, SRC International serta mengarahkan SPRM menutup kedua-dua kes itu. Peguam negara itu juga mengumumkan Najib telah mengembalikan semula sebahagian wang RM2.6 bilion yang diterimanya kepada keluarga diraja Arab Saudi. Khairuddin dan peguamnya, Matthias Chang kini berdepan tuduhan cuba melakukan khianat terhadap ekonomi negara selepas membuat aduan kepada beberapa pihak berkuasa asing mengenai 1MDB. Beliau juga membuat aduan mengenai 1MDB di Zurich yang dipercayai mendorong pihak berkuasa Switzerland memulakan siasatan. |
Ali Tinju buat laporan polis lakaran Najib bermuka ‘badut’ Posted: 01 Feb 2016 07:07 AM PST MALAYSIAKINI Pemimpin NGO pro-BN, Mohd Ali Baharom hari ini membuat laporan polis berhubung lakaran artis Fahmi Reza yang memaparkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dengan muka badut. Mohd Ali yang diiringi oleh rakan-rakannya dari kumpulan Gerakan Merah membuat laporan itu di daerah Balai Polis Dang Wangi hari ini. "Tindakan beliau adalah satu penghinaan kepada perdana menteri yang boleh menyebabkan kemarahan rakyat dan menghasut kepada sehingga boleh menyebabkan kebencian kepada orang ramai, " katanya dalam laporan polis. Mohd Ali berkata lakaran dimuat naik dalam talian dan tersebar di internet selepas ia dikongsi oleh Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar dalam akaun instagram n_izzah semalam. Beliau juga menggesa Suruhanjaya Multimedia dan Komunikasi (SKMM) dan polis bertindak terhadap mereka yang bertanggungjawab membuat lakaran itu. "SKMM dan PDRM harus mengambil tindakan kepada orang berkenaan supaya viral posting itu diberhentikan dan orang tersebut ditangkap supaya mengelakkan posting penghinaan lain di media sosial," katanya. Laporan polis itu dimuat naik di Facebook oleh seorang ahli Umno,Syed Rosli Jamalullail yang berkata tindakan itu adalah amat 'biadap'. "Gerakan Merah setegas-teganya menolak budaya tidak bertamadun ini yang menghina pemimpin nombor satu negara kita," kata Syed Rosli. |
Isu MB: Masih belum ada keputusan Posted: 01 Feb 2016 07:04 AM PST ALOR SETAR - [DIKEMASKINI] Timbalan Pengerusi Umno Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah mengakui masih belum ada keputusan dibuat hasil perbincangan dengan Ahli-Ahli Jemaah Pemangku Sultan Kedah dalam satu pertemuan hari ini. Beliau yang juga Adun Bakar Bata memberitahu media, beliau hanya menjawab soalan yang ditanya oleh Jemaah dan tidak dimaklumkan apa-apa keputusan. "Adalah dua, tiga soalan mereka tanya. Saya tak tau apa-apa keputusan," katanya yang enggan mengulas lanjut ketika keluar dari kawasan Wisma Darul Aman kira-kira 5.50 petang. Sebelum ini, sebanyak 20 daripada 21 Adun BN hadir pada majlis mengadap Jemaah Pemangku Sultan Kedah di Wisma Darul Aman, di sini hari ini. [ARTIKEL BERKAITAN: Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah jumpa Adun BN] Majlis menghadap itu dipercayai diadakan berikutan krisis politik membabitkan kedudukan Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir sebagai Menteri Besar Kedah. Petugas media tidak dibenarkan masuk ke Wisma Darul Aman dan hanya dibenarkan menunggu di luar pagar kompleks kerajaan negeri Kedah. Difahamkan, pada awalnya majlis menghadap yang diadakan di Blok E bangunan itu hanya melibatkan 20 Adun tanpa kehadiran Mukhriz. Bagaimanapun difahamkan Mukhriz kemudiannya turut dipanggil ketiga-tiga anggota Jemaah selepas selesai pertemuan dengan 20 Adun berkenaan. Kenderaan yang membawa Mukhriz, yang juga Adun Ayer Hitam, dilihat menuju ke Blok E kira-kira 4.25 petang. Sementara itu, Adun Guar Chempedak, Datuk Ku Abd Rahman Ku Ismail berkata, beliau tidak pasti sampai bila isu ini akan berlarutan dan enggan mengulas lanjut pertemuan itu. "Saya nak balik rehat, saya tak tahu sampai bila benda ini akan berlarutan. Tiada komen...saya tak boleh ulas, kita jumpa lain kali," katanya. Seorang lagi Adun, yang enggan namanya dinyatakan, berkata semua Adun dipanggil secara berseorangan bagi menyatakan pendirian mereka berhubung isu membabitkan Menteri Besar. "Selepas menghadap seorang demi seorang, kami terus balik," katanya yang enggan mengulas lanjut. Kenderaan rasmi yang membawa Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah, Tan Sri Tunku Sallehuddin Almarhum Sultan Badlishah dilihat keluar dari Wisma Darul Aman pada 5.20 petang diikuti kenderaan rasmi Menteri Besar. Sebelum itu, kenderaan yang membawa anggota Jemaah Pemangku Sultan Kedah, Tunku Tan Sri Puteri Intan Safinaz Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah tiba di Wisma Darul Aman pada 2.40 petang, diikuti seorang lagi anggota jemaah Tan Sri Tunku Abdul Hamid Thani Almarhum Sultan Badlishah pada 2.55 petang. Tunku Sallehuddin tiba kira-kira 3 petang. Krisis politik di Kedah tercetus berikutan Adun dan anggota Parlimen Umno Kedah, dan pimpinan kanan Umno Kedah, yang diketuai Ahmad Bashah menyuarakan secara terbuka mengenai hilang keyakinan mereka terhadap kepimpinan Mukhriz sebagai Menteri Besar dan Pengerusi Umno Kedah. - Bernama |
Posted: 01 Feb 2016 07:02 AM PST JASIN - Seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun ditemui mati selepas dipercayai terjatuh ke dalam lubang kumbahan najis dalam kawasan Sekolah Rendah Agama JAIM Parit Penghulu Benteng, Sungai Rambai, di sini, hari ini. Difahamkan, kanak-kanak terbabit dipercayai terjatuh ke dalam salah satu daripada empat lubang najis kumbahan sedalam kira-kira 3.6 meter ketika bermain dengan beberapa rakannya pada waktu rehat kira-kira jam 4.45 petang. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Merlimau, Penolong Penguasa Bomba Masri Ibrahim berkata, seramai lapan termasuk satu pegawai bergegas ke lokasi selepas menerima panggilan jam 4.53 petang dan sampai 18 minit kemudian. "Sebaik sahaja sampai, kita dapati keempat-empat lubang kumbahan dihubungkan dalam satu tangki besar yang dipenuhi air najis sedalam kira-kira 12 kaki. "Sebaik operasi menyedut air dilakukan, anggota bomba mula memasuki ke dalam tangki sebelum menemui mangsa tidak sampai seminit," katanya di sini, hari ini. Menurut Masri, mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia oleh pembantu perubatan Klinik Kesihatan Merlimau dan dibawa ke Hospital Muar untuk dibedah siasat. Sementara itu, seorang wanita yang enggan dikenali berkata, kejadian diketahui semasa seorang murid memberitahu guru besar yang berada di kantin bersama guru dan murid lain. "Murid tu kata: 'Cikgu, ada budak masuk air'. Bila ditanya lanjut murid tu beritahu budak berkenaan masuk dalam lubang kumbahan di belakang sekolah sebelum semua bergegas ke situ. "Lubang ini sebelum ini ditutup dengan fiber (gentian kaca) dan kawasan ini tidak berpagar," katanya ketika ditemui, di sini. Ketua Polis Jasin, Deputi Superintendan Sampornak Ismail ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan berkata kes diklafikasikan sebagai mati mengejut. |
Cermin kereta dipecah, Adun Sekinchan hilang RM20,000 Posted: 01 Feb 2016 06:57 AM PST SINAR HARIAN KUALA SELANGOR - Adun Sekinchan, Ng Suee Lim mendakwa beliau kerugian RM20,000 selepas wang tunai yang diletak dalam keretanya hilang dalam kejadian cermin keretanya dipecahkan. Suee Lim, 45, yang merupakan ahli politik DAP berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 12.20 tengah hari tadi selepas beliau meletakkan keretanya di kawasan tempat letak kereta yang terletak di seberang jalan berhadapan sebuah bank di pekan lama Kuala Selangor. "Setelah kembali semula ke kenderaan saya selepas 10 minit kemudian, saya terkejut apabila mendapati cermin bahagian hadapan kereta jenis Mazda CX5 saya dipecahkan. "Saya kemudian mendapati sebuah sampul surat bersaiz A4 berisi wang tunai RM20,000 yang diletakkan dalam kereta tersebut dilarikan," katanya ketika dihubungi Bernama. Beliau berkata, wang tersebut sepatutnya digunakan sebagai bayaran bonus serta 'ang pow' bagi kakitangannya sempena sambutan Tahun Baru Cina nanti. Sementara itu jurucakap Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Selangor mengesahkan menerima laporan daripada Suee Lim berhubung kejadian itu yang disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan. - Bernama |
'Apakah dosa Mukhriz lebih besar dari Najib?' Posted: 01 Feb 2016 06:53 AM PST MALAYSIAKINI Ekoran kemelut kepimpinan Kedah berlanjutan hingga kini, Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar hari ini mempersoalkan sama ada "kesalahan" dilakukan Datuk Seri Mukhriz Mahathir lebih besar daripada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak. Menurut Mahfuz, beliau kehairanan mengapa isu mengenai penukaran menteri besar itu dibangkitkan kerana tidakan tersebut tidak memberi manfaat terhadap pertumbuhan ekonomi negara. Malah, beliau juga mempersoalkan sama ada penukaran Mukhriz itu akan menyelesaikan segala masalah yang dibebani rakyat ketika ini, termasuk tanggungan kos sara hidup yang semakin tinggi. "Apa yang dipersoalkan rakyat Kedah sekarang bukannya siapa calon menteri besar baru Kedah tetapi yang dipersoalkan rakyat ialah apa perlunya tukar menteri besar. "Persoalannya, apa kesalahan besar dan dosa yang Mukhriz lakukan terhadap rakyat Kedah sepanjang beliau menjadi menteri besar negeri tersebut? "Apakah kesalahan dan kelemahan Mukhriz lebih besar mudaratnya daripada kesalahan dan kelemahan perdana menteri Najib kepada rakyat seluruhnya?" kata Mahfuz dalam kenyataan medianya. Dua minggu lalu, Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Kedah Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah (gambar) serta pimpinan Umno negeri mengadakan sidang media untuk menolak kepimpinan Mukhriz. Ia dipercayai susulan kelantangan bapa Mukhriz, Tun Dr Mahathir Mohamad mengasak pentadbiran Najib dan mendesaknya berundur. Ekoran itu, perdana menteri menghadap Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah Tunku Tan Sri Sallehuddin Almarhum Sultan Badlishah, yang juga Tunku Temenggong Kedah, di Istana Darul Aman, Bukit Persekutuan di ibu negara bagi membincangkan isu pertukaran menteri besar. Susulan itu juga, satu pertemuan antara Adun BN dengan Anggota Jemaah Pemangku Sultan Kedah di Alor Setar pada petang ini diadakan. Mahfuz memberitahu krisis yang berlaku di Kedah kini dilihat sebagai mengganggu kedamaian dan keharmonian politik negeri berkenaan. "Gerakan komplot yang didalangi Putrajaya untuk menggulingkan Mukhriz sebagai menteri besar telah menggangu kedamaian dan keharmonian politik Kedah yang mutakhir ini memperlihatkan politik matang dengan aliran sederhana dalam perbezaan ideologi dan pendapat, tetapi masih boleh bertolak ansur secara matang dan demokratik dalam mengurus perbezaan," katanya lagi. |
Firma pelaburan Malaysia jual hartanah di London Posted: 01 Feb 2016 06:47 AM PST MALAYSIAKINI KWAP, Tabung Haji, KWSP terpaksa membawa pulang tunai ketika negara berdepan dengan masalah ekonomi. Akhbar Financial Times melaporkan beberapa firma pelaburan Malaysia mula menjual hartanah utama di London, dalam apa yang disifatkannya sebagai negara itu berdepan dengan masalah kewangan dan ekonomi. "Bukan rahsia lagi bahawa firma pelaburan di Malaysia... terpaksa menghantar pulang wang. Kami melihat trend sekarang bahawa mereka sedang menjual," kata Penasihat Hartanah Colliers, Richard Divall. "Tetapi mereka membeli di London sangat, sangat awal [selepas krisis kewangan] jadi mereka membuat keuntungan besar." Tindakan itu juga selaras dengan gesaan kerajaan agar lebih banyak pelaburan tempatan dijalankan untuk merangsang ekonomi yang dilanda kejatuhan harga minyak. FT melaporkan bahawa Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) sedang dalam proses menjual bangunan pejabat 18-tingkat di kota London yang dibeli pada 2013 pada harga 215 juta pound. Akhbar itu juga berkata, ini adalah jualan kedua hartanah utama yang dimiliki KWAP selepas menjual One Sheldon Square di Paddington pada harga 210 juta pound yang dimiliki bersama denganKumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). KWSP juga dilaporkan sedang berusaha untuk menjual harta di Fleet Street yang dibeli pada tahun 2011 dengan harga 148 juta pound. Oktober lalu, Lembaga Tabung Haji menjual sebuah bangunan pejabat di Buckingham Palace Road pada harga kira-kira 250 juta pound - 22 peratus lebih daripada apa yang dibayarnya dua tahun sebelumnya. |
Wakil pembangkang menghadap esok Posted: 01 Feb 2016 06:46 AM PST Susan Loone Jemaah Pemangku Sultan Kedah akan bertemu dengan wakil rakyat pembangkang negeri esok untuk cuba menyelesaikan krisis menteri besar. Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar berkata, 15 ADUN pembangkang negeri akan menghadap Jemaah Pemangku Sultan Kedah pada jam 2 petang esok. Mahfuz berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Umno telah melampaui batas mereka dalam usaha untuk menyingkirkan Muhkriz sebagai menteri besar. "Beliau (Najib) hanya mahu menghapuskan musuhnya. Beritahu saya, perlu ke kita mengantikan MB?" kata Mahfuz ketika ditemui di Stadium Alor Setar. Mahfuz hadir bagi menyatakan solidaritinya bersama Muhkriz yang sejak 19 Januari lalu berdepan dengan cubaan rampasan kuasa. Difahamkan bahawa separuh daripada 19 ADUN BN yang menghadap Jemaah Pemangku Sultan Kedah petang tadi tidak menyokong gerakan untuk menggulingkan Muhkriz. |
Bekas bos SB ingatkan SPRM, jangan takut dengan gertakan Posted: 01 Feb 2016 06:43 AM PST MALAYSIAKINI Bekas Timbalan Pengarah Cawangan Khas, Polis Diraja Malaysia Datuk Abdul Hamid Bador hari ini menasihati pegawai-pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) agar berdiri teguh dan mempertahankan integriti agensi itu. Ini berikutan tekanan supaya tindakan diambil terhadap Pengarah Operasi Khas SPRM, Datuk Bahri Mohd Zain kerana berkata pihaknya akan membuat rayuan terhadap keputusan Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali yang menutup kes membabitkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak. "Kepada semua pegawai SPRM saya menyeru supaya jangan sekali-kali takut dengan gertakan (atau) ugutan sesiapapun. "Pertahankan kesucian peranan dan tanggungjawab agensi. Jalankan kerja dengan niat yang ikhlas demi kepentingan negara," katanya dalam satu kenyataan hari ini. Sambil menasihati mereka supaya meneruskan tugas-tugas tanpa rasa takut dan pilih kasih, katanya, rakyat tahu menilai di antara yang baik dengan yang buruk. Hamid tahun lalu secara tiba-tiba dipindahkan ke Jabatan Perdana Menteri selang beberapa hari berita bahawa perkhidmatan Tan Sri Abdul Gani Patail sebagai peguam negara ditamatkan. SPRM telah merujuk kedua-dua kes rasuah yang membabitkan Najib kepada panel kajian operasinya. Sumber sebelum ini memberitahu Malaysiakini badan anti-rasuah mencadangkan supaya tiga pertuduhan dikenakan ke atas Najib yang disiasat berhubung 'derma' RM2.6 bilion dan dana RM42 juta dari firma milik negara SRC International yang disalurkan ke akaun banknya. Kenyataan Bahri mengenai untuk 'merayu' keputusan peguam negara itu menerima 'serangan' dari blog pro-Umno, termasuk serangan terhadap ahli keluarganya. Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya, SPRM, Tan Sri Abu Kassim Mohamed dalam memo dalaman yang terbocor berikrar bahawa beliau lebih rela meletakkan jawatan daripada mengambil tindakan terhadap pegawai-pegawainya yang hanya menjalankan kewajipan mereka di bawah undang-undang. |
MIC minta ahli buat laporan polis terhadap Palanivel Posted: 01 Feb 2016 06:38 AM PST ANTARAPOS.COM SHAH ALAM: Ekoran Datuk Seri G Palanivel mendakwa beliau masih ketua MIC, parti itu meminta ahlinya membuat laporan polis terhadap bekas presiden itu. Ketua Penerangannya, VS Mogan berkata tindakan itu berikutan wujudnya usaha berterusan kumpulan Palanivel yang didakwanya untuk mengelirukan dan memberi gambaran yang salah yang mereka adalah pemegang jawatan dalam MIC. Dalam satu kenyataan, Mogan menggesa ahli parti itu segera membuat laporan polis terhadap perkara itu. Palanivel telah dipecat sebagai ahli MIC dan presiden parti itu tahun lepas, selepas Pendaftar Pertubuhan (ROS) mendapati pemilihan parti itu bagi 2013 adalah tidak sah kerana berlaku penyelewengan. Palanivel dan dua naib presidennya telah memfailkan semakan kehakiman terhadap keputusan tersebut tetapi mahkamah menolak rayuan mereka. Beliau dipecat kerana melanggar Artikel 91 perlembagaan parti itu, yang melarang mana-mana ahlinya membawa perkara parti ke mahkamah tanpa persetujuan jawatankuasa kerja pusat. Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S Subramaniam dilantik sebagai presiden selepas pemilihan semula parti diadakan atas arahan RoS. |
Krisis Kedah: Penganalisis jangka pertemuan petang ini tentukan nasib Mukhriz Posted: 01 Feb 2016 06:36 AM PST Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar SHAH ALAM: Pertemuan antara 21 ADUN Barisan Nasional bersama Jemaah Diraja Kedah akan memuktamadkan nama Menteri Besar yang baru, bagi menggantikan Datuk Seri Mukhriz Mahathir. Penganalisis politik Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani juga tidak menolak pertemuan diantara dua pihak itu juga untuk mendapatkan kesahihan akuan bersumpah yang oleh 19 ADUN parti berkenaan untuk menyatakan hilang sokongan terhadap Mukhriz. "Jemaah Pemangku Sultan juga mahu mendapatkan pandangan ADUN dari hati ke hati, lebih terbuka dan jelas apa yang mereka mahukan. Sebab ada sebahagian ADUN mendakwa dipaksa (tandatangan akuan bersumpah). "(Tetapi) Apabila sudah ada akuan bersumpah, agak sukar untuk mengekalkan Mukhriz. Sebab apabila ada penolakan terhadap beliau, atau berkemungkinan Jemaah Pemangku Sultan melihat keadaan yang berlainan. Kita tidak tahu pemikiran pihak istana. "Namun jika akaun bersumpah itu diterima, maka esok (petang ini) berkemungkinan lebih kepada perjumpaan siapakah paling sesuai dan mendapat sokongan terbanyak untuk menjadi ," katanya ketika dihubungi Antarapos. Azizuddin juga menggesa kemelut jawatan nombor satu negeri itu segera diselesaikan sebelum ia membawa kesan yang tidak baik terhadap rakyat dan pentadbiran negeri. "Seseorang yang bakal menggantikan Mukhriz perlu seseorang yang berkaliber, dihormati dan diterima oleh rakyat dan Umno Kedah, termasuk pihak Mukhriz dan juga Umno Pusat. Malah pihak istana juga perlu boleh terima (MB baru)," katanya lagi. Perkembangan terbaru berkenaan krisis Menteri Besar Kedah menyaksikan kesemua 21 ADUN BN Kedah dipanggil oleh Jemaah Diraja negeri itu pada petang ini di Wisma Darul Aman. Bukan itu sahaja pihak istana juga dijangka akan mengumumkan nama baru baru menggantikan Mukhriz. Pada 20 Januari lalu, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah mengadakan sidang media dengan menyatakan pimpinan negeri hilang kepercayaan terhadap Mukhriz. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dimaklumkan sudah mengadap Yang diPertuan Agong Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah yang dipercayai membincangkan isu pengganti Mukhriz namun hingga ke hari ini belum ada lagi nama baru diumumkan. |
Mohd Amar dan Takiyuddin enggan layan gesaan Husam Posted: 01 Feb 2016 06:35 AM PST ANTARAPOS.COM SHAH ALAM: Kedua-dua pemimpin kanan PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dan Datuk Takiyuddin Hassan enggan melayan gesaan ADUN Salor, Datuk Husam Musa yang menggesa mereka meletakkan jawatan berikutan kegagalan membentangkan usul hudud di parlimen sehingga kini. Mohd Amar yang juga Naib Presiden PAS berkata, langkah membawa usul tersebut di parlimen bukanlah isu sebaliknya tanggungjawab. "Kita akan bawa usul ke parlimen, gagal (atau) tidak gagal selepas itu, bukan tanggungjawab. "Saya juga boleh tanya dia (Husam) balik, dia juga pernah gagal membabitkan beberapa perkara, kenapa tidak letak jawatan?," katanya yang dipetik dari Sinar Harian. Husam ketika menjadi panel sebuah forum malam kelmarin meminta Timbalan Menteri Besar Kelantan itu dan Takiyuddin untuk bertanggungjawab di atas kegagalan parti itu membawa usul pindaan akta berkenaan. Bekas Naib Presiden PAS itu juga berkata, kedua-duanya perlu meletak jawatan sekiranya gagal memberikan penjelasan di atas kegagalan tersebut. Mohd Amar merupakan Pengerusi Teknikal Jawatankuasa Kanun Jenayah Syariah II Kelantan, manakala Takiyuddin pula merupakan Ketua Sekretariat Tetap Hudud Negeri. Sementara itu Takiyuddin sebagai mengulas perkara itu berkata, beliau tidak bertanggungjawab menjelaskan perkara yang diamanahkan kepadanya itu kepada Husam. "Pihak kami tiada tanggungjawab memberi penjelasan kepada Husam. Bagi saya, tanggungjawab saya melakukan kerja yang diamanahkan. Saya tidak bertanggungjawab kepada dia," katanya dipetik akhbar tersebut. Malah katanya, Husam juga tidak tahu banyak perkara dalam pentadbiran kerajaan negeri Kelantan dan banyak perkara tidak perlu diberitahu kepadanya. Semalam, seorang lagi Naib Presiden PAS, Dr Idris Ahmad turut menempelak Husam dan menyifatkan kenyataan pemimpin itu sebagai tiada asas. |
PRN Sarawak: Prinsip satu lawan satu kekal - Azmin Posted: 01 Feb 2016 06:34 AM PST ANTARAPOS.COM PETALING JAYA: PKR kekal dengan pendirian satu lawan satu meskipun PAS mahu bertanding di kerusi yang biasa ditandingi DAP pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak. Namun Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menegaskan, pembahagian kerusi itu masih boleh dibincangkan sebelum DUN negeri itu dibubarkan. "Biasalah mana-mana pilihan raya kita bincang, yang penting kita mahu prinsip 1 lawan 1 diteruskan," kata Azmin yang dipetik The Malaysian Insider. Sabtu lalu, Pengarah Pilihan Raya PAS Datuk Mustafa Ali berkata, parti itu akan meletakkan calon di 11 kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak dan bersedia menentang mana-mana calon termasuk daripada DAP. Katanya keputusan bertanding di 11 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) tersebut - 9 kawasan lama, 2 kawasan baharu hasil persempadanan semula - dibincangkan bersama PKR kerana mereka masih mempunyai hubungan, tetapi tidak dengan DAP. Sebelum ini, Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem berkata, beliau mencadangkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) agar penamaan calon PRN itu dilakukan pada 18 April dan hari pengundian pada 30 April. Bercakap lebih lanjut, Azmin yang juga menteri besar Selangor berkata, PKR sudah berbincang dengan PAS mengenai perkara itu dan akan turut meneruskan perbincangan dengan DAP bagi memastikan prinsip 1 lawan 1 dikekalkan. Mengulas halangan imigresen terhadap beberapa pemimpin PKR daripada menjejakkan kaki ke Sarawak, Azmin berkata tindakan itu tidak akan merencatkan persediaan parti tersebut untuk bertanding. "Walaupun jasad (mereka) tak masuk (Sarawak) tetapi semangat (mereka) masuk," katanya. Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan laluan baharu PJ City Bus di Stesen LRT Taman Bahagia Petaling Jaya, pagi ini. Sebelum ini, Ketua Wanita PKR Zuraida Kamaruddin menjadi pemimpin pembangkang terbaharu yang dihalang memasuki Sarawak apabila beliau ditahan pegawai imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching Jumaat lalu. Bagaimanapun, Timbalan Ketua Wanita PKR Haniza Talha, yang sedang dalam perjalanan bersama Zuraida dibenarkan masuk. |
Posted: 01 Feb 2016 06:33 AM PST ANTARAPOS.COM SHAH ALAM: MCA dilapor berkemungkinan menghadapi krisis kepimpinan baru berikutan cubaan sesetengah pihak untuk menjatuhkan presidennya Datuk Seri Liow Tiong Lai. Sekumpulan ahli parti dilaporkan cuba mendapatkan sokongan untuk memanggil mesyuarat agung tergempar (EGM) bagi meluluskan usul tidak percaya terhadap Liow, lapor akhbar Malay Mail. Perlembagaan MCA menetapkan EGM itu boleh diadakan jika usul berkenaan mempunyai sokongan sepertiga daripada 2,400 perwakilan parti. Menurut laporan itu, angka sokongan itu boleh dicapai berasaskan jumlah perwakilan yang tidak menyokong Liow pada pemilihan parti Disember 2013. Jika EGM itu menjadi kenyataan, ia akan mengheret MCA kembali ke zaman krisis yang menyaksikan parti itu hanya mampu memenangi tujuh kerusi Parlimen dan 11 kerusi DUN pada pilihan raya umum ke 13. Kumpulan anti-Liow dilaporkan mahu EGM itu diadakan awal bulan depan. Liow di pilih presiden dengan majoriti 186 undi untuk mengalahkan Gan Peng Sieu dan Datuk Seri Ong Tee Keat pada pemilihan parti sebelum ini. Bekas presiden MCA Dr Chua Soi Lek tidak menyertai pemilhan itu namun beliau di katakan masih mempunyai pengaruh kuat di dalam parti itu. Anak Chua, Datuk Chua Tee Yong adalah Naib Presiden MCA dan Timbalan Menteri Kewangan Pada tahun 2009, Tee Yong dan penyokong beliau berjaya memaksa MCA mengadakan EGM untuk meluluskan undi tidak percaya terhadap Tee Keat yang presiden MCA ketika itu. Sebuah krisis kepimpinan akan meninggalkan kesan mendalam ke atas MCA, sekali gus menjejaskan harapan parti itu untuk bangkit daripada kekalahan teruk yang di alami pada PRU 13. |
You are subscribed to email updates from DIALOG RAKYAT. To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 1600 Amphitheatre Parkway, Mountain View, CA 94043, United States |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan