Isnin, 1 Februari 2016

.

.


Husam dan Takiyuddin jangan pedihkan mataku...

Posted: 31 Jan 2016 06:25 PM PST

SUARA JIWA

Dua orang yang satu masa dahulu pernah saya harapkan akan menjadi tunggak dan pemimpin Pas Kelantan hari ini bergaduh sesama sendiri. Keduanya saling lempar melempar mercun dan bom asap sehinggakan boleh melemaskan orang lain yang berada berhampiran mereka. Mereka yang saya maksudkan itu ialah Husam Musa dan Takiyuddin Hassan.

Takiyuddin dan Husam ketika mesra.
Sewaktu timbul kisah Tiga Abdul yang cuba hendak merampas kedudukan Allahyarham Nik Aziz Nik Mat sebagai MB, mereka berdua inilah yang diharap menjadi dua daripada tiga "tungku berjerang" untuk mempertahankan Nik Aziz dan kerajaan Kelantan.

Harapan itu disandarkan kepada kedudukan dan potensi mereka sebagai pemimpin masa depan Pas. Sesuai dengan penampilan mereka sebagai golongan profesional kehadiran mereka sangat diharap oleh kepimpinan ulama dibawah Nik Abdul Aziz. Mereka diharap akan mengseimbangkan dunia dan akhirat dalam kerajaan Pas Kelantan.


Dalam erti kata lain mereka diharap menjadi pengganti kepada dua daripada Tiga Abdul, dan sekaligus menjadi benteng mempertahankan kerajaan Tokguru Nik Abdul Aziz buat selamanya.

Bukan sahaja saya, tetapi rakyat Kelantan melihat mereka pemimpin masa depan khasnya di Kelantan. Kehadiran mereka dalam Exco kerajaan Kelantan meletakkan kerajaan pimpinan Nik Aziz sebagai  dua buah bukit yang teguh yang menjadi tulang belakang kerajaan. Ketika mereka berpadu dan sehati sejiwa, keadaan benar-benar melemaskan musuh Pas, Umno Kelantan. Sejak kehadiran mereka dan selepas gangguan Tiga Abdul, Tokguru juga jadi tenang dan bertambah yakin dengan kerajaan dipimpinnya. Bolehlah dianggap kedua mereka sebagai "Raqib" dan "Atid" kepada Tokguru.

Potensi mereka berdua dilihat kepada sejarah dan latar belakang mereka dalam medan perjuangan. Husam pernah menjadi Ketua Pemuda Pas, yang kemudian harakah itu diteruskan oleh Takiyuddin sebagai ketuanya. pengambilan jawatan itu oleh Takiyuddin seakan penerusan era Husam.

Berdasar kepada history dan kronologi itu menyebabkan saya meletakkan harapan besar kepada mereka sebagai pemanggung kuasa Pas di Kelantan.

Malangnya apa diharapkan itu tidak menjadi. Kedudukan dan kuasa menjadikan mereka bersaing di antara satu sama lain. Kuasa menjarak dan menyenggangkan mereka. Pengaruh peribadi menolak mereka ke sudut berlainan.

Masing-masing sudah lupa kepada prinsip asas dan semangat ukhwah Islamiah yang terbina dalam tubuh mereka. Di sinilah ujian yang menimpa ke atas kedua orang ini. Mungkin kalau mereka tidak berpeluang untuk menjawat kuasa, merasai kesenangan dan keuntungan menerusi kuasa, mereka masih utuh sebagai rakan sepejuangan seperti dahulu. Masih erat dan berpadu dalam menggerakkan perjuangan.

Hari ini sempadan dan haluan di antara keduanya kian berbeza dan bertentangan sehingga memungkin mereka bertembakan sesama sendiri. Keduanya melalui pasang surut dalam politik. Husam sudah sampai ke peringkat Naib Presiden, jawatan ketiga tertinggi dalam parti, satu kedudukan tertinggi baginya. Begitu juga Takiyuddin Hassan kini menjawat jawatan Setiausaha Agung, pegawai tertinggi parti. Cuma bezanya ketika Husam menjadi Naib Presiden, Takiyuddin berada dibawah. Mereka tidak berkesempatan berada dalam hierarki kepimpinan sekali.

Ketidaksempatan ini mungkin menjadikan mereka seperti hari ini terarah ke sudut dan mempunyai keyakinan politik tersendiri.

Alangkah elok dan baik kalau mereka sempat duduk sekali dengan jawatan itu, sama-sama memancu dan menggerakkan parti. Tetapi tidak, dan ini menjadi satu ujian kepada mereka. Jawatan, persepsi serta hala tujuan dan lingkungan semasa yang mulai berubah dalam diri masing-masing seterusnya memesongkan kiblat perjuangan mereka. Mereka seakan berhadapan sesama sendiri dalam satu lorong asing. Kenapa?

Terus terang saya nyatakan situasi yang menimpa dan berlaku ini menyedihkan bagi seorang saya yang menganggap mereka adalah rakan dan pejuang dari satu hierarki. Apabila saya membaca laporan Husam yang mendesak Takiyuddin melepaskan jawatan kerana kononnya gagal melaksanakan satu amanah dalam parti ia satu tembakan yang mengeluarkan asap memabukkan. Kenapa sampai begitu sekali? Sudah habiskan pertimbangan lain dan itu merupakan tindakan provokasi terbaik?

Dan asap itu menjadi lebih pedih pula apabila kenyataan Husam itu dibalas oleh Takiyuddin dengan mengatakan dia tidak berhak atau perlu melayan Husam berhubung sesuatu yang berlaku dalam parti. Kata Takiyuddin dia tidak perlu bertanggungjawab apa-apa kepada Husam.  Betul, Takiyuddin tidak perlu bertanggungjawab kepada Husam sehingga perlu melaporkan apa-apa yang berlaku, tetapi tembakan balas itu turut sama mendedahkan Takiyuddin dua kali lima dengan Husam.

Baik Husam atau Takiyuddin tidak perlu berbalas tembak demikian. Apa untung dan labanya dengan tindakan mereka itu. Mereka akan disorak dan diberi tepukan dalam facebook. Tetapi apa untung kepada parti? Kedua harus faham musuh mereka bukan antara satu sama lain. Musuh mereka adalah Umno. Mereka patutnya pulang kepada sejarah perjuangan dan mula perjuangan mereka dahulu. Ingat kembali kepada nawaitu mereka tatkala memutuskan untuk berjuang dalam Pas. Apakah nota-nota asasl dan awal perjuangan sudah dilupakan?

Kenapa apabila sudah sampai lebih dari separuh perjalanan nota dan nawaitu dilupakan? Apakah kerana kedudukan dan kekuasaan tadi? Atau dalam erti kata lain material? Kita selalu berkata dan mengingatkan material boleh merosakkan segalanya. Tetapi apabila material juga merosakkan kita bukankah itu bermakna kita munafik kepada kata dan ikrar sendiri?

Dalam catatan rengkas ini saya berharap mereka berhenti menembak dan melepaskan bom asap sesama sendiri. Cari perdamaian dan kembali ke teluk keikhlasn. Percaya dan yakinlah tindakan yang anda berdua ambil sekarang ini tidak menguntungkan diri anda apa lagi perjuangan anda, bahkan ia merendahkan martabat anda sebagai pemimpin parti agama.

Saya percaya kalau Tokguru masih hidup anda malu untuk bertindak seperti sekarang. Anda akan mengagahi diri "mengeman" segala kesakitan kerana menghormati Tokguru. Jadi apabila Tokguru sudah tidak ada, anda bersedia untuk bergaduh, ertinya penghormatan dan sanjungan anda kepada Tokguru selama ini hanya dogengan semata-mata.

Dan kalau pun dalam hati ada sudah tidak ada relung untuk damai dan saling memaafi, usahlah menebak di bumi nyata kerana aspanya mendatang mudarat kepada orang lain, terutama orang-orang seperti saya yang berada di tengah-tengah dan mendoakan kesejahtraan. Orang seperti saya tidak sanggup menghisap pedih dari asap yang anda ditembakkan. Dan orang-orang yang dianggap tua, selaku mursyid atau penasihat dalam Pas bersuaralah, sesuai dengan kedudukan anda sebagai penasihat atau pun seorang ayah jangan membatukan diri menjadi syaitan bisu. [wm.kl.10:12 am 01/01/16]

Pas Kelantan harus waspada dengan pelantikan Annuar dan Hashim

Posted: 31 Jan 2016 03:01 PM PST

MAKRIFAT MINDA

Semalam Najib Razak telah menyusun semula eksekutif Majlis Tertinggi Umno dalam rangka memperkuatkan parti itu serentak dengan niat presiden Umno itu untuk melenyapkan Mukhriz Mahathir dari arena politik Umno. Dalam penyusunan itu Najib telah membuat pengubahsuaisan dan pelantikan dan penjawat baharu.

Annuar Musa
Hashim Abdullah
Antaranya ialah pelantikan Annuar Musa sebagai Ketua Penerangan Umno yang baharu sebagai mengganti Ahmad Maslan. Ahmad Maslan walaupun diberi tugas baharu yang baginya disenangi, selaku Pengarah IT dan media baharu, sebenarnya pertukaran itu satu penurunan pangkat.

Wajar kalau Najib menukar Ahmad Maslan memandangkan beberapa aksinya ataupun tugasnya sebagai ketua penerangan Umno sebelum ini lebih banyak memberi kesan buruk daripada kesan baik kepada parti itu disebabkan hypo pandai dan tahu. Ahmad Maslan suka menunjuk-nunjukkan beliau terlebih pandai. Dalam Umno pula orang yang terlebih pandai tidak digemari.

Saya tertarik dengan pelantikan Annuar Musa sebagai Ketua Penerangan. Pelantikan itu memberi darjah baharu kepada ahli parlimen Kok Lanas itu. Ia juga boleh dianggap yang Najib cuba mengangkat semula Annuar ke persada politik Umno. Najib mahu menggunakan semula khidmat dan kebolehan Annuar dalam usaha memperkasakan parti. Pelantikan Annuar itu sebagai satu usaha kitar semula dalam Umno.

Dari segi mana Najib mnengukur kebolehan Annuar masih boleh dipersoalkan. Apakah Annuar telah berjaya dan menunjukkan keupayaannya membawa perubahan kepada Mara? Rasanya belum. Begitu juga kalau diukur kepada transformasi di beberapa kementerina yang Annuar pegang semasa menjadi menteri kabinet dulu tidak juga kerana ia tidak memberi kesan postif. Untuk Kelantan sendiri tidak ada jasa besar Annuar yang ditabur menerusi tiga kementerian dipegangnya.

Jadi dari sudut mana Najib menilai kebolehan dan keperluan Annuar diguna pakai dalam Umno? Apakah dalam aspek bolasepak?

Tidak dinafikan perkembangan bola sepak Kelantan berubah tapak sejak Annuar mengambil alih apabila beliau tidak ada kerja selepas digugurkan sebagai menteri kabinet. Annuar berjaya meletakkan bola sepak Kelantan di satu tahap membanggakan dan menyeronokkan peminat suka nombor satu dunia itu.

Pasukan Kelantan, "Gedebe Merah", berjaya menjadi juara tribel telah mengemilangkan nama Annuar dan mengingatkan orang siapa Annuar. Kejayaan diraih itu juga sehingga orang lupa kesalahan dan kebusukan yang dibuat atau ditinggalkan Annuar sebelum ini. Salah satu ialah mengenai penyelewengan dalam PPRT dan juga tragedi menabalkan Tengku Ibrahim Tengku Indraputera di bawah pohon ketapang di Ketereh.

Dua kejadian itu cukup meletakkan nama Annuar dalam keadaan yang hapak. Tetapi kejayaanya menaikkan imej bola sepak Kelantan menyebabkan stima buruk itu tertanggal dalam kepala orang ramai. Namun dalam kepala orang lama yang tahu arus dan gelombang politik Annuar tetap akan mengenangnya dan meletakkan Annuar sebagai seorang pendosa di Kelantan.

Begitu juga kejayaan pasukan bola Gedebe Merah di Kelantan yang dibanggakan itu boleh dipersoalkan juga sejauh mana keberkesanan dan kejujuran Annuar mengurus dan mentadbir bolasepak. Pasukan Kelantan menang dan sokongan bertambah. Setiap kali bermain stadium Sultan Muhammad ke IV akan penuh pepak. Keadaan itu memberi gambaran Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) tentu dapat menjana kewangan yang lumayan. Hasilnya juga tentu permainan dan Kafa mewah dan sepatutnya sebuah stadium baharu sudah dibina.

Tetapi apa yang berlaku sebaliknya, Kafa terus dilanda masalah kewangan. Gaji pemain tertonggak dan Kafa "bertepek wek" dengan hutang. Keadaan ini menyebabkan timbul tanda tanya ke manakah perginya wang yang dijana oleh Kafa itu? Ataupun selama ini Kafa telah memberi tontontan percuma kepada rakyat Kelantan tanpa mengenakan apa-apa bayaran? Atau pun wang yang dikutip itu dibawa lari ke akaun lain?

Masalah kewangan yang menimpa Kafa ini menjadi tanda tanya besar? Semacam ada sesuatu yang tidak kena berlaku. Manakala pihak Kafa pula seakan sengaja mahu mendedahkan ia bermasalah dengan tujuan menyembunyikan sesuatu. Setiap tahun Kafa memohon bantuan daripada kerajaan negeri. Apakah permohonan itu sengaja hendak tunjuk yang Kafa tidak ada wang? Orang kata sembunyi tali kerana nak lindungi lembu?

Jadi ada sedikit kontradik disini. Industeri bola sepak Kelantan mendapat sambutan tetapi wang tidak ada. Tidakkah dengan berhadapan dengan masalah kewangan itu maka Kafa tidak berada dikedudukan yang kukuh? Bukankah ia ada kaitan dengan masalah pengurusan dan pentadbiran, dan kelemahan itu ada kaitan dengan keupayaan presidennya? Jadi kalau presiden lemah dan tidak berjaya memapatkan kedudukan Kafa, dari sudut mana Najib menilai kehebatan Annuar sehingga beliau dikitar semua untuk diguna oleh Umno?

Biarlah itu buah fikir Najib. Hakikatnya pelantikan Annuar sebagai Ketua Penerangan Umno memberi sesuatu signifikan kepada politik Kelantan. Bagi saya pelantikan itu sebagai persediaan Umno untuk menawan Kelantan dalam pilihan raya ke-14 nanti. Pelantikan Annuar itu semacam sudah diatur dan satu kombinasi pula.

Kena ingat Pengerusi SPR yang baharu ialah orang Kelantan. Hashim Abdullah namanya. Hashim ini bekas Setiausaha Sulit Kanan Annuar Musa semasa di kementerian Pembangunan Luar Bandar. Kedua mereka pernah duduk sepejabat dan merancang sekali. Apakah dengan tugas dan kedudukan masing-masing kini mereka tidak boleh merancang sesuatu di Kelantan bagi legasi hidup mereka?

Memang tampak kedudukan mereka bertaraf nasional. Annuar Ketua Penerangan Umno, Hashim Pengerusi SPR, tetapi jangan lupa mereka berasa dari bumi sama. Keduannya pula ada kuasa dalam mengerakkan arus dan mewarnakan politik Malaysia. Annuar boleh menggerakkan jentera penerangannya dengan mempertingkatkan tumpuan ke Kelantan. Begitu juga Hashim sangat berfeadah kepada Umno dalam membina sempadan atau kawasan pilihan raya baharu atau membena terma-terma baharu dalam pilihan raya.

Jadi tidak mustahil mereka boleh bergabung antara satu sama lain bagi mencapai matlamat yang sama. Bertolak dari kemungkinan yang akan menjadi realiti itu, maka Pas Kelantan harus berhati-hati dan memerhati pergerakan politik di negeri itu sebaik mungkin. Pas Kelantan kena menaruh kebimbangan dengan pelantikan dua orang anak Kelantan itu. Rasa bimbang ini perlu menebal dalam diri Pas Kelantan, kecualilah Pas Kelantan sudah bersedia untuk mencapai kemenangan bersama Umno.

Begitu juga desakan agar pecat orang itu dan orang ini sesama sendiri dalam Pas tidak wajar berlaku. Yang patut dilakukan buat penyusunan dan pelantikan baharu sejajar dengan gerak kerja Umno bukan menambahkan kesosakan pada rumah sendiri. Main politik bijaksana. [wm.kl.7:00 am 01/02/16]

Tiada ulasan: