Rabu, 27 Januari 2016

Kerabu Bersuara ®

Kerabu Bersuara ®


Selepas Undian, TG Haji Hadi Pulang Awal Sebab Tak Sihat.

Posted: 27 Jan 2016 06:27 AM PST



Oleh: Syed Ahmad Fadhli

Sekilas Info Pengundian di Parlimen

1. Tidak ada jadual waktu yang tepat bilakah ia akan berlangsung kerana ia hanya boleh dibuat setelah perbahasan dan penggulungan selesai., ada masa cepat, ada masanya lambat.

Contohnya: pengundian TPPA hari ini dibuat pada waktu Maghrib

2. Kaedah Pengundian ada dua iaitu:

a) suara majoriti- kaedah ini termudah dan paling kerap digunakan. Speaker hanya perlu bertanya samada usul disetujukan atau tidak, kemudian Ahli Dewan menjawabnya beramai-ramai dengan menyebut SETUJU atau TIDAK.

Namun, keputusan dibuat bukan bergantung kepada nyaring/kuat bunyi suara jawapan yang diberikan tetapi merujuk kepada jumlah pihak yang mempunyai majoriti dalam dewan.

b) belah bahagian- undi direkod satu persatu secara bertulis melalui Ketua Blok tempat duduk yang membuat catatan samada Setuju, Tidak Setuju, atau Berkecuali (tidak mengundi).

3. Undi tidak rahsia kerana tidak ada kertas undi yang perlu diisi oleh setiap orang secara bersendiri sepertimana dalam Pilihanraya Umum.

Rekod pengundian setiap Ahli Dewan dibuat oleh Ketua Blok, dengan menandakan pada kertas senarai nama yang dipegang olehnya.

Dalam keadaan normal, Ahli Dewan akan mengundi mengikut keputusan parti melalui arahan Ketua Whip Parti masing-masing.
Pihak parti pemerintah sentiasa menang kerana mereka adalah Kerajaan yang mempunyai majoriti melainkan ada Ahli Parlimen Kerajaan yang berani untuk menentang arus dengan mengundi sepertimana Pembangkang.

Adakalanya, Usul Kerajaan juga diluluskan sebulat suara apabila Pembangkang sedia mengenepikan perbezaa untuk bersama menyokong Kerajaan dalam isu yang berkaitan, contohnya isu kemanusiaan di Palestin, menentang ISIS, dan tragedi serangan terhadap Kapal Terbang MH 17.

Keterangan Gambar:

Ahli Parlimen Marang, YB Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang bergerak keluar setelah beliau selesai mengundi menolak TPPA.

Beliau memaklumkan perlu bertolak pulang dan tidak sempat mendengar keputusan pengundian oleh Speaker kerana kurang sihat.

Ustaz Khalil yang turut berada di situ ketika itu bergerak mengiringi Tuan Guru pulang.

Ketika beliau berbahas semalam pun, saya dapat lihat Tuan Guru agak keletihan dengan nada suara beliau yang agak perlahan.

Walau bermacam perli, cacian, kutukan dan tuduhan yang dilemparkan terhadap beliau, namun tidaklah sesekali ia melemahkan semangat beliau untuk meneruskan perjuangan menegakkan kebenaran.

Semoga Tuan Guru terus diberikan kekuatan memimpin kami...

PERGIMU SUKAR DICARI GANTI

Posted: 26 Jan 2016 06:24 PM PST




(Ustaz Haji Ahmad Dusuki Abd Rani)

Apa yang saya lihat sendiri, cara hidup al-Marhum Tok Guru Nik Abdul Aziz betul-betul mengikuti sunnah Rasulullah S.A.W. Lebih-lebih lagi perkara yang melibatkan hubungan dengan ibunya, Aminah binti Majid. Setiap kali pulang daripada kuliah atau ceramah, Tok Guru pasti akan melihat ibunya terlebih dahulu sebelum dia berjumpa dengan orang-orang lain. Pintu bilik ibunya akan dibuka bagi memastikan ibu berada dalam keadaaan sihat dan selamat.

Pernah sekali, selepas Tok Guru menang pilihan raya dan dilantik sebagai Menteri Besar, ibunya tidak mahu duduk di rumahnya. Sewaktu ibunya sedang mengemas barang, Tok Guru bertanya kepada ibunya, 'Buat pa mek mengemas barang?' Ibunya menjawab 'Mek nak duk di Pahang, nak balik kampung.' Lalu Tok Guru bertanya kembali 'Kenapa mek nak balik kampung pulak' Ibunya menjawab 'Zid (Tok Guru) dah jadi menteri besar, Zid akan duduk di rumah Menteri Besar.'

Setelah dia mendengar jawapan daripda ibunya itu, Tok Guru terus menitiskan air mata. Beliau memberitahu kepada ibunya bahawa dia tidak akan duduk di rumah menteri besar, sebaliknya akan terus tinggal di rumah ini.

Mendengar jawapan tersebut. ibunya terus tidak jadi pindah dan terus menginap bersama Tok Guru. Kejadian ini berlaku pada tahun 1990. Ibu Tok Guru antara orang yang rajin membaca al-Quran. Dia sempat khatam al-Quran tiga hari sekali di penghujung usianya.

Satu lagi perkara yang saya cukup kagumi pada diri Tok Guru ialah, beliau adalah seorang dermawan. Masuk sahaja satu Ramadhan, maka ramailah yang datang meminta bantuan darinya. Tidak ada seorang pun dalam kalangan orang yang meminta bantuan itu pulang dengan tangan kosong. Pasti akan membawa sesuatu walaupun sekadar menerima dalam jumlah yang sedikit.

Banyak kenangan saya bersama Tok Guru. Paling saya ingat adalah ketika mana bermusafir bersama beliau dari pahang sehingga ke Kelantan, kenangan ketika pergi ke setiap kuliah dan ceramahnya serta banyak lagi. Apa yang paling seronok dalam hidup saya, apabila dapat duduk bersama dengan beliau di dalam kenderaan. Saya melihat beliau adalah seorang yang sangat merendah diri. Di dalam kenderaan beliau tidak banyak bercakap. Sebaliknya membasahi lidah dengan zikrullah sepanjang masa, membaca al-Quran dan adakalanya dia mendengar kuliah dari ceramahnya yang dipasang di dalam kereta.
Tok Guru adalah seorang yang lembut dalam ketegasan. Dia akan pastikan anak-anaknya dengar kuliah subuh. Dia akan marah kalau anak-anaknya tidak turun menunaikan solat subuh berjemaah. Inilah cara didikan yang berkesan. Sehingga hari ini saya masih lagi mempraktikkannya disebabkan asuhan yang telah diberikan. Terima Kasih Tok Guru atas nasihat dan bimbingan ini.

"Tiba hari minggu sahaja, Tok Guru akan memanggil saya pergi ke pasar untuk menemani isterinya (Datin Tuan Sabariah). Tok Guru akan tunggu di dalam kereta. Ini kerana, kalau Tok Guru yang pergi ke pasar, dia akan dapat banyak barang secara percuma kerana semua mengenali dan menghormatinya. Oleh sebab itu, Tok Guru suruh isterinya pergi ke pasar dan saya menemani untuk mengangkat barang. Waktu itu saya dalam lingkungan umur 12 tahun."

Tiada ulasan: