Jumaat, 29 Januari 2016

Kelab Greenboc

Kelab Greenboc


Isu TH: PAS Yakin Dengan Cakap Menteri UMNO

Posted: 29 Jan 2016 12:35 AM PST

PAS yakin dengan Tabung Haji – Takiyuddin

KOTA BHARU: PAS amat yakin dengan kemantapan sistem tadbir urus baik yang diamalkan oleh Tabung Haji (TH) selama ini, kata Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan.

Beliau berkata, bukan sahaja selaras dengan pematuhan syariah, tetapi ia juga mementingkan manfaat dan menjana pulangan pendapatan yang baik kepada pendepositnya.

"TH bukanlah sebuah bank dan diyakini tidak beroperasi sebagai institusi kewangan yang lebih berorientasikan keuntungan maksimum berbanding dengan pulangan kepada pendeposit," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.


Sehubungan itu, Takiyuddin berkata, PAS berpuas hati dengan penjelasan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom yang beliau temui di Parlimen semalam serta pengurusan tertinggi TH berhubung prestasi kewangan TH.

Mereka mengesahkan prestasi kewangan TH berada dalam keadaan baik terutama apabila mengambil kira nilai aset keseluruhan portfolio pelaburan TH, katanya.


Beliau berkata, apa yang lebih penting lagi adalah jaminan bahawa bonus pendeposit bagi 2015 akan diumumkan dan dibayar dalam waktu terdekat.

PAS mengharapkan TH akan terus komited dan melaksanakan amanah pendeposit terutama memastikan hasrat mereka untuk menunaikan fardu haji tidak terhalang dengan apa jua kemungkinan, katanya.

Takiyuddin seterusnya berkata, teguran mahu pun nasihat yang diberikan oleh Bank Negara Malaysia kepada institusi seumpama TH tidak harus menjurus kepada terjejasnya keyakinan pendeposit terhadap organisasi itu. -BERNAMA

ULASAN GB

Entah kali keberapa agaknya PAS mahu ditipu hidup-hidup oleh menteri-menteri UMNO. Dahlah hudud pun kena tipu, kini kes Tabung Haji pula.

Jika dah yakin dengan penjelasan menteri di JPM yang bernama Jamil Khir itu, sepatutnya tidaklah perlu lagi Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menggesa lembaga itu mendedahkan laporan audit negara mengenai kedudukan kewangannya.

TITM dilaporkan berkata, pendedahan itu penting sebelum memutuskan jumlah dividen dan bonus kepada pendeposit di seluruh negara.

"Ini kerana penafian masalah Tabung Haji yang dibuat ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang memacu TH seperti Pengerusi Lembaga Tabung Haji Datuk Seri Azeez Abdul Rahim yang mempertahankan pembelian tanah Tun Razak Exchange (TRX) sudah tidak lagi akan diyakini rakyat," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan semalam.

Sungguh bertentangan kata-kata Takiyuddin dan TITM.

Keduanya jika PAS dah yakin dengan penjelasan menteri UMNO, sepatutnya PAS tak perlu tolak TPPA hari itu. Terima saja bulat-bulat kenyataan menteri yang bernama Mustapha Mohhamad, MP Jeli dan juga PM.

Sekarang PAS terus bercelaru dan keliru. Pemimpin-pemimpin PAS keluar kenyataan yang berbeza-beza. Rakyat terus melihat gelagat PAS semenjak dua menjak ini, iaitu selepas era isu kerjasama PAS-UMNO kembali bergema.

Isu Tabung Haji: Rakyat Resah, AMANAH Ambil Peduli & Pandang Serius

Posted: 28 Jan 2016 07:50 PM PST

KENYATAAN MEDIA
ISU RIZAB TABUNG HAJI: RAKYAT PERLU DIBERI PENJELASAN


1. Parti Amanah Negara (AMANAH) memandang serius laporan bahawa Bank Negara Malaysia telah mengeluarkan amaran kepada Lembaga Tabung Haji berhubung rizab agensi itu yang berada pada paras negatif.



2. Laporan yang merujuk surat Gabenor Bank Negara Malaysia Tan Sri Zeti Akhtar Aziz itu juga turut menyebut bahawa Lembaga Tabung Haji juga tidak akan dapat membayar dividen kepada 8.8 juta pencarum jika tidak mengambil tindakan menyelesaikan masalah ini.

3. Laporan ini telah menimbulkan keresahan di kalangan rakyat khususnya para pencarum berkenaan kedudukan simpanan mereka.

4. Ia juga menimbulkan banyak persoalan di kalangan rakyat berhubung keberkesanan Lembaga Tabung Haji untuk membantu umat Islam di Malaysia menunaikan ibadah haji yang dikhuatiri terjejas.

5. Lebih membimbangkan apabila Tan Sri Zeti berpendapat Lembaga Tabung Haji mungkin terpaksa melupuskan aset pelaburannya pada skala besar dan masa yang singkat untuk memenuhi tanggungjawab kepada pendeposit.

6. Lembaga Tabung Haji sebelum ini juga dikaitkan dengan syarikat pelaburan bermasalah, 1Malaysia Development (1MDB) apabila membeli tanah 0.64 ha di Tun Razak Exchange (TRX) pada harga RM188 juta, iaitu 43 kali ganda lebih tinggi daripada yang dibeli 1MDB daripada Putrajaya 5 tahun lalu.


7. Dengan segala perkembangan yang berlaku, Parti AMANAH berpendapat bahawa, semua rakyat perlu mendapat penjelasan daripada Lembaga Tabung Haji.

8. Untuk itu, mewakili AMANAH, saya telah menghantar surat kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri YB Dato' Seri Jamil Khir Baharom untuk diadakan satu pertemuan bagi mendapatkan penjelasan berhubung perkara ini.

"HARAPAN BARU"

SALAHUDDIN HJ AYUB
Timbalan Presiden
Parti Amanah Negara
28 Januari 2016


TH usah berdolak dalik mengenai rizab kewangan sedia ada

Lembaga Tabung Haji (TH) tidak perlu berdolak dalik mengenai rizab kewangan institusi umat Islam itu yang kini berada dalam keadaan kritikal dengan mengeluarkan kenyataan untuk menenangkan 9 juta pendeposit dan pemegang sahamnya, tegas Naib Presiden Parti Amanah Negara Datuk Dr. Mujahid Yusuf Rawa.

Beliau berkata dengan aset yang dinilai lebih rendah 98sen berbanding libiliti yang lebih tinggi RM1 jelas menunjukkan TH tidak akan dapat membayar dividen dan bonus seperti kebiasaan dilakukan tahun-tahun sebelum itu.

"Jika TH kata prestasi kewangan berada dalam keadaan baik disokong aset yang kukuh sebanyak RM10.7 bilion pada 31 Disember 2015, sebaliknya daripada jumlah itu TH perlu kenalpasti berapa peratus adalah pendeposit dan berapa peratus pula syarikat-syarikat GLC.

"Kalaulah sekiranya 75 peratus saiz pendeposit hanya 5 peratus datang daripada syarikat GLC selebihnya pula adalah duit simpanan makcik dan pakcik yang menyimpan hanya untuk menunaikan haji.

"Jika aset serendah 98sen berbanding RM1 libiliti, saya berkeyakinan deviden syarikat GLC ini juga akan menurun. TH nak cari duit dari mana pula untuk bayar keuntungan syarikat GLC yang turut sama terbabit.

"Selain pendeposit besar kemungkin syarikat GLC juga akan menarik balik saham mereka.

"Jika situasi ini berlaku akan melumpuhkan institusi kewangan negara yang kini sedang berada pada tahap membimbangkan dalam keadaan ekonomi global yang tidak menentu," jelasnya kepada Malaysia Dateline.

Pada Selasa lalu, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji Tan Sri Ismee Ismail dipetik sebagai berkata, penilaian Bank Negara itu tidak mengambil kira akaun portfolio pelaburan seperti saham anak syarikat atau syarikat bersekutu, serta aset perladangan dan hartanah yang diduduki mereka.

Tambah Ahli Parlimen Parit Buntar ini lagi, TH perlu menjelaskan isu ini dengan betul dan tepat kesan kepada 9 juta pendeposit dan pelaburnya.

"Jika isu ini tidak dijawab dengan betul dan tepat oleh TH hanya mengeluarkan kenyataan untuk `sedapkan telinga dan hati' sedangkan TH jangan terlupa di bawah peruntukan Seksyen 22 Akta Tabung Haji 1955.

"Di bawah akta ini, TH tidak boleh mengisytihar pengagihan dividen dan bonus kepada pendeposit sekiranya nilai aset kurang daripada obligasinya. Jadi mahu cari duit di mana untuk bayar dividen dan bonus? Sudah pasti kerajaan terpaksa menanggungnya.

"TH ini adalah institusi kewangan umat Islam yang mana dijamin kerajaan. Sekiranya berlaku ketirisan atau kerugian kerajaan terpaksa menanggung beban di atas keputusan ahli-ahli lembaga pengarahnya yang merugikan TH.

"TH membayar dividen lebih pada kadar 107 peratus daripada rizab sedia ada pada 2012-2014 kesannya pada 2015 asetnya lebih rendah berbanding libiliti," ujarnya.


Sebagai rekod Bank Negara telah menghantar surat kepada Pengerusi TH, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim pada 23 Disember lalu, memberi amaran rizab TH pada paras negatif.

Gabenor Bank Negara Tan Sri Zeti Akhtar berkata TH tidak akan dapat membayar dividen kepada 9 juta pendeposit tahun ini, kerana nilai aset hanya mencukupi untuk membayar tidak lebih daripada 98 sen bagi setiap RM1 nilai liabiliti, jika tiada tindakan diambil bagi menyelesaikan perkara itu.

Namun dinafikan oleh Ismee yang berkata, penilaian Bank Negara itu tidak mengambil kira akaun portfolio pelaburan seperti saham anak syarikat atau syarikat bersekutu, serta aset perladangan dan hartanah yang diduduki mereka.

Sepanjang tahun kewangan 2014 dan 2015, Ismee berkata nilai keseluruhan aset Tabung Haji adalah lebih tinggi daripada nilai liabiliti Tabung Haji, di mana ia mengambil kira semua nilai saksama portfolio pelaburan Tabung Haji.

Semalam Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom mengatakan TH masih menunggu kelulusan Ketua Audit Negara berhubung pengumuman pembayaran dividen kepada pendepositnya yang mana TH akan merangka draf pengumuman pembayaran dividen selepas mendapat kelulusan itu.
-malaysiadateline


Tiada ulasan: