Selasa, 26 Januari 2016

Kelab Greenboc

Kelab Greenboc


Isu RM2.6 Bilion: Najib Terlepas Kerana Dah Tukar Peguam Negara

Posted: 26 Jan 2016 08:24 AM PST

Keputusan derma RM2.6 bilion berbeza jika peguam negara tidak ditukar, kata pembangkang

Pakatan Harapan menjangkakan keputusan berbeza mungkin berlaku dalam siasatan membabitkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berhubung pinjaman RM4 bilion kepada SRC International Sdn Bhd sekiranya Tan Sri Abdul Gani Patail masih lagi peguam negara.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, keputusan peguam negara yang mengatakan tiada bukti menunjukkan Najib menyalahgunakan kuasa dalam isu itu juga sudah dijangkakan.


"Ia sudah dijangka, bila mereka tukar peguam negara, kalau tidak ditukar mungkin perkara lain akan berlaku," katanya pada sidang media di pejabat pembangkang di Parlimen, hari ini.

Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng yang ditemui selepas sidang media itu berkata, beban kini terletak di bahu Najib untuk memberikan penjelasan kepada rakyat.

"Tak menghairankan, memang dijangka, membaca penjelasan peguam negara itu tidak meyakinkan.

"Cabarannya macam mana beliau boleh katakan tiada unsur salah. Saya rasa susah untuk beliau yakinkan orang ramai. Rakyat biasa tidak akan terima," katanya.

Lim, yang juga setiausaha agung DAP berkata, perkara itu menunjukkan, Peguam Negara Tan Sri Mohamad Apandi Ali tidak menjalankan tugas dengan bebas.

"Mungkin kerana beliau guna budi bicara, ini salah guna budi bicara."

Menjelaskan berhubung langkah blok pembangkang seterusnya, Lim berkata, teks peguam negara itu akan diteliti mereka dan satu usul akan di bawa terhadap Najib di Parlimen sekiranya perlu.

"Kita akan baca teks dengan teliti, kalau ada usul ketua pembangkang akan bawa ke Dewan. Kita akan bincang kemudian.

"Satu dunia kata salah, tapi Malaysia tidak salah," katanya.

Apandi dalam satu kenyataan hari ini berkata, disebabkan perkara itu, nama Najib kini dibersihkan daripada sebarang kesalahan jenayah yang melibatkan SRC International, sebuah syarikat milik kementerian kewangan di mana Najib menterinya.

"Saya berpuas hati tiada kesalahan jenayah dilakukan.

"Di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, tiada bukti yang menunjukkan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri menyalahgunakan kedudukannya dalam mesyuarat Kabinet yang meluluskan jaminan kerajaan ke atas pinjaman RM4 bilion kepada SRC International daripada Kumpulan Wang Persaraan (Kumpulan Wang Persaraan Inc atau KWAP)," kata Apandi pada sidang media di pejabatnya di Putrajaya hari ini.

Beliau juga mengumumkan Najib dibersihkan daripada sebarang salah laku jenayah ke atas sumbangan RM2.6 bilion yang diterima ke dalam akaun bank peribadinya.

SRC awalnya di bawah 1Malaysia Development Bhd (1MDB) sebelum dipindahkan kepada kementerian kewangan pada tahun 2012, selepas pinjaman RM4 bilion daripada dana pencen dikeluarkan sepenuhnya. -TMI


Rafizi: Siapa pula luluskan pindahan wang SRC?

Anggota Parlimen Pandan, Rafizi Ramli melahirkan beberapa persoalan berkenaan dana RM42 juta daripada SRC International Sdn Bhd yang dipindahkan ke dalam akaun bank peribadi Perdana Menteri Najib Abdul Razak.

Ia selepas Peguam Negara Mohamed Apandi Ali berkata, Najib tidak tahu dan tidak dimaklumkan dengan jumlah wang yang berasal dari bekas anak syarikat 1MDB itu.

"Penjelasan setakat ini tidak menjawab soalan utama - sejak RM42 juta telah dipindahkan dari SRC, siapa dalam SRC beri kuasa untuk lakukan pemindahan?" soal naib presiden PKR itu.

Rafizi berkata, untuk melakukan pemindahan, SRC pastinya memerlukan nombor akaun Najib dan perkara yang paling tidak mustahil mungkin ialah ia diberikan oleh perdana menteri sendiri.

"Justeru, bagaimana Najib memberikan nombor akaun tetapi tidak mengingati wang yang masuk ke akaunnya adalah dari SRC?"
tanya beliau.

Apandi hari ini berkata, bukti menunjukkan perdana menteri percaya sumbangan RM2.6 bilion yang dibuat kepadanya sebelum ini berasal dari sumbangan politik keluarga diraja Arab Saudi.

"Tidak ada bukti yang menunjukkan PM memberi apa-apa kelulusan untuk pemindahan wang dari akaun SRC International ke dalam akaun peribadi beliau," katanya.

Apandi berkata demikian ketika menjawab dua kertas siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) – berkaitan kes SRC International dan kes RM2.6 bilion yang disalurkan ke akaun bank peribadi Najib – kepada Apandi Disember tahun lalu.

RM2.6 bilion telah dipindahkan pada tahun 2013 manakala RM42 juta daripada SRC International disalurkan ke dalam akaun Najib pada akhir 2014 dan awal 2015.

Sementara itu, Rafizi mengibaratkan isu tersebut seperti perlawanan pingpong, apabila Apandi berkata Najib telah mengembalikan RM2.03 bilion kepada keluarga diraja Saudi tersebut pada bulan Ogos 2013.

"Najib berkata beliau mendapat derma RM2.6 bilion, entah bagaimana dia kembali semula.

"Kemudian setahun kemudian, entah macam mana penderma Arab yang murah hati derma RM42 juta lagi ke dalam akaunnya melalui SRC," katanya.
-mk


Tabung Haji Goyang, Paras Rizabnya "Merah"...

Posted: 26 Jan 2016 07:35 AM PST

Bank Negara beri amaran, paras rizab Tabung Haji negatif

Paras rizab Lembaga Tabung Haji negatif dan tidak akan dapat membayar 8.8 juta pencarum sebarang dividen tahun ini jika tidak mengambil tindakan menyelesaikan masalah ini, kata Gabenor Bank Negara Malaysia Tan Sri Zeti Akhtar Aziz kepada lembaga itu baru-baru ini.

Dalam surat bertarikh 23 Disember yang dilihat The Malaysian Insider, Zeti memberitahu Pengerusi Lembaga Tabung Haji Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim nilai aset hanya mencukupi untuk membayar tidak lebih daripada 98 sen bagi setiap seringgit nilai liabiliti.


Seksyen 22 Akta Tabung Haji menyatakan Lembaga Tabung Haji tidak boleh mengisytiharkan pengagihan dividen dan bonus kepada pendeposit sekiranya nilai aset kurang daripada nilai kesemua obligasinya.

Dalam satu surat berasingan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom pada tarikh sama yang turut dilihat The Malaysian Insider, Zeti memberi amaran keadaan kewangan Tabung Haji boleh memberi kesan kewangan kepada kerajaan.

Zeti berkata, ini kerana Putrajaya menjamin sepenuhnya simpanan deposit di Lembaga Tabung Haji.

Beliau memberitahu Jamil disebabkan perkara ini, keberkesanan Lembaga Tabung Haji dalam membantu umat Islam di Malaysia menunaikan ibadah haji mungkin terjejas.

Sementara itu, dalam suratnya kepada Azeez, Zeti berkata Lembaga Tabung Haji mungkin terpaksa melupuskan aset pelaburannya pada skala besar dan masa yang singkat untuk memenuhi tanggungjawab kepada pendeposit.

Beliau berkata, ini akan mengurangkan nilai aset Tabung Haji, dan kestabilan sistem kewangan dan sistem ekonomi negara pada risiko yang lebih tinggi melalui "kesan penularan".

Ini kerana ia akan memberi kesan kerugian nilai pelaburan bagi institusi kewangan dan pelabur lain yang turut terdedah kepada aset terbabit; tekanan kecairan kepada institusi perbankan ekoran pengeluaran deposit Lembaga Tabung Haji dan kesan negatif terhadap sentimen para pelabur, katanya.


Zeti menyalahkan amalan Lembaga Tabung Haji kerana membayar dividen lebih daripada kemampuan kepada pendeposit sejak 2012.

"Amalan pengagihan dividen dan bonus tidak berhemat secara puratanya melebihi keuntungan semasa (purata sebanyak 107% bagi tempoh 2012-2014) menyebabkan paras rizab terkumpul Lembaga Tabung Haji yang sememangnya rendah untuk terus merosot, sehingga tidak mencukupi untuk menangani prestasi lemah portfolio ekuiti yang lemah pada 2015.

"Ini seterusnya menyebabkan rizab Lembaga Tabung Haji menjadi negatif
," kata Zeti dalam surat itu.

Menurut Zeti, satu lagi masalah ialah deposit Tabung Haji tertumpu di kalangan sebilangan kecil penyumbang – 5% pendeposit terbesar merangkumi kira-kira 75% jumlah keseluruhan pendeposit.

Zeti berkata, ini akan menyebabkan risiko pengeluaran deposit secara besar-besaran, sekiranya pendeposit hilang kepercayaan terhadap Tabung Haji.

Beliau mencadangkan Lembaga Tabung Haji agar segera merangka dasar rizab dan pelan pelaksanaan yang sudah diluluskan Lembaga Pengarah kepada Bank Negara pada 31 Mac 2016.

Selain itu, mencadangkan kepada Jamil untuk menambah bilangan ahli Lembaga Pengarah yang mempunyai pengalaman dan kepakaran luas dalam bidang kewangan.

Jamil tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan komen dan tidak menjawab kiriman teks daripada The Malaysian Insider.

Azeez memberitahu The Malaysian Insider beliau perlu menyemak dengan pejabat Lembaga Tabung Haji esok sama ada surat itu benar.

Tetapi beliau menegaskan Lembaga Tabung Haji tidak mempunyai masalah untuk membayar dividen tahun ini, dan pendeposit perlu menunggu selewat-lewatnya pada Mac untuk pengumuman.

Sementara dalam kenyataannya malam tadi, Lembaga Tabung Haji mengatakan mereka perlu memastikan semua proses audit awal dilaksanakan terlebih dahulu serta mendapat kelulusan dalaman sebelum mengumumkan dividen atau bonus kepada pendepositnya.

"Lembaga Tabung Haji meminta orang ramai tidak membuat spekulasi tarikh pengumuman bonus pendepositnya bagi 2015."

Bahagian hal ehwal awam dan komunikasi korporat Lembaga Tabung Haji dalam kenyataan menerusi laman Facebooknya berkata, pada kelazimannya bonus akan diumumkan kepada pendeposit pada suku pertama (Januari-Mac) tahun semasa.

Kenyataan itu menyebut Lembaga Tabung Haji pernah mengumumkan bonus pendeposit pada hujung Februari dan awal Mac sebelum ini.

Sementara itu, bahagian hal ehwal awam dan komunikasi korporat Lembaga Tabung Haji masih belum membalas e-mel The Malaysian Insider untuk mendapatkan pengesahan berkenaan kebenaran surat itu.

Bagaimanapun blog yang tidak diketahui pemiliknya memuat naik surat sama hari ini.

Penulis blog Syed Akbar Ali turut memuat naik semula surat itu.

Tahun lalu, Lembaga Tabung Haji mencetuskan kontroversi apabila membeli tanah 0.64 ha di Tun Razak Exchange (TRX) berharga RM188 juta daripada 1Malaysia Development (1MDB) untuk membangunkan sebuah menara kediaman.

Lembaga Tabung Haji membayar 43 kali ganda lebih tinggi daripada yang dibeli 1MDB daripada Putrajaya 5 tahun lalu.

Disebabkan tekanan orang ramai, Lembaga Tabung Haji pada Mei berikrar untuk menjual tanah itu akan tetapi sehingga kini, tidak ada apa-apa berita mengenainya. -TMI

ULASAN GB

Tanung Haji bermula dengan Perbadanan Wang Simpanan Bakal-bakal Haji yang ditubuhkan pada bulan November tahun 1962, dan beroperasi pada 30 September tahun 1963. Perbadanan ini wujud hasil penerimaan kertas kerja Yang Mulia Profesor Di Raja Ungku Aziz bertajuk "Rancangan Membaiki Ekonomi Bakal-bakal Haji" pada tahun 1959.

Kini anak Ungku Aziz, Zeti Aziz yang merupakan Gabenor Bank Negara memberi amaran "paras rizab Lembaga Tabung Haji negatif dan tidak akan dapat membayar 8.8 juta pencarum sebarang dividen tahun ini jika tidak mengambil tindakan menyelesaikan masalah ini."

Inilah akibatnya apabila kaduk naik junjung, apabila Abdul Azeez Abdul Rahim dilantiuk sebagai Pengerusi TH walaupun dipersoalkan banyak pihak tentang kkredibilitinya. Najib sengaja memekakkan telinganya terhadap kritikan-kritikan tersebut kerana baginya Aeez penting untuk diletakkan di TH supaya akur segala keputusan yang bakal dibuat oleh Lembaga Pengarah TH.

Kita telah mengingatkan mengenai sebuah hadith Rasulullah riwayat Bukhari yang menyentuh tentang amanah: "Sekiranya sesuatu urusan itu diserahkan kepada orang yang bukan ahlinya, maka tunggulah saat kehancuran."

Apakah Tabung Haji akan hancur binasa lantaran meletakkan orang yang tidak berkeahlian untuk mengemudinya berdasarkan hadith di atas?

Ust Ab Ghani Jawab Tuduhan & Fitnah Jahat Terhadapnya

Posted: 25 Jan 2016 07:52 PM PST

Ustaz muda perlu elak tulisan sensasi berbaur fitnah Oleh ABDUL GHANI SHAMSUDDIN

Menulis sesuatu berita atau kenyataan pada masa ini memerlukan ketelitian dari sudut kebenaran, keperluan dan lebih-lebih lagi kepada implikasi penulisan berkenaan kepada pihak yang terlibat.

Kecenderungan politik dan watak seseorang banyak mencorakkan bentuk dan cara penulisan. Penulis yang menulis dengan kesedaran yang tinggi tentang keperluan suasana islah dan damai berbeza dengan mereka yang kurang peka dan hanya mahu mencemar atau merendahkan martabat seseorang.


Setelah berlaku kunjungan dari berbagai kumpulan dan sahabat ke Doha, kita mendapat kesan bahawa pendirian pimpinan utama Kesatuan Ulamak Sedunia (KUMS), walaupun di peringkat awal agak gusar tentang politik di Malaysia tetapi setelah mendapat maklumat lanjut - adalah berkecuali; berlandaskan kaedah warga tempatan lebih tahu tentang selok belok (politik) negara mereka.

Juga setelah mendapat penjelasan tentang asas-asas syar'ie penubuhan parti Amanah. Malah ada pengakuan pihak KUMS untuk mengusahakan pertemuan antara dua kumpulan jamaah atau parti yang bertikai; iaitu antara Parti Islam Se-Malaysia (PAS) dan Parti Amanah Negara (Amanah) di Malaysia.

Dalam pertemuan saya dengan Syaikh Ali Qaradaghi di Hotel Westin, Kuala Lumpur pada awal bulan November 2015 lalu, beliau antara lain telah menegaskan bahawa, tidak ada fatwa bertulis oleh Syaikh Yusuf Al Qaradhawi tentang pengharaman parti Amanah Negara di Malaysia seperti yang diwar-warkan oleh orang-orang tertentu.

Dakwaan mengenai nama Syaikh Qaradaghi dan Syaikh Qaradhawi sudah diputar belit dan dikatakan menyokong parti Amanah adalah tidak benar sama sekali kerana bagaimana wakil Amanah boleh memutar belit sedangkan beberapa hari sebelum kunjungan kami melawat Doha telah diisytiharkan oleh pemimpin PAS kepada orang ramai di Malaysia bahawa Syaikh Qaradhawi mengeluarkan fatwa bertulis mengharamkan parti Amanah. Tapi ternyata dakwaan itu kemudiannya adalah palsu.


Tentang dakwaan Syaikh Ali bahawa wakil Amanah mewar-warkan dengan gambar beliau bersama wakil Amanah yang disiar; bahawa Syaikh Ali adalah menyokong parti Amanah adalah dakwaan yang tidak benar dan fitnah semata mata. Tidak ada perkhabaran sedemikian rupa.

Kalau ada kami menuntut bukti, di facebook mana atau halaman web mana dakwaan berkenaan disiarkan. Sila beri pautan urlnya atau blognya sebagai bukti.

Sementelahan pula bergambar dengan seorang ulama seperti beliau adalah suatu penghormatan kepada rakyat Malaysia yang juga adalah pemimpin politik terkenal. Apakah penghinaan yang berlaku kepada Syaikh berkenaan dengan gambar demikian sehingga mereka hendak dihukum sebagai pengkhianat.

Kalaupun penyiaran gambar itu berlainan dari kehendak beliau mamun kami tidak fikir bahawa Syaikh berkenaan begitu kejam dan bersikap keras sehingga menuduh tetamu dan sahabatnya sebagai pengkhianat.

Setahu kami beliau dan Syaikh Yusuf Al Qaradhawi adalah seorang yang sangat bertimbang rasa, mesra dan pemaaf yang tidak mungkin membuat tuduhan buruk dengan hanya bergambar dengan saudara seagama yang sebelumnya tidak pernah berjumpa dengan beliau. Tuduhan pengkhianat ini memang lumrah di kalangan golongan fanatik parti lama kami dahulu, dengan kebencian mereka yang meluap.

Lebih meragukan lagi apabila wujud semacam tuduhan tidak langsung dalam tulisan berkenaan bahawa pimpinan Amanah adalah cenderung kepada Syiah dan bahawa saya kononnya telah disingkir dari menjadi pengerusi KUMS Cawangan Malaysia kerana bayangan itu.


Setahu kami Syaikh Qaradaghi dan Syaikh Yusuf Al Qaradhawi adalah seorang yang sangat berhati hati untuk menuduh sesiapa sebagai Syiah atau berkecenderungan Syiah. Penulisan yang serampangan merosakkan imej diri dan Syaikh itu sangat-sangat kita kesali, meskipun atas dakwaan menyampaikan amanah.

Dalam hadith riwayat Abu Hurairah Rasulullah bersabda:

كفى بالمرء كذبا ان يحدث بكل ما سمع
"Cukuplah bohongnya seseorang itu apabila ia menceritakan semua apa yang didengarnya."

Pegawai muda Asian Finance Bank itu sewajarnya mendapatkan maklumat yang lebih jelas melalui pertanyaan langsung dengan saya atau pimpinan parti Amanah yang lain sebelum menyiarkan penulisan seperti itu dan mengelakkan diri dari terjebak dengan trend politik negatif yang mengeruhkan hubungan antara sesama ulama dan rakyat dengan tulisan yang menimbulkan prasangka dan fitnah seperti yang telah diterangkan.

Tulisan berunsur ghibah

Tulisan yang berunsur ghibah (mengumpat), lamz, merendahkan nama baik seseorang wajar dielak.

Penamatan tugas saya sebagai wakil Kesatuan Ulama Sedunia Cawangan Malaysia tidak ada kena mengena dengan dakwaan fahaman Syiah seperti mana yang tersurat atau tersirat dalam surat KUMS berkenaan. Alasan yang dinyatakan adalah kerana Kesatuan Ulama Sedunia tidak mahu dilibatkan dengan politik tempatan.

"Memandangkan Ust Abdul Ghani sudah terlibat aktif dalam politik (Parti Amanah Negara) maka tempat beliau akan diganti oleh mereka yang tidak bersifat demikian."

Ini tidak menjejaskan peranan saya sebagai Ahli Pemegang Amanah KUMS yang tempohnya tamat pada tahun 2018; di mana akan diadakan Muktamar Sesi Kelima KUMS kelak.

Oleh itu saya boleh terus berperanan atas nama Ahli Jawatankuasa Pemegang Amanah KUMS seperti yang dinyatakan oleh surat Setiausaha Agung KUMS kepada saya. Tidak timbul soal tersingkir atau disingkir seperti yang terbayang dalam benak penulis.


Semoga tulisan Saudara Wan Norhaziki yang menimbulkan banyak persepsi negatif seperti ini tidak berulang lagi dari penulis berkenaan pada masa-masa yang akan datang.

Saya menyeru beliau agar sama-sama bersikap waspada dengan firman Allah dalam surah Al Humazah:

وَيْلٌ لِّكُلِّ هُمَزَةٍ لُّمَزَةٍ

"Neraka Wail untuk setiap penghina dan yang suka merendah-rendahkan orang lain."

Juga firman Allah dalam surah (Al Hujurat ayat 11):

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا يَسْخَرْ قَوْمٌ مِّن قَوْمٍ عَسَىٰ أَن يَكُونُوا خَيْرًا مِّنْهُمْ وَلَا نِسَاءٌ مِّن نِّسَاءٍ عَسَىٰ أَن يَكُنَّ خَيْرًا مِّنْهُنَّ وَلَا تَلْمِزُوا أَنفُسَكُمْ وَلَا تَنَابَزُوا بِالْأَلْقَابِ بِئْسَ الِاسْمُ الْفُسُوقُ بَعْدَ الْإِيمَانِ وَمَن لَّمْ يَتُبْ فَأُولَٰئِكَ هُمُ الظَّالِمُونَ

"Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu golongan lelaki mencemuh dan merendah-rendahkan golongan yang lain, (kerana) kemungkinan golongan yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu kumpulan perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan kumpulan perempuan yang lain, (kerana) ada kumungkinan kumpulan yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka yang mencemuh.

"Seterusnya janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengah yang lain; dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. Seburuk-buruk gelaran dan nama ialah fasik sesudah beriman. Dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan buruk tersebut) maka merekalah orang-orang yang zalim."

Jabir meriwayatkan dari Rasulullah sabda baginda:

الشيطان قد يئس ان يعبده المصلون في جزيرة العرب ولكن في التحريش بينهم (رواه مسلم) والتحريش اي الافساد وتغيير قلوبهم وتعاطفهم

"Sebenarnya syaitan sudah berputus asa untuk disembah oleh orang yang bersembahyang di Jazirah Arab. Namun dia masih tidak berputus asa untuk merosakkan hubungan sesama mereka (manusia)."

Oleh itu marilah kita beramal dengan firman Allah (Al An'am: 152):

وًاذا قلتم فاعدلوا ولو كان ذا قربى

"Jika kamu berkata (bertutur atau menulis) berkatalah dengan adil walaupun terhadap kaum kerabat."

Pesanan Allah dalam surah Al Isra' ayat 53:

وقل لعبادي يقولوا التي هي احسن

"Katakanlah kepada para hamba-Ku agar mereka berkata dengan perkataan yang terbaik."

Juga pesanan Allah dalam surah (Al Hujurat ayat 10):

إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌ فَأَصْلِحُوا بَيْنَ أَخَوَيْكُمْ وَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ

"Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah kalangan (pihak-pihak) saudara kamu (yang bertelingkah); dan bertakwalah kepada Allah, mudah-mudahan kamu mendapat rahmat."

* Ustaz Abdul Ghani Samsudin ialah Pengerusi Sekretariat Himpunan Ulama Rantau Asia Tenggara (Shura) dan Ahli Majlis Pemegang Amanah Kesatuan Ulama Sedunia (KUMS).

Tiada ulasan: