Jumaat, 15 Januari 2016

Kelab Greenboc

Kelab Greenboc


PAS Cuba Pujuk Salahuddin Kembali Ke Parti Itu Semula...

Posted: 15 Jan 2016 12:31 AM PST

Salahuddin Ayub Adalah Sibghah PAS oleh Subky Latif

ADA penyokong PAS yang setia datang bertanya, betulkah PAS sedang memujuk Salahuddin Ayub yang lari daripada PAS supaya kembali semula kepada PAS?

Saya tidak tahu akan sesuatu. Yang saya tahu hanya membuat tafsiran dan analisis atas semua kemungkinan. Tafsiran dan analisis ada tepat ada tidak. Biasanya ia dibuat mengikut logik.



Orang yang bertanya itu berkata, dia dimaklumkan oleh orang kuat parti orang-orang PAS yang lari itu bahawa PAS sedang berusaha memecahkan parti itu dengan memujuk Salahuddin kembali kepada PAS.

Analisis saya ialah tiada banyak orang PAS pandai memujuk orang PAS yang keluar kembali kepadanya, bahkan menghalang jangan keluar pun kurang. Yang banyak dan pandai ialah memujuk orang PAS keluar daripada partinya. Yang saya paling tidak seronok ada yang suka orang yang keluar itu keluar kerana ia dikira sebagai pemutihan kepada PAS.

Yang saya hajati dalam mengatasi hal yang dihadapi PAS ialah jangan penyelesaian itu hingga mencicirkan barang seorang pun anggota PAS yang sejuta itu.

Apapun tentang Salahuddin itu ialah dia adalah seorang sibghah PAS. Kalimah sibghah dalam Quran itu diterjemahkan sebagai celupan atau sepuhan.

Kalau hendak diselamatkan dia bukanlah justeru disasarkan kepada mana-mana pihak tetapi orang yang dicelup PAS dari mula itu seelok-eloknya wajar diselamatkan.

Seelok saja dia baligh, tentunya sesudah berkhatan, gerakan Islam yang mula diketahuinya dan lekat padanya ialah PAS. Sengat PAS itulah yang menjalar pada nadi dan dalam darahnya.

Orang lain yang sebaya dengannya, justeru jamaah Islam selain PAS sudah mulai ada di sana sini, mereka sudah dihinggapi sibghah yang lain. Sebagai anak muda mereka dapat celupan daripada persatuan pelajar Islam atau belia Islam dan macam-macam NGO dakwah dan badan kebanjikan seperti Perkim dan lain-lain.

Setelah mereka keluar sekolah atau tidak aktif lagi dalam mana-mana badan, justeru cenderung kepada gerakan dan politik, ada yang menyertai parti-parti politik lain dulu antaranya ada yang tersesat dalam Umno. Sesudah dalam politik itu tidak kena dalam politik ini pun tidak kena, maka barulah atas sibghah-sibghah yang lain mereka dapat sibghah PAS.

Akan tetapi Salahuddin diketahui semua dari awal sudah sibghah PAS dan kalau PAS itu ada usrah dan tarbiyah, besar dan dewasanya adalah dengan usrah dan tarbiyah PAS. Dan dengan sibghah PAS itulah dia menyepuh pemuda-pemuda PAS dan lain-lain lapisan PAS dengan celupan yang sebati dengan darah dagingnya.

Yang dapat celupan daripada berbagai-bagai jamaah dan parti politik lain dulu jika antaranya lucut daripada celupan PAS apa boleh buat, tetapi jika Salahuddin terlondeh sama daripada sibghah PAS adalah suatu yang amat tdak patut. Jika yang sebati sibghahnya sepertinya lekang daripada sibghahnya, nescaya ada ruginya. PAS rugi dia pun dikira rugi juga. Kerugian itu nescaya mendatangkan sia-sia.

Sebelum semua jadi sia-sia eloklah Salahuddin diselamatkan supaya yang sibghah PAS dari mula kekal dalam sibghah PAS. Pada yang lain saya sayang juga, tapi Salahuddin adalah tersangat sayang. Tiada siapa boleh pujuk dia. Dialah yang boleh memujuk hatinya.

ULASAN GB

Ada dua yan GB ingin ulaskan, pertama tentang Subky yang menulis rencana di atas dan kedua tentang Salahuddin Ayub, figura yang menjadi tumpuan penulisannya kali ini. kedua-duanya GB kenal in person, walaupun seorang daripadanya mungkin sudah tak berapa cam lagi dengan GB kerana masing-masing kini sudah masuk di dalam kategori warga emas.

Dahulu, Subky, amat GB kagumi. Kagum dengan tulisannya. Kagum kerana keberaniannya. Kerana beliau satu-satunya pelupor "kewartawanan alternatif" waktu itu. Tidak ramai yang menulis dengan gaya pemikiran kritikal dan lateral. Bekas wartawan Utusan, Subky dan WATAN amat sinonim satu ketika. Sebelum WATAN. GB sentiasa mengikuti tulisan beliau di Suara Rakyat dan Suara Merdeka. Lain-lain penulis seperti Chamil Wariya dan Azran Abd Rahman telah hilang entah ke mana.

Pendekkan kisah, sewaktu PAS berpecah diantara golongan progresif dengan golongan ulamak, Subky mengambil pendirian menyokong golongan ulamak. Dan sejak itu tulisan-tulisannya mula memaparkan "Subky" yang sebenar. Baginya, golongan "ustadz" adalah golongan yang suci dan tidak berbuat salah walaupun beliau tidak pula mengulas mengenai Ustadz Ahmad Awang dan Ustadz Abdul Ghani Shamsuddin yang kedua-duanya kini menjawat dua jawatan teringgi di dalam Parti Amanah Negara sebagai Penasihat Umum.

Itu hak Subky, itu pendirian masing-masing. Dan Subky juga tidak berhak menghalang orang lain untuk mengambil pendirian terhadap mereka yang menyokong golongan progresif "yang telah dihalau keluar dari PAS" dan Subky adalah benar apabila beliau menyatakan Yang banyak dan pandai (dalam PAS) ialah memujuk orang PAS keluar daripada partinya. Yang saya paling tidak seronok ada yang suka orang yang keluar itu keluar kerana ia dikira sebagai pemutihan kepada PAS.

Bererti beliau sedar "fikrah" kumpulan yang disokongnya di dalam tulisan-tulisannya.

Cukup sekadar itu ulasna GB kerana yang penting Subky tahu siapa pendokong PAS kini - iaitu kumpulan orang yang suka "menghalau orang keluar dari jemaah (PAS) kerana itu adalah proses pemutihan PAS". Dan kita ucapkan terima kasih kepada Subky lantaran pengakuannya itu.

Tentang Salahuddin, beliau seorang pemimpin yang agak muda (dan handsome) berbanding dengan pemimpin-pemimpin AMANAH yang lain. Beliau mengenali GB in person dan beliau di dalam ucapan atau ceramahnya (seperti pimpinan "parti sejarah" yang lain-lain) akan menyebut nama GB jika beliau terperasan GB ada bersama-sama di dalam majlisnya. Mana mungkin melupai Salahuddin kerana Salahuddin adalah seorang yang suka membantu orang susah tanpa diketahui orang lain walaupun orang yang dibantu itu tidak pernah mengingati jasanya.

Salahuddin ditewaskan di dalam pemilihan muktamar PAS walaupun telah berkhidmat dan berjasa kepada parti sejarahnya sebagai Naib Presiden selama beberapa penggal, hanya semata-mata kerana nama beliau tidak tersenarai di dalam "cai".

Ada yang menuduh Salahuddin gagal menjadi Khalid Al-Walid yang "istiqamah walaupun tidak berjawatan". Tetapi mereka lupa, Khalid tidak pernah dihina dan dicaci maki oleh anggota jemaah sewaktu beliau diturunkan dari jawatan jenderal/komander tentera Islam oleh khalifah Umar Al-Khattab.

Berbeza dengan situasi PAS dimana sebelum, sewaktu dan selepas pemilihan, Salahuddin bersama-sama pimpinan yang yang progresif, dihina, dicaci maki malah dihalau keluar dari PAS.

Maka tindakan Salahuddin bersama pemimpin progresif yang lain-lain meninggalkan PAS adalah betul kerana mereka itu berjuang kerana Islam, menghormati "permintaan" orang yang menghalau mereka.

Kumpulan progresif tetap dengan perjuangan Islam, maka tertubuhlah AMANAH, dengan "sibghah" (pinjam istilah Subky) yang lebih tulus dan lebih murni. Walaupun dari kalangan PAS kini masih penuh dengan mereka yang mencaci-maki dan memfitnah, kumpulan progresif yang membentuk AMANAH terus "istiqamah" dengan "perjuangan Islam", sebagai golongan yang tidak takut dan tidak kisah dengan "celaan orang yang mencela".

"Perjuangan Islam" tidak semestinya melalui PAS semata-mata. PAS itu hanyalah "wasilah". Dan sebagai menutup ulasan ini GB lampirkan kata-kata Syeikh Al-Qardhawi dan Hassan Al-Bana terhadap mereka yang menyertai jemaah Islam yang lain:




Dan ini pula penjelasan dari Setiausaha Agong Kesatuan Ulamak Sedunia, Shaikh Ali Muhyiddin Al-Qardhagi yang disampaikan melalui Timbalan Penasihat Umum AMANAH, Ustaz Abdul Ghani Shamsuddin



Tiada ulasan: