Khamis, 28 Januari 2016

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


BERAPA RAMAI SETUJU?

Posted: 28 Jan 2016 05:33 AM PST

shahbudindotcom

 

 
 
 
SPRM dikatakan telah mencadangkan tiga pertuduhan harus diambil terhadap Perdana Menteri, Najib Razak dalam kertas siasatannya berkaitan isu wang  RM2,600 juta dan dana RM42 juta daripada SRC International yang masuk ke akaun peribadi Perdana Menteri.

Bagaimanapun, cadangan itu ditolak oleh Peguam Negara, Apandi Ali. Beliau bukan saja membersihkan nama Najib daripada sebarang pertuduhan atas alasan tidak cukup bukti, malah juga mengarahkan SPRM menutup terus kes tersebut.

Tetapi isu ini telah menjadi pertikaian paling hebat dalam masyarakat di mana bukan saja orangramai membuak-buak tidak setuju dengan keputusan Peguam Negara itu, malah bekas Peguam Negara, Abu Talib Othman dan beberapa pengamal undang-undang juga mempersoalkannya.

SPRM juga dilaporkan ingin merayu keputusan Peguam Negara itu kerana menganggap susah payah mereka melengkapkan siasatan hampir tujuh bulan selama ini sebagai sia-sia saja serta dalam masa yang sama tidak mahu membuatkan rakyat terus kehampaan.

Panel Penilaian Operasi dan Panel  Khas SPRM pula mahu rakyat diberi penjelasan secukupnya berhubung keputusan itu serta menyarankan agensi penguatkuasa itu terus mengadakan perbincangan dengan Peguam Negara untuk tindakan seterusnya, suatu isyarat jelas yang menggambarkan mereka juga tidak gembira kerana tiadanya pendakwaan dilakukan terhadap Najib.
 
 
 
 
 
Maka itu, kiranya dibuat undian, daripada 30 juta rakyat Malaysia, berapa ramaikah yang setuju Najib perlu didakwa kerana perlakuannya  berkaitan kemasukan kedua-dua wang itu tidak boleh dimaafkan serta telah mencemarkan nama baik negara?

Daripada 3.4 juta ahli UMNO, berapa ramai  yang setuju beliau harus membersihkan namanya melalui proses di mahkamah, bukannya semata-mata dibersihkan oleh Apandi Ali?

Daripada kira-kira 1.5 juta penjawat awam, berapa ramai yang setuju bahawa Najib mesti diadili di mahkamah?

Akhir sekali, tanya juga secara bisik-bisik  dan "off the record" dengan Zahid Hamidi, setuju atau tidak beliau tentang perlunya Najib dibawa ke mahkamah? 
 
 
 

“Kami bersama SPRM, dedahkanlah kebenaran”

Posted: 28 Jan 2016 05:28 AM PST

SELANGOR KINI


SHAH ALAM : BERSIH 2.0 mengucapkan tahniah kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang tidak letih berjuang menegakkan keadilan dan mencerita kebenaran dalam kes RM2.6 billion.

Pengerusinya, Maria Chin Abdullah, berkata BERSIH 2.0 menyokong penuh keputusan SPRM untuk membawa isu RM2.6 billion kepada Panel Pernilaian Operasi (PPO) untuk penilitian semula.

logo SPRM

Katanya beliau percaya SPRM menjalankan siasatan ini dengan teliti. Kini sudah tiba masanya SPRM mendedahkan kepada umum dapatan mengenai siasatan terhadap kes itu.

"Seluruh rakyat Malaysia berhak mengetahui kebenaran dan kebenaran ini hanya boleh didedahkan oleh SPRM.

"BERSIH 2.0 yakin rakyat juga turut bersama dengan SPRM dengan hal ini. Ini juga membantu SPRM mendapat semula kepercayaan umum dari segi ketelusan dan kebenaran," katanya dalam kenyataan media.

Beliau berkata langkah diambil SPRM wajar menjadi contoh sebuah institusi awam yang bebas dan mendaulatkan integriti serta keadilan.

"Ini jalan wajar diikuti, ke arah keyakinan dan sokongan orang ramai. Malah, ini membantu negara memulihkan indeks rasuah yang makin menjunam.

"Peluang ini datang sekali. Lakukan sekarang, sebelum terlewat," katanya.EZY


Tiga laluan Bas Smart Selangor luar bandar tahun ini

Posted: 28 Jan 2016 05:23 AM PST

OLEH : AFIX REDZUAN


SHAH ALAM: Tiga laluan bas Smart Selangor bakal diperkenalkan tahun ini khusus untuk kawasan luar bandar.

Exco Pelaburan, Perindustrian IKS serta Perdagangan dan Pengangkutan, Datuk Teng Chang Khim, berkata usaha itu diteruskan selepas kejayaan pelaksanaan program sama di enam kawasan bandar sebelum ini.

basMPAJ 1

Dalam satu temubual esklusif bersama SelangorKini, beliau menjangkakan usaha ini dapat dilakukan sebelum Julai 2016 dengan tiga laluan baru yang merentasi sempadan perbandaran.

Laluan pertama melibatkan perjalanan dari Selayang ke Rawang dan Kuala Kubu Bharu dengan merentasi Majlis Perbandaran Selayang (MPS) dan Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS).

Kedua dari Kuala Selangor ke Sekinchan hingga Sungai Besar dengan merentasi Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) dan Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB).

Sementara laluan ketiga melibatkan Banting ke Morib, Tanjung Sepat dan Sungai Pelek.

"Jika kita berjaya melancarkannya sebelum Julai bererti kita sudah berjaya membekalkan bas percuma ke seluruh majlis perbandaran di daerah Selangor," katanya.

Sejak dua tahun lalu, Kerajaan Selangor sudah memperuntukkan RM3.5 juta untuk penyediaan Bas Smart Selangor yang dahulunya dikenali sebagai Bas Selangorku.

Untuk tahun ini sahaja, Bas Smart Selangor sudah diperkenalkan di Ampang Jaya dan Kajang.EZY


GST hanya selamatkan Putrajaya daripada muflis, bukan ekonomi, kata Guan Eng

Posted: 28 Jan 2016 05:13 AM PST



Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng berkata, beliau kesal GST masih diteruskan walaupun sudah jelas ia membebankan rakyat. – Gambar fail The Malaysian Insider, 28 Januari, 2016.Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng berkata, beliau kesal GST masih diteruskan walaupun sudah jelas ia membebankan rakyat. – Gambar fail The Malaysian Insider,.
 
 
Kerajaan Pulau Pinang hari ini menyuarakan kekesalannya kerana Putrajaya tidak membuat sebarang usaha membatalkan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dan sebaliknya memuji ia sebagai penyelamat negara. 
 
 Ketua Menteri Lim Guan Eng berkata beliau tidak memahami bagaimana Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak boleh menggunakan cukai tersebut sebagai sebab penjawat awam masih menerima gaji mereka.

"Beliau masih cuba mempertahankan GST. Cukai ini tidak menyelamatkan Malaysia, tetapi mungkin ia menyelamatkan kerajaan persekutuan daripada muflis.

"Ia membebankan rakyat, membuatkan kurang menyimpan dan berbelanja. Semua ini disebabkan salah urus ekonomi kita. Itulah sebabnya kenapa mereka perlukan GST," katanya di pejabatnya di Pulau Pinang, hari ini. 
 
 Lim berkata demikian ketika mengulas kenyataan Najib semasa mengumumkan belanjawan negara yang diubahsuai untuk 2016.


2 panel penasihat mahu SPRM terus bincang dengan peguam negara

Posted: 28 Jan 2016 05:11 AM PST

THE MALAYSIAN INSIDER

Ahli tetap panel penilai SPRM, Tan Sri Musa Hassan tidak mahu membuat sebarang ulasan samada kertas siasatan itu dikira ditutup atau tidak. – Gambar fail, The Malaysian Insider, 28 Januari, 2016.Ahli tetap panel penilai SPRM, Tan Sri Musa Hassan tidak mahu membuat sebarang ulasan samada kertas siasatan itu dikira ditutup atau tidak. – Gambar fail, The Malaysian Insider.
 
 
Dua panel penasihat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mahu badan itu terus berbincang dengan peguam negara ekoran keputusan tidak ada sebarang tindakan ke atas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak. 
 
Panel penilaian operasi dan panel khas berkata mereka mengambil perhatian terhadap keputusan Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali tidak ada kesalahan jenayah yang dilakukan Najib ke atas sumbangan RM2.3 bilion dan syarikat milik Kementerian Kewangan.

"Kedua-dua panel menasihatkan SPRM untuk berbincang dengan peguam negara berhubung keputusan berkenaan," kata kenyataan kedua-dua panel itu yang dikeluarkan di Putrajaya hari ini.

Ahli panel itu mengadakan mesyuarat hari ini ekoran permintaan dari SPRM bagi mengkaji keputusan peguam negara. Ahli tetap panel penilai SPRM, Tan Sri Musa Hassan memberitahu pemberita selepas mesyuarat itu, dia tidak mahu membuat sebarang ulasan samada kertas siasatan itu dikira ditutup atau tidak.

"Kita meminta mereka berbincang (enggage) dengan peguam negara," katanya.

Semalam SPRM berkata, pihaknya akan menyerahkan kertas siasatan mereka mengenai RM2.6 billion dan SRC International kepada panel penilai.

Panel penilai operasi boleh menerima dan mengkaji laporan SPRM itu berhubung dengan keputusan peguam negara terhadap kertas siasatan itu. Mereka berhak untuk memberikan pandangan jika tidak ada tindakan diambil.

Ahli panel khas terdiri daripada pelbagai jawatankuasa penasihat dalam SPRM.

Apandi ketika mengumumkan kekurangan bukti untuk mendakwa Najib juga berkata, beliau mengembalikan kertas siasatan itu kepada SPRM dengan arahan untuk ditutup.

Bekas peguam negara, Abu Talib Othman bagaimanapun mempertikaikan arahan itu dengan berkata, "Peguam negara hanya ada kuasa untuk memula, menjalankan dan menghentikan sebarang prosiding (jenayah), tetapi tidak ada bidang kuasa mengarahkan sebarang agensi siasatan menutup kertas siasatannya."

Ketika diminta mengulas lanjut apa yang mereka maksudkan dengan nasihat, Musa berkata, "Sebenarnya ada beberapa perkara yang mereka perlu berbincang lagi."

Apabila ditanya sama ada ini bermakna bahawa fail tidak ditutup, beliau berkata ia bukan tugas mereka untuk mengatakan sama ada fail ditutup atau dibuka.

"Mereka perlu bincang perkara ini, kita tidak boleh mengatakan sama ada terbuka atau tertutup," katanya.

Walau bagaimanapun Musa berkata, SPRM akan berjumpa dengan peguam negara "secepat mungkin".

Musa berkata, panel penilai SPRM adalah sebuah badan pengawasan yang anggotanya dilantik perdana menteri dengan tanggungjawab menerima dan meneliti laporan daripada SPRM berhubung keputusan kertas siasatan yang dibuat peguam negara dan mengemukakan pandangan mengenai tindakan ke atas kes di mana tiada caj dibuat.

Panel khas pula terdiri daripada jawatankuasa pengawasan dalam SPRM, yang ditubuhkan atas syor jawatankuasa khas mengenai rasuah yang dipengerusikan Presiden Dewan Negara, Tan Sri Abu Zahar Ujang.

"Panel penilai operasi dan panel khas mengambil perhatian terhadap keputusan peguam negara baru-baru ini berkaitan dengan RM2.6 bilion dan SRC International Sdn Bhd.

"Kedua-dua panel menasihatkan SPRM untuk 'engage' dengan Peguam Negara berhubung keputusan tersebut," katanya.


Jumpa saya satu sama satu untuk selesai saman, kata Ling kepada Najib

Posted: 28 Jan 2016 05:07 AM PST



Bekas presiden MCA, Tun Dr Ling Liong Sik juga menegaskan, pihak yang berkenaan tidak perlu memikirkan soal perbincangan jika ia bukan berdasarkan kebenaran dan ketelusan. – Gambar The Malaysian Insider oleh Wong Tuck Keong, 28 Januari, 2016.Bekas presiden MCA, Tun Dr Ling Liong Sik juga menegaskan, pihak yang berkenaan tidak perlu memikirkan soal perbincangan jika ia bukan berdasarkan kebenaran dan ketelusan. – Gambar The Malaysian Insider oleh Wong Tuck Keong. 
 
 
Tun Dr Ling Liong Sik, yang didakwa kerana memfitnah Datuk Seri Najib Razak berkata beliau hanya akan bersetuju untuk proses mediasi bagi menyelesaikan saman itu jika ia dilakukan "satu sama satu" bagi mengelakkan kes tersebut merebak lebih jauh.

Bekas presiden MCA itu juga menegaskan, pihak yang berkenaan tidak perlu memikirkan soal perbincangan jika ia bukan berdasarkan kebenaran dan ketelusan.

"Peguam kami kini sedang berunding sama ada untuk diselesaikan melalui mediasi atau tidak. Jika mahu diselesaikan melalui mediasi, ia mestilah satu dengan satu.

"Jika tidak, seluruh kes akan kembali kepada arahan. Membuang masa beliau dan membuang masa saya," kata Dr Ling di Kampar hari ini selepas mesyuarat 57 penerima biasiswa dari Universiti Tunku Abdul Rahman (Utar). 
 
Mengenai keputusan peguam negara tidak mendakwa Najib dengan apa-apa kesalahan jenayah ke atas sumbangan politik RM2.6 bilion kerana kekurangan bukti, Ling berkata tidak ada sebarang kaitan prosiding sivil ini antara beliau dan presiden Umno itu.

"Ini kes yang berlainan. Kes kami adalah kes sivil," katanya.

Dalam laporan sebelum ini, Dr Ling berkata beliau bersetuju menyelesaikan kes saman Najib dengan syarat perdana menteri hadir ke mahkamah.

Najib memfailkan saman itu pada Oktober tahun lepas selepas Dr Ling berkata, perdana menteri tidak layak untuk memimpin Malaysia selepas menerima RM2.6 bilion ke dalam akaun peribadinya, seperti dilaporkan The Wall Street Journal (WSJ).

Dalam pembelaannya, Dr Ling berkata presiden Umno itu gagal mendedahkan identiti penderma, sumber dana dan bagaimana ia digunakan.

Beliau berkata, Najib mengaku menerima wang sebagai derma tetapi tidak disalurkan wang dalam akaun Umno.

Dalam saman balas, Dr Ling mendakwa Najib menyalahgunakan proses mahkamah dan tidak meneruskan sebarang tindakan terhadap orang lain, termasuk pemimpin Umno yang berkali-kali mengkritik tingkah laku dan integriti beliau beberapa kali.

WSJ melaporkan AS$700 juta (RM2.6 bilion) dipindahkan ke dalam akaun peribadi Najib, bahagian yang terbesar yang berlaku 2 bulan sebelum pilihan raya umum Mei 2013.

Pada Selasa lalu, Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali berkata  "tiada bukti yang mencukupi" untuk mengaitkan perdana menteri selepas 6 bulan siasatan ke atas derma RM2.6 bilion dan firma milik Kementerian Kewangan, SRC International Sdn Bhd.

"Saya dengan ini memerintahkan supaya SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) untuk menutup kertas siasatan," kata Apandi.


Apandi tidak berhak arah SPRM henti siasat Najib, kata bekas peguam negara

Posted: 28 Jan 2016 05:02 AM PST



OLEH V. ANBALAGAN


Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali tidak ada bidang kuasa untuk mengarahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menutup siasatan terhadap sumbangan RM2.6 bilion yang dikatakan dimasukkan ke dalam akaun bank peribadi perdana menteri, kata bekas peguam negara.

Bahkan Tan Sri Abu Talib Othman berkata, Apandi dalam kes ini, tidak membantu SPRM memperoleh dokumen dan kenyataan dari luar negara untuk membantu siasatan itu, di bawah inisiatif bantuan undang-undang persefahaman (MLA).

"Mengikut Artikel 145 (3) Perlembagaan Persekutuan, peguam negara hanya ada kuasa untuk memula, menjalankan dan menghentikan sebarang prosiding (jenayah), tetapi tidak ada bidang kuasa mengarahkan sebarang agensi siasatan menutup kertas siasatannya.


"Kes ini membabitkan kepentingan awam yang menarik perhatian seluruh dunia, peguam negara mesti bantu SPRM kumpul bukti kerana sumber wang itu datang dari luar Malaysia," katanya kepada The Malaysian Insider.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas keputusan Apandi  Selasa lepas yang berpuas hati Datuk Seri Najib Razak tidak melakukan kesalahan jenayah berhubung wang sumbangan itu dan SRC International.
Apandi berkata tidak ada "bukti mencukupi" untuk mendakwa perdana menteri.

Bagaimanapun, Abu Talib berkata sepatutnya apa yang lebih ideal adalah jika Apandi membenarkan SPRM melengkapkan siasatan itu dan memberikan apa juga bantuan yang diperlukan memandangkan sumber sumbangan dari luar Malaysia.

"Sama ada akan memulakan pendakwaan atau tidak sepatutnya diputuskan selepas siasatan itu," kata Abu Talib.

Katanya, Malaysia mengamalkan sistem semak dan imbang dalam pentadbiran keadilan.

"Kuasa penyiasatan terletak pada SPRM sepenuhnya. Pendakwaan berdasarkan kepada bukti yang ada dan jika ada, tugas pendakwa raya untuk memulakan pendakwaan terhadap orang kena tuduh.

"Ia tugas mahkamah untuk memastikan sama ada seseorang itu bersalah melakukan jenayah atau tidak," katanya.

Pada 31 Disember, Timbalan Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Mohd Shukri Abdull berkata siasatan RM2.6 bilion itu tidak lengkap dan agensi penyiasatan itu perlu mendapatkan dokumen dan penyata membabitkan beberapa institusi kewangan luar negara.

"Dokumen dan penyata itu hanya boleh diambil menerusi MLA kerana mereka terikat kepada undang-undang perbankan negara yang terlibat," kata Shukri dalam satu kenyataan, tidak lama selepas kertas siasatan mengenai sumbangan SRC International itu dihantar kepada Apandi.

Bagaimanapun, pada sidang medianya Selasa lalu, Apandi berkata Malaysia tiada keperluan mendapatkan bantuan undang-undang daripada negara lain bagi menyiasat sumbangan itu kerana beliau mendapati tiada kesalahan dilakukan.

"Saya akan kembalikan kertas siasatan berkaitan kepada SPRM dengan arahan untuk menutup 3 kertas siasatan," kata Apandi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said semalam berkata tiada sesiapa boleh mempertikaikan keputusan peguam negara tidak mendakwa Najib kerana salah laku berhubung siasatan sumbangan RM2.6 bilion dan SRC.

Azalina yang juga seorang peguam berkata undang-undang memberi budi bicara peguam negara sepenuhnya untuk memutuskan sama ada kes itu perlu diteruskan di mahkamah atau tidak.

Sehubungan itu, katanya, rakyat Malaysia patut berhenti berdebat lebih lanjut mengenai kes itu.

Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad juga memberi komen terhadap keputusan Apandi, menuduh peguam negara memainkan peranan sebagai hakim dan pendakwa.

"Keputusan itu sebenarnya penghakiman. Peguam negara jadi kedua-duanya hakim dan pendakwa. Itu saja sudah tidak adil," kata Dr Mahathir.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com

Perang dua keluarga bakal punca UMNO hilang Kedah

Posted: 28 Jan 2016 04:36 AM PST

 
Pertempuran dua keluarga berpengaruh di Alam Melayu boleh menyebabkan UMNO terlepas Kedah ke tangan PAS.
 
 
 
najib-mukhriz


Negeri Jelapang Padi pada bulan ini mendapat tumpuan yang teramat luar biasa berbanding bulan-bulan terdahulu.

Ini semua berpunca daripada pertempuran maha hebat antara Wangsa Wan Mat Saman (House of Wan Mat Saman) dengan Wangsa Mohammad Noah (House of Mohammad Noah) yang mahu merebut takhta politik di Alam Melayu.

Wan Mat Saman adalah Perdana Menteri Kedah abad ke-19, manakala, Mohammad Noah adalah antara pengasas UMNO dan Speaker pertama Dewan Rakyat yang berketurunan Raja Chempa Bugis.

Dua wangsa ini adalah wangsa atau keluarga atau dinasti, yang berpengaruh di Tanah Melayu sejak hampir 100 tahun lalu dan pertelingkahan mereka menarik macam siri televisyen terbitan HBO, Game of Thrones.

Bergegar rakyat Kedah dan ahli UMNO seluruh negara apabila anggota Wangsa Wan Mat Saman, Mukhriz Mahathir mahu digugurkan selaku Menteri Besar Kedah, dipercayai atas 'restu' seorang anggota Wangsa Mohammad Noah, iaitu Najib Razak yang juga Perdana Menteri Malaysia.

Kita percaya, Najib merestui cubaan menggugurkan Mukhriz kerana 'serangan ganas' daripada seorang lagi anggota Wangsa Wan Mat Saman iaitu Dr Mahathir Mohamad, yang juga ayahanda Mukhriz, yang mahu Najib melepaskan jawatan.

Mengikut catur politik, tindakan Wangsa Mohammad Noah mengganggu Wangsa Wan Mat Saman adalah tindakan tidak bijak, kerana Kedah adalah kubu kuat dan tempat asal majoriti anggota Wangsa Wan Mat Saman.

Mukhriz sebenarnya meneruskan tradisi Wangsa Wan Mat Saman mengetuai Kerajaan Kedah, yang mana ia dimulakan Wan Mat Saman sendiri pada tahun 1870.

Malah, kalau diikutkan Sultan Kedah, Sultan Sir Abdul Hamid Halim Shah ibni Sultan Ahmad Tajuddin al-Mukarram Shah dan semua Sultan Kedah selepasnya, adalah anggota Wangsa Wan Mat Saman, iaitu daripada Wan Hajar Wan Ismail, iaitu saudara perempuan kepada Wan Mat Saman.

Sehubungan itu, Najib daripada Wangsa Mohammad Noah tak sepatutnya mengacau Wangsa Wan Mat Saman dan langkah itu boleh menggugat kedudukan UMNO di Kedah. Mukhriz disenangi rakyat Kedah dan antara faktor menyebabkan Mukhriz disukai ialah faktor asal-usulnya daripada Wangsa Wan Mat Saman.

Wangsa Wan Mat Saman yang dianggotai Dr Mahathir, Mukhriz beserta keluarga diraja Kedah adalah wangsa orang Melayu yang cukup berpengaruh sejak tahun 1870, berbanding Najib daripada Wangsa Mohammad Noah berketurunan Bugis yang baharu mendapat pengaruh pada tahun 1946.

Cuba fikirkan, apa perasaan rakyat Kedah apabila mendengar perkhabaran bahawa anggota Wangsa Wan Mat Saman yang menjadi Menteri Besar Kedah dikacau oleh anggota Wangsa Mohammad Noah dari luar Kedah?

Kita yakin, orang Kedah mesti akan merasa tidak puas hati dan impaknya ialah jentera pilihan raya UMNO Kedah bakal menerima bala. Silap besar kalau Wangsa Mohammad Noah pandang rendah kekuatan Wangsa Wan Mat Saman di Kedah.

Silap haribulan, Kedah boleh kembali semula kepada pembangkang atau lebih tepat lagi PAS, asalkan ada restu anggota Wangsa Wan Mat Saman dan bukannya anggota Wangsa Mohammad Noah.

Tiada raptai angkat sumpah Menteri Besar Kedah hari ini

Posted: 28 Jan 2016 04:34 AM PST

 
Pegawai Istana Anak Bukit memaklumkan tiada maklumat berhubung penukaran Menteri Besar baharu.





ALOR SETAR: Tiada raptai istiadat mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar baharu di Istana Anak Bukit, di sini, hari ini.

Seorang pegawai istana yang enggan dikenali memberitahu FMT, Istana Anak Bukit tidak menerima sebarang maklumat mengenai penukaran Menteri Besar negeri itu.

"Tiada sebarang upacara atau 'rehearsal' akan berlangsung petang ini. Hari ini hanya ada penganugerahan darjah bintang kebesaran sempena keputeraan baginda (Tuanku Abdul Halim Mua'dzam Shah) ke-88," katanya.

Tinjauan juga mendapati, keadaan di sekitar Istana Anak Bukit hanya seperti biasa dan tiada sebarang tanda-tanda yang menunjukkan persiapan majlis angkat sumpah Menteri Besar baharu diadakan.

Sebelum ini, Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah, Datuk Seri Tunku Sallehuddin ibni Almarhum Sultan Badlishah menganugerahkan darjah bintang kebesaran kepada 116 penerima sempena hari keputeraan Tuanku Abdul Halim di Istana Anak Bukit.

Hari ini, Utusan Malaysia melaporkan raptai mengangkat sumpah Menteri Besar baharu akan diadakan di Istana Anak Bukit bagi membolehkan upacara istiadat sebenar berlangsung esok.

Akhbar arus perdana itu turut melaporkan bahawa kemungkinan besar istiadat pelantikan Menteri Besar baharu akan berlangsung pada hari ini atau selewat-lewatnya esok.

Pengubahsuaian Bajet 2016 Malaysia : Beku Gaji Penjawat Awam Naik, Potong Subsidi Lagi, Kenaikan Tarif Elektrik dan LPG?

Posted: 28 Jan 2016 04:27 AM PST




Pengubahsuaian Bajet 2016 Malaysia : Beku Kenaikan gaji penjawat Awam, Potong Subsidi Lagi, Kenaikan Tarif Elektrik dan LPG?


pengubahsuaian bajet 2016


Pada ketika selepas pembentangan bajet 2016 Malaysia 26 Oktober 2015 yang lalu, ada cakap-cakap daripada kalangan penganalisis ekonomi dari dalam dan luar negara yang mempertikaikan Bajet 2016 yang dibentangkan Menteri kewangan, Datuk Seri Najib Razak kurang realitistik dengan keadaan ekonomi semasa pada masa itu dan pada masa yang akan datang.

Hari ini, cakap-cakap tersebut ada kebenarannya apabila sebentar sahaja lagi akan dibentangkan rombakan Bajet 2016 atau bahasa yang lebih sedap untuk diperdengarkan kepada rakyat Malaysia iaitu apa yang dipanggil pengubahsuaian Bajet 2016 akan dibentangkan.
Apa yang akan diubahsuaikan adakah belanjawan untuk Jabatan perdana Menteri akan dipotong? Atau adakah BR1M akan dikurangkan jumlahnya ataupun dihapuskan terus?

Sebelum kita mendengar live Bajet 2016 yang akan diubahsuaikan sebentar lagi, seorang pakar ekonomi dari Credit Suisse yang bernama Michael Wan (meliputi Malaysia, Singapore dan Filipina) telah berkongsi kajian dan pandangan mengenai apa kemungkinan dan yang akan terkandung dalam intipati pengubahsuaian Bajet 2016 kali ini. Antaranya ialah :

Pengubahsuaian Bajet 2016 Malaysia : Kajian Michael Wan, Credit Suisse?

 

  1. kerajaan akan kekalkan pelan mereka untuk sasar defisit fiskal pada 3.1 peratus
  2. tetapi, Michael Wan jangka ia akan jatuh 0.3 atau 0.4 peratus menjadi 3.4 peratus untuk defisit fiskal
  3. Harga minyak dunia pada tahun 2016 secara purata akan berada pada paras US$34 setong
  4. kerajaan bakal potong subsidi termausklah, umum kenaikan harga LPG kepada harga pasaran sebenar, kenaikan tarif elektrik
  5. Kerajaan dijangka akan bekukan sementara waktu sebarang kenaikan gaji untuk penjawat awam bagi tahun 2016
  6. Ini semua dilakukan lebih tertumpu bagaimana cara untuk mengurangkan beberapa aspek bagi operasi perbelanjaan kerajaan Malaysia
Bersama-sama ini, Berita Semasa kongsikan live streaming pengubahsuaian Bajet 2016 revision yang bakal disiarkan secara langsung kurang sehjam dari sekarang. Nantikan intipati dari Datuk Seri Najib Razak.


TPPA: Guan Eng anggap hari pahit buat rakyat Malaysia

Posted: 28 Jan 2016 04:20 AM PST

Lim Guan Eng

Roketkini.com


GEORGETOWN : Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menganggap usul Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) yang diluluskan di Dewan Rakyat semalam sebagai hari yang pahit untuk semua rakyat Malaysia.

Memetik Buletin Mutiara, beliau berkata, Kerajaan Persekutuan yang dikuasai UMNO BN perlu bertanggungjawab, sekiranya TPPA memberi kesan berantai yang baru kepada rakyat terbanyak kelak.

"Saya rasa ini satu hari yang pahit untuk ramai (orang) di Malaysia, khususnya kepada rakyat biasa yang akan menanggung kesannya.

"Sekiranya harga ubat naik umpamanya, saya harap semua rakyat ingat bahawa ini kerana TPPA, kesan ini BN kena tanggung," kata Ahli Parlimen Bagan itu pada majlis sidang media di sini baru-baru ini.

Melalui proses undian secara blok, 127 Ahli Parlimen BN menyokong usul tersebut, manakala 84 lain menolak. Majoriti, 43 undi sahaja.

Kira-kira 30 Ahli Parlimen mengambil bahagian dalam perbahasan isu tersebut, dalam sidang khas selama dua hari mulai 26 Januari.

Dalam ucapan penggulungan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed dilapor memberi alasan kononnya, TPPA tidak akan memberi kesan kepada majoriti sektor industri kecil dan sederhana (IKS).

Terdahulu, Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP berkali-kali menyatakan pendirian tegas partinya untuk membantah TPPA, sungguhpun Kerajaan Negeri Pulau Pinang digambarkan seakan pro pada perjanjian tersebut. -Roketkini.com


Mengapa Najib takut saman WSJ selepas keputusan Apandi?

Posted: 28 Jan 2016 04:16 AM PST

ramkarpal_singh

Oleh Hafiz Zainuddin


KUALA LUMPUR: Keputusan Peguam Negara, Tan Sri Apandi Ali membebaskan Datuk Seri Najib Razak dari skandal derma RM2.6 bilion sepatutnya mendorong Perdana Menteri itu untuk mengambil tindakan saman terhadap Wall Street Jurnal (WSJ).

Gesaan ini dibuat Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh berikutan timbul banyak keraguan dan persoalan selepas Apandi mengesahkan Najib tidak melakukan kesalahan menerima derma dari keluarga diraja Arab Saudi pada 2013.

"Hanya dengan menyaman WSJ, Perdana Menteri boleh membuktikan beliau tak bersalah. Saya tidak tahu kenapa Najib tidak mengambil langkah itu melainkan beliau sendiri tidak yakin dengan Peguam Negara," katanya.

Ramkarpal berkata, persoalannya ialah sama ada Najib bersedia memulakan prosiding undang-undang terhadap WSJ, lebih-lebih lagi Peguam Negara sudahpun membebaskannya dari sebarang perlakuan salah laku.

"Disebabkan isu itu menarik perhatian antarabangsa, Najib tidak boleh berdiam diri dan perlu bertindak terhadap dakwaan WSJ. Melainkan, jika siasatan Peguam Negara sendiri tidak menunjukkan bukti kuat beliau tidak bersalah.

"Sekali lagi, saya menggesa Perdana Menteri mengambil langkah menjalankan prosiding undang-undang menyaman WSJ demi kepentingan rakyat kerana perkara itu memberi kesan negatif kepada negara," katanya.

Pada Julai tahun lalu, WSJ mendedahkan pengaliran masuk RM2.6 bilion ke akaun peribadi Najib melalui sebuah entiti berkaitan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dengan mengemukakan sebuah dokumen berkaitan.

Akibat pendedahan itu, Perdana Menteri mengugut untuk menyaman WSJ tetapi hingga kini, Najib tidak berbuat demikian manakala syarikat pemilik jurnal itu Dow Jones mempertahan laporan penerbitannya.-Roketkini.com


Ubahsuai belanjawan bukan langkah terbaik bantu pelajar

Posted: 28 Jan 2016 04:13 AM PST

 
Pelajar universiti harus memahami bahawa Kerajaan Persekutuan kini menghadapi kesukaran dari segi ekonomi yang disebabkan oleh faktor luaran.


wee-ka-siong


PUTRAJAYA: Pengubahsuaian Bajet 2016 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bukanlah langkah terbaik untuk membantu siswa.

Tetapi, siswa diminta supaya memahami Kerajaan Persekutuan kini menghadapi kesukaran dari segi ekonomi yang disebabkan oleh faktor luaran.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong berkata keputusan kerajaan mengekalkan biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) merupakan suatu keputusan yang sukar.

"Keputusan ini merupakan keputusan yang sukar dicapai setelah perbincangan dilakukan di antara Perdana Menteri, Datuk Seri Liow Tiong Lai dan juga saya sendiri. Keputusan kami jelas, kami mahukan pelajar-pelajar pintar kita menikmati peluang menyambung pelajaran.

"Saya memahami penstrukturan ini bukanlah satu penyelesaian yang sempurna. Bagaimanapun, kita berharap agar mereka memahami dan sabar kesan yang kerajaan hadapi ekoran dari faktor luaran," ujarnya sewaktu ditemui pemberita di PICC, hari ini.

Sebelum ini, Najib telah memutuskan 4 program tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) diteruskan melalui pengubahsuaian Bajet 2016 itu.

Nik Abduh minta maaf, mohon berkawan dengan media

Posted: 28 Jan 2016 04:11 AM PST

 
Nik Abduh sebelum ini hanya menjawab sesuatu isu menerusi kenyataan dari Dewan Pemuda PAS atau melalui Facebook.


PAS


PETALING JAYA: Ketua Pemuda PAS Nik Abduh Nik Aziz membuat permohonan maaf kepada pihak media susulan tindakannya sebelum ini yang sering kali menjauhkan diri dari menjawab soalan berhubung isu semasa, terutamanya isu melibatkan parti itu.

Katanya sempena majlis Hi-tea rakan media anjuran Dewan Pemuda PAS yang diadakan hari ini, beliau mewakili seluruh Pemuda PAS menyuarakan keinginnya mereka untuk "berkawan dengan semua media di negara ini".

"Saya harap hubungan kita terus berpanjangan, saya sebagai Ketua Pemuda kalau tuan-tuan ingat dulu saya memperkenalkan diri saya sebagai seorang lelaki yang pemalu.

"Saya minta maaf, mungkin pihak media rasa saya agak payah nak dihubungi, kecuali saya diperangkap dan biasa ramai yang perangkap saya di pintu Parlimen memang saya tidak boleh lari, tapi kalau isu besar sangat saya akan lari ikut belakanglah,"katanya berseloroh, dalam sesi soal jawab bersama media di majlis tersebut yang dihadiri lebih 20 agensi media di Restoran Puteri, Damansara.

Ahli Parlimen Pasir Mas itu menjelaskan tindakannya mengelak daripada menjawab pertanyaan daripada media itu kerana beliau tidak mempunyai makklumat mendalam tentang isu yang ditanyakan.

"Kerana payah untuk jawab dan memerlukan orang yang layak kerana situasi politik hari ini yang agak berkecamuk saya kena memilih untuk tidak menjawab untuk mengelak panas yang tidak perlu dalam dunia politik," katanya.

Ketika ditanya sama ada akan menjawab pertanyaan wartawan menerusi panggilan telefon, Nik Abduh hanya tersenyum sambil berkata akan menjawab setahun sekali, dalam dana gurau.

Nik Abduh sebelum ini hanya menjawab sesuatu isu menerusi kenyataan dari Dewan Pemuda PAS atau melalui Facebook.

Krisis MB: PKR ajak Mukhriz keluar UMNO

Posted: 28 Jan 2016 04:08 AM PST

 
UMNO sudah rosak dan Mukhriz perlu sertai parti lain sekiranya mahu mewujudkan kerajaan bersih.


mukhriz


SUNGAI PETANI: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PKR Kedah menyarankan Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir keluar UMNO sekiranya mahu mewujudkan kerajaan bersih daripada rasuah.

ADUN PKR Kedah dalam kenyataan bersama berkata, Mukhriz perlu keluar daripada UMNO kerana parti berkenaan sudah rosak dan tidak boleh dibaiki lagi.

"Kepada Mukhriz dan mana-mana ADUN Barisan Nasional (BN) Kedah, jika anda benar-benar mahu kerajaan yang bersih rasuah, jika benar anda mahu perangi rasuah keluarlah daripada UMNO.
"UMNO kini hanyalah sekadar kenderaan buruk yang sudah rosak yang wajib dibuang.

"Mari lakukan perubahan bersama kami, jika tidak perjuangan anda hanyalah sia-sia seperti anjing menyalak bukit, mencurah air ke daun keladi dan mungkin akan disenarai barisan pemimpin UMNO yang merosakkan negara dan bangsa," kata mereka pada sidang media di Bakar Arang, di sini, hari ini.

Kenyataan bersama dibuat oleh ADUN Lunas, Azman Nasruddin; ADUN Bukit Selambau, Dr Krishnamoorthy; ADUN Bakar Arang, Ooi Tze Min; dan ADUN Sidam, Dr Robert Ling.

Semua ADUN PKR Kedah berharap krisis penukaran Menteri Besar negeri berkenaan dapat diselesaikan dengan segera.

Sementara itu, ADUN PKR Kedah dalam kenyataan bersama, turut mendakwa Kerajaan Kedah sudah tidak wujud apabila mesyuarat EXCO negeri sudah tidak dapat dijalankan.

"Ini berikutan apabila enam EXCO negeri tidak hadir dalam mesyuarat semalam. Jadi, lebih baik Mukhriz buat sidang tergempar khas.

"Siapa layak jadi Menteri Besar terpulang kepada DUN. Pembangkang akan hadir dalam sidang tergempar itu," kata mereka menerusi kenyataan itu.

Nik Abduh isytihar ‘perang’, GST tetap salah

Posted: 28 Jan 2016 04:05 AM PST

 
PAS tolak alasan Najib, persiap Pemuda pastikan rakyat tolak BN.


Nik-Abduh


PETALING JAYA: PAS membidas kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kononnya perlaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) berkat serta menguntungkan rakyat.

Ketua Pemuda PAS, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz menyifatkan kenyataan Najib itu sebagai alasan untuk membolehkan kezaliman.

"Kalau dia (Najib) kata isu GST ini berkat maknanya harga minyak kita jatuh itu berkatlah (merujuk kepada kejatuhan ekonomi negara).

"Bagaimana Perdana Menteri nak kata benda ini (GST) berkat sedangkan dari sudut agama jelas bahawa mengambil cukai daripada orang miskin adalah salah," katanya, semasa sesi soal jawab di majlis Hi-tea rakan media anjuran Dewan Pemuda PAS di restoran Puteri di Damansara.

Lantaran itu, Nik Abduh berkata PAS akan memastikan BN tewas pada pilihan raya akan datang.

"Kita (PAS) tetap tolak GST, kita akan pastikan rakyat akan menolak BN kerana GST," katanya.

Terdahulu Perdana Menteri berkata, berkat pelaksanaan GST kerajaan masih mampu menyediakan biasiswa untuk siswa dan kakitangan awam mempunyai kerja di kala kemelut ekonomi

AMANAH: Mengapa tak semak bajet RM8.5 bilion JPM?

Posted: 28 Jan 2016 03:32 AM PST

MALAYSIAKINI


 


Seorang bekas ahli parlimen mempersoalkan pengubahsuaian Bajet 2016 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak apabila beliau sendiri tidak bersedia untuk mengurangkan peruntukan RM8.5 bilion bagi Jabatan Perdana Menteri.

Pengarah Strategi, Parti Amanah Negara (AMANAH) Dr Dzulkefly Ahmad turut menyoal majlis pengubahsuaian bajet itu tidak dibuat di Parlimen tetapi sebaliknya di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya.

Dzulkefly yang adalah bekas ahli parlimen Kuala Selangor berkata pengubahsuaian bajet tahun ini hanya retorik.

"Najib sendiri tidak bersedia untuk mengurangkan RM8.5 bilion dana yang diperuntukkannya untuk Jabatan Perdana Menteri.

"Isu asas adalah hakikat bahawa bajet 2106 perlu semakan kerana harga minyak pada AS$48 setong kini berlegar sekitar AS$30 setong.

"Ini akan menyebabkan anggaran negara kehilangan hasil kira-kira RM300 juta million, setiap kejatuhan AS$1, kita akan kehilangan RM5 bilion," katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas semakan bajet 2016 yang diumumkan oleh Najib, berikutan penurunan harga minyak yang menyumbang kepada sebahagian besar pendapatan negara.

Dzulkefly berkata bukan sahaja Najib gagal mengurangkan peruntukan kepada jabatannya tetapi menyifatkan Najib tidak tahu apa yang berlaku dan tidak menangani kejatuhan hasil itu.

Ini, katanya adalah kerana kegagalan kerajaan mengisi jurang dan menangani kemungkin RM5 bilion yang merosot itu.

Menurutnya, Najib juga tidak mengulas lanjut langkah-langkah untuk meningkatkan pendapatan negara dan adalah adil bagi orang ramai menganadaikan perdana menteri akan mengulangi tabiat buruknya dengan membuat lebih banyak pinjaman.

'SPRM boleh cabar Apandi di mahkamah'

Posted: 28 Jan 2016 03:29 AM PST

Zikri Kamarulzaman





Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) boleh mencabar keputusan Peguam Negara (AG), Tan Sri Mohamed Apandi Ali, jika didasarkan kepada satu keputusan mahkamah tahun lalu, kata Penyelaras perundangan Lawyers for Liberty (LFL), Michelle Yesudas.

Menurut Yesudas, keputusan mahkamah tahun lalu itu, mempertikaikan bagaimana mutlaknya kuasa AG.

Dalam satu kes baru-baru ini, katanya, Hakim Mahkamah Tinggi Vazeer Alam memutuskan bahawa keputusan AG boleh dicabar jika ia berdasarkan kepada satu pertimbangan yang tidak relevan, menyalahi undang-undang, atau jika berlaku salah guna kuasa.

Yesudas memetik keputusan Hakim Vazeer di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur itu, ketika menolak permohonan bekas Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail untuk membatalkan saman terhadapnya oleh bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Datuk Ramli Yusuff dan peguamnya Rosli Dahlan.

Selasa lalu, Apandi mengisytiharkan bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tidak melakukan apa-apa kesalahan berhubung dengan derma RM2.6 bilion (AS$681) derma dan RM42 juta daripada SRC International didepositkan ke dalam akaun bank peribadinya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said kemudiannya berkata keputusan Apandi itu tidak boleh dipersoalkan, dengan berkata bahawa Apandi mempunyai kuasa mutlak untuk membuat keputusan tersebut.

Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan memberi Peguam Negara kuasa budi bicara mutlak mengenai sama ada meneruskan pendakwaan atau tidak, kecuali di mahkamah syariah, mahkamah anak negeri atau mahkamah tentera.

Bagaimanapun, Michelle (foto) berkata, kuasa budi bicara itu tidak menjadikan AG kebal daripada penelitian awam.

LFL menggesa dilakukan pembaharuan untuk menjadikan AG bertanggungjawab kepada Parlimen.

LFL juga mahu kuasa pendakwaan dipindahkan kepada sebuah pejabat bebas pengarah pendakwaan awam, sejajar dengan amalan di negara-negara Komanwel yang lain.

Fahmi Reza ikut jejak Najib pulang duit ganti rugi DBKL

Posted: 28 Jan 2016 12:47 AM PST

 
Berbeza dengan Najib yang hanya pulangkan sebahagian daripada dana yang kononnya disumbangkan kepadanya, Fahmi tak merancang untuk mengambil satu sen pun duit itu.


fahmi-reza,cek


PETALING JAYA: Aktivis Occupy Dataran, Fahmi Reza yang pernah menerima wang ganti rugi daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan polis kerana ditahan secara tidak sah pada tahun 2012 memuat naik status bahawa dia juga bertindak sama seperti Najib Tun Razak dengan memulangkan kembali wang yang diterimanya itu.

"Ingat lagi kes aku menang lawan DBKL dan PDRM tahun lepas?

"Akhirnya DBKL dah hantar aku cek duit gantirugi dan kos yang diperintahkan oleh mahkamah.
Nak tahu apa aku nak buat dengan duit ni?

"Mengikut jejak langkah Perdana Menteri kita yang maha bijaksana, aku juga buat keputusan untuk pulangkan balik duit ni, tapi bukan kepada keluarga diraja Arab Saudi atau kepada DBKL, tetapi kepada rakyat.

"Tapi berbeza dengan Najib yang hanya pulangkan sebahagian daripada dana yang kononnya disumbangkan kepada dia, aku tak merancang untuk ambik satu sen pun duit ni. Kesemuanya akan disalurkan ke dalam sebuah tabung yang akan berikan dana kepada projek-projek dan usaha-usaha aktivisme melawan korupsi penguasa yang korup seperti Najib Razak," tulisnya dalam status Facebook miliknya hari ini.

"Aku bukan pulangkan balik duit ni sebab aku dah banyak duit, sebab aku pun struggle buat kerja freelance untuk cari makan macam korang jugak, tapi aku buat atas dasar prinsip.Aku masih menunggu cek daripada PDRM. Aku akan kongsi lebih detail bagaimana dana ni akan disalurkan selepas cek tu sampai nanti," tambahnya.

Fahmi ditahan pada 22 April 2012 sewaktu pihak DBKL cuba mengosongkan Dataran Merdeka daripada aktivis Occupy Dataran yang berkampung di situ.

Mereka berkampung di situ susulan daripada demonstrasi pada 14 April 2012 bagi menuntut pemansuhan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN) dan pendidikan percuma.

AG tiada kuasa arah SPRM tutup fail Najib, kata peguam

Posted: 28 Jan 2016 12:38 AM PST

Hafiz Yatim  

 





Peguam veteran Datuk Param Cumaraswamy berpendapat bahawa Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali tidak mempunyai kuasa untuk mengarahkan sebuah agensi penyiasat, seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia untuk menutup failnya.

Bekas Pelapor Khas Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu bagi kebebasan hakim dan peguam itu berkata Apandi perlu lebih telus memandangkan persepsi negatif orang ramai berhubung siasatan dana yang disalurkan ke akaun bank peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

"Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa Peguam Negara mempunyai kuasa yang boleh dijalankan menurut budi bicaranya, untuk memulakan, menjalankan atau memberhentikan apa-apa prosiding bagi sesuatu kesalahan, selain prosiding di mahkamah Syariah, mahkamah anak negeri atau mahkamah tentera .

"Beliau sudah tentu tidak mempunyai kuasa untuk mengarahkan agensi lain, seperti SPRM, untuk menutup fail mengenai siasatannya. Jika bukti didapati tidak mencukupi untuk pendakwaan, adalah wajar untuk Peguam Negara menasihati SPRM supaya mengumpulkan bukti selanjutnya.

"Sebagai seorang bekas hakim Mahkamah Persekutuan, Apandi sepatutnya lebih tahu!," kata Param yang juga adalah bekas presiden Majlis Peguam dan pemenang Hadiah Gruber untuk keadilan.

Pendapatnya juga dikongsi oleh seorang lagi peguam, Hanif Khatri Abdulla, yang berkata Apandi sebagai peguam negara tidak mempunyai urusan untuk campur tangan dengan siasatan mana-mana agensi penyiasat.

"Peguam Negara hanya boleh membuat keputusan sama ada untuk mengenakan dakwaan atau tidak ke atas Najib berdasarkan kertas siasatan yang dikemukakan kepadanya. Peguam Negara tidak mempunyai urusan untuk mengarahkan SPRM menutup siasatan," kata Hanif.

Param dan Hanif diminta mengulas keputusan Apandi dalam mengarahkan SPRM untuk menutup kes terhadap Najib, selepas memutuskan untuk tidak mendakwa perdana menteri.

‘Orang sedekah pasai apa bagi balik?’

Posted: 28 Jan 2016 12:35 AM PST

A Kadir Jasin 



ULASAN l Kalau emak saya celik huruf dan pandai mengarang, tentu dia tulis cerita derma Raja Arab kepada Perdana Menteri, (Datuk Seri Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sanrobone) Mohd Najib bin Abdul Razak, lebih kurang macam ini:

"La, awat tak bagi tau awai-awai kata duit (AS$680 juta) tu Raja Arab bagi?

"Kalu tau kata Raja Arab bagi pasai nak lawan orang jahat (kununnya Ikwanulmuslimin) tentu kita sokong.

"Ni dak, dok dalih sama dalih sini. Lepas tu siasat sana siasat sini. Buang oghang tu buang oghang ini. Buat menyusah dan perabih duit saja.

"Kalu awai-awai mengaku kata Raja Arab bagi pasai nak tulung Najib memang pilihan ghaya (2013) bukan ka baguih? Ni dak, semunyi sana semunyi sini macam kawaq.

"Kalau Raja Arab dah bagi sedekah kat dia, pasai apa nak bagi balik? Buruk siku.

"Kalu Raja Arab bagi pasai nak tulung dia menang pilihan raya, pasai apa tak pakai duit tu? Dok tak dok kata dah bagi balik (AS$620 juta).

"Raja Arab yang bagi sedekah tu dah mati. Macam mana nak tau betoi ka dia bagi? Kalau dia dah mati, macam mana nak bagi balik duit tu? Bagi balik kat sapa? Kat anak cucu dia ka?

"Ni kegheja (kerja) tak masuk akai. Kesian Raja Arab tu. Dia mati tu satu hai la. Tapi yang Najib dok pi bagi balik tu pasai apa? Macam mana nak kira pahala dia?

"Pasai Najib tak guna semua duit sedekah Raja Arab tu la kot dia tak menang besaq dalam pilihan ghaya (2013)? Habih dia pakai duit sapa? Duit 1MDB ka?

"Ni yang mak heran. Pasai apa dia tak guna duit Raja Arab tu? Pasai bila orang keghobek (cungkil) baghu dia nak mengaku duit tu duit derma Raja Arab?

"Raja Arab bagi AS$680 juta. Dia bagi balik AS$620 juta. Jadi dia guna AS$60 juta saja la masa pilihan ghaya. Pasai pa dia tak pakai semua atau pakai banyak sikit?

"Yang tok guru mak dulu kata, duit sedekah yang orang amanah kat kita, kita kena istihar dan kena guna untuk oghang ghamai. Bukan masuk paket seniri.


"Yang kata dia pon teghima sedekah RM42 juta daghi SRC International tu macam mana pulak? SRC tu raja negeri Arab jugak ka?

"Tak tau la cik oi. Mak penin kepala. Dulu masa ayah hang jadi ketua Umno kampung kita, dia tak ada duit pun sampai kena gadai barang mas mak.

"La ni depa dok cakap milion milion bilion bilion. Mak sikit pun tak faham parti jaga rakyat atau jaga temolok depa."

"Malu juga la Perdana Menteri kita dok pi mintak sedekah daghi Raja Arab. Macam kita ni susah sangat. Baik lagi kalu dia mintak Raja Arab tambah kota (kuota) jemaah haji kita."

Nota kaki: Ikut kisah seribu satu malam, yang bagi duit tu kepada Mohd Najib adalah Almarhum Raja Abdullah bin Abdulaziz Al Saud. Baginda mangkat pada 23 Januari 2015.

Kementerian Luar dan Kementerian Dalam Negeri Saudi kata mereka tidak tahu menahu mengenai derma itu dan sama ada ia dikembalikan. Mohd Najib terima gelaran King Abdul Aziz Order of Merit daripada Raja Abdullah pada tahun 2010.

*  Datuk A Kadir Jasin adalah Tokoh Wartawan Negara dan juga bekas Ketua Pengarang Kumpulan New Stratits Times. Beliau kini banyak menghabiskan masa dengan menulis dan menganalisis isu-isu semasa negara.

Medium.com enggan tarik balik artikel tentang Najib

Posted: 28 Jan 2016 12:30 AM PST

MALAYSIAKINI


 


Blog penerbitan dalam talian Medium.com enggan tunduk dengan permintaan Suruhanjaya Multimedia dan Komunikasi Malaysia (SKMM) untuk mengeluarkan satu artikel oleh laman web Sarawak Report.

Dalam kenyataan medianya, Medium.com berkata ia tidak akan berganjak untuk mengekalkan artikel itu meskipun suruhanjaya berkenaan menyekat akses ke laman web ini di Malaysia.

"Medium.com bukan dalam kedudukan untuk menilai kebenaran artikel oleh Sarawak Report.

"Kami tidak menerima sebarang bukti bahawa artikel itu melanggar mana-mana syarat atau undang-undang.

"Kami berpegang teguh dengan laporan oleh wartawan penyiasatan yang menerbitkannya di Medium.com.
"Sehingga kami menerima perintah daripada mahkamah yang mempunyai bidang kuasa berwibawa, artikel berkenaan akan terus kekal," kata Medium.com.

Kenyataan itu adalah susulan permintaan yang dihantar melalui e-mail kepada SKMM pada Rabu, 20 Januari lalu

Menurut e-mel itu dengan sesalinannya disiarkan di portal Medium.com, SKMM meminta artikel Sarawak Report yang disiarkan dua hari sebelum itu yang bertajuk "Najib negotiates his exit but he wants safe passage and all the money! Exclusive disclosure." (Najib runding jalan keluar tetapi mahu laluan selamat dan semua wang! Pendedahan eksklusif.)

Antara lain, artikel Sarawak Report itu mendakwa bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mencadangkan 37 tuduhan terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kerana dakwaan bersubahat dalam penyelewengan dana dan bahawa Najib telah memohon perlindungan di luar negara kerana takut akan didakwa.

Dalam e-melnya, SKMM berkata, artikel Sarawak Report itu adalah "palsu, tidak berasas, mengelirukan dan melanggar undang-undang Malaysia".

Singkir Mukhriz, BN Kedah tetap menang PRU14

Posted: 28 Jan 2016 12:28 AM PST

N Faizal Ghazali


 


ULASAN Ketika kedudukan perdana menteri dilihat masih goyang akibat pelbagai tuduhan, tiba-tiba jawatan menteri besar Kedah cuba diganti melalui penyingkiran Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Walaupun penyingkiran Mukhriz dilihat memberi kesan kepada BN dalam pilihan raya akan datang khususnya di Kedah, namun di pihak pembangkang ia mungkin bukan berita baik seperti diharapkan.

Ketika Umno Kedah berdepan kemungkinan berpecah akibat rasa tidak puas hati dengan penyingkiran Mukhriz, pihak pembangkang sendiri tidak padu untuk menyediakan alternatif meyakinkan kepada rakyat negeri itu.



Malah, 'eksperimen' Datuk Seri Najib Razak yang juga presiden Umno menyingkirkan timbalan perdana menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini juga dilihat berjaya.

Tindakan Najib sebelum ini tidak memberi kesan mudarat kepada parti itu. Maka apalah sangat dengan Mukhriz?

Selain itu, BN juga mengambil kira perpecahan yang berlaku dalam parti pembangkang yang mengakibatkan kepercayaan pengundi mereka merosot dan berpecah.

Dengan tempoh pilihan raya umum ke-14 (PRU14) masih panjang, BN masih berpeluang 'mengumpan' pengundi dan melupakan betapa sayangnya rakyat Kedah kepada Mukhriz sebelum ini.

Keyakinan BN

Penulis masih ingat betapa nama Mukhriz meniti di bibir orang Kedah dan pemimpin Umno menjelang PRU13 lalu.

Perubahan drastik dilakukan Najib dengan mempertaruhkan anak bekas perdana menteri itu untuk bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Hitam.

Sedangkan ketika itu Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah mengetuai Umno Kedah dan beliau dikatakan terpaksa berkorban dan dijanjikan jawatan di kabinet Najib.

Malah, ketika itu Mukhriz juga tidak diberi keyakinan untuk bertanding di kerusi parlimen seperti mana pilihan raya sebelum ini.



 Ayer Hitam sebelum itu dimenangi PAS dan Mukhriz mengambil risiko bertanding untuk merampas kerusi itu di samping namanya dijaja sebagai bakal menteri besar dan menggunakan pengaruh bapanya Tun Dr Mahathir Mohamed.

Ternyata aura beliau memberi kemenangan BN di Kedah. Mukhriz kemudiannya disenangi rakyat pelbagai lapisan sebagai dengan jawatan orang nombor satu Kedah.

Pada akhirnya, mungkin hanya senyum dan selfie beliau menjadi rindu rakyat di negeri Darul Aman selepas sepak terajang politik BN selepas ini berjaya menyingkirkan Mukhriz.

Tetapi, BN tetap mempunyai keyakinan terhadap pengundi mereka - tidak beralih undi kepada pembangkang, tidak akan berlaku perpecahan besar di kalangan mereka seperti mana penyingkiran Muhyiddin.

Pejuang 'lone ranger' 

Sifir itu diambil kira dengan sokongan ketua-ketua bahagian, kepimpinan sayap-sayap Umno yang kebanyakannya tidak memihak kepada Mukhriz. Kalau ada pun hanya sebahagian kecil mungkin 'terpaksa' memihak kepada keutamaan parti ketika ini.

Dan apa sahaja pelan pembangunan yang tertangguh akan kembali bersinar menjadi modal politik Kedah. Itulah barangkali percaturan dan penelitian BN yang kini dalam misi menyingkirkan ADUN Ayer Hitam itu.
Sementara itu, Mukhriz menjadi pejuang 'lone ranger' tanpa penyokong besar di kalangan pemimpin BN untuk melawan atau menyekat cubaan menyingkirkan beliau.

Di pihak pembangkang khususnya PAS sebagai parti kedua terbesar di negeri jelapang padi itu hanya boleh berangan untuk merampas kembali kuasa yang pernah diraih pada PRU12 lalu.

BN memenangi 21 kerusi DUN, manakala PAS hanya berjaya di sembilan kerusi di samping empat kerusi milik PKR dan dua kemenangan DAP pada PRU13.


Rekod BN hanya mencatatkan dua kerusi tidak selamat yang dimenangi dengan majoriti kurang 1,000 iaitu DUN Kulim dan Belantek, manakala PAS mempunyai satu kawasan kelabu iaitu DUN Merbau Pulas serta PKR di Bukit Selambau.

Di kerusi parlimen pula, BN Kedah menguasai 10 daripada 15 parlimen berbanding PRU 2008 di mana 12 kerusi parlimen dimenangi pembangkang.

Jadi, dengan perseteruan antara PAS-DAP dan PAS-Pati Amanah Negara (AMANAH) apakah mungkin pemerintahan PAS seperti bawah allahyarham Tan Sri Azizan Razak (gambar) dulu boleh dikembalikan? jawapannya BN lebih berkeyakinan untuk terus menguasai Kedah.


Speaker Dewan Rakyat dengan ‘teh tarik’

Posted: 28 Jan 2016 12:22 AM PST

Tan Sri Pandikar Amin Mulia
Tan Sri Pandikar Amin Mulia
 
 
KUALA LUMPUR - Yang di-Pertua Dewan Rakyat (Speaker), Tan Sri Pandikar Amin Mulia hari ini memberi amaran untuk mengeluarkan mana-mana ahli Dewan Rakyat yang ingkar peraturan mesyuarat susulan suasana kecoh ketika Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Shukri memulakan hujah pada sesi penggulungan.

Sebelumnya, Nancy melahirkan rasa terkilan terhadap sikap beberapa ahli Parlimen pembangkang yang melemparkan pelbagai tuduhan dalam isu perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPP).

"Sedarkah Yang Berhormat sekalian, bahawa tuduhan dan tohmahan yang negara kita akan dijual atau kedaulatan negara digadai membawa makna bahawa ahli-ahli Yang Berhormat menuding jari dan menuduh pegawai-pegawai kerajaan dan perunding-perunding kita tidak mempedulikan kepentingan negara dan seolah-olah mereka merunding syarat-syarat yang merugikan negara," katanya yang disambut bantahan beberapa ahli Parlimen pembangkang.

Kemudian beliau meneruskan hujah dengan mendakwa bahawa tindakan ahli Parlimen pembangkang itu telah membuatkan pegawai dan Jabatan Peguam Negara yang di bawah naungannya tersinggung.

"Ini menggambarkan seolah-olah perunding-perunding kita tidak pandai, tiada semangat patriotisme dan sanggup melihat kedaulatan negara jatuh ke negara lain. Ini amat menyedihkan.

"Oleh itu YB, fikirlah dahulu sebelum lantang bersuara, menuduh secara membuta tuli, tidak perlulah berpolitik dan bersandiwara seolah-olah pembangkang sahaja yang sayangkan negara.

Manakala kami di pihak kerajaan tidak mempedulikan negara," katanya.

Suasana semakin gamat apabila ramai ahli Parlimen pembangkang yang bangkit hingga menyebabkan Pandikar memberi amaran.

Antaranya Ahli Parlimen Batu, Rasah, Kapar dan Ipoh Barat yang kelihatan dirakamkan bangun sambil melahirkan rasa tidak puas hati terhadap kenyataan Nancy itu.

Pandikar terus mengarahkan semua ahli Parlimen duduk sebelum mengingatkan tentang peraturan mesyuarat 35.

"Ini masalah besar. Peraturan mesyuarat 35, sesiapa yang nak berhujah itu, berdiri. Selepas itu tunggu sama ada Speaker benarkan atau tidak. Sebelum dijemput, tidak boleh bercakap. Tetapi peraturan mesyuarat sudah diubah.

"Masalah besar saya, terpaksa tutup telinga, pejam mata. Siapa lagi berdiri, mengganggu menteri, saya tidak teragak-agak untuk arah dia minum teh tarik di luar," katanya.

Seterusnya Nancy meneruskan hujah ‎mengenai Mekanisme Penyelesaian Pertikaian Pelabur-Negara (ISDS)‎ dan menyatakan tiada soalan dibenarkan ketika beliau berhujah dan hanya menerima soalan selepas selesai beliau berhujah.

Suasana kecoh lagi ketika beliau sedang menjawab soalan daripada Lembah Pantai, hingga‎ Speaker sekali lagi cuba menenangkan ahli-ahli Parlimen pembangkang termasuk Shah Alam yang bangkit mempertikaikan angka yang disebut Nancy

Bagaimana Dr Vida terbabit dalam pasukan TRW?

Posted: 28 Jan 2016 12:20 AM PST

SINAR HARIAN


Dr Vida
Ketua Pegawai Eksekutif Vida Beauty Sdn Bhd, Datuk Seri Dr Hasmiza Othman atau lebih dikenali sebagai Datuk Vida viral kerana menjadi penaja Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa). - Foto BERNAMA
 

STADIUM bola sepak dicat warna merah jambu? Dan pemain turut memakai jersi warna sama?

Semua ini atas hasrat seorang wanita, yang mahu menampilkan ciri feminin dalam sukan lelaki sebagai balasan bagi menaja pasukan bola sepak Kelantan.

Beliau tidak lain tidak bukan Hazmiza Othman, 44, bekas guru, ratu kosmetik dan usahawan luar biasa.

Dalam dunia perniagaan beliau dikenali sebagai Dr Vida, dengan gelaran Datuk Seri yang dikurniakan oleh Sultan Pahang pada 2014.

Jutawan yang sentiasa mengenakan pakaian muslimah dengan stail tersendiri, biasanya berwarna merah jambu atau warna terang yang lain, biasanya dihiasi sulaman batu permata, serta memakai tiara untuk dipadankan dengan rantai leher, gelang dan cincin dipakainya.

Jadi, macam mana wanita kecil molek daripada Machang Kelantan ini terbabit dalam pasukan bola sepak negeri kelahirannya?

Selepas kejayaan menaja program realiti Gegar Vaganza disiarkan secara langsung di saluran Astro Ria tahun lepas, nama Dr Vida menjadi sebutan ramai awal tahun ini apabila Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) bersetuju untuk beliau menaja pasukan bola sepak itu walaupun dengan memberikan dua syarat.

Syarat itu adalah menukar nama pasukan kepada Pamoga Qu Puteh The Red Warriors, menambah nama satu daripada produknya bagi pasukan terkenal itu, dan Stadium Sultan Muhammad IV di Kota Baharu perlu dicat merah jambu.

Malah semasa majlis menandatangani perjanjian kontrak penajaan RM16 juta antara syarikat Dr Vida dengan KAFA baru-baru ini, presidennya Datuk Seri Annuar Musa dan pasukan itu turut memakai warna merah jambu dan bersedia dirakamkan gambar dengan 'trademark' wanita itu – meletakkan isyarat huruf V di tepi bibir dengan slogan "Qu Puteh Qu Puteh barulah putih" dan mereka turut melantiknya sebagai penasihat kehormat KAFA bagi 2016/2017.

Sebagai peminat nombor satu bola sepak tempatan, Dr Vida memberitahu Bernama, penglibatannya dengan KAFA, satu daripada pasukan terbaik di negara ini, kerana ingin produknya menembusi pasaran baharu.

Bagi Dr Vida, untuk berada di tempatnya sekarang beliau telah menempuh pelbagai cabaran dan jalan berliku. Bermula dengan menjual kacang putih dan nasi bungkus kepada rakan sekolah untuk duit poket selepas bapanya meninggal dunia, beliau telah memperluaskan produk jualannya kepada kain batik, telekung, sambal daging dan keropok semasa melanjutkan pengajian di Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang.

Pada masa sama beliau bekerja sambilan sebagai pekerja kilang dan di kedai makanan ringan untuk menampung pembelajarannya di universiti, katanya.

Selepas lulus Sarjana Muda Pendidikan (Kesusasteran Melayu dan Sejarah), dan menjadi guru di Sekolah SJK (C) Poi Lam, Ipoh, beliau tidak pernah berhenti daripada meninjau peluang perniagaan dan telah mengikuti kursus dalam bidang kecantikan iaitu dandanan rambut dan solekan.

Dengan pinjaman bank sebanyak RM100,000, beliau membuka salun kecantikan dan menganggap ia adalah masa yang amat sukar kerana dengan gaji guru sebanyak RM3,000 sebulan, beliau terpaksa membayar balik pinjaman bank sebanyak RM2,000 sebulan, dan menggunakan selebihnya RM1,000 untuk bayar rumah, kereta dan untuk makan.

Selepas 12 tahun menjadi guru sekolah, beliau bertukar angin dengan menjadi tenaga pengajar di Majlis Latihan Vokasional Kebangsaan (MLVK) mengajar kursus dandanan rambut dan solekan, dan di situlah tercetus idea untuk menghasilkan produk kosmetik apabila program cuci muka secara percuma kepada orang ramai di pasar raya oleh pelajarnya menerima sambutan hangat.

"Di situlah saya lahirkan kosmetik saya, Vida Beauty yang merupakan gabungan nama panggilan Miza dan Ida oleh rakan-rakan saya dan menggunakan huruf 'V' yang saya anggap mempunyai nilai yang tinggi," katanya.

Dengan geran sebanyak RM1 juta daripada kerajaan sebagai modal untuk memulakan perniagaan kosmetiknya, beliau bagaimanapun gagal untuk "break into the market" kerana pelaburan sebanyak RM500,000 untuk mengiklankan produknya di majalah tempatan, radio dan televisyen swasta tidak berjaya mempromosikan produknya.

Beliau tertekan dan mengalami tekanan darah tinggi, namun mendapat hikmah daripada kejadian itu apabila formula sendiri dihasilkan menggunakan gamat dan buah delima untuk produk kesihatan, Pamoga, telah berjaya mengurangkan tekanan darah tingginya.

Dengan semangat baharu, beliau sendiri memasarkan Pamoga melalui program di radio Kelantan FM, "dengan durasi 15 minit untuk satu sesi, produk saya tiba-tiba menerima sambutan di luar dugaan. Itulah yang berlaku enam tahun lepas.

"Dari situ jualan semakin meningkat, dengan iklan gaya testimoni pengguna yang berkesan, produk ini semakin mendapat sambutan hingga melonjak jualan mencapai 100,000 botol sebulan buat Pamoga. Saya ada lebih 100 produk," katanya dan menambah, hasil jualan kesemua produknya mula mencapai lapan angka sebulan selepas hampir 10 tahun beliau berniaga.

Beliau yang kini turut melabur dalam pembikinan filem dan drama serta beberapa bisnes sampingan, berkata tindakannya menjadi model untuk produknya dan mencipta tagline serta penampilan 'bling-bling' adalah untuk menjual produk dan hasilnya amat menggalakkan.

Dr Vida berkata cabarannya dalam bidang perniagaan bukan sahaja berhadapan dengan sabotaj dan fitnah malah produk tiruan Pamoga yang dihasilkan di Damansara. 40,000 produk tiruan itu berjaya dirampasnya bersama-sama pihak berkuasa beberapa tahun lepas.

Bagi Dr Vida, cabaran paling getir apabila dua daripada empat anaknya maut dalam kebakaran di Ipoh beberapa hari sebelum Hari Raya Aidilfitri pada tahun 2013.

Muhammad Eddie Zuhdie Mohd Amin, 11, dan adiknya Muhammad Edrie Zikrie Mohd Amin, 10, serta pekerja syarikat Dr Vida, Muhammad Norsyamil Zaidi, 26, maut dalam kebakaran di rumah penginapan pekerja produk kecantikan Vida Beauty di Meru Hills, Bandar Meru Raya, Ipoh pada 9 malam, 3 Ogos 2013.

"Pada masa itu saya hampir- hampir tewas, tiap-tiap hari menangis, namun saya kuatkan semangat demi dua lagi anak saya," katanya.

Dr Vida berkata bagi mereka yang ingin menceburi bidang perniagaan terutama bagi yang tidak mempunyai modal, "Kalau ada RM10 buat meniaga cara RM10. Kalau ada RM100 buat bisnes yang sesuai dengan modal RM100".

Contohnya dengan modal RM10 mereka boleh berniaga air minum dan keropok lekor katanya, dan turut mengingatkan peniaga supaya tidak mudah tergoda untuk berbelanja boros bila mendapat keuntungan. - Bernama


Tiada ulasan: