Rabu, 27 Januari 2016

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


Bauksit: Pegawai kanan Pasdec ditahan bantu siasatan

Posted: 27 Jan 2016 04:53 AM PST

ANTARAPOS.COM


Post Pic

 
KUANTAN: Seorang pegawai kanan Pasdec Holdings Berhad (Pasdec) yang merupakan anak syarikat kerajaan negeri ditahan di sini semalam bagi membantu siasatan berhubung kes rasuah bauksit di daerah ini.
 
Suspek yang berusia 47 tahun ditahan kira-kira pukul 7 petang di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.
 
Sumber SPRM memberitahu, suspek ditahan reman selama lima hari bermula hari ini.
 
Lelaki berkenaan merupakan individu ke-14 yang ditahan berhubung kes rasuah membabitkan bahan mineral itu sejak 7 Januari lalu.
 
 

TH tunggu kelulusan Ketua Audit Negara - Jamil Khir

Posted: 27 Jan 2016 04:52 AM PST

ANTRAPOS.COM


Post Pic
 
  
 
PUTRAJAYA:  Lembaga Tabung Haji (TH) masih menunggu kelulusan Ketua Audit Negara berhubung pengumuman pembayaran dividen kepada pendepositnya, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.
 
Beliau berkata TH akan merangka draf pengumuman pembayaran dividen selepas mendapat kelulusan itu.
 
"Tunggu dulu. Biar AG (Ketua Audit Negara) buat keputusan dulu," katanya ketika menyampaikan ceramah bertajuk Kelahiran Rasul Membawa Rahmat Kepada Ummah di Seri Perdana di sini, hari ini.
 
TH menjadi topik hangat di media sosial kebelakangan ini mengenai tarikh pembayaran bonus pendeposit dan surat Bank Negara Malaysia (BNM) berkaitan rizab.
 
Jamil Khir ketika menyentuh perkara itu berkata TH tidak perlu rizab yang banyak kerana organisasi berkenaan bukan seperti bank yang memberikan pinjaman wang.
 
TH tidak tertakluk di bawah Bank Negara Malaysia (BNM) namun BNM tetap melihat aliran wang TH dan memberikan teguran, katanya.
 
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Tan Sri Ismee Ismail dalam satu kenyataan yang dikeluarkan semalam berkata, TH akan mengumumkan bonus pada awal Februari 2016 setelah melalui proses dalaman dan auditan interim seperti lazimnya setiap tahun. 


Lebih baik PKR tutup mulut elak ludah ke muka sendiri

Posted: 27 Jan 2016 04:49 AM PST

Oleh Faekah Hussin
 
 
PKR ditegur supaya tidak menyibuk dalam isu Menteri Besar Kedah kerana ia hanya membuka lebih banyak keburukan parti itu ketika menjatuhkan Khalid Ibrahim.



Faekah-Hussin



Lucu. Itulah yang saya rasakan ketika membaca kenyataan Datuk Johari Abdul bahawa PKR menjatuhkan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor pada tahun 2014 lebih tertib berbanding UMNO Kedah yang kini cuba menyingkirkan Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Ia bukan sahaja lucu tapi juga seolah-olah mencabar kewarasan dan kecerdikan rakyat Malaysia yang sudah bosan menjadi 'macai' kepada parti politik yang mereka sokong.

Atau mungkin beliau tidak tahu definisi tertib, sopan dan demokratik? Perkara ini tidak mustahil kerana hanya mereka yang mengamalkan sikap-sikap tersebut sahaja yang akan tahu maksudnya yang sebenar.

Saya pasti ramai pengundi Selangor tidak lupa dengan 'Langkah Kajang' yang bukan sahaja telah mengusir Khalid daripada jawatan Menteri Besar tetapi akhirnya juga telah menghancurkan Pakatan Rakyat.

Kita tidak akan lupa dalil 90 sebanyak mukasurat yang mengandungi pelbagai tuduhan palsu yang dijilidkan dan ditandatangani oleh rakan baik Johari iaitu Datuk Saifuddin Nasution yang merupakan Setiausaha Agung PKR ketika itu.

Kita juga tidak lupa bagaimana PKR telah mengadakan jelajah ke seluruh Selangor menjaja tuduhan palsu serta mencerca Khalid dengan pelbagai pembohongan.

Kami juga tidak lupa tentang desakan dan kenyataan palsu tersebut diulang-ulang oleh kebanyakan pemimpin PKR daripada jawatan Presiden parti sehinggalah ke taraf macai.

Kami tidak lupa, apabila misi menjatuhkan Khalid tercapai, Saifuddin membaca kenyataan permohonan maaf (unreserved apology) kepada Khalid di hadapan mahkamah terhadap  'tuduhan-tuduhan' yang terkandung di dalam dalil 90 mukasurat tersebut TETAPI kemudiannya di luar mahkamah mendakwa pula beliau tidak melakukan kesalahan menfitnah atau meminta maaf kerana Khalid pun meminta maaf, walhal kenyataan maaf itu lebih kepada tidak mahu memanjangkan persengketaan sempena bulan Syawal ketika itu.

Rakyat juga belum lupa tuduhan yang bersangkut paut kepada penstrukturan semula industri air yang kononnya Khalid melakukan keputusan yang merugikan rakyat Selangor, yang mana akhirnya diteruskan oleh Menteri Besar baharu tanpa ada sedikit perubahan pun.

Kita maklum kata-kata menghukum yang dilemparkan kepada Khalid berkenaan lebuh raya bertol kononnya melanggar Manifesto Pakatan Rakyat tetapi akhirnya hari ini projek- projek tersebut masih diteruskan.

Lebih nyata, kita maklum Langkah Kajang adalah pengkhianatan kepada laungan reformasi yang dilaungkan sejak tahun 1998, di mana seorang Menteri Besar PKR telah dijatuhkan menggunakan tuduhan palsu dengan cara yang sangat secara jijik dan kotor.

Tertib? Demokratik? Memang lucu. Mungkin mereka ini mahu mengaburi mata rakyat yang telah 'penat' menghadapi perkembangan politik yang semakin kotor. Apa-apa pun, jika benar mereka tertib pada ketika itu, barang pasti calon pilihan PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah telah menjadi Menteri Besar Selangor dan tidaklah seorang yang menangguk di air keruh yang menduduki kerusi Menteri Besar Selangor pada hari ini.

Malah, jika benar PKR tertib, tidaklah Ketua Umum mereka sampai hilang Darjah Kebesaran Negeri Selangor, yakni negeri yang beliau teringin sangat menerajuinya.

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk menyatakan persetujuan saya dengan kenyataan Datuk Mahfuz Omar bahawa statutory declaration (SD) hanyalah satu dokumen bernilai seperti kertas tandas.

Namun, saya agak kecewa beliau hanya menyuarakan pendapatnya sekarang dan bukan ketika PKR mengeluarkan dokumen yang sama ketika menyokong Wan Azizah sebagai Menteri Besar Selangor.
Pakatan prepares another 13 statutory declarations

Rasanya, adalah lebih elok PKR menjauhkan diri daripada membuat sebarang komen berkaitan isu penukaran Menteri Besar di Kedah. Semakin PKR cuba untuk menunjuk baik, menunjuk pandai atau lebih tepat lagi menyibuk, semakin lucu mereka terlihat di mata rakyat kerana asyiknya mereka meludah ke muka sendiri.

*  Penulis adalah bekas Setiausaha Politik kepada Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim

Najib ada hak gugur jawatan Mukhriz tapi bukan Menteri Besar

Posted: 27 Jan 2016 04:47 AM PST

 
Pertukaran Mukhriz sebagai Menteri Besar perlu dilakukan berlandaskan undang-undang tubuh kerajaan negeri.


kjuli,najib,mukhriz


KUALA LUMPUR: Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak mempunyai hak untuk menggugurkan semua jawatan yang disandang Datuk Seri Mukhriz Mahathir di dalam parti Melayu itu.

Bagaimanapun, dalam pentadbiran Kedah, penukaran Mukhriz sebagai Menteri Besar perlu dilakukan berlandaskan undang-undang tubuh kerajaan negeri tersebut, ujar Veteran UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah.

"Krisis UMNO Kedah itu terpulang kepada kedudukan struktur pimpinan di sana. Jadi, kalau sampai masa menukar pimpinan itu hak presiden untuk tukar.

"Tetapi kalau untuk tukar dia sebagai Menteri Besar, itu perlu bersandarkan kepada Perlembagaan (undang-undang tubuh kerajaan negeri)," katanya ketika ditemui pemberita di Parlimen, hari ini.

Jelas Ahli Parlimen Gua Musang itu lagi, beliau percaya, pertalian darah antara Mukhriz dan Tun Dr Mahathir Mohamad adalah punca ada usaha untuk menjatuhkan Menteri Besar kedah itu.

"Ia berkemungkinan," ujarnya ringkas.

Mukhriz mangsa politik Najib – Mahathir

Posted: 27 Jan 2016 04:42 AM PST

 
Sesiapa sahaja yang membuat kritikan kepada Najib akan dibuang.
 
 
 
mahathir-mukhriz-najib


PUTRAJAYA: Datuk Seri Mukhriz Mahathir merupakan mangsa politik Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perkara itu ditegaskan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad susulan pergolakan politik Kedah yang mahukan Mukhriz berundur dari jawatan Menteri Besar dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri.

Katanya, Najib akan melakukan apa sahaja termasuk menendang keluar individu yang membuat kritikan kepada beliau.

"Ini politik Datuk Seri Najib, siapa yang tegur dia, kena buang," katanya ringkas kepada pemberita di Yayasan Kepimpinan Perdana, di sini, hari ini.

Terdahulu, Mukhriz berkata, beliau menerima apa sahaja keputusan membabitkan dirinya susulan pergolakan politik di negeri itu.

Beliau juga berharap keputusan yang dibuat itu nanti merupakan yang terbaik untuk Kedah dan Malaysia.
Terbaharu, khabar angin mengatakan bahawa perlantikan Menteri Besar baharu akan dibuat pada Jumaat ini, dan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Seri Bashah Md Hanipah akan dilantik mengantikan Mukhriz.

LIHAT VIDEO DI SINI


Kebocoran surat BNM: Azeez akan ambil tindakan undang-undang

Posted: 27 Jan 2016 04:33 AM PST

 
Beliau hairan bagaimana surat itu boleh terlepas ke pihak lain sedangkan ia berada dalam simpanannya


azez,bank-negara


KUALA LUMPUR: Pengerusi Tabung Haji (TH), Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim menegaskan, akan mengambil tindakan undang-undang terhadap kebocoran surat amaran dari Bank Negara Malaysia (BNM).

Menurutnya, beliau sendiri telah menerima surat amaran dari BNM, namun, berasa hairan bagaimana surat tersebut boleh terlepas ke pihak lain.

"Saya sedang berbincang dengan peguam bagaimana tindakan susulan yang saya hendak ambil sebab surat itu ada dalam simpanan saya. Saya tidak tahu dimana kebocoran surat itu.

"Saya akan ambil tindakan undang-undang kepada sesiapa yang mengeluarkan surat BNM itu yang penuh tidak bertanggungjawab," katanya sewaktu ditemui pemberita di Parlimen, hari ini.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Baling itu meminta para pendeposit Tabung Haji bersabar seketika kerana dividen dari lembaga itu akan diumumkan sedikit masa lagi.

"Saya ingin memaklumkan kepada semua penabung-penabung supaya bersabarlah. Memang suku tahun pertama seperti lazim yakni Tabung Haji akan mengumumkan dividen.

"Kita akan mengumumkan dividen dalam masa terdekat ini. InsyaAllah sebelum hari raya Cina, minggu pertama bulan kedua kita akan umumkan" ujarnya.

Katanya, tohmahan bahawa Tabung Haji tidak akan membayar dividen dan pendeposit akan kehilangan duit adalah tidak benar.

Tun M ramal SPRM gagal ketepi keputusan Peguam Negara

Posted: 27 Jan 2016 04:30 AM PST

 
Rayuan yang akan dibuat SPRM itu mustahil untuk berjaya kerana mana-mana pihak yang membuat tindakan itu akan ditahan di mahkamah.


Mahathir_apandi-ali_sprm_600


PUTRAJAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad menjangkakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan gagal mengetepikan keputusan Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali menutup kes skandal dana RM2.6 bilion serta SRC International.


Beliau berkata, rayuan itu mustahil dilakukan kerana mana-mana pihak yang membuat laporan akan ditahan di mahkamah berdasarkan kes-kes sebelum ini.

"Saya rasa dia (Apandi) percaya yang SPRM berada di bawah Peguam Negara.

"Siapa yang melaporkannya akan ditahan di mahkamah kerana membuat laporan," katanya kepada pemberita di Yayasan Perdana Putrajaya di sini hari ini.

Terdahulu, SPRM akan merujuk keputusan Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali kepada Panel Penilaian Operasi (PPO).

Pengumuman itu dibuat menerusi satu kenyataan hari ini, susulan arahan Peguam Negara mengarahkan badan itu menutup kertas kes SRC International dan dana RM2.6 bilion yang dimasukan ke dalam akaun peribadi Datuk Seri Najib Tun Razak.

The Star pula melaporkan Pengarah Operasi Khas SPRM, Datuk Bahri Mohd Zin sebagai berkata beliau menganggap kes berkenaan sebagai "straightforward" (tidak kompleks) dan "berkemungkinan besar" SPRM akan merayu terhadap keputusan Peguam Negara menutup kes dana RM2.6 bilion serta SRC International.

Dewan Rakyat lulus usul meterai TPPA

Posted: 27 Jan 2016 04:18 AM PST

 
Sejumlah 127 ahli Parlimen mengundi agar Malaysia menandatangani perjanjian tersebut, manakala 84 menolak.


Pandikar_tppa_600


KUALA LUMPUR: Malaysia kini tinggal selangkah sahaja lagi untuk menandatangani Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA).

Ia selepas pengumuman Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia sebentar tadi bahawa majoriti ahli Parlimen menyokong perjanjian tersebut, selepas debat sepanjang dua hari.

Sejumlah 127 ahli Parlimen mengundi agar Malaysia menandatangani perjanjian tersebut, manakala 84 menolak. Adalah difahamkan bahawa 11 wakil rakyat tidak melibatkan diri dalam pengundian ini.

"Maka dengan yang demikian, usul Yang Berhormat Menteri (Perdagangan Antarabangsa dan Industri) adalah dipersetujui," umum Speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia, seusai pengundian yang bermula jam 7.10 malam.

Hakikatnya Dewan Rakyat dijangka meluluskan usul tersebut di sebalik debat hangat dan perhimpunan aman menentangnya. Ini kerana ahli Parlimen BN lebih ramai berbanding ahli Parlimen pembangkang.

Undi sebulat suara pembangkang menolak TPPA hari ini juga menyangkal tuduhan Abdul Hadi bahawa DAP menyokong perjanjian tersebut kerana ekonomi didominasi peniaga Cina.

Sebelum itu, ahli Parlimen dari kedua-dua pihak membahaskan kebaikan dan keburukan TPPA.

Ahli Parlimen Semporna Datuk Seri Shafie Apdal menggesa kerajaan agar meneliti perjanjian itu secara terperinci, manakala Ahli Parlimen Serdang Ong Kian Ming dari DAP mencadangkan agar kerajaan menubuhkan jawatankuasa khas Parlimen untuk memantau pelaksanaannya nanti.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kelana Jaya Wong Chen dari PKR pula menyifatkan Amerika Syarikat terkenal sebagai negara yang suka memfailkan saman.

Maka beliau mengingatkan yang negara berisiko disaman syarikat dari negara itu, selain mengeruhkan hubungan dengan China, jika meneruskan niat menyertai TPPA.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S Subramaniam menafikan dakwaan TPPA akan meningkatkan harga ubat-ubatan, sementara Menteri Undang-undang Nancy Shukri menggesa semua ahli Parlimen tidak menganggap kerajaan cuba menjual negara kepada Amerika Syarikat.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed yang membentangkan usul itu berkata, Malaysia bakal kehilangan pelabur jika tidak menyertai perjanjian itu.

TPPA adalah perjanjian perdagangan bebas dan sebahagian daripada Perkongsian Strategik Ekonomik Trans-Pasifik yang melibatkan Amerika Syarikat, Malaysia dan sepuluh negara lain.

Khairuddin buat laporan polis terhadap Peguam Negara

Posted: 27 Jan 2016 03:15 AM PST

KYRA ALEGRIA


khairuddin
Bekas Naib Ketua Umno Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan hari ini membuat laporan polis terhadap Peguam Negara, Tan Sri Apandi Ali kerana dipercayai terdapat unsur-unsur salahguna kuasa. - Foto TRP


KUALA LUMPUR,  Bekas Naib Ketua Umno Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan hari ini membuat laporan polis terhadap Peguam Negara, Tan Sri Apandi Ali kerana dikhuatiri terdapat unsur-unsur salahguna kuasa.

Khairuddin berkata Peguam Negara harus memberi penerangan secara komprehensif kepada rakyat khususnya di dalam menzahirkan semua asas butiran siasatan yang telah dijalankan oleh pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Saya memohon pihak Polis Diraja Malaysia untuk membuat satu penyiasatan ke atas peguam negara samada terdapat sebarang unsur-unsur salahguna kuasa, cuai jenayah, memutarbelit fakta dan mengganggu penjawat awam daripada menjalankan tugas-tugas mahupun siasatan mereka secara telus, bebas serta komprehensif.

"Tan Sri Apandi Ali selaku Peguam Negara tidak boleh membuat kenyataan secara umum tanpa menghuraikan secara terperinci mengenai hasil siasatan laporan SPRM yang telah dihantar ke pejabat peguam negara," katanya yang memuat naik salinan laporan polis di Facebooknya hari ini.

Khairuddin berkata demikian mengulas mengenai kenyataan yang dibuat Peguam Negara semalam berhubung isu SRC International dan isu dana RM2.6 bilion yang dikaitkan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Menurut Khairuddin, jawapan yang komprehensif daripada Apandi amat penting demi untuk menjaminkan keutuhan imej serta kredibiliti Jabatan Peguam Negara pada pandangan rakyat secara menyeluruh.

Ini kerana, katanya, rakyat sedang menghadapi krisis keyakinan rakyat terhadap pentadbiran kerajaan masakini.

"Dalam masa yang sama, saya secara jujur serta ikhlas ingin menasihati Peguam Negara agar tidak mengambil ringan di dalam pengumuman isu kes siasatan wang derma RM2.6 bilion dan sejumlah wang RM42 juta yang dimasukkan ke dalam akaun peribadi Najib Razak.

"Samada suka atau tidak kita harus tangani dan selesaikan kemelut ini secara professional dan meyakinkan semua pihak di tanahair yang tercinta ini," katanya.

Bercakap di Putrajaya semalam, Mohamed Apandi berkata, siasatan mendapati, jumlah yang didepositkan adalah RM2.08 bilion dan ia adalah sumbangan peribadi kerabat diraja Arab Saudi pada 2013.

Daripada jumlah itu, sebanyak RM2.03 bilion telah dikembalikan semula kepada penyumbang pada tahun sama.

"Tiada apa-apa kesalahan jenayah," katanya dalam sidang media semalam.

Isu MB: 'Siapa tegur dia yang kena buang'

Posted: 27 Jan 2016 03:12 AM PST

Anne Muhammad


LIHAT VIDEO DI SINI
 
Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mohamad kini menjadi permainan politik Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, kata Bekas perdana menteri Tun Mahathir Mohamad.

Mahathir menyifatkan anaknya kini berhadapan dalam situasi berkenaan hanya kerana menegur Najib.

"Ini politik Datuk Seri Najib siapa yang tegur dia kena buang, expelled from Umno even," katanya kepada pemberita di Yayasan Perdana Putrajaya.

Mahathir berkata demikian ketika ditanya mengenai Muhkriz yang akan digugurkan dari jawatan menteri besar Kedah.

"Mengapa TPPA Wajib Ditolak"

Posted: 27 Jan 2016 03:00 AM PST




DETIK DAILY

 
Firman Allah s.w.t.: "Telah zahirlah keburukan di darat dan laut dengan sebab apa yang telah diusahakan oleh tangan manusia sendiri, supaya dirasakan kepada mereka sebahagian daripada perbuatan mereka, mudah - mudahan mereka kembali kepada kebenaran" (Ar-Rum: 41)

1. Sebenarnya, pengertian Globalisasi (al-'Awlamah) adalah hampir sama dengan nilai Kesejagatan (al-'Alamiyyah) yang dibawa oleh Islam, sebagaimana disebutkan dengan jelas dalam Al-Quran: "Dan tiadalah Kami mengutus kamu melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi semesta alam" (Al-Anbiya': 107).

2. Namun, globalisasi dalam gambaran yang sangat ketara pada hari ini bererti mem-baratkan dunia (Westernisation) atau meng-amerikakan dunia (Americanisation), dengan tujuan untuk menguasai dunia di bawah satu ungkapan yang lunak iaitu Globalisasi bagi menjayakan agenda pemaksaan pengaruh Amerika dan Eropah ke seluruh dunia.
3. Kini dunia hanya mengenali dua pendekatan ideologi ekonomi, sama ada dalam satu negara atau antara negara, iaitu samada Liberal Kapitalisma atau Sosialisma. Abad yang lalu kita menyaksikan keruntuhan ideologi sosialisma, sehingga kuasa besar yang mendukungnya paling ekstrem seperti China dan Rusia serta negara ikutannya melakukan pembaharuan kepada ekonomi bebas yang didukung oleh Liberal Kapitalisma, sehingga yang dikatakan tabir besi dahulu sudah tidak ada lagi, kerana semuanya sudah bergerak kepasaran bebas dalam aspek ekonomi.

4. Kini kita menyaksikan tanda-tanda kegagalan liberal kapitalisma dengan krisis ekonomi dunia yang kita juga ikut menumpang dan terpalit. Maka diciptakan gagasan baru bernama TPPA, yang arkiteknya ialah Amerika, yang tidak boleh diberi keyakinan dapat menyelamatkan ekonomi dunia, bahkan menjadi salah satu punca masalah. Kalau kita menumpang bahtera ini kita akan bersama melakukan kesilapan yang sama dan tenggelam bersama.

5. Kita sama sama mengikuti ucapan Presiden Obama ketika menjelaskan kepentingan TPPA kepada ekonomi Amerika. Jelasnya, TPPA akan menjadi penyelamat kepada ekonomi Amerika dengan menjadikan peraturan perdagangan yang mereka tulis sebagai terma yang dipaksakan ke atas Negara anggota blok TPPA bagi membantu Amerika berdepan dengan perkembangan mendadak ekonomi negara besar China.

6. Ini dapat dilihat berdasarkan negara anggota TPPA yang merentasi beberapa benua bermula dari lautan Hindi ke Pasifik dan turut melibatkan negara anggota Asean seperti Malaysia, Singapura dan Brunei. TPPA ingin mengukuhkan geopolitik dan pengaruh Amerika di Asia Pasifik dan Laut China Selatan. Lebih-lebih lagi, kedudukan Malaysia yang strategik amat penting untuk Amerika menguasai sebahagian Selat Melaka dan kawasan tertentu di Laut China Selatan.

7. TPPA adalah gagasan perdagangan berkonsepkan Liberal Kapitalisma yang diketuai oleh barat yang pernah menjajah dengan gabungan kuasa ekonomi, politik dan ketenteraan yang pernah membawa penderitaan ke seluruh pelusuk dunia. TPPA adalah pembaharuan daripada Syarikat Hindia British dan Belanda yang pernah menakluk rantau ini, menjajah tanahair, memperhambakan rakyat, dan mengangkut hasil buminya.

8. Hujah ini dikuatkan apabila merujuk kepada artikel 25.7 Perjanjian TPP menyebut negara anggota TPPA perlu lebih telus dan bertukar-tukar maklumat negara. Kita kena sedar ini satu bahaya besar terhadap keselamatan negara dan membuka ruang kepada ancaman kuasa asing. Sejauh manakah Kerajaan Malaysia mampu mengawal maklumat negara dari diserahkan kepada negara luar secara 'halal' sedangkan negara anggota terpaksa akur dengan langkah perundangan? Benarlah TPPA akan membuka ruang kepada kuasa asing mencampuri urusan dalaman negara dan menjajah negara bermula dengan penguasaan ekonomi.

9. Ideologi Liberal Kapitalisma masih menjadi ideologi yang dianut, maka perjanjian yang dimeteraikan oleh gagasan ini tetap berkonsepkan ekonomi bebas yang tidak beriman dan budiman, kerana konsep ekonomi bebas walau pun berpakat, tetap berpandukan siapa cepat dia dapat, di atas nama menggalakkan kemajuan ekonomi.

10. Di samping itu, Langkah Perlindungan Sementara yang diperuntukkan hanya untuk tempoh maksima 3 tahun sahaja. Selepas tamat tempoh itu, tiada lagi perlindungan dibenarkan untuk melindungi industri tempatan dan pampasan mestilah dibayar kepada pihak yang terjejas. Kesan daripada Perjanjian TPP ini boleh membunuh industri tempatan.

11. Pakatan ini, kita yang diajak, serta dengan draf perjanjian yang disediakan, bermakna kita berpijak di atas asas landasan yang dibina oleh mereka yang mengajak, dengan syarat-syarat dan tawaran yang mungkin sangat menarik hasilnya pada zahir. Tetapi dalam perlumbaan berkonsepkan liberalisma ekonomi, sudah tentu lapangannya lebih berpihak kepada mereka, kita hanya sekadar menumpang kelajuan kenderaannya yang lebih besar dan canggih jenteranya, lebih laju perjalanannnya dan sudah pasti kita bukan pemandunya yang asasi, apabila aset mereka lebih besar, modal mereka lebih besar, pasaran mereka lebih besar.

12. Ini terbukti apabila tidak semena-mena, dalam tempoh dua tahun selepas perjanjian berat sebelah ini ditandatangani, kita terpaksa meminda tidak kurang daripada 26 akta dan beberapa pekeliling atau aturan kerajaan di peringkat Persekutuan dan Negeri, supaya mematuhi segala peraturan yang terkandung dalam TPPA (patuh-TPPA). Inilah satu bentuk penjajahan undang-undang dan ekonomi yang berselindung di balik tirai pemulihan demokrasi dan keterbukaan ekonomi, yang wajib kita selaku Ahli Dewan Rakyat mempertahankan kedaulatan negara tercinta ini.

13. Ya ! , kita akan mendapat limpahan ekonomi yang kaya raya dengan sebab menumpang, tetapi percayalah bahawa kita laksana kolam kecil yang membekalkan air untuk kolam tasik yang besar melaut , akan menjadikan air kita surut kering, kalau disedut, atau apabila dibuka tanpa sempadan air pasang tasiknya boleh menggelamkan kita sehingga mati lemas.

14. Segala-galanya berlaku nampaknya mudah di atas kertas, kerana Amerika yang menjadi arkitek utama perjanjian ini menjanjikan gagasan ekonomi alaf baru, berbeza dengan yang berlaku selama ini, kerana dikatakan sangat membantu negara anggota. Pihak kita pula terus berkempen bahawa syarikat-syarikat tempatan akan menembusi pasaran antara bangsa. Kebenarannya, percayalah bahawa ianya akan bergantung kepada kemampuan kita berlumba dan bertanding dengan syarikat-syarikat gergasi, kerana sifat perlumbaan adalah konsep ekonomi liberal kapitalisma, ditambah pula dengan tidak ada akhlak.

15. Malangnya lagi, Malaysia sudah tidak lagi boleh menentukan dasar cukai dan duti, walaupun untuk kepentingan sendiri. Merujuk kepada perjanjian TPP, hanya diperlukan 2 negara asing untuk memohon supaya duti Malaysia dikurangkan dan Malaysia mesti akur dan patuh. Malaysia juga harus memberikan layanan kepada pelabur asing setara dengan layanan yang diberikan kepada pelabur rakyat Malaysia, sama rata dan tiada pilih kasih.

16. Malah, hasil analisa pihak Price Waterhouse Coopers (PWC), konsultan yang dilantik kerajaan bagi menjalankan kajian kos dan manfaat ekonomi terhadap Malaysia mendapati kesan TPPA kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia tidaklah terlalu signifikan – hanya menyumbang kenaikan 1.1% KDNK dan kenaikan 0.9% eksport negara pada 2027, satu lonjakan yang sangat rendah dan tidak signifikan kepada ekonomi negara yang perlu berkembang pada kadar 5%-7% setahun.

17. Di samping itu, kajian PWC mendapati tiga sektor yang bakal mendapat kesan negatif adalah industri yang menghadapi persaingan yang lebih sengit pasca-TPPA seperti minyak & gas, minyak sawit, dan pembinaan, di mana sektor ini merupakan penyumbang utama kepada ekonomi negara dan dikuasai syarikat Bumiputera.

18. Manakala, tiga sektor yang bakal mendapat manfaat pasaran terbuka di bawah TPPA kelak adalah perniagaan yang berorientasikan eksport seperti tekstil, komponen automotif, dan elektrikal & elektronik, di mana sektor ini kebanyakannya dikuasai firma Amerika Syarikat dan Eropah.

19. Semua syarat-syarat perjanjian adalah ditulis oleh mereka untuk mendapat persetujuan kita, walaupun kita boleh tidak bersetuju, tetapi tentu sahaja perundingan yang sebegitu besar jangkauannya itu mempunyai agenda tersembunyi oleh kuasa besar. Kerisauan ini adalah berasas apabila meneliti perjanjian TPP yang menyebut tentang satu entiti Penyelesaian Pertikaian Negara-Pelabur (ISDS) akan memberi kesan dan membuka lebih ruang untuk Kerajaan Malaysia disaman dengan alasan "keadilan dan kesamarataan".

20. Langkah-langkah perundangan yang terpaksa diakur oleh kerajaan Malaysia apabila TPPA dilaksanakan juga adalah bercanggah dengan prinsip perundangan antarabangsa yang sepatutnya bersifat sukarela dan atas dasar kontrak moral. Ditambah pula, ianya nanti akan dikawal oleh undang-undang perdagangan antara bangsa dan mahkamahnya adalah laksana sarang labah-labah. Akhirnya hanya dapat menghukum syarikat syarikat kecil dari negara kecil seperti kita. Apakah jaminan negara besar yang menjadi anggota boleh mematuhinya dan bersedia diambil tindakkan undang-undang yang adil ?.

21. Adalah lebih berhikmah kita membina gagasan 'Masyarakat Madani Global' bersama negara serantau (Agenda 1-Asean) dan sesama negara Islam (Agenda 1-Ummah) dengan konsep kita yang adil dan saksama. Kita bina kekuatan sendiri terlebih dahulu dengan sumber kita, kemudian boleh bekerjasama dengan sesiapa sahaja di seluruh pelusuk dunia, timur dan barat, bukan sahaja terikat dengan pintu TPPA bahkan lebih banyak pintu yang boleh dimasuki dan dibuka tanpa ikatan dengan sesiapa.

22. Adalah lebih baik diperkenalkan konsep Islam kepada dunia, setelah kegagalan sosialisma dan tanda kelemahan liberal kapitalisma. Di antaranya ialah penyakit muamalah riba, senjata zionis yang sedang meruntuhkan ekonomi Amerika sendiri. Inilah Firman Allah :

Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dan tinggalkanlah saki baki riba, jika benar kamu orang- orang yang beriman. Oleh itu, kalau kamu tidak juga melakukan (perintah mengenai larangan riba itu), maka ketahuilah kamu: akan adanya peperangan dari Allah dan RasulNya, (akibatnya kamu tidak menemui selamat). Dan jika kamu bertaubat, maka hak kamu (yang sebenarnya) ialah pokok asal harta kamu. (Dengan yang demikian) kamu tidak berlaku zalim kepada sesiapa, dan kamu juga tidak dizalimi oleh sesiapa. (Al-Baqarah: 278-279)

23. Inilah kerja Tabung Kewangan Antara Bangsa (IMF) yang dibayangi Zionis dan inilah juga urusan institusi kewangan yang memangkin TPPA bersama Amerika. Maka TPPA adalah ibarat menjadikan negara anggotanya laksana tongkat untuk berdepan dengan krisis ekonomi dan berdepan dengan gagasan kuasa besar ekonomi yang baru iaitu China, Rusia dan kumpulannya dalam gagasannya, bukan untuk berpakat secara saksama dan adil.

24. Sepatutnya kerajaan kita menunaikan yang wajib terlebih dahulu daripada sumber sendiri, iaitu mengolah hasil bumi kita dengan baik, dan bumiputera yang menjadi sumber manusia terbesar, tetapi masih terkebelakang kerana program pembangunan manusia yang salah, sehingga kaum bumiputera masih ketinggalan, walaupun sudah merdeka lebih daripada setengah abad.

25. TPPA tidak mampu menjadikan sumber kita untuk kemajuan kita sendiri, tetapi lebih menjadi khadam atau abdi sekali lagi kepada pihak yang lebih besar dalan konsep ekonomi liberal ini. Pembahagian kelas masyarakat dalam negara kapitalis juga menjadi acuan dalam masyarakat antara Negara. Mereka sudah membahagikan kepada Kumpulan Negara maju dan kumpulan yang dinamakan sedang membangun, dalam konsep kapitalis tetap meneruskan sumber kekayaan berpusing di kalangan yang kaya dan maju sahaja. Al Quran menyebut :

"Supaya harta itu tidak hanya beredar di antara orang-orang kaya dari kalangan kamu." (Al-Hasyr: 7)

26. Sepatutnya negara bekas tanah jajahan ini sedar dan insaf, betapa peranan yang zalim daripada negara bekas penajah, sejak zaman mereka memerintah kita secara langsung, sehinggalah selepas dikatakan kita sudah merdeka dan diletakkan di dalam bakul bekas jajahan dengan berbagai nama yang disenaraikan dalam negara sedang membangun yang tidak diizinkan bangun sendiri.

27. Bersamalah kita selaku Ahli Dewan Rakyat yang bertanggungjawab ke atas kepentingan negara, menghalang sebarang bentuk campurtangan asing dalam menentukan urusan politik dan ekonomi tanahair, dengan menolak usul penyertaan Malaysia ke dalam Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik ini, demi masa depan negara dan generasi akan datang.

28. Saya sangat yakin akan kemampuan kita untuk berdiri di atas kaki sendiri, dan begitu optimis terhadap kebolehan yang ada di kalangan generasi muda negara, untuk mencorak kejayaan di abad ini dan melakar kecemerlangan di masa akan datang, mengikut acuan dan kebijaksanaan kita sendiri

UCAPAN AHLI PARLIMEN MARANG DALAM SIDANG KHAS DEWAN RAKYAT 26 - 27 JANUARI 2016

TPPA Akan Menjadi Perjanjian Kepala Bana

Posted: 27 Jan 2016 02:56 AM PST



Oleh: Dr Tanaka Mustafa


1) Sekonyong-konyong ahli parlimen BN menyokong dan berhujah mengenai kebagusan TPPA seperti yang disiar Buletin Utama. Orang kampung dengar pasti akan kata TPPA bagus, pemimpin BN hebat, terutama Tok Pa.

2) Kemudian disiarkan pula DS Wan Azizah dan Lim Guan Eng berucap dalam parlimen atas premis "meskipun menolak TPPA, mereka tetap mengakui TPPA ada juga kebaikan". Tanpa disiarkan asbab menolak, Buletin Utama hanya siarkan 'tetap mengakui kebaikan TPPA'. Maka orang kampung akan bertambah yakin TPPA bagus.

3) Baiklah orang-orang kampung sekalian. Jika anda beriman bahawa TPPA bagus kerana menteri-menteri kata bagus, ahli parlimen BN kata bagus, anda kena ingat suatu masa dahulu, mereka ini juga berkata GST bagus. GST akan menurunkan harga barang! Ini satu kenyataan yang berani!

4) Walau sebagusmana pun sesuatu perkara itu, apabila ia dilaksanakan oleh pemimpin Umno/BN, tak payah bermimpi lah anda akan dapat keuntungan daripadanya.

5) GST yang dijanjikan akan menurunkan harga barang, lihat selepas dilaksana GST, harga barang semakin tinggi. Malah Barang yang tak pernah tinggi pun jadi naik harga.

6) GST yang dijanjikan kutipannya akan digunakan untuk 'kembali kepada rakyat', tetapi selepas beberapa bulan dilaksana, habis semua subsidi, elaun, biasiswa dan hak-hak rakyat dipotong habis. biasiswa JPA lenyap, biasiswa MyBrain dihad, penjaman perumahan kerajaan dihapus dan sebagainya. Bahana GST!

7) Namun dengan GST beberapa bulan itu, jet peribadi dapat dibeli, eluan-elaun wakil rakyat, elaun-elaun menteri semuanya naik. Itu namanya GST ini adalah cukai kepala bana.

8 ) Lantas TPPA yang dicanang baik..baik.baguss...baguss.. baguss ini, apakah sebenarnya akan mendatangkan kebaikan? Jika GST hanya memberi kesan kepada poket rakyat, TPPA pula akan melingkupkan ekonomi dan kedaulatan negara.

9) Negara kita boleh disaman oleh syarikat-syarikat luar negara. Dengan menteri-menteri sebijak 3.85 CGPA, apakah anda yakin negara kita akan memenangi kes saman, jika disaman? Lihat sahaja kes pulau batu putih. Berputih mata kita.

10) Ya kita tak boleh buat apa-apa pun untuk menghalang TPPA daripada ditanda-tangani. Wakil-wakil rakyat BN pasti tidak akan berfikir panjang untuk menyokong. Mereka yang berfikir panjang pun tidak akan ada telur untuk menentang.

11) Nak harap pembangkang, tak cukup undian walaupun semua mengundi menolak TPPA. Malah ada juga pembangkang yang sokong TPPA. Apa lagi yang nak diharap? Kita semua akan menjadi bahan permainan Obama nanti di bawah perjanjian kepala bana ini!

Mahathir: Bagaimana wang 'beku' boleh dipulangkan?

Posted: 27 Jan 2016 02:50 AM PST

MALAYSIAKINI


 


Tun Dr Mahathir Mohamad mempersoalkan penjelasan peguam negara bahawa Datuk Seri Najib Razak memulangkan kembali sebahagian besar wang sumbangan diterimanya kepada kerabat diraja Saudi.

"Bagaimana dan bila ia dibuat? Kita diberitahu bahawa bakinya dibekukan oleh Singapura.

"Boleh Singapura jelaskan berkaitan unfreezing dan penghantaran balik kepada Saudi?" soalnya dalam tulisan di blognya hari ini.

Beliau juga membangkitkan persoalan sama ada Singapura yang merupakan sebuah pusat kewangan akan begitu mudah tertipu.

Peguam Negara Tan Sri Apandi Ali semalam berkata US$620 (RM2.03) daripada AS$681 yang diterima dipulangkan semula kerana tidak diguna pakai.

Pada 22 Julai tahun lalu, Reuters melaporkan bahawa pihak polis Singapura telah membekukan dua akaun bank susulan siasatan terhadap dakwaan salah urus kewangan dan rasuah berkaitan 1MDB.

Selain itu, Mahathir juga mengakui terkejut dengan keputusan peguam negara yang memutuskan bahawa perdana menteri tidak melakukan apa-apa perbuatan jenayah apabila wang RM2.6 bilion dimasukkan ke akaun peribadi Najib.

"Mempunyai sejumlah wang seperti itu di dalam akaun perdana menteri pun sudah menjadi kesalahan walaupun ia mungkin bukan jenayah.

"Tetapi peguam negara sekarang mengumumkan wang tersebut merupakan hadiah daripada Arab Saudi.

"Dan peguam negara membuat kesimpulan bahawa tiada kes untuk Najib menjawab. Beliau juga mengarahkan SPRM untuk menutup kes itu dan hentikan siasatan," katanya lagi.

Bekas pemimpin negara itu juga secara sinis mempersoalkan SPRM yang sepatutnya menjadi sebuah badan bebas tetapi dilihat seolah-olah menerima arahan daripada Apandi.

"Saya fikir SPRM adalah sebuah badan yang bebas. Tetapi kini ia seolah-olah berada di bawah peguam negara dan mengambil arahan daripada dia.

"Tidak hairanlah Malaysia termasuk di kalangan sepuluh negara yang paling korup di dunia. Badan pencegahan rasuahnya tidak bebas," kata Mahathir lagi.


SPRM rujuk keputusan peguam negara kepada PPO

Posted: 27 Jan 2016 02:47 AM PST

MALAYSIAKINI


 


Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan merujuk keputusan Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali yang mengarahkan badan itu menutup kes SRC International Sdn Bhd dan dakwaan dana RM2.6 bilion kepada Panel Penilaian Operasi (PPO).

Dalam kenyataan SPRM menyebut, pengurusan tertinggi mereka dalam mesyuarat khasnya hari ini memutuskan untuk membentangkan keputusan Peguam Negara itu kepada PPO dan sebuah lagi panel khas yang akan dilantik untuk penilaian dan pertimbangan.

PPO merupakan satu daripada badan bebas yang dibentuk oleh kerajaan bagi memantau perjalanan SPRM mengikut Akta SPRM 2009.

Antara terma rujukan PPO adalah memberi pendapat berhubung tindakan kes-kes yang diputuskan untuk tidak dituduh oleh Pendakwa Raya.

PPO dipengerusikan Tan Sri Dr Hamid Bugo dan dianggotai Tan Sri Jawhar Hassan, Datuk Zamani Abdul Ghani, Datuk Azizah Arshad, Datuk Wan Abdul Wahab Abdullah, Profesor Dr Normah Omar, Dr Sundramoorthy M.Pathmanathan dan Lim Chee Wee.

Dalam sidang media semalam, Apandi berkata tiada apa-apa kesalahan jenayah dilakukan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkaitan siasatan kes SRC International Sdn Bhd dan dakwaan dana RM2.6 bilion itu.

Berikutan itu, ketiga-tiga kertas siasatan berkaitan kes berkenaan dikembalikan kepada SPRM untuk ditutup.-Bernama


Yang tersurat dan tersirat dalam kes Najib

Posted: 27 Jan 2016 02:43 AM PST

MALAYSIAKINI


 


Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menggesa semua pihak maju selepas Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali membersihkan namanya semalam.

Bagaimanapun, adakah semua pertanyaan di sebalik pindahan wang berbilion ringgit ke dalam akaun Najib sudah terjawab?

Di bawah adalah senarai apa yang sudah diketahui dan masih masih terselindung di sebalik kontroversi itu.

Yang tersurat

Terdapat beberapa transaksi disiasat – AS$681 (RM2.6 bilion berdasarkan tukaran asing 2015, ketika kes itu muncul) ke dalam akaun Najib dan RM42 juta dari SRC, yang didakwa dipindahkan pada penghujung 2014 dan awal 2015.

Dalam sidang media semalam, Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali menunjukkan carta bagaimana dana mengalir dari SRC International ke tiga akaun Ambank.

Ini apa yang diketahui dari carta itu:

(1) Tiga akaun Ambank disiasat

Dalam laporan awal, dipercayai hanya sebuah akaun milik Najib disiasat, bukan tiga.

Tetapi Apandi tidak menyebut sama ada akaun itu milik perdana menteri dan carta mengelaskannya sebagai "AMPRIVATE MY (906), AMPRIVATE 1MY (880) dan AMPRIVATE 1MY (898)".

Akaun-akaun bank itu menerima keseluruhan RM33 juga daripada SRC melalui jaringan rumit transaksi melalui tiga syarikat.

Dana-dana itu juga dipindahkan antara ketiga-tiga akaun Ambank – yang ditanda dalam carta AG sebagai akaun 906, 880 dan 898.

Dana-dana ini berbeza dengan RM42 juta yang dilaporkan dipindah melalui anak syarikat SRC, Gandingan Mentari Sdn Bhd dan Ihsan Perdana Sdn Bhd.

Kedua-dua syarikat itu tidak menjadi sebahagian daripada carta aliran AG.



(2) Hubungan Jho Lo wujud

Tiga syarikat yang melaluinya akaun-akaun Ambank itu menerima dana dari SRC adalah:
  • Putra Perdana Construction Sdn Bhd
  • Putra Perdana Development Sdn Bhd
  • Permai Binaraya Sdn Bhd
Putra Perdana Bhd sebelum itu dimiliki oleh UBG Bhd – syarikat yang mana taikun perniagaan Jho Low menjadi pengarah bukan eksekutif.

PetroSaudi, syarikat Saudi yang mempunyai usaha sama dengan syarikat 1MDB, Utama Banking Group Bhd (UBG) pada 2010.

UBG sebelum itu dikawal oleh firma milik keluarga bekas ketua menteri Sarawak dan yang dipertua negeri itu sekarang Tun Taib Mahmud.

(3) Jutaan ringgit dibelanjakan oleh kad kredit yang dihubungkan dengan akaun penerima wang SRC

Keseluruhan RM3.2 juta dibelanjakan menggunakan dua kad kredit yang terkait dengan akaun-akaun Ambank yang menerima dana dari SRC.

RM400,000 dicaj pada kad Visa sementara RM2.8 juta dibelanjakan menggunakan Mastercard – kedua-duanya pada 13 Jun 2014.

4) Semua pindahan dibuat selepas pilihan raya umum ke-13

AG berkata Najib percaya dana dari SRC adalah sebahagian daripada sumbangan AS$861 juta oleh keluarga diraja Saudi, dilaporkan untuk pilihan raya umum pada Mei 2013.

Bagaimanapun, carta menundukkan kesemua pindahan dan perbelanjaan dibuat pada 2014 – dari Jun ke Disember tahun itu.

Yang masih tak diketahui

(1) Siapa beri RM23.5 juta pada Najib?

Menurut carta itu, keseluruhan RM23,520,610 dipindahkan dari sebuah akaun Ambank kepada 17 penerima.

Bagaimanapun, tarikh pindahan itu, atau siapa penerima itu tidak didedahkan oleh AG. Adakah ia untuk naungan politik?

Adakah dikira pecah amanah dengan mengambil kira pegangan dana itu oleh syarikat milik negara?
Soalan sama boleh ditanya berkaitan misteri perbelanjaan RM3.2 juta dalam sehari menggunakan dua kad kredit.

(2) Siapa penderma itu?

Menurut AG, pihak itu ialah keluarga diraja Arab Saudi. Tetapi siapa sebenarnya memberi wang itu dan untuk apa?

Memetik sumber yang dekat dengan istana Saudi, BBC melaporkan dana itu sebahagiannya daripada Raja Abdullah dan simpanan-simpanan negara itu.

Dilaporkan juga bahawa dana itu untuk pilihan raya umum ke-13 Malaysia, yang mana Saudi cuba melawan penyebaran pengaruh Ikhwanul Muslimin di Asia Tenggara.

Saudi menganggap Ikhwan sebuah pertubuhan pengganas.

PAS, PKR dan DAP pernah berdemonstrasi depan kedutaan Mesir di Kuala Lumpur ketika pemimpin Ikhwan dan presiden negara itu yang digulingkan Mohamed Morsi dijatuhi hukuman mati tahun lalu.

(3) Apa yang berlaku kepada baki AS$61 juta yang tak dipulangkan Najib?

AG berkata Najib diberikan AS$681 dan memulangkan AS$620 juta. Apa yang dilakukan perdana menteri dengan baki itu?

Adakah bayaran RM23.5 juta kepada 17 penerima dan perbelanjaan kad kredit RM3.2 juta sebahagian daripada wang itu?

(4) Bagaimana dengan wang diterima Najib dari sumber lain?

The Wall Street Journal melaporkan bahawa sebuah akaun Ambank juga menerima dana dari sebuah syarikat di Virgin Islands dan bank Switzerland milik dana kekayaan negara Abu Dhabi.

Penjelasan AG tidak menyatakan transaksi ini.

(5) Adakah Najib isytihar dana-dana ini kepada pihak berkuasa?

Awal bulan ini, bekas pegawai polis Datuk Ku Chin Wah didakwa bawah Akta Pengubahan Wang Haram kerana tidak mengisytiharkan komisen diterima dalam akaun peribadinya.

Adakah Najib mengisytihar sumbangan-sumbangan itu dan dana SRC International diterimanya dalam akaun-akaun ini? Adakah Bank Negara Malaysia sedar AS$681 masuk ke Malaysia?

Adakah Najib boleh didakwa mengubah wang haram?

(6) Kenapa PM terima wang dari syarikat negara?

SRC International adalah bekas anak syarikat 1MDB, dan kini masih dimiliki oleh Kementerian Kewangan.
Patutkah PM menerima jutaan ringgit dari syarikat negara ke dalam akaun peribadinya?

SRC International juga meminjam RM4 bilion dari Kumpulan Wang Amanah Persaraan (KWAP) – jumlah penuh yang KWAP sebut dijamin kerajaan.

(7) Adakah perdana menteri tertakluk kepada cukai?

(8) Jika Najib tidak tahu menahu berkaitan pindahan SRC, patutkah beliau sebagai menteri kewangan, berdepan kesan daripada membenarkan dana negara diuruskan sebegitu?

(9) Jika bukan Najib, siapa yang luluskan pindahan SRC dan untuk tujuan apa?

Sumber: SPRM cadang 3 pendakwaan pada Najib

Posted: 27 Jan 2016 02:38 AM PST

MALAYSIAKINI


 


Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dikatakan mencadangkan tiga pendakwaan terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bawah Seksyen 403, Kanun Keseksaan, menurut sumber yang mengetahui siasatan itu.

Difahamkan pendakwaan itu melibatkan pemindahan dana dari anak syarikat SRC International ke akaun-akaun bank dalam tiga bahagian – RM5 juta, RM10 juta dan RM27 juta.

Seksyen 403 berkaitan "menyalah guna harta dengan curang".

Cadangan itu, dakwa sumber-sumber, dibuat kepada Pejabat Peguam Negara tetapi Malaysiakini masih belum mendapat pengesahan rasmi.

Enggan dikenali, sumber-sumber mendakwa Najib dicadangkan didakwa menyalah guna kuasa susulan kemasukan wang ke dalam akaun peribadinya.

Bagi menghindarkan perkara itu, kata sumber-sumber, perdana menteri harus menafikan tahu mengenai perkara itu.

Menurut undang-undang, untuk membuktikan salah guna kuasa, pihak berkuasa perlu menunjukkan seseorang itu tahu berkaitan dana dimaksudkan itu.

Malaysiakini sudah beberapa kali menghubungi Apandi dan masih menunggu jawapannya.

Derma RM2.6 bilion dari Arab Saudi bantu Najib menangi PRU ke-13

Posted: 27 Jan 2016 02:35 AM PST

KYRA ALEGRIA

 

najib
Dana `derma' RM2.6 bilion dari keluarga diraja Arab Saudi kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bertujuan membantunya memenangi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13, dakwa sumber dari Arab Saudi. Foto fail TRP 


KUALA LUMPUR,  Dana `derma' RM2.6 bilion dari keluarga diraja Arab Saudi kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bertujuan membantunya memenangi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13, dakwa sumber dari Arab Saudi.


"Tujuan sumbangan itu adalah mudah, untuk membantu Najib dan gabungannya memenangi pilihan raya, menggaji pasukan komunikasi strategik dengan pengalaman antarabangsa, memberi tumpuan kepada wilayah Sarawak, dan membiayai program-program sosial menerusi kempen parti," dakwa sumber itu, mengikut BBC laporan hari ini.

Dilaporkan bahawa sumber yang enggan namanya disiarkan itu, berkata sebab utama mengapa Arab Saudi mengambil berat mengenai pilihan raya di Malaysia kerana mereka bimbangkan kuasa yang semakin meningkat kumpulan pengganas yang dipanggil Ikhwan Muslimin.

"Sumbangan itu dibuat di tengah-tengah kebimbangan di Riyadh mengenai pengaruh Ikhwanul Muslimin," tulisnya sambil mendakwa bahawa pada masa itu, pengasas parti-parti pembangkang di Malaysia termasuk Pas diinspirasikan kumpulan pengganas.

Bagaimanapun, menurut laporan, tidak banyak bukti bahawa kumpulan itu sebenarnya mempunyai banyak sokongan di Malaysia.

Turut dilaporkan bahawa ia bukan sesuatu yang luar biasa bagi keluarga diraja Arab memberikan wang mereka sebagai derma peribadi sambil menambah bahawa Jordan, Maghribi, Mesir dan Sudan juga mendapat manfaat dari Arab.

"Tiada apa yang luar biasa mengenai sumbangan ini kepada Malaysia. Ia sangat serupa bagaimana Arab Saudi beroperasi di beberapa buah negara.

"Jordan mendapat kelebihan lebih daripada $1bilion dalam pembiayaan pembangunan negara Arab Saudi, manakala Riyadh didepositkan lebih daripada $1 bilion di bank pusat Sudan dan telah menandatangani perjanjian untuk membiayai empangan di Sungai Nil.

"Maghribi dibekalkan minyak, pembiayaan, pelaburan dan pekerjaan akhir-akhir ini," tulisnya lagi, menurut laporan itu.

Bagaimanapun masih dipersoalkan mengenai rahsia pemindahan wang, dakwa sumber yang dipetik daripada laporan itu.

"Ia sangat keruh dan kes ini tidak akan selesai sehingga Arab Saudi dan Malaysia melepaskan semua data transaksi, dan ia tidak berlaku," tulisnya lagi.

Hari yang pelik

Posted: 27 Jan 2016 02:32 AM PST



Oleh Tuan Ibrahim Tuan Man


Baru 10 hari lalu Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali memulangkan kertas siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkenaan siasatan yang melibatkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam skandal derma RM2.6 bilion dan SRC International Sdn Bhd.

Pelik #1: Apakah penambahbaikan atau penemuan baharu dalam kertas siasatan SPRM terbarunya kepada peguam negara sehingga beliau dapat bertindak seperti hakim negara membuat deklarasi untuk tidak mendakwa perdana menteri semalam, tetapi tidak 10 hari lalu?

Pelik #2: Peliknya, jika 10 hari lalu, SPRM mendapati perdana menteri tidak melakukan sebarang jenayah, mengapakah peguam negara tidak mengumumkan perdana menteri bersih ketika itu?


Sebaliknya, jika 10 hari lepas SPRM mendapati perdana menteri mungkin melakukan jenayah tetapi tiba-tiba menukar nada dalam laporan terbaru dan mendapati perdana menteri tidak bersalah, mengapa peguam negara tidak menghantar semula kertas siasatan kepada SPRM untuk mencari punca perbezaan hasil penyiasatan yang sebegitu ketara? Bukankah itu lagi pelik?

Peliknya, mengapa kertas siasatan membersihkan perdana menteri pula diterima bulat-bulat tanpa meminta siasatan lanjut dibuat?

Pelik #3: Peguam negara tidak menolak pelantikan sebagai pengarah Lembaga Tabung Haji yang boleh dipandang serong masyarakat. Ini pelik. Apakah beliau tidak sensitif mengenai pentingnya jawatan peguam negara dilihat bebas ataupun beliau pun tidak cukup makan sehingga perlukan #2kerja?

Pelik #4: Peguam negara menyatakan perdana menteri memulangkan RM2.03 bilion daripada RM2.6 bilion kepada pendermanya. Peliknya, peguam negara langsung tidak nyatakan dan mengambil kisah bagaimana RM570 juga dihabiskan perdana menteri. Apakah SPRM juga tidak menyentuh bab ini?

Pelik #5: Lembaga Tabung Haji semalam menegaskan ia tiada masalah kewangan. Malah, ia mengingatkan para pendeposit,  nilai aset Tabung Haji mestilah mengambil kira keseluruhan nilai saksama portfolio pelaburannya.

Ini adalah kerana nilai aset yang dinyatakan "tidak mengambil kira portfolio pelaburan seperti saham anak-anak syarikat atau syarikat bersekutu, serta aset perladangan dan hartanah yang diduduki Tabung Haji."

Peliknya kita mengikut logik Tabung Haji. Bukankah Bank Negara Malaysia boleh dikira sebagai menyibuk dalam menghantar satu surat kepada penyimpan dana jemaah haji itu bagi menyatakan nilai asetnyalebih rendah daripada liabiliti jika Tabung Haji tidak mengalami masalah?

Pelik #6: Lagi pelik kalau pakar-pakar di dalam Bank Negara Malaysia terlupa mengambil kira "portfolio pelaburan seperti saham anak-anak syarikat atau syarikat bersekutu, serta aset perladangan dan hartanah yang diduduki Tabung Haji" ketika menghantar surat amaran sebegitu penting kepada Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Jamil Khir dan Pengerusi Tabung Haji Datuk Seri Abdul Azeez dan "dicckan" kepada Datuk Seri Najib Razak serta Ketua Pegawai Eksekutif Tan Sri Ismee Ismail? Atau sememangnya Bank Negara Malaysia sebegitu cuai?

Cuba bayangkan kalau Bank Negara Malaysia yang "cuai" terlupa hantar surat kepada Tabung Haji, apakah yang bakal terjadi ke duit pendeposit hari ini?

Apapun tahniah Tabung Haji kerana menurut Bank Negara ia sudah mengambil langkah pro-aktif bagi memperkukuh amalan pengurusan risiko untuk membolehkan ia mengekalkan kedudukan kewangan yang mampan dan sihat.

Sekadar mengenang hari yang pelik 26 Januari 2016.

SPRM perlu patuh keputusan Peguam Negara – Azalina

Posted: 27 Jan 2016 02:28 AM PST

SM AMIN

 

azalina
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata perdebatan mengenai isu dana RM2.6 bilion dan dua kes membabitkan kes SRC International perlu dihentikan terutamanya di media sosial. - Foto TRP


KUALA LUMPUR,  Semua pihak harus menghormati keputusan Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali mengenai tiga kertas siasatan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata perdebatan mengenai isu dana RM2.6 bilion dan dua kes membabitkan kes SRC International perlu dihentikan terutamanya di media sosial.

"Di bawah Perkara 145(3), Peguam Negara mempunyai kuasa yang boleh dijalankan menurut budi bicaranya, untuk memulakan, menjalankan atau memberhentikan apa-apa prosiding bagi kesalahan, selain prosiding di hadapan Mahkamah Syariah, Mahkamah Anak Negeri atau Mahkamah Tentera.

"Kuasa budi bicara yang diberikan kepada Peguam Negara di bawah Perkara 145(3) adalah mutlak, tidak boleh dicabar atau digantikan oleh mana-mana kuasa termasuk Mahkamah.

"Dalam erti kata lain, jika mana-mana pihak tidak bersetuju dengan tindakan Peguam Negara dalam mengendalikan sesuatu pendakwaan, maka mereka tidak mempunyai asas untuk mencabarnya di mana-mana korum," katanya dalam kenyataan hari ini.

Apandi dalam satu kenyataan pada Selasa memutuskan Najib tidak melakukan apa-apa kesalahan berhubung ketiga-tiga kes berkenaan.

"Keputusan Peguam Negara dibuat setelah meneliti laporan yang dikemukakan daripada pelbagai sudut.
"Oleh itu semua pihak termasuk SPRM perlu patuh kepada keputusan tersebut," tegasnya.

Selepas 30 tahun, mampukah ‘Anugerah Juara Lagu’ terus diperkasa?

Posted: 27 Jan 2016 02:24 AM PST

SHAZRYN MOHD. FAIZAL

 

ajl-m-13
Gandingan mantap tiga nama besar industri muzik tempatan (dari kiri) Datuk Siti Nurhaliza, Yasin Sulaiman dan Datuk Jamal Abdillah telah menjadikan persembahan pembukaan 'Anugerah Juara Lagu ke-30' momen terbaik malam Ahad lalu. - Foto TRP/Syahirah Roslan


KUALA LUMPUR,  Walaupun hanya tiga hari berlalu, penganjuran Anugerah Juara Lagu Ke-30 (AJL30) yang berlangsung malam Ahad lalu masih lagi diperkatakan walau tidak sehangat seperti tahun-tahun sebelum ini.


Entah mengapa, sebagai pengikut tegar AJL sejak dari tahun 1986, tahun ini saya merasakan ada sesuatu yang kurang dan tidak memberikan impak yang besar seperti lazimnya.

Saya sendiri tertanya di manakah silapnya AJL30 sehingga ia tidak diraikan sebaik mungkin seiring dengan ulang tahunnya yang sudah mencecah tiga dekad.

Seharusnya, pada usia itu, sambutan yang perlu diberikan terhadap AJL seharusnya setimpal dengan tema pertandingan itu tahun ini yang berbunyi tiga dekad mencipta fenomena.

Apakah lagu yang bertanding tahun ini tidak sehebat atau tidak mencabar seperti tahun-tahun sebelum ini atau mungkin pemilihan lokasinya di Stadium Malawati, Shah Alam, Selangor yang tidak berupaya menaikkan semangat penonton untuk meraikan AJL?

Dari satu aspek lain, mahu atau tidak, semua pihak harus akui, industri muzik ketika ini sudah jauh berubah. Konsep muzik tatkala ini lebih ke arah untuk memenuhi kehendak generasi muda dan baharu yang hanya tahu berhibur tanpa menghargai nilai muzik sebenar.

Mengapa di zaman kegemilangan AJL, katakanlah, 10 tahun lalu masih lagi mampu unuk mencipta fenomena dan menjadi bualan ramai sehingga beberapa ketika lamanya?

Sedangkan AJL30, tidak ramai yang memperkatakannya walhal ia seharusnya mampu mencipta fenomena agar terus menjadi bualan ramai untuk beberapa ketika.
ajl-m-16
Komposer legenda, Datuk Ooi Eow Jin menerima anugerah khas di atas sumbangannya 
terhadap penghasilan lagu-lagu tema untuk program terbitan TV3. – Foto TRP/Syahirah 
Roslan
Berpeluang menonton AJL30 secara langsung di Shah Alam tempoh hari bagaikan memberikan satu indikasi bahawa sesuatu perlu dilakukan oleh pihak TV3 terutamanya untuk terus memperkasakan AJL untuk masa akan datang.

Sementelah diangkat sebagai satu-satunya pertandingan berprestij yang mengiktiraf komposer dan penulis lirik tempatan, maka, AJL sewajarnya harus dipelihara sebaik mungkin agar martabat AJL tidak akan terus diperlekehkan.

Dari perspektif saya yang menonton AJL30, saya melihatnya bukan lagi sebuah pertandingan gah yang satu ketika dahulu merupakan sebuah acara yang cukup dinanti-nantikan oleh hampir kesemua rakyat Malaysia.

Bahkan, lagu-lagu yang bertanding ketika itu semuanya mempunyai kualiti dan nilai estetika tinggi yang mempamerkan kehebatan masing-masing sehingga peminat sendiri sukar untuk meramal siapakah bakal pemenang.

Sebaliknya, AJL di mata saya sudah menjadi sebuah acara hiburan biasa yang langsung tidak membangkitkan rasa pertandingan. Lagu-lagu yang bertanding pula tidak berupaya untuk menjadikan AJL sebagai pentas dalam mempamerkan kehebatan karya tempatan.

Mungkin faktor usia saya juga yang melihat AJL semakin suram tetapi percayalah, ramai di kalangan peminat acara itu mahu AJL kembali gah seperti mana yang pernah dicipta satu ketika dahulu.

Benar. Kesalahan tidak seharusnya dituding 100 peratus kepada TV3 selaku penganjur kerana mereka memberi ruang dan platform menerusi program mingguan Muzik-Muzik untuk mengetengahkan lagu-lagu ciptaan anak tempatan.
ajl-m-18
Persembahan duet dua bekas pemenang Vokal Terbaik Anugerah Juara Lagu, Hafiz Suip da
Jaclyn Victor turut mendapat pujian ramai. – Foto TRP/Syahirah Roslan
Mereka perlu mengikut arus muzik perdana masa kini dan mahu atau tidak, seperkara yang perlu diakui adalah faktor populariti biarpun hampir kebanyakan lagu hari ini tidak memberikan definisi sebenar tentang erti sebuah karya.

Saya percaya ramai yang merindukan persembahan penyanyi seperti Datuk Siti Nurhaliza dan Noraniza Idris, misalnya yang dikenali akan berhabis-habisan memberikan persembahan terbaik untuk lagu berentak irama Malaysia dan etnik kreatif.

Begitu juga dengan kehadiran penyanyi yang memiliki suara hebat seperti Siti Nurhaliza, Anuar Zain, Nora, Liza Hanim, Aishah dan Datuk M. Nasir yang satu ketika dahulu nama-nama besar untuk AJL.

Sebagai media yang menjadi perantara kepada masyarakat, perkara ini sudah acap kali dibahaskan di media tetapi akhirnya ia ibarat mencurah air di daun keladi yang tiada siapa endahkan.

Semuanya berbalik kepada penghargaan daripada masyarakat negara ini yang kurang bijak menilai karya terbaik yang membuatkan stesen radio, syarikat rakaman dan penyanyi itu sendiri sanggup untuk 'melacurkan' prinsip mereka demi survival.

Itu adalah satu realiti di negara ini. Jadi, apabila perkara ini terjadi, maka, sebagai stesne penyiar, TV3 harus juga tunduk kepada kehendak pasaran demi untuk terus menghidupkan AJL.

Di sebalik itu, saya memuji segelintir karyawan muzik tempatan yang masih tidak kenal erti putus asa dalam menghasilkan karya yang mempunyai nilai kualiti tinggi untuk terus dikongsikan bersama masyarakat.
ajl-m-15
Gandingan AG dan Fara Fauzana hanyalah sekadar biasa-biasa sahaja. – Foto TRP/Syahirah Roslan
Cuba tanya kepada diri masing-masing mengapa lagu yang pernah bertanding mahupun bekas juara AJL sehingga ke hari ini masih diminati dan menjadi siulan ramai. Mengapa pula hampir kebanyakan lagu dalam pasaran ketika ini nikmatnya hanya seketika dan tidak mampu untuk dinikmati dalam tempoh lama?

Seperkara lagi yang menarik perhatian saya apabila ketiadaan bekas juara AJL pada hari pertandingan itu terutama M. Nasir yang merupakan komposer paling banyak memenangi Juara Lagu iaitu empat kali.

Sehinggakan namanya langsung tiada dalam senarai artis yang membuat persembahan sedangkan dia layak berbuat demikian bagi meraikan tiga dekad penganjuran AJL. Jangan pula bila beliau sudah tiada baru hendak membuat segmen khas pula.

Sempat juga saya bertanya kepada pihak TV3 mengapa penyanyi bersuara hebat, Aishah tidak dijemput untuk meraikan ulang tahun AJL sedangkan Aishah penyanyi pertama yang memenangi AJL lebih daripada sekali sebelum Siti Nurhaliza mengambil alih gelaran itu.

Adakah kerana perbezaan ideologi politik menyebabkan Aishah tidak dijemput atau diberi peluang membuat persembahan.

Seharusnya Aishah diberi peluang itu agar ia dapat membuka mata dan membuktikan kepada generasi baharu terutamanya bahawa industri muzik pernah memiliki penyanyi bertaraf antarabangsa seperti Aishah.

Ini hanyalah secebis coretan yang bukan untuk menjatuhkan TV3 dan AJL tetapi untuk menyedarkan semua pihak bahawa sesuatu perlu dilakukan untuk memartabatkan kembali industri muzik tempatan agar kembali meriah seperti dahulu.
ajl-m-17
Lagu Knock Knock ciptaan Faizal Tahir dan Mike Chan yang disampaikan Elizabeth Tan 
 antara yang menjadi perdebatan apabila tersenarai menjadi finalis tahun ini. – Foto 
TRP/Syahirah Roslan

Cerita 'lawak' tak tutup kes, lantik pendakwa bebas

Posted: 27 Jan 2016 02:18 AM PST



Oleh Rafizi Ramli 

 
Penjelasan Peguam Negara Tan Sri Apandi Ali semalam berkenaan keputusan beliau menutup kertas siasatan terhadap Datuk Seri Najib Razak berhubung skandal dana RM2.6 bilion dan dana RM42 juta SRC International Sdn Bhd tidak dapat diterima umum.

Bukan sahaja alasan bahawa Najib telah memulangkan kembali "derma" yang diterimanya itu tidak masuk akal, malah ada beberapa perkara asas yang tidak dijawab oleh beliau.

Berhubung pemindahan dana RM42 juta dari SRC International, Apandi seolah-olah lupa bahawa SRC International adalah anak syarikat milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc).

Sebab itu saya terus bertanyakan siapa yang bertanggungjawab meluluskan pemindahan dana itu dari SRC International kerana pegawai teratas yang bertanggungjawab adalah tidak lain dan tidak bukan Najib sebagai menteri kewangan.

Oleh yang demikian, alasan bahawa Najib tidak tahu menahu sebanyak RM42 juta dana SRC International dipindahkan ke akaun peribadinya tidak boleh menyelamatkan beliau dari dakwaan, atas asas-asas berikut:

(1) Mengambil kira bahawa beliau adalah pegawai teratas yang bertanggungjawab kepada keputusan SRC International atas kapasiti beliau sebagai menteri kewangan, mustahil beliau tidak mengetahui mengenai keputusan memindahkan dana itu.

Besar kemungkinan beliau sedia maklum dan pemindahan itu berlaku dengan mendapat kelulusan mengikut prosedur Kementerian Kewangan.

Jika ini keadaannya, Najib sepatutnya didakwa atas tuduhan pecah amanah kerana dana dari syarikat awam di bawah kawalan beliau dipindahkan ke akaun peribadi beliau.

(2) Jika beliau berkeras beliau tidak tahu menahu mengenai pemindahan tersebut, ini bermakna beliau telah cuai dalam menjalankan amanah sebagai pegawai teratas yang bertanggungjawab menguruskan syarikat awam iaitu SRC International.

Dalam keadaan ini, Najib juga sepatutnya didakwa di atas tuduhan cuai dan lalai dalam menjalankan tanggungjawab sehingga menyebabkan kerugian dana awam.

Dalam kedua-dua keadaan, ada kes yang kukuh untuk mendakwa Najib.
Usul di parlimen

Saya percaya atas alasan ini juga, selain daripada bukti-bukti siasatan yang lebih terperinci, Pengarah Operasi Khas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Dato Bahri Mohd Zin dipetik sebagai berkata, SPRM mempertimbangkan untuk merayu supaya kes ini dibuka semula memandangkan ia satu kes yang jelas (straight forward).

Bagaimana pun, saya tidak yakin peguam negara sesuai untuk mengendalikan kes-kes bersabit dakwaan terhadap Najib memandangkan setakat ini beliau cenderung untuk menutup kes tanpa memberi penjelasan yang boleh diterima akal oleh rakyat.

Oleh yang demikian, saya mencadangkan supaya satu usaha dibuat agar parlimen melantik seorang pendakwa bebas khas dari kalangan pengamal undang-undang yang bebas dan berintegriti untuk membuka semula siasatan terhadap Najib dan meneliti kertas siasatan SPRM dan Bank Negara setakat ini.

Saya akan berbincang dengan ahli-ahli parlimen yang berlatar belakangkan undang-undang untuk merangka satu usul dan usaha membawa perkara ini ke sidang parlimen yang seterusnya dalam bulan Mac 2016.

Saya yakin rakyat Malaysia yang cintakan keadilan tidak boleh putus asa dan terus mencari jalan baru sehinggalah kebenaran mengenai skandal-skandal ini dapat dibentangkan kepada rakyat dan mereka yang bertanggungjawab di bawa ke muka keadilan.

Jika Najib beranggapan cerita lawak yang dibawa Apandi semalam akan menutup kes ini, beliau merendahkan pemikiran rakyat Malaysia keseluruhannya.

RAFIZI RAMLI naib presiden dan setiausaha agung PKR merangkap anggota parlimen pandan.

Peguam Negara Bertindak Sebagai Hakim ,'Bersihkan' Perdana Menteri :

Posted: 27 Jan 2016 02:12 AM PST


Oleh DATO' MAHFUZ HAJI OMAR


1.Saya telah meneliti sepenuhnya kenyataan bertulis Peguam Negara, Tan Sri Dato Sri Haji Mohamed Apandi Ali bertarikh 26 Januari 2016 yang telah 'membersihkan' YAB Perdana Menteri dari segala kesalahan dan pertuduhan jenayah bersabit skandal penyaluran wang RM2.6 bilion ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri dan juga dakwaan penyaluran wang dari SRC International ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri.

2.Sebagai individu dan sebagai Ahli Parlimen, secara realistiknya amat sukar untuk saya mempercayai versi cerita yang dijaja oleh Peguam Negara di dalam usaha beliau memberi penjelasan kenapa tiada sebarang pendakwaan di kenakan ke atas Perdana Menteri, terutama apabila beliau mendedahkan kononnya Perdana Menteri telah begitu bermurah hati mengembalikan semula sejumlah RM2.03 bilion kepada penderma dari keluarga diraja Arab Saudi tersebut.


3.Dalam hal ini saya melihat bahawa pengumuman yang dibuat oleh Peguam Negara semalam hanyalah menunjukkan kepada rakyat Malaysia bagaimana Peguam Negara menjalankan dan menggunakan sepenuhnya kuasa budibicara yang ada pada beliau. Ianya bukan penentuan muktamad bahawa tiada salahlaku dan pelanggaran undang-undang yang berlaku di dalam kes ini. Kita harus memahami bahawa penyiasatan di dalam kes ini bukanlah dijalankan oleh Peguam Negara, tetapi oleh SPRM.

4.Bidang tugas hakiki Peguam Negara sebagaimana yang diperuntukkan di dalam Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan adalah untuk memulakan dan menjalankan pendakwaan kes jenayah di mahkamah menurut budi bicaranya secara mutlak. Dalam erti kata lain, meskipun contohnya siasatan yang dijalankan SPRM menunjukkan bermacam-macam pelanggaran undang-undang dan salahlaku jenayah dan juga rekomendasi supaya pertuduhan jenayah dikenakan ke atas Perdana Menteri, namun Peguam Negara tidak terikat untuk menuruti hasil siasatan dan rekomendasi yang dibuat SPRM. Peguam Negara berhak untuk menolak pandangan SPRM atas apa jua alasan dan hujah yang difikirkan munasabah oleh Peguam Negara.

5.Memandangkan kes ini membabitkan diri Perdana Menteri sendiri dan telah banyak memberi kesan negatif kepada negara, saya berpendapat sekadar pengumuman yang dibuat oleh Peguam Negara semalam adalah tidak mencukupi untuk membersihkan nama Perdana Menteri dan imej negara ini.

6.Peguam Negara dan SPRM bertanggungjawab besar kepada negara untuk mendedahkan apakah sebenarnya hasil siasatan SPRM dan juga apakah rekomendasi yang dibuat oleh SPRM hasil dari siasatan yang dijalankan sendiri oleh SPRM.

7.Saya juga mendapati bahawa Peguam Negara semalam gagal untuk memberikan penjelasan yang memuaskan berhubung dengan isu wang berjumlah RM42 juta dari SRC International yang dikatakkan telah dimasukkan ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri melalui syarikat Gandingan Mentari Sdn. Bhd. dan Ihsan Perdana Sdn. Bhd. Saya dapat mengesan bahawa tidak ada langsung penafian dari Peguam Negara terhadap fakta bawa wang RM42 juta dari SRC International telah dimasukkan ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri.

8.Apakah Peguam Negara terpaksa mengakui bahawa memang benar RM42 juta dari SRC International telah dimasukkan ke dalam akaun Perdana Menteri tetapi berlindung di sebalik dalih bahawa 'tiada apa-apa keterangan yang boleh menunjukkan bahawa YAB PM mengetahui dan atau bahawa terdapat kemasukan wang daripada akaun SRC ke dalam akaun-akaun beliau'?.Adakah PM telah mengembalikan wang RM42 juta ini.

9.Sesungguhnya penjelasan dan pengumuman yang dibuat Peguam Negara telah membangkitkan lebih banyak keraguan dan pertanyaan.Keputusan yang dibuat olih Peguam Negara semalam telah merampas kuasa mahkamah yang sepatutnya memutuskan sama ada Najib bersalah atau pun tidak bersalah.Pengumuman semalam juga ibarat bermulanya "MAHARAJA LAWAK MEGA MUSIM BARU".Rakyat Malaysia menuntut kejujuran dan sikap terus terang dari Peguam Negara dan SPRM berhubung hal ini.

"SELAMATKAN RAKYAT DAN MALAYSIA TERCINTA"

* DATO' MAHFUZ HAJI OMAR,Ahli Parlimen Pokok Sena

Mahasiswa gesa bebaskan TH dari cengkaman politik

Posted: 26 Jan 2016 08:29 PM PST



Oleh Muhammad Wafiuddin Rosli
 
 
Sebelum ini, TH telah mencetuskan kontroversi apabila membeli tanah 0.64 ha di Tun Razak Exchange (TRX) berharga RM188 juta daripada 1MDB.
 
 
 
Abdul-Azeez_tabung-haji_600


Pelantikan Ahli Parlimen Baling daripada Umno-BN, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim sebagai Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH) pada 1 Julai 2013 yang lalu telah membuktikan pada hari ini bahawa pelantikan ini pada asasnya tidak menguntungkan rakyat bahkan merosakkan imej Institusi Agama di Malaysia.

TH adalah organisasi yang menguruskan urusan haji umat Islam di negara ini. Di tangan organisasi inilah amanah dan kepercayaan umat Islam seluruh negara diletakkan. Ia adalah tabungan jutaan umat Islam yang menguruskan urusan haji berpuluh ribu umat Islam setiap tahun. Sepatutnya pelantikan bagi ketua institusi agama ini perlu diteliti dengan rapinya supaya ia mengikut garis panduan tertentu berdasarkan keupayaan, kredibiliti dan tidak partisan yang menyebelahi Umno-BN yang bersifat berat sebelah dan mempunyai kepentingan politik.

Hari ini, sekali lagi berlaku kekecohan berkenaan isu yang membabitkan Institusi Islam TH itu sendiri apabila Bank Negara Malaysia (BNM) melalui Gabenornya, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz mengatakan nilai aset TH hanya mencukupi membayar tidak lebih daripada 98 sen bagi setiap seringgit nilai liabiliti dan memberi amaran ia boleh memberi kesan kewangan kepada kerajaan dalam surat peringatan 23 Disember yang lalu.

Sebelum ini, TH telah mencetuskan kontroversi apabila membeli tanah 0.64 ha di Tun Razak Exchange (TRX) berharga RM188 juta daripada 1Malaysia Development (1MDB) untuk membangunkan sebuah menara kediaman. TH dilaporkan membayar 43 kali ganda lebih tinggi daripada yang dibeli 1MDB daripada Putrajaya 5 tahun lalu. Disebabkan tekanan oleh pelbagai pihak, TH mengambil keputusan untuk menjual tanah tersebut namun tiada sebarang perkembangan mengenai dilaporkan.

Terbaru, lantikan Peguam Negara sebagai ahli Lembaga Pengarah TH juga telah menimbulkan pelbagai persepsi negatif di mata rakyat. Persepsi yang berlegar diruang media sosial mahupun 'bicara kedai kopi' mengatakan lantikan ini mempunyai konflik berkepentingan. Tan Sri Mohamed Apandi Ali yang hari ini telah membuat kenyataan bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak melakukan kesalahan dalam skandal derma RM2.6 bilion atas alasan sejumlah RM2.03 bilion sudah dipulangkan kepada keluarga diraja Arab Saudi pada 2013.

Dalam isu ini, jika tidak diatasi segera ia mampu menjadi fitnah kpd Institusi Agama di Malaysia pada keseluruhanya. Rentetan ini telahpun bermula dari agihan zakat, yayasan dan kini Tabung Haji yang amat kita banggakan. Rakyat Malaysia khususnya para pendeposit TH perlu bersama-sama mahasiswa bangun untuk membantah penglibatan ahli-ahli politik dalam Institusi Agama ini.

Saya mencadangkan kepada pihak kerajaan dengan segera melantik organisasi TH yang baru bagi menunjukkan kesungguhan kerajaan dalam memperjuangkan kepentingan Islam di Malaysia. Adalah lebih baik, jika lantikan ini melibatkan golongan profesional yang bebas daripada cengkaman politik kepartian iaitu ahli ekonomi, para pensyarah berkelayakan dan tokoh korporat yang berwibawa demi kelangsungan Institusi Agama di Malaysia.

(*)  Muhammad Wafiuddin bin Rosli merupakan presiden Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM

Bagaimana jika kita tidak tandatangani TPPA dari segi perdagangan?

Posted: 26 Jan 2016 08:25 PM PST

Oleh Azlan Awang 

 

Amerika Syarikat yang sudah terperangkap tidak boleh menaikkan tarif untuk menghukum Malaysia jika Malaysia tidak tandatangani perjanjian TPP


TPPA copy


Di dalam perjanjian-perjanjian FTA sedia ada dan WTO sudah ada rejim tarif yang cukup baik untuk Malaysia.

Satu perkara yang selalu kita dengar mengenai perjanjian TPP adalah bagaimana perkongsian 12 negara dalam TPP akan memberi kita capaian kepada kelompok ekonomi yang besarnya adalah 40% daripada GDP sedunia; serta pasaran 800 juta penduduk.

Maka wajib kita berada di dalamnya untuk manfaat amat besar. Kita perlu berada dalam pasaran itu.
Tetapi yang mereka sengaja tidak beritahu:

• Kesemua 12 negara-negara TPP sudahpun berada dalam Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO)

• Amerika Syarikat tidak dibenarkan untuk menaikkan tarif mereka terhadap Malaysia di atas paras yang mereka terikat di WTO, dalam semua produk-produk Malaysia, jika Malaysia tidak menandatangani TPP.

Amerika Syarikat sebenarnya sudah terperangkap. They are locked in. Mereka tidak boleh naikkan tarif untuk menghukum Malaysia jika Malaysia tidak tandatangan. Dan kadar tarif dikunci bawah WTO, secara purata, adalah hanya 3% untuk barangan Malaysia untuk dieksport ke Amerika Syarikat.

Ini adalah sudah memang rendah, kerana ingat, jika kita inginkan sangat nak dapat tarif sifar (zero tariff) bawah perjanjian TPP, kos-kos untuk proses dan dokumentasi mematuh peraturan baru bawah TPP saperti "rule of origin" dan lain-lain dianggarkan lebih kurang 5%.

Kebetulan kesemua 12 negara TPP sudah berada dalam WTO. Tambah lagi Malaysia sudah memeterai perjanjian perdagangan bebas – dengan tarif yang rendah atau sifar – dengan semua negara-negara TPP kecuali empat negara iaitu Amerika Syarikat, Kanada, Mexico dan Peru.

Daripada empat negara tersebut, Amerika Syarikat, sudah terikat dengan tarif purata (average bounded tariff) pada WTO yang rendah iaitu, 3%, jadi tidak banyak perbezaan jika diturunkan kepada 0% pun, bawah TPP. Kanada pula, punyai tarif terikat purata rendah di WTO sebanyak 6%.

Maka tinggal Mexico dan Peru. Jika benar-benar penting untuk mendapatkan produk-produk Malaysia diekspot ke Mexico dan Peru (dengan terma tarif yang lebih baik), maka adakanlah saja perjanjian perdagangan bebas (FTA) dengan Mexico dan Peru, di mana kita hanya perlu enam bab mengenai penghapusan tarif sahaja. Dan tak perlu bab-bab saperti harta intelek, ISDS dan perkara-perkara lain.

Kebanyakan negara di dunia tidak meterai FTA dengan Amerika Syarikat

Sebelum ini terdapat kira-kira enam puluh negara yang telah memulakan rundingan FTA dengan Amerika Syarikat (AS).

Mereka semua pada awalnya sangat optimis. 'Kami akan dapat tawaran yang terbaik, Perdana Menteri kami kawan rapat dengan Presiden Amerika Syarikat, dia pergi ke ladangnya untuk BBQ. Kita akan mendapat tawaran istimewa, tengoklah" – itulah yang Australia beranggapan sewaktu rundingan FTA dengan AS pada tahun 2003.

Hakikatnya, Australia cuma dapat tawaran sama seperti orang lain, teks yang sama, semua sama…kerana Amerika Syarikat sudah ada templat (acuan perjanjian FTA) yang dibawahnya cuma – "anda tandatangan di sini!"(sign here!).

Jadi, bagi banyak negara, selepas berpuluh-puluh pusingan rundingan, mereka masih tidak dapat capai yang mereka perlukan, dan merubah teks cadangan dalam template asal AS. Melihat versi terakhir, mereka berkata, 'you know what, ini sebenarnya tak sesuai dengan kepentingan negara saya, terima kasih, tapi tak payah, kami tidak akan tandatangan! Thanks, but no thanks!'

Ini cerita Switzerland. Switzerland sedang berunding dengan AS untuk mengadakan FTA. Mereka kaji cadangan AS dan selepas dua tiga pusingan, mereka berkata kepada Amerika Syarikat: `Perlukah anda masukkan bab-bab mengenai harta intelek dan pertanian? AS berkata, "Kami mesti. Itu semua wajib bagi kami."

Switzerland kemudian berkata, "Kalau begitu, terima kasih banyak, tapi tak payahlah.. lebih baik kita teruskan persahabatan kita, tak payahlah perjanjian perdagangan bebas (FTA) ini. Kita boleh terus berdagang dengan satu sama lain di bawah Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) di mana diantara kita semua sudah ada tarif yang rendah. Jom kita teruskan tanpa FTA ini".

Mengikut World Economic Forum (WEF) Competitive Index 2014-2015– Switzerland adalah negara paling kompetitif di seluruh dunia. Jelas bukan hal 'takut' atau 'tidak takut' saperti naratif yang dijaja Tok Pa (Datuk Seri Mutapa Mohamed).

40 daripada 60 negara tinggalkan rundingan FTA dengan AS, seperti Malaysia pada tahun 2008

Jadi daripada enam puluh negara yang mula berunding dengan AS, hanya 20 tandatangani. Dua pertiga tolak, kerana mereka dapati tidak sesuai dengan mereka. Jadi majoriti dari 170 negara diseluruh dunia tidak mulakan apa-apa rundingan langsung, dan dari 60 negara yang berunding 40 negara (dua pertiga) akhirnya tidak menandatangani perjanjian FTA kerana cadangan (templat) AS itu dianggap begitu buruk dan lebih mudarat untuk mereka.

Hanya beberapa negara saja yang mampu jadi hero dan menanggung kehendak Amerika Syarikat.

* Azlan Awang merupakan timbalan pengerusi #BantahTPPA. Artikel diatas adalah adaptasi dari syarahan Sanya Reid Smith, Third World Network

Masih adakah RM42 juta dalam akaun Najib? – Khairuddin

Posted: 26 Jan 2016 08:16 PM PST

 
Wang itu didakwa sebagai imbuhan kerana meluluskan pinjaman kerajaan sebanyak RM4 bilion kepada anak syarikat 1MDB, SRC International.


Khairuddin-Abu-Hassan

PETALING JAYA: Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan mendesak Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali menjelaskan sama ada wang RM42 juta yang didakwa disalurkan SRC International kepada Perdana Menteri masih ada dalam akaun peribadi Datuk Seri Najib Tun Razak.

Bekas Naib Ketua UMNO Batu Kawan membuat desakan itu berikutan kenyataan Apandi semalam yang membersihkan Najib daripada sebarang kesalahan berhubung isu 'derma' RM2.6 bilion dan pinjaman RM4 bilion kepada SRC International, anak syarikat 1MDB itu.

"Saya ingin tanya Apandi apakah RM42 juta itu masih ada dalam akaun peribadi Najib? Kalau sudah tiada siapa yang mengeluarkannya?" soalnya dalam satu kenyataan.

Beliau juga mendesak Apandi menjelaskan siapakah yang memasukkan wang tersebut ke akaun peribadi Najib, dan sama ada Najib tahu akan tindakan itu.

"Kalau beliau tidak tahu wang tersebut daripada siapa, apakah beliau telah melaporkannya kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menyiasat siapa yang memasukkan wang tersebut?," soalnya.

Dalam sidang media semalam, Apandi mengumumkan yang beliau telah meneliti kertas siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung isu 'derma' RM2.6 bilion dan RM42 juta SRC International dan mengarahkan kedua-dua kes tersebut ditutup.

Tiada ulasan: