Ahad, 24 Januari 2016

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


Ahli Parlimen PAS diberi amaran jangan undi sokong TPPA

Posted: 24 Jan 2016 07:18 AM PST

 Oleh Azizul Osman 

 
Post Pic

 
KUALA LUMPUR: Semua Ahli Parlimen PAS sudahpun diarahkan menolak Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) yang akan dibahaskan di Parlimen pada Selasa dan Rabu ini.  
 
Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata mana-mana ahli Parlimennya yang ingkar dengan arahan parti akan dihukum oleh pengundi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), akan datang.
 
"Kita (PAS) sudah keluarkan arahan untuk turut semua membantah dan kita tidak benar Ahli Parlimen PAS yang sokong TPPA dan ini pendirian parti dan didokongi oleh semua Ahli Parlimen dan kita harap pembangkang lain pun sama. Bagi saya wakil Umno pun patut lihat ini bukan dalam konteks parti sahaja tapi dalam konteks masa depan negara.
 
"Rakyat akan hukum, memang rakyat akan hukum, mana-mana Ahli Parlimen yang menyokong TPPA ini rakyat akan menghukum mereka untuk tidak memilih mereka pada PRU14 nanti dan kita akan pandang serius benda ini," kata Tuan Ibrahim kepada pemberita selepas menghadiri Himpunan Bantah TPPA di Padang Merbok, Kuala Lumpur hari ini. 
 
Himpunan bantah TPPA hari ini mencatatkan satu lagi kejayaan buat PAS apabila hampir 10,000 ahlinya hadir di Padang Merbok hari ini.
 
Rata-rata mereka memakai baju hijau dengan membawa plakad serta kain rentang yang menggesa kerajaan pemerintah agar tidak menyertai TPPA.
 
Selain Tuan Ibrahim PAS turut diwakili tiga naib presidennya, Datuk Amar Nik Mohamad, Idris Ahmad dan Datuk Iskandar Abdul Samad, Ketua Dewan Ulama PAS, Datuk Mahfodz Mohamad, Ketua Penerangan Dewan Ulama, Datuk Dr. Khairuddin Aman Razali, Ketua Penerangan PAS, Nasruddin Hassan dan Pengarah Operasi Pusat Penyelidikan PAS, Dr Mohd Zuhdi Marzuki.
 
Rakan kerjasama politiknya, PKR diwakili Naib Presidennya, Tian Chua.
 
Hanya PAS dan PKR berkumpul di Padang Merbok sementara parti serpihannya, Parti Amanah negara (PAN) bersama Parti Sosialis Malaysia (PSM)  berkumpul di Jalan Raja, kira-kira 50 meter daripada Dataran Merdeka.
 
Manakala tiada kelibat pemimpin DAP dikesan sepanjang himpunan itu berlangsung.
 
Himpunan itu pada mula mensasarkan Dataran Merdeka sebagai lokasi terakhir untuk pesertanya berkumpul sebelum diubah ke Padang Merbok.
 
 

'Terlajak Laris' ucap selamat tinggal kepada Selangor

Posted: 24 Jan 2016 07:13 AM PST

ANTARAPOS.COM


Post Pic

 
KUALA LUMPUR: Selangor akhirnya berputih mata selepas terkeluar daripada pilihan syarikat kosmetik D'Herbs, sebaliknya tiga pasukan, Pahang, Kedah dan FELDA United bakal meraih 'durian runtuh' daripada penajaan pengasas syarikat itu, Datuk Aliff Syukri Kamarzaman. 
 
Mengakui tawar hati dengan pasukan juara Piala Malaysia itu yang disifatkan terlalu rumit dengan perbincangan sebelum ini gagal mencapai kata putus, Aliff kini mengakui sedang mempertimbangkan secara serius untuk menaja tiga pasukan berkenaan. 
 
Aliff ketika dihubungi BH Sukan berkata, beliau sudah bertemu dengan barisan pengurusan FELDA United dan Kedah untuk berbincang berhubung soal tajaan, tetapi buat masa ini, tiada lagi apa-apa perjanjian yang dimeterai. 
 
Beliau juga mengambil keputusan untuk tidak mengenakan sebarang syarat bagi menaja pasukan terbabit, sebaliknya mahukan mereka pula yang memberikan 'sesuatu' kepada syarikat miliknya. 
 
"Cukuplah saya dikecam sebelum ini selepas berhasrat untuk menaja sebuah pasukan ternama, jadi saya hanya mahu mendengar apa yang boleh mereka tawarkan kepada saya dan kelebihan yang akan saya terima jika saya bersetuju menaja pasukan mereka. 
 
"Saya serahkan kepada mereka untuk membuat keputusan apa yang bakal saya terima untuk penajaan ke atas pasukan mereka kerana mereka lebih memahami kehendak dan keperluan pasukan untuk bersaing dalam liga di negara ini," katanya ketika dihubungi BH Sukan, semalam. 
 
Usahawan berusia 29 tahun itu juga mengakui beliau berada dalam dilema dan keliru untuk membuat pilihan pasukan mana yang bakal menerima penajaannya musim ini. 
 
"Saya sudah berjumpa secara peribadi dengan Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Datuk Seri Mukhriz Mahathir, kelmarin dan beliau turut memberikan tawaran 'Terlajak Hebat' yang saya fikir mampu menambat hati saya. 
 
"Tambahan pula, Kedah memiliki penyokong yang hebat dan mampu memenuhi stadium setiap kali pasukan kesayangan mereka beraksi, jadi berkemungkinan ini bakal menjadi satu faktor yang akan saya pertimbangkan nanti," katanya. 
 
Bagi Pahang dan FELDA United pula, Aliff berkata, kedua-dua pasukan itu terlalu dekat dengan hatinya memandangkan beliau sendiri adalah anak kelahiran Pahang dan dilahirkan di FELDA Kechau di negeri itu. 
 
"Jadi, situasi ini meletakkan saya dalam keadaan dilema tetapi saya perlu memikirkan semasak-masaknya kerana isu tajaan ini bukan perkara yang kecil...ia membabitkan tajaan bernilai jutaan ringgit. 
 
"Saya akan leraikan penantian ini dalam sidang media khas yang bakal diadakan dua minggu lagi," katanya.
 
 

Mukhriz 'hampir pasti' diganti, lapor Utusan

Posted: 24 Jan 2016 06:59 AM PST

MALAYSIAKINI



 


'Hampir pasti' Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir akan digantikan, demikian tajuk utama muka depan akhbar harian milik Umno, Utusan Malaysia hari ini.

Akhbar itu melaporkan, dalam pertemuan dengan barisan kepemimpinan Umno dan exco kerajaan negeri itu di PWTC, Najib yang juga presiden Umno dilaporkan berkata, beliau akan meneliti semua perkara sebelum membuat sebarang keputusan.

"Perdana menteri akui apa yang berlaku adalah suara yang dibawa oleh ketua-ketua bahagian di Kedah, beliau minta diberi masa untuk membuat keputusan kerana apa juga tindakan perlu mengambil kira kesan kepada Umno Kedah dalam Pilihan Raya Umum Ke-14.

"Selain itu beliau juga menuntut kesetiaan semua pemimpin Umno negeri tersebut terutamanya apabila keputusan dibuat dalam tempoh sehari dua lagi," lapor Utusan yang memetik satu sumber yang turut menghadiri pertemuan tersebut.

Pertemuan itu dihadiri oleh lebih 50 pemimpin Umno Kedah, antaranya Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno negeri, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah, Ahli Parlimen Jerai, Datuk Seri Dr. Jamil Khir Baharom, ADUN Tanjong Dawai, Datuk Tajol Urus Mat Zain, Ahli Parlimen Kubang Pasu, Datuk Johari Baharum dan Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Rahim.

Laporan yang memetik sumber dalaman Umno itu berkata, pemimpin Umno yang hadir sepakat meminta Najib menyelesaikan isu tersebut dengan segera termasuk menghadap ahli jemaah pemangku Sultan Kedah secepat mungkin.

"Dalam mesyuarat itu, Ahmad Bashah yang mewakili kepemimpinan Umno Kedah menjelaskan apa yang berlaku dan mahu Perdana Menteri membuat perubahan terhadap kepemimpinan Umno Kedah demi memastikan parti itu terus berkuasa," lapor Utusan lagi.

Rabu lalu, sekumpulan Umno Kedah yang juga penyokong Najib mengumumkan hilang keyakinan terhadap kepimpinan Mukhriz.

Mereka yang diketuai oleh Ahmad Bashah ketika mengadakan sidang media di Alor Setar, Kedah itu juga menggesa Najib campur tangan dan menggantikan Mukhriz sebagai menteri besar.

Selain itu ditanya mengenai calon menteri besar bagi menggantikan Mukhriz, Utusan memetik sumber itu sebagai berkata, setakat ini Ahmad Bashah merupakan calon utama dan pengumuman mengenai­nya akan dilakukan dalam tempoh sehari dua lagi.

"Ada pihak memaklumkan majlis angkat sumpah dijangka diadakan pada penghujung bulan ini di Istana Anak Bukit," sumber itu dilaporkan berkata.

Sementara itu media milik Umno itu turut melaporkan sokongan terhadap Mukhriz dilihat semakin berkurangan apabila beberapa perhimpunan bagi menyatakan sokongan terhadap kepemimpinan beliau semakin pudar.

Dalam masa sama, satu sumber memberitahu Utusan, Mukhriz juga menghadapi masalah dalam mendapatkan sokongan di kalangan ADUN jika beliau berhasrat membawa perkara itu ke dalam sidang Dewan Undangan Negeri.

Malaysiakini bukan untuk dijual

Posted: 24 Jan 2016 06:58 AM PST

MALAYSIAKINI


 


Malaysiakini bukan untuk dijual, kata pengasas bersamanya sebagai reaksi kepada dakwaan ada sekutu Umno bercadang membeli beberapa laman sesawang, termasuk portal berita nombor satu negara itu.

Ketua pegawai eksekutifnya, Premesh Chandran berkata Malaysiakini tidak dihubungi pelabur sebegitu dan tidak akan melayan mereka jika ada.

"Malaysiakini berterima kasih kepada pelanggan kerana menyokong kami selama ini. Dengan sokongan mereka kami mampu berdaya maju dan bebas," katanya.

Untuk mengakses laman sesawang berita berbahasa Inggeris pelanggan Malaysiakini membayar RM150 setahun atau RM388 untuk tempoh tiga tahun.

Kata Premesh (gambar), meminta pembaca melanggan untuk mendapatkan berita bukan sesuatu yang keterlaluan.

"Sebagai balasan kami akan memastikan Malaysiakini kekal bebas daripada campur tangan luar dan terus memberikan laporan tanpa takut atau berpihak," katanya.

Menurut beliau pihak yang berurusan dengan Malaysiakini sedar bahawa keputusan editorial dibuat oleh wartawan dan editor portal berkenaan.

Sementara itu Ketua Pengarang Kumpulan Steven Gan berkata pengasas laman sesawang berkenaan tahu bagi memastikan Malaysiakini kekal bebas sejak 16 tahun lalu, ia perlu berdikari dari segi kewangan.

"Malaysiakini tidak akan menjadi apa yang anda lihat hari ini tanpa penyokong kami yang menyumbang sejumlah kecil wang untuk memastikan wartawan melaksanaan misi laman sesawang ini terus diyakini," katanya.

Gan juga menegaskan pengasas Malaysiakini mahu portal berita itu dipimpin oleh pasukan wartawan dan editornya.

"Malaysiakini milik mereka, dan untuk pembaca serta penyokongnya," kata Gan.

Jenama diyakini

Menurut beliau, kesan buruk kawalan media tradisional oleh pemilik yang mempunyai kaitan politik akan terlihat pada dunia atas talian tidak lama lagi.

Katanya, pengguna berita perlu memberikan sumbangan lebih banyak jika mahu pertubuhan media kekal bebas daripada campur tangan politik dan perniagaan kroni mereka.

"Jika mereka tidak membayar untuk mendapatkan berita, ada pihak lain yang bersedia melakukannya. Dan pada akhirnya, ahli politik dan taikun adalah pihak yang menikmati kebebasan media, bukan rakyat," katanya.

Kata Premesh, pengiklanan juga memainkan peranan penting memastikan pertubuhan media kekal berdaya saing.

"Setiap bulan Malaysiakini diakses dari lebih sembilan juta komputer peribadi dan telefon genggam setiap bulan. Kami percaya ia mewakili bahagian pengiklan yang bernilai," katanya.

Malaysiakini satu-satunya media yang menampilkan empat kumpulan bahasa di Malaysia.

"Kami memiliki pembaca yang besar dan meyakini jenama kami. Ia tentu menawarkan landasan yang besar kepada pengiklan," katanya.

Namun, tidak memiliki sokongan kewangan utama membawa kepada keterbatasan.

Kata Premesh, dengan bergantung kepada pengiklanan dan langganan saja memaksa Malaysiakini berjimat cermah dalam perbelanjaan.

"Kami perlu lebih berhati-hati terhadap perkembangan dan terpaksa memotong perbelanjaan jika ia merugikan.

"Ketika kami mahu melakukan lebih lagi dan berkembang pesat, ia membawa risiko besar," katanya.

Pantai Kasih bukan teladan baik?

Posted: 24 Jan 2016 06:54 AM PST

Shakira Buang


 


Isu kesesuaian novel Pantai Kasih karya Azmah Nordin yang sebagai bahan bacaan pelajar tingkatan empat perlu dilihat secara lebih meluas dan dirungkai dengan mendalam.

Selain dakwaan bahawa banyak nilai negatif terkandung dalam novel itu ia juga dianggap kurang menepati matlamat subjek kompenan sastera (Komsas) di sekolah, iaitu membentuk pembangunan diri dan memupuk nilai murni di kalangan pelajar.

Beberapai pihak juga berpendapat novel berkenaan lebih berkonsepkan popular semata-mata.

Pantai Kasih mengisahkan pergolakan hidup petugas-petugas di Pusat Rawatan Pantai Kasih yang diburu keresahan serta ketakutan kesan kes penyamaran seorang lelaki yang kurang siuman sebagai doktor di hospital itu.

Dua watak, iaitu Dr Raiha dan Dr Uwang, juga digambarkan sebagai individu mempunyai masalah peribadi tersendiri.

Dr Raiha diburu kegelisahan hidup setelah kematian anak dan suaminya, manakala Dr Uwang tersepit di antara desakan kata hatinya untuk memburu keuntungan dan keinginan untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada para pesakit.

Kegagalan menyelamatkan seorang pesakit remaja setelah menjalani enam pembedahan di pusat rawatan tersebut juga menyebabkan berlakunya konflik antara mereka.

Selain padat dengan beberapa masalah semasa, terlalu banyak persoalan dibangkitkan, antaranya:

Kepentingan diri melebihi kepentingan masyarakat - Ia boleh dilihat melalui sikap lebih mementingkan keuntungan syarikat - melalui melalui watak Dr Uwang yang tidak menghiraukan kesusahan pesakitnya, Unong Siron.

Dr Uwang juga sanggup menghantar anak perempuan tunggalnya duduk di sekolah berasrama seawal usia tujuh tahun semata-mata untuk tidak mengganggu rutin dan statusnya.

Tambahan pula anak itu lahir hasil keterlanjuran, sedangkan dia memang tidak menginginkan anak apabila berumah tangga.

Sikap suka berfoya-foya di luar walaupun sudah berumah tangga - Sikap Dr Uwang yang masih berfoya-foya walaupun sudah berumah tangga menggambarkan dia seorang yang memilih gaya kehidupan bebas dan tidak mahu dikongkong.

Walaupun sudah berumah tangga, dia tetap mengunjungi kelab-kelab malam dan minum arak bersama gadis pelayan sebelum kemudian berakhir di ranjang.

Namun sikapnya yang memastikan 'kebersihan' pada 'isteri tidak sah' itu menjadikan dia seorang yang pemilih.

Keruntuhan rumah tangga - Keruntuhan institusi rumah tangga akan menyebabkan seseorang menghadapi trauma yang berpanjangan.

Dr Raiha sentiasa dibayangi kisah silam termasuk keruntuhan rumah tangganya. Sikap Dr Sadiz yang keterlaluan memintanya menggugurkan kandungan mereka, dan juga menggantung Dr Raiha tidak bertali selepas menang dalam kes perbicaraan menjadikan peristiwa hitam tersebut tidak luput dalam masa singkat.

Babak lucah yang menjadi pertikaian pula berkaitan hubungan intim serta gaya hidup mewah antara doktor dan jururawat.

Antara petikan ayat yang terkandung dalam buku tersebut ialah: "Bagaikan tidak dapat ditangguhkan lagi, Doktor Sadiz sudah tidak mampu mengawal nafsunya. Raiha telah menjadi mangsa kerakusannya. Tanpa sebarang perencanaan dan tanpa kerelaan Raiha, terlucutlah sel daripada genetik 'istimewa' milik Doktor Sadiz ke dalam badan Raiha.

"Doktor Sadiz terus menyeringai dan terus giat menyempurnakan autopsi ataupun bedah siasat ke atas jasad Raiha yang terhimpit dan terlentang di atas lantai lif itu".

Secara keseluruhannya novel Pantai Kasih tidak memberi sebarang teladan yang baik kepada pelajar selain teks ini dianggap satu bahan bacaan membosankan.


Krisis MB Kedah: Jangan babitkan sultan, rakyat

Posted: 24 Jan 2016 06:51 AM PST

MALAYSIAKINI


 


Pihak yang terlibat dalam kemelut kepimpinan di Kedah diingatkan tidak mengheret istana dan rakyat bagi menyempurnakan agenda masing-masing.

Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar berkata, rakyat ketika ini sedang menghadapi kesukaran hidup akibat kos sara hidup yang tinggi.

Keadaan itu, kata bekas naib presiden PAS berkenaan, berlaku disebabkan "kelemahan" Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak "menguruskan kehidupan rakyat"

Dalam kenyataan medianya hari ini Mahfuz berkata selepas lima hari usaha menyingkirkan Datuk Seri Mukhriz Mahathir (gambar) daripada jawatannya sebagai menteri besar dan Ketua Perhubungan Umno Kedah belum berhasil.

Namun, katanya, usaha berkenaan dipercayai sedang berterusan dan digerakkan oleh Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah dan "didalangi pula oleh tok datang wayang kulit" di Putrajaya.

"Apa yang menyedihkan ialah, daripada cakap-cakap dan mesej di media sosial, komplot ini cuba mengheret Sultan Kedah dan Jemaah Pemangku Sultan untuk meyakinkan rakyat serta menghalalkan tindakan mereka," katanya.

Mahfuz yang turut pernah berkhidmat sebagai Ketua Penerangan PAS mendakwa gerakan menyingkirkan Mukhriz itu didorong oleh keinginan menyerang balas terhadap desakan pihak tertentu untuk mengundurkan Najib daripada jawatan Presiden Umno dan perdana menteri.

Heret perbuatan jahat

Katanya, "komplot" terhadap Mukhriz itu adalah kesan daripada kritikan keras Tun Dr Mahathir Mohamad ke atas Najib.

"Ia boleh disifatkan seperti pepatah pukul anak sindir menantu.

"Satu 'penampar' untuk Mukhriz adalah juga 'tendangan' buat Dr Mahathir," katanya.

Pada 20 Januari lalu Ahmad Bashah (gambar) mengetuai sidang media bersama beberapa pimpinan Umno Kedah mendesak supaya Mukhriz digantikan dengan tokoh lain sebagai menteri besar.

Selain dilantik sebagai Timbalan Ketua Perhubungan Umno Kedah, Ahmad Bashah adalah Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan.

Tindakan itu bagaimanapun dibaca penganalisis sebagai reaksi kepada kelantangan Dr Mahathir mengkritik Najib, selain pendirian Mukhriz sendiri yang memihak kepada bekas timbalan perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menurut Mahfuz, paparan laporan sesetengah media arus perdana menampakkan kepada rakyat kononnya tuntutan menggantikan Mukhriz adalah kehendak orang ramai.

"Ia bertujuan untuk memberi tekanan kepada Sultan Kedah mempercepatkan perkenan mengguling Mukhriz daripada jawatan menteri besar.

"Tindakan mengheret sultan dalam kemelut politik dalaman Umno Malaysia dan di Kedah suatu perbuatan jahat," katanya.

Mahfuz juga berpendapat, langkah membabitkan istana dan rakyat dalam usaha menggulingkan Mukhriz dibuat bagi mengawal kemarahan orang ramai yang tidak bersetuju dengan langkah itu.

"Bagi mereka, kalau rakyat nak marah (atas penggantian menteri besar), marahlah kepada sultan. Najib serta pimpinan Umno Kedah boleh tidur lena," katanya.

Pemuda AMANAH ajak berkampung di parlimen

Posted: 24 Jan 2016 06:31 AM PST

MALAYSIAKINI


 


Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH) menyeru rakyat di negara ini untuk berkampung di parlimen pada Selasa dan Rabu bagi mendesak Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) ditolak.

Naib Ketua Pemudanya AMANAH Shazni Munir Mohd Ithnin berkata kedua-dua hari berkenaan merupakan saat genting kerana ia bakal menentukan "jatuh bangunnya negara ini".

"Pemuda AMANAH mengajak seluruh rakyat untuk berkampung depan parlimen ketika TPPA ini dibahaskan bermula pagi 26 Januari hinggalah 27 Januari.

"Di pusingan bantahan paling penting ini, rakyat harus bersama-sama pastikan seluruh Ahli Parlimen mengundi untuk tolak perjanjian tersebut," kata Shazni dalam kenyataannya hari ini.

Parlimen dijadual membahaskan isu TPPA pada Selasa dan Rabu ini sebelum proses undian sama ada ia diterima atau ditolak, dijalankan.

Pakatan Harapan sudah memutuskan untuk mengundi menolak TPPA ditandatangani.

Shazni Munir berkata, mesej utama yang harus disampaikan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak adalah supaya tidak memperjudikan nasib rakyat di negara ini.

"Jangan perjudikan nasib rakyat dan kedaulatan negara. Rakyat wajib tahu bahawa TPPA ini satu bentuk penjajahan baru antara rakyat Malaysia dan syarikat-syarikat multinasional yang berpengkalan di negara-negara maju.

"Usah berhujah bahawa rakyat takut kepada persaingan luar. Sebenarya rakyat Malaysia hari ini hilang daya saing ketika Barisan Nasional memerintah.

"Kamu (BN) gagal sebagai pemerintah. Kemahuan kami hanya satu - seluruh ahli parlimen khususnya daripada blok BN menolak TPPA dalam undian di palrimen," katanya.

Penerima biasiswa JPA terjejas hubungi Yayasan Sarawak

Posted: 24 Jan 2016 06:28 AM PST

FREE MALAYSIA TODAY


Yayasan itu memohon maklum balas daripada penerima biasiswa JPA pelajar Sarawak sebagaimana yang diarahkan Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem.


jpa,sarawak


KUCHING: Yayasan Sarawak meminta penerima biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang terkesan dengan pembekuan tawaran biasiswa berkenaan agar menghubungi pihaknya dan pegawai terlibat.

Pengarah Yayasan Sarawak, Datuk Mohamad Abu Bakar Marzuki berkata, yayasan berkenaan memohon maklum balas daripada penerima biasiswa JPA berkenaan sebagaimana yang diarahkan Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem, merangkap Pengerusi Yayasan Sarawak.

"Kami memohon maklum balas penerima biasiswa JPA dari Sarawak yang terkesan dengan pembekuan tawaran biasiswa JPA.

"Sila berhubung dengan saya sendiri atau mana-mana pegawai untuk maklumat lanjut," katanya menerusi laman Facebook rasmi Yayasan Sarawak, hari ini.

Mohamad Abu Bakar boleh dihubungi menerusi talian 012-889 1117 atau e-mel abubakar@yayasansarawak.org.my.

Selain itu, penerima biasiswa JPA boleh menghubungi Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pembangunan Pendidikan Tinggi Mohamad Adzlie Ibrahim di talian 013-8099883 atau e-mel adzlie@yayasansarawak.org.my.

Mereka juga boleh menghubungi Penolong Pengarah Seksyen Pendidikan Tinggi Muhamad Rahman Sallehin di talian 016-854 1239 atau e-mel rahmansallehin@yayasansarawak.org.my.

Semalam Adenan mengarahkan Yayasan Sarawak mencari jalan dan kaedah mengenai cara terbaik membantu pelajar tempatan yang belum menerima bayaran bagi biasiswa tajaan JPA.-BERNAMA

Dua pakar kaji serpihan didakwa milik MH370 di selatan Thai

Posted: 24 Jan 2016 06:23 AM PST

FREE MALAYSIA TODAY


Pakar itu dihantar oleh DCA Thailand untuk menganalisis lebih lanjut serpihan disyaki daripada bangkai pesawat


mh370


BANGKOK: Jabatan Penerbangan Awam (DCA) Thailand akan menghantar dua pakar ke wilayah Nakhon Si Thammarat esok, untuk menganalisis lebih lanjut serpihan disyaki daripada bangkai pesawat yang dijumpai di wilayah di selatan Thailand.

Timbalan Ketua Pengarahnya, Amphawan Wannako, berkata jabatan itu dengan bantuan pegawai Tentera Udara Diraja Thailand (RTAF) juga akan menerbangkan serpihan tersebut ke ibu negara di sini, esok.

"Selain kedua-dua pakar kami yang akan berada di Nakhon Si Thammarat esok, kami juga akan dibantu oleh pakar-pakar RTAF bagi pemeriksaan dan mengangkut serpihan ke Bangkok," katanya kepada BERNAMA di sini, hari ini.

Beliau berkata, proses mengangkut serpihan itu disyaki milik pesawat kemungkinan besar akan dilakukan oleh pesawat Hercules C-130 milik RTAF.

Penduduk tempatan yang tinggal berhampiran pantai di wilayah selatan negara itu semalam, melaporkan mengenai penemuan objek logam besar, berukuran dua meter lebar dan tiga meter panjang, dipercayai milik sebuah pesawat.-BERNAMA

Suspek langgar tiga individu pagi tadi ditahan

Posted: 23 Jan 2016 04:23 PM PST

Suspek langgar tiga individu pagi tadi ditahan
Kenderaan suspek yang ditahan menjadi viral di laman sosial.


SHAH ALAM -  Suspek merempuh sekumpulan enam individu hingga mengakibatkan tiga daripada mereka maut, ditahan di Balai Polis Trafik Jalan Bandar di sini, malam tadi.

Memetik laporan Berita Harian, perkara itu disahkan Ketua Polis Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Nadzri Hussain.

"Suspek berusia 25 tahun itu ditahan selepas membuat laporan berhubung kemalangan itu pada jam 7.20 malam.

[ARTIKEL BERKAITAN: Tiga peserta rombongan Thaipusam maut dirempuh]

"Kita berjaya mengesan dia melalui tukang tarik kereta yang dia panggil menarik keretanya yang ditinggal di tepi Lebuhraya Kesas (Lebuhraya Shah Alam) dan dia akhirnya bersetuju datang untuk membuat laporan polis.

"Sejurus dia selesai membuat laporan, kita terus menahannya untuk membantu siasatan. Kita akan rekod keterangan dan jika ada keperluan untuk melanjutkan penahanannya, kita akan buat permohonan reman," katanya.


Sokong TPP: Ahli politik perlu bersedia ditolak

Posted: 23 Jan 2016 04:19 PM PST


 Sokong TPP: Ahli politik perlu bersedia ditolak
Antara peserta perhimpunan bantah TPP di Padang Merbok.


KUALA LUMPUR - "Setiap pihak perlu bersatu padu menolak Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) tanpa mengira ideologi parti serta agama," kata Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Menurut beliau, Himpunan Bantah TPP yang dianjurkan itu adalah bagi menyatakan bantahan terhadap perjanjian berkenaan yang bakal ditandatangani oleh kerajaan memandangkan masa depan negara perlu menjadi keutamaan pada masa ini.

"Selain peserta yang terlibat pada hari ini, kita juga minta supaya pihak Majlis Fatwa Kebangsaan, mufti serta golongan agamawan untuk bersatu-padu menyatakan pendirian mereka berhubung perjanjian ini," katanya ketika menyampaikan ucapan penutup, petang tadi.

Dalam pada itu, Tuan Ibrahim yang juga merupakan Pesuruhjaya Pas Pahang berkata, keputusan ini adalah penentu kepada nasib ganerasi akan datang.

Selain itu, beliau turut mengingatkan mana-mana Ahli Parlimen yang menyokong perjanjian TPP berkenaan akan berdepan risiko untuk tidak lagi dipilih oleh rakyat pada PRU akan datang.

"Kalau kerajaan nak teruskan perjanjian ini, mereka mesti sedia untuk tidak dipilih pada PRU akan datang," katanya.

Dalam pada itu, Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas, Datuk Nik Zawawi Nik Salleh berkata, tindakan kerajaan menandatangani perjanjian TPP berkenaan akan memberikan ruang buat Amerika Syarikat untuk menguasai ekonomi negara ini.

Menurut beliau, Amerika Syarikat merupakan sebuah negara yang sedang jatuh dan disebabkan itu mereka menjadikan 12 buah negara yang terikat dengan perjanjian berkenaan sebagai alat untuk menyelamatkan ekonomi negara itu.

"Nasib rakyat akan bertambah sukar khususnya dari sudut ekonomi malah Malaysia akan kekal menjadi negara ketiga sampai bila-bila," katanya.

Tiga pelajar Malaysia maut kemalangan di Jordan

Posted: 23 Jan 2016 04:15 PM PST

SINAR HARIAN


Kemalangan


KUALA LUMPUR - Tiga pelajar Malaysia di Universiti Mu'tah, Jordan maut sementara dua lagi cedera dalam satu kemalangan jalan raya pagi Sabtu.

Menurut Facebook rasmi Education Malaysia Jordan kesemua pelajar itu yang menaiki sebuah kereta, dipercayai dalam perjalanan ke Mafraq untuk menghadiri sebuah program jaulah.

Turut berada dalam kereta berkenaan ialah warga Jordan.

Mangsa yang terselamat dirawat di Hospital Mafraq.‎ - Bernama

Al-Fatihah.


Tiada ulasan: