Sabtu, 23 Januari 2016

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


RANCANGAN SINGKIR MUKHRIZ GAGAL?

Posted: 23 Jan 2016 03:09 AM PST

shahbudindotcom

 
 
 
Semuanya nampak serba tak menjadi. Jika dua hari lalu, gerakan menolak Mukhriz Mahathir yang diadakan di Alor Setar dipertikaikan oleh beberapa pemimpin UMNO dan wakil rakyat yang hadir di mana ada di antaranya merasakan seolah-olah diperdaya dan mereka tidak tahu tujuan sebenar perjumpaan itu diadakan, apa yang berlaku dalam perjumpaan Kuala Lumpur semalam lebih mendukacitakan lagi.

Kumpulan 14 Ketua Bahagian Kedah  diketuai oleh Ahmad Bashah Hanipah yang mengadakan pertemuan dengan Najib Razak bagi meneruskan desakan dan mencapai kata muktamad agar kedudukan Mukhriz ditukar, terus menemui jalan buntu.

Dalam pertemuan di PWTC semalam, selain dihadiri 14 Ketua Bahagian berkenaan, ia juga turut dihadiri oleh wakil-wakil rakyat, Exco Kerajaan negeri dan pimpinan UMNO empat peringkat yang lain.

Malangnya, difahamkan tiada kesepakatan dicapai dalam memutuskan  sama ada Mukhriz benar-benar perlu digantikan atau sebaliknya. Terdapat suara-suara yang bimbang bahawa penyingkiran Mukhriz akan memecah-belahkan lagi UMNO dan menidakkan sama sekali peluang mengekalkan penguasaan BN di negeri Kedah.

Sudahlah begitu, kehadiran dalam perjumpaan dengan Najib itu juga dilaporkan tidak menepati sasaran yang menggembirakan. Ada yang menyebut kehadiran tidak sampai pun 100 orang sedangkan jemputan dibuat untuk lebih 200 orang.

Ia dengan sendirinya bermakna, ramai yang tidak setuju dengan perjumpaan untuk menyingkirkan Mukhriz itu.

Dalam keadaan kehadiran mengecewakan dan tiada kesepakatan itu, Najib akhirnya hanya meluangkan masa kira-kira 40 minit saja dalam pertemuan itu. Beliau meninggalkan majlis sebelum ia berakhir  secara sembunyi-sembunyi melalui pintu belakang seolah-olah enggan menunjukkan wajah kecewanya kepada pihak media.

Malah menjadi perbualan di kalangan petugas media tentang adanya arahan tidak membenarkan diambil gambar Najib ketika meninggalkan majlis itu. Wajah Najib ketika dalam perjumpaan itu pula, sebagaimana yang tersebar dalam pelbagai media sosial, jelas memperlihatkan wajahnya yang murung dan tidak gembira.

Selepas Najib pergi, mesyuarat tetap diteruskan tetapi semua mereka yang hadir mengunci mulut daripada bercakap mengenai hasil atau keputusan perjumpaan itu.

Ramai yang ditemui sekadar berkata, "no komen", "semuanya berjalan dengan baik"  atau kata-kata jawapan klise yang seumpama dengannya.

Episod ini bukan saja memalukan 14 Ketua UMNO Bahagian yang selama ini begitu bersungguh-sungguh mahu menyingkirkan Mukhriz, malah kali ini mereka turut menyeret Najib sama untuk dimalukan.

Sepatutnya, pertemuan dengan Najib yang diadakan selepas sidang akhbar di Alor Setar, mereka terus berjaya meyakinkan Perdana Menteri agar Mukhriz dapat disingkirkan dengan segera.

Namun disebabkan ramai yang berbelah bagi dan lebih risau kesannya kepada UMNO dan BN, ia dengan sendirinya membuatkan Najib rasa terpukul, lalu meninggalkan pertemuan tanpa sidang akhbar dan pengumuman.

Yang lebih memalukan, terpaksa pula Najib keluar ikut pintu belakang - sama seperti yang dilakukannya ketika mesyuarat MT UMNO selepas pemecatan Muhyiddin Yassin dan Shafie Apdal dahulu.

Di luar pula, gerakan menyingkirkan Mukhriz secara automatik telah membuatkan beliau semakin popular dan mendapat lebih simpati daripada rakyat. Bukan saja rakyat Kedah bangun dan berdiri memberi sokongan kepadanya, bahkan di mana-mana limpahan sokongan dapat dirasai.

Agenda menyingkirkan Mukhriz itu akhirnya bukan saja terkesan kepada 14 Ketua Bahagian yang mendapati rakyat tidak bersama dengan kehendak mereka, malah juga menyebabkan Najib turut menerima kesan penolakannya.

Menyingkirkan Mukhriz dan memenuhi kehendak 14 Ketua Bahagian itu lebih memberi kesedaran tentang bahayanya kepada masa depan Najib sendiri akhirnya.

Perjumpaan dengan Najib ini boleh dikatakan gagal sama sekali dan kemungkinannya ialah Mukhriz akan terus kekal sehingga PRU 14 nanti.


Setia Umno: Antara Tersurat dan Tersirat

Posted: 23 Jan 2016 02:58 AM PST


IZINKAN saya mengulas dan memberi respons kepada beberapa hujah yang ditimbulkan oleh para pembahas dan berkenaan wujudnya "troll" (pengacau) dalam blog kita ini.


Misalnya pembahas Daniel Noor (11.12PM) yang, antara lain, berkata: "Hanya semalam saja, saya berbicara dgn satu Wakil Rakyat yg bergelar Dato tentang situasi dan kondisi negara dan UMNO khusus nya. Beliau mengakui yg si Najib ini telah menghancurkwn UMNO..org Melayu dan Negara. Beliau minta pendapat saya, siapa yg boleh menerajui jwtn PM ini sekiranya ahli UMNO minta Najib undur."


Ummu Aiman (5.21PM) pula berkata: "Mohon komen tentang dividend dan bonus Tabung Haji 2015 yang masih tidak diumumkan sehingga hari ini. Penyimpan kecil macam kami tetap bertahan di Tabung Haji demi mencari pelaburan akhirat yang halal."


Pandangan, pemerhatian dan maklumat saya adalah seperti berikut:


1. Berkenaan kehadiran "troll" dan laskar siber dalam blog kita, saya tidak keberatan memberikan mereka ruang asalkan tidak melampau. Saya tidak mendapat apa-apa pendapatan daripada blog ini tapi ada orang yang mendapat upah untuk berbahas di sini. Jadi secara tidak langsung saya menjana ekonomi. Syukur Alhamdulillah.


2. Saudara Daniel Noor dan saya adalah daripada generasi lama budak-budak "back room" Umno. Kita bermula apabila Ibu Pejabat Umno adalah sebuah bangunan lama di Chow Kit, Jalan Tuanku Abdul Rahman, pada tahun 1970-an. Masa itu ramai masih merujuk kepada Jalan Tuanku Abdul Rahman sebagai Batu Road. Di sebelah Bangunan Umno adalah Pustaka Antara milik Allahyarham Datuk Abdul Aziz Ahmad.


3. Baru-baru ini saya dimaklumkan oleh pemilik sebuah portal berita bebas bahawa peneraju media dan propaganda Perdana Menteri, (Datuk Seri Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sanrobone) Mohd Najib bin Abdul Razak, menganggap saya dan orang lama segenerasi dengan saya sebagai "out of touch with reality."


4. Saya kenal orang itu kerana 10 atau 15 tahun lalu kami kerap makan di Restoran Raju, Petaling Jaya. Waktu itu saya hormati dia kerana, pada pandangan saya, dia seorang profesional muda Melayu yang berjaya dan bersopan santun. Kini dia dikatakan amat akrab dengan Mohd Najib dan sangat berkuasa sehingga pengarang media massa arus perdana (MAP) pun melutut kepadanya.


5. Saya dimaklumkan yang dia kini bergabung dengan seorang penulis "mercenary" yang lari ke luar negara dalam percubaan membeli (atau mengawal) portal-portal berita bebas seperti Malaysiakini, Malaysian Insider dan Free Malaysia Today.


6. Pemilik portal berita tersebut memberitahu saya, percubaan membeli (atau mengawal) media atas talian ini adalah sebahagian daripada inisiatif baru kumpulan Mohd Najib untuk memenangi hati dan fikiran rakyat jelata.


7. Khabarnya inisiatif baru ini tercetus setelah diakui bahawa MAP dan media atas talian tajaan Umno, Barisan Nasional, kerajaan dan simpatisan mereka semakin hari semakin menguncup audiensnya.


8. Perangkaan Biro Audit Pengedaran (ABC) misalnya mendapati penjualan akhbar Utusan Malaysia merosot daripada 191,302 naskhah antara Januari dan Jun 2013 kepada 163,000 antara Januari dan Jun 2015. Pada tahun 2003/04, jualan Utusan Malaysia mengatasi 300,000 naskhah sehari. (Maklumat lengkap di sini).


9. Walaupun Naib Presiden Umno merangkap Timbalan Perdana Menteri (Datuk Seri) Ahmad Zahid Hamidi memuji laskar siber (cybertroopers) Umno dan mengucapkan terima kasih kepada mereka dalam ucapan di Perhimpunan Agung Umno (PAU) Disember lalu, Umno kini mahu kesampaian (reach) yang lebih luas serta melepasi Umno dan Melayu.


10. Cakap-cakap di kalangan penggiat media bebas atas talian mengatakan salah sebuah portal yang dimiliki oleh seorang tauke Cina telah pun "kow-tow" kepada Ahmad Zahid manakala sebuah lagi telah ditawarkan "bantuan kewangan" yang lumayan tetapi ditolak oleh pemiliknya.


11. Sementara itu, seorang Ketua Bahagian Umno di Wilayah Persekutuan mendakwa kepada saya bahawa beliau kini menjadi sasaran laskar siber pemakan dedak kerana dituduh tidak lagi komited 100 peratus kepada Mohd Najib.


12. Apa yang terserlah daripada perbualan saya dengan orang Umno adalah sikap "depan ampu belakang latu." Di depan Mohd Najib atau waktu perhimpunan mereka julang beliau melepasi awan. Di belakang mereka cerca beliau lebih teruk daripada haiwan. Malah jauh lebih keras dan kasar daripada yang saya tulis dalam blog ini.


13. Mungkin mereka ini hipokrit kelas dunia. Mereka kutuk beliau di depan saya sebab mereka tahu pendirian saya. Tapi mengapa hendak ambil hati saya dengan mengutuk ketua sendiri. Saya tidak ada kuasa dan tidak mampu beri  mereka kedudukan dan habuan? Yang berikan mereka kuasa dan harta adalah Mohd Najib!


14. Di kalangan yang lebih ikhlas pula, mereka berkata mereka buat kerja di peringkat bahagian untuk selamatkan Umno walaupun mendapat tentangan dan cacian daripada ahli sendiri.


15. Mereka berkata, anggapan bahawa Umno berpengaruh dan mereka bersetuju dengan segala-gala yang dilakukan oleh Mohd Najib serta budak-budaknya adalah silap. Kata mereka, mereka benci kepada "budak-budak" bukan ahli Umno tetapi mendakwa mewakili Mohd Najib dan memandai-mandai dalam urusan parti dan kerajaan.


16. Terima kasih khusus kepada pembahas Rahman JPC atas "cerita" beliau di dalam dan di luar blog ini. Beliau adalah salah seorang "duty officer" di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di London yang menjaga Allahyarham Tun Abdul Razak ketika beliau berubat di ibu negara Inggeris itu dan menguruskan jenazah beliau apabila meninggal dunia. Terima kasih atas anekdot Datuk. Manusia ada dua perwatakan (pesona) - satu yang ditayangkan (projected) kepada khalayak dan satu lagi yang disembunyikan daripada khalayak.


17.Berkenaan pertanyaan pembahas "niesa" (9.05AM) : "Boleh komen sikit pasai UMNO Kedah? Agak2nya angkara sapa ni?" saya tidak hairan sikit pun hal ini akan berlaku. Ini politik. Kalau tidak tegas, tidak "hands-on" dan tidak kenal yang mana satu kawan dan yang mana satu lawan, kita tanggunglah padahnya. Ledakan (implosion) yang sedang berlaku dalam Umno sekarang tidak memilih mangsa. Pembuat dan peletup bom ada di mana-masa saja asalkan ada dedak.


18. Bersabit "kelewatan" Tabung Haji mengumumkan dividen 2015, saya tidak hairan kalau ia mengalami masalah keuntungan, pengaliran tunai dan perakaunan. 


TH adalah antara tabung pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) yang terdedah kepada skandal hutang 1MDB. Kemungkinan TH mengalami jangkitan 1MDB tidak dapat dinafikan. Harap-harap tidak.


Wallahuaklam.




Perhimpunan berakhir dengan harapan fatwa menentang TPPA dikel‎uarkan

Posted: 23 Jan 2016 02:45 AM PST

THE MALAYSIAN INSIDER


Kumpulan yang menentang TPPA menyuarakan kebimbangan harga ubat akan meningkat, dan perusahaan kecil dan sederhana yang menguasai pasaran tempatan bakal mengalami kerugian. – Gambar The Malaysian Insider oleh Seth Akmal, 23 Januari, 2016.Kumpulan yang menentang TPPA menyuarakan kebimbangan harga ubat akan meningkat, dan perusahaan kecil dan sederhana yang menguasai pasaran tempatan bakal mengalami kerugian. – Gambar The Malaysian Insider oleh Seth Akmal.
 
 
Dalam cubaan terakhir memberi tekanan kepada Putrajaya bagi menolak Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPPA), beberapa kumpulan mula berkumpul di ibu kota pada 2 petang hari ini, 2 hari sebelum sidang khas Parlimen mengenai perjanjian perdagangan bebas itu.

Antara kumpulan kaum Melayu yang kuat mengkritik TPPA termasuk Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) yang akan bersatu dengan orang ramai di bawah panji Bantah TPPA.

Kumpulan lain, Kongres Rakyat adalah sebuah badan bukan kerajaan (NGO) PAS yang disokong manakala sayap kanan kumpulan pribumi Melayu, Perkasa dijangka turut mengambil bahagian.

Kumpulan Melayu bimbang perjanjian perdagangan antara 12 negara yang direka Amerika Syarikat akan menghakis kedaulatan Malaysia dan melumpuhkan syarikat tempatan daripada membela diri terhadap tindakan undang-undang daripada pelabur asing. 
 
Kumpulan lain yang turut menentang TPPA menyuarakan kebimbangan harga ubat akan meningkat, dan perusahaan kecil dan sederhana yang menguasai pasaran tempatan bakal mengalami kerugian.

Seorang pakar ekonomi juga berkata, perjanjian perdagangan bebas itu boleh membawa kepada ketidaksamaan dan kehilangan peluang pekerjaan yang lebih besar dalam tempoh 10 tahun.

Kebimbangan ini, bagaimanapun, turut disokong seperti persatuan perniagaan yang mendakwa persaingan yang lebih besar akan membantu syarikat menjadi lebih kukuh dan meminta pengkritik untuk menyediakan lebih banyak fakta.

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) juga berkata perjanjian itu mengandungi pelbagai mekanisme yang melindungi syarikat Malaysia dan kerajaan apabila menghadapi tindakan undang-undang pelabur.

Secara keseluruhan, kerahsiaan mengenai rundingan perjanjian dan ketidakupayaan Putrajaya menjelaskan terma dengan jelas hanya menyemarakkan kebimbangan kesannya kepada Malaysia.

Kumpulan lain yang mengkritik TPPA dan dijangka menyertai perhimpunan hari ini adalah NGO Islam, Isma, Parti Sosialis Malaysia, Parti Amanah Negara dan Bersih 2.0.

Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang juga mengkritik TPPA, berkata ia adalah "sepenuhnya khusus untuk mengawal selia perdagangan" apabila Malaysia sudah bebas untuk berdagang dengan sesiapa sahaja yang ia mahu.

Peserta perhimpunan hari ini pada mula dijadualkan berkumpul di Dataran Merdeka, tetapi sebaliknya sudah dimaklumkan polis dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) supaya berkumpul di Padang Merbok.
 
Pihak polis sudah mengepung Dataran Merdeka dan penunjuk perasaan dijangka mula berkumpul di 5 tempat pertemuan seperti di Masjid Negara, Masjid India, Masjid Jamek, Sogo dan Maju Junction.

TPPA yang melibatkan 12 negara, dijangka akan ditandatangani di New Zealand bulan depan.
The Malaysian Insider akan membawa liputan langsung perhimpunan ini:
 
5 pm: Peserta himpunan menyanyikan lagu kebangsaan Negaraku dan perhimpunan ditutup dengan bacaan doa dipimpin Naib Presiden PAS Idris Ahmad. 
Peserta mula bergerak meninggalkan Padang Merbok.
 
4.50 pm: Pengacara majlis mengumumkan Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man akan berucap dan merupakan personaliti yang akan menutup pesta ucapan petang ini.
 
"Kita harap Majlis Fatwa Kebangsaan mengeluarkan kenyataan membantah TPPA.
 
"Jangan hanya sekadar mengeluarkan kenyataan tentang makan dan minum sahaja," kata Tuan Ibrahim.
 
4.41 pm: Aktivis Bersih 2.0 Mandeep Singh mengumumkan Koordinator Suaram Amir Abdul Hadi ditahan polis.
 
4.40 pm: Pengerusi Kongres Rakyat Azmi Abdul Hamid berkata, mereka akan terus menyampaikan bantahan kepada kerajaan agar tidak menandatangani TPPA menerusi ahli Parlimen.
 
"Kalau kita jadi hamba Amerika, ini adalah dosa  mereka," kata Azmi yang lebih dikenali sebagai Cikgu Azmi.

4.30 pm: Langit kelihatan mendung di Padang Merbok seperti hujan akan turun dan ini mendorong sebilangan hadirin mula bersurai dan bergerak ke arah Dataran Merdeka.

Sayangnya, mereka beredar sewaktu orang kuat penentang TPPA Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) Mohd Nizam Mahshar baru memulakan ucapannya.
 
4.09 pm: Haji Khalid Abdullah,55, seorang ahli perniagaan dari Sungai Buloh, berkata masih tidak jelas tentang TPPA.

"Kita memerlukan lebih banyak masa untuk memahaminya. Saya membaca ulasan pakar mengenai TPPA, kita dapat melihat kesan buruk misalnya bagaimana ia akan menyebabkan harga ubat naik dan persaingan perniagaan semakin sukar.

"Sudah tentu perniagaan kecil di Malaysia tidak mampu bersaing dengan syarikat besar dari Amerika Syarikat.

"Ahli perniagaan seperti saya, orang Bumiputera, akan terjejas. Orang Cina lebih stabil tetapi mereka juga mungkin akan terjejas," katanya.

4.05 pm: Kumpulan diketuai PSM yang berhimpun di persimpangan Jalan Parlimen-Jalan Raja Laut kerana ia paling hampir dengan Dataran Merdeka, sudah bersurai.

Jalan yang ditutup kembali dibuka kepada trafik.

Setiausaha agung PSM Sivarajan Arumugam memberitahu kumpulan itu akan menyambung bantahan di 
Padang Merbok.
 
 Penunjuk perasaan berjalan ke arah Padang Merbok semasa Bantah TPPA di Kuala Lumpur. – Gambar The Malaysian Insider oleh Seth Akmal, 23 Januari, 2016.Penunjuk perasaan berjalan ke arah Padang Merbok semasa Bantah TPPA di Kuala Lumpur. – Gambar The Malaysian Insider oleh Seth Akmal.
 
Kira-kira 3,000 orang dianggarkan menyertai perhimpunan hari ini.

3.39 pm: Menurut Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali, bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad akan menyertai demonstrasi membantah TPPA sebentar lagi.

3.30 pm: Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali mengambil alih pentas di Padang Merbok.

 Ibrahim merujuk booklet TPPA terbitan Miti yang mempunyai gambar Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Peserta berhimpunan anti TPPA berkumpul di Padang Merbok. – Gambar fail The Malaysian Insider, 23 Januari, 2016. 
 Peserta berhimpunan anti TPPA berkumpul di Padang Merbok. – Gambar fail The Malaysian Insider.
 
Beliau memberitahu orang ramai yang bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dijangka menyertai perhimpunan itu sebentar lagi.

Ibrahim kemudian sempat berjenaka tentang Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Mustapa Mohamed dan menasihatkan beliau meminum jus produk Qu Puteh keluaran ahli kosmetik terkenal tempatan Datuk Seri Dr Hasmiza Othman, yang juga dikenali sebagai Datuk Seri Vida, yang baru-baru ini menjadi penaja pasukan bola sepak Kelantan. Mustapa juga berasal dari Kelantan.

Sementara itu kumpulan di Jalan Parlimen, PKR Ahli Parlimen Kelana Jaya Wong Chen berkata TPPA akan membuka pintu kerana ia tidak akan memberi perlindungan terhadap ekonomi Malaysia.

"Malah Amerika Selatan menutup pasaran semasa kemelesetan pada 1990-an. Lihatlah data, jika data yang begitu buruk, bagaimana kita boleh membenarkannya," katanya.

3.20 pm: Pengerusi Bersih 2.0 Maria Chin Abdullah (gambar) menyertai kumpulan di persimpangan Jalan Parlimen dan Jalan Raja Laut.

Beliau berkata TPPA akan memberi kesan kepada perniagaan kecil.

"Demonstrasi ini adalah suara rakyat. Kami berharap kerajaan akan mendengar dan tidak 'rubber-stamp' TPPA di Parlimen.

"Kami berharap Ahli Parlimen akan mengundi mengikut suara hati, tidak mengikut parti."

Sementara itu, peserta perhimpunan Letchumanan, 52 dari Perak, berkata Miti, kementerian yang bertanggungjawab dalam rundingan perjanjian perdagangan untuk Malaysia, tidak boleh mengadakan taklimat di hotel sahaja.

"Mereka harus turun padang, bertemu rakyat yang bekerja sebagai petani atau pekerja ladang. Miti perlu menjelaskan TPPA kepada rakyat."

3.15 pm: Naib Presiden PKR Chua Tian memanaskan pentas ucapan di Padang Merbok.

Dalam ucapannya Chua memaklumkan orang ramai yang Pakatan Harapan terdiri daripada PKR, DAP dan Amanah akan menolak TPPA di Dewan Rakyat.

Hadirin yang sebahagian besarnya merupakan penyokong PAS memakai baju T hijau menyorak Chua dengan laungan "boo" sewaktu nama Amanah disebut - parti serpihan PAS yang kini berada dalam gabungan pembangkang.

Orang ramai yang melintasi berhampiran Dataran Merdeka di persimpangan Jalan Raja dan Jalan Tuanku Abdul Rahman seolah-olah tidak mahu berganjak.
Peserta perhimpunan berkumpul di persimpangan Jalan Raja and Jalan Tuanku Abdul Rahman. – Gambar fail The Malaysian Insider, 23 Januari, 2016.Peserta perhimpunan berkumpul di persimpangan Jalan Raja and Jalan Tuanku Abdul Rahman. – Gambar fail The Malaysian Insider.
Bagaimanapun, pihak polis meminta mereka untuk bergerak dari jalan raya.
Ahli PSM termasuk S Arutchelvan dilihat sedangn berbincang dengan pihak polis.

3.00 pm: Ahli Unit Amal PAS mengarahkan peserta perhimpunan berhampiran Dataran Merdeka untuk bergerak ke Padang Merbok, di mana kira-kira 2,000 orang sudah berkumpul.

Kebanyakan mereka dilihat merupakan ahli parti Islam itu.
 
2.49 pm: Seorang peserta warga emas Cik Kalsom Ibrahim (gambar), 80, dari Terengganu tampil bersemangat dalam himpunan membantah TPPA ini.
 
"Saya bayar RM30 untuk mari ke sini. Saya dah jadi ahli PAS sejak saya mula mengundi," katanya memberitahu yang RM70 lagi dibiayai seorang pemimpin PAS setempat.

Ibu kepada 7 orang anak ini juga sudah menjadi ahli PAS selama kira-kira 60 tahun.
 
"Saya mula mengundi sejak anak sulung saya umur 9 bulan sekarang anak saya umur 62 tahun," katanya. 
 
2.40 pm: Peserta perhimpunan dari Sogo bergerak menuju ke arah Dataran Merdeka.
 
Ketua kumpulan penentang Umno, Gabungan Ketua Cawangan Malaysia (GKCM) Kamarul Azman Habibur Rahman hadir dan berkata kebanyakan ahli jawatankuasa berada di sini.
 
"Apabila keputusan besar dibuat untuk negara ini, anda perlu mengkajinya dengan teliti sebelum membuat keputusan," katanya.
 
Ahli Otai Reformis, kumpulan bukan kerajaan yang menuntut peletakan jawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, turut menyertai perhimpunan tolak TPPA.
 
2.26 pm: Ahli Parlimen Sungai Siput Dr Michael Jeyakumar Devaraj ketika berucap di depan peserta perhimpuna, berkata TPPA mencerminkan "masalah dunia hari ini, di mana 1% individu terkaya mempunyai lebih banyak wang daripada 50% mereka yang berpendapatan rendah".

"Kami tidak mengatakan Malaysia tidak boleh berdagang. 
Kita mesti, tetapi bukan dengan cara ini. TPPA akan membuatkan golongan 1% itu lebih kaya dan menyebabkan golongan yang lain terbeban," katanya.

Ahli Parlimen Sepang Hanipa Maidin daripada Amanah berkata: "Kita mempunyai ramai Ahli Parlimen yang tidak faham kehidupan rakyat dan tidak tahu bagaimana rakyat menderita."

Sekumpulan warga emas, wanita bongkok dilihat berjalan perlahan-lahan menyertai perhimpunan itu.

2.20 pm: Jah Omar, 60 tahun yang datang bersama 44 orang ahli PAS Terengganu menaiki bas ke perhimpunan ini berkata sanggup datang walau apa jua keadaan.

"Saya datang bersama kawan saya berumur 79 tahun.

"Kami akan datang walaupun dalam apa jua situasi kesihatan kami untuk beri sokongan," katanya sambil berjalan bersama rakannya yang sedang berjalan terbongkok-bongkok.

Di Sogo, Presiden Amanah Mohamad Sabu berucap di depan peserta, dengan berkata TPPA hanya menguntungkan kapitalis.

Beliau berkata Malaysia tanpa menandatangani perjanjian perdagangan itu sudah dikawal kapitalis seperti Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary yang dikenali sebagai "Raja Gula" manakala Tan Sri Robert Kuok pula mengemudi kumpulan Genting.

"Dengan TPPA, orang bimbang kapitalis dari Amerika Syarikat akan datang. Malah di Amerika Syarikat, syarikat kecil menentang TPPA, katanya.

Di persimpangan Jalan Tun Perak dan Jalan Raja, peserta perhimpunan berarak dari Jalan Tuanku Abdul Rahman disertai kumpulan dari Masjid Jamek.

Pihak polis dan DBKL memasang benteng di sekitar Dataran Merdeka. Lapan trak polis ditempatkan di dataran tersebut.

2.12 pm: Mohd Azman Mohd Izwan, 25, dari Taiping, Perak, berkata, beliau tiba di ibu negara pada 8 pagi untuk mengambil bahagian dalam perhimpunan bantah TPPA.
Peserta perhimpunan mengibarkan bendera kebangsaan sewaktu berarak ke Dataran Merdeka. – Gambar fail The Malaysian Insider, 23 Januari, 2016.Peserta perhimpunan mengibarkan bendera kebangsaan sewaktu berarak ke Dataran Merdeka. – Gambar fail The Malaysian Insider.
Penyokong PAS itu berkata beliau berharap Putrajaya akan menolak TPPA selepas perhimpunan hari ini.

"Saya tidak mahu negara asing mengawal ekonomi kita," katanya ketika ditemui di luar kompleks beli-belah Sogo.

Peserta perhimpunan yang berarak dari Maju Junction, sementara itu, tiba di Sogo.

Kedua-dua kumpulan itu kini bersedia untuk berarak ke Dataran Merdeka. Ramai yang mengibarkan bendera kebangsaan.

2.08 pm:  Mohd Azman Mohd Izwan, 25, dari Taiping, Perak, salah seorang penyokong PAS hari ini tiba di Kuala Lumpur untuk menyertai himpunan Bantah TPPA seawal 8 pagi.

Azman yang berkumpul di Sogo bersama seorang rakannya mengharapkan Putrajaya membatalkan penyertaan dalam TPPA selepas bantahan menerusi himpunan ini dilakukan.

"Saya datang berhimpun untuk bantah TPPA. Tak nak negara luar kawal ekonomi negara kita," katanya.

Beliau berkata demikian apabila ditanya mengenai tujuan berhimpun dan pengertian perjanjian itu walaupun menjawabnya dengan kurang pasti.

1.57 pm: Orang ramai yang berkumpul di Maju Junction kini berjumlah sekitar 200 orang yang mula berarak ke arah kompleks membeli-belah Sogo.

Mereka melaungkan "Hidup rakyat", "Tolak TPPA" dan "Korprat untung, rakyat Mangsa". Penunjuk perasaan dijangka mula berkumpul di 5 tempat pertemuan seperti di Masjid Negara, Masjid India, Masjid Jamek, Sogo dan Maju Junction. – Gambar fail The Malaysian Insider, 23 Januari, 2016.Penunjuk perasaan dijangka mula berkumpul di 5 tempat pertemuan seperti di Masjid Negara, Masjid India, Masjid Jamek, Sogo dan Maju Junction. – Gambar fail The Malaysian Insider.
 
Di Sogo, kira-kira 150 orang sedang menunggu untuk berarak, dan kumpulan hak asasi manusia, Suaram memperuntukkan 8 ahli untuk memberikan bantuan dalam kes tangkapan.

1.48 pm: Kira-kira 200 Unit Amal dari PAS Terengganu, Pahang dan Kelantan mengawasi di kawasan sekitar Sogo

Aktivis Nor Akmar dari PKKIM Ikhlas Chow Kit berkata kumpulan itu membawa kira-kira 100 orang bagi perhimpunan tersebut, sesetengah daripada mereka merupakan gelandangan dan mereka yang mengambil berat tentang peningkatan kos perubatan.

Nor Akmar berkata PKKIM pergi kepada golongan gelandangan di Kuala Lumpur yang menjelaskan kesan TPPA.

PKKIM adalah sebuah NGO di bawah Majlis AIDS Malaysia.

1.27 pm: Kawasan Masjid Negara dipenuhi dengan orang ramai memakai baju T berwarna hijau dengan sebahagian besarnya bertulisan "Himpunan Fastaqim 60K". Kumpulan ini dipercayai penyokong-penyokong PAS yang ikut serta himpunan membantah TPPA hari ini.

Gerai-gerai menjual makanan ringan juga sudah kelihatan di kawasan berhampiran Masjid Negara.

Polis trafik menutup jalan dari Masjid Negara ke Dataran Merdeka dan melencongkan kenderaan ke bulatan berhampiran Jalan Parlimen dan Kelab Diraja Selangor.

Jalan Parlimen berhampiran dengan Menara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) juga ditutup dan kenderaan yang lalu dilencongkan ke Jalan Raja.

Berhampiran Jalan Tuanku Abdul Rahman pula, kelihatan penguat kuasa DBKL bertugas mengawal aliran kenderaan di kawasan puncak ibu kota itu.

Di sekitar kawasan Jalan Tun Perak, peserta himpunan memakai baju T hijau sudah mula meniup- vuvuzela, satu suasana lazim sewaktu himpunan-himpunan sebegini sebelum ini.
 
 

Ahmad Maslan minta ahli Parlimen sokong TPPA

Posted: 23 Jan 2016 02:32 AM PST

THE MALAYSIAN INSIDER

Datuk Ahmad Maslan berkata ahli Parlimen seharusnya memahami dengan terperinci mengenai kandungan dan faedah TPPA memandangkan masa yang diberikan untuk memahami perjanjian itu mencukupi. – Gambar fail The Malaysian Insider, 23 Januari, 2016.  Datuk Ahmad Maslan berkata ahli Parlimen seharusnya memahami dengan terperinci mengenai kandungan dan faedah TPPA memandangkan masa yang diberikan untuk memahami perjanjian itu mencukupi. – Gambar fail The Malaysian Insider.  
 
 
Ahli Parlimen diharap lebih terbuka dan membuat keputusan bijak dengan menyokong Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) semasa pembentangan mengenai perjanjian itu pada Sidang Khas Parlimen pada Selasa depan.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Ahmad Maslan berkata ahli Parlimen seharusnya memahami dengan terperinci mengenai kandungan dan faedah TPPA memandangkan masa yang diberikan untuk memahami perjanjian itu mencukupi.

"Saya harap ahli Parlimen akan terbuka (dan) melihat kebaikan dan faedah yang bakal diperoleh menerusi TPPA.

"Kita mahu melakukan sesuatu yang baik kepada negara. Oleh itu, kita harap ahli Parlimen akan terbuka untuk memberi sokongan kepada TPPA," katanya kepada pemberita di RTM Johor, di Johor Baru hari ini. 
 
Terdahulu, Ahli Parlimen Pontian itu menjadi tetamu jemputan dalam program radio RTM "Johor Sana Sini, Segar Pagi" selama 30 minit yang dikendalikan juruhebah radio, Junaidah Alahan.

Ahmad berkata 3 sesi penerangan diadakan untuk ahli Parlimen Barisan Nasional (BN), pembangkang dan juga senator.

Menerusi sesi penerangan itu, katanya 4 bengkel berbeza turut diadakan yang menyentuh antaranya isu mengenai akses pasaran, buruh, alam sekitar, ubat-ubatan, perolehan kerajaan dan Bumiputera.

"Jadi, 4 bengkel ini diberikan kepada ahli Parlimen untuk mendalami secara terperinci isu mengenai TPPA.

"Pegawai yang terlibat dalam rundingan turut menghadiri bengkel itu bagi menjawab segala persoalan. Ini termasuk segala perincian yang dibincangkan dalam rundingan tersebut," katanya, sambil menambah proses penerangan itu diadakan dengan amat terbuka dan telus.

Sehubungan itu, katanya tiada sebab bagi semua wakil rakyat untuk menyatakan mereka tidak mempunyai cukup maklumat mengenai TPPA.

Ahmad berkata sidang khas Parlimen pada Selasa ini akan bermula dengan penerangan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed, diikuti perbahasan daripada beberapa wakil ahli Parlimen BN dan pembangkang.

Perkara yang dibangkitkan akan dijawab menteri berkaitan sebelum dirumuskan Mustapa pada Rabu yang diikuti dengan pengundian.

Majoriti mudah diperlukan di Dewan Rakyat sebagai sokongan untuk menandatangani TPPA dan undian di Dewan Negara akan diadakan pada Khamis, katanya.

Pada program radio itu, Ahmad berkata TPPA merupakan perjanjian perdagangan bebas "alaf baharu" yang berbeza dengan perjanjian perdagangan bebas sebelum ini memandangkan ia mempunyai standard perdagangan yang lebih tinggi.

Selain Malaysia, 11 negara lain yang terlibat dalam TPPA ialah Australia, Brunei, Kanada, Chile, Jepun, Singapura, Mexico, New Zealand, Peru, Amerika Syarikat dan Vietnam, yang memuktamadkan rundingan TPPA pada 5 Oktober 2015. – Bernama


Polis ada 'Gerak Khas', Bomba pula ada 'Hero'

Posted: 23 Jan 2016 02:29 AM PST

Astro Awani 
 
Polis ada 'Gerak Khas', Bomba pula ada 'Hero'
Suka duka hidup anggota bomba pula bakal menjengah skrin televisyen menerusi drama berjudul "Hero".
 

KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia sudah pernah didedahkan dengan kehidupan seorang anggota polis melalui drama bersiri Gerak Khas.

Tidak lama lagi, suka duka hidup anggota bomba pula bakal menjengah skrin televisyen menerusi drama berjudul Hero.

Hal itu diumumkan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Datuk Mohammad Mentek, menurut laporan Bernama.

Jika semuanya berjalan lancar, drama tersebut akan menemui penonton dalam tahun ini juga dan akan diterbitkan dengan kerjasama KRU Productions.

"Kalau polis ada drama 'Gerak Khas', Bomba pula ada 'Hero'," katanya ketika berucap melancarkan penubuhan kelab kitar semula/alam sekitar sekolah-sekolah di Semporna, Sabah hari ini.

Drama itu, kata Mohammad, diharapkan dapat memberi inspirasi dan pendedahan kepada khalayak tentang kehidupan anggota bomba, sekaligus akan membawa masyarakat lebih menghormati profesion berkenaan.

Sistem Prasarana Komuniti Pintar diperluas ke luar bandar

Posted: 23 Jan 2016 02:27 AM PST

Astro Awani
 
Sistem Prasarana Komuniti Pintar diperluas ke luar bandar
Najib melihat paparan skrin mengenai sistem tebatan banjir yang sentiasa dikemas kini ketika merasmikan projek perintis Sistem Prasarana Komuniti Pintar (iComm) Kampung Padang Rumbia. - Foto Bernama
 
 
PEKAN: Datuk Seri Najib Razak mahu Sistem Prasarana Komuniti Pintar (iComm) diperluaskan ke kawasan luar bandar kerana dapat membantu meningkatkan aspek keselamatan penduduk luar bandar.

Katanya, menerusi iComm, kawalan keselamatan lebih mudah dilakukan dengan kemudahan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dalam sistem itu seperti pemasangan kamera litar tertutup  (CCTV) dan keupayaan pemantauan jarak jauh secara tepat, memberi manfaat kepada penduduk.

"Kalau kita sebut tentang ancaman keselamatan, Sabah timur kawasan yang kita boleh pasang sistem ini, di Lahad Datu, Semporna, Sandakan supaya kalau ada orang yang menyeberang masuk membolosi sempadan kita daripada luar, kita boleh tangkap dia.

"Kita harap cara seperti ini banyak manfaat dari segi kepentingan rakyat," katanya ketika berucap merasmikan iComm Kampung Padang Rumbia di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Madius Tangau; Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Noorul Ainur Mohd Nur; Pengerusi MIMOS Berhad, Datuk Omar Kaseh serta Presiden dan Ketua Eksekutif MIMOS Berhad, Datuk Abdul Wahab Abdullah.

Dalam ucapannya, beliau turut meminta penduduk Kampung Padang Rumbia memanfaatkan kemudahan iComm yang juga satu daripada inisiatif di bawah program inovasi sosial Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi.

Sistem itu merangkumi rangkaian litar tertutup, alat pemantau paras air sungai dan platform komunikasi mudah alih berasaskan internet.
Kampung Padang Rumbia adalah komuniti desa pertama di Malaysia yang mendapat faedah daripada projek rintis yang juga bertujuan memanfaatkan ICT untuk memperbaiki taraf sosio ekonomi penduduk.

"Melalui sistem ini, kita dapat mengesan kenaikan paras Sungai Pahang, sekali gus penduduk kampung boleh bersiap sedia untuk berpindah dan menunggu arahan pihak berkuasa dari masa ke semasa," katanya. 
 
 

Datuk Vida dapat sokongan tak berbelah bahagi

Posted: 23 Jan 2016 02:22 AM PST

KYRA ALEGRIA

 

datuk vida
Meskipun dikenakan pengharaman produk oleh Kementerian kesihatan, penyokong setia Datuk Vida menunjukkan sokongan tidak berbelah bahagi kepadanya. Foto Instagram datoserivida


KUALA LUMPUR,  Pengasas produk Qu Puteh, Datuk Seri Dr Hasmiza Osman mengucapkan terima kasih atas sokongan yang diraih daripada pelanggan setia dan pengikutnya selepas pengharaman produknya, baru-baru ini.


"Saya berterima kasih kerana ramai yang menyokong saya dan memberi saya galakan. Ramai yang juga mendoakan saya dan syarikat saya.

"Ini kekuatan yang tidak dapat saya bayar semula. Terima kaih," tulis Dr Hasmiza, yang lebih dikenali sebagai Datuk Vida dalam posting Instagram terbaruyna dengan gambar beliau melawat Stadium Sultan Muhammad IV.

Meskipun dikenakan pengharaman produk oleh Kementerian kesihatan, penyokong setianya menunjukkan sokongan tidak berbelah bagi dengan kebanyakan mereka memberikan komen di dalam laman Instagram milik beliau, melahirkan sokongan termasuk kepada syarikat kecantikannya.

"Saya harap kamu dapat kekuatan menghadapi segala rintangan," komen seorang netizen, @ryanz79 dalam Instagram Dato Vida.

"Kak umie bangga ada usahawan wanita melayu yg bekerja keras demi maruah melayu. Dato hebat, tabahkan hati apa saja dugaan. Teruskan dato," tulis seorang penyokong, @umiefatimah3.

"Manusia kalau dengki, akan cuba sedaya upaya untuk jatuhkan seseorang tu . Sabar ya dato seri vida mungkin ini salah satu dugaan yang tuhan nak berikan pada dato untuk lebih tabah. Pasti ada hikmah semua ni," tulis penyokong lain, @eyza_vienna.

Sebelum ini dilaporkan, dua produk kecantikannya, Qu Puteh Whitening Pro 9 dan Qu Puteh Whitening UV Block diharamkan Kementerian Kesihatan Brunei kerana didakwa mengandungi merkuri.

Brunei turut mengharamkan produk pelangsingan di bawah nama Chantique Beauty Slimming Herbal kerana mengandungi bahan terlarang.

Berikutan itu, Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah mengumumkan dalam satu kenyataan bahawa produk Qu Puteh Whitening Pro 9 didapati mengandugni merkuri yang menyebabkan ia diharamkan.

Dalam kenyataan itu, Dr Noor Hisham turut mengarahkan syarikat menarik semula produk dari pasaran dalam tempoh 72 jam.

Susulan larangan itu, Datuk Vida membalas beliau akan meneliti perkara itu dan akur dengan arahan penarikan semula produk dari pasaran.

10,000 sertai himpunan Bantah TPPA

Posted: 23 Jan 2016 02:14 AM PST

FERNANDO FONG

 

Bantah TPPA
Sebahagian peserta himpunan Bantah TPPA berarak ke Padang Merbok dari beberapa lokasi di ibu negara. Foto TRP/ Fernando Fong 


KUALA LUMPUR,  Jumlah peserta perhimpunan Bantah Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) di Padang Merbok dianggarkan seramai 10,000 orang sekalipun cuaca panas terik.


Orang ramai mula bergerak ke Padang Merbok dari beberapa lokasi perhimpunan termasuk Masjid Negara, Masjid Jamek dan Sogo.

Ramai peserta, tua dan muda, memakai t-shirt hijau dari himpunan Pas di Kelantan sebelum ini, dengan ahli Unit Amal Pas membantu polis menyelaraskan aliran trafik.

Jumlah itu dijangka meningkat kerana ramai peserta yang masih berjalan ke Padang Merbok, terutama dari Masjid Negara.

Pada masa sama, ramai penjaja mengambil kesempatan dengan mendirikan gerai di sepanjang jalan bagi menjual makanan, minuman dan kelengkapan himpunan.

Ketua Perkasa, Datuk Ibrahim Ali dan Ahli Parlimen Pas-Kuala Nerus, Mohd Khairuddin Aman Razali, antara yang hadir dan menyampaikan ucapan kepada orang ramai daripada pentas bergerak.

Isu mata pencarian rakyat halangan TPPA

Posted: 23 Jan 2016 02:10 AM PST

FERNANDO FONG

 

TPPA
Maklumat tidak jelas mengenai manfaat dan kesan TPPA terhadap golongan bawahan membuatkan kebanyakan mereka membantah pelaksanaannya. Foto TRP/ Ahmed Syahril Zulkeply


KUALA LUMPUR,  Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) mungkin mempunyai banyak mencetuskan kemarahan mengenainya, tetapi tidak semua memahami sepenuhnya apa yang dimaksudkan untuk negara.


Warga emas, Mohd Nasaruddin Ahmad, yang merupakan seorang daripada ribuan penyokong Pas di Himpunan Bantah TPPA di Padang Merbok hari ini berkata, TPPA merupakan perjanjian perdagangan yang akan menyebabkan rakyat Malaysia kehilangan peluang pekerjaan.

"Perjanjian dirundingkan dalam mesyuarat rahsia antara kerajaan dan syarikat multinasional besar.

"Kurang ketelusan dan orang bawahan seperti kami tidak tahu apa yang berlaku, dan apa yang akan berlaku kepada hidup seharian kita jika perjanjian itu dilaksanakan," katanya kepada The Rakyat Post.

Tambahnya, TPPA adalah plot yang dicetuskan oleh Amerika Syarikat untuk mengawal Malaysia melalui ekonomi.

Malah, TPPA bermula pada tahun 2001 antara New Zealand dan Singapura, dan ia kemudian diperluaskan ke negara-negara lain dengan Malaysia diberi gambaran mengenainya pada 2010.

Ahli perniagaan, Jasni Harun bimbang bahawa TPPA akan menjejaskan mata pencariannya.

Beliau berkata, kira-kira 30% syarikat kecil dan sederhana akan muflis sebaik TPPA dilaksanakan.

"Saya dengar ada kebaikan dan keburukan, tetapi apa yang saya bimbangkan adalah keupayaan pendapatan untuk keluarga saya, apatah lagi pekerja saya.

"Ada begitu banyak perkara, baik dan buruk yang diperkatakan tentang TPPA, saya harap pemimpin negara kita akan berhenti bermain politik dan tidak mengesahkan perjanjian itu melainkan jika ia benar-benar memberi manfaat kepada kita rakyat Malaysia," kata Jasni, yang menjalankan perniagaan pembungkusan makanan .

Hasliza Abdul Razak, yang bekerja dengan syarikat berkaitan kerajaan, berkata TPPA harus ditentang kerana harga barangan akan meningkat seperti ubat.

"Kerajaan berkata perjanjian itu akan memberi kebaikan kepada negara secara keseluruhan, tetapi jika ia akan menyebabkan kesan yang besar terhadap kehidupan rakyat Malaysia, maka kita harus menentangnya.

"Apa gunanya memberi manfaat kepada syarikat-syarikat jika rakyat biasa tidak dapat membentuk masa depan mereka sendiri.

"Kita mungkin tidak memahami sepenuhnya semua butir-butir yang merisaukan tentang TPPA, tetapi jika keputusan akhir tidak pasti untuk rakyat biasa, TPPA kedengaran seperti sesuatu yang Malaysia tidak seharusnya terbabit," katanya.

Beliau juga menggesa kerajaan untuk tidak menolak kebimbangan rakyat dengan hanya mengatakan bahawa ia akan memberi manfaat kepada negara dalam jangka masa panjang.

Kerajaan sentiasa menekankan bahawa Malaysia akan ketinggalan dari segi pelaburan jika ia tidak memasuki perjanjian.

Ketua perunding Malaysia Datuk J. Jayasiri dilaporkan sebagai berkata, negara berpeluang mendapat faedah daripada menandatangani perjanjian itu, kerana ia menunjukkan kesediaan negara untuk bersaing di pasaran terbuka tanpa mengenepikan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Beliau berkata, negara itu juga akan menarik lebih ramai pelabur asing yang berkeyakinan dalam dasar-dasar negara kerana Malaysia akan membuktikan bahawa ia adalah mesra pelabur.

"Malaysia akan ketinggalan dalam bersaing untuk pelaburan berbanding dengan Vietnam dan Singapura jika kita tidak menyertai TPP.

"Kami juga akan mendapat manfaat lebih awal jika kita adalah antara yang pertama untuk memasuki perjanjian itu," katanya semasa sesi soal jawab mengenai TPPA, yang dianjurkan oleh Pemuda Umno di Kelana Jaya baru-baru ini.

Tedung selar berkepala merah berjaya ditangkap

Posted: 23 Jan 2016 02:06 AM PST

Tedung selar berkepala merah berjaya ditangkap
Seekor ular tedung selar berkepala merah seberat 27kg berjaya ditangkap di sebuah kilang tisu di Benus.


BENTONG - Seekor ular tedung selar seberat 27 kilogram (kg) yang memasuki sebuah kilang membuat tisu di Benus, di sini berjaya ditangkap anggota bomba, Rabu lalu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bentong, Zainal Abidin Nong Chik berkata, seramai tiga anggota yang diketuai Pegawai Bomba, Rahim Abdullah terlibat dalam operasi menangkap reptilia berbisa sepanjang empat meter itu.

Menurutnya, anggota terlibat bergegas ke pejabat penyelia kilang berkenaan selepas menerima panggilan daripada orang awam. 

"Sebaik tiba di kilang berkenaan pada kira-kira jam 3.35 pagi, anggota kita mendapati ular tedung berkenaan berada di bawah meja.

"Kita jolok guna peralatan khas untuk paksa ular itu keluar sebelum menangkapnya dengan penjerut khas bagi mengelak ia tercedera," katanya kepada pemberita di sini.

Zainal Abidin berkata, usaha menangkap ular tedung selar berkepala merah berkenaan mengambil masa kira-kira 45 minit.

Menurutnya, ular tedung selar sebesar lengan lelaki dewasa itu dibawa ke Balai Bomba dan Penyelamat Bentong sebelum dihantar ke Balai Bomba dan Penyelamat Temerloh untuk tindakan lanjut.

Katanya, pada masa ini ular berkenaan berada di bawah jagaan Unit Khas Kawalan Ular Temerloh yang mempunyai kepakaran menjaga dan mengawal reptilia tersebut.

Beliau berharap orang ramai segera menghubungi pihak berkuasa sekiranya terjumpa haiwan berbisa di dalam premis atau rumah.


Sukar untuk Mukhriz menentang arus

Posted: 23 Jan 2016 02:03 AM PST

Mukhriz Tun Mahathir
Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir (tengah) melambaikan tangan kepada para penyokongnya di hadapan Bangunan Tunku. - Foto Bernama


KUALA LUMPUR - Bukan mudah untuk menukar seseorang menteri besar yang baru memerintah tidak sampai sepenggal dan dilihat agak popular di kalangan rakyat biasa dan orang muda seperti Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Namun seakan tiada pilihan lagi apabila kelmarin 14 daripada 15 ketua Umno bahagian dilaporkan telah hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Mukhriz sebagai Menteri Besar Kedah dan Pengerusi Umno Kedah.

Menurut Timbalan Pengerusi Umno Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, kata sepakat itu dicapai berikutan kelemahan serta ketidakupayaan Mukhriz yang dilihat gagal menyatupadukan kepimpinan dan jentera parti di semua peringkat.

Alasan lain diberikan Adun Bakar Bata itu termasuk tiada sebarang perancangan strategik parti dilakukan bagi menghadapi PRU14 serta kegagalan Mukhriz mengetuai dan menggerakkan jentera parti selepas mengambil alih kepimpinan negeri.

Sidang akhbar kelmarin, mungkin tidak dijangka oleh orang ramai memandangkan suhu politik negeri Kedah sudah agak biasa-biasa sejak memasuki tahun baharu ini, namun ia bukan sesuatu yang luar biasa.

Ramai berpendapat kedudukan Mukhriz mulai terjejas selepas beliau berpihak kepada bapanya dalam perseteruan antara Tun Dr Mahathir dan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.

Namun hakikatnya, krisis kepimpinan negeri Kedah bermula lebih awal iaitu sekitar awal 2014, cuma ia tidak begitu diketahui umum kerana Umno mahu menyelesaikan secara senyap dan tertib.

Setahun selepas PRU 2013, Mukhriz hampir berhadapan dengan undi tidak percaya oleh Adun-Adun BN dan majoriti ketua Umno bahagian di Kedah.

Pada ketika itu, seorang Adun muda yang telah dua penggal menjadi wakil rakyat antara paling lantang mengumpulkan Adun lain dan bersedia membawanya ke Dun Kedah jika direstui Perdana Menteri.

Beliau tidak berpuas hati dengan sikap leka Mukhriz dalam pentadbiran negeri dan politik Umno yang boleh menjejaskan kedudukan Umno dan BN dalam pilihan raya kelak.

Sama ada Mukhriz tahu atau tidak, Najib menyelamatkan beliau dengan menolak permintaan kumpulan ini untuk menukar Menteri Besar Kedah dan Pengerusi Umno Kedah ketika itu.

Najib beranggapan, Mukhriz perlu terus memimpin dan memperbaiki kesilapannya kerana semua orang ada kelemahan, apatah lagi Mukhriz tiada pengalaman memimpin bahagian atau jentera parti yang besar sebelumnya.

Sungguhpun terdapat beberapa perubahan kemudiannya, ia masih tidak cukup meyakinkan Umno dan BN Kedah mampu bergerak sebagai sebuah jentera yang mantap di bawah kepimpinan Mukhriz.

Ini berbeza sebelum PRU 2013 apabila Ahmad Bashah yang merupakan Pengerusi Umno Kedah ketika itu telah menyusun kemas jentera parti bagi merampas kembali Kedah dari Pakatan Rakyat.

Kalau kita percaya sebahagian besar kemenangan dalam politik bergantung kepada kekuatan jentera dan dan sebahagian lagi kerana aura politik, maka Ahmad Bashah merupakan orang yang menjayakan jentera tersebut dan Mukhriz orang yang menjayakan unsur aura.

Namun kekuatan jentera parti sudah tidak jelas selepas pilihan raya 2013.

Seorang Adun merumuskan bahawa Mukhriz seorang ikon anak muda yang yang hebat tetapi bukan seorang pemimpin yang berkemampuan menguruskan parti dan negeri.

"Kita hanya melihat Mukhriz sebagai ikon media sosial yang popular tapi hakikatnya pentadbiran negeri tidak ke mana, jentera parti masih lesu, jumlah daftar pengundi juga tidak signifikan. Popular di media sosial sahaja tidak boleh memenangkan parti. Arwah Ustaz Azizan lebih kerap ke surau dan masjid serta lebih zuhud dari imej Mukhriz, namun akhirnya Pas tumpas juga," katanya.

Sesuatu hal yang tidak wajar dilakukan oleh mana-mana menteri besar ialah melakukan penentangan secara terbuka kepada presiden parti. Sepanjang enam bulan lalu, tidak kurang 10 kritikan terbuka Mukhriz ke atas Najib melalui ucapan-ucapan dalam majlis politik dan kenyataan kepada media massa.

Malah semasa Perhimpunan Agung Umno yang lalu juga Mukhriz memilih mengadakan satu jamuan makan malam bersama perwakilan dan mengkritik Najib secara terbuka sebagai tidak menjawab soalan.

"Jadi tak berapa gunalah kalau kita kata dia ini bengap atau apa. Tanya soalan yang sama berulang-ulang kali. Yalah, soalan yang sama ditanya berulang kali sebab jawapan diberi tak menepati soalan tersebut," sindir Mukhriz ke atas Najib dalam majlis tersebut.

Sudah tentu ini bukan peribadi dan ucapan yang baik dari seorang menteri besar dan pengerusi Umno negeri yang diharap membantu presiden mengukuhkan parti.

Mukhriz boleh sahaja menyarankan rakyat menunggu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Mukhriz boleh sahaja memberitahu bahawa Najib tidak boleh mengulas banyak kerana ia perkara dalam siasatan SPRM, namun beliau memilih untuk membuat jenaka dan menghina presiden Umno secara terbuka.

Mukhriz mencipta takdir sendiri apabila memilih mengutuk dan menghina presiden parti. Ada beza besar antara tidak bersetuju dengan presiden, dengan merendah-rendahkan presiden dan menyokong gerakan menyingkirkannya.

Mukhriz mungkin salah percaturan apabila cuba meraih populariti dengan cara menentang presiden.

Dalam pelantikan jawatan menteri besar, ia ditentukan presiden parti yang menang dengan dipersetujui oleh majoriti Adun dan perkenan Sultan Kedah mengikut urutan dan konsesus.

Apabila Mukhriz mendakwa jawatan tersebut dipilih atau ditentukan oleh rakyat, maka jelaslah beliau tidak memahami realiti politik demokrasi Malaysia.

Di Malaysia, rakyat memilih Adun dan ahli Parlimen bukan menteri besar dan perdana menteri. Jadi kedudukan mereka bergantung kepada parti dan Adun atau ahli Parlimen.

Dalam konteks Kedah, peranan Kedah Civil Services (KCS), Istana Anak Bukit dan ketua-ketua Umno bahagian dalam politik Kedah memainkan peranan sama penting dengan sokongan Adun dan presiden parti.

Terdapat beberapa Menteri Besar Kedah terpaksa pergi apabila pentadbiran mereka mula ditolak oleh KCS.

KCS merupakan antara perkhidmatan tertutup yang tidak berhubungan dengan Perkhidmatan Awam Persekutuan.

Sebarang perselisihan Setiausaha Kerajaan Negeri dan menteri besar boleh memberi banyak implikasi jika istana memihak kepada KCS.

Ada juga menteri besar terpaksa berundur apabila sudah tidak mendapat perkenan istana.

Dalam konteks Mukhriz khabar angin bertiup kencang ia bermasalah dengan pelbagai pihak. Namun kerana Umno Kedah baru pulih, semua perkara-perkara ini disimpan di dalam selimut jauh dari pengetahuan umum.

Mereka yang mengikuti cerita-cerita belakang tabir politik kedah sudah boleh baca takdir Mukhriz sejak setahun lalu. Sebahagiannya sudah tidak manis disebut kepada umum.

Hakikatnya krisis Menteri Besar Kedah bukan sekadar Najib 'versus' Mukhriz semata-mata seperti mana tanggapan umum.

Dalam politik, ia bukan sekadar apa yang kita nampak, tetapi lebih kepada apa yang kita tidak nampak. Yang menentukan perjalanan politik ialah apa yang di belakang tabir.

Apa yang terpapar hanyalah sebab yang telah ditentukan untuk perubahan. Sayangnya, tidak ramai yang mengetahui perkara-perkara di belakang tabir menyebabkan niat baik ketua-ketua Umno bahagian ini disalah tafsir.

Jika kita baca kenyataan Rabu lalu, isu-isu yang disebut Ahmad Bashah tidak diketahui umum, hanya dirasai oleh mereka yang menggerakkan parti.

Jika Najib menerima saranan ketua-ketua Umno bahagian untuk menggugurkan Mukhriz dari jawatan menteri besar dan pengerusi Umno negeri, ia bukan sesuatu yang bakal mengakhiri masa depan politik beliau.

Tun Dr Mahathir pernah dipecat daripada Umno akhirnya kembali menjadi perdana menteri. Datuk Seri Anwar Ibrahim pernah dipenjara akhirnya kembali menjadi Ketua Pembangkang paling berpengaruh dalam sejarah politik negara.

Tun Abdullah Ahmad Badawi pernah disisihkan dari Kabinet selama sepenggal kerana bersama Tengku Razaleigh Hamzah menentang Mahathir, akhirnya menjadi perdana menteri.

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pernah dianggap "sudah mati dalam politik" selepas krisis politik 1998, kini timbalan perdana menteri.

Allahyarham Datuk Harun Idris satu figura popular melebihi Mukhriz, akhirnya pudar apabila salah percaturan selepas keluar penjara.

Justeru masa depan Mukhriz bergantung bagaimana beliau mahu menutup episod kemelut politik negeri Kedah ini.

Mukhriz boleh memilih jalan damai dengan menghubungi Najib menawarkan untuk meletak jawatan bagi memulihkan suasana politik negeri Kedah. Ini akan mengurangkan ketegangan di Kedah dan mengekalkan jambatan politik antara beliau dengan Najib.

Ia akan membuka ruang kemungkinan suatu ketika nanti beliau akan diberi peluang lagi untuk berkhidmat kepada rakyat, parti dan negara. Beliau akan dikenang sebagai pendamai parti.

Siapa sangka Tun Abdullah suatu ketika dahulu menentang Mahathir akhirnya dipilih oleh Mahathir untuk menggantikan beliau.

Mukhriz mungkin memilih jalan kedua mewujudkan simpati dan cuba menekan Najib sekuat mungkin untuk tidak menggugurkan beliau. Beliau akan menjadi hero sementara waktu, namun tidak mungkin mengekalkan jawatannya.

Najib bukan sahaja mendapat sokongan ketua-ketua Umno bahagian dan Adun tetapi dipercayai mendapat sokongan KCS dan istana.

Jika Mukhriz memilih jalan konfrontasi ini, laluannya kembali ke politik arus perdana melalui Umno agak sukar selagi Najib presiden parti.

Kadang-kadang ular menyusur akar tidak akan rugi apa-apa berbanding harimau yang mengaum setiap masa.


Taja Kedah: Datuk Aliff temui Mukhriz

Posted: 23 Jan 2016 01:57 AM PST

Aliff Syukri
- Foto Ihsan Datuk Aliff Syukri
 
 

PENGASAS D'Herbs Healthy Sdn Bhd (D'Herbs), Datuk Aliff Syukri Kamarzaman telah mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir bagi membincangkan isu tajaan pasukan Kedah semalam.

Aliff Syukri atau lebih dikenali sebagai 'Abang terlajak laris' berkata, pertemuan itu berlangsung dengan baik dan kali ini beliau tidak mengenakan sebarang syarat kerana ingin melihat apa yang boleh diberi oleh pasukan Kedah terhadapnya.

"Dua minggu lagi saya akan buat keputusan rasmi sama ada akan menaja Kedah atau tidak, ini kerana ada beberapa lagi pasukan yang berminat untuk menjadikan saya sebagai penaja.

"Saya kena betul-betul fikir kerana ia melibatkan tajaan jutaan ringgit, kena ada 'win-win situation'," katanya kepada Sinar Online hari ini.

Sementara itu, Aliff berkata pertemuan semalam berlangsung dengan penuh perasaan harmonis walaupun Mukhriz berhadapan dengan masalah politik di Kedah kini.

"Beliau (Mukhriz) seorang yang profesional, layanan yang diberi kepada saya amat baik, saya nampak jiwa rakyat dihati beliau," katanya.



Luahan pimpinan Umno Kedah berkisar pertimbangan sendiri

Posted: 23 Jan 2016 01:55 AM PST

SINAR HARIAN


Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein


KLUANG - Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin‎ Hussein berharap kemelut politik yang melanda Kedah ketika ini dapat diselesaikan dengan semangat kekeluargaan, bijaksana dan rasional demi kelangsungan parti dan rakyat.

Menteri Pertahanan itu berkata sekiranya diselesaikan secara matang, apa jua kemelut yang berlaku di dalam Umno Kedah sudah tentu tidak akan membawa kesan yang teruk kepada parti dan rakyat.

"Saya tengok bahawa luahan dan pendirian kepimpinan bahagian-bahagian (Umno) di Kedah banyak berkisar kepada pertimbangan mereka sendiri dan perkara itu juga sudah disampaikan kepada Presiden Umno yang juga Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, semalam.

"Sehubungan itu, saya harap isu ini ditangani secara matang, bijaksana bersandarkan perkara-perkara yang ada kaitan rapat dengan hala tuju Umno Kedah dan pentadbiran kerajaan Kedah itu sendiri," katanya kepada pemberita selepas melancarkan program Jiwa Murni Parlimen Sembrong di Felda Kahang Timur, di sini, hari ini.

Menurut Hishammuddin, krisis politik di Kedah bukan sesuatu perkara baharu di peringkat negeri-negeri malah parti juga pernah melalui pelbagai keadaan yang mencabar sebelum ini.

Semalam, kepimpinan Umno Kedah mengadakan pertemuan dengan Najib susulan desakan mereka sebelum ini yang mahukan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir berundur.

Dua hari sebelum itu (20 Jan), hampir seluruh kepimpinan Umno Kedah termasuk 14 Ketua Umno Bahagian menyuarakan hilang keyakinan terhadap kepimpinan Mukhriz selaku Menteri Besar dan Pengerusi Umno Kedah. - Bernama


5 lokasi utama untuk perhimpunan TPPA

Posted: 22 Jan 2016 07:33 PM PST

ANTARAPOS.COM


Post Pic
  
 
 
KUALA LUMPUR:  Sebuah lokasi baru bagi perhimpunan menolak Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) diumumkan hari ini, menjadikan kesemua lima tempat berkumpul di ibu negara.
 
Parti Sosialis Malaysia (PSM) hari ini mengumumkan mereka, Parti Amanah Negara (PAN) dan beberapa kumpulan NGO akan berkumpul di Maju Junction.
 
Presiden PAN Mohamad Sabu dijadual turut memimpin himpunan di tempat itu.
 
Sebelum ini, empat tempat berkumpul ditetapkan, iaitu Masjid Negara, Masjid Jamek, Masjid India dan pusat membeli-belah Sogo pada jam 2 petang sebelum berarak ke Dataran Merdeka.
 
Pemimpin-pemimpin kanan pembangkang dan NGO dijadual berucap dalam acara itu.
 
Perhimpunan ini dilakukan sebagai usaha terakhir menghalang kerajaan menandatangani TPPA.
 
Sementara itu, masih tidak jelas jangkaan jumlah peserta esok. Penganjur sebelum ini berkata mereka menjangkakan "beberapa ribu" orang akan hadir.
 
Dalam perkembangan terbaru, kumpulan pendesak Melayu PERKASA akan membawa sekurang-kurangnya seribu peserta himpunan esok.
 
"Dari PERKASA, minimum 1,000," kata presidennya Datuk Ibrahim Ali melalui aplikasi WhatsApp. - Malaysiakini
 
 

Penyokong Mukhriz mahu konflik diselesai secara baik

Posted: 22 Jan 2016 07:09 PM PST

MALAYSIAKINI


 


Kira-kira 100 orang termasuk wakil beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berhimpun di Dataran Zero Kilometer di Sungai Petani semalam bagi menyatakan sokongan terhadap kepimpinan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir.

Pada masa sama, peserta perhimpunan yang diadakan selepas solat Jumaat itu, turut berharap kemelut kepimpinan di Kedah itu diselesaikan secara baik.

Wakil peserta perhimpunan yang juga Pengerusi Perkasa Merbok, Mejar Anuar Abdul Hamid berkata masalah yang membabitkan pemimpin-pemimpin Umno negeri itu menjadi besar kerana dibangkitkan secara terbuka.

"Perkara ini boleh diselesaikan secara baik, bila mereka buat secara terbuka, inilah reaksinya (perhimpunan)," katanya kepada Bernama semalam.

Sejak tiga hari lepas, Mukhriz menerima tekanan daripada beberapa Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan anggota Parlimen Umno Kedah, serta pemimpin kanan Umno negeri yang menyuarakan hilang keyakinan terhadap kepimpinan Mukhriz sebagai menteri besar dan pengerusi badan perhubungan Umno negeri.

Anuar berkata susulan situasi yang berlaku itu, 'suhu' politik di Kedah semakin panas dan ia tidak baik untuk negeri dan negara.

"Mukhriz baru tiga tahun mentadbir negeri, jika nak buang atau usir, itu tidak betul," katanya.- Bernama


Kalah PRU jika tukar MB

Posted: 22 Jan 2016 07:06 PM PST

Mukhriz Mahathir
Abu Hasan (kiri) dan Mukhriz, di perhimpunan di Jerlun kelmarin.
 
 
JERLUN – Umno Bahagian Jerlun mendakwa pertukaran jawatan menteri besar tanpa alasan yang munasabah boleh menyebabkan parti itu tewas pada PRU

Timbalan Ketuanya, Datuk Abu Hasan Sarif berkata, sejarah negeri Kedah membuktikan parti itu akan tewas dalam pilihan raya jika berlaku pertukaran menteri besar di pertengahan jalan sejak 1995.

"Hujan tak ada, angin tak ada, ribut pun tak ada, tiba-tiba kita diledakkan dengan satu bom yang membangkitkan kesedaran dan semangat semua masyarakat bukan sahaja di Jerlun, tapi di seluruh Kedah untuk bangun memberi sokongan padu kepada Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai Menteri Besar Kedah.

"Lima penggal saya diberi kepercayaan kepimpinan untuk dipilih dan menjadi wakil rakyat Kota Siputeh.

"Lebih 20 tahun, dah banyak menteri besar dan ini merupakan kali kedua saya menghadapi ujian sama dalam soal menolak kepimpinan Menteri Besar Kedah," katanya.

Beliau berkata demikian pada ucapan aluan sempena Himpunan Menyokong Kepimpinan Datuk Seri Mukhriz Mahathir kekal sebagai Menteri Besar Kedah dan Pengerusi Umno Negeri Kedah di Wisma Umno Bahagian Jerlun, kelmarin.

Menurutnya, masalah pertukaran menteri besar berlaku sejak 1995 ketika Tan Sri Osman Aroff menjadi Menteri Besar Kedah.

"Apabila ada pertukaran yang dibuat, perhimpunan seperti ini telah pun dilakukan untuk mempertahankan jawatan menteri besar itu.

"Akhirnya kerana rakyat masih menyayangi kepimpinan Osman ketika itu, walaupun berpindah tangan dan akhirnya kita dapati pada 1999 itulah bermulanya kejatuhan Kedah pada pilihan raya," katanya.

Ujarnya, kejadian itu menyebabkan BN tewas 14 kerusi ketika Tan Sri Sanusi Junid menjadi menteri besar.

Adun Kota Siputeh itu turut menegaskan pertukaran menteri besar dibuat dengan mendapat kebenaran, persetujuan serta keredaan daripada tuan tubuh yang sedang memegang jawatan tersebut

1MDB: Zeti harap sias‎atan dimuktamad April

Posted: 22 Jan 2016 07:03 PM PST

SINAR HARIAN


Zeti Akhtar
Zeti Akhtar Aziz
 
 
KUALA LUMPUR - Gabenor Bank Negara Malaysia Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz berharap siasatan terhadap 1Malaysia Development Bhd (1MDB) akan dimuktamadkan sebelum tempoh perkhidmatannya berakhir pada April.

"Saya berharap ia dapat dimuktamadkan pada masa itu supaya saya boleh menyerahkan rekod yang bersih kepada gabenor yang akan datang," katanya kepada saluran perniagaan yang berpangkalan di Amerika Syarikat, CNBC dalam satu temu bual eksklusif.

Zeti berkata siasatan dijalankan oleh pelbagai agensi ke atas pelbagai aspek syarikat pembangunan strategik itu dan bank pusat tersebut telah memuktamadkan bahagiannya.

Beliau berkata tindakan penguatkuasaan telah diambil dan apabila ia telah dimuktamadkan, hasilnya akan dimaklumkan.

"Bagaimanapun, sudah tentu, bukan kami sahaja pihak berkuasa penyiasatan, terdapat juga pihak lain. Dan, ia sedang dijalankan.

"Semua orang mahu perkara itu selesai supaya mata wang akan mencerminkan asas-asas kita dengan lebih baik dan kita boleh menangani isu-isu ekonomi lain yang dihadapi negara," katanya. - Bernama

Umno Kedah Perlu Hilang Kepercayaan Kepada Najib

Posted: 22 Jan 2016 06:59 PM PST




OLEH DATO'HJ MAHFUZ HJ OMAR


1.Tindakan Umno Kedah yang diketuai oleh Dato'Bashah menyatakan hilang kepercayaan pada Mukhriz sebagai Menteri Besar Kedah dan Pengerusi Umno negeri Kedah akhirnya mendedahkan berbagai kejadian tipu muslihat yang dilakukan oleh mereka yang menganjurkan sidang media untuk menjatuhkan Mukhriz.

2.Pendedahan dan pengakuan yang dibuat oleh Datuk Maznah Hamid Ketua Wanita Umno Kedah,Dato'Tajul Urus dan Dato'Soraya exco kerajaan Kedah yang menyatakan mereka tidak tahu apa apa dan tidak dibawa perbincangan menunjukan satu penipuan untuk merampas kuasa secara yang tidak demokratik.Kejadian ini sangat memalukan.

3.Sidang media tersebut adalah satu usaha yang di dramatik dalam episod drama bersiri yang diarah sendiri oleh Najib.Petang ini 22 jan 2016 Najib akan mengadakan pertemuan dengan semua pelakon dan pelakon tambahan di studio PWTC untuk memberi arahan agar menghafal skerip baru untuk penamat drama bersiri ini.

4.Kepada pimpinan umno Kedah, saya mengharapkan mereka utamakan negara dan rakyat yang sedang menghadapi kesempitan hidup akibat dari kegagalan PM Najib dalam menguruskan negara.Mereka harus sedar yang mereka telah diperbodohkan oleh Najib dengan dengan bertindak biadap dan tak beradab mencalarkan nama baik Tuanku Sultan Kedah dengan merosakan sambutan hari keputeraan ke 88 Tuanku Sultan Kedah dengan menimbulkan polemik rampasan kuasa dinegeri Kedah.

Rampasan kuasa dari kepimpinan Mukhriz tidak akan menyelesaikan masaalah negara dan rakyat yang berdepan krisis kepercayaan terhadap Najib dengan 1MDB,GST,TPPA,NILAI RINGGIT RENDAH,KOS SARA HIDUP RAKYAT,RASUAH dan berbagai lagi.

5.Saya mengharapkan pertemuan kepimpinan Umno Kedah dengan Najib 4 petang ini 22 jan 2016 akan digunakan oleh mereka untuk menyatakan hilang kepercayaan mereka kepada Najib sebagai PM dan Presiden Umno.Sebagai mana keberanian tak bertempat dan tidak pada masanya mereka nyatakan pada Mukhriz,maka keberanian yang sama pada hari ini yang tepat pada masanya diharapkan rakyat Kedah untuk mereka kepimpinan Umno Kedah menyatakan mereka hilang kepercayaan pada Najib.

RAKYAT MAHUKAN KEBERANIAN DAN KEBIJAKSANAAN BUKANNYA KEBODOHAN PEMIMPIN.

(*)  DATO'HJ MAHFUZ HJ OMAR,Ahli Parlimen Pokok Sena

GKCM rancang demo bakar buku perlembagaan UMNO

Posted: 22 Jan 2016 06:43 PM PST

 
Tindakan membakar buku perlembagaan UMNO itu diambil kerana merasakan buku tersebut sudah tidak berguna.


buku-perlembagaan-UMNO


KUALA LUMPUR: Gabungan Ketua Cawangan Malaysia (GKCM) merancang untuk membakar buku perlembagaan UMNO secara besar-besaran.

Ugutan tersebut dibuat oleh Timbalan Presiden GKCM, Datuk Mohd Zin Mustapa sekiranya UMNO terus membisu berhubung tindakan ke atas 'pemberontak' dalam kalangan UMNO Kedah.

"Kalau tidak ada tindakan selanjutnya, kami akan terus lakukan sehingga kami puas hati.

"Kemungkinan buat bantahan besar-besaran atau demonstrasi membakar perlembagaan UMNO," ujarnya sewaktu ditemui pemberita di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Zin menyatakan tunjuk perasaan itu perlu diambil kerana merasakan buku tersebut sudah tidak berguna.

"Kalau buku ini tidak boleh digunakan, lebih baik kita bakar," katanya lagi.

Jelasnya, adalah tidak adil sekiranya ahli yang mendesak Datuk Seri Najib Razak meletakkan jawatan dihukum sebaliknya ahli yang mendesak Mukhriz Mahathir pula tidak dikenakan sebarang tindakan.

"Jawatan kami sebagai ketua dilucutkan. Sehubungan dengan itu kami mohon tindakan sama dapat diambil ke atas mereka yang buat sidang media mengkritik Mukhriz," kata beliau lagi.

Tempat dan masa penganjuran tunjuk perasaan itu masih belum didedahkan.

Qu Puteh tarik balik dua produk

Posted: 22 Jan 2016 06:40 PM PST

 
Dr Vida akan lakukan penelitian terperinci


vida


PETALING JAYA: Vida Beauty Sdn Bhd menarik balik produk Qu Puteh Whitening Pro 9 dan Qu Puteh Whitening UV Block dalam pasaran Brunei dan Malaysia buat sementara waktu.

Pengasasnya, Datuk Seri Dr Hasmiza Othman (Dr Vida) berkata, langkah itu berkuat kuasa hari ini, selepas Kementerian Kesihatan mengesahkan Qu Puteh Whitening Pro 9 dikesan mengandungi raksa (merkuri).

"Saya akan melakukan penelitian secara terperinci terhadap dua produk berkenaan. Apa yang penting bagi kami adalah kesihatan pengguna.

"Saya harap pengguna tidak ragu dan panik berhubung masalah ini. Sebelum ini tidak pernah berlaku masalah sebegini," katanya kepada BH Online.

Kementerian kesihatan Brunei mengharamkan dua produk itu selepas didapati mengandungi raksa, dan kapsul Chantique Beauty Slimming Herbal yang didapati mengandungi spironolactone.

Mengulas lanjut, Dr Vida berkata produk lain seperti Pamoga, Qu Puteh dan Milenia masih dijual.

Apa rasionalnya gantung biasiswa JPA untuk jimatkan belanja negara?

Posted: 22 Jan 2016 06:38 PM PST

 
Ia hanya akan mematikan semangat anak-anak yang berazam mahu melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.



jpa



Heboh di media-media sosial mahupun tempatan apabila kerajaan membuat pengumuman mahu menggantung peruntukan pemberian biasiswa tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) kepada mereka yang ingin melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah sarjana muda dan program pra-universiti.

Entah apa sebabnya, pengumuman yang didakwa dibuat oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Wee Ka Siong mengenai perkara itu memang tidak boleh diterima akal.

Alasan yang diberikan dengan mengatakan kerajaan mahu melakukan penjimatan adalah sesuatu yang tidak kukuh sebaliknya, ia hanya akan mematikan semangat anak-anak yang berazam mahu melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.

Hari ini, menerusi laporan sebuah akhbar tempatan, menteri itu pula dibidas oleh Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) apabila menyatakan pihak Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) tidak menerima sebarang arahan untuk menggantung mana-mana skim di bawah tajaan jabatan itu.

Menurut GPMS, jika benar dakwaan JPA itu, ini bermakna Ka Siong telah mengeluarkan kenyataan yang bertentangan dengan arahan bosnya, Datuk Seri Najib Tun Razak yang meminta agar Ketua Setiausaha Negara (KSU), Tan Sri Ali Hamsa mengemukakan cadangan kepada Ketua Pengarah JPA supaya melakukan satu mekanisme baharu dalam pemberian biasiswa agar lebih efisien dan optimum, berbanding kaedah sekarang.

Sama ada Ka Siong faham dengan arahan itu atau tidak, yang pastinya beliau telah membuat para ibu bapa menjadi resah dan tidak kurang juga yang marah-marah apabila mengetahui tentang perkara itu.

Untuk meredakan keadaan, Ka Siong dilapor menafikan pula kenyataan yang didakwa diumumkannya itu apabila beliau memberitahu kepada pemberita di Wisma MCA semalam.

Beliau juga mengulangi bahawa sekarang, hanya mereka yang menerima bursari pra-universiti sahaja yang terjejas.

Mengulas mengenai perkara itu, di sini penulis ingin mengajak pembaca menyelami hati para ibu bapa dan juga pelajar yang sememangnya mengharapkan bantuan daripada pihak kerajaan demi kelangsungan masa depan mereka.

Golongan yang paling merasakan keperitannya adalah mereka yang tinggal di kampung-kampung dengan hanya mendapatkan hasil daripada sumber tanah yang tidak menentu pendapatannya.

Impian mereka terlalu tinggi mahu melihat kejayaan anak-anak suatu hari nanti supaya tidak menerima nasib seperti mereka, selain berharap agar anak-anak mereka dapat mengubah kehidupan keluarga apabila sudah berjaya kelak.

Keadaan ekonomi yang semakin menekan hingga memaksa para ibu bapa mencari jalan alternatif bagi menambah pendapatan keluarga sepatutnya dipandang oleh pihak kerajaan dengan tidak harus memberi tekanan lain kepada mereka.

Pemberian biasiswa sememangnya satu perkara yang sangat diharapkan dan kerajaan tidak sepatutnya mengambil jalan mudah dengan menjadikan ia sebagai sasaran untuk menyelesaikan sebahagian daripada masalah negara.

Pada pandangan penulis, banyak cara lagi yang boleh dilakukan oleh pihak kerajaan tanpa mengambil hak institusi pendidikan dengan cara mengusik tajaan pemberian biasiswa yang amat bermakna buat mereka yang layak dan sememangnya memerlukan.

Dalam hal ini, kerajaan harus melihat kepada keutamaan sebelum membuat keputusan yang pada pandangan penulis jika benar seperti apa yang dikata, ia adalah satu keputusan yang dibuat secara terburu-buru.

Perarakan Thaipusam meriah, aman, dan diawasi ketat

Posted: 22 Jan 2016 06:35 PM PST

 
Penganut dari segenap pelusuk Lembah Klang berhimpun dan berarak merentasi ibu negara bagi menandakan ketaatan.


batu-caves


BATU CAVES: Perarakan kereta berhala Dewa Murugan sempena sambutan Thaipusam bermula lancar dan aman tanpa sebarang gangguan.

Orang ramai mula berkumpul di sekitar Kuil Maha Mariamman Dhevastanam di Jalan Tun H.S.Lee sekitar jam 8 malam dan kereta berhala mula bergerak tepat jam 10 malam menuju ke kuil Sri Subramaniar Dhevastanam di Batu Caves, Gombak.

Pengawasan pihak berkuasa yang ketat berbanding kebiasaan tidak mengganggu kemeriahan malam tadi. Bunga api pelbagai warna dilepaskan ke udara berlatarkan langit malam yang cerah.

Bulan penuh menaungi perarakan penganut yang mengiringi Dewa Murugan sejauh 18 kilometer sambil menjalani ibadah termasuk menjunjung kavadi dan periuk kecil berisi susu yang akan digunakan sebagai membayar nazar kepada Dewa Murugan sempena Thaipusam, yang jatuh pada Ahad ini.

Melalui Jalan Raja Laut dari Lebuh Ampang, peserta meraikan malam kebesaran itu dengan memecah kelapa, tarian singa dan tarian tradisional India. Polis peronda sama ada berjalan kaki atau berkereta memastikan penganut menjalani ibadah bebas daripada ancaman.

Di kiri kanan jalanraya sehingga ke Jalan Kuching ditandai dengan gerai makanan dan minuman percuma bagi memastikan keperluan peserta Thaipusam dipenuhi.

Pemberita tiba di Batu Caves sekitar 4.30 pagi. Ketibaan penganut dan pengunjung ke kawasan suci agama Hindu itu disambut sepasukan askar beret merah yang distesen di beberapa lokasi dalam perkarangan kuil.

L. Kanakahampa, 50an, berasa terkejut melihat bilangan pegawai pertahanan yang lengkap bersenjata.

"Sepanjang lebih 20 tahun menyertai perarakan dan mengunjungi Batu Caves, ini kali pertama saya melihat askar lengkap bersenjata mengawasi kuil ini," katanya.

Di kaki patung gergasi Dewa Murugan berhampiran tangga utama kuil Batu Caves, orang ramai terdorong untuk bergambar dengan periuk gergasi yang dililit tulisan 'derma'.

Entah berapa bilion ringgit boleh muat dalam periuk itu, seloroh seorang pengunjung wanita kepada suaminya.

Meriah seperti biasa, semua aktiviti dalam kawasan perkarangan kuil seperti bazar jualan, upacara sembahyang dan kunjungan pelancong asing tidak terganggu (setakat berita ditulis jam 6 pagi).

"Penganut yang hadir tidak mengendahkan khabar angin mengenai serangan IS.

"Bagaimanapun, dari segi jumlah pengunjung dan jumlah polis serta pihak berkuasa yang lain, saya merasakan khabar angin itu memberi impak," kata Vickneawary Selvarajah dari Shah Alam.

206 pemimpin UMNO Kedah tolak Najib, dakwa Anina

Posted: 22 Jan 2016 06:33 PM PST

Bahkan, mereka juga mahu Mukhriz kekal sebagai MB, dan Najib letak jawatan minggu depan.


anina-mukhriz


PETALING JAYA: Bekas ahli UMNO, Anina Saadudin mendedahkan daripada 260 orang Adun, ahli Parlimen dan pimpinan UMNO bahagian dari Kedah yang dipanggil menyertai pertemuan terutup dengan Presiden Datuk Seri Najib Razak, hanya 54 yang menyahut seruan itu.

Bahkan, penyokong Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir dikatakan berada di kalangan mereka yang hadir dalam pertemuan yang diadakan di Bangunan UMNO, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di ibu negara, petang semalam.

"Jika semalam kononnya 15 Ketua Bahagian tolak DS Mukhriz, hari ini 206 pemimpin bahagian tolak DS (Datuk Seri) Najib.

"Dalam 54 orang tersebut, separuh darinya adalah penyokong setia DS Mukhriz yang hadir sekadar untuk mengambil gambar muka-muka penyamun negara," dedah Anina, dalam satu muatnaik di laman sosial Facebook miliknya.

Pendedahan maklumat dalaman itu merungkai arahan 'kunci mulut' keatas pimpinan yang menghadiri pertemuan tersebut. Pertemuan itu dipercayai dilakukan selepas kepimpinan UMNO Bahagian Kedah dikatakan sudah hilang kepercayaan terhadap Mukhriz.


'Pemberontak' terbabit melalui Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, merayu Najib supaya campur tangan dan menggugurkan Mukhriz sebagai Menteri Besar dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri.

"Saya juga nak beritahu DS Najib, bukan sahaja seluruh rakyat Kedah sayangkan DS Mukhriz, malah seluruh Malaysia mahu DS Mukhriz kekal sebagai MB Kedah.

"Satu lagi perkara penting yang saya nak beritahu adalah, 30 juta rakyat Malaysia mahu DS Najib letak jawatan minggu depan," kata Anina.

Penjenayah Geng Mamak mati ditembak

Posted: 22 Jan 2016 06:29 PM PST

FREE MALAYSIA TODAY


Kumpulan terbabit terlibat melakukan jenayah di 25 kawasan seperti di Perak, Selangor, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan


tembak


TAIPING: Seorang anggota Geng Mamak mati ditembak, manakala dua lagi ditahan selepas kenderaan dinaiki mereka merempuh beberapa kereta polis di Plaza Tol Changkat Jering, petang semalam.

Ketua Polis Perak, Datuk Osman Salleh berkata, bertindak atas maklumat kes samun di Rasah, Negeri Sembilan pagi semalam, sepasukan anggota Cawangan Jenayah Berat (D9) dan Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Taiping terserempak dengan kereta Volkswagen Passat dinaiki suspek di lokasi kejadian.

"Suspek yang enggan memberhentikan kenderaan setelah diarah, bertindak merempuh kereta polis, dan polis terpaksa melepaskan tembakan sehingga mengenai bahagian rusuk pemandu.

"Suspek yang terbunuh berusia 38 tahun, manakala dua ditahan masing-masing berusia 31 dan 33 tahun. Kesemua mereka berasal dari Perak dan mempunyai rekod jenayah lampau," katanya pada sidang media di sini lewat malam tadi.

Osman berkata, semasa kejadian itu, sebuah kereta jenis BMW 5 Series dipercayai rakan suspek tiba di kawasan tersebut dan cuba merempuh kereta polis sebelum terlepas daripada kepungan.

Beliau berkata, BMW itu kemudian ditemukan tanpa pemandu serta penumpang di Kilometer 237.7 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah Selatan dan pemeriksaan menjumpai beberapa barangan seperti sepucuk pistol jenis Barreta Semi Auto, vest polis, parang, 20 set plat kenderaan, satu gari dan dua walkie talkie.

Pemeriksaan ke atas kereta Volkswagen dipercayai disamun di Bukit Raja, Klang, Selangor tahun lepas itu pula menemukan wang tunai RM2,400, selain beberapa barangan termasuk plat kenderaan, sebilah parang serta topi dengan lambang polis.

"Polis percaya dapat menumpaskan kumpulan Geng Mamak yang melakukan pelbagai jenayah seperti samun, pecah rumah dan mencuri kenderaan mewah di beberapa negeri.

"Sehingga Januari ini, sebanyak 25 kes dilakukan kumpulan terbabit di Perak, Selangor, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan membabitkan kerugian dianggarkan RM2.4 juta," katanya, sambil menambah tiga kereta polis rosak dalam kejadian itu.

Polis turut mengucapkan terima kasih kepada orang awam kerana memberi maklumat sehingga dapat menumpaskan satu kumpulan yang aktif dan berbahaya ini, katanya.– Bernama

Tangguh tukar MB sehingga PRU14

Posted: 22 Jan 2016 06:25 PM PST

pru13
Gambar hiasan


JERLUN – Wanita Umno Bahagian Jerlun menyarankan kepada pucuk pimpinan parti supaya menangguhkan pertukaran jawatan Menteri Besar Kedah sehingga PRU14

Naib Ketuanya, Rohani Mat Aris berkata, tindakan itu perlu dipertimbangkan supaya rakyat dan pengundi tidak marah kepada parti pemerintah.

"Bagilah peluang kepada Datuk Seri Mukhriz Mahathir untuk menjalankan tanggungjawab sebagai Menteri Besar Kedah, sebab ini juga sebahagian daripada manifesto BN pada PRU13 lalu, jika kedah berjaya merampas semula negeri ini.

"Bila jadi macam ini (iaitu tukar menteri besar), mereka akan patah hati. Tahulah kemungkinan akan jadi. Siapa nak tanggung risiko kalau ini semua terjadi," katanya.

Menurutnya, Umno sudah tentu tidak mahu hidup sebagai pembangkang semula di Kedah seperti yang pernah berlaku pada 2008

"Kenapa baru sekarang nak tukar dengan alasan yang bermacam-macam, sedangkan semasa nak lantik dia (Mukhriz), kita pun tahu dia masih orang baharu," katanya.


Tiada ulasan: