Isnin, 18 Januari 2016

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


Kerajaan perlu hentikan bawa masuk pekerja asing

Posted: 18 Jan 2016 04:38 AM PST

Khairul Azwan Harun
Khairul Azwan Harun


SHAH ALAM - Pemuda Umno menegaskan kerajaan perlu menghentikan sebarang usaha membawa masuk pekerja asing ke negara ini.

Naib Ketuanya, Khairul Azwan Harun berkata, sektor-sektor di negara ini terutamanya pembinaan perlu didominasi pekerja tempatan bukannya pekerja asing.

"Saya setuju kata-kata Encik Khalid (Presiden Kongres Kesatuan Pekerja Malaysia (MTUC), Khalid Atan). Ramai sangat pekerja asing masuk.

"Jadi, kerajaan kena hentikan ambil pekerja asing masuk ke negara ini," katanya pada Wacana Sinar Derita Orang Bandar: Punca & Penyelesaian, di sini, hari ini.

‘Tabung Haji, KWAP perlu tuntut RM1.5b daripada 1MDB'

Posted: 18 Jan 2016 04:28 AM PST

MALAYSIAKINI



 


Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli menggesa Tabung Haji dan Kumpulan Wang Amanah Pencen (KWAP) untuk menuntut semula RM1.5 bilion daripada 1MDB selepas syarikat pelaburan milik negara itu dikatakan melanggar syarat-syarat perjanjian sukuk.

"Saya mendesak supaya Tabung Haji dan KWAP menggunakan haknya mengikut perjanjian untuk menuntut 1MDB membayar kembali semua baki tertunggak dari terbitan sukuk ini secara serta-merta," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Kedua-dua Tabung Haji dan KWAP adalah pemegang sukuk Bandar Malaysia yang diterbitkan 1MDB yang bertujuan untuk membiayai penempatan semula dan menaiktaraf pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Sungai Besi dan juga beberapa pangkalan lain.

Rafizi mendakwa sukuk itu tidak digunakan sepenuhnya untuk tujuan yang dinyatakan dan telah melanggar syarat-syarat bon Islam itu.

Beliau berkata mengikut perjanjian berkenaan, Tabung Haji dan KWAP berhak untuk menuntut semua baki sukuk dan bayaran keuntungan dilunaskan serta merta oleh 1MDB kerana syarat-syarat sukuk telah dilanggar.

"Jawapan Perdana Menteri di Parlimen sebelum ini mengesahkan bahawa Tabung Haji telah melanggan sebanyak RM920.8 juta dari terbitan sukuk oleh 1MDB ini.

"Baki selebihnya dipercayai dilanggani oleh KWAP sebanyak RM579.2 juta,' katanya.

Sehubungan itu, Rafizi menggesa kedua-dua entiti itu untuk mendapatkan semula RM1.5 bilion demi kepentingan awam.

"Kegagalan berbuat demikian akan menimbulkan kemarahan rakyat terhadap Tabung Haji dan KWAP yang akan menjatuhkan lagi kredibilit Perdana Menteri , Datuk Seri Najib Razak," katanya.


Bekas pemimpin Umno dakwa ditawar sesuatu untuk tutup mulut

Posted: 18 Jan 2016 04:27 AM PST

MALAYSIAKINI


 


Bekas Ketua Wanita Umno Gopeng, Datuk Hamidah Osman mendakwa bahawa terdapat percubaan untuk menghalang beliau daripada bersuara, terutama kritikannya terhadap parti.

Bercakap sebagai panel Wacana Perdana Selamatkan Malaysia anjuran sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Ipoh, malam semalam, bekas ADUN Sungai Rapat tidak mendedahkan maklumat lanjut mengenai bentuk tawaran yang dibuat itu.

"Jika diberi pilihan antara pemimpin dan parti, saya akan pilih parti, tetapi jika antara parti dan negara, saya lebih utamakan kepentingan negara dari parti.

"Apa yang terjadi (pemecatan dalam Umno) saya reda dan saya sanggup ketepikan kepentingan diri kerana bimbang apa yang berlaku hari ini dan apa yang akan berlaku pada masa akan datang," kata Hamidah yang dipetik akhbar Sinar Harian.

Forum Wacana Perdana Selamatkan Malaysia itu diadakan di sebuah hotel di Ipoh dan antara yang menjadi panel adalah Naib Presiden PAS Idris Ahmad.

Pada 24 November tahun lalu, perdana menteri dan presiden Umno Datuk Seri Najib Razak mengumumkan pemecatan Hamidah daripada parti berikutan gesaan terbukanya supaya Najib meletakkan jawatan.

Sejak itu, Hamidah beberapa kali berkongsi pentas yang sama khususnya bersama pengkritik Najib termasuk pembidasnya yang paling lantang, iaitu Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.


Pengubahsuaian Bajet 2016, PM jumpa pelbagai pihak

Posted: 18 Jan 2016 04:24 AM PST

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
 
KUALA LUMPUR: Kerajaan akan memastikan pengubahsuaian Bajet 2016 memberi kesan positif kepada pasaran dan rakyat dalam menangani cabaran ekonomi semasa. 
 
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata proses perundingan kini sedang dijalankan dengan pelbagai pihak termasuk ahli ekonomi dan ketua industri. 
 
Katanya, dalam masa terdekat beliau juga akan berjumpa kumpulan yang mewakili pengguna serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bagi memastikan proses perundingan dapat dijalankan secara menyeluruh. 
 
"Fokus utama kerajaan dalam menangani cabaran ekonomi semasa adalah memastikan penyesuaian Bajet 2016 boleh diterima secara positif oleh pasaran dan juga rakyat. 
 
"Sehubungan itu, proses perundingan sedang dijalankan di mana setakat ini saya berjumpa dengan pelbagai pihak termasuk ahli ekonomi dan ketua industri," katanya menerusi kiriman di Facebook beliau, malam tadi. 
 
Najib berkata, usaha itu adalah sebahagian daripada langkah proaktif kerajaan dalam memastikan kepentingan ekonomi dan rakyat terus terjamin. 
 
Perdana Menteri bakal membentangkan pengubahsuaian Bajet 2016 pada 28 Januari ini, dengan mengambil kira senario ekonomi semasa supaya lebih realistik dengan cabaran pada tahun ini. 
 
Pengubahsuaian bajet akan merangkumi langkah tambahan penegasan baharu mengoptimumkan perbelanjaan dan peranan GLC. 
 
Pelbagai pihak setuju pengubahsuaian bajet berkenaan berikutan kejatuhan mendadak harga minyak dunia selain kelembapan ekonomi dunia.
 
 

Surat terbuka ibu runsing buat Kementerian Pendidikan

Posted: 18 Jan 2016 04:23 AM PST

Raiha Bahaudin


 
"There are many little ways to enlarge your child's world. Love of books is the best of all."
- Jacqueline Kennedy


 Jika tuan puan punya anak-anak sendiri, buku-buku bagaimanakah yang akan diberi kepada mereka?
Ketika saya menulis surat ini, saya baru mendapat perkhabaran luar biasa daripada seorang sahabat sukarelawan yang melawat sekolah persendirian Tunas Perwira dia Tawau.

Sekolah untuk anak-anak pekerja ini biarpun cukup sederhana, tanpa dinding dan berlantaikan tanah punya keinginan untuk memberikan terbaik untuk semua.

Oleh kerana itu, tidak menghairankan bagaimana kita boleh mendapati silibus sastera mereka untuk tingkatan 1 hingga 3, punya analisis lengkap puisi-puisi indah klasik Chairil Anwar yang membicarakan tentang pencarian diri dan ketuhanan.

Apa nasib sastera kita?

Adakah tuan puan yang bekerja di pejabat agam berhawa dingin bertingkat-tingkat boleh menjawab bagaimana sebuah naskhah dengan fantasi cinta dan adegan senggama yang jelas boleh melepasi penilaian sistem pendidikan kita?

Perlu diingatkan bahawa surat ini bukan peperangan antara karya sastera dan pop kerana kita mengetahui bahawa tidak semua karya sastera sesuai untuk anak-anak dan begitu juga sebaliknya.

Kita sendiri dapat melihat bagaimana karya-karya pop Barat yang datang daripada dunia yang dikatakan bebas dan liberal melahirkan karya-karya sai-fai bertih jagung seperti Hunger Games dan The Maze Runner yang bukan sahaja membawa isu-isu tentang penentangan terhadap sistem yang bobrok malah keazaman dan perjuangan.



Nilai-nilai yang kita mahu dibawa oleh anak-anak muda. Tetapi bagaimana dengan buku-buku pop kita?
Cinta fantasi aksi panas

Apa yang tidak disedari oleh Kementerian Pendidikan Malaysia, apabila mereka menghalalkan kisah-kisah cinta fantasi malah dengan aksi-aksi panas masuk ke dalam sukatan pelajaran, mereka telah memberi tanda aras serendah-rendahnya seperti yang telah pun ditandakan oleh filem-filem dan televisyen tempatan.

Usah bermimpi tentang Wawasan 2020 ataupun sekurang-kurangnya pencapaian Program Penilaian Pelajar Antarabangsa (PISA) yang mengagumkan kerana kita telah pun menaiki kereta api secara ke belakang.

Besar kemungkinan Kementerian Pelajaran Malaysia tidak pernah memandang tinggi pun aspek sumbangan sastera kepada perkembangan kemanusiaan.

Saya tidak mengenali penulis novel Pantai Kasih dan saya bersimpati kerana namanya yang menjadi viral dalam label novel cinta tidak bermoral sedangkan lebih banyak novel-novel sebegini di luar sana dan saya menjatuhkan kesalahan ini di tangan Pusat
Perkembangan Kurikulum.
Bukan kita semua tidak pernah muda dan ingin merasai sedikit kehangatan cinta di dalam buku-buku fiksyen.

Tetapi buku-buku ini boleh didapati di luar dengan label 'romance' terang jelas dan dibaca atas tanggungjawab sendiri. Bukan atas penghalalan rasmi sistem pendidikan.

Sebelum ini saya tidak terpanggil untuk menyumpah seranah novel-novel cinta pop kerana saya merasakan lebih baik memeranginya dengan menulis novel yang baik.

Memberi hasil, bukan sekadar bercakap kosong. Tetapi, keadaan kini sudah melampaui batas.

Mungkin ada yang mengatakan saya merasa terjentik kerana nama watak utama yang melakukan adegan panas di dalam novel ini serupa dengan saya. Mungkin.

Tetapi berpada-padalah menulis.

Macam kita tidak tahu, mereka yang menulis kisah-kisah sebegini, meletakkan wanita di tempat paling bawah adalah penulis-penulis wanita sendiri.

Saya mengharapkan Pusat Perkembangan Kurikulum, Kementerian Pelajaran Malaysia mengambil tindakan sepantas-pantasnya, sebaik-baiknya sebelum kami hilang kepercayaan sepenuhnya kepada pentadbiran anda.

Yang benar,
RAIHA BAHAUDIN
Ibu dan penulis yang rungsing

'Ini Rashid, Rashid kena hentam lepas masuk TV3'

Posted: 18 Jan 2016 04:06 AM PST

MALAYSIAKINI


 


Akaun Facebook "Jadilah seperti Rashid" baru-baru ini mencipta fenomena baru di laman sosial apabila membawakan mesej dalam bentuk jenaka satira.

Menerusi watak kartun orang lidi, Rashid menyampaikan nasihat dan pesanan berguna kepada masyarakat sambil menyentuh pelbagai topik dan isu-isu semasa.

Fenomena Rashid begitu cepat tersebar dan dalam tempoh beberapa hari sahaja jumlah pengikutnya mencecah ratusan ribu.

Sehingga kini akaun Facebook Jadilah seperti Rashid disukai lebih 300,000 pengguna Internet.

Populariti watak 'Rashid' yang dikendalikan empat anak muda itu turut mendapat perhatian media arus perdana dan disiarkan dalam slot Buletin Utama di TV3 semalam.

Bagaimanapun kemunculan "Rashid" di TV3 nampaknya tidak disenangi ramai, bahkan ada kalangan peminatnya yang memberikan komen negatif.

Menerusi status Facebook, 'Rashid' memberitahu lokasinya yang berada di Seri Pentas dan akan ditemubual oleh stesen TV berkenaan.

"Ini Rashid. Rashid dijemput untuk ditemuramah. Rashid dah sampai. Rashid dah ready," tulisnya di Facebook.

Ia kemudian dibalas dengan komen-komen mengejek dari peminatnya di Facebook. Antaranya dari pemilik akaun bernama Pak Di.

"Rashid dah bangga diri masuk TV3. Kami tak suka TV3. Kami tak suka Rashid masuk TV3. Rashid dah tak bijak. Jangan jadi seperti Rashid," ujar Pak Di.

Seorang lagi pemilik akaun bernama Farra Ziapa pula berseloroh: "Apakah Allah telah menarik balik kebijaksanaan yang Rashid miliki sebelum ini? Sesungguhnya semua adalah pinjaman semata-mata di dunia,".
Manakala Nezwan Jamil pula berkata "Rashid tarik kahak, Rashid ludah kat atas, kahak jatuh atas kepala Rashid, Rashid marah kat kahak itu."
Selain itu, Abbud Abbasy berkata "Pendapat saya Rashid patut tolak temuramah TV3, Rashid kena bijak berfikir pro dan kontra Dalam membuat kerja amal kena ikhlas, orang akan perhati setiap tindakan, perkataan dan perbuatan. Jangan silap langkah Rashid,".
Barangkali menyedari dirinya menerima kecaman peminat, Rashid menulis satu lagi status di Facebook, kali ini dengan cara yang sinikal.



Jadilah Seperti Rashid
Community · 314,162 Likes
· Yesterday at 3:42pm ·

"Ini Rashid. Rashid hari-hari menonton Buletin Utama TV3. Rashid tak menonton dari pukul 8. Rashid tunggu di penghujung rancangan sebab nak tengok segmen sukan. Rashid hanya mahu tahu 'good news'. Rashid bijak. Jadilah seperti Rashid.

Bagaimanapun peminatnya terus mengecam Rashid. Antaranya Mohamad Hanis yang berkata "Ini Rashid, Rashid dah masuk TV3 suku, Rashid dah mula lupa daratan, jadilah seperti Rashid.
Sementara itu terdapat juga peminat Rashid mempertahankannya dengan penuh emosi.
"Bangang, bila masuk TV3 kata penjilat. At least inilah Rashid ceriakan rakyat Malaysia dengan banyak info diberikan. At least mereka kreatif. Kau orang buat apa? Habis tu kalau mereka masuk (Astro) Awani penjilat jugak? LOL"



AG kembalikan kertas siasatan RM2.6b, SRC kepada SPRM

Posted: 18 Jan 2016 03:31 AM PST

MALAYSIAKINI







Kertas siasatan dua kes yang melibatkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak telah dikembalikan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk siasatan lanjut, kata Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali, hari ini.

Kedua-dua kes itu adalah siasatan RM2.6 bilion yang dimasukan ke akaun bank peribadi Najib dan RM42 juta yang didakwa disalurkan kepada Najib, melalui bekas anak syarikat 1MDB, SRC International.

"Setelah meneliti keseluruhan keterangan di dalam kertas-kertas siasatan tersebut, Jabatan ini telah pada hari ini mengembalikan kertas-kertas siasatan tersebut untuk mendapatkan penjelasan daripada pihak SPRM mengenai beberapa cadangan dan tindakan yang disyorkan oleh pihak SPRM.

"Jabatan ini juga telah mengarahkan agar kertas-kertas siasatan tersebut dikembalikan dalam masa terdekat," kata Apandi pada satu kenyataan media hari ini.

Kertas siasatan berkenaan dikemukakan oleh SPRM pada 31 Dis, 2015.

Antara lain, SPRM sebelum ini juga merakamkan kenyataan pengarah SRC International dan dan Najib.

SPRM sebelum ini berkata siasatan awal menunjukkan dana RM2.6 bilion itu adalah sumbangan politik.

Najib berkata ia adalah daripada lebih satu sumber tetapi enggan mendedahkan penyumbang berkenaan dan pecahan jumlah derma berkenaan.

Beliau juga menafikan sebarang salah laku.

Pascal bawa kes pembunuhan bapa ke PBB

Posted: 18 Jan 2016 03:28 AM PST

MALAYSIAKINI


 


Pascal Najadi, anak pengasas Ambank yang ditembak mati, Hussain Najadi akan membawa kes pembunuhan bapanya ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) selepas hilang kepercayaan terhadap sistem undang-undang Malaysia.

"Peguam kami di Kuala Lumpur, Malaysia, Gobind Singh Deo, telah menasihatkan bahawa adalah sia-sia untuk melalui mahkamah bagi mendapatkan siasatan yang betul oleh Jabatan Peguam Negara dalam pembunuhan Hussain Najadi.

"Oleh itu, kami telah membuat keputusan bersama-sama dengan peguam antarabangsa jenayah Nick Kaufman untuk membawa kes ini ke PBB di Geneva, Switzerland," kata Pascal dalam satu kenyataan hari ini.

Nick Kaufman adalah peguam jenayah antarabangsa dan bekas pendakwa di Tribunal Jenayah Antarabangsa bagi bekas Yugoslavia di Mahkamah Jenayah Antarabangsa di The Hague.

Pascal mendakwa ada yang diselindungi dalam kes pembunuhan bapanya.

"Semua petanda yang kami terima setakat ini dari Malaysia menunjukkan ada alasan kukuh untuk mempercayai bahawa terdapat campur tangan kerajaan bagi menutup kes ini," katanya.

Menurut Pascal, Pejabat Peguam Negara dan polis cuba menutup kes selepas dua tahun Interpol mengeluarkan notis merah ke atas dalang yang dikatakan terbabit itu.

Katanya lagi, polis yang berjaya menahan lelaki yang disyaki itu, Lim Yuen Soo juga enggan berkongsi maklumat dan soal siasat dijalankan tanpa kehadiran Gobind Singh, peguam Malaysia yang mewakili keluarganya itu.

Hussain, 76, meninggal dunia, manakala isterinya cedera parah selepas mereka ditembak ketika muncul dari Tokong Kuan Yin di Lorong Ceylon, Kuala Lumpur pada 29 Julai 2013.

Penembak itu, Kong Swee Kuan, dijatuhi hukuman mati pada 2014 kerana membunuh.

Lim dipercayai membayar Kong untuk bertindak dan namanya diletakkan dalam notis merah Interpol selepas didapati dia melarikan diri.

Beliau akhirnya ditahan polis pada Oktober tahun lalu ketika kembali ke negara ini tetapi dibebaskan selepas lapan hari dari tahanan atas alasan tiada bukti yang mencukupi.


Mahathir: K'jaan bermasalah jika belanja luar kemampuan

Posted: 18 Jan 2016 03:25 AM PST

Alyaa Alhadjri


 


Dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak membentangkan semakan semula Bajet 2016 di Parlimen minggu depan, Tun Dr Mahathir Mohamad memberi amaran bahawa kerajaan akan menghadapi masalah jika terus berbelanja di luar kemampuan.

"Jika kita kekurangan wang, hidup ikut kemampuan. Jika kita hidup di luar kemampuan, kita akan hadapi masalah," kata Dr Mahathir pada satu sidang akhbar di Pusat Kecemerlangan Proton di Subang Jaya hari ini.

Mahathir berkata demikian ketika diasak apa yang beliau lakukan jika dirinya masih menjadi perdana menteri hari ini, memandangkan keadaan ekonomi semasa yang mencabar.

Menjawab soalan apa yang beliau lakukan jika masih menjadi perdana menteri, Dr Mahathir berkata: "Saya telah jawab soalan ini. Jika saya perdana menteri sekarang, saya akan letak jawatan."

"Terdapat banyak perkara yang perlu dilakukan sekarang tetapi ia bergantung kepada banyak perkara," kata Dr Mahathir yang juga pengerusi Proton.

Terdahulu, beliau menyaksikan pelancaran pertama rangkaian terbaru enjin Proton melalui sidang video secara langsung dari pusat kemudahan ujian di England.

Tiga pelajar terkandas di Gunung Brik diselamatkan

Posted: 18 Jan 2016 03:22 AM PST

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 

BAU: Tindakan pantas pasukan mencari dan penyelamat telah berjaya menyelamatkan tiga pelajar politeknik yang terkandas di Gunung Brik dekat Kampung Tringgus di sini awal pagi tadi.
 
Jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Bau berkata, tiga pelajar terbabit terkandas di atas gunung tersebut sementara seramai 57 orang berjaya turun dan sampai di kaki gunung di Kampung Tringgus.
 
Katanya, operasi mencari dan menyelamat membabitkan lima anggota bomba, dua pendaki, lima anggota JPAM serta beberapa penduduk kampung berjaya menemui ketiga-tiga pelajar terbabit pada 12.30 tengah malam.
 
"Setibanya pasukan bomba di tempat kejadian seorang daripada mangsa lelaki berusia 19 tahun dikenali sebagai Athanasius Petrus berketurunan Iban dalam keadaan lemah dan ditemani dua rakannya," katanya.
 
Beliau berkata, operasi membawa keluar mangsa bermula pukul 12.50 pagi dan tiba di Kampung Tringgus pukul 4.30 pagi dan diserahkan kepada pihak hospital. 


Selangor kerjasama dengan PDRM tangani IS - Azmin

Posted: 18 Jan 2016 03:18 AM PST

Oleh Muhammad Asyraf Azlan

 
Post Pic
 
 
 
SHAH ALAM: Kerajaan negeri sentiasa mengadakan perbincangan dan rundingan bersama Polis DiRaja Malaysia (PDRM) mengenai ancaman Islamic State (IS) kata Menteri Besar Selangor, Mohamad Azmin Ali.
 
Menurut Azmin, Selangor sentiasa bersedia untuk berkerjasama dengan PDRM demi memastikan keamanan dan kemakmuran negeri ini.
 
"Kita sentiasa adakan rundingan dan perbincangan dengan PDRM yang lebih ditumpukan dalam konteks hendak tangani jenayah di negeri ini.
 
"Kita pastinya bersedia bekerjasama dengan PDRM supaya peranan kerajaan negeri dapat dimanfaatkan dalam konteks menjaga keamanan dan kemakmuran negeri Selangor," katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Jabatan-Jabatan Kerajaan Negeri Selangor.
 
Tambahnya, soal pendidikan juga perlu diberikan kepada masyarakat dalam menerapkan konsep kesederhanaan dan keadilan bagi jaminan kemakmuran di negeri Selangor.
 
Azmin juga menegaskan kefahaman tentang agama dan budaya amat penting kerana selangor memiliki rakyat yang pelbagai agama, budaya dan kaum.
 
"Tapi kita tidak boleh jadikan kepelbagaian ini sebagai alasan hendak mengambil satu tindakan yang ekstrem.
 
"Sebenarnya kerencaman ini adalah aset kerajaan negeri untuk saling hormati dan amalkan budaya sebagai rakyat negara Malaysia dan negeri Selangor.
 
"Ini boleh dilakukan melalui pendidikan samada di universiti atau dalam kuliah dan ajaran agama masing-masing supaya konsep kesederhanaan dan keadilan mesti dipertahankan untuk jamin kemakmuran negara dan negeri," ujarnya.
 
Terdahulu, Polis Selangor meningkatkan kawalan keselamatan di kawasan tumpuan orang ramai berikutan insiden pengeboman di Jakarta Khamis lalu.
 
Ketua Polis Selangor Datuk Abdul Samah Mat berkata antara lokasi terbabit adalah pusat beli-belah, pusat hiburan, lokasi pelancongan dan pintu keluar masuk negara seperti Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2, Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang serta pelabuhan-pelabuhan di negeri ini.
 
Beliau meminta orang ramai supaya tidak panik atau cemas kerana situasi keselamatan di Selangor adalah terjamin.
 
 

Ong Kim Swee dilantik ketua jurulatih Harimau Malaya

Posted: 18 Jan 2016 03:16 AM PST

ANTARAPOSCOM


Post Pic
 
 
 
PETALING JAYA: Persatuan Bola sepak Malaysia (FAM) melantik Datuk Ong Kim Swee sebagai ketua jurulatih skuad Harimau Malaya selama dua tahun berkuatkuasa dalam masa terdekat.
 
Pelantikan itu diumumkan oleh Timbalan Presiden FAM, Datuk Abdul Mokhtar Ahmad di Wisma FAM di sini pada petang Isnin.
 
Menurut Abdul Mokhtar, pemilihan tersebut dikendalikan 10 panel khas termasuk Institut Sukan Negara (ISN), Majlis Sukan Negara (MSN), pengamal media dan persatuan jurulatih bola sepak Malaysia (PJBM).
 
"Saingan amat sengit... setiap calon beri persembahan lebih kurang sama.
 
"Ada plus and minus (tambah dab tolak) tapi kita dah nilai ketiga- tiga calon dan sebulat suara melantik Datuk Ong Kim Swee sebagai jurulatih skuad kebangsaan bagi musim 2016-2017," katanya.
 
Abdul Mokhtar berkata pemilihan Kim Swee dinilai berdasarkan pengalaman dan prestasinya memimpin skuad Harimau Malaya selama ini.
 
"Kami mahukan seorang jurulatih yang berupaya membawa kemenangan kepada pasukan negara. Jadi dia memenuhi kriteria yang dikehendaki," katanya.
 
Namun, beliau berkata Kim Swee perlu melengkapkan beberapa kriteria yang ditetapkan FAM yang akan menjadi pengukur prestasinya dalam tempoh dua tahun ini.
 
Antara kriteria tersebut adalah membantu skuad bawah 23 tahun, meningkat ranking Malaysia pada kedudukan 140 yang kini berada di tempat ke-171 dunia, menjuarai Piala AFF Suzuki 2016 dan melepasi pusingan play off Piala Asia 2019.
 
"Itu antara kriteria yang perlu dipenuhi beliau untuk tempoh dua tahun ini," katanya.
 
Kim Swee yang merupakan bekas ketua jurulatih skuad Bawah 23 Tahun (B-23) negara sebelum ini memangku jawatan tersebut bagi menggantikan Dollah Salleh.
 
Dollah meletak jawatan sebagai jurulatih berikutan kekalahan memalukan 10-0 skuad negara kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada perlawanan ketiga Kumpulan A pusingan kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 di Abu Dhabi, UAE, 3 September lepas.
 
 

Tiada ulasan: