KUALA LUMPUR,  Disebabkan perkataan komunis, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan dan peguam, Michelle Yesudas berperang di laman Twitter.

Ia berikutan laporan sebuah portal berita yang melaporkan Abdul Rahman mengatakan bahawa kerajaan tidak ada kuasa untuk menghalang pemaju daripada membina perumahan mahal berbanding mampu milik kerana Malaysia bukanlah sebuah negara komunis.

Laporan portal berkenaan menyebabkan Michelle tidak berpuas hati kenyataan yang kononnya dikeluarkan oleh Ahli Parlimen Kota Belud berkenaan.

Abdul Rahman bagaimanapun menjelaskan bahawa perkataan komunis tersebut hanyalah jawapan beliau ke atas soalan daripada wartawan yang meminta kerajaan untuk mengharamkan pemaju membina rumah mewah.

"Saya katakan kerajaan tidak boleh berbuat demikian kerana Malaysia adalah sebuah negara demokrasi dan bukannya negara komunis.

"Kerajaan tidak boleh melaksanakan dasar seperti itu ke atas perniagaan yang sah daripada menjalankan perniagaan mereka.

"Saya katakan apa yang boleh kerajaan lakukan ialah memperingatkan pemaju supaya tidak melupakan tanggungjawab mereka untuk membina rumah mampu milik," katanya.

Tambah Pengarah Strategik Komunikasi Barisan Nasional itu lagi, kini pemaju sudah tertakluk untuk membina 20 sehingga 50 peratus rumah mampu milik sekiranya mereka membangunkan projek perumahan.

"Anda bayangkan sekiranya kerajaan melarang ahli perniagaan yang sah daripada menjalankan perniagaan mereka? Ia sukar untuk dibayangkan.

"Saya berharap Michelle Yesudas tidak terus membuat kesimpulan dan terkeliru kerana ia telah diputarbelitkan oleh portal berita berkenaan," katanya.