Khamis, 28 Januari 2016

.

.


Apakah Mahathir akan bersara penuh daripada politik?

Posted: 27 Jan 2016 05:32 AM PST

GELAP MALAM

Perkembangan mutakhir apa yang didengari dari negeri di Utara, pergolakan politik yang menerpa parti nasional Umno sudah semacam hendak berakhir. Walaupun awalnya ia nampak seakan rumit untuk diselesaikan, tetapi momentum kini bergerak ke arah penyelesaian.

Mukhriz Matahthir yang menjadi watak utama di sebalik pergolakan itu seakan sudah tidak ada upaya lagi untuk mempertahankan dirinya.

Malam semalam Mukhriz dilaporkan seakan sudah pasrah mengatakan dia akan menerima apa sahaja nasib yang akan terlukis ke atasnya.

Mulanya MB Kedah itu nekad untuk mempertahankan dirinya. Dengan mengakui beliau mendapat sokongan akar umbi dia akan berjuang ke titik akhir. Sokongan dari beberapa entiti luar juga termasuk bapanya sendiri memberi semangat untuk Mukhriz mengekalkan kedudukannya sebagai MB. Awalnya dia nampak yakin dengan dirinya.


Namun perkembangan hari ini, khasnya selepas lebih 73 jam rancangan untuk menyingkirnya meletus, ia merubahkan keadaan. Semangat yang membuak-buat untuk mempertahankan Mukhriz seakan sudah layu dan menirus. Kesungguhan apa disifatkan sebagai pemberontak untuk menyingkirkan Mukhriz tidak dapat dihalang.

Beberapa jam lalu merupakan saat penting untuk kedua pihak, Mukhriz dan lawannya, kerana ia merupakan periode perang saraf yang menentukan siapa pemenang. Dalam politik perang saraf penting untuk menentukan kemenangan. Dalam perang saraf itu kedua pihak telah melakukan berbagai-bagai tektik dan strategi termasuk provokasi, psywar, ugutan, kecaman dan sebagainya.

Sejak awal lagi dilihat apa yang berlaku itu adalah rencana dari Kuala Lumpur. Kerana ia direncana di Kuala Lumpur sudah tentu mereka yang terlibat juga nekad, bakah lebih nekad untuk merealisasikan hasrat mereka. Apabila Kuala Lumpur berlawan dengan Alor Star maka sudah tentu Kuala Lumpur berada di pihak yang lebih. Dalam hal ini Kuala Lumpur sama sekali tidak akan mengaku kalah kerana ia membabitkan maruah diri dan politik jagoan di sana.

Mungkin esok penentu nasib Mukhriz bila mana terdengar desas desus MB baharu akan mengangkat sumpah? Walaupun ia belum muktamad tetapi sudah ada petunjuk jelas yang kerjaya Mukhriz sebagai MB akan berakhir. Hari ini apabila mesyuarat Exconya tidak cukup korum, hanya tiga Exco sahaja yang hadir bermesyuarat bersama MB menjelaskan bahawa Mukhriz sudah pun hilang sokongan.

Malam ini saya tidak mahu mengulas mengenai nasib dan politik Mukhriz di masa depan? Kita akan ulans dan sorot selepas ini. Cuma apa yang hendak dikatakan, nasib orang politik itu tidak menentu dan sukar diramal. Sekali jatuh bukan bermakna akan kekal jatuh selama-lamanya. Jika diambil iktibar kepada apa yang berlaku kepada bapaknya, Dr Mahathir Mohamad pernah terbuang dan dipecat dari Umno, namun takdir itu tidak menamatkan kerjayanya. Malahan paling mengejutkan Mahathir akhirnya menjadi penguasa Umno dan perdana menteri.

Bila mengenang nasib Mukhriz ini menyebabkan kita terkenang nasib Dr Mahathir Mohamad. Ternyata nasib atau kemalangan yang menimpa anak bongsunya itu sangat mengecewakan Mahathir. Mukhriz adalah legasinya. Tidak dapat tidak Mahathir mahu mencatat kejayaan sama dengan Tun Razak Hussein dimana mengharapkan anaknya juga menjadi Perdana Menteri.

Apa yang terbuku di kepala saya kini bila mengenangkan Mahathir dan anaknya, apakah bekas PM 22 tahun itu akan bersara dalam politik sebaik sahaja anaknya digugurkan sebagai MB Kedah? Ini yang sama-sama hendak kita suluh dan lihat nanti. Apakah Mahathir mengaku kalah kali ini atau tetap terus menyambung perjuangannya yang belum selesai itu?

Jika dilihat kepada usia dan kian penghujungnya Mahathir dalam politik mungkin langkah bersara itu sepenuhnya dari politik akan diambil? Mengenang nasib Mahathir ini juga menjadikan kita teringat kepada doa Allahyarham Fadzil Mohd Noor yang berdoa supaya Mahathir panjang umur?

Insya-Allah kita akan sama-sama sorot dan membaca peta politik Matahir selepas ini. [wm.kl.9:19 pm 27/01/16]

Malaysia akan memasuki ke gerbang TPPA

Posted: 27 Jan 2016 04:45 AM PST

TERKINI

Selepas dibahas selama dua hari akhirnya usul Perjanjian Kerjasama Trans Pasifik (TPPA) diluluskan di parlimen lewat petang ini dengan cara undi mengikut blok. Usul itu diluluskan dengan majoriti 43 undi. 127 ahli parlimen kerajaan menyokong usul berkenaan manakala 84 ahli parlimen pembangkang menentangnya.

Perbahasan usul berkenaan berjalan dengan penuh bersemangat, panas dan sesekali berlaku pertengakaran antara wakil kerajaan dan pembangkang. Seramai 30 orang ahli parlimen mengambil bahagian. Masing-masing memberi pandangan pro dan kontra. Beberapa cadangan atau pindaan terhadap perjanjian itu juga dikemukakan oleh ahli parlimen.

Pihak pembangkang melahirkan rasa bimbang TPPA akan membawa keburukan kepada negara termasuk negara akan dijajah oleh kuasa baharu. Walaupun pembangkang cuba menyakinkan kebimbangan mereka, namun ia ditolak oleh wakil kerajaan.


Dengan lulusnya usul berkenaan, ternyata kini Malaysia akan menyertai 11 buah negara lain untuk menanda tangan TPPA pada bulan hadapan.

Kandati pun segala cadangan, kebimbangan dan sebagainya disuarakan namun ia tidak mengubah hasrat kerajaan BN untuk menyertai kerjasama itu, tetapi setiap apa yang diungkitkan di parlimen dua hari lalu akan menjadi bahan sejarah. Semua isi perbahasan di parlimen di sekitar usul berkenaan akan menjadi dokumen sejarah sangat berharga kepada negara ini.

Generasi masa depan akan melihat dan mengkaji setiap apa yang dibahaskan. Sekiranya TPPA ternyata memberi keburukkan kepada negara termasuk menyebabkan kehormatan negara hilang, atau maruah negara tercabar atau dijajah oleh Amerika Syarikat yang menjadi jagohan kerjasama itu, sejarah akan menilainya.

Mereka yang bertanggungjawab meluluskan usul berkenaan dan membawa negara ke dalam TPPA akan dihukum sepanjang sejarah.

Walaupun usul itu lulus walaupun ia dibangkang, adalah baik untuk kerajaan mengambil kira setiap pandangan positif yang disarankan oleh wakil pembangkang. Jangan kerana ia datang dari pembangkang maka saranan yang bernas demi kebaikan kerjasama itu diabaikan.

Dalam hal ini tidak dapat tidak, Mustapa Mohamed selalu menteri bertanggungjawab menangani TPPA secara langsung akan dikenang. Sekiranya TPPA ternyata membawa kebaikan kepada negara, namanya juga akan dicatat dalam lembaran sejarah sebagai menteri yang berpandangan jauh dalam membina ekonomi negara.

Seperti mana nama Tengku Razaleigh Hamzah dicatat sebagai tokoh ekonomi Melayu khasnya dalam industeri petroleium semasa menjadi Pengerusi Petronas, maka nama Mustapa juga akan berada disejajar dan seharum dengan nama Tengku Razaleigh.

Sebaliknya sekiranya TPPA itu membawa padah kepada negara, sudah pasti Mustapa bersama Najib Razak akan dikenang sebagai pemimpin yang telah membawa mala petaka kepada negara. Nama mereka berdua akan diingat sebagai pengkhinat kepada negara yang akan tertulis dengan dakwat hitam.

Usul TPPA sudah dijangkakan akan mendapat kelulusan Parlimen. Bilangan ahli parlimen kerajaan yang mengatasi wakil pembangkang menyebabkan tidak ada sebab usul yang dibawa oleh kerajaan itu gagal. [wm.kl.8:38 pm 27/01/16]

Tiada ulasan: