Ekoran insiden itu, Arab Saudi memanggil Duta Iran di Riyadh, untuk meminta penjelasan, dan kemarahan Riyadh tidak berakhir di situ sahaja, apabila Arab Saudi bertindak memutuskan hubungan diplomatik dengan Iran.

Menteri Luar Arab Saudi, Adel al-Jubeir mengumumkan perkara itu pada sidang media semalam dan mengarahkan diplomat Iran meninggalkan negara itu dalam tempoh 48 jam.

"Sejarah Iran penuh dengan campur tangan negatif dan permusuhan dalam isu Arab dan sering diiringi kemusnahan,'' katanya, dan menuduh Teheran cuba mengugat kestabilan di rantau itu.

Kementerian Luar Iran kemudian mengeluarkan kenyataan sebagai reaksi kepada pengumuman Arab Saudi itu dengan menuduh tindakan Riyadh itu sebagai cubaan meningkatkan ketegangan serantau.

Arab Saudi cuba menggunakan serangan ke atas kedutaan dan konsulatnya di Iran sebagai alasan untuk mencetuskan ketegangan, kata jurucakap kementerian itu, Hossein Jaberi Ansari yang disiarkan melalui televisyen tempatan.

Hubungan tegang antara kedua-dua negara bermula sejak terbentuknya Republik Islam Iran pada 1979 selepas kejayaan Revolusi Iran yang menumbangkan dinasti monarki Shah Reza Pahlavi, apabila Riyadh melihat republik itu menjadi ancaman kerana cuba mengeksport fahaman Syiah di rantau tersebut. Selain itu, Arab Saudi juga telah lama menahan kesabaran dengan gelagat jemaah haji Iran saban tahun yang sering menggunakan musim haji untuk mencetuskan keganasan dengan mengadakan tunjuk perasaan.

Hubungan antara Arab Saudi dan Iran, semakin tegang ketika pemerintahan Raja Fahd apabila pada Julai 1987 sebanyak 402 jemaah haji terkorban termasuk 275 jemaah haji Iran dalam pertempuran di tanah suci Mekah. Ekoran insiden itu, berlaku tunjuk perasaan di Teheran dengan penunjuk perasaan 'menawan' Kedutaan Arab Saudi dan membakar Kedutaan Kuwait.

Hubungan Arab Saudi dan Iran pulih pada 1997 apabila Putera Mahkota Abdullah melawat Iran untuk menghadiri Sidang Kemuncak Islam pada Disember 1997, dan beliau menjadi pemimpin tertinggi Arab Saudi pertama melawat Iran selepas Revolusi Iran 1979.

Hubungan baik itu berterusan sehingga 1999 apabila Raja Fahd mengucapkan tahniah kepada Presiden Iran, Mohammad Khatami atas kemenangannya pada pilihan raya Presiden pada 2001, sekali gus menamatkan hubungan tegang selama dua dekad antara kedua-dua negara diikuti dengan lawatan Khatami ke Arab Saudi pada 1999, lawatan pertama Presiden Iran ke Arab Saudi sejak Revolusi Iran dan hubungan baik itu berterusan sehingga April 2001.

Hubungan antara kedua-dua negara kembali tegang pada 2003 terutama selepas Iraq ditawan oleh Amerika Syarikat (AS) dalam serangan pada 2003 dan kemunculan kuasa Syiah di Iraq sehingga mencetuskan kebimbangan Arab Saudi terhadap kebangkitan fahaman Syiah di rantau itu yang dikaitkan dengan Iran.

Serangan Israel ke atas Lebanon yang mensasarkan pergerakan Hezbollah, yang menerima bantuan kewangan dari Iran, mengesahkan kebimbangan Arab Saudi bahawa Iran sedang mewujudkan rangkaian perikatan di rantau itu yang boleh mengancam kepentingan Arab Saudi dan AS. Program nuklear Iran mengeruhkan lagi hubungan Teheran-Riyadh apabila pengganti Khatami, Presiden Mahmoud Ahmadinejad tegas mahu membangun program nuklear dan cuba memperluaskan fahaman Syiah dan pengaruh Iran di rantau itu, sekali gus mencetuskan konflik antara Iran dan AS.

Arab Saudi memaklumkan kepada Duta Iran pada Januari 2007 bahawa program nuklear Iran meletakkan rantau itu dalam bahaya, merujuk kepada konflik Iran dengan AS berhubung campur tangan AS di Iraq serta program nuklear Iran.

Pada 2011, tercetusnya kebangkitan rakyat di dunia Arab. Arab Saudi melihat ia sebagai kebangkitan pengikut Syiah di beberapa negara Arab termasuk di Bahrain dan kebimbangan majoriti penduduk Syiah di Bahrian akan mengambil alih kuasa dan menjalin hubungan dengan Iran seperti yang berlaku ke atas Iraq selepas serangan AS ke atas negara itu pada 2003.

Arab Saudi kemudian menghantar tentera untuk membantu tentera Bahrain menumpaskan tunjuk perasaan yang dipelopori penduduk Syiah. Riyadh turut menuduh beberapa negara Arab mengadakan kerjasama dengan negara asing merujuk kepada Iran.

Selepas kejatuhan Saddam Hussein kerana Iraq didakwa mengeluarkan senjata pemusnah besar-besaran, wujud vacuum di rantau Asia Barat lebih-lebih lagi selepas kejatuhan beberapa orang lagi pemimpin Arab dalam kebangkitan rakyat atau Arab Springs bermula 2011.

Arab Saudi dan Iran dilihat cuba menggunakan pengaruh mereka untuk mengisi kekosongan itu bagi menjadi ketua di rantau tersebut selepas kejatuhan Sadam Hussein dan kejatuhan pemimpin-pemimpin Arab lain selepas tercetus Arab Springs termasuk pemimpin Libya, Muammar Gaddafi, Presiden Hosni Mubarak dan Mohamed Mursi di Mesir, serta perang saudara di Syria yang melemahkan pentadbiran Presiden Bashar al-Assad.

Arab Saudi tidak mahu melihat Iran mengisi kekosongan itu lebih-lebih lagi dengan kecenderungan Teheran membangunkan program nuklearnya yang mempunyai keupayaan untuk membina senjata nuklear. Riyadh juga bimbang pengaruh Syiah yang semakin meluas di negara-negara Arab lain seperti di Iraq, Lebanon, Bahrain dan Yemen sekali gus akan menjadikan pengaruh Iran semakin kuat di rantau itu. Arab Saudi melihat ancaman Syiah boleh menggugat keselamatan dan kedaulatan wilayahnya dan bertindak campur tangan dalam krisis politik di Yemen dengan menyokong Presiden Yemen, Abdrabuh Mansour Hadi yang melarikan diri ke Arab Saudi.

Arab Saudi membentuk pakatan tentera dengan beberapa negara Arab di Teluk dan melancarkan serangan udara ke atas pemberontak Syiah Houthi yang menguasai sebahagian besar wilayah Yemen termasuk ibu negara Yemen, selepas Presiden Yemen, Abdrabuh Mansour Hadi melarikan diri ke Arab Saudi.

Riyadh menuduh Teheran menyokong pemberontak Houthi yang bersekutu dengan bekas Presiden Yemen, Ali Abdullah Salleh dengan menyalurkan bantuan senjata. Ekoran campur tangan Arab Saudi di Yemen, wilayah Arab Saudi yang bersempadan dengan Yemen sering menjadi sasaran serangan pemberontak Syiah Houthi.

Dakwaan Riyadh, pemberontak Syiah Houthi menerima sokongan dan bantuan senjata dari Iran ada asasnya, apabila pemberontak Houthi menggunakan peluru berpandu balistik dalam beberapa serangan pemberontak Houthi ke atas wilayah Arab Saudi dekat sempadan Yemen, sedangkan pemberontak Houthi tidak mempunyai kemampuan untuk mengeluarkan senjata canggih seperti itu. Teheran sebaliknya mengecam tindakan Rihadh campur tangan di Yemen dan menuduh Arab Saudi cuba memperluaskan pengaruhnya di rantau itu.

Ketegangan hubungan antara Iran dan Arab Saudi tidak berakhir di situ sahaja apabila Arab Saudi menuduh Iran turut campur tangan dalam perang saudara di Syria dengan menyokong rejim Presiden Bashar al-Assad dengan membekalkan senjata kepada tentera Assad untuk memerangi kumpulan-kumpulan pemberontak di Syria.