Isnin, 11 Januari 2016

"BERANI KERANA BENAR!"

BERANI KERANA BENAR

"BERANI KERANA BENAR!"


Tabiat makan tingkat risiko

Posted: 10 Jan 2016 11:47 PM PST

Oleh Hidayatul Akmal Ahmad
Penyakit kardiovaskular (CVD) seperti strok dan jantung antara penyebab utama kematian di
Malaysia. Sehingga 2011, kategori 'pembunuh se­nyap' itu membunuh kira-kira 17 juta penduduk dan setiap tiga daripada 10 kematian adalah disebabkan CVD.

Kolesterol tinggi menjadi antara faktor utama penyakit jantung koronari, serangan jantung serta strok. Individu yang mempunyai kolesterol tinggi adalah dua kali lebih tinggi berisiko mendapat serangan jantung.

Berdasarkan statistik Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) satu dalam tiga rakyat Malaysia menderita akibat kolesterol tinggi.

Meskipun telah banyak kempen kesedaran dijalankan mengenai bahaya kolesterol tinggi, penduduk negara ini masih tidak meng­ambil langkah bagi mengurangkan serta mengekalkan kolesterol baik dalam badan mereka.

Lebih mengejutkan, usia mereka yang berisiko mendapat kolesterol tinggi adalah golongan muda. Institut Jantung Negara (IJN) merekodkan kes remaja berusia 19 tahun yang menderita akibat serangan jantung disebabkan tabiat makan yang kurang sihat.

Ketua Pegawai Klinikal IJN, Datuk Dr Rosli Mohd Ali berkata, kurang pengetahuan ditambah pula dengan gaya hidup tidak sihat adakalanya menyebabkan orang ramai kurang mengambil berat mengenai penyakit yang tidak dapat dilihat ini.

"Sebaiknya mereka yang mempunyai genetik atau sejarah keluarga penghidap CVD hendaklah melakukan pemeriksaan kesihatan awal bagi mengenal pasti tahap kesihatan.

"Apatah lagi kebanyakan pesakit CVD adalah golongan muda, namun mereka tidak sedar dan selalu beranggapan penyakit berkenaan hanya menyerang golongan berusia," katanya ketika ditemui pada majlis Perbincangan Meja Bulat antara Nestle Omega Plus dengan Institut Jantung Negara di pusat perubatan itu baru-baru ini.

Menurutnya, melakukan aktiviti fizikal seperti bersenam serta olahraga dapat mengurangkan risiko kolesterol tinggi serta menyihatkan jantung.

"Zaman serba moden ini, masyarakat sibuk dengan gajet. Begitu juga dengan anak yang hanya diberi gajet sebagai 'gula-gula' kepada mereka.

"Apabila sibuk dengan permainan seperti game, akhirnya mereka tiada masa melakukan aktiviti di luar yang boleh mengeluarkan peluh seterusnya meningkatkan risiko penyakit CVD," katanya.

Ketua Pakar Diet IJN, Mary Easaw pula berkata, slogan 'syurga makanan' di negara ini menyebabkan masyarakat mudah mendapatkan apa yang mereka mahu makan.

"Sebut saja apa yang tiada di Malaysia. Paling popular nasi lemak, teh tarik dan roti canai. Memang sedap apa yang kita makan, namun dalam masa sama ada 'penyakit' di sebaliknya jika dimakan tanpa kawalan.

"Bukan tidak boleh ambil langsung, namun perlu dikawal. Begitu juga dengan peranan ibu bapa penting bagi memastikan anak mendapat makanan sihat dan berkhasiat,"katanya.

Sementara itu, Farmakologi Queen's Universiti Belfast, United Kingdom (UK) Dr Zhao Youyou berkata, apabila terlalu banyak mengambil makanan tidak sihat, ia boleh meningkatkan tahap kolesterol tidak baik yang dikenali sebagai low density lipoprotein (LDL).

"Tahap LDL yang banyak akan menyebabkan kolesterol berkumpul pada dinding salur darah (arteri).
Lama kelamaan, lapisan kolesterol yang dipanggil plak kolesterol ini semakin menebal dan akhirnya menyebabkan ruang untuk pengaliran darah menjadi sempit.

"Jika keadaan berterusan, ia boleh menyebabkan salur darah tersumbat. Proses pemendapan plak kolesterol dinamakan aterosklerosis.

"Namun kolesterol boleh dikurangkan dengan pengambilan susu yang mengandungi acticol iaitu sterol tumbuhan yang ditemui dalam buah-buahan, sayur-sayuran, bijirin, kekacang dan bijian. Sterol tumbuhan boleh mengurangkan penyerapan kolesterol pemakanan di dalam usus kecil, dengan itu membantu mengurangkan paras kolesterol tidak baik dalam badan," katanya.

Turut hadir Pengurus Pemakanan Nestle, Cher Siew Wei serta Pakar Fisioterapi Kanan IJN, Erleena Boey.

Langkah mudah untuk jantung sihat 

Untuk kekal sihat tidak bermakna anda perlu mengubah gaya hidup. Beberapa langkah mudah boleh membantu dalam jangka masa panjang.

* Bersenam

* Kurangkan pengambilan makanan berlemak - Kurangkan mengambil makanan manis dan segera -

Baca label makanan terlebih dulu

* Tidak merokok

Simptom penyakit jantung

* Kesukaran bernafas terutama jika berbaring
* Sakit kepala
* Pening
* Pengsan
* Berasa tertekan
* Kerap terjaga ketika tidur
* Sakit dada
* Rasa pijar (sensations) di bahagian dada
* Bengkak di bahagian buku lali

Apa itu kolesterol

* Kolesterol adalah bahan melekit seakan-akan lemak dalam sel darah dan setiap sel dalam badan. Badan kita memerlukan kolesterol untuk membentuk hormon, vitamin D dan enzim bagi sesetengah makanan seperti daging, organ dalaman dan telur kuning.

* Kolesterol bergerak melalui peredaran darah dalam bentuk lipoprotein (lip-o-PRO-teen).

Lipoprotein ini diperbuat daripada lemak (lipid) di dalam dan protein di luar.

* Dua jenis lipoprotein membawa kolesterol dalam peredaran darah kita. Low density lipoprotein (LDL) dan high density lipoprotein (HDL). Kedua-dua penting untuk mengekalkan tahap kesihatan yang baik.

* Kolesterol LDL dipanggil kolesterol jahat. Tahap LDL yang tinggi boleh membentuk kolesterol dalam saluran darah.

* Kolesterol HDL dipanggil kolesterol baik. Ini kerana ia membawa kolesterol dari bahagian badan lain kembali ke hati untuk metabolisme. Hati anda membuang kolesterol daripada badan.

Antara cara mendapatkan paras kolesterol sihat

* Kurangkan pengambilan daging merah, lemak haiwan dan produk tenusu.
* Kurangkan pengambilan makanan yang tinggi kolesterol seperti hati dan sesetengah makanan laut.
* Kurangkan pengambilan makanan yang tinggi gula dan karbohidrat ring­kas.
* Tingkatkan pengambilan buah-buahan dan sayuran segar.
* Pengambilan lecithin bantu mengelakkan pemendapan dan memudahkan penyingkiran lemak badan.
* Senaman berterusan bantu meningkatkan kolesterol baik dan bantu mengurangkan kolesterol secara menyeluruh.
* Elak pengambilan alkohol secara berlebihan kerana ia menurunkan paras kolesterol baik, sekali gus menambah risiko penyakit jantung.

Indikator bacaan kolesterol: 

* Kurang 5.2 mmol = ideal
* Antara 5.2 hingga 6.2 mmol = berwaspada
* Lebih 6.2 mmol = tinggi

Semua Versi Windows 10 Dalam Satu Fail ISO

Posted: 10 Jan 2016 11:27 PM PST

Oleh Zul Mohd

Bila saya tulis artikel "Windows 7, 8.1 dan 10 dalam satu fail ISO" ada yang bertanya pula "tak ada ke yang Windows 10 sahaja??" Rupanya ada yang macam saya, baik guna Windows 10.

Adguard juga ada membuat ISO untuk Windows 10 untuk semua versi.

Windows 10 ini merupakan windows 10 AIO yang mana versi 32 bit dan 64 bit telah dibundle sekali menjadi satu dengan paket 12 in 1 yang bererti windows 10 AIO ini terdiri dari

1. Windows 10 Home,
2. Windows 10 Pro,
3. Windows 10 Enterprise

Terdapat pilihan nak install asal (kena aktive) dan yang telah aktive (KMS).

* Sources:
* 10586.0.151029-1700.TH2_CLIENTPRO-CORE_X86_FRE_EN-US
* 10586.0.151029-1700.TH2_CLIENTPRO-CORE_X64_FRE_EN-US
* en_windows_10_enterprise_version_1511_x86_dvd_7224912
* en_windows_10_enterprise_version_1511_x64_dvd_7224901

* Language: en-US [ ENGLISH ]
[ CONTENTS ]
* Integrated / Pre-installed
* KB3103688
* KB3116278
* KB3116908

* Setupcomplete / Post-install:
* .NET Framework 3.5
* Defender Updates

[ FEATURES ]
* DUAL boot & install.wim (ESD)
* UEFI supported for both 32 & 64bit
* install.wim(s) compressed to recovery format (install.esd)
* (Use attached Rufus USB-tool to make UEFI-bootable).
* Diagnostics and Recovery Toolset 10.0 (Microsoft DaRT)

[ EDITIONS INCLUDED ]
* 32bit & 64bit:
* Windows 10 Home – – – – – STD
* Windows 10 Home – – – – – KMS
* Windows 10 Pro – – – – – – -STD
* Windows 10 Pro – – – – – – -KMS
* Windows 10 Enterprise – – STD
* Windows 10 Enterprise- – -KMS

* STD = Standard installation
* KMS = Activated by KMSpico
*(Potential False Positive Virus Alarm)

* Activator: KMSpico v10.1.8.2 FINAL
* Exclusions are made in Defender.


Semasa boot akan ditanya 32/64 bits seperti menu di bawah:-



Installernya seperti di bawah:-

Size : 5.8 Gb | @Part 1 Gb | Add recovery 5%
 Part 1 | Part 2 | Part 3 | Part 4 | Part 5 | Part 6| Via Du
 Part 1 | Part 2 | Part 3 | Part 4 | Part 5 | Part 6| Via Uptbx
 Part 1 | Part 2 | Part 3 | Part 4 | Part 5 | Part 6| Via KmpulBgi
 Part 1 | Part 2 | Part 3 | Part 4 | Part 5 | Part 6| Via Gd


Selamat mencuba

http://zulbmohd.blogspot.my

Susur galur parti-parti di Malaysia

Posted: 10 Jan 2016 10:37 PM PST

Oleh Zin Mahmud 

Asalnya kita semua pakat-pakat dan tubuhkan UMNO. Tapi kerana masalah bendera, ada antara kita
iaitu dari PKMM dan beberapa sekutunya keluar. British tangkap pemimpin-pemimpin PKMM dan parti itu terbubar. Kemudian apabila pengasas UMNO mahu jadikan ia parti Malaya dan bukannya parti Melayu, beliau ditolak, beliau pun keluar tubuhkan Parti Kemerdekaan Malaya. Pada waktu sama biro agama UMNO keluar untuk tubuhkan PAS.

Selepas bekas pemimpin PKMM dibebaskan, ada antara mereka tubuhkan Parti Rakyat Malaya. Sementara bekas ketuanya dijemput untuk ketuai PAS. Ini kerana ada pemimpin PAS ikut sertai Parti Kemerdekaan Malaya menjelang pilihan raya.

Rakyat tolak Parti Kemerdekaan Malaya dan memilih UMNO. Parti Kemerdekaan Malaya dibubarkan dan digantikan dengan Parti Negara. Parti Negara pun gagal mendapat sambutan dan pemuka-pemukanya kembali pada UMNO.

Apabila seorang menteri enggan menggunakan baja dari Britain, beliau dipecat dan keluar tubuhkan Parti Konvensyen Malaya. Parti ini bersama dengan Parti Rakyat Malaya dan Parti Buruh Malaya tubuhkan Front Sosialis.

Selepas 13 Mei, UMNO dan PAS bersatu dalam Barisan Nasional. Parti Rakyat Malaya pula berpecah, satu jadi Parti Sosialis Rakyat Malaya, satu lagi tubuhkan Parti Marhaen.

Tidak lama kemudian, PAS dipecat dan berpecah dengan tertubuhnya Berjasa yang menyertai Barisan Nasional. PAS kalah di Kelantan dan ketuanya kemudian keluar parti dan tubuhkan Hamim, yang ikut masuk Barisan Nasional. Kemudian ketuanya disingkirkan dan akhirnya dia sertai UMNO.

Ketua Parti Sosialis Rakyat Malaya kemudian keluar parti dan sertai UMNO. Ketua Parti Marhaen kemudian menyertai Parti Keadilan Masyarakat sebelum kembali pada Parti Rakyat Malaya. Pemimpin Parti Marhaen pula sertai PAS sebelum ia dibubarkan. Ketua Parti Konvensyen Malaya juga menyertai PAS.

Parti Sosialis Rakyat Malaya kembali jadi Parti Rakyat Malaysia dengan seorang pemimpinnya menubuhkan Parti Sosialis Malaysia.

Kemudian UMNO diisytiharkan tidak sah. Daripadanya tertubuh UMNO Baru dan Parti Semangat 46. Parti Semangat 46 kemudian jadi Parti Melayu Semangat 46 sebelum dibubarkan untuk menyertai UMNO Baru, yang kemudiannya kembali menjadi UMNO.

Tidak lama kemudian, pemimpin kedua UMNO dipecat dan beliau menubuhkan Parti Keadilan Nasional. Ia kemudian bersatu dengan Parti Rakyat Malaysia untuk jadi Parti Keadilan Rakyat. Tahun lalu, ada ahli-ahli PAS pakat pakat tubuhkan Parti Amanah Negara.

Ip Man 3: Pembantaian fizikal, kasih sayang

Posted: 10 Jan 2016 10:35 PM PST

Oleh Najmuddin Yusoff 

"Tiada yang lebih penting daripada kasih sayang orang di sekeliling kita."

Ip Man 3 diakhirnya dengan kata-kata di atas yang dilafazkan oleh protagonis filem tersebut, Ip Man. Ia seolah-olah mahu menyimpulkan bahawa filem berkenaan bukan sekadar tentang aksi pertarungan semata-mata, sebaliknya Ip Man adalah mengenai kasih sayang.

Malah melalui Ip Man 3, kasih sayang itu hadir sebagai salah satu bentuk pertarungan. Dan setiap orang ada perlawanan masing-masing.

Sebab itulah, ketika semua orang menjangkakan Ip Man akan berada di gelanggang untuk menghadapi pencabarnya - seorang ahli kung fu dari sekolah yang sama dengannya, Wing Chun - dia memilih untuk melayan isterinya di pentas tarian.

Bukan kerana Ip Man melarikan diri daripada perlawanan, tetapi dia memilih 'perlawanan' lain yang dirasakan lebih bermakna untuknya pada ketika itu.

Sekurang-kurangnya ada tiga pertarungan utama dihadapi Ip Man dalam edisi ketiga trilogi Ip Man lakonan utama Donnie Yen ini.

Pertama, pertarungan untuk memberikan kasih sayang kepada si isteri pada saat sangat kritikal untuk wanita itu yang menanti kematian; kedua, pertarungan membela rakyat dan orang miskin daripada dibuli samseng serta orang kaya; dan ketiga pertarungan mempertahankan maruah Ip Man dan sekolah kung funya.

Watak jahat dalam filem ini adalah orang asing - Frank - yang dilakonkan Mike Tyson.

Atas nama keuntungan dan pembangunan, Frank bercadang membeli (secara rela atau paksa) tanah yang terletaknya sekolah tempat anak Ip Man, Ip Ching, dan kawan-kawannya belajar.

Jika pertarungan pertama adalah mengenai kasih sayang untuk isteri, pertarungan kedua adalah kebangkitan golongan tertindas melawan yang penindas.

Melalui pertarungan ketiga, kita boleh saja mentafsirnya sebagai kemahuan yang didorong oleh agama atau pegangan politik.

Dan antara ketiga-tiga pertarungan itu, kita boleh melihat Ip Man pada awalnya memilih untuk melawan penindasan, kemudian ketika tibanya masa untuk memilih antara keluarga dan kung fu, dia memilih keluarga.

Ada yang boleh kita pelajari mengenai keutamaan dalam hidup seseorang di sini.

Serangan siku, lutut

Dari segi jalan cerita dan sudut emosi yang dibawakan, saya sangat berpuas hati dengan Ip Man 3 ini. Aksi pertarungannya hasil kerja koreografi yang baik juga sangat menarik .

Sekurang-kurangnya ada tiga aksi perlawanan yang boleh saja dikatakan epik. Pertama - dan yang paling digemari - ketika Ip Man melawan petinju Thai dengan aksi tomoinya.

Dalam lif yang ada tiga orang (Ip Man, isterinya serta musuh) berlangsung pertarungan menggunakan seni seni bela diri tahap tertinggi.

Dalam ruang yang sempit, Ip Man terpaksa menangkis serangan siku dan lutut bertubi-tubi si penyerang, pada masa yang sama mengelakkan isterinya tercedera.

Pertarungan epik kedua adalah ketika Ip Man berdepan dengan Frank.

"Aksi itu buruk," kata seorang teman.

Tetapi tidak bagi saya. Ia nampak buruk kerana tinju sememangnya seni perseteruan yang buruk.

Pertembungan itu 'buruk' tapi mendebarkan. Ia 'buruk' yang perlu dan memuaskan.

Aksi pertarungan epik ketiga pula adalah kemuncak filem ini. Ia membabitkan dua pelatih kung fu dari sekolah yang sama - Ip Man melawan Cheung Tin-chi.

Pertembungan itu berlaku apabila salah seorang daripada mereka lawannya telah menyimpang dari ajaran sebenar. Macam biasa kedengaran dalam dunia politik, bukan?
Emosi terasa dekat

Di sebalik aksi-aksi kung fu dan seni bela diri yang hebat itu, sebenarnya ada satu adegan lain yang melekat dalam ingatan saya. Ia adegan tanpa pertembungan kekerasan fizikal namun penuh bererti.
Tanpa diiringi muzik sebagai latar - malah seluruh panggung turut sunyi sepi - yang kedengaran hanya tutur kata isteri Ip Man, Wing Sing.

Tanpa perlu memahami bahasa Kantonis, penonton dapat merasakan emosi wanita itu secara dekat.

Wing Sing juga punya pertarungannya yang tersendiri. Pertembungan antara keinginan perhatian suami dan hakikat Ip Man juga menjadi milik masyarakat.

Satu lagi pertarungan Wing Sing tidak boleh dikongsi sesiapa kerana 'musuh' ada di dalam badannya sendiri.

Menyedari bahawa Wing Sing dan suaminya tak akan menang menghadapi pertarungannya yang satu itu, dia melepaskan Ip Man kerana lelaki itu ada pertarungan lain yang perlu dimenangi.

Sungguh, adegan ini sangat indah. Ia adalah gambaran cinta sesama manusia pada tahap paling tinggi.

Dalam hidup begitulah, pertarungan demi pertarungan akan datang pada seseorang.

Ada yang terelakkan, tapi banyak yang perlu dihadapi. Apa yang penting, kitalah menentukan sendiri untuk beraksi dalam pertarungan mana. Jangan biarkan orang lain memilih pertarungan kita.


NAJMUDDIN YUSOFF eksekutif komunikasi yang kadang-kadang memilih penulisan sebagai 'pentas pertarungan' menyampaikan apa yang terkandung dalam fikirannya.

Basikal

Posted: 10 Jan 2016 08:26 PM PST

Oleh ZALILA ISA

'Nya­ris-­­nya­ris,' hati­nya menjerit. Tangannya yang menggigil mengurut-urut dada. Matanya menyorot
kereta yang semakin jauh di hadapan. Dengan debaran cemas yang masih memuncak, dia 
mengetapkan gigi. Dia membebel dalam hati, 'tunggulah aku ada kereta nanti.' Sampai di rumah, tidak semena-mena, mulutnya mengeluarkan keluhan kepada isterinya, "Nyaris-nyaris saya dilanggar kereta tadi."

Si isteri yang sudah bertelekung memandang wajahnya dengan cemas. "Jadi?" tanya si isteri dengan rasa tidak sabar.

"Nyaris...." diulangnya perkataan itu dengan lebih jelas.

"Iya, iya ... nyaris. Jadi?" Si isteri menyoal lagi.

"Jadi apa? Nyaris itu bermakna hampir-hampir kena langgar. Maknanya tidaklah dilanggar. Nyaris! Mentang-mentang kita ini cuma berbasikal. Main laju dia bawa kereta. Tak fikir orang lain. Nantilah jika saya ada kereta," dia membebel. Panas hati kepada pemandu kereta tadi belum habis, ditambah lagi dengan si isteri yang asyik menyoal.

"Entah-entah lagi teruk daripada orang itu. Ramai yang lupa diri bila sudah kaya. Sudahlah bang, siaplah segera. Saya ke surau dahulu." Itulah reaksi isterinya sambil berlalu.

Dia melangkah longlai. Pintu di tutup. Dia tidak berhasrat untuk segera mandi dan bersiap ke surau. Biarlah hari ini dia solat di rumah sahaja. Lagipun, hatinya masih belum reda dengan cemas dan gigil tadi. Sambil melepaskan nafas perlahan-lahan, dia menuju ke arah tingkap rumahnya. Hasrat mahu menutup tingkap kayu itu tergendala tatkala terpandang basikal yang tersandar di dinding rumahnya.

Basikal yang tidak terlalu buruk itulah kenderaannya ke sana sini mencari rezeki.

Setiap hari, selain memikirkan hal anak, dia suami isteri juga sering didatangi soal-soal tentang ekonomi keluarga yang tidak ada bezanya sejak dahulu. Turun naik. Tapi kebanyakan waktu turun sahaja. Jika naik pun, tentunya atas ihsan majikannya memberi sedikit bonus tahunan.

Fikirannya meleret pula kepada isterinya yang dikasihi. Dikahwini tujuh tahun lalu ketika isterinya berusia 25 tahun manakala dirinya sendiri sudah berusia agak lewat untuk bergelar suami. Ekonomi, bisiknya. Ya, ekonomi yang tak ketentuan menyebabkan dia, dan mungkin isterinya tidak memikirkan soal masa depan berkeluarga tetapi hanya sibuk mencari wang. Isterinya meminta izin membuka gerai kecil menjual nasi lemak, pisang goreng dan kuih muih. Dia izinkan sahaja. Namun, dia, malah isterinya tidak juga kaya-kaya sehingga kini. Adakah kerana salah keluarga mereka, salah nenek moyang poyang mereka yang mewariskan kemiskinan kepada mereka sehingga kini?

Dan dia, tidak mahu pula dipersalahkan oleh anak cucu cicitnya kelak akibat kegagalannya mewariskan kesenangan kepada mereka. Tetapi, adakah kemiskinan dan kekayaan seseorang itu berpunca daripada nenek moyang poyang? Kemiskinan itu diwarisi daripada keturunan?

Hatinya rusuh mengenangkan hal-hal berkaitan nasib diri. Jika isterinya ada, pasti dia dimarahi kerana asyik bersungut tentang nasib diri. Dia melihat bumbung surau daripada kejauhan. Sekurang-kurangnya dia bangga dan lega kerana isterinya seorang isteri yang taat. Bukan sahaja taat kepada dirinya sebagai suami, tetapi juga kepada Tuhannya. Isterinya yang berwajah tenang tetapi cekap bekerja itu juga, sering kali menjadi pengingat kepadanya, tentang tanggungjawab sebagai ketua keluarga dan tanggungjawab kepada Tuhannya. Segera dia menoleh ke dinding. Jam menunjukkan pukul 7.50 malam. Ah, terlalu jauh dia mengelamun. Maghrib sudah hampir ke garisan penamat.

Segera dia menutup tingkap, mencapai tuala dan melangkah menuju ke bilik air.

 Keesokan paginya, dia keluar bekerja seperti biasa. Mengayuh basikal mengikut arus kenderaan lain.

Ketika mengayuh, sesekali fikirannya menerawang kepada hal nasib diri lagi. Entah kenapa, kadangkala dirasakan ujiannya begitu getir walaupun dia tahu ramai lagi selain daripada dirinya yang mengalami ujian lebih berat, lebih getir. Sekali kayuh, sekali roda berputar. Adakah selamanya dia perlu bergerak seperti mengayuh? Letih. Dia benar-benar letih.

Dia juga teringin bermotosikal. Sekali pulas pemegang, terus motor bergerak. Tekan gear, bergerak lagi laju. Atau, bukan sekali dua dia berangan memiliki kereta. Sudahlah terlindung daripada panas dan hujan, malah, senang pula bergerak ke sana sini. Bukan sahaja senang bergerak, malah senang pula membawa isterinya meronda-ronda bandar. Dengan basikal ini, amat jarang sekali dia membawa isterinya ke mana-mana hatta ke pasar sekalipun. Bukan dia tidak mahu, tetapi isterinya yang enggan berbasikal dengannya. Punggungnya sakit apabila duduk di pelantar belakang. Juga, pergerakan basikal yang bergoyang terutama ketika berada di jalan yang sibuk, amat menggerunkan isterinya.

Dengan itu, hasrat untuk membawa isterinya meronda-ronda bandar pun terkubur. Sehabisnya mereka akan menggunakan pengangkutan awam sahaja.

Dia memujuk hati untuk akur dengan keupayaan dirinya sehingga hari ini. Basikal inilah yang membawanya ke sana ke mari. Namun, hatinya tetap merasakan dia layak mendapat lebih daripada itu. Usahanya, kerjanya dan taat setianya kepada Tuhan dan keluarga, melayakkan dia mendapat apa yang diinginkan. Sekurang-kurangnya sebuah motosikal atau selebih-lebihnya sebuah kereta yang sederhana.

Matahari mula menunjukkan wajah ketika dia sampai di tempat kerjanya. Dua tiga orang rakannya sudah mula bersiap sedia dengan peralatan memotong rumput, penyapu, dan sebagainya. Dia menongkat basikal di kawasan letak basikal. Kawan-kawannya yang berlainan bangsa mengangkat tangan tanda sapaan. Dia turut mengangkat tangannya tanpa sebarang perkataan keluar dari mulutnya. Tidak perlu banyak bercakap. Jika tidak, kerja tak jalan. Kerja tak jalan bermakna akan ada penangguhan dan ia akan lebih memberatkan tugas-tugas di kemudian hari.

Namun, belum sempat dia bergerak untuk mengambil peralatan kerjanya, namanya dipanggil dari belakang. Dia menoleh. Ketua bahagiannya melambai. Dia melangkah laju ke arah lelaki yang lebih muda daripadanya itu. "Kenapa bos?" tanya dia penuh mesra. Tapi pertanyaannya dibalas dengan muka kelat. Tanpa jawapan, lelaki yang dipanggil 'bos' itu terus berjalan meninggalkannya menuju ke arah bilik pejabat. Dia melangkah laju dan pantas mengikuti lelaki itu. Walaupun tidak rasa bersalah, dan dia yakin tidak membuat apa-apa kesalahan, dadanya tetap berdebar. Soalan-soalan mula menerpa dalam benaknya sambil dia menoleh ke arah rakan-rakannya di belakang. Mereka angkat bahu dan membuat riak wajah 'kenapa?' kepadanya. Dia pun angkat bahu dan terus melangkah laju.

"Duduk!" arah lelaki muda di hadapannya. Dia duduk kemas-kemas. Memandang wajah lelaki di hadapannya dengan mesra.

"Semalam kau pergi bahagian mana?" tanya bos tanpa berbasa-basi.

"Tepi padang kompleks sukan, bos." Jawabnya jitu. Walaupun dia berasa pelik dengan soalan itu. Bukankah bos lebih tahu jadual pembersihan pekerjanya kerana jadual itu disusun oleh bosnya sendiri.

Jemari sang ketua mengetuk-ngetuk permukaan meja yang kosong. Dia diam. Tidak berani bertanya apa-apa. Debaran dadanya tidak reda. 'Entah apa yang berlaku agaknya.' Bisik hatinya sambil memikirkan perkara-perkara yang memungkinkan keresahan pagi ini berlaku. Adakah dia memotong rumput di tempat yang salah? Adakah dia menyapu tidak bersih? Adakah dia ... adakah dia...
bermacam-macam-macam tanya wujud dalam kepalanya ketika ini.

"Semalam ada orang mengadu cermin keretanya retak. Katanya dia parkir di tepi padang kompleks sukan. Katanya lagi dia nampak awak yang memotong rumput di sana." Kata ketua bahagiannya.
Derau darahnya naik ke muka. Kali ini dia benar-benar tak menduga inilah halnya yang akan dia hadap pagi-pagi begini. Dia cuba bertenang. Mengingat semula kerja-kerja pemotongan rumput di tepi padang semalam. Belum sempat dia mengingat keseluruhan cerita semalam, ketua bahagiannya bertanya lagi dengan suara lebih dalam, "Betul ke? Jangan main-main. Kita kena beri ganti rugi kepada pemilik kereta. Bukan sikit tau. Dua tiga kali ganda harga basikal awak."

Mukanya berubah. Bukan kerana ketua bahagian yang berawak-awak dengan dirinya walaupun dia lebih tua daripada lelaki di hadapannya ini. Mukanya berubah seolah-olah basikalnya itu dijadikan perlambangan barang yang murah. Tidakkah ketuanya sedar dengan gaji sebagai pemotong rumput dan kerja-kerja pembersihan jalan itu, hanya basikal sahaja yang mampu dia beli? Basikal itu pun mahal baginya. Tapi itulah pilihan terakhirnya. Hatinya terbetik sedih dan geram sekali gus. Apatah lagi mengingat kerja-kerja pemotongan semalam, dia pasti tiada kenderaan yang diletakkan di tepi padang. Kalau ada pun, dia pasti lebih berhati-hati. Selama dia memotong rumput, tidak pernah dia tak berhati-hati dengan persekitaran, dengan jenis tanah yang menumbuhkan rumput-rumput liar, dan tidak pernah juga dia tidak berhati-hati dengan jenis rumput itu sendiri.

"Tuan kereta datang sekejap lagi. Saya mahu awak ada untuk memberi penjelasan. Tunggu di bilik pekerja dahulu. Nanti saya panggil." Begitu keputusan ketuanya, tanpa sempat dia menjawab apa-apa pun. Akhirnya dia berdiri dan keluar dari bilik itu sebelum dipanggil lagi.

Langkahnya longlai. Pintu bilik pekerja dibuka. Tiada sesiapa di dalamnya. Jam menunjukkan pukul 9.15 pagi. Memang waktu-waktu begini kawan-kawannya sudah bertebaran melaksanakan tugas yang ditetapkan oleh jadual. Mengusap-usap perut dengan hati yang tak tenang tidak banyak membantu dia untuk membela diri sebentar lagi. Entah dari bahagian mana dia mahu mulakan pembelaan nanti kerana walaupun dia pasti dia tidak cuai, tetaplah sesuatu perkara itu di luar batasan manusia. Itu tazkirah yang dia dengar di surau tempoh hari. Seorang manusia, tiada yang sempurna. Pasti melakukan kesilapan tanpa disedari. Itu menunjukkan hanya Allah yang sempurna dan kesilapan yang manusia lakukan tidak lebih tidak kurang sekadar mahu mengingatkan kepada kalangan manusia, sentiasa waspada dan berhati-hati dengan tindak-tanduk. Apabila berlaku juga sesuatu yang tidak baik, jadikan pengajaran.

'Tapi aku yakin aku tak bersalah. Jika ada batu yang terpelanting lalu terkena cermin kereta itu, pasti aku menyedarinya.' Hatinya berkata-kata lagi. Dia mencongak-congak pula duit di dalam simpanannya jika benar-benar dia disabitkan bersalah dan perlu membayar ganti rugi. 'Berapa kena bayar agaknya? Seratus? Dua ratus? Tiga ratus? Seribu?' Ah, memang besar jumlahnya berbanding harga basikal miliknya.

Sambil menunggu-nunggu dipanggil itu juga, dia memikirkan alasan-alasan untuk mengelak daripada membayar. 'Tak perasan? Dangkal! Batu yang salah? Haha....' hampir-hampir ketawa dalam hati itu terkeluar dari mulutnya.

Dia bangun. Kemudian duduk semula. Meninjau dari celahan tingkap. Melihat-lihat kelibat ketuanya. Tapi tiada sesiapa di luar. Dia hanya melihat basikalnya sahaja. Tiba-tiba juga dia rasa sedih apabila mengenangkan isterinya. Entah kenapa, isterinya begitu dekat di hatinya kini. Dia ingin berlari pulang, mengadu dengan isterinya. Namun, itu mustahil. Bila-bila masa sahaja sang ketua akan memanggilnya untuk menghadap 'mahkamah keadilan'.

"Sudah kenapa aku ini? Berserah sahajalah. Aku tidak bersalah. Jika aku yang bersalah pun aku tidak sengaja. Aku akan meminta maaf. Aku akan menggantikan kerugian pemilik kereta. Aku tak perlu rusuh dan takut begini. Aku perlu berani kerana aku tidak melakukan kesalahan. Aku hanya perlu minta maaf. Bukankah dengan meminta maaf segala kemarahan akan reda? Bukankah dengan meminta maaf, singa boleh bertukar menjadi kucing?" Dia memujuk hati. Tapi hatinya tidak terpujuk malah bertambah runsing. Beberapa ketika pintu dibuka. Wajah ketuanya terpampang di hadapan mata.

"Jom." Itu sahaja ayat yang terkeluar dari rengkung ketuanya. Dia menyarung kasut dan berjalan dengan pantas. Di hujung bangunan terlihat seorang lelaki di sisi sebuah kereta. Dia merenung kereta itu. Semakin dekat, semakin terlihat retak pada bahagian belakang cermin kereta. Dia rusuh.

Sebuah kereta yang mahal pada pengamatannya. Kereta yang berwarna hitam berkilat itu tidak pernah dilihat sebelum ini, malah jika semalam kejadian itu benar-benar berlaku, sumpah, dia tak melihat kereta itu di sisi jalan semasa dia melakukan kerja-kerja pemotongan rumput. Lainlah jika kereta itu bergerak melalui jalan itu. Ah, dia tak mahu berperang dengan segala yang bercakap-cakap dalam kepalanya. Semak.

"Ini dia, Samad. Pekerja yang bertugas memotong rumput di tepi padang kompleks semalam." Demikian pengenalan ketuanya. Lelaki pemilik kereta berpaling, memandang sang ketua dan sekali gus matanya memandang ke arah dia.

Dia serba salah, mahu menghulur jabat tangan, tapi dirasakan tidak wajar. Dia hanya memaniskan wajah dan mengangguk kecil seperti mengiyakan sahaja pengenalan ketuanya. Dalam hatinya tak henti berdoa agar dia tidak diapa-apakan, apatah lagi diminta ganti rugi dalam bentuk kewangan.
"Ini cermin yang retak seribu tu." Tiba-tiba si ketua bersuara padahal tentunya dia tahu pekerjanya tidak buta.

"Saya berani bersumpah, saya tidak nampak kereta ini di situ. Sudah hampir 10 tahun saya kerja potong rumput, saya tak pernah pecahkan cermin kereta orang." Dia menjawab jujur.

Tapi nampaknya, pemilik kereta enggan terima dan akhirnya syarikatnya terpaksa juga membayar ganti rugi kerana tidak mahu membesarkan masalah. Ini bermakna gajinya yang seciput itu juga akan ditolak bulan-bulan untuk melangsaikan kerugian yang syarikat alami.

Entah kenapa, dia tidak berasa rugi dan tidak sedih. Dia telah menjalankan tugasnya dengan baik dan dia bercakap benar. Dia tahu Tuhan melihat dan tahu kebenaran itu. Dia berfikir lama tentang hal tersebut. Entah kenapa hasratnya untuk berkereta terbantut hari itu.

Bantu usahawan muda Jawatankuasa Khas Kabinet ditubuh

Posted: 10 Jan 2016 08:21 PM PST

Kerajaan akan menu­­­bu­h­­­­kan Jawatankuasa Khas Kabinet bagi membantu, menangani masalah dan
melahirkan lebih ramai usahawan agar sasaran mewujudkan sekurang-kurangnya 10,000 usahawan muda menjelang 2020 tercapai.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, jawatankuasa itu yang akan meletakkan aspek keberhasilan terhadap setiap program dalam membantu usahawan sebagai keutamaannya, akan dipengerusikan beliau sendiri.


Katanya, kewujudan jawatankuasa tersebut perlu kerana walaupun kerajaan telah menyediakan pelbagai tabung, program serta dana bagi membantu usahawan tetapi hakikatnya, nilai keberhasilannya masih belum mencapai tahap disasarkan.

"Jawatankuasa ini akan melakukan koordinasi yang dipengerusikan saya sendiri de­ngan melibatkan menteri serta ketua setiausaha yang melihat keberhasilan dan bukannya jumlah program semata-mata," katanya ketika berucap merasmikan Pelancaran Jelajah Usahawan Malaysia Pakar (JUMP) di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengerusi Perbadanan Usahawan Nasional Bhd. (PUNB), Tan Sri Mohd. Ali Rustam dan Pengerusi Jawatankuasa JUMP, Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid.

JUMP yang menampilkan ramai tokoh usahawan muda berjaya tanah air akan memulakan siri penjelajahan bagi membim­bing usahawan kecil sedia ada dan baharu di zon tengah, zon selatan, zon utara, zon pantai timur, zon Sarawak serta zon Sabah.

Sempena majlis tersebut, Ahmad Zahid turut meluluskan peruntukan sebanyak RM1 juta kepada JUMP bagi membantu pertubuhan itu melahirkan lebih ramai para usahawan muda khususnya daripada kalangan bumiputera.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, berdasarkan kajian ilmiah yang dijalankan Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), hanya 55 peratus usahawan bumiputera berkecimpung dalam dunia perniagaan melebihi tempoh 10 tahun.

Tambah beliau, daripada jumlah itu, 72 peratus adalah usahawan bumiputera yang melakukan perniagaan secara kecil-kecilan dengan 61 peratus daripadanya pula menghadapi masalah kutipan hutang sehingga terpaksa gulung tikar atau nazak.

Selain itu, 61 peratus lagi kurang berkemampuan untuk menjalankan kajian pasaran walaupun memiliki idea serta semangat tinggi, 60 peratus lagi belum mampu menyediakan laporan kewangan manakala 58 peratus kurang berkebolehan menentukan aliran produk.

"Kajian ini hanya peratusan tetapi jumlah sebenarnya (berapa ramai usahawan bumiputera yang berjaya) tidak diketahui berikutan tiada perangkaan melalui 'single windows system' yang boleh diperoleh," jelasnya.

Dalam perkembangan berasi­ngan, Timbalan Perdana Menteri berkata, Kementerian Pembangunan Usahawan Kecil dan Koperasi tidak perlu diwujudkan kembali kerana kerajaan telah menyalurkan peruntukan bagi tujuan itu melalui kementerian dan agensi.

Katanya, di bawah kepemimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak, pelbagai kementerian serta agensi telah diberi tanggungjawab secara spesifik untuk membantu melahirkan usahawan muda yang berjaya dan seterusnya menyumbang kembali kepada masyarakat.

Apple Watch dengan pelbagai aplikasi

Posted: 10 Jan 2016 08:13 PM PST

Walaupun telah melepasi tahun baharu, tentu ramai yang ternanti-nanti Apple Watch yang telah
dilancarkan di beberapa negara termasuk Singapura dan Indonesia. Malah laman web Apple Store Malaysia telah dikemas kini dengan beberapa perubahan termasuk menyenaraikan Apple Watch untuk pasaran Malaysia.

Terdapat tiga variasi jam pintar Apple Watch iaitu Apple Watch Sport, Apple Watch dan Apple Watch Edition. Warna utama iaitu merah digunakan bersempena Tahun Baharu Cina yang bakal disambut tidak lama lagi.

Apple Watch Sport merupakan model asas dan hadir dalam 16 model berbeza. Versi asas ini didatangkan dengan rekaan dua saiz iaitu 38mm pada harga RM1,599 dan versi 42mm ditawarkan pada harga RM1,849. Apple mengeluarkan dua saiz bagi disesuaikan dengan pergelangan tangan pelanggan.

Apple Watch menggunakan rekaan berasaskan aluminium dan ditawarkan dalam empat pilihan warna berbeza iaitu perak, kelabu, emas dan merah jambu. Terdapat 44 kombinasi yang boleh dipilih daripada warna, cangkuk dan tali jam tangan. Misalnya pelanggan boleh memilih logam tahan karat (stainless steel) dengan tali jam tangan kulit atau pilihan warna merah atau emas.

Apple Watch juga datang dalam 20 variasi berlainan, di mana model 38mm ditawarkan bermula RM2,499, sementara model 42mm ditawarkan pada harga RM2,749. Apple Watch menggunakan rekaan kerangka berasaskan keluli tahan karat serta dilengkapi skrin berasaskan kaca sapphire.

Versi paling mahal ialah Apple Watch Edition, didatangkan dalam lapan variasi dan model asas dengan saiz 38mm ditawarkan pada harga bermula RM47,000, sementara model bersaiz 42mm pula bermula dengan harga RM57,000. Istimewanya Apple Watch Edition disalut dengan emas 18-karat, kaca sapphire dan tali jam tangan dengan reka bentuk khusus – termasuk ruangan pengecasan khas.

Apple Watch merupakan jam tangan pintar daripada Apple, dilengkapi sistem operasi WatchOS, dan boleh digunakan dengan telefon pintar iPhone. Pengguna boleh menerima pelbagai notifikasi daripada telefon dan menggunakan beberapa aplikasi yang ada.

Sempena tahun baharu dengan azam baru untuk lebih sihat dan cergas, Apple Watch ada jawapannya. Apple Watch dilengkai dengan aplikasi untuk mengukur kecergasan seseorang yang bukan hanya dengan berlari, berbasikal atau berlatih di gimnasium. Ini adalah berkenaan untuk terus aktif sepanjang hari. Apple Watch boleh mengukur aktiviti sepanjang hari bermula dengan bangun tidur, berjalan ke pejabat, naik dan turun tangga atau mengemas rumah.

Apple Watch juga mengesan apabila pengguna berdiri dan mengga­lakkan pengguna untuk terus bergerak kerana semua aktiviti akan dikira dan dijumlahkan untuk tempoh sehari. Malah sejarah kecergasan boleh dilihat kembali.

Selain itu Apple juga menawarkan reka bentuk khusus untuk perayaan Tahun Baharu Cina bagi Apple Watch Sport yang didatangkan dengan tali berwarna merah sehingga 22 Februari.

Bukit Kubu tarikan Kuala Perlis

Posted: 10 Jan 2016 08:11 PM PST

KUALA Perlis mungkin terkenal sebagai lokasi jeti feri penumpang yang ingin ke Pulau Langkawi, namun daerah di utara Semenanjung itu sebenarnya memiliki banyak khazanah alam semula jadi yang mampu menjadi tarikan tambahan datang ke daerah di utara Semenanjung.

Hutan Lipur Bukit Kubu, misalnya, bukan sekadar lokasi rekreasi yang dipenuhi kepelbagaian flora unik, sebaliknya menyimpan 1,001 sejarah tersembunyi yang masih belum dirungkai sehingga kini.
Antaranya, Bukit Kubu, struktur batuan seluas 12 hektar dengan ketinggian 150-200 meter dari paras laut yang kini menarik perhatian ahli geologi untuk mengkajinya.

Hakikatnya, bukit itu dulu pernah menjadi pulau, manakala pintu gua hari ini berada dalam lautan. Menambah keunikan Bukit Kubu, batuan yang ada hari ini terbentuk daripada kulit kerang dan sebahagiannya seperti batu karang di lautan. Terdapat tiga lubang dikenali sebagai lubang bintang di sekitar bukit itu. Lubang bintang itu dipercayai menjadi tempat jatuhnya tahi bintang kerana ia pernah ditemui bercahaya pada malam hari, malah masyarakat setempat percaya lubang itu tidak berpenghujung. Bagi mengelak individu terjatuh ke dalamnya, lubang itu kini terpaksa dipagar.

Menurut cerita orang dahulu, Bukit Kubu mendapat nama selepas dipercayai menjadi kawasan persembunyian penduduk zaman pemerintahan Kesultanan Kedah dahulu kala di mana sebuah kubu dibina di kawasan tanah tinggi yang terletak kira-kira empat kilometer dari Kuala Perlis.

Namun, kisah itu tidak dapat dibuktikan kesahihannya kerana tiada artifak lama ditemui untuk dikaji bagi menentukan tahun dan zaman kewujudan serta masyarakat yang mendiaminya.

Bagaimanapun, kisah itu mempunyai sedikit kebenaran kerana terdapat kawasan rata yang besar di atas bukit terbabit dan dikelilingi batuan seolah bertindak sebagai kubu pelindungan selain terdapat beberapa gua di sekitarnya.

Menurut penduduk Kampung Baru, Mansor Abdul Rahman, 71, penduduk kampung bersama arwah ayah dan datuknya pernah menemui sebuah dangau usang yang turut menyimpan dua guni beras dan dua guni sotong kering.

"Dulu, kawasan ini (Tasik Puteri Kayangan) menjadi sumber air masyarakat Kuala Perlis kerana dahulunya ia adalah sebuah telaga besar, mungkin hakisan menyebabkannya semakin besar sehingga menjadi tasik.

"Beberapa pokok durian juga tumbuh di kawasan sekitar dangau sedangkan pokok itu tidak pernah wujud di sini. Tapi saya tidak pasti masyarakat zaman bila yang mendiaminya kerana masih kecil pada ketika itu," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Tambahnya lagi, Bukit Kubu dahulunya adalah sebuah pulau di mana kawasan Kuala Perlis sehingga Behor Kerang berhampiran Simpang Empat, Kangar merupakan lautan, malah sehingga kini kesannya masih jelas dengan penemuan batuan yang terhasil daripada kulit kerang di sepanjang kampung Behor Kerang itu.

Mansor berkata, sehingga kini, air laut akan membanjiri kampungnya sehingga paras lutut setiap kali bulan purnama atau air pasang penuh melanda.

Sementara itu, Pegawai Perhutanan negeri, Abdullah Ghazali berkata, sebagai sebuah kawasan rekreasi yang dikawal selia Jabatan Hutan Negeri, beberapa kemudahan dibina untuk kemudahan pengunjung seperti surau, tandas, dan papan tanda maklumat berkaitan bukit terbabit.

"Kita juga sediakan trek laluan baharu yang lebih sesuai dilalui untuk kemudahan pengunjung mendaki bukit dan melihat persekitaran kawasan yang menarik.

"Bila sampai di puncak melalui menara tinjau, pengunjung berpeluang melihat sempadan daerah Satun, Thailand. Terdapat tiga bangunan tinggi di sana yang boleh dilihat dari menara tinjau yang menjadi rujukan pelayar dahulu," jelasnya, pengunjung perlu mendaki 120 anak tangga untuk ke menara, atau melalui laluan trek bukit.

Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Malaysia Kedah/Perlis/Pulau Pinang, Zainol Husin, berkata, Bukit Kubu adalah bukit batu kapur yang terhasil daripada longgokan tulang-tulang hidupan laut seperti ikan yang tertimbus kira-kira 250 juta tahun dahulu.

Tambahnya, keunikan gua batu kapur di situ adalah kehadiran stalaktik dan stalagmitnya yang kelihatan seperti batu karang dan ada yang terhasil daripada kulit siput dan tersimen di pintu gua berkenaan.

Menurut Zainol, terdapat bukti bahawa paras laut kuno adalah lebih tinggi dari masa kini, namun akibat perubahan paras air laut kuno yang berkemungkinan disebabkan proses pencairan glasier dan pergerakan tektonik menyebabkan wujudnya gua laut dan taktik laut.

"Dalam kajian dahulu, terdapat perkaitan antara paras laut usia Holosen di sekitar Tanjung Dendang, Langkawi selepas penemuan beberapa fosil seperti Saccostrea Cucullata dengan kaedah pengusian karbon iaitu 7,000 tahun," jelasnya sambil menambah lokasi Bukit Kubu pada 7,000 tahun lalu adalah pada 23 meter dari paras laut semasa.

Tambahnya lagi, kedudukan terkini paras laut kuno kawasan Gua Bukit Kubu adalah 15 meter dari paras laut semasa. 
– NAZWIN NAZRI

Sultan sumbang 
RM50 juta kepada JDT

Posted: 10 Jan 2016 08:07 PM PST

Penyandang juara Liga Super, Johor Darul Ta'zim (JDT) mencipta sejarah tersendiri apabila mene­
rima sumbangan RM50 juta daripada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar untuk terus menjadikannya kelab paling kukuh dari segi kewangan dalam bola sepak tempatan.

Juara Piala AFC itu telah pun dianggap sebagai kelab bola sepak tempatan terkaya dan paling ter­urus, dan sumbangan Sultan Ibrahim itu pasti akan membuatkan program pembangunan kelab itu semakin lancar.

Pengumuman sumbangan Sultan Ibrahim itu disahkan dalam kenyataan JDT menerusi akaun Facebook rasmi pasukan, JOHOR Southern Tigers

Menurut kenyataan itu, Sultan Ibrahim membuat keputusan itu kerana ba­ginda gembira melihat sukan bola sepak memainkan pe­ranan pen­ting dalam menyatupadukan bangsa Johor selain mengharumkan nama negeri ini di persada dunia.

"Selain keprihatinan Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Johor dalam pembangunan negeri Johor, amal kebajikan, zakat dan waqaf serta yayasan dinaungi, baginda ber­kenan mengurniakan sumbangan sebanyak RM50 juta kepada kelab bola sepak Johor Darul Ta'zim," menurut kenyataan itu.

Sumbangan oleh Sultan Ibrahim itu disambut baik oleh pemilik JDT yang juga putera sulung baginda Tunku Ismail.

Tunku Ismail yang juga Tunku Mahkota Johor yakin sumbangan tersebut bersandarkan kesedaran bahawa projek bola sepak Johor merupakan projek jangka panjang yang menjadi faktor menyatupadukan bangsa Johor.

"Sungguhpun dengan rezeki itu, kelab juga perlu berbelanja secara berhemah dan berjimat cermat demi menjamin masa depan kelab dalam jangka masa panjang memandangkan kita tidak sekaya sesetengah kelab yang ditaja oleh hartawan di negara ini.

"Keutamaan kita kepada pembangunan infrastruktur dan bakat muda serta simpanan kewangan untuk masa depan. Kita perlu belajar daripada kesilapan dilakukan sesetengah pesaing kita kerana orang yang bijak belajar daripada kesilapan orang lain.

"Kita telahpun mencipta sejarah, sekarang terpulang kepada kita untuk berusaha meneruskan kecemerlangan. Apa yang kita te­lah capai hingga hari ini ha­nyalah permulaan dan perjalanan kita masih jauh," katanya dalam laman Facebook itu.

Pada masa sama, Tunku Ismail turut mengingatkan penyokong bahawa JDT sebahagiannya adalah milik rakyat Johor walaupun beliau adalah pemiliknya, sekali gus mahu penyokong bersama-sama beliau membangunkan kelab kerana tugas itu adalah satu tanggungjawab.

Tunku Ismail, yang juga Penaung Diraja Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) kini merupakan pemilik Kelab Bola­sepak Johor dengan pegangan milikan majoriti dan selebihnya milikan para penyokong.

JDT akan beroperasi sebagai kelab sepenuhnya yang merangkumi pasukan JDT, JDT II, JDT III, JDT IV, manakala PBNJ pula berfungsi sebagai pengelola kepada segala pertandingan bola sepak di peringkat negeri dan kebangsaan.

Mia Sara Ambil Keputusan Berhijab

Posted: 10 Jan 2016 08:05 PM PST

PETALING JAYA: Pelakon kanak-kanak Mia Sara, 11, mengambil keputusan bertudung sejak pulang dari menunaikan ibadah Umrah di Mekah pada tiga minggu lalu.

Bapa Mia iaitu Muhammad Ridhuan Muhammad Saleh berkata, anaknya meluahkan keinginan itu sebelum ke Mekah pada 21 Disember tahun lalu dan hal tersebut mendapat sokongan baik oleh keluarganya.

"Nak diikutkan Mia berhasrat mahu bertudung sejak setahun lalu. Lebih-lebih lagi apabila melihat semua keluarganya menutup aurat, dia seorang sahaja yang tidak.

"Saya menyokong hasrat itu dan pada masa sama tidak memaksa kerana dia masih lagi belum akil baligh," katanya yang dihubungi mStar Online pada petang Ahad.

Bagaimanapun Ridhuan berharap agar Mia tidak dikritik memandangkan anaknya itu masih lagi mengikat kontrak untuk beberapa drama yang memerlukannya tidak bertudung.


Mia, ketika mengerjakan ibadah Umrah Disember tahun lalu.
"Sebelum ini Mia telah mengikat kontrak untuk beberapa siri drama yang memerlukan dia tidak bertudung.

"Oleh itu Mia akan tampil tanpa hijab untuk beberapa buah drama buat masa ini. Saya harap, tiada yang menghentam. Apatah lagi niatnya ingin berubah untuk menjadi seorang Islam yang baik, jadi biarlah dia melalui proses belajar itu," ujarnya.

Dalam pada itu, kata Ridhuan, sekiranya selepas ini Mia kurang mendapat tawaran kerana perubahan imej itu, dia dan anaknya sedia menerima perkara itu dengan hati yang terbuka.

Malah Ridhuan yakin, niat baik anaknya mahu bertudung akan memberi rahmat dan mungkin rezeki yang diberi bukan daripa bidang seni lakonan.

"Rezeki kita adalah daripada Allah, bukan manusia yang tentukan. Saya percaya Mia sudah bersedia dengan segala kemungkinan," tuturnya.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Mia bakal muncul menerusi telefilem Supergame Boy pada Mac ini selain menjadi duta kepada produk kesihatan Caliph Supplement.

Dalam pada itu Mia juga mula menjinakkan diri dalam bidang perniagaan tudung menerusi label miliknya, MS Couture.

Tiada ulasan: