Khamis, 7 Januari 2016

ALHUSSEYN

ALHUSSEYN


AMANAH bukan melukut di tepian gantang!

Posted: 06 Jan 2016 09:20 PM PST

Amanah mahukan sekurang-kurangnya dua kerusi disetiap 12 
PBT jika berkurang pihaknya akan menolak tawaran berkenaan.
SHAH ALAM – Parti Amanah Negara (Amanah) Selangor tidak berpuas hati dengan bilangan diberikan oleh Kerajaan Negeri Selangor kepada parti itu untuk mengisi jawatan ahli majlis pihak berkuasa tempatan (PBT).

 Pengerusinya, Izham Hashim masih menyimpan harapan untuk meneruskan rundingan dengan pimpinan Pakatan Harapan dan berharap berlaku pertambahan kerusi kepada ahli majlis Amanah.

 "Kita akan teruskan lagi rundingan, saya anggap angka itu (lapan) belum muktamad.

 "Amanah Selangor akan meneruskan rundingan dengan pimpinan kerajaan Pakatan Harapan bagi memastikan keputusan yang dibuat adalah tepat dan bersesuaian bagi memastikan Pakatan Harapan terus kukuh di Selangor," katanya kepada Sinar Harian.

 Terdahulu, hasil perbincangan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) yang dipengerusikan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali hari ini mengumumkan lapan kerusi ahli majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) dibahagikan kepada wakil Amanah hasil persetujuan antara PKR, Pas dan DAP.

 Bagaimanapun, tambah Izham lagi, Amanah Selangor menyambut baik dan berterima kasih atas kesediaan kerajaan negeri memberi ruang peranan kepada parti mereka dalam PBT.

 Sebelum ini, Izham menegaskan tetap dengan keputusan meletakkan kuota antara 24 hingga 34 ahlinya di 12 kerusi ahli majlis PBT.

 Menurutnya, setiap satu PBT, pihaknya mahukan sekurang-kurangnya dua kerusi diisi oleh Amanah dan jika berkurang pihaknya akan menolak tawaran berkenaan. ~ sumber

Komen al-Husseyn :

Sokong pendirian Izham Hashim, AMANAH tidak wajar diberikan hanya 8 kerusi sahaja daripada 288 kerusi keseluruhan yang ada.

Saya telah menyatakan alasan saya di sini. Jangan ada sesiapa pun yang menganggap AMANAH sebagai parti yang melukut di tepi gantang sahaja. 

Ada juga yang berkata bahawa AMANAH adalah parti baru dan tidak terlibat dengan PRU13 lalu. Tetapi jangan dilupakan bahawa tokoh-tokoh yang berada dalam AMANAH ini merupakan tokoh-tokoh yang terlibat aktif dalam memenangkan Pakatan Rakyat dalam PRU13 yang lalu.

Amanah bukan budak-budak dengan hanya diberikan gula-gula dua kupang dan disuruh main jauh-jauh...

AMANAH dakwa dapat 10 kerusi PBT, berterima kasih kepada MB

Posted: 06 Jan 2016 04:17 PM PST

Walaupun tak dapat seperti yang diminta tapi kita
berterima kasih dan bersemangat untuk menyumbang
dan untuk menghadapi pilihan raya akan datang.
Parti Amanah Negara (AMANAH) mendapat 10 kerusi dalam majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) Selangor.

 Walaupun kerusi yang diterima kurang daripada jumlah permintaan asal iaitu 34, namun bagi Ketua Pemuda AMANAH Selangor, Abbas Azmi berkata mereka tetap berterima kasih dengan kerjasama yang diberikan oleh kerajaan negeri.

 "Daripada 34 (yang diminta), kami dapat 10 dan Pemuda dapat dua kuota. Dari segi kuota itu kami terima kasih kepada kerajaan negeri kerana bagi ruang pada AMANAH.

 "Bagi Pemuda kami akan fokus gerak kerja di PBT," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

 Bagi seorang ADUN AMANAH, Saari Sungib, kesediaan kerajaan Menteri Besar Datuk Seri Azmin Ali yang memberi ruang kepada parti itu terlibat dalam PBT akan digunakan sebaik mungkin bagi menghadapi pilihan raya akan datang.

 "Kita berterima kasih kepada kerajaan negeri dan menteri besar kerana kerjasama ini. Walaupun tak dapat seperti yang diminta tapi kita berterima kasih dan bersemangat untuk menyumbang dan untuk menghadapi pilihan raya akan datang.

 "Kita dah menyertai majlis perbandaran ini sudah memadai dan akan buat yang terbaik. Ahli majlis kena buat kerja keras," kata Saari.

 Sementara itu, Pengerusi AMANAH Selangor Izham Hashim dalam kenyataan medianya berkata, pihaknya akan memastikan bekerjasama dengan kerajaan negeri akan terus dilakukan bagi memastikan ia terus diterajui oleh parti yang sedia ada.

 "AMANAH Selangor akan teruskan rundingan dengan pimpinan kerajaan Pakatan Harapan bagi memastikan keputusan yang dibuat adalah tepat dan bersesuaian bagi memastikan Pakatan Harapan terus kukuh di Selangor.

 "Sokongan dan komitmen kami terhadap Pakatan Harapan adalah tetap utuh dan kukuh," kata parti itu dalam kenyataan medianya hari ini.

 Sebanyak 286 kerusi ahli majlis PBT di Selangor dan ia akan diumumkan pada 16 Januari ini.

 Lima kerusi sah milik AMANAH, antaranya ialah Sepang, Kuala Langat, Sabak Bernam, Hulu Selangor dan Kuala Selangor.~ sumber

Tiada ulasan: