Rabu, 13 Januari 2016

ALHUSSEYN

ALHUSSEYN


Isu SRC, RM2.6 bilion perlu diputuskan segera, kata bekas peguam negara

Posted: 12 Jan 2016 10:03 PM PST

 Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali digesa bertindak segera terhadap kertas siasatan SRC International dan wang RM2.6 bilion dalam akaun Datuk Seri Najib Razak kerana ia menyentuh integriti perdana menteri dan kerajaan Malaysia, kata seorang bekas peguam negara.

 Menegaskan "dunia sedang memerhati Malaysia", Tan Sri Abu Talib Othman berkata Apandi perlu sedar kes tersebut melibatkan kepentingan awam, terutamanya kerana ia melibatkan perdana menteri yang masih memegang jawatan.

 "Beliau (peguam negara) perlu memberi keutamaan kepada kes ini dan menyemak kertas siasatan itu dengan segera kerana integriti perdana menteri yang sedang mentadbir negara dan kerajaannya menjadi taruhan.

 "Jika perlu, beliau (Apandi) kena bekerja di luar waktu pejabat meneliti dokumen yang banyak itu kerana menjadi tanggungjawabnya membuat keputusan secepat mungkin," kata Abu Talib yang juga bekas pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia kepada The Malaysian Insider.

 Abu Talib yang merupakan peguam negara selama 13 tahun dari 1980 berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Apandi minggu lalu yang beliau memerlukan masa untuk mengkaji kertas siasatan itu.

 Memberi jaminan beliau akan bertindak tanpa rasa takut atau pilih kasih, Apandi yang mula memegang jawatan pada Julai lalu berkata beliau akan meneliti dengan terperinci kertas siasatan yang dikemukakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu.

 "Saya sedang mengkajinya dan anda perlu ingat, mereka mengumpul bukti daripada lebih 100 saksi, bukan ada satu fail, failnya setinggi saya.

 "Dan perlu ingat, saya harus mengkajinya dengan teliti dan saya memberi jaminan kepada anda, saya akan menghalusi segala bukti yang dikemukakan," katanya kepada pemberita pada pembukaan Tahun Perundangan 2016 di Kuala Lumpur Jumaat lalu.

 Abu Talib berkata, peguam negara juga perlu sedar persepsi masyarakat antarabangsa terhadap kerajaan Malaysia.

 "Masalah ini (RM2.6 bilion dan SRC) mesti diselesaikan tanpa berlengah lagi atau jika tidak, ia mungkin memberi kesan ke atas pelaburan asing ke negara ini," katanya.  – 13 Januari, 2016.~ sumber

Tiada ulasan: