Pas tidak akan tinggalkan PR  
 Mustafa menerima cendera mata daripada Datuk Mohd Amar Nik Abdullah selepas merasmikan Mesyuarat Agung Kawasan Pas Pengkalan Chepa Kali Ke-43 di Kota Bharu, semalam.
 
 
KOTA BHARU - [DIKEMASKINI] Pas tidak akan tinggalkan PR. Demikian tegas Setiausaha Agung parti itu, Datuk Mustafa Ali.

Ini kerana insiatif untuk menubuhkan gabungan atau pakatan parti pembangkang adalah daripada Pas, bukan parti-parti lain yang menganggotai PR.

"Jadi, tidak ada sebab untuk Pas meninggalkan apa yang pemimpinnya sendiri usahakan," kata Mustafa.

Menurut beliau, PR yang dahulunya bermula sebagai Barisan Alternatif diwujudkan atas insiatif presiden Pas yang terdahulu, Datuk Fadzil Nor.

"Allahyarham yang ambil inisiatif tubuhkan kerjasama ini selepas apa yang berlaku kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim. Dalam PR, tidak ada perjanjian bertulis. PR bukan parti yang berdaftar dengan ROS, dan tidak ada peraturan bertulis yang mengikat kita (Pas) dengan sesiapa.

"Jadi jika ada yang berasa nak keluar, keluarlah. Itu pilihan mereka, tetapi antara kita tidak boleh memaksa mana-mana pihak untuk keluar dari PR," tegasnya dalam ucapan perasmian mesyuarat Pas kawasan Pengkalan Chepa di sini, semalam.

Kenyataan beliau dipercayai merujuk gesaan beberapa pemimpin DAP yang mendesak Pas meninggalkan pakatan itu berikutan beberapa perkembangan mutakhir ini terutama yang berkaitan dengan cadangan Pas melaksanakan undang-undang hudud di Kelantan.

Menurut Mustafa, sebarang keputusan membabitkan kedudukan Pas dalam PR hanya akan dimuktamadkan oleh Majlis Syura Ulama.

"Buat masa ini, tidak ada perbincangan untuk bawa Pas keluar dari PR. Kita masih kekal dalam PR kerana beranggapan strategi tahaluf siyasi masih boleh dipakai," katanya.

Menyentuh pemilihan Pas yang menyaksikan beberapa pemimpin dicalon untuk mencabar kedudukan Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai presiden, Mustafa yakin tidak daripada kalangan Timbalan Presiden, Mohamad Sabu dan Naib Presiden, Datuk Husam Musa dan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang akan terima pencalonan itu. 
 
Seorang lagi calon yang telah mendapat pencalonan yang cukup untuk bertanding kerusi Presiden Pas, Ahmad Awang, bekas naib presiden dan bekas Pesuruhjaya Pas Perak.

"Berdasarkan pergaulan antara kami selama hari ini, saya tidak nampak ada dalam kalangan mereka (timbalan presiden dan naib presiden) akan menentang presiden. Kalau orang lain saya tak tahu,"  katanya.

Tuan Ibrahim sebelum ini telah menyatakan pendiriannya untuk tidak bertanding jawatan presiden parti tetapi bersedia untuk terima pencalonan bagi kerusi timbalan presiden.