Banjir
 
 
KUALA LUMPUR - Hujan di bahagian Kuching mengakibatkan dua pusat pemindahan banjir dibuka semula pagi ini berikutan jumlah mangsa meningkat, manakala mangsa banjir di Sabah berkurangan berbanding malam tadi.
  
Setakat 8 pagi ini, jumlah keseluruhan mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan di negeri-negeri terjejas banjir meningkat iaitu 5,747 orang berbanding 5,627 orang malam tadi.
  
Di SARAWAK, dua pusat pemindahan dibuka semula pagi ini di bahagian Kuching bagi menempatkan 187 mangsa, menjadikan 14 pusat di seluruh Sarawak berbanding 12 malam tadi.
  
Jurucakap Majlis Keselamatan Negara (MKN) Sarawak berkata jumlah mangsa yang berada di pusat pemindahan di seluruh Sarawak pagi ini bertambah sedikit kepada 2,761 orang berbanding 2,563 malam tadi.
     
Beliau berkata bahagian Samarahan kekal dengan jumlah tertinggi iaitu 1,225 orang di enam pusat pemindahan, Limbang (1,017 orang di empat pusat pemindahan),  Miri (244 orang di satu pusat pemindahan), dan Mukah (88 orang di satu pusat  pemindahan).
  
Di SABAH, keadaan banjir semakin reda dengan jumlah mangsa banjir berkurangan kepada 2,697 orang daripada 830 keluarga berbanding 2,775 orang daripada 835 keluarga semalam di dua daerah di negeri itu.
     
Menurut Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Mustaffa Maruf jumlah mangsa banjir di empat pusat pemindahan di Beaufort ialah 744 daripada 249 keluarga  manakala di daerah kecil Membakut pula seramai 1,953 orang dari 581 keluarga di lima pusat pemindahan.
     
Empat pusat pemindahan yang masih dibuka ialah di Dewan Kampung Kukut, Dewan Kampung Suasa, Dewan Sri Dayang Lumadan dan Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Gadong.
     
Di KELANTAN, jumlah mangsa masih kekal iaitu seramai 255 orang melibatkan 62 keluarga yang ditempatkan di lapan pusat pemindahan di Kuala Krai.
  
Jurucakap MKN Kelantan berkata kesemua mangsa masih ditempatkan di dewan sekolah, kilang dan masjid ekoran rumah mereka hanyut atau rosak teruk akibat banjir yang berlaku bulan lepas.
  
Di PERAK, jumlah mangsa banjir juga kekal iaitu 34 mangsa daripada 10 keluarga yang ditempatkan di sebuah pusat pemindahan.
  
Jurucakap MKN Perak berkata, mangsa banjir tersebut kini berada di pusat pemindahan di Kampung Labit, Lenggong di daerah Hilir Perak. - Bernama