Rabu, 9 Disember 2015

Kelab Greenboc

Kelab Greenboc


AMANAH Sebagai Parti Politik & Gerakan Islam Generasi Ke 2

Posted: 09 Dec 2015 01:10 AM PST

Dwi fungsi Amanah Oleh A Shukur Harun

Parti Amanah Negara (Amanah) kini sudah berumur 3 bulan, dengan keahlian hampir mencapai 100,000 orang – sebuah parti yang sedang berkembang dan sudah dirasakan kehadirannya di mana-mana.

Politik memang mengenai kuasa – politic is about power – dan Amanah sendiri tentunya akan bertanding dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang untuk mendapatkan kuasa hingga ke Putrajaya.


Namun kehadiran Amanah – sebagai parti politik yang bernuansa Islam dan juga memiliki ciri-ciri sebuah gerakan Islam, mendukung dwi fungsi besar. 

Iaitu sebagai parti politik, dalam masa yang sama sebagai gerakan Islam generasi ke-2 yang mempunyai visi untuk mengubah world-view Islam daripada pandangan yang jumud, beku, terperangkap dengan pemikiran tradisi yang hingga keadaannya menutup ruang Islam sebagai "Rahmatan Lil Alamin" – Islam sebagai rahmat seluruh alam.


Ertinya di sini, Amanah mempunyai visi pencerahan Islam supaya Islam itu dilihat terbuka, ramah, peduli rakyat, tidak bersifat menghukum dan melabel. Lebih daripada segalanya, Amanah mempunyai visi menghantar Islam, dari segi pendekatannya, sebagai agama agung, wasatiyyah dan menjadi penyelesai masalah manusia. Ini diungkapkan al-Quran secara amat jelas.

Di sinilah Amanah diamanahkan supaya mengadakan pencerahan dari segi pendekatan, sedangkan dasar-dasar asas Islam kekal dipertahankan.

Dengan keupayaan para tokoh agama dan intelektual yang berfikiran dinamik di dalam Amanah, saya kira, visinya dapat direalisasikan.

Beberapa bulan lalu, para tokoh ini mengadakan Nadwah Ulama Nahdhah Jadidah 2015 (Nunji'15) – wacana yang menuju kepada fikah Malayzi (fikah yang mengambil pendekatan realiti masyarakat Malaysia).

Ketika berucap di perasmian Nunji '15 Ogos lalu itu, Pengarah Nunji '15, Datuk Dr. Mujahid Yusuf Rawa menekankan 8 perkara yang menjadi sebahagian daripada perjuangan Harapan Baru, yang kini Amanah.

Lapan perkara itu ialah:

1. Bagi memposisikan diri sebagai sebuah parti Islam baharu dalam politik negara ini, Harapan Baru menganjurkan satu seminar yang dipanggil Nunji'15 pada Ogos lalu.

2. Ia dinamakan sebagai Nadwah Ulama Nahdhah Jadidah, sebagai merujuk kepada "kebangkitan baharu" dari sudut pemikiran Islam yang inklusif.

3. Kami memilih tema "Islam dan Konsep Kenegaraan" bagi merungkaikan masalah perlaksanaan Islam dalam kerangka sebuah negara serta perundangan yang ada.

4. Ia antara lain membincangkan tajuk penetapan kaedah fikah dalam operasi setempat dan lokal. Ia juga akan melihat aspek cabaran menyediakan suasana perlaksanaan syariah serta bagaimana perpindahan konsep kewarganegaraan dari kerangka fikah klasik kepada realiti konsep warga negara dapat dilakukan.

5. Slogan untuk Nunji'15 ini ialah "Al- Islam Rahmatan Lil Alamin" (Islam Rahmat untuk Semua), berpandukan kepada surah Al Anbiya ayat 107. Seminar ini berusaha untuk membumikannya dalam bentuk dasar-dasar negara.

6. Nadwah ini diharapkan dapat membentuk pemikiran ke arah fikah Malaysia dengan mengambil kira suasana kepelbagaian agama dan budaya.

7. Bagi memenuhi maksud itu, penganjur NUNJI'15 menampilkan barisan para ilmuwan dan ulama berwibawa dari dalam dan luar negara untuk berkongsi pengalaman dengan masalah yang dihadapi bersama dalam isu politik Islam dan isu kenegaraan ini.

8. Di akhir program ini, satu resolusi dihasilkan yang akan menjadi panduan lembaran baharu kepada perjalanan politik Islam dan isu yang memerlukan kepada pendirian sikap yang jelas.


Mujahid selanjutnya menekankan: "Kita akan melihat Islam dalam situasi lokal di Malaysia yang bermasyarakat majmuk untuk melahirkan 'fikah' Malaysia yang tidak lari daripada syariat dalam konteks negara seperti Malaysia."

Baginya, seminar ini membincangkan perkara yang lebih besar yang selama ini terlepas pandang iaitu Islam dalam konteks kenegaraan di negara seperti Malaysia.

Katanya, umum berpendapat, politik dan syariah Islam ini kontradik dengan Malaysia dan ia perlu diperbetulkan.

"Apa yang perlu dilihat adalah Islam adalah agama rasmi persekutuan dan agama lain bebas diamalkan. Islam pula kuasa negeri yang melahirkan konflik antara perlembagaan dan kefahaman. Ini perlu kita kaji.

"Kita hendak buktikan, dalam suasana Malaysia, syariah Islam tidak bercanggah. Kerana, hukum boleh berubah mengikut tempat dan keadaan serta kondisi sebagaimana dibahaskan panjang lebar Ibnu Qayyim," kata Mujahid.

Nunji'15 juga kata Mujahid, membincangkan pendekatan pelaksanaan syariah di Malaysia agar tidak terperangkap dengan pemikiran seolah-olah pelaksanaan hudud saja menjadi masalah utama di Malaysia.

Selain itu, seminar ini bertujuan mendapatkan pandangan agamawan dalam menetapkan agenda Islam dalam perjuangan GHB di samping menjadi asas kepada keterlibatan para ulama dan asatizah dalam menggerakkan secara bersama organisasi GHB sebagai pimpinan dan aktivis.

Empat bulan berlalu sejak Nunji '15 diadakan, maka harapan kepada parti baharu ini, yang mempunyai potensi besar, dapat meneruskan gagasan fikah Malyazi, fikah yang mengambil kira suasana realiti negara Malaysia yang sangat unik.

Dasar asas Islam tidak dikompromikan, ia kekal utuh. Yang hendak dilaksanakan ilmuwan progresif ini ialah pendekatan mengenai fikah yang memenuhi tuntutan realiti suasana Malaysia.

Dengan itu, saya kira, Amanah memiliki dwi fungsi utama. Pertama, sebagai parti politik yang sudah tentu hendak memenangi pilihan raya dan dalam masa yang sama ia berfungsi untuk mengadakan pencerahan kepada tasawuur Islam, terutamanya daripada segi fikah.

Ini saya kira tujuan pimpinan Amanah. Jika dwi fungsi ini berjaya, dengan izin Allah, maka terserlah keunggulannya bukan saja sebagai parti politik Islam, tetapi juga sebagai gerakan Islam generasi ke-2.

Amanah generasi kedua politik Islam di Malaysia, kata pengarah strategi

Parti Amanah Negara (Amanah) mendakwa ia pejuang politik dan gerakan Islam generasi kedua dengan pendekatan baru yang berbeza dan lebih segar berbanding generasi pertama politik Islam di bawah PAS sebelum ini.

Pengarah strategi Amanah, Dr Dzulkefly Ahmad berkata, generasi kedua gerakan Islam adalah gambaran paling tepat yang boleh diberikan bagi mencerminkan imej Islam yang dibawa Amanah, membezakannya dengan PAS.

"Generasi kami mengambil pendekatan maqasid syariah, sedangkan generasi sebelum kami mengambil pendekatan melaksanakan syariah secara langsung, seperti berjuang melaksanakan hudud secara langsung," katanya kepada The Malaysian Insider.

Beliau menamakan An Nahdah di Tunisia, AKP di Turki dan PKS di Indonesia sebagai antara generasi kedua gerakan dan parti Islam yang ada di dunia ini sebagaimana kedudukan Amanah di Malaysia.

"Generasi kedua gerakan Islam pasca penjajahan ini lebih memberikan tumpuan kepada keadilan Islam dan 'good governance' kepada sebuah kerajaan yang ditadbirnya."

Amanah turut meletakkan diri mereka sebagai sebuah parti berimejkan Islam sepertimana PAS. Namun, ramai yang bertanya, apakah beza antara PAS dan Amanah.

Sementara itu, seorang lagi pemimpin Amanah, Dr Mohd Hatta Ramli berkata, perjuangan untuk Islam yang lebih segar dan inklusif dimulakan mereka sejak dalam PAS lagi, namun terhalang.

Pengarah pilihan raya Amanah itu mendakwa, kumpulan merekalah, terdiri dari golongan pemimpin progresif dan profesional PAS sebelum ini, yang banyak berusaha mendekatkan diri dengan pihak luar dari PAS di negara ini.

"'PAS for all', menyertai dan memperkasakan Pakatan Rakyat, menubuhkan Dewan Himpunan Bukan Islam dan lain-lain, adalah usaha yang kami lakukan," kata Dr Hatta di majlis dialog Amanah dengan profesional di Kota Baru baru-baru ini.

Pemimpin PAS berpecah dua dalam muktamarnya Jun lalu apabila golongan profesional dalam parti Islam itu tersingkir akibat tewas pada pemilihan parti.

Selepas tewas, mereka yang dikenali dengan G-18, kemudiannya menubuhkan Gerakan Harapan Baru dan kini, Amanah.
-TMI


ULASAN GB

AMANAH - sebuah parti politik bernuansa, sekaligus sebagai sebuah gerakan Islam generasi ke-2 yang mempunyai visi untuk mengubah world-view Islam daripada pandangan yang jumud, beku, terperangkap dengan pemikiran tradisi yang hingga keadaannya menutup ruang Islam sebagai "Rahmatan Lil Alamin" – Islam sebagai rahmat seluruh alam.

Pemimpin AMANAH yang majoritinya adalah pemimpin PAS satu ketika dulu, pernah mengketengahkan "PAS FOR ALL", dan hasilnya parti PAS yang satu ketika dahulu dianggap sebagai sebuah parti orthodox dan kampungan, telah mendapat sambutan rakyat dan telah berjaya memenangi banyak kerusi di dalam beberapa pilihanraya yang lalu.

Namun setelah PAS menyingkirkan kumpulan progresif di dalam muktamarnya nmelalui cai oleh kumpulan ulama, slogan PAS FOR ALL sudah tidak terpakai. PAS sudah mempersempitkan dirinya hanya untuk para ustaz dan ulama. Bagi PAS hanya ustaz dan ulamak yang layak memimpin.

PAS ingin kembali kepada status lamanya.... sebuah parti yang eksklusif. Dan AMANAH pula kini bergerak ke hadapan meneruskan slogan ISLAM FOR ALL, yang bertepatan dengan risalah Islam itu sendiri sebagai "rahmatan lil-alamin" - rahmat untuk sekalian alam.

AMANAH adalah gerakan Islam generasi kedua di Malaysia, sama seperti An Nahdah di Tunisia, AKP di Turki dan PKS di Indonesia.

Justeru itu, penglibatan AMANAH di dalam Pakatan Harapan adalah sesuatu langkah yang tepat dan wajar, menggantikan PAS di dalam Pakatan Rakyat yang telah berkubur.

Semuga perjuangan AMANAH terus mendapat sokongan rakyat dan diredhai Allah swt.

Tiada ulasan: