Isnin, 21 Disember 2015

Kelab Greenboc

Kelab Greenboc


Bagi PAS, Perkasa Pun Perkasalah....

Posted: 21 Dec 2015 12:50 AM PST

Ibrahim Ali ramal perbezaan ideologi penghalang kerjasama Umno-PAS

Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali meramalkan kerjasama politik di antara Umno dan PAS mustahil akan berlaku kerana perbezaan ideologi.

Ibrahim berkata, ini kerana Umno merupakan sebuah parti nasionalis manakala PAS adalah parti Islam.

"Kalau Umno dan PAS bersatu lebih baik, tetapi saya tidak fikir wujud kerjasama politik antara Umno dan PAS sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

"Umno nasionalis, PAS parti Islam. PAS tidak mudah untuk pimpinannya membawa kepada kerjasama. Realitinya ada halangan," katanya yang pernah bertanding di atas tiket PAS pada 2008.


Awal minggu ini Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak dan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang duduk sepentas dengan baju Melayu sedondon pada sebuah program di Kuala Lumpur.

Pada majlis sama, menggunakan ayat al-Quran Najib sekali lagi menawarkan kerjasama dengan PAS.

Ibrahim bagaimanapun berharap kerjasama antara 2 parti itu akan tetap berlaku di luar lingkungan politik.

"Saya harap PAS dan Umno bekerjasama di luar isu politik," katanya pada sidang media selepas perasmian mesyuarat agung Perkasa di Pusat Islam di Kuala Lumpur hari ini.

Wakil PAS Datuk Takiyuddin Hassan dan Datuk Mustafa Ali turut kelihatan bersama-sama perwakilan Perkasa dalam perasmian yang dilakukan Tan Sri Sanusi Junid.

"Walaupun wakil PAS hadir, Perkasa sekarang ini sejak dulu tidak memihak mana-mana parti politik.

"Kita nak tengok PAS mampu jadi parti progresif, menjadi harapan rakyat, Bumiputera, Melayu, Islam boleh menjamin kelangsungan survival negara," kata Ibrahim.

Bekas ahli Parlimen Pasir Mas itu berkata, berbeza seperti ahli Umno, halangan daripada ahli-ahli PAS juga tidak memungkinkan kerjasama politik kedua-dua parti itu akan berjaya.

"Sukar untuk Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang meneruskan kerjasama politik, berbeza seperti Umno, ahli-ahli mereka menurut kata presiden," katanya. –TMI


PAS sedia maaf, lupakan kesalahan Umno

PAS bersedia memaafkan dan melupakan kesalahan Umno, kata Datuk Takiyuddin Hassan.

Setiausaha agung PAS itu berkata ini kerana ia adalah sebahagian daripada ciri-ciri perjuangan mereka.

Malah, anggota Parlimen Kota Bharu itu berkata tindakan memaafkan dan melupakan kesalahan adalah perkara yang sentiasa diamalkan parti Islam itu.

"Itu antara ciri-ciri yang ada dalam perjuangan ini.

"Ini bukan perkara baru, ramai pemimpin lain masuk dalam PAS, mereka ada kedudukan baik, diterima hati terbuka di kalangan ahli, sekarang ini antara parti kita akan laksanakan perkara sama," kata Takiyuddin.

Beliau berkata kepada pemberita pada mesyuarat agung tahunan PERKASA ke-6 di Kuala Lumpur hari ini.

Proses penjelasan
Mengulas lanjut, Takiyuddin berkata, PAS kini dalam proses memberikan penjelasan kepada anggota parti itu berhubung hasrat kerjasama kedua-dua parti Melayu itu.

"Kita dalam proses untuk beri penjelasan menyeluruh kepada ahli kita tentang hasrat itu.

"Boleh lihat benda baru ada suasana kefahaman masing-masing, pokoknya dalam PAS apa yang dibawa oleh presiden perlu bersikap kolektif atas nama parti, itu keputusan kolektif," katanya, merujuk kepada presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Tambah Takiyuddin lagi, prinsip perjuangan PAS adalah berlandaskan syariat Islam dan apabila terdapat pihak yang sama mempunyai prinsip sama PAS akan bersikap terbuka.

"Sepanjang masa PAS berjuang atas dasar itu apabila sampai ketika ada pihak lain yang mahu ambil prinsip sama dan bersikap terbuka menjayakan agenda bersama.

"Atas kata kuncinya perpaduan berdasarkan syariat kita sedia bersama dengan mana-mana pihak atas kebaikan orang Islam."

Takiyuddin bersama-sama pengarah pilihan raya PAS Datuk Mustafa Ali turut hadir bagi menjayakan mesyuarat agung tahunan PERKASA, hari ini. -mk



ULASAN GB

Selepas Presiden PAS berpeluk dengan Ibrahim Ali beberapa minggu lalu, kini buat pertama kali dalam sejarah, wakil PAS, Takiyuddin Hassan dan Mustafa Ali hadir ke Persidangan PERKASA.

Begitu ketara, PAS kini kembali ke era Datuk Mohd Asri, yang pada ketika itu ideologi PAS ialah "Islamic nasionalisme" sebelum Datuk Asri dijatuhkan di dalam Muktamar Thanawi PAS 1982 untuk menaikkan "kepimpinan ulamak" ketika itu.

Kini apabila PAS telah keluar dari pakatan pembangkang dan tinggal bersendirian, seolah-olah ia seperti di dalam keadaan begitu terdesak sehingga terpaksa "menggapai apa saja saja walaupun najis" untuk menyelamatkan diri dari kelemasan.

Bekerjasama dengan UMNO, kini dengan PERKASA - untuk mendapatkan sedikit sokongan dari kaum Melayu walaupun sebelum ini PAS menghentam dengan teruk PERKASA. Malah PAS dahulu kecewa apabila Ibrahim Ali membuat "uturn" membawa lari kerusi parlimen Pasir Mas yang dimenanginya di atas tiket PAS untuk menjadi wakil bebas yang mesra-UMNO.

Kenyataan Takiyuddin, Setiuasaha Agung PAS, bahawa PAS sedia memaafkan segala kesalahan UMNO begitu ketara bahawa PAS benar-benar ingin menjalinkan kerjasamanya dengan UMNO.

Sekalipun PAS telah ditipu dan dizalimi, sudah tidak lagi menjadi perkara penting untuk PAS. UMNO bukan musuh utamanya lagi. Peluru kini dihalakan kepada Pakatan Harapan, kepada DAP dan Amanah. Anehnya PAS masih duduk di barisan pembangkang.

Sepatutnya PAS perlu mengisytiharkan dirinya parti bebas yang mesra-UMNO.

Jadi seperti kera sumbang... dan di dalam keadaan terdesak itu juga, bagi PAS, dafripada menjadi kera sumbang, Perkasa pun Perkasalah.... asal ada kawan...




Tiada ulasan: