Jumaat, 11 Disember 2015

Kelab Greenboc

Kelab Greenboc


PAS Yang Bagi Oksigen Kat UMNO Selama Ini..

Posted: 11 Dec 2015 01:10 AM PST

PAS SUDAH LAMA BERI OKSIGEN PADA UMNO - SALAHUDDIN

Parti Amanah Negara (Amanah) tidak terkejut dengan tawaran terbuka Umno untuk bekerjasama dengan PAS kerana parti Islam itulah selama ini yang memberikan oksigen kepada Umno.

Timbalan presiden Amanah, Salahudin Ayub berkata, PAS telah memberikan cukup oksigen kepada Umno kerana di saat Umno hampir kelemasan, tiba-tiba pimpinan tertinggi PAS berikan talian hayat melalui pembelaan mereka kepada pimpinan Umno.

"Umno dapat bekalan oksigen yang cukup... ini satu penghargaan dari Najib kepada PAS," katanya mengulas ucapan dasar Najib di perhimpunan agung Umno hari ini.

Ketika memberikan ucapan dasar dalam Perhimpunan Agung Umno hari ini, Najib mengajak ahli-ahli Umno agar turut bekerjasama dengan ahli PAS.

"Saudara dan saudari, kita di dalam Umno, berasa lega, malah gembira, apabila PAS, kini tidak lagi bersama pakatan pembangkang.

"Dengan hati yang terbuka dan sanubari yang merdeka, kita hulurkan tali silaturahim, kita hulurkan ikatan ukhuwah menuju kesempurnaan membina sebuah Malaysia di atas syariat-Nya," kata Najib di hadapan perwakilan Umno yang memenuhi Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.

Bagi Salahudin, pendekatan yang diambil pimpinan PAS sekarang menunjuk dasar mereka sudah berubah.

"Ia bukan menjadi rahsia umum lagi bila PAS tidak menentang Bajet 2015 Najib, Mursyidul Am PAS yang meminta ahli PAS agar jangan lawan Umno, PAS tidak serang isu besar seperti 1MDB dan wang RM2.6 bilion yang masuk ke akaun Najib.


"Ini semua pendekatan mesra Umno yang semakin hari semakin mesra," kata Salahudin yang merupakan bekas naib presiden PAS itu.

Sehubungan dengan itu, bagi beliau ucapan Najib ini tidak mengejutkan.

"Tanpa Amanah perlu berusaha keras untuk mengatakan semua itu terhadap PAS, perbuatan dan pendekakan yang PAS bawa hari ini menjelaskan kedudukannya di mata rakyat," kata Salahudin. -malaysiadateline.com

Najib saran ahli Umno 'hulur silaturahim' kepada PAS

Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak menyeru ahli parti Melayu itu menghulurkan salam ukhuwah dan silaturahim kepada PAS, lebih-lebih lagi parti Islam itu kini sudah meninggalkan pakatan pembangkang.

Najib dalam ucapan dasarnya sempena Perhimpunan Agung Umno hari ini berkata, sistem 2 parti juga tidak boleh diamalkan di negara ini, sebaliknya rakyat kini berdepan pilihan antara pakatan parti pemerintah Barisan Nasional (BN) yang diketuai Umno ataupun parti pembangkang yang diketuai DAP dalam Pakatan Harapan.

"Maka saudara dan saudari, kita di dalam Umno, berasa lega, malah gembira, apabila PAS, kini tidak lagi bersama pakatan pembangkang.

"Dengan hati yang terbuka dan nubari yang merdeka, kita hulurkan tali silaturahim, kita hulurkan ikatan ukhuwah menuju kesempurnaan membina sebuah Malaysia di atas syariat-Nya," kata Najib di hadapan 2,654 perwakilan dari 191 bahagian Umno seluruh negara di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), hari ini.

"Contoh yang sangat ketara sekarang, betapa DAP cuba 'menguasai' parti lain dalam pakatan pembangkang.

"Ini dapat kita lihat, bila mana ada di kalangan pemimpin mereka, yang menyatakan hasrat untuk bertanding di 8 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), yang dimenangi PAS di Selangor sebelum ini, pada Pilihan Raya Umum ke-14 kelak.

"Lebih-lebih lagi DAP di Sarawak, dengan angkuhnya memutuskan hubungan dengan PAS dan PKR, kerana ingin bertanding lebih banyak kerusi pada Pilihan Raya Negeri Sarawak nanti.

"Itulah dia DAP, yang tidak pernah setia dengan rakan gabungannya. Tahun 1990, mereka membentuk gabungan pembangkang. Lalu berpecah pada 1995. Bergabung semula pada 1999. Kemudian 2004, berpisah lagi," katanya.

Najib berkata, DAP juga cuba lagi untuk berpakat, pada 2008 dan 2013, dengan PAS dan PKR.

"Kalau nak ikutkan perumpamaan orang berkahwin, sudah 3 kali jatuh talak. Nampaknya, besok-besok, kalau pecah pula dengan Pakatan Harapan, tak taulah talak berapa nak pakai nanti."

Malah, Najib berkata, gabungan pembangkang tidak peduli apabila PAS disingkirkan daripada pakatan mereka.

"PAS disepak dan diterajang keluar daripada Pakatan, mereka macam itu saja."

Sehubungan itu, katanya, sistem 2 parti itu juga berbahaya kepada perjuangan Umno.

"Bersabit perkara ini, selagi saya memimpin, seruan saya kepada rakan dan saudara saudari seperjuanganku sekalian, kita sekali-kali tidak akan membiarkan individu tertentu bercakap sembarangan, kononnya kita perlu menjurus kepada sistem 2 parti.

"Mana boleh! Mana boleh perkara ini kita terima? Bukan atas dasar kita tidak faham pengertian demokrasi, tetapi, dari sudut falsafah dan perjuangan Umno itu sendiri, yang memartabatkan bangsa dan mempertinggi syiar Islam.

"Saya ingin bertanya kepada perwakilan dan ahli Umno semua, takkan kita tidak faham akan bahayanya, akibat seruan yang tidak bijaksana itu," katanya.

Najib berkata, realiti politik di Malaysia hari ini, rakyat hanya mempunyai 2 pilihan, sama ada satu gabungan parti politik yang dipimpin Umno atau satu lagi yang dipimpin atau didominasi DAP.

Sekiranya Umno ditolak, katanya, negara ini akan diperintah mereka yang anti perjuangan Islam serta menolak perjuangan Melayu dan Bumiputera.
-TMI


ULASAN GB

PAS kini seolah-olah sudah terperangkap dengan kenyataan-kenyataan Presiden dan beberapa pimpinannya sebelum ini di dalam konteks kerjasama PAS-UMNO apabila Najib dengan secara terbuka "menyeru ahli parti Melayu itu menghulurkan salam ukhuwah dan silaturahim kepada PAS, lebih-lebih lagi parti Islam itu kini sudah meninggalkan pakatan pembangkang."

Kenyataan-kenyataan seperti ingin menjadi PENASIHAT kepada UMNO/BN, bekerjasama dengan UMNO dalam hal-hal kebajikan, mengubah pendekatan PAS terhadap UMNO dan seumpamanya amat jelas memberikan oksigen kepada UMNO yang sedang kelemasan seperti yang disebutkan Tn.Hj. Salahuddin.

Kedua, kenyataan Najib kononnya "PAS disepak dan diterajang keluar daripada Pakatan, mereka macam itu saja" merupakan kenyataan simpati UMNO terhadap PAS yang diakibatkan oleh perbuatan PAS sendiri yang telah mengkhianati Pakatan Rakyat.

Dan kenyataan Najib "realiti politik di Malaysia hari ini, rakyat hanya mempunyai 2 pilihan, sama ada satu gabungan parti politik yang dipimpin Umno atau satu lagi yang dipimpin atau didominasi DAP.

Sekiranya Umno ditolak, katanya, negara ini akan diperintah mereka yang anti perjuangan Islam serta menolak perjuangan Melayu dan Bumiputera."


Kenyataan di atas ternyata cuba menakut-nakutkan rakyat khususnya bangsa Melayu dan beragama Islam supaya hanya menyokong UMNO. Kononnya DAP kini yang menguasai Pakatan Harapan (PH) sedangkan hakikatnya, DAP hanyalah sebuah daripada 3 buah parti komponen utama PH.

Setelah DAP berjaya mendedahkan beberapa isu utama seperti 1MDB dan derma RM2.6 bilion yang kesemuanya adalah berpunca dari Najib sendiri, kini Najib mengambil peluang PAU kali ini untuk menghentam DAP dan cuba menakutkan rakyat dengan menyatakan DAP mendominasi pakatan pembangkang.

UMNO menggunakan sentimen bangsa sebagai talian hayat terakhirnya dan sentimen agama untuk memujuk PAS bersamanya.

Namun hakikatnya, rakyat kini sudah sedia mengetahui dan sedia memahami, hanya PH yang akan dapat menyelamatkan negara dengan/dan mengalahkan BN di dalam pilihanraya yang akan datang. Dan sememangnya UMNO BN perlu dikalahkan demi mengakhirkan segela penderitaan rakyat yang diakibatkannya selama ini.

Tiada ulasan: