Rabu, 23 Disember 2015

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


Gesaan Adenan Tanda Keberanian

Posted: 23 Dec 2015 07:51 AM PST

A Kadir Jasin

HANYA orang yang tidak ada apa-apa untuk disembunyikan aka "nothing2hide" berani menggesa media massa supaya mendedahkan ketidakadilan dan salah guna kuasa demi kebenaran.

Atau orang itu memang hebat merahsiakan kerja kotor sehingga mustahil boleh dikorek oleh media massa.

Itulah yang dilakukan oleh Ketua Menteri Sarawak, (Tan Sri) Adenan Satem pada 18 Disember baru lalu.

Berucap di majlis anugerah kewartawanan Kenyalang di Kuching, beliau menggesa pengamal media agar tidak berdiam diri.

Kebetulan waktu itu saya berada di Kuching dalam rangka tinjauan peribadi ke Sabah dan Sarawak.

Saya yakin Adenan berani membuat gesaan itu kerana beliau tidak ada apa-apa yang hendak disembunyikan atau beliau bersedia berterus terang jika ada sesuatu yang dibangkitkan mengenai beliau dan pentadbiran beliau.

Adenan berani pecah acuan

Sejak menjadi Ketua Menteri pada 1 Mac lalu, Adenan telah memecah acuan dengan mengamalkan dasar terbuka dan terus terang.

Di majlis yang sama, beliau dilaporkan berkata bahawa kerajaan pusat enggan memahami betapa buruknya rasuah yang melanda negara.

"Saya dengar banyak tahun lalu dakwaan bahawa tahap rasuah di Malaysia tidak terlalu teruk; tidak banyak kes rasuah dan salah guna kuasa berlaku, tidak seperti di sebuah negara jiran di mana rasuah dan salah guna kuasa dilakukan secara terbuka.

"Tetapi tidak lagi macam itu. Kita telah menyalah-tafsir keadaan sebenar (di Malaysia)," katanya.

Antara tindakan terawal Adenan sebagai Ketua Menteri adalah mendedahkan rasuah dan penyalahgunaan kuasa dalam industri pembalakan Sarawak.

Kuasa Kerajaan Tidak Mutlak Lagi

Di dalam membuat gesaan itu, beliau tentu sedar bahawa pada dalam era media berpaksikan Internet ini, kemampuan pihak berkuasa mengawal dan menentukan arah tuju laporan media semakin luntur dan terhad.

Jadi, walaupun mungkin ada media di Sarawak yang pro-Kerajaan, adalah mustahil bagi Adenan atau sesiapa juga mengawal keseluruhan media.

Kesimpulannya seruan beliau itu adalah ikhlas dan keberanian beliau itu berlandaskan peribahasa berani kerana benar.

Pendirian tegas beliau itu tambah bermakna menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) yang perlu diadakan tahun hadapan.

Sebarang tanda yang beliau terlalu tunduk atau taasub menyokong kepemimpinan bermasalah Perdana Menteri (Datuk Seri Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sanrobone) Mohd Najib Abdul Razak akan menjejaskan sokongan pengundi Sarawak terhadap Barisan Nasional negeri.

BN Sarawak adalah istimewa kerana ia dianggotai eksklusif oleh parti-parti anak negeri dan, dengan itu, kurang dicemarkan oleh politik BN pusat.

Ini menjadikan autonomi Sarawak dalam Persekutuan Malaysia lebih bermakna.

Sebaliknya kalau Adenan memilih untuk tidur sebantal dan berkongsi mimpi dengan Mohd Najib, beliau mungkin akan dihukum oleh pengundi Sarawak.

Wallahuaklam.

MENGAPA KERJASAMA UMNO - PAS PERLU DITOLAK?

Posted: 23 Dec 2015 07:43 AM PST

shahbudindotcom


Dua tiga hari kebelakangan ini saya banyak ditanya mengenai kerjasama UMNO dengan Pas dan mengapa tulisan di blog ini seperti menjurus kepada menentang atau menolak perkara tersebut.

Sementara ramai yang setuju bahawa kerjasama itu lebih bersifat politik dan banyak kesukarannya, beberapa rakan serta kenalan bertanya, tidak bolehkah ianya sama-sama disokong demi kepentingan Melayu dan Islam di negara ini?

Seorang pemimpin UMNO peringkat bahagian pula berkata kepada saya, kita sebagai orang Melayu dan Islam wajib menyokong usaha yang dipelopori Najib Razak itu kerana ia mampu meningkatkan maruah bangsa serta agama yang selama ini agak tercabar.

Ketika berada di sebuah lobi hotel sementara menunggu rakan, seseorang yang agak berusia dan mengaku pembaca blog saya menegur dan kemudian menyarankan agar saya turut menyumbang kepada jalinan kerjasama itu.

Katanya, lanskap politik negara akan berubah dan membawa banyak kebaikan jika kerjasama kedua-dua parti Melayu itu dapat dicantumkan.

Selalunya apabila dilontar pertanyaan dalam pertemuan secara spontan atau kebetulan itu, saya lebih banyak membiarkan saja mereka meluahkan pendapat tanpa terlalu ingin berhujah atau menegakkan pendirian saya.

Pertamanya, sebagai penulis kecil yang sekadar ingin berkongsi pandangan melalui blog ini, saya tidaklah terlalu menentang sebarang bentuk kerjasama yang boleh membawa kebaikan kepada negara.

Apa pun kebaikan kepada negara, sama ada secara langsung atau tidak langsung, akhirnya saya, keluarga dan anak-anak yang sedang membesar akan dapat juga percikan daripadanya, baik pada waktu ini mahu pun di masa akan datang.

Makanya, tidak berbaloi jika saya hanya semberono saja menentang sesuatu perkara itu.

Tetapi, dalam soal kerjasama ini, bukan saja  saya, malah ramai yang lain mungkin turut tidak bersetuju dengannya. Asasnya tidak lain ialah kerana ia semata-mata ditimbulkan atas niat, faktor dan pertimbangan politik yang seratus-peratus untuk menyelamatkan kedudukan Najib.

Kalau ada pun kepentingan agama dan bangsa, dalam pertimbangan Najib ia barangkali terletak di nombor 12 atau 13. Keutamaan nombor satu Najib tidak lain ialah untuk memastikan  kuasanya kekal lebih lama lagi.

Bukan saja Najib tidak mungkin menimbulkan idea kerjasama itu jika kedudukannya tengah kukuh, malah mustahil beliau mahu "mengenyit mata"  kepada Pas kiranya tidak dibelenggu dengan isu 1MDB dan derma RM2,600 juta melibatkan dirinya yang menyebabkan semua rakyat dan seluruh dunia mencebiknya.

Daripada kedua-dua isu itu, wang yang masuk ke akuan peribadi seorang pemimpin dan kemudian dikatakan sebagai derma adalah perkara yang tidak boleh diterima sama sekali oleh sesiapa pun jua. Bersetuju dengan kerjasama itu seolah-olah turut setuju dengan perbuatan dan cara menerima wang tersebut.

Najib barangkali beruntung kerana beliau menjadi pemimpin negara dunia ketiga di mana masih ramai rakyatnya yang tidak begitu terdedah dan boleh dilencongkan pemikirannya untuk menerima perkara itu sebagai suatu kewajaran atau menganggap seseorang pemimpin itu ada kelebihan untuk melakukan sesuatu yang di luar kenormalan.

Cuba perkara itu berlaku di negara maju di mana kesedaran mengenai wibawa, maruah dan intergriti seorang pemimpin begitu diambil berat?

Oleh kerana di sebalik mengaku menerima wang itu Najib masih juga disokong oleh UMNO untuk memimpin negara ini, bermakna menjadi tanggungjawab kita semua untuk menunjukkan penolakan terhadap apa juga kaedah untuk menyelamatkan dirinya, sekurang-kurangnya bagi membuktikan rakyat negara ini masih ada maruah, harga diri dan tahu menilai pemimpin yang baik.

Kedua, kerjasama kedua-dua parti itu mungkin boleh diterima kewajarannya jika Najib tidak terlibat dengan isu berat berkaitan wang derma itu atau sekiranya setelah beliau bukan lagi mengetuai UMNO dan menjadi Perdana Menteri.

Kerjasama dengan Pas hanya sesuai ketika UMNO dipimpin oleh orang lain selain Najib yang tidak terkait dengan isu wang seberat RM2,600 juta. Ia lebih mudah diterima ketika itu dan bukan di ketika Najib yang cukup cukup tercemar mengetuai UMNO.

Bolehkah kita bayangkan apa akan jadi kepada rakyat dan negara, malah bentuk kepimpinan serta perlakuannya selepas ini jika kerjasama itu menjadi kenyataan dan Najib terus kekal lagi sebagai Perdana Menteri?

Dalam konteks yang lain iaitu faktor ketiga, jika kerjasama itu berjaya dan Najib mampu mempertahankan kuasanya, ia juga akan menyebabkan Pas bakal dihukum oleh sejarah kerana bersubahat dengan pemimpin yang mengikut hukum akal dan kewarasan manusia normal, tidak boleh dipertahankan sama sekali.

Dalam hal ini, baik juga masih ada pemimpin utama Pas seperti Tuan Ibrahim Tuan Man dan Idris Ahmad yang berani bersuara dan sekaligus memperlihatkan nilai tidak mudah bersekongkol dengan keburukan serta sesuatu yang dibenci oleh majoriti rakyat.

Bukan saja rakyat, malah ahli Pas juga seharusnya terus bersama-sama dengan pendirian Tuan Ibrahim dan Idris itu demi maruah dan kecintaan kepada negara.

Daripada menjalin kerjasama dengan UMNO yang dipimpin oleh Najib dan kemudian tujuannya juga untuk terus mengekalkan beliau di persada Seri Perdana, jauh lebih baik bagi Pas bersama-sama dengan pakatan pembangkang untuk membawa perubahan menyeluruh yang akhirnya mendatangkan banyak manfaat kepada rakyat.

Lantaran itu, kepada yang bertanya mengenai kecenderungan tulisan dalam blog ini berkaitan kerjasama UMNO dan Pas, artikel kali ini barangkali dapat menjawabnya.


Dilema Umno dan PAS

Posted: 23 Dec 2015 07:40 AM PST


Oleh Dr Marzuki Mohamad


Hasil perubahan sosial dan politik yang berlaku sejak sekian lama, masyarakat majmuk Malaysia hari ini lebih menghargai parti dan pemimpin politik yang telus, jujur, amanah dan berintegriti daripada semata-mata menjadi jaguh kaum.
 
 
 
UMNO PAS


Ura-ura mengenai kerjasama antara UMNO dan PAS telah sekian lama kedengaran namun tidak pernah menjadi kenyataan. Selepas gabungan UMNO dan PAS di dalam BN berakhir pada tahun 1978, cadangan supaya kedua-dua parti ini bekerjasama semula terus kedengaran atas nama perpaduan Melayu.

Hal ini dibincang dengan lebih serius khususnya selepas pilihanraya umum 2008. Kegagalan BN mempertahankan majoriti 2/3 dalam pilihanraya umum tersebut dan kemaraan parti pembangkang terutama DAP menguasai sokongan bukan Melayu menyebabkan timbulnya desakan supaya UMNO dan PAS bekerjasama demi memperkuatkan kuasa politik Melayu.

UMNO secara umumnya dilihat lebih terbuka mengajak PAS berkerjasama. PAS sebaliknya tidak menunjukkan sikap positif secara terbuka. Walaupun sebahagian pimpinan PAS agak lunak untuk bekerjasama dengan UMNO, namun terdapat banyak tentangan dari dalam PAS sendiri. Sebahagian pimpinan PAS mahu parti itu terus kekal di dalam Pakatan Rakyat (sekarang Pakatan Harapan) dan menentang keras idea kerjasama dengan UMNO.

Bagi UMNO, kerjasama dengan PAS adalah talian hayat yang paling mujarab untuk menghadapi PRU 14 dalam keadaan sokongan kepada parti itu semakin merosot. Bagi PAS pula, perbalahan parti itu dengan DAP dan keretakan hubungan dengan PKR menjadikan kerjasama dengan UMNO sebagai alternatif yang menarik untuk kekal relevan dalam pentas politik negara. PAS dan UMNO sebenarnya mempunyai masalah yang tersendiri dan amat memerlukan antara satu sama lain.

Buat masa ini, bentuk kerjasama politik yang dimaksudkan masih belum jelas. Samada dalam bentuk gabungan politik (political coalition), iaitu PAS menjadi sebuah parti yang bergabung dengan UMNO serta mempunyai dasar dan prinsip perjuangan yang sama, atau sekadar mewujudkan pakatan pilihanraya (electoral pact), iaitu persefahaman di mana PAS tidak akan bertanding di mana-mana kerusi yang ditandingi oleh UMNO dan begitu juga sebaliknya tanpa ada apa-apa komitmen dari segi dasar dan prinsip perjuangan.

Walau apa pun, secara dasarnya kerjasama UMNO dan PAS adalah sesuatu yang baik. Selain dapat mengatasi masalah perpecahan dalam masyarakat Melayu, ia juga boleh mewujudkan kestabilan politik di negara ini.

Namun begitu, ada beberapa persoalan yang perlu diambil kira oleh PAS dan UMNO sebelum membuat keputusan muktamad untuk bekerjasama pada waktu ini.

Pertama, PAS sendiri berpecah. Kewujudan PASMA dan kemudiannya Parti Amanah Negara (PAN) yang merupakan serpihan PAS secara tidak langsung adalah kesan daripada konflik dalaman PAS berhubung isu ini. Bahkan PAS yang ada sekarang ini pun masih tidak seia sekata dalam isu mewujudkan kerjasama politik dengan UMNO. Kalangan elit PAS mungkin lebih selesa bekerjasama dengan UMNO berbanding DAP, tetapi di negeri di mana PAS mempunyai pengalaman yang lebih baik berada dalam kerajaan Pakatan Harapan, mereka mungkin lebih selesa untuk kekal bersama PKR dan DAP. Adakah mungkin PAS akan berpecah lagi selepas ini jika hasrat kerjasama dengan UMNO diteruskan?

Kedua, selepas PRU 1999, PAS telah berjaya menarik golongan Melayu profesional dan progresif untuk menyertai parti itu. Kerjasama PAS dengan PKR dan DAP telah mengubah imej parti itu daripada sebuah parti Islam yang tradisional dan konservatif, kepada sebuah parti yang berwajah progresif. Sehinggakan pada satu ketika PAS begitu popular dengan slogan 'PAS for All' dan konsep Negara Berkebajikan.

Kesannya, PAS telah berjaya melebarkan sayapnya ke negeri-negeri pantai barat seperti Pulau Pinang, Perak, Selangor, Melaka dan Johor yang sebelum ini didominasi oleh UMNO. Namun, imej progresif PAS kembali pudar selepas ramai pemimpin yang mewakili wajah progresif parti itu menyertai Parti Amanah dan kembalinya debat pelaksanaan undang-undang hudud di negeri Kelantan. Kerjasama dengan UMNO atas dasar 'UMNO menyokong dasar-dasar Islam PAS' termasuk pelaksanaan hudud di Kelantan berkemungkinan akan menyebabkan sisi konservatif PAS menjadi semakin tegar berbanding sisinya yang lebih progresif. Apakah tidak mungkin PAS selepas ini akan kembali menjadi parti Islam yang hanya berkongsi pengaruh dengan UMNO di negeri-negeri Melayu tradisi seperti Kedah, Kelantan dan Terengganu dan pengaruhnya di negeri-negeri pantai barat akan diambil alih oleh Parti Amanah?

Ketiga, UMNO sedang berhadapan dengan masalah defisit kepercayaan yang agak serius pada masa ini. Ahli-ahli UMNO sendiri mula mempersoalkan kredibiliti kepimpinan UMNO akibat skandal 1MDB dan derma politik RM2.6 billion. Adakah imej PAS tidak akan terpalit sama jika parti itu mewujudkan kerjasama politik dengan UMNO dalam keadaan UMNO sedang bergelut dengan masalah dalamannya sendiri pada waktu ini?

Keempat, adakah UMNO bersedia untuk bekerjasama dengan PAS dalam keadaan PAS menjadi parti yang lebih berwajah konservatif dan tradisional. Bersediakah UMNO untuk menyokong dasar-dasar Islam PAS termasuk pelaksanaan hudud sebagai prasyarat untuk bekerjasama dengan PAS? Adakah UMNO yang selama ini dilihat sebagai sebuah parti Melayu yang moderat dan sederhana serta mendapat sokongan rakyat pelbagai kaum dan agama menerusi Barisan Nasional bersedia untuk menjadi sebuah parti Melayu yang lebih konservatif dan tradisional semata-mata untuk bekerjasama dengan PAS?

Landskap politik Malaysia sedang berubah dengan pantas. Nilai-nilai integriti, ketelusan, amanah dan kecekapan semakin dipandang tinggi oleh rakyat. Walaupun isu kaum dan agama akan terus menjadi penanda aras penting dalam politik Malaysia, namun ia bukanlah satu-satunya faktor yang menentukan sokongan rakyat terhadap mana-mana parti politik. Hasil perubahan sosial dan politik yang berlaku sejak sekian lama, masyarakat majmuk Malaysia hari ini lebih menghargai parti dan pemimpin politik yang telus, jujur, amanah dan berintegriti daripada semata-mata menjadi jaguh kaum.

Keadaan yang ideal untuk PAS bekerjasama dengan UMNO ialah apabila UMNO bebas sepenuhnya daripada masalah defisit kepercayaan terhadapnya dan PAS sendiri berjaya membuktikan bahawa ia adalah sebuah parti Islam yang moderat, progresif dan boleh diterima oleh masyarakat pelbagai kaum. Barulah gabungan UMNO dan PAS akan mendapat sokongan majoriti rakyat.

Dalam keadaan PAS semakin bergerak meninggalkan sisi progresif parti itu untuk kembali menjadi parti yang konservatif dan tradisional, dan UMNO pula terperangkap dalam masalah defisit kepercayaan yang serius, gandingan kedua-dua parti ini belum tentu mendapat dokongan majoriti rakyat yang semakin celik politik.

UMNO dan PAS tidak mempunyai banyak pilihan. Kedua-duanya berada di dalam dilema dan amat memerlukan antara satu sama lain. Namun, kedua-dua parti masih boleh memilih samada untuk bergerak ke hadapan atau berundur ke belakang.

Dr Marzuki Mohamad ialah Profesor Madya di Jabatan Sains Politik, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Rogol, liwat: Pegawai kanan polis dipenjara 100 tahun

Posted: 23 Dec 2015 07:29 AM PST

MALAYSIAKINI


 


Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu hari ini menjatuhkan hukuman penjara berjumlah 100 tahun dan 15 kali sebatan terhadap seorang pegawai kanan polis bagi lima pertuduhan merogol dan meliwat seorang remaja perempuan, tiga tahun lalu.

Hakim Ainul Shahrin Mohamad mendapati DSP Rohaizat Abd Ani, 56 bersalah atas empat pertuduhan merogol dan satu pertuduhan meliwat remaja berumur 13 tahun antara Februari dan Mei 2012.

Hakim memerintahkan hukuman 20 tahun penjara masing-masing bagi pertuduhan pertama dan kedua dijalankan secara serentak, manakala tiga pertuduhan lagi, masing-masing 20 tahun penjara dijalankan secara berturut-turut.

Rohaizat didapati bersalah merogol remaja itu pada empat waktu berasingan iaitu pada 1 Februari 2012 antara pukul 4.30 petang dan pukul 5.30 petang di bilik Hotel Tang Dynasty; antara pukul 12.30 petang dan pukul 1.30 petang pada 2 Februari 2012 di bilik lain di hotel yang sama; dan pada 1 dan 6 Mei 2012 pukul 8 pagi di sebuah bilik hotel sama; pada pukul 3 pagi antara 1 dan 6 Mei 2012 di sebuah bilik hotel yang sama.

Dia juga bersalah kerana meliwat remaja itu antara pukul 4.30 petang dan pukul 5.30 petang pada 1 Februari 2012 di sebuah bilik hotel yang sama.

Hakim turut membenarkan hukuman digantung bagi membolehkan Rohaizat membuat rayuan di Mahkamah Tinggi dan menetapkan jaminan RM100,000 dengan satu penjamin tempatan.

Mahkamah juga memerintahkan Rohaizat supaya menyerahkan pasportnya dan melaporkan diri di Bukit Aman dua kali setiap bulan iaitu pada tarikh 1 dan 15 hari bulan.

Rohaizat pernah bertugas sebagai ketua polis Setiu dan timbalan ketua Pasukan Simpanan Persekutuan di Pulau Pinang ketika dia mula dituduh pada Ogos 2013.- Bernama


Anak tak cukup zat angkara tekanan ekonomi

Posted: 23 Dec 2015 07:27 AM PST

 
Ibu bapa muda berdepan dengan kejutan apabila mendapati mereka tidak dapat mengikut dan mengawal perbelanjaan barangan bayi dan kanak-kanak yang semakin mahal.
 
 
susu-anak


Usah bercakap mengenai rintihan pasangan muda yang sukar membeli rumah, tidak mendapat pendapatan isi rumah yang mencukupi, atau masalah kesukaran mengumpul wang apabila perkara yang paling asas, membesarkan anak pun sudah cukup mencabar.

Jika lima tahun dahulu anda masih boleh membeli tepung susu, lampin dan barangan kebersihan seperti sabun, syampu dan losyen menggunakan RM100, kini jangan harap lagi! Entah-entah dengan RM100 yang sama, susu dan lampin pun tak lepas.

Maksudnya niat ibu bapa muda menjadi yang terbaik untuk cahaya mata masing-masing terbatas dari segi sosio-ekonomi.

Ibu bapa muda masa kini ternyata antara pihak yang paling tidak bernasib baik selepas kenaikan berantai ekoran cukai barangan dan perkhidmatan (GST), kenaikan harga bahan api, harga barangan, pemansuhan subsidi dan lain-lain.

Semua perangkap yang menghimpit mereka dikenakan atas nama dasar kerajaan yang kononnya untuk kebaikan rakyat. Mana baiknya, saya pun tak tau!

Saban hari, seorang rakan, ibu muda kepada anak berusia 2 tahun akui terpaksa berjimat tepung susu anaknya kerana tidak tahan dengan belanja makanan ruji bayi yang mencecah RM150 untuk kegunaan tidak sampai dua minggu.

"Saya terpaksa mengubah jumlah sudu yang disyorkan daripada lima kepada hanya tiga sudu supaya dapat menyimpan tepung susu sedikit lebih lama. Saya tahu, ia akan mengurangkan manfaat nutrisi tetapi saya tiada pilihan," katanya. Dia yang hanya mahu dikenali sebagai Prema mengakui membelanjakan lebih RM300 untuk tepung susu sahaja.

Satu laporan laporan portal Roketkini pada tahun 2014 pernah melaporkan data Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menunjukkan 62% pekerja berpendapatan bulanan kurang RM2,000 sebulan.

Manakala Jabatan Statistik melaporkan, purata gaji bulanan rakyat Malaysia adalah pada kadar RM1,700.

Dikaitkan dengan kadar gaji tersebut, faham-faham sendirilah kesukaran yang dihadapi oleh pasangan muda yang bukan hanya terikat dengan belanja untuk anak, tetapi sewa rumah, kereta, makan minum sendiri, perbelanjaan pengangkutan, kesihatan, insurans (kalau ada) dan sebagainya.

Kalau pendapatan isi rumah RM4,000 sekalipun mustahil cukup!

Seorang lagi bapa muda yang baru mendapat anak sebulan lalu terkejut dengan harga barangan bayi apabila pertama kali membeli-belah untuk anak lelakinya itu.

"Saya tak sangka, saya terpaksa membelanjakan lebih satu perempat daripada gaji sekadar untuk membeli makanan dan barangan asas bayi. Mungkin selepas ini saya akan berfikir sekali dua sebelum membeli," katanya yang hanya mahu dikenali sebagai Kevin.

Tinjauan di pusat beli-belah dan kedai mendapati kenaikan barangan yang anak signifikan. Misalnya jika tiga hingga lima tahun dulu, lampin kanak-kanak paling murah di pasaran ialah sekitar RM22 kini ia meningkat kepada RM32.90. Itupun harga promosi dan bilangan lampin pula sudah dikurangkan.

Lebih kronik, ada juga ibu bapa yang sanggup berlaparan atau berhutang, berikutan pelbagai 'nikmat' polisi kerajaan yang menjurus kepada kenaikan harga.

"Saya terikat dengan beberapa kelas aktiviti tambahan di luar sekolah. Kelas bahasa Inggeris, Matematik, muzik dan sebagainya. Kami terpaksa memperuntukan hampir RM1,500 untuk perbelanjaan bulanan kedua-dua anak. Ada hari-hari saya terpaksa menelan air liur sahaja," kata seorang lagi bapa, seorang pegawai pentadbir, Ridzuan Anas dari Klang.

Menurut Presiden Persatuan Ekonomi Pengguna dan Keluarga Malaysia (Macfea), Prof. Dr. Laily Paim, ibu bapa muda pada masa kini terpaksa mamahami paten ekonomi yang tidak menyebelahi mereka.

Katanya, tidak dinafikan kenaikan harga barang tidak selari dengan pendapatan dan ibu bapa muda perlu banyak belajar mengimbangi diri dengan economizing behaviour iaitu amalan berjimat-cermat.

"Apa yang penting buat masa ini ialah kita menetapkan apa yang perlu, penting dan berpatutan sahaja," tambah beliau.

Akan tetapi, Dr Laily juga berpendapat pihak penguatkuasa dan kerajaan masih boleh mengawal harga barangan khususnya melibatkan barangan asas atau utama kegunaan bayi dan kanak-kanak. Beliau yakin kaedah ini jika boleh dilaksana akan memberi kelegaan selain lebih banyak ruang untuk ibu bapa muda memberikan yang terbaik untuk anak mereka.

Hati-hati dengan perancangan pecah-belahkan Pas – Iskandar

Posted: 23 Dec 2015 06:27 AM PST

 
Abdul Hadi hanya sekadar menghadiri Multaqa Al-Azhar tetapi terdapat media yang mencanangkan seolah-olah Pas akan bersatu dengan UMNO


Iskandar-Abdul-Samad_hadi-awang_600


PETALING JAYA: Ahli-ahli Pas diingatkan agar berhati-hati dengan perkembangan politik semasa yang dilihat mempunyai perancangan halus untuk memecah-belahkan parti itu.

Naib Presiden Pas, Datuk Iskandar Abdul Samad berkata, Presiden mereka, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sekadar menghadiri Multaqa Al-Azhar pada minggu lalu tetapi terdapat media yang mencanangkan seolah-olah Pas akan bersatu dengan UMNO atau Pas akan menubuhkan kerajaan perpaduan bersama UMNO.

"Pimpinan UMNO pula kelihatan bersungguh-sungguh untuk `meminang' Pas.

"Media-media yang selama ini memusuhi Pas atau sentiasa memburuk-burukkan pimpinan Pas telah menjadikan isu ini berita utama mereka. Kononnya pelbagai inisiatif sedang dirancang bersama oleh kedua-dua parti.

"Mereka mendakwa terdapat kumpulan yang menyokong perpaduan bersama UMNO dan terdapat kumpulan yang menentang. Mungkin agar ahli-ahli Pas bergaduh sesama sendiri," katanya menerusi kenyataan pada Rabu.

Beliau yang juga merupakan Pesuruhjaya Pas Selangor menyeru agar ahli-ahli parti itu berwaspada dengan taktik tersebut kerana 'political move' dari UMNO itu berkemungkinan terdapat 'udang di sebalik batu'.

"Umat Islam juga sentiasa diingatkan agar tidak digigit dari lubang yang sama," tegasnya.

Perbincangan perpaduan di antara Pas dan UMNO kembali rancak selepas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Hadi duduk sepentas memakai baju Melayu sedondon pada perasmian pembukaan Majlis Multaqa Serantau Alumni Al-Azhar Malaysia pada 17 Disember lalu.

Najib dalam ucapannya turut menghulurkan salam perpaduan dengan memetik beberapa potong ayat al-Quran sambil menyeru Pas bekerjasama dengan UMNO.

AG mesti tumbangkan Ali Tinju pada pusingan dua

Posted: 23 Dec 2015 06:24 AM PST

MALAYSIAKINI


 


Dia seorang badut tetapi membawa budaya yang amat bahaya kepada masyarakat, kata Rafizi Ramli kepada Mohamed Apandi.

Pada pusingan pertama, Mohd Ali Baharom yang lebih dikenali sebagai Ali Tinju terlepas daripada undang-undang apabila Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali tidak mendakwanya kerana kekurangan bukti berhubung rusuhan di Plaza Low Yat.

Sebaliknya, pusingan itu menyaksikan Mohamed Apandi Ali dihujani 'pukulan' daripada orang ramai yang tidak berpuas hati dengan keputusan itu.

Lima bulan kemudian, kedua-dua mereka sekali lagi dalam gelanggang dan kali ini Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli menggesa Peguam Negara untuk menumbangkan "badut" itu.

"Banyak salah laku Ali Tinju yang mahu membodek ahli politik Umno, ini satu gambaran yang tidak baik bagi masyarakat kita secara keseluruhan.

"Kebangkitan Ali Tinju yang jelas mengancam masyarakat adalah gejala yang menjadi alat untuk menindas perbezaan pendapat.

"Ali Tinju dan macai-macainya boleh digunakan pada bila-bila masa terhadap seseorang," katanya kepada Malaysiakini.

'Tarian Punggung'

Mohd Ali yang juga adalah bekas prsiden Persatuan Veteran Tentera Melayu (PVTM) ditahan mengikut Akta Hasutan pada Isnin lalu berhubung kenyataan beliau di kompleks membeli-belah Kota Raya minggu lalu.

Dia dan penyokongnya mengadakan bantahan di luar kompleks itu terhadap peniaga telefon bimbit Cina yang dituduh menipu dan memperdayakan pelanggan Melayu dan Islam.

Sebelum memegang peranan sebagai wira telefon bimbit, Mohd Ali mencetuskan kontroversi apabila dia mengetuai sekumpulan lelaki dalam mempamerkan 'tarian punggung' di luar kediaman bekas pengerusi BERSIH Datuk Ambiga Sreenevasan.

Beliau juga berperanan penting pada demonstrasi baju merah pada 16 September lalu bagi memberi amaran kepada bantahan BERSIH 4 yang menuntut Datuk Seri Najib Razak berundur sebagai perdana menteri.

Sementara itu, Rafizi juga menyatakan bagaimana Mohd Ali terpaksa menyemai benih perkauman dan memanipulasi isu bangsa dan agama bagi mewajarkan tindakan samsengnya itu.

"Kegagalan menyelesaikan masalah ini memberi gambaran bahawa masyarakat kita bertoleransi, atau tidak mampu menghalang trend yang jelas bahaya kepada masyarakat," katanya.

Oleh itu, Rafizi yang juga adalah ahli parlimen Pandan berhujah bahawa Peguam Negara mempunyai tanggungjawab kepada masyarakat untuk menghentikan jenama samseng yang dijaja oleh Mohd Ali.

"Sebagai seorang Melayu dan beragama Islam, Peguam Negara juga mempunyai tanggungjawab untuk mengekang individu seperti Ali Tinju yang menyimpang serta memberikan gambaran yang salah bahawa orang Melayu adalah samseng yang turun ke jalanan dan menakut-nakutkan bangsa lain.

"Walaupun ramai yang beranggapan Ali Tinju hanya seorang badut yang patut diabai, namun fenomena ini membimbangkan dan mesti dipatahkan pada peringkat awal," katanya.


Penipuan visa - Kementerian gantung 4 universiti, kolej swasta

Posted: 23 Dec 2015 06:19 AM PST

Geraldine Tong



 


Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh mengumumkan empat institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) digantung daripada menerima pelajar antarabangsa yang baru.

Keputusan itu dibuat berikutan laporan bahawa warga asing datang ke Malaysia untuk bekerja menggunakan visa pelajar sehingga ada kolej swasta di negara ini dirujuk sebagai 'kolej visa'.

Idris berkata mereka telah memeriksa semua universiti dan kolej swasta dan seterusnya menggantung empat daripada mereka daripada menerima pelajar antarabangsa baru.

"Sebab itu kita ke institusi pengajian tinggi swasta itu supaya kita boleh semak jika mereka (pelajar yang mempunyai visa) berada di sekolah atau tidak. Itulah sebabnya kita gantung empat IPTS," katanya pada sidang akhbar di Putrajaya.

Seorang pegawai dari kementerian itu kemudian berkata mereka tidak dibenarkan untuk mendedahkan nama-nama universiti dan kolej berkenaan.

Idris berkata, sebahagian besar pekerja asing yang datang ke Malaysia menggunakan visa pelajar datang dari pusat bahasa.

Beliau juga menegaskan bahawa dengan sistem baru kad pelajar yang dilancarkan tahun lalu, adalah lebih mudah bagi kerajaan untuk mengenal pasti mereka yang mempunyai visa pelajar tetapi bukan sebenarnya seorang pelajar.

"Ramai daripada mereka datang melalui pusat bahasa di mana mereka diberi tempoh visa tiga bulan.
"Kami tidak boleh kawal sebelum ini kerana mereka tidak mempunyai kad pelajar.

"Sekarang mereka mempunyai kad pelajar yang akan menghadkan mereka selama tiga bulan sahaja jadi apabila mereka ditangkap, kita akan tahu bahawa mereka telah tinggal melebihi tempoh," katanya.

Idris juga menegaskan bahawa hanya 0.075 peratus daripada pelajar antarabangsa terlibat dalam jenayah di negara ini.

Beliau juga menjelaskan bahawa sesetengah visa pelajar membolehkan mereka untuk bekerja dalam bidang yang sama seperti apa yang mereka pelajari.

Idris turut mengumumkan bahawa kabinet semalam meluluskan tiga kaedah baharu untuk memperkasa pengambilan pelajar antarabangsa, berkuat kuasa 1 Januari 2016.

Menurutnya, kaedah berkenaan ialah pelaksanaan permohonan pas pelajar antarabangsa secara dalam talian dibuat oleh pelajar sendiri terus kepada Perkhidmatan Pendidikan Global Malaysia (EMGS).

"Selain itu, pas pelajar akan dikeluarkan mengikut tempoh pengajian manakala pas lawatan sosial bagi Program Mobiliti boleh dikeluarkan untuk tempoh maksimum 12 bulan.

"Usaha ini membabitkan kerjasama antara Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Kementerian Dalam Negeri (KDN), Jabatan Imigresen, EMGS dan agensi penguat kuasa lain.

"Langkah ini dijangka dapat membantu mempercepatkan dan meningkatkan ketelusan dalam proses permohonan," katanya.

Idris berkata, inisiatif ini diharap dapat melonjakkan usaha kerajaan dalam mencapai sasaran enrolmen penuntut antarabangsa yang berkualiti iaitu 200,000 penuntut menjelang tahun 2020.

'PAS hanya kerjasama, bukan gabung BN'

Posted: 23 Dec 2015 06:17 AM PST

BERNAMA





PAS hari ini menegaskan parti itu hanya bekerjasama dengan Umno dalam beberapa perkara melibatkan kepentingan Islam, masyarakat serta negara, dan bukannya menyertai BN sebagai parti komponennya.

Naib Presiden PAS Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata ia merupakan pendirian PAS sejak dari dulu lagi dan bukannya merupakan perkara baru dalam pendekatan politik mereka.

"Cuma mungkin dalam suasana yang ada pada hari ini ia (kerjasama) menimbulkan banyak spekulasi. Untuk bersatu dengan Umno, masuk BN, itu semua tak ada.

"PAS memang (sedia) bekerjasama dalam isu-isu yang menyentuh kepentingan ramai," katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat exco di Kompleks Kota Darul Naim di Kota Bharu, hari ini.

Beliau diminta mengulas agenda perpaduan antara kedua-dua parti politik itu dalam usaha memperkukuhkan umat Islam di negara ini.

Usaha ke arah perpaduan itu bermula dengan kenyataan Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Perdana Menteri yang menghulur "tali silaturrahim" kepada PAS pada Perhimpunan Agung Umno 2015 baru-baru ini.

Apa tujuan AMANAH

Ia diperkukuhkan lagi dengan kehadiran bersama Najib dan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada perhimpunan Multaqa Serantau Alumni al-Azhar Malaysia pada minggu lepas.

Mohd Amar yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan berkata keputusan untuk bekerjasama dengan Umno dalam beberapa isu yang disepakati itu telah dibincangkan di peringkat parti.

"Benda ini (kerjasama) kita bincang di peringkat PAS Pusat dalam Lajnah Politik dan bukan keputusan presiden (Abdul Hadi ) seorang saja.

"(Semua) setuju, tak ada masalah (untuk bekerjasama dengan Umno). Sebab ini menyentuh kepentingan Islam. Bukan dengan Umno sahaja, dengan siapa-siapa kita boleh bincang, kita boleh duduk sekali," katanya.

Dalam perkembangan lain, Mohd Amar berkata Parti Amanah Negara (AMANAH) perlu mengotakan janji mereka untuk menyokong PAS dalam pilihan raya umum akan datang dan bukannya bertindak meletakkan calon mereka untuk bertanding di Kelantan.

"(Pengerusi AMANAH Kelantan) Datuk Wan Abdul Rahim (Wan Abdullah) pernah sebut dari awal parti itu tidak akan kacau Kelantan, (malah) mereka akan bersama dengan PAS untuk pertahan Kelantan daripada Umno.

"Apa tujuan AMANAH nak bertanding sebab bagi saya, jelas tindakan itu akan membantu Umno kerana ia akan memecahkan undi," katanya.

Presiden AMANAH Mohamad Sabu sebelum ini dilaporkan berkata parti itu akan meletakkan calonnya di Kelantan pada pilihan raya umum PRU akan datang.- Bernama


Polis, SKMM gagal tangani provokasi palsu Perkasa bakar gereja

Posted: 23 Dec 2015 06:12 AM PST

 
Menjelang hari Natal, mereka cuba buat provokasi lagi dan laporan polis tahun lepas masih tiada tindakan diambil, tiada tindakan susulan daripada SKMM.


Irwan-Fahmi-Idris


KUALA LUMPUR: Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) mempersoal kegagalan pihak polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia ( SKMM) bertindak keatas pihak yang menyebarkan berita palsu kononnya NGO itu membakar gereja setahun lalu.

Ketua Wira Perkasa, Irwan Fahmi Idris berkata, pihaknya kesal apabila tiada tindakan yang diambil terhadap laporan yang dibuat Disember tahun lalu sehingga pihak yang sama sekali lagi melakukan provokasi dengan memuat naik gambar tersebut di laman sosial Facebook.

"Menjelang hari Natal, mereka cuba buat provokasi lagi dan laporan polis tahun lepas masih tiada tindakan diambil, tiada tindakan susulan daripada SKMM.

"Saya meminta SKMM ambil perhatian serius kerana ia bukan sahaja bersifat penipuan tetapi juga hendak menjatuhkan Perkasa," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis kali kedua di IPD Dang Wangi pada Selasa berhubung isu sama.

Beliau juga mempersoal status laporan Perkasa yang tidak diendahkan.

"Kita pun tak tahu apa status laporan Perkasa tahun lepas. Kita dah tanya kenapa tiada tindakan susulan.
Adakah sebab Perkasa tiada VIP di dalamnya?

"SKMM dan polis tolong siasat dan ambil kenakan hukuman setimpal. Jangan sebab tiada orang berkepentingan dalam perkara ini tiada tindakan dibuat.

Perkasa pada Disember 2014 membuat satu laporan polis berikutan dakwaan pihaknya akan membakar sebuah gereja di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur selepas berita berkenaan disebarkan melalui Facebook.

Pemilik akaun itu yang menggunakan nama 'Ayahnda Raja Provokasi' mendakwa insiden itu melibatkan PERKASA selain turut memuat naik sekeping gambar.

Touch ‘n Go nafi kenakan GST tahun depan

Posted: 23 Dec 2015 06:05 AM PST

 
Touch 'n Go berkata khabar angin bahawa caj 6 peratus GST akan dikenakan bagi setiap transaksi bermula 1 Januari 2016 adalah tidak benar.


touch-n-go


PETALING JAYA: Touch 'n Go menafikan khabar angin bahawa mereka akan mengenakan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) bagi setiap isian semula nilai bermula 1 Januari 2016.

Dalam satu kenyataan di laman Facebook rasminya, Touch 'n Go berkata, GST hanya dikenakan ke atas bayaran RM0.50 bagi isian semula yang dibuat di agen seperti stesen petrol dan peniaga runcit seperti pasar raya Giant dan rangkaian 7-Eleven.

"Dan perkhidmatan tambah nilai tanpa bayaran masih ada di Hub Touch 'n Go, Touch 'n Go SPOT, laluan tambah nilai di plaza tol, pasar raya Tesco, Watson, KK Super Mart dan Guardian, stesen Petronas terpilih, Kiosk Layan Diri dan mesin ATM," katanya lagi.

Khabar angin mula tersebar di media sosial dan aplikasi WhatsApp hari ini bahawa syarikat itu akan mula mengenakan caj 6 peratus GST bagi setiap transaksi bermula tahun depan.

Adakah PKR pengkhianat? – Mohd Zuhdi

Posted: 23 Dec 2015 05:58 AM PST

 
Kenyataan Wan Azizah berhubung rundingan pengagihan kerusi PRN Sarawak membayangkan PKR tidak setia kepada tahaluf siyasi


dr,wan-azizah


PETALING JAYA: Kenyataan Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang mengatakan rundingan pengagihan kerusi di Sarawak hanya akan dilakukan dengan DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) menunjukkan parti itu bersedia mengkhianati kerjasama politik dengan PAS.

"Apabila keluar kenyataan seperti ini, tidak mustahil pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, pendekatan seperti itu akan digunakan iaitu PAS tidak boleh bertanding di banyak kerusi, hanya di Kelantan, dan kubu PAS di kawasan Melayu.

"Kalau ini berlaku, ia satu bentuk ketidaksetiaan, pengkhianatan kepada hubungan tahaluf siyasi PAS dan PKR," kata Pengarah Operasi Pusat Penyelidikan PAS, Dr Mohd Zuhdi Marzuki kepada FMT ketika dihubungi pada Rabu.

Dalam perkembangan sama, Zuhdi turut mempersoalkan adakah PKR juga akan membelakangkan PAS dalam pilihan raya umum akan datang, terutamanya di Selangor.

"Saya nampak kepentingan yang paling besar (bagi) PKR adalah di Selangor. Kemungkinan dan persoalan apakah bila sesi penggal pemerintahan kerajaan Selangor berakhir iaitu pada PRU akan datang, PAS sudah tidak ada kepentingan buat PKR.

"Adakah PKR akan ambil pendekatan yang sama seperti di Sarawak? Nanti, PKR akan kata PAS tidak layak dapat kerusi di Selangor," ujarnya.

Kenyataan Wan Azizah pada Isnin menepis pembabitan Pas dalam persiapan pakatan pembangkang menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-11.

Menjawab pertanyaan FMT, Wan Azizah berkata isu pengagihan kerusi hanya dibincangkan dengan DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) kerana PAS kurang mendapat sambutan di negeri itu.

Sedondon merah jambu yang sarat isyarat

Posted: 22 Dec 2015 04:08 PM PST

Dr Maszlee Malik


 


ULASAN Pertemuan sepentas dua presiden bagi dua parti umat Islam terbesar di Malaysia dalam acara Multaqa Alumni al-Azhar baru-baru ini menimbulkan pelbagai polemik dan perdebatan di pelbagai media.

Pakaian sedondon, nada ucapan yang seiring sekata dan resolusi yang menjurus kepada 'perpaduan' Umno-PAS demi Islam dan bangsa Melayu memberikan impak yang cukup untuk 1,001 spekulasi dan ramalan warga Malaysia.

Di sebalik semua polemik yang ditimbulkan, perlu diakui bahawa kedua-dua presiden parti Umno dan PAS tersebut berjaya melakukan sesuatu yang gagal dilakukan oleh presiden-presiden kedua-dua parti, selepas era Tun Razak dan Datuk Asri Muda (gambar).

Hal ini perlu diakui dan kejayaan mereka perlu diiktiraf.

Mungkin ada yang ingin menyamakan pertemuan dua presiden tersebut dengan perkongsian pentas Tun Mahathir Mohamad dengan almarhum bekas presiden PAS Fadhil Noor.

Dua pertemuan tersebut tidak sama, walaupun kedua-dua pertemuan itu menemukan presiden Umno dan PAS sepentas.

Dalam pertemuan Mahathir dan Fadhil, isu utamanya ialah isu Palestin. Penganjurnya pula ialah Angkatan Beliau Islam Malaysia (ABIM).

Resolusinya pula ialah berkaitan isu Palestin yang pada waktu kini membuahkan hasil dari pertemuan tersebut.
Pertemuan Mahathir dan Fadhil (gambar) tidak membawa manifestasi politik, malah kedua-duanya tidak berpakaian sedondon dan tidak pula berlangsung di kala reputasi politik Mahahir sedang nazak.

Jika ada pihak yang sepatutnya mendapat kredit dari pertemuan tersebut, maka ABIM adalah pihak tersebut.

Sedondon, sarat isyarat

Pertemuan baru-baru ini memang membawa mesej dan motif politik. Tiada sesiapa dapat menafikan bahawa tema pertemuan dua presiden berpakaian sedondon itu pun sarat dengan isyarat politik.
Malah resolusi yang dikemukakan juga terang-terangan membawa implikasi politik.

Mereka bukannya berbincang atas isu keperluan kedua-dua parti melawan keganasan kumpulan bersenjata Negara Islam (IS) mahupun Bashar al-Asad (gambar) dalam multaqa tersebut.

Kedua-dua presiden juga tidak membicarakan tentang kematian demokrasi dan keadilan di Mesir yang dibunuh oleh rejim Jeneral al-Sisi yang didukung agamawan Universiti al-Azhar.

Mereka juga tidak berbincang tentang cara untuk menangani kemerosotan kualiti graduan al-Azhar mutakhir ini, terutamanya dalam penguasaan bahasa Arab dan penguasaan ilmu serta cara untuk mengatasinya.

Walaupun ketiga-tiga isu tersebut merupakan isu yang memerlukan input dan ketegasan alumni al-Azhar di Malaysia, namun kesemuanya tidak menjadi pokok perbincangan di dalam multaqa berkenaan.

Perkara pokok yang menjadi tema ucap utama kedua-dua presiden parti tersebut ialah usaha kerjasama Umno-PAS dan juga kepentingan politik Melayu-Islam di kala Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sedang diasak hebat oleh pihak luar dan dalam partinya sendiri.

Pokoknya, pertemuan tersebut merupakan pertemuan politik yang membawa mesej politik yang jelas. Pertemuan tersebut bakal membawa satu anjakan paradigma di dalam PAS dan juga Umno.

Retorik teologi, ataupun penggunaan wacana agama dalam menjadikan Umno di pihak yang salah, atau batil dan PAS di pihak yang benar, ataupun haq bakal berakhir dengan penerimaan kedua-dua presiden tersebut terhadap resolusi multaqa itu.

Lebih menarik, amanat Datuk Seri Hadi Awang yang selama ini menjadi senjata Umno untuk membuktikan PAS parti ajaran sesat, ataupun parti pelampau agama juga akan lenyap dan senyap.

Bukan lebur PAS, masuk Umno

Ini mungkin hanya timbul apabila Umno terdesak di saat-saat akhir menjelang pilihan raya sahaja, jika diperlukan.

Apa yang pasti, kedua-dua parti yang dilihat dari segi agama pada suatu waktu dahulu sukar untuk bersama, kini dapat berkongsi aspirasi dan bersetuju melakar masa depan demi kepentingan bersama.

Usah salah faham, persepakatan tersebut bukanlah membawa maksud meleburkan PAS untuk masuk Umno, ataupun membawa masuk PAS ke dalam BN. Itu tidak akan berlaku.

Tindakan berkenaan merupakan kamikaze bagi kedua-dua parti tersebut. Umno akan kehilangan rakan-rakan Borneo dan parti-parti komponen yang lain, manakala PAS akan kehilangan kerusi-kerusi exco di Selangor.

Begitu juga dengan kepentingan segelintir pimpinan mereka dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di negeri berkaitan. Ia pertaruhan yang tidak akan menguntungkan kedua-dua parti tersebut.

Apa yang berlaku ialah kemenangan Umno untuk tidak dilabel lagi sebagai pihak menentang agama. Keuntungan bagi Umno juga ialah berakhirnya label-label bersalah dari dimensi keagamaan yang sering PAS gunakan dahulu terhadap mereka.

Keadaan tersebut akan memberikan kredit kepada Najib menumpukan usaha melawan penentangan daripada dalam Umno sahaja, terutamanya Mahathir, Tan Sri Muhyudin Yassin dan sekutu-sekutu mereka.

Umno sedar, undi bukan Melayu gone case bagi mereka dalam pilihan raya umum ke-14 (PRU14) nanti.

Maka tumpuan perlu diberikan untuk mengekalkan undi Melayu majoriti mereka yang telah membawa kepada kemenangan tipis lewat PRU lalu.

Pertemuan Najib-Hadi adalah usaha penegasan bahawa Umno serius menjaga kepentingan Melayu-Islam dan mempunyai komitmen melawan DAP dan sekutu mereka dicanang-canangkan sebagai musuh Melayu-Islam.

Retorik kesatuan Melayu-Islam 

Keuntungan bagi PAS pula, imej mereka kepada penentang tradisi parti berkenaan dari kawasan majoriti Melayu luar bandar akan segera pulih.

Kebersamaan presiden PAS bersama Najib akan memberikan isyarat positif kepada pengundi tegar Umno-BN di kalangan Melayu luar bandar.

Congak-congak sesetengah pimpinan PAS, jika keadaan seperti ini berterusan, maka peluang lebih cerah untuk mereka mendapatkan undi Melayu jika Umno semakin berpecah menjelang PRU14 nanti.

Ahli strategi PAS sedar, dalam PRU14 nanti, undi bukan Melayu bukanlah sasaran mereka. PAS tidak akan mendapat sokongan bukan Melayu seperti berlaku sejak 2008 dan 2013 lagi.

Maka, mereka perlu mengalihkan tumpuan kepada pengundi Melayu di luar bandar. Maka pertemuan Najib-Hadi merupakan pertaruhan awal ke arah tersebut.

Persoalan yang bermain di minda semua rakyat Malaysia, ke arah manakah persefahaman Umno-PAS yang baru ini? Apakah langkah seterusnya?

Apakah hasil dan impak ketara yang boleh dilihat di dalam waktu terdekat ini? Apakah kesannya terhadap segala skandal dan isu yang sedang dihadapi oleh Najib kini?

Apakah kesan persefahaman ini sekadar menyemarakkan lagi retorik kesatuan Melayu-Islam dengan mengenepikan isu-isu utama politik seperti hal ehwal tata kelola, dakwaan skandal Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM), kegagalan teruk projek Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC) serta kejatuhan teruk ringgit?

Begitu juga dengan isu cukai barangan dan perkhidmatan (GST), isu bauksit Pahang yang mengancam kesejahteraan rakyat dan alam sekitar, isu rang udang-undang Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang bakal menyaksikan kuasa eksekutif yang tidak terhingga, isu keterlibatan rakyat Malaysia dengan aktiviti IS.

Apa yang pasti, di Malaysia ini, naratif agama dan bangsa yang diwujudkan merupakan elemen penting yang dapat melarikan tumpuan rakyat daripada isu sebenar yang dihadapi.

Selagi keadaan seperti ini berterusan, semakin jauhlah harapan Malaysia untuk mencapai tahap negara maju dan warga berminda kelas pertama menjelang 2020.


DR MASZLEE MALIK pengamat politik dan pensyarah Universiti Islam Antarabangsa (UIA).

Cuepacs kesal PTPTN buat potongan maksimum

Posted: 22 Dec 2015 03:52 PM PST

MALAYSIAKINI


 


Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mungkin akan menarik balik kebenaran Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN) membuat pemotongan gaji untuk kakitangan awam, sekiranya agensi itu masih melaksanakan pemotongan maksimum.

Presidennya, Datuk Azih Muda melahirkan rasa kesal kerana ada kakitangan awam yang dipotong gaji mereka oleh PTPTN sehingga kepada kadar maksimum dan tindakan itu adalah tidak wajar dilakukan serta membebankan kedudukan kewangan mereka.

"Ada slip gaji kakitangan awam yang tinggal sampai RM19, nak makan apa nanti? Gunakanlah kuasa sebaik-baiknya.

"Cuepacs juga mengingatkan, kami tidak akan teragak-agak untuk menarik balik keputusan benarkan penjawat awam potong gaji mereka untuk bayar PTPTN," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Cuepacs 2015 di ibunegara semalam.

Justeru, beliau menasihatkan PTPTN agar lebih bertimbang rasa terhadap kakitangan awam dalam melaksanakan pemotongan gaji agar kakitangan awam tidak terbeban dalam aspek kewangan.

Isu PTPTN, menurut Azih adalah antara empat perkara yang menekan kehidupan kakitangan awam pada masa kini.

Tiga isu lain yang perlu perhatian kerajaan ialah kenaikan kos sara hidup rakyat, mekanisma penetapan harga rumah dan pelaksanaan 252 skim perkhidmatan.

Mengenai kenaikan kos sara hidup, beliau meminta Kementerian Perdagangan, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) campur tangan secara serius dalam isu kenaikan harga barangan, terutamanya barangan dan perkhidmatan yang telah diberi pengecualian daripada dikenakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

"Kami (Cuepacs) rasa kesal kerana kenaikan harga barang yang sepatutnya 0 peratus dalam GST, telah dinaikkan," katanya.

Beliau juga meminta kerajaan agar segera mewujudkan mekanisma penetapan harga rumah dan mencadangkan agar mekanisme tersebut dapat meletakkan penetapan bagi peratusan kadar harga rumah serta keuntungan, yang bakal diperoleh oleh pemaju perumahan.

Cuepacs turut memohon agar kerajaan memperuntukkan jawatan bagi kenaikan pangkat untuk kakitangan awam yang berkhidmat di bawah agensi negeri, badan berkanun dan pihak berkuasa tempatan (PBT), katanya.

Kata Azih, ia selari dengan pelaksanaan sebanyak 252 Skim Perkhidmatan yang akan berkuatkuasa pada 1 Julai tahun depan agar pekerja tidak dinafikan hak dan peluang mereka untuk menerima kenaikan gaji yang lebih tinggi berikutan peningkatan kos sara hidup.- Bernama


SPR: Pendaftaran automatik sukar dilaksana di M'sia

Posted: 22 Dec 2015 03:50 PM PST

MALAYSIAKINI


 


Sistem pendaftaran pengundi secara automatik sukar dilaksanakan di negara ini kerana ia akan memberi kesan besar kepada keseluruhan sistem pilihan raya di Malaysia, kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof.

Beliau menjelaskan menurut Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan seseorang yang ingin menjadi pengundi perlu membuat permohonan sebagai pengundi baru dan ia jelas memberikan hak kepada warganegara untuk mendaftar atau tidak.

Sehubungan itu, sekiranya saranan untuk mewajibkan pendaftaran sebagai pengundi secara automatik hendak dibuat, maka pindaan kepada Perkara 119 perlu dilakukan terlebih dahulu bagi membolehkan pindaan kepada akta dan peraturan lain berkaitan pilihan raya dapat dilaksanakan, katanya.

"Harus diingat pindaan ini memerlukan sokongan undi dua pertiga di dalam Parlimen dan hanya boleh dicapai sekiranya semua pihak bersetuju.

"Selain itu, jika syor tersebut dilaksanakan ia akan menjejaskan proses semakan, tuntutan dan bantahan terhadap Daftar Pengundi Induk SPR," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Menjelas lanjut, Abdul Aziz berkata sekiranya sistem pendaftaran pengundi secara automatik dilaksanakan, ia akan menimbulkan kesulitan kepada individu yang tidak menukar atau mengemaskini alamat dalam kad pengenalan jika berpindah ke tempat lain.

Katanya sistem pendaftaran pengundi yang diguna pakai oleh SPR adalah berdasarkan kepada alamat bermastautin sebagaimana tertera di dalam kad pengenalan dan disemak oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

"Pangkalan data JPN akan menunjukkan pengundi itu menetap di sesuatu alamat sedangkan sebenarnya sudah berpindah dan pengundi akan berdepan kesulitan pada hari pengundian apabila pusat mengundi jauh dari kediaman sebenar," katanya.

Pengerusi SPR itu menarik perhatian apabila berkata pendaftaran pengundi secara automatik akan menyebabkan peratusan keluar mengundi merosot kerana daftar pengundi baru meningkat secara mendadak tanpa disusuli dengan pengundian secara wajib.

"Sekiranya pendaftaran automatik ini dilaksakana adakah pengundi berdaftar itu secara automatik perlu diwajibkan untuk mengundi?

"Jika tidak disusuli dengan pengundian, maka peratusan keluar mengundi dijangka merosot kemungkinan sekitar 50 peratus dengan mengambil kira purata peratusan keluar mengundi beberapa pilihan raya kecil atau umum yang berlangsung sebelum ini," jelas Abdul Aziz.

Selain itu, cadangan tersebut juga dijangka menyebabkan pendaftaran baru secara skala besar seterusnya menjadikan isu pengundi hantu sentiasa berbangkit sehingga akhirnya SPR dijadikan mangsa tuduhan liar pihak yang tidak berpuas hati.

"Isu pendaftaran pengundi secara automatik ini tidak perlu dijadikan bahan politik perkauman oleh sesetangah pihak, dan SPR sentiasa mengkaji setiap perkembangan proses pilihan raya bagi penambahbaikan sistem pilihan raya di negara ini," katanya.

Abdul Aziz menegaskan SPR sentiasa telus dalam mendaftar bakal pengundi yang layak tanpa mengira kaum, bangsa dan agama atau mengambil kira kepentingan politik mana-mana pihak.

Katanya tuduhan sesetengah pihak yang mendakwa SPR menyebelahi pihak-pihak tertentu adalah berniat serong dan bertujuan mempengaruhi persepsi buruk terhadap suruhanjaya itu selain menjejaskan kredibilitinya.- Bernama


Warga PDRM dilarang viralkan maklumat keselamatan

Posted: 22 Dec 2015 03:47 PM PST

SINAR HARIAN


Viral
Gambar Hiasan. 

SANDAKAN - Anggota polis diingatkan untuk tidak viralkan maklumat berkaitan keselamatan dan ketenteraman awam melalui aplikasi media massa. 

Timbalan Ketua Polis Daerah Sandakan, Superintendan Fadzil Mohd Ali berkata, penyebaran maklumat sedemikian yang belum pasti kesahihannya menimbulkan perasan resah kepada masyarakat. 

"Ia juga boleh memberi kesan kepada pembangunan ekonomi dan sosial di negara kita. 

"Kita hendaklah menjauhi budaya kerja yang boleh menjejaskan kredibiliti dan kepercayaan orang ramai terhadap Polis Diraja Malaysia (PDRM)," katanya pada perhimpunan bulanan Polis Daerah Sandakan di sini, hari ini. 

Sehubungan itu, beliau menasihatkan semua warga PDRM menjauhi budaya sumpama itu kerana ia jelas melanggar peruntukan undang-undang di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972. 

"Sebagai agensi penguatkuasaan, kita harus sentiasa mempamerkan prestasi tugas serta disiplin yang mantap kerana masyarakat memerhatikan kita," katanya. 

Beliau berkata harapan mereka adalah menjadi tanggungjawab anggota PDRM untuk sentiasa bersedia dan memberikan perkhidmatan dengan baik dan efisien. - Bernama


Bas diserang, penumpang Islam lindungi sahabat Kristian

Posted: 22 Dec 2015 03:44 PM PST

SINAR HARIAN


Bas diserang, penumpang Islam lindungi sahabat Kristian


NAIROBI - KENYA. Kisah ajaib ketika kumpulan militan Somalia, Al-Shabaab menyerang sebuah bas di Kenya Isnin lalu menyaksikan bagaimana penumpang yang beragama Islam menolak permintaan militan untuk menyerahkan penumpang Kristian.

Memetik laporan Reuters, serangan yang menyebabkan dua penumpang terbunuh itu berlaku  di Mandera, Kenya ketika bas itu dalam perjalanan ke ibu kota Nairobi.

Menurut seorang penumpang yang beragama Islam, Abdi Mohamud Abdi ketika kejadian, lebih 10 anggota Al-Shabaab masuk ke dalam bas dan memerintahkan penumpang Islam memisahkan diri daripada penumpang Kristian, namun ditolak mereka.

"Kami bahkan memberikan pakaian keagamaan kami ke penumpang bukan Islam itu sehingga mereka tidak mudah dikenali. Kami bersatu-padu," kata Abdi.

"Para militan mengancam akan menembak kami, namun kami tetap menolak dan melindungi saudara-saudara kami. Akhirnya mereka menyerah dan pergi, namun dengan peringatan akan kembali lagi," ujarnya.

Terdahulu beberapa siri serangan Al-Shabab pernah menyerbu sebuah bas sebelum ini dan telah membunuh 28 penumpang Kristian.


'Semua berlaku terlalu pantas'

Posted: 22 Dec 2015 03:42 PM PST

 'Semua berlaku terlalu pantas'


"SEMUA berlaku sekelip mata dan terlalu pantas," demikian reaksi pelakon jelita, Sherry Ibrahim ketika menceritakan detik cemas kemalangan yang menimpa pelakon, Redza Rosli, 23 di Lebuhraya Utara Selatan arah selatan berhampiran Terowong Menora, di Ipoh, awal pagi tadi.

"Bayangkan, kereta Redza berada betul-betul di hadapan kereta kami berdua. Kami menjerit sambil membunyikan hon ketika melihat kereta Redza yang pada awalnya berada di laluan paling kanan bergerak perlahan ke cerun bukit di sebelah kiri lebuh raya," katanya ketika dihubungi Sinar Online.

Menurut Sherry, sebelum kejadian, dia menaiki kereta bersama pelakon, Izreen Azminda manakala Redza memandu keretanya bersendirian serta bergerak secara konvoi dari Perlis ke Kuala Lumpur selepas tamat penggambaran drama Kak Mar.   

"Kami bergerak pulang dari Kangar sekitar jam 10 malam (Isnin) dan berhenti rehat di kawan Rehat dan Rawat (R&R) Gunung Semanggol. Redza ada mengadu mengantuk dan saya ada tawar diri untuk memandu secara bergilir-gilir.

"Kami bertiga terpaksa pulang awal kerana masing-masing mempunyai komitmen lain pada pagi ini," katanya.

Terdahulu, kejadian itu dimaklumkan Izreen di laman Instagramnya dan memberitahu mereka selamat.

"Alhamdulillah, kami semua okay," tulisnya.

Ketika ditanya mengenai posting Izreen di media sosial yang menyebabkan ramai peminat keliru yang mengatakan kedua-dua pelakon cantik itu yang kemalangan, Sherry berkata, ia adalah makluman awal kepada tim produksi tentang kejadian yang menimpa mereka.

"Untuk makluman, Izreen membuat posting itu untuk maklum kepada tim-tim produksi kesulitan yang kami alami.

"Tambahan pula, kejadian berlaku jam 3.30 pagi. Dalam keadaan jalan yang sunyi dan gelap. Kami berdua masih terkejut melihat keadaan Redza yang tidak sedarkan diri.

"Mujurlah ada beberapa penunggang motosikal yang membantu kami mengeluarkan Redza dari kereta. Kami lebih berdebar melihat enjin kereta Redza dah berasap. Bantuan tiba jam 6.00 pagi," jelasnya lagi.

Tambah Sherry lagi, dia menerima banyak panggilan telefon dan pesanan ringkas dari rakan-rakan dan ahli keluarga mengenai kejadian.

"Saya ucap terima kasih atas doa kalian semua. Alhamdulillah, syukur kami semua selamat. cuma perlu ambil sedikit masa untuk berehat selepas kejadian. Saya masih belum tidur," ujarnya lagi.

Sementara itu, memetik laporan Kosmo! Redza memberitahu dia hanya memandu dengan kelajuan 80 kilometer sejam dan dia tidak tahu bagaimana boleh terbabas berhampiran terowong tersebut.

"Kejadian berlaku terlalu pantas dan selepas itu saya tidak sedar apa yang berlaku kerana pengsan. Saya diselamatkan oleh orang ramai kerana pintu kereta tidak dapat dibuka," katanya lagi

Beberapa perkara Umno boleh laksana tanpa Pas

Posted: 22 Dec 2015 03:35 PM PST

Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man
Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man
 
 
SHAH ALAM – Umno sebagai pemangkin pentadbiran dan pengurusan kerajaan harus melaksanakan beberapa perkara sebagai langkah pertama memperbaiki nama Islam dan negara, kata Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Menurut Tuan Ibrahim, imej Islam ini bukan perlu dibaiki pada gaya pakaian atau negara sebaliknya melibatkan penghayatan ajaran Islam dalam pelbagai bidang.

"Saya cadangkan kerajaan hapuskan GST. Cukai ini bertentangan dengan Islam kerana orang fakir miskin turut dipaksa bayar cukai. Kerajaan juga perlu mengurangkan pembaziran dan salahguna dana kerajaan dengan mengambil tindakan tegas berdasarkan laporan audit terbaru.

[ARTIKEL BERKAITAN: Kerjasama: Bukan soal wajar atau tak, soalnya bolehkah?]

"Kerajaan serta kementerian perlu kurangkan perbelanjaan dan hidup berjimat seperti yang terpaksa dilakukan rakyat dalam menghadapi kemelut kejatuhan harga minyak dan juga kenaikan kos hidup yang semakin meruncing," katanya menerusi kenyataan, semalam.

Tuan Ibrahim berkata demikian sebagai respons kepada kenyataan Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang menggesa Pas berfikir lebih daripada pertimbangan politik dalam mewujudkan kerjasama dengan Umno sekiranya mahu memartabatkan Islam.

Menurut Hishammuddin, perpaduan antara dua parti berkenaan disambut baik tetapi menolak dakwaan parti Melayu itu terlalu inginkan kerjasama tersebut, sebaliknya usaha berkenaan untuk kebaikan umat Islam di negara ini.

Tuan Ibrahim bagaimanapun menggariskan beberapa perkara yang boleh dilakukan Umno secara sendirian tanpa Pas jika parti itu ada kesungguhan selain daripada isu GST.

- Meminta Presiden Umno bercuti sehingga siasatan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara dan Ketua Audit Negara melengkapkan siasatan dan laporan terhadap 1MDB.

- Mengurangkan pembaziran dan salahguna dana kerajaan dengan mengambil tindakan tegas berdasarkan laporan audit terbaru.

- Menyiasat Yapiem dengan telus dan terbuka dan memastikan mereka yang didapati menyeleweng dana Yapiem dibawa ke muka keadilan.

- Berhenti menganiaya Kelantan dan memulangkan royalti minyak dengan kadar segera.

"Semua perkara ini boleh dilakukan Umno tanpa Pas sebagai langkah Umno menunjukkan kepada rakyat, terutamanya mereka yang beragama Islam, kesungguhannya untuk mendaulatkan Islam.

"Pas pula akan meneruskan kerja dakwahnya agar rakyat dapat turut bersama memperjuangkan Islam sebagai Ad-deen dalam pentadbiran negara dan kehidupan rakyat," katanya lagi.

Tiada ulasan: