DIALOG RAKYAT |
- Perkasa tolak UMNO jika tak berubah
- Kerajaan didesak istihar G25 sesat
- Pesawat MAS MH742 ke Yangon berpatah balik ke KLIA, selamat mendarat
- Dua pam kekal tangani banjir di Kuala Selangor
- PAU 2015 berlalu, masalah Umno terus parah
- RUU MKN: Apa pendirian MCA menjelang debat esok?
- 105 tahun sang jurutera, penulis, peminat falsafah
- Laporan orang utan diperkosa adalah palsu
- Rakyat Malaysia maut tangki stim di UAE meletup
- Gesa masyarakat bantu anak bongsu yang terselamat
- Pas sedia maafkan kesalahan Umno
- Najib ulangi jerat Tun Abdul Razak 1973
- Menyauk Ikan Loma Di Sg Rui
- Penerbangan Pertama Rayani Air Berlepas
- Bagaimana bersama Islam hingga ke penghujung hayat?
- Malaysia berpuas hati Islam jadi Agama Persekutuan
- Boleh ucap tapi tidak boleh sambut perayaan agama lain
- Go-KL ibarat rahmat buat warga kota, pelancong
- PAS ulangi pendirian, Umno perlu kembali ke landasan Islam
- Tikam kakitangan Astro Awani - 2 lelaki ditahan
- MIC pantau kerjasama Umno-PAS
- Gagal wujudkan pakatan beri kelebihan pihak lawan
- Batu Pahat, tempat lahirnya para radikal?
- Desak Najib berundur satu tanggungjawab, kata selebriti Soo Wincci
- Zahid yakin penentang kerjasama dalam PAS tunduk kepada Majlis Syura
Perkasa tolak UMNO jika tak berubah Posted: 20 Dec 2015 03:05 AM PST Perkasa sedia menyokong Pas pada PRU14 jika parti itu tidak lagi beretorik dan lebih progresif. KUALA LUMPUR: Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) sedia menjadikan Pas sebagai parti pilihan pada Plihan Raya Umum ke-14 ( PRU14) sekiranya parti itu tidak lagi beretorik dan menjadi sebuah parti progresif. Persidennya, Datuk Ibrahim Ali dalam ucapan dasar di Persidangan Agung Tahunan Ke-6 Perkasa pada Ahad berkata, pertubuhan itu sedia menolak UMNO pada PRU-14 sekiranya parti itu masih gagal menyelesaikan kemelut dan perpecahan yang berlaku dalam parti Melayu itu. "Perkasa tidak memberikan sokongan kepada mana-mana pihak, waima UMNO, Barisan Nasional (BN) atas dorongan emosi dengan perkiraan semberono atau prinsip membuta tuli. "(Malah) pendirian Perkasa dalam PRU14, akan kami tentukan berdasarkan kajian terperinci dalam PRU14 kelak. Kita mempunyai dua pilihan, antara UMNO dan Pas yang sudah memutuskan ikatannya dengan DAP. "Jika menjelang PRU 14, Pas tidak lagi beretorik dan menunjukkan kemampuan untuk membela hidup dan mati Melayu, Pas mampu jadi pilihan Perkasa,"katanya. Katanya sokongan yang dibuat kepada Pas telah dipertimbang apabila mereka telah berpisah dengan DAP. Bagaimanapun, Perkasa belum membuat keputusan muktamad untuk memberi sokongan kepada Pas atau terus kekal menyokong UMNO seperti yang dilakukan sebelum ini. "Perkasa akan meneliti, mengkaji dan membuat keputusan muktamar bila sampai waktunya nanti. Pilihan kami sama ada UMNO atau Pas kerana dua parti itu diiktiraf Melayu Islam," katanya. Mengulas lanjut, bekas Ahli Parlimen Pasir Mas itu turut menggesa UMNO dan BN menyelesaikan isu yang melibatkan rakyat seperti kenaikan kos sara hidup, perlaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST), dan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) serta derma RM2.6 bilion. Sekiranya perkara itu gagal diselesaikan, katanya, beliau tidak menolak kemungkinan parti itu gagal untuk kekal memerintah selepas PRU-14. | |||
Kerajaan didesak istihar G25 sesat Posted: 20 Dec 2015 03:01 AM PST Kerajaan juga didesak supaya bertindak tegas terhadap pihak yang melanggar Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan. KUALA LUMPUR: Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) meluluskan usul mendesak kerajaan supaya mengistiharkan kumpulan G25 sebagai kumpulan sesat. Merujuk buku pembentangan usul Persidangan Agung Tahunan Ke-6 Perkasa, keputusan itu dibuat susulan terlalu banyak penyerapan fahaman sesat liberalisme dan pluralisme yang semakin berleluasa sehingga mengancam akidah umat Islam. Kerajaan juga didesak supaya mengambil tindakan kepada mereka yang bertindak melangar Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan iaitu Islam sebagai Agama Persekutuan. "Perkasa mengecam keras kebiadapan kumpulan G25 dan mendesak supaya kerajaan bertegas, mengengkang fahaman ini dengan menfatwa kumpulan G25 sebagai kumpulan sesat. "Persidangan kali ini turut mendesak kerajaan bertegas dan mengambil tindakan mahkamah untuk mempertahankan kesucian agama Islam dan tidak tunduk kepada desakan mana-mana pihak yang ada kepentingan,"katanya menerusi usul agama yang dibahaskan dan diluluskan pada persidangan itu. Usul tersebut turut menyokong ketegasan pihak kerajaan dalam memerangi puak pelampau agama yang bertindak memesongkan ajaran Islam seperti ISIS, dan Jemaah Islah (JI). Sementara itu, Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali meggesa Majlis Fatwa supaya mengambil tindakan berhubung kenyataan yang dibuat G25. "Majlis Fatwa perlu siasat dan mengambil tindakan terhadap kenyataan yang dibuat G25 yang bertentangan dengan agama Islam," katanya dalam sidang media. Kumpulan G25 baru-baru mencadangkan kerajaan memansuhkan hukuman khalwat kerana mencabuli hak asasi rakyat negara ini. | |||
Pesawat MAS MH742 ke Yangon berpatah balik ke KLIA, selamat mendarat Posted: 20 Dec 2015 02:58 AM PST ANTARAPOS.COM KUALA LUMPUR: Malaysia Airlines Berhad (MAB) hari ini mengesahkan bahawa pesawat MH742 miliknya yang berlepas ke Yangon, Myanmar dari Lapangan Terbangan Kuala Lumpur (KLIA) pada 1.59 petang tadi, terpaksa membuat pusingan balik ke lapangan terbang berkenaan. Menurut MAB dalam satu kenyataan, pesawat berkenaan disahkan selamat mendarat di KLIA pada 3.45 petang tadi. Punca pesawat itu berpatah balik bagaimanapun tidak dimaklumkan. Penerbangan MH742 yang beroperasi menggunakan pesawat B737-800 itu sepatutnya mendarat di Yangon pada 3.05 petang hari yang sama. | |||
Dua pam kekal tangani banjir di Kuala Selangor Posted: 20 Dec 2015 02:57 AM PST ANTARAPOS.COM KUALA SELANGOR: Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor bersetuju untuk memasang 2 pam kekal di kunci air Parit Merbau dan Parit Gajah di Kuala Selangor untuk mengepam keluar air banjir yang melanda beberapa kawasan di daerah itu. Pegawai Daerah Kuala Selangor, Shamsul Shahril Badliza Mohd Noor berkata keputusan pemasangan itu diputuskan dalam satu mesyuarat yang dipengerusikan Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali Khamis lepas. "Saya mohon kepada kerajaan negeri agar memasang pam kekal ini bagi mengatasi masalah banjir khususnya di Kuala Selangor berbanding dengan pam 'mobile' yang ada sekarang," katanya. Banjir di beberapa kawasan di Kuala Selangor dianggap sebagai banjir yang paling teruk sejak 20 tahun lepas dan antara kawasan yang terjejas adalah Kampung Parit Mahang, Kampung Seri Sentosa Batu 15 dan Puncak Alam. Mengulas mengenai situasi banjir di kawasan itu hari ini, Shahril yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Kuala Selangor berkata keadaan banjir semakin pulih dengan hanya 1 pusat pemindahan masih dibuka di Surau Kuning Blok B, Sawah Sempadan, Tanjong Karang yang menempatkan 15 mangsa daripada 4 keluarga. Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan, seramai 100 keluarga yang menetap di Taman Sri Indah, Jalan Kebun, Seksyen 30, Shah Alam memohon kerajaan negeri membina 1 kolam takungan air selain menambah baik sistem perparitan di sekitar kawasan itu yang kerap dilanda banjir ketika musim tengkujuh ini. Pengerusi jawatankuasa penduduk, Muhammad Razlan Abdul Rahim, 40, berkata lebih separuh daripada 43 buah rumah teres di sekitar kawasan itu terjejas akibat banjir yang mencecah paras lutut orang dewasa. "Kami menghadapi masalah ini sejak 5 tahun lepas dan masih tiada langkah konkrit diambil. Mujurlah, dengan semangat kesepakatan yang ada dalam kalangan penduduk, kami dapat bergotong-royong membersihkan kawasan khususnya parit tersumbat yang mengakibatkan banjir," katanya. – Bernama | |||
PAU 2015 berlalu, masalah Umno terus parah Posted: 20 Dec 2015 02:54 AM PST Oleh Roslan SMS PERHIMPUNAN Agung Umno 2015 baru sahaja melabuhkan tirainya. Umno mengadakan PAUnya kali ini dalam keadaan ia berhadapan dengan dua krisis besar dan ternyata ian tamat tanpa tandatanda krisis berkenaan boleh reda dalam waktu terdekat. Krisis pertama adalah krisis keyakinan rakyat terhadapnya. Ini ekoran kegagalan Umno sebagai parti tulang belakang kerajaan dalam menyelesaikan beberapa permasalahan kritikal yang menjejaskan penghidupan rakyat. Rakyat jelata begitu terkesan dengan kenaikkan kos hidup yang mencengkam rumahtangga masing-masing. Harga barangan dan perkhidmatan naik menggila sedangkan upah dan pendapatan tidak banyak berubah. Pergantungan kerajaan pada GST untuk menampung kelompongan hasil berpunca dari kejatuhan harga minyak mentah dunia telah mencurahkan hasil baharu namun atas kenestapaan rakyat yang terpaksa menderita menanggungnya. Kegagalan Umno sebagai teraju kerajaan dalam mengemukakan penyelesaian sekurang-kurangnya meringankan beban rakyat telah mengakibatkan rakyat jelata termasuklah orang-orang Melayu mula hilang kepercayaan dan keyakinan pada Umno. Jika selama ini majoriti berdiri teguh di belakang Umno hari ini tidak lagi. PAU 2015 berlalu, masalah Umno terus parah Menurut satu kajian yang diterbitkan oleh Merdeka Centre hanya 31 peratus pengundi Melayu yang kekal taat berpuas hati pada kerajaan yang diterajui Umno, sedangkan pada Januari tahun lalu tahap keyakinannya berada pada paras 52 peratus. Jika kajian Merdeka Centre ini boleh dijadikan penanda aras ini bermakna Umno berada dalam situasi yang sangat mencemaskan. Krisis kedua adalah krisis dalaman yang melanda Umno sejak timbalan presidennya Tan Sri Muhyiddin Yassin dan naibnya Dato' Seri Shafie Apdal memilih untuk mengkritik kepimpinan presidennya, Dato' Seri Najib Tun Razak secara terbuka. Isu skandal 1MDB dan penyaluran dana sebanyak RM2.6 bilion ke akaun peribadi Najib dicungkil dan didedahkan secara terbuka sehingga kedua-dua mereka dilucutkan dari jawatan kabinet yang disandang masingmasing. Serangan kem Muhyiddin ini dibantu pula oleh bekas presiden Umno, Tun Dr Mahathir Mohamad dan anaknya Menteri Besar Kedah Dato' Seri Mukhriz Mahathir. Masing-masing melancarkan serangan bertalu-talu terhadap presiden mereka seakan tahun ini tahun pemilihan buat Umno. Maka bersengketalah dalaman Umno hinggakan beberapa keputusan "luar biasa" diambil termasuklah menafikan tradisi timbalan presiden merasmikan persidangan sayap-sayap Pemuda, Puteri dan Wanita. Tidak cukup dengan itu Majlis Tertinggi Umno turut menafikan tradisi timbalan dan naib presiden berucap dalam slot ucapan penangguhan sebelum penggulungan presiden semata-mata kerana mahu menutup mulut Muhyiddin dan Shafie. Kedua-dua krisis meruncing ini seakan buntu dan tidak mampu diselesaikan Umno. PAU 2015 yang menghimpunkan kekuatan Umno dari seluruh negara ini dilihat sebagai "platform" yang paling sesuai untuk menangani keduadua krisis ini jangan sampai ia memakan Umno dari dalam. Krisis ini jika dibiarkan berlarutan pasti merebak bagaikan barah menjadi mudarat buat tubuh dan masa depan Umno. Malangnya PAU 2015 telah datang dan pergi namun kedua krisis ini jangankan menampakkan jalan keluar, malah lebih kacau dan berserabut tampaknya. Tiada ketetapan dan keputusan yang jitu yang terbit dari PAU 2015 yang boleh menjanjikan kelegaan buat umat Melayu dan rakyat Malaysia dalam mengharungi kos kehidupan mereka yang membebankan itu. Yang terbit dari mulut presidennya semasa ucapan penggulungannya sekadar menjanjikan potongan harga tambang ERL dan komuter KTM bagi kumpulan sasar tertentu khasnya kanak-kanak sekolah, siswa dan warga emas. Bukan semua rakyat Malaysia menggunakan perkhidmatan ini. Bagaimana pula dengan kadar tol, tambang pengangkutan awam lain, harga rumah, harga barangan dan perkhidmatan yang naik yang merata terkena ke atas setiap individu rakyat? Kalau Umno yang diberikan amanah memegang teraju pemerintahan tidak boleh mengemukakan formula yang efektif dalam meringankan beban rakyat siapa lagi yang boleh? Pastinya pasca PAU ini tahap keyakinan rakyat terhadap Umno bakal menggelongsor turun lagi . Dalam pada itu krisis dalaman Umno juga tidak berjaya ditamatkan sebaliknya semakin panas membara. Langkah Najib berjiwa besar, membuka pintu dan jendela hatinya menghulurkan silaturahim kepada Muhyiddin semasa ucapan penggulungannya ternyata tidak disahut. Ramai yang menjangkakan Muhyiddin akan bangkit menuju rostrum dan berpeluk serta berjabat tangan menyahut ucapan Najib ketika itu tetapi tidak. Setelah tamat berucap dan berjalan menuju ke tempat duduknya Najib berhenti di hadapan Muhyiddin dan seluruh negara dapat saksikan betapa Najiblah yang dahulu mensuakan tangannya, Muhyiddin sekadar manyambut dingin. Bercakap kepada pemberita di luar Dewan Merdeka, Muhyiddin berkata tidak ada sebab mengapa harus beliau memohon maaf kepada Najib sedangkan beliau tidak pernah melakukan kesalahan. Melalui perkembangan ini terbukti juga Umno gagal menyelesaikan krisis dalamannya malah ia menjadi semakin parah dan besar kemungkinan selepas ini tindakan lebih drastik akan dikenakan terhadap Muhyiddin dan para penyokongnya. Umno bakal melihat partinya semakin goncang dan goyah. Begitulah PAU 2015. Dimulakan dengan dua krisis besar yang mencabar dan diakhiri dengan kedua-dua krisis tadi menjadi semakin parah dan mengancam survival Umno. Dalam pada itu Najib dengan hati yang terbuka telah menghulurkan pula tali silaturrahim dan ikatan ukhuwah pada PAS untuk membina sebuah Malaysia berlandaskan syariat- Nya. Walau dihantui dengan dua krisis besar di atas, beliau tetap terbuka hati mahu berbaik dengan PAS. Dan Presiden PAS telah memberikan responsnya dalam bentuk nasihat yang sangat berguna buat Umno. Menyedari betapa tenatnya kedudukan Umno dilanda kedua krisis berkenaan Tuan Guru Presiden PAS menyarankan supaya Umno segera kembali kepada Islam, iaitu mengamalkan cara hidup Islam dalam segenap sendi perjuangannya. Mampukah Umno merobah haluannya mendakapi Islam dengan seikhlas dan sejujurnya? PAS tidak pernah menolak sebarang usaha untuk memartabatkan Islam tetapi Umno perlu serius dan bukan sekadar penyedap kata untuk keluar dari krisis yang sedang melanda dirinya. Ujian sebenar buat Umno adalah menghadapi dan menyelesaikan dua krisis besar tadi dan sementara itu PAS dan rakan poltiknya PKR akan melihat dari jendela masingmasing perkembangan selanjutnya dalam Umno. Buat masa ini pintu PAS tertutup rapat. | |||
RUU MKN: Apa pendirian MCA menjelang debat esok? Posted: 20 Dec 2015 02:47 AM PST Lu Wei Hoong Dewan Negara dijadual membahaskan rang undang-undang kontroversi Majlis Keselamatan Negara (MKN) esok, tetapi pendirian MCA berhubung perkara itu masih kurang jelas. Ditanya perkara itu, Ketua Pemuda MCA Chong Sin Woon tidak memberikan jawapan langsung, sebaliknya meminta pihak media mengikuti perbahasan itu esok. "Majlis presiden MCA dan senator-senator kami sudah bermesyuarat. Kami akan suarakan pendirian MCA pada perbahasan Isnin. "Senator-senator kami masing-masing akan bentangkan pendirian MCA sewaktu debat dan kami juga sudah bawa perkara ini ke kabinet," kata timbalan menteri pendidikan itu katanya di Kepong hari ini. Ditanya lagi sama ada MCA akan mengundi menolak undang-undang itu, Chong sekali lagi meminta wartawan menunggu perbahasan esok. Ditanya sama ada MCA membenarkan senatornya mengundi pilihan sendiri, beliau terus mengulangi jawapan sebelumnya. Sebagai anggota kabinet, Chong tidak dapat mengambil bahagian dalam perbahasan itu susulan konvensyen bahawa semua menteri dan timbalan menteri terikat dengan pendirian bersama kerajaan dan tiada pandangan individu dibenarkan. Rang undang-undang itu ditolak kumpulan aktivis yang bimbang dengan penganugerahan kuasa kepada perdana menteri untuk mengingstiharkan sesebuah kawasan keselamatan dan kemudian membuat tangkapan. Kerajaan mempertahankan undang-undang itu demi membolehkan tindakan segera diambil bagi membendung keadaan kecemasan. | |||
105 tahun sang jurutera, penulis, peminat falsafah Posted: 20 Dec 2015 02:41 AM PST Susan Loone Tan Kheng Yeang seorang jurutera, penulis dan peminat falsafah. Dan beliau berumur 105 tahun tetapi masih sihat dan bertenaga. Tidak percaya pada senaman atau diet, Tan tidak boleh hidup tanpa kari atau makanan pedas. "Saya hanya hidup macam biasa, tiada masalah. Saya tak minta untuk hidup selama ini," kata warga emas itu dalam wawancara santai dengan Malaysiakini di Jalan Free School, Pulau Pinang. "Tetapi saya suka membaca. Saya akan membaca dan membaca hingga ke pagi buta. Saya tidak tidur banyak, tetapi saya fikir banyak, tentang pelbagai perkara," katanya. Tan tampil dengan dasi hitam dan kemeja putih. Anak kelahiran Kamunting, Perak itu tinggal di George Town sejak tahun 1945. Beliau akan menyambut ulang tahun hari lahirnya untuk ke-105 kali hari ini di Muzium Peranakan di Jalan China. Dua anak lelakinya yang kini tinggal di Kanada dan Singapura turut pulang. Seabad hidup, dari Perang Dunia, Darurat Malaya dan merdeka, Tan sudah menulis 12 buah buku merangkumi pelbagai tajuk daripada sastera kepada falsafah kepada fiksyen. Sepanjang kepengarangnnya sejak berumur 12 tahun, dan sedikit perlahan memasuki 90, beliau malah menulis diari sendiri untuk bahasa yang diciptanya berjudul Liuf - a New Language. "Ini kerana semua bahasa dicipta oleh orang gasar, jadi kita mesti cipta bahasa kita sendiri," kata Tan. Beliau seorang anak saudagar dari China, yang menuntut di Hong Kong semasa Perang Dunia ke-2. Beliau turut merakam memori hitam ketika zaman pendudukan Jepun. Walaupun sukar, beliau merakam kembali semua itu dalam Dark Days (Hari-hari Gelita). Memperoleh ijazah dalam bidang kejuruteraan, Tan berpindah ke Pulau Pinang pada 1945 untuk berkhidmat sebagai jurutera dengan sebuah majlis daerah. Selepas bersara, beliau menubuhkan syarikat perunding kejuruteraan sendiri untuk memberi nasihat dalam bidang perumahan dan pembinaan jalan raya. "Saya hanya berhenti kerja beberapa tahun dahulu. Saya suka kerja. Tiada sehari pun saya tak bekerja," katanya yang membujang kembali lima tahun lalu. | |||
Laporan orang utan diperkosa adalah palsu Posted: 20 Dec 2015 02:31 AM PST SINAR HARIAN SURABAYA - INDONESIA. Pertubuhan Kebun Binatang Surabaya (KBS) menyangkal laporan semalam mengenai kisah seorang penjaga zoo yang membuntingkan seekor orang utan di Zoo Surabaya. "Artikel itu tidak benar, itu berita hoax (tipu). Ini tuduhan berat dan menyangkut moral," kata Pejabat Sementara Direktur Utama KBS, Aschta Boestani Tajuddin kepada Tempo, semalam. Oleh itu, Aschta menyarankan media tempatan agar mendapatkan maklumat sahih terlebih dahulu daripada pihak terbabit sebelum menayangkannya kepada umum. Aschta berkata pihaknya memiliki empat orang utan betina bernama Dora, Tini, Avika dan Rizky. "Tak ada yang bernama Marylin (orang utan yang dilaporkan hamil akibat diperkosa penjaga zoo). Kami semua punya moral dan tidak akan berbuat seperti itu hanya untuk sensasi," katanya. | |||
Rakyat Malaysia maut tangki stim di UAE meletup Posted: 20 Dec 2015 02:29 AM PST BESUT - Seorang pekerja daripada Malaysia terbunuh apabila sebuah tangki stim atau dandang stim (boiler) meletup di sebuah kilang berasaskan plastik di kawasan berasaskan petrol kimia di Ruwais, Abu Dhabi, Emirias Arab Bersatu (UAE) awal pagi Sabtu lalu. Dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi waktu Malaysia (8.30 pagi waktu tempatan) menyebabkan Mohd Shukri Sulaiman, 45, yang bekerja dengan Al-Borouge Pte Company Limited sebagai seorang jurudandang (boilerman) sejak tahun 2011 lalu meninggal di tempat kejadian. Adik mangsa Faizol Sulaiman, 35, yang ditemui di rumah keluarganya di sini berkata, dia sekeluarga mengetahui kejadian itu setelah menerima panggilan telefon daripada rakan abangnya, Ahmad Syukri Md Nor, 33, yang bekerja di syarikat sama pada jam kira-kira 2 pagi (waktu Malaysia) sejurus kejadian. Menurutnya, Ahmad Syukri yang bekerja dengan Pasukan Bomba di syarikat itu telah memaklumkan kepada kami dia terdengar letupan kuat dan apabila bergegas ke tempat kejadian mendapati mangsa telah meninggal dunia. Faizol berkata, Ahmad Syukri juga berasal dari Kampung Padang Landak di sini bekerja di syarikat sama dengan abangnya sejak beberapa tahun tetapi mereka di bahagian berlainan manakala hubungan mereka berdua amat rapat. Menurutnya, seluruh anggota keluarga terkejut menerima berita itu dan pihak syarikat pun juga telah memaklumkan kejadian itu. "Pihak syarikat telah memanggil salah seorang untuk ke sana (UAE) bagi urusan pengesahan dan menuntut jenazah. Salah seorang abang saya, Saria, 52, yang menetap di Kampung Padang Luas di sini akan berlepas ke negara tersebut hari ini untuk tujuan tersebut. Menurutnya lagi, abangnya merupakan anak yang ke 6 daripada 11 orang adik beradik yang mendapat didikan awal di Sekolah Menengah Tengku (SMK) Tengku Mahmud, Besut sebelum melanjutkan persekolahan Sekolah Menengah Teknik, Kuala Terengganu. Katanya, Mohd Shukri mempunyai kelulusan diploma Kejuruteraan Mekanikal dari Politeknik Kulim Kedah dan pernah bekerja beberapa syarikat berkaitan bidangnya sebelum ini termasuk pernah berkhidmat di Amerika Syarikat. "Arwah mempunyai seorang isteri, seorang guru, Azmahani Mamat, 43, dan empat orang anak, tiga lelaki dan seorang perempuan berumur antara 7 hingga 14 yang tinggal di Indera Mahkota, Kuantan, Pahang," katanya. | |||
Gesa masyarakat bantu anak bongsu yang terselamat Posted: 20 Dec 2015 02:27 AM PST SHAH ALAM – Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang meminta masyarakat untuk tampil membantu Mohd Hasif Abdul Halim, 9, yang kehilangan kesemua ahli keluarganya dalam tragedi lemas di Air Terjun Belukar Bukit, Hulu Terengganu, semalam. Mohd Hasif yang merupakan anak lelaki tunggal bagi pasangan Abdul Halim Samian, 44, dan Nurul Adia @ Salwati Awang, 39, kehilangan ibu bapanya dan tiga kakaknya Nurul Arifah, 16, Nurul Aina, 11 dan Nurul Izah, 10, dalam tragedi itu. "Kepada adik Mohd Hasif, semoga ALLAH kurniakan kekuatan dan kemudahan untuk meneruskan hidup mendatang dan menjadi anak yang soleh serta berjaya di dunia dan akhirat. "Saya menyeru masyarakat untuk sama-sama membantu adik Mohd Hasif agar dia dapat meneruskan kehidupan dengan baik," katanya menerusi kenyataan, hari ini. [ARTIKEL BERKAITAN: Jenazah 5 beranak dikebumi dalam satu liang lahad] Abdul Hadi dalam pada itu turut mengucapkan takziah di atas kehilangan yang menimpa Mohd Hasif. Difahamkan, kesemua jenazah selamat dikebumikan di tanah perkuburan Islam Kampung Pengkalan Arang di Terengganu, kira-kira 1.30 pagi tadi. Setakat ini, ibu saudara Mohd Hasif telah menawarkan diri untuk menjaga dan membesarkannya memandangkan Mohd Hasif dikatakan akrab dengan dua lagi anak lelakinya. | |||
Pas sedia maafkan kesalahan Umno Posted: 20 Dec 2015 02:24 AM PST KUALA LUMPUR - Pas sedia untuk melupakan dan memaafkan kesalahan yang pernah dilakukan Umno terhadap parti itu sebelum ini, kata Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan. Beliau berkata, itu antara ciri-ciri yang ada dalam perjuangan Pas. "Ini bukan perkara baru ramai pemimpin lain masuk dalam Pas mereka ada kedudukan baik, mereka diterima dengan hati terbuka itu di kalangan ahli (Pas). "Sekarang ini antara parti (Pas-Umno) kita akan laksana perkara sama (memaafkan dan melupakan)," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Persidangan Agung Perkasa ke-6, hari ini. Ahli Parlimen Kota Bharu itu memberitahu yang Pas dalam proses memberi penjelasan menyeluruh kepada ahlinya mengenai kerjasama itu. Kehadiran Takiyuddin dan Pengarah Pilihanraya Pas, Datuk Mustafa Ali di Persidangan Agung Perkasa menarik perhatian ramai dan menguatkan lagi dakwaan bahawa Pas akan bekerjasama dengan Umno. Takiyuddin berkata, kehadiran mereka adalah atas jemputan Perkasa. Ketika ditanya adakah ahli menerima untuk bekerjasama dengan Umno, beliau berkata, setiap keputusan yang dibuat Pas adalah secara kolektif bukan hanya atas kepentingan peribadi. "Boleh lihat benda baru ada suasana faham masing-masing, pokoknya dalam Pas apa yang dibawa oleh presiden bersikap kolektif atas nama parti itu keputusan kolektif," katanya. | |||
Najib ulangi jerat Tun Abdul Razak 1973 Posted: 20 Dec 2015 02:17 AM PST Oleh LANJUSOH UMNO buat sekian kali selepas lemas menghulur tangan bagi menjalin semula persahabatan dengan PAS. Parti itu lupa peristiwa PAS ditendang keluar daripada Barisan Nasional (BN) pada 1977. Krisis 1977 sehingga mengundang Mageran berselindung di sebalik impian Umno bertapak di Kelantan. Pengkaji sejarah Dr Mustapha Ahmad berkata kesilapan besar dilakukan Dato' Mohd Asri apabila menyertai gabungan dengan BN pada 1974. "Ia berbeza dengan kerajaan campuran 1973. Apabila PAS menyertai BN kuasa tawar menawar semakin hilang. Pemimpin PAS ketika itu terpesona dengan tawaran jawatan menteri di peringkat pusat," katanya di sini. Mohd Asri merupakan tokoh yang bertanggungjawab membawa PAS menyertai BN pada 1973. PAS sebenarnya tidak memerlukan pergabungan dengan Umno ketika itu kerana di Dewan Undangan Negeri (Dun) Kelantan mempunyai kuasa majoriti. PAS memiliki 22 kerusi berbanding Umno (13 kerusi). Namun bibit-bibit awal ke arah itu dirintis Tun Abdul Razak Hussein selepas tercetus peristiwa berdarah 13 Mei 1969. Di sebalik tragedi berkenaan ada sarjana melihat usaha terhormat Tun Razak bagi menyingkir Tunku Abdul Rahman di kerusi Perdana Menteri. Hussein ketika membentang Rang Undang-Undang Kuasa-Kuasa Darurat (Kelantan) 1977 antara lain menyebut "saya mengakui rang undang-undang ini mengandungi implikasi politik dan menyentuh demokrasi," Ketika pengundian rang undang-undang berkenaan ahli-ahli parlimen PAS yang diketuai Mohd Asri menentang. Berikutan itu mereka dikenakan tindakan kerana Fasal 14 Perlembagaan BN menyebut parti itu boleh memecat keahlian anggotanya yang mengundi menentang rang undang-undang berkenaan. Bermula saat itu PAS ditendang keluar BN. Mungkinkah sejarah hitam terbabit mahu dibiar berulang semula selepas Umno kembali bertenaga setelah mendapat "syufaat" PAS. Najib kelihatan semakin deras mengatur gerak kerja ke arah itu. Sedangkan Umno di bawah kepemimpinannya dibelit isu 1MDB, GST, tol dan banyak lagi. "Adakah perlu PAS memberi tali hayat lagi kepada Umno sekarang," ujar seorang veteran Umno. Najib ulangi jerat Tun Abdul Razak 1973 Gerakan merai kejayaan selepas menang besar di Pulau Pinang pada PRU 1969. Ustaz Ahmad Yakob dan PAS di Kelantan bertambah baik. Mohd Amar yang juga Timbalan Menteri Besar berkata hubungan antara kerajaan tidak pernah putus sejak 1990 berdasar sistem federalisme. Oleh itu beliau menegaskan PAS Kelantan tidak pernah membincangkan hubungan atau kerjasama politik dengan Umno. Katanya, setakat ini parti itu hanya bekerjasama dengan KeADILan sahaja. "Setakat ini hubungan atau kerjasama politik hanya dengan KeADILan sepertimana diputuskan pada muktamar Jun lepas," katanya. Tun Razak menggunakan segala peluang bagi mengembalikan semula kekuatan Umno selepas hilang banyak pengaruh pada pilihan raya umum (PRU) 1969. Perikatan hampir gagal membentuk kerajaan negeri di Selangor dan Perak. Jumlah undi diperoleh Perikatan di parlimen sebanyak 49.3 peratus berbanding 58.5 peratus pada PRU 1964. Berlaku penurunan sokongan rakyat terhadap Perikatan sebanyak 15.7 peratus. Sebaliknya pembangkang memenangi 50.7 peratus undi popular. Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan Parti Progresif Rakyat (PPP) menang 25 kerusi parlimen, manakala PAS pula menguasai 12 kerusi. Pembangkang menguasai 37 kerusi berbanding 66 Perikatan di parlimen. Di Selangor pembangkang menang 14 daripada 24 kerusi, dan 19 daripada 40 kerusi di Perak. Dr Mustapha berkata politik lincah Tun Razak bukan sahaja sahaja membuatkan Tunku berundur, sebaliknya mengukuhkan kembali kedudukan Perikatan. Gerakan yang menguasai Pulau Pinang juga berjaya diikat Tun Razak. Selepas 46 tahun berlalu sekali lagi teori yang diasaskan perdana menteri kedua digemblengkan semula. Kali ini anaknya, Dato' Seri Najib dilihat cuba mengulangi semula detik tersebut. Namun Umno seperti lupa tiada lagi tokoh seperti Mohd Asri dalam PAS. Keupayaan PAS berada dalam kerajaan BN tidak lama. Kejayaan Tun Razak menggabungkan kekuatan parti Melayu gagal dipertahan Tun Hussein Onn dan Tun Dr Mahathir Mohamad. Hussein memanfaat kesempatan konflik dalaman PAS pada 1997 mengumumkan darurat. Pertelingkahan Mohd Asri dan Menteri Besar Dato' Muhammad Nasir membuat politik PAS bergelombang. Muhammad biar pun sebagai pemimpin PAS namun lebih berkiblat kepada Umno. | |||
Posted: 19 Dec 2015 09:51 PM PST Di sungai inilah penduduk tempatan serta kawasan berdekatan malah ada juga dari jauh datang untuk menyauk ikan loma yang banyak terdapat dalam sungai tersebut ketika itu. Ikan loma yang berkeliaran ini sebenarnya dalam perjalanan mudik ke hulu Sungai Rui dari Sungai Perak untuk bertelur. Justeru ia juga dikenali sebagai musim ikan loma bertelur. Ketika ini memang banyak ikan tersebut bergerak secara berkumpulan. Sewaktu melalui Sungai Rui inilah orang ramai mengambil kesempatan untuk menyauk. Selain penduduk tempatan dan berdekatan seperti Felda Bersia, ada yang datang dari Ipoh dan Baling. Bagi sebahagian mereka, datang menyauk sudah jadi rutin tahunan. Mereka akan sampai apabila sahaja mendapat maklumat ikan sudah mula berkeliaran di Sungai Rui. Sungai Rui terletak di Kampung Kuala Rui, kira-kira lima kilometer dari pekan Gerik. Satu ketika dahulu, Kuala Rui merupakan laluan utama untuk ke Felda Bersia dari Gerik dan sebaliknya, sebelum siap Lebuhraya Timur Barat dibuka pada Julai 1982. Selepas lebuh raya dibuka, ia menjadi laluan pilihan utama para peneroka kerana lebih lurus dan selesa. Dari lebuh raya itu ada simpang ke Felda Bersia dan Kuala Rui itu sendiri. Laluan lama melalui Kuala Rui masih tetap digunakan serta menjadi laluan utama penduduk tempatan berulang alik ke Gerik atau kawasan sekitar. SAUK Ikan loma biasanya 'berkumpul' di Sungai Rui apabila hujan lebat, khususnya antara bulan September hingga November. Namun kedatangannya secara 'berduyun-duyun' ialah apabila hujan terlalu lebat sehingga air sungai naik dan menjadi keruh. Air keruh memang sesuai untuk ikan loma bertelur. Selain ikan loma, ikan sebarau pun ada juga bertandang ke Sungai Rui. Ikan loma dilihat dari jarak dekat. Hujan lebat di awal November baru-baru ini menyaksikan ikan loma kembali memenuhi Sungai Rui. Penduduk sekitar sudah sedia maklum, biasanya hujan lebat sehingga menjadikan air sungai keruh sudah pasti akan membawa bersamanya ikan loma dan sebarau. Masa yang ditunggu untuk menyauk ikan sudah tiba. Sungai Rui sekali lagi menjadi tumpuan ramai. Untuk kemudahan orang ramai berkumpul sambil menyauk ikan, sebuah dataran dikenali sebagai 'Dataran Ikan Loma' dibina di tebing Sungai Rui. Dataran ini juga menjadi tempat penduduk tempatan bersantai pada hari-hari biasa. Sungai Rui yang menjadi lokasi pilihan penyauk ikan loma. Istilah `menyauk' digunakan kerana sauk adalah kaedah yang digunakan untuk menangkap ikan-ikan ini. Sauk ialah jaring yang diikat kepada buluh panjang sebagai pemegang. Sauk ini pula ada yang besar dan ada yang sederhana besar. Dengan pemegang panjang, sauk membolehkan pemegangnya menyauk ikan dari tebing tanpa perlu turun ke dalam sungai. Tidak sukar menyauk ikan. Hanya masukkan sauk ke dalam air untuk beberapa ketika dan angkat. Setiap kali sauk diangkat tentu ada hasilnya. Seronok melihat ikan loma melompat-lompat dalam sauk apabila diangkat. PEKASAM Hasil tangkapan yang banyak boleh menjadi sumber rezeki lumayan untuk masyarakat sekitar dan mereka yang gemarkan ikan darat. Tidak sukar untuk menjual ikan loma segar kerana pembeli sentiasa ada. Harganya boleh mencecah sehingga RM5 sekilogram. Ikan loma memang digemari ramai, tambah lagi kedatangannya secara bermusim. Selain itu ada yang menjual ikan loma dalam bentuk ikan pekasam untuk meraih harga jualan yang lebih tinggi. Ada yang menjual dalam paket, ada yang menjual dalam balang. Satu kilogram ikan pekasam boleh mencecah sehingga RM20 atau lebih. Satu paket mengandungi dua atau tiga ekor ikan boleh mencecah sehingga RM5 atau lebih. Bagi yang tidak berhasrat untuk menjual, ikan loma dibawa pulang untuk keperluan sendiri dan keluarga. Selain dimasak terus sebagai lauk, ada antara mereka yang rajin membuat pekasam untuk keperluan keluarga. Pendek kata untuk beberapa waktu, mereka ada bekalan ikan untuk dimakan. CABARAN IKAN LOMA Ikan loma memang sedap, baik yang dimasak terus atau dijadikan pekasam. Jika digoreng dan dimakan dengan nasi lagi lah sedap hingga mendorong seseorang untuk menambah nasi berkali-kali. Cuma cabarannya ialah menyiang ikan loma, terutama jika dalam kuantiti yang banyak. Ini kerana ikan loma adalah jenis ikan bersisik banyak dan halus, seperti ikan selangat. Namun kepenatan dan kesusahan ini berbaloi apabila merasai keenakan ikan tersebut. Setahu penulis, ikan loma hanya terdapat di Sungai Perak. Nama saintifiknya ialah `Thynnichthys Thynnoides'. Bentuk badannya seperti ikan Tongsan atau Tomelian. Malah ia juga dipanggil sebagai Tongsan Lama. Makanan utama ikan ini adalah plankton dan tumbuhan air. Perbezaan ikan loma (kecil) dan ikan sebarau (besar). Ikan loma selalu bergerak dalam kumpulan yang besar. Kerana itulah apabila tiba musim bergerak mudik ke hulu Sungai Rui jumlahnya sangat banyak, membolehkan orang ramai memperolehi hasil tangkapan yang lumayan. Menyauk ikan loma memang menyeronokkan. Bagi penduduk setempat atau dari jauh, menyauk sudah menjadi aktiviti rutin setiap tahun. Memang geram melihat ikan bermain di dalam sungai dengan setiap kali sauk diangkat, banyak ikan yang terperangkap. Salah seorang 'pengunjung tetap' Sungai Rui, Shaheeza Shakmi dari Ipoh ketika ditemui memberitahu, setiap tahun pada musim loma bertelur ini dia pasti akan datang ke Sungai Rui untuk menyauk. Kebetulan memang dia ada saudara mara sebagai peneroka di Felda Bersia, Gerik. Jadi ada tempat berehat atau menumpang tidur. Ikan sebarau... Shahezaa atau dikenali sebagai Jija yang datang bersama suami dan anak ke Sungai Rui menambah, sewaktu turun ke tebing dan meletakkan sauk dalam sungai, sudah terasa debarannya. Jija sudah bersiap sedia untuk menyauk ikan loma di Sg Rui, Perak. "Terasa ikan menerjah sauk, mungkin mahu melepaskan diri apabila terperangkap. Lebih teruja apabila mengangkat sauk dan melihat ikan loma melompat-lompat di dalamnya," kata Jija. Jija menyauk ikan untuk keperluan keluarga sendiri. Katanya, sebahagian ikan tersebut untuk dimasak dan selebihnya dibuat pekasam. IKAN LOMA SARAT TELUR Bagi Jija, menyauk ikan sangat menyeronokkan. Hanya mereka yang pernah merasainya sahaja akan memahami keseronokan itu. Oleh kerana musim ikan loma mudik ke hulu Sungai Rui adalah untuk bertelur, ikan betina yang disauk tentunya berisi telur. Inilah yang disukai para penyauk. Selain ikan, telurnya juga dalam kuantiti yang agak banyak. Telur ikan loma sedap digoreng atau dijadikan masakan lain yang bersesuaian. Telur ikan loma yang digaul dengan rencah sebelum digoreng. Menyauk ikan di Sungai Rui memberi pengalaman yang sukar dilupa. Bagi mereka yang belum pernah berbuat demikian pasti ingin merasainya. Datanglah bila ada kelapangan. Tidak sempat musim ini, datang pada musim depan. Kalau belum bersedia hendak menyauk pun boleh sekadar jadi pemerhati dan menyaksikan sendiri keseronokan dan gelagat penyauk. Sungai Rui menunggu anda! | |||
Penerbangan Pertama Rayani Air Berlepas Posted: 19 Dec 2015 09:36 PM PST Pengarah Urusannya Jaafar Zamhari berkata penerbangan RN0600 itu berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2), di sini, membawa kira-kira 150 penumpang termasuk 18 anak yatim dari Institut Taufik Islami, Klang serta petugas media. Secara keseluruhannya, katanya beliau berpuas hati dengan kelancaran penerbangan itu walaupun terdapat sedikit kelewatan semasa proses daftar masuk penumpang. "Setakat ini saya berpuas hati dengan prestasi petugas. Mereka adalah petugas terlatih dan sebahagiannya telah mempunyai pengalaman dalam industri penerbangan.. Seorang penumpang, Ahmad Aiman Mohd Razali, 29, berkata beliau begitu teruja untuk mencuba penerbangan patuh syariah itu buat kali pertama. Katanya harga yang ditawarkan syarikat penerbangan itu amat berpatutan memandangkan ia memberikan perkhidmatan penuh yang membezakannya dengan syarikat penerbangan lain. "Dengan satu tiket, boleh dapat daftar masuk bagasi sebanyak 20 kilogram serta hidangan dalam pesawat. Setakat ini saya berpuas hati dengan perkhidmatan yang diberikan," katanya. Rayani Air menerima lesen perkhidmatan udara dan sijil pengendali udara daripada Jabatan Penerbangan Awam (DCA) pada Jumaat lepas. Syarikat itu merupakan hasil usahasama dua perniagaan iaitu syarikat minyak dan gas, Merdeka Jayabumi Enterprise dan syarikat perlombongan, Terus Maju Metal. | |||
Bagaimana bersama Islam hingga ke penghujung hayat? Posted: 19 Dec 2015 09:32 PM PST Oleh USTAZ ZAINUDIN HASHIM DALAM suasana hari ini Dyang penuh dengan pelbagai pancaroba, iaitu pada era ICT, teknologi maklumat, whatsapp, facebook dan sebagainya, bukan senang untuk mendapatkan muslim yang benar-benar sayangkan agamanya lebih daripada dirinya sendiri, ia juga bukan bererti sukar untuk mendapatkannya, namun keadaan yang menghukum diri muslim itu sedemikian. Apapun, sebahagian besar daripada golongan muslimin terikut dengan rentak serta irama alunan dunia yang mengasyikkan, hingga lupa perjanjian mereka terhadap Allah selaku Pencipta, mereka terlibat dalam aktiviti yang melalaikan, memang itu pun yang disediaan buat mereka, bagi menguji sejauhmana ketahanan iman yang ada dalam diri ataupun sebaliknya. Allah SWT menjelaskan dalam surah as-Syams ayat 7-10 yang bermaksud: "Demi diri (manusia) dan Yang menyempurnakannya (Allah). Lalu diilhamkan (Allah) kepadanya mana yang buruknya (yang membawa kepada kekejian) dan mana yang baiknya (yang membawa kepada takwa). Sesungguhnya telah berjaya orang yang membersihkan (jiwanya). Dan rugilah orang yang mengotorkannya. Sesungguhnya manusia pada hari ini lebih cenderung kepada perkara yang membawa kepada kekejian dan mungkar, malah lebih cenderung untuk memperuntukkan masa yang tiada kaitan langsung dengan Allah dan persoalan hari akhirat. Tetapi masa untuk Allah, agama dan kebaikan tiada dalam kamus kehidupan harian mereka, kalau adapun amat sedikit sekali, sebab hati sudah terikat dengan dunia dan isi-isinya. Disebabkan golongan seumpama ini agak sukar untuk menghadirkan diri dalam majlismajlis ilmu, maka muhasabah kali ini menyediakan satu pendekatan bagi mereka untuk menuju jalan kehidupan muslim sebenar, malah menyediakan bekalan bagi memastikan agar penutup kepada kehidupan ini adalah yang terbaik (husnul Khotimah), kaedah atau pendekatan itu adalah seperti berikut: 1. Memperbaiki niat dalam segenap amal soleh yang memimpin seseorang itu menuju jalan kepada Allah. 2. Bersangka baik kepada Allah dalam setiap apa yang berlaku ke atas dirinya. 3. Bersegera untuk bertaubat apabila mendapati diri tersasar jauh dari kebenaran Islam dengan terlibat dalam dosa-dosa besar atau kecil. 4. Sentiasa berada dalam posisi ketaatan kepada Allah walaupun pada perkara yang sukar untuk dilakukan. 5. Sentiasa mengingati kematian, kerana ia boleh membantu untuk memperbaiki diri dalam menyediakan bekalan yang cukup untuk menemui Allah SWT. 6. Memperbanyak dan membentengi diri dengan zikrullah (zikir) seperti tasbih, tahmid, takbir, tahlil, ma'thurat dan zikir-zikir harian yang lain. 7. Sentiasa komited dengan pembacaan al-Quran setiap hari, kerana ia merupakan kitab Allah, apabila seseorang itu membacanya setiap hari, ia telah berinteraksi dengan Tuhannya dan Dia akan sentiasa sayang dan kasih kepadanya, termasuk mentadabbur (meneliti) isi-isi kandungannya. 8. Memohon doa restu Allah dalam segenap tindakan yang dilakukan. 9. Tidak jatuh pada perkara yang menjadikan seseorang itu merasa was-was dalam perkara ibadat, hingga akhirnya meninggalkannya kerana menganggap Islam itu sukar untuk dilaksanakan, ia boleh diatasi dengan banyak duduk dalam majlis-majlis ilmu dan bergaul dengan orang-orang soleh yang boleh mengingatkan diri kepada Allah SWT. 10. Mesti memahami bahawa Islam itu adalah agama yang menyuruh untuk beramal atau bekerja dan menghasilkan sesuatu yang terbaik buat dirinya dan orang lain sesuai dengan tuntutan dan keperluan hidup. 11. Tidak membebankan diri dengan melakukan sesuatu yang sukar untuk dilakukannya seperti memaksa diri bangun setiap malam dengan melakukan sebelas rakaat solat Tahajjud dan Witir, cukuplah buat peringkat awal dua rakaat Tahajjud dan satu Witir tetapi konsisten. 12. Mencontohi sebaik-baik contoh teladan yang terbit dari diri baginda Rasulullah s.a.w, para Sahabat dan para tokoh ulama Islam terkemuka. 13. Menjauhkan diri segala perkara-perkara yang haram seperti rasuah, riba, makan harta anak yatim dan sebagainya. 14. Menyatakan taat setia kepada segenap suruhan Allah dan Rasul-nya dan meninggalkan segenap tegahan dan larangan Allah dan Rasul-Nya. 15. Merasakan segala habuan dunia boleh membawa kepada kehinaan pada diri. 16. Memperbanyak munajat kepada Allah (menyatakan rasa rindu dengan ibadat di tengah malam). 17. Tidak banyak beranganangan untuk mencapai status pangkat dan kedudukan di dunia. 18. Tidak mengejar kemasyhuran dengan mengambil pendekatan matlamat menghalalkan cara. 19. Memperbanyak ibadat khusus dan umum yang boleh mengeratkan hubungan sesama manusia. 20. Merasakan keagungan Allah dalam seluruh penciptaan- Nya. 21. Mengadu nasib hanya kepada Allah dan meminta pertolongan hanya kepada-Nya jua.22. Berusaha untuk sentiasa membantu orang-orang Islam dalam apa jua keadaan yang diperlukan. Jika seseorang itu mampu mengikuti kaedah atau pendekatan seperti yang ditunjukkan di atas, insya- Allah dia akan dibayangi dengan rahmat serta kasih sayang Allah SWT yang akan menjadikan dirinya bersedia untuk diwakafkan hanya untuk agamanya yang disayangi. | |||
Malaysia berpuas hati Islam jadi Agama Persekutuan Posted: 19 Dec 2015 09:25 PM PST Oleh Subky Latif MEMANG patut orang Malaysia bersyukur kerana dirakamkan dalam perlem - bagaannya Islam adalah agama persekutuan. Tidak banyak, malah tidak ada negara dapat bubuh begitu dalam perlembagaannya.Termasuk negara umat Islam sendiri. Saya tidak tahu apa isi perlembagaan yang menama rasmikan negaranya sebagai republik Islam seperti Iran dan Pakistan. Mana lebih baik isytiharkan nama negara itu negara Islam dengan rakam dalam perlembagaan Islam adalah agama persekutuan. Apapun lebihlah kita dibandingkan dengan Pulau Maldives, Turki bahkan Mesir. Tetapi tak lawan Brunei. Dinamainya Brunei Darussalam dan dibubuhnya ia negara Islam Melayu beraja. Dan sekarang ia hendak tiru sikit sebanyak yang Nabi s.a.w. buat di Madinah. Tentang isi perlembagaan kita itu mungkin beza dengan negara Islam lain, kita nama anak yang baru lahir Gajah Mada dan catat dalam kad pengenalannya beragama Islam. Manakala orang lain namakan anaknya Muhammad bin Abdullah tetapi tidak sebut agamanya dalam kad pengenalan. Ke mana-mana pergi orang tahu Muhamad Abdullah itu Islam tetapi Gajah Mada itu tidak diketahui agamanya hinggalah dia singgah solat di masjid. Para serjana termasuk ulama rasmi kira memadai dengan catatan perlembagaan itu tertolaklah ia sebagai negara sekular, kerana mengikut kamus sekular itu tiada kaitan dengan agama. Perlembagaan Malaysia bubuh Islam agama persekutuan. Maka dikaitkan ia dengan Islam, nescaya bukanlah ia sekular. Ia menyebabkan cendekiawan Islam kita berpuas hati, Islamlah negara kita. Tak usah takwil-takwil lagi! Macam laporan sukan. Pasukan bola yang kalah dilaporkan sebagai terpaka berpuas hati kalah satu gol kosong. Ia kalah tetapi ia berpuas hati dengan kalah itu. Kalah pun seronok juga? Dengan catatan dalam perlembagaan itu sudah elok. Tetapi adalah negara Islam itu sudah elok dengan rakaman perlembagaan saja? Mao Zedong dulu tidak setuju dengan komunis Soviet pasca- Stalin ialah tidak berjalan sistem komunisme di Kesatuan Sovie seperti yang difahami oleh Karl Marx, Vladimir Lenin dan Joseph Stalin. Bagi Mao negara komunis apa namanya jika tidak berjalan di dalamnya sistem, hukum, aturan dan peraturan komunis. Padanya negara komunis itu ada di China saja. Komunis di Soviet dikira revisionis. Kira-kira komunis murtad. Macam sekarang ini semua komunis sudah murtad. Bolehkah orang Islam berpuas hati dengan Islamnya Malaysia sekadar rakaman dalam perlembagaan saja? Islam itu tidak sekadar sebuah dokuman yang bernama perlembagaan, tetapi apa yang berjalan dan terlaksana dalam negara itu. Ibu bapa tidak boleh berbangga dengan menamakan anak yang baru lahir Muhammad bin Abdullah tetapi tidak memikirkan tentang sekolah dan pendikan anak itu. Orang Melayu besar hati kerajaan British dirikan Maktab Melayu Kuala Kangsar untuk anak-anak orang kenamaan dan Melayu yang cerdik. Tetapi akidah dan pendidikan agama anak itu tidak dipedulikan. Keluaran MCKK terkenal sebagai orang Melayu yang pintar dan berpengetahuan tinggi. Mereka kekal sebagai orang Islam tetapi fikirannya dan kehidupan sekular. Selepas merdeka dengan perlembagaan Islam agama persekutuan, sistem pendidikan penjajah diteruskan bahkan dikuburkan jawi. Tidak dicatat dalam perlembagaan bahawa sekular dijamin tetapi pentadbiran, perundangan, pemerintahan diisi dengan fahaman sekular. Anak yang bernama Muhammad tadi pandai dan bijak, tetapi kehidupannya tungganglanggang. Dia tidak keluar Islam tetapi dia jadi rakyat yang runtuh akhlak. Perlembagaan tidak berubah tetapi rakyat dan pemimpinnya antidakwah. Islam yang Allah tuntut dan Nabi ajar anak diajak solat ketika dia tujuh tahun dan rotan kalau tidak solat bila berusia 10 tahun. Muhammad yang lulus Maktab Melayu belajar solat masa hendak nikah. Itu pun kerana peraturan baharu syarat orang nikah ada sijil kursus kahwin. Sijil kursus kahwin adalah seperti tauliah mengajar kepada ustaz. Ia adalah untuk orang tidak dipastikan tahu pengetahuan agama. Sekolah tidak menyediakan keperluan itu. Sepatutnya sekolah menydiakan membekalkan pengetahuan fardu ain. Segala yang dibuat dalam kursus nikah itu adalah dalam kurikulum sekolah. Yang disibukkan kerajaan Malaysia ialah untuk mengadakan pengetahuan seks. Kelas di Johor sejak sebelum merdeka, lulusannya boleh jadi kadi. Tidak perlulah mereka mengambil tauliah. Jika perlembagaan itu lambang kedaulatan Islam, pemegang sijil SPM patut lengkap dengan kelayakan empat sanawi. Apa yang terjadi dalam pembangunan negara di bawah payung perlembagaan yang ulama pun tidak sensitif dengan Islam berjalan baik atau sebaliknya. Kita tidak kata mereka menyembah pemimpin kerajaan, tetapi tidak mustahil kemungkinan mufti cium tangan menteri yang hidup dan pemikirannya persis sekular. Ada yang bangga dengan propaganda bahawa Islam di Malaysia adalah lebih baik dari lain-lain negara Islam. Isi perlembagaan adalah dalihnya. Lebihnya Malaysia ada, tetapi tidak dalam semua perkara. Ada yang lebih di Malaysia seperti Lembaga Tabung Haji. Tapi negara-negara Islam yang lain lebih dalam perkara lain pula. Allah tidak longgok kelebihan itu pada satu bangsa dan negara saja. Satu negara itu sama seperti lainlain negara, ada kelebihan dari sebahagian yang lain. Jika pun kita dikira lebih dari yang lain, justeru yang lain itu lebih teruk, tetapi ini tidak berereti kita sudah sempurna. Kerana orang lain itu terlalu teruk maka kita kurang teruk, lalu kita seronok. Seperti solat fardu lima kali. Orang lain solat Jumaat saja. Kita solat tiga waktu. Kita bangga kerana kita solat sekalipun tiga waktu, orang lain tidak solat langsung. Mungkin kita puasa 20 hari saja tapi orang lain tak puasa langsung. Maka patutkah kita bangga sebagai orang Islam puasa 20 hari sedang orang tidak puasa langsung dan kita solat tiga waktu sehari sedang orang lain tak solat langsung? Janngan kelebihan seperti menjaadikan kita puas hati dengan Islam kita sedang kelebihan ada itu belum menjadikan kita sudah menyempurnakan tanggungjawab kita. Jangan kerana kekurangan negara Islam lain, kita jadikan kelemahan Islam kita memadai dan berpuas hati hingga kita kata kita yang terbaik dan tidak rasa perlu membuat yang terbaik dan mengatasi kekurangan kita! Apa yang perlu kita isi kelebihan perlembagaan itu dengan yang terbaik supaya orang lain boleh belajaar dari kita atau kita boleh berlumba supaya sama-sama membuat yang terbaik. Islam sebagai agama persekutuan adalah ibarat bangunan besar yang kosong. Kita kena isi dengan segala keperluan. Jangan biarkan ia kosong dan diisi oleh sarang labah-labah dan tikus. Nabi Ibrahim a.s. dan Nabi Ismail a.s. bina Kaabah. Selepas ketiadaan mereka, Kaabah dipenuhi oleh 360 berhala. Tidak mustahil Malaysia ada perlembagaan yang elok tetapi negara diisi denan hiasan sekular dan jahiliyah. Ahli ilmu dan ulama rasmi jangan tertipu oleh kulit buku yang indah tetapi isinya penuh dengan sastera lucah. Mereka tertipu satu hal tetapi mereka tipu pula orang lain. | |||
Boleh ucap tapi tidak boleh sambut perayaan agama lain Posted: 19 Dec 2015 09:21 PM PST Perpaduan antara Islam dan bukan Islam bukan berkongsi hari raya tetapi dengan keadilan, berbuat baik dan dan tidak menzalimi antara satu sama lain. PETALING JAYA: Umat Islam boleh mengucapkan 'selamat hari raya' kepada penganut agama lain yang menyambut perayaan mereka, kata Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd Asri Zainul Abidin. Beliau bagaimanapun berkata, ucapan tersebut tidak mengandungi ungkapan yang syirik atau kufur seperti menyebut 'anak Allah' atau tuhan selain Allah dan memadai sekadar 'selamat hari raya' atau 'selamat bergembira' atau seumpamanya. "Namun, seorang muslim tidak boleh turut merayakan perayaan agama lain. Sebabnya, perayaan agama merupakan upacara agama. Bukan muslim pun tidak patut disuruh merayakan hari raya kita. "Perpaduan antara kita sesama rakyat muslim dan bukan muslim bukan dengan berkongsi hari raya, tetapi dengan keadilan, berbuat baik dan tidak menzalimi antara satu sama lain," katanya yang menjawab pertanyaan individu yang bertanyakan hukum membuat ucapan sempena perayaan bukan Islam di Facebook. Asri berkata, dalam dunia semasa yang Islam dituduh dengan pelbagai tuduhan liar, umat Islam patut menonjolkan imej Islam yang harmoni dan baik tetapi dalam masa yang sama mesti menjaga benteng akidah. Beliau berkata, faktor perubahan zaman dan persekitaran membuatkan sarjana Islam berbeza pendapat dalam isu ini. Katanya, bagi sarjana moden yang mempunyai persekitaran yang baru dan keperluan untuk memperlihatkan keharmonian Islam kepada bukan Islam, fatwa-fatwa mereka ini lebih lunak dan mengizinkannya dengan syarat-syarat tertentu. | |||
Go-KL ibarat rahmat buat warga kota, pelancong Posted: 19 Dec 2015 09:17 PM PST AHMED SYAHRIL ZULKEPLYBas Go-KL diwujudkan sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-55. - Foto TRP/ Syahirah Roslan KUALA LUMPUR, Abu Talam Abdul Salam, 32, adalah seorang tukang masak di sebuah restoran yang terletak berhampiran Wisma MCA, di Jalan Ampang, Kuala Lumpur.Beliau sering berulang-alik menggunakan perkhidmatan bas Go-KL dari rumahnya ke tempat kerja. "Dari rumah saya di Pudu, saya akan berjalan kaki ke Times Square, semata-mata mahu menaiki bas Go-KL laluan hijau, kerana ia percuma. "Lagipun perkhidmatan bas ini sangat baik dan saya selesa menggunakannya," katanya Ketika ditemui The Rakyat Post, baru-baru ini. Abu Talam yang berasal dari Bangladesh berkata, selain Go-KL, beliau turut menggunakan pengangkutan awam lain, seperti Komuter Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dan Transit Aliran Ringan (LRT). "Memang betul tambang pengangkutan awam sekarang banyak mahal. Gaji RM1,500 pun tidak cukup, tetapi bas percuma kan ada, bolehlah berjimat sedikit dengan menaikinya," katanya. Seorang lagi pengguna Go-KL, Razak Kaba, 32, berkata, bas percuma Go-KL merupakan pengangkutan terbaik di ibu kota. "Saya selalu menggunakan bas ini. Saya dapati ia sentiasa digunakan warga emas, pelancong, anak-anak muda dan orang kelainan upaya (OKU). "Dari segi ketepatan masa, kadang-kala saya kena menunggu sebentar untuk menggunakan perkhidmatan ini bagi laluan hijau atau ungu, kerana kesesakan lalu lintas. "Sebab itu, saya tidak boleh beri lima bintang, tetapi dari segi perkhidmatan dan aspek kebersihan, semuanya lima bintang," kata Razak yang berasal dari Timur Tengah. Ranita Bunga, 17, pula berpendapat, bas Go-KL memudahkan beliau berkunjung ke lokasi menarik di kawasan segi tiga emas Kuala Lumpur. "Jika saya ke Bukit Bintang, saya akan menaiki bas Go-KL untuk bersiar-siar. "Walaupun percuma, perkhidmatan yang diberikan sangat baik, kerana setiap perhentian, penumpang akan diberitahu nama perhentian itu, seperti di dalam LRT," katanya. Ibunya, Ita Rono, 48, berkata, penduduk di negara ini bertuah, kerana kerajaan menyediakan perkhidmatan bas percuma seperti Go-KL. "Di Indonesia, tidak ada bas percuma dan tambangnya juga mahal seperti di Kuala Lumpur, tetapi di sini, penduduknya lebih bertuah, kerana diberi pilihan menggunakan perkhidmatan bas percuma. "Pada pendapat saya, perkhidmatan Go-KL sangat bagus dan mudah untuk dinaiki, kerana pengguna hanya perlu tunggu di perhentian bas yang disediakan, mengikut laluan pilihan masing-masing," katanya. Pengguna Go-KL warga tempatan, Viki Goh, 30, berkata, kemudahan ini lebih banyak dinikmati warga asing. "Kemudahan bas percuma ini lebih ramai digunakan warga asing berbanding warga tempatan. "Saya dapati warga asing lebih banyak menggunakan bas ini, tetapi pada hari bekerja, ada juga warga tempatan yang menggunakannya," katanya. Anak kelahiran Johor itu mengakui, beliau suka menaiki bas Go-KL dan berharap lebih banyak laluan baru akan dibuka kelak. Dari segi ketepatan masa pula, Goh memberikan empat bintang, kerana jelasnya, walaupun jalan sesak, Go-KL masih beroperasi mengikut jadual tanpa henti. "Kadang-kala bas tiba sedikit lewat, kerana kesesakan lalu lintas, tetapi kebersihannya lima bintang," katanya. Bagi Yap Kim Nooi, 67, bas Go-KL sesuai dinaiki warga emas sepertinya. "Selain percuma, tempat duduk bas ini juga selesa dan mudah dinaiki warga emas, kerana ia tidak mempunyai tangga," katanya. Bas Go-KL diwujudkan sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-55. Kerajaan Persekutuan menghadiah perkhidmatan bas percuma kepada warga kota bagi destinasi tertentu di kawasan pusat bandar. Penubuhan perkhidmatan bas percuma yang disediakan pengendali pengangkutan, RapidKL itu merupakan langkah terbaru kerajaan bagi mempromosi pengangkutan awam di kalangan orang ramai, selain bertujuan mengurangkan kesesakan lalu lintas di pusat perniagaan daerah (CBD) di ibu negara. Bas ini mudah dikenali, dengan adanya logo Go-KL City Bus serta tertera percuma pada bas berkenaan dan beroperasi mulai jam 6 pagi hingga 11 malam setiap hari. Selain itu, ia turut dilengkapi kemudahan WiFi, sistem penentuan kedudukan global, sistem kamera litar tertutup (CCTV) dan mesra OKU. Laluan hijau melibatkan hentian bas di Suria KLCC, Angkasaraya, Pusat Penerangan Pelancongan (MaTiC), Hotel Concorde, Wisma Hup Seng, The Weld, Wisma Lom Foo Yong, Pavilion, Ain Arabia, Monorel Raja Chulan, Wisma Rohas Perkasa, Citibank dan Wisma Athlan. Manakala laluan ungu pula melibatkan hentian bas di Pasar Seni, Bangkok Bank, Muzium Telekom, Menara Olimpia, Menara KL, The Weld, Wisma Lim Foo Yong, Pavilion, Ain Arabia, Wisma Boustead, Wisma HLA, Simpang Bukit Ceylon, Muzium Telekom dan Kota Raya. | |||
PAS ulangi pendirian, Umno perlu kembali ke landasan Islam Posted: 19 Dec 2015 09:09 PM PST Oleh Shuhaniza Md Said SHAH ALAM: Naib Presiden PAS, Dr Idris Ahmad menegaskan parti itu tetap berpegang dengan pendirian Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berhubung kerjasama dengan Umno, iaitu parti Melayu itu perlu kembali kepada landasan Islam dalam mentadbir negara. "Semua orang nak hulur tangan dengan PAS..Tapi kami saja belum terima lagi. "Indikator Umno ni nampak makin teruk.. Takkan lah kita mahu menanggung masalah dia," katanya kepada Antarapos. Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung pelawaan Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Najib Razak yang menghulurkan tali silaturrahim kepada PAS untuk sama-sama membina dan membangunkan negara ini mengikut syariat Islam sebenarnya. Hadi sebelum ini sebagai maklum balas kepada pelawaan Najib memberitahu, PAS sentiasa bersikap terbuka dan berlapang dada terhadap hasrat perpaduan berteraskan syariat Allah dengan mana-mana pihak, sama ada Islam atau kalangan bukan Islam. Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Bukit Gantang itu menambah, masih tiada sebarang perbincangan di peringkat parti mengenai perkara itu buat masa ini. Kelmarin, Antarapos melaporkan Mursyidul Am PAS, Datuk Dr Haron Din sebagai berkata parti itu sentiasa terbuka untuk mewujudkan perpaduan dengan mana-mana pihak. Ujar Haron, hanya masa akan menentukan dan kerjasama mungkin boleh dijalinkan pada masa akan datang jika tidak dapat dilaksanakan pada masa kini. Dalam pada itu, Idris secara sinis turut menempelak kenyataan beberapa pemimpin Parti Amanah Negara (PAN) yang menyifatkan PAS yang gemar berdolak dalih dalam menyatakan pendirian terutamanya isu perpaduan dengan Umno, sehingga menjadi punca tertubuhnya PAN. "Cuba tanya dia balik, kalau tak kalah (pemilihan PAS), wujud atau tidak PAN. Tanya itu saja," katanya sinis merujuk kepada tindakan beberapa pemimpin PAN yang 'menuding jari' kepada PAS selepas menyertai parti serpihan itu. Pimpinan PAN kebelakangan ini kerap melancarkan serangan terhadap PAS, antaranya turut mengaitkan parti pimpinan Hadi itu diresapi pemikiran Kumpulan Militan Negara Islam Iraq dan Syria (Isis), yang didakwa menjadi antara punca penubuhan PAN. | |||
Tikam kakitangan Astro Awani - 2 lelaki ditahan Posted: 19 Dec 2015 09:08 PM PST ANTARAPOS.COM KUALA LUMPUR: Dua lelaki ditahan dipercayai terlibat dalam insiden pertengkaran sehingga mengakibatkan seorang kakitangan Astro Awani parah ditikam di sebuah kondominium di PV20, Jalan Usahawan, Setapak di sini kelmarin. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Zainuddin Ahmad berkata, kedua-dua suspek berusia 25 tahun itu ditahan pada pukul 2 petang semalam di Setapak. "Kesemua suspek yang ditahan adalah penganggur. Kita akan buat permohonan tahan reman pada pagi ini," katanya kepada pemberita di sini hari ini. Ketika ditanya adakah pertengkaran berpunca disebabkan suspek membawa anjing ke rumah mangsa, Zainuddin memberitahu, pihaknya masih melakukan siasatan lanjut berhubung kejadian tersebut. Dalam kejadian kira-kira pukul 11.30 malam itu, mangsa, Mohd. Hawari Zakaria, 33, yang bertugas sebagai pengurus pentas dipercayai ditikam oleh seorang wanita yang juga rakan kepada jirannya di bahagian perut dan kini dirawat di Hospital Kuala Lumpur. | |||
Posted: 19 Dec 2015 09:01 PM PST Lu Wei Hoong Presiden MIC S Subramaniam berkata beliau tidak menentang kerjasama Umno-PAS selagi tidak menjejaskan perhubungan dengan parti komponen BN yang lain. "Ini penting. "Kita tidak menentang sebarang kerjasama pilihan raya ada kedua-dua parti itu," kata anggota parlimen Segamat itu kepada media di Kepong hari ini. Beliau juga berkata, buat masa ini, MIC masih memantau keadaan. Ditanya sama ada kerjasama itu akan menguntungkan MIC, Subramaniam berkata perkara itu memerlukan penelitian terlebih dahulu. Isu kerjasama itu bersemarak semula selepas kedua-dua presiden parti itu – Datuk Seri Najib Razak dan Datuk Seri Hadi Awang – dilihat mesra dalam sebuah acara alumni Universiti Al-Azhar minggu lepas. Selain sama-sama terlibat merasmikan dan menyampaikan ucap utama, kedua-dua pemimpin itu juga menjadi perhatian dengan pakaian sedondon merah jambu. | |||
Gagal wujudkan pakatan beri kelebihan pihak lawan Posted: 19 Dec 2015 08:56 PM PST KOTA BHARU - Parti Amanah Negara akui perpecahan dan kegagalan mewujudkan pakatan yang kukuh antara parti-parti pembangkang akan memberi sedikit kelebihan Barisan Nasional (BN) yang sedang memerintah. Naib Pengerusi Parti Amanah Negara (Kelantan), Che Ibrahim Mohamed berkata, walau bagaimanapun, Amanah bersama Pakatan Harapan bersedia menghadapi sebarang kemungkinan dan yakin akan mendapat sokongan yang kuat daripada pengundi. "Amanah sudah bersedia untuk menggantikan Pas dalam pakatan pembangkang yang baru walaupun terpaksa bertanding tiga penjuru antara BN, Pakatan Harapan dan Pas,"katanya kepada Sinar Harian. Menurutnya, selama ini Pas sering menimbulkan masalah dan kesukaran dalam gerak kerja parti pembangkang kerana sikapnya yang sering berdolak dalih dan tidak ada pendirian politik yang jelas. Beliau berkata, malah sesetengah pemimpin Pas masih beranggapan Pakatan Rakyat (PR) masih lagi wujud dan bersedia mengukuhkan Pakatan Rakyat di Selangor. "Namun sebenarnya dalam masa yang sama pemimpin lain pula membuat kenyataan, bahawa Pas cukup selesa dan semakin kuat dengan bergerak secara bersendirian. "Tetapi sebagai satu parti yang menjadi tunjang dalam Pakatan Harapan, Amanah sentiasa membuka peluang kepada Pas untuk bersama-sama dalam pakatan pembangkang untuk menentang BN dalam pilihan raya,"katanya. Sementara itu, dalam perkembangan lain, mengulas mengenai cadangan kerjasama antara Pas dan Umno yang sering dibincangkan kini, beliau berkata, kemesraan hubungan kedua-dua parti itu akan memudahkan pengundi membuat penilaian berhubung pendirian atau sikap sebenar politik Pas yang semakin tidak selesa untuk bersama-sama parti pembangkang dalam Pakatan Harapan. "Kita mengalu-alukan hasrat Umno untuk bergabung atau bekerjasama dengan Pas kerana pertandingan satu lawan satu antara parti pembangkang dalam Pakatan Harapan dan parti pemerintah dalam Barisan Nasional dapat direalisasikan. "Jika gabungan ini benar-benar berlaku, maka kita akan menyaksikan sejarah pertandingan satu lawan satu antara pakatan pembangkang dan BN akan sebagaimana yang telah berlaku dalam pilihan raya yang lepas akan berulang sekali lagi dalam PRU 14 ini,"katanya. | |||
Batu Pahat, tempat lahirnya para radikal? Posted: 19 Dec 2015 07:14 PM PST Mesti ada sesuatu tentang Batu Pahat, Johor, tempat yang melahirkan ramai personaliti lantang dalam arena politik. Ada juga mengatakan ia tempat kelahiran radikalisme di Malaysia. Datuk Seri Onn Jaafar, Tony Pua, Teo Nie Ching dari DAP, Tan Sri Chua Soi Lek dan Dr Syed Husin Ali lahir atau dibesarkan di sini. Ramai negarawan terdahulu dan bekas Perdana Menteri Singapura Lee Kwan Yew juga bersekolah di sini. Kerabat diraja turut menjadi sebutan, juga dengan sejarah mereka yang berwarna-warni yang dibuktikan dengan Putera Mahkota terkini. Rakyat Johor sememangnya bangsa yang sangat nasionalistik dan megah. Muar dan Batu Pahat kelihatan bersih dan teratur, dengan rumah-rumah Melayu lama masih terpelihara baik, walaupun rakyat Johor juga kaya: kediaman besar, mewah tersergam di pinggir bandar kecil di sekitar Batu Pahat. Penduduknya lemah lembut apabila berkata-kata dengan sifat kemelayuan. Perbualan diakhiri frasa "...ekk" dalam percakapan harian rakyat Johor, dan wanita yang kami temui memakai baju kebaya sejak tahun 1960-an dan selendang, bukannya tudung. Di sebalik semua keindahan asli Batu Pahat, bagaimanapun, ada sejarah pemberontakan dan radikalisme. Bolehkah ini menerangkan keaktifan politik negeri dan penduduknya? Bagaimanapun, penduduk Johor yang ditemui The Malaysian Insider menyimpan sejarah mereka dalam hati, sehingga sukar mencungkil kisah radikal daripada mereka. Insiden Balai Polis Batu Pahat Pada 16 Oktober 1980, lelaki berjubah putih disyaki pengikut kumpulan agama, menyerang Balai Polis Batu Pahat. Mereka adalah pengikut yang kemudian dianggap sebagai ajaran sesat diketuai Ahmad Nasir Ismail yang mengisytiharkan dirinya sebagai Imam Mahdi, memimpin umat Islam sebelum hari kiamat dan membersihkan dunia daripada segala kejahatan. Kumpulan itu tinggal di Bukit Payung dan mengamalkan upacara keagamaan, silat dan percaya mereka adalah kebal. Saksi Rohayah Rawi baru sahaja mula bekerja sebagai kerani di balai polis itu. Baru sahaja berkahwin pada ketika itu menceritakan hari serangan adalah hari yang mengubah hidupnya selama-lamanya. "Saya tidak tahu apa itu yang membuat orang berfikir Johor adalah tapak radikalisme dan sama ada negeri melahirkan radikal. "Apa yang saya rasa adalah Johor sentiasa menarik orang luar menetap di sini. Kami mempunyai keturunan Banjar, Jawa, China, semua orang yang agak gopoh, dan mungkin sangat aktif dalam komuniti mereka di kampung halaman dan apabila datang ke sini, mereka membawanya bersama (jenis aktivisme)." Beliau juga berkata Johor menarik ramai ulama atau bomoh. Pada masa ini ada seorang yang dikenali sebagai Ustaz Salam, seorang warga Indonesia, yang dikatakan penipu dan ditangkap memancing semasa solat Jumaat. "Kenapalah orang Melayu ni cepat terpengaruh?" soalnya. Pengaruh asing Orang Banjar, Bugis dan Jawa yang menetap di Johor mempunyai reputasi gerakan memberontak yang berhasrat memperoleh zaman keemasan dan terkenal dengan sikap suka berperang. Kumpulan orang asing seperti ini adalah yang pertama menentang kumpulan dikawal komunis Tentera Anti-Jepun Rakyat Tanah Melayu (MPAJA) di kawasan itu. Ahli sejarah dan akademik Cheah Boon Kheng, menulis di dalam bukunya "Red Star Over Malaya" tentang perjuangan yang dihadapi rakyat Malaya di Batu Pahat. Pada 1945, pertembungan antara kaum meletus di antara orang Melayu, yang melibatkan kumpulan anti-penjajah dipanggil tarekat Qadirriyah dan MPAJA. Apa yang kelihatan seperti cara terbaik membuang penjajah dan Jepun di Malaya – satu pakatan di antara orang Melayu dan MPAJA – berakhir dengan pertumpahan darah. "Kelakuan menyakitkan hati orang Cina dalam MPAJA dikatakan banyak berlaku," tulis Cheah. Mereka mengenakan cukai membebankan dan dilaporkan menghina dan meremehkan penduduk kampung Melayu dan Cina. Wanita dipaksa bekerja di dapur MPAJA dan dicabul. MPAJA juga dikatakan menyembelih babi di masjid-masjid, dan Melayu yang disyaki menjadi pengkhianat dibunuh tanpa bicara. Cukup cukuplah, kata Kiyai Salleh dan ahli-ahli tarekat, yang terkenal di kalangan orang Melayu kerana kuasa ghaib yang kononnya dimiliki. Kiyai Salleh, sufi atau mistik yang diakui kumpulan, dilihat sebagai orang yang boleh menggunakan kuasa ghaib untuk perjuangan Islam. Beliau pemilik ilmu batin, ghaib, seni mempertahankan diri dan ilmu kebal. Kiyai Salleh menjadi terkenal apabila berjaya membawa penentang Melayu menyerang MPAJA. Menariknya, menurut penduduk tempatan, kehebatan Kiyai sebenarnya adalah daripada isterinya yang kuat semangat, Hajah Esah Abdul Rashid. Hanya apabila beliau sedang berperang atau merancang sesuatu dengan kumpulan pejuang sahaja Kiyai Salleh bertindak sendiri. Radikalisme atau nasionalisme? Lemah, uzur tetapi masih bersemangat, Ali Markom, 71, merupakan bekas calon PKR bagi kerusi Parlimen Seri Gading, dan bekas ahli Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM). Beliau melihat dirinya sebagai aktivis radikal. Memulakan kehidupan politik sebagai ahli Pemuda Umno selama 20 tahun. "Ia adalah satu masa apabila ia adalah betul, dan rasa bagus berada di dalam politik. Ada juga lelaki seperti Cikgu Harun Silat, yang merupakan jaguh kepada orang kampung. Terdapat ramai guru dalam Umno, yang membawanya ke hadapan." Kini, katanya politik adalah mengenai kuasa ekonomi dan bukannya rakyat. Apabila ditanya sama ada radikalisme sememang ada dalam diri rakyat Johor, beliau tersenyum. "Mungkin perkataannya bukanlah radikalisme. Nasionalisme." Syed Hamid Ali, pesara sosialis dan adik kepada Dr. Syed Husin Ali, bekas timbalan presiden PKR, ialah seorang yang optimis dan sederhana. Beliau melalui kehidupan berwarna-warni seperti abangnya, tetapi dengan cara yang lebih sederhana, walaupun masuk hutan selama kira-kira 20 tahun, ia tidak boleh dianggap biasa. "Jika anda ingin mengetahui kisah sebenar, anda sepatutnya bercakap dengan isteri saya. Tetapi hanya jika dia mahu memberitahu anda, dan mempercayai anda. Saya tiada ada apa-apa lagi untuk diperkatakan." Syed Hamid merupakan setiausaha agung bagi Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM) 1967-1969, sebelum dipilih sebagai presiden bagi penggal 1969-1970. Pada 1970-an, Syed Hamid menjadi setiausaha agung Parti Sosialis Rakyat Malaysia. Apabila bekas perdana menteri Tunku Abdul Rahman menuduhnya sebagai komunis, Syed Hamid menyembunyikan diri dan seterusnya menyertai pergerakan bawah tanah bagi mengelakkan ditangkap di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Walaupun dengan senang hati menceritakan hari-hari semasa beliau masih seorang aktivis pelajar, beliau mendapati ia aneh apabila Johor boleh dianggap tempat kelahiran radikalisme. "Sejarah dibuat oleh manusia. Apa yang ditulis dalam buku-buku, mereka bukan orang hebat. Tetapi di mana orang-orang yang cemerlang seperti Dr MK Rajakumar daripada Parti Sosialis Malaya? "Bagi saya beliau seorang lelaki hebat yang merupakan seorang intelektual dan doktor. Kenapa dia tidak ada? Tetapi akhirnya, orang akan menulis apa yang mereka mahu. " "Tetapi radikal? Adakah ada di Johor," kata beliau. "Saya tidak tahu jika ia ada. | |||
Desak Najib berundur satu tanggungjawab, kata selebriti Soo Wincci Posted: 19 Dec 2015 06:50 PM PST Melihat kembali insiden itu 2 bulan kemudian, pemenang Miss World Malaysia 2008 mengatakan tidak menyesal mengeluarkan video menuntut Najib meletakkan jawatan ketika perhimpunan Bersih 4 pada akhir Ogos berlangsung walaupun ia menyebabkan banyak masalah. Katanya, kontroversi melanda Najib dan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) perlu diselesaikan segera. "Kita hanya perlu tukar pemimpin. Saya fikir kita semua mempunyai hak. Kita tidak mahu pemimpin yang mengawal kita. Jangan sampai masa (masalah lebih buruk timbul) kita menyalahkan orang lain," kata Wincci, 30, dalam satu wawancara eksklusif bersama The Malaysian Insider. Pelajar jurusan undang-undang University of Reading (United Kingdom) yang menempa nama sebagai penyanyi di Taiwan itu menggesa rakyat Malaysia bersuara demi masa depan negara. "Kita dilahirkan dalam budaya Asia yang tidak suka menyuarakan pendapat. Tetapi pada akhirnya, kita menyalahkan pemimpin. Yang penting masalah selesai," katanya. Tetapi penyanyi itu mengatakan kritikan terhadap kerajaan tidak seharusnya "terlalu agresif" dan setiap orang perlu bersedia berdepan dengan tindakan kerana bersikap vokal. Wincci turut mendedahkan selepas video menuntut Najib meletakkan jawatan tersebar, beliau mendapat tawaran daripada beberapa parti politik untuk menyertai mereka. "Tetapi saya rasa tidak perlu dan saya tidak berminat menceburi bidang tersebut. Cukuplah untuk saya jadi pemerhati dan bersuara," katanya yang menggunakan bahasa Inggeris, Mandarin dan Melayu dalam video itu. Video yang dimuat naik ke laman sosial YouTube pada 30 Ogos dengan tajuk "Soo Wincci Words for Najib Malaysia Prime Minister" memberikan inspirasi kepada perhimpunan Bersih 4 yang menuntut reformasi demokrasi dan peletakan jawatan Najib. "Kepada Najib, ada banyak orang di pentas, sangat sesak. Tolonglah, bolehkah anda sebagai orang dewasa, sila turun daripada pentas dan memberikan ruang kebebasan kepada semua rakyat Malaysia," kata Soo dalam video yang dimuat naik akhir Ogos lalu. Wincci berkata penglibatan dalam bidang seni kerana minat meskipun berkelulusan tinggi dalam jurusan undang-undang dari luar negara. Malah, Wincci kini sedang menyambung pelajarannya dalam Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan di Universiti Terbuka Malaysia. "Saya sudah menyanyi sejak umur 16 tahun. Ahli keluarga mahu saya jadi peguam maka saya belajar undang-undang dan saya tidak bantah sehingga selepas miliki ijazah sarjana dalam bidang ini, saya hendak capai impian saya," katanya. "Saya beri tempoh setahun. Pada mula saya banyak ke syarikat rakaman menawarkan diri tetapi mereka tidak mahu kerana mereka takut. Dari situ, saya terbitkan album saya sendiri. "Untuk album pertama saya gagal. Bagi saya kita kena sabar. Album pertama saya tidak berjaya," katanya. Beliau juga mahu lebih mendapat tempat di hati masyarakat Malaysia terutamanya orang Melayu. "Saya cuba dalam bidang lakonan, tetapi bidang lakonan mencabar kerana masanya yang panjang. Saya keliru juga pada mulanya, saya bermula dengan berlakon sebagai pelakon tambahan. Tetapi selepas dalam bidang lakonan, kejayaan saya ialah pernah tercalon dalam pelakon baru . "Dari situ saya belajar sesuatu, iaitu kita perlu multitasking. Saya ada hasrat untuk ceburi pasaran Melayu tetapi banyak persaingan," kata penyanyi yang sudah mula mendapat tempat di Taiwan ini dan bakal mengadakan konsert di sana. Pelakon utama telemovie Astro, "Takhta Tiga Ratu" itu juga berhasrat untuk berduet dengan Siti Nurhaliza. "Saya ingin bekerjasama dan membuat lagu dengan Datuk Siti Nurhaliza. Beliau adalah antara idola saya," kata pemilik Beyond Artistes Sdn Bhd itu. Selain itu, dalam perkembangan seni lain beliau sudah menghabiskan penggambaran filem bersama pelakon terkenal Aaron Aziz dan Izara Aishah, filem dijangka ditayangkan pertengahan Jun depan. "Dalam filem ini, banyak aksi ghairah dan mencabar untuk diri saya. Namun, saya beruntung kerana diberi peluang berganding dengan mereka," katanya. | |||
Zahid yakin penentang kerjasama dalam PAS tunduk kepada Majlis Syura Posted: 19 Dec 2015 06:45 PM PST THE MALAYSIAN INSIDER Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi optimis dengan keserasian kerjasama antara Umno dan PAS yang kini menurutnya berada di peringkat persefahaman walaupun belum menjurus kepada "pendekatan politik dengan ikatan organisasi". "Saya cukup yakin chemistry (keserasian) sudah wujud dalam pemimpin PAS dan Umno, walaupun kedengaran ada suara-suara menolak daripada PAS. "Oleh kerana kita faham mereka mempunyai sistem syura yang cukup kuat, suara-suara yang tidak setuju ini akan bersetuju pada akhirnya. Perbincangan tentang penyatuan kembali hangat diperkatakan selepas Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak dan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang hadir bersama di Multaqa Serantau Alumni Al-Azhar Malaysia pada 17 Disember lalu. Multaqa itu kemudian meluluskan resolusi penubuhan jawatankuasa bagi menyatukan 2 parti Melayu itu. |
You are subscribed to email updates from DIALOG RAKYAT. To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 1600 Amphitheatre Parkway, Mountain View, CA 94043, United States |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan