Rabu, 2 Disember 2015

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


Ahli Umno lebih agresif bergaduh sesama sendiri, kata ketua bahagian

Posted: 02 Dec 2015 02:42 AM PST

THE MALAYSIAN INSIDER


Ahli Umno lebih agresif bergaduh sesama sendiri berbanding menentang pembangkang, kata Ketua Umno bahagian Cheras Datuk Seri Syed Ali Alhabshee. – Gambar fail The Malaysian Insider, 2 Disember, 2015.  
Ahli Umno lebih agresif bergaduh sesama sendiri berbanding menentang pembangkang, kata Ketua Umno bahagian Cheras Datuk Seri Syed Ali Alhabshee. – Gambar fail The Malaysian Insider
 
 
Sempena menjelangnya mesyuarat agung tahunan Umno minggu depan, seorang pemimpin bahagian hari ini berkata, ahli parti Melayu itu lebih agresif bergaduh sesama sendiri berbanding menentang pembangkang.

Ketua Umno bahagian Cheras Datuk Seri Syed Ali Alhabshee berkata, ini memberikan peluang kepada musuh Umno menggunakan perpecahan dalam parti itu bagi menarik pengundi menjelang pilihan raya umum ke-14 nanti.

Beliau juga melahirkan kekhuatiran parti itu akan kehilangan sokongan orang Melayu jika tidak ada usaha mengembalikan keamanan di kalangan pemimpin parti, yang berjuang atas pandangan yang berbeza.

"Hari ini ada pihak seperti seronok melihat sesama pemimpin Umno bercakaran sesama sendiri, mereka seolah-olah mahu menunggu kehancuran parti itu," katanya dalam posting terbaru di blog beliau hari ini. 
 
 Beliau yang kesal dengan situasi itu memberi amaran kepada ahli Umno supaya tidak menjadi "api dalam sekam" kerana ia hanya akan menghancurkan parti.

"Kita tidak agresif serang pembangkang, sebaliknya kita lebih ghairah menyerang, mencerca dan mengutuk sesama kita (Umno).

"Saya harap jangan wujud parasit dalam parti yang cuba menangguk di air keruh. Ini yang akan melemah dan merugikan perjuangan Umno."

Beliau juga tidak menafikan terdapat krisis keyakinan dan pencanggahan pendapat sesama pemimpin Umno yang menjadi faktor kepada kekeruhan dalam parti itu.

Katanya, semua pemimpin Umno sama ada yang memegang tampuk kuasa atau yang tidak memegang sebarang jawatan, perlu memikul tanggungjawab mengukuhkan parti.

"Semuanya bertanggungjawab dan memikul amanah jika benar mereka sayangkan parti dan ikhlas berjuang untuk rakyat, terutama orang Melayu."

Katanya, Umno akan dilihat relevan dan bersih di mata rakyat selagi pemimpinnya bertanggungjawab dan mengutamakan kepentingan parti daripada kepentingan peribadi.

"Masalahnya, orang pandang Umno tidak lagi seperti dulu. Ini yang kita sepatutnya fikirkan dan berusaha untuk menepis tanggapan sedemikian.

"Sebagai ahli Umno, tidak kiralah yang di atas mahupun di bawah, semuanya mempunyai peranan dan memberi sumbangan kepada parti, sehingga parti menjadi kukuh seperti hari ini," katanya.

Pada masa sama, beliau juga mengingatkan pengamal media sosial supaya tidak mensensasikan isu kecil sehingga boleh memudaratkan perpaduan dalam parti.
 
 

14 tahun tambang tidak naik, pengendali ERL rugi, kata timbalan menteri

Posted: 02 Dec 2015 02:39 AM PST





Tambang bagi perkhidmatan ERL tidak naik sejak 14 tahun lalu sehingga mengakibatkan operasi syarikat pengendali pengangkutan awam itu, Express Rail Link Sdn Bhd, mengalami kerugian, kata Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Aziz Kaprawi. – Gambar Facebook, 2 Disember, 2015.  
Tambang bagi perkhidmatan ERL tidak naik sejak 14 tahun lalu sehingga mengakibatkan operasi syarikat pengendali pengangkutan awam itu, Express Rail Link Sdn Bhd, mengalami kerugian, kata Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Aziz Kaprawi. – Gambar Facebook. 
 
 
Tambang bagi perkhidmatan ERL tidak naik sejak 14 tahun lalu sehingga mengakibatkan operasi syarikat pengendali pengangkutan awam itu, Express Rail Link Sdn Bhd, mengalami kerugian, kata Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Aziz Kaprawi. 
 
 
 Beliau berkata, walaupun kenaikan agak banyak akan dikenakan mulai Januari akan datang, ia juga turut menawarkan pakej perjalanan yang lebih murah sehingga 40% kepada pengguna perkhidmatan itu.

"Saya difahamkan, selama 14 tahun tidak dinaikkan tambang, maka syarikat tanggung kerugian. Ini rasionalisasi daripada ERL," katanya yang juga ahli Parlimen Seri Gading kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkata, pengguna digalak mendapatkan maklumat lebih lanjut daripada ERL supaya mereka boleh menikmati pakej tambang yang sangat murah, termasuk dengan menggunakan kad perjalanan. 
 
"Ada 3 pakej (yang menawarkan) sehingga kurang 40% daripada harga tiket yang dipaparkan. 
 
Kalau setiap hari gunakan (ERL), boleh dapatkan kad perjalanan dengan potongan harga daripada harga asal," katanya.

Aziz berkata, Putrajaya memberikan kebenaran ERL menaikkan kadar tambangnya kerana kos operasi pengendali perkhidmatan itu kini meningkat sehingga 2 kali ganda, tetapi mereka masih beroperasi menggunakan kadar tambang lama.

Semalam, ERL mengumumkan tambang perjalanan satu hala antara KL Sentral dan KLIA/klia2 akan meningkat sebanyak RM20 kepada RM55, mulai 1 Januari 2016.

Bagaimanapun, mengulas rungutan orang ramai, Aziz berkata, Putrajaya akan berbincang semula dengan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) berhubung perkara itu.

Ahli Parlimen DAP Dr Ong Kian Ming hari ini mencadangkan agar Putrajaya menangguhkan cadangan kenaikan tambang bagi perkhidmatan KLIA Express dan sebaliknya menjalankan satu inkuiri terbuka bagi mewujudkan semakan harga yang berpatutan.

Wakil rakyat Serdang itu berkata, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai perlu mendedahkan kandungan penuh konsesi 30 tahun kerajaan dengan ERL Sdn Bhd yang ditandatangani pada 2002.


9 Ketua UMNO yang menolak Najib lakukan perkara benar – Muhyiddin

Posted: 02 Dec 2015 02:36 AM PST

 
Muhyiddin berharap agar pihak Lembaga Displin tidak mudah menghukum penentangan terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak. 


muhyiddin-umno


KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin percaya bahawa 9 Ketua UMNO Cawangan di Bahagian Teluk Kemang melakukan tindakan yang benar.

Malah, kehadirannya ke Ibu Pejabat UMNO adalah untuk memberikan sokongan moral kepada 9 Ketua UMNO yang dipanggil oleh Lembaga Displin.

"Saya datang untuk memberikan sokongan moral kepada mereka yang dipanggil Lembaga Displin UMNO.

"Saya percaya mereka nyatakan sesuatu yang benar," katanya sewaktu ditemui pemberita di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada Rabu.

Jelas bekas Timbalan Perdana Menteri itu, beliau berharap agar pihak Lembaga Displin tidak mudah menghukum dan mempertimbangkan sebab akar umbi menentang Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Apakah sebab dan keadaan itu timbul dan saya berharap mereka tidak mudah menghukum kerana hanya mereka menyuarakan suara yang berbeza," ujarnya.

Jurucakap bagi 9 yang disiasat itu berkata, mereka tetap dengan pendirian mahu perubahan tampuk kepimpinan.

"Kita akan berpegang teguh dengan kenyataan yang kita buat, kita takkan merayu dan kita akan terus dengan perjuangan kita yang mana mahu Presiden melepaskan jawatan," kata Ketua Umno Cawangan Taman TKK, Kamarul Azman Habibur Rahman.

Beliau percaya parti Melayu itu akan terkubur jika Najib Razak terus mengemudi Umno.

"Jadi kita kekal dengan pendirian kita bahawa presiden perlu letak jawatan," ujarnya lagi

Lafaz nikah satu nafas perbuatan khurafat – Mufti Perlis

Posted: 02 Dec 2015 02:32 AM PST

 
Langkah jurunikah meminta pengantin lelaki mengulang-ulang lafaz nikah disifatkan sebagai satu perbuatan mendera dan boleh dianggap khurafat 





PETALING JAYA: Sikap sesetengah juru nikah atau `tok kadi' yang mahu lafaz akad dilakukan dengan hanya satu nafas disifatkan sebagai perbuatan khurafat.

Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin atau lebih dikenali sebagai Dr Maza berkata, tidak ada dalil yang menyatakan akad nikah perlu disebut oleh pengantin lelaki dengan satu nafas.

Katanya, perkara itu hanyalah satu perbuatan yang sengaja diadakan-adakan oleh sesetengah dan ia dilihat seperti sengaja mahu mendera pengantin.

"Apa yang ingin saya jelaskan betapa proses ijab qabul itu begitu mudah dan senang. Memadai jika bakal suami menjawab: "aku terima nikahnya". Tidak timbul terpaksa berulang kali seperti yang dibuat oleh sesetengah pihak membuli pengantin.

"Jika jawapan yang diperlukan begitu ringkas dan jelas, dan pengantin pun telah melakukannya, mengapa pula ada tok kadi yang sengaja bertanya hadirin: perlu ulang ke? Lalu mereka pun dengan sukanya menyebut beramai-ramai 'sekali lagi!, sekali lagi! Ini adalah permainan buli yang cuba dicampur aduk dengan hukum syarak," soalnya menerusi status di Facebook.

Mengulas lanjut Dr Mohd Asri berkata, beliau berasa amat sedih apabila melihat dalam kalangan jurunikah sengaja menjadikan akad sebagai sesuatu yang sulit dan susah hingga pengantin lelaki yang hendak dinikahkan itu berasa terketar-ketar untuk melafazkannya.

Katanya, akad nikah hanyalah persetujuan kedua belah pihak untuk menjadi suami isteri yang sah dan apa-apa lafaz yang membawa maksud kepada tujuan tersebut maka ianya adalah sah.

Beratus penumpang terkandas di KLIA2 gara-gara juruterbang selesema

Posted: 02 Dec 2015 02:25 AM PST

ANTARAPOS,COM


Post Pic
 
 
 
SHAH ALAM: Beberapa penerbangan terpaksa dibatalkan, menyaksikan beratus-ratus penumpang terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) di Sepang semalam, selepas ramai juruterbang AirAsia dilaporkan sakit.
 
Pembatalan penerbangan serta beberapa daripadanya yang ditangguhkan, memaksa penumpang bermalam di lapangan terbang.
 
Memetik laporan mStar, kebanyakan penerbangan yang terjejas adalah bagi perjalanan tempatan.
 
Sementara itu, penerbangan antarabangsa yang turut dilaporkan dibatalkan adalah untuk ke Lapangan Terbang Don Meuang di Bangkok.
 
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Bhd, Tan Sri Tony Fernandes berkata sekurang-kurangnya 12 juruterbang menghidap selesema.
 
Jadual penerbangan menjadi kecoh selepas penerbangan terpaksa dijadualkan semula.
 
Beberapa penumpang diberitahu bahawa penerbangan mereka dipindahkan ke penerbangan lain tetapi kemudiannya dibatalkan.
 
 

PAS Johor mahu bertanding semua kerusi DUN, Parlimen - Mahfodz

Posted: 02 Dec 2015 02:22 AM PST

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
SHAH ALAM: PKR sekali lagi menerima tekanan apabila PAS Johor mengumumkan untuk bertanding di semua 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen pada pilihan raya umum (PRU) akan datang, sekiranya tiada perbincangan antara kedua-dua parti mengenai peruntukan kerusi. 
 
Pesuruhjaya PAS Johor, Datuk Dr Mahfodz Mohamed berkata, pihaknya cuba menghubungi PKR mengenai pembahagian kerusi, namun gagal mendapat maklum balas daripada parti itu. 
 
Malah Ketua Dewan Ulama PAS Pusat itu juga berkata, PAS bersedia untuk bertanding dalam pilihan raya secara bersendirian dan bekerjasama dengan parti-parti kecil atau organisasi bukan kerajaan.
 
"Saya tahu ia akan menjadi sukar jika kita bersendirian...tapi tiada apa yang mustahil," katanya dipetik mStar.
 
Dr Mahfodz dalam pada itu tetap menegaskan parti itu menolak kemungkinan untuk berkompromi bersama DAP walaupun terpaksa menghadapi pertandingan tiga penjuru kelak. 
 
Semalam, PKR didesak untuk menyatakan pendirian oleh PAS Perak sama ada mahu bekerjasama dalam soal agihan kerusi pada PRU akan datang.
 
Pesuruhjaya PAS negeri itu, Razman Zakaria berkata, pihaknya sudah mahu memulakan gerak kerja bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) termasuk penubuhan sebuah jawatankuasa khas melalui Lajnah Perpaduan Nasional bagi mengenalpasti calon bukan Islam untuk mewakili parti itu.
 
Justeru katanya, pendirian rakan kerjasama mereka itu penting untuk diketahui bagi memudahkan gerak kerja.      
 
Malah Razman dalam pada itu tidak menolak kemungkinan PAS bertanding di semua 59 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Perak pada pilihan raya umum akan datang, berdasarkan situasi semasa. 


Muhyiddin sertai protes 'wira' tuntut Najib berundur

Posted: 02 Dec 2015 02:17 AM PST

Shakira Buang





Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin menyertai penyokong sembilan pemimpin cawangan yang bakal dihadapkan ke Lembaga Disiplin parti petang ini.

Ketibaannya seorang diri disambut oleh kira-kira 50 penyokong kem anti-Najib, termasuk Ketua Wanita Umno Gopeng Datuk Hamidah Osman yang dipecat minggu lalu dan ahli Umno Langkawi, Anina Saadudin.

Kumpulan itu mendendangkan 'Inilah Barisan Kita' sebelum membaca doa.

Sebelum ini, Hamidah dikatakan berusaha menghimpunkan ahli-ahli parti untuk berkumpul di ibu pejabat Umno di PWTC untuk menyatakan rasa tidak puas hati mereka terhadap presiden Datuk Seri Najib Razak.

"Jom kita berkumpul hari ini pada 12.30 tengah hari untuk mempertahankan nasib sembilan pemimpin cawangan yang akan di bawa ke lembaga disiplin.

"Jangan hanya ulas di WhatsApp dan Facebook. Mari kita bersama-sama dengan wira yang sanggup korbankan jawatan mereka dan keahlian (parti) agar yang lain berani bersama," kata mesej Whatsapp yang diedarkan.

Satu lagi mesej Whatsapp yang disebarkan adalah bahawa Muhyiddin juga akan menghadiri perhimpunan itu.

Sembilan mereka itu adalah antara 13 pemimpin cawangan Telok Kemang Umno yang menggesa peletakan jawatan Najib pada bulan Oktober lalu.

Hamidah dakwa 'Umno dah jadi macam parti pasar'

Posted: 02 Dec 2015 02:04 AM PST

Shakira Buang  

 
 



Bekas Ketua Wanita Umno bahagian Gopeng, Datuk Hamidah Osman mengingatkan Umno supaya menjadi parti yang lebih berdisiplin dan bukannya parti pasar.

Beliau berkata demikian ketika mengulas berkenaan pemecatan dirinya pada 24 November lalu setelah diumumkan oleh Presiden parti itu, Datuk Seri Najib Razak atas alasan melanggar disiplin parti.

"Jangan jadi parti pasar! Saya nak ingatkan bahawa Umno kini dah jadi macam parti pasar, jadi jangan jadikan parti ini parti pasar.

"Saya sehingga ke hari ini masih belum dapat hitam putih dari Umno mengenai pemecatan saya.

"Sebenarnya saya tidak kisah sangat dengan pemecatan ini, tetapi apa yang saya ingin tahu adalah mengapa saya dipecat tanpa ikut tradisi atau prosedur yang sepatutnya.

"Saya nak tahu dan saya akan terus bercakap mengenainya," katanya.

Beliau hadir di pejabat parti itu bagi mendapatkan penjelasan berhubung pemecatannya dan juga dalam masa yang sama bersolidariti untuk sembilan ketua cawangan Umno Telok Kemang yang dipanggil Lembaga Disiplin hari ini.

Turut hadir sama ialah bekas Ketua Wanita Umno Langkawi, Anina Saaduddin yang juga memberikan sokongan moral kepada ketua-ketua cawangan yang terlibat hari ini.

Anina berkata kehadirannya hari ini ialah untuk menyokong ahli akar umbi untuk berani bercakap benar meskipun terpaksa berhadapan dengan tindakan keras dari kepimpinan parti.

"Status saya masih belum disahkan lagi, 30 November lepas dan keputusan akan diberitahu pada 7 Disember ini sama ada akan ada kes atau tidak.

"Hadir ke PAU (Perhimpunan Agung Umno) nanti saya akan beritahu kemudian," katanya kepada wartawan sewaktu bersama-sama menyatakan sokongan kepada 9 ketua cawangan Teluk Kemang yang dipanggil Lembaga Disiplin Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra hari ini.

Hari ini, tujuh daripada sembilan ketua cawangan Umno Telok Kemang hadir bagi memberi penjelasan kepada Lembaga Disiplin Umno atas dakwaan melakukan desakan secara terbuka supaya Presiden parti, Datuk Seri Najib Abdul Razak melepaskan jawatannya

Muhyiddin dakwa diri ibarat tunggul atas pentas Umno

Posted: 02 Dec 2015 02:02 AM PST

Shakira Buang


 


Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin mendakwa kehadiran beliau pada perhimpunan agung Umno yang dijadual berlangsung 8 Disember ini ibarat 'tunggul'.

Bekas timbalan perdana menteri itu berkata ini kerana beliau mahu berucap pada perhimpunan tersebut namun dimaklumkan tidak boleh berbuat demikian.

Bagaimanapun, Muhyiddin dengan nada kesal menghormati dan menerima keputusan yang dibuat oleh Majlis Tertinggi parti itu.

"Saya nak berucap, tapi saya diberitahu tak boleh berucap. Saya tak boleh berucap (di perasmian perhimpunan agung) Wanita, Puteri, Pemuda. Saya diberitahu tak boleh terlibat dalam penggulungan.

"Saya jadi tunggul saja duduk di atas pentas," kata Muhyiddin ketika ditemui pemberita di lobi Menara Datuk Onn, PWTC selepas memberi sokongan moral kepada sembilan ketua cawangan Bahagian Telok Kemang Negeri Sembilan yang dihadapkan kepada Lembaga Disiplin Umno petang ini.

Mengulas lanjut, beliau yang disingkirkan dari Kabinet Julai lalu berkata apa yang berlaku dalam parti hari ini membuktikan bahawa ruang demokrasi di dalam Umno semakin terhakis.

"Akar umbi Umno hari ini mahu menunjukkan bahawa jika seorang timbalan presiden tidak boleh bersuara, bermakna akar umbi juga tidak dibenarkan bersuara," katanya.

Ditanya kemungkinan beliau pula yang akan berhadapan dengan tindakan disiplin, termasuk pemecatan kerana menyatakan sokongan kepada ketua cawangan berkenaan, Muhyiddin berkata itu terpulang kepada keputusan kepemimpinan parti.

"Bagi saya apa yang penting adalah perjuangan yang benar... saya sudah nyatakan saya bersedia untuk hadapi segala kemungkinan walaupun saya tak mahu diri saya dipecat," katanya.

Katanya, beliau masih sayangkan Umno dan akan akur jika parti memutuskan untuk memecatnya.

"Walaupun saya tidak mahu dipecat, tetapi jika mereka nak hukum saya, saya sedia terima," katanya.
Muhyiddin juga mengesahkan kehadirannya pada Perhimpunan Agung Umno minggu depan.

Sehubungan itu, beliau meminta ahli akar umbi Umno menggunakan perhimpunan agung itu sebagai platform meluahkan apa yang terbuku di hati demi memastikan survival parti pada masa depan.


'Kenapa baru sekarang Mat Sabu bersuara?'

Posted: 02 Dec 2015 01:54 AM PST


Ahmad Yunus Hairi


SHAH ALAM - Kenyataan Mohamad Sabu menuduh  Pas dipengaruhi IS hanyalah persepsi buruk semata-mata, tegas Timbalan Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi.

Ahmad Yunus berkata, kalaulah fahaman ekstrem itu sudah wujud dalam Pas sebagaimana tuduhan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) itu, mengapa baru sekarang beliau bersuara?

"Kalau sudah wujud sejak empat lima tahun lalu, ketika masih dalam Pas kenapa tak pernah bersuara? (Mengapa) sekarang baru nak cakap?," soalnya.

Apa yang jelas, kata Ahmad Yunus, pimpinan Pas sendiri menolak IS. Justeru, tidak timbul isu parti itu dipengaruhi fahaman melampau kumpulan tersebut.

"Tidak ada asas langsung," katanya ketika ditemui di Majlis Pecah Tanah Wakaf bagi projek pembangunan perumahan usaha sama antara Perbadanan Wakaf Selangor dan Nada Sepakat Corporation Sdn Bhd, di Seksyen 30, di sini, semalam.

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Jawatankuasa Adat Melayu, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi itu juga menegaskan, Pas tidak terlibat dengan kumpulan militan dan jika ada ahli yang menyertainya, itu di luar kawalan parti.

"Amanah cuba timbulkan persepsi negatif seolah-olah Pas dilihat menyokong IS. Kalau nak siasat pun perkara itu tidak wujud.

"Tapi terpulanglah kepada mereka, kita tak boleh halang manusia bercakap. Lagipun beliau dah lama dalam Pas, baru sekarang keluar, dah tuduh macam-macam," katanya.

Terdahulu Mat Sabu mendedahkan antara punca Amanah ditubuhkan kerana bekas partinya Pas sudah diresapi pemikiran IS.

Beliau menuntut pihak berkuasa menjalankan siasatan terperinci ke atas penyusupan pemikiran melampau yang menyebabkan suburnya budaya 'takfiri' (mengkafirkan orang lain yang tidak sehaluan pemikiran) dalam Pas.


'Kenapa kami dilarang cakap demi kepentingan Umno'

Posted: 02 Dec 2015 01:51 AM PST



'Kenapa kami dilarang cakap demi kepentingan Umno'
Kelihatan sekumpulan ahli Umno hadir ke Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) bagi memberi sokongan kepada sembilan ketua cawangan Umno yang dipanggil Lembaga Disiplin Parti, hari ini. - Foto Sinar Harian


KUALA LUMPUR - "Kami tak rasa kami boleh digugurkan kerana kami bercakap perkara benar," demikian reaksi Ketua Cawangan Taman TKK, Teluk Kemang, Kamarul Azman Habibur Rahman.

Menurutnya, sekiranya Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak boleh bercakap perkara-perkara yang dirasakan benar, mengapa pihaknya tidak dibenarkan.

"Mengapa ahli seperti kami tidak boleh bercakap untuk kepentingan Umno.

"Kita akan tetap dengan pendirian bahawa kita mahukan perubahan Umno bagi menyelamatkan Umno bagi menghadapi pilihan raya akan datang," katanya ketika ditemui di Lobi Menara Datuk Onn, hari ini.

Kamarul Azman mendakwa, banyak perkara dilakukan oleh ketua bahagian tidak mendapat persetujuan dua pertiga daripada cawangan.

"Suara kami tidak pernah diminta oleh ketua-ketua bahagian untuk membuat sebarang resolusi atau keputusan.

"Kalau ketua bahagian boleh membuat keputusan tanpa persetujuan ahli, kenapa seperti kami daripada  cawangan perlu mendapat sokongan dua pertiga. Kami rasa kami mendapat sokongan padu dari ahli-ahli kami," katanya.

Katanya, beliau bersama lapan lagi ketua cawangan akan terus dengan perjuangan mendesak Najib melepaskan jawatan.

"Kita tidak akan merayu dan akan terus dengan perjuangan kita mahu presiden melepaskan jawatan supaya orang akan mengemudi Umno dalam menghadapi pilihan raya dan Umno tidak terkubur.

"Kita pasti bahawa masyarakat tidak akan mengundi BN sekiranya kepimpinan yang ada diteruskan," katanya.

Kesemua sembilan Ketua Cawangan Umno dipanggil menghadap Lembaga Disiplin Parti kerana mendesak Najib melepaskan jawatan sebagai Presiden Umno.

Mariani selamat dikebumi sebelah kubur Saloma

Posted: 02 Dec 2015 01:49 AM PST




Mariani selamat dikebumi sebelah kubur Saloma
Kira-kira jam 11.30 pagi tadi jenazah seniwati Mariani Ismail selamat dikebumikan bersebelahan kubur adiknya Allahyarham Puan Sri Saloma dan juga berdekatan dengan kubur Allahyarham Tan Sri P Ramlee di tanah perkuburan Jalan Ampang. - Foto Sinar Harian oleh NINA FAZUIN SHARUM
 

[DIKEMASKINI] JENAZAH seniwati Mariani atau Mariam Ismail selamat disemadikan bersebelahan pusara adiknya Puan Sri Saloma dan adik iparnya Tan Sri P. Ramlee di Tanah Perkuburan Jalan Ampang di sini sebelum waktu Zohor.

Jenazah tiba di kawasan perkuburan kira-kira 11 pagi setelah disembahyangkan di Masjid Al-Hidayah, Sentul dan dikebumikan pada 12 tengah hari.

Selain anggota keluarga, ramai rakan seperjuangan Allahyarham hadir antaranya Sasterawan Negara A. Samad Said, pengarah filem Datuk Shuhaimi Baba, Presiden Seniman Malaysia, Zed Zaidi, penyanyi era 70-an Hail Amir, Uji Rashid, Dian P.Ramlee dan Imuda.

Mariani, 82, menghembuskan nafas terakhir semalam di sisi keluarganya termasuk beberapa orang anaknya yang tiba dari Singapura di kediamannya di Taman Kosmo Jaya, Sentul setelah menderita kanser usus sejak setahun lalu.

Anak keempat Allahyarham, penyanyi dan pelakon Rozita Rohaizad berkata beliau reda dengan pemergian ibunya walaupun akan sentiasa merinduinya.

[ARTIKEL BERKAITAN: Primadona Mariani meninggal dunia]

"Saya amat bertuah kerana saya pernah berlakon bersama mak seperti filem Sumpahan Puaka dan Dendam Dari Pusara dan beberapa drama bersiri serta pernah menyanyi di atas pentas sehingga Singapura dengan lagu Darah Muda dan Ayam Jantan.

"Pertujukan saya bersama mak ialah sewaktu menyanyi berduet di program Jelajah Amal di Selayang Mall pada raya lepas. Masa tu mak dah sakit, tapi dia masih gagahkan dirinya untuk menyanyi bagi menghiburkan peminat-peminatnya," katanya dengan nada sedih kepada Bernama.

Rozita berharap saudara mara dan peminat Allahyarham ibunya mendoakan kesejahteraan ibunya dan bersyukur kerana ibunya disayangi rakan taulan dan peminatnya.

Sementara itu Presiden Seniman Malaysia, Rozaidi Abd Jamil atau Zed Zaidi berkata pemergian Mariani diibaratkan sebagai negara kehilangan sebutir  permata seni yang bernilai dan sukar dicari ganti.

"Jasa Allahyarham sangat besar pada Persatuan Seniman. Di samping dia merupakan salah seorang pengasas Seniman, Allahyarham juga adalah salah seorang artis yang bertanggung jawab untuk mendapatkan rumah seniman dari Tun Dr Mahathir Mohamad (kini bekas perdana menteri).

"Allahyarham banyak membantu saya dari sudut pandangan, nasihat, bantuan bagaimana untuk membangunkan persatuan dan program seniman dan Allahyarham pernah berpesan agar kami menjaga seniman sebaik-baiknya, jangan berpecah belah dan membantu veteran-veteran yang lain," katanya.

Oleh kerana jasa Allahyarham yang terlalu banyak membantu Seniman, pihaknya berhasrat untuk memberi penghormataan tertinggi kepada Allahyarham.

"Persatuan telah mencalonkan nama Allahyarham bagi menerima pingat Panglima Setia Diraja (PSD) yang bergelar Datuk. Insya-Allah pada bulan Jun tahun hadapan, Allahyarham akan mendapat anugerah tersebut.

"Namun apakan daya, ia tidak kesampaian kerana Allahyarham tidak sempat menerimanya. Kalau tiada aral melintang, wakilnya boleh menerima bagi pihak Allahyarham," ujarnya. - Bernama


Tambang naik lagi, Syed Hamid Albar patut undur

Posted: 02 Dec 2015 01:45 AM PST

ERL
ERL


SHAH ALAM – Susulan kenaikan tambang pengangkutan awam sepanjang 2015 hingga awal 2016, Pemuda Pas menggesa agar Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Tan Sri Syed Hamid Albar berundur selepas terus membenarkan kenaikan itu berlaku.

Naib Ketuanya, Ir. Khairil Nizam Khirudin berkata, SPAD gagal memainkan peranannya bagi membantu rakyat serta sudah jauh tersasar dari visi dan misinya untuk menerajui transformasi pengangkutan awam darat bagi menjadi mod pilihan rakyat yang mampu dibayar.

"Kini SPAD dilihat sebagai agensi yang wujud sekadar untuk meluluskan permit dan mengumumkan kenaikan-kenaikan tambang sahaja," katanya.

Menurutnya, kenaikan demi kenaikan yang diumumkan secara puratanya meningkatkan kos pengangkutan rakyat secara keseluruhannya sebanyak 60 peratus berbanding tahun sebelumnya.

[ARTIKEL BERKAITAN: Tambang komuter naik 4 sen sekilometer]

"Pengangkutan awam kini menjadi pilihan yang agak mahal dan membebankan rakyat. Rakyat kini dipaksa untuk menanggung beban ini tanpa alternatif kerana kos minyak juga meningkat ekoran pemansuhan subsidi dengan kadar tol juga sudah dinaikkan, begitu juga dengan kadar bayaran tempat letak kereta bagi mereka yang tinggal di Lembah Klang khususnya," katanya.

Dalam pada itu, Pemuda Pas menggesa SPAD kembali memainkan peranan secara serius bagi membendung kenaikan tambang pengangkutan awam dan berharap Kementerian Pengangkutan bersama Kementerian Kewangan bekerjasama bagi menilai kos pengangkutan awam supaya dapat mengimbangi kos hidup rakyat secara keseluruhannya.

"Kami juga memahami beban yang ditanggung oleh pengusaha pengangkutan awam ekoran dari kenaikan kos pengendalian dan penyelenggaraan. Namun mereka perlu melihat kesan kenaikan ini kepada ekonomi rakyat yang menjadi pelanggan mereka.

"Satu mekanisme perlu dikenal pasti oleh kerajaan bagi membantu industri pengangkutan awam di negara ini supaya dapat memberikan perkhidmatan yang cekap dengan harga yang berpatutan tanpa merugikan rakyat atau pihak pengusaha industri," katanya.

Pihaknya juga turut menyatakan kesediaan bertemu SPAD dan syarikat pengangkutan awam untuk lebih memahami dan berkongsi idea bagi mencari jalan penyelesaian demi kepentingan rakyat.Semalam, Express Rail Link Sdn Bhd (ERL) mengumumkan tambang perkhidmatan ERL bagi perjalanan satu hala antara KL Sentral dan KLIA/klia2 akan dinaikkan RM20 menjadi RM55 bermula 1 Januari 2016.

Bulan lalu, kadar perkhidmatan Komuter Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) diumumkan naik daripada 4 sen satu kilometer dengan maksimum kenaikan RM7.10 bagi satu perjalanan mulai hari ini bagi laluan Tanjung Malim ke Sungai Gadut, Negeri Sembilan dan Batu Caves ke Pelabuhan Klang.

Sebelum ini, kadar tambang bagi perkhidmatan KTM Komuter telah diselaraskan dengan peningkatan sehingga RM7.10 berkuatkuasa 1 Mei lalu.

Sementara tambang bagi LRT turut naik bermula hari ini iaitu untuk empat kilometer pertama, penumpang LRT akan dikenakan 30 sen perkilometer perjalanan.

Bagi perjalanan Monorail penumpang dikenakan 58.8 sen perkilometer untuk empat kilometer pertama dan 37.2 sen perkilometer untuk 4.1 kilometer hingga 9 kilometer blok.

Mac lalu pula, SPAD mengumumkan penyelarasan kadar tambang teksi dan kereta sewa antara 20 hingga 67 peratus berkuat kuasa serta merta manakala mulai 15 Mei, tambang bas ekspres naik 22.6 peratus.

Isu IS: Mat Sabu diminta kemuka bukti

Posted: 02 Dec 2015 01:34 AM PST


Mohamad Sabu
Mohamad Sabu


SHAH ALAM -‎ Pas  memandang serius pertuduhan yang dibuat oleh Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Mohamad Sabu, kata Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Katanya, tuduhan itu sangat  serius walaupun Pas telah membuat pelbagai kenyataan dan kritikan terhadap sebarang bentuk keganasan atau ekstremis atas nama agama Islam.

"Pas  tegaskan tiada sebaran unsur atau penyusupan pemikiran ISIS sebagaimana yang didakwa. Beliau mesti mengemukakan bukti di atas pertuduhan tersebut.

"Pas menganggap pertuduhan ini hanyalah  alasan membenarkan tindakan mereka untuk menubuhkan parti baru setelah keluar dari Pas," katanya menerusi satu kenyataannya.

Tuan Ibrahim berkata demikian bagi mengulas kenyataan Mat Sabu semalam yang mengaitkan ideologi Pas kini diserapi pemikiran IS.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata ‎alasan sebenar kenyataan itu ialah kerana  ketewasan mereka dalam muktamar dan sikap tidak menerima keputusan muktamar menjadi punca utama.

Katanya, kalau mereka menang beliau  yakin tiada tuduhan tersebut kerana selama ini pun merekalah yang tampil mempertahankan  parti bila Umno membuat tuduhan sedemikian .

"Kini kita dengar pelbagai tuduhan yang dibuat.  Pada awal mereka menuduh Pas  kerjasama dengan Umno menjadi alasan  tubuh parti baru.

"Kemudian bertukar kepada tuduhan unsur takfiri dan sekarang tuduhan baru iaitu usaha mengaitkan dengan  ISIS. Selepas ini mungkin akan ada pula tuduhan  baru," katanya.

Oleh itu Tuan Ibrahim berkata Pas menggesa Amanah untuk menghentikan  tuduhan  kepada Pas  dan berikan tumpuan  kepada isu yang sedang melanda rakyat.

"Pelbagai isu besar yang memerlukan  perhatian bagi membela pelbagai penyelewengan yang berlaku. Dari membuat tuduhan palsu kepada Pas," katanya.


Sharifah Haslinda tarik balik permohonan cerai

Posted: 02 Dec 2015 01:32 AM PST


sharifah Haslinda, reezal merican
 

PELAKON Sharifah Haslinda menarik balik permohonan cerai yang difailkan terhadap suaminya Timbalan Menteri Luar, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

Notis penarikan balik itu difailkan melalui peguamnya Ummi Kartini Abd Latif di Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat, hari ini.

Pada prosiding sebutan kes itu, Sharifah Haslinda dan Reezal Marican tidak hadir ke mahkamah.

Ummi Kartini memaklumkan, anak guamnya berhasrat untuk menarik balik permohonan cerai itu kerana sedang meneruskan perbincangan lanjut dengan defendan (suami).

Ummi Kartini berkata, plaintif berhasrat menarik semula kes itu dan telah memaklumkan defendan mengenai perkara tersebut.

"Plaintif berhasrat untuk menarik semula kes dengan kebebasan untuk memfailkan semula," katanya.

Hakim Syarie Abdul Fattah Kamarudin kemudiannya meluluskan permohonan palintif mengikut Seksyen 96 Akta Tatacara Mal 2003 dengan kebebasan untuk memfailkan semula namun atas alasan dan fakta yang berbeza.

Sharifah Haslinda atau nama sebenarnya Sharifah Norazleenda Syed Abu Bakar, 43, memfailkan permohonan untuk bercerai secara baik mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Negeri Selangor 2003 pada 1 Oktober lalu.

Pelakon yang lebih mesra dengan panggilan Lynn mendirikan rumah tangga dengan ahli Parlimen Kepala Batas itu pada tahun 2005 sebagai isteri kedua dan dikurniakan empat cahaya mata.


Tiada ulasan: