Sabtu, 19 Disember 2015

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


Pilih kasih, paip air dan permusuhan rumah panjang

Posted: 19 Dec 2015 03:36 PM PST

Sg Iran 2

Oleh Lim Chia Ying


DULU, dua kejiranan rumah panjang – Rumah Timban dan Rumah Chirry di Sungai Iran, di Song berkongsi paip air dari empangan utama.

Namun, air empangan itu kian sukar susut dan paras air menjadi sangat rendah hingga tidak dapat menampung keperluan dua rumah panjang itu.

Paip usang sejak dipasang 15 tahun lalu, menambahkan lagi masalah kerana kerap bocor dan tidak berfungsi dengan baik.

Sg Iran 1Sejak dua tahun lalu, kerajaan mengumumkan projek bantuan luar bandar. Ia kelihatan baik. Sebaliknya, ia mencetus permusuhan antara kedua-dua penduduk rumah panjang itu lantaran sikap pilih kasih.

Kerajaan membantu Rumah Chirry tetapi mengabai Rumah Timban.

Rumah Chirry menerima paip berketumpatan tinggi bersama penapis air manakala Rumah Timban tidak menerima apapun, walaupun sudah merayu.

Meski ada lebihan paip projek di Rumah Chirry, bahan itu disimpan berkunci di gudang milik Rumah Chirry. Ada desas desus mengatakan pendirian penduduk Rumah Timban yang cenderung menyokong pembangkang sebagai punca penindasan itu.

Bagi 16 keluarga di Rumah Timban, tersisih dari bandar utama Song dengan Sungai Iran, keterasingan itu akan menyebabkan pihak luar sukar membantu jika kerajaan enggan menghulur bantuan.

Sg Iran 4Untuk sampai ke rumah panjang, ia memerlukan sebuah bot dan mengambil masa 30 minit dari bandar Song, terkenal sebagai laluan paling sukar di Sarawak kerana ketiadaan jalan menghubung rumah panjang dengan kawasan lain.

Bot satu-satunya pengangkutan yang boleh sampai melalui Sungai Rejang, dua jam perjalanan dari Sibu.

Itu tidak menghalang Impian Sarawak untuk memindahkan 15 gelung paip dan bahan binaan di tujuh bot panjang, sebelum ditarik dan dipasang di kawasan seberang pada jarak 1.5 kilometer dari sumber empangan baru.

Empangan itu ditemui penduduk dan kemudian dibina oleh Impian Sarawak. Mujur, ketika itu musim hujan dan paras air yang tinggi memudahkan kerja pemasangan.

Dua kunjungan susulan – September dan Oktober – dibuat sebelum pembinaan dan kerja bermula pada November dan memakan masa tiga hari untuk siap.

Sg Iran 5Empangan baru mengambil masa 20 minit berjalan kaki dari rumah panjang.

Sumber air itu mengalir terus dan penduduk bersepakat air itu tidak akan kering meskipun kemarau melanda.

Selain sukarelawan dan 45 penduduk menyiapkan kerja, projek itu turut dibantu Pengerusi Sementara DAP Kabitas, Paren Anak Nyawi dan Nyambung, individu bertanggungjawab di rumah panjang.

Perasmian projek itu dibuat Adun Pelawan, David Wong – menyaksikan penglibatan sulung Impian Sarawak di Kapit, kawasan paling mundur dari segi pembangunan dan paling terpencil antara 12 daerah di Sarawak.

Projek Impian membuktikan tiada kerumitan atau dana besar diperlukan untuk membolehkan sistem dijana untuk keperluan masyarakat itu dibuat kerana ia boleh dicapai melalui belanja sederhana – dibuktikan dengan projek hanya RM15,000 – dengan komuniti sebagai penggerak kepada projek itu.

 Lim Chia Ying ialah antara pasukan Impian Malaysia


EXCO: Hadiah Sastera Selangor tersedia tetapi tergendala

Posted: 19 Dec 2015 02:44 AM PST

 
Terdapat sedikit kesilapan teknikal namun EXCO berjanji isu tersebut akan selesai.


amir,selangor


KUALA SELANGOR: EXCO Negeri Selangor berkata isu tidak memberikan wang hadiah tidak seharusnya timbul ekoran wang hadiah Sastera Selangorkini telah disediakan.

Exco Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Keusahawanan, Amirudin Shari mengakui bahawa mungkin terdapat sedikit kesilapan teknikal namun berjanji isu tersebut akan selesai.

"Saya kena semak balik, sepatutnya semua dah dapat. Kita akan uruskan. Semua cek sudah ada. Saya akan pastikan sebelum akhir tahun ini selesai," katanya sewaktu dihubungi FMT pada Sabtu.

Amirudin berkata faktor keselamatan antara alasan kelewatan ini, selain terdapat segelintir pemenang yang tidak hadir pada majlis penyampaian hadiah.

"Kita kena pastikan nama dan nombor kad pengenalan di dalam cek tersebut betul. Ada yang tak datang pada majlis tersebut," jelasnya.

Sebelum ini, pengguna Facebook Shahrul Rock telah memuat naik status yang menyatakan pemenang Hadiah Sastera Selangorkini masih tidak menerima cek kemenangan walaupun keputusan pemenang telah diumumkan.

Mualaf tidak perlu dianggap ‘Muslim kelas kedua’ – Tun M

Posted: 19 Dec 2015 02:31 AM PST

BERNAMA

 

tun m 1
Mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, yang juga penaung Pertubuhan Kebajikan Islam (Perkim), berkata Muslim perlu menganggap mualaf sebagai saudara. - Foto TRP/Azrol Ali


PUTRAJAYA,  Mereka yang baru memeluk agama Islam tidak patut didiskriminasi oleh komuniti Muslim dan dianggap sebagai 'Muslim kelas kedua'.

Mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, yang juga penaung Pertubuhan Kebajikan Islam (Perkim), berkata Muslim perlu menganggap mualaf sebagai saudara.

"Tidak boleh ada diskriminasi. Kadang-kadang kita merasakan mereka Muslim kelas kedua. Itu salah. Tiada perbezaan antara seorang Muslim dan yang lain kecuali dari segi taqwa.

"Itu (taqwa) merupakan satu-satunya perkara yang membezakan kita," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama pada Seminar Serantau Muslim Berbilang Kaum anjuran Perkim, pada Jumaat.

Seminar dua hari bermula semalam bertujuan untuk mengukuhkan solidariti Muslim dan menjadi platform mengumpul idea dan pendapat dalam menyatukan masyarakat Islam.

Analisis: Sukar untuk Umno-Pas bekerjasama dalam masa terdekat

Posted: 19 Dec 2015 02:29 AM PST

IKHWAN HAZWAN

 

mohd azizuddin mohd sani
Penganalisis politik UUM, Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata Umno akan menghadapi tentangan daripada parti-parti komponen Barisan Nasional yang tidak bersetuju untuk menerima Pas ke dalam gabungan berkenaan. - Foto Facebook Mohd Azizuddin Mohd Sani


KUALA LUMPUR,  Kerjasama politik antara Umno dan Pas dilihat sukar untuk direalisasikan dalam masa terdekat kerana kedua-dua parti berkenaan menghadapi kekangan di peringkat dalaman.

Penganalisis politik UUM, Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata Umno akan menghadapi tentangan daripada parti-parti komponen Barisan Nasional yang tidak bersetuju untuk menerima Pas ke dalam gabungan berkenaan.

Menurutnya, sekiranya Pas diterima masuk ke dalam BN mungkin parti tersebut akan diminta supaya menggugurkan perjuangan negara Islam dan juga pelaksanaan hukum Hudud di negara ini yang mana sudah pasti sukar untuk diterima oleh parti Islam berkenaan.

"Dalam Pas pula sudah pasti akan ada tentangan di peringkat akar umbi kerana masih ramai yang mengenang kepada pegangan Almarhum Datuk Nik Abduk Aziz Nik Mat yang menentang kerjasama dengan Umno sehingga ke akhir hayat beliau.

"Di samping itu akan timbul isu di Selangor sekiranya ada kerjasama dengan Umno yang mana apakah perlu dilakukan dengan kedudukan Pas dalam kerajaan negeri sedangkan telah ada hubungan dengan Umno.

"Oleh itu saya melihat buat masa sekarang Umno dan Pas masih belum boleh bergabung dalam satu komponen tetapi mungkin boleh katakan bergerak atas isu bersama seperti agenda Islam dan Melayu dan kekangan itu perlu diselesaikan dalam masa setahun dua ini sebelum menjelang pilihanraya akan datang samada untuk mengumumkan gabungan berkenaan atau bergerak secara berasingan untuk dapatkan persetujuan ahli dan parti komponen," katanya ketika dihubungi The Rakyat Post di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Azizuddin menjelaskan kerjasama politik berkenaan merupakan strategi politik kedua-dua parti tersebut dalam usaha mendapatkan sokongan rakyat terutamanya orang Melayu dan juga melaksanakan agenda yang sebelum ini sukar untuk dilaksanakan.

Tegasnya, Umno pada ketika ini cukup terdesak untuk mendapatkan sokongan orang Melayu dan apabila Pas bersetuju menjalin kerjasama sudah pastilah ia akan dapat menguatkan sokongan terutamanya di kawasan luar bandar yang mempunyai 'hardcore supporter' yang kekal menyokong parti walau apapun yang berlaku.

"Dengan mendapat sokongan dan undi orang Melayu yang agak besar dan mengekalkan sokongan di Sabah dan Sarawak maka peluang BN untuk kekal berkuasa agak cerah.

"Pas pula sudah pasti akan menggunakan kerjasama ini untuk membolehkan pelaksanaan undang-undang syariah atau Hudud terutamanya di Kelantan dapat dijalankan dan ia dikuatkan lagi dengan kenyataan Ketua Dewan Ulama Pas yang mengatakan sekirnya hudud tidak menjadi agenda maka hubungan dengan Umno akan terputus.

"Maka dengan ini sudah nampak bahawa Pas mahu memanfaatkan kerjasama berkenaan untuk membolehkan Hudud dijalankan dan ia merupakan agenda terbesar mereka bekerjasama dengan Umno," ujarnya.

DBKL belum haramkan vape, keputusan selepas kajian selesai

Posted: 19 Dec 2015 02:23 AM PST

AHMED SYAHRIL ZULKEPLY

 

TRP121915-5
Loga Bala (baju jingga) berkata, keputusan akan dibuat semula, selepas memperoleh keputusan daripada kajian vape itu. - Foto TRP/ Daniel Chan


KUALA LUMPUR,  Lesen bagi penjualan rokok elektronik (e-rokok) tidak akan dikeluarkan lagi, tetapi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) masih mengkaji sama ada mahu mengharamkan vape di ibu negara.


Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Loga Bala Mohan berkata, pihaknya sedang mengkaji penggunaan dan penjualan vape daripada semua aspek.

"DBKL sudah tolak permohonan lesen peniaga Vape dan sehingga kini tidak ada lesen yang dikeluarkan.

"Bagaimanapun, DBKL masih belum membuat keputusan untuk mengharamkan vape, seperti di Johor dan Kelantan.

"Keputusan akan dibuat semula, selepas memperoleh keputusan daripada kajian itu," katanya selepas menyertai Operasi Anti Litter di Brickfields, hari ini.

Semalam, Pengarah Jabatan Pelesenan dan Pembangunan Penjaja DBKL, Ibrahim Yusoff dilaporkan sebagai berkata, pihak berkuasa tempatan itu tidak akan mengeluarkan lesen penjualan vape kepada peniaga di ibu negara lagi.

"DBKL tidak akan menerima permohonan daripada peniaga vape dan tidak akan mengeluarkan lesen. Satu permohonan peniaga ditolak baru-baru ini," katanya seperti dilaporkan The Malaysian Insider.

Ibrahim berkata, DBKL masih membincangkan langkah yang akan diambil terhadap peniaga vape sedia ada.

Cecair vape mengandungi dadah dirampas di Pulau Pinang

Posted: 19 Dec 2015 02:20 AM PST

BERNAMA

 

vape
Antara cecair vape pelbagai jenama yang disyaki mengandungi dadah yang dirampas menerusi Ops Vapor di Jalan Tanjung Tokong, semalam. - Foto Bernama


GEORGE TOWN,  Polis Pulau Pinang merampas 199 botol cecair vape yang disyaki mengandungi dadah, dalam satu serbuan di sebuah premis, di Jalan Tanjung Tokong, petang semalam.


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Pulau Pinang, Supt Guan Beng Kang berkata, dalam Ops Vapor itu, polis turut menahan seorang lelaki berbangsa Cina berusia 24 tahun yang merupakan pemilik premis tersebut.

"Bertindak atas maklumat, polis berjaya menangkap lelaki itu pada pukul 5 petang dan merampas 199 botol cecair yang disyaki mengandungi dadah pelbagai jenama, dengan anggaran harga pasaran dadah bernilai RM12,000," katanya pada sidang akhbar hari ini.

Guan bagaimanapun berkata, kandungan sebenar cecair tersebut masih dalam siasatan dan telah dihantar ke Jabatan Kimia untuk dianalisa.

"Ini merupakan operasi pertama yang dilakukan dan pihak polis akan terus membuat pemantauan dari semasa ke semasa, di semua premis jualan cecair vape di Pulau Pinang, berikutan ia kini menjadi satu trend yang semakin membimbangkan," katanya.

Beliau berkata, cecair yang tidak mendapat kelulusan daripada Kementerian Kesihatan itu, dipercayai dijual pada harga RM40 hingga RM80 sebotol, bergantung kepada saiz botol serta perisanya.

Guan berkata, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 12(3) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Kanak-kanak Malaysia mati terjatuh hotel di Hatyai

Posted: 19 Dec 2015 02:14 AM PST

BERNAMA

 

mayat-M
Mangsa mengalami patah tulang belakang dan cedera di kepala, akibat terhempas dengan kuat.


HATYAI,  Seorang kanak-kanak lelaki warga Malaysia meninggal dunia, setelah terjatuh dari tingkat enam sebuah hotel, awal pagi tadi.


Fam Song Heng, 10, yang berasal dari Melaka, dikatakan terjatuh dari tingkat enam Hotel Asia Grand, di Jalan Chayakul, pada jam 2.20 pagi.

Menurut pegawai polis bertugas, Kapten Kittitas Numuang, mangsa terjatuh di bahagian belakang hotel yang menempatkan kawasan letak kereta.

Beliau berkata, polis menyifatkan kejadian itu sebagai satu kemalangan dan ia mungkin berpunca daripada Fam yang berjalan dalam tidur sehingga membawa kepada tragedi itu.

Ketika kejadian, mangsa dikatakan tidur bersama nenek dan seorang adik lelakinya, di sebuah bilik di tingkat enam, manakala ibu bapanya tidur di tingkat tiga.

Mangsa menginap di hotel tersebut bersama enam ahli keluarganya yang bercuti di bandar ini dan dijangka pulang ke Malaysia pagi tadi, kata seorang ahli keluarga Fam yang enggan dikenali.

Menurutnya, dia hanya tahu mengenai kejadian yang menimpa mangsa, setelah dikejutkan dan diberitahu pekerja hotel.

Kittitas berkata, pemeriksaan awal oleh doktor mendapati, mangsa mengalami patah tulang belakang dan cedera di kepala, akibat terhempas dengan kuat.

Siasatan awal tidak menemui sebarang kesan penderaan di badan mangsa dan mayat dihantar ke Hospital Hatyai untuk bedah siasat.

KDN sedia bantu JAKIM siasat lelaki mengaku Imam Mahdi - Ahmad Zahid

Posted: 19 Dec 2015 02:07 AM PST

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
MIRI:  Kementerian Dalam Negeri (KDN) bersedia bekerjasama dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk menyiasat seorang warga Indonesia, Muhammad Zubir Amir Abdullah yang mengaku sebagai Imam Mahdi.
 
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata KDN melalui Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan membantu dari segi tindakan penguatkuasaan serta perundangan terhadap lelaki berkenaan.
 
"Saya harap orang itu menghentikan aktiviti tersebut dan tindakan akan dilakukan oleh Jakim tetapi KDN akan bantu mereka dalam penguatkuasaan," katanya dalam sidang media selepas merasmikan Hari Imigresen 2015 di sini Sabtu.
 
Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata soal akidah tidak boleh ditolak ansur kerana ia adalah sesuatu yang harus dipegang oleh umat Islam.
 
"Apabila seseorang itu mengaku sebagai Imam Mahdi atau seumpamanya, mereka cuba untuk menyeleweng dan memesong akidah umat Islam, saya bimbang sekiranya tindakan lelaki itu tidak dibendung lebih awal, ia akan menimbulkan masalah pada masa depan," katanya.
 
Khamis lepas, lelaki berkenaan hadir ke Malaysia untuk berdakwah kepada masyarakat di negara ini.
 
Muhammad Zubir mendakwa dirinya telah pun dibai'ah atau sumpah setia dan taat dan diperakui oleh 11 pengikutnya sebagai Imam Mahdi dalam satu upacara di Makkah pada 18 Julai lalu. - Bernama
 
 

Peniaga lelong vape elak rugi

Posted: 19 Dec 2015 02:02 AM PST

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
KOTA BHARU: Lebih 50 peniaga vape berkumpul membuat lelongan untuk menghabiskan stok jualan sebelum tempoh pengharaman penjualan rokok elektronik itu berkuat kuasa 1 Januari depan di negeri ini.
 
Proses lelongan yang bermula 9 malam tadi dihadiri lebih 500 pengguna vape yang datang membantu menghabiskan stok barangan rokok elektronik itu yang keseluruhannya bernilai RM200,000.
 
Presiden Pertubuhan Peniaga Vape Melayu (PPVM) Kelantan, Mohd Azlee Che Mohd Zaid, berkata pihaknya mengadakan lelongan itu untuk menghabiskan stok vape bagi menampung kerugian yang bakal ditanggung berikutan tempoh akhir notis pengharaman penjualan yang diberikan kerajaan negeri semakin hampir.
 
"Sebanyak RM200,000 nilai vape dan barangannya dilelong dengan potongan harga sehingga 20 peratus termasuk cecair perisanya.
 
"Bagaimanapun, kami rasa tempoh yang diberi tidak sempat untuk kami habiskan stok vape. Sehubungan itu, kami mohon kerajaan negeri memberi tempoh enam bulan lagi kepada kami habiskan stok barang," katanya ketika ditemui dalam lelongan vape yang dijalankan di Lundang, malam tadi.
 
Pemberita semalam melaporkan kerajaan Kelantan membuat keputusan untuk tidak mengeluarkan lesen bagi penjualan rokok elektronik atau vape di negeri ini berkuat kuasa 1 Januari.
 
Berikutan itu, peniaga vape diminta untuk mengosongkan premis mereka bagi mengelakkan barang vape dirampas. Wakil Solidariti Vape Malaysia Kelantan, Mohd Khaleb Khan Nasir Khan, berkata pihaknya akan menyerahkan satu memorandum kepada kerajaan negeri bagi meminta penangguhan berkenaan.
 
 

PERKASA sindir Umno?

Posted: 19 Dec 2015 01:53 AM PST







Genap seminggu selepas Umno menamatkan perhimpunan agung tahunannya - dan timbalan presiden parti itu dilarang berucap - hari ini pertubuhan PERKASA tampil dengan sindiran tajam.

Menolak kebiasaan, persidangan khas tahunan sayap Wira pertubuhan berkenaan yang biasanya dirasmikan oleh pemimpin tertinggi, hari ini dirasmikan oleh naib presidennya saja.

Dalam ucapan perasmiannya, Naib Presiden PERKASA Syed Osman Syed Mansor berkata pertubuhan berkenaan membuktikan mereka bersifat inklusif dan bukan seperti "pertubuhan lain".

"PERKASA ni lain sikit daripada pertubuhan lain apabila seorang naib presiden boleh rasmikan mesyuarat sayap.

"Ada sesetengah pertubuhan, naib presiden pun tak boleh merasmikan sayapnya," katanya tanpa menamakan mana-mana pertubuhan dimaksudkan.

Keyataan itu dibuat Syed Osman ketika beliau merasmikan Persidangan Khas Tahunan Wira PERKASA 2015 di ibu negara.

Minggu lalu ketika persidangan tahunan Umno berlangsung salah seorang pemimpin tertinggi parti itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, tidak diberi ruang untuk berucap seperti selalu.

Mengikut kebiasaan, seorang timbalan presiden diberi penghormatan merasmikan mesyuarat sayap pemuda, wanita dan puteri, selain peluang menggulung perbahasan di akhir hari persidangan.

Namun Muhyiddin yang diketepikan - dan berasa dirinya mahu dijadikan 'tunggul' - tidak mendapat peluang itu kali ini.

Umno kini berdepan dengan kritikan pelbagai pihak termasuk dari dalam parti itu sendiri.

Muhyiddin adalah salah seorang tokoh yang dilihat berani menongkah arus dan berselisih pendapat dengan bosnya, Datuk Seri Najib Razak.

Turut berpendirian begitu ialah bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

PERKASA kini dipimpin Datuk Ibrahim Ali yang juga salah seorang penyokong tegar Dr Mahathir.


Dia menjerit minta tolong’

Posted: 19 Dec 2015 01:47 AM PST


'Dia menjerit minta tolong'
Mayat mangsa dibawa naik untuk dicam keluarga sebelum dihantar ke jabatan forensik HTAA.
 


KUANTAN - Hasrat dua rakan mencari lokan berakhir tragedi apabila salah seorang daripadanya mati lemas di Sungai Nyior, Balok Pine di sini, semalam.

Mohd Rizal Isa, 34, berkata, dia terkilan tidak dapat menyelamatkan Amiruddin Yusof, 37, dan jeritan tolong daripada mangsa masih terngiang-ngiang di telinganya.

"Masa mangsa menjerit meminta tolong selepas tergelincir, saya dah hulur tangan untuk cuba bantunya.
"Bila saya nak tariknya ke atas, dia pula tarik saya ke dalam sungai dan saya pula tidak tahu sama ada dia tahu berenang atau tidak.

"Saya sedaya upaya cuba bantu tetapi malangnya saya pula yang dipijak hingga saya dah hampir ke dasar sungai. Jadi, saya terpaksa berenang ke tepi. Kalau tak, kami berdua memang lemas bersama-sama," katanya kepada pemberita.

Menurutnya, mangsa yang bekerja sebagai pemandu lori merupakan rakan yang baharu dikenali dan berkawan rapat.

"Sekiranya kami tak ke situ semalam (kelmarin), mungkin perkara ini tak berlaku.

"Lagipun lokan ni bukan untuk dijual pun...tapi buat makan sendiri sahaja," katanya.

Tak sempat jumpa ibu

Sementara itu, Sinar Harian sempat menemui adik mangsa, Mohd Ghazali Yusuf, 33, yang turut terkejut mendapat perkhabaran menimpa abangnya yang merupakan anak kedua daripada lima adik-beradik.

"Pada mulanya saya kurang percaya sebab kami memang tahu abang gemar memancing tetapi disebabkan tidak diberitahu lebih lanjut semalam (kelmarin), saya dan orang tua saya bergegas ke rumah kakak ipar.

"Abang dikatakan ada beritahu isterinya untuk keluar pergi bekerja tetapi kami tak sangka dia keluar cari lokan pagi semalam (kelmarin) dan jatuh tergelincir.

"Sebelum kejadian, abang sempat telefon ibu beritahu ingin pulang ke kampung, tetapi tak sempat jumpa sebab abang ada kerja," katanya.

Mohd Ghazali berkata, ketika sampai, operasi menyelamat sedang dijalankan namun disebabkan keadaan air pasang pada tengah malamnya, jadi operasi disambung pagi semalam.

"Syukur sebab dalam tempoh singkat mayat abang ditemui. Saya sendiri sahkan itu abang saya dan kami semua reda apa yang berlaku.

"Mengikut kehendak bapa kami, setelah selesai urusan bedah siasat, segala urusan pengebumian abang diadakan di Jengka," katanya.

Amiruddin yang berasal dari Felda Jengka 18, meninggalkan seorang isteri dan seorang anak perempuan berusia lima tahun.

Mayat di dasar sungai

Dalam pada itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Gebeng, Abdul Manaf seman berkata, mayat ditemui jam 11.55 pagi semalam selepas dilaporkan tergelincir ketika mencari lokan kira-kira jam 10.30 pagi kelmarin.

"Mayat mangsa ditemui tertiarap di dasar sungai kira-kira tiga meter dari kawasan dia didakwa lemas oleh saksi yang melihatnya.

"Pihak bomba daripada Unit Penyelam Bomba Kuantan menyambung operasi menyelamat kira-kira jam 10.20 pagi namun setelah mengambil keputusan untuk memulakan operasi menyelam, mereka berjaya menemui mangsa dalam tempoh 20 minit sahaja.

"Ketika itu, mayat mangsa sudah berada sedikit terapung dari dasar sungai dan paras air dianggarkan kira-kira lima meter serta dalam keadaan tenang," katanya kepada pemberita selepas menamatkan operasi menyelamat, di sini, semalam.

Ketika itu juga, katanya, selepas mendapat pengecaman oleh ahli keluarga yang turut sama menunggu sepanjang tempoh operasi dijalankan, mayat tersebut terus dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan Kuantan (HTAA) untuk bedah siasat

Tak ada apa yang pelik bagi Hadi, Najib

Posted: 19 Dec 2015 01:43 AM PST


Tuan Ibrahim Tuan Man
Tuan Ibrahim Tuan Man


SHAH ALAM - Tiada apa yang pelik bagi Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk sepentas dengan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak, demikian menurut pendapat Timbalan Presiden Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man.

Tambah Tuan Ibrahim, Abdul Hadi hanya meneruskan langkah yang diambil oleh semua pimpinan terdahulu iaitu melihat sesuatu isu berdasarkan pandangan mata syarak.

Katanya, kesediaan Abdul Hadi berada sepentas dengan Najib seharusnya menjadi kebanggaan seluruh ahli parti kerana ia menggambarkan jiwa besar pemimpin.

"Tiada apa yang pelik bagi Abdul Hadi untuk sepentas dengan Presiden Umno. Presiden-presiden Pas terdahulu sehingga kini pernah sepentas dengan presiden-presiden Umno.

"Allahyarham Datuk Fadhil Nor dan Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berada sepentas dengan Tun Dr Mahathir Mohamad dalam membicarakan isu Palestin.

"Tok Guru Abdul Aziz juga pernah berada sepentas dengan Tun Abdullah Badawi dalam pelancaran Eastern Corridor Economic Region (ECER) dan kini Presiden berada pentas dengan Najib atas isu perpaduan ummah.

"Ini tentunya akan menyempitkan dada mereka yang sentiasa sakit hati dengan dasar dan perjuangan Pas khususnya mereka yang melihat sepentas ini bermakna ia akan menjadi separti atau akan menjadi satu parti" katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Menurutnya, ahli Pas tidak perlu menghabiskan masa melayani kumpulan tersebut kerana dasar dan perjuangan kita tiada kena mengena dengan pihak tersebut.

"Pas akan terus istiqamah di atas dasar Islam dan bersedia untuk terus duduk semeja dengan sesiapa sahaja bagi membincangkan isu negara melangkaui sempadan parti politik.

"Sebagai sebuah parti yang besar kita mesti mempunyai jiwa besar bagi menghadapi isu besar ummah dan negara. Pas akan terus menentang kemungkaran yang membahayakan rakyat dan negara," katanya lagi.


Tragedi air terjun: Imam surau Puncak Alam antara 5 lemas

Posted: 19 Dec 2015 01:38 AM PST


Tragedi air terjun: Imam surau Puncak Alam antara 5 lemas


HULU TERENGGANU - Hasrat enam sekeluarga menghabiskan cuti persekolahan dengan berkunjung ke Air Terjun Belukar Bukit, di sini, pagi tadi bertukar tragedi  apabila lima daripada mereka ditemui lemas.

Dalam kejadian kira-kira 10.45 pagi itu, mangsa ialah seorang imam yang bertugas di Puncak Alam, Selangor, Mohd Halim Samian,44; isterinya Nurul Adilah@Salaiwati Awang,39, serta tiga anaknya Nurul Arifah,16; Nurul Hidayah Aina,11 serta Nurul Izah,10.

Manakala individu yang selamat  ialah Mohd Hasif, 9, dan difahamkan mereka sekeluarga yang tinggal di Puncak Alam, Selangor tiba di lokasi pelancongan berkenaan kira-kira jam 10.30 pagi sempena pulang ke kampung Nurul Hidayah Aina di Kampung Bukit Tunggal, Kuala Nerus.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Berang, Mohd Zuraidi Yusof berkata pihaknya menerima panggilan  jam 11.35 pagi dan bergegas ke lokasi kejadian dengan kekuatan 11anggota menaiki sebuah jentera serta sebuah pajero.

"Sewaktu pihak bomba tiba di lokasi kejadian, tiga mangsa iaitu Mohd Halim, Nurul Izah serta Nurul Hidayah telah pun ditemui oleh orang awam tidak jauh antara satu sama. Mangsa pertama dijumpai ialah Mohd Halim jam 12.17 tengahari sebelum disusuli mangsa seterusnya lima minit kemudian iaitu Nurul Izah dan Nurul Hidayah.

"Operasi mencari dan menyelamat terus dilakukan pihak bomba bersama orang awam sekali gus berjaya menemui Nurul Adilah@Salaiwati jam 12.33 tengah hari. Mangsa terakhir dijumpai ialah Nurul Arifah jam 12.37 tengahari. Kesemua mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak polis.

"Sewaktu kejadian tiada pengunjung lain di lokasi tersebut, bagaimanapun kita tidak menolak kemungkinan kejadian berpunca apabila salah seorang mereka di bawa arus sebelum ahli keluarga yang lain cuba membantu.

"Memandangkan terdapat pusaran air di kawasan berkenaan, kita percaya kesemua mereka telah dibawa pusaran itu hingga kesemuanya lemas," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di pekarangan Bilik Forensik Hulu Terengganu, di sini, hari ini.


Pakatan 34: Malaysia hanya berkongsi maklumat

Posted: 19 Dec 2015 01:36 AM PST

SINAR HARIAN


Zulkifeli Mohd Zin
Zulkifeli Mohd Zin
 
 
PORT DICKSON - Penyertaan Malaysia dalam Pakatan 34 negara Islam yang diketuai Arab Saudi untuk memerangi aktiviti militan dan keganasan, hanya untuk berkongsi maklumat dan tidak melibatkan operasi ketenteraan.

Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin berkata Malaysia menyertai pakatan itu kerana ia selaras dengan dasar negara yang menentang sebarang jenis keganasan.

"Itu adalah Pakatan 34 negara untuk menentang keganasan, ia tidak melibatkan gabungan ketenteraan, bukan pakatan tentera.

"Ia pakatan negara. Ia tidak melibatkan anggota tentera dan kita hanya berkongsi maklumat dan bertukar pandangan,"katanya pada sidang media selepas upacara Pemakaian Pangkat dan Penyampaian Perakuan Tamat Latihan Pegawai Kadet Graduan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di sini, hari ini.

Selain Malaysia, Pakatan 34 turut disertai Mesir, Qatar, Emiriah Arab Bersatu, Turki, Pakistan dan Afrika.

Negara-negara itu menyertai Pakatan 34 bagi memerangi keganasan, dengan pusat operasi bersama berpangkalan di Riyadh untuk menyelaras dan menyokong operasi ketenteraan.

Zulkifeli berkata peningkatan cabaran keselamatan berbentuk bukan tradisional di rantau ini seperti jenayah rentas sempadan khususnya di sempadan darat negara, telah mempengaruhi rancangan kesiapsiagaan ATM.

Selain itu, ia turut menuntut jalinan kerjasama serantau sebagai satu usaha positif seiringan dengan prinsip diplomasi yang dilaksanakan oleh kerajaan.

"Konsep diplomasi ketenteraan seperti pengukuhan hubungan dua hala dan pelbagai hala dengan negara-negara jiran akan terus dipertingkatkan menerusi rundingan kesepakatan serta kerjasama latihan.

"Hubungan profesional yang dibina oleh ATM pastinya menjadi aset kepada negara dalam memperkukuh hubungan diplomatik yang terjalin menerusi pelbagai rangkaian politik di peringkat pucuk pimpinan negara," katanya.

Turut hadir pada majlis itu ialah Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor, Panglima Tentera Laut Laksamana Datuk Seri Panglima Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin dan Panglima Tentera Udara Jeneral Tan Sri Roslan Saad.

Seramai 96 Pegawai Kadet (PK) Graduan terdiri daripada 52 PK Graduan Tentera Darat, sembilan PK Graduan Tentera Laut Diraja Malaysia, 33 PK Graduan Tentera Udara Diraja Malaysia dan dua PK Timbalan Setia Negeri Johor ditauliahkan sebagai Leftenan Muda pada majlis itu. - Bernama

Asma, masalah pernafasan meningkat akibat perlombongan bauksit Kuantan

Posted: 18 Dec 2015 09:05 PM PST

OLEH MUZLIZA MUSTAFA




Seorang pekerja membersihkan lori bauksit yang diliputi debu merah di Pelabuhan Kuantan, Pahang. Situasi itu dikatakan menjadi punca kepada masalah kesihatan kepada ramai penduduk setempat.  – Gambar The Malaysian Insider oleh Afif Abd Halim, 19 Disember, 2015. 
Seorang pekerja membersihkan lori bauksit yang diliputi debu merah di Pelabuhan Kuantan, Pahang. Situasi itu dikatakan menjadi punca kepada masalah kesihatan kepada ramai penduduk setempat. – Gambar The Malaysian Insider oleh Afif Abd Halim.
 
 
Hanya ada satu penjelasan, kata guru sekolah Syed Sharinnizam Syed Mohd Shah, ketika menyaksikan semakin ramai pelajarnya tiba-tiba mengalami ruam dan masalah pernafasan. Katanya, ia pasti berpunca daripada habuk merah yang memenuhi udara di sekitar sekolah itu, Maahad Tahfiz Anwar At-Tanzil yang terletak di Tanjung Pasir dekat Kuantan, Pahang.

Sekolah agama itu terletak di sebelah jalan besar yang dilalui lori setiap hari, membawa bauksit mentah dari lombong ke pelabuhan.

"Mungkin (ruam) boleh disebabkan pakaian kotor atau apa-apa sahaja jika ia hanya berlaku kepada seseorang. Tapi ia berlarutan daripada seorang pelajar kepada pelajar lain. Gatal, batuk dan demam," kata Syed Sharinnizam, 32. 
 
Satu-satu anaknya, Syed Abdul Qadir, berumur 6 bulan juga mengalami kesukaran bernafas dan terpaksa dimasukkan ke hospital.

"Dia tidak dilahirkan sedemikian. Tetapi terpaksa dimasukkan ke hospital kerana masalah pernafasan. Saya tidak nampak lagi sebab lain kecuali perlombongan bauksit," katanya ketika ditemui media ketika lawatan ke kawasan perlombongan bauksit di Kuantan, baru-baru ini.

Pakar kanak-kanak di Hospital Kuantan, Dr Syed Abdul Khaliq Syed Abdul Hamid berkata, keadaan bertambah buruk apabila lebih 10 kanak-kanak yang tinggal berhampiran kawasan perlombongan itu dilaporkan menghidap asma.

Lori bauksit di jalan yang sama digunakan penduduk kampung bagi membawa keluar bauksit dari Felda Bukit Goh Kuantan, Pahang. – Gambar The Malaysian Insider oleh Afif Abd Halim, 19 Disember, 2015. 
Lori bauksit di jalan yang sama digunakan penduduk kampung bagi membawa keluar bauksit dari Felda Bukit Goh Kuantan, Pahang. – Gambar The Malaysian Insider oleh Afif Abd Halim.
 
"Saya mempunyai ramai pesakit di kawasan perlombongan bauksit di mana asma tidak terkawal. Mereka tidak boleh tidur pada waktu malam kerana kesukaran bernafas, dan ini memberi kesan kepada sesi persekolahan serta perkembangan mereka," katanya. Doktor itu percaya pendedahan kepada habuk bauksit adalah puncanya kerana pesakit pulih sebaik saja mereka dibawa keluar daripada penempatan mereka.

"Apabila kami bawa anak-anak ini ke hospital, kanak-kanak itu dapat tidur dan bernafas lebih baik," katanya.

Menurut Dr Syed Abdul Khalid, terdapat kes teruk di mana kanak-kanak tinggal di hospital selama kira-kira sebulan sebelum paru-parunya bertambah baik.

Bagi kanak-kanak yang menghidap masalah paru-paru lemah, beliau menasihati ibu bapa mereka supaya keluar dari kawasan tersebut dan mencari rumah baharu yang jauh dari tapak perlombongan.

"Ada yang dinasihatkan berpindah ke Pekan. Ia memberi kesan kepada mata pencarian kerana apabila perkara seperti ini berlaku, ia memberi kesan bukan sahaja kanak-kanak tetapi juga ibu bapa yang bekerja.
"Ia merupakan satu kos tambahan untuk menjaga kanak-kanak di hospital," katanya.

Kesan kepada kesihatan
 
Dr Syed Abdul Khalid berkata, pendedahan jangka panjang kepada bijih bauksit boleh memberi kesan kepada buah pinggang kerana ia merupakan sejenis logam berat seperti aluminium dan arsenik.

"Ia boleh menjadi beracun selepas terdedah dalam jangka waktu panjang. Kesan ke atas buah pinggang boleh dirasai hanya selepas bertahun-tahun lamanya," katanya sambil menambah penduduk Kuantan tidak mampu lagi menunggu tindakan diambil terhadap perlombongan bauksit secara berleluasa bagi memenuhi pengeluaran aluminium di China.

Pengerusi Pahang Hospice Dr Pushpa Ratnam juga berkata, logam lain dikenal pasti terkandung dalam habuk bijih bauksit ialah torium, kadmium dan uranium dan ia boleh diserap badan melalui sistem pernafasan.

"Ini boleh menyebabkan masalah pernafasan dan saraf," katanya.

Ahli Parlimen Kuantan Fuziah Salleh sudah lama melahirkan kebimbangan terhadap krisis yang semakin buruk di kawasannya, dan kebimbangan beliau itu turut melibatkan keselamatan bekalan air mentah dari Sungai Pinang dan Mabok, di mana pelombong membuang sisa bijih bauksit.

"Tahap merkuri dalam sungai Pinang adalah 14 kali ganda lebih tinggi daripada kadar dibenarkan, manakala bagi Sungai Mabok, 10 kali ganda lebih tinggi," katanya kepada media.

Fuziah juga berkata kedua-dua sungai itu bergabung dengan sungai Kuantan, yang merupakan sumber utama air mentah bagi loji rawatan air Semambu.

"Ini adalah sumber utama air minuman rakyat Kuantan," kata pemimpin PKR itu.

Kesan kepada kesihatan manusia akibat merkuri termasuk boleh menyebabkan penyakit gila dan lumpuh dan juga kematian, katanya, memetik penyakit Minamata di Jepun disebabkan kebocoran perindustrian pada lewat 1950-an.

"Jika kita tidak menangani masalah ini di peringkat awal, kita mungkin berhadapan dengan satu tragedi besar," katanya.

Kedua-dua pelombong bauksit sah dan tidak sah menjadi kebimbangan disebabkan permintaan tinggi dari China dan Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob dikritik kerana lambat menangani perlombongan tidak terkawal dan pencemaran yang dihasilkan.

Pada 7 Disember lalu Adnan berkata, Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar serta kerajaan negeri akan mengumumkan pelan bersama untuk menangani aktiviti perlombongan di negeri itu menjelang akhir bulan ini.

Bulan lalu, satu petisyen ditandatangani 2,400 penduduk Kuantan menyeru semua aktiviti perlombongan bauksit dihentikan dibawa untuk perbahasan di Dewan Rakyat tetapi ditolak Speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia.


Ringgit dijangka diniaga sehingga 4.35 berbanding dolar AS minggu depan

Posted: 18 Dec 2015 09:00 PM PST

 THE MALAYSIAN INSIDER

Mata wang serantau termasuk ringgit akan terus mengalami tekanan menurun disebabkan harga minyak mentah dan komoditi yang rendah dalam jangka pendek. – Gambar fail The Malaysian Insider, 19 Disember, 2015.  
Mata wang serantau termasuk ringgit akan terus mengalami tekanan menurun disebabkan harga minyak mentah dan komoditi yang rendah dalam jangka pendek. – Gambar fail The Malaysian Insider. 
 
 
Ringgit dijangka diniagakan dalam julat antara 4.25 dan 4.35 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) minggu depan memandangkan mata wang asing itu susut susulan kenaikan kadar faedah oleh AS. 
 
 Ketua Penyelidikan Mercury Securities, Edmund Tham berkata terdapat kesan yang sedikit ke atas pergerakan pasaran susulan pengumuman kenaikan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan AS (Fed).

"Berita mengenai kenaikan pasti berkenaan berlegar dalam pasaran sejak sekian lama dan pengumuman mengenainya memberi kesan kecil ke atas mata wang tempatan kita.

"Saya yakin tiada banyak pergerakan dalam tempoh dua minggu akan datang memandangkan pasaran masih memerlukan pemangkin untuk merangsang mata wang kita," katanya. 
 
 Fed akhirnya mengakhiri era kadar faedah hampir kosong di AS yang bermula pada Disember 2008 ketika pasaran kewangan global dibelenggu krisis.

Peniaga berkata bagi minggu yang baru berakhir, ringgit berada dalam jajaran kecil berbanding dolar AS di tengah-tengah ketiadaan pemangkin baharu yang mendorong pelabur memilih dolar AS.

Bagaimanapun, mata wang serantau termasuk ringgit akan terus mengalami tekanan menurun disebabkan harga minyak mentah dan komoditi yang rendah dalam jangka pendek, kata peniaga.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar berkata kerajaan akan menyemak semula Bajet 2016 jika harga minyak mentah terus kekal rendah.

Kerajaan merangka bajet tersebut berdasarkan andaian minyak mentah Brent akan mencapai purata AS$48 setong tahun depan, namun pada tengah hari Khamis, ia diniagakan sekitar AS$37 setong.

Harga minyak mentah Brent susut AS$1.26 kepada AS$37.19 setong disebabkan lebihan bekalan global.

Bagi minggu yang baru berakhir, ringgit meningkat kepada 4.2870/2940 berbanding dolar AS daripada 4.2900/2950 minggu lepas.

Unit tempatan juga mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.0344/0400 daripada 3.0484/0543 Jumaat lepas, namun susut berbanding yen kepada 3.5342/5414 daripada 3.5199/5251 minggu lepas.

Ringgit turut meningkat berbanding pound kepada 6.4039/4161 daripada 6.5049/5142 dan kukuh berbanding euro kepada 4.6415/6495 daripada 4.7048/7112 sebelum ini. – Bernama


Kelajuan Internet Malaysia lebih perlahan berbanding Thailand, Sri Lanka

Posted: 18 Dec 2015 08:58 PM PST

THE MALAYSIAN INSIDER

Hasil tinjauan global menunjukkan kelajuan sambungan di Malaysia adalah 4.9 megabit sesaat (Mbps) iaitu hampir 2 kali lebih perlahan berbanding Thailand, biarpun rakyat Malaysia antara paling banyak berhubung secara global, malangnya ia tidak berpadanan dengan kelajuan yang diingini. – Gambar fail AFP, 19 Disember, 2015. 
Hasil tinjauan global menunjukkan kelajuan sambungan di Malaysia adalah 4.9 megabit sesaat (Mbps) iaitu hampir 2 kali lebih perlahan berbanding Thailand, biarpun rakyat Malaysia antara paling banyak berhubung secara global, malangnya ia tidak berpadanan dengan kelajuan yang diingini. – Gambar fail AFP.
 
 
Kadar purata kelajuan sambungan Internet Malaysia terbukti merosot bagi suku ketiga 2015, sekali gus meletakkannya di kedudukan ke-73 di peringkat global. Malah, kadar purata kelajuan sambungan Internet di Malaysia adalah jauh lebih perlahan berbanding Thailand dan Sri Lanka di rantau ini dan hanya sedikit mengatasi Vietnam.

Hasil tinjauan global oleh Akamai Technologies yang dijalankan pada Julai hingga September lepas menunjukkan kelajuan sambungan di Malaysia adalah 4.9 megabit sesaat (Mbps) iaitu hampir 2 kali lebih perlahan berbanding Thailand.

Akamai Technologies yang juga penyedia rangkaian penghantaran kandungan, dalam satu kenyataan berkata, ini adalah sebahagian hasil laporan '2015 State of the Internet (SOTI)' (Kedudukan Internet 2015) yang diumumkan semalam. 
 
Menurutnya, biarpun rakyat Malaysia antara yang paling banyak berhubung secara global, malangnya ia tidak berpadanan dengan kelajuan yang diingini mereka.

"Kira-kira 87% pengguna Internet Malaysia melayari video secara kerap dan angka itu dijangka meningkat menjelang tahun depan.

"Bagaimanapun, kadar kelajuan sambungan sekarang tidak mungkin dapat menampung permintaan bagi melayari video di Malaysia," katanya. – Bernama 

‘Jambatan penghubung’ PAS teruskan hubungan baik Islam-Kristian

Posted: 18 Dec 2015 08:54 PM PST



Penganjuran lawatan sekumpulan paderi Katolik ke Masjid Abdullah Fahim, Kepala Batas oleh PAS Pulau Pinang menerima respons baik daripada semua pihak walaupun pada awalnya bimbang akan reaksi negatif masyarakat. – Gambar Facebook, 19 Disember, 2015. 
Penganjuran lawatan sekumpulan paderi Katolik ke Masjid Abdullah Fahim, Kepala Batas oleh PAS Pulau Pinang menerima respons baik daripada semua pihak walaupun pada awalnya bimbang akan reaksi negatif masyarakat. – Gambar Facebook.
 
 
Walaupun PAS kehilangan ramai pemimpin progresif apabila kebanyakan daripada mereka menyertai Parti Amanah Negara (Amanah), parti Islam itu masih lagi mempunyai Abdul Rahman Kassim yang dikenali sebagai "jambatan penghubung" disebabkan tugasnya memperbaiki hubungan orang Islam dan Kristian di negara ini. 
 
Beliau merupakan individu yang menganjurkan lawatan sekumpulan paderi Katolik ke sebuah masjid di Kepala Batas pada Isnin dan menjangkakan akan menerima kritikan, namun setakat hari ini ia masih belum berlaku.

Pihaknya menjangka menerima komen negatif berkenaan lawatan dianjurkan Lajnah Dakwah PAS Pulau Pinang yang mana dirinya merupakan timbalan pengerusi sebaik sahaja berita itu tersebar.

"Saya sedar ada kenyataan negatif terhadap lawatan itu tetapi respons yang diterima kebanyakannya baik," katanya kepada The Malaysian Insider. Lawatan itu berlangsung di Masjid Abdullah Fahim di Bertam, dan ketua delegasi itu adalah Uskup Pulau Pinang, Sebastian Francis.

Individu lain yang turut menyertainya ialah imam masjid, pemimpin PAS Pulau Pinang dan wakil Majlis Agama Islam Pulau Pinang.

Paderi-paderi itu diberikan lawatan sekitar masjid dan ditunjukkan demonstrasi mengambil wuduk dan bersolat.

Tiada perbincangan topik berat seperti "isu kalimah Allah" atau kontroversi membabitkan seminar anti Kristian dianjurkan Universiti Teknologi Mara (UiTM) baru-baru ini.

Rahman yang juga ketua perpaduan kebangsaan PAS Tasek Gelugor berkata, lawatan itu umpama membalas kembali kerana parti Islam itu sering mengadakan pertemuan dengan pihak gereja sebelum ini di rumah ibadat tersebut.

Dengan hubungan baik bersama Uskup Sebastian, beliau mencadangkan lawatan ke masjid yang kemudiannya diterima baik.

"Ini adalah lawatan mengukuhkan persahabatan, mempromosikan kefahaman dan hormat-menghormati antara komuniti. Ia juga memberikan peluang menyampaikan ucapan Krismas kepada paderi," katanya.

Rahman, 59, merupakan ahli perniagaan dengan hubungan baik bersama gereja Katolik, dan sahabatnya, Uskup Sebastian turut menghadiri perkahwinan anaknya kira-kira 3 tahun lalu.

Rahman juga merupakan individu di belakang pertemuan antara pemimpin PAS dan gereja. Malah, beliau juga yang mengatur pertemuan antara Uskup Sebastian bersama bekas Mursyidul Am PAS Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, 2 tahun lalu di Pulau Pinang.

Bulan lalu beliau mengaturkan pertemuan antara bekas Ketua Uskup Kuala Lumpur Tan Sri Murphy Pakiam dan Uskup Sebastian bersama Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob.

Rahman juga merupakan individu di sebalik dialog antara agama pemimpin PAS dan Kristian di gereja, walaupun tidak begitu dikenali kerana bukanlah pemegang jawatan tinggi dalam kepimpinan pusat partinya.

Bagaimanapun beliau sentiasa menjadi sebahagian delegasi PAS apabila Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa dan Dr Dzulkefly Ahmad bercakap dalam dialog bersama penganut Kristian.

Kedua-duanya sudah meninggalkan PAS untuk Amanah, namun Rahman meneruskan perjuangannya memupuk keamanan dan keharmonian dengan komuniti agama lain.

Rahman yang mula mendekati gereja 3 tahun lalu mengakui sukar untuk mengadakan lawatan sedemikian kerana tidak semua imam terbuka dengan idea bukan Islam melawat masjid mereka, apatah lagi paderi Katolik.

Beliau berkata, pihaknya turut mendengar rungutan pihak gereja mengatakan bukan Islam dilarang memasuki masjid dan menyebabkan hatinya sakit.

"Di negara Islam seperti Jordan, penganut agama lain dialu-alukan memasuki masjid. Saya nak tunjukkan kita bukan begitu.

"Saya nak tunjukkan kita semua bersaudara. Itu moto saya," katanya, dan menambah ketika zaman Nabi Muhammad, rundingan bersama bukan Islam turut dilakukan di dalam masjid.

Rahman berkata, ramai umat Islam di seluruh dunia melawat St Peter's Basilica di Rome dan seharusnya menjadi perkara biasa bagi bukan Islam melihat masjid yang cantik dan ingin melawatnya.

"Tetapi mereka skeptikal atau tidak pasti jika ada orang yang akan menerima mereka. Saya berharap lawatan paderi Katolik ini akan menjadi permulaannya untuk menunjukkan kita bersikap terbuka.

"Saya berharap keterbukaan ini akan merebak ke seluruh negara, kita perlu saling hormat-menghormati, jika kita mahu dihormati," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Lajnah Dakwah PAS Pulau Pinang, Amir Hamzah Abdul Hashim berkata jawatankuasa itu sedia menerima permintaan komuniti lain untuk melawat masjid.

Paderi Gereja St Anne's Bukit Mertajam Father Henry Rajoo, yang merupakan sebahagian daripada delegasi lawatan ke Masjid Abdullah Fahim menerima baik lawatan itu dan mengatakan ia membolehkan mereka memahami antara satu sama lain.

Beliau menerima baik lawatan itu yang menunjukkan cara-cara umat Islam mengerjakan ibadah mereka.
"Lawatan ini untuk mengekalkan hubungan baik, yang mana sekarang amat penting kerana kita berdepan dengan propaganda untuk memisahkan rakyat.

"Dengan cara ini, kita perlu membina jambatan penghubung," katanya.


Parlimen EU gesa siasatan 1MDB, derma RM2.6 bilion telus dan adil

Posted: 18 Dec 2015 08:47 PM PST

THE MALAYSIAN INSIDER
Resolusi Parlimen Kesatuan Eropah yang menggesa Putrajaya telus dan adil dalam siasatan terhadap skandal 1MDB dan derma RM2.6 bilion sebagai memalukan dan jika tidak ditangani, Malaysia berisiko menjadi 'negara pariah'. – Gambar fail The Malaysian Insider, 19 Disember, 2015. 
Resolusi Parlimen Kesatuan Eropah yang menggesa Putrajaya telus dan adil dalam siasatan terhadap skandal 1MDB dan derma RM2.6 bilion sebagai memalukan dan jika tidak ditangani, Malaysia berisiko menjadi 'negara pariah'. – Gambar fail The Malaysian Insider.
 
 
Parlimen Kesatuan Eropah (EU) menggesa Putrajaya bersikap lebih telus dan adil dalam siasatan membabitkan skandal syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan derma RM2.6 bilion dalam akaun peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

EU dalam resolusi mereka turut menggesa Putrajaya bersikap lebih adil terhadap isu membabitkan hak asasi manusia, serta menyuarakan kebimbangan mereka terhadap hak-hak komuniti lesbian, gay, biseksual, dan transgender (LGBT) serta hak-hak asasi manusia di Malaysia.

"Melalui resolusi itu, EU menyertai badan global termasuk Transparency International dan media termasuk penyiasat dari Hong Kong, Singapura, Switzerland, United Kingdom, dan Amerika Syarikat (AS) supaya kerajaan Malaysia menggesa siasatan terhadap 1MDB.

"Berhubung dakwaan rasuah, EU menggesa agar 'siasatan bebas dan adil' dan kerajaan tidak seharusnya menekan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan media," kata Ahli Parlimen Bukit Mertajam Steven Sim. 
 
Pemimpin DAP itu dalam kenyataannya berkata, resolusi itu memalukan negara dan jika tidak ditangani, Malaysia berisiko menjadi "negara pariah".

"Hari demi hari, skandal 1MDB yang tidak diselesaikan akan memberikan nama buruk kepada Malaysia di peringkat antarabangsa."

Resolusi itu turut menyentuh berhubung penggunaan Akta Hasutan 1948, serta sekatan perdebatan umum dan pengucapan bebas.

Selain itu ia menyentuh Rang Undang-undang Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang baru diluluskan di Parlimen sebelum ini.

"Di bawah Akta Hasutan sendiri menyaksikan sekurang-kurangnya 78 disiasat atau didakwa sejak awal 2014," kata resolusi itu.

EU turut membangkitkan penahanan bekas ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas kesalahan liwat pada Februari 2015 dan menurut mereka "pendakwaan berasaskan politik" serta mengakibatkan pendakwaan jenayah yang tidak mematuhi standard perbicaraan antarabangsa.

"Beliau turut dinafikan hak mendapatkan rawatan perubatan."

Menyentuh soal LGBT, EU berkata komuniti itu disekat di bawah undang-undang anti liwat, dan berhadapan pengucapan kebencian, ancaman seksual dan fizikal.

"Kebimbangan yang disuarakan resolusi Parlimen EU ini bukan baharu bagi Malaysia," kata Sim.

Tambahnya, pemimpin pembangkang dan kumpulan sivil di negara ini menentang segala tindakan tersebut.

"Resolusi EU ini hanya menyentuh perkara pokok. Jika tiada sebarang perubahan, Malaysia akan menjadi negara 'pariah' seperti dikatakan mantan perdana menteri, (Tun Dr) Mahathir Mohamad," katanya. 
 
 

Banjir: Harga naik dua kali ganda?

Posted: 18 Dec 2015 08:42 PM PST


pasar ikan
Harga tinggi dikenakan pemborong memberi kesan kepada peniaga dan pembeli di Pasar Besar Melaka Sentral, semalam.
 


BANDARAYA MELAKA - Kekurangan bekalan bahan mentah dipercayai akibat musim tengkujuh dan banjir menyebabkan harga pasaran sayur dan ikan di Melaka, naik sehingga dua kali ganda.

Meskipun bekalan masih mudah didapati, namun kenaikan harga bahan mentah yang tinggi mendatangkan keresahan kepada peniaga dan pengguna.

Tinjauan di Pasar Besar Melaka Sentral di sini  mendapati, sayur-sayuran seperti kangkung, bayam, sawi, kacang, bendi dan kubis mula naik harga hampir dua kali ganda berbanding biasa, yang didakwa berlaku sejak dua minggu lalu.

Peniaga sayur, A Rageswary, 42, berkata, harga tinggi yang diterima daripada pembekal menyebabkan dia semakin tertekan untuk menjual kerana terpaksa meletakkan harga tinggi kepada pembeli.

Menurutnya, sawi yang sebelum ini hanya RM3.50 sekilogram tetapi kini mencecah RM7 selain kacang buncis dan cili merah naik kepada RM9 daripada RM7.

"Peniaga memang tidak boleh berbuat apa-apa kerana dah harga datang macam ni jadi terpaksa jual tinggi.
"Seperti cili merah, harga datang dah RM9. Habis kita nak buang lagi yang rosak semua perlu kira, kacang buncis pun sama. Jadi untung kami tidak berapa sen," katanya.

Nasib sama turut dialami peniaga ikan, Ismail Hassan, 54, yang memohon pihak bertanggungjawab supaya memantau dan mengambil tindakan kepada pembekal yang sengaja menaikkan harga kerana memberi kesan kepada peniaga.

"Kalau boleh pihak bertanggungjawab pantaulah tengok harga. Kalau musim tengkujuh ini, tak ada ikan.
"Pantau pembekal supaya harga itu dapat dikurangkan walaupun naik RM1 atau lebih tapi dah lama harga naik," katanya.

Sementara itu, seorang pengguna, Kalsom Kasim, 55, berkata, kos sara hidup semakin meningkat dengan pendapatan sederhana sememangnya menyebabkan ramai terpaksa berjimat-cermat.

"Barang mahal, kos sara hidup naik tapi pendapatan kurang. Jika dulu datang pasar bawa RM100 sudah cukup tetapi sekarang tak cukup," katanya.

Kamariah Abu Hassan, 67, pula berkata, dia juga tiada pilihan lain selain berjimat.

"Banyak barang naik harga, tiada yang turun dan memang ramai pengguna merungut,"

PPIM: 'Pak cik itu sudah dapat duit dia semula'

Posted: 18 Dec 2015 08:38 PM PST


PPIM: 'Pak cik itu sudah dapat duit dia semula'
Resit dan telefon yang berharga RM3,100. – Foto Ehsan Facebook Kelab Info Malaysia
 
 
SHAH ALAM - Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mendedahkan bahawa kes melibatkan seorang pengguna yang ditipu dalam isu pembelian telefon pintar di Plaza Kota Raya telah mendapatkan 'pembelaannya'.

Pengarah Unit Tindakan Khasnya, Muhammad Yusuf Azmi‎ ‎berkata, beliau dimaklumkan bahawa pengguna itu telah mendapat pembelaan selepas wangnya dipulangkan semula oleh peniaga yang menipunya dalam kes tersebut.

"Dia (pengguna) itu sudah dapat duit dia tadi, dia pergi menuntut duitnya bersama keluarganya," kata Muhammad Yusuf menerusi WhatApps kepada Sinar Online semalam.

Terdahulu di media sosial 'kecoh' selepas kisah mengenai seorang lelaki yang berusia dalam lingkungan 55 tahun ditipu ketika membeli sebuah telefon pintar di Plaza Kota Raya pada 16 Disember lalu menjadi viral di media sosial.

Menurut catatan yang menjadi viral itu, menceritakan bagaimana lelaki itu tertipu dengan harga telefon pintar itu yang pada asalnya 'murah' sebaliknya selepas bersetuju untuk membelinya berubah menjadi mahal.

"Mula-mula, dia melihat harga yang dipamerkan di kedai tersebut, RM800. Dia pun bertanyakan lebih lanjut mengenai telefon berkenaan. Jurujualnya menerangkan dengan lebih lanjut.

"Berpuas hati dengan penjelasan yang diberikan, pakcik ini terus menyatakan bahawa dia berminat dan mahu membeli telefon itu. Lalu jurujual terbabit meminta wang RM1,000 terlebih dahulu sebagai bukti (deposit) yang pakcik ini benar-benar berminat," petik kenyataan itu.

Petik kenyataan itu lagi menceritakan ‎tanpa berfikir panjang, lelaki  itu  terus menghulurkan wang yang dipinta. Jurujual tadi meminta pakcik itu menunggu seketika sementara dia pergi mengambil stok telefon di stor.

"Selang beberapa minit kemudian, jurujual tadi datang membawa telefon yang diminta  oleh pakcik ini.

"Serta merta dia menjadi keliru, tadi jurujual tunjuk model yang lain tetapi yang dibawa pula model yang lain. Sekali lagi pakcik itu menjelaskan bahawa dia berminta pada model Oppo R7plus, bukannya pada model yang baru dibawa oleh jurujual itu.

Tanpa mempedulikan pakcik itu, jurujual itu terus mengambil model R7plus itu dan menyiapkan bil.
"Semua sekali RM3,100," kata jurujual itu.

Alangkah terkejutnya pakcik ini apabila telefon yang disangkakan berharga RM800 pada mulanya, tiba-tiba menjadi RM3,100.

Disebabkan rasa bersalah, bil sudah dikeluarkan, takut dimarahi oleh jurujual berkenaan dan bimbang RM1,000 tadi hangus, pakcik itu terpaksa akur saja dengan jumlah yang dikenakan. Habis kesemua duitnya diserahkan kepada jurujual Oppo itu

Kerajaan perlu amal dasar penjimatan

Posted: 18 Dec 2015 08:33 PM PST


IR. KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN
Khairil Nizam
 
 
SHAH ALAM - Kerajaan diharap dapat mengamalkan dasar penjimatan menjelang tahun hadapan demi kepentingan rakyat.

Naib Ketua Pemuda Pas, Ir Khairil Nizam Khirudin berkata, dasar itu mampu membantu rakyat untuk meneruskan kelangsungan hidup.

Dengan cara itu, katanya, rakyat mungkin tidak perlu melakukan dua pekerjaan serentak untuk menampung perbelanjaaan harian.

"Seperti yang kita lihat, memang semua perangkaan dalam Bajet 2016 adalah demi rakyat. Motonya pun bertemakan 'Mensejahterakan Rakyat'. Bagaimanapun bajet tersebut melebihi perbelanjaan yang sepatutnya.

"Bajet 2016 akan ada defisit fiskal dalam 3.1 peratus atau 3.2 peratus dan ia berjumlah RM40 bilion.

Kerajaan akan berbelanja lebih daripada yang sepatutnya," katanya ketika dihubungi Sinar Online, hari ini.

Kelmarin, Sinar Harian melaporkan bahawa sesetengah individu terpaksa buat dua kerja dalam satu masa untuk tampung kos sara hidup.

[ARTIKEL BERKAITAN: Tak boleh harap gaji bulanan sahaja sekarang]

Beliau juga berharap supaya kerajaan lebih memandang serius terhadap kenaikan harga barangan dan kos sara hidup yang membebankan rakyat.

"Yang mana boleh tangguh, tangguhkanlah dahulu. Sekiranya kerajaan terpaksa berbelanja lebih, diharap ia dapat mmberi kepentingan kepada rakyat," katanya lagi

UMNO, PAS PERLU BUAT REFERENDUM SEBELUM JALIN KERJASAMA

Posted: 18 Dec 2015 03:55 PM PST

shahbudindotcom


 
 
 
Antara UMNO dengan Pas,  parti manakah  yang ingin sangat untuk bekerjasama?

Antara Najib Razak dengan Hadi Awang pula, siapakah yang paling mahu jalinan  kerjasama itu?

Siapakah yang lebih mendapat manfaat jika kerjasama itu menjadi kenyataan - Najib dan UMNO atau Hadi dan Pas?

Adakah kedudukan Melayu dan Islam benar-benar mendapat untung daripada kerjasama itu?

Barangkal soalan-soalan diatas adalah pertanyaan lazim mengenai kerjasama UMNO dengan Pas yang sedang hangat diperkatakan ketika ini.

Walaupun mungkin  ramai yang mengatakan Najib yang lebih ke depan penonjolannya dari segi inginkan kerjasama itu, terutama bagi menyelamatkan survival politiknya, terdapat juga sebilangan yang lain menyatakan bahawa Pas juga perlukan kepada kerjasama tersebut untuk masa depannya.

Dalam konteks Najib dan UMNO, keperluan kepada kerjasama itu sangat mudah difahami berikutan serangan daripada Tun Mahathir Mohamad yang berterusan sejak sekian lama dan pelbagai isu yang melanda negara lebih memungkinkan parti itu bakal kehilangan kuasanya dalam pilihanraya akan datang ini.

Berdasarkan perkembangan semasa, hanya dengan menjalin kerjasama bersama Pas sahajalah yang memungkinkan Najib dan UMNO boleh terus kekal menggenggam kuasa.

Bagi Pas pula, perlunya kerjasama ini hanya dilihat untuk memulihkan imejnya yang berpecah dengan kumpulan progresif sehingga tertubuhnya Amanah dan juga berikutan keputusannya tidak mahu menyertai Pakatan Harapan yang ditubuhkan bagi menggantikan Pakatan Rakyat.

Hadi yang kepimpinannya paling dipertikaikan sejak kebelakangan ini sekurang-kurangnya dapat menunjukkan kepada musuh-musuhnya bahawa Pas yang diterajuinya masih lagi menjadi buruan dalam penentuan kuasa dalam negara ini.

Cuma, dalam konteks keuntungan kepada Melayu dan Islam yang masih kedengaran pertikaiannya di mana-mana. Sementara ada yang mengatakan kerjasama itu akan melonjakkan maruah Melayu dan Islam, pihak lain agak skeptikal dengannya sambil menyatakan ia sesuatu yang masih kabur lagi.

Bagaimanapun, mahu tidak mahu, UMNO dan Pas mesti menyedari bahawa kerjasama ini adalah perkara besar kepada kedua-dua parti tersebut.

Ia bukan perkara main-main kerana implikasinya kepada kedua-dua pihak juga bukan sedikit.

Paling tidak, implikasinya kepada UMNO yang perlu diambilkira ialah dari segi penerimaan ahli di peringkat bawahan, hubungan dengan parti-parti komponen bukan Melayu dalam BN, kesannya kepada senario politik di Sabah dan Sarawak serta dari segi pembahagian kerusi dalam pilihanraya.

Kepada Pas, selain penerimaan ahli peringkat bawahan dan pembahagian kerusi dalam pilihanraya, kerjasama dengan UMNO tentunya membawa kesan yang sama kepada tahaluf siyasinya dengan PKR di Selangor sekarang ini.

Pas menolak untuk menyertai Pakatan Harapan kerana tidak sebulu dengan DAP dan Amanah, tetapi dalam masa yang sama kekal meneruskan pakatan kerjasamanya dengan PKR di Selangor.

Apakah jika memilih untuk "cium mulut" dengan UMNO, Pas sudah sedia berundur daripada semua kedudukan dalam kerajaan negeri pimpinan Azmin Ali, daripada jawatan Exco, jawatan di pelbagai anak syarikat GLC hinggalah ke peringkat ketua kampung yang sedang dipegangnya?

Dalam hal ini, untuk membolehkan kerjasama itu benar-benar konkrit dan bukan merupakan keputusan pihak atasan semata-mata, adalah wajar UMNO dan Pas mengadakan referendum di kalangan ahli-ahlinya atau setidak-setidaknya mengadakan perhimpunan khas untuk mendapat persetujuan mengenainya.

Selain implikasi-implikasi yang disebutkan itu, harus juga disedari bahawa perbalahan politik antara UMNO dengan Pas bukan sekadar berbeza ideologi dan berebut kuasa semata-mata, tetapi rentetannya turut merebak sehingga adanya perpecahan dalam keluarga, kampung, surau, masjid dan di satu peringkat turut melibatkan tuduh-menuduh dari segi akidah.

Dari segi tekanan dan mangsa kuasa, bukan sedikit pula yang menderita, teraniaya dan sengsara, malah ada yang sehingga kehilangan nyawa.

Lantaran itu, kalau pun perlu sangat untuk UMNO dan Pas bekerjasama bagi menyesuaikan dengan keperluan serta realiti semasa, keputusannya tidak harus hanya melibatkan peringkat atasan saja dan memangsakan ahli serta penyokong di peringkat bawahan. 
 
 
 

Laluan JB ke Singapura sesak

Posted: 18 Dec 2015 03:47 PM PST

BEN TAN

 

tambak johor
Jalan dan lebuh raya yang berhubung dengan Kompleks Kastam, Imegresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Abdul Samad dilaporkan mengalami kesesakan teruk sejak beberapa hari ini. - Foto Facebook EDLConnects


JOHOR BAHARU,  Jalan dan lebuh raya yang berhubung dengan Kompleks Kastam, Imegresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Abdul Samad dilaporkan mengalami kesesakan teruk sejak beberapa hari ini.

Keadaan ini diburukkan lagi dengan kehadiran lori dan kenderaan berat di laluan masuk ke Singapura yang sudah berbaris panjang dari pagi hingga ke lewat petang.

Kesesakan tersebut telah memberi kesan kepada kenderaan yang berulang alik melalui Lebuhraya Penyuraian Timur (EDL) yang menghubungkan bahagian selatan Johor ke Kompleks CIQ, melalui perjalanan dari Johor Baharu ke Singapura.

Situasi ini difahamkan berlaku ekoran pemeriksaan ketat di bahagian keselamatan melibatkan kedua-dua negara, Malaysia dan Singapura.

Pusat Pemeriksaan dan Imegresen (ICA) Singapura dikatakan sudah beberapa hari menjalankan pemeriksaan menyeluruh ke atas kemasukan kenderaan dari Malaysia.

Pemeriksaan kenderaan khususnya melibatkan kenderaan berat telah dijalankan sebelum dan selepas pondok kawalan pasport.

Situasi tersebut telah mengakibatkan kesesakan teruk daripada Singapura ke Johor Baharu.

Pengawai Perhubungan Awam Lebuhraya EDL, Sabqi Ismail ketika dihubungi berkata bahawa kesesakan tersebut berlaku ekoran peningkatan bilangan lalu lintas.

"Sejak beberapa hari lepas, Lebuhraya EDL telah menyaksikan aliran masuk lalu lintas yang banyak dan ini telah menyebabkan kesulitan kepada pengguna jalan raya," katanya ketika dihubungi The Rakyat Post.

Sebagai langkah penyelesaian sementara apabila terdapat kesesakan teruk, Ahmad Sabqi berkata bahawa pihak berkuasa EDL akan menutup persimpangan tertentu untuk memudahkan aliran lalu lintas di sepanjang EDL dan Pandan Interchange.

Ahmad Sabqi berkata, pihak pengurusan EDL akan memantau keadaan trafik pada hujung minggu akan datang kerana menjangkakan aliran trafik yang tinggi disebabkan cuti sekolah dan keadaan semasa.

"Kami harap pengguna jalan raya juga boleh membantu kami dan menggunakan jalan alternatif dalam bandar bagi mengelakkan terperangkap dalam kesesakan."

Sementara itu, salah seorang pengguna jalan raya yang berulang alik di laluan berkenaan, Mohamad Kamil Mohd Suhaimi, 28, berkata bahawa kesesakan itu teruk.

"Bukan sahaja kereta dan lori yang terperangkap, tetapi penunggang motorsikal dan pejalan kaki juga terjejas," katanya ketika ditemui selepas kembali ke Johor Baharu selepas bertugas di Singapura
Mohamad Kamil berkata, situasi ini menyebabkan ramai rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura lewat ke tempat kerja.

Dia mengharapkan keadaan trafik boleh diperbaiki, terutama di pusat pemeriksaan di Singapura.

Pengguna jalan raya di bandar raya Johor Baharu dinasihatkan untuk memantau laman Twitter EDL @EDLConnects untuk kemas kini trafik setiap hari.

Tiada ulasan: