KUALA LUMPUR,  Petani-petani di Cameron Highlands kini sedang diberi pendedahan oleh sekolah untuk petani (FFS) mengenai pendekatan terbaik bercucuk tanam tanpa bergantung kepada racun perosak.

Pengarah Eskekutif Pesticide Action Network Asia and Pacific (PANAP), Sarojini V. Rengam berkata pendekatan FFS adalah untuk berkongsi kemahiran penyelidikan dan hasil uji kaji kepada petani.

Melalui FFS, PANAP yang bertindak sebagai fasilitator, petani dapat mempelajari tanaman masing-masing dan juga bidang pertanian.

"Ia memberikan peluang untuk belajar dengan melakukannya sendiri.

"Ia memberikan kemahiran asas pertanian dan pengurusan yang akan memberikan petani menjadi pakar mengenai tanaman mereka.

"FFS adalah satu forum yang mana para petani dan juga fasilitator bertukar pendapat melalui pemerhatian, pengalaman dan juga maklumat dari masyarakat luar," katanya kepada The Rakyat Post.

Beliau menambah, para petani diperkenalkan dengan kaedah Pengurusan Bersepadu Perosak dan cara-cara untuk menguruskan tanah mereka, tumbuhan dan juga mengenal serangga yang memberikan faedah kepada ladang mereka.

Susulan daripada itu, mereka telah melalui satu anjakan paradigma yang mana sebelum ini mempunyai kebergantungan penuh kepada bahan kimia yang digunakan sebagai racun serangga dan juga baja.

Walau bagaimanapun jelasnya, masih banyak lagi perkara yang perlu dipelajari petani-petani dari kawasan tanah tinggi itu.

Program FFS bermula pada Ogos dan September lalu dengan penyertaan awal seramai lima orang petani.
Pada mulanya, ramai petani yang tidak percaya dengan kaedah ini tanpa menggunakan racun perosak namun berubah pandangan setelah melihat ladang-ladang organik yang dikendalikan oleh petani-petani lain.

Beliau berkata, permintaan terhadap tumbuhan organik meningkat dan pelanggan sanggup membayar jumlah yang lebih mahal dengam mengambil kira aspek kesihatan dan ini dilihat sebagai satu insentif kepada para petani.

Sarojini berkata, ramai ibu bapa yang bimbang dengan penggunaan racun perosak akan memberi kesan kepada tahap kebijaksanaan kanak-kanak yang sedang membesar.

"Apa yang kita perlu lakukan ialah latihan kepada para petani, pemasaran dan bila berlaku peningkatan dalam pengeluaran, harga-harga sayuran organik ini akan turun," katanya.

Pendekatan FFS telah dibagunkan oleh Organisasi Makanan dan Pertanian (FAO), Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu kira-kira 25 tahun lalu di Asia Tenggara.

Menurut FAO, pendekatan yang dibawa ini sebagai alternatif kepada keaedah Revolusi Hijau yang gagal di mana ianya lebih kompleks untuk dilaksanakan.