Jumaat, 11 Disember 2015

.

.


Masa terbaik untuk Pas sambut salam Umno

Posted: 10 Dec 2015 07:09 PM PST

BUKAN KHUTBAH

Abdul Hadi Awang
Apabila Najib Razak telah menghulurkan salam silaturahim secara terbuka kepada Pas di hadapan 2,600 perwakilan Umno semalam, sepatutnya Pas, khas presidennya Abdul Hadi Awang menerima huluran salam itu dengan penuh keinsafan, kegirangan dan tanpa prejudis.

Huluran salam Najib itu tidakkah sesuatu yang ditunggu-tunggu selama ini bukan sahaja oleh sebahagian ahli Pas, tetapi para pencinta damai di negara ini. Huluran itu membawa signifikan menunjukkan bahawa Umno sangat terdesak dan sangat mengharapkan Pas. Jangan hitung mengenai sejauh mana keikhlasannya.

Tidakkah waktu kini, setelah Pas memutuskan hubungan dengan DAP, parti itu juga mengharapkan ada rakan baru untuk menggerakkan dan mengapai agenda politiknya. Para pemikir Pas faham natijah dan implikasi keputusan Pas itu. Mereka juga memahami Umno, adalah lebih baik daripada DAP dari segala-gala seginya, kecuali sejarah pedih yang pernah dicatat oleh parti tersebut yang sudah menjadi sebutan berzaman.

Pas atau Abdul Hadi boleh berpegang kepada bidalan; "sekali bah sekali pantai berubah; lain padang lain belalangnya." Umno kini dipimpin oleh Najib Razak dengan menggunakan tagline "wasatiyah", bukan lagi dipimpin oleh Dr Mahathir Mohamad yang tidak pernah menurunkan pedang dari memacung Pas.

Setiap kali berucap dalam perhimpunan agung Umno (PAU), Mahathir akan mengambil tidak kurang 15 minit untuk memacung dan menyerang Pas serta mempengaruhi perwakilan agar terus membenci Pas, dan menampakkan Pas sebagai parti yang ekstrem, kolot dan pembawa fahaman agama yang songsang. Itu era Mahathir Mohamad.

Hari ini sudah berbeza yang amat ketara. Bermula di zaman Abdullah Ahmad Badawi menjadi presiden Umno lagi, membawa kepada Najib, serangan terhadap Pas sudah tidak ada lagi. Umno telah mengubah pendekatan dan penerima terhadap Pas bukan musuh tetapi rakan yang perlu dijinakkan.

Tepat kalau Abdul Hadi menerima ajakan Najib itu sebagai sesuatu yang positif untuk kepentingan , negara dan rakyat seluruhnya, seperti mana ujarnya, "matlamat itulah juga yang menjadi prinsip perjuangan Pas yang menjadi al Quran, as Sunnah, ijmak dan qias sebagai rujukan dalam menentukan prinsipnya termasuk dalam gerak kerja dan tindakan untuk membina masa depan negara."

Perkembangan dan senario semasa kini, ancaman global terhadap Islam memberi ruang dan kesempatan baik untuk semua orang bersatu. Kebetulan pula dalam keadaan Umno tertekan dan Pas pula telah membersihkan semula dirinya dari sekularisme yang didakwa cuba diterapkan oleh golongan tertentu sehingga dianggap untuk mengubah keaslian Pas, (apabila pemimpin profesionalnya) sudah tidak ada, nah inilah masanya.

Umum tahu dari segi tindakan politik, Pas perlu berhati-hati untuk berkolabroasi dengan Umno. Makanya sambutan tangan silaturahim itu harus dilakukan dengan cara terbaik.  Kenyataan Abdul Hadi itu, bahawa Pas berpegang kepada Quran dan hadith serta masih menjalani tahalul syiasi dengan PKR, berupakan kenyataan politik yang waspada. Kita memahami maskud kenyataan Abdul Hadi itu beliau tidak mahu ahli bawahan terkejut dengan salam dihulurkan Najib itu.

Mungkin ketika ini, presiden itu menyedari masih ada sebilangan ahli bawahan yang tidak dapat menerima Umno dan sejarah silam menjadi phobia kepada mereka. Tarbiah menerusi kaedah tertentu yang dilakukan agar ahli menerima Umno sebagai rakan kongsi atas maslahat agama dan bangsa, masih belum menyeluruh. Jadi, terbiyah agar ahli memahami perjuangan Umno senonim dengan Pas perlu diperbanyak dan diperluaskan lagi sebelum tangan persefahaman itu tergenggam.

Dan apabila Hadi mengatakan Pas masih bertahalul syiasi dengan PKR, sebenarnya ia bukan masalah untuk Pas berkolaborasi dengan Umno. Pas, atau Hadi seharusnya mencari ikhtiar macam mana untuk mengajak sama PKR (sebahagian) agar bersama Pas untuk berpakat dengan Umno. Alasan dan hujah betapa perlunya PKR Melayu dan Pas bersama Umno untuk maslahat agama dan bangsa mungkin boleh digunakan.

PKR juga kini berpecah dalam penerimaan mereka terhadap Umno dan kepimpinan Najib atau pun dalam berpolitik. Sebahagian orang dalam PKR menerima konsep Malaysia Malaysian yang dibawa oleh DAP. Mereka bersetuju Malaysia ini dibangunkan secara bebas tanpa ada gagasan dan isme bersifat kesukuan dan kaum.

Sementara sebahagian yang lain masih kental bersemangat nasionalisme. Baja nasionalisme yang mereka pupuk dari Umno semasa menjadi ahli parti itu sebelum ini masih bersemi di hati. Mereka ini sebenarnya lebih mudah untuk diajak memahami Umno dan kehendak Pas itu berbanding orang DAP.

Mungkin Pas tidak dapat mengajak PKR yang bersifat atau menerima Malaysia Malaysian itu. Tetapi Pas boleh berpakat dan memujuk PKR yang bersemangat Melayu dan anti Cina. Mungkin Pas sendiri sudah indentify akan orang-orang dalam PKR.

Saya rasa Pas mengenali orang-orang demikian dalam PKR. Saya tidak mahu mengatakan mereka yang beriya mahu terus bersama Pas dalam PKR adalah mereka yang bersemangat Melayu dan anti Cina. Tetapi kalau diselidiki ada orang-orang dalam PKR berpendapat demikian. Mereka lebih suka dan yakin untuk bekerjasama dengan Pas berbanding DAP, ataupun bekas orang Pas dari Amanah. Sebab itu orang-orang ini tidak begitu gembira dan menyambut kelahiran Amanah.

Kenyataan berhati-hati Abdul Hadi dalam menerima huluran salam ukhwah Najib itu, dibimbangi ia akan mengelirukan ahli Pas peringkat bawahan atau mereka yang sudah dipakukan dengan cerita Pas tidak akan berkerjasama dengan Umno, yang mana perkara ini dipertegaskan oleh sesetengah pemimpin Pas.

Kebimbangan itu sebenarnya lahir dari rasa kurang yakin dan kesediaan Abdul Hadi sendiri. Ia tidak patut timbul kerana beliau adalah pemimpin yang perlu berani, tegas dan mampu mempengaruhi ahli bawahan dengan prinsip dan dasar parti. Sikap wala' ahli kepada kepimpinan seharusnya digunakan oleh Abdul Hadi bagi menjayakan agenda ini.

Dalam niat untuk menyambut huluran salam Umno itu, Abdul Hadi tidak perlu meletakkan perbezaan dasar Pas dengan Umno sebagai halangan. Dasar dan perbezaan itu boleh diserasikan selepas wujudnya persefahaman. Apa yang lebih penting ialah Pas mendapat manfaat untuk parti dengan kerjasama berkenaan. Pas juga tidak pernah atau telah menarikan fatwa bahawa Umno adalah parti sekular dan kafir?

Pelancaran program Indeks Syariah yang dilakukan oleh kerajaan Umno adalah peluang terbaik bagi Pas bagai mana untuk berperanan dalam mengimplimentasikan perjuangannya. Program berkenaan memberi peluang kepada Pas dan seluruh umat Islam membaiki atau pun membuka peluang bagi memperluaskan perlaksanaan Islam di negara ini. Program berkenaan bertujuan mencari mana-mana ruang Syariah yang boleh diperkemaskan. Menerusinya Pas boleh menerapkan atau guna untuk menjayakan perjuangannya.

Peluang ini sepatut digunakan sepenuhnya oleh Pas, untuk memacarkan Nur Islam yang diyakininya. Apabila Pas bekerjasama dengan Umno, sudah tentu juzuk ini dapat dipergunakan oleh Pas secara lebih efektif lagi. Semua harus tahun matlamat perjuangan Pas ialah untuk mendaluatkan Islam. Asalkan Islam dapat didaulat usah kira siapa yang memerintah. Dalam hal ini bukan kulit menjadi ukuran tetapi isinya yang penting.

Justeru bagi saya huluran salam persahabatan yang dibuat Najib itu perlulah disambut oleh Pas dan Abdul Hadi secepat yang boleh. Di zaman Abdullah menjadi PM dahulu saya pernah mencadangkan kepada seorang pemimpin kanan Pas, agar Pas bekerjasama sama dengan Umno menerusi Kerajaan Perpaduan. Alasan dan hujah saya waktu itu, ketika itulah masa terbaik untuk Pas menginding dengan Umno kerana Umno dalam keadaan lemah.

Sudah pasti Umno yang dalam keadaan lemah dan sakit sekiranya Pas menjalani kerjasama ia sangat dihargai, seperti mana orang sakit yang diziarahi rakan dan sanak saudara. Erti kepada pertolongan dan bantuan itu lebih bermakna jika dilakukan tepat pada masanya.

Malangnya pemimpin berkenaan bersikeras menolak pandangan saya itu dengan berkeyakinan kelemahan Umno di era Pak Lah itu akan memberi peluang untuk Pas menumbangkan parti Melayu itu. Bagaimana pun ternyata apa yang diyakini pemimpin berkenaan masih meleset sampai ke hari ini. [wm.kl.10:41 am 11/12/15]

Najib terus berdolak dalik, tidak berani bertanggungjawab

Posted: 10 Dec 2015 04:08 AM PST

ULAS UCAPAN NAJIB

Najib 13 kali teguk air.
Lupa keadaan diri sekejap apabila mengikuti ucapan dasar Najib Razak dalam perhimpunan agung Umno ke-69 menerusi siaran langsung disiarkan televisyen. Dalam catatan saya Najib mengambil masa lebih satu jam dengan mengemukakan 184 point dalam ucapannya kali ini.

Sejak awal hingga akhir ucapan Najib itu walaupun sudah dibayangkan ia tidak banyak berbeza dengan ucapannya sebelum ini, tetapi ia ditunggu-tunggu kerana perkembangan Umno ketika ini.

Awal ucapan Najib kelihatan serius, tidak gelak seperti selalu dan berwajah sedikit suram. Kemendungan di wajahnya menampakkan bahawa PM itu tidak senang dengan apa yang berlaku kini. Di awal 15 minit pertama beliau cuba psywar perwakilan agar memberi fokus kepadanya dengan menaati kepada kepimpinannya dan juga beliau sendiri.

Body language Najib itu menjelaskan dia meragui kepada apa yang bakal diterimanya. Justeru pendekatan mempengaruhi emosi itu penting. Walaupun beliau cuba mempengeruhi perwakilan, tetapi tidak semua terikut dengan retaknya dan simpati dengan nasib dialaminya. Perwakilan dapat membuat ukuran mana yang betul dan mana yang tidak.

Berjiwa besar tetapi kunci Muhyiddin.
Bukan semua 2,600 perwakilan dalam dewan merdeka terbius dan maksyok dengan ucapan Najib.

Dalam ucapan kali ini Najib banyak menggunakan petikan ayat-ayat Quran dan juga kata-kata Hukama dan pujangga untuk menyelinapan pesan dan amanatnya kepada jiwa perwakilan. Ada juga petikkan tersalah fakta bila mana beliau menyebut Bapak Muhammad Nastsir sebagai bekas Perdana Menteri Indonesia?

Ertinya dia sendiri tidak yakin dengan ucapan dan idea secara harfiah daripadanya diyakini oleh perwakilan dan diterima oleh pemerhati. Maka dia terpaksa bersanad kepada pelbagai hujan dan fakta lain. Yang hendak ditekankan bahawa tindakannya terhadap Muhyiddin Yassin dan Shafei Afdal itu benar, dan dia berada di pihak yang benar.

Tidak cukup itu, ada pula pasukan sorak dan meng"enggih"kan beliau. Setiap hujung ucapannya ada bunyi tepukan dan sorakkan, tetapi tepukan itu jelas ianya diorkestra demikian rupa. Benar kata desas desus sebelum ini yang mengatakan Najib menyedia tukang sorak dan ampu dalam dewan bagi memberi semangat dan menggambarkan dia mendapat sokongan. Cara sorakan itu bernada menyinis kepada pihak lain. Najib boleh menyakinkan perwakilan dalam Dewan Merdeka tetapi tidak dengan rakyat di luar sana.

Sangat jelas penampilan Najib dalam perhimpunan kali ini tidak semeriah atau seseronok penampilan beberapa tahun lalu. Perhimpunan juga tidak kelihatan mesra seperti selalu melainkan dalam suasana tegang. Tv yang membuat lintas langsung juga tidak clouse up wajah-wajah perwamilan terhadap reaksi kepada ucapan Najib. Wajah Dr Mahathir Mohamad yang juga turut sama hadir sebagai pemerhati tidak terpampang sekali pun menerusi televisyen yang saya saksikan.

Kameranya hanya fokus kepada wajah Najib seratus peratus.

Berbalik kepada isi ucapan dasar Najib, masih tidak ada apa-apa yang menggugah perassan. Tidak ada apa-apa pembaharuan dari segi wawasan melainkan membawa dan membolak balik hal yang sama yang penuh retorik dan memualkan. Harapan orang ramai agar beliau membuat penjelasan berhubung skandal 1MDB dan penyanglopan dana RM2.6 billion, meleset. Perwakilan tidak berpuas hati dan orang ramai kecewa cara Najib menangani skandal tersebut.

Beliau mendakwa dia sudah pun menjelaskan mengenai skandal berkenaan, dan menyatakan yang pelan tindakan untuk memulih kerugian dalam 1MDB sedang dilakukan dan sudah menunjukkan pemulihan. Saya yakin bukan sahaja rakyat di luar meragui tetapi perwakilan juga tidak berpuas hati dengan penjelasan yang masih berdolak dalik. Sikap dolak daliknya dalam beberapa isu selama ini menjadi orang tidak percaya kepada kejujurannya.

Perwakilan yang sudah terpasak dan terpaku dengan persoalan ditimbulkan Muhyiddin dan Dr Mahathir tidak akan menerima penjelasan Najib itu bahkan mereka akan terus menganggap Najib berbohong dan tidak berani bercakap mengenai perkara itu. Sehubungan itu juga pendabitan dada Najib kononnya dia berani, berjiwa besar, hanya sebagai lagu pengulik tidur bayi sahaja.

Tentang wang dana RM2.6 billion, Najib juga telah mengelak diri dengan berdalih Zahid Hamidi sudah menjelaskan di parlimen. Dunia sudah tahu, apa isu dan sejauh mana konkritnya penjelasan Zahid di parlimen. Berselindung dengan penjelasan Zahid, dimana Zahid sendiri seorang pemimpin yang suka berbohong menjadikan, perlindungan Najib di sebalik Zahid itu bagaikan berlindung di balik daun pisang kering semata-mata.

Keredupan wajah Najib di awal berucap.
Mengenai isu 1MDB dan dana RM2.6 billion, orang berharap jawaban dan penjelasan lebih mantap dari itu, mengharapkan Najib bersikap lebih berani. Misalnya mengambil tindakan menyaman Wall Street Jorunal (WSJ) yang mendedahkan isu berkenaan.

Sebelum ini Najib begitu berani dan yakin untuk menyaman WSJ bagi membela dirinya, tetapi apa kesudahannya. Niat untuk saman itu entah hilang ke mana. Najib langsung tidak mengulas dan menjawab niat itu kepada perwakilan. Keterlupaan yang disengaja itu sudah tentu akan diterima perwakilan, Najib sebagai bersalah dan tidak pernah mahu bertanggungjawab.

Sepanjang berucap itu Najib telah meneguk air sebanyak 13 kali dan menyapu bueh dimulutnya 11 kali. Di hujung ucapan memakan masa selama 1 jam 23 minit, Najib mengambil peluang untuk menghentam dan menyinis Muhyiddin Yassin dan Dr Mohamad Mohamad serta mempamerkan akan kemurnian dirinya. Najib menggunakan Perlembagaan Umno Fasal 9, bagi menceritakan akan salah salaku Muhyiddin terhadapnya.

Najib tetap cuba menimbulkan kesalahan timbalannya sebagai tidak mengikut saluran dalam membuat kritikan kepada parti berhubung isu 1MDB dan dana RM2.6 billion. Sekali lagi Najib cuba membela diri dan menegakkan benang basah. Apakah Muhyiddin berbohong dengan kenyataan sebelum ini yang bekas TPM itu telah bertanya langsung kepada Najib mengenai hal itu. Begitu juga Shafei Afdal yang telah bertanya kepada Kabinet.

Perwakilan yang rasional dan tidak mudah disihir atau terbius oleh ubat bius dalam Dewan Merdeka tentu bingung dan keliru, saluran yang macam mana lagi yang betul seharus dilakukan Muhyiddin dan Shafei untuk membuat teguran. Apakah dengan mendiamkan perkara itu dan menerima salah lakukan Najib itu sebagai saluran betul?

Najib juga menjawab beberapa isu lain yang dikira menjadi sebutan rakyat, seperti GST, kejatuhan nilai ringgit yang parah sekarang ini dan TPPA. Beliau cuba merasionalikan isu-isu itu dengan kononnya kejayaan Malaysia, yang mampu berada di tempat ke 18 daripada 144 di kalangan negara sedang membangun lain. Begitu juga dengan kejayaan syarikat Malaysia yang mendapat kontrak bertaraf dunia, dicanangkan sebagai kejayaan pentadbirannya sebagai PM.

Justifikasi yang cuba ditunjukkan Najib itu tidak relevan. Dia juga anguh dan sombong apabila tidak satu pun kesalahan dan kelemahan yang dilakukan diakui dengan jujur dan jiwa tawaduk. Di sinlah kesilapan Najib dalam menampilkan kehebatannya untuk mendapat simpati sehingga dia terlupa bahawa dia seorang manusia yang lemah dan senantiasa berhadapan dengan kesilapan.

Aspek politik negara Najib tidak banyak disentuh, melainkan cuba menimbulkan keburukan parti pembangkang Cina DAP. Beliau mencela DAP akan menjadi kuasa pemusnah kepada Melayu dan Islam di negara ini kalau parti itu berjaya menjadi kerajaan. Beliau mendakwa DAP kini sedang menguasai parti pembangkang.

Disamping menuduh DAP, tanpa asas-asas yang konkrit melainkan bertolak daripada mitos dan bidaah, Najib memuji Pas dan mengistyharkan yang Pas tidak bersama pembangkang lagi, Satu sikap yang tidak pernah dilakukan sebelum ini. Katanya perubahan sikap Pas itu menyebabkan Umno telah menghulurkan salam silaturahim kepada parti agama itu. Pendedahan Najib itu secara tidak langsung mendedahkan apa yang sedang berlaku (proses) di antara Pas dengan Umno kini yang dinafikan oleh orang Pas peringkat bawahan.

Najib mengakhiri ucapannya dengan bertegas tidak akan tunduk kepada tekanan dan seruan agar beliau berundur atau berihat bagi membolehkan siasatan dijalankan ke atas beberapa skandal berkaitan dengannya. Najib mengulangi dia juga berjiwa besar dengan mengakui dia terguris hati dengan tindakan Mahathir dan Muhyiddin.

Meremangkan juga bulu roma apabila Najib memperakui akan hakikat itu, seimbas menunjukkan Najib memang berjiwa besar dan sedia memperakui kesilapan. Tetapi apabila dia tetap bertegas tidak akan berundur dan tidak mengaku salah, menggambarkan akan kedegilan dan kekerasan hati beliau sebagai pemimpin.

Sudah elok Najib mengakui dia terguris hati dengan Muhyiddin dan Mahathir, itulah sikap terus terang yang patut dihormati. Sekiranya pengakuan itu diselami dengan pengakuan dia memaafi Muhyiddin dan Mahathir atas keterlanjuan pemimpin itu dan menyeru kembali berada dalam saf memperkuatkan Umno, sudah tentu Najib akan dilihat pemimpin yang benar-benar berjiwa besar dan pemaaf.

Sayangnya kejiwaan dan kesempatan itu tidak diambil dan ini menjadikan Najib  dilihat sebagai pemimpin bangsawan yang angkuh dan sombong, dan tidak sedia untuk ditegur dan dikiritik walaupun kesilapannya fatal. [wm.kl.8:07 pm 10/12/15]

Tiada ulasan: