WARTAWAN RASMI LAMAN REFORMASI |
- HUSAM: ‘SAYA BERUBAH ATAU PAS YANG BERUBAH?’
- AMANAH GENERASI KEDUA POLITIK ISLAM MALAYSIA – DR DZUL
- DAP TANDING 8 KERUSI DI SELANGOR ELAK JATUH KE TANGAN BN
HUSAM: ‘SAYA BERUBAH ATAU PAS YANG BERUBAH?’ Posted: 07 Nov 2015 01:49 AM PST Husam: 'Saya berubah atau Pas yang berubah?'Adun Salor YB Husam Musa terus melontarkan persoalan terhadap pelbagai perkara yang timbul dalam parti Islam itu sejak kebelakangan ini. Menurut beliau, krisis yang dilalui Pas hari ini berpunca daripada pendirian presiden TG Hadi Awang yang sering membangkitkan kerjasama dengan Umno. Perjuangan yang menyeleweng daripada landasan lurus yang diasaskan sejak era Fadzil Noor dan Nik Aziz Nik Mat itu menyebabkan parti semakin kucar kacir dan mengelirukan penyokong Pas di peringkat akar umbi. Ikuti kenyataan media terbaharu Husam yang diemel ke Suara pakatan daily: i) ANDAI SAYA JADI PEGAWAI AKHBAR MB Kenyataan Media Kerajaan Kelantan yakin akan dapat menyelesaikan semua tunggakan dan isu-isu seperti berikut sebelum akhir tahun ini: 1. RM 14.6 juta tunggakan caruman guru YIK 2. RM 6.3 juta tunggakan bayaran kematian peserta skim Kifalah 3. Bayaran dividen peserta Ladang Rakyat bagi tahun 2015 Kerajaan juga sedang merangka pelan dan menyediakan dana yang mencukupi bagi menyiapkan semua baki rumah yang dihanyutkan oleh banjir pada akhir tahun lalu yang masih belum siap. Menjelang bayaran pertama kenaikan elaun Adun pada Januari 2016, InsyaAllah semua isu-isu lebih mendesak yang disenaraikan di atas telah dapat diselesaikan, kecuali pembinaan semula rumah untuk mangsa banjir memerlukan tempoh lebih lama kerana pembinaan sedikit terhalang semasa musim tengkujuh. Pada masa yang sama, keperluan semasa yang menasabah bagi setiap wakil rakyat juga perlu diambil kira bagi membolehkan mereka dapat berkhidmat dengan jayanya. Apa yang dibangkitlan oleh YB Adun Salor sememangnya telah pun dalam pertimbangan Kerajaan. Oleh itu, isu kenaikan elaun Adun yang boleh menjejaskan tanggung jawab kerajaan yang lain yang lebih mendesak tidak berbangkit sama sekali dan tidak perlu diperdebatkan lagi. Di Bawah pentadbiran YAB Ustaz Datok Ahmad bin Ya'kub sebagai Menteri Besar, Kerajaan Kelantan tetap sensitif terhadap semua permasalahan rakyat sesuai dengan dasar Membangun Bersama Islam. Sekian. Terima kasih. Pegawai Media Menteri Besar Kelantan 4 November 2015 ————— Di atas adalah contoh kenyataan media yang saya akan tuliskan berkait isu kenaikan elaun Adun Kelantan, jika saya adalah Pegawai Akhbar MB. ii). SAYA BERUBAH ATAU PAS BERUBAH? Saya melihat – Pas yang berubah. Kalau berkait dengan parti – saya tetap berpendirian – dalam politik Malaysia Pas perlu berusaha menjadi 'kepala' dan bukan 'ekor' membawa Islam sebagai teraju pentadbiran, polisi, pendekatan dan dasar negara. Di Terengganu, negeri Presiden PAS, satu masa dulu berslogankan PGU – Pas Ganti Umno. (Di Kelantan, Tok Guru tak pernah bawa slogan ini tetapi PAS Alhamdulillah kekal mentadbir Kelantan hingga saat ini) Hari ini, Presiden PAS dijemput oleh MB Terengganu untuk menjadi 'Penasihat' ekoran kenyataan beliau : 'Kerjasama politik kita tak masuk kerajaan…' (Sinar Harian, 1 November 2015). 'Parti sedia bantu BN beri nasihat licinkan pentadbiran: Hadi' ( Sinar Harian, tarikh sama) 'Kita mahu jadi pembangkang yang menasihat sekiranya kerajaan sanggup menukar dasar dengan konsep Islam kita bukan pelahap untuk rebut jawatan', katanya. (sumber sama) 'Hadi: Ada orang cemburu hubungan PAS-UMNO' – Sinar Harian, 6 Jun 2015. Sebagai ahli Pas berjawatan YDP Kawasan, saya sememangnya keliru dengan semua kenyataan Presiden saya kebelakangan ini. Saya tidak berhajat untuk memetik semua laporan berita kenyataan yang telah dibuat oleh Presiden saya. Cukup saya balikkan pertanyaan Ahmad Amzad Hashim, Pengarah Jabatan Penerangan Pas Pusat: Saya berubah atau Pas berubah? Semua kenyataan ini menggambarkan seakan Presiden bebas sebebasnya membuat apa jua kenyataan yang bersifat dasar dan pendirian Pas tanpa melalui proses mesyuarat yang sewajarnya atau mengambil kira pandangan dan perasaan ahli peringkat akar umbi. Saya dalilkan berdasarkan respon Pas Selangor menerusi kenyataan Pesuruhjayanya yang menolak hubungan dengan Perkasa, hampir sebaik sahaja foto Presiden Perkasa memeluk Presiden Pas menjadi viral. Jika tindakan Presiden menjalin hubungan dengan Perkasa telah diputuskan dalam mesyuarat Pas Pusat, tentulah PJ Selangor tidak akan mengeluarkan komen menentang arus itu. Ini semua menunjukkan kelainan Pas kini berbanding dulu. Saya berubah atau Pas berubah? Pas dulu menentang perjuangan berbentuk assabiyyah atau perkauman melampau. Kini? UG adalah contoh lain. Sekian lama, satu-satunya pemimpin Pas yang mendendangkan lagu UG adalah Presiden PAS sendiri. Pertama, adakah gagasan ini pernah diluluskan dalam mana-mana muktamar PAS? Jika tidak, kenapa? Menjelang muktamar 2011, Presiden telah menarik balik gagasan ini secara terbuka. Menjelang muktamar baru lalu pula, dalam ucapannya di Singapura, Presiden mengulangi cadangan pembentukan Kerajaan UG. Adakah beliau memasukkan gagasan yang beliau kemukakan semula itu dalam ucapan dasar bagi Muktamar baru lalu? Kenapa gagasan yang begitu besar itu tidak dibawa kepada mesyuarat parti/Muktamar? Saya berubah atau Pas berubah? Kedua, selepas bertahun-tahun gagasan itu dijual, adakah ia berjaya dan menjadi kenyataan? Parti mana yang telah menyambutnya? Jika tidak, bukankah lebih baik jika rundingan belakang tabir dilakukan terlebih dahulu sebelum dijual terbuka tetapi tiada langganan. Bukankah itu menjatuhkan reputasi Pas? Jika rundingan belakang tabir hendak dilakukan, tidak cukup hanya Majlis Syura diberitahu mengenainya, tetapi mesti juga dimaklum dan diluluskan oleh Pas Pusat. Seingat saya, rundingan sulit belakang tabir tidak pernah mendapat persetujuan Pas Pusat. Termasuk apa yang diberitahu oleh Ustaz Nasharudin Mat Isa bahawa seawal April 2008, Majlis Syura telah bersetuju melantik wakil untuk berunding dengan parti-parti termasuk UMNO. Keputusan itu tidak pernah dimaklum dan mendapat persetujuan Pas Pusat, pada hal isu seperti itu wajib mendapat persetujuan Pas Pusat selaku kuasa eksekutif parti. Saya berubah atau Pas berubah? Kalau konsep UG pun gagal tetapi telah menimbulkan pertelingkahan di kalangan ahli, apalah kaitannya secara salah cuba memalukan saya dengan isu lebuhraya, pembinaan stadium dan pengembangan ekonomi mikro menerusi penternakan kambing yang kesemuanya diluluskan oleh parti dan kerajaan secara sah? Sesetengah pemerhati bahkan berpendapat, itu antara faktor penyumbang kemenangan Pas di Kelantan. Apa penyelewengan saya dalam isu-isu itu, jika ada? Adakah Jabatan Penerangan Pas penyambung fitnah dan adu domba UMNO? Ketiga, apakah cadangan menjadi penasihat kerajaan adalah sambungan dari konsep UG yang tidak berjaya? Saya tidak menuduh, tetapi parti perlu menguruskan isu ini. Inilah tugas Jabatan Penerangan. Menjelaskan kepada semua ahli dan kawasan-kaeasan di seluruh negara bagi mengelakkan kekeliruan dan menjadi persendaan. Bukan menyerang saya. Secara serangan peribadi pula. Kecuali Jabatan Penerangan pun ikut keliru. Saya mungkin tersasar bila menyebut kemungkinan kedudukan sebagai penasihat itu bergaji penuh bertaraf menteri. Ia hasil dari ketiadaan penjelasan selepas sesuatu pendirian parti diumumkan. Saya akui, itu adalah agak saya sahaja. Nampaknya cadangan menjadi penasihat juga belum dirundingkan secara muktamad namun telah dihebohkan sedemikian rupa. Kalau ikut laporan media, rundingan dengan PM baru hendak dimulakan. Andaikata ia sekali lagi gagal, jentera parti di peringkat akar umbi sudah bercakaran. Adakah ini akan menguatkan Pas dalam PRU akan datang, khususnya di Kelantan? Adakah awal-awal lagi kekalahan yang mungkin akan dialami oleh PAS di Kelantan kerana masalah yang dihadapi oleh PAS sekarang hendak dilonggokkan kepada saya? Berbalik kepada beberapa isu pentadbiran Kerajaan Kelantan yang saya bangkitkan. Isu pengurusan hutan yang pruden bukan isu baru yang saya bangkitkan. Jika Jabatan Penerangan Pas cekap dan adil, mereka tentunya ingat ucapan-ucapan saya di Parlimen mengenai pembalakan, pemanasan global dan isu alam sekitar yang lain. Ia sudah sebati dengan saya dan satu dari komitmen peribadi saya. Sebagai organ penerangan parti, sudahkah Jabatan Penerangan Pas membelek apa janji Pas selama ini dalam setiap manifesto nasional dan negeri? Sudahkan mereka mengkaji angka-angka yang terlibat, seperti keluasan tebangan habis hutan simpan? Jika tidak, saya berubah atau Pas berubah? iii) MARI MAJLIS DIALOG SAYA 13 NOVEMBER Dalam artikel yang sama oleh Pengarah Jabatan Penerangan Pas, saya ditanya 'Apa Husam mahu?' Bagi mengetahui jawapannya, saya mempersilakan beliau hadhir dalam majlis dialog terbuka saya di Pasir Tumbuh pada 13 November ini. Saya yakin, Jabatan Penerangan sudi membayar perbelanjaan perjalanan beliau ke Kelantan. iv) PAS BENTUK KERAJAAN BERSAMA UMNO DI SELANGOR Saya membaca kenyataan TITM di Malaysiakini bahawa tiada alasan untuk PAS bergabung dengan UMNO membentuk kerajaan di Selangor. Sebagai seorang muslim yang wara' dan alim, semua pimpinan Pas tahu bahawa berbohong adalah amat ditegah oleh Islam. Fakta bahawa Presiden PAS mengakui beliau mengusahakan kerjasama politik itu ketika krisis MB Selangor tahun lalu tidak boleh diketepikan dengan alasan-alasan. Antara 'ya' dan 'tidak' sahaja yang diperlukan. Adakah 'ya' atau 'tidak' Presiden Pas mengaku seperti itu bila dipersoalkan? Saya tahu, pendedahan ini akan mengundang risiko kepada saya. Saya sanggup menerima semua risiko berdasarkan: – Apa yang saya sebutkan adalah benar. – Saya mahu sandiwara yang telah menghancurkan parti selama ini dihentikan. – Saya ingin melaksanakan kewajipan saya memaklumkan kepada ahli dan masyarakat umum sandiwara belakang tabir yang telah berjalan sekian lama. Sehubungan itu, siaran di laman web rasmi Pas dengan tajuk 'Jawapan Fitnah Terhadap Presiden PAS' – saya harap dapat ditarik balik serta merta. Saya tegaskan di sini, saya tidak memfitnah sesiapa. Kenyataan saya adalah benar dan saya bertanggungjawab dunia akhirat. Saya sanggup mempertahankan kenyataan saya. Allah adalah saksi Maha Agung. HUSAM MUSA 25 Muharram 1437 7 November 2015 |
AMANAH GENERASI KEDUA POLITIK ISLAM MALAYSIA – DR DZUL Posted: 07 Nov 2015 01:47 AM PST Amanah generasi kedua politik Islam Malaysia – Dr DzulParti Amanah Negara (Amanah) mendakwa ia pejuang politik dan gerakan Islam generasi kedua dengan pendekatan baru yang berbeza dan lebih segar berbanding generasi pertama politik Islam di bawah PAS sebelum ini. Pengarah strategi Amanah, Dr Dzulkefly Ahmad berkata, generasi kedua gerakan Islam adalah gambaran paling tepat yang boleh diberikan bagi mencerminkan imej Islam yang dibawa Amanah, membezakannya dengan PAS. "Generasi kami mengambil pendekatan maqasid syariah, sedangkan generasi sebelum kami mengambil pendekatan melaksanakan syariah secara langsung, seperti berjuang melaksanakan hudud secara langsung," katanya kepada The Malaysian Insider. Beliau menamakan An Nahdah di Tunisia, AKP di Turki dan PKS di Indonesia sebagai antara generasi kedua gerakan dan parti Islam yang ada di dunia ini sebagaimana kedudukan Amanah di Malaysia. "Generasi kedua gerakan Islam pasca penjajahan ini lebih memberikan tumpuan kepada keadilan Islam dan 'good governance' kepada sebuah kerajaan yang ditadbirnya." Amanah turut meletakkan diri mereka sebagai sebuah parti berimejkan Islam sepertimana PAS. Namun, ramai yang bertanya, apakah beza antara PAS dan Amanah. Sementara itu, seorang lagi pemimpin Amanah, Dr Mohd Hatta Ramli (gambar) berkata, perjuangan untuk Islam yang lebih segar dan inklusif dimulakan mereka sejak dalam PAS lagi, namun terhalang. Pengarah pilihan raya Amanah itu mendakwa, kumpulan merekalah, terdiri dari golongan pemimpin progresif dan profesional PAS sebelum ini, yang banyak berusaha mendekatkan diri dengan pihak luar dari PAS di negara ini. "'PAS for all', menyertai dan memperkasakan Pakatan Rakyat, menubuhkan Dewan Himpunan Bukan Islam dan lain-lain, adalah usaha yang kami lakukan," kata Dr Hatta di majlis dialog Amanah dengan profesional di Kota Baru baru-baru ini. Pemimpin PAS berpecah dua dalam muktamarnya Jun lalu apabila golongan profesional dalam parti Islam itu tersingkir akibat tewas pada pemilihan parti. Selepas tewas, mereka yang dikenali dengan G-18, kemudiannya menubuhkan Gerakan Harapan Baru dan kini, Amanah. |
DAP TANDING 8 KERUSI DI SELANGOR ELAK JATUH KE TANGAN BN Posted: 07 Nov 2015 01:42 AM PST DAP tanding 8 kerusi di Selangor elak jatuh ke tangan BNPengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (AMANAH) Khalid Samad menolak hujah bahawa rancangan DAP untuk bertanding di lapan kerusi PAS di Selangor mencerminkan kurangnya keyakinan terhadap rakan komponen baru mereka. Sebaliknya, Ahli Parlimen Shah Alam itu berkata DAP telah hilang keyakinan sama sekali terhadap kemampuan PAS. Khalid berkata demikian bagi mengulas kenyataan Pengarah Pilihan Raya PAS Datuk Mustafa Ali yang mendakwa DAP berbuat demikian kerana tidak yakin bahawa parti serpihan PAS AMANAH mampu mempertahankan kerusi berkenaan. "Kalau ingin menilai kenyataan DAP secara serius, saya tidak akan mengatakan bahawa ia menunjukkan kurangnya keyakinan DAP terhadap kemampuan AMANAH. Sebaliknya saya akan katakan bahawa DAP telah hilang keyakinan sama sekali terhadap kemampuan PAS! "Ini adalah kerana semua kerusi yang disebut adalah kerusi yang telah dimenangi PAS pada 2013. Tetapi DAP sekarang menganggap bahawa PAS tidak lagi mampu mempertahankan kerusi-kerusi berkenaan. "Ini adalah kerana DAP melihat bahawa PAS, melalui kenyataan dan pendiriannya yang mutakhir, telah kehilangan undi dan sokongan bukan Melayu," katanya dalam tulisannya di blog AMANAH. Beliau juga mengingatkan PAS tentang apa yang berlaku pada pilihan raya umum ke-11 pada tahun 2004, di mana parti itu tewas di semua kerusi DUN yang ditandingi di Selangor. "Sikap bersendirian PAS hari ini, memungkinkan kembali senario 2004, di mana PAS dan DAP tidak ada persefahaman dalam pilihanraya. "Oleh itu, sekiranya PAS yang bertanding pada PRU 14, DAP yakin bahawa kerusi-kerusi ini akan jatuh pada BN. "Untuk elak ia dari berlaku, maka DAP menawarkan dirinya sebagai parti yang akan bertanding di kerusi-kerusi tersebut. Itu pun disebut, sekiranya dipersetujui Pakatan Harapan," katanya. Minggu lalu, Ketua DAP Selangor Tony Pua mendedahkan bahawa parti itu mula menggerakkan jentera sebagai asas untuk bertanding di lapan kerusi negeri. "Ini adalah lapan kerusi yang kita percaya DAP mempunyai pengaruh besar dan boleh menang," kata beliau sambil menambah bahawa perkara itu akan dibincangkan bersama di kalangan parti-parti Pakatan. Lapan kerusi yang disasarkan DAP itu adalah Taman Templer, Lembah Jaya, Paya Jeras, Sri Serdang, Meru, Cempaka, Dusun Tua dan Tanjung Sepat. |
You are subscribed to email updates from WARTAWAN RASMI LAMAN REFORMASI. To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 1600 Amphitheatre Parkway, Mountain View, CA 94043, United States |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan