Khamis, 5 November 2015

Kerabu Bersuara ®

Kerabu Bersuara ®


Tuan Ibrahim: PAS tetap lawan Umno. Susah Nak Faham?

Posted: 05 Nov 2015 08:07 AM PST

Matlamat perjuangan PAS ialah memperjuangkan sebuah negara yang terlaksana di dalamnya nilai hidup Islam. Inilah matlamat sebagaimana yang dinyatakan dalam perlembagaan PAS. Maka apa jua gerakerja PAS ialah bagi mencapai hasrat tersebut.

Di atas asas inilah, PAS menyertai pilihannya kerana dengan kekuasaan akan memudahkan pelaksanaan segala sistem dan dasar yang menepati matlamat tersebut.

Di atas dasar itulah juga, PAS menubuhkan PASTI, kerja Amal dan pelbagai program parti. Semuanya usaha dan jihad bagi menegakkan agama Allah di atas muka bumi. Di atas inilah PAS berusaha membuang Umno daripada tampuk pemerintahan kerana kerosakan yang dibawanya dan juga budaya rasuah yang sudah berakar tunjang di setiap pelusuk pentadbiran negara.

Di samping menyertai pilihan raya, PAS juga membantah melalui demonstrasi, menyerahkan memorandum, mengadakan dialog dan berhujah samada di dalam dan luar parlimen dan dewan undangan negeri. Maka inilah kaedah berpolitik dalam Islam. Ketika perang, kita berperang dengan beradab - tempat ibadah, wanita dan kanak-kanak tetap dijaga. Pada waktu kita tidak berperang, kita menggunakan kaedah lain termasuklah mendesak, menasihat, berdemonstrasi dan juga berhujah. Ini kerana Islam di bina di atas asas nasihat sebagaimana yang dinyatakan oleh Rasulullah:
أُبَلِّغُكُمْ رِسَالَاتِ رَبِّي وَأَنَا لَكُمْ نَاصِحٌ أَمِينٌ
"(Tugasku) menyampaikan kepada kamu akan perintah-perintah (yang diutuskan oleh) Tuhanku, dan aku adalah pemberi nasihat yang amanah, bagi kamu." (QS al-A'raf: 68).
عن تميم بن أوس رضي الله عنه ، أن النبي صلى الله عليه وسلم قال : ( الدين النصيحة ، قلنا : لمن يا رسول الله ؟ قال : لله ، ولكتابه ، ولرسوله ، ولأئمة المسلمين وعامتهم ) رواه البخاري ومسلم
Dari Tamim bin Aus radialLah anhu: Sesungguhnya Rasulullah shallallahu`alaihi wa sallam bersabda: Agama adalah nasihat, kami berkata: Kepada siapa? Beliau bersabda: Kepada Allah, kitab-Nya, Rasul-Nya dan kepada pemimpan kaum muslimin dan rakyatnya. (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Menasihat boleh dalam bentuk menegur tindakan kerajaan yang bertentangan dengan syarak atau mengemukakan cadangan penyelesaian dari kaca mata Islam. Ini adalah sebahagian dari tanggungjawab yang telah dijalankan oleh hampir semua parti politik.

Nasihat dan teguran yang berpandukan al-Quran Hadis dan pandangan para ulamak adalah sebahagian dari tanggungjawab syarak yang ditegaskan oleh Rasulullah SAW. Maka bilamana Presiden menjelaskan PAS akan terus menasihati kerajaan ia bukanlah sesuatu yang asing dalam sistem politik Islam. Perkataan nasihat sebenarnya satu adab rendah diri keperibadian Presiden sebagai salah seorang ulama terkemuka di dunia. Beliau tidak meletak darjat dirinya lebih tinggi daripada orang lain.

Apa yang lebih penting ialah matlamat perjuangan bagi menegakkan sebuah masyarakat yang terlaksana nilai-nilai Islam dapat dicapai melalui apa jua kaedah yang tidak bercanggah dengan syariat Islam.
Inilah yang ditegaskan berulang-ulang kali oleh Al Marhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat bahawa kalau Umno mengubah dasar perjuangan dari kebangsaan kepada Islam, maka kita akan sanggup bubar PAS. Ini bermakna dalam perjuangan PAS, soal mendapatkan kekuasaan tidak menjadi matlamat, ia hanya alat bagi mencapai matlamat bagi pembentukan negara Islam.
Maka, PAS akan terus istiqamah di atas prinsip menyertai pilihanraya bagi menjadikan kekuasaan sebagai wasilah bagi menegakkan syariat islam, dan di waktu yang sama PAS akan terus menegur, menasihati dan mempelbagaikan wadah bagi menyelamatkan negara dan ummah dari kemurkaan Allah dan kebobrokan sistem urus tadbir negara.

PAS bertembung dengan Umno hampir 70 kerusi. Hanya 20 kerusi yang berjaya dimiliki PAS dan 6 daripada itu kini beralih ke Amanah. Jika benar Umno dan PAS berniat mengadakan kerjasama politik, berapa kerusi daripada 50 kerusi Umno yang menang itu akan dibahagikan kepada PAS? PAS sudah tentu tidak akan melepaskan mana-mana kerusi yang pernah dimenanginya.

Oleh itu cukup-cukuplah dengan fitnah PAS mahu bersama Umno.

Dalam pada itu, sebagaimana yang pernah saya tegaskan, PAS tetap percaya Bajet 2016 adalah pembuka laluan kepada kadar GST yang lebih tinggi pada bajet-bajet akan datang. Tapi, PAS juga menerima hakikat PRU14 masih jauh. PAS mengambil sikap berkecuali dalam mengundi tidak percaya pada Bajet 2016 kerana ada elemen di dalam bajet itu yang diperlukan oleh rakyat marhaen yang kian susah kehidupan mereka. Mereka tidak perlu menjadi mangsa politik dalam keadaan ekonomi tidak menentu, kredibiliti negara terus dipersoal kerana skandal kewangan 1MDB dan juga Perdana Menteri dan juga pembangkang yang masih jauh dari mencapai kata sepakat.

PAS tidak mahu menghantar mesej bahawa kami membantah gaji kakitangan dan pencen pegawai kerajaan dinaikkan dan begitu juga bonus yang diharapkan mereka untuk mengurangkan beban masa ini yang terdapat di dalam Bajet 2016. Begitu juga hasrat golongan berpendapatan rendah yang kini boleh menikmati gaji minima dan manfaat yang bakal diperoleh warga penoreh getah dan Felda melalui Bajet 2016. PAS tidak bersetuju dengan BR1M, tapi pada masa yang sama, PAS dan pembangkang lain tiada kuasa untuk menghalang kenaikan tol dan sebagainya meskipun ia di negeri yang ditadbir pembangkang dan rakyat yang kesempitan memerlukan bantuan ini sehinggalah ada alternatif yang lain di PRU14 nanti.
Dan sekiranya pembangkang mendapat cukup sokongan untuk menang usul tidak percaya pada Bajet 2016, apakah yang akan berlaku selepas itu? Pengalaman Amerika Syarikat bilamana berlaku "goverment shutdown" , selepas bajet Obama ditolak sehingga menyusahkan rakyat serta kakitangan kerajaannya - namun Obama terus berkuasa.

"Government shutdown" menyebabkan 800 ribu kakitangan kerajaan persekutuan di Amerika Syarikat terpaksa mengambil cuti sementara manakala 1.3 juta lagi terpaksa lapor diri ke tempat kerja tanpa diberitahu bila gaji mereka akan dibayar. Akhirnya, rakyat Amerika menyalahkan pembangkang.

Oleh itu, sekiranya bajet berjaya ditolak, ia hanya memeritkan urusan harian rakyat tergantung termasuk gaji kakitangannya yang tidak boleh dibayar akibat tindakan itu, akan tetapi langsung tidak mengancam kedudukan Perdana Menteri mahupun BN yang menjadi fokus untuk ditumbangkan kerana tidak amanah. Percayalah Najib tetap tidak akan meletakkan jawatan walaupun bajetnya ditolak.

Keadaan ini berbeza dengan usul undi tidak percaya kepada perdana menteri. Kerana PAS telah mengambil pendirian menyokongnya sekiranya ia dibawa untuk dibahas di Parlimen.

Tuan Ibrahim Tuan Man
Timbalan Presiden PAS
5 November 2015.

Kenyataan Media oleh Arul Kanda Presiden & Pengarah Eksekutif Kumpulan 1Malaysia Development Berhad

Posted: 05 Nov 2015 02:57 AM PST

Kenyataan Media oleh Arul Kanda
Presiden & Pengarah Eksekutif Kumpulan 1Malaysia Development Berhad

5 November 2015

Integriti PAC mesti dihormati

Saya merujuk kepada perintah oleh Speaker Dewan Rakyat YB Tan Sri Pandikar Amin Mulia terhadap cabaran YB Tony Pua untuk berdebat dengan saya di televisyen secara langsung. Saya sangat menghormati Speaker dan kebijaksanaan beliau dalam menjaga integriti Dewan yang mulia itu dan prosiding PAC.

YB Tony Pua telah mencabar saya untuk berdebat di televisyen secara langsung pada 29 Oktober 2015. Pada hari yang sama, saya telah menerima cabaran YB Tony Pua dengan satu syarat – "Demi mengekalkan integriti siasatan PAC, dan untuk mengelakkan sebarang konflik berkepentingan, YB Tony Pua mesti meletakkan jawatan terlebih dahulu daripada PAC". Apabila YB Tony Pua tidak mempunyai keberanian untuk melakukan perkara yang betul dan meletakkan jawatan daripada PAC, pada 31 Oktober 2015, saya telah menarik balik syarat tersebut. Saya telah menerima cabaran beliau tanpa sebarang syarat memandangkan YB Tony Pua telah membuat pelbagai dakwaan yang salah terhadap 1MDB dan saya sendiri, jadi saya mahu berdebat secara terbuka dan membetulkannya.

Sekarang YB Tony Pua telah mengesahkan bahawa beliau tidak akan meletakkan jawatan dari PAC dan beliau tidak akan berdebat dengan saya. Beliau telah memilih untuk bersembunyi di sebalik keahliannya dalam PAC untuk lari daripada pertarungan yang beliau secara agresifnya menganggu saya untuk menerima, di mana saya telah bersetuju tanpa sebarang syarat.

Berdasarkan pengalaman lepas, saya syaki cabaran Tony Pua lebih berunsurkan politik daripada keinginannya untuk mendedahkan kebenaran. Sebagai Ahli Parlimen untuk dua penggal, sepatutnya beliau sudah arif dengan prosedur Parlimen dan tahu bahawa debat itu tidak akan berlaku.

Saya ambil tahu bahawa gabungan Tony Pua telah menawarkan Rafizi Ramli sebagai pengganti berdebat. Soalan yang paling jelas adalah mengapa tidak YB Rafizi menggantikan YB Tony Pua dalam PAC supaya Tony Pua boleh berdebat dengan saya? YB Tony Pua yang telah mencabar saya. Beliau menjadikannya sesuatu yang peribadi, dan menggunakan kata-kata mengejek seperti "saya tidak akan menumbuk beliau", "dakwaan saya", "memalukan saya" dan sebagainya.

YB Tony Pua yang telah mengeluarkan cabaran untuk berdebat dan saya menerimanya tanpa sebarang syarat. Tidak pernah ada sebarang soalan berkaitan debat dengan Pakatan Harapan, tetapi sekarang muncul secara tiba-tiba, dalam keadaan terdesak dan saat-saat akhir, untuk menyelamatkan YB Tony Pua daripada malu. Ini semua jelas permainan politik, di mana saya sebagai seorang professional, tidak akan ditarik bersama.

Saya menghormati YB Rafizi Ramli sebagai pencabar yang layak. Beliau adalah seorang pendebat yang baik dan penuh sifat kelelakian. Saya amat suka zaman berdebat dengan beliau semasa zaman muda kami dahulu. Walaubagaimanapun, Speaker memegang kuasa mutlak bagi semua perkara berkaitan Parlimen. Beliau telah mengeluarkan perintah ke atas tanggungjawab saya sebagai saksi PAC dan sebarang debat hanya boleh diadakan selepas pendengaran kes PAC.

Untuk 10 soalan yang didakwa akan dibangkitkan oleh YB Tony Pua semasa debat, saya dengan ini mengesahkan bahawa 1MDB akan memberi respon untuk kesemua soalan,pada masa dan dalam forum yang sesuai, termasuk pihak berkuasa yang sah seperti PAC.

1MDB menegaskan kesediaan kami untuk berdepan dengan PAC. Pada masa yang sama, saya dan kumpulan akan kekal focus dan komited untuk melaksanakan pelan rasionalisasi 1MDB.

Arul Kanda,
Presiden & Pengarah Eksekutif Kumpulan 1MDB.

Tiada ulasan: