Ahad, 8 November 2015

Kelab Greenboc

Kelab Greenboc


DAP Sokong AMANAH Tanding Di Selangor Pada PRU14

Posted: 08 Nov 2015 01:32 AM PST

Persoalan Lapan Kerusi Selangor Yang Disebut DAP

Pada asalnya saya tidak berminat untuk mengeluarkan apa-apa reaksi kepada persoalan lapan kerusi DUN Selangor yang dimenangi PAS pada 2013 yang DAP sebut mereka ingin bertanding. Ini adalah kerana keputusan berhubung siapa akan bertanding dan sama ada Pakatan Harapan (PH) bertanding atau sebaliknya di mana-mana kerusi akan diputuskan bersama melalui mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan bila tiba masanya.



Buat masa ini, mesyuarat Majlis Presiden berhubung isu kerusi belum lagi diadakan. Oleh itu saya melihat kenyataan YB Tony Pua hanya sekadar tindak balas terhadap kenyataan PAS sebelum ini berhubung keinginan PAS untuk bertanding di kerusi-kerusi yang ditandingi DAP. Oleh itu saya melihatnya sebagai isu yang tidak memerlukan respons.

Malangnya PAS kelihatan agak runsing terhadap kenyataan ini dan telah mengeluarkan pelbagai kenyataan balas terhadapnya. Sedangkan ianya sesuatu yang pramatang atau terlalu awal untuk dibicarakan.

DAP tidak yakin dengan AMANAH atau PAS?

Antara respons dari PAS adalah kenyataan Datuk Mustafa Ali di mana beliau menyebut ianya adalah bukti bahawa DAP tidak yakin dengan kemampuan Parti AMANAH. Oleh itu DAP akan bertanding di kerusi-kerusi itu dan bukan AMANAH.

Kalau ingin menilai kenyataan DAP secara serius, saya tidak akan mengatakan bahawa ianya menunjukkan kurangnya keyakinan DAP terhadap kemampuan AMANAH. Sebaliknya saya akan katakan bahawa DAP telah hilang keyakinan sama sekali terhadap kemampuan PAS!

Ini adalah kerana kesemua kerusi yang disebut adalah kerusi yang telah dimenangi PAS pada 2013. Tetapi DAP sekarang menganggap bahawa PAS tidak lagi mampu mempertahankan kerusi-kerusi berkenaan. Ini adalah kerana DAP melihat bahawa PAS, melalui kenyataan dan pendiriannya yang mutakhir, telah kehilangan undi dan sokongan bukan Melayu.

Ingatan umum kepada kedudukan PAS yang kalah semua kerusi DUN Selangor yang mereka tandingi pada PRU ke-11 (2004) sangat releven. Sikap bersendirian PAS hari ini, memungkinkan kembali senario 2004, di mana PAS dan DAP tidak ada persefahaman dalam pilihanraya. Oleh itu, sekiranya PAS yang bertanding pada PRU 14, DAP yakin bahawa kerusi-kerusi ini akan jatuh pada BN. Untuk elak ianya dari berlaku, maka DAP menawarkan dirinya sebagai parti yang akan bertanding di kerusi-kerusi tersebut. Itu pun disebut, sekiranya dipersetujui Pakatan Harapan.

Faktor Kemenangan PRU 2013

Bagi saya, kenyataan DAP sekadar tindak balas terhadap kenyataan PAS. Ianya bertujuan untuk mengingatkan PAS bahawa kemenangan mereka di kerusi-kerusi tersebut telah banyak dibantu pengundi bukan Melayu. Pengundi bukan Melayu pula telah mengundi PAS, antara lain adalah atas sebab keberadaan PAS dalam Pakatan Rakyat (PR) bersama DAP dan PKR. Mungkin dilihat bahawa PAS seolah-olah telah lupa hakikat ini maka perlu diingatkan.

Dalam menghadapi PRU ke 14, sudah pasti PH akan berusaha untuk memenangi kembali semua kerusi-kerusi yang telah dahulunya dimenangi Pakatan Rakyat. Kerusi yang dimenangi PR merupakan tumpuan PH oleh kerana pengundi di kawasan tersebut telah menzahirkan keinginan mereka untuk diperintah oleh gabungan PKR, DAP dan dahulunya, PAS. Walaupun sekarang ini PR sudah terkubur, tetapi semangat dan wawasan yang sama dibawa oleh PH.

Dalam keadaan yang sedia ada, AMANAH berkeyakinan bahawa parti ini adalah yang paling berpotensi untuk mencapai kemenangan di kawasan-kawasan berkenaan apabila mewakili Pakatan Harapan. Ini adalah kerana AMANAH merupakan sebuah parti Islam sepertimana juga PAS tetapi bersikap lebih inklusif dan jujur terhadap konsep berpakat dan berkerjasama dengan rakan-rakan dalam Pakatan Harapan. Dengan itu sokongan Melayu dan bukan Melayu insyaAllah mampu diperolehi AMANAH demi menjamin kemenangan.

Respon lain

Ada juga antara penulis dan blogger pro-PAS yang memberi amaran bahawa DAP sudah ingin menguasai Selangor. Bahawa dengan 15 kerusi yang sediada dan 8 lagi yang diinginkan maka DAP akan mendapat 23 kerusi dan dengan itu mempunyai jumlah terbesar dalam Pakatan Harapan. Kebetulan pula Dr. Aziz Bari menyebut bahawa tidak salah di sudut undang-undang untuk bukan Melayu menjadi Menteri Besar Negeri Selangor. Maka dijaja teori mereka ini untuk menyeru pengundi Melayu untuk bersatu "menentang usaha DAP (Cina) menguasai Selangor".

Saya hairan dengan sikap yakin terhadap kemampuan DAP untuk memenangi 8 kerusi yang disebutkan mereka. Tak sangka bahawa penulis-penulis pro-PAS tidak yakin dengan kemampuan PAS mempertahankan 8 kerusi tersebut dari "dirampas DAP". Secara tidak sedar mereka memperakui kewajaran hilangnya keyakinan DAP terhadap kemampuan PAS menang kembali kerusi-kerusi berkenaan.

Saya syorkan supaya mereka tidak terlalu khuatir terhadap persoalan ini. Ianya hanya acahan DAP maka tidak perlu melatah atau melenting. Begitu juga saya syorkan supaya mereka hentikan diri mereka dari terus menjadi agen UMNO BN, mengibar panji-panji perkauman serta menyubur perasaan takut terhadap sesama rakyat. Cukuplah dengan UMNO BN sebagai agen provokator dalam persoalan perkauman dan penyubur perasaan takut masyarakat Melayu.

Saya ulangi bahawa persoalan kerusi belum lagi dibincang maka bertenanglah. Apabila ianya dibincang, sudah pasti AMANAH akan menuntut untuk bertanding di mana PAS telah bertanding sekiranya PAS tetap tidak bersama PH dan tiada persefahaman pilihan raya atau "electoral pact" antara PAS dan PH.

Kesimpulan

Persoalan kerusi akan dimuktamadkan melalui proses perbincangan dan musyawarah di antara parti-parti PH. Namun bagi kerusi-kerusi yang pernah ditandingi dan dimenangi PAS, AMANAH adalah dalam posisi yang terbaik untuk mewakili Pakatan Harapan kerana sokongan merentasi kaum masih dikecapi parti ini. Buat masa ini yang terpenting ialah membina kekuatan AMANAH dan Pakatan Harapan di seluruh Negara. Melalui ini BN akan dapat dikalahkan pada PRU ke-14.

Harapan kami adalah semoga kesemua parti pembangkang akan bersatu di bawah PH atau paling tidaknya bagi PAS dan parti pembangkang lain mewujudkan persefahaman pilhan raya atau 'electoral understanding' dengan PH. Ini akan memudahkan perlaksanaan kaedah 'satu lawan satu' di semua kerusi bagi menumbangkan kerajaan Umno-BN yang telah banyak melakukan kerosakan dan membebankan rakyat di negara ini. Usaha menjatuhkan BN harus dijadikan fokus utama kita.

WaLlahu 'Alam

Khalid Samad
Pengarah Komunikasi
Parti Amanah Negara


DAP Akan Sokong Parti Amanah PRU 14 – Tony Pua

DAP akan memberi sokongan penuh kepada Parti Amanah Negara sekiranya PAS bertanding dalam mana-mana kerusi di Selangor pada Pilihan Raya Umum ke-14, kata Pengerusi DAP negeri, Tony Pua.

Ini kerana PAS bukan satu sekutu DAP dalam Pakatan Harapan, berbanding dengan Amanah dan PKR.

Pua turut memberi jaminan bahawa DAP tidak akan sesekali mengkhianati rakan sekutu mereka dalam Pakatan Harapan, PKR dan Amanah sepertimana yang dilakukan PAS pada PRU 13.

"DAP tidak akan tikam belakang seperti PAS yang meletakkan calon untuk kerusi Kota Damansara yang merupakan milik PKR," kata Pua dalam ucapannya di konvensyen DAP Selangor pada Ahad.

Tambahnya, kerana pertandingan tiga penjuru di DUN Kota Damansara itu, akhirnya UMNO yang memenangi kerusi berkenaan.

Pada Jumaat, Pua dalam kenyataan kepada KiniTV berkata DAP sudah bersedia untuk merampas kembali lapan kerusi yang sebelum ini milik PAS.

Lapan kerusi itu adalah Taman Templer, Lembah Jaya, Paya Jaras, Seri Serdang, Meru, Chempaka, Dusun Tua dan Tanjong Sepat.

"Kita, DAP telah membuat persediaan untuk bertanding di beberapa kerusi DUN yang dipegang oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PAS sebelum ini.

"Kerusi-kerusi ini termasuklah DUN Taman Templer, Lembah Jaya, Paya Jaras, Seri Serdang, Meru, Chempaka, Dusun Tua dan Tanjong Sepat,"kata Pua.

Tambah Pua, keputusan rasmi berkenaan pertandingan itu akan dibincangkan dalam mesyuarat Pakatan Harapan Selangor.

Kenyataan terbaharu DAP itu dilihat sebagai usaha parti itu untuk menyingkir pengaruh PAS dalam kerajaan Negeri Selangor.

Sehingga kini, DAP merupakan parti yang paling dominan dalam Kerajaan Negeri Selangor dengan memiliki 15 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), berbanding dengan PKR 13, PAS 13,Amanah 2, BN 12 dan Bebas 1.

Pada PRU 13, PAS memenangi 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, bagaimana pun parti Islam itu kehilangan dua kerusi apabila ADUN Hulu Kelang, YB Saari Sungip dan ADUN Morib, Hasnul Baharudin keluar parti untuk menyertai Parti Amanah.

PAS menang selesa di lima DUN yang pola pengundi Cina di antara 10% hingga 26% iaitu Sabak, Gombak Setia, Bangi, Selat Klang dan Sijangkang

Lima DUN milik PAS itu bukan merupakan target DAP sebagaimana yang dinyatakan Pua pada Jumaat lalu.

Sebaliknya, Pua mensasarkan lapan kerusi milik PAS yang mempunyai pola pengundi Cina di antara 27% hingga 35% iaitu Taman Templer, Lembah Jaya, Paya Jaras, Seri Serdang, Meru, Chempaka, Dusun Tua dan Tanjong Sepat.

Abdul Rahman Abdul Talib berkata berkemungkinan besar tindakan DAP mensasarkan lapan kerusi milik PAS itu bertujuan untuk memberi laluan kepada Parti Amanah.

"Hakikatnya dalam tiga penjuru DAP boleh tawan semua kerusi PAS di Selangor.

"Tapi rasanya DAP akan serah kerusi tu semua pada Amanah,"katanya yang merupakan aktivis Parti Amanah Selangor dalam satu kenyataan di Facebook. -AIDC


Husam Tetap Pertahan Dakwaannya & Bertanggungjawab Dunia Akhirat...

Posted: 07 Nov 2015 10:45 PM PST

Husam: Saya atau Pas yang berubah?

KUALA LUMPUR - Bekas Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa dalam satu kenyataan hari ini berkata, perjuangannya dalam Pas tetap seperti dahulu.

Sebaliknya Husam yang merupakan Adun Salor itu berkata, Pas pula yang dilihatnya berubah kerana baginya Pas yang sekarang bukan sepertimana Pas yang asal.

"Hari ini, Presiden Pas dijemput oleh MB Terengganu untuk menjadi 'penasihat' ekoran kenyataan beliau: 'Kerjasama politik kita tak masuk kerajaan...' terbitan (Sinar Harian, 1 November 2015). 'Parti sedia bantu BN beri nasihat licinkan pentadbiran: Hadi' terbitan (Sinar Harian, tarikh sama).



"Sebagai ahli Pas berjawatan Yang di Pertua Kawasan, saya sememangnya keliru dengan semua kenyataan presiden saya kebelakangan ini. Cukup saya balikkan pertanyaan Ahmad Amzad Hashim, Pengarah Jabatan Penerangan Pas Pusat: Saya berubah atau Pas berubah?.

"Semua kenyataan ini menggambarkan seakan presiden bebas sebebasnya membuat apa jua kenyataan yang bersifat dasar dan pendirian Pas tanpa melalui proses mesyuarat yang sewajarnya atau mengambil kira pandangan dan perasaan ahli peringkat akar umbi," katanya menerusi kenyataan hari ini.

Tambah Husam, kenyataan itu beliau dalilkan berdasarkan respon Pas Selangor menerusi kenyataan Pesuruhjayanya yang menolak hubungan dengan Perkasa, hampir sebaik sahaja foto Presiden Perkasa memeluk Presiden Pas menjadi viral.

"Jika tindakan Presiden menjalin hubungan dengan Perkasa telah diputuskan dalam mesyuarat Pas Pusat, tentulah Pas Selangor tidak akan mengeluarkan komen menentang arus itu.

"Ini semua menunjukkan kelainan Pas kini berbanding dulu.

"Pas dulu menentang perjuangan berbentuk assabiyyah atau perkauman melampau. Kini?," soalnya.

Dalam pada itu, Husam berkata, ‎berbalik kepada beberapa isu pentadbiran Kerajaan Kelantan yang beliau bangkitkan misalnya isu pengurusan hutan yang pruden, bukanlah isu baharu.

"Jika Jabatan Penerangan Pas cekap dan adil, mereka tentunya ingat ucapan-ucapan saya di Parlimen mengenai pembalakan, pemanasan global dan isu alam sekitar yang lain.

"Ia sudah sebati dengan saya dan satu dari komitmen peribadi saya. Sebagai organ penerangan parti, sudahkah Jabatan Penerangan Pas membelek apa janji Pas selama ini dalam setiap manifesto nasional dan negeri?

"Sudahkan mereka mengkaji angka-angka yang terlibat, seperti keluasan tebangan habis hutan simpan? Jika tidak, saya berubah atau Pas berubah?," soalnya lagi.

Mengulas mengenai isu Pas yang didakwa berhasrat membentuk kerajaan bersama Umno di Selangor, Husam menegaskan, fakta bahawa Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengakui beliau mengusahakan kerjasama politik itu ketika krisis MB Selangor tahun lalu tidak boleh diketepikan dengan alasan-alasan.

"Antara 'ya' dan 'tidak' sahaja yang diperlukan. Adakah 'ya' atau 'tidak' Presiden Pas mengaku seperti itu bila dipersoalkan? Saya tahu, pendedahan ini akan mengundang risiko kepada saya.

"Saya sanggup menerima semua risiko berdasarkan: Apa yang saya sebutkan adalah benar‎. Saya mahu sandiwara yang telah menghancurkan parti selama ini dihentikan.

Saya ingin melaksanakan kewajipan saya memaklumkan kepada ahli dan masyarakat umum sandiwara belakang tabir yang telah berjalan sekian lama.

"Sehubungan itu, siaran di laman web rasmi Pas dengan tajuk 'Jawapan Fitnah Terhadap Presiden Pas' - saya harap dapat ditarik balik serta merta. Saya tegaskan di sini, saya tidak memfitnah sesiapa," ujarnya lagi.

Tegasnya lagi, kenyataan yang dibuat olehnya adalah benar dan beliau bertanggungjawab dunia akhirat.

"Saya sanggup mempertahankan kenyataan saya. ALLAH adalah saksi Maha Agung," katanya. -SH

KENYATAAN PENUH HUSAM

BERANI KERANA KASIH: SAYA BERUBAH ATAU PAS BERUBAH

I . ANDAI SAYA JADI PEGAWAI AKHBAR MB

Kenyataan Media

Kerajaan Kelantan yakin akan dapat menyelesaikan semua tunggakan dan isu-isu seperti berikut sebelum akhir tahun ini:

1. RM 14.6 juta tunggakan caruman guru YIK
2. RM 6.3 juta tunggakan bayaran kematian peserta skim Kifalah
3. Bayaran dividen peserta Ladang Rakyat bagi tahun 2015

Kerajaan juga sedang merangka pelan dan menyediakan dana yang mencukupi bagi menyiapkan semua baki rumah yang dihanyutkan oleh banjir pada akhir tahun lalu yang masih belum siap. Menjelang bayaran pertama kenaikan elaun Adun pada Januari 2016, InsyaAllah semua isu-isu lebih mendesak yang disenaraikan di atas telah dapat diselesaikan, kecuali pembinaan semula rumah untuk mangsa banjir memerlukan tempoh lebih lama kerana pembinaan sedikit terhalang semasa musim tengkujuh.

Pada masa yang sama, keperluan semasa yang menasabah bagi setiap wakil rakyat juga perlu diambil kira bagi membolehkan mereka dapat berkhidmat dengan jayanya.

Apa yang dibangkitlan oleh YB Adun Salor sememangnya telah pun dalam pertimbangan Kerajaan.

Oleh itu, isu kenaikan elaun Adun yang boleh menjejaskan tanggung jawab kerajaan yang lain yang lebih mendesak tidak berbangkit sama sekali dan tidak perlu diperdebatkan lagi.

Di Bawah pentadbiran YAB Ustaz Datok Ahmad bin Ya'kub sebagai Menteri Besar, Kerajaan Kelantan tetap sensitif terhadap semua permasalahan rakyat sesuai dengan dasar Membangun Bersama Islam.

Sekian. Terima kasih.

Pegawai Media
Menteri Besar Kelantan
4 November 2015

---------------

Di atas adalah contoh kenyataan media yang saya akan tuliskan berkait isu kenaikan elaun Adun Kelantan, jika saya adalah Pegawai Akhbar MB.

II. SAYA BERUBAH ATAU PAS BERUBAH?

Saya melihat - Pas yang berubah.

Kalau berkait dengan parti - saya tetap berpendirian - dalam politik Malaysia Pas perlu berusaha menjadi 'kepala' dan bukan 'ekor' membawa Islam sebagai teraju pentadbiran, polisi, pendekatan dan dasar negara.

Di Terengganu, negeri Presiden PAS, satu masa dulu berslogankan PGU - Pas Ganti Umno. (Di Kelantan, Tok Guru tak pernah bawa slogan ini tetapi PAS Alhamdulillah kekal mentadbir Kelantan hingga saat ini)

Hari ini, Presiden PAS dijemput oleh MB Terengganu untuk menjadi 'Penasihat' ekoran kenyataan beliau : 'Kerjasama politik kita tak masuk kerajaan...' (Sinar Harian, 1 November 2015). 'Parti sedia bantu BN beri nasihat licinkan pentadbiran: Hadi' ( Sinar Harian, tarikh sama)



'Kita mahu jadi pembangkang yang menasihat sekiranya kerajaan sanggup menukar dasar dengan konsep Islam kita bukan pelahap untuk rebut jawatan', katanya. (sumber sama)

'Hadi: Ada orang cemburu hubungan PAS-UMNO' - Sinar Harian, 6 Jun 2015.


Sebagai ahli Pas berjawatan YDP Kawasan, saya sememangnya keliru dengan semua kenyataan Presiden saya kebelakangan ini.

Saya tidak berhajat untuk memetik semua laporan berita kenyataan yang telah dibuat oleh Presiden saya.

Cukup saya balikkan pertanyaan Ahmad Amzad Hashim, Pengarah Jabatan Penerangan Pas Pusat: Saya berubah atau Pas berubah?

Semua kenyataan ini menggambarkan seakan Presiden bebas sebebasnya membuat apa jua kenyataan yang bersifat dasar dan pendirian Pas tanpa melalui proses mesyuarat yang sewajarnya atau mengambil kira pandangan dan perasaan ahli peringkat akar umbi.

Saya dalilkan berdasarkan respon Pas Selangor menerusi kenyataan Pesuruhjayanya yang menolak hubungan dengan Perkasa, hampir sebaik sahaja foto Presiden Perkasa memeluk Presiden Pas menjadi viral.

Jika tindakan Presiden menjalin hubungan dengan Perkasa telah diputuskan dalam mesyuarat Pas Pusat, tentulah PJ Selangor tidak akan mengeluarkan komen menentang arus itu.


Ini semua menunjukkan kelainan Pas kini berbanding dulu. Saya berubah atau Pas berubah?

Pas dulu menentang perjuangan berbentuk assabiyyah atau perkauman melampau. Kini?

UG adalah contoh lain.

Sekian lama, satu-satunya pemimpin Pas yang mendendangkan lagu UG adalah Presiden PAS sendiri.


Pertama, adakah gagasan ini pernah diluluskan dalam mana-mana muktamar PAS?

Jika tidak, kenapa?

Menjelang muktamar 2011, Presiden telah menarik balik gagasan ini secara terbuka.

Menjelang muktamar baru lalu pula, dalam ucapannya di Singapura, Presiden mengulangi cadangan pembentukan Kerajaan UG.


Adakah beliau memasukkan gagasan yang beliau kemukakan semula itu dalam ucapan dasar bagi Muktamar baru lalu?

Kenapa gagasan yang begitu besar itu tidak dibawa kepada mesyuarat parti/Muktamar?

Saya berubah atau Pas berubah?

Kedua, selepas bertahun-tahun gagasan itu dijual, adakah ia berjaya dan menjadi kenyataan?

Parti mana yang telah menyambutnya?

Jika tidak, bukankah lebih baik jika rundingan belakang tabir dilakukan terlebih dahulu sebelum dijual terbuka tetapi tiada langganan. Bukankah itu menjatuhkan reputasi Pas?

Jika rundingan belakang tabir hendak dilakukan, tidak cukup hanya Majlis Syura diberitahu mengenainya, tetapi mesti juga dimaklum dan diluluskan oleh Pas Pusat.

Seingat saya, rundingan sulit belakang tabir tidak pernah mendapat persetujuan Pas Pusat.

Termasuk apa yang diberitahu oleh Ustaz Nasharudin Mat Isa bahawa seawal April 2008, Majlis Syura telah bersetuju melantik wakil untuk berunding dengan parti-parti termasuk UMNO.

Keputusan itu tidak pernah dimaklum dan mendapat persetujuan Pas Pusat, pada hal isu seperti itu wajib mendapat persetujuan Pas Pusat selaku kuasa eksekutif parti.

Saya berubah atau Pas berubah?

Kalau konsep UG pun gagal tetapi telah menimbulkan pertelingkahan di kalangan ahli, apalah kaitannya secara salah cuba memalukan saya dengan isu lebuhraya, pembinaan stadium dan pengembangan ekonomi mikro menerusi penternakan kambing yang kesemuanya diluluskan oleh parti dan kerajaan secara sah?

Sesetengah pemerhati bahkan berpendapat, itu antara faktor penyumbang kemenangan Pas di Kelantan.

Apa penyelewengan saya dalam isu-isu itu, jika ada?

Adakah Jabatan Penerangan Pas penyambung fitnah dan adu domba UMNO?

Ketiga, apakah cadangan menjadi penasihat kerajaan adalah sambungan dari konsep UG yang tidak berjaya?

Saya tidak menuduh, tetapi parti perlu menguruskan isu ini. Inilah tugas Jabatan Penerangan. Menjelaskan kepada semua ahli dan kawasan-kaeasan di seluruh negara bagi mengelakkan kekeliruan dan menjadi persendaan.

Bukan menyerang saya. Secara serangan peribadi pula.

Kecuali Jabatan Penerangan pun ikut keliru.

Saya mungkin tersasar bila menyebut kemungkinan kedudukan sebagai penasihat itu bergaji penuh bertaraf menteri. Ia hasil dari ketiadaan penjelasan selepas sesuatu pendirian parti diumumkan.

Saya akui, itu adalah agak saya sahaja.

Nampaknya cadangan menjadi penasihat juga belum dirundingkan secara muktamad namun telah dihebohkan sedemikian rupa. Kalau ikut laporan media, rundingan dengan PM baru hendak dimulakan.

Andaikata ia sekali lagi gagal, jentera parti di peringkat akar umbi sudah bercakaran.

Adakah ini akan menguatkan Pas dalam PRU akan datang, khususnya di Kelantan?

Adakah awal-awal lagi kekalahan yang mungkin akan dialami oleh PAS di Kelantan kerana masalah yang dihadapi oleh PAS sekarang hendak dilonggokkan kepada saya?

Berbalik kepada beberapa isu pentadbiran Kerajaan Kelantan yang saya bangkitkan.

Isu pengurusan hutan yang pruden bukan isu baru yang saya bangkitkan.

Jika Jabatan Penerangan Pas cekap dan adil, mereka tentunya ingat ucapan-ucapan saya di Parlimen mengenai pembalakan, pemanasan global dan isu alam sekitar yang lain.

Ia sudah sebati dengan saya dan satu dari komitmen peribadi saya.

Sebagai organ penerangan parti, sudahkah Jabatan Penerangan Pas membelek apa janji Pas selama ini dalam setiap manifesto nasional dan negeri?

Sudahkan mereka mengkaji angka-angka yang terlibat, seperti keluasan tebangan habis hutan simpan?

Jika tidak, saya berubah atau Pas berubah?

III. MARI MAJLIS DIALOG SAYA 13 NOVEMBER

Dalam artikel yang sama oleh Pengarah Jabatan Penerangan Pas, saya ditanya 'Apa Husam mahu?'

Bagi mengetahui jawapannya, saya mempersilakan beliau hadhir dalam majlis dialog terbuka saya di Pasir Tumbuh pada 13 November ini.

Saya yakin, Jabatan Penerangan sudi membayar perbelanjaan perjalanan beliau ke Kelantan.

IV. PAS BENTUK KERAJAAN BERSAMA UMNO DI SELANGOR

Saya membaca kenyataan TITM di Malaysiakini bahawa tiada alasan untuk PAS bergabung dengan UMNO membentuk kerajaan di Selangor.


Sebagai seorang muslim yang wara' dan alim, semua pimpinan Pas tahu bahawa berbohong adalah amat ditegah oleh Islam.

Fakta bahawa Presiden PAS mengakui beliau mengusahakan kerjasama politik itu ketika krisis MB Selangor tahun lalu tidak boleh diketepikan dengan alasan-alasan.

Antara 'ya' dan 'tidak' sahaja yang diperlukan. Adakah 'ya' atau 'tidak' Presiden Pas mengaku seperti itu bila dipersoalkan?

Saya tahu, pendedahan ini akan mengundang risiko kepada saya.

Saya sanggup menerima semua risiko berdasarkan:

- Apa yang saya sebutkan adalah benar.
- Saya mahu sandiwara yang telah menghancurkan parti selama ini dihentikan.
- Saya ingin melaksanakan kewajipan saya memaklumkan kepada ahli dan masyarakat umum sandiwara belakang tabir yang telah berjalan sekian lama.

Sehubungan itu, siaran di laman web rasmi Pas dengan tajuk 'Jawapan Fitnah Terhadap Presiden PAS' - saya harap dapat ditarik balik serta merta.

Saya tegaskan di sini, saya tidak memfitnah sesiapa.

Kenyataan saya adalah benar dan saya bertanggungjawab dunia akhirat.

Saya sanggup mempertahankan kenyataan saya. Allah adalah saksi Maha Agung.


HUSAM MUSA
25 Muharram 1437
7 November 2015

Sisipan grafik oleh GB.


ULASAN GB

Pertama GB ingin mengucapkan SYABAS dan TAHNIAH kepada Datuk Husam Musa kerana tetap dan tegas dengan pendiriannya mendedahkan rancangan kerajaan perpaduan UMNO-PAS dicanangkan oleh Presiden PAS sekalipun dinafikan oleh pimpinan PAS sendiri.

GB mendapat tahu, seandainya Husam dipanggil untuk memberi keterangan oleh PAS Pusat, ramai bekas-bekas pimpinan PAS sedia tampil untuk menjadi saksi. Mereka hadir di dalam mesyuarat yang dipengerusikan oleh Presiden PAS sendiri yang dikatakan berlakunya kemelut diantara kumpulan profesyenal dengan Presiden PAS mengenai isu kerajaan perpaduan tersebut.

Sebelum ini GB telah ulas.

Nampaknya pimpinan dan ahli-ahli PAS bukan saja lintang pukang malah kini sedang menggelupur ekoran pendedahan Husam Musa di dalam ceramahnya di Kelantan kelmarin.

Masing-masng kini menggunakan segenap kekuatan yang ada untuk menafi, menghentam malah memfitnah Husam lantaran terkejut dan terkujat dengan pendedahan Husam itu.

GB suka jika Husam dipanggil oleh PAS. GB kira Husam tidaklah gentar untuk menghadapinya kerana ia peluang untuk Husam mendedahkan lebih banyak menegenai isu Kerajaan Perpaduan.

Sesuatu yang aneh ialah pendedahan Husam ialah mengenai langkah Haji Hadi yang berusaha untuk membuat kerajaan perpaduan dengan UMNO. Sepatutnya PAS merujuk kepada Haji Hadi untuk penjelasan dan kesahihan. Ini tidak, Husam yang diburu dan dihentam. Sama macam kerajaan UMNO BN, yang dilaporkan tak disiasat, tetapi orang melapor yang kena siasat kena dakwa.

Tiada ulasan: