Sabtu, 14 November 2015

Kelab Greenboc

Kelab Greenboc


[VIDEO & GAMBAR] Husam Di Dialog "Demo Tanya Ambo Jawab"

Posted: 14 Nov 2015 12:34 AM PST

Husam: Ketua Dewan Ulama PAS macam samseng

Bekas naib presiden PAS Datuk Husam Musa menegaskan beliau sama sekali tidak akan keluar daripada perjuangan parti itu.

Menjawab pertanyaan di program dialog "Demo Tanya Ambo Jawab" di Kota Bharu hari ini, Husam berkata, tiada sesiapa yang mempunyai hak untuk mengarahkan beliau supaya keluar PAS.


Husam yang juga ADUN Salor berkata, Dewan Ulama PAS juga tidak mempunyai hak untuk menyuruh beliau berbuat demikian.

"Demo sapo, kawe sapo? (kamu siapa, saya siapa) Ijtihad saya masih pilih duduk di dalam 'kapal' sebab kapal belum karam.

"Ketua Dewan Ulama PAS sama taraf dengan saya, PAS bukan milik dewan Ulama, bukan juga milik saya‎," kata Husam.

Mengulas kenyataan Ketua Dewan Ulama PAS Datuk Dr Mahfozd Mohamed, Husam mempersoalkan atas alasan apa beliau perlu keluar daripada perjuangan parti itu.

"‎Apa salah saya? Bagi nas, (ayat) al-Quran, hadis, ijmak dan qias, apa kesalahan saya? Ini sepatutnya cara Dewan Ulama berfikir.

"Ini serupa macam orang lain, macam orang samseng juga. Awak siapa? Kalau dia (Mahfodz) jawab, ana (saya) ketua Dewan Ulama, ana (pula) ketua PAS kawasan Kubang Kerian," tegas Husam.

Beliau memberitahu bahawa PAS Kubang Kerian antara kawasan terkuat di Malaysia.

"Saya yang patut halau orang. Sudah tiga DUN satu Parlimen bertanding, alhamdulillah menang.

"Ketika bertanding di Parlimen, selain Tun Dr Mahathir (Mohamad), saya (calon) Melayu yang mendapat m‎ajoriti tertinggi, patut saya halau dia," katanya.


Dalam program yang di hadiri kira-kira 2,000 orang itu, Husam tetap mempertahankan tegurannya terhadap PAS sebagai tidak salah.

"Kecuali nyatakan kesalahan saya. Adakah Islam dalam PAS ini menjadi kesalahan kalau menegur?"

"Jadi saya nak beritahu, saya tak akan keluar PAS," kata bekas exco kerajaan negeri Kelantan itu


Husam gesa bayar tunggakan guru YIK RM14.6 juta sebelum naik gaji Adun

Ahli Dewan Undangan Negeri Salor Datuk Husam Musa menggesa kerajaan negeri Kelantan melangsaikan tunggakan caruman gaji guru-guru Yayasan Islam Kelantan (YIK) sebelum menaikkan gaji ahli dewan undangan negeri (Adun).

Susulan kerajaan negeri awal bulan ini mengaku tidak membuat potongan gaji untuk caruman yang membabitkan sejumlah RM14.6 juta itu, Husam berkata, sebagai parti Islam, kerajaan PAS Kelantan tentunya faham akan keutamaan dalam mentadbir negeri.

"Bulan Mac (2016) nanti naiklah. Naik gaji sekarang ini hancur perasaan rakyat.

"Dulu kita kata parti kita lebih baik daripada Umno tetapi dalam Harakahdaily ada pula kata wakil rakyat kita akan 'sesak' (kurang duit) kalau tak naik gaji. Sesak setakat manalah sangat?," kata Husam malam tadi.

Menurut Husam, beliau bukanlah menolak kenaikan gaji wakil rakyat Kelantan yang merupakan rakan-rakannya juga.

Namun katanya, keutamaan dalam Islam yang sering ditekankan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengkehendaki tunggakan itu dilunaskan terlebih dahulu.

"Saya bukan tak mahu gaji anak beranak (rakan-rakan) saya naik, tetapi kita ada keutamaan kita.

"Tuan Guru (Abdul Hadi) dalam ucapan dia kata ada 'aulawiyat' (keutamaan) dalam Islam, bukan?" katanya pada sesi "Demo Tanya, Ambe Jawab" di Dewan Kelab Suara Muda, Kota Baru.

Tunggakan caruman guru-guru YIK sejak 2001 itu antara lain sepatutnya dimasukkan ke dalam Biro Angkasa, Bank Islam, Tabung Haji, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Koperasi Majlis Agama Islam Kelantan.

Setiausaha Akhbar Menteri Besar Kelantan, Mohd Asri Mat Daud dalam kenyataan di Harakahdaily sebelum ini berkata, kenaikan gaji Adun itu perlu diberikan keutamaan paling tinggi menurut hukum Islam.

Menurutnya, masalah tunggakan RM14 juta itu sudah berlarutan selama lebih 10 tahun dan kerajaan negeri sudah pun melangsaikan sebanyak RM2 juta daripada bayaran itu.
-TMI






Tiada ulasan: