Isnin, 30 November 2015

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


Kumpulan penentang dakwa kedaulatan Malaysia tergadai dengan TPPA

Posted: 30 Nov 2015 04:36 AM PST



Pengerusi Bantah TPPA Nizam Mahshar berkata, kedaulatan negara dalam bahaya jika Putrajaya meneruskan juga Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA). – Gambar The Malaysian Insider Afif Abd Halim, 30 November, 2015. 
Pengerusi Bantah TPPA Nizam Mahshar berkata, kedaulatan negara dalam bahaya jika Putrajaya meneruskan juga Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA). – Gambar The Malaysian Insider Afif Abd Halim.
 
 
Bantah TPPA menyifatkan perlindungan yang diberikan dalam Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) masih tidak mencukupi dan hanya lebih menjaga kepentingan pelabur asing. Pengerusi Bantah TPPA Nizam Mahshar berkata, kedaulatan negara dalam bahaya jika Putrajaya meneruskan juga perjanjian kontroversi itu
.

"Kita akan letak negara tidak dapat mempertahankan undang-undang sendiri dan kedaulatan kita direndahkan," kata Nizam semasa sesi pembentangan mengenai Bab Pelaburan dalam TPPA di Kuala Lumpur hari ini.

Dalam sesi pembentangan hari ini, Bantah TPPA mendedahkan beberapa kelemahan terdapat dalam Bab Pelaburan yang sudah selesai dibincangkan antara kerajaan Malaysia dengan Amerika Syarikat (AS). 
 
Kelemahan-kelemahan yang dikenal pasti itu bakal memberi implikasi teruk pada masa depan di mana kerajaan bakal berdepan tindakan diheret ke tribunal Penyelesaian Pertikaian Pelabur Negara (ISDS) jika melanggar syarat dalam TPPA.

Dalam isu aliran modal, kerajaan Malaysia tidak dibenarkan menggunakan polisi lain, sebagai contoh tidak boleh mengambil langkah pencegahan ketidakstabilan gelembung aset, kata Bantah TPPA.

"Perlu kita ingat semasa krisis kewangan 1997, kita mengambil langkah mengawal gelembung aset, tapi apabila kita menandatangani TPPA kita tidak boleh ambil langkah sedemikian," kata pengerusi bersama Bantah TPPA, Azlan Awang.

Lebih membimbangkan lagi apabila ISDS akan mengambil kuasa bank pusat dalam menentukan bila perlindungan ke atas kawalan modal dapat dilaksanakan.

Selain itu, beberapa perkara dalam Bab Pelaburan seperti isu bumiputera dan syarikat tembakau juga masih samar dan gagal melindungi kepentingan negara kerana masih terdapat ruang untuk kerajaan diheret ke tribunal.

Azlan berkata secara keseluruhannya, TPPA dilihat lebih menumpukan kepada kepentingan pelabur dan bukannya kedaulatan negara.

"TPPA ini dilihat lebih 'investor centric' (pentingkan pelabur), bukannya untuk membangunkan sesebuah negara," katanya.


Dr Mahathir ramal Umno kalah PRU14

Posted: 30 Nov 2015 04:33 AM PST

THE MALAYSIAN INSIDER

Bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata besar kemungkinan parti akan kalah dalam PRU14 seperti di Selangor dan Pulau Pinang. – Gambar The Malaysian Insider oleh Afif Abd Halim, 30 November, 2015. 
Bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata besar kemungkinan parti akan kalah dalam PRU14 seperti di Selangor dan Pulau Pinang. – Gambar The Malaysian Insider oleh Afif Abd Halim.
 
 
Kecenderungan Umno yang dilihat mendukung presiden Datuk Seri Najib Razak dan melupakan perjuangan agama, bangsa dan negara akan menyebabkan mereka kalah dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), ramal Tun Dr Mahathir Mohamad. 
 
 Bekas perdana menteri itu membuat ramalan dalam satu surat terbuka kepada pemimpin dan ahli akar umbi Umno yang disiarkan menerusi blog popularnya www.chedet.cc.

"Besar kemungkinan parti akan kalah dalam PRU14 seperti di Selangor dan Pulau Pinang. Barisan Nasional (BN) dan Umno akan menjadi parti pembangkang.

"Sebagai pembangkang tidak akan ada apa-apa yang boleh dibuat Umno untuk bangsa, negara dan agama," tulis bekas presiden Umno itu. 
 
 Beliau turut mengulangi gesaannya sebelum ini agar Umno menolak Najib jika mahu parti itu kekal memerintah negara selepas PRU14.

"Sebaliknya, jika Najib berhenti daripada menjadi presiden Umno dan perdana menteri, besar kemungkinan Umno akan pulih semula dan BN akan menang PRU 14.

"Dengan itu bangsa, negara dan agama akan lebih selamat. Negara akan maju semula dan semua rakyat akan dapat nikmat," katanya.

Gesaan ini merupakan siri terbaharu dalam asakan berterusan personaliti Umno yang tidak lagi sebulu dengan Najib.

Selain Dr Mahathir, Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Naib Presiden Datuk Seri Shafie Apdal yang disingkir Najib daripada Kabinet terus mengkritik pengurusan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) serta wang RM2.6 bilion dalam akaun Najib


Ibu Pejabat UMNO makin merepek

Posted: 30 Nov 2015 04:24 AM PST

 
Khairuddin Abu Hassan mendakwa Ibu Pejabat UMNO bertindak sesuka hati dan tidak mengikut Perlembagaan parti.dalam mengambil tindakan terhadap ahli.


khairusdin


PETALING JAYA: Ibu Pejabat UMNO dikatakan semakin merepek kerana membuat keputusan sewenang-wenangnya tanpa merujuk kepada Perlembagaan parti.

Bekas Naib Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan berkata, ibu Pejabat UMNO tidak menghormati serta tidak mengikut Perlembagaan untuk mengambil tindakan disiplin terhadap sesiapa saja yang tidak sehaluan dengan kepimpinan parti.

"Hakikatnya, Ibu Pejabat UMNO ingat parti ini milik bapa mereka kot?

"Sekiranya inilah sikap pemimpin-pemimpin tertinggi UMNO masa kini; yakinilah parti UMNO akan hanya menjadi sebuah pertubuhan kebajikan saja suatu hari nanti tanpa mendapat sokongan lagi dari akar umbi serta rakyat jelata.

"Ibu Pejabat UMNO kini suka bertindak mengikut selera ataupun citarasa mereka sendiri. Perlembagaan, praktis serta tradisi UMNO seringkali diketepikan," tulisnya di Facebook.

Khairuddin berkata, kejadian yang menimpa Tan Sri Muhyiddin Yassin apabila amalan praktis serta hak Timbalan Presiden UMNO untuk merasmikan Perhimpunan sayap-sayap parti telah disekat.

Katanya, majoriti ahli-ahli UMNO tidak puashati serta membuat protes secara senyap.

"Dalam apa jua keadaan sekalipun; puak-puak korup dan kaki bodek minda lemah otak udang ini bakal jatuh tersungkur. Hanya masa ketika saja yang bakal menentukannya.

"Lawan tetap lawan demi menegakkan kebenaran seperti mana yang dituntut oleh agama Islam. Pantang 'anak Melayu berundur sebelum lawan' tetapi dasar bacul anak Bugis saya tak tahulah," katanya.

Amanah tak mampu menang kerusi di Sarawak

Posted: 30 Nov 2015 04:22 AM PST

 
Sebagai parti baharu, Pas yakin Amanah sukar untuk memenangi sebarang kerusi dalam PRN Sarawak.


amanah


KUALA LUMPUR: Pas tidak percaya dan tidak yakin Parti Amanah Negara (Amanah) boleh menang kerusi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, ini kerana Amanah parti baharu dan belum layak untuk bertanding dalam PRN Sarawak.

Beliau merujuk kepada kenyataan Pengerusi Amanah, Mohamad Sabu yang dilaporkan berkata, parti itu akan melahirkan 'anak sulung' di Sarawak.

"Kita tengok mengandung ke tidak….Kita turun ke Sarawak dan Pas kita sudah bertanding banyak kali di Sarawak dan bukan mudah bagi satu parti baru untuk menang.

"Bagaimanapun bagi Pas kita akan bertanding kerusi-kerusi yang Pas akan buat keputusan kelak," katanya.

Dalam perkembangan lain, Pas mendakwa PRN Sarawak juga akan dijadikan sebagai 'kayu ukur' dalam menentukan masa depan parti Islam itu dalam pakatan pembangkang.

"Kita tengok macam mana, yang terdekat ini ialah Sarawak dan DAP sudah istiharkan bertanding 30 kerusi…Bagi kami kita akan tengok Sarawak ini sebagai contoh sejauh mana DAP boleh menghoramati parti-parti lain," katanya.

Singkir PAS, fitnah jahat blogger - Azizah

Posted: 30 Nov 2015 04:20 AM PST

Oleh Muhammad Asyraf Azlan

 
Post Pic


KUALA LUMPUR: Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak ada usaha untuk menyingkirkan PAS daripada kerajaan negeri Selangor, demikian ditegaskan presidennya, Datuk Seri Dr. Wan Azizah hari ini.

Sebaliknya, beliau menuduh dakwaan sebegitu adalah propaganda yang sengaja dimainkan blogger upahan Umno Barisan Nasional (BN).
 
Azizah yang juga ADUN Kajang memberitahu, pegangan PKR jelas bahawa musuh politik mereka adalah Umno-BN dan bukannya PAS.
 
"Semalam (Timbalan Presiden PKR) Azmin (Ali) sudah mengatakan bahawa kita (pakatan pembangkang) perlu bersatu dalam usaha untuk menjatuhkan BN. Saya bersetuju," katanya ketika ditemui media di Lobi Parlimen, di sini hari ini.
 
Azizah juga menegaskan Azmin yang juga Menteri Besar Selangor tidak terdesak untuk mengikut mana-mana telunjuk parti sekutunya, untuk menafikan hak PAS dalam kerajaan negeri Selangor.
 
"Tidak benar (Azmin tunduk kepada desakan DAP), blogger-blogger ini mengambil upah, jadi kita tidak boleh ambil (dengar) apa yang mereka katakan sebagai fakta," katanya.
 
Azizah berkata demikian mengulas dakwaan bahawa PKR di Selangor kini dalam dilema apabila terpaksa memilih antara PAS atau DAP serta Parti Amanah Negara (Amanah) untuk sama-sama mentadbir negeri itu.
 
DAP sebelum ini memberi kata dua kepada PKR sama ada memilih parti dominasi Cina itu atau PAS, selain mendesak agar Pakatan Harapan (PH) diiktiraf di Selangor.
 
Pakatan Harapan disertai PKR, DAP dan Amanah. Sementara PAS tidak dijemput untuk menyertai gagasan itu.
 
Azmin sebelum ini berkali-kali menegaskan PKR tetap akan menjalinkan hubungan baik dengan PAS.
 
Malah ketika berucap dalam Kongres PKR yang berlangsung 27 hingga 29 November lalu, Azmin menyatakan kekesalannya apabila terdapat rakan-rakan sekutu dalam PH menyinggung perasaan PKR.
 
Tegasnya, PKR bukan parti yang boleh dikawal atau dicorakkan oleh parti lain.
 
"Ada juga rakan-rakan yang menyinggung perasaan kita.
 
"Ini parti kita, ini kongres kita. Kita ada presiden dan majlis pimpinan jadi kita yang menentukan masa depan parti kita bukan orang lain yang cuba mencorakkan masa depan Parti Keadilan Rakyat," katanya di dalam Ucapan Penggulungan Kongres Nasional Tahunan ke-11, semalam.
 
 

Hampir 100 penyokong Husam berhimpun depan ibu pejabat PAS

Posted: 30 Nov 2015 04:16 AM PST

Oleh Muhammad Asyraf Azlan

 
Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Hampir 100 orang dipercayai penyokong ADUN Salor, Datuk Husam Musa hadir menzahirkan sokongan mereka di luar Ibu Pejabat PAS, ketika ini.
 
Husam hari ini dilaporkan akan hadir untuk memberikan penjelasan kepada Dewan Harian PAS Pusat bersabit dakwaannya Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mahu mewujudkan kerajaan perpaduan antara parti itu dengan Umno-Barisan Nasional (BN).
 
Penyokong yang hadir dilihat menaikkan plakad 'pray for Husam', 'rakyat Salor sokong DHM', 'pemuda Pasir Tumboh bersama YDP', 'moving forward DHM' dan lain-lain.
 
Husam sebelum ini mengejutkan banyak pihak apabila mendedahkan pengakuan Hadi untuk mewujudkan kerajaan perpaduan dengan Umno-BN ketika krisis pelantikan Menteri Besar Selangor pada 2014.
 
Hadi juga dikatakan menawarkan kepada wakil rakyat PKR untuk menyertai mereka dan membentuk kerjasama dengan Umno-BN di Selangor, ujar Husam.
 
Hadi ketika hadir dalam satu majlis di Shah Alam minggu lalu menjelaskan, cadangan kerajaan perpaduan itu memang wujud tetapi ia tidak melibatkan hanya Umno-BN dan PAS, tetapi kesemua parti politik di negara ini.
 
Pendedahan Husam itu juga menyaksikan beberapa pimpinan tertinggi PAS bangkit dan mempertahankan Hadi termasuk Pengarah Pilihan Raya PAS, Datuk Mustafa Ali.
 
Mustafa kemudiannya mencabar Husam berdebat namun dihalang Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan.
 
Kata Takiyuddin, isu tersebut akan diselesaikan secara dalaman dan tidak akan dibuat secara terbuka.
 
Ia demi menjaga kemaslahatan dan mengelakkan isu itu daripada dimanipulasi seteru politiknya, tambahnya.
 
PAS sebelum ini menetapkan 24 November untuk Husam hadir dan memberikan penjelasan bersabit tuduhannya.
 
Namun pada tarikh itu, Husam memaklumkan beliau berada di luar negara atas tujuan perubatan.
 
Pertemuan itu kemudiannya ditunda ke hari ini.
 
 

Bekas Diplomat Malaysia mengaku bersalah serang wanita

Posted: 30 Nov 2015 04:14 AM PST

ANTARAPOS.COM


Post Pic

 
WELLINGTON: Bekas diplomat Malaysia mengaku bersalah pada Isnin atas dakwaan berkelakuan tidak sopan menyerang seorang wanita New Zealand.
 
Muhammmed Rizalman Ismail yang merupakan bekas kakitangan pertahanan di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Wellington mengaku bersalah apabila kes yang berlaku pada tahun lepas menimbulkan kemarahan sejak dia pulang ke Malaysia di bawah imuniti diplomatik.
 
Rizalman diektradisi untuk dibicara di mahkamah New Zealand dan mengaku tidak bersalah atas dakwaan menyerang dengan niat merogol.
 
Tempoh perbicarannya bermula pada Isnin dan tuduhan asalnya digugurkan apabila lelaki berusia 39 tahun itu mengaku menyerang Tania Bilingsley dalam mahkamah.
 
Ringkasan yang dibacakan dalam mahkamah itu menyatakan pada 9 Mei tahun lepas, Billingsley sedang berada di rumahnya di Brooklyn kawasan sub bandar Wellington di mana pejabat kedutaan Malaysia berada dan dia terdengar ketukan dari pintu biliknya.
 
Rizalman kemudian masuk dengan keadaan tidak berseluar. Billingsley menjerit dan bergelut dengan Rizalman dan berjaya menghalaunya keluar dari rumah sebelum menelefon polis.
 
Stevens berkata Rizalman memberitahu polis pasangan itu keluar menonton wayang bersama pada hari tersebut. Ringkasan itu tidak menyatakan sama ada Billingsley bersetuju.
 
Pendakwa raya Grant Burston berkata sikap Rizalman lebih kepada dibawah pengaruh dadah.
 
Rizalman diam ketika jurubahasa sedang membacakan prosiding terhadapnya.
 
Atas pertuduhan serangan itu dia boleh dihukum penjara maksimum tujuh tahun di New Zealand.
 
Hakim David Collins berkata perbicaraan mengenai aspek pertikaian kes akan dibicarakan pada Jumaat sebelum menjatuhkan hukuman. -AFP
 
 

Kadar tol naik lima peratus setiap tiga tahun bermula 2016

Posted: 30 Nov 2015 04:11 AM PST

ANTARAPOS.COM


Post Pic

KUALA LUMPUR: Projek Lebuhraya Usahasama Bhd (PLUS) akan menaikkan kadar tol mereka di bawah perjanjian konsesi mereka setiap 3 tahun sebanyak 5% bermula tahun hadapan, kata Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin.
Beliau berkata, kenaikan itu akan berterusan sehingga tamat tempoh perjanjian konsesi pada 2018.
PLUS dimiliki syarikat milik negara Khazanah Nasional Bhd.
"Berdasarkan perjanjian tambahan konsesi yang ditandatangani pada November 2011, kerajaan dan PLUS bersetuju untuk tidak menaikkan kadar tol selama 5 tahun antara 2011 dan 2015.
"Kenaikan itu hanya akan dilaksanakan pada 2016, kecuali untuk Jambatan Pulau Pinang, yang tidak mengalami kenaikan tol sehingga tamat perjanjian konsesi pada Disember 2018," katanya kepada pemberita di Parlimen, hari ini.
"Kadar kenaikan tol ditetapkan pada kadar 5% setiap 3 tahun dan akan tamat tempoh konsesi pada 2018," katanya, selepas menjawab soalan tambahan di Dewan Rakyat daripada Datuk Ahmad Fauzi  Zahari (BN-Setiawangsa).
Fauzi bertanyakan sekiranya tempoh konsesi dilanjutkan, ia bermakna tidak akan berlaku kenaikan tol sehingga 2018
Kali terakhir perjanjian konsesi PLUS disemak semula adalah pada 2011, di mana syarikat konsesi itu dibenarkan menaikkan tol sebanyak 5% setiap 3 tahun.
Rosnah bagaimanapun berkata, tiada kenaikan tol sejak 2011 sehingga sekarang.
Beliau turut mengesahkan kenaikan kadar tol hanya akan  bermula tahun hadapan.
Dalam pada itu, Rosnah berkata, kerajaan akan mengkaji permohonan PLUS berhubung kenaikan tol dengan mengambil kira indeks harga pengguna dan jumlah trafik yang diperakui oleh juruaudit bertauliah.
"Ini bermakna tidak akan ada kenaikan secara automatik kepada PLUS," katanya. 
Terdahulu, Ahli Parlimen Pokok Sena, daripada PAS, Datuk Mahfuz Omar di lobi Parlimen mengkritik tindakan itu dan berkata, ketika tempoh konsesi PLUS dipanjangkan, kadar tol tidak seharusnya dinaikkan.

‘Najib, MT tentukan ucapan penggulungan timbalan presiden’

Posted: 30 Nov 2015 04:05 AM PST

MALAYSIAKINI


 


Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, menyerahkan kepada presiden dan anggota Majlis Tertinggi parti itu untuk menentukan sama ada Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin, akan membuat ucapan penggulungan pada perhimpunan agung kali ini.

Bagaimanapun, beliau berkata tidak terdapat dalam perlembagaan parti bahawa timbalan presiden perlu membuat ucapan penggulungan seperti kelaziman sebelum ini.

"Seorang (presiden) sahaja pun sudah memadai... tapi terserahlah pada presiden dan MT... saya hanya setiausaha agung sahaja," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Kebangsaan Kesejahteraan Sosial Komuniti Bandar: Ke Arah Pengukuhan Agenda Berpaksikan Rakyat di Kuala Lumpur, hari ini.

Secara tradisinya, sebelum presiden Umno menggulung perbahasan pada hari terakhir perhimpunan agung, barisan ketua-ketua sayap, naib presiden dan timbalan presiden akan dibenarkan berucap pada sesi penggulungan itu.

Mengulas lanjut, Tengku Adnan berkata tidak salah jika tradisi dalam Umno yang tidak terdapat dalam perlembagaan diubah, seperti juga perubahan pada mesyuarat perwakilan Pemuda, Wanita dan Puteri yang akan dirasmikan oleh ketua sayap masing-masing pada perhimpunan kali ini.

"Macam sayap juga, mereka minta jika ucapan dasar ketua masing-masing boleh dijadikan ucapan perasmian mesyuarat, jadi tidak perlu lagi timbalan presiden rasmikan seperti sebelum ini," katanya.

Selasa lalu, mesyuarat MT Umno memutuskan bahawa ketiga-tiga mesyuarat sayap parti akan dirasmikan oleh ketua pergerakan masing-masing dan tidak lagi oleh timbalan presiden.

Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak, berkata keputusan itu dibuat berikutan cadangan daripada semua sayap berkenaan.


Hilmi: Parkir kereta di hospital akan dikena caj

Posted: 30 Nov 2015 02:51 AM PST

MALAYSIAKINI


 


Kementerian Kesihatan memutuskan untuk mengenakan caj bagi tempat letak kereta di kawasan hospital di zon tengah Semenanjung bagi mengelak salah guna kawasan parkir, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berkata langkah ini adalah untuk mengelak mereka yang tidak mempunyai urusan di hospital daripada menggunakan tempat parkir di hospital.

Beliau berkata kementerian sedang menawarkan tender terbuka bagi syarikat yang ingin menguruskan tapak parkir di hospital secara sementara dengan kadar yang ditetapkan kementerian.

"Kadar tempat letak kereta akan kita tetapkan dan penender yang ingin libatkan diri kena ikut kadar yang telah ditetapkan," katanya.

Beliau menjawab soalan Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad (BN-Kuala Kangsar) yang mempersoalkan penyalahgunaan kemudahan tempat letak kereta di hospital oleh orang awam yang tidak mempunyai urusan di hospital.

Dr Hilmi juga berkata kementerian itu juga sedang berurusan untuk mengeluarkan tender bagi menambah bilangan parkir tambahan di semua hospital di seluruh negara.

Terdahulu semasa menjawab soalan Julian Tan Kok Ping (DAP-Stampin) yang bertanyakan tentang Hospital Umum Sarawak (HUS), beliau berkata kementerian sedang dalam perancangan untuk membina blok jagaan harian, blok patologi dan tempat letak kereta bertingkat yang bakal dilaksanakan secara kerjasama pihak awam dan swasta.

"Pembinaan blok jagana harian akan melibatkan tujuh buah dewan pembedahan, empat bilik endoskopi serta kemudahan wad yang diperlukan untuk memberi rawatan harian," katanya.

Dr Hilmi berkata blok tempat letak kereta bertingkat pula bakal memuatkan 1,750 lot yang turut melibatkan pembinaan kemudahan medihotel dengan kapasiti 160 bilik.

Katanya projek pembinaan tempat letak kereta akan melibatkan kos RM351 juta.- Bernama


Husam diarah henti keluar kenyataan kritik K'tan, PAS

Posted: 30 Nov 2015 02:44 AM PST

Shakira Buang

 


PAS mengarahkan bekas naib presiden PAS Datuk Husam Musa supaya tidak lagi membuat sebarang kenyataan terbuka berhubung urusan dalaman parti Islam itu serta pentadbiran kerajaan Kelantan.

Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata keputusan tersebut dipersetujui sewaktu pertemuan Jawatankuasa Dewan Harian PAS dengan bekas exco kanan kerajaan Kelantan itu petang ini.

"Kita juga bersetuju bahawa perkara-perkara yang melibatkan urusan dalaman parti, kerajaan negeri (Kelantan) dibuat dengan menggunakan platform parti dan diselesai mengikut saluran parti serta tidak diviralkan kepada umum.

"Kita juga bersetuju tidak akan ada sebarang kenyataan daripada beliau, kerajaan negeri yang boleh menimbulkan polimik.

"Beliau sudah bersetuju tidak akan mengeluarkan kenyataan seumpama itu sehingga kes ini
diselesaikan secara dalaman," kata Tuan Ibrahim dalam sidang media di ibu pejabat PAS.

Tuan Ibrahim turut mengesahkan bahawa Jawatankuasa Dewan Harian PAS menerima dokumen dan bukti berhubung dakwaan Husam terhadap kerajaan negeri dan parti.

Beliau berkata jawatankuasa itu akan menelitinya dalam masa terdekat dan setakat ini tiada ada sebarang tindakan terhadap ADUN Salor itu.

"Kita juga telah menerima segala dokumen serta bukti daripada beliau dan pertemuan hari ini sangat baik.

"Hari ini (juga) tidak ada sebarang keputusan dibuat terhadap beliau sebab ini bukan jawatankuasa disiplin," katanya .

Sementara itu, dalam sidang media yang sama Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan berkata segala penjelasan dan bukti yang dikemukakan oleh Husam akan disiasat dengan teliti.

Malah, MP Kota Bharu yang juga seorang peguam berkata beliau tidak menolak kemungkinan Husam akan dipanggil semula bagi memberi penjelasan berhubung kenyataannya itu.

"Apa yang diserahkan Husam mengenai ulasan beliau tentang kerajaan negeri dan semasa kita minta beliau datang kita telah minta beliau bawa sekali dokumen yang menyokong dakwaan tersebut.

"Parti akan teliti bukti yang dikemukakan itu dan jika dirasakan perlu kita akan panggil Husam semula," katanya.


Dr M: Tolak kepimpinan Najib, Umno selamat PRU14

Posted: 30 Nov 2015 02:43 AM PST

MALAYSIAKINI


 


Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menyeru anggota dan pemimpin Umno akar umbi supaya menolak kepimpinan Datuk Seri Najib Razak demi memastikan kelangsungan kemenangan Umno pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Menulis dalam blognya hari ini, Dr Mahathir berkata hanya menolak Najib sebagai perdana menteri dan presiden Umno akan memastikan "bangsa, negara dan agama lebih selamat" dan "rakyat akan dapat nikmat".

"Tolaklah kepimpinannya sebelum PRU-14 supaya Umno selamat dan mampu memenangi PRU dan kekal sebagai kerajaan yang adil kepada semua," kata beliau dalam surat terbukanya kepada ahli dan pemimpin Umno menjelang Perhimpunan Agung Umno minggu depan.

"Wahai ahli dan pemimpin Umno diakar umbi. Fikirlah baik-baik. Jangan sokong dan setia secara buta tuli, atau kerana dapat nikmat hari ini.

"Bangsa kita akan kutuk kita jika nasib bangsa menjadi buruk kerana kita tamak dan lupakan perjuangan Umno.

"Dan segala nikmat yang kita dapati akan musnah, bahkan Kerajaan parti lawan akan bertindak ke atas kesalahan mereka semasa memerintah," katanya lagi.

Dr Mahathir senaraikan kepincangan pentadbiran Najib

Posted: 30 Nov 2015 02:39 AM PST

MALAYSIAKINI


 


Dalam surat terbuka kepada ahli dan pemimpin akar umbi Umno menjelang perhimpunan agung tahunan parti minggu depan, Tun Dr Mahathir Mohamad menggariskan apa yang didakwanya sebagai kepincangan pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Beliau juga mengulangi dakwaannya bahawa Umno kini milik Najib dan perjuangan parti terhad kepada mendokong presiden.

"Kesetiaan ahli terhad kepada presiden, tidak lagi kepada parti, tidak lagi kepada bangsa, agama dan negara," katanya dalam tulisan terbaru di blog.

Mahathir yang mengetuai Umno dan negara selama 22 tahun juga menyenaraikan kepincangan pentadbiran Najib hari ini.

Berikut antaranya,
  • Memperkenalkan slogan 1Malaysia, yang sama dengan Malaysian Malaysia (slogan DAP);
  • Melantik penjajah sebagai penasihat;
  • Penggunaan konsultan barat:
  • Mewujudkan PEMANDU untuk menggantikan Unit Perancang Ekonomi;
  • Bayaran gaji kepada badan bukan Kerajaan yang amat tinggi;
  • Meletak negara di bawah kehendak Singapura;
  • Pinjaman berbillion ringgit yang dilabur sebahagian besar di luar negara;
  • Menubuh 1MDB dengan modal pinjaman yang besar;
  • Tidak dapat membukti di mana modal yang dilabur berada;
  • Gagal membayar faedah hutang;
  • Beli tanah kerajaan dengan harga yang amat murah;
  • Jual tanah kepada institusi kerajaan dengan harga 50 kali ganda lebih tinggi;
  • Kejatuhan mata wang dan nilai saham yang teruk
"Wang Tabung Haji diguna secara yang sama, keuntungan yang berlebihan ini diguna untuk menampung kerugian 1MDB,

"(Wang) RM2.6 billion tiba-tiba berada dalam akaun peribadi Najib, kononnya derma dari orang Arab, siasatan oleh SPRM dan Bank Negara ditamat oleh Najib sebelum tindakan dapat diambil.

"Pendakwa Raya dibuang, PAC dibubar supaya tidak dapat menyiasat 1MDB," kata Dr Mahathir.

Beliau juga membidas cara hidup mewah lebih dari kemampuan perdana menteri dan tindakan rakyat yang menegur disoal-siasat oleh polis dan dituduh sabotaj bank dan kewangan negara.

Dr Mahathir juga berkata cukai GST dikenakan sehingga peniaga kecil terpaksa tutup kedai, kos sara hidup meningkat dan beban bagi rakyat bertambah.

"Besar kemungkinan parti akan kalah dalam PRU-14 seperti di Selangor dan Pulau Pinang. BN dan Umno akan menjadi parti pembangkang.

"Sebagai pembangkang tidak akan ada apa-apa yang boleh dibuat oleh Umno untuk bangsa, negara dan agama," katanya lagi.

Muhyiddin tak mahu jadi timbalan presiden bisu

Posted: 30 Nov 2015 02:37 AM PST


Muhyiddin Yassin
Muhyiddin Yassin
 
 
MUAR - Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan tindakan beliau bersuara sebelum ini adalah kerana mahu menegakkan kebenaran.

Menurutnya,  beliau tetap akan bersuara walaupun dituduh melanggar disiplin parti kerana tidak mahu menjadi timbalan presiden yang bisu.

"Adakah negara ini sudah tidak mempunyai hak bersuara, adakah hanya saya memberikan pandangan dan nasihat sebelum ini, ianya tindakan yang salah?

"Saya percaya jika saya tidak bersuara, rakyat sendiri akan bersuara dan sebab itulah saya bersuara dahulu, demi rakyat...bukan nak menentang atau sekadar menentang tetapi untuk kebajikan kita dan anak cucu kita nanti," katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Perhimpunan sokongan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin di Kompleks Sri Pekembar, semalam.

Katanya, beliau tetap tidak berdiam diri jika berlakunya perkara yang salah, walaupun dipecat daripada Umno dan menjadi ahli Parlimen bebas.

"Disebabkan pandangan dan juga nasihat berkenaan juga telah menyebabkan nama saya tersenarai dalam tujuh orang yang ingin merosakkan Umno, walhal pada hakikatnya jiwa saya tetap pada Umno.

"Saya buat semua ini dengan bersuara adalah kerana Umno, kerana rakyat kerana sayangkan masa depan Umno, dan adakah dengan suara saya ini (nasihat) saya tidak dibenar berucap lagi di Persidangan Umno?," katanya.

Dalam program tersebut, satu memorandum telah diserahkan yang menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi kepada beliau yang mewakili 106 Ketua Umno Cawangan di Bahagian Pagoh, melibatkan 22,400 ahli.


Lebih ramai akan dibawa ke lembaga disiplin

Posted: 30 Nov 2015 02:35 AM PST


Tengku Adnan
Ku Nan
 
 
KUALA LUMPUR - Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor memaklumkan bahawa lebih ramai individu akan dibawa ke lembaga disiplin parti selepas ini untuk dikenakan tindakan selanjutnya.

Menurut beliau, tindakan tersebut bukan sahaja dikenakan terhadap tujuh pemimpin yang dikaitkan sebelum ini malahan turut melibatkan lebih ramai pihak termasuk ketua-ketua cawangan yang dianggap tidak berdisiplin dalam mengeluarkan kenyataan.

"Ada juga ketua-ketua cawangan akan turut dipanggil kerana tidak mempunyai disiplin dalam parti," katanya ketika sidang media Konvensyen Kebangsaan Kesejahteraan Sosial Komuniti Bandar: Kearah Pengukuhan Agenda Berpaksikan Rakyat di Hotel Istana, hari ini.

Sebelum ini, Tengku Adnan ada mengeluarkan kenyataan bahawa Jawatankuasa Khas sedang menjalankan siasatan terhadap tujuh pemimpin Umno berhubung kenyataan terbuka yang memberi kesan kepada parti.

Menyentuh mengenai tindakan beberapa ketua cawangan yang mendesak presiden, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk meletak jawatan, Tengku Adnan memaklumkan bahawa bahawa kenyataan yang dikeluarkan tersebut adalah merupakan suara individu dan tidak melibatkan cawangan.

"Kalau ikut perlembagaan, keputusan untuk menolak presiden seharusnya melalui mesyuarat cawangan dan ianya mesti dihadiri oleh dua pertiga ahli jawatankuasa cawangan.

"Sekiranya usul berkenaan diluluskan, ia akan dibawa balik ke bahagian dan pihak berkenaan akan menentukan sebarangt keputusan.

"Selepas itu, tiap-tiap bahagian akan hantar laporan berkenaan ke ibu pejabat. Namun lepas kita buat semakan sebelum ini, tak ada pun mana-mana cawangan yang menghantar usul atau laporan," katanya

Tiada tempoh akhir siasat 1MDB

Posted: 30 Nov 2015 02:33 AM PST


Nancy Shukri
Nancy Shukri


KUALA LUMPUR - Tiada tempoh akhir ditetapkan Pasukan Petugas Khas untuk menyiasat syarikat 1Malaysia Development Berhad, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Shukri.

Beliau berkata, pasukan itu masih lagi dalam proses melengkapkan siasatan dan perkara itu hanya akan selesai setelah keterengan kesemua saksi dirakamkan serta dokumen  berkaitan diperolehi.

"Memandangkan kes ini melibatkan ramai saksi dan dokumen yang banyak termasuk berada di luar negara, maka tiada jangka masa ditetapkan untuk penyelesaian kes itu," katanya menerusi jawapan bertulis kepada Datuk Zainudin Ismail (BN-Jelebu) semalam.

Zainudin dalam soalannya meminta penjelasan menteri mengenai status terkini siasatan yang dibuat Pasukan Petugas Khas yang ditubuhkan Peguam Negara bagi menyiasat kes 1MDB  dan bilakah laporan itu dijangka dapat diselesaikan.

Ahli Parlimen Jelebu itu juga bertanya sama ada hasil siasatan itu akan dibentang ke Parlimen.

Menurut Nancy, perkara itu hanya akan diputuskan oleh Peguam Negara sebaik siasatan 1MDB selesai.

"Hasil siasatan Pasukan Petugas Khas itu akan dikemukakan kepada Peguam Negara untuk tindakan lanjut," katanya.


Husam: Saya sudah hantar surat cinta

Posted: 30 Nov 2015 02:29 AM PST


Husam Musa
Husam Musa - Foto Bernama


KUALA LUMPUR - Bekas Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa mengakui sudah menyerahkan 'nota cinta' kepada anggota Dewan Harian Pas Pusat.

Husam berkata demikian selepas menghadiri perjumpaan yang ditetapkan beliau dan Pas ekoran dakwaan beliau terhadap Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pernah merancang bekerjasama dengan Umno bagi menubuhkan kerajaan perpaduan dengan Umno selepas PRU12 pada 2008.

Ditanya mengenai isi kandungan nota terbabit, Husam menjawab, nota tersebut hanya berkisar mengenai pandangannya terhadap survival parti dan kekuatan kerajaan pada masa akan datang.

"Nota cinta saya itu hanya tentang survival parti, kekuatan kerajaan dan perpaduan ahli Pas.

"Pas menerima nota tersebut dan perjumpaan berjalan dengan mesra dan baik. Perbincangan berjalan secara dua hala dan saya ada memberikan sedikit penjelasan kepada mereka dan Dewan Harian memberikan pandangan mereka.

"Keseluruhannya saya sangat berpuas hati dan berterima kasih kepada Pas Pusat kerana menyediakan saluran ini untuk saya menyampaikan pandangan saya," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Pejabat Agung Pas di sini, hari ini.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan isi perbincangan yang berlangsung bersama pihak Pas.

Ditanya mengenai penerimaan Pas terhadap penjelasannya, Husam berkata, Pas tidak mempunyai masalah untuk mendengar pandangan dan penjelasan yang diberikan oleh beliau.

"Mungkin akan ada perjumpaan susulan dengan Pas selepas ini," jawabnya ringkas.


Penyebaran Selangor Kini palsu, dalang disiasat

Posted: 29 Nov 2015 04:11 PM PST

SELANGOR KINI


SHAH ALAM : Communication Corporation Sdn Bhd (CCSB) menafikan sekeras-kerasnya penerbitan akhbar Selangor Kini palsu yang tersebar luas di Kongres Nasional Tahunan KEADILAN 2015 di IDCC, hari ini.

Ketua Pengarang Selangor Kini, Cecelia Alphonsus, berkata penerbitan akhbar palsu yang dicetak lapan muka surat itu berunsur khianat, sabotaj dan mengandungi elemen fitnah melampau.

IMG_2804aJusteru, satu laporan polis dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam pada jam 5.30 petang tadi.

"Saya dengan ini memohon Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menjalankan siasatan dengan kadar cepat, mesra dan betul," katanya.

Akhbar palsu itu dikesan di kongres sebelum sekretariat bertindak menahan penyebarannya kepada umum.

Dalam akhbar itu, hanya halaman depan dan belakang sahaja menggunakan berita asal Selangor Kini keluaran minggu ketiga November.

Bagaimanapun, isi kandungannya berunsur fitnah dan mengkritik Dato' Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali serta polisi pentadbiran Kerajaan Selangor.


G25 gesa program, akaun Jakim diaudit

Posted: 29 Nov 2015 04:07 PM PST

THE MALAYSIAN INSIDER

Kumpulan 25 tokoh Melayu profesional (G25) akan mengendalikan suatu kajian yang mendalam dan menyeluruh bagi mengesahkan kedudukan Islam dalam konteks demokrasi berperlembagaan dan menentukan Jakim tidak melanggar batas-batas peribadi hidup umat Islam di negara ini seperti di dakwa oleh beberapa pihak. – Gambar fail The Malaysian Insider, 29 November, 2015. 
Kumpulan 25 tokoh Melayu profesional (G25) akan mengendalikan suatu kajian yang mendalam dan menyeluruh bagi mengesahkan kedudukan Islam dalam konteks demokrasi berperlembagaan dan menentukan Jakim tidak melanggar batas-batas peribadi hidup umat Islam di negara ini seperti di dakwa oleh beberapa pihak. – Gambar fail The Malaysian Insider.
 
 
Kumpulan 25 tokoh Melayu profesional (G25) hari ini menggesa supaya program, aktiviti serta akaun Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) diaudit secara telus sama seperti jabatan kerajaan yang lain. 
 
 Dalam satu kenyataan malam ini, kumpulan moderat Melayu itu berkata pihaknya juga akan mengendalikan suatu kajian yang mendalam dan menyeluruh mengenai fungsi, aktiviti dan perbelanjaan Jakim.

Kajian itu, kata kumpulan itu bertujuan mengesahkan kedudukan Islam dalam konteks demokrasi berperlembagaan dan menentukan Jakim tidak melanggar batas-batas peribadi hidup umat Islam di negara ini seperti yang di dakwa oleh beberapa pihak.

"Memandangkan program dan aktiviti Jakim adalah dibiayai oleh wang rakyat sewajarnyalah rakyat Malaysia ketahui bagaimana wang itu dibelanjakan. "Ini adalah antara sebab utama mengapa G25 ingin melaksanakan kajian ini.

"Kami harap akan dapat memaklumkan hasil kajian ini serta apa-apa saranan yang dibuat kepada pihak kerajaan dan masyarakat Malaysia amnya," kata kumpulan itu dalam satu kenyataan malam ini.

Terdahulu, kumpulan profesional Melayu-Islam itu menyuarakan kebimbangan mereka kepada perdana menteri mengenai keghairahan badan agama melaksanakan tanggungjawab mereka hingga melebihi batasan perundangan mengikut Perlembagaan Persekutuan.

Malah, keghairahan badan agama itu, kata G25 turut menjejaskan pembahagian kuasa antara pusat pentadbiran persekutuan dan negeri-negeri.

Sebelum ini, kerelevanan Jakim dipersoalkan apabila anak timbalan perdana menteri ke-2, Tun Dr Ismail Abdul Rahman, Tawfik Ismail, menggesa supaya jabatan itu dimansuhkan kerana langsung tidak berperanan mengikut Perlembagaan.

Bajet Jakim menjadi perdebatan baru-baru ini, apabila menghabiskan hampir RM1 bilion duit pembayar cukai dalam peruntukan dan perbelanjaan tahunan jabatan itu. 
 
 
 

RELA jadi benteng pertahanan kedua negara - Najib

Posted: 29 Nov 2015 04:02 PM PST

ANTARAPOS.COM


Post Pic

 
 
PEKAN: Datuk Seri Najib Razak mahu lebih tiga juta anggota RELA di seluruh negara menjadi benteng kepada kestabilan keselamatan dan politik negara. 
 
Perdana Menteri berkata, ini kerana asas keselamatan dan jaminan rakyat dapat hidup dengan aman disebabkan wujudnya kestabilan politik yang kukuh. 
 
"Rakyat perlu kena sensitif dalam soalan keselamatan supaya kerajaan dapat menangani apa juga ancaman daripada dalam dan luar negara seperti pemerdagangan manusia, pelarian, kumpulan militan dapat ditangani dengan berkesan. 
 
"Jadikan, kita mahu anggota RELA terus mainkan peranan sebagai mata, telinga dan tangan kerajaan sebagai benteng pertahanan kedua negara," katanya. 
 
Beliau berkata demikian berucap pada Majlis RELA Bersama Perdana Menteri, di Taman Tasik Sultan Abu Bakar, di sini, sebentar tadi. 
 
Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan turut menyampaikan Pakaian Operasi Digital (POD) dan cek insurans kelompok RELA. 
 
Turut hadir, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed dan Ketua Pengarah RELA, Datuk Kamariah Mohd Noah.
 
 

[KEMASKINI] Azmin dakwa ada rakan sekutu singgung perasaan PKR

Posted: 29 Nov 2015 03:59 PM PST

 Oleh Muhammad Asyraf Azlan

 
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Timbalan Presiden PKR, Mohamad Azmin Ali mendakwa terdapat rakan-rakan sekutunya yang menyinggung perasaan PKR.
 
Azmin menegaskan PKR bukan sebuah parti yang dikawal atau dicorakkan oleh parti lain.
 
"Ada juga rakan-rakan yang menyinggung perasaan kita.
 
"Ini parti kita, ini kongres kita. Kita ada presiden dan majlis pimpinan jadi kita yang menentukan masa depan parti kita bukan orang lain yang cuba mencorakkan masa depan Parti Keadilan Rakyat," katanya di dalam Ucapan Penggulungan Kongres Nasional Tahunan ke-11.
 
Hubungan PKR dengan DAP semakin keruh selepas Lim Guan Eng menuntut parti itu mengambil tindakan terhadap lima ADUNnya yang menyokong usul ADUN Pulau Betong dari Barisan Nasional (BN).
 
Lima ADUN PKR sebelum ini mengambil pendekatan berkecuali sewaktu undian dijalankan terhadap usul  Muhamad Farid Saad yang mencadangkan semua projek penambakan tanah di laut bagi pembangunan tertakluk kepada perdebatan umum.
 
Lima ADUN berkenaan ialah Ong Chin Wen (Bukit Tengah); Dr Norlela Ariffin (Penanti); Lee Khai Loon (Machang Bubuk); Cheah Kah Peng (Kebun Bunga) dan Dr T.Jayabalan (Batu Uban).
 
Mereka disifatkan Setiausaha Agung DAP itu sebagai menikam parti itu dari belakang dan membayangkan terdapat cubaan rampasan kuasa dalam PKR Pulau Pinang.
 
Bagaimanapun PKR mempertahankan kesemua ADUNnya itu dan tindakan tidak mengundi usul projek tebus tanah itu adalah demi kepentingan rakyat.
 
Dalam pada itu, Azmin juga menggesa supaya media tidak melaga-lagakan beliau dengan Presiden PKR
 
Jelasnya, beliau sebagai Timbalan Presiden bersama dengan anggota parti akan sentiasa mendokong Presiden, Datuk Seri Dr. Wan Azizah.
 
"Seluruh anggota parti bersama-sama mendukung presiden parti untuk menentukan hala tuju parti.
 
"Tetapi kita melihat laporan media menyatakan bahawa Azmin nak ke sana, Presiden hendak ke sini jangan laga-lagakan saya dengan Presiden 
 
"Sebagai Timbalan Presiden PKR saya akan patuh dan setia kepada Presiden, Ketua Umum dan keputusan juga parti,"tegasnya.
 
 

Mat Sabu: Jangan beri talian hayat pada Umno

Posted: 29 Nov 2015 03:53 PM PST

MALAYSIAKINI


 


Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) Mohamad Sabu mengingatkan pemimpin Pakatan Harapan supaya tidak mengeluarkan kenyataan yang tidak selari dengan semangat kerjasama gabungan pembangkang itu sehingga mengeruhkan lagi suasana.

Beliau mahu semua pemimpin Pakatan Harapan supaya bersama-sama berusaha ke arah kesepakatan politik Pakatan Harapan yang lebih utuh, seperti yang ditegaskan oleh Presiden PPKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail semalam.

"Jangan ada di antara mana-mana pimpinan Pakatan Harapan yang cuba untuk memberikan talian hayat kepada Umno BN, di saat gelombang rakyat sedang menolak mereka ekoran pelbagai skandal dan masalah yang melanda negara," kata Mohamad dalam satu kenyataan.

Bekas pimpinan PAS yang dikenali Mat Sabu itu mengulas ucapan dasar Wan Azizah yang juga ketua pembangkang dalam Kongres PKR semalam yang antara lain menggesa supaya Pakatan Harapan mesti terus diperkukuhkan.

Dalam ucapannya juga, Wan Azizah menyebut bahawa Pakatan Harapan adalah penyambung kepada penyempurnaan amanah rakyat menggantikan Pakatan Rakyat yang telah berkubur.

"Beliau juga menyebut bahawa Pakatan Harapan yang terdiri daripada PKR, DAP dan AMANAH akan menggalas amanah yang diberikan oleh rakyat, untuk berhadapan dengan Umno BN," kata Mohamad.

"AMANAH ingin mengulangi komitmen, bahawa kami akan terus menjaga prinsip kesepakatan dalam Pakatan Harapan, demi sebuah pakatan pembangkang yang kuat untuk menumbangkan Umno BN pada PRU-14," katanya lagi.


Terkejut lihat suami tergantung di alang rumah

Posted: 29 Nov 2015 03:43 PM PST


Terkejut lihat suami tergantung di alang rumah
Isteri mangsa yang sedih melihat suaminya tergantung di rumah mereka di Kampung Orang Asli Ulu Chembong, semalam. Gambar kecil: Anuar Haron


REMBAU – Seorang isteri terkejut apabila terlihat suaminya, Anuar Haron, 27, tergantung di alang rumah sebaik meninjau ke dalam rumah melalui tingkap hadapan rumah mereka di Kampung Orang Asli Ulu Chembong, di sini, semalam.

Sinar Harian difahamkan, dalam kejadian berkenaan, isteri mangsa, Are Syakdan, 25, dan tiga anak berusia setahun sembilan bulan hingga 9 tahun bermalam di rumah saudara mereka yang terletak selang beberapa rumah sahaja.

Menurut Tok Batin Kampung Orang Asli Ulu Chembong, Lebat Johor, dia didatangi isteri mangsa ketika berhenti minum di sebuah kedai berhampiran setelah pulang dari kebun lebih kurang jam 9.25 pagi.

"Are bagi tahu nampak suaminya tergantung bila tinjau dari tingkap.  Saya terkejut sebab belum pernah lagi berlaku kejadian sebegini sejak kampung ini dibuka hampir 80 tahun lalu.. saya terus ke rumah mangsa.

"Saya cuba buka pintu tetapi dikunci dari dalam.  Jadi saya hanya dapat tinjau dari tingkap depan rumah dan nampak mangsa tergantung dengan tali terjerut di lehernya," katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Lebat berkata, sejak dari malam semalam (kelmarin) kedengaran bunyi muzik yang agak kuat dipasang dari rumah mangsa.

"Memang Anuar sering buka lagu kuat-kuat dan saya dah biasa dengan bunyi ni.. cuma saya tak sangka dia akan buat seperti ini," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Rembau, Deputi Superintenden Ibrahim Sharif ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan dan mengklasifikasikan kes sebagai mati mengejut.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tampin untuk bedah siasat.


Yus Jambu meninggal dunia, dipercayai sesak nafas

Posted: 29 Nov 2015 03:40 PM PST


Yus Jambu


YUS Raja Lawak atau nama sebenarnya Yussry Edoo dilaporkan meninggal dunia di Hospital Selayang lewat malam tadi.

Difahamkan arwah meninggal dunia disebabkan sesak nafas.

Rakannya, Zamatul Amri Zakaria menerusi Instagram @taukehjambu berkata, "salam semua kawan-kawan dan sahabat-sahabat jambu, saudaraku Yussry bin Edoo @pakyuih @yus_jambu76 telah kembali ke rahmatullah sebentar tadi di Hospital Selayang akibat sesak nafas.

"Minta kawa- sedekahkan al-Fatihah kepada arwah," katanya.

Sementara itu, pelakon, Afdlin Shauki menerusi Instargamnya @afdlinshauki berkata, innalillahhiwainnailaihirajiun, Al-Fatihah.

"Rehat sahabat... Rehat.

"Semoga ALLAH meletakkan rohmu bersama roh-roh orang beriman. Al-Fatihah," tulisnya.


Muhyiddin tetap bersama Umno walaupun dipecat

Posted: 29 Nov 2015 03:37 PM PST


Muhyiddin Yassin
Muhyiddin Yassin


MUAR – "Nak buang, nak pecat saya buatlah...tapi jiwa saya tetap pada Umno, begitu juga perjuangan saya," demikian kata Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menurutnya, perjuangan beliau akan tetap diteruskan demi agama, bangsa dan juga tanah air bagi menegakkan kebenaran.

Katanya, setiap pemimpin perlulah berkata sesuatu dengan yang benar walaupun ianya pahit untuk dilakukan.

"Nak pancung saya pun tidak apa, saya akan tetap pada Umno...saya tau perjuangan saya...saya tidak takut sebab selama ini dalam Umno semua telah tahu saya ini orang yang macam mana?

"Saya tau kebenaran itu, ada kalanya pahit dan ada kalanya kita susah untuk terimanya, namun pada saya setiap orang perlulah menerima setiap teguran yang benar itu sebagai satu nasihat.

[ARTIKEL BERKAITAN:Umno dah jadi parti bisu, tanya Dr M]

"Saya sendiri pun jika tidak betul, semua boleh tegur dan setiap teguran yang dilakukan itu saya ambil untuk membetulkan yang salah, untuk kebenaran," katanya dalam ucapan ketika hadir di program Sembang Santai dengan Masyarakat Panchor, di Tepian Sungai Muar, hari ini.


Tiada ulasan: