Selasa, 3 November 2015

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


'Inikah kualiti hidup di bandar, Rahman Dahlan?'

Posted: 03 Nov 2015 05:21 AM PST

Aidila Razak


 


Adakah kenyataan menteri Datuk Abdul Rahman Dahlan supaya bangun awal untuk mengelakkan tol ke tempat kerja sebuah pandangan yang praktikal?

Pusat Aduan Pengguna Kebangsaan Fomca (NCCC) melihatnya sebaliknya, dengan mengambil kira kualiti hidup di bandar.

"Inilah yang berlaku sebenarnya. Orang yang tinggal di Rawang (dan kerja di Kuala Lumpur) keluar rumah lepas sembahyang Subuh dan balik bila langit gelap (untuk elak kesesakan).

"Inikah kehidupan yang dicadangkan oleh kerajaan?" soal anggota lembaga pusat itu Muhammad Shaani Abdullah (gambar).

NCC sebuah badan bawah Gabung Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (Fomca).

Abdul Rahman dilapor menyarankan orang ramai merancang perjalanan dengan bangun lebih awal ke tempat kerja jika tidak mahu membayar tol.

Rakyat terperangkap
Menteri kesejahteraan bandar, perumahan dan kerajaan tempatan (gambar) itu mencadangkan jalan alternatif yang disediakan kerajaan bagi pengguna yang mahu mengelak membayar tol.

Kadar tol di 15 lebih raya di Lembah Klang naik sehingga 100 peratus.

Sementara itu, Shaani juga berkata cadangan Rahman tidak boleh diterima kerana masalah sebenar berpunca daripada perjanjian konsesi.

"Jika tidak selesaikan perkara itu, kita tidak selesaikan apa-apa pun," katanya lagi.

Beliau juga berkata rakyat Malaysia terperangkap dalam keadaan sukar apabila kos peningkatan awam juga naik.

Tambang Kereta api LRT, Komuter dan Monorail naik sehingga 102 peratus mulai 2 Disember ini.

Siasat semula ‘derma’ RM40 juta pada Umno Sabah

Posted: 03 Nov 2015 05:11 AM PST




OLEH JIMMY WONG SZE PHIN


Saya mendesak kerajaan untuk membuka semula siasatan terhadap skandal derma RM40 juta kepada Umno Sabah melibatkan Ketua Menteri Sabah Musa Aman dan seorang taikun balak Michael Chia.

Jika skandal derma RM2.6 bilion melibatkan Perdana Menteri Najib Razak sedang disiasat, mengapa skandal derma RM40 juta itu tidak dibuka semula? Skandal yang berlaku dalam kedua-dua kes hampir serupa.

Ketua Menteri Sabah disyaki mendapat derma dari taikun balak yang kemudian dikatakan derma kepada UMNO Sabah manakala Perdana Menteri pula dapat derma dari Arab Saudi.

Saya mohon Bank Negara dan SPRM segera jalankan siasatan, buka semula kes ini. Saya difahamkan ada lebih USD100 juta diberi sebagai komisyen kontraktor balak Yayasan Sabah.

Saya juga menggesa badan anti rasuah negara ini untuk menyiasat dua buah akaun yang dipercayai melibatkan Ketua Menteri Sabah.

Kerajaan kena siasat siapakah yang punya akaun ini di Zurich. Maklumat ini dari badan anti rasuah ICAC Hong Kong.

Saya khuatir jika kes RM40 juta melibatkan Ketua Menteri Sabah tidak dibuka semula, kes RM2.6 bilion melibatkan perdana menteri juga boleh ditutup begitu sahaja.

Jangan lupa, ini adalah kes adik-abang. Kedua-duanya adalah kes derma. Dulu, bila RM40 juta ringgit itu dikatakan sebagai derma kepada Umno Sabah, kes selesai.-Mkini


JIMMY WONG SZE PHIN MP Kota Kinabalu.

Kes SOSMA Khairuddin-Chang kembali ke Mahkamah Tinggi

Posted: 03 Nov 2015 05:07 AM PST

Hafiz Yatim 






Mahkamah Persekutuan hari ini menyerahkan semula kepada Mahkamah Tinggi untuk memutuskan sama ada dakwaan terhadap bekas pemimpin bahagian Umno Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dan peguamnya Matthias Chang adalah mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2015 (SOSMA).

Keputusan itu dibuat oleh Ketua Hakim Negara Tun Ariffin Zakaria yang mengetuai panel lima anggota selepas mendapati tiga persoalan undang-undang berhubung pendakwaan yang ditimbulkan tidak sempurna mengikut Seksyen 84 Akta Mahkamah Kehakiman 1984.

"Mahkamah ini mengarahkan Mahkamah Tinggi mendengar perkara berkenaan dengan segera dan perkara itu akan didengar pada Khamis," katanya.

Sehubungan itu, Mahkamah Tinggi akan mendengar pada Khamis ini sama ada pertuduhan yang dihadapi oleh kedua-dua mereka di bawah Seksyen 124L Kanun Keseksaan, boleh dibicarakan di bawah SOSMA.
Arifin juga enggan membenarkan ikat jamin sementara kerana bimbang ia boleh mempengaruhi isu berkenaan.

Hakim-hakim lain yang bersidang bersama ialah Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Md Raus Sharif dan Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Ahmad Ma'arop, Tan Sri Hasan Lah dan Datuk Ramly Ali.

Pada 19 Oktober lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur merujuk kes melibatkan kedua-duanya ke mahkamah tertinggi negara bagi memastikan sama ada pertuduhan yang mereka hadapi boleh dibicarakan di bawah SOSMA.

Mahkamah Tinggi mengemukakan tiga persoalan undang-undang iaitu sama ada pertuduhan mengikut Seksyen 124L tertakluk di bawah SOSMA sebagaimana diperuntukkan di bawah Perlembagaan.

Jika persoalan itu dijawab secara positif, persoalan berikut yang perlu dijawab ialah adakah kedua-dua pemohon (Khairuddin dan Matthias) berhak dibebaskan dengan jaminan.

Sebaliknya, jika jawapan kepada persoalan pertama adalah negatif, mahkamah akan menentukan sama ada perbicaraan terhadap kedua-dua tertuduh dijalankan di Mahkamah Sesyen dengan mengambil kira peruntukan hukuman tertakluk di bawah Seksyen 124L Kanun Keseksaan.

Pada 12 Oktober lalu, Khairuddin dan Matthias didakwa cuba melakukan perbuatan sabotaj terhadap perkhidmatan perbankan dan kewangan negara di antara 26 Jun dan 26 Ogos lalu bertempat di lima lokasi berlainan.

Ia berhubung tindakan mereka membuat laporan polis mengenai skandal 1MDB dan danaRM2.6 bilion yang didakwa disalurkan ke akaun peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Lokasi-lokasi itu ialah di Pejabat Ketua Polis Bahagian Jenayah Ekonomi dan Kewangan Paris, Perancis; Balai Polis Charing Cross, London; Pejabat Peguam Negara Switzerland, Bern; Balai Polis Waichan, Hong Kong; dan Ibu Pejabat Polis Cantoment, Singapura.


DRAMA MENJELANG HARI SELASA

Posted: 03 Nov 2015 01:00 AM PST

shahbudindotcom






Drama muncul lagi. Hampir tiap kali tibanya hari Selasa, selalu saja muncul drama baru berkaitan saman Perdana Menteri, Najib Razak terhadap akhbar perniagaan terkemuka Amerika Syarikat, The Wall Street Journal (WSJ) yang digembar-gemburkan sebelumi ini.

Setelah beberapa drama berjaya dipentaskan sehingga berpuluh-puluh hari Selasa telah berlalu, namun saman tidak juga menjadi kenyataan sebagaimana yang dijanjikan, sebaliknya wang RM2,600 juta yang didedahkan WSJ itu pula yang makin kuat dipertahankan, kini muncul satu lagi drama baru mengenainya.

Peguam Najib hari ini pula berkata, saman terhadap WSJ itu mungkin tidak difailkan di Amerika Syarikat atas alasan Perdana Menteri tidak begitu dikenali di sana.

Faktor tidak dikenali itu menjadi pertimbangan baru kerana kononnya jika menang pun, jumlah pampasan yang diterima Najib nanti hanyalah kecil saja.

Keadilan adalah satu perkara, tetapi ganti rugi juga penting, kata peguam Najib dengan memberi contoh seorang ahli perniagaan United Kingdom yang menang saman di Amerika Syarikat tetapi hanya menerima jumlah pampasan yang kecil jumlahnya.

Peguam Najib turut memberi contoh kononnya Anwar Ibrahim dan Lim Guan Eng juga mengemukakan saman bukan saja untuk mencari keadilan, tetapi juga untuk mendapatkan pampasan.

Hahaha...semalam ketawa kepada Hadi Awang yang mahu menjadi penasihat BN, hari ini terpaksa ketawa untuk Najib dan peguamnya pula.

Satu demi satu drama lucu berjaya mereka pentaskan mereka untuk hiburan rakyat negara ini. Benarkah Najib tidak begitu dikenali sedangkan beliau paling kerap melawat Amerika Syarikat, dapat bermain golf dengan Obama serta mungkin paling banyak menjadi sebutan medianya atas pelbagai sebab?

Dan bila pula Anwar dan Guan Eng mengemukakan saman semata-mata kerana wang pampasan?

Bukankah dulu Najib ada mengatakan saman akan dikemukakan terhadap WSJ adalah bertujan untuk membersihkan namanya yang kononnya telah difitnah oleh akhbar perniagaan itu?

Apa hal nak fikir besar atau kecil gantiruginya pula sekarang ini?

Apakah Najib seorang Perdana Menteri yang tidak berduit sehingga begitu mengharapkan laba pampasan yang besar apabila mengemukakan saman terhadap WSJ?

Bukankah derma besar RM2,600 juta sudah ada?

Sebelum bercakap soal gantirugi pula, apakah peguam Najib benar-benar yakin mereka boleh menang apabila menyaman akhbar tersebut berkaitan pendedahan wang RM2,600 juta yang masuk ke akaun peribadinya?

Dalam masa yang sama, peguam Najib juga memberi alasan mengenai kesukaran untuk mengemukakan saman terhadap WSJ di Malaysia kerana bimbang akhbar itu menggunakan perlindungan Akta Speech yang menjadikan keputusan mahkamah itu tidak boleh dikuatkuasakan di Amerika Syarikat.

Makna mudahnya, semuanya belum pasti lagi sama ada Najib mahu meneruskan saman itu atau sebaliknya.  Sebabnya, kalau nak saman di Amerika Syarikat, takut jumlah pampasannya ciput manakala jika di Malaysia pula, bimbang dengan Akta Speech.

Lalu,  drama dan alasan sentiasa direka untuk melengahkan masa sambil membuatkan rakyat secara perlahan-lahan terhasut dan  percaya dengannya, lalu bersetuju bahawa saman itu tidak perlu diteruskan.

Sebenarnya itulah tujuannya drama menjelang hari Selasa ini dipentaskan.

Maka, bukankah lebih mudah jika Najib dan peguamnya berterus-terang saja bahawa saman itu tidak jadi difailkan sama ada di Amerika Syarikat mahupun di Malaysia? Mahu disaman apa lagi kerana dakwaan berkaitan wang itu bukan saja sudah diakui, bahkan sudah ramai yang bangga dapat turut menerimanya.

Tidak perlu terus menerus mementaskan drama demi drama kerana "makcik Felda "dan "pakcik kedai kopi di kampung" sebenarnya sudah ramai yang menggunakan telefon pintar sekarang ini. Mereka sudah faham segala-galanya.
Cukup-cukuplah.


MP BN selar pembangkang samakan TPPA dengan GST

Posted: 03 Nov 2015 12:52 AM PST

ANTARAPOS,COM


Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Tindakan seorang anggota Parlimen pembangkang yang cuba menyamakan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) dengan pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) hari ini disifatkan sebagai analogi 'orang tidak sekolah'.
 
Datuk Zainudin Ismail (BN-Jelebu) mendakwa anggota Parlimen itu, Datuk Mahfuz Omar (PAS-Pokok Sena) 'cekap' membuat analogi seumpama itu.
 
Namun, kata Zainudin, jika pelaksanaan GST dikatakan sebagai langkah tidak bijak seperti yang sering didakwa pembangkang, bermakna lebih 160 negara yang mengamalkan sistem percukaian itu juga tidak bijak.
 
Bagaimanapun, katanya, pelaksanaan GST adalah 'hikmah', kerana ia telah dapat menampung kekurangan pendapatan negara akibat kejatuhan harga minyak dan komoditi di samping kemerosotan ekonomi dunia.
 
"Kita tak tahu harga minyak akan jatuh dan ketika GST dilaksanakan, berlaku kemerosotan ekonomi dunia, maka jadi rahmat kepada negara... masih dapat buat belanjawan yang baik untuk kesejahteraan rakyat, hasil daripada GST," katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2016 pada persidangan Dewan Rakyat semalam.
 
Terdahulu, Zainudin memuji langkah kerajaan melaksanakan GST yang telah membantu menjana pendapatan negara walau berhadapan kemerosotan ekonomi dunia.
 
Mahfuz kemudian mencelah bertanya, jika Malaysia melaksanakan GST kerana 160 negara melaksanakan sistem percukaian itu, bagaimana dengan TPPA yang hanya melibatkan 12 negara.
 
Menjawab soalan Mahfuz, Zainudin berkata: Jangan samakan soal TPPA dengan cukai (GST).
 
TPPA memang 12 negara terlibat, tapi kalau 100 negara terlibat lagi baik. 
 
"Tapi walaupun hanya 12 negara terlibat, kita akan dapat akses 95 kali ganda lebih besar saiz pasaran dengan menyertai TPPA," katanya. 
 
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed baru-baru ini dilaporkan berkata rundingan TPPA telah selesai di Atlanta, Amerika Syarikat pada 5 Oktober lalu selepas lima tahun berunding.
 
Namun ia belum ditandatangani dan perlu dibincangkan di Parlimen terlebih dahulu.
 
Katanya, teks perjanjian itu dijangka diterima dalam tempoh terdekat dan dibahaskan di Parlimen seawal-awalnya Januari tahun depan.
 
Negara-negara yang menyertai rundingan TPPA ialah Brunei, Chile, Singapura, New Zealand, Amerika Syarikat, Australia, Peru, Vietnam, Mexico, Kanada dan Malaysia.
 
 

IGP diminta bersara, EAIC sahkan polis pukul mati tahanan

Posted: 03 Nov 2015 12:50 AM PST

Kow Gah Chie


PARLIMEN l Gobind Singh Deo (DAP-Puchong) mahu Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar meletakkan jawatan selepas Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) mendapati bahawa seorang tahanan dipukul hingga mati oleh polis tahun lalu.

Dalam laporannya, EAIC mencadangkan dakwaan membunuh dikenakan ke atas anggota polis berkenaan selepas siasatan mendapati Syed Mohd Azlan Mohamed Nur, 25, dipukul hingga mati ketika dalam lokap di Sungai Rengit, Johor, pada 3 Nov 2014.

"Ini laporan memalukan membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM). Laporan seumpama ini cukup untuk IGP letak jawatan," kata Gobind Singh Deo di Dewan Rakyat ketika membahaskan Bajet 2016 malam semalam.

 Ketua Polis Johor kemudian mengklasifikasikan kematian itu sebagai "kematian mengejut", satu istilah yang tidak boleh dicabar, kata Gobind.

Walau bagaimanapun, katanya, laporan siasatan mendapati terdapat 61 jenis kecederaan di wajah, badan dan kedua-dua kaki lelaki itu.

"Sebahagian daripada kecederaan adalah selaras dengan usaha mangsa melindungi dirinya daripada keganasan fizikal oleh anggota polis.

"Sudah begitu banyak kes (seperti ini). Kita ada Teoh Beng Hock, kita ada Kugan dan sekarang Syed Azlan pula," kata Gobind.

[Baca berita penuh]


Pecat PAS: Azmin guna pendirian Guan Eng sebelum PRU

Posted: 03 Nov 2015 12:42 AM PST

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
 
KUALA LUMPUR: Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali menegaskan beliau hanya menggunapakai pendirian Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng bersabit gesaan ahli parti yang mahu wakil rakyat PAS dipecat daripada pentadbirannya. 
 
Malah Azmin menyifatkan ugutan itu sebagai tidak adil kerana kenyataan itu datang daripada ahli bawahan parti Cina berkenaan.
 
"Itu pandangan DAP Selangor atau seorang delegasi? Saya mengambil pendirian yang dibuat oleh Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng untuk meneruskan khidmat kepada rakyat seperti yang dijanjikan sebelum pilihan raya umum.
 
"Itu keputusan DAP. Anda tak boleh ambil satu pandangan daripada seorang deligasi dan 'go against me' (melawan saya)… saya tak fikir ia adil," katanya di Lobi Parlimen malam tadi.
 
Beliau mengulas mengenai kenyataan Pengerusi DAP Kajang Baru, Chiong Yoke Kong yang menggesa supaya pimpinan tertinggi DAP memberi tempoh kepada Azmin untuk memecat wakil rakyat PAS daripada pentadbirannya.
 
Chiong memberi kata dua bahawa DAP akan keluar dari pentadbiran kerajaan negeri itu jika permintaan mereka tidak dilayan.
 
Sementara itu mengulas mengenai pendirian terbaru PAS yang ingin berkecuali dalam usul menolak Bajet 2016, Azmin bagaimanapun memberitahu bahawa beliau masih belum dimaklumkan mengenainya.
 
"Saya tak tahu, itu keputusan baru," katanya.
 
 

Siaran TV digital percuma tahun depan

Posted: 03 Nov 2015 12:40 AM PST

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
 
CYBERJAYA: Rakyat Malaysia bakal menikmati siaran televisyen digital sepenuhnya secara percuma bermula awal tahun depan dengan adanya perkhidmatan siaran Televisyen Terestrial Digital yang akan dikendalikan oleh MYTV Broadcasting Sdn Bhd (MYTV).
 
Ketua Pegawai Operasi MYTV, Mohamed Redzwan Yahya, bagaimanapun berkata untuk menikmati perkhidmatan itu, pengguna perlu terlebih dahulu memiliki set dekoder atau 'Set Top Box' atau televisyen yang mampu menerima siaran digital secara langsung yang dikenali sebagai iDTV.
 
Katanya untuk itu, set-set dekoder dan televisyen berkenaan perlu mempunyai label khas bagi penerimaan siaran DTTB yang diperkenal oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dikenali sebagai 'Label Pengguna Alat Penerima DTTB" atau ringkasnya 'DTTB Malaysia' yang akan mula diguna pakai awal tahun hadapan.
 
"Dengan adanya label khas ini, pengguna dapat memastikan mereka hanya membeli alat penerima siaran DTTB seperti dekoder dan televisyen yang disahkan untuk menikmati siaran digital dengan kualiti gambar serta audio terbaik," katanya selepas seminar Label Pengguna Alat Penerimaan DTTB di sini baru-baru ini.
 
MYTV selaku pelaksana dan pengendali infrastruktur DTTB di Malaysia juga memegang hak ekslusif penjualan serta pengedaran dekoder DTTB di negara ini dan semua dekoder dilengkapi label 'DTTV Malaysia'.
 
Label DTTB Malaysia diperkenalkan oleh SKMM dan pengeluarannya dikawal selia oleh SIRIM QAS International Sdn Bhd. Menjelas lanjut mengenai DTTB, Mohamed Redzwan berkata, fasa pertama siaran yang dijadual awal 2016 akan meliputi kira-kira 85 peratus kawasan berpenduduk di seluruh negara sebelum dipertingkat kepada 98 peratus menjelang akhir 2016.
 
"Liputan kita adalah berdasarkan kepada populasi penduduk di sesuatu kawasan kerana pihak MYTV mahu memastikan setiap rakyat yang layak dapat menikmati perkhidmatan DTTB ini," katanya.
 
Beliau berkata, menerusi perkhidmatan DTTB, penonton di negara ini akan menikmati banyak manfaat seperti kualiti gambar dan bunyi yang lebih baik, pilihan saluran siaran percuma lebih banyak selain akses perkhidmatan televisyen interaktif termasuk membeli belah dari rumah serta menonton video atas permintaan.
 
Sebanyak dua juta set dekoder akan diedar dan diberi secara percuma kepada isi rumah yang yang layak iaitu mereka yang tergolong dalam kelompok pendapatan 40 peratus ke bawah (B40).
 
Beliau berkata, pengguna hanya perlu menyambungkan alat dekoder kepada antena dalaman yang termasuk dalam pakej dekoder itu, ataupun kepada antena terestrial luaran yang sedia ada untuk menikmati siaran DTTB kelak.
 
Mengenai kos pelaksanaan, Mohamed Redzwan memberitahu projek DTTB itu adalah inisiatif pembiayaan swasta dan pihak MYTV memperuntukkan pelaburan sebanyak RM4.5 bilion bagi tempoh 15 tahun.
 
MYTV adalah syarikat yang diberi lesen oleh kerajaan untuk membangun dan menguruskan infrastruktur serta kemudahan rangkaian bagi perkhidmatan DTTB di Malaysia sebagai usaha melaksanakan penghijrahan sistem penyiaran nasional daripada analog kepada digital menjelang 2017. - Bernama
 
 

Salleh Keruak cadang debat 1MDB Jumaat ini

Posted: 03 Nov 2015 12:34 AM PST

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
SERDANG: Kementerian Komunikasi dan Multimedia mencadangkan sesi debat antara Presiden dan Pengarah Eksekutif Kumpulan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Arul Kanda Kandasamy dan Ahli Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) Tony Pua diadakan pada Jumaat ini.
 
Menterinya Datuk Seri Salleh Keruak pada satu sidang media hari ini berkata, debat itu akan disiarkan RTM melalui saluran TV1 dan stesen TV tersebut akan menghubungi kedua-dua pihak untuk mendapatkan persetujuan.
 
"Saya syorkan agar debat secara langsung pada Jumaat ini jam 9 malam hingga 10 malam.
 
 "RTM akan menghubungi kedua-dua pihak mengenai syor itu. RTM akan menyediakan moderator.
 
"Saya berpendapat debat ini perlu disegerakan kerana ia menjadi perbualan masyarakat," katanya selepas Majlis Perasmian Seminar Antarabangsa Linguistik dan Pembudayaan Bahasa Melayu kali ke-9 di Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang.
 
 
 

Mahkamah Tinggi tentukan 3 persoalan undang-undang dalam kes Khairuddin, Matthias

Posted: 03 Nov 2015 12:33 AM PST

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
PUTRAJAYA : Mahkamah Persekutuan hari ini mengarahkan Mahkamah Tinggi menentukan tiga persoalan undang-undang berhubung pendakwaan terhadap bekas Naib Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dan peguamnya, Matthias Chang.
 
Panel lima hakim diketuai oleh Ketua Hakim Negara, Tun Ariffin Zakaria memutuskan demikian selepas membenarkan bantahan awal pihak pendakwaan.
 
Sehubungan itu, Mahkamah Tinggi akan mendengar pada Khamis ini sama ada pertuduhan yang dihadapi oleh kedua-duanya di bawah Seksyen 124L Kanun Keseksaan, boleh dibicarakan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) Akta 2012 (SOSMA).
 
Pada 19 Oktober lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur merujuk kes melibatkan kedua-duanya ke mahkamah tertinggi negara bagi memastikan sama ada pertuduhan yang mereka hadapi boleh dibicarakan di bawah SOSMA.
 
Mahkamah Tinggi mengemukakan tiga persoalan undang-undang iaitu sama ada pertuduhan mengikut Seksyen 124L tertakluk di bawah SOSMA sebagaimana diperuntukkan di bawah Perlembagaan.
 
Jika persoalan itu dijawab secara positif, persoalan berikut yang perlu dijawab ialah adakah kedua-dua pemohon (Khairuddin dan Matthias) berhak dibebaskan dengan jaminan.
 
Sebaliknya, jika jawapan kepada persoalan pertama adalah negatif, mahkamah akan menentukan sama ada perbicaraan terhadap kedua-dua tertuduh dijalankan di Mahkamah Sesyen dengan mengambil kira peruntukan hukuman tertakluk di bawah Seksyen 124L Kanun Keseksaan.
 
Pada 12 Oktober lalu, Khairuddin dan Matthias didakwa cuba melakukan perbuatan sabotaj terhadap perkhidmatan perbankan dan kewangan negara di antara 26 Jun dan 26 Ogos lalu bertempat di lima lokasi berlainan.
 
Lokasi-lokasi itu ialah di Pejabat Ketua Polis Bahagian Jenayah Ekonomi dan Kewangan Paris, Perancis; Balai Polis Charing Cross, London; Pejabat Peguam Negara Switzerland, Bern; Balai Polis Waichan, Hong Kong; dan Ibu Pejabat Polis Cantoment, Singapura. 


Debat terbuka 1MDB bukan penyelesaian masalah - Pemuda PAS

Posted: 03 Nov 2015 12:32 AM PST

 Oleh Syed Mu'az Syed Putra

 
Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat Muhammad Khalil Abdul Hadi menegaskan Debat terbuka mengenai 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bukan satu keperluan untuk diadakan kerana ia bukan penyelesaian kepada pelbagai isu membabitkan syarikat itu.
 
Ketika dihubungi Antarapos, beliau berkata debat antara Presiden dan Pengarah Eksekutif 1MDB Arul Kanda dan anggota Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Tony Pua tidak dapat menjernihkan keadaan yang timbul.
 
"Yang pertamanya kita perlu lihat kepada isu dan isu yang ditimbulkan di situ ialah isu yang berkait dengan 1MDB.
 
"Jadi saya kira bukan soal debat itu sama ada jadi atau tidak jadi, bagaimana bentuk debat itu dan seumpamanya," katanya mengulas perkara itu.
 
Justeru Khalil juga menganggap debat terbuka itu seolah-olah mahu mengelak daripada isu sebenar iaitu kegagalan kerajaan menangani serta menyelesaian polemik  berkenaan.
 
"Jadi kita tidak boleh lari dari isu sebenar iaitu isu 1MDB yang dibincang dan dipersoalkan rakyat di semua peringkat bukan sahaja rakyat di bawah.
 
"Bahkan juga kakitangan-kakitangan itu sendiri yang menunjukkan kebimbangan dan kerisauan daripada cara kerajaan menyelesaikan isu tersebut," katanya.
 
Sebelum ini, Pua yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara pada 29 Oktober telah mencabar Presiden dan Arul Kanda untuk satu  wawancara secara langsung di televisyen.
 
Arul Kanda menyahut cabaran Ahli Parlimen DAP itu dengan syarat Pua meletakkan jawatan sebagai anggota Jawatankuasa PAC.
 
Beberapa hari selepas itu, Arul Kanda menarik kembali syaratnya dan bersetuju mengadakan wawancara tanpa syarat dengan Pua.
 
Mengulas lanjut Khalil berkata tidak dapat dapat membantu memperjelaskan kepada orang ramai pelbagai isu membabitkan syarikat itu.
 
"Ya,saya tidak rasa debat itu boleh menyelesaikan masalah cuma saya bimbang apa yang berlaku ini dilarikan daripada isu yang sebenar.
 
"Isu yang sebenarnya adalah isu 1MDB yang berkait dengan duit rakyat dan seumpamanya," katanya.
 
 
 

Kerjasama Pas-BN untuk kebaikan rakyat

Posted: 03 Nov 2015 12:30 AM PST

SINAR HARIAN
 
 
Nik Abduh Nik Abdul Aziz
Nik Abduh. - Foto Sinar Harian oleh ROSLI TALIB


KUALA LUMPUR - Pas bersedia berbincang dengan BN bagi menjalin kerjasama dengan perikatan itu dalam aspek kebajikan rakyat, kata Ketua Pemuda Pas, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz.
  
Mengulangi pendirian kesediaan parti itu untuk bekerjasama dengan BN, beliau bagaimanapun menjelaskan kerjasama itu bukan untuk mencapai kepentingan politik.
  
"Kami (Pas) sentiasa menunggu jemputan daripada kerajaan sama secara rasmi atau tidak. Yang penting kerajaan panggil kami untuk berbincang. Kami mahu bagi sumbangan untuk rakyat," katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen di sini hari ini.
  
Katanya, Pas terbuka untuk bertemu kerajaan serta bersedia menyumbang pelbagai idea bagi membela nasib rakyat di negara ini.
  
Ditanya kemungkinan kerjasama itu berniat meraih undi untuk pilihan raya umum akan datang, Nik Mohamad Abduh berkata: "Ini bukan langkah berunsur politik tetapi demi kebaikan untuk rakyat. Kami akan kekal sebagai pembangkang dan tiada niat untuk sertai BN."
  
Baru-baru ini, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyatakan kesediaan parti itu untuk menjalin kerjasama dengan semua pihak termasuk BN dalam perkara-perkara yang memberi keuntungan kepada rakyat.
  
Dalam pada itu, Nik Mohamad Abduh berkata, kerajaan perlu mengambil kira pandangan pembangkang bagi memantapkan agenda pembangunan serta kemajuan rakyat.
  
"Sebelum ini Pas sentiasa terpinggir kerana Pas dianggap sebagai musuh. Kalau kerajaan mahu berubah, mesti ambil pandangan pembangkang untuk bincang isu-isu berkaitan," kata Ahli Parlimen Pasir Mas itu. - Bernama


Tebing runtuh di Batu 15 Jln Gombak-Bentong

Posted: 03 Nov 2015 12:25 AM PST

SINAR HARIAN



Tebing runtuh di Batu 15 Jln Gombak-Bentong
Tebing di jalan raya FT 68, Jalan Bentong Lama, Gombak runtuh akibat hujan lebat awal pagi tadi dan keadaan ini menyebabkan laluan tersebut ditutup. - Foto Bernama
 
 
KUALA LUMPUR - Hujan lebat pada awal pagi tadi mengakibatkan tebing di Batu 15 Jalan Gombak-Bentong, dekat sini, runtuh.

Penyelia syarikat konsesi RoadCare Sdn Bhd, Muhammad Nor Shafiq Khusaini berkata kedalaman runtuhan adalah 15 meter, dan sepanjang 39 meter.

"Hujan lebat kira-kira 3.30 pagi tadi...pada masa ini, kami melakukan kerja pemasangan kain kanvas bagi menutup kesan runtuhan bagi mengelak berlakunya tanah runtuh apabila hujan lagi.

"Jalan masuk dari Gombak ke Jalan Bentong Lama, dan juga dari Genting Sempah ditutup kepada semua kenderaan hari ini," katanya ketika ditemui Bernama di lokasi kejadian.

Beliau berkata laluan itu akan ditutup bagi satu tempoh yang akan dimaklumkan kelak. 

Katanya, sebanyak 15 anggota daripada syarikat konsesi itu sedang bertungkus lumus menjalankan kerja-kerja pemasangan kanvas.

Tinjauan Bernama di lokasi kejadian, mendapati laluan menghala ke Bentong runtuh sepenuhnya, dan hanya laluan menghala ke Gombak masih dalam keadaan baik, bagaimanapun masih berisiko kepada pengguna jalan raya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Ali Ahmad menasihatkan pengguna jalan raya supaya menggunakan Lebuhraya KL-Karak sebagai jalan alternatif.  

"Jalan ditutup kepada semua lalu-lintas. Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian itu," katanya ketika dihubungi Bernama. - Bernama


Dos vaksin 5-Serangkai bayi ditunda ke 24 bulan

Posted: 03 Nov 2015 12:17 AM PST

Bernama 





Jadual suntikan dos tambahan vaksin 5-Serangkai (DTap-IPV//HiB) yang diwajibkan pengambilannya ke atas bayi berusia 18 bulan di negara ini ditunda kepada 24 bulan.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata keputusan itu merupakan langkah jangka pendek bagi menangani masalah bekalan vaksin tersebut.

Katanya langkah itu juga dijangka memberikan lebihan vaksin untuk diberikan kepada bayi pada umur dua, tiga dan lima bulan.

"Kementerian telah bersetuju dengan cadangan pakar-pakar imunisasi untuk jadual suntikan dos tambahan 18 bulan ditunda kepada 24 bulan.

"Tiga dos pertama ini yang dipanggil 'prime dose' amat penting untuk kanak-kanak bagi melindungi mereka daripada jangkitan difteria, pertussis, tetanus, polio dan jangkitan Haemophilus influenzae jenis B," katanya dalam satu kenyataan di Putrajaya hari ini.

Buat masa ini, Dr Noor Hisham berkata semua bekalan vaksin 5-Serangkai yang dibawa masuk ke Malaysia hanya digunakan oleh fasiliti kesihatan kementerian.

"Walaubagaimanapun, kementerian akan memastikan 10 peratus daripada bekalan vaksin yang masuk diagihkan kepada fasiliti kesihatan selain daripada yang di bawah kementerian termasuk klinik/hospital swasta.

"Ini bagi memastikan kesinambungan perkhidmatan imunisasi untuk kanak-kanak serta mengelakkan keciciran imunisasi," jelas beliau.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata Kementerian Kesihatan juga telah mengkaji kemungkinan menggunakan regimen vaksin terdahulu dan mendapati kebanyakan vaksin-vaksin terdahulu ini tidak berada dalam bentuk kombinasi.

Katanya, produk-produk ini telahpun berdaftar dengan Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan.

Dr Noor Hisham menegaskan kementerian akan terus memantau bekalan vaksin DTaP-IPV//Hib dalam negara dan meminta semua pihak agar terus memberikan sokongan dan kerjasama dalam melaksanakan langkah-langkah yang digariskan.

"Ibu bapa yang mempunyai anak yang dijadualkan akan menerima imunisasi 5-Serangkai dos tambahan, diminta menghubungi klinik berhampiran untuk maklumat lanjut," katanya.- Bernama


Fahmi Zainol, Adam Fistival masuk PKR

Posted: 03 Nov 2015 12:11 AM PST

 
Fahmi akan dilantik Pengerusi Biro Mahasiswa PKR manakala Adam dilantik sebagai Koordinator myChangeMakers.


PKR-Fahmi-Zainol


PETALING JAYA: Dua aktivis mahasisiwa pro pembangkang yang dikenakan tindakan Universiti Malaya (UM) kerana melanggar peraturan, Fahmi Zainol dan Adam Fistival Wilfrid mengumumkan menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar berkata, Fahmi, bekas Presiden Persatuan Mahasiswa UM (PMUM), akan dilantik sebagai Pengerusi Biro Mahasiswa PKR.

Manakala Adam akan dilantik sebagai Koordinator myChangeMakers bagi mengumpul tenaga muda untuk bertugas di lapangan bagi membantu rakyat terbanyak menerusi kerja komuniti.

"Penyertaan Fahmi Zainol dan Adam Fistival Wilfrid bakal menjadi pemangkin ke arah kesedaran anak muda akan kepentingan mengambil peduli isu-isu politik dan isu-isu yang memberi kesan kepada kehidupan rakyat secara amnya, tanpa mengira agama atau warna kulit," katanya.

Nurul Izzah berkata, penyertaan Fahmi dan Adam membuktikan anak muda di negara ini dahagakan kebebasan terutamana ketika menuntut di universiti.

"Kami yakin, penyertaan Fahmi Zainol dan Adam Fistival Wilfrid pada hari ini bakal menjadi pemangkin ke arah kesedaran anak muda akan kepentingan mengambil peduli isu-isu politik dan isu-isu yang memberi kesan kepada kehidupan rakyat secara amnya, tanpa mengira agama atau warna kulit," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Fahmi digantung pengajian dua semester dan didenda RM600 manakala Adam didenda kerana terlibat menganjurkan program melibatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Oktober tahun lalu.

DAP desak Azmin terima Pakatan Harapan

Posted: 03 Nov 2015 12:10 AM PST

 
DAP masih mengalu-alukan penyertai Pas dalam Pakatan Harapan dengan syarat Pas tiada kerjasama dengan UMNO.


azmin-ali,pakatan-harapan


SHAH ALAM: DAP meneruskan tekanan terhadap Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin dengan mendesak kedudukan Pakatan Harapan diiktiraf di negeri itu.

Penolong Bendahari DAP Selangor, Lau Weng San berkata, Azmin perlu mengaku bahawa Pakatan Harapan telah wujud di Selangor dan Parti Amanah Negara (Amanah) sebagai sebahagian daripada kerajaan negeri.

"Sesuatu kerja tidak akan lancar kalau namanya tidak betul. Sebab itu pengiktirafan sewajarnya harus diberikan kepada Pakatan Harapan dan Amanah.

"Tidak wajar kata Pakatan Harapan tidak wujud di Selangor kerana kerajaan negeri kini dipimpin oleh PKR, DAP, Amanah dan Pas. PKR,DAP dan Amanah pula bergabung di bawah Pakatan Harapan," katanya ketika sidang media di Lobi Dun Selangor.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kampung Tunku juga tidak menolak sekiranya Pas boleh bergabung dengan Pakatan Harapan.

Bagaimanapun, Pas perlu menolak sebarang bentuk kerjasama dengan UMNO.

"Kalau ada rakan-rakan Pa yang ikhlas dan berjanji akan menentang kezaliman UMNO habis- habisan dan tidak ingin menjadi penasihat kepada UMNO maka tiada masalah untuk terus kekal dalam Pakatan Harapan.

"Saya ada kata juga, kerajaan Pakatan Harapan Selangor haruslah bersifat terbuka sekiranya ada ADUN PAS yang menyokong agenda perjuangan Pakatan Harapan dan tidak ingin bekerjasama dengan UMNO," katanya.

Tak mungkin minyak jatuh bawah AS$40 setong

Posted: 02 Nov 2015 11:57 PM PST

Bernama


 


Malaysia telah membina ketahanan melalui ekonomi yang pelbagai di samping mengurangkan pergantungan kepada komoditi serta mengimbangi impak kejatuhan harga minyak mentah.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar berkata, negara ini juga telah memperluas asas pendapatan melalui pengenalan cukai barang dan perkhidmatan pada April lalu yang menawarkan penampan kepada pendapatan kerajaan.

"Berlaku turun naik harga minyak global. Tetapi dengan peningkatan permintaan dalam jangka sederhana, kita melihat harga semakin naik.

"Tidak mungkin harga minyak jatuh di bawah US$40 setong," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Forum Perbincangan Terus Terang Pengujian Perisian 2015 di Kuala Lumpur, hari ini.

Minyak mentah penanda aras Brent susut 83 sen atau 1.7 peratus kepada US$48.73 setong pada Isnin.

"Kami akan terus memantau perkembangan global. Apa yang perlu kita lakukan ialah meningkatkan ketahanan kita. Kita melakukannya dengan mempelbagaikan struktur ekonomi kita," kata Abdul Wahid.

Menurutnya, penggiat industri minyak dan gas digalak untuk mengukuh bagi mengekalkan operasi ketika tempoh harg minyak mentah yang rendah.

"Ini adalah sesuatu yang turut diperkatakan Peronas. Ketika kita mengukuhkan penggiat industri, anda melihat mereka beroperasi pada skala yang lebih baik, mereka telah mengurangkan kos agar mereka boleh bertahan ketika tempoh harga minyak rendah," katanya.

Sementara itu, Presiden Lembaga Pengujian Perisian Malaysia, Mastura Abu Samah berkata, forum itu memainkan peranan penting dalam membangunkan persekitaran ekosistem kerja yang kukuh.

"Sejak lima tahun lepas, perbincangan pada forum yang serupa telah mendorong pergerakan penting dalam meningkatkan kesedaran dan permintaan untuk perkhidmatan penentusahan dan pengesahan (IVV) di Malaysia," tambahnya.

Bertemakan 'Menjamin Kualiti Melalui Perkhidmatan IVV', forum itu bertujuan mendapat maklum balas daripada pihak berkepentingan untuk memajukan lagi industri pengujian perisian di Malaysia.

Forum dua hari itu dihadiri 200 peserta daripada industri pengujian perisisan, sektor kerajaan serta akademik.- Bernama


'Nak gantung, nak patah, nak kepak saya tak kisah'

Posted: 02 Nov 2015 11:55 PM PST

Jimadie Shah Othman

   



Tan Sri Zainuddin Maidin berkata beliau tidak kisah dengan laporan terkini yang menyenaraikannya antara tujuh anggota Umno yang berdepan risiko penggantungan.

"Saya tiada masalah. Saya tak ada hal nak gantung ke, nak kepak ke, nak patah ke.

"Sebab saya tiada apa-apa (kepentingan) dalam Umno. Saya tiada kepentingan. Keluar pun tidak merugikan saya," kata bekas menteri penerangan itu.

Zainuddin yang lebih dikenali sebagai Zam itu juga secara sinis mengucapkan terima kasih kepada pihak yang memantaunya kerana menjadikannya "lebih besar daripada sepatutnya".

"Saya tidak sedih, saya tidak tersinggung. Saya tidak ada jasa pada Umno," kata bekas ketua pengarang kumpulan Utusan Melayu itu ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Zainuddin dilapor tersenarai antara tujuh anggota Umno dipantau selain Tun Dr Mahathir Mohamad, Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin dan naibnya Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

The Malaysian Insider melaporkan dalam senarai itu termasuk bekas menteri besar Kedah Tan Sri Sanusi Junid selain dua pemimpin lantang akar umbi Umno Datuk Seri Syed Ali Alhabshee dan Datuk Jamal Mohd Yunus.

Portal itu difahamkan bahawa pejabat setiausaha agung Umno masih menentukan kesalahan yang didakwa dilakukan oleh pihak itu dan masih berdepan kesukaran membawa kes itu.

Zainuddin berkata belum dimaklumkan secara rasmi perkembangan itu.

Bagaimanapun, katanya, beliau sedia berdepan jawatankuasa disiplin parti jika dipanggil menghadap dan membela diri.

"Bolehlah (menghadap). Saya nak dengar (tuduhan). Saya tak ada rasa apa bimbang, apa pun," katanya ketika ditanya perkara itu.

Apa pun yang berlaku, Zainuddin bagaimanapun menegaskan faham pada aspirasi Umno hasil perkhidmatan panjangnya bersama Utusan Malaysia sebagai akhbar suara orang Melayu sebelum ini


Debat 1MDB, DAP cari pengganti bagi Pua

Posted: 02 Nov 2015 11:43 PM PST

Kow Gah Chie


 


DAP tidak akan membenarkan Ahli Parlimen Petaling Jaya Tony Pua berundur sebagai anggota Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dan mengabaikan siasatan 1MDB, kata ketua whip parti itu, Anthony Loke.

"Sebagai ketua whip DAP, saya tidak bersetuju bahawa Pua meletakkan jawatan sebagai anggota PAC atau berundur daripada terbabit dengan siasatan 1MDB kerana dia berperanan penting dalam siasatan.

"DAP tidak akan benarkan mana-mana pihak memberi tekanan kepadanya untuk berundur dari siasatan ke atas 1MDB," katanya.

Menurut Loke, DAP akan berbincang dengan sekutunya PKR dan AMANAH untuk mencari pengganti supaya perbahasan dengan Presiden dan Pengarah Eksekutif Kumpulan 1MDB Arul Kanda Kandasamy berhubung syarikat yang sarat hutang itu akan diteruskan pada malam Jumaat nanti.

"Kami akan bincang, calon pengganti mungkin dari DAP, PKR atau AMANAH.

"Kami yakin perbahasan masih boleh diteruskan. Saya pegang kata-kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Salleh Said Keruak bahawa debat akan disiarkan secara langsung di RTM," katanya.

Tiada ulasan: