Sabtu, 28 November 2015

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


Najib pemimpin 'spent -force'

Posted: 28 Nov 2015 06:50 AM PST


Ramai yang memperkatakan yang banyak cawangan UMNO akan mendesak Najib untuk meletakkan jawatan. Ada yang mengatakan setidak-tidaknya sebanyak lima ribu cawangan akan membuat desakan itu. Malahan ratusan cawangan telah pun melakukannya dan ini mendapat reaksi pimpinan UMNO pusat. Adnan Mansor dan Ahmad Zahid telah menuduh ada dalang di sebalik desakan yang dilakukan oleh cawangan-cawangan ini.

Ramai yang beranggapan yang ia didalangi oleh musuh dalam parti. Tetapi tidak kurang yang beranggapan yang ia juga didalangi oleh Zahid Hamidi kerana Zahid mahu mempastikan dirinya mendapat kerjaya sebagai PM itu secepat mungkin.

Walau apa pun desakan itu telah wujud dengan jumlah cawangan yang besar. Jika dua puluh lima peratus dari jumlah cawangan-cawangan membuat tuntutan itu ia tetap melemahkan Najib dan secara moralnya. Najib sudah hilang 'legitimacy' untuk memimpin parti dan negara. Beliau wajar meletakkan jawatan kesayangannya itu. Secara hakikatnya Najib sudah menjadi pemimpin yang 'spent force' dalam partinya sendiri. Bagi sesiapa yang boleh berfikir lebih dalam lagi Najib telah memberikan ruang untuk orang lain melakukan 'dalangan' terhadap beliau untuk berhenti itu.

Jika seseorang pemimpin itu sebenarnya pemimpin yang berwibawa, tidak mungkin sentimen menolaknya begitu besar dan meluas. Jika Najib seorang pemimpin yang benar, tidak mungkin sesiapa boleh mendalangi tuntutan cawangan-cawangan untuk beliau meletakkan jawatan. Apa yang didengar dari UMNO itu adalah ketidak-yakinan ahli-ahli parti itu terhadap Najib. Tetapi yang lebih besar lagi ialah doa dan tuntutan rakyat ramai untuk beliau meletakkan jawatan kerana sudah tidak terlarat untuk bersabar dengan kerenah nya sebagai pemimpin negara.

Kita sekarang boleh bertanya kepada Najib, dimanakah dia tiga juta ahli UMNO yang menyokong nya itu?Sesungguhnya apa yang berlaku di peringkat akar umbi sekarang ini amat membahayakan UMNO itu sendiri. UMNO sudah pasti akan kalah di lebih banyak kawasan kali ini. Setidak-tidaknya kali ini UMNO akan menambah kawasan yang mereka akan kalah. Jika UMNO hanya mendapat kurang dari tujuh puluh kerusi, BN akan tumbang kerana UMNO tidak boleh mengharapkan tambahan kerusi dari rakan komponennya seperti MCA dan Gerakan.

Kekalutan UMNO sudah ada batasnya lagi. Najib hanya menumpukan untuk menyelamatkan dirinya semata-mata. Sejak penyingkiran Muhyiddin dan Shafie Apdal dan pemecatan ramai ahli-ahli parti yang tidak sehaluan, UMNO dan Najibnya sudah tiada jalan lagi untuk menyelamatkan parti ini. Perhimpunan kali ini akan berlaku perubahan dalam persidangan itu. Perhimpunan sayap-sayap parti kali ini akan dirasmikan oleh ketua sayap masing-masing untuk mengelak Muhyiddin dari berucap dan mendapat tumpuan. Zahid Hamidi pun mahu beliau yang merasmikan persidangan sayap-sayap itu.

Sekarang ada ura-ura untuk tidak membenarkan media membuat liputan dan persidangan itu akan diadakan secara tertutup pula. Jika kita melihat dari scenario dalam UMNO kini, kita memahami UMNO sudah tidak boleh diselamatkan lagi. Selagi semua pimpinan parti itu tidak diubah UMNO akan merudum kerana tekanan rakyat untuk presiden parti itu berhenti sudah terlalu meluas dan mendesak.

Jika persidangan dibuat secara tertutup elok jangan bersidang di Kuala Lumpur. Elok kita cadangkan perhimpunan itu dibuat di hutan belantara Pahang sahaja. Di sana tidak ada yang datang menjenguk dan tiada siapa yang mendengarnya. Segala masalah sekarang di dalangi oleh Najib sendiri. Hanya beliau selalu melemparkan kesalahan beliau kepada pihak lain.

UMNO bermusuh dengan semua pihak khususnya kepada orang Melayu. Kita orang Melayu hanya digunakan oleh pimpinan hari ini sebagai pemikul bala perbuatan pucuk pimpinan hari ini.


Pengganas Sulu rancang serangan balas dendam

Posted: 28 Nov 2015 06:48 AM PST



 
Rangkaian itu turut menggunakan warga tempatan yang bersimpati dan menyokong niat jahat kumpulan pengganas tersebut.


lahad-datu


PETALING JAYA: Kumpulan pengganas Sulu di selatan Filipina dalam perancangan untuk membuat serangan 'balas dendam' di Lahad Datu ekoran kegagalan mereka menawan Sabah pada 2013.

Menurut laporan dalam akhbar New Straits Times Online, Kementerian Dalam Negeri difahamkan tentang percubaan itu dan pihaknya sedang berhati-hati dan membuat pemantauan rapi di pantai timur Sabah.

"Kita meneruskan pemantauan secara intensif kerana wujud tanda kumpulan tersebut sedang merancang untuk membalas dendam," kata Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed.

Beliau juga mendedahkan, rangkaian itu turut menggunakan warga tempatan yang bersimpati dan menyokong niat jahat kumpulan pengganas tersebut.

"Mereka kebanyakannya terdiri daripada penduduk setempat dan bukan warganegara Malaysia yang ada hubungan rapat dengan selatan Filipina.

"Mereka menyelinap sebagai orang awam yang menyukarkan lagi usaha kita untuk mengesan mereka," jelasnya.

Terdahulu, Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Datuk Sakib Kusmi menyatakan, pergerakan penduduk yang ada hubungan dengan Sulu sedang dipantau rapat oleh pelbagai agensi termasuk pasukan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom).

Pada Khamis lalu, Dewan Undangan Negeri Sabah meluluskan usul mengharamkan kemasukan warga asing yang ada kaitan dengan kumpulan kesultanan Sulu daripada memasuki negara.

Ia termasuk meluluskan usul khas melarang dua Naib Presiden PKR iaitu Nurul Izzah Anwar dan Tian Chua daripada memasuki negeri itu kerana mengadakan pertemuan dengan Jacel Kiram yang merupakan anak perempuan kepada bekas ketua pengganas kumpulan bersenjata Sulu, Jamalul Kiram III

Pemimpin UMNO ketepi suara bawahan demi kuasa -Tun M

Posted: 28 Nov 2015 06:45 AM PST

 
Apa yang berlaku sekarang telah jauh daripada landasan perjuangan dan menjadikan UMNO tidak lagi demokrasi di mana mereka berjuang untuk pemimpin, bukan bagi pihak akar umbi.


mahathir12


PETALING JAYA: UMNO masih demokratik tetapi amalan itu tidak diamalkan dalam parti itu disebabkan pemimpinnya.

Bekas Presiden UMNO, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, apa yang berlaku sekarang telah jauh daripada landasan perjuangan di mana mereka berjuang untuk pemimpin, bukan bagi pihak akar umbi.

"Kalau dia berjuang untuk presiden dia saja, dia sudah tidak berpegang kepada prinsip UMNO," katanya yang dipetik daripada ismaweb.

Katanya, UMNO akan tetap relevan kepada rakyat khususnya orang Melayu, namun parti itu kini tidak lagi relevan untuk orang yang berbuat salah.

"Yang bersalah itu pemimpin, jadi jangan kita anggap pemimpin dan parti itu sama. Sepatutnya UMNO berpegang kepada Perlembagaan parti, berjuang untuk agama dan negara," katanya kepada pemberita di Sidang Kemuncak Kuala Lumpur (KL Summit 2015) di ibu negara.

Mengulas kenyataan Gabungan Ketua UMNO Cawangan Malaysia yang mendesak Presiden UMNO,
Datuk Seri Najib Razak meletak jawatan, bekas Perdana Menteri itu menyelar sokongan yang dibuat ketua-ketua bahagian kepada Najib yang disifatkannya sebagai membuta tuli.

Ulasnya, ia berlaku apabila sebuah parti lama memerintah di mana para pemimpinnya lebih menghormati kuasa berbanding sistem dan tidak lagi mendengar pandangan bawahan.

"Ahli mengangkat pemimpin untuk menggerakkan parti dan kuasa itu bukan untuk diri mereka tetapi kepada ahli biasa.

"Apabila dia menidakkan hak ahli maka ahli berhak bersuara. Sebab itu cawangan dan ahli-ahli bergerak," katanya.

Kata Dr Mahathir lagi, tindakan Najib menghalang perjalanan perundangan apabila siasatan terhadap beliau berhubung 1MDB dihentikan dengan menggunakan kuasa, jelas lari daripada konsep demokrasi.

"Undang-undang tidak pilih kasih, tetapi bila undang-undang terkena pada orang yang berkuasa dan dia tidak bertindak untuk menafikan undang-undang, maka dia tidak lagi mengamalkan demokrasi," katanya.

Ketika ditanya sama ada akan menyertai Perhimpunan Agung UMNO (PAU) pada 8 Disember ini, beliau berkata akan hadir sekiranya mendapat jemputan.

"Saya tunggu jemputan, kalau dijemput saya hadir. Parti saya, saya ahli parti itu.

"Namun, jika tiada jemputan tak apa, saya akan tetap mengikutinya kerana perhimpunan parti lain juga saya ikut dengar untuk tahu apa yang mereka fikirkan," katanya.

Perwakilan DAP PP disaran undi calon mampu menang PRU14

Posted: 28 Nov 2015 06:43 AM PST

Susan Loone

 


Semua mata akan tertumpu kepada sama ada calon Melayu akan terpilih di kalangan 15 tempat teratas dalam pemilihan DAP Pulau Pinang esok kerana keputusannya akan mengekalkan atau menghapuskan persepsi bahawa ia adalah parti 'cauvinis Cina'.

Bagaimanapun, calon-calon Melayu seperti Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari dan ahli Majlis Bandaraya Pulau Pinang, Syerleena Abdul Rashid yang turut bertanding esok, tidak melihatnya sebagai satu isu.

Zairil berpandangan bahawa isu itu telah diperbesar-besarkan.

"DAP bukan mengenai kaum tetapi kemampuan," kata Zairil kepada Malaysiakini ketika ditemui di Georgetown hari ini.

Beliau berharap para perwakilan akan memilih pemimpin yang mereka anggap mampu menang dalam pilihan raya umum ke-14 (PRU14) dan dapat membantu memastikan perubahan rejim di peringkat persekutuan.

Beliau yang juga penolong setiausaha publisiti DAP berkata mereka yang dipilih esok akan bertanggungjawab untuk menetapkan asas untuk menghadapinya.

Syerleena bersetuju dengan Zairil dan berkata soal kaum tidak sepatutnya menjadi isu kerana apa yang lebih penting ialah setiap orang bekerja keras untuk mencapai apa yang terbaik untuk negara.

"Sudah terdapat agak ramai orang Melayu dalam DAP. Ramai yang baru dan bekerja keras untuk parti," katanya.

Calon Melayu yang lain yang turut bertanding ialah Hamka Abdullah.

Empat puluh lapan calon akan bertanding esok untuk 15 jawatan dalam jawatankuasa negeri DAP. Semua 15 penyandang mempertahankan jawatan mereka.

Mereka termasuk Timbalan Ketua Menteri II P Ramasamy, Exco kerajaan negeri Lim Hock Seng, Phee Boon Poh, Danny Law Heng Kiang dan Jagdeep Singh Deo.

Selain Zairil, MP yang turut bertanding termasuk Ng Wei Aik (Tanjung), Jeff Ooi (Jelutong), Steven Sim (Bukit Mertajam) dan Kasthuriraani Patto.

Ramkarpal Singh (Bukit Gelugor) tidak dapat bertanding kerana beliau tidak layak kerana tidak sampai dua tahun menjadi ahli parti.

Spekulasi bertiup kencang bahawa kontroversi yang melibatkan ADUN DAP Teh Yee Cheu, yang menyokong usul Umno berhubung penambakan laut di Dewan Undangan Negeri minggu lepas, akan menjadi isu esok.

Teh telah memohon maaf atas keputusannya menyokong usul Umno dan telah meletakkan jawatan setiausaha organisasi, tetapi penyokongnya dalam parti telah menganjurkan acara solidariti untuk mempertahankan beliau.

Setiausaha DAP negeri, Lim Hui Ying mengesahkan bahawa 1,076 layak mengundi. Bagaimanapun, berdasarkan konvensyen sebelum ini, hanya 70 peratus akan hadir.

Bekas anggota RCI mahu SB bebas dari pasukan polis

Posted: 28 Nov 2015 06:39 AM PST

MALAYSIAKINI


 


Kerajaan digesa untuk mengkaji keperluan untuk Cawangan Khas (SB) bebas daripada pasukan polis bagi menghalang agensi perisikan itu disalahgunakan untuk tujuan politik.

Perkara itu telah dibincangkan panjang lebar oleh Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Pasukan Polis pada 2005, kata Datuk J Denison, yang turut menganggotai RCI tersebut.

Menurut Denison, suruhanjaya itu membincangkan sama ada negara ini boleh mencontohi amalan di Australia, New Zealand dan Singapura, di mana agensi perisikan mereka beroperasi secara bebas.

"Suruhanjaya itu bagaimanapun memutuskan untuk tidak (mencadangkan) Cawangan Khas dipisahkan daripada pasukan polis.

"Saya rasa (kita) mungkin perlu memikirkan ini semula kerana (kita harus) memisahkan kerja kepolisan biasa yang berurusan dengan jenayah, dan mereka yang berurusan dengan anti-keganasan dan perisikan," katanya di forum awam mengenai Suruhanjaya Bebas mengenai Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) semalam.

Laporan RCI berkata, "Diperhatikan, bagaimanapun, bahawa mengeluarkan Cawangan Khas daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) bukan penyelesaian untuk sebarang dakwaan penyalahgunaan Cawangan Khas, kerana yang sama boleh berlaku walaupun jika ia dijadikan sebagai sebuah organisasi bebas".

RCI bagaimanapun berpendapat bahawa agensi perisikan hendaklah bebas daripada pengaruh politik supaya ia boleh menjalankan tugas secara adil. Ia juga dicadangkan bahawa mana-mana garis panduan dan arahan kepada SB, dibentangkan kepada Parlimen.

Forum IPCMC telah dianjurkan oleh Majlis Peguam sempena ulang tahun ke-10 laporan RCI.

Turut hadir ialah Pengerusi Majlis Peguam Steven Thiru, Human Rights Society (Hakam) Presiden Negara S Ambiga dan Setiausaha Agung PSM S Arutchelvan.

Selepas siasatan yang panjang, RCI membuat 125 cadangan, termasuk penubuhan sebuah lembaga penyeliaan luar, IPCMC.

Ditanya sejauh mana cadangan itu telah dilaksanakan, Denison berkata semua cadangan RCI berkaitan hak asasi manusia masih belum dipatuhi.

Katanya, kerajaan dan pihak polis perlu melihat perkara-perkara yang dibangkitkan oleh laporan RCI sekali lagi untuk menyemak kemajuannya.

Pemimpin wanita PKR minta k'jaan henti buli Nurul Izzah

Posted: 28 Nov 2015 06:37 AM PST

Anne Muhammad

 
Pimpinan Wanita PKR yang diwakili oleh Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok, meminta agar kerajaan berhenti daripada membuli MP Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar.

Sebaliknya, kata beliau, kerajaan perlu memfokuskan kepada masalah yang lebih serius dan menumpukan kepada isu sebenar.

Antara isu-isu tersebut ialah skandal kewangan 1MDB, kelemahan ekonomi negara dan derma politik RM2.6 bilion yang melibatkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

"Kami merasa amat kecewa kerana kerajaan menumpukan perhatian ke atas satu isu kecil gambar foto, dan tidak pula menangani isu sebenar yang sedang merosakkan negara sekarang.

"Sememangnya isu foto ini mengalih pandangan daripada isu-isu penting yang melanda negara ini," kata Kok dalam sidang media di Kongres Nasional PKR ke-11 di Shah Alam hari ini.

Nurul Izzah telah memfailkan saman fitnah terhadap Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang didakwa mengaitkan beliau dengan perbuatan khianat kepada negara ekoran pertemuannya dengan Puteri Sulu Jacel Kiram.

Gambar pertemuan Nurul Izzah itu tersebar selepas Jacel memuat naik empat keping gambar bertarikh 9 November dalam akaun Facebook beliau.

Bagaimanapun, naib presiden PKR itu menyatakan kekesalannya berhubung kegusaran yang timbul akibat foto beliau bersama Jacel tersebar.


10 lagi plaza tol laksana kutipan secara elektronik

Posted: 28 Nov 2015 06:31 AM PST

FREE MALAYSIA TODAY


Ia akan berkuat kuasa pada 13 Januari depan turut membabitkan tiga plaza tol terbabit terletak di sepanjang Lebuhraya Kuala Lumpur-Putrajaya


toll


PUTRAJAYA: Kutipan tol secara elektronik akan dilaksanakan sepenuhnya di 10 plaza tol berkuat kuasa 13 Januari tahun depan.

Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Datuk Ir Ismail Md Salleh berkata, ia membabitkan tiga plaza tol terbabit terletak di sepanjang Lebuhraya Kuala Lumpur-Putrajaya (MEX) iaitu Plaza Tol Salak Selatan; Plaza Tol Putrajaya dan Plaza Tol Seri Kembangan.

Turut terbabit ialah Plaza Tol PJS2; Plaza Tol PJS5 dan Plaza Tol Pantai Dalam yang masing-masing terletak di Lebuhraya Baru Pantai (NPE) selain Plaza Tol Batu 9 serta Plaza Tol Batu 11 di Lebuhraya Cheras-Kajang (Grandsaga).

"Dua lagi plaza tol adalah Plaza Tol Seri Muda dan Plaza Tol Alam Impian yang terletak di Lebuhraya Kemuning-Shah Alam (LKSA)," katanya dalam kenyataan

Sehubungan itu, katanya pengguna perlu menggunakan sama ada kad PLUSMILES, Touch 'n Go atau SmartTAG untuk melakukan transaksi bayaran tol di plaza tol terlibat.

Katanya untuk memastikan operasi berjalan lancar pihak konsesi lebuh raya menyediakan lorong tambah nilai dan penjualan kad Touch 'n Go yang beroperasi 24 jam selain turut menempatkan kakitangan untuk membantu jika berlaku masalah.– BERNAMA

Insiden pergaduhan cemari Kongres Nasional PKR

Posted: 28 Nov 2015 06:28 AM PST

Oleh Azizul Osman 

 
Post Pic

 
SHAH ALAM: Kongres Nasional PKR Tahunan ke-11 yang masuk hari kedua hari ini kecoh apabila dicemari insiden pergaduhan antara perwakilan PKR dan pihak penganjur.
 
Dalam insiden itu, individu yang mendakwa beliau adalah Timbalan Ketua Cabang Kepong dinafikan hak beliau untuk memasuki dewan atas tiket pemerhati.
 
Menurut jurucakap pihak penganjur Kongres PKR, individu tersebut tidak dibenarkan masuk ke dewan persidangan kerana nama beliau tiada dalam senarai pemerhati.
 
'Perwakilan' PKR Kepong yang tidak berpuas hati bertikam lidah dengan pihak penganjur yang menjaga kaunter senarai nama dan memanggil mereka sebagai 'kurang ajar'. 
 
Insiden itu berlaku dipercayai semasa Presiden PKR Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail sedang menyampaikan ucapan Dasar Presiden.
 
Pergaduhan berkenaan berjaya dileraikan setelah perbincangan selama lima minit dibuat antara kedua-dua pihak.
 
Difahamkan, 'perwakilan' Kepong itu bertindak meninggalkan Kongres PKR selepas insiden berkenaan.
 
 

Umno dan BN tidak pernah ‘senazak’ ini

Posted: 28 Nov 2015 06:16 AM PST



Perhimpunan agung Umno
- Foto Bernama


SHAH ALAM - Bekas Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah menyifatkan BN dan Umno berada pada situasi amat kritikal pada ketika ini.

Menurutnya, keadaan itu tidak pernah berlaku sejak kewujudan Umno berpuluh tahun dahulu.

"Hari ini Umno dan BN pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak sedang nazak.

"Umno dan BN tidak pernah senazak ini,"katanya dalam pidato rakyat semasa Kongres Nasional Tahunan ke-11, hari ini.

Beliau yang juga bekas Ahli Majlis Tertinggi Umno (MT) berkata, berdasarkan situasi itu, tidak ada sebab bagi PKR dan Pakatan Harapan untuk tidak berjaya pada PRU14 akan datang.

Namun, katanya, rakan politik pembangkang seharusnya tidak berlawan sesama sendiri sekiranya benar ingin mencapai hasrat menumbangkan BN.

"Pesan orang tua-tua jangan jadi enau dalam belukar,melepaskan pucuk masing-masing. Sebaliknya kita kena bersatu.

"Sejarah politik tanah air menunjukkan walau sekuat mana parti politik, kalau berseorangan akan gagal wujud  Kerajaan persekutuan," katanya.


Dr M: Bagaimana hutang 1MDB dikurangkan melalui jualan Edra?

Posted: 28 Nov 2015 06:10 AM PST

MALAYSIAKINI


 


Bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad turut menyentuh tentang penjualan Edra Global Energy Bhd kepada China General Nuclear Power Corporation (CGN).

Beliau berkata, dilaporkan bahawa 1MDB akan mengurangkan antara RM16 bilion hingga RM18 bilion daripada hutangnya selepas menjual Edra.

Menulis dalam blognya hari ini, Dr Mahathir berkata beliau cuba untuk mengira bagaimana itu dicapai.

Beliau mengingatkan bahawa 1MDB telah membeli loji penjana kuasa itu pada harga RM18 bilion bersama dengan hutang sebanyak RM6 bilion.

Manakala CGN telah membayar RM9.83 bilion bagi 100 peratus aset tenaga itu.

"Setelah menjual Edra untuk RM9.83 bilion, bagaimana ini mengurangkan hutang 1MDB sebanyak antara RM16 hingga RM18 bilion?

"Sekali lagi, memandangkan kejatuhan nilai ringgit, bagaimana hutang dalam dolar AS dikurangkan?" tanya Dr Mahathir.

Bukan itu sahaja, beliau menegaskan bahawa apabila 1MDB membeli loji penjana kuasa itu, ringgit diniagakan pada RM3.2 berbanding dolar AS tetapi kadar sekarang berada pada RM4.2 berbanding dolar AS.

Oleh itu, dari segi dolar AS, RM9.83 bilion yang dibayar oleh syarikat China itu bernilai kurang daripada RM9.83 bilion yang dibayar oleh 1MDB, katanya.

Katanya, jika wang yang dipinjam oleh 1MDB adalah dalam ringgit, kerugian itu akan menjadi minimum.

Tetapi, tegas Dr Mahathir, jika 1MDB telah meminjam dalam AS dolar, ia akan kerugian RM1 bagi setiap dolar yang dipinjam.

Dalam erti kata lain, katanya, apa yang 1MDB dapat daripada jualan itu, tidak akan dapat membayar sepenuhnya hutang yang diperolehi 1MDB dalam dolar AS.

Mahathir juga bertanya sama ada hutang RM6 bilion yang diambil alih oleh 1MDB itu, dianggap sebagai sebahagian daripada aset yang dijual kepada CGN.

Satu lagi soalan penting, katanya, ialah sama ada Petronas akan menjual gas kepada loji penjana kuasa itu dan jika ya, apakah harganya.

Dr Mahathir juga tertanya-tanya sama ada langkah CGN membeli loji penjana kuasa itu adalah satu bentuk pelaburan langsung asing (FDI), walaupun beliau meragui logiknya.

Menurutnya, wang yang dibawa masuk, akan keluar untuk membayar hutang asing, dan jumlah yang keluar itu akan jauh lebih besar daripada aliran masuk.

"(Ia) tidak bunyi seperti FDI kepada saya," katanya.

Jika kerajaan bercadang untuk membenarkan penghantaran balik penuh daripada keuntungan daripada loji penjana kuasa di Malaysia, Dr Mahathir mengingatkan bahawa China mempunyai dasar penghantaran balik dalam bentuk eksport produk China, dan bukan wang tunai.

"Berapa banyak kawalan kerajaan ke atas utiliti milik asing? Penetapan harga yang boleh menyebabkan kerugian kepada syarikat itu, mungkin mengakibatkan subsidi oleh kerajaan," katanya.

Ketika mengumumkan jualan RM9.83 bilion, Presiden 1MDB Arul Kanda Kandasamy menyifatkan pembelian oleh Kumpulan CGN sebagai satu keyakinan yang jelas terhadap ekonomi Malaysia.

Sambil menyifatkan perjanjian itu sebagai satu kejayaan besar dalam pelan rasionalisasi 1MDB yang dibebani hutang, Arul juga berkata, kumpulan CGN adalah pemenang yang jelas dalam bida antarabangsa itu, berdasarkan objektif yang diumumkan oleh 1MDB sebelum ini, iaitu memaksimumkan nilai, terma perdagangan yang boleh diterima, dan kepastian pelaksanaan transaksi.

Perjanjian antara Edra Global Energy Bhd dan Kumpulan CGN itu, yang disasarkan siap pada 2016, merupakan transaksi terbesar yang diumumkan di Malaysia dan salah satu yang terbesar dalam sektor tenaga Asia setakat ini.

Aset yang dijual adalah Edra Solar Sdn Bhd, Edra Energy Sdn Bhd, Powertek Energy Sdn Bhd, Jimah Teknik Sdn Bhd, Jimah O&M Sdn Bhd, Mastika Lagenda Sdn Bhd dan Tiara Tanah Sdn Bhd.

Lebih 200,000 PATI diusir tahun ini - Nur Jazlan

Posted: 28 Nov 2015 06:06 AM PST

Bernama
Lebih 200,000 PATI diusir tahun ini - Nur Jazlan
NUR JAZLAN: Daripada jumlah itu 78,879 orang adalah dari tahanan depoh dan selebihnya mendaftar untuk Program Serah Diri Sukarela atau program 31. -Gambar fail/fotoBERNAMA
 
 
CYBERJAYA: Seramai 222,647 pendatang asing tanpa izin (Pati) telah diusir ke negara masing-masing antara Januari hingga 25 Nov lepas, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed.

Beliau berkata daripada jumlah itu 78,879 orang adalah dari tahanan depoh dan selebihnya mendaftar untuk Program Serah Diri Sukarela yang juga dikenali sebagai program 3+1 yang akan berakhir 31 Dis ini.

Katanya dalam tempoh sama seramai 53,330 orang Pati, 694 majikan dan 34 ejen sindiket telah ditahan hasil daripada 9,429 operasi yang dilaksanakan oleh Jabatan Imigresen dengan kerjasama Rela dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

"Operasi ini dijalankan hampir setiap hari sejak Januari dan kita boleh nampak peningkatan berbanding tahun lepas dengan hanya 5,452 operasi dijalankan.

"Pati yang ditahan kebanyakannya dari Bangladesh, Indonesia, Filipina dan Myanmar," katanya kepada pemberita semasa mengikuti operasi menahan Pati melibatkan 283 pegawai dan anggota Jabatan Imigresen, Rela dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di Bukit Damar, di sini pada awal pagi ini.

Dalam operasi yang bermula pada pukul 1.30 pagi di kawasan penempatan haram pekerja asing itu, seramai 1,163 pekerja asing telah diperiksa dan 290 daripadanya ditahan kerana tidak memiliki permit kerja yang sah.

Mereka terdiri daripada 116 warga Indonesia, Bangladesh (105), Myanmar (22), Vietnam (13), Nepal (3), India (1) dan Pakistan (1).

Turut ditahan 26 wanita warga Indonesia dan tiga wanita Vietnam.

Seorang warga Bangladesh yang ditahan Shawkat Ali, 35, berkata dia baru dipindahkan ke penempatan itu oleh ejennya sejak tiga hari lepas setelah empat tahun tinggal di negara ini sebagai pekerja binaan.

Dia yang telah berkahwin dan mempunyai tiga anak di Bangladesh, berkata dia sebelum ini bekerja di Bukit Jalil, Kuala Lumpur dengan pendapatan RM2,000 sebulan.

"Saya datang Malaysia ikut kawan sebab katanya di sini ada banyak kerja. Saya bayar ejen RM400 sebulan dan masih ada hutang RM2,500," katanya kepada Bernama.

Seorang lagi Pati yang ditahan, Abdul Holiq Basir, 33, berasal dari Pulau Jawa, Indonesia berkata dia juga datang ke negara ini kerana mengikut rakannya sejak setahun lepas dengan menggunakan pasport pelancong.

Bapa kepada dua anak itu berkata dia memperoleh pendapatan sebanyak RM1,800 sebulan dengan bekerja sebagai buruh binaan.
"Saya membayar 7 juta Rupiah (kira-kira RM2,200) untuk ke Malaysia dan pasport saya dipegang oleh majikan," katanya.

Jabatan Imigresen menganggarkan terdapat kira-kira 2,000 pekerja asing yang ditempatkan dalam radius dua kilometer di kawasan penempatan haram di Bukit Damar itu.

KDN siasat dakwaan MYEG lantik ejen daftar pekerja asing

Posted: 28 Nov 2015 05:56 AM PST

Bernama |
KDN siasat dakwaan MYEG lantik ejen daftar pekerja asing
NUR JAZLAN: Jika dakwaan itu benar, MYEG telah melanggar syarat yang menetapkan syarikat itu tidak boleh melantik mana-mana ejen luar untuk tujuan tersebut.
 
 
CYBERJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang menyiasat dakwaan syarikat MYEG Services Berhad atau pegawainya melantik ejen untuk pendaftaran atau pembaharuan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) pekerja asing, kata Timbalan Menterinya Datuk Nur Jazlan Mohamed.

Beliau berkata terdapat aduan bahawa MYEG yang merupakan syarikat tunggal melaksanakan pendaftaran PLKS secara atas talian, telah melanggar syarat yang menetapkan syarikat itu tidak boleh melantik mana-mana ejen luar untuk tujuan tersebut.

"KDN sedang siasat MYEG atau pegawainya jika terlibat, sebab kita terima banyak laporan bahawa syarikat itu melantik ejen untuk daftar pekerja asing.

"Jika benar tindakan mereka ini, ia boleh menyulitkan kerja-kerja Jabatan Imigresen dalam mengawal kemasukan pekerja asing," kata Nur Jazlan.

Beliau berkata demikian selepas mengikuti operasi menahan pendatang asing tanpa izin (Pati) oleh Jabatan Imigresen, Rela dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di Bukit Damar, di sini pada awal pagi Sabtu.

Pada 5 Nov lepas, Nur Jazlan berkata MYEG yang juga penyedia perkhidmatan atas talian bagi jabatan-jabatan telah menafikan dakwaan bahawa syarikat itu telah melantik ejen untuk melaksanakan pendaftaran dan pembaharuan PLKS.

Fitnah: Jangan keruhkan hubungan dengan PKR, Pas

Posted: 28 Nov 2015 05:47 AM PST



 Dr Mohd Hafidz Rizal Amran
Mohd Hafidz
 
 
SHAH ALAM - PKR Kelantan mengingatkan perwakilan-perwakilan parti itu agar tidak mendengar fitnah tersebar yang boleh mengeruhkan hubungan parti itu dengan Pas.

Perwakilan Kelantan, Dr Mohd Hafidz Rizal Amran berkata, hubungan yang terjalin sehingga hari ini sejak sekian lama boleh dipuji kerana masih terjaga.

"Presiden (Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail) pun ada tegur saya tadi, 'hijau sangat' tapi, saya (memakai warna) hijau hari ini tidak semestinya saya sokong seratus peratus apa yang dibuat oleh Pas.

"Tapi kita kena melihat bahawa Pas ini parti yang telah kita bersahabat sekian lama dan pada masa sama, kita boleh memuji persahabatan itu masih terjaga sampai hari ini," katanya ketika membahaskan ucapan Dasar Presiden pada Kongres Nasional PKR Tahunan ke-11, di sini, hari ini.

Mohd Hafidz yang merupakan Ketua AMK Kelantan hadir ke Kongres Nasional PKR hari ini lengkap dengan berbaju Melayu berwarna hijau lengkap bersongkok.

Menyentuh soal layanan Pas Kelantan terhadap partinya di negeri Cik Siti Wan Kembang itu, beliau akui PKR sentiasa dilayan sama rata dengan Pas termasuk dalam soal pembahagian peruntukan.

"Lantikan politik ahli-ahli majlis, penghulu-penghulu, penyelia-penyelia, penyelaras-penyelaras dan juga YB-YB, Alhamdulillah...peruntukkannya.... kalau dapat kepada wakil rakyat RM2, wakil rakyat kita pun dapat RM2.

"Kalau mereka dapat RM600,000, kita pun dapat RM600,000. Itu bermakna persahabatan kita dengan Pas masih terjalin dengan baik," katanya.

Dalam pada itu, beliau mencadangkan agar pimpinan PKR sering mengadakan perbincangan dengan Pas bagi mencari kerusi untuk PKR di Kelantan.

"Pesanan kita kepada pimpinan, adalah kita ingin melihat persahabatan kita di Kelantan mestilah diberikan makna lebih lagi.

"Bermaksud, mestilah ada rundingan atau perjumpaan yang lebih kerap lagi di kalangan pemimpin-pemimpin di Kelantan dan juga PKR untuk sedikit sebanyak menambah kerusi-kerusi yang perlu ditandingi oleh PKR Kelantan," katanya.

Beliau turut menyeru agar pimpinan tertinggi PKR berusaha memperkuatkan Pakatan Harapan dan pada masa sama menjaga hubungan baik dengan Pas yang sudah sekian lama terjalin itu.


IS: Pemuda Pas saran Amanah cari modal lain

Posted: 28 Nov 2015 05:43 AM PST


Ir Khairil Nizam Khiruddin
Ir Khairil Nizam Khiruddin - Foto Sinar Harian oleh ROSLI TALIB


PETALING JAYA - Pemuda Pas menyarankan agar Parti Amanah Negara (Amanah) mencari isu lain untuk dijadikan modal daripada mengaitkan parti Islam itu dengan gerakan pengganas, IS untuk meraih sokongan.

Naib Ketuanya, Ir. Khairil Nizam Khiruddin berkata, tuduhan yang dilemparkan ke atas Pas itu langsung tidak berasas dan ia hanya dilakukan oleh orang-orang yang terdesak.

"Tuduhan ini tidak berasas. Ini adalah perbuatan orang terdesak untuk meraih undi dan mendapat ahli kepada partinya yang baharu.

"Cadangan saya carilah modal lain sebelum nak buat kenyataan seperti itu yang nak menukarkan sokongan rakyat yang sekarang ini semakin bertambah kepada Pas," katanya kepada Sinar Online ketika ditemui selepas majlis perasmian Kongres Nasional AMK dan Wanita PKR di sini, semalam.

Sebelum ini, Amanah dilaporkan melahirkan kebimbangannya terhadap serangan yang dilakukan oleh Pas kepada partinya dan didakwa tindakan itu tidak jauh berbeza dengan fahaman IS.

Menurut Khairil, Pas sudah lama difitnah sejak peristiwa Mamali sehingga hari ini dan beliau yakin fitnah terbaharu ini tidak akan bertahan lama.

"Sudah lama kami kena fitnah. Alhamdulillah kami tetap konsisten dan semakin diterima rakyat.

"Kami yakin fitnah-fitnah ini tidak bertahan lama dan tukang fitnah ini pun tidak lama dalam politik," katanya.

Memetik laporan Antarapos, bekas pemimpin Pas yang kini menyertai Amanah, Datuk Dr Mujahid Yusuf Rawa berkata, serangan yang dilakukan oleh Pas kepada Amanah ekoran tidak berpuas hati dengan tindakan mereka menubuhkan wadah politik baru itu boleh mencambahkan budaya ekstremisme dan terrorisme yang taksub terhadap sesuatu ideologi.

Beliau mendakwa kegiatan ini tidak jauh berbeza dengan fahaman anggota-anggota militan IS yang menganggap mereka sahaja yang betul.

Dalam pada itu, Khairil menasihatkan Pemuda-Pemuda Pas dan penyokongnya agar menjauhi emosi ketika berdepan dengan sebarang fitnah.

"Sifat anak-anak muda memang kena melenting. Itu kekuatan anak muda. Tapi melenting kita ini, melenting yang berasas. Jika ada energi nak melenting, alirkan kekuatan nak marah itu dengan buat kerja di bawah.

"Cari lebih ramai anak-anak muda, kaderkan dan daftarkan mereka untuk pilihanraya kemudian rapatkan mereka dengan Islam. Insya-ALLAH selepas itu ALLAH akan berikan kemenangan kepada Pas," katanya.


Perkara pelik berlaku dalam Umno, kata Muhyiddin

Posted: 27 Nov 2015 10:54 PM PST

MALAYSIAKINI

 


Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini berkata perkara-perkara pelik sedang berlaku dalam Umno sejak kebelakangan ini.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan balas berhubung pemecatan Ketua Wanita Umno bahagian Gopeng Datuk Hamidah Osman oleh Majlis Tertinggi parti pada Selasa lalu.

"Saya bimbang beberapa perkara pelik yang berlaku di dalam Umno sejak kebelakangan ini membayangkan semakin terhakisnya sikap bertanggungjawab, adil dan beramanah dalam kalangan sesetengah pemimpin parti," katanya dalam satu kenyataan lewat petang tadi.

Muhyiddin tidak menamakan nama apabila beliau merujuk kepada "sesetengah pemimpin" parti itu tetapi berkata beliau mempunyai pesanan untuk mereka.

"Kepada segelintir mereka ini, saya ingin berpesan. Ingatlah, Umno bukan parti milik mana-mana individu.

"Umno adalah parti milik seluruh umat Melayu! Jangan dihiris hati orang Melayu dengan tindakan tidak amanah dan tidak bertanggungjawab anda semua!" katanya.

Muhyiddin berkata beliau kesal dan sedih dengan keputusan pemecatan Hamidah, hanya semata-mata beliau menghadiri majlis menyambut kepulangan bekas Presiden Umno Tun Dr Mahathir Mohamad dari luar negara.

Jatuhkan Najib

Mahathir adalah pengkritik paling lantang Najib dan telah berikrar untuk menjatuhkannya sebagai Perdana Menteri.

"Saya sedar sebagai ahli MT, saya terikat dengan sesuatu keputusan yang telah dibuat oleh MT.

"Cuma adalah menjadi kewajipan saya untuk menyatakan pandangan saya mengenai sesuatu perkara yang dilihat bercanggah dengan kehendak perlembagaan parti," katanya.

Muhyiddin merujuk kepada pemecatan Hamidah, yang tidak dibuat melalui Lembaga Disiplin Umno sedangkan katanya, beliau tentunya telah banyak berjasa kepada Umno dan kerajaan.

Katanya, beliau tidak fikir pemecatan seseorang ahli boleh dibuat dengan hanya menghantar surat tunjuk sebab tanpa memanggil ahli yang berkenaan membela diri.

Beliau berkata ada pihak yang berhujah MT boleh memecat seorang ahli tanpa perlu dihadapkan ke Lembaga Disiplin sepertimana yang berlaku dalam kes pemecatan keahlian Datuk Seri Anwar Ibrahim pada tahun 1998.

"Mereka ini tidak tahu sejarah. Lembaga Disiplin hanya diwujudkan selepas Pindaan Perlembagaan Umno pada tahun 2000, iaitu dua tahun selepas Anwar dipecat daripada parti.

"Selaku Pengerusi JK Pindaan Perlembagaan Umno pada waktu itu, saya telah mengusulkan supaya satu Lembaga Disiplin yang bebas dan terdiri daripada ahli-ahli yang tidak berkepentingan dalam parti diwujudkan," katanya.

Muhyiddin juga menjelaskan tujuan berkenaan adalah supaya sebarang keputusan yang diambil oleh Lembaga Disiplin tidak berat sebelah dan adalah adil, telus dan pihak yang diadili akan dapat menerima keputusan yang dijatuhkan ke atas mereka.


Timbalan presiden PKR boleh rasmi sayap, sindir Rafizi

Posted: 27 Nov 2015 10:52 PM PST

Anne Muhammad 





Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli sinis berkata partinya bukan seperti Umno di mana timbalan presiden Umno tidak akan merasmikan perhimpunan agung sayap parti itu.

"Kita berjaya jalankan kongres kita dalam suasana adik-beradik dan muafakat,

"Tidak seperti parti Melayu terbesar di negara ini, paling kurang timbalan presiden kita boleh merasmikan kongres nasional peringkat wanita semalam," katanya dalam ucapan pembukaan di Kongres Nasional Tahunan ke-11 hari ini di Shah Alam.

Timbalan Presiden PKR Azmin Ali merasmikan kongres nasional peringkat wanita semalam.

Tidak seperti kelazimannya bagi setiap perhimpunan agung Umno, kali ini Timbalan Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak akan merasmikan mesyuarat perwakilan tiga sayap parti itu yang dijadualkan bulan depan.

Sebaliknya mesyuarat perwakilan ketiga-tiga sayap Umno itu akan dirasmikan oleh pemimpin masing-masing.

Sementara itu, Rafizi berkata negara mengalami krisis kepimpinan yang paling buruk pernah berlaku.

"Saya memohon dan menyeru kita gunakan sepenuh peluang yang ada pada hari ini untuk kita garap kekuatan kita.

"Kita pupuk peraduan dan kita bina rakyat supaya kita dapat pastikan Najib Tun Razak jangan lagi jadi perdana menteri," katanya.


Azizah: Ambil foto bukan pengkhianatan, berbanding jualan aset 1MDB

Posted: 27 Nov 2015 10:50 PM PST

Zikri Kamarulzaman & Anne Muhammad 






Mengambil gambar tidak boleh dianggap satu pengkhianatan berbanding dengan penjualan aset penjana tenaga 1MDB, Edra Global Energy Bhd kepada General Nuclear Power Corporation (CGN) dari China, kata Presiden PKR Wan Azizah Wan Ismail.

"Malang sekali, akibat angkara 1MDB, kita menyaksikan bagaimana aset-aset jana elektrik telah pun dijual kepada sebuah syarikat China," katanya sambil mendakwa bahawa syarikat tempatan Tenaga Nasional Berhad (TNB) tidak diberi peluang untuk membelinya.

"Ini adalah satu pengkianatan. Bukan ambil gambar dengan sesiapa itu yang dia kata pengkhianat," katanya dalam ucapan pembukaan Kongres Nasional Tahunan PKR ke-11 hari ini.

Walaupun beliau tidak menyebut anak perempuannya yang juga naib presiden PKR, Nurul Izzah Anwar, beliau merujuk kepada siasatan terhadap ahli Parlimen Lembah Pantai itu yang bergambar dengan Puteri Sulu Jacel Kiram.

Nurul Izzah yang juga ahli Parlimen Lembah Pantai telah memfailkan saman fitnah terhadap Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang didakwa mengaitkan beliau dengan perbuatan khianat kepada negara ekoran pertemuannya dengan Jacel.

Gambar pertemuan Nurul Izzah itu tersebar selepas Jacel memuat naik empat keping gambar bertarikh 9 November dalam akaun Facebook beliau.

Bagaimanapun, naib presiden PKR itu menyatakan kekesalannya berhubung kegusaran yang timbul akibat foto beliau bersama Jacel tersebar.

Sebelum ini, Presiden dan Pengarah Eksekutif 1MDB Arul Kanda Kandasamy menjelaskan anak syarikat agensi pelaburan itu, Edra Global Energy Bhd, menjual semua asetnya kepada China General Nuclear Power Corp dengan nilai RM9.83 bilion.


9 ketua cawangan Umno berdepan tindakan disiplin

Posted: 27 Nov 2015 10:47 PM PST

Shakira Buang


  


Sembilan ketua Cawangan Umno Telok Kemang akan dihadapkan ke tribunal disiplin parti itu kerana membuat desakan secara terbuka supaya Datuk Seri Najib Razak meletak jawatan sebagai presiden Umno baru-baru ini.

"Sembilan orang di kalangan mereka yang membuat sidang media di Telok Kemang baru-baru ini, telah menerima surat tindakan tatatertib," kata Ketua Cawangan Taman TKK, Kamarul Azman Habibur Rahman dalam sidang media "Perjuangan Mendemokrasikan Umno" di Puchong, malam tadi.

Menurut Kamarul, kesemua mereka akan dihadapkan ke tribunal disiplin parti itu Rabu depan.

Sebelum ini, kepimpinan tertinggi Umno yakin desakan seumpama itu tidak memberi kesan kepada kedudukan Najib.
"Kalau tak berkesan mengapa kami dikenakan tindakan?" soal Kamarul.

"Tetapi nyata tindakan itu begitu pantas kerana mereka dah bimbang dengan gerakan (desakan agar Najib letak jawatan) ini," tegas Kamarul lagi.

Malah, ujar Kamarul, pihaknya sedang mengatur beberapa tindakan susulan bagi terus mendesak perdana menteri meletakkan jawatan.

"Kita akan susun lagi dengan beberapa aktiviti yang lebih besar daripada ini,

"Kami datang hari ini untuk rangka gerak kerja lebih menyeluruh, agar dapat bergerak ke tiap-tiap negeri," kata Kamarul.

Tambah Kamarul lagi, pada asalnya 34 cawangan telah membuat desakan tersebut namun, dakwanya, jumlahnya telah menjangkau 800 hingga 1,000 ketua cawangan Umno yang sudah menyertai mereka.

"Ia ambil masa sebulan dua lagi dan kita akan buktikan kita ada kuasa untuk jatuhkan dia (Najib)," katanya.

Gabungan Ketua Umno Cawangan Malaysia yang mendakwa mewakili kira-kira 200 cawangan Umno, malam tadi mengadakan pertemuan tertutup bagi mendesak presiden parti itu Najib meletakkan jawatan selepas kecewa dengan presiden parti itu.

Malaysiakini juga difahamkan kesemua mereka hadir atas kapasit sendiri, namun enggan memaklumkan cawangan masing-masing atas faktor keselamatan.


Perhimpunan Agung UMNO 2015: Tun M dijemput hadir - Ahmad Zahid

Posted: 27 Nov 2015 10:39 PM PST

Astro Awani
Perhimpunan Agung UMNO 2015: Tun M dijemput hadir - Ahmad Zahid
AHMAD ZAHID: Majoriti ahli UMNO masih menghargai Dr Mahathir (gambar) tetapi ada garis antara menghormati dan menerima pendapatnya. - Gambar Fail


KUALA LUMPUR: Bekas Presiden UMNO, Tun Dr Mahathir Mohamad dijemput untuk menghadiri majlis pembukaan Perhimpunan Agung UMNO 2015 di sebalik dakwaan bekas perdana itu itu wujudnya usaha untuk menutup mulutnya.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau berharap Dr Mahathir akan menghadiri majlis itu kerana ahli parti masih menghormati beliau.

"Saya amat yakin surat jemputan akan keluar tidak lama lagi tetapi sama ada beliau menerimanya atau tidak, terpulang kepada beliau untuk memutuskannya.

"Majoriti ahli UMNO masih menghargai beliau tetapi ada garis antara menghormati dan menerima pendapatnya. Ia dua perkara berbeza," katanya dalam satu temubual eksklusif bersama akhbar, The Star di Petaling Jaya yang disiarkan pada Sabtu.
Perhimpunan Agung UMNO 2015 dijangka berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dari Disember 8 ke 12. 

Kerajaan DAP Pulau Pinang harus jelaskan maklumat bercanggah dengan Laporan Audit Negara

Posted: 27 Nov 2015 10:33 PM PST

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
GEORGE TOWN: Kerajaan pimpinan DAP Pulau Pinang gagal mengamalkan prinsip Cekap, Akauntabiliti dan Telus (CAT) selepas memberi maklumat yang bercanggah dengan Laporan Ketua Audit Negara berhubung isu penarahan bukit dan pembangunan tanah tinggi di negeri ini.
 
Ketua Biro Pengaduan Awam Pemuda Gerakan, Jason Loo berkata percanggahan maklumat dari kerajaan negeri dan Laporan Audit Negara itu amat ketara dan sering kali mengelirukan kerana angka-angka yang diberi tidak selari.
 
Menurutnya, ketika persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang lepas, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow telah menyatakan bahawa sejak 2008, sebanyak 72 lot tanah di negeri ini telah digondol dan ditarah tanpa kelulusan atau kebenaran.
 
"Namun dalam Laporan Audit Negara tahun 2014 siri 3 telah menyatakan terdapat 268 lot penggondolan atau penarahan tanah tanpa kelulusan atau kebenaran dari tahun 2012 hingga 16 Mac tahun ini.
 
"Mana data yang betul dan tepat? Saya berharap kerajaan negeri yang berprinsipkan CAT dapat menjelaskan perkara ini kepada rakyat," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
 
Pada persidangan DUN lepas, Chow telah menjawab soalan bertulis dari Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Penaga Datuk Mohd Zain Ahmad, dengan menyatakan senarai, lokasi, nombor, tuan tanah, ketinggian atas paras laut, keluasan dan kegunaan semua bukit termasuk tanah yang telah digondolkan tanpa kelulusan atau kebenaran.
 
Loo turut mempersoalkan jawapan diberi Chow ketika menjawab persoalan dibangkitkan dalam sidang DUN terhadap isu kelulusan pembangunan tanah tinggi yang melebihi 76 meter atau 250 kaki dari aras laut.
 
"Tiada pembangunan boleh dilakukan pada kawasan yang melebihi ketinggian 76 meter dari aras laut yang telah termaktub dalam pelan pembangunan Pulau Pinang tetapi Chow sendiri memberitahu terdapat 56 lot tanah diberi kelulusan sejak 2008?
 
"Jawapan Chow ini jelas menunjukkan wujud ketidaktelusan dalam jawapan Ketua Menteri Lim Guan Eng tiga tahun lalu apabila menegaskan tiada sebarang kelulusan diberi Kerajaan Negeri bagi pembangunan di kawasan yang melebihi ketinggian 76 meter di negeri ini," katanya.
 
Sementara itu, Lim ketika ditemui dalam sidang media yang berasingan berkata isu itu akan dijawab oleh Exco yang terlibat.
 
Katanya, kerajaan negeri akan memberikan perhatian yang serius kepada Laporan Audit Negara dan perkara berhubung perbezaan angka itu akan dijawab dalam kadar segera. - Bernama
 
 

Bekas CEO 1MDB perlu sedia lebih banyak info - PAC

Posted: 27 Nov 2015 10:31 PM PST

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Bekas Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Bhd (1MDB), Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi perlu hadir semula ke prosiding Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) pada Isnin depan.
 
Shahrol yang disoal selama lebih empat jam perlu memberi maklumat lanjut kepada PAC sebelum penggantinya, Arul Kanda Kandasamy tampil sebagai saksi di hadapan jawatankuasa Parlimen itu pada hari berikutnya.
 
"PAC mendengar keterangan Shahrol Azral mengenai kawalan tadbir urus 1MDB bermula daripada Pihak Berkuasa Pelaburan Terengganu (TIA) 2009 sehingga kepada penubuhan 1MDB secara rasmi pada September 2009.
 
"PAC juga mendengar keterangan Shahrol Azral berhubung penubuhan syarikat usahasama 1MDB-Petrosaudi," kata Pengerusi PAC, Datuk Hasan Arifin menerusi kenyataan pada Rabu.
 
Kenyataan itu dibuat selepas prosiding PAC berhubung isu 1MDB di Parlimen.
 
Turut hadir pada prosiding itu ialah Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Pelaburan), Datuk Dr Mohd Isa Mohd Hussain yang mewakili Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd Irwan Serigar dan Ketua Perundangan 1MDB, Ivan Chen.
 
PAC juga akan memanggil bekas CEO 1MDB dari April 2013 hingga Disember 2014, Hazeem Abdul Rahman pada 14 Disember depan; bekas Pengerusi Lembaga Pengarah 1MDB, Tan Sri Mohd Bakke Salleh serta bekas Ahli Lembaga Pengarah 1MDB, Tan Sri Azlan Zainol pada 15 Disember dan Pengerusi Lembaga Pengarah syarikat itu, Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin.
 
Prosiding pertama membabitkan syarikat itu telah diadakan pada 19 Mei lepas manakala prosiding kedua pada 10 Jun dan ketiga pada 17 Jun lepas.
 
 

Siasatan ke atas tujuh individu selesai

Posted: 27 Nov 2015 10:29 PM PST

ANTARAPOS.COM


Post Pic


KUALA LUMPUR: Kertas siasatan ke atas tujuh individu dalam Umno telah selesai dan akan diserahkan kepada jawatankuasa disiplin parti untuk diambil tindakan selanjutnya.

Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata kertas siasatan itu akan diserahkan dalam masa terdekat kepada jawatankuasa berkenaan.

"Sekarang ini kita tunggu Lembaga Disiplin untuk lihat kertas itu dan ia akan ambil masa sedikit.

"Keputusan akan dibuat oleh Majlis Tertinggi untuk mengambil tindakan ke atas mereka," katanya kepada pemberita pada sidang media mengenai Perhimpunan Agung Umno 2015, di sini Khamis.

Ditanya identiti tujuh individu tersebut, Tengku Adnan bagaimanapun enggan mendedahkannya, tetapi mengakui beberapa anggota MT parti tersenarai di dalam kertas siasatan itu.

Beliau berkata Ketua Wanita Umno Bahagian Gopeng, Datuk Hamidah Osman yang dipecat baru-baru ini tidak tergolong dalam tujuh individu yang disiasat itu.




Janda kantoi di rumah sendiri

Posted: 27 Nov 2015 10:27 PM PST


khalwat
Gambar Hiasan


KUALA TERENGGANU - Seorang janda tidak serik meskipun sebelum ini pernah ditahan dan didenda kerana kesalahan khalwat, apabila dia masih mengulangi kesalahan sama selepas sekali lagi ditahan berkhalwat bersama pasangannya di rumah sendiri.

Akibat perbuatannya itu, janda berusia 26 tahun itu dihadapkan ke Mahkamah Rendah Syariah Kuala Terengganu dan dijatuhi hukuman penjara sebulan serta denda RM2,600 atau berdepan penjara tambahan lima bulan lagi jika gagal menjelaskan denda.

Sebelum ini, pada 6 Oktober 2013, dia yang bekerja sebagai pembantu kedai kain pernah didenda RM2,400 atau dua bulan penjara jika gagal menjelaskan denda oleh Mahkamah Rendah Syariah Kemaman kerana kesalahan berkhalwat.

Sementara itu, pasangannya yang berusia 35 tahun dan masih bujang pula didenda RM2,600 atau empat bulan penjara, jika gagal membayar denda.

Keputusan dibuat selepas mereka berdua mengaku salah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 31 (b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 kerana berkhalwat.

Mereka didakwa berkhalwat di dalam sebuah rumah di Pangsapuri Ladang, Fasa 2, di sini, jam 12.45 tengah malam pada 30 September lalu.

Sepasukan pegawai penguatkuasa syariah daerah melakukan serbuan berwaran ke atas sebuah rumah pangsapuri itu.

Sebaik tiba, pintu rumah tertutup rapat dan berkunci dari dalam sebelum anggota penguatkuasa mengetuk pintu dan memberi salam beberapa kali.

Pintu utama dibuka seorang wanita kira-kira seminit kemudian sebelum anggota memperkenalkan diri dan menunjukkan waran geledah serta meminta izin untuk membuat pemeriksaan.

Anggota penguat kuasa syariah kemudiannya menemui seorang lelaki di dalam bilik pertama dan pemeriksaan mendapati hanya mereka berada di dalam rumah berkenaan.

Hasil soal siasat mendapati mereka tidak mempunyai hubungan suami isteri atau muhrim, sebelum ditahan untuk siasatan lanjut.

Sementara itu di mahkamah sama juga, seorang penjual ikan yang sebelum ini pernah dikenakan denda RM2,600 atau dua bulan setengah penjara kerana berkhalwat, juga tidak serik apabila sekali lagi dicekup bersama pasangannya di dalam sebuah hotel, September lalu.

Susulan penahanan itu, penjual ikan berusia 19 tahun itu dihadapkan ke Mahkamah Rendah Syariah Kuala Terengganu dan dijatuhi hukuman denda RM2,500 serta sebulan penjara, atau berdepan hukuman penjara tambahan lima bulan jika gagal menjelaskan denda.

Sementara itu, pasangannya berusia 19 tahun dan masih bergelar pelajar pula diarahkan ditahan di Pusat Perlindungan Wanita Baitul Ehsan, Sabak Bernam, Selangor selama enam bulan.

Keputusan itu dibuat selepas kedua-dua mereka mengaku salah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 31 (a) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 kerana berkhalwat.

Berdasarkan pertuduhan, mereka didakwa berkhalwat di dalam sebuah bilik hotel di Jalan Tok Lam, di sini, jam 11.50 pagi, 23 September lalu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Syarie Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu di hadapan Hakim Syarie Nik Mohd Shahril Irwan Mat Yusof.

Mengikut fakta kes, sepasukan pegawai penguatkuasa syariah daerah melakukan satu serbuan berwaran ke atas sebuah bilik hotel di Jalan Tok Lam.

Sebaik tiba di bilik berkenaan, pintu utama tertutup rapat dan berkunci dari dalam sebelum anggota penguatkuasa mengetuk pintu dan memberi salam beberapa kali.

Anggota kemudian mendapatkan kunci pendua daripada pihak hotel, namun masih gagal masuk kerana bilik dikunci menggunakan rantai dari dalam.

Anggota mengarahkan pintu dibuka penghuninya namun tiada sebarang respons. Pintu hanya dibuka kira-kira 20 minit kemudian oleh seorang lelaki.

Sebaik masuk ke dalam bilik, anggota menemui seorang wanita di atas katil dan pemeriksaan mendapati hanya mereka sahaja yang berada di dalam bilik.

Hasil soal siasat mendapati mereka tidak mempunyai hubungan suami isteri atau mahram sebelum ditahan untuk siasatan lanjut.

Sebelum ini, pada 14 April lalu, lelaki tersebut pernah dikenakan denda oleh mahkamah kerana kesalahan berkhalwat bersama pasangan yang lain.

“Saya akan pusing seluruh negara,” kata Hamidah

Posted: 27 Nov 2015 10:12 PM PST


Hamidah Osman
Hamidah bersama kira-kira 50 ahli Gabungan Ketua Cawangan Malaysia ketika mengadakan pertemuan di Kelab Golf Kinrara, malam tadi.


PUCHONG – "Saya akan pusing seluruh negara... kita nak semua bangkit... saya yakin ramai di luar sana menyokong cuma tak berani ke depan,"demikian reaksi  bekas Ketua Wanita Umno Bahagian Gopeng, Datuk Hamidah Osman.

Beliau yang juga bekas Ketua Penerangan Wanita Umno Malaysia menganggap pemecatannya daripada Umno sebagai satu rahmat, tiada masalah baginya terkorban namun  jiwa dan hatinya tetap dalam parti itu.

"Takpelah...tak tahulah berapa ramai lagi nak dipecat..pecatlah..pecat semua...13 dipecat...300 lagi datang...300 dipecat...3,000 boleh datang...,"katanya ketika berucap di depan kira-kira 50 ahli Gabungan Ketua Cawangan Malaysia, di sini malam tadi.

Hamidah berkata, beliau sudah bersedia dipecat sebelum ini, tiada gunanya berada dalam Umno kerana tidak dapat melakukan apa-apa untuk menyelamatkan parti.

"Kapal kita dah hampir bocor, sekejap senget ke kiri... sekejap senget ke kanan.... tunggu tenggelam,, nakhoda saja yang yakin, yang belakang-belakang nakhoda pun dah goncang juga," katanya.

[ ARTIKEL BERKAITAN: Umno parti politik berdisiplin bukan pasar ]

Beliau berkata, hanya mereka yang tidak mempunyai kepentingan terjun menyelamatkan diri.

Katanya, gerakan membabitkan ketua cawangan dan ahli cawangan itu akan bergerak secara maksimum sehingga Februari depan.

Beliau yakin dengan jumlah yang ramai, akan menimbulkan kegerunan pimpinan tertinggi parti terhadap gabungan tersebut.

"Sebelum ni saya ketua wanita bahagian, saya dipecat...so what???..what so big about ketua wanita bahagian...depe (mereka) bagi kita makan ke...selama ni Umno ke bagi kita makan? Rezeki ALLAH yang bagi...bukan Najib (Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak) yang bagi," katanya lagi.

Menurutnya, gerakan itu akan bergerak secara senyap dan terbuka bermatlamat menyelamatkan masa depan anak bangsa.

Meski bukan lagi ahli Umno, katanya, beliau tetap akan turun ke PWTC menjelang Persidangan Agung Umno.

"Apa ingat Umno bapa deme (mereka) punya ke...Umno adalah warisan dan perjuangan nenek moyang kita, jadi hak kita bukan depe punya," katanya lagi disahut teriakan ahli gabungan yang hadir di Kelab Golf Kinrara, malam tadi.

Hamidah turut menegaskan kepada pucuk pimpinan supaya tidak melakukan penganiayaan dan memberitahu kehebatan doa orang dizalimi.

Beliau sebelum itu berkata, telah ditawar habuan oleh tiga ahli majlis tertinggi.

"Mereka nak beri duit.. jawatan... projek.., memang itu cara mereka, saya tak mahu jadi pengkhianat, apa yang penting kena letakkan kepentingan parti dan anak dan cucu lebih dulu," katanya.


‘Di sana tikam-tikaman tapi di sini budiman’

Posted: 27 Nov 2015 10:10 PM PST


Datuk Saifuddin Abdullah
Datuk Saifuddin Abdullah
 
 
SHAH ALAM - "Di sana tegang, di sini tenang, di sana tikam-tikaman, di sini budiman," demikian ujar Datuk Saifuddin Abdullah sekaligus menarik perhatian ramai.

Saifuddin yang merupakan bekas ahli Majlis Tertinggi Umno kini menjadi sebahagian daripada ahli PKR sejak menyertai parti itu beberapa bulan yang lalu.

Kata-kata pembukaannya dalam sesi Pidato Rakyat itu menambat hati ahli PKR, sekaligus mendapat sorakan seluruh peserta Kongres PKR di Ideal Convention Centre (IDCC) di sini, hari ini.

Menurut Saifuddin lagi, negara kini berada dalam keadaan 'serba tidak kena' akibat kegagalan urus tadbir dan pengurusan kerajaan Umno.

"Yang tidak ada kena-mengena, kena (tindakan undang-undang). Yang ada kena mengena, tidak kena (tindakan undang-undang) apa-apa," katanya lagi.

Ujar Saifuddin, di kala negara berada dalam keadaan yang membimbangkan, gabungan pembangkang perlu bersatu hati dan bekerjasama dengan lebih baik bagi meyakinkan rakyat tentang reformasi yang diperjuangkan.

Menurutnya, seluruh pimpinan pembangkang seluruh negara harus menunjukkan komited dalam pembangunan politik, sosio ekonomi dan sosial masyarakat.

"Keputusan Pilihan Raya Umum 2013 memperlihatkan perkara penting buat PKR iaitu rakyat secara jelas menolak kepimpinan kerajaan sekarang," katanya.


Tiada ulasan: