Ahad, 22 November 2015

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


DAP hanya jaja nama Anwar tapi tiada bukti - PAS

Posted: 22 Nov 2015 03:49 AM PST

 Oleh Sharifah Azmawati Syed Aziz

 
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: DAP perlu membuktikan dakwaan kononnya bekas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut merestui pembentukan Pakatan Harapan (PH) tanpa penyertaan PAS.
 
Setiausaha PAS Selangor, Mohd Khairuddin Othman berkata, tindakan DAP yang menjaja nama bekas ketua pembangkang itu turut dilihat hanya mahu menimbulkan provokasi.
 
"Cuma alasan-alasan yang mengatakan Parti Amanah Negara (Amanah), PKR dan DAP dalam satu gabungan, dia (DAP) perlu buktikan perkara itu, kita (PAS) tidak pula dengar perkara itu," katanya kepada Antarapos.
 
Beliau mengulas dakwaan bahawa Anwar menyokong PKR dan Amanah bekerjasama tanpa PAS walaupun berada dalam penjara.
 
Teo berkata, keyakinannya itu kerana PAS sudah pun memungkiri janji dan membelakangkan polisi yang dipersetujui bersama Pakatan Rakyat dahulu.
 
Beliau mendakwa kononnya DAP tidak mahu mencampuri urusan masalah dalaman PAS tetapi mendakwa PAS sendiri yang merosakkan hubungannya dengan PKR dan DAP.
 
Bahkan Teo berkata, PH bukanlah tempat untuk pemimpin yang hipokrit.
 
Susulan kenyataan Teo yang dilihat ekstrem itu, Khairuddin meminta supaya DAP tidak terlampau celupar dengan kenyataan yang tidak berasas itu.
 
"Kalau DAP hendak main tuduh-menuduh, kita juga boleh mengatakan bahawa DAP ada juga perkara yang dimungkiri, ada yang telah dimungkiri oleh DAP dalam Pakatan Rakyat.
 
"Tetapi kalau alasan itu hendak dijustifikasikan dan tendang PAS keluar, kita tahu pendirian DAP daripada awal lagi daripada awal pun memang tidak sukakan kita dan rakyat boleh menilai," katanya.
 
Dalam perkembangan lain, Khairuddin juga turut meminta supaya DAP berhenti menuduh mana-mana individu yang dilihat tidak menyebelahi mereka.
 
Beliau berkata demikian mengulas mengenai tindakan lima ADUN PKR yang mengambil sikap berkecuali dalam proses pengundian usul dikemukakan pembangkang di DUN Pulau Pinang.
 
"Saya melihat DAP ini tidak mahu menyelesaikan masalah.
 
"Dia hendak memanjangkan cerita dan rakyat akan muak dengan tindakan ini dan yang terbaru dalam ucapan Lim Guan Eng di Pulau Pinang, tetapi apa yang dilaporkan oleh media, seolah-olah apa yang dilaporkan kalau tidak menyokong DAP itu sudah jadi Umno sudah..
 
"Lima ADUN PKR dan satu ADUN DAP tidak menyokong usul tersebut," kata Khairuddin.
 
Bahkan Khairuddin yang juga ADUN Paya Jaras berkata, bukan sahaja PKR terkena tempias DAP yang suka label-melabel, bahkan PAS yang sudah tidak bersama parti itu juga mengalami nasib yang sama.
 
"Sebab itu saya kata DAP ini dia hendak main label-melabelkan orang maknanya. Dia hendak semua orang supaya tunduk kepada dia sedangkan dia mengakui dalam kerjasama tahalul siyasi dan kerjasama parti politik.
 
"Tidak sokong dia sahaja sudah label sebagai Umno, tidak boleh ditegur. Kita yang di Selangor ini pun menyokong calon Senator DAP di Selangor, PAS menyokong sepenuhnya 100 peratus kita sokong pun, kita dilabel sebagai orang jahat," katanya lagi.
 
 

INI SUDAH 'SAKIT' KUAT, MALAH MUNGKIN 'SAKIT' YANG TIADA UBAT!!

Posted: 22 Nov 2015 03:36 AM PST

shahbudindotcom


Satu Malaysia sudah tahu Husam Musa pergi ke China beberapa hari lalu untuk berubat, malah berkenaan dengan debat ini juga sudah dijawabnya dengan panjang lebar bahawa mesti ada persetujuan kedua-dua belah pihak terlebih dahulu.

Mana boleh hanya satu pihak saja menetapkan tarikh, masa dan lokasinya. Mengikut jadual asal, bekas Naib Presiden Pas itu dijangka kembali ke tanahair pada hari ini (Ahad 22/11/2015).

Tetapi Zaharuddin Mohamad, menantu Hadi Awang ini tetap juga hadir di meja debat seorang diri pada tarikh yang ditetapkannya sendiri iaitu semalam 21/11/2015. Kemudian siap ambil gambar dan letakkan di media sosial seolah-olah Husam takut berdebat dengannya.

Aduhh...ini sudah kes berat!! Malah mungkin tiada ubat yang mujarab untuk seseorang yang ada "sakit"  seperti ini.

Obama beritahu Najib supaya banteras rasuah

Posted: 22 Nov 2015 03:27 AM PST

Alyaa Azhar


 


Presiden Amerika Syarikat Barack Obama hari ini mengesahkan bahawa beliau memberitahu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak supaya membanteras masalah rasuah.

Obama berkata beliau membangkitkan perkara itu kepada Najib, sama seperti bagaimana beliau dengan pemimpin lain di Sidang Kemuncak Asia dari Asia Tenggara, Afrika dan Amerika Latin, mengenai kepentingan ketelusan, akauntabiliti dan membanteras rasuah.

Menurutnya, jika perkara itu tidak dititikberatkan, maka pembangunan akan terhalang, pertumbuhan terbantut, dan menggalakkan kemiskinan, katanya.

"Saya tidak akan mengulas mengenai siasatan yang berlaku di Amerika Syarikat, saya tentunya tidak akan mengulas mengenai apa-apa siasatan atau prosiding undang-undang yang berlaku di negara luar sedangkan saya seorang pelawat," katanya dalam sidang media di Kuala Lumpur hari ini.

Tiada kerjasama Umno, Pas di Selangor

Posted: 22 Nov 2015 03:02 AM PST

SINAR HARIAN


Muzakarah


SHAH ALAM - Umno Selangor menyangkal dakwaan bekas Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa bahawa parti itu merancang untuk membentuk kerajaan perpaduan dengan Pas di negeri ini.

Menafikan demikian, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor Mat Nadzari Ahmad Dahlan berkata, tiada sebarang kerjasama terutamanya berkaitan politik wujud antara kedua-dua parti itu.

"Juga tiada sebarang pertemuan dibuat oleh kedua-dua parti dalam usaha mewujudkan kerajaan perpaduan seperti yang didakwa," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program 'My Rezeki Festival' di sini, hari ini.

Dakwaan Husam itu didedahkan menerusi sedutan video rakaman ceramah di Pasar Kedai Mulong, Kota Bharu yang dikongsi di Facebook Husam baru-baru ini.

Pas menerusi Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebelum ini menyifatkan dakwaan Husam itu tidak berasas kerana Pas hanya bekerjasama dengan Umno dalam  perkara yang menyentuh kepentingan negara dan rakyat sahaja. - Bernama

Muhyiddin, Shafie Apdal ‘terselamat’ dari dipecat

Posted: 22 Nov 2015 03:00 AM PST

Muhyiddin Shafie


SHAH ALAM - Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor pada hari ini menafikan dakwaan Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Naib Presiden, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal akan dikenakan tindakan pada mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) parti, pada Selasa ini.

Tengku Adnan berkata, siasatan terhadap kedua-dua pemimpin itu oleh Lembaga Disiplin parti masih berjalan dan Umno tidak akan mengenakan tindakan termasuk memecat atau menggantung ahlinya sesuka hati, lapor sebuah portal.

"Mesyuarat berkenaan yang sepatutnya diadakan pada Jumaat ini diawalkan kepada Selasa kerana masa yang semakin suntuk sebelum Perhimpunan Agung Umno 2015 bulan depan dan diadakan di Parlimen bagi memudahkan ahli MT yang kebanyakannya ahli Parlimen," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Berkhatan Perdana Peringkat Wilayah Persekutuan 2015 di sini, pagi ini.

Sebelum ini, timbul desas desus mengatakan Muhyiddin dan Shafie akan dikenakan tindakan termasuk dipecat atau digantung daripada parti itu pada mesyuarat MT Umno Selasa ini.


Chong Wei juarai Terbuka Hong Kong

Posted: 22 Nov 2015 02:56 AM PST

SINAR HARIAN


Chong Wei
Chong Wei
 

BEKAS pemain nombor satu dunia Datuk Lee Chong Wei meraih gelaran kelimanya musim ini selepas menewaskan Tian Houwei di final Kejohanan Badminton Siri Super Terbuka Hong Kong, hari ini.

Chong Wei yang kini berada pada ranking keenam dunia mengambil masa 49 minit untuk menundukkan pemain nombor 10 dunia dari China itu, 21-16, 21-15 di Hong Kong Coliseum.

Kemenangan itu membolehkan Chong Wei menjadikan rekod pertemuan mereka kepada 1-1 selepas tewas kepada Tian di Terbuka Australia pada April 2013.

Ini juga adalah kejuaraan keempat Chong Wei, 33, di Terbuka Hong Kong selepas menjuarainya pada 2009, 2010 dan 2013.

Selepas bebas daripada penggantungan lapan bulan atas kesalahan doping, Chong Wei telah meraih gelaran Terbuka Amerika Syarikat dan Grand Prix Terbuka Kanada, kedua-duanya pada Jun lepas.

Terbuka Hong Kong ini adalah kejuaraan ketiga Chong Wei dalam Siri Super musim ini selepas menjuarai Terbuka Perancis bulan lepas dan Terbuka China minggu lalu.

Sementara itu, bagi acara perseorangan wanita, juara dunia dari Sepanyol Carolina Marin menewaskan Nozomi Okuhara dari Jepun, 21-17, 18-21, 22-20 manakala pasangan Zhang Nan/Zhao Yunlei mengalahkan Liu Cheng/Bao Yixin, masing-masing dari China, 21-17, 17-21, 21-17 untuk muncul juara beregu campuran. - Bernama

Obama kata harga ubat naik, mana komen menteri?

Posted: 22 Nov 2015 02:55 AM PST


ubat antibiotik
 
Gambar Hiasan
 
 
SERDANG - DAP membangkitkan soal 'kehilangan' Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti), Datuk Seri Mustapa Mohamed selepas isu harga ubat didakwa bakal naik selepas perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) dimetrai.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, selepas pengesahan kenaikan harga ubat dibuat Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama kelmarin, tiada sebarang kenyataan balas dari mana-mana menteri.

"Kita bimbang bahawa jika setuju TPP, harga ubat akan naik. Kita tanya kerajaan BN tak mahu jawab.

"Tapi sekarang kita dapat jawapan daripada Obama. Beliau mengakui bahawa harga ubat akan naik.

"Setelah Obama cakap, saya tidak melihat sebarang respons daripada menteri-menteri. Tok Pa pun telah menghilangkan diri. Mana Tok Pa? Saya harap Tok Pa boleh jawablah," katanya ketika berucap pada Kongres Kebangsaan Dapsy 2015, di sini, hari ini.

Kelmarin, Obama dilaporkan mengesahkan bahawa harga ubat di negara ini akan mengalami kenaikan selepas perjanjian TPP dilaksanakan ketika menjawab soalan penonton pada pertemuan dengan alumni Inisiatif Pemimpin Muda Asia Tenggara (YSEALI).

Kenyataan itu dilihat bertentangan dengan jaminan Mustafa sebelum ini di mana beliau berkata, TPP tidak akan menyebabkan kenaikan kos perubatan dalam sektor farmaseutikal.

Susulan itu, Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang menuntut penjelasan kerajaan berhubung perkara itu.

"Sekiranya isu-isu ini tidak mendapat penjelasan, saya rasa kita harus memberikan tekanan kepada kerajaan. Tak perlu kita beri tekanan kepada AS. Dia sudah tentu nak pentingkan rakyatnya. Itu biasa.

"Kalau soalan seperti ini tidak dapat dijawab dengan teliti, Saya rasa DAP tidak ada pilihan melainkan menentang TPP apabila dibahaskan di Parlimen," katanya.

Mengulas lanjut, beliau menyifatkan  persoalan itu penting kerana melibatkan kesihatan rakyat di negara ini.

"Kalau harga ubat akan naik, apa lagi akan naik? Jangan ingat, orang tua sahaja yang kena. Orang muda pun kena berjaga-jaga.

LGST pun dah cukup celaka. Mungkin saya cakap hari ini, esok saya kena dakwa tapi kalau GST itu memang celaka, celakalah.

"Tambah lagi dengan nilai mata wang jatuh, harga minyak (dunia) turun, rakyat sudah susah tapi kalau masuk lagi TPP, harga ubat akan naik...wah ini tidak mahu beri kita mampu beli ubat, ini betul-betul nak kasi kita mati," katanya

Halang semak daftar pemilih, SPR patut mansuhkan Seksyen 9A

Posted: 22 Nov 2015 02:49 AM PST

spr

 Roketkini.com


KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu memansuh Seksyen 9A Akta Pilihanraya 1958 bagi mengelakkan pembaziran RM150 juta yang diperuntuk bagi memastikan pilihan raya yang adil dan bebas.

Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Jimmy Wong Sze Phin, berkata ia berikutan seksyen itu menghalang rakyat dari mencabar kesahihan daftar pemilih melalui proses mahkamah walaupun ia membabitkan kepentingan awam.

"Adakah pemegang kad pengenalan meragukan seperti yang dilaporkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) sudah dibersihkan?

"Apabila 'warganegara ekspress' digunakan pihak tertentu untuk mengundi dan menentukan masa depan negara, ia amat bahaya dan tidak wajar," katanya pada kenyataan media, hari ini.
Jimmy Wong Sze Phin
Pengerusi DAP Sabah itu turut mempersoal sama ada peruntukan kewangan mengikut perkara Bekalan B4 melibatkan urusan kemas kini daftar pemilih.

Beliau merujuk kepada Anggaran Perbelanjaan Persekutuan 2016 untuk mengkaji semula peralatan pilihan raya, borang pilihan raya, proses pendaftaran pemilih, filem latihan pendaftaran pemilih dan perjalanan pilihan raya bagi mengurangkan kos pilihan raya.

Jimmy Wong juga mengingatkan semua pihak mengenai kes penahanan 15 pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) melibatkan pemberian kad pengenalan biru pada 1995, malah pemberian seumpama itu kepada warga asing bukan lagi rahsia.

"Ini baru satu kes dari banyak kes yang didedah. Masih banyak lagi yang dilaporkan sama ada melalui media ataupun RCI Pendatang Asing di Sabah.

"Ada banyak sebab bagaimana warga asing mendapat kad pengenalan dengan mudah. Pertamanya kerana sindiket menjual kad pengenalan, keduanya ialah Projek IC untuk tujuan politik," katanya.


Bagaimana tangani 1MDB jika Pengerusi PAC ‘takut’ dengan media?

Posted: 22 Nov 2015 02:46 AM PST

PAC_785

Roketkini.com


KUALA LUMPUR : Kewibawaan Datuk Hasan Arifin sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Awam (PAC) baru untuk memastikan integriti dan akauntabiliti kewangan kerajaan dipertikai berikutan 'ketakutannya' berdepan pengamal media.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang, berkata KPI Hasan bergantung kepada keupayaannya menangani dua dakwaan penyelewengan iaitu derma RM2.6 bilion dan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Seakan-akan Parlimen Malaysia menghadapi sindrom skizophrenia, beliau berkata, Malaysia tidak harus mencatat sejarah dalam sistem berparlimen di dunia sebagai memiliki satu-satunya pengerusi PAC yang fobia media.

"Jika ada individu yang patut dihadap ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen kerana melakukan penghinaan awam, ia sepatutnya Hasan," katanya pada kenyataan media, hari ini.

Sebelum ini, Hasan dilapor kebanyakan media tempatan sebagai berkata beliau juga mahu 'cari makan' ketika ditanya sama ada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak akan dipanggil PAC berkaitan skandal 1MDB dan 'derma' RM2.6 bilion.

Ia mendorong Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo mendesak Hasan meletak jawatan sebagai pengerusi PAC berikutan kenyataan itu memalukan, selain menunjukkan beliau tidak memiliki kebebasan yang diperlukan.

Gerakan Media Marah (GERAMM) turut menyelar Hasan kerana tidak menghormati pengamal media dan memandang rendah kebijaksanaan pembaca apabila memberi alasan kenyataan 'cari makan' itu sekadar gurauan.

Kit Siang juga kesal kerana ketika banyak pihak bercakap soal pembaharuan Parlimen supaya mencapai piawaian dunia, kebanyakan ahli parlimen dan speaker, masih berminda dunia ketiga.

"Di seluruh dunia, Jawatankuasa Kira-kira Awam (PAC) mengadakan sesi di khalayak ramai tetapi di Malaysia, PAC sangat berahsia, malah pengerusinya mengharamkan semua media," katanya


Kalau Umno Join PAN, Ok ?

Posted: 22 Nov 2015 02:44 AM PST

Oleh: Dr Tanaka Mustafa 

 



  




 






1) Ada yang bertanya saya, bagaimana jika orang Umno tak mahu join Pas, tetapi mahu join Pan? Saya jawab, itu sudah bagus. Asalkan bukan Umno.

2) Mungkin orang Pas tak setuju dengan saya. Mereka tentu mahu orang Umno masuk Pas. Tetapi jika orang Umno itu tak suka sama Pas, its Ok lah to join Pan.

3) Soalan lagi, kalau begitu parti pengkhianat itu akan jadi kuat, kan? Saya jawab, Pan bukan parti pengkhianat. Ia adalah parti yang membawa aspirasi baru yang cuba untuk mengisi kekosongan yang Pas tidak mahu capai.

4) Pan tetap parti pengkhianat! Saya jawab, tidak. Yang khianat mungkin 18 orang pimpinan itu sahaja yang berpakat menubuhkan Pan.Itu pun hanya pada pandangan orang Pas.

5)Tetapi bagi orang Umno yang menyertai Pan, kita tidak perlu anggap ia pengkhianat. Mungkin Umno sahaja yang akan anggap ia khianat.

6) Pan akan bergerak sebagai parti arus nasional setelah habis generasi bekas pemimpin Pas yang memimpin Pan itu berlalu. Generasi seterusnya yang mengemudi Pan, tidak harus kita gelar pengkhianat.

7) Mungkin tahaluf siyasi dengan Pan generasi seterusnya boleh berlaku. Pan hari ini mungkin mesra Dap. Akan datang, belum tentu Dap akan mesra dengan Pan.

Lepasan IPTA dan Institut Pendidikan Guru IPG Semakin Bertambah Tetapi Kuota Jawatan Kosong Guru Terhad. Belum Tambah Lagi Lepasan IPTS

Posted: 22 Nov 2015 02:36 AM PST

BERITA SEMASA


Lepasan IPTA dan Institut Pendidikan Guru IPG Semakin Bertambah Tetapi Kuota Jawatan Kosong Guru Terhad. Belum Tambah Lagi Lepasan IPTS

jawatan kosong guru


Ada kalangan yang bergelar, pada mulanya tidak perancangan mahu bergelar guru. Ada juga kalangan yang jadi guru sekolah selepas tidak dapat peluang pekerjaan selepas bergelar graduan. Pilihan terakhir katanya.

Ada yang juga kalangan guru yang apabila dihantar dan ditempatkan ke pedalaman Sabah dan Sarawak tidak sampai setahun, dua sudah meronta-ronta meminta untuk dihantar semula ke Semenanjung.
Jikalau sudah bekeluarga, Berita Semasa fahamlah juga kekangan yang dihadapi mereka untuk minta ditukarkan segera. Dah namanya kena bertugas untuk melaksanakan tanggungjawab yang telah diamanahkannya bukan?

Jadi kepada yang dapat peluang menjadi guru itu, gunakanlah dan hargainya peluang yang telah diberikan sebaiknya-baiknya. ramai lagi yang terus menunggu peluang di luar sana.

 

Jawatan Kosong Guru VS Lepasan IPG, IPTA, IPTS Bidang Pendidikan

Hakikatnya hari ini jawatan kosong guru di Malaysia sangatlah terhad dibandingkan dengan jumlah graduan lepasan Universiti Awam IPTA dan juga Institut Pendidikan Guru IPG yang terus melangkaui jumlah penawaran yang sedia ada.

Situasi ini bertambah buruk lagi dengan siswazah pendidikan daripada Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) yang terus meningkat setiap tahun.
  • Kementerian Pendidikan Malaysia KPM : Ditugaskan untuk pengambilan guru di Malaysia
  • Suruhanjaya Perkhdimatan Awam SPA : Ditugaskan untuk pelantikan guru yang akan dimaklumkan KPM mengenai jawatan kosong guru yang ada
P/S : Terima kasih kepada guru yang benar-benar layak bergelar guru di Malaysia yang tidak banyak kerenah dan tidak jemu-jemu mendidik anak bangsa kita.

PP/S : Kerajaan ada kuasa untuk mengawal semua ini. mahu atau tidak sahaja. Mengapa mesti dibiarkan antara penawaran, permintaan dan juga peluang jawatan kosong guru terus berpanjangan. Dan situasi ini tidak hanya berlaku kepada sektor pendidikan sahaja. Malah pelbagai jurusan yang tiada permintaan dalam pasaran pekerjaan terus ditawarkan di IPTA, IPTS. Sampai bila?


Ketua UMNO cawangan rancang himpunan desak Najib berundur

Posted: 22 Nov 2015 02:31 AM PST

 
Mereka mendakwa sudah mendapat sokongan kira-kira 5,000 ketua UMNO cawangan seluruh negara.


najib


PETALING JAYA: Ketua-ketua UMNO cawangan di seluruh negara merancang mengadakan perhimpunan besar-besar bulan hadapan bagi mendesak Datuk Seri Najib Tun Razak meletak jawatan.

Ketua UMNO Cawangan Taman Port Dickson Utama, Mohd Isa Mohd Yasin berkata, kira-kira 5,000 ketua cawangan telah menyatakan sokongan itu dan yakin satu perempat ketua UMNO cawangan menyokong rancangan itu.

Katanya, mereka belum menetapkan lokasi perhimpunan itu.

"Tindakan kami ini tidak didorong oleh mana-mana pihak, sebaliknya atas kesedaran sendiri untuk mengembalikan hak bersuara dalam UMNO kepada yang benar-benar berhak iaitu ketua UMNO cawangan sebagai akar umbi supaya parti dapat diselamatkan," katanya yang dipetik daripada Sinar Harian.

Mohd Isa berkata demikian kepada media selepas mengadakan mesyuarat bersama 34 ketua UMNO cawangan bagi mendesak secara terbuka Najib meletak jawatan sebagai Presiden UMNO di Port Dickson, pada Sabtu.

Ketua UMNO cawangan itu dari Negeri Sembilan, Selangor, Johor, Perak dan Sabah.

Mohd Isa berkata, 34 ketua UMNO cawangan itu sebulat suara mendesak Najib meletak jawatan kerana sudah hilang kepercayaan terhadap kredibiliti pemimpin itu.

Katanya, semasa peralihan jawatan antara Tun Abdullah Ahmad Badawi kepada Najib, mereka memberikan sokongan penuh, di samping meletakkan harapan tinggi.

"Namun, apa yang berlaku hari ini tidak seperti mana yang diharapkan dan sudah ramai yang sangsi dengan UMNO.

"Kita mahu parti tidak mengambil sebarang tindakan disiplin terhadap Timbalan Presiden, Naib Presiden, ketua cawangan atau mana-mana ahli UMNO yang tampil membuat kritikan kepada parti," katanya.

Sebelum ini, sebanyak 13 ketua UMNO cawangan di Teluk Kemang dan 20 ketua cawangan di Sepang membuat desakan terbuka agar Najib meletak jawatan.

Pas Pulau Pinang berhentikan 783 JKKK

Posted: 22 Nov 2015 02:24 AM PST

 
Tindakan itu diambil selepas kerajaan Pulau Pinang pimpinan Lim Guan Eng memecat 300 JKKK di Kepala Batas.


Fauzi-Mohd-Yusof,pas


PETALING JAYA: Pas Pulau Pinang memberhentikan 783 ahlinya daripada menganggotai Ahli Jawatankuasa dan Keselamatan Komuniti (JKKK).

Pesuruhjaya Pas Pulau Pinang, Fauzi Mohd Yusof berkata, arahan itu dikeluarkan berkuatkuasa serta merta, lapor Utusan Malaysia.

Tindakan itu diambil selepas kerajaan Pulau Pinang pimpinan Lim Guan Eng memecat 300 JKKK di Kepala Batas kerana enggan menyertai Pakatan Harapan.

Susulan itu, Ketua Penerangan Pas negeri, Mohd Yusni Mat Piah mencabar kerajaan negeri memecat baki 783 ahli Pas yang menanggotai JKKK di seluruh negeri itu.

Pas telah umumkan menjadi pembangkang di Pulau Pinang kerana parti itu bukan sebahagian daripada kerajaan negeri Pakatan Harapan.

Shabery: Skim insurans bagi pesawah terjejas bencana

Posted: 21 Nov 2015 11:22 PM PST

MALAYSIAKINI


 


Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani bercadang mewujudkan skim insurans khas untuk pesawah yang menghadapi kerosakan tanaman akibat bencana alam.

Menterinya, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata skim insurans yang dapat memberikan pulangan ataupun pampasan besar tanpa had perlu diwujudkan bagi membantu pesawah berkenaan.

"Kalau sekarang ada had bagi bantuan yang diberikan kerajaan kepada pesawah terjejas iaitu RM1,800 sehektar bila tanaman mereka musnah, hingga maksimum tiga hektar.

"Justeru, satu sistem insurans yang baik yang memberikan pulangan ataupun pampasan yang besar tanpa had perlu diwujudkan.

"Kalau mereka mengusahakan kawasan 10 hektar, 10 hektarlah, kalau 100, 100 hektarlah, yang mesti dipulangkan kepada mereka sebagai pampasan," katanya.

Beliau menyatakan demikian sebagai menjawab pertanyaan pemberita mengenai bantuan kerajaan kepada pesawah yang terjejas akibat tengkujuh yang melanda kawasan Barat Laut Selangor dekat Sekinchan, sekarang.

Terdahulu, menteri itu melawat sawah padi di Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Barat Laut Selangor.

Ahmad Shabery berkata buat masa ini, pesawah yang mengalami kerugian akibat bencana menerima pampasan menerusi Tabung Bencana Pertanian dan tiada skim insurans khusus diwujudkan untuk membantu mereka.

"Negara jiran seperti Filipina sudahpun mempunyai skim insurans bagi membantu kumpulan petani yang dilanda bencana.

"Jadi saya tak mahu Malaysia dilihat terlalu lambat dalam memperkenalkan skim insurans kepada pesawah," katanya.-Bernama


'Takkan jumpa orang Umno pun tak boleh cakap'

Posted: 21 Nov 2015 11:12 PM PST

MALAYSIAKINI


 


Naib Presiden PAS Idris Ahmad berkata walaupun terdapat pimpinan PAS mengadakan pertemuan dengan Umno tidak bermaksud parti itu akan menjalinkan hubungan politik dengan parti tersebut.

"Takkan lah kita jumpa orang Umno kita tidak boleh bercakap, nak macam itu ke, takkan kita nak balik kaedah lama balik, kalau jumpa orang Umno, nak tindih bayang pun tidak boleh.

"PAS ini ada dasar, kita ada Majlis Syura, kita ada AJK PAS pusat, Lajnah Politik, jangan tuan-tuan runsing, tengok kepimpinan PAS minum kopi dengan orang Umno, terus kata nak masuk Umno," katanya dipetik dilapor Sinar Harian Online hari ini.

Laporan itu juga menyebut, PAS mengakui bahawa parti Islam itu menggunakan pendekatan berbeza ketika berdepan dengan Umno.

MP Bukit Gantang itu berkata demikian semasa ceramah Sambutan 60 tahun Pas Kelantan yang diadakan di Dataran Ilmu, di Kota Bharu malam tadi.

Isu kerjasama PAS-Umno kini kembali panas apabila bekas naib presiden Datuk Husam Musa mendakwa pimpinan PAS mahu mewujudkan kerajaan perpaduan selepas pilihan raya umum ke-12 pada 2008.

Husam mendakwa tindakan itu gagal setelah kerusi yang diperoleh tidak cukup untuk mewujudkan sebuah kerajaan.

Laporan itu juga menyebut Idris berkata dalam mesyuarat Majlis Syura minggu lalu, tiada perbincangan khusus berhubung agenda PAS untuk bergabung dengan Umno dan menyeru anggota PAS supaya tidak bimbang dengan perkara itu.

"Sebab itu tuan puan, setakat hari ini, jangan runsinglah, mesyuarat terakhir minggu lepas majlis syura, jawatankuasa PAS Pusat tak pernah bincang pun nak masuk Umno ini, tidak ada. Malah kita tegaskan lagi sekali, kita dengan Umno ini tak ada apa," katanya lagi.

Laporan itu juga melaporkan Idris berkata mereka yang menyertai PAS bukan kerana ikutan mana-mana individu sebaliknya kerana dasar parti itu yang mahukan Islam dimartabatkan.

"Kalau ada pemimpin PAS yang dekat dengan Umno, dia seorang sahaja dekat dengan Umno. Sebab itu tuan-tuan jangan bimbang tidak ada orang PAS yang nak masuk Umno ni," katanya.


Gadis ditemui mati di rumah bekas kekasih

Posted: 21 Nov 2015 11:05 PM PST

SINAR HARIAN


PDRM


KUALA LUMPUR - Seorang gadis berusia 19 tahun ditemui mati dengan kesan bengkak pada muka dan luka di bahagian betis di sebuah pangsapuri di Cheras Utama, Cheras semalam.

Mayat mangsa ditemui di salah sebuah bilik dalam keadaan terlentang di atas lantai kira-kira 5.10 petang oleh anggota Polis yang tiba di pangsapuri berkenaan setelah menerima maklumat.

Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Chong Kok Sin berkata mangsa sebelum ini tinggal bersama bekas teman lelakinya di rumah berkenaan namun keluar dari rumah Oktober lepas kerana berlaku perselisihan faham.

Katanya siasatan awal mendapati mangsa kemudian pulang ke rumah lelaki itu pada Rabu lalu dalam keadaan bengkak di bahagian muka dan badan selain terdapat luka di kedua-dua belah betis.

"Lelaki berkenaan ingin membawa mangsa ke hospital, tetapi mangsa enggan dan menyatakan bahawa dia telah dikejar dan dipukul oleh teman lelakinya yang baharu," katanya. - Bernama


Tok Guru mati, dia ‘brona’...

Posted: 21 Nov 2015 11:03 PM PST


Nik Abdul Aziz Nik Mat
Nik Abdul Aziz Nik Mat 
 
 
KOTA BHARU - Pas menyelar tindakan sesetengah pemimpinnya yang hanya setia kepada parti itu ketika Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat masih memimpin parti, sebaliknya mengkhianati perjuangan setelah ketiadaan pemimpin tersebut.

Tanpa menamakan pemimpin terbabit, AJK Pas Pusat, Datuk Nassuruddin Daud berkata, sewajarnya semua perlu mempertahankan perjuangan dibawa  arwah Tok Guru dan bukannya mengkhianati sesama sendiri selepas pemergiannya.

Menurutnya, pemimpin mahupun penyokong sepatutnya taat kepada Pas kerana asas perjuangan Islam menjadi pengukuhnya, bukannya mengikut dan sayangkan parti semasa arwah masih ada.

"Ada orang ni dia kuat Pas apabila Tok Guru ada , bila Tok Guru mati, dia 'brona' (bermasalah). Jangan, (ikut parti) bukan kerana Tok Guru, (tetapi) kerana ALLAH SWT.

"Kita turut Tok Guru sebab beliau perjuangkan perjuangan Islam. Jangan masa Tok Guru ikut, masa Tok Guru tiada kita khianat," katanya dalam Ceramah Perdana Sambutan 60 Tahun Pas Kelantan yang diadakan di Dataran Ilmu di sini, malam kelmarin.

Nassuruddin yang juga  Ketua Penerangan Pas Kelantan berkata, pemimpin terbabit sepatutnya  rasa malu dengan penyokong yang memberikan peluang menjadi pemimpin suatu masa dahulu.

"Ada  yang jual padi untuk derma kepada Pas, toreh getah derma pada Pas, jual pisang untuk Pas, tiba-tiba orang yang diberi amanah ini mengkhianati perjuangan kita," katanya.

Dalam masa sama, Nassuruddin turut menyindir kumpulan tertentu dalam Pas yang sanggup menikam sesama sendiri tanpa menyedari, telah mendapat manfaatnya sebagai pemimpin.

"Pohon 60 tahun sudah banyak dapat hasilnya, termasuk yang khianat pun makan hasil ini juga, tetapi tidak sedar sampai hendak tebang pohon.

"Kita tidak akan biarkan sesiapa pun mengkhianati perjuangan Islam yang diasaskan pada 1951 lagi," katanya.

Nassuruddin juga turut mempersoalkan tindakan individu tertentu yang menganggap masih sayangkan parti sedangkan dalam masa sama terus menerus mengkritik dan membuka rahsia.

"Kalau sayang ada caranya, jangan sayang seperti beruang, mahu tampar lalat pada hidung tuannya, tetapi tampar sehingga tuannya juga mati. Orang khianat perjuangan Islam hidup tidak selamat dunia dan akhirat.

"Jangan khianati amanah, amanah kepimpinan, amanah rahsia parti dan kerajaan. Tidak boleh khianat haram semuanya. Padanlah ada yang bertaklik depan Tok Guru.

"Bai'ah ini sebenarnya bai'ah dengan ALLAH SWT. Bai'ah dengan perjuangan Islam sebenarnya berbai'ah dengan ALLAH SWT," katanya.

Sebagai amaran, Nassuruddin berkata, pihaknya tidak akan bertolak ansur dengan pengkhianat parti dan mahukan golongan seperti itu ditolak oleh penyokong.


Kakitangan klinik swasta biadab

Posted: 21 Nov 2015 10:20 PM PST


Kakitangan klinik swasta biadab
Rahman (kanan) bersama anaknya menunjukkan surat yang diberikan oleh doktor di klinik swasta tersebut.


LABIS – Seorang bapa kesal dengan tindakan biadab kakitangan sebuah klinik swasta yang beroperasi 24 jam di sini, ketika mendapatkan rawatan untuk anak lelakinya, malam Selasa lalu.

Menurut Rahman Jamal, 31, dalam kejadian kira-kira jam 10 malam itu, anaknya, Muhammad Aiedy Aierill, 9, tidak sedarkan diri secara tiba-tiba di rumah mereka dan dia bergegas ke klinik berkenaan untuk mendapatkan rawatan awal.

"Ketika saya sampai ke klinik tersebut, salah seorang kakitangan wanita yang berada di kaunter memberitahu rakan setugasnya dengan nada sinis bahawa anak saya dah nak mati sekali gus membuatkan saya terkejut.

"Malah, dia juga tak benarkan saya bawa masuk anak ke bilik rawatan kecemasan dengan alasan ada pesakit lain sedang menerima rawatan ketika itu," katanya kepada Sinar Harian.

Tambah Rahman, mengikut pengetahuannya, terdapat beberapa kes seperti pengsan, serangan jantung dan melecur teruk adalah kes kecemasan yang perlu diberi rawatan segera, terutamanya melibatkan kanan-kanak berbanding sakit biasa seperti demam dan sebagainya.

"Saya panik sebab ini kali pertama anak saya tidak sedarkan diri dan lebih mengejutkan lagi apabila doktor bertugas bertindak menyuruh anak saya berdiri seolah-olah dia sedang tidur, sedangkan ketika itu dia terlalu lemah serta belum sedarkan diri.

"Selang beberapa minit, doktor itu hanya beri surat dan arahkan saya supaya bawa anak ke Hospital Daerah Segamat (HDS) yang terletak kira-kira 24 kilometer dari klinik tersebut, sedangkan saya berharap anak saya diberi rawatan awal ketika itu," katanya.

Ujarnya lagi, sebaik keluar daripada bilik rawatan, rakan petugas kaunter berkenaan meminta maaf atas perbuatan rakannya itu yang disifatkan tidak sopan.

"Tetapi sebaliknya, rakannya itu tak tunjukkan reaksi bersalah ataupun minta maaf. Sebagai petugas klinik mereka perlu sedar bahawa pesakit mengharapkan layanan serta rawatan memuaskan kerana mereka bukannya mendapatkan rawatan secara percuma.

"Saya harap perkara ini tak berlaku kepada pesakit lain," katanya lagi.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Ayub Rahmat berkata, walaupun klinik tersebut merupakan klinik swasta, pegawai perubatan dan kakitangannya juga perlu mematuhi etika dan peraturan yang ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM).

"Saya nasihatkan klinik swasta di negeri ini agar berikan perkhidmatan terbaik kerana ia cerminan kepada sikap profesional dan etika kerja sekali gus dapat menjaga imej klinik swasta," katanya.


'Saya tidak pernah berkenalan dengan Jacel Kiram'

Posted: 21 Nov 2015 10:18 PM PST


Nurul Izzah Anwar
Gambar Nurul Izzah bersama Jacel Kiram yang menjadi viral di laman sosial baru-baru ini.
 

SAYA sedia maklum kegusaran yang timbul akibat gambar saya bersama Jacel Kiram pada 9 November 2015.

Di sini saya ingin menegaskan bahawa saya tidak sekali-kali memanggil mesyuarat atau pertemuan dan tidak pernah berkenalan dengan Jacel Kiram.

Dia merupakan salah seorang daripada 15 tetamu yang dijemput penganjur program, iaitu Council on Philippine Affairs & The Asian Institute for Democracy, pejabat Datuk Bandar Manila dan pejabat Naib Presiden Filipina.

Semua yang hadir di program tersebut telah bergambar dengan saya sebagai tanda sokongan terhadap laporan Kumpulan Kerja Mengenai Penahanan Tanpa Bicara Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (United Nation Working Group on Arbitrary Detention) yang menggesa agar Datuk Seri Anwar Ibrahim dibebaskan serta-merta.

Saya tahu dan faham ahli-ahli keluarga patriot dan perajurit yang terkorban akibat pencerobohan Lahad Datu dan rakyat Malaysia amnya cukup terasa dan marah akibat gambar saya dan Jacel Kiram, dan saya berasa amat kesal atas hakikat ini.

Simpati dan sokongan saya dari dulu hingga bila-bila adalah kepada para perajurit pahlawan negara yang terkorban serta komuniti-komuniti yang masih terkesan akibat konflik ini serta desakan puak pemisah.

Sebagai seorang Ahli Parlimen dan rakyat Malaysia yang setia kepada nusa dan bangsa, saya akan sentiasa mempertahan Sabah sebagai sebahagian daripada negara Malaysia yang tercinta.

Tidak ada apa-apa yang hendak saya sembunyikan, dan saya bersedia untuk memberi kerjasama dengan pihak berkuasa untuk menjelaskan lawatan saya yang dianjur Council on Philippine Affairs & The Asian Institute for Democracy, pejabat Datuk Bandar Manila dan pejabat Naib Presiden Filipina.

NURUL IZZAH ANWAR
Ahli Parlimen Lembah Pantai,
Naib Presiden PKR



34 ketua cawangan Umno desak Najib letak jawatan

Posted: 21 Nov 2015 10:16 PM PST


34 ketua cawangan Umno desak Najib letak jawatan
Mohd Isa (tiga dari kiri) mewakili 33 ketua cawangan yang hadir mendesak Presiden Umno meletak jawatan‎. - Foto Sinar Harian


PORT DICKSON - Seramai 34 ketua Cawangan Umno dari lima negeri mendesak secara terbuka agar Datuk Seri Najib Tun Razak meletak jawatan sebagai Presiden Umno.

Kenyataan dibuat di hadapan media oleh ketua cawangan Umno Taman PD Utama, Mohd Isa Mohd Yasin selepas kesemua 34 orang dari Negeri Sembilan, Selangor, Johor, Perak dan Sabah menghadiri sesi suai kenal serta mengadakan mesyuarat yang berlangsung kira-kira satu jam bermula kira-kira 3 petang di sini, hari ini.

Menurut Mohd Isa, mereka sebulat suara mendesak Presiden Umno meletak jawatan kerana sudah hilang kepercayaan terhadap kredibiliti pemimpin itu dalam memimpin parti nombor satu Melayu itu.

Menurutnya, semasa peralihan jawatan antara Tun Abdullah Ahmad Badawi kepada Najib, mereka memberikan sokongan penuh, di samping meletakkan harapan yang begitu tinggi.

"Namun, apa yang berlaku hari ini tidak seperti mana yang diharapkan dan sudah ramai yang sangsi dengan Umno.

"Melalui mesyuarat ini juga, kita mahu parti tidak mengambil sebarang tindakan disiplin terhadap timbalan presiden, naib presiden, ketua cawangan atau mana-mana ahli Umno yang tampil membuat kritikan kepada parti," katanya pada sidang media berkenaan, hari ini.

Mohd Isa juga mendakwa mereka sudah mendapat sokongan hampir 5,000 ketua cawangan lain dari seluruh negara dan bercadang mengadakan himpunan besar-besaran akhir bulan depan berhubung perkara berkenaan.

Bagaimanapun, katanya, lokasi penganjuran masih belum ditetapkan.

"Kita yakin akan mendapat sokongan lebih satu perempat daripada cawangan Umno di seluruh negara.

"Tindakan kami ini tidak didorong oleh mana-mana pihak, sebaliknya atas kesedaran sendiri untuk mengembalikan hak bersuara dalam Umno kepada yang benar-benar berhak iaitu ketua Umno cawangan sebagai akar umbi supaya parti dapat diselamatkan," katanya.

Pertengahan bulan lalu, seramai 13 ketua cawangan Umno sekitar Telok Kemang mengadakan sidang media mendesak Najib meletak jawatan.

Ia disusuli dengan tindakan 10 cawangan Umno di bahagian Sepang yang turut membuat kenyataan sama, Rabu lalu.


Skandal RM1.5j: Pegawai kanan polis antara ditahan

Posted: 21 Nov 2015 10:14 PM PST


gari


KUALA LUMPUR – [DIKEMASKINI] Polis memberkas enam individu termasuk pegawai kanan polis berhubung kes dakwaan salah laku melibatkan lebih RM1.5 juta peruntukan membaik pulih dan menaik taraf ibu pejabat polis di Bukit Aman.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, berkata, pegawai rendah polis dan kontraktor yang terlibat dengan kes berkenaan turut ditahan bagi membantu siasatan.

"Kita menangkap individu tersebut sejak Jumaat lalu sehingga awal pagi ini, kesalahan salah laku itu telah dikesan oleh naziran Polis Diraja Malaysia (PDRM), kita turut menyita beberapa buah kenderaan mewah dan akaun bank individu berkenaan," katanya.

Beliau berkata, katanya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak tertentu dalam soal melibatkan kes jenayah.

"Kita tidak akan berkompromi dan membiarkan sesiapa juga melakukan sebarang bentuk jenayah termasuk kakitangan kita sendiri .

"Kita tidak pernah melindungi mana-mana pegawai dan kakitangan kita yang terlibat dengan apa jua jenayah atau sebarang salah laku," katanya pada sidang media selepas merasmikan program Sunathon 2015 di Masjid Bukit Aman, di sini, hari ini.

Sebelum ini, laporan sebuah akhbar Bahasa Inggeris melaporkan sumber‎ dalaman menyatakan RM1.5 juta yang diperuntukkan untuk kerja-kerja membaik pulih dan menaik taraf Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia Bukit Aman adalah perbelanjaan yang tidak wujud.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (Siasatan) Bukit Aman, Datuk Hamza Taib telah mengesahkan perkara itu.

Beberapa pembongkaran dibuat sejak beberapa bulan yang lalu selepas Kementerian Dalam Negeri (KDN) menjalankan audit dalaman di Jabatan Logistik Polis.


Kos membaik pulih pintu kalis api dan juga sistem penghawa dingin direkodkan bernilai RM500,000, namun tiada sebarang kerja-kerja dilakukan walaupun bayaran kepada kontraktor yang dilantik telah dibuat.

Pada masa sama, lebih RM1 juta didakwa digunakan untuk tender yang tidak wujud.


Adun PKR paling tadah: Tuduhan LGE tiada asas

Posted: 21 Nov 2015 10:12 PM PST


Lim Guan Eng
Lim Guan Eng


SHAH ALAM – Tuduhan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng terhadap lima Adun PKR memihak kepada Umno didakwa tidak berasas.

AMK Pulau Pinang dalam satu kenyataan mendakwa, Guan Eng sebagai ketua kerajaan negeri tidak wajar mengeluarkan kenyataan sedemikian kepada Adun yang menyokong kepimpinan beliau  sejak tahun 2008.

Kata kenyataan itu lagi, keputusan untuk tidak mengundi pada usul isu tebus guna tanah seluas lebih 2,600 hektar itu tidak boleh dijadikan kayu ukuran untuk menuduh Adun PKR memihak kepada Umno.

Malah, katanya, Guan Eng sepatutnya menghormati pandangan berbeza yang dinyatakan oleh lima Adun itu.

"Mereka bukan semata - mata perlu menjadi boneka DAP walaupun Adun PKR adalah sebahagian daripada organisasi Kerajaan Negeri Pulau Pinang," katanya.

Sehubungan itu, pihaknya mendesak Guan Eng menarik balik tuduhan yang dilemparkan serta memohon maaf atas tuduhan yang dibuat terhadap lima Adun PKR tersebut.


Tiada ulasan: