Isnin, 16 November 2015

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


Shafie, Palanivel Tidak Hadir Undian Bajet 2016

Posted: 16 Nov 2015 03:27 PM PST

Oleh: AKIL YUNUS
 
 
 
 
KUALA LUMPUR: Dua bekas menteri yang dipecat daripada Kabinet pada Julai lalu tidak hadir semasa pengundian belah bahagian Bajet 2016 di peringkat dasar di Dewan Rakyat pada Isnin.

Mereka ialah bekas Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Shafie Apdal dan bekas Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri G Palanivel.

Palanivel adalah Ahli Parlimen Cameron Highlands manakala Shafie mewakili kawasan Semporna.

Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang digugurkan sebagai Timbalan Perdana Menteri dalam rombakan itu juga bagaimanapun hadir semasa pengundian.

Undian belah bahagian menyaksikan 128 wakil rakyat menyokong supaya perbahasan Bajet 2016 di bawa ke peringkat seterusnya manakala 74 lagi menentang.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak turut hadir dalam Dewan Rakyat untuk menyaksikan Bajet 2016 diundi untuk bacaan kedua.

Tujuh daripada Ahli Parlimen PAS berkecuali daripada mengundi sejajar dengan ikrar parti itu untuk bersikap neutral.

Walau bagaimanapun, Ketua Whip PAS yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar merupakan antara tiga Ahli Parlimen dari parti Islam itu yang mengundi menentang Bajet 2016.

Dua lagi wakil rakyat PAS ialah Ahli Parlimen Kubang Kerian, Ahmad Baihaki dan Ahli Parlimen Pasir Puteh, Dr Nik Mazian Nik Mohamad.

Difahamkan wakil rakyat Bebas, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menyokong Bajet 2016.

Vape Bahaya - Dr Mahathir

Posted: 16 Nov 2015 03:26 PM PST

MSTAR ONLINE
 
 
 
 
PUTRAJAYA: Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata rokok elektronik (e-rokok) atau vape juga sama berbahaya kerana kandungan nikotin yang tinggi dalam produk itu.

"Percayalah, rokok elektronik tidak baik dan sama seperti rokok. Rokok elektronik menghasilkan bau harum dan berperisa. Apabila anda menghisap rokok, anda hanya mendapat bau asap. Tetapi apabila anda menghisap rokok elektronik, anda memperoleh bau yang harum seperti strawberi dan mangga.

"Bau harum ialah cara melariskan produk rokok elektronik," katanya dalam ucaptama pada Persidangan Persekutuan Antarabangsa Pertubuhan Bukan Kerajaan Bagi Pencegahan Dadah dan Penyalahgunaan Bahan Larangan (IFNGO) ke-26 dan Bengkel NGO ASEAN IFNGO ke-22 di sini, Isnin.

Justeru, Dr Mahathir, yang juga Penaung Yayasan IFNGO, menggesa masyarakat terutama ibu bapa memupuk nilai-nilai memerangi dadah dalam kalangan kanak-kanak dan golongan muda supaya mereka memahami bahawa dadah boleh memudaratkan kesihatan dan memusnahkan kehidupan mereka.

Dr Mahathir berkata pendekatan lebih berkesan perlu diguna pakai untuk memberitahu generasi muda bahawa dadah boleh digunakan sebagai ubat dan harus mengelak daripada menggunakannya lebih daripada itu.

"Ibu bapa harus memberitahu dadah akan memendekkan hidup mereka dan menyemai ajaran yang positif untuk membenci dadah. Jika mereka (generasi muda) dibesarkan dengan mematuhi nilai-nilai tersebut, mereka sendiri akan melawan godaan untuk menggunakan dadah.

"Jika kita semua percaya kepada sistem nilai, kita tidak akan melihat penagih dadah dalam masyarakat kita dan kita boleh membasmi dadah selama-lamanya," kata beliau.

Di bawah pemerintahan British, Dr Mahathir berkata hanya penarik beca dan buruh mengambil candu untuk mengurangkan keletihan dan senang tidur selepas sehari bekerja, tetapi sekarang, orang mengambil dadah kerana mereka ketagih dan mahu menukar sesuatu dalam kehidupan mereka.

"Ia lebih teruk sekarang kerana pengaruh dadah boleh menjerumuskan seseorang kepada jenayah seperti mencuri dan membunuh. Sebagai contoh, jika seorang budak lelaki tidak diberikan wang oleh ibu atau bapanya untuk membeli dadah, dia tidak akan teragak-agak untuk membunuh mereka.

"Untuk mendapatkan dadah, dia akan mencuri wang dan dalam proses mencuri, jika dia dihalang, dia akan menggunakan senjata untuk membunuh," kata Dr Mahathir.

Dr Mahathir juga menggesa masyarakat antarabangsa supaya bekerjasama bagi melumpuhkan pengedaran dadah, kerana dadah ialah jenayah rentas sempadan dan mudah diperoleh di sempadan.

Pengangkutan awam: Masalah atau penyelesaian?

Posted: 16 Nov 2015 03:22 PM PST



Oleh LIEW CHIN TONG


APABILA Ahli Parlimen Kota Belud, Datuk Abdul Rahman Dahlan baru-baru ini menasihati pengguna jalan raya untuk 'bangun lebih awal dan elakkan jalan bertol' nyatalah, beliau benar-benar tidak memahami rungutan rakyat.

Adakah beliau wajar meletakkan kesalahan di bahu rakyat tetapi tidak mahu mengakui kegagalan kerajaan dalam membuat perancangan yang cekap untuk sektor pengangkutan awam.

Tak ubah seperti cerita rakyat di Perancis tentang seorang permaisuri yang tidak faham akan kesusahan rakyatnya. Semasa dalam era kekurangan bekalan makanan, rakyat memberontak dan merungut kerana tidak ada roti untuk dimakan, dan permaisuri itu membalas rungutan mereka dengan berkata: "Jika tidak ada roti, makanlah kek."

Kenyataan tidak masuk akal itu kemudian menyebabkan revolusi anti-monarki yang menyaksikan kebangkitan rakyat besar-besaran melawan kelas aristokratik yang mementingkan diri dan tidak mengerti kesusahan rakyat biasa.

Hari ini, cerita rakyat dalam versi moden itu nampaknya berlaku di Malaysia. Kenyataan tak berhati perut dari Ahli Parlimen Kota Belud menunjukkan betapa kurangnya rasa peduli terhadap beban kewangan yang dihadapi rakyat biasa.

Dengan kejatuhan ekonomi, nilai ringgit yang susut dan kadar inflasi yang semakin tinggi, rakyat terpaksa menjalani hidup yang serba susah.

dividen tolMalah, kerajaan mengumumkan kadar tol di 18 lebuh raya di sekitar Lembah Klang naik antara 10 sen hingga RM3 atas alasan kerajaan harus mengikut persetujuan konsesi dengan syarikat tol.
Pengumuman itu menyebabkan keributan reaksi pengguna jalan raya yang merungut bahawa mereka terpaksa menanggung kenaikan tol sedangkan tiada usaha memperbaiki situasi kesesakan lalu lintas di semua jalan sekitar Kuala Lumpur.

Sementara keengganan kerajaan untuk masuk campur pula membolehkan syarikat konsesi mengaut keuntungan walaupun kos pembinaan lebuhraya sudah lama langsai.

Kenapa bayar lebih?

Soalan yang ditanya oleh semua orang ialah: 'Kenapa kami perlu bayar lebih sedangkan tidak ada penambahbaikan?'

Kesesakan lalu lintas di lebuh raya Lembah Klang berlaku setiap masa dan ia bertambah parah pada waktu puncak ataupun ketika banjir kilat.

Berbeza dengan fikiran Ahli Parlimen Kota Belud, kebanyakan pengguna tiada pilihan selain menggunakan lebuh raya kerana tidak ada langsung laluan alternatif. Dan, kalaupun ada laluan lain, itu tidak menjanjikan pengguna tidak berhadapan kesesakan.

Ketika pengguna jalan raya menangisi nasib mereka, beliau dengan mudah melepaskan tanggungjawab dan menyebut ia sebagai 'pilihan yang memerlukan pengorbanan'.
Ya, memang ia sebuah pilihan.

JPMBagi kerajaan, ia sebuah pilihan antara memberi subsidi pengangkutan awam atau membina lebih banyak lebuh raya – antara memotong peruntukan hal yang tidak memberi keuntungan besar atau melebihkan peruntukan untuk sektor lebih 'penting' seperti peruntukan Jabatan Perdana Menteri (JPM) yang melonjak sebaliknya mengurangkan peruntukan sektor pendidikan dan pengangkutan.

Bagi pengguna pula, ia sebuah pilihan antara membayar tol atau pulang awal ke rumah untuk makan malam bersama keluarga atau tiba tepat di rumah jagaan untuk mengambil anak atau pulang lewat dan makan malam di pejabat atau berpindah ke tempat lebih dekat untuk mengurangkan masa perjalanan yang mungkin mencecah dua jam atau menggunakan pengangkutan awam.

Bagaimanapun, pilihan untuk menggunakan pengangkutan awam juga tidak relevan memandangkan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) juga mengumumkan kenaikan kadar tambang untuk perkhidmatan KTMB Komuter.

Dengan kadar baru itu, pengguna yang mahu mengelak membayar tol juga tiada pilihan lain. Kenaikan kadar tambang KTMB sebanyak 36 peratus itu pasti menambahkan beban pengguna komuter. Untuk perjalanan dari stesen Mid Valley ke KL Sentral (satu stesen dengan jarak 6.2 kilometer) menelan kos RM1.50 berbanding RM1 sebelumnya.

Rakyat tanggung kerugian KTMB?

Pengarah KTMB, Sarbini Tijan ada menyatakan Putrajaya tidak meluluskan jumlah penuh subsidi yang dimohon dan kenaikan kadar tambang menjadi jalan terakhir untuk menampung kerugian.

Mengikut Sarbini, syarikat pengangkutan itu juga terkesan dengan kejatuhan ringgit memandangkan alat ganti dibeli melalui transaksi dolar Amerika.

Dalam situasi ekonomi negara yang merudum, peningkatan kos pengangkutan tidak harus diletakkan di bahu pengguna. Kerajaan patut menyediakan khidmat pengangkutan awam yang lebih baik dan mampu untuk membantu rakyat biasa menghadapi beban inflasi akibat situasi ekonomi tidak menentu.

Tanggungjawab sosial kerajaan dalam memastikan kesediaan khidmat pengangkutan awam yang mencukupi untuk rakyat harus ditanggung oleh kerajaan, dan rakyat tidak sepatutnya dibebankan dengan kerugian yang dialami KTMB.

Kerajaan mesti memberi lebih banyak peruntukan untuk perkhidmatan awam seperti yang diperuntuk untuk sektor kesihatan dan pendidikan. Inilah keperluan awam yang asas yang diperlukan rakyat untuk menjalani kehidupan lebih baik.

kemalangan motosikalKos kereta dan pengangkutan awam yang semakin tinggi menyebabkan rakyat terpaksa memilih menggunakan motorsikal dan ia mendorong kadar kematian jalan raya yang lebih tinggi.

Setiap kali harga minyak naik, kadar kematian penunggang motorsikal meningkat kerana rakyat dari kalangan berpendapatan rendah terpaksa beralih daripada menggunakan kereta kepada motorsikal.

Inilah masa terbaik untuk mengurangkan kadar tambang pengangkutan awam sebagai cara menggalakkan rakyat bertukar daripada mod pengangkutan persendirian kepada bas dan kereta api.

Namun, tanpa visi ke arah khidmat pengangkutan yang komprehensif dan lestari, kita akan terperangkap dengan lebih banyak lebuh raya mahal dan lebih banyak tol yang perlu dibayar.

Malah, masalah kesesakan lalu lintas dan keperluan terhadap pengangkutan awam tidak akan selesai-selesai.

 * Liew Chin Tong ialag Ahli Parlimen Kluang

Hooray, Kalah 6-0 Saja!

Posted: 16 Nov 2015 03:18 PM PST



Oleh A Kadir Jasin


SELEPAS kena sebiji dengan "Saja saja", izinkan saya bercakap sikit berkenaan bola. Bukan bola "Man U", tapi bola Harimau Malaya. Alhamdulillah, pasukan bola kebangsaan Malaysia kalah 6-0 kepada Palestin dalam pertandingan pusingan awal Piala Dunia 2018.

Piala Dunia: Bola kita standard estet
Syukur mereka tidak kalah 10-0 macam kepada Amiriah Arab Bersatu September lalu.
Dalam pusingan pertama dengan Palestin di Stadium Kebangsaan Jun lalu, mereka kalah 6-0 juga.
Kesimpulannya mutu bola sepak kita kekal – tak jatuh dan tak naik.
Syabas pemain, jurulatih, pegawai, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Menteri Belia dan Sukan, (Encik) Khairy Jamaluddin.
Cadangan Saya
1.  Bubarkan pasukan bola kebangsaan dan FAM.
2. Kalau tak mahu bubar (takut hilang peruntukan dan peluang merayau ke luar negara) sila jangan malukan sang harimau. Tolong gugurkan pelekat "Harimau Malaya".

3. Kalau nak guna juga nama harimau, tolong tukar kepada "Harimau Sarkas".

Adoi, apa punya harimau laaa.....?
 4. Kalau tak mahu bubar dan nak juga guna label "Harimau Malaya", tolong jangan ambil bahagian dalam pertandingan antarabangsa selama lima hingga 10 tahun.
5. Dalam tempoh 5-10 tahun itu bina pasukan baru dan ganti FAM dengan satu struktur baru yang egalitarian.
6. Dalam tempoh itu juga adakan pertandingan persahabatan dengan pasukan-pasukan negeri, estet dan Felda serta negara-negara jiran. (Zaman saya remaja pada tahun 1960-an pasukan bola Harvard Estate di Gurun, Kedah, sangat terkenal. Geng tendang betis kering).
7. Lantik menteri sukan yang lebih berinspirasi dan mampu menaikkan semangat serta aspirasi pemain dan pegawai.

Sabun Mandi Jenama Popinjay
 8. Kalau semua ini tidak mahu dibuat atau tidak mampu dibuat, sila maklumkan saya. Saya akan dermakan beberapa tong sabun mandi "Popinjay". Pandai-pandailah manfaatkan.
Wallahuaklam. http://kadirjasin.blogspot.my

Cukai Individu : Cukai Pendapatan, Eksais, GST Berjumlah RM82 Bilion VS Cukai Korporat 2016 RM74 Bilion

Posted: 16 Nov 2015 04:19 AM PST

BERITA SEMASA


Cukai Individu : Cukai Pendapatan, Eksais, GST Berjumlah RM82 Bilion VS Cukai Korporat 2016 RM74 Bilion

cukai pendapatan


Berita baik pada pembentangan Bajet 2016 Malaysia tempoh hari kalangan penerima BR1M akan menerima kenaikan pembayaran BR1M iaitu tambahan sebanyak RM50 lagi setahun atau bersamaan 14 sen satu hari.

Walaubagaimanapun setiap yang naik akan ada yang turun. Jikalau pembayaran Br1M naik, peruntukan untuk subsidi kepada rakyat marhaen semakin berkurang. Apa yang telah berkurang dan semakin meningkat?

Pendapatan Kerajaan Malaysia VS Perbelanjaan Untuk Rakyat Marhaen?

  1. Subsidi minyak telah dihapuskan
  2. Adakah pemotongan subsidi minyak masakan akan menunggu giliran selepas ini? Seperti kenyataan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah bagi mengukuhkan fiskal negara?
  3. Peruntukkan kepada universiti dipotong sejumlah RM1.4 bilion
  4. Kutipan GST terus melonjak naik daripada RM27 bilion pada tahun 2015 ini kepada RM39 bilion pada tahun 2016. Terima kasih kepada sumbangan daripada penganggur, ahli perniagaan, peniaga, kakitangan awam, kakitangan swasta, pelajar, orang miskin, orang kampung, orang bandar dan orang kaya.
  5. Kutipan cukai pendapatan dijangka akan melepasi kutipan cukai korporat
  6. Kutipan cukai eksais termasuk kepada kereta, rokok dan lain-lain lagi meningkat RM200 juta kepada RM12.4 bilion tahun 2016 berbanding RM12.2 bilion tahun 2015
  7. Cukai pendapatan naik kepada RM30 bilion tahun 2016 berbanding cukai pendapatan tahun 2015 sebanyak RM28 bilion
Dan buat pertama akalinya dalam sejarah Malaysia, pada tahun 2016 sumbangan cukai individu meliputi cukai GST, cukai pendapatan dan juga cukai eksasi telah berjaya melepasi cukai korporat.
  • Cukai individu 2016 (eksais, pendapatan, GST) : RM82 bilion
  • Cukai korporat 2016 : RM74 bilion
Berdasarkan semakan Berita Semasa terhadap kenyataan yang dikeluarkan sendiri oleh Datuk Ahmad Maslan :
  • Subsidi minyak 2009 : RM6.2 bilion (minyak USD62)
  • Subsidi minyak 2010 : RM9.6 bilion (minyak USD80)
  • Subsidi minyak 2011 : RM20.4 bilion (minyak USD111)
  • Subsidi minyak 2012 : RM24.7 bilion (minyak USD112)
  • Subsidi minyak 2013 : RM24.8 bilion (minyak USD110)
  • Subsidi minyak 2014 : sekitar RM21 billion
Semua angka-angka subsidi ini sudah tiada lagi. Ini bermakna kerajaan sudah banyak berjimat, dan tidak perlu lagi memikirkan perbelanjaan untuk mengurangkan kos pengangkutan kenderaan rakyat Malaysia dan juga pengangkutan logistik di Malaysia. Tidak perlu lagi.

Persoalannya sekarang ini, mana pergi duit subsidi minyak yang bilion-bilion ini? Sehingga ke hari ini tidak diketahui perincian pergi ke mana?

P/S : Tiba-tiba, tertanya-tanya Berita Semasa berapa banyak peruntukkan biasiswa JPA, MARA kepada anak-anak kita rakyat Malaysia yang bakal menjadi pelapis negara di masa hadapan di antara tahun 2010 hingga 2015? Adakah semakin meningkat atau semakin menurun alaupun subsidi minyak dihapuskan? Tiada jawapan dan fakta kelihatan ke hari ini

KLIK SINI : Berita Terkini MARA, Permohonan Pinjaman Loan Mara Untuk IPTS Masih Belum Buka? Mengapa?

PP/S : Tun Daim Zainuddin pernah mengatakan rakyat Malaysia tidak peduli pertumbuhan ekonomi 5 peratus, 6 peratus, 7 peratus. Tetapi rakyat Malaysia akan bertanyakan dan persoalkan apa yang mereka dapat daripada apa yang dilaungkan kerajaan atas nama kemakmuran ekonomi Malaysia?

PPP/S : Apa yang rakyat Malaysia mahu? Rakyat mahu peluang pekerjaan, rakyat mahu tahu mengapa inflasi dan kos sara hidup di Malaysia begitu tinggi?


SPR Belanja RM180 Juta Pada PRN Sarawak Ke-11

Posted: 16 Nov 2015 04:06 AM PST

MSTAR ONLINE
 
 
 
 

KUCHING: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan membelanjakan kira-kira RM180 juta pada pilihan raya negeri (PRN) Sarawak ke-11, kata Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof.

Katanya peruntukan itu turut melibatkan perbelanjaan logistik, seperti penyewaan helikopter, dan perbincangan untuk menyewa helikopter sudah pun bermula.

"Di Sarawak ini memang banyak helikopter diperlukan kerana ada kawasan-kawasan tertentu kita tiada pilihan. Kami perlu menggunakan helikopter dan di sesetengah tempat, helikopter itu kena keluar dari kawasan tersebut sebelum masa tertentu," katanya.

Sejumlah 15,000 kakitangan terlibat dan mereka akan ditempatkan di seluruh negeri semasa PRN kelak, katanya pada sidang media selepas menyampaikan ucapan pada Taklimat Pegawai Pengurus, Penolong Pegawai Pengurus dan Ketua Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya di sini, Isnin.

Turut hadir Timbalan Pengerusi SPR Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah, Ahli-ahli Suruhanjaya SPR, Setiausaha SPR Datuk Abdul Ghani Salleh dan Pengarah SPR Sarawak Datuk Takun Sunggah.

Mengulas lanjut, Abdul Aziz berkata setakat suku kedua tahun ini, pengundi berdaftar di Sarawak berjumlah 1.1 juta orang namun beliau menyifatkan jumlah tersebut masih kecil dengan jumlah pengundi baharu hanya kira-kira 10 peratus.

Sementara itu, Abdul Aziz berkata SPR menjangkakan laporan akhir persempadanan semula bahagian PRN Sarawak akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada 2 Disember ini.

Beliau berkata berkata tarikh tersebut adalah hari kedua terakhir Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Sidang Parlimen Ke-13 yang berlangsung selama 25 hari mulai 19 Oktober sehingga 3 Disember.

Katanya pembentangan laporan itu bagi membolehkan cadangan mewujudkan 11 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak yang baharu mendapat kelulusan Parlimen dan diwartakan.

"Laporan telah pun diserahkan kepada pihak Parlimen dan mengikut apa yang saya dimaklumkan laporan terakhir berkenaan persempadanan semula DUN Sarawak itu akan dibentangkan serta dibahaskan di Dewan Rakyat pada 2 Disember," katanya.

Dalam pelaksanaan persempadanan semula untuk Sarawak, SPR mewujudkan 11 kawasan baharu pilihan raya negeri, pertambahan daripada 71 kepada 82 kerusi DUN.

Penapisan filem: Kerajaan akan terus ‘berfikiran sempit’

Posted: 16 Nov 2015 04:05 AM PST

SM AMIN & NAWAR FIRDAWS

 

logo lpf
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Masir Kujat berkata peraturan di bawah akta tersebut menekankan empat aspek yang perlu diberi perhatian oleh Lembaga Penapisan Filem (LPF) iaitu kententeraman awam dan keselamatan, sosial budaya, keagamaan, kesopanan dan kesusilaan.


KUALA LUMPUR,  Kerajaan akan memastikan filem-filem di Malaysia ditapis mengikut prosedur-prosedur yang ditetaapkan di bawah Akta Penapisan Filem walaupun terdapat menteri kabinet yang meminta ia diubah.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Masir Kujat berkata peraturan di bawah akta tersebut menekankan empat aspek yang perlu diberi perhatian oleh Lembaga Penapisan Filem (LPF) iaitu kententeraman awam dan keselamatan, sosial budaya, keagamaan, kesopanan dan kesusilaan.

"Kerajaan ada LPF dan panduan-panduannya…memang ada seorang menteri beri pandangan (LPF lebih terbuka).

"Kita ikut apa yang ditetapkan, tidak mungkin kita ubah fikiran. Di LPF kita ada pengerusi dan ahli-ahli yang bertindak seperti apa yang tertakluk di bawah Akta Filem 2002," katanya di Dewan Rakyat di sini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan daripada ahli Parlimen PAS-Pasir Mas, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz yang meminta kerajaan menyatakan sama ada akan meneruskan sistem dan garis panduan sedia ada atau mengubahnya seperti yang dicadangkan oleh menteri kabinet tersebut.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said sebelum ini menyifatkan LPF berfikiran sempit ketika mengulas garis panduan penerbitan drama dan filem yang dikeluarkan oleh LPF baru-baru ini.

Kata Azalina, adegan seperti berpelukan tidak perlu diperbesarkan kerana ia hanya sekadar lakonan yang tidak mengundang ke arah maksiat terhadap penonton.

"Kalau nak cakap babak-babak itu boleh mengundang perlakuan tidak senonoh, rasanya tidak perlu medium televisyen kerana di internet, hanya di hujung jari saja sudah boleh mempengaruhi masyarakat.

"Kita tidak boleh berfikiran sempit. Kalau semua tak boleh, takkan nak bercakap dengan bantal?" kata bekas Pengerusi, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas).
 
 

Siapa kekal dalam PAS akan selamat, kata Nik Abduh

Posted: 16 Nov 2015 04:02 AM PST

SM AMIN

 

nik abduh (M)
Nik Abduh menyerahkan kepada keputusan parti berhubung keadaan Husam. Foto fail TRP 


KUALA LUMPUR,  Pemimpin dan ahli Pas yang istiqomah dengan perjuangan parti akan kekal selamat kata Ketua Pemuda Pas, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz.


Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai tindakan bekas Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa yang begitu lantang mengkritik parti tetapi enggan meninggalkan parti.

"Datuk Husam bawa jalan dia, dia kenal saya, saya kenal dia. Dia dah pilih jalan dia jadi kita lihatlah apa berlaku.

"Dalam Pas ini bagi kita yang kekal dan istiqamah itu akan selamat dengan Pas dan apa yang Husam buat pilihan dia," katanya.

"Tengok keputusan parti, saya tidak terlibat," katanya ahli Parlimen Pasir Mas itu ketika diminta mengulas sama ada Husam akan diambil tindakan.

Husam dalam Dialog "Demo tanyo, kawe jawab" anjurannya di Kota Baru, Kelantan baru-baru ini menegaskan beliau masih bersama Pas tetapi tidak berpuas hati dengan cara parti dan kerajaan negeri Kelantan diuruskan.

Husam dalam program yang sama turut menyelar tindakan Dewan Ulama Pas yang mahukan beliau keluar parti.

"Demo sapo, kawe sapo? (kamu siapa, saya siapa) Ijtihad saya masih pilih duduk di dalam 'kapal' sebab kapal belum karam.

"Ini serupa macam orang lain, macam orang samseng juga," kata Husam.
 
 

Gimik pembangkang tolak bajet bermula malam ini

Posted: 16 Nov 2015 03:59 AM PST

SM AMIN

 

najib (L)
Najib dijangka tiba di Dewan Rakyat jam 6.30 petang bagi memastikan usaha pembangkang itu sia-sia. Foto fail TRP 


KUALA LUMPUR,  Gimik pembangkang untuk menolak Bajet 2016 bermula malam ini apabila Kementerian Kewangan selesai menggulung Rang Undang-undang Perbekalan 2016.


Pembangkang akan memulakan permainan politik dengan cuba menolak bajet tersebut dengan membuat undian belah bahagi.

Kegagalan meluluskan Bajet 2016 akan menyebabkan kerajaan yang diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak terbubar.

Bagaimanapun, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang awal-awal lagi sudah menyatakan parti itu kan mengambil sikap berkecuali dan tidak akan undi bagi pembangkang.

Keputusan tersebut pastinya menyukarkan pembangkang yang memerlukan undi Pas dengan sokongan 40 ahli Parlimen Barisan Nasional.

DAP juga seperti tidak serius untuk menolak bajet apabila penasihat parti itu, Lim Kit Siang digantung daripada sidang Dewan Rakyat selama enam bulan baru-baru ini.

Beliau mempunyai cukup masa untuk memohon maaf selepas mempersoalkan integriti Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia tetapi gagal berbuat demikian.

Dalam keadaan pembangkang memerlukan angka untuk tolak bajet, tindakan Kit Siang tersebut jelas menunjukkan mereka tidak mampu menolak bajet tersebut.

Najib dijangka tiba di Dewan Rakyat jam 6.30 petang bagi memastikan usaha pembangkang itu sia-sia.

Dana Suhakam kena potong dalam Bajet 2016

Posted: 16 Nov 2015 03:46 AM PST

THE MALAYSIAN INSIDER



Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) menjangka menghadapi defisit pada November tahun depan selepas pembiayaannya dipotong sebanyak hampir 50% dalam Bajet 2016, kata pengerusinya Tan Sri Hasmy Agam. – Gambar fail The Malaysian Insider, 16 November, 2015.Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) menjangka menghadapi defisit pada November tahun depan selepas pembiayaannya dipotong sebanyak hampir 50% dalam Bajet 2016, kata pengerusinya Tan Sri Hasmy Agam. – Gambar fail The Malaysian Insider.
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) menjangka menghadapi defisit pada November tahun depan selepas pembiayaannya dipotong sebanyak hampir 50% dalam Bajet 2016. Pengerusi Suhakam Tan Sri Hasmy Agam berkata dalam Bajet 2015, suruhanjaya itu memperuntukkan RM10 juta bagi pembiayaan operasi, yang dikurangkan kepada RM5.5 juta pada tahun depan.

"Peruntukan bajet semasa akan menyaksikan suruhanjaya itu mengalami defisit pada November tahun depan yang hanya dapat menampung kos tetap keseluruhan.

"Ini tanpa mengambil kira perbelanjaan tetap suruhanjaya itu atau perbelanjaan untuk menjalankan program, yang boleh menyebabkan defisit lebih awal jika tiada dana tambahan diperoleh," katanya dalam satu kenyataan hari ini. 
 
Hasmy berkata Suhakam ada berjumpa dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Paul Low Seng Kuan untuk mempertimbangkan kesan Bajet 2016 terhadap kemampuan suruhanjaya itu untuk menjalankan fungsi terasnya, iaitu melindungi dan menggalakkan hak asasi manusia di negara ini. 
 
 

Adun PKR bidas kerajaan Terengganu beri Umno jaga tanah orang Melayu

Posted: 16 Nov 2015 03:42 AM PST




Pindaan Fasal 2 Enakmen Tanah Simpan Bagi Orang-orang Melayu yang diluluskan Julai lalu memasukkan Badan Perhubungan Umno Terengganu dan PR1MA sebagai badan yang kepadanya tanah orang-orang Melayu boleh dipindah milik, kata Adun PKR, Azan Ismail. – Gambar fail The Malaysian Insider, 16 November, 2015. 
Pindaan Fasal 2 Enakmen Tanah Simpan Bagi Orang-orang Melayu yang diluluskan Julai lalu memasukkan Badan Perhubungan Umno Terengganu dan PR1MA sebagai badan yang kepadanya tanah orang-orang Melayu boleh dipindah milik, kata Adun PKR, Azan Ismail. – Gambar fail The Malaysian Insider, 
 
 
Ahli Dewan Undangan Negeri Bandar (PKR) Azan Ismail hari ini membidas langkah kerajaan Terengganu yang menamakan Umno dan agensi kerajaan persekutuan, Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA), sebagai penjaga tanah rizab Melayu dalam pindaan Enakmen Tanah Simpan Bagi Orang-orang Melayu yang diluluskan Julai lalu.

Pindaan tersebut dibuat pada Mei lalu di Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu dan diwartakan 2 bulan kemudian.

Pindaan Fasal 2 tersebut memasukkan Badan Perhubungan Umno Terengganu dan PR1MA sebagai badan yang kepadanya tanah orang-orang Melayu boleh dipindah milik.

Azan bimbang langkah dibuat kerajaan Terengganu itu akan membuka pintu kepada kerajaan negeri lain mengambil langkah sama. 
 
"Dengan pindaan ini, saya bimbang ia akan jadi contoh yang merbahaya dan membuka pintu kepada negeri lain untuk mengikut jejak tersebut," kata Azan yang juga ahli Parlimen Indera Mahkota pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Dalam rekod hansard DUN, Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman menjelaskan, langkah tersebut bertujuan melindungi tanah milik Umno dan memastikan ia kekal di tangan orang Melayu.

Lebih mengecewakan, Ahli Parlimen Kuala Terengganu Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad berkata, hanya Azan seorang yang menentang pindaan tersebut, sementara 14 Adun pembangkang PAS lain berdiam diri dan tidak menyatakan bantahan.

"Adun pembangkang PAS yang lain tidak menyatakan bantahan terbuka, mengapa hanya Azan sahaja membantah?" kata bekas ahli Parlimen PAS tersebut yang kini menyertai Parti Amanah Negara.

Dalam pada itu, seorang lagi ahli parlimen Amanah, Hanipa Maidin berkata, mereka akan mencabar pindaan tersebut kerana bertentangan dengan Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan yang melindungi hak-hak orang Melayu.

"Saya seorang peguam dan tidak pernah melihat undang-undang seperti ini," katanya.


Serangan di Paris, adakah kita sudah bersolidariti?

Posted: 16 Nov 2015 03:37 AM PST

Oleh Wan Salman Wan Sallam

Rakyat Malaysia diseru supaya mengutuk tindakan pengganas di Paris dan bersolidariti tidak kira siapa pun mereka.
 
 
paris-palestine 


Serangan di Paris tempoh hari oleh pengganas yang mengakibatkan 120 kematian dan sekurang-kurangnya 180 kecederaan tidak boleh dikompromi sama sekali. Akal yang waras tidak patut langsung mewajarkan tindakan ini malah, mengutuk secara terbuka serangan atas apa-apa nama kumpulan atau motif sekalipun.

Justeru, sebagai seorang ahli Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM), saya menyokong tanpa syarat kenyataan IKRAM yang mengutuk serangan tersebut dan bersolidariti bersama-sama mangsa serangan kejam dan tidak berperikemanusiaan itu.

Namun begitu, ketika pengguna laman Facebook diberi ruang untuk meletakkan gambar profil berada di sebalik lambang bendera Perancis lut cahaya, ramai pula yang mempersoal tindakan beberapa pihak yang melakukan tindakan sedemikian.

Timbullah banyak persoalan daripada pengguna media sosial seperti "Kenapa bila Perancis kena baru nak tukar? Bila Palestin, Syria kena hari-hari tak mahu tukar pula?",

"Tukar gambar profil sekadar trend sahaja," dan "Mangsa MH370 dan MH17 lebih ramai, kenapa masa tu kita tak tukar gambar profil jadi bendera Malaysia?"

Mungkin boleh dipersoal mengapa tidak Zuckerberg penyediaan tetapan gambar profil sedemikian pada masa lain.

Namun, secara prinsipnya, apakah masalah besar ketika ramai orang menukar gambar profil mereka?
Apakah salah jika kita menunjukkan simpati ketika mana 120 jiwa di Eropah hilang angkara taklid buta dan nafsu pihak berkepentingan?

Adakah hanya kerana mereka warga Eropah dan bukan Muslim dan tidak seperti mereka di Palestin dan Syria, maka jiwa-jiwa yang hilang itu "kurang sifat manusianya" berbanding mereka yang lain?

Adakah wajar kita membahaskan tindakan bersimpati ini ketika mana seorang ibu kehilangan anaknya dan seorang anak kecil kehilangan ibu bapa mereka sebagai penjaga mereka sebelum ini?

Mungkin ada yang ingin mempersoalkan kehipokritan sesetengah pihak yang melakukan tindakan ini sama ada memang betul bersimpati atau sekadar mahu meraih populariti.

Menyelidik

Mengapa pula kita perlu mahu menyelidik sedalam-dalamnya apa yang ada dalam hati manusia? Apa pula bahayanya jika mereka yang berbuat demikian hanya kerana populariti? Kita tidak tahu isi hati orang lain dan bukan tugas kita pun menghakimi apa niat orang lain.

Malah, boleh jadi kerana ada yang ingin mengikut trend, ada yang benar-benar ikhlas akhirnya mengambil maklum dan mula cakna akan tragedi ini dan menyedarkan mereka bahaya ekstremisme.

Bagaimana pula pihak-pihak lain boleh mendakwa tiada solidariti ditunjukkan apabila berlaku serangan di Palestin, Syria, Myanmar dan tempat-tempat lain dilakukan?

Tidakkah kita maklum bahawa di Malaysia sendiri, betapa banyak terdapat NGO yang ditubuhkan khas semata-mata memberi kesedaran dan membantu mangsa keganasan Zionis di Palestin? Jika NGO seperti Aqsa Syarif, Aman Palestin, Viva Palestina, Muslim Care Malaysia dan banyak lagi NGO lain-lain tidak cukupkah membuktikan keprihatinan manusia?

Tidak cukup dengan itu, IKRAM sendiri contohnya menyusun kembali NGO-NGO kemanusiaan di bawahnya seperti Aqsa Syarif, IKRAM4SYRIA, Salam Iraq dan banyak lagi NGO lain bawah satu NGO baharu, Humanitarian Care Malaysia (MyCARE) bagi memperkemas lagi bantuan kemanusiaan dan program kesedaran terhadap kezaliman yang terjadi di tempat-tempat terbabit.

Ketika tragedi MH17 dan MH370 pula, lupakah kita betapa setiap hari diadakan sidang media agar seluruh dunia mengetahui maklumat semasa? Berbagai-bagai poster telah direka dan disebar dalam berbagai-bagai fasa pendedahan tragedi tersebut. Ribuan dunia bersolidariti dengan meninggalkan bunga dan lilin di hadapan kedutaan negara kita dan China terutamanya.

Hipokrit

Sesuatu yang mengarut tentang kritikan solidariti terhadap tragedi Paris yang menyifatkannya sebagai hipokrit ialah seolah-olah semua orang telah bersolidariti terhadap Syria, Palestin, Rohingnya dan seumpamanya.

Lupakah kita bahawa apabila tiba-tiba terjadi tindakan balas-membalas roket dengan tidak adil antara Palestin dan Zionis Israel, betapa ramai antara kita yang bersolidariti bersama rakyat Palestin? Bagaimana pula dengan Intifada baru-baru ini?

Tindakan mengkiritik solidariti bersama mangsa Paris ini seolah-olah mengkritik tindakan dunia yang prihatin akan wabak penyakit respiratori MERS-CoV dan mempersoal pula mengapa tidak penyakit seperti sakit jantung dan kencing manis jenis II diambil berat. Mengarut, bukan?

Sudah tentunya MERS-CoV diambil berat ketika ia tiba-tiba terjadi kerana ia memerlukan perhatian segera kerana ia sesuatu yang baharu sedangkan penyakit-penyakit seperti sakit jantung dan kencing manis ialah penyakit kronik yang telah banyak strategi dirangka secara global dengan geran lebih berbilion dolar Amerika jika digabungkan semuanya.

Samalah seperti serangan pengganas terhadap Paris ini, kerana ia bukan sesuatu yang norma untuk terjadi sedemikian, sudah tentulah perlu diambil perhatian segera. Apabila siasatan bermula dan keadaan beransur pulih sedikit demi sedikit, perhatian akan tetap beralih kembali kepada tragedi yang lebih "kronik" seperti Palestin dan Syria.

Saya sendiri yang menukar gambar profil pun tidak merancang mengekalkannya selama-lamanya, justeru, menetapkannya hanya untuk seminggu sahaja.

Yang lebih penting ialah bukan mempersoalkan solidariti orang lain dan keikhlasan mereka tetapi hati kita sendiri samaada kita mendiskriminasi pihak lain hanya kerana `warna kulit kaya' yang hilang jiwanya.

Saya dengan ini menyeru lebih ramai rakyat Malaysia, Muslim mahupun bukan agar bersolidariti bersama mangsa serangan di Paris dan mengutuk tindakan pengganas tersebut tidak kira siapa nama mereka atau apa sahaja motif mereka.

Wan Salman Wan Sallam adalah pembaca FMT

NOW persoal kursus kahwin RM290,000 YaPEIM di Paris

Posted: 16 Nov 2015 03:34 AM PST

 
Akmal Nasir mendedahkan dua program tersebut melibatkan 100 peserta yang terdiri daripada rakyat Malaysia yang menetap di Paris.


NOWakmal


PETALING JAYA: National Oversight and Whistleblowers (NOW) mempersoal kewajaran Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) membelanjakan RM290,000 untuk membiayai dua program kursus kahwin di Paris, Perancis melalui dana Yayasan Pembangunan Anak Yatim dan Miskim (PEMANGKIN).

Ketua Pengarah NOW, Akmal Nasir mendedahkan dua program tersebut diadakan secara berturut-turut pada hujung tahun 2014 dan awal tahun 2015 melibatkan 100 peserta yang terdiri daripada rakyat Malaysia yang menetap di Paris.

"Apakah kewajaran YAPEIM menganjurkan Kursus Perkahwinan, Kekeluargaan, Keusahawan dan Pengurusan di Paris dengan kos RM290,000?

"Bukanka anak yatim atau orang miskin di Malaysia ini yang lebih layak dan memerlukan untuk dibantu YAPEIM?" soal Akmal dalam satu sidang media pada Isnin.

Menurut Akmal, aktiviti pertama, 'Kursus dan Kembara Santun 2014 Kelab Santun Eropah' diadakan pada 20 Disember 2014 hingga 28 Disember 2014 menelan kos sebanyak RM176,500.

Manakala program kedua, 'Program Transformasi Warga Santun Kelab Santun Eropah' yang berlangsung dari 29 Disember 2014 sehingga 3 Januari 2015 pula menelan kosn RM113,500.

"Penganjuran program di Paris ini langsung tidak mencerminkan matlamat serta amal jariah YaPEIM.
"Tidak adakah anak yatim atau orang miskin di Malaysia ini yang lebih layak dan memerlukan untuk dibantu YaPEIM?" soal Akmal.

Beliau juga menekankan sumbangan dana kepada YaPEIM yang diperoleh melalui potongan gaji bulanan melibatkan pencarum lebih setengah juta rakyat Malaysia bertujuan untuk kegiatan amal jariah dan kebajikan.

"Ia bukan untuk dibelanjakan untuk penganjuran program-program di luar negara.

"Justeru saya menyeru Menteri di Jabatan Perdana Datuk Seri Jamil Khir Baharom untuk menjawab persoalan-persoalan berkenaan dengan rakyat bukan dengan mencabar beliau di mahkamah," tegas beliau.

‘Saya tetap bersama Pas’ – Salleh Man

Posted: 16 Nov 2015 03:32 AM PST

FREE MALAYSIA TODAY

Salleh menyatakan bahawa beliau tetap akan bersama Pas dan akan menjadi anggota parti itu seumur hidup


lim-guan-eng_salleh-man_600


GEORGE TOWN: Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir Datuk Mohd Salleh Man berkata, beliau akan terus berkhidmat untuk kerajaan Pulau Pinang dan penduduk kawasan berkenaan sebagai ADUN mewakili Pas.

Mohd Salleh berkata, beliau tetap akan terus bersama Pas, malah, merupakan anggota seumur hidup parti itu.

"Saya akan terus berkhidmat sebagai ADUN Permatang Pasir dengan semangat dan komitmen terbaik…InsyaAllah. Saya adalah ADUN Pas dan ahli kerajaan bersama kerajaan negeri," katanya kepada pemberita di lobi Dewan Undangan Negeri, di sini pada Isnin.

Semalam, Pas Kawasan Permatang Pauh mengumumkan keputusan untuk memutuskan hubungan dengan Mohd Salleh berikutan kenyataannya yang jelas menyatakan sokongan terhadap kerajaan Pakatan Harapan yang diterajui DAP dan bertentangan dengan pendirian Pas pusat.

Dalam kenyataan pada 2 November, Mohd Salleh mengumumkan pendirian menyokong kerajaan Pakatan Harapan Pulau Pinang yang dipimpin Ketua Menteri Lim Guan Eng.

Ditanya mengenai pendirian Pas pusat tidak mengiktiraf kerajaan Pakatan Harapan Pulau Pinang, Mohd Salleh berkata: "Itu pendirian mereka. Saya tak boleh nak komen. Saya sebagai ADUN Permatang Pasir dan akan terus berkhidmat untuk rakyat Permatang Pasir".

Beliau berkata sehingga sekarang, hubungannya dengan Pas negeri dan pusat masih baik.

Ditanya sama ada beliau akan meletak jawatan sebagai anggota Pas, Mohd Salleh berkata: "Isu itu tidak pernah timbul. Saya tegaskan sekali lagi, saya tetap dengan Pas untuk selama-lamanya".-Bernama

Sultan Johor kecil hati laporan berita palsu

Posted: 16 Nov 2015 03:27 AM PST

 
Baginda menjelaskan anaknda, Tuanku Abdul Jalil hanya mendapat rawatan sakit belakang kerana kemudahan di hospital lebih lengkap





PETALING JAYA: Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar meminta pihak terbabit yang menyebar berita palsu mengenai anaknda Baginda, Tunku Abdul Jalil yang kononnya berada dalam keadaan kritikal supaya menghentikan perbuatan itu.

Baginda yang berkecil hati dengan perbuatan tidak bertanggungjawab itu menjelaskan puteranya hanya mendapat rawatan di hospital kerana masalah sakit belakang.

"Tunku Laksamana dimasukkan ke wad kerana fasiliti (rawatan) di istana tidak mencukupi.

"Jadi, orang ramai tolonglah jangan menghebah-hebahkan berita palsu. Saya berasa kecil hati kerana keadaan Tunku Laksamana tidak tenat seperti yang diuar-uarkan dan berharap orang ramai terus mendoakan kesihatan anakanda, " titah Baginda yang dipetik daripada Bernama.

Sultan Ibrahim bertitah demikian sebagai mengulas laporan tentang Tunku Abdu Jalil yang dikatakan sedang sakit tenat akibat kanser dan ia kemudian menjadi viral di laman media sosial.

Sultan Ibrahim turut menegaskan, di Johor, Baginda tidak mahu perbuatan penyebaran berita palsu itu terus berleluasa.

"Kerajaan tahu di mana tujuan (penyebaran), jadi tidak payah sebar-sebarkan berita yang kurang senonoh terutama blogger, yang kononnya macam mereka tahu dulu (semua perkara) sebelum kejadian berlaku," titah Baginda kepada pemberita selepas menghadiri majlis perjumpaan bersama Lembaga Pengampunan Johor di Bangunan Sultan Ibrahim.

DAP Selangor rancang rampas 8 kerusi Pas

Posted: 16 Nov 2015 03:24 AM PST

 
Pengerusi DAP Selangor, Tony Pua menyampaikan hasratnya untuk bertanding di DUN Taman Templer yang dimiliki Pas sebagai salah satu daripada lapan kerusi tersebut.


tonny-pua_pas_dap_600


SELAYANG: Penubuhan pusat khidmat komuniti DAP di Dewan Undangan Negeri (DUN) Taman Templer digambarkan sebagai indikasi serius bahawa parti itu akan bertanding di kerusi milik Pas.

Malah, difahamkan bahawa DAP Selangor sudahpun membuat pengesahan awal untuk bertanding di lapan kerusi DUN milik Pas.

Pengerusi DAP Selangor, Tony Pua menyampaikan hasratnya untuk bertanding di DUN Taman Templer yang dimiliki Pas sebagai salah satu daripada lapan kerusi tersebut.

"Keputusan untuk bertanding di kawasan itu belum diputuskan secara rasmi memandangkan keputusan terakhir akan dilakukan bersama sekutu baharu kami dalam Pakatan Harapan yang tidak disertai Pas.

"Kita akan berbincang bersama rakan seperjuangan kami dalam Pakatan Harapan dan siapa yang dipilih untuk bertanding di bawah nama Pakatan Harapan, kami akan beri sokongan penuh," kata Tony Pua.

Sementara itu, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng pula menyerahkan sepenuhnya kepada kepimpinan negeri untuk membuat keputusan.

"Itu (bertanding di kawasan Pas) biar Tony Pua yang jelaskan sebab dia pengerusi negeri dan kami menyokongnya," katanya.

Kedua-dua pemimpin tersebut berkata demikian semasa menghadiri majlis perasmian Pusat Khidmat Komuniti DAP Taman Templer pada Isnin.

Shah Alam sesak akibat banjir kilat

Posted: 16 Nov 2015 03:21 AM PST

 
Operasi komuter di Batu Tiga terpaksa dihenti selepas landasan ditenggelami air. 


shah-alam-banjir


PETALING JAYA: Beberapa kawasan di Shah Alam, Selangor ditenggelami banjir kilat selepas hujan lebat selama dua jam.

Seksyen 13, Seksyen 9, Seksyen U8 dan Batu Tiga antara kawasan yang teruk terjejas.

Banjir kilat turut menenggelamkan landasan keretapi sehingga menyebabkan operasi komuter di Stesen Komuter Batu Tiga terjejas.

Dalam kenyataannya, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) memaklumkan, perkhidmatan komuter dan kereta api di stesen berkenaan tidak dapat beroperasi buat sementara waktu kerana landasannya dinaiki air.

Sehingga jam 6 petang, jalan utama keluar masuk ke bandar ini turut mengalami kesesakan lalu lintas namun masih terkawal.

Kekalutan dan banjir kilat yang berlaku kemudian dikongsi orang ramai di laman sosial termasuk di Facebook.

Himpunan teksi tetap berjalan walaupun tanpa kebenaran DBKL

Posted: 16 Nov 2015 03:04 AM PST

Oleh Muhammad Asyraf Azlan

 
Post Pic



KUALA LUMPUR: Perhimpunan Warga Teksi pada 18 November ini tetap akan diadakan walaupun tidak mendapat kebenaran daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), demikian menurut Penyelia Jawatankuasa Bertindak Pemandu Teksi Lembah Klang, Kamarudin Mohd Hussain.

Katanya, mereka telah mematuhi segala prosedur yang ditetapkan di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012 namun DBKL sehingga kini masih tidak memberi sebarang jawapan.

Katanya, perhimpunan ini bukan bertujuan memberi imej buruk kepada negara tetapi bagi menzahirkan ketidakpuasan hati warga teksi terhadap Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).

"(Ia) Adalah untuk menzahirkan ketidakpuasan hati warga teksi terhadap Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), di mana SPAD ini yang ditubuhkan pada tahun 2011 sehingga hari ini telah gagal mentransformasikan industri teksi. SPAD lebih banyak menyusahkan pemandu teksi berbanding menyelamatkan atau membantu industri.

"Kita bukan untuk memburukkan imej negara, bukan menentang kerajaan. Bukan kami bawa agenda politik tetapi matlamat kita untuk minta kerajaan pandang masalah kita. Sebab kita tidak nampak sejak 2011 SPAD ditubuhkan sampai hari ini tidak nampak keberhasilan SPAD ini," katanya ketika ditemui Antarapos hari ini.

Kamarudin yang juga Timbalan Pengerusi Persatuan Transformasi Pemandu Teksi Malaysia (PERS1M) memberitahu bahawa beliau sudah beberapa kali berunding dengan SPAD mengenai permasalahan yang melanda industri teksi namun masih belum mendapat perhatian sewajarnya.

"Kita hendak kerajaan faham masalah kita, dengar masalah kita. Sebab saya di dalam PERS1M sendiri telah banyak kali berurusan ataupun menghantar surat kepada Perdana Menteri dan juga SPAD. Kita pernah mengadakan rundingan namun sehingga hari ini kami tidak dapat  perhatian yang sewajarnya.

"Jadi perhimpunan ini bertujuan untuk mendapatkan perhatian kerajaan bahawa kami ini betul-betul telah susah. Kami ini betul-betul memerlukan keperihatinan kerajaan," ujarnya.

Beliau menyasarkan seramai 10,000 pemandu teksi sekitar Lembah Klang menyertai perhimpunan selama lima jam yang bakal bermula pada jam 12 tengah hari sehingga 5 petang pada 18 November ini.

Pemandu teksi dari Negeri Sembilan, Melaka dan Johor dikatakan turut terlibat di dalam himpunan ini.

Mengulas lanjut, Kamarudin berkata pihaknya mencadangkan tiga lokasi bagi pemandu teksi berkumpul iaitu di Jalan Conlay, Masjid Wilayah serta Padang Merbok pada pukul 10 pagi sebelum perhimpunan bermula pada pukul 12 tengah hari.


Pemuda PAS serah kepada pusat tentukan nasib Husam

Posted: 16 Nov 2015 03:00 AM PST

 Oleh Nur Atiqah Samad

 
Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Ketua Pemuda PAS, Nik Mohamad Abduh Nik Aziz menyerahkan kepada parti berhubung tindakan yang bakal diambil terhadap Datuk Husam Musa ekoran kelantangannya mengkritik Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
 
Katanya, bekas Naib Presiden PAS itu berhak membuat pilihan sama ada untuk meninggalkan parti atau tidak.  
 
"Dia dah pilih jalan dia, jadi kita tengoklah apa akan berlaku.  
 
"Dalam PAS ni bagi kita yang kekal (ahli) istiqamah tu akan selamat dalam PAS dan apa yang Husam buat tu adalah pilihan dia sebagaimana orang lain yang buat pilihan.
 
"Kita tengok keputusan parti untuk buang dia," beliau berkata demikian di Lobi Parlimen hari ini.
 
Ketika ditanya mengenai tarikh mesyuarat PAS Pusat bagi membincangkan mengenai kedudukan Husam, Nik Abduh memberitahu beliau tidak terlibat dalam perkara itu.
 
Semalam Hadi memberitahu, Husam bakal berdepan dengan tindakan disiplin termasuk kemungkinan dipecat daripada parti itu.
 
ADUN Salor itu dilihat semakin lantang melontar pelbagai tuduhan terhadap Hadi dan juga kerajaan Kelantan.
 
Bukan itu sahaja, beliau turut mengaitkan Hadi kepada dakwaan mengenai pembentukan kerajaan perpaduan Umno-PAS di Selangor semasa krisis jawatan Menteri Besar Selangor ekoran pergolakan dalam PKR tahun lalu. 
 
Husam pada 6 November lalu mendedahkan Hadi pernah memberitahu beliau bahawa PAS sedang bekerjasama dengan Umno untuk menubuhkan kerajaan perpaduan di Selangor ekoran krisis pentadbiran di negeri berkenaan.

Guan Eng tiada kuasa bubar kerajaan negeri Selangor, boleh cakap apa sahaja

Posted: 16 Nov 2015 02:58 AM PST

 Oleh Azizul Osman

 
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Tindakan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang lantang mengkritik kedudukan PAS dalam kerajaan Negeri Selangor hanyalah cakap-cakap politik orang yang kurang senang dengan kerjasama PAS dan PKR sejak 2008.   
 
Menurut bekas Naib Presiden PAS, Datuk Nakhaie Ahmad, kata-kata Guan Eng itu sama seperti 'anjing menyalak bukit' yang tidak membawa kepada sebarang perubahan kepada kerjasama PAS dan PKR di Selangor.
 
"Cakap-cakap di luar daripada persetujuan itu mungkin boleh jejaskan persetujuan dalam kerajaan tapi saya tidak fikir bahawa walaupun Lim Guan Eng lantang mengkritik PAS, saya rasa pihak kepimpinan kerajaan Negeri Selangor tentu berfikiran lebih jauh daripada mengambil reaksi Guan Eng ataupun kenyataan Nik Mohamad Amar (Timbalan Menteri Besar Kelantan) kerana itu kerajaan, ini parti.
 
"Parti (boleh) bercakap walaupun ada kesannya mungkin mereka (PAS) akan bertindak keluar tapi saya fikir DAP dan PAS dalam kerajaan Selangor mungkin fikir lain sebab Guan Eng tidak boleh bubarkan kerajaan Negeri Selangor, tidak ada kuasa dia," katanya kepada Antarapos. 
 
Bukan setakat itu, PAS juga kata Nakhaie boleh mengeluarkan kenyataan sama bagi memastikan DAP tidak terus mendominasi kepimpinan kerajaan Negeri Selangor.
 
"Cakap politik ini saya rasa itu di luar daripada pakatan mereka, cakap-cakap politik itu ialah kenyataan-kenyataan politik bagi parti-parti berkenaan yang tidak ada kaitan dengan pakatan mereka untuk menubuhkan kerajaan, PAS pun boleh berkata kepada DAP," katanya lagi.
 
PAS semalam memberikan amaran keras kepada Guan Eng supaya menutup mulut dan berhenti daripada mengeluarkan kenyataan yang 'merapu'.
 
Amaran itu disuarakan Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah susulan kenyataan terbaru Guan Eng yang mahu DAP kekal berada di Selangor bagi memastikan PAS tidak membuat 'jahat' seperti yang berlaku di Kelantan.
 
Malah, Mohd Amar yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan 'memulangkan paku buah keras' kepada DAP apabila mendakwa PAS akan terus kekal dalam kerajaan Selangor bagi memastikan DAP tidak berterusan membuat sesuka hati mereka di negeri ini.
 
 

PAS syor tiga cadangan kemas kini Bajet 2016

Posted: 16 Nov 2015 02:57 AM PST

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
SHAH ALAM: PAS menyifatkan Bajet 2016 yang dibentangkan Datuk Seri Mohd Najib Razak mengandungi elemen ketidakpatuhan kepada prinsip syariat Islam yang agak ketara, walau secara keseluruhannya merangkumi elemen penting bagi pembangunan negara. 
 
Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, bajet yang dibentangkan perdana menteri itu boleh disifatkan sebagai 'menyenangkan kerajaan tetapi menyusahkan rakyat'.
 
"PAS melihat terdapat ketidakpatuhan kepada prinsip syariat Islam yang agak ketara terutamanya dalam pelaksanaan GST (Cukai Barangan dan Perkhidmatan) yang telah mengenakan cukai kepada golongan faqir dan miskin, justeru bajet ini dilihat sebagai 'bajet menyenangkan kerajaan tetapi menyusahkan rakyat'.
 
"PAS juga mendapati wujud sekurang-kurangnya dua aspek besar pengurusan ekonomi negara yang sebenarnya boleh ditangani secara lebih berkesan, iaitu aspek kejatuhan nilai ringgit, dan aspek kos sara hidup rakyat," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
 
Ujar Ahli Parlimen Marang itu juga, penyediaan bajet pada kali ini dilihat tidak berlandaskan beberapa prinsip penting, termasuk prinsip melibatkan harta negara tidak boleh berlegar dalam kalangan orang kaya sahaja.
 
"Prinsip ini jelas dinaskan di dalam al-Quran. Keduanya, prinsip cukai diambil daripada lebihan golongan kaya untuk diagihkan kepada golongan miskin.
 
"Ketiganya, golongan fakir dan miskin adalah dua sasaran utama sistem ekonomi Islam," katanya.
 
Sehubungan itu, PAS kata Hadi mengesyorkan beberapa cadangan penyelesaian kepada tiga masalah utama yang dikemukakan oleh Bajet 2016 bagi tujuan mengelakkan perlanggaran prinsip syariat Islam. 
 
"Penyelesaian kepada masalah kejatuhan harga petroleum dan kesilapan kerajaan Malaysia bergantung kepada GST sebagai sumber alternatif pendapatan negara - iaitu mengenakan cukai atas simpanan syarikat dan korporat (Tax on Saving) dan cukai perdagangan saham Di Bursa Saham Malaysia (Tax On Share Trading).
 
"Penyelesaian kepada masalah kejatuhan ringgit dan kesannya kepada perbelanjaan negara dan rakyat boleh diatasi dengan penggantian import (Import Substitution) untuk tempoh terhad serta meneliti semula kontrak kerajaan (Value Enginering).
 
"Penyelesaian kepada masalah kenaikan kos hidup rakyat, iaitu secara lebih khusus kemelut berkaitan pemilikan rumah yang dihadapi oleh sebahagian besar masyarakat boleh ditangani dengan pemberian elaun kos sara hidup (Cola) oleh majikan swasta dan projek 'mampu memiliki rumah'," katanya.
 
Tambah Hadi lagi, butiran lebih terperinci pelaksanaan cadangan-cadangan ini terdapat dalam dokumen yang akan diserahkan kepada kerajaan dan akan diumumkan kemudiannya kepada rakyat.
 
 

Mahkamah Tinggi tangguh keputusan Anwar panggil Ramli Yusuff

Posted: 16 Nov 2015 02:56 AM PST

ANTARAPOS.COM


Post Pic


PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan di sini, hari ini menangguhkan keputusan permohonan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memanggil bekas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Datuk Ramli Yusuff bagi memberi keterangan berhubung insiden 'mata lebam' dalam prosiding semakan keputusan kes liwatnya.

Perkara itu diputuskan panel lima hakim diketuai Hakim Tan Sri Zulkifli Ahmad Makinuddin.

Pada Jun lalu, Anwar memfailkan permohonan itu bagi membuktikan dakwaan konspirasi politik dalam kes berkenaan, yang akan digunakan bagi semakan hukuman ke atas beliau bagi kes liwatnya terhadap Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Anwar yang kini sedang menjalani hukuman penjara lima tahun di Penjara Sungai Buloh turut hadir pada prosiding berkenaan.

Jin Wei catat sejarah badminton negara di Peru

Posted: 16 Nov 2015 02:54 AM PST

ANTARAPOS.COM


Post Pic


KUALA LUMPUR: Pemain muda, Goh Jin Wei mencatat sejarah apabila merangkul kejuaraan perseorangan wanita pada Kejohanan Badminton Remaja Dunia di Lima, Peru, awal pagi tadi waktu Malaysia.

Jin Wei, 15, pemain ranking kelima kejohanan berkenaan menewaskan rakan senegara Lee Ying Ying yang tiga tahun lebih tua daripadanya, 21-15, 21-16 dalam tempoh 35 minit.

Ini adalah kali pertama pemain remaja wanita Malaysia memenangi kejohanan itu.

Kejayaan berkenaan melengkapkan tahun cemerlang buat Jin Wei selepas menjadi pemain paling muda beraksi bersama skuad badminton negara pada temasya Sukan SEA Singapura, Jun lalu.

Di Singapura, Jin Wei yang berasal dari Pulau Pinang itu berjaya mara ke peringkat separuh akhir acara perseorangan, selain membantu skuad negara mara ke final acara berpasukan wanita.

Jin Wei, pelajar Tingkatan 3 Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Hartamas, di sini mula diserapkan dalam skuad pelapis kebangsaan pada akhir tahun lalu dan dilatih bekas pemain negara yang juga bekas jurulatih perseorangan wanita Indonesia, Wong Tat Meng serta Rony Agustinus.

Kali terakhir Malaysia muncul juara di Kejohanan Remaja Dunia adalah pada 2011 apabila Zulfadli Zulkiffli dan pasangan Nelson Heg Wei Keat/Teo Ee Yi, masing-masing merangkul gelaran perseorangan dan beregu lelaki.

Sementara itu, pemain Taiwan, Lu Chia Hung muncul juara perseorangan lelaki selepas bangkit daripada kekalahan set pertama untuk menang 17-21, 21-10, 21-7 ke atas Siril Verma dari India dalam masa 50 minit.

KEPUTUSAN: Perseorangan lelaki: Lu Chia Hung (TPE) mn Siril Verma (IND) 17-21, 21-10, 21-7. Perseorangan wanita: Goh Jin Wei (MAS) mn Lee Ying Ying (MAS) 21-15, 21-16. Beregu lelaki: He Jiting/Zheng Siwei (CHN) mn Joel Eipe/Frederick Sogaard Mortensen (DEN) 21-14, 21-16. Beregu wanita: Chen Qingchen/Jia Yifan (CHN) mn Du Yue/Li Yinhui (CHN) 21-18, 13-21, 21-11. Beregu campuran: Zheng Jiwei/Chen Qingchen (CHN) mn He Jiting/Du Yue (CHN) 21-19, 21-8. – BERNAMA

Pengerusi PKR Johor dituduh menghasut

Posted: 16 Nov 2015 02:53 AM PST

ANTARAPOS.COM


Post Pic


SHAH ALAM: Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor, Hassan Abdul Karim mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, terhadap tiga pertuduhan menghasut pada Ogos tahun lalu.

Hassan dituduh mengikut Akta Hasutan kerana menerbitkan kenyataan menghasut membabitkan pentadbiran Selangor terdahulu serta menghina Sultan Selangor.

Hassan turut mengaku tidak bersalah terhadap tiga pertuduhan alternatif yang dikenakan terhadapnya iaitu menggunakan internet untuk memuat naik mesej berkenaan.

Tertuduh didakwa memuat naik mesej menghasut berkaitan pentadbiran bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan EXCO serta Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah ketika isu krisis pentadbiran Selangor pada Ogos tahun lalu.

Dia didakwa melakukan dua kesalahan itu pada 15 Ogos 2014 di Pejabat PERKASA, Shah Alam dan sekali lagi pada 10 Januari 2015 di Bukit Aman dengan memuat naik semua mesej berkenaan di laman Twitter.

Hakim Slamat Yahya membenarkan tertuduh dijamin RM10,000 dengan seorang penjamin.

Kes disebut semula pada 15 Disember ini.

HUSAM TAK SEPATUTNYA TERUS BABIT ISTERI DALAM SUMPAH POLITIKNYA

Posted: 15 Nov 2015 09:30 PM PST

shahbudindotcom

 
 
 
Walaupun kita mungkin dapat memahami mengapa bekas Naib Presiden Pas, Husam Musa sanggup bersumpah mentalak isterinya bagi membuktikan kebenaran dakwaannya mengenai penubuhan kerajaan campuran parti itu dengan UMNO melalui usaha Hadi Awang sendiri, tindakan beliau tetap merupakan sesuatu yang tidak sewajarnya.

Kalau pun ingin menunjukkan dakwaannya itu bukan main-main dan seolah-olah Hadi Awang mengkhianati perjuangan Pas, apakah bersumpah melibatkan isteri sendiri merupakan sesuatu yang seharusnya terus dilakukan?

Kenapa asyik-asyik isteri yang dijadikan gadaian dan galang ganti untuk menunjukkan kehebatan perjuangan?

Bukankah sebagai pemimpin progresif dalam Pas, Husam sepatutnya cuba menghapuskan budaya sumpah sebegitu rupa memandangkan  bekas pemimpin kumpulan itu yang kini menyertai Amanah sudah membuang jauh dan tidak mengiktiraf amalan itu?

Tidak adakah perkara lain, selain isteri sendiri yang boleh dijadikan sandaran jika ingin bersumpah berkaitan politik?

Kenapa tidak bersumpah seperti menyerahkan sebahagian harta atau kereta kepada masjid, rumah kebajikan atau seumpamanya yang jelas hanya membabitkan diri sendiri saja?

Sebelum ini, semua wakil rakyat Pas diwajibkan bersumpah baiah ketika bertanding dalam pilihanraya dengan di Kelantan paling menjadi perbualan kerana menjadikan syarat akan menceraikan isteri masing-masing dengan talak tiga sekiranya meninggalkan perjuangan parti itu atau menyertai parti lain.

Isu baiah ini secara umumnya telah diperkatakan secara meluas dalam masyarakat dan rata-rata menganggap ianya tidak wajar sama sekali dan seolah-olah menjadikan isteri masing-masing sebagai barang gadaian dalam perjuangan sedangkan mereka tidak terlibat atau tidak seharusnya terbeban memikul keputusan politik yang dibuat oleh suami.

Dalam isu perpecahan Pas dengan Amanah baru-baru ini, isu baiah  ini timbul kembali berikutan beberapa pemimpin Pas tetap bertegas untuk menyertai Amanah sebagai wadah baru perjuangan mereka.

Pemimpin Pas di luar Kelantan yang berbaiah seperti haram menikmati gaji dan elaun jika meninggalkan parti itu telah pun menebusnya dengan antaranya memberi makan kepada anak-anak yatim dan sebagainya, manakala mereka di Kelantan yang terlibat dengan baiah talak tiga isteri pula, masing-masing tampil dengan mengatakan ianya tidak semestinya dipatuhi.

Antaranya dengan bersandarkan hujah bahawa baiah itu dilakukan tidak sepenuhnya dengan kerelaan, mengatakan ada toleransi boleh memilih yang lebih ringan atau kurang mudaratnya daripada talak tiga itu serta ada juga yang menyerahkannya kepada Allah yang lebih mengetahui untuk menentukan segala-galanya.

Kini isu baiah dalam Pas boleh dikatakan sudah berlalu. Yang kekal dengan Pas mungkin marah dan mengata macam-macam terhadap mereka yang melanggarnya untuk menyertai Amanah, tetapi yang ingin  keluar Pas tetap juga berbuat demikian bersandarkan hujah dan keyakinan masing-masing.

Maka, apabila Husam membangkitkan kembali perkara itu dengan cuba menjadikan talak isteri sebagai gadaian sumpahnya, apakah beliau sebenarnya bertujuan mahu menghidupsegarkan kembali amalan tersebut?

Tidak bolehkah Husam,  untuk meyakinkan rakyat mengenai dakwaan kerajaan campuran UMNO dengan Pas yang melibatkan Hadi Awang itu jika ia dibuat tanpa melibatkan sumpah, apatah lagi dengan menjadikan isteri sendiri sebagai tukar gantinya?

Tidak bolehkah  sekadar ditampilkan bukti-bukti sahaja untuk menunjukkan benarnya sesuatu dakwaan itu?

Lebih dari itu, adakah tindakan terbaru Husam ini bermaksud mahu mencabar Hadi Awang agar berani bersumpah mentalak isterinya juga jika ingin menafikan dakwaan kerajaan campuran itu?

Tetapi yang tidak baiknya, mungkin ada pula yang berandaian, kalau baiah talak tiga terhadap isteri oleh beberapa pemimpin Pas sebelum ini pun boleh diengkari, apakah ini bermakna sumpah talak isteri oleh Husam ini juga boleh tidak bernilai apa-apa akhirnya?

Akhirnya, agama juga yang tercemar kerana sumpah politik itu.