WARTAWAN RASMI LAMAN REFORMASI |
- Mesyuarat Pas – PKR: Pimpinan PKR tak tahu menahu!
- Potong bajet IPT, kualiti graduan rendah!
- Bajet 2016, adakah saya akan berhenti menganggur?’
Mesyuarat Pas – PKR: Pimpinan PKR tak tahu menahu! Posted: 25 Oct 2015 06:26 AM PDT Mesyuarat Pas – PKR: Pimpinan PKR tak tahu menahu!Kenyataan Timbalan Presiden Pas Tuan Ibrahim Tuan Man kepada portal berita The Malaysian Insider malam tadi mengundang kontroversi. Dakwa Tuan Ibrahim, Pas pada minggu lalu telah pun mengadakan mesyuarat dengan PKR dan mencapai keputusan bahawa kedua-dua pihak akan mengukuhkan muafakat melalui perbincangan di peringkat negeri dan Wilayah Persekutuan . "PR tanpa DAP adalah platform politik yang masih utuh dan kekal sehingga kini. PR masih lagi wujud. "Ini dibuktikan melalui sokongan dan kerjasama politik di Selangor dan Kelantan," katanya dipetik TMI. Dakwa Tuan Ibrahim lagi, Pas akan memperkasakan PR dengan 'penyusunan semula' kekuatan antara parti itu dan PKR, di samping beberapa parti di Semenanjung, Sabah dan Sarawak. Kenyataan ini menjelaskan Pas akan mengaktifkan Pakatan Rakyat bagi menyaingi Pakatan Harapan (PH) yang ditubuhkan PKR, Amanah dan DAP. PKR bertentangan Persoalannya, Pas tidak akan mampu membentuk gabungan politik secara sendirian. Berkemungkinan wujud unsur dalam PKR yang bertindak bertentangan dengan kehendak Biro Politik parti itu yang memperakui pembentukan PH dalam mesyuarat kontroversi 11 Oktober lalu. Adakah puak tertentu dalam PKR yang sebelum ini didakwa di belakang agenda mesyuarat 11 Oktober tersebut telah mengadakan mesyuarat bersama Pas tanpa kebenaran Biro Politik? Respons segera daripada ahli Biro Politik PKR kepada Suara Pakatan Daily setakat ini, menjelaskan parti itu tidak mengetahui mengenai sebarang mesyuarat melibatkan PKR dengan Pas pada minggu lalu, mahu pun dalam beberapa hari lepas. Namun tidak pula diketahui sekiranya mesyuarat ringkas dianjurkan yang tidak memerlukan pengesahan pimpinan tertinggi PKR. Permainan Pas Pemimpin PKR sejak kebelakangan ini kurang senang dengan 'permainan' Pas. Tuan Ibrahim sebelum mesyuarat 11 Oktober lalu mendakwa kemungkinan PKR akan mengalami nasib sama seperti Pas terbelah dua akibat puak yang menolak dan menyokong kerjasama dengan DAP. Namun hal itu tidak berlaku. Mesyuarat 11 Oktober sebaliknya ditamatkan dalam tempoh setengah jam sahaja kerana sebahagian besar penyokong petisyen telah menelefon secara pribadi kepada Dr Wan Azizah menyatakan kesal dengan tindakan mereka menandatangani petisyen mesyuarat khas tersebut. Mesyuarat yang mempunyai agenda untuk menyoal Setiausaha Agung Rafizi Ramli kerana menganjurkan Persidangan Meja Bulat Pakatan Harapan berakhir dengan semangat kekeluargaan dalam parti. Tuan Ibrahim sebagai bekas pensyarah kanan UiTM dan seorang ustaz sepatutnya berasa malu dengan teori awalnya kononnya PKR akan terbelah dua. Malangnya, kali ini Tuan Ibrahim sekali lagi muncul dengan dakwaan Pakatan Rakyat masih hidup dan mahu menganjurkan persekutuan politik bersama lain-lain parti termasuk dari Malaysia Timur. Adu domba Strategi seperti ini hanya akan membenarkan dakwaan DAP bahawa Pas tidak boleh dipercayai. Mereka melakukan strategi yang tidak diterima dalam politik Islam. Berlapang dada adalah salah satu sifat orang beriman. Namun sekiranya Pas cuba memecah belahkan PKR, tentunya akhlak Islam tidak terdapat dalam parti itu.. Akhlak Islam, sekiranya saudara sesama Pas telah menubuhkan Amanah dan bersekutu dengan PKR dan DAP maka Pas wajar meredhakannya. Bukan melakukan muslihat memusnahkan parti sahabat – PKR – yang masih menerima mereka di Selangor. Pas jangan cuba mempergunakan Timbalan Presiden PKR Azmin Ali yang 'tidak sebulu' dengan beberapa pemimpin PKR untuk memecah belah parti reformasi itu dari dalam. Adakah sifat ini dibawa masuk oleh kumpulan pemikir Pas dari UM dan UKM? Sekiranya Pas berpegang kepada politik Islam maka hentikanlah segera politik adu domba versi Umno atau bersedia untuk dipersoalkan oleh sekutu mereka PKR. |
Potong bajet IPT, kualiti graduan rendah! Posted: 25 Oct 2015 12:53 AM PDT Potong bajet IPT, kualiti graduan rendah!Universiti awam Malaysia akan menerima dana lebih rendah tahun depan di bawah Bajet 2016, kurang RM1.4 bilion berbanding sebelumnya, membangkitkan persoalan sama ada matlamat kerajaan melahirkan universiti bertaraf dunia dapat direalisasikan. Pemotongan dalam sektor itu juga menimbulkan kebimbangan yuran pengajian di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) akan dinaikkan, kata ahli Parlimen PKR Sim Tze Tzin. Beliau dan ahli Parlimen DAP Zairil Khir Johari berkata, 19 daripada 20 IPTA akan menghadapi pemotongan bajet pada tahun hadapan. Universiti Malaya (UM) merupakan IPTA yang menerima paling banyak potongan dalam pembiayaan iaitu sebanyak 27.3% atau RM175 juta. Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Universiti Malaya Terengganu (UMT) akan mendapat potongan peruntukan sebanyak lebih 20%, menurut kedua-dua wakil rakyat itu, selepas menganalisis Bajet 2016 dan penyata perbelanjaan persekutuan yang dibentangkan di Parlimen semalam. Bajet bagi 11 IPTA lain akan dikurangkan antara 10% dan 20%, manakala 4 lagi akan kekurangan sehingga 10% daripada bajet mereka sebelum ini. Pemotongan bajet bagi universiti itu dibuat di tengah-tengah pengurangan peruntukan bagi Kementerian Pendidikan Tinggi, daripada RM15.78 bilion pada 2015 kepada RM13.37 bilion bagi 2016, kata mereka. Zairil berkata langkah itu juga diambil ketika Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh mendakwa universiti Malaysia berada di landasan yang betul ke arah menjadi "kelas dunia". "Dengan universiti terkemuka menghadapi belanjawan mereka dikurangkan sehingga 27%, bagaimana hendak merealisasikan cita-cita mempunyai universiti bertaraf dunia?" soal jurucakap pendidikan, sains dan teknologi Parlimen DAP itu. Beliau berkata, penambahbaikan kepada universiti akan memerlukan lebih banyak pelaburan bagi meningkatkan kualiti fakulti akademik dan membangunkan program dan geran penyelidikan yang lebih baik serta menaik taraf kemudahan infrastruktur dan pelajar. Dalam satu kenyataan berasingan, Sim berkata, pemotongan "drastik" bajet itu mungkin akan menyebabkan universiti menaikkan yurannya sebanyak 20%, yang memberi kesan kepada 534,569 pelajar. Beliau memberi amaran yang pemotongan bajet untuk universiti akan lebih menghakis sokongan pelajar terhadap Barisan Nasional (BN), sambil menambah, parti pemerintah itu hanya menerima 46% sokongan daripada pengundi yang berumur 21 hingga 25 tahun ketika ini. "PKR menentang sebarang pemotongan bajet universiti kerana ia adalah tanggungjawab negara dan ia juga merupakan pelaburan yang bijak," kata pengarah strategi PKR itu. "Menurut kajian Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD), pelaburan dalam pendidikan tinggi akan membawa pulangan yang besar kepada kerajaan. "Secara purata, bagi setiap ringgit yang kerajaan laburkan dalam pendidikan tinggi, ia akan menerima RM6 sebagai balasan melalui cukai," kata Sim. |
Bajet 2016, adakah saya akan berhenti menganggur?’ Posted: 25 Oct 2015 12:44 AM PDT 'Bajet 2016, adakah saya akan berhenti menganggur?'"Adakah Bajet 2016 boleh menjamin saya dapat kerja? Saya dah menganggur sejak hujung Julai lalu," kata Joseph Yong kepada wartawan Suara pakatan daily dalam tinjauan maklum balas terhadap bajet Najib Razak yang dibentangkan pada 23 Oktober lalu. Sebelum ini, Joseph memperolehi pendapatan sebanyak RM1,600 sebulan sebagai pemandu van. Beliau yang berusia 45 tahun amat berharap kos sara hidup boleh diturunkan kalau kadar Cukai Barangan dan Perkhidmatan diturunkan daripada 6% kepada 3%. Tetapi hampa sekali, kadar GST tersebut tidak diturunkan langsung. "Ramai rakyat mengeluh dengan kadar 6% ini. Mengapa kerajaan tidak mempedulikan rintihan rakyat? Pemilik kilang, peruncit dan pengguna biasa seperti kita semua rasa terhimpit. Kita meminta kerajaan menurunkan kadarnya tetapi kerajaan berdegil juga dengan 6%," keluh Joseph. Seorang pemilik kilang bernama Anthony Cheong pula memberitahu kos mengimpot bahan mentah naik mendadak disebabkan kelemahan nilai mata wang ringgit tetapi isu ini tidak ditunjukkan jalan penyelesaiannya semasa pembentangan Bajet 2016. Menurut Anthony, beliau berasa kecewa dengan sikap kerajaan BN yang diam seribu bahasa terhadap persoalan bagaimanakah ingin menyakinkan para pelabur asing supaya melabur semula di Malaysia kerana setakat ini RM17 bilion telah dikeluarkan oleh pelabur asing dari negara kita. "Adakah angka ini akan mencecah RM20 bilion nanti?" soal beliau. Justeru itu, walaupun Bajet 2016 telah menambahkan kadar BR1M sebanyak RM50, Joseph dan Anthony kurang yakin kerajaan dapat menyelesaikan kemelut ekonomi yang melanda negara kerana sehingga kini tiada langkah jelas yang diambil oleh kerajaan. |
You are subscribed to email updates from WARTAWAN RASMI LAMAN REFORMASI. To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 1600 Amphitheatre Parkway, Mountain View, CA 94043, United States |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan