Kelab Greenboc |
Dulu PAS Kata Boleh Sendirian Sekarang Nak Cari Rakan Politik Baharu? Posted: 30 Oct 2015 12:02 AM PDT Pas sedang cari rakan politik baharu KUALA LUMPUR - Setiausaha Agung Pas Datuk Takiyuddin Hassan menyatakan parti itu sedang mencari rakan politik baharu untuk bekerjasama dengan mereka. Menurutnya, Pas sedang dalam proses rundingan dengan individu ataupun parti politik itu. "Kita tidak semestinya tidak ada rakan politik, mungkin ada rakan politik baru. Tunggu dan lihat. Kalau bukan parti, mungkin individu,"katanya di lobi Parlimen, hari ini. Sementara itu, Pas tetap bertegas tidak akan bersama BN dan kekal sebagai pembangkang selain tidak akan bekerjasama dengan DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah). "Jika BN adalah pembangkang mungkin kami akan bekerjasama.Kami bertegas tidak akan kerjasama dengan BN di PRU akan datang. Kami akan tetap menjadi pembangkang. Yakin tidak yakin kalau perlu kita bersendirian kita akan bersendirian, kita pernah bersendirian,"katanya. Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang berkata parti berkenaan sedia untuk menjalin kerjasama dengan semua pihak termasuk BN dalam perkara-perkara yang memberi keuntungan kepada rakyat. Katanya lagi, kenyataan Abdul Hadi yang akan bekerjasama dengan BN bukan atas dasar perjuangan politik sebaliknya atas beberapa isu. "Ia bermakna kita kerjasama, beri pendapat, kami (Pas) tidak pernah mahu sertai BN melainkan BN jadi pembangkang. "Pas tidak mahu kerjasama politik, bertanding bersama tidak pernah. Kami kerjasama atas isu, apa yang baik untuk rakyat kami akan kerjasama. Itu sahaja,"katanya. -SH ULASAN GB Bercelaru akhirnya. Sekejap kata hendak bersendirian, kini terhegeh-hegeh mencari rakan politik baharu untuk bekerjasama dengan PAS. Istiqamah? Yang paling nyata PAS kini perlu bekerjasama dengan UMNO jika tidak mahu bersendirian. DAP, PKR dan AMANAH telah membentuk pakatan yang aharu, Pakatan Harapan. Justeru jika PAS ingin mencari rakan politik yang baharu, yang paling segera ialah menerima pelwaan UMNO untuk bergabung atau menyertai BN. PAS nampaknya segan silu untuk menyahut dan menerima pelawaan UMNO itu yang telah dibuat oleh pimpinan UMNO secara terbuka. Kenyataan Presiden PAS dan setiausa agungnya bahawa PAS sedia bekerjsama dengan musuh berbanding dengan AMANAH menjelaskan hasrat sebenar UMNO, walaupun kenyataan sebelum ini berselindung di sebalik bekerjasama di dalam hal-hal kebajikan. Soal kebajikan juga adalah soal politik, jika menurut perspektik UMNO. Bantuan mangsa banjir di Kelantan umpamanya penuh dengan unsur politik. Begitu juga sengan sokongan UMNO terhadap pindaan EKJS di Kelantan. Semua bermatlamat politik. PAS tertipu hidup-hidup. Walaupun seluruh ADUN Kelantan menyokong pindaan EKJS, tetapi UMNO sendiri menyekat mengaturkan melalui speaker di Parlimen menangguh-nangguhkan pembentangan RUU Persendirian EKJS. Akhirnya PAS melopong. Hudud tersangkut, berpisah pula dengan rakan-rakan dalam Pakatan Raktyat. Nak sambut tangan UMNO BN pula terasa geli dengan UMNO BN yang sekarang sarat dengan skandal dan isu. Akhirnya kembalilah PAS walhasil balik asal.. wal asal balik hasil... wal hasil cari pasal.. itu pasal tak hasil... dengan lirik moden moden... "uturn memanjang. itu sebab bertelanjang..." |
AMANAH & PAS, Siapa Yang Sebenarnya Zalim & Melampau Batas? Posted: 29 Oct 2015 09:15 PM PDT 2 Jamaah: Apa Yang Sebenarnya Haram Dewasa ini ada kedengaran suara sumbang yang menyatakan bahawa kewujudan dua parti politik Islam pada masa yang sama di sesebuah negara adalah haram. Apabila dijelaskan kepada mereka keadaan sebenarnya, iaitu bahawa hukumnya adalah harus, maka dijawab balik ianya harus hanya sekiranya saling membantu dan tidak berbalah satu sama lain. Sebenarnya itulah hukumnya yang paling tepat. Kewujudan parti Islam lain selain PAS tidak merupakan masalah pada dasarnya. Yang menjadi masalah ialah apabila berlakunya perbalahan dan saling menyerang antara satu sama lain. Dalam erti-kata lain, yang haram adalah perbalahan dan bukan kewujudan lebih dari satu parti Islam. SIAPA SEBENARNYA YANG MELAKUKAN PERKARA HARAM? Kalau premis seperti di atas itu dipersetujui, maka apa yang perlu dilakukan adalah usaha untuk mendamaikan antara parti Islam yang wujud ini. Perlu difahamkan kepada semua pihak bahawa mereka semua berhak wujud dan yang wajib ke atas mereka adalah untuk saling membantu dan bukan saling menyerang. Perbezaan pendapat yang wujud adalah berhubung isu sampingan, termasuk persoalan pendekatan dan oleh itu sambil masing-masing ingin terus berpegang kepada pendirian dan pendekatan masing-masing, ianya perlu dilakukan dalam keadaan saling menghormati satu sama lain. Dalam keadaan itu maka pihak yang ingin mencetuskan perbalahan dengan mendakwa pihak satu lagi adalah haram, pengkhianat dan 'perlu dimusnahkan' adalah pihak yang merupakan pencetus masalah. Pihak ini perlu difahamkan bahawa kewujudan pihak lain adalah dibenarkan dan sikap 'mengharamkan' dan ingin 'memusnahkan' adalah tindakan haram dan terkutuk di sisi syariat. HAKIKAT PERBEZAAN PANDANGAN Pendekatan merupakan persoalan ijtihad dan khilaf berhubungnya adalah perkara biasa. Pendekatan mana yang lebih benar, tepat dan berkesan akan hanya terbukti apabila ianya dilaksana dan diamalkan. Kesan dan natijah pendekatan adalah bukti pendekatan mana satu yang lebih baik. Sebagai satu contoh mudah, kalau ada yang menyatakan sesuatu jalan adalah lebih cepat berbanding jalan satu lagi, maka cara untuk memuktamadkan persoalan mana yang lebih cepat adalah dengan dibenarkan kedua-dua jalan diikuti dan dilihat siapa yang sampai dahulu. Begitu jugalah dalam berbagai persoalan yang merupakan ijtihad dan pendapat. Termasuk dalam soal ijtihad ini adalah pendekatan yang terbaik untuk mendapat sokongan dari masyarakat Melayu. Bagi mana-mana parti Islam yang ingin bergerak di Malaysia, persoalan sokongan Melayu adalah penting. Dalam pada itu mereka mungkin mempunyai pendekatan yang berbeza dalam mengusahakannya. PERSOALAN SOKONGAN MASYARAKAT MELAYU Antara perbezaan sikap pimpinan PAS dan Amanah dewasa ini ialah persoalan samada hubungan dengan DAP akan menyebabkan larinya undi Melayu. PAS beranggapan Melayu akan lari darinya sekiranya PAS bersama dengan DAP. Oleh itu perbalahan dengan DAP perlu diusahakan demi meyakinkan masyarakat Melayu terhadap PAS. Manakala Amanah beranggapan sebaliknya. Bagi Amanah, masyarakat Melayu, khususnya golongan muda sudah tolak persoalan perkauman. Mereka ingin melihat wujudnya sebuah parti yang mampu menyatu-padukan rakyat keseluruhannya. Oleh itu parti Islam yang mampu berkerjasama dengan DAP adalah sesuatu yang amat diinginkan. Dalam soal ini biarlah kedua-dua parti mengamalkan pendekatan masing-masing. Kesan dan natijah pendekatan akan membuktikan ijtihad mana yang lebih tepat dan sesuai dengan waqi' atau realiti masyarakat. Pada masa sama, sambil mengamalkan pendekatan masing-masng, hendaklah dielakkan penggadaian prinsip dan pencemaran imej perjuangan Islam oleh kedua-dua parti. Kedua-dua parti perlu kekal dengan pendirian tegas menentang perkauman dan penerimaan setiap aspek ajaran Islam termasuk tuntutan syariat. Penggadaian kesucian mesej Islam, samada melalui laungan semangat perkauman atau pengguguran sebahagian aspek ajaran Islam seperti perlaksanaan syariat, hendaklah ditolak oleh PAS dan juga Amanah. RUJUKAN AL-QURAN Dan inilah apa yang dapat dilihat sebagai sebahagian dari pengajaran yang terkandung dalam ayat 9 dan 10 Surah Al-Hujurat yang bermaksud :- "Dan sekiranya dua kumpulan (Taaifah) orang-orang beriman berbalah, maka damaikanlah mereka. Tetapi sekiranya salah satu dari mereka bertindak zalim terhadap yang satu lagi, maka lawanlah pihak yang yang bertindak zalim sehingga mereka kembali kepada perintah Allah. Dan bila mereka kembali maka damaikanlah mereka secara adil dan saksama. Sesungguhnya Allah kasih pada yang golongan yang bertindak adil dan saksama." "Sesungguhnya orang-orang beriman adalah bersaudara maka damaikan dan datangkan kebaikan antara saudara-saudara kamu. Bertaqwalah kepada Allah semoga kamu dirahmatiNya." Dari dua ayat ini maka boleh dirumuskan bahawa kewujudan dua kumpulan (Taaifah) jelas sekali tidak dilihat sebagai masalah. Yang menjadi masalah adalah perbalahan. Maka yang menjadi wajib adalah usaha mendamaikan dua kumpulan ini. Sekiranya satu kumpulan tidak mahu berdamai, malahan ingin terus menzalimi kumpulan satu lagi, dengan diserangnya dan diusahakan kemusnahannya, maka yang wajib untuk dilakukan adalah untuk menentang kehendak kumpulan ini. Dan kehendak mereka ini perlu ditentang sehingga mereka kembali kepada perintah atau hukum Allah. Dalam kes ini hukum Allah adalah wujudnya kumpulan satu lagi adalah harus sambil berbalah di antara satu sama lain adalah haram. Dan sekiranya kumpulan yang ingin terus berbalah itu kembali kepada perintah Allah itu, maka hendaklah didamaikan dengan adil dan saksama. Dilengkapkan perintah ini dengan diingatkan bagaimana orang-orang beriman adalah bersaudara dan perdamaian antara mereka wajib diusahakan sekiranya ingin dirahmati Allah. KESIMPULAN Berdasarkan semua yang dikemukakan di atas adalah jelas jalan benar dari jalan yang salah. Semoga kita mempunyai kekuatan keimanan dan akhlak untuk melakukan yang benar dan menjauhkan diri kita dari yang salah. WaLlahu 'Alam KHALID SAMAD ULASAN GB Sedikit hujjah dan ulasan mengenai ayat AL-Quran yang sdra Khalid Samad petik iaitu Surat AL-Hujurat ayat 9-10 "Sesungguhnya orang-orang beriman adalah bersaudara maka damaikan dan datangkan kebaikan antara saudara-saudara kamu. Bertaqwalah kepada Allah semoga kamu dirahmatiNya." Berdasar ayat itu, Al-Quran menjelaskan bahawa kumpulan Islam itu boleh mempunyai beberapa kumpulan. sekiranya dua kumpulan (Taaifah) orang-orang beriman berbalah, maka damaikanlah mereka. Yang penting ialah damaikan mereka. Malah ditegaskan: Tetapi sekiranya salah satu dari mereka bertindak zalim terhadap yang satu lagi, maka lawanlah pihak yang yang bertindak zalim sehingga mereka kembali kepada perintah Allah. Siapakah yang sebenarnya zalim selama ini? Siapa yang begitu kuat melabel dan menuduh barua, tolol, anjing, babi, pengkhianat dan sebagainya kepada kumpulan yang satu lagi? Bukankah pihak yang melabel dan menuduh itu zalim dan kumpulan itu yangperlu "dilawan" menurut perintah Al-Quran? Ini tidak. Dia yang zalim dituduhnya kita. Kita pula yang hendak diperangi dan dihapuskan. Sedangkan ayat Al-Quran itu dengan jelas menyatakan kumpulan yang bertindak zalim dan melampaui batas itulah yang wajar diperangi dan dilawan, bukan orang yang keluar satu kumpulan Islam kepada satu kumpulan Islam yang lain itu yang perlu dilawan atau diperangi. Bukan orang yang keluar PAS sertai AMANAH itu yang perlu dihapuskan. Walhal yang kuat melabel dan memaki hamun itulah yang zzalim dan wajar dilawan dan dihapuskan. Hukum kebenaran dan keadilan akan tetap berjalan. Allah akan mendedahkan dan menghukum kumpulan zalim dan melampaui batas itu. |
You are subscribed to email updates from KELAB GREENBOC. To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 1600 Amphitheatre Parkway, Mountain View, CA 94043, United States |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan