Isnin, 12 Oktober 2015

Kelab Greenboc

Kelab Greenboc


Pakatan Harapan Perlu Segera Bentuk Sekretariat & Majlis Presiden

Posted: 12 Oct 2015 01:00 AM PDT

Amanah syor seketariat, majlis presiden Pakatan Harapan segera dibentuk

Parti Amanah Negara (Amanah) hari ini mengesyorkan supaya seketariat dan majlis presiden Pakatan Harapan segera dibentuk supaya persoalan dasar bersama dan kaedah pengurusan perbezaan pandangan dapat ditetapkan untuk dipersetujui dan didukungi bersama.

Menurut pengarah komunikasi Amanah, Khalid Samad, amalan bermusyawwarah demi mencapai kata sepakat dalam mengangani semua persoalan tetap merupakan dasar yang perlu diamalkan.

"Amanah mengalu-alukan pendirian PKR untuk memantapkan Pakatan Harapan dan bersetuju untuk membuka keahlian Pakatan kepada semua yang berminat untuk menyertainya.

"Namun, disiplin dan kejujuran dalam berpakat perlu ditekankan supaya pihak lawan tidak akan berjaya melaga-lagakan anggota Pakatan sepertimana mereka berjaya terhadap Pakatan Rakyat.

"Setiap anggota Pakatan hendaklah komited kepada Pakatan Harapan dan jelas berhubung siapa kawan dan siapa lawan,"
katanya dalam satu kenyataan sebagai respons kepada pengumuman Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR semalam.

MPP PKR semalam mengumumkan resolusi memperluaskan keahlian Pakatan Harapan untuk cuba memasukkan PAS, Parti Sosialis Malaysia (PSM), serta parti pembangkang dari Sabah dan Sarawak.

Beliau pada masa sama, memuji kematangan dan kebijaksanaan barisan kepimpinan PKR di bawah kepimpinan presiden Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dalam menguruskan perbezaan pandangan.

"Amanah mengucapkan tahniah kepada saf kepimpinan PKR atas kemampuan mereka mencapai kata sepakat dalam suasana yang digambarkan begitu mencabar sehingga ada yang meramalkan PKR boleh berpecah 2," katanya.

Katanya, pihaknya berpendirian pembinaan gabungan pembangkang yang kukuh adalah antara keutamaan ke arah penyelesaian krisis negara.

"Ini berpaksikan keyakinan yang kerajaan BN perlu digantikan dan oleh itu usaha ke arah menyatupadukan pembangkang tidak boleh dilengah-lengahkan.

"Rakyat ingin melihat satu gabungan pembangkang yang mampu berkerjasama dan sanggup mengenepikan perbezaan dalam usaha menyelesaikan krisis negara yang semakin meruncing," kata Khalid. -TMI


Cerita di belakang mesyuarat khas MPP PKR Oleh Mohamad Yasir Yasin

Mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR yang berlangsung semalam 11 oktober berakhir sebagai suatu anti klimaks.

Mesyuarat menyokong kepimpinan presiden Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan seterusnya mengeluarkan resolusi empat perkara.

Pertama, PKR akan meneruskan usaha membina barisan pembangkang yang kukuh dan bersatu.

Kedua, PKR komited memantapkan Pakatan Harapan dan keanggotaannya akan diperbesar kepada rakan politik yang lain. Ketiga, PKR menggesa semua parti menghentikan perbalahan terbuka dan keempat, PKR boleh mengadakan kerjasama dua hala dengan parti-parti politik lain bila mana ada keperluan.

Bermula dengan petisyen yang ditandatangani 25 ahli MPP yang pro faksi timbalan presiden Azmin Ali menuntut presiden Dr Wan Azizah mengadakan mesyuarat khas, "build up" menjelang mesyuarat itu membayangkan PKR berdepan ancaman perpecahan dalaman.

Timbul anggapan kumpulan 25 ini memulakan gugatan terhadap kepimpinan Dr Wan Azizah. Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli yang dilantik Dr Wan Azizah berhadapan dengan usul disingkirkan daripada jawatan.

Sasaran sebenarnya ialah Dr Wan Azizah tetapi dibuat secara 'pukul anak sindir menantu'.

Ada dua bentuk mesyuarat di dalam PKR. Mesyuarat MPP bulanan dan mesyuarat MPP Khas. Amalan selama ini jika ada isu-isu besar dalam parti seumpama isu menteri besar Selangor, pendirian parti dalam 'isu hudud', diskusi strategi pilihan raya dan sebagainya seringkali MPP Khas diadakan.

Memadai dengan membuat permohonan lisan kepada presiden dan setiausaha agung parti dan notis mesyuarat pun dikeluarkan. Kehadiran juga dibuka kepada pimpinan lain yang bukan anggota MPP. Tujuannya supaya penyertaan lebih luas dan maklumat boleh diperturunkan ke bawah dengan lebih pantas dan tepat.

Timbul persoalan apa perlunya kumpulan 25 menghantar petisyen menuntut diadakan MPP Khas sejurus Dr Wan Azizah mengumumkan penubuhan PH?

Memohon diadakan MPP Khas bukannya isu, namun sehingga sampai mengumpul tanda tangan dan yang menurunkan tanda tangan pula terdiri dari faksi penyokong timbalan presiden, Azmin?


Difahamkan tidak pernah Dr Wan Azizah tidak bersetuju dibuat MPP Khas. Jadi kenapa sehingga perlu menghantar petisyen? Lebih aneh apabila Azmin sendiri tidak menandatangan petisyen tersebut. Malah naib presiden Shamsul Iskandar yang juga penyokong Azmin juga turut tidak menurunkan tandatangan. Tidak ubah pepatah melayu 'Baling batu sembunyi tangan'.

Perkara penubuhan PH dikatakan sebagai punca pertentangan dalaman dalam PKR. Benarkah begitu?

Ada dua pandangan di kalangan pimpinan PKR menyentuh perkara ini. Pertama kalangan yang berpendapat perlunya diwujudkan segera sebuah gabungan parti-parti pembangkang setelah PR berpecah.

Ada kekosongan kepimpinan dan kekosongan 'wadah' yang menemukan semua parti pembangkang. Menangguhkan penubuhan gabungan ini tidak dianggap suatu yang bijaksana.

Alasan tunggu sehingga PAS bersetuju tidak masuk akal ketika mana semua petunjuk setakat ini mencerminkan ketidaksediaan PAS untuk ikut serta. Wujudkan dahulu PH dan pintu perundingan masih terbuka.

Termasuk kemungkinan mengadakan 'electoral pact' dengan PAS pada pilihan raya akan datang dengan kesedaran perlu mengelakkan pertembungan 3 penjuru. Sementara itu berlaku maka parti-parti pembangkang yang bersedia bolehlah membentuk gabungan bersama.

Kedua, kalangan yang berpegang tidak boleh ada gabungan baru pembangkang sehingga PAS dilibatkan sama. Harus sabar menunggu dan terus memujuk PAS untuk ikut serta. Abaikan sahaja segala kenyataan-kenyataan pimpinan PAS yang tidak mahu bersama. Berikan mereka masa. Tanpa PAS gabungan pembangkang sukar menarik undi sokongan Melayu.

Undi bukan Melayu sudah dalam tangan. Tiada apa yang perlu dibimbangkan. PKR hanya perlu bekerja untuk menambah sokongan Melayu. Ini sukar tanpa PKR bekerjasama dengan PAS. Justeru itu, PH yang diumumkan Dr Wan Azizah tempohari adalah kerja gopoh.

Apabila Dr Wan Azizah membuat keputusan pada akhir persidangan mejabulat dengan mengumumkan penubuhan PH, maka Azmin dan penyokongnya dalam MPP membantah. Sasaran mereka ialah setiausaha agung, Rafizi. Rafizi diserang - membelakangkan MPP, engkar 'arahan' Datuk Seri Anwar Ibrahim dan mempergunakan presiden.

Sementara Azmin sendiri tidak tandatangan, 25 ahli MPP yang lain diminta menandatangan petisyen menuntut diadakan MPP Khas untuk membincangkan pertama, isu penubuhan PH dan kedua untuk MPP mengeluarkan arahan baru kepada presiden! Niat tersirat terserlah sudah.

Apabila kandungan petisyen dan nama-nama kumpulan 25 bocor pada khalayak, perbincangan dan perbahasan terbuka berlaku, ada pro dan kontra. Namun umumnya berpendapat tindakan menghantar petisyen suatu yang tidak wajar.

Mood rakyat ialah mahukan sebuah gabungan pembangkang. Kelahiran PH dianggap tepat pada masanya. Pintu untuk PAS terus terbuka. Begitu parti-parti pembangkang yang lain. Melengahkan penubuhan gabungan pembangkang meresahkan rakyat. Azmin dan kumpulan penyokongnya gagal membaca sentimen ini.

Dr Wan Azizah membuat keputusan yang tepat. Buktinya apabila mesyuarat MPP Khas semalam menyokong penubuhan PH. Kedudukan Rafizi juga tidak tergugat. Bahkan difahamkan resolusi yang diterima MPP Khas itu disediakan Azmin.

Kalau sekadar itu resolusinya yakni menyokong kepimpinan Dr Wan Azizah dan bersetuju penubuhan PH, mengapa perlu riuh rendah menghantar petisyen mendesak presiden?


Bolehlah disimpulkan beberapa perkara. Pertama, Azmin kini menyedari Dr Wan Azizah ada kelebihan tersendiri – kesabaran, ketenangan, ketahanan, pengorbanan, keihlasan dan gaya kepimpinan yang berterus terang tanpa muslihat dan agenda tersembunyi. Mencabar dan menggugatnya biarpun secara 'baling batu sembunyi tangan' akan hanya mendedahkan niat tidak elok.

Justru Azmin akhirnya akur menyatakan sokongan kepada Dr Wan Azizah, sementara Rafizi kekal sebagai sasaran serangan penyokong Azmin.

Kedua, alasan 'arahan' Anwar diengkari tidak dapat dipertahan bila mana Dr Wan Azizah tegas dengan kenyataan 'mana mungkin saya mengkhianati perjuangan yang diasaskan suami saya'.

Ketiga, Azmin gagal untuk merungkai penubuhan PH. MPP Khas sebaliknya menyokong keputusan Dr Wan Azizah.

Keempat, Rafizi kekal sebagai setiusaha agung tanpa perlu bertutur sepatah perkataan pun dalam mesyuarat MPP Khas disebalik serangan keras penyokong Azmin semalam.

Hujah Dr Wan Azizah, 'Rafizi saya anggap macam anak saya sendiri' menggambarkan keyakinan beliau terhadap Rafizi.

Sesungguhnya bukan soal PH yang melahirkan pergolakan dalam PKR. Sebaliknya suatu pertembungan kuasa atau 'power balance' yang memenatkan dan hasilnya sangat tidak produktif. Cuma satu pesan saya kepada pimpinan PKR, jangan dipandang rendah 'kebijaksanaan rakyat'.

Selamat berjuang!

* Penulis adalah anggota PKR dan pemerhati politik yang mengikuti dekat perkembangan PKR seawal penubuhan sehingga sekarang.


Resolusi PKR Cacat, Cuba Khianati Rakan-rakan Dalam PH

Posted: 11 Oct 2015 10:24 PM PDT

PKR buka keahlian Pakatan Harapan kepada PAS, PSM, parti Sabah, Sarawak

Keahlian Pakatan Harapan akan diperluaskan untuk cuba memasukkan PAS, Parti Sosialis Malaysia (PSM), serta parti pembangkang dari Sabah dan Sarawak, PKR memutuskan hari ini.

Resolusi itu dibuat dalam satu mesyuarat khas Majlis Pimpinan Pusat (MPP) parti itu, dipengerusikan Presiden Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.


Timbalan Presiden Mohamed Azmin Ali membacakan resolusi itu selepas selesai mesyuarat selama dua jam yang diadakan di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya malam ini.

"Kami membuat resolusi untuk menjemput PAS, PSM juga parti daripada Sabah dan Sarawak untuk menyertai kami," katanya.

Mesyuarat tersebut diadakan selepas petisyen khas oleh 25 ahli MPP meminta dibincangkan mengenai status gabungan parti pembangkang baharu itu yang ditubuhkan bulan lalu oleh PKR, DAP dan Parti Amanah Negara.

Azmin juga menasihatkan semua parti pembangkang agar tidak bercakaran sesama sendiri.

"Biarkan parti masing-masing selesaikan hal mereka sendiri secara dalaman dan jangan cuba masuk campur urusan parti lain.

"Jika kita terus berbalah, maka rakyat akan hilang keyakinan kepada kita untuk menawan Putrajaya," katanya.

Azmin berkata, rundingan dan perbincangan akan diteruskan dalam cubaan untuk mendapatkan lebih ramai pihak menyertai platform mereka yang sama.

"Kami akan terus berhubung dengan mereka yang sealiran fikiran dengan parti," katanya.

Presiden dan MPP memutuskan akan meneruskan usaha membina barisan pembangkang yang kukuh dan bersatu serta mencari penyelesaian kepada krisis negara yang makin mendesak. Antara resolusi yang diluluskan MPP itu adalah:

* PKR komited memantapkan Pakatan sebagai satu gabungan politik yang inklusif dan keahliannya akan diperbesar kepada rakan politik yang sehaluan;

* PKR akan mengambil langkah menyediakan suasana kondusif bagi perpaduan pergabungan politik yang luas dan menyeru semua parti menghentikan perbalahan dan serangan antara satu sama lain, dan parti sahabat juga harus menghormati perbezaan pandangan masing-masing dan tidak mencampuri urusan dalaman parti sahabat.

* PKR akan meneruskan perhubungan dan perbincangan dengan rakan-rakan politik lain, dan berhak untuk mendirikan kerjasama 2-hala di pelbagai peringkat jika perlu. -TMI

ULASAN GB

Resolusi yang dikeluarkan oleh MPP Keadilan semalam mempunyai kecacatan yang besar kerana ia seperti sudah melangkaui sempadan.

Pertama, sepatutnya sebarang resolusi yang dikeluarkan hanya terbatas kepada PKR dan tidak sepatutnya bertindak bagi pihak Pakatan Harapan.

PKR boleh membuat keputusan "komited memantapkan Pakatan sebagai satu gabungan politik yang inklusif" tetapi PKR tidak boleh menyatakan bahawa "keahliannya akan diperbesar kepada rakan politik yang sehaluan".

Sebabnya PH bukan milik PKR! Sekiranya ada usaha keahlian PH untuk diperbesarkan kepada rakan politik yang sehaluan, ianya perlu dibuat oleh pimpinan PH bukan PKR.

Memang benar DS Wan Azizah adalah pengerusi rundingan meja bulat Pakatan Harapan, namun ia dilakukan di atas kapisitinya sebagai Ketua Pambangkang di parlimen.

Resolusi PKR sepatutnya berbunyi: "PKR komited memantapkan Pakatan sebagai satu gabungan politik yang inklusif dan kita berharap rakan-rakan komponen PH akan bersetuju yang keahlian PH diperbesarkan kepada rakan politik yang sehaluan."

Kedua, PKR seperti tidak jujur dengan komponen PH yang lain apabila di dalam resolusi keempatnya menegaskan:

PKR akan meneruskan perhubungan dan perbincangan dengan rakan-rakan politik lain, dan berhak untuk mendirikan kerjasama 2-hala di pelbagai peringkat jika perlu.

Perkataan "berhak untuk mendirikan kerjasama 2 hala di pelbagai peringkat jika perlu" jelas satu pengkhianatan terang-terangan ke atas komponen PH yang lain, iaitu DAP dan AMANAH.

Menjalinkan kerjasama 2 hala dengan pihak lain di dalam masa yang sama berada di dalam Pakatan Harapan... menjelaskan bahawa PKR terlalu selfish dan arrogant.

Ia juga boleh ditafsirkan sebagai perbuatan "selingkuh" kerana PH hanya akan berjaya jika masing-masing komponen "jujur" dan "ikhlas" di antara satu sama lain dengan tidak membuat keputusan sendiri-sendiri tanpa merujuk kepada rakan PH yang lain.

Bukan hasrat kita untuk menutup pintu PH kepada PAS atau PSM, namun yang membuat dan mengumumkan keputusan berkenaan sepatutnya pimpinan PH, bukan PKR.

Resolusi ke 4 itu begitu keras nadanya, seolah-olah PKR ada hak autonomi untuk membuat keputusannya sendiri walaupun sudah menganggotai PH.

Sepatutnya resolusi keempat itu jika ingin dikekalkan perlu berbunyi demikian:

PKR akan meneruskan perhubungan dan perbincangan dengan rakan-rakan politik lain, dan jika perlu untuk mendirikan kerjasama 2-hala di pelbagai peringkat dengan pihak di luar PH, akan mendapat persetujuan terlebih dahulu dengan rakan-rakan komponen PH demi untuk menjaga keutuhan PH.

Hanya dengan demikian, barulah tampak keikhlasan dan kejujuran PKR di dalam PH.

Dominasi PKR di dalam PH semakin terhakis dengan resolusi-resolusi PKR berkenaan.

PKR sepatutnya berterima kasih dan menghomati AMANAH yang ditubuhkan oleh bekas pimpinan progresif PAS semata-mata kerana ingin mengekalkan hubungan dengan rakan-rakan tahaluf, DAP dan PKR, di dalam Pakatan Rakyat yang telah dibunuh oleh PAS sendiri.

Kini PKR seperti cuba untuk mengharu-birukan Pakatan Harapan. Namun hukum kebenaran dan keadilan akan terus berjalan. Rakyat sedang memerhatikan tindak-tanduk PKR. Tidak mustahil PKR akan ditolak oleh rakyat pada pilihanraya yang akan datang kerana perbuatan selingkuhnya terhadap PH.

Pertandingan 3 Penjuru: PAS Tak Boleh Anggap Kerusi itu Miliknya Sampai Kiamat!

Posted: 11 Oct 2015 04:27 PM PDT

Mat Sabu: Amanah sedia tanding 3 penjuru lawan PAS jika terpaksa

Parti Amanah Negara (Amanah) sedia untuk bertanding 3 penjuru menentang Barisan Nasional (BN) dan PAS dalam pilihan raya umum akan datang jika terpaksa, kata presidennya Mohamad Sabu.

Namun, Mohamad yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu berkata, Amanah akan memberikan peluang kepada PAS sepenuhnya berunding bagi memastikan pembangkang hanya akan bertanding satu lawan satu dalam pilihan raya tersebut.



"Sebenarnya hal pilihan raya ni kami belum bincang lagi. Kita cuba yang terbaik untuk mengelaknya, tetapi jika terpaksa, apa boleh buat," katanya kepada The Malaysian Insider pada satu majlis di Skudai, Johor baru-baru ini.

Mat Sabu berkata, Amanah kini memberikan tumpuan kepada pengemasan struktur parti serta mendaftar keahliannya. "Kami fokus kepada pembentukan kawasan dan cawangan serta penambahan keahlian sekarang ini," katanya.

Susulan pembentukan Pakatan Harapan (PH) tanpa penyertaan PAS, parti Amanah dan DAP menghadapi risiko bertanding 3 penjuru selepas PAS menganggap Amanah dan DAP sebagai lawan mereka.

Amanah, parti serpihan daripada PAS, dianggap pengkhianat manakala DAP pula musuh mereka selepas hubungan kedua-duanya diputuskan melalui usul tanpa bahas pada Muktamar Tahunan PAS ke-61 Jun lalu.

Sehingga kini, PAS masih mempunyai hubungan baik dengan PKR melalui timbalan presidennya Mohamed Azmin Ali.

Timbalan Presiden Amanah Salahudin Ayub berkata parti itu akan membuat kajian terperinci terhadap semua kerusi yang mahu ditandinginya pada pilihan raya umum akan datang.

"Kita akan membuat keputusan berdasarkan kajian, bukan main terjah begitu saja. Dan kita hanya akan bertanding di kerusi yang kita rasa boleh menang," katanya ketika ditemui di ibu pejabat parti itu di Wisma Amanah, Kuala Lumpur.

Katanya, Amanah lebih bersedia untuk bertanding sedikit kerusi saja tetapi menang, berbanding bertanding banyak kerusi tetapi tidak menang.

Sementara itu, Ketua Amanah Kulai Hisham Md Zin berkata, parti itu mempunyai peluang yang lebih cerah berbanding dengan BN dan PAS di Johor jika berlaku pertandingan 3 penjuru ekoran demografi penduduk di negeri selatan itu.

"Di Johor, Amanah mempunyai peluang lebih cerah untuk menang berbanding PAS kalau berlaku pertandingan 3 penjuru kerana sikap pengundi Cina yang memihak kepada Pakatan Harapan.

"Di Kelantan pula, jika berlaku pertandingan 3 penjuru, kedua-dua PAS dan Amanah akan kalah dan Umno akan menang," katanya kepada The Malaysian Insider ketika ditemui di Kulai.

Amanah akan bertanding di seluruh negara namun fokus kini diberikan kepada negeri pantai barat dan selatan, khasnya Selangor dan Johor, berbanding negeri pantai timur dan utara. -TMI

ULASAN GB

Sebelum ini GB sudah ulas. Izinkan GB ulangi.

Pertama, PAS dari awal lagi SUDAH menyatakan tidak akan bekerjasama dengan DAP dan AMANAH. Justeru itu mengapa perlu Pakatan Harapan hiraukan PAS lagi?

Kedua, AMANAH tidak perlu mengharap atau menagih sebarang kerusi daripada mana-mana pihak. Dengan terbentuknya Pakatan Harapan, tentulah PKR, DAP dan AMANAH akan meneruskan perundingan mengenai kerusi-kerusi yang akan ditandingi oleh parti-parti komponen Pakatan Harapan. PAS tidak termasuk sebagai komponen, oleh itu PAS yang sebenarnya bermasalah. PAS boleh bertanding di mana-mana kerusi yang mereka mahu. Pertandingan 3 penjuru berkemungkinan berlaku. Apatah lagi sejarah PRU 2013 membuktikan PAS jugalah yang memulakan pertandingan 3 penjuru dengan pengkhianatan terhadap PR apabila meletakkan calon-calonnya di dalam 8 kawasan. PAS akan dihukum oleh rakyat dan akan mendapat semula balasan ke atas pengkhianatan yang mereka lakukan terhadap PR sebelum ini.

Ketiga, PAS tidak boleh menganggap kerusi yang mereka tandingi semasa Pakatan Rakyat terbentuk pada tahun 2013 sebagai milik mereka sampai kiamat. Tiada sebarang peruntukan undang-undang atau nas-nas yang menyebut demikian.

Keempat, yang jelas, untuk menentang BN kita perlukan gabungan parti-parti politik kerana tiada sebuah parti pun boleh memerintah secara sendirian di dalam negara ini. Itu realiti.

Kelima, sebagai parti politik yang sah dan berdaftar, kini AMANAH boleh bertanding dimana-mana pun kerusi parlimen atau DUN. Itu hak AMANAH di sisi Perlembagaan. Tetapi dengan persepakatan diantara komponen-komponen di dalam Pakatan Harapan, AMANAH tidak akan bertanding di kerusi-kerusi yang ditandingi oleh DAP dan PKR.

Keenam, kini, PAS memilih untuk bersendirian. Pakatan Harapan tidak, BN pun tidak. PAS yang menjadi kera sumbang. Nak bertanding di semua kerusi pun tiada siapa yang menghalang. Soal PAS bukan soal Pakatan Harapan lagi. Kita akan kecundang jika terus melayani karenah si kera sumbang.

Ketujuh, hubungan PAS dengan PKR itu adalah hal yang berasingan dan di atas pundak PKR samada untuk menerima atau tidak. PKR tidak sepatutnya curang dan khianat kepada rakan-rakan lain di dalam Pakatan Harapan seperti yang dilakukan PAS sebelum ini. Jika berlaku demikian sewajarnya PKR tidak lagi menjadi "anchor party" di dalam Pakatan Harapan.

Kelapan, semua pihak di dalam Pakatan Harapan perlu jujur dan ikhlas. Kita perlu fokus kepada matlamat kita. Walaupun dengan ketiadaan PAS, Pakatan Harapan mampu dan boleh ke Putrajaya.

Kesembilan, kita berjuang bukan dengan nafsu dan emopsi, tetapi dengan ilmu dan strategi. Pakatan Harapan telah cukup terbuka selama ini. Kita tak perlu terhegeh-hegeh untuk memberi ruang kepada yang terhegeh-hegeh di luar dari Pakatan Harapan.

Kesepuluh, kita peringatkan. lagi.. jangan diulangi kesilapan yang lepas-lepas. Mereka yang tidak bersama kita tidak perlu kita fikirkan atau kita hiraukan. Tinggalkan yang angkuh yang sombong dan yang celupar itu. Jika dengan adanya mereka bersama kita menyebabkan kita sentiasa ditikam dari belakang, apa pasal lagi untuk membiarkan mereka menyertai kita? Hanya orang tidak siuman akan berbuat demikian. Jangan buang masa melayani karenah yang melecehkan perjuangan kita. Jangan hiraukan salakan anjing itu, kabilah ke Putrajaya mesti terus berjalan....

Tiada ulasan: