Rabu, 7 Oktober 2015

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


Adakah Mereka Berani Derhaka Titah Raja?

Posted: 07 Oct 2015 05:30 AM PDT

A Kadir Jasin 
 

RAJA-RAJA Melayu telah bertitah.

Pertama, mereka menitahkan agar kerajaan menyelesaikan secepat mungkin penyiasatan yang berkaitan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Kedua, mereka mahu tindakan sepatutnya dan tegas diambil ke atas orang-orang yang dibabitkan.
Menjunjung kasih Tuanku.

Kita mahu lihat sama ada kerajaan, bermula dengan Perdana Menteri (Datuk Seri Mappadulung Daeng Matti­mung Karaeng Sanrobone) Mohd Najib Abdul Razak, akan mentaati perintah Raja-Raja Melayu itu atau menderhakainya.
 
Mohd Najib Orang Besar Pahang

Seyogia diingatkan, Mohd Najib bukan setakat Pahlawan Bugis, beliau juga adalah salah seorang Orang Besar Berempat Pahang. Pastinya beliau arif mengenai kedaulatan Raja-Raja.

Kita juga mahu lihat sama ada Peguam Negara (Tan Sri) Mohamed Apandi Bin Haji Ali, Ketua Polis Negara (Tan Sri) Khalid Abu Bakar, Ketua Pesuruhjaya, Suruhnjaya Pencegah Rasuah Malaysia (MACC) Abu Kassim Mohamed,Gabenor Bank Negara (Tan Sri) Zeti Akhtar Aziz dan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) taat kepada Raja-Raja Melayu atau setia dan takut kepada Mohd Najib.

Peranan Peguam Negara (Mohamed Apandi) amat penting

Bukan amalan harian bagi Majlis Raja-Raja mengeluarkan titah mengenai pentadbiran negara. Tetapi apabila ia mengeluarkan titah mengenai penyiasatan 1MDB, pastilah ia sangat mendesak dan diperlukan.
 
Dalam erti kata lain, Raja-Raja Melayu berasa tidak boleh berdian diri lagi.

Pertimbangkan fakta-fakta berikut yang terkandung dalam titah mereka yang diumumkan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Melayu, (Datuk Seri) Syed Danial Syed Ahmad semalam:

1. Raja-Raja Melayu menekankan peri pentingnya semua pihak yang terbabit memberikan kerjasama  "sahih dan ikhlas" demi memastikan penyiasatan itu mencapai matlamat.

2. Hasil penyiasatan mesti dilaporkan secara terperinci dan telus supaya orang ramai yakin terhadap keikhlasan kerajaan tidak menyembunyikan fakta dan kebenaran.

3. Kegagalan memberi penjelasan dan jawapan yang meyakinkan dikhuatiri menyebabkan berlakunya krisis keyakinan.

Natijahnya, kecuali Mohd Najib dan para penyokong ekstrem beliau sudah hilang akal, "mereng" dan derhaka kepada Raja, mereka akan melakukan seperti yang dititahkan.




Himpunan Gerakan Merah kerja gila – Gerakan

Posted: 07 Oct 2015 05:10 AM PDT

 
Pihak polis perlu menyiasat adakah gerakan ini boleh mengancam keamanan dan keharmonian negara.


Tan-Keng-Liang_red_600


PETALING JAYA: Parti Gerakan menyifatkan perhimpunan Gerakan Merah yang dirancang di Melaka Raya pada 10 Oktober ini untuk membalas perbuatan gengster Cina sebagai kerja gila.

Ketua Pemuda Gerakan, Tan Keng Liang berkata, demonstrasi seperti itu langsung tidak memberi sebarang makna malah ia akan menjejaskan lagi keamanan negara.

"Saya rasa ini kerja gila. Semua nak buat demo, sikit-sikit demo, Saya rasa ini (Gerakan Merah) tidak sepatutnya dilakukan," katanya kepada Free Malaysia Today (FMT)

Sehubungan itu, dia mewakili Gerakan membantah penganjuran tersebut dan menggesa pihak polis mengambil tindakan tegas terhadap penganjur, Persatuan Veteran Tentera Melayu.

"Perkara ini perlu diambil berat oleh pihak polis. Adakah ini satu ancaman kepada keharmonian dan keamanan negara? Pihak polis kena siasat," katanya.

Katanya, penganjur perlu berfikiran waras dan tidak bertindak melebihi undang-undang.

"Mereka perlu berfikiran waras. Kalau mereka tidak puas hati (pegawai Imigresen di pukul gengster Cina),
mereka perlu membuat laporan polis. Ali Tinju juga perlu buat laporan polis supaya polis dapat bertindak, jangan buat undang-undang sendiri," katanya.

Polis siasat kenyataan Ali Tinju

Posted: 07 Oct 2015 05:06 AM PDT

 
Polis belum boleh mengklasifikasikan siasatan Ali Tinju mengikut seksyen tertentu kerana mahu meneliti isi kandungan kenyataannya terlebih dahulu 


ali-tinju-melaka_polis_600


PETALING JAYA:Polis sedang menyiasat kenyataan Presiden Persatuan Veteran Tentera Melayu, Mohd Ali Baharom atau Ali Tinju yang mendakwa akan mengadakan perhimpunan di Melaka Raya pada Sabtu ini.

Ketua Polis Melaka, Datuk Chuah Ghee Lye berkata, beliau telah mengarahkan pegawai penyiasatnya untuk menyiasat video berkenaan yang disiarkan oleh sebuah laman portal.

Beliau berkata, pihaknya tidak ada menerima apa-apa permohonan untuk mendapatkan permit bagi mengadakan perhimpunan itu.

"Saya belum lagi lihat kenyataan Ali Tinju itu tetapi selepas dimaklumkan oleh pegawai saya mengenainya kita sedang lakukan siasatan.

"Buat masa ini kita belum boleh mengklasifikasikan siasatan ke atas perkara ini mengikut seksyen apa kerana mahu meneliti terlebih dahulu isi kandungan kenyataannya Ali Tinju itu," katanya ketika dihubungi FMT.

Dalam pada itu Ghee Lye memberitahu, jika benar perhimpunan sebagaimana yang dirancang, ia bermakna penganjurnya tidak menghormati Yang DiPertua Negeri Melaka, Tun Khalil Yaakob kerana ia dibuat sehari selepas hari ulang tahun beliau.

Mengulas mengenai insiden serangan gengster Cina terhadap anggota Jabatan Imigresen yang menjadi alasan Ali Tinju untuk mengadakan bantahan itu, Ghee Lye berkata, pihaknya telah mengenal pasti beberapa suspek yang terlibat dalam kejadian berkenaan melalui kawad cam oleh anggota terbabit.

Katanya, kertas siasatan juga sedang disiapkan sepenuhnya sebelum dihantar ke pihak pendakwaaan di bawah Seksyen 353 Kanun Keseksaan.

Tun M dakwa dirinya lebih telus daripada Najib

Posted: 07 Oct 2015 05:04 AM PDT

 
Mahathir mendakwa Najib telah bertindak menyekatnya untuk berjumpa pemimpin dan juga ahli UMNO yang lain.


mahathir-najib


PETALING JAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad tidak pernah menghalang Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah dan Tun Musa Hitam untuk menjatuhkannya sebagai Presiden UMNO ketika beliau berkuasa.
Bahkan beliau mengakui membenarkan kempen untuk mencabarnya diadakan.

"Saya tidak larang mereka berkempen di kalangan ahli-ahli UMNO dan ahli-ahli UMNO tidak dilarang oleh saya menghadiri kempen mereka.

"Bahagian-bahagian UMNO menjemput mereka untuk merasmikan mesyuarat bahagian dan mereka berkempen semasa perasmian dan di masa-masa lain," ujarnya.

Jelasnya lagi bagi tujuan berkenaan, beliau tidak pernah menyekat sesiapa untuk mencalonkan mana-mana pihak untuk mencabarnya.

"Saya tidak anggap mereka musuh saya dan perlu diambil tindakan. Tidak ada larangan terhadap pencalonan oleh mereka kerana ini memang cara demokrasi. Di waktu ini calon-calon untuk Presiden Amerika Syarikat sibuk berkempen di mana-mana sahaja, kerana inilah cara demokrasi," kata Dr Mahathir menerusi entri terbaru di blog chedet.cc.

Namun, perkara sebaliknya berlaku apabila beliau cuba untuk menghalang Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak daripada terus mengekalkan jawatannya.

"Saya tidak bersetuju dengan Najib, Presiden UMNO dan saya desak supaya dia disingkir. Walaupun masih ahli UMNO dan biasa menjadi Presiden UMNO, kini saya dianggap sebagai musuh kepada parti yang saya pimpin selama 22 tahun," tulisnya.

Mengulas lanjut mengenai kenyataannya, Dr Mahathir berkata, walaupun masih belum dicabar secara rasmi tetapi Najib telah bertindak menyekatnya untuk berjumpa pemimpin dan juga ahli UMNO yang lain.

"Ada unsur ugutan dalam arahan ini. Akan diambil tindakan, akan dibuang dari parti, akan disiasat. Masa depan dalam parti akan menjadi gelap. Tidak boleh jadi pemimpin lagi; tidak akan dijadikan calon lagi," katanya yang merujuk kepada ugutan-ugutan yang pernah diberikan Najib.

Jelasnya lagi, kini sesiapa sahaja yang bertindak untuk menegur Najib akan dituduh cuba untuk mensabotaj kerajaan, mengugat demokrasi, dan cubaan untuk menjatuhkan Presiden UMNO yang dipilih secara demokratik.

"Mereka yang membuat laporan polis kerana kehilangan duit kerajaan disoal dan disiasat, dijadikan muflis seterusnya ditahan. Apabila dibebas oleh mahkamah ditangkap semula bawah undang-undang baru, Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) yang kononnya untuk pengganas," ujarnya.

Selain itu, Dr Mahathir turut mendakwa bahawa imej negara kini sudah bertukar dari demokrasi kepada seakan-akan 'negara polis' di mana undang-undang telah disalah guna dan diguna untuk tujuan menakutkan rakyat.

"Kesalahan kerajaan dan Perdana Menteri tidak boleh disebut. Perjumpaan rakyat dihalang dengan berbagai cara, dituduh rasis.

"Kerajaan juga menggalakkan demonstrasi rasis diadakan kerana kononnya perhimpunan Bersih yang bertujuan meminta Najib berhenti didakwa adalah rasis. Selain ia juga dianggap sebagai satu percubaan orang Cina untuk menjatuhkan kerajaan Melayu," ujarnya.

Pada masa sama, pihak kerajaan kini juga sering mengeluarkan kenyataan yang berbaur ugutan selain menyatakan bahawa sesiapa yang menjatuhkan Najib merupakan tindakan yang tidak demokratik.

"Kerajaan menuduh sesiapa yang mendedah kesalahan Najib sebagai percubaan mengguling kerajaan secara tidak demokratik. Sebenarnya, kerajaanlah yang bertindak mengugut rakyat, melarang ahli UMNO dari mendengar syarahan politik, kerajaan sudah tidak demokratik lagi.

"Tidak ada demokrasi untuk diruntuh oleh rakyat, kerana demokrasi sudah dimusnah oleh kerajaan," katanya lagi.

Perhimpunan di Melaka sabtu ini adalah haram

Posted: 07 Oct 2015 04:55 AM PDT

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
MELAKA: Perhimpunan yang dirancang dan sepatutnya berlangsung di Taman Melaka Raya di sini, pada Sabtu adalah haram, polis memberi amaran.
 
Ketua Polis Melaka Datuk Chuah Ghee Lye berkata tiada notis atau permohonan mengenai perhimpunan tersebut diserahkan kepada pihak polis mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012.
 
"Oleh itu, mana-mana perhimpunan besar-besaran oleh mana-mana pihak dalam Taman Melaka Raya adalah menyalahi undang-undang dan polis akan melaksanakan tanggungjawabnya untuk melindungi kepentingan awam," kata beliau ketika dihubungi.
 
Menurut laporan, Mohd Ali Baharom yang lebih dikenali sebagai Ali Tinju berkata, perhimpunan akan diadakan di sini pada Sabtu jika tiada tindakan diambil terhadap mereka yang menyerang tiga pegawai Jabatan Imigresen di Taman Melaka Raya pada 30 September lalu.
 
Dalam kejadian itu, kira-kira 40 samseng mengasari pegawai yang melakukan serbuan, termasuk tiga mangsa yang merupakan antara 19 pegawai Imigresen yang terlibat dalam 'Ops Ingkar' pada hari berkenaan.
 
Chuah berkata, polis telah menahan 11 orang berhubung serangan itu, dengan tangkapan seterusnya dijangka tidak lama lagi.
 
"Kami akan mengemukakan kertas siasatan kepada Timbalan Pendakwa Raya secepat mungkin," katanya.
 
 

Tiada tempat untuk Amanah di Selangor - Sallehin Mukhyi

Posted: 07 Oct 2015 04:53 AM PDT

 Oleh Azizul Osman

 
Post Pic
 
 
 
SHAH ALAM: Tidak ada 'tempat' untuk Parti Amanah Negara (Amanah) di Selangor kerana jelas ia ditolak oleh masyarakat, demikian jelas Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Sallehin Mukhyi mengenai hasrat parti baru itu untuk bertapak di negeri berkenaan.
 
"Dia (Salahuddin Ayob) bercakap dalam keadaan yang ahlinya baru berapa orang dan bagi saya Amanah tidak ada tempat di Selangor. Samada anak muda ataupun golongan pertengahan, mereka tidak minat dengan Amanah yang sekarang pun menarik ahli dikalangan PAS sahaja. Kita semakin sedar bahawa tidak ada keperluan Amanah di Selangor", tegas Sallehin ketika dihubungi Antarapos.
 
Sallehin berkata demikian ketika mengulas kenyataan Timbalan Presiden Amanah Salahudin Ayub yang menyifatkan Selangor dan Johor sebagai tapak permulaan mereka dalam menentukan kerusi yang akan dipertandingkan dalam pilihan raya umum akan datang. 
 
Bekas Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor itu juga menyifatkan Amanah masih berteka-teki untuk mencanang kerusi mana yang hendak dipertandingkan sehingga kini, malah masih bergelut dengan PAS untuk pertandingan 3 penjuru di kawasan dimenangi mereka.
 
"Realitinya sampai hari ini tidak tahu Amanah tidak boleh nak menentukan mana kerusi yang dia akan bertanding kalau dia berkata Selangor adalah tempat subur bagi Amanah. 
 
"Bagi PAS (Selangor) kita tegaskan bahawa kita akan bertanding di kerusi yang pernah ditandingi oleh PAS. Jadi maknanya kalau dia nak cari tapak yang subur dia boleh cari tapak daripada DAP atau PKR", katanya.
 
Senada dengan pendirian itu adalah Setiausaha PAS Selangor Mohd Khairuddin Othman yang berkata tiada ruang untuk Amanah berkembang di Selangor memandangkan PAS masih bekerjasama dengan PKR dan DAP.
 
Malah, kenyataan Menteri Besar Selangor Mohamad Azmin Ali yang menegaskan pembentukan gabungan pembangkang baru itu tiada kaitan dengan pentadbiran kerajaan Selangor mencerminkan Amanah tidak diterima di negeri berkenaan.
 
"Menteri Besar Selangor (Mohamad Azmin Ali) sudah bagi kenyataan Pakatan Harapan bukan di Selangor tempatnya. Saya fikir Pakatan Harapan selesaikan dahulu masalah dalaman. Selangor adalah kubu kuat Pakatan Rakyat dan kita akan kekal di sini. Kalau (Pakatan Harapan) hendak bertanding di Selangor, kita (PAS Selangor) nak tanya mahu bertanding di kerusi mana? Kalau betul nak lawan UMNO, maka pergilah tumpu di tempat UMNO. 
 
ADUN Paya Jaras itu sebelum ini pernah mengeluarkan kenyataan mendesak Pakatan Harapan agar melebarkan sayap ke negeri lain di semenanjung dan tidak mengganggu kerjasama Pakatan Rakyat di Selangor.
 
"(Kerjasama Pakatan Rakyat) Selangor tetap Selangor. Kita tidak akan bagi kerusi dan laluan (kepada Amanah). Tetap akan jadi kerusi PAS. Kita tidak akan kompromi dari segi kerusi (di Selangor).
 
"Tidak ada perbincangan tentang melepaskan kerusi PAS, kita akan kekal bertanding di 20 kerusi dan kita minta Amanah bertanding di negeri lain yang belum dimenangi, tumpukan di negeri lain kenapa nak tumpukan di tempat yang menang?, katanya.
 
Salahudin hari ini berkata Selangor bakal memberikan pulangan yang terbaik kepada Amanah sekiranya parti itu mengambil keputusan untuk meletakkan calon pada Pilihanraya Umum (PRU) akan datang.
 
Selain itu, Salahudin turut berkata Amanah juga akan mempertimbangkan bertanding di Melaka dan Negeri Sembilan berdasarkan kajian mereka sendiri terhadap pengundi yang kemungkinan lebih dapat menerima parti itu.
 
Status Pakatan Harapan di Selangor masih kabur apabila Azmin sebelum ini mengambil jalan selamat untuk tidak mengulas lanjut berhubung status Pakatan Harapan (PH) di Selangor.
 
 

Malaysia, Indonesia akan bincang isu gaji amah

Posted: 07 Oct 2015 04:44 AM PDT

SINAR HARIAN


Amah
Gambar hiasan.


KUALA LUMPUR - Kumpulan kerja bersama Malaysia dan Indonesia akan mengadakan pertemuan pada 15 dan 16 Oktober ini di Jakarta untuk mencari penyelesaian kepada isu pembantu rumah dari republik itu.
  
Duta Besar Indonesia di Malaysia Herman Prayinto berkata, antara isu yang bakal dibincangkan adalah permintaan Indonesia terhadap gaji lebih tinggi bagi rakyatnya yang bekerja sebagai pembantu rumah di Malaysia.

"Ya, kita akan membincangkan tentang isu gaji lebih baik. Mesyuarat kumpulan kerja ini juga akan memfokus kepada mekanisme penghantaran pembantu rumah serta kebajikan mereka yang bekerja sebagai pembantu rumah di sini," katanya dalam sidang akhbar pada Mesyuarat Komuniti Sosio-Budaya Asean ke-14 di sini, hari ini.

Pada Mei lepas, Indonesia menghantar memorandum kepada kerajaan Malaysia untuk meminta supaya gaji minimum pembantu rumah Indonesia di Malaysia dinaikkan daripada RM700 kepada RM1,200 sebulan.

Kerajaan Indonesia berpendapat cadangan itu akan menjadikan perkhidmatan domestik di Malaysia lebih kompetitif dan mampu bersaing dengan gaji yang ditawarkan oleh negara-negara lain.

Mereka juga memberi justifikasi bahawa gaji yang lebih baik dapat membendung masalah kemasukan pendatang asing tanpa izin.

Bagaimanapun, usul itu dibantah oleh kebanyakan masyarakat di negara ini. - Bernama


Dewan Rakyat akan mula bersidang 19 Okt

Posted: 07 Oct 2015 04:39 AM PDT

SINAR HARIAN


Dewan Rakyat
 
 
KUALA LUMPUR - Mesyuarat Ketiga, Penggal Ketiga, Sidang Parlimen Ke-13 akan berlangsung selama 25 hari mulai 19 Oktober ini.
 
Parlimen dalam satu kenyataan di sini hari ini berkata pembentangan Bajet 2016 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Menteri Kewangan akan diadakan pukul 4 petang, pada hari Jumaat, 23 Oktober ini.
 
"Hari persidangan Dewan Rakyat ialah dari 19 Oktober sehingga 3 Disember depan," kata kenyataan itu.
 
Dewan Negara pula akan bersidang selama 10 hari bermula pada 7 Disember sehingga 22 Disember depan.
 
"Waktu persidangan ialah dari pukul 10 pagi hingga 1 tengah hari dan 2.30 petang hingga 5.30 petang pada hari Isnin, Selasa, Rabu dan Khamis," kata kenyataan itu. – Bernama
 
 

Amaran Ali Tinju: Melaka Raya tak selamat 10 Okt

Posted: 07 Oct 2015 04:09 AM PDT

Shakira Buang 





"Gerakan Merah" mengumumkan akan mengadakan perhimpunan di Melaka Raya pada 10 Oktober ini dan memberi amaran kawasan di Bandar Melaka itu tidak akan selamat pada tarikh itu.

Amaran itu dibuat presiden Persatuan Veteran Tentera Melayu, Mohd Ali Baharom selepas mendakwa terdapat sekumpulan "samseng Cina" memukul penguatkuasa kerajaan pada awal Oktober lalu.

"Melaka Raya tidak akan selamat pada hari tersebut, Melaka Raya tidak akan selamat ini isyarat saya,"kata Mohd Ali atau lebih dikenali sebagai Ali Tinju.

Bagaimanapun, Ali Tinju berkata keadaan tidak selamat yang dimasudkan itu bukan menjurus kepada kekecohan.

"Tidak selamat ini bukan berlaku kekecohan. Mungkin akan berlaku kemalangan. Bukan bermaksud tidak selamat itu berperang.

"Kita minta membuat pemantauan di sekitar Melaka Raya," katanya.

Bukan anti-Cina

Ali berkata, perhimpunan berkenaan bukan bertujuan melakukan huru-hara tetapi sekadar mendesak pihak berkuasa bertindak terhadap samseng terlibat.

"Gerakan Merah tidak perlu permit, sebab kita tidak buat kacau, tetapi turun ke sana untuk jalan-jalan makan angin.

"Kita mahu mendesak supaya pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap gengster Cina. Bukan saya anti-Cina tetapi anti gengster Cina.

"Saya mahu mereka didakwa dan dihukum dengan berat kerana kita tidak mahu gengster Cina ini keras kepala," katanya.

Beliau berkata lebih 10,000 peserta daripada seluruh negara akan turun ke Melaka Raya pada hari itu.


Ling: Jumpa di mahkamah, Najib

Posted: 07 Oct 2015 04:08 AM PDT

MALAYSIAKINI


 


Bekas presiden MCA Tun Dr Ling Liong Sik tidak akan memohon maaf kerana mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak meletakkan jawatan.

"Saya kata kepada perdana menteri, jika kamu memilih untuk saman saya, saya akan pertahan diri saya. Dengan penuh rasa rendah diri, saya terima cabaran kamu.

"Saya ingin menyaksikan perdana menteri berada di kandang saksi kerana tidak syak lagi beliau akan lakukan jika beliau berkata reputasinya tercabar.

"Saya mahu mengulangi bahawa saya pertahan apa yang katakan. Saya tidak akan mohon maaf," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Duda didenda RM5,000 tunjuk anu depan rumah Siti

Posted: 07 Oct 2015 04:02 AM PDT

Siti Nurhaliza
Siti Nurhaliza - Foto Sinar Harian oleh AFIQ RAZALI
 

SEORANG duda anak dua didenda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret Ampang sebentar tadi atas pertuduhan menunjukkan kemaluannya di hadapan rumah penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza di Bukit Antarabangsa, Ahad lalu.

Majistret Noor Farah Hazwani Osman menjatuhkan hukuman itu terhadap Osman Amiruddin Sulaiman, 49,  dan dia turut diperintah menjalani hukuman penjara enam bulan jika gagal membayar denda.

Mengikut pertuduhan, Amirudin Sulaiman didakwa menunjukkan zakarnya di hadapan rumah penyanyi berkenaan jam 5 petang 4 Oktober lalu.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.


Sosma: Kenapa Dr Mahathir tak kena?

Posted: 07 Oct 2015 04:00 AM PDT

Saifuddin Abdullah
Saifuddin Abdullah
 
 
SHAH ALAM - Bekas timbalan menteri, Datuk Saifuddin Abdullah mendakwa pihak berkuasa menggunakan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) secara pilih kasih. 
 
Saifuddin mempersoalkan mengapa akta itu tidak digunakan ke atas bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
 
"Adakah mereka takut untuk menangkap Dr Mahathir? Sebab itu saya kata kalau berani tangkaplah Dr Mahathir sekali. Saya tak mencadangkan tangkap Dr Mahathir," kata Saifuddin kepada wartawan hari ini.
 
Memetik laporan The Malaysia Insider, Saifuddin yang juga pengerusi Akademi Belia itu berkata, Sosma tidak sepatutnya disalahgunakan untuk menangkap individu merujuk kes bekas pemimpin Umno Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan.
 
[ARTIKEL BERKAITAN: ‎Tun M mungkin ditahan di bawah Sosma]
 
 

Indonesia akan pertimbang bantuan atasi jerebu

Posted: 07 Oct 2015 03:59 AM PDT

SINAR HARIAN


Jerebu
Gambar hiasan.


KUALA LUMPUR - Indonesia akan mempertimbangkan menerima bantuan negara jiran sekiranya masalah jerebu berterusan sehingga tiga minggu lagi.

Duta Besar Indonesia di Malaysia Herman Prayitno berkata, setakat ini Indonesia masih berpendirian mampu menyelesaikan masalah itu sendiri dan sekiranya bantuan dari negara jiran diperlukan, ia akan diselaraskan melalui sekretariat Asean.

"Indonesia hendak berusaha sendiri terlebih dahulu, pastinya kalau kita tunggu dua atau tiga minggu lagi tidak selesai (masalah jerebu), saya kira  tentu kita akan koordinasikan bantuan (dari negara jiran) melalui Asean," katanya kepada pra pemberita selepas menghadiri Majlis Pembukaan Mesyuarat Majlis Komuniti Sosio Budaya Asean (ASCC) ke-14 di sini, hari ini.

Baru-baru ini Singapura menyatakan hasrat untuk membantu Indonesia mengatasi masalah jerebu namun ia ditolak republik itu.

Herman juga berkata, setiap hari Kedutaan Indonesia melaporkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) Malaysia kepada kerajaan Indonesia dan pemimpin di sana melahirkan rasa prihatin mereka atas keadaan jerebu di sini.

Sebelum ini, Presiden Indonesia, Joko Widodo berkata, republik itu memerlukan tempoh tiga tahun untuk menangani kegiatan pembakaran ladang dan hutan sekali gus menyelesaikan masalah jerebu yang melanda negara jiran mereka.

Herman berkata, beberapa langkah telah diambil kerajaan Indonesia dalam menyelesaikan masalah jerebu yang sehingga kini menyebabkan 30,000 rakyatnya mengalami gangguan pernafasan, antaranya dengan membina terusan pengaliran air parit dan longkang di Kalimantan Tengah.

Sehingga kini, 30 syarikat perladangan yang disyaki terlibat dalam pembakaran hutan di Kalimantan sedang disiasat dan lesen mereka akan digantung sekiranya disabit kesalahan, katanya.

Namun, Herman enggan mendedahkan sama ada syarikat tersebut merupakan syarikat tempatan (Indonesia) atau luar negara.

Terdahulu, Indonesia telah mengambil tindakan terhadap empat syarikat kerana menjadi punca kebakaran hutan di negara itu sehingga menyebabkan sebahagian Asia Tenggara diseliputi jerebu yang teruk. - Bernama


Demontrasi Kajang gagal, Jamal buat di Ampang

Posted: 07 Oct 2015 03:52 AM PDT

Datuk Jamal Md Yunos
Jamal


AMPANG - Pengerusi NGO Malaysia, Datuk Jamal Md Yunos, mengumumkan membatalkan hasrat mengadakan demonstrasi di Kajang bagi menunjukkan protes kepada Adunnya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Sebaliknya, Ketua Umno Sungai Besar itu kini mensasarkan pentadbiran Selangor bawah Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali berhubung isu wabak denggi di negeri itu.

"Wabak denggi ini, kita tidur dekat rumah pun tak aman. Selangor (adalah) negeri penyumbang denggi yang paling cemerlang sekali.

"Tahniah (kepada kerajaan negeri) dan syabas membiakkan nyamuk aedes dengan menggunakan peruntukan (bekas) Tan Sri Khalid Ibrahim," katanya memetik laporan Malaysiakini.

Jamal berkata, protes tersebut akan diadakan di pusat beli belah Spectrum di Bandar Baru Ampang pada 18 Oktober ini.

Sejak Dun Bukit Antarabangsa berada dalam kawasan Parlimen Ampang, Jamal berkata, protes itu secara langsung mensasarkan kepada menteri besar.

Membatalkan rancangan sebelum ini untuk berhimpun di Kajang, pemimpin Umno itu berkata, hal itu untuk membolehkan Wan Azizah menjaga suaminya Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga bekas ketua pembangkang.

Jamal mendakwa Dr Wan Azizah yang menjadi wakil rakyat Kajang, gagal untuk berkhidmat di kawasannya itu.


Presiden Pas bebas saman fitnah RM2 juta

Posted: 07 Oct 2015 03:49 AM PDT

SINAR HARIAN


Abdul Hadi Awang
Abdul Hadi Awang


PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bebas daripada saman fitnah RM2 juta yang difailkan bekas calon PKR bagi kawasan Dun Bukit Besi, Mohd Shamsul Mat Amin.

Ini berikutan keputusan panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan di sini, hari ini yang menolak permohonan Mohd Shamsul bagi kebenaran merayu di Mahkamah Persekutuan, dalam usaha membatalkan keputusan Mahkamah Rayuan dan Mahkamah  Tinggi.  

Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu pada 16 Disember tahun lepas menolak saman fitnah Shamsul terhadap Abdul Hadi dan Mahkamah Rayuan pada Mei lepas, mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi itu.

Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Md Raus Sharif yang mengetuai panel itu turut memerintahkan Mohd Shamsul membayar kos RM10,000 kepada Ahli Parlimen Marang berkenaan.

Dua lagi anggota panel ialah Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Suriyadi Halim Omar dan Tan Sri Abu Samah Nordin.

Mohd Shamsul menyaman Abdul Hadi selepas mendakwa Abdul Hadi mengeluarkan kenyataan fitnah semasa berceramah di Kampung Tebakang, Alor Limbat, Marang, pada 22 April 2013.

Dalam pernyataan tuntutannya, Mohd Shamsul mendakwa ucapan Abdul Hadi dalam ceramah menjelang pilihan raya umum ke-13 (PRU13) itu, telah menjatuhkan maruahnya dan keluarga serta menjejaskan reputasinya sebagai calon pilihan raya dan ahli perniagaan.

Mahkamah Tinggi ketika menolak saman Mohd Shamsul itu memutuskan plaintif (Mohd Shamsul) gagal membuktikan bahawa kata-kata yang didakwa diucapkan oleh Abdul Hadi sebenarnya merujuk kepada beliau.

Mohd Shamsul bertanding mewakili PKR bagi Dun Bukit Besi, Terengganu pada PRU13.

Mohd Shamsul diwakili peguam A. Vasudevan dan V. Saravanan manakala  peguam Datuk Takiyuddin Hassan mewakili Abdul Hadi. - Bernama


Antara logo dan ego

Posted: 06 Oct 2015 10:51 PM PDT



Oleh Amir Kamal


Kemunculan Parti Amanah Negara (Amanah) secara rasminya pada 16 September lepas seolah-olah memberi harapan baharu buat golongan anak muda yang dahagakan politik baharu Malaysia.

Namun, sinar harapan ini tiba-tiba malap akibat insiden logo parti yang menyerupai logo sebuah syarikat televisyen di India.

Tahap keyakinan anak muda terhadap Amanah yang merosot ketika itu diburukkan lagi dengan kenyataan setiausaha agung parti yang bertegas logo tersebut akan dikekalkan.

Bagi mereka, isu logo adalah isu kecil. Nampaknya tampuk pimpinan Amanah atau generasi mereka gagal memahami anak muda hari ini.

Maka tulisan ini bertujuan memahamkan generasi tua kenapa isu logo ialah isu besar kepada generasi kami.

Generasi kami yang berumur 20-an adalah generasi yang membesar dikelilingi komputer dan gajet. Sebaik sahaja pandai membaca dan mengira, ramai sudah pun memiliki akaun emel sendiri.

Generasi tua pula (ketika itu belum tua) baharu pertama kali mengenal telefon bimbit – itu pun yang seberat 2kg dan hanya boleh membuat panggilan.

Pengalaman Internet dan emel memberi kesan yang sangat besar kepada kami yang kemudiannya belajar untuk mengenal spam, emel berantai dan segala jenis kepalsuan lain.

Malah, dengan kemunculan media sosial seperti Facebook, lebih banyak berita palsu yang disebarkan menyebabkan anak muda hari ini menjadi lebih teliti terhadap keaslian sesuatu yang disebarkan, terutamanya dengan menggunakan carian Google.

Pengalaman ini juga membuatkan anak muda mudah berasa jelik dengan karya yang tidak asli.

Justeru, adalah tidak pelik apabila sahaja logo Amanah dilancarkan, keserupaan logo itu dapat dikesan dalam sekelip mata, dan membangkitkan rasa tidak puas hati di kalangan anak muda terutamanya yang menaruh harapan tinggi terhadap parti itu.

Alasan "kebetulan serupa" adalah langsung tidak masuk akal terutamanya kepada mereka yang menghargai seni. Bagi hasil rekaan yang begitu besar maknanya seperti logo Amanah, ini adalah mustahil.

Pada masa yang sama, kami juga yakin Amanah bukan sengaja ingin meniru logo stesen TV tersebut seperti dakwaan sesetengah pihak.

Penjelasan yang paling rasional ialah pereka logo menggunakan aplikasi "Logo Generator" yang berlambak di ruang Internet secara percuma.

Laman sesawang dan aplikasi sebegini mempunyai algoritma mudah untuk menghasilkan pelbagai logo berdasarkan beberapa ciri generik.

Namun "Logo Generator" atau seumpamanya hanya sesuai untuk entiti kecil, bukan untuk kegunaan pertubuhan sebesar Amanah yang perlu menjaga reputasinya.

Sebuah parti politik yang ingin memerintah harus mempunyai imej yang tulen, yang dizahirkan melalui penggunaan logo hasil karya asli.

Maka langkah terbaik Amanah adalah mengakui isu logo ini adalah isu besar. Akui juga ini berpunca daripada kegagalan mereka menyemak keaslian logo itu, dan ini mencalarkan integriti sebuah parti yang meletakkan "amanah" sebagai tonggak utamanya.

Amanah tidak boleh menolak isu ini ke tepi sebagai isu picisan. Amanah juga tidak boleh menuduh ini adalah saraf musuh.

Ini juga satu lagi masalah dengan parti politik yang masih di takuk lama; apa sahaja teguran dan kritikan terhadap parti akan dibakul sampahkan sebagai saraf musuh.

Ini membunuh keterbukaan, menyuburkan "siege mentality" iaitu pemikiran semua orang adalah musuh dan sentiasa ingin menyerang kita.

Oleh itu, pimpinan Amanah perlu membuang ego mereka dan mula membuka mata dan telinga. Cukuplah memberi alasan begitu dan begini, sedangkan pimpinan Amanah sebenarnya enggan mengakui atau sebenarnya tidak sedar, mereka tidak memahami isu ini.

Jika Amanah ingin menjadi parti pilihan anak muda, maka ia perlu mendengar pandangan anak muda. Jika tidak, pimpinan Amanah sekali lagi akan ditolak oleh anak muda, sepertimana mereka pernah ditolak dalam parti lama mereka sebelum ini.

* Amir Kamal ialah ahli Parti Amanah Negara.

Sekolah agama dakwa kerajaan Pulau Pinang bersikap zalim

Posted: 06 Oct 2015 10:21 PM PDT

ANTARAPOS.COM


Post Pic



GEORGE TOWN: Sekolah Rendah Islam Al-Ansar (SRIA) in Balik Pulau hari ini mendakwa kerajaan Pulau Pinang pimpinan DAP mempunyai agenda politik apabila ia menghentikan bantuan kewangan kepada sekolah itu hari ini.

Pengarah SRIA Muhammad Fauzi Yusof mendakwa kerajaan negeri Pulau Pinang di bawah Ketua Menteri Lim Guan Eng mengamalkan diskriminasi terhadap sekolah itu dengan menarik balik bantuan kewangan kepadanya tahun ini.

"Kami menerima bantuan kewangan tahunan dan tahun ini kami telah diberi surat untuk menerima bantuan itu tetapi pada 3 September, kami diberitahu bantuan berkenaan ditarik balik dan seorang pegawai dari Jabatan Agama Islam Pulau Pinang (Jaipp) datang untuk mengambil balik surat itu," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau percaya ini menunjukkan ada 'tangan tersorok' terbabit berikutan campur tangan politik dalam pentadbiran negeri.

"Ini adalah kezaliman terhadap sebuah institusi pendidikan agama di negeri ini," tambah Muhammad Fauzi.

Sekolah Agama Rakyat (SAR) itu didaftar dengan Jaipp dan sudah beroperasi sejak 2008.

Muhammad Fauzi berkata, sekolah itu kini mempunyai 215 pelajar dengan kebanyakan mereka dari golongan berpendapatan tengah dan rendah.

Minggu lalu, ketua perhubungan Ulama PAS Datuk Khairuddin Aman Razali menuduh kerajaan negeri menghenti bantuan kewangan kepada sekolah agama dimilik ahli PAS.

Pengerusi jawatankuasa hal-ehwal agama negeri Datuk Abdul Malik Kassim membalas dakwaan itu dengan menyatakan Pulau Pinang terus memperuntukkan RM1.75 juta kepada 177 sekolah agama di negeri ini tahun ini.

Beliau menekankan bantuan kewangan itu diberi kepada sekolah agama berdasarkan permohonan dan keperluan mereka.

"Kami hanya meluluskan permohonan dari sekolah-sekolah dan memberi bantuan mengikut nama sekolah. Kami tak tahu mana satu adalah dimiliki oleh PAS. Melempar tuduhan begini adalah tidak wajar," tambahnya.

Chegubard pertahan dakwaan Azmin mahu guling Wan Azizah

Posted: 06 Oct 2015 10:19 PM PDT

 Oleh Muhammad Asyraf Azlan

 
Post Pic


SHAH ALAM: Penulis blog Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard mempertahankan dakwaannya bahawa Timbalan Presiden PKR Azmin Ali mahu menggulingkan presiden parti Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail.

Menulis dalam blognya, beliau berkata, semua penafian Menteri Besar Selangor itu adalah penafian dangkal dan Azmin jelas menipu.

"Azmin pula dalam beberapa media menafikan wujud apa yang saya tulis sebelum ini dan mengatakan saya bankrap.

"Adakah kerana saya bekas MPP, bekas ketua cabang maka saya tidak boleh beri pandangan," katanya.
"Saya tulis dengan jelas dan saya tampilkan bukti salinan petisyen tersebut tetapi biasalah Azmin…," tambahnya.

Sementara itu, Free Malaysia Today memetik Chegubard sebagai berkata, jika Azmin tidak berniat memalukan Wan Azizah, mengapa perlu diadakan Mesyuarat MPP tergempar pada Ahad ini sedangkan perkara itu boleh dibincangkan dalam mesyuarat Biro Politik atau Mesyuarat bulanan MPP.

"Kalau sekadar nak bincang atau ingin kukuhkan parti sepatutnya kamu tunggulah, Mesyuarat Biro Politik PKR, seminggu sekali atau mesyuarat MPP sebulan sekali.

"Kalau MPP mengambil keputusan 'u-turn' dan tidak menyokong Pakatan Harapan, di mana Wan Azizah hendak letak muka? Maka ini jelas satu usaha undi tidak percaya kartel Azmin ke atas Wan Azizah," katanya.

Sebelum ini, Azmin mendakwa pendedahan seorang penulis blog bahawa terdapat gerakan diterajui oleh beliau untuk menggulingkan presiden parti Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail adalah satu tuduhan jahat dan cubaan untuk memfitnah beliau.

Jerebu: Operasi pembenihan awan dijalankan setiap hari

Posted: 06 Oct 2015 10:16 PM PDT

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Operasi pembenihan awan dijalankan hampir setiap hari sebaik sahaja negara dilanda jerebu awal bulan lalu di kawasan yang mempunyai awan kumulus yang mencukupi, kata Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr Abu Bakar Mohamad Diah.
 
Beliau berkata kerajaan mempunyai sumber mencukupi untuk meneruskan operasi pembenihan awan di seluruh negara terutamanya kawasan yang dilanda jerebu teruk.
 
"Setakat ini, kami tiada masalah dengan pembiayaan dan peralatan kami sentiasa diletakkan dalam keadaan siap sedia. Kami boleh melakukannya pada bila-bila masa di mana sahaja apabila situasi memerlukan," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Kongres Antarabangsa Polimer dan Persekutuan Pertubuhan Polimer Asia Ke-4 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada Selasa.
 
Acara itu dihoskan lebih kurang 160 peserta dari 16 negara untuk mempamerkan produk dan teknologi daripada pemain industri polimer terkemuka dengan anjuran bersama ECMI ITE Asia Sdn Bhd dan Institut Kima Malaysia.
 
Abu Bakar turut menolak dakwaan bahawa kementerian itu menggunakan bahan kimia berbahaya semasa operasi pembenihan awan.
 
"Tiada ada bahan seperti bahan kimia berbahaya yang digunakan dalam operasi pembenihan awan.
 
"Bahan-bahan yang digunakan untuk pembenihan awam adalah natrium klorida, iaitu garam biasa digunakan dalam masakan. Apabila campuran garam disembur ke atas awan, awan menjadi berat dan ia akan bertukar menjadi hujan. Bagaimana itu boleh membahayakan orang ramai?," katanya.
 
Beliau turut menggesa orang ramai supaya tidak percaya kepada khabar angin yang tersebar di laman media sosial dan hanya mendapatkan maklumat terkini daripada Jabatan Meteorologi Malaysia (Met).
 
Satu kenyataan menjadi viral menerusi WhatsApp dan Facebook baru-baru ini mendakwa bahawa kementerian itu menggunakan bahan kimia berbahaya untuk menghasilkan hujan dan menasihatkan orang ramai agar tidak terkena air hujan tersebut kerana ia akan menyebabkan kegatalan kulit.
 
Ketika ditanya sama ada kementerian itu akan meningkatkan operasi pembenihan awan, Abu Bakar berkata ia hanya bergantung kepada keadaan jerebu pada bulan yang akan datang.
 
"Sekiranya keadaan memerlukan, kami sentiasa bersedia. Kami tiada masalah dengan pembiayaan," katanya.

PAS gesa hidupkan semula pasukan siasatan khas 1MDB

Posted: 06 Oct 2015 10:14 PM PDT

MALAYSIAKINI


 


PAS menyokong penuh saranan Raja-Raja Melayu yang mendesak agar siasatan 1MDB diselesaikan secepat mungkin.

"Dengan saranan Raja-Raja Melayu, diharap kerajaan jangan berlengah lagi untuk menghidupkan pasukan siasatan khas 1MDB yang terdiri daripada Jabatan Peguam Negara, Polis Diraja Malaysia, Bank Negara Malaysia dan SPRM dan membenarkan mereka untuk menjalankan siasatan tanpa rasa takut atau pilih kasih," kata Timbalan Presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

PAS, katanya, mengharapkan pasukan siasatan itu akan melibatkan Tan Sri Abdul Gani Patail meskipun beliau telah bersara dan juga Ketua Audit Negara yang telah menyerahkan laporan audit 1MDB kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

"(Gabenor Bank Negara) Tan Sri Dr Zeti pula diberi kuasa penuh mendedahkan hasil siasatan dari semasa ke semasa seperti ketika pasukan siasatan aktif sebelum dibenamkan.

"Sebagaimana dakwaan perdana menteri bahawa tiada penyelewengan dalam isu 1MDB, maka beliau sepatutnya mendokong penuh siasatan dilakukan," kata Tuan Ibrahim dalam satu kenyataan malam tadi.

"Apakah kerajaan yang menyahut saranan Raja-Raja Melayu atau akan membiarkan 1MDB menjawabnya sekali lagi?

"Sikap Najib selepas teguran Raja-Raja Melayu akan menentukan nasib politik beliau dan 1MDB," tegas Tuan Ibrahim.

Semalam, dalam satu kenyataan Raja-Raja Melayu mahu kerajaan menyelesaikan secepat mungkin siasatan berkaitan dengan 1MDB dan mengambil tindakan tegas yang sewajarnya terhadap pihak-pihak yang terlibat.

Dalam kenyataan itu, baginda sekalian menegaskan semua pihak bertanggungjawab untuk memberi kerjasama yang sebenar dan jujur agar usaha serta maksud siasatan tersebut berjaya.

"Penemuan siasatan ini hendaklah dilaporkan secara lengkap dan telus supaya rakyat dapat diyakinkan akan keikhlasan kerajaan yang sama sekali tidak akan melindungkan fakta dan kebenaran," menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu dikeluarkan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Datuk Seri Syed Danial Syed Ahmad berikutan mesyuarat Pra-Majlis Raja-raja yang diadakan di Istana Negara hari ini.


MP DAP: Adakah MCA akan biar Ling sendirian?

Posted: 06 Oct 2015 10:10 PM PDT

MALAYSIAKINI


 


Susulan surat tuntutan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kepada Tun Dr Ling Liong Sik, MCA telah menjarakkan diri dengan menyatakan kenyataan bekas presidennya tidak ada kena mengena dengan parti itu.

Sebaliknya, MP DAP Segambut Lim Lip Eng ingin mengetahui sama ada MCA akan memutuskan hubungan dengan bekas presiden mereka atau cuba membantu beliau dengan mendesak Najib menjelaskan siapa dan motif sumbangan RM2.6 bilion.

"Akar umbi patut minta supaya MCA mengadakan mesyuarat tergempar bagi membolehkan akar umbi memutuskan sama ada parti akan membiarkan Tun Dr Ling berhadapan sendiri dengan saman Najib Razak ini.

"Atau parti akan menyokong bekas presidennya itu demi menemukan kebenaran di sebalik skandal RM2.6 bilion dan skandal 1MDB," kata anggota parlimen itu dalam satu kenyataan hari ini.

Lim yang juga seorang peguam bertanya sama ada MCA dan parti komponen BN lain akan mendesak Najib Razak untuk mendedahkan butir di sebalik skandal RM2.6 bilion.

Bagaimanapun, Lim menjangkakan MCA akan memihak kepada Najib dan terus mendiamkan mengenai skandal kewangan itu serta terus diingati sebagai parti yang tidak relevan dan pengecut.

Najib menuntut Ling menarik balik dan memohon maaf atas kenyataannya yang didakwa berunsur fitnah mengenai perdana menteri baru-baru ini melalui satu surat tuntutan itu

Surat tuntutan itu menuntut penarikan balik, permohonan maaf serta ganti rugi berikutan artikel di dalam The Malay Mail Online bertajuk 'MCA's Liong Sik joins call for Najib's ouster for allegedly putting people's money in his own pocket' yang disiarkan pada 3 Oktober.


Veteran Umno pertikai TPPA dengan 'negara pokai'

Posted: 06 Oct 2015 10:09 PM PDT

MALAYSIAKINI


 


Sekiranya Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) dimeterai, Malaysia diibaratkan sebagai negara yang tidak mementingkan bangsa, kata veteran Umno Tan Sri Sanusi Junid.

Bekas menteri besar pusat dan menteri besar Kedah itu berkata disebabkan ingin "berkawan" dengan Amerika Syarikat, Malaysia terlupa bahawa negara itu sebuah "negara pokai".

"Kalau orang lemas di sungai, kayu pun dia pegang, najis pun dia pegang. Sekarang umpama tiada kepentingan bangsa.

"(Tetapi) sebab nak berkawan dengan Amerika, kita lupa yang negara mereka itu negara yang pokai dan disokong oleh kapitalisme.

"Kalau orang politik bolehlah cakap TPPA ini penyelamat kita. Saya pun orang politik juga dulu. Tapi sekarang bertaubat banyak dah," katanya sambil menerima tepukan dari hadirin.

Bekas menteri besar Kedah itu berkata demikian dalam program Bicara Minda di Shah Alam hari ini.

Sanusi juga memberi amaran bahawa kesan menandatangani TPPA tidak akan dirasai sekarang seperti Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

Sebaliknya, katanya, kesan jangka masa panjang bakal dirasai memandangkan pelbagai barangan akan dinaikkan harga termasuk ubat-ubatan.

"Ia bergantung kepada anda ingin ambil hati siapa.

"Kalau nak jaga hati kawan, Amerika, anda akan tanda tangan sebab semua ini Amerika yang punya idea.

"Ia tidak akan memberi kesan dalam jangka masa pendek tetapi jangka masa panjang, ya. Ia tidak seperti GST," katanya.

Amirudin: Petisyen 25 bukan untuk tolak Azizah

Posted: 06 Oct 2015 10:05 PM PDT

MALAYSIAKINI


 


Petisyen 25 anggota Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR bukan untuk menolak kepimpinan Presiden Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail, kata seorang anggotanya Amirudin Shari.

Exco kerajaan Selangor itu sebaliknya berkata, ia hanya menuntut penjelasan mengenai kerjasama baru bersama Pakatan Harapan, lapor Utusan Malaysia.

"Kita nak dapatkan penjelasan lanjut mengenai beberapa perkara dalam pakatan pembangkang baharu.
"Isu ini penting kerana melibatkan kesepakatan parti-parti politik dalam barisan pembangkang untuk pilihan raya umum akan datang dan masa depan PKR itu sendiri.

"Justeru, kepimpinan parti harus membincangkan perkara ini secara terperinci dan mendalam. Jadi tuntutan itu adalah supaya diadakan mesyuarat," Amirudin dilaporkan sebagai berkata.

Amirudin mengulas dakwaan ketua PKR Rembau Badrul Hisham Shaharin, yang digantung keanggotaan, bahawa sekumpulan pemimpin kanan parti itu membentuk kartel bagi merancang komplot menggulingkan Azizah.

"Mengenai undi tidak percaya dan menjatuhkan presiden PKR ini satu imaginasi oleh orang yang tidak ada kerja.

"Kita ada perbezaan pandangan, maka adalah lebih baik perbezaan itu dapat dibawa dalam satu mesyuarat bagi mencari jalan penyelesaian," beliau dilaporkan sebagai berkata.

Sebelum ini Badrul dilapor mendakwa komplot itu dipercayai didalangi beberapa pemimpin kanan parti yang kurang senang dengan tindakan Azizah mengumumkan penyertaan PKR dalam Pakatan Harapan pada 22 September.

Dakwa Badrul lagi, kartel tersebut dikatakan mengambil kesempatan dengan melancarkan petisyen agar mesyuarat khas MPP PKR diadakan dengan agenda menarik balik penyertaan parti itu daripada gabungan baru pembangkang.

Isnin lalu, Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali turut menafikan dakwaan perpecahan dalaman parti itu ekoran penubuhan Harapan Baru.

Azmin turut menegaskan bahawa petisyen yang ditandatangani oleh 25 anggota pimpinan pusatnya masih boleh dibincangkan.


Anak Harun Salim Bachik terkilan

Posted: 06 Oct 2015 09:53 PM PDT

 Al-Abror Mohd Yusuf


 

Terkilan, namun akan berdiam diri - dan menyimpan rasa terbuku itu - untuk masa ini.

Begitu pendirian anak lelaki Allahyarham Harun Salim Bachik menanggapi kemelut salah faham dialami keluarga besar itu.

Kata anak sulung Harun, Syafiq Al-Rashid, dia terkejut apabila mendapat tahu keluarga balu bapanya mengalami kesukaran hidup.

Bercakap kepada Malaysiakini, Harun memberitahu dia berpendapat sebarang masalah dalaman sepatutnya boleh diselesaikan secara kekeluargaan tanpa melibatkan pihak luar.

"Saya pun serba salah nak komen, tetapi memanglah rasa terkilan apabila beliau berkata tiada sesiapa membantu keluarga isteri arwah ayah di sana kecuali Afdlin (Shauki)," katanya.

Mengapa jadi begitu

Menurut Syafiq, 30, sejak sekian lama Harun sentiasa mementingkan nilai kekeluargaan mendidik anak-anak.

Katanya, Harun selalu berpesan bahawa wang dan kebendaan sentiasa boleh dicari namun hubungan kekeluargaan tiada galang gantinya.

Untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai kesukaran dihadapi isteri Harun, dia ada menghubungi mereka beberapa kali, sama ada melalui panggilan telefon atau mesej.

Namun, kata Syafiq, semuanya tidak berjawab.

"Saya tertanya-tanya, mengapa jadi begitu?" katanya.

Di sebalik rasa terkilan itu Syafiq berkata, dia akan cuba mencari penyelesaian terbaik untuk merapatkan semula hubungan keluarganya dan balu bapanya.

Harun - atau nama sebenarnya Haron Aminar Rashid Salim - adalah pelakon terkenal dengan pelbagai kebolehan dan mula dikenali ramai melalui siri televisyen Rumah Kedai.

Beliau berkahwin dengan Martinah Ahmad, 52, dan memperoleh empat anak, termasuk Syafiq.

Selepas rumah tangga itu gagal bertahan Harun kemudian berkahwin pula dengan isteri keduanya, Suriati Mohd Noor dan pasangan itu mendapat dua anak.

Syafiq ditemui di majlis tayangan amal filem Polis Evo anjuran Pemuda Parti Amanah Negara di Shah Alam.

Sebelum itu penganjur juga mengadakan majlis doa selamat dan tahlil untuk Harun.

Cuba selesaikan nanti

Polis Evo adalah lakonan terakhir Harun sebelum beliau meninggal dunia pada 8 Mac lalu.

Ketika hayatnya Harun juga pernah berkhidmat sebagai Presiden Persatuan Seniman Malaysia serta menjuarai pertandingan Maharaja Lawak Mega 2011 dengan bergandingan bersama Aflin Shauki.

Media sebelum ini melaporkan Suriati mengalami hidup yang sukar sejak Harun meninggal dunia dan keluarga itu kini banyak dibantu oleh Afdlin.

Kata Syafiq, walaupun dua anak Harun bersama Suriati adalah adik tirinya, dia tetap menganggap mereka sebagai darah daging sendiri.

"Insya-Allah kami akan cuba selesaikan apa saja salah faham itu nanti," katanya.

Seboleh mungkin, kata Syafiq, dia mahu bapanya dikenang sebagai pelakon atau seniman yang dikagumi ramai, bukannya dibayangi sebarang masalah peribadi.

"Biar orang ingat arwah yang sedang berada di puncak kerjaya," katanya.


 
 
 

Mahfuz: Ampun tuanku, tolong pecat Najib, AG

Posted: 06 Oct 2015 09:46 PM PDT

MALAYSIAKINI


 


Raja-Raja Melayu dipohon bertindak lebih keras dengan memecat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Peguam Negara Tan Sri Mohamad Apandi Ali susulan kontroversi berpanjangan 1MDB.

Anggota parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar berkata raja-raja sebagai payung negara tidak boleh membiarkan institusi awam dan pegawainya bersendirian apabila berlaku "ugutan" ketika menyiasat isu itu.

Beliau membangkitkan kes perpindahan pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan bekas timbalan pengarah Cawangan Khas polis Datuk Hamid Bahador.

"Ke bawah DYMM Raja-Raja Melayu tidak boleh membiarkan institusi raja-raja tercalar oleh institusi awam yang berdiri atas nama diraja bertindak berasaskan campur tangan kuasa politik pemimpin korup yang menerajui negara sekarang," katanya.

Mahfuz mendakwa "pentadbiran negara sekarang tak ubah seperti mana perjalanan pentadbiran sebuah kumpulan mafia".

"Dalam kumpulan mafia siapa lawan ketua akan ditembak tetapi dalam politik negara siapa yang mengancam Najib akan dicantas, diugut dan sebagainya," katanya.

Beliau juga berdoa supaya Allah memberikan petunjuk serta kekuatan untuk raja-raja bertindak "berani kerana benar" melindungi negara dan rakyat.

Bernama semalam melaporkan raja-raja Melayu mahu kerajaan menyelesaikan secepat mungkin siasatan berkaitan 1MDB dan mengambil tindakan tegas dan wajar terhadap pihak-pihak yang terlibat.

Dalam satu kenyataan, baginda sekalian menegaskan semua pihak bertanggungjawab untuk memberi kerjasama sebenar dan jujur agar usaha serta maksud siasatan tersebut berjaya.

Ia berkata: "Kegagalan memberikan penjelasan dan jawapan yang meyakinkan, dikhuatiri telah mengakibatkan berlakunya krisis keyakinan".


Tiada ulasan: