Khamis, 22 Oktober 2015

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


Penganjuran Zikir Perdana bermotif politik– Zam

Posted: 22 Oct 2015 05:03 AM PDT

 
Bekas Menteri Penerangan juga mendakwa ia bukan jati diri umat Islam di negara ini


ZAINUDDIN,zikir


PETALING JAYA: Penganjuran Zikir Perdana yang akan berlangsung di Putrajaya dikatakan berkepentingan politik.

Dakwaan itu dibuat bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin yang turut melihatnya tidak ubah seperti sebuah konsert.

Lontaran berkenaan dimuatnya di entri blog beliau, zamkata.blogspot.com susulan hebahan yang dibuat di Utusan Malaysia berkenaan Zikir Perdana yang akan dirasmikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. dianggap sebagai sesuatu yang berkepentingan politik.

"Program Zikir Perdana suatu usaha yg bukan jati diri umat Islam Malaysia yg akan tambah melalaikan umat Islam negara ini. Tak perlu dipromosi," tulisnya di Twitter yang kemudian disiarkan menerusi posting terbaru di blog berkenaan.

Atas faktor itu, beliau meminta orang ramai memulaukan majlis yang akan berlangsung di Masjid Putra, 7 November depan.

PANDIKAR NAK SENARAI ANTI NAJIB LEBIH DULU PULAK...

Posted: 22 Oct 2015 02:54 AM PDT

shahbudindotcom

 
 
 
Usul undi tidak percaya di Parlimen terhadap Perdana Menteri, Najib Razak seakan menerima halangan lagi apabila Speaker, Pandikar Amin Haji Mulia mahukan pihak pembangkang menghantar senarai Ahli-Ahli Parlimen yang mahu menyokong usul berkenaan terlebih dahulu sebelum sedia mempertimbangkan kelulusannya.

Saya masih menunggu senarai itu di atas meja saya kerana setahu saya mereka ada 89 undi saja. Apabila senarai yang mereka ada mencecah 90 atau 100, mungkin saya boleh tekan kerajaan untuk usul itu dibahaskan, kata Pandikar.

Meminta senarai awal sehingga 90 atau 100 yang menyokong usul itu secara tidak langsung bermakna ia berupa "pancingan" daripada Speaker agar pembangkang mendedahkan siapa Ahli-Ahli Parlimen BN yang bukan saja anti Najib, malah yang sanggup "melompat kolam". 

Sudah tentu ianya sesuatu yang mustahil boleh dilakukan. Kalau pun ada yang tergerak hati, tidak mungkin mereka sanggup "menjerut leher" lebih awal daripada yang sepatutnya.

Dan kalau pun pembangkang misalnya dapat membuktikan angka itu, ia memungkinkan terdedah pula kepada proses "tawar menawar" yang menyebabkan mereka itu kembali menyokong BN.

Hasilnya, tetap tak lepas juga usul tersebut.

Sebelum itu, usul persendirian tidak percaya terhadap Najib yang cuba dibawa oleh PKR disenaraikan di agenda 25 daripada 28 keseluruhannya dan belum tentu dapat dibentangkan berikutan aturan berkaitan kerajaan perlu diutamakan terlebih dahulu.

Kemudian apabila DAP mahu Ketua Pembangkang, Dr Wan Azizah Wan Ismail sendiri membentangkannya, ia juga dikatakan tidak mungkin sempat dibawa dalam sessi Parlimen yang sedang berjalan sekarang kerana ia memerlukan notis 14 hari lebih awal.

Oleh yang demikian, usul Dr Wan Azizah itu mungkin hanya boleh dibawa pada sessi Parlimen Mac tahun depan.

Dan hari ini,  Speaker mahu disenaraikan Ahli  Parlimen lain, selain 89 orang daripada pembangkang, yang mahu menyokong usul tersebut.

Licik, licik taktik Pandikar ini.

Maknanya tugas beliau sebagai Speaker untuk memastikan tiada usul yang boleh memalukan Najib, sehingga ini boleh dikira berjaya digalasnya dengan cemerlang

Soalnya, kenapa takut sangat dengan usul tidak percaya itu? Jika yakin pembangkang hanya ada 89 undi, kenapa perlu bimbang?

Tidak bolehkah ia dibiarkan dibahaskan terlebih dahulu sebelum diketahui siapa menyokong dan siapa yang tidak? Inikah sebahagian proses demokrasi?

Selain itu, lihat saja watak Pandikar dalam sessi Parlimen kali ini. Garangnya lain macam. Sikit-sikit mahu tunjuk kuasa! 

Sikit-sikit nak marah dan selalu sangat dilihat mengangkat tangannya ketika berucap.

Tak terbayang watak inilah yang pernah mengadu kepada Tun Mahathir Mohamad memaklumkan akan meletakkan jawatan sebagai Speaker atas beberapa perkara tidak puas hati yang dibangkitkannya kepada bekas Perdana Menteri itu.

Wahh...sudah jauh beza dulu dengan sekarang bahh!! 
 
 
 

Jerebu: Masjid seluruh negara diminta solat hajat esok

Posted: 22 Oct 2015 02:45 AM PDT

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
PUTRAJAYA: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) meminta masjid di seluruh negara mengadakan solat hajat sejurus selepas solat Jumaat esok bagi memohon agar kualiti udara kembali pulih.
 
Ketua Pengarahnya, Datuk Othman Mustapha berkata beliau juga sudah meminta masjid utama di bawah kelolaan Jakim iaitu Masjid Negara, Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin serta seluruh masjid dan surau di bawah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan untuk turut menunaikan solat hajat berkenaan.
 
"Saya juga memohon kerjasama pihak majlis agama Islam negeri dan jabatan agama Islam negeri agar dapat mengadakan solat hajat di seluruh masjid dan surau di bawah seliaan masing-masing," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
 
Setakat pukul 10 pagi tadi, Indeks Pencemaran Udara (IPU) terus merosot dengan enam kawasan mencatatkan bacaan sangat tidak sihat melebihi 200, manakala 27 kawasan lagi dengan bacaan tidak sihat iaitu melebihi 100.
 
Bacaan IPU tertinggi dicatatkan di Seberang Jaya 2, Perai iaitu 280, Bakar Arang, Sungai Petani (252), Kangar (247), USM, Pulau Pinang (244), Langkawi (242) dan Alor Setar (236).
 
 
 

Jerebu: 24 Kanak-Kanak OKU terkandas di Langkawi minta sumbangan dana

Posted: 22 Oct 2015 02:43 AM PDT

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
 
LANGKAWI: Seramai 24 orang kanak-kanak Orang Kelainan Upaya (OKU) yang terkandas di sini selepas penerbangan balik mereka ke Kuala Lumpur dibatalkan semalam terpaksa mengharapkan simpati orang ramai setelah mereka kehabisan dana selepas lawatan sambil belajar mereka ke sini.
 
Kanak-kanak OKU dari Kelas Pendidikan Khas Sekolah Kebangsaan Serdang, Selangor itu sepatutnya balik menggunakan penerbangan pukul 9.10 malam tadi namun penerbangan berkenaan dibatalkan dan dijadualkan semula pukul 10.40 malam ini.
 
Situasi berkenaan turut menjejaskan 12 orang guru yang mengiringi mereka dan Penolong Kanan Pendidikan Khas sekolah itu, Rafeah Ali, yang mengetuai rombongan itu berkata dana mereka hanya mencukupi untuk lawatan selama tiga hari yang berakhir semalam.
 
"Kami telah menggunakan dana itu untuk pembayaran penginapan dan pengangkutan serta beberapa perbelanjaan lain dan kerana sudah habis digunakan terpaksalah kita memohon bantuan," katanya di sini, Khamis.
 
Beliau telah menggunakan aplikasi whatsapp untuk menyuarakan kesulitan mereka yang telah menjadi viral dan sampai ke pengetahuan Pejabat Pendidikan Daerah dan Jabatan Kebajikan Masyarakat di sini yang telah tampil menghulurkan bantuan.
 
Selain bantuan yang disalurkan oleh Persatuan Ibubapa dan Guru-Guru sekolah itu, Rafeah berkata beberapa orang individu tempatan di sini turut menghulurkan sumbangan kewangan dan menyediakan penginapan sementara menunggu penerbangan mereka malam ini.
 
Sementara itu Pegawai Kebajikan Daerah Langkawi, Mohamad Arif Ishak, berkata pejabatnya akan menyediakan penginapan dan makanan untuk kanak-kanak OKU dan guru-guru mereka untuk semalam lagi sekiranya penerbangan mereka dibatal lagi hari ini.
 
"Situasi mereka ini agak unik sepanjang pengalaman saya kerana selama ini kita biasanya membantu mangsa-mangsa banjir atau kebakaran. Inilah kali pertama kita menghulurkan bantuan kepada mangsa jerebu," katanya.
 
Sementara itu, Pengurus Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) Langkawi, Jefry Ramli berkata sebanyak 12 penerbangan telah dibatalkan hari ini berikutan keadaan jerebu yang semakin teruk.
 
"Kita telah menutup landasan lapangan terbang selama lebih kurang dua setengah jam bermula pukul 7.30 pagi dan dibuka semula pukul 10.00 pagi kerana jarak penglihatan hanya terhad sehingga 550 meter," katanya.
 
Jefry berkata jerebu telah memberi kesan kepada operasi penerbangan di lapangan terbang itu sejak semalam apabila sebanyak 34 penerbangan telah dibatalkan dan telah menjejaskan kira-kira 2,900 orang penumpang.
 
Katanya operasi di terminal lapangan terbang di sini juga telah dilanjutkan sehingga lewat malam tadi memandangkan masih ramai lagi penumpang yang terkandas berada di sana dan memerlukan masa untuk mencari penginapan mereka.
 
Menurutnya, operasi terminal itu berjalan seperti biasa namun keputusan pengesahan atau pembatalan sebarang penerbangan akan dibuat oleh syarikat-syarikat penerbangan.
 
Bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Langkawi berdasarkan maklumat Jabatan Alam Sekitar telah menunjukkan trend yang menaik sejak petang Selasa lepas sebelum mencapai tahap sangat tidak sihat awal pagi ini, iaitu 208.
 
Sehingga pukul 1.00 petang hari ini, IPU di pulau pelancongan ini kekal berada di tahap sangat tidak sihat pada bacaan 253.
 
 

Mahukah PAS dan Amanah bertahkim pada ulama muktabar?

Posted: 22 Oct 2015 02:41 AM PDT

Oleh Zainal Salleh

 
Post Pic
 

[ULASAN] Sebagai ulama, Dr Yusuf al Qaradhawi pasti tidak mahu membuat sebarang rumusan tentang perkara yang beliau tidak mempunyai maklumat lengkap; lebih-lebih lagi bersabit soal kemelut politik di negara asing seperti Malaysia.

Justeru jika ada perbedaan pandangan dalam soal siasah di mana-mana negara Islam termasuk Malaysia, sudah pasti beliau akan mengambil sikap selamat seperti yang ditetapkan oleh al-Quran. 
 
"Dan apabila ada dua golongan orang mukmin berperang, maka damaikanlah antara kedua-duanya. Jika salah satu daripada kedua-duanya menzalimi golongan yang lain, maka perangilah golongan yang berbuat zalim itu, sehingga golongan itu kembali kepada perintah Allah.
 
"Jika golongan itu telah kembali (pada perintah Allah), maka damaikanlah antara kedua-duanya dengan adil, dan berlakulah adil. Sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang berlaku adil." (Al Hujurat ayat 9).
 
Sehubungan itu dalam proses memahami duduk perkara sebenar  persaingan politik di antara PAS dengan Parti Amanah Negara (Amanah), sudah tentu proses menyaring maklumat berhubung isu berkenaan menjadi langkah utama oleh ulama tersohor itu. 
 
Lantas rumusan Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub, bahawa oleh kerana Dr Yusuf tidak membangkitkan soal halal haram penubuhan Amanah dalam konteks dakwah dan politik Islam Malaysia, maka penubuhan Amanah adalah halal dan wajar, bolehlah dianggap agak terburu-buru.
 
Dalil yang digunakan oleh Salahuddin ialah, apabila naib presiden partinya, Datuk Dr Mujahid Yusuf mengunjungi Presiden Kesatuan Ulama Islam Sedunia itu perkara berkenaan tidak berbangkit maka tidak ada ruang untuk mempersoalkan kewajaran penubuhan Amanah dalam iklim politik Malaysia.
 
"Datuk Dr Mujahid Yusuf telah bertemu sendiri dengan Prof Dr Yusuf Al Qaradhawi di Doha, Qatar pada 17 Oktober. Dalam pertemuan itu tidak disebut langsung tentang haramnya wujud sebuah parti Islam lain selain daripada PAS. 
 
"Bahkan kami berbincang perkara prinsip tentang kejelasan fikrah Islam, kerana bimbang terjerumus kepada pemikiran awal ISIS atau seumpamanya. 
 
"Lalu Prof Dr Yusuf Al Qaradhawi menyokong usaha untuk membetuli salah faham ini di kalangan pengamal politik Islam," kata Salahuddin dalam kenyataannya.
 
Timbalan Presiden Amanah itu menyatakan demikian sebagai reaksi  kepada kenyataan Presiden PAS, Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang bahawa Dr Yusuf al Qaradhawi menganggap haram menubuhkan sebuah parti Islam lain di Malaysia selagi masih ada PAS.
 
Mungkin Haji Hadi sudah mendahului Dr Mujahid berhubung dengan Dr Yusuf mengenai isu pengwujudan dua buah parti Islam di Malaysia. Namun mungkin juga komen yang diberikan oleh Dr Yusuf itu lebih bertolak daripada kaedah hukum berjemaah belaka.
 
Hujah Dr Yusuf kepada Naib Presidennya dalam Kesatuan Ulama Islam Sedunia itu mungkin lebih am sifatnya. 
 
Bahawasanya lebih banyak mudarat daripada manfaat di segi politiknya jika umat Islam Malaysia dibelah bahagi oleh dua entiti politik. Maka keadaan itu mungkin mengakibatkan status parti baru itu menjadi haram.
 
Haji Hadi pula melambungkan kemungkinan hukum penubuhan Amanah itu haram demi membuka ruang seluas-luasnya bagi umat Islam Malaysia mengamati semua kemungkinan akibat usaha mewujudkan persaingan sesama pengundi Islam dalam politik Malaysia yang sedang bergelora kini. 
 
Perkara ini perlu dipertimbangkan semasak-masaknya kerana sudah tentu juga Dr Yusuf juga tidak mahu menimba maklumat yang salah daripada mana-mana pihak yang "merujuk dan mengadu" kepada beliau dalam isu ini. 
 
Sudah pasti pendirian Dr Yusuf ini berpandukan peringatan Allah dalam Surah Al-Hujurat, ayat keenam:
 
"Hai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu".
 
Dr Yusuf memerlukan lebih banyak maklumat sahih berhubung  persoalan dua entiti politik Islam yang kini mengorak langkah untuk menundukkan di antara satu dengan lain dalam medan politik Malaysia. 
 
Di satu segi tentu Dr Yusuf lebih cenderung untuk mempercayai naib presidennya dalam Kesatuan Ulama Sedunia. Bagaimanapun beliau juga wajib mendengar hujah daripada Dr Mujahid. Lantas tidak perlu menghukum apabila menerima ziarah anak bekas presiden PAS itu. 
 
Namun kedua-dua pihak perlu mendekati pakar rujuk Islam kontemporari itu dalam forum yang lebih terbuka yang disertai kedua-dua pihak. 
 
Maka adalah wajar bagi PAS dan Amanah berusaha mempelawa Dr Yusuf ke Malaysia dalam satu multaqa atau apa jua forum yang munasabah supaya boleh beliau membuat penelitian lebih rapi dan rumusannya sendiri. 
Apakah ada cara lebih baik daripada bertahkim dengan ulama muktabar seperti Dr Yusuf? 
 
Mungkin Dr Yusuf juga mahu memilih untuk membentangkan isu politik Islam yang agak rumit melanda umat Islam Malaysia ini di peringkat Kesatuan Ulama Sedunia terlebih dahulu untuk mencari penyelesaian yang lebih adil dan tuntas demi memastikan keharmonian politik Islamiah tidak tercemar di Malaysia. 
 
Atau, adakah baik PAS mahupun Amanah merasakan bahawa ulama mereka masing-masing sudah memadai untuk membimbing umat Islam Malaysia menyusur denai politik mereka "kerana itu adalah paling menepati waqi atau realiti politik" di negara ini kini?
 
Jika demikian, tidakkah itu satu keangkuhan yang terpesong daripada matlamat berpolitik dalam Islam?
 
 

Pembangkang fail usul undi tak percaya pada PM

Posted: 22 Oct 2015 02:20 AM PDT

Abdul Rahim Sabri 





Ketua Pembangkang Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail hari ini memfailkan usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak.

Wan Azizah (PKR-Permatang Pauh) memfailkan usul itu seperti yang diperuntukkan mengikut Perkara 43(1) dan 43(4) Perlembagaan Persekutuan, Konvensi Parlimen dan Peraturan 26 dan 27 Peraturan-Peraturan Mesyuarat Majlis Dewan Rakyat Malaysia.

"Bahawa Dewan ini tidak ada kepercayaan terhadap Yang Amat Berhormat Pekan Datuk Seri Najib Razak sebagai Perdana Menteri," petik teks usul yang turut diedarkan kepada media.

Usul berkenaan telah diterima oleh Pejabat Speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia dan Pejabat Setiausaha Dewan Rakyat Datuk Roosme Hamzah.

"Saya mempunyai sebab-sebab munasabah berkeyakinan bahawa majoriti dalam Dewan Rakyat, bererti bukan sahaja 88 orang Ahli Parlimen Pembangkang, tetapi juga bilangan ahli parlimen dalam BN yang mencukupi, yang telah hilang kepercayaan terhadap pimpinan Yang Amat Berhormat untuk menerajui kerajaan," kata Wan Azizah.

Hilang kepercayaan

Sambil menjelaskan usul itu hanya berkaitan hilang kepercayaan kepada Najib bukannya kerajaan, Wan Azizah berkata krisis politik dan ekonomi yang berlaku termasuk kejatuhan nilai ringgit dan kenaikan kos hidup politik adalah disebabkan oleh krisis kepimpinan negara.

Menurutnya, isu penyingkiran beberapa pemimpin dan pegawai kanan dari kerajaan serta dakwaan gangguan dengan menukar pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang menyiasat skandal 1MDB dan isu sumbangan RM2.6 bilion yang didepositkan ke dalam akaun peribadi Najib dianggap punca krisis.

Wan Azizah juga mempersoalkan bagaimana Najib tidak memberi penjelasan yang munasabah berhubung perkara tersebut sehingga tokoh anti rasuah antarabangsa menggesa beliau menjelaskan 'derma' RM2.6 bilion.

"Keadaan bertambah buruk dengan pelantikan pengerusi dan tiga anggota PAC Dewan Rakyat (ke Kabinet) yang menghalang PAC daripada menjalankan penyiasatannya terhadap pengurusan dan pengarah-pengarah 1MDB yang sepatutnya didengar di hadapan PAC.

"Institusi-institusi kita telah diganggu-gugat daripada melaksanakan tugas-tugas tanpa rasa takut," katanya.

"Kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Razak semakin bertambah rakus dengan timbulnya pelbagai perundangan menindas yang disegerakan menerusi parlimen dan lebih dari seratus ahli aktivis, cendekiawan, wartawan dan pelajar disiasat, didakwa atau dihadapkan pertuduhan."

Titah Raja-raja Melayu

Berikutan itu, ketua pembangkang berkata tidak memeranjat sehingga ada pelabur dalam dan luar negara mengeluarkan modal, berlaku bantahan besar-besar pada perhimpunan BERSIH 4 dan titah Majlis Raja-raja supaya siasatan 1MDB diselesaikan dengan segera.

"Saya yakin ahli-ahli Parlimen akan mengundi menurut hati nurani. Kita mesti mengetepikan perbezaan politik dan meletakkan kepentingan negara mengatasi segala.

"Kita tidak boleh berdiam diri apabila kedaulatan, kemerdekaan dan maruah negara tergugat hanya kerana seorang manusia," katanya.

Kit Siang kena 'gantung' enam bulan

Posted: 22 Oct 2015 02:03 AM PDT

Abdul Rahim Sabri  





Lim Kit Siang (DAP-Gelang Patah) sah digantung kehadiran ke Parlimen selama enam bulan kerana didakwa menghina Speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Selepas pengundian dibuat, seramai 107 bersetuju beliau digantung, manakala 77 ahli parlimen membantah penggantunggannya dengan seorang yang berkecuali.

"Sesuai dengan keputusan ini, saya minta Gelang Patah meninggal dewan," kata Timbalan Speaker Datuk Ronald Kiandee.

Lim sempat melambai dan mengucapkan selamat tinggal kepada semua manakala ahli parlimen BN turut menyambut lambaiannya.

Usul kerajaan untuk menggantung tokoh parlimen DAP itu dibuat mengikut peraturan 27 (3) Peraturan Mesyarat dibacakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said di Dewan Rakyat.

Bagaimanapun ahli parlimen pembangkang khususnya daripada DAP membangkitkan bahawa Lim sepatutnya dibawa ke pendengaran Jawatankuasa Hak Keistimewaan mengikut Peraturan Mesyuarat 80 terlebih dahuu supaya beliau diberi peluang untuk dikemukakan bukti dan saksi.

Antara ahli parlimen pembangkang yang membahaskan usul itu adalah Gobind Singh Deo (DAP-Puchong), Ram Karpal (DAP-Bukit Gelugor) R Sivarasa (PKR-Subang), N Surendran (PKR-Padang Serai), Hanipa Maidin (AMANAH-Sepang), Datuk Mujahid Yusof (AMANAH-Parit Buntar) dan Lim Kit Siang (Gelang Patah).

Manakala, bagi BN yang membahas termasuk Ting Kin Sin (BN-Bintulu), Datuk Seri Noh Omar (BN-Tanjong Karang) dan digulung oleh Azalina (BN-Pengerang).

Rata-rata pemimpin pembangkang membantah usul itu kerana terdapat peraturan yang lebih khusus iaitu merujuk Lim ke pendengaran ke Jawatan Hak Keistimewaan parlimen sebelum diputuskan hukuman penggantungan terhadap pemimpin veteran DAP itu.

Sewaktu menyampai ucapan terakhirnya, Lim menegaskan bahawa beliau tidak berniat untuk menghina Pandikar apatahlah lagi beliau cukup berpengalaman dengan lebih 40 tahun sebagai anggota parlimen.

Beliau turut menyifatkan dirinya sebagai "mangsa terbaru" daripada membahaskan skandal firma pelaburan 1MDB seperti mana nasib yang dialami oleh beberapa pemimpin BN yang mempertikaikan isu itu.

Mangsa raksasa 1MDB

Antaranya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Shafie Apdal dan bekas peguam negara Tan Sri Gani Patail sehingga mereka disingkirkan daripada tugas dalam kerajaan.

"Saya adalah mangsa terbaru daripada penyakit yang bermaharaja lela, iaitu raksasa 1MDB. Saya menjadi mangsa terbaru daripada ramai (yang lain)," katanya.

Lim turut berkata beliau reda digantung jika tindakan tersebut mampu memberi kesedaran kepada rakyat berhubung skandal yang mendapat liputan meluas itu.

"Kalaulah penggantungan saya ini memberi kesedaran kepada rakyat... Kita perlu meningkatkan kesedaran rakyat," katanya terhenti sambil disampuk dan disorak oleh MP BN.

"Saya mahu tanya kenapa kekalkan hujah (kerajaan) ini (terhadapnya)," katanya sambil menyifatkan ia sebagai perkara yang paling memalukan dalam sejarah parlimen.

Selesai sahaja beliau menyampaikan ucapan terakhir, ramai para pemimpin pembangkang berdiri dan melaungkan supaya usul tersebut ditarik balik.

Ketika menggulung perbahasan, Azalina mengambil kesempatan menghentam Lim yang katanya, mempunyai masa yang cukup untuk memohon maaf kepada Pandikar tetapi enggan berbuat demikian.

"Dengan itu saya mewakili kerajaan, kami tak ada pilihan tetapi memohon mencadang usul ini," katanya yang kemudiannya diadakan secara undi blok.

Pembangkang akan cabar penggantungan Kit Siang

Posted: 22 Oct 2015 01:59 AM PDT

MALAYSIAKINI


 


Pembangkang akan memfailkan usul untuk menyemak semula penggantungan anggota parlimen Gelang Patang Lim Kit Siang daripada Dewan Rakyat.

Anggota parlimen Puchong Gobind Singh Deo berkata mereka akan mencabarnya daripada aspek keteraturan prosedur yang digunakan.

Bercakap dalam sidang media di lobi parlimen, beliau berkata pembangkang berpendapat langkah itu bertentangan dengan peraturan tetap parlimen.

Gobind berkata, penggantungan itu sepatutnya dibuat melalui Seksyen 80A Peraturan Tetap, yang menyebut anggota dewan patut dirujuk ke jawatankuasa hak dan pilihan parlimen sebelum penggantungan diputuskan.

Jawatankuasa itulah yang akan mengumpulkan bukti sama ada beliau bersalah atau tidak, kata Gobind lagi.
Lim, ketua anggota parlimen DAP, sah digantung kehadiran ke parlimen selama enam bulan kerana didakwa menghina Speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Selepas pengundian dibuat, seramai 107 bersetuju beliau digantung, manakala 77 ahli parlimen membantah dan seorang lagi berkecuali.

Usul kerajaan untuk menggantung wakil veteran dewan itu dibuat mengikut peraturan 27(3) Peraturan Tetap yang dibacakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said.

Sewaktu menyampai ucapan terakhirnya, Lim menegaskan bahawa beliau tidak berniat untuk menghina Pandikar apatah lagi beliau cukup berpengalaman dengan lebih 40 tahun sebagai anggota parlimen.

Beliau turut menyifatkan dirinya sebagai "mangsa terbaru" daripada membahaskan dakwaan skandal 1MDB seperti mana nasib yang dialami oleh beberapa pemimpin BN yang mempertikai isu itu.

SPRM: Kami tak nafi rajah aliran dana ke akaun PM

Posted: 22 Oct 2015 01:58 AM PDT

MALAYSIAKINI


 


Suruhajaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata mereka tidak menafikan keaslian rajah aliran dana ke akaun perdana menteri, seperti didakwa bekas anak syarikat 1MDB, SRC International.

"Perkara di atas adalah tidak benar kerana dalam kenyataan media bertarikh 3 Ogos 2015, SPRM tidak mengeluarkan kenyataan berkenaan dengan isu draf kertas pertuduhan dan fund flows diagram seperti yang disebutkan oleh SRC International," kata pengarah siasatannya Datuk Azam Baki.

Suruhanjaya itu seterusnya mengingatkan SRC International atau mana-mana pihak "jangan sama sekali mengaitkan nama SPRM dalam kenyataan media".

Ini kerana, kata Azam, tindakan sedemikian boleh mengelirukan orang ramai.

Bernama semalam melaporkan SRC meminta Jabatan Peguam Negara menjalankan siasatan terhadap dakwaan kertas pertuduhan yang disiarkan Sarawak Report, blog yang kini diharamkan di Malaysia, serta rajah aliran dana yang diterbitkan sebuah media atas talian.


"Kami mahu mereka yang bertanggungjawab terhadap pemalsuan ini dikenal pasti, berikutan keasliannya telah dinafikan oleh SPRM pada 3 Ogos 2015," menurut kenyataan SRC.

Dalam kenyataan hari ini, SPRM memaklumkan sekali lagi bahawa kes SRC International masih berjalan dan mahu syarikat itu membantu melengkapkan siasatan.

SPRM juga meminta SRC mengarahkan dua individu Nik Faisal Ariff Kamil dan Datuk Suboh Md Yassin tampil memberi keterangan jika masih berkhidmat dengan mereka.

PAS ketepi perbezaan, undi tolak usul gantung Lim

Posted: 22 Oct 2015 01:55 AM PDT

MALAYSIAKINI


 


PAS hari ini mengketepikan pergeserannya dengan DAP dan bersatu bersama pembangkang dalam undian menentang usul penggantungan Ahli Parlimen Gelang Patah Lim Kit Siang dari Parlimen.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, semua ahli PAS yang hadir hari ini mengundi menentang usul menggantung Lim.

"Prosiding hari ini adalah salah dari segi fakta dan undang-undang. Atas dasar itu, kami (wakil rakyat PAS) yang ada dalam Dewan hari ini menyokong menolak usul penggantungan itu.

"Bagi kami isu besar sekali adalah isu negara, bukan penghinaan," katanya pada sidang media di lobi Parlimen bersama-sama dengan semua pembangkang.

Antara wakil rakyat PAS yang hadir adalah Ahli Parlimen Bukit Gantang Idris Ahmad dan Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar.

Turut bersama adalah bekas ahli parlimen PAS yang kini menganggotai AMANAH seperti Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad, Ahli Parlimen Sepang Hanipa Maidin dan Ahli Parlimen Parit Buntar Datuk Mujahid Yusof Rawa.

Penyertaan PLKN 2.0 secara sukarela

Posted: 22 Oct 2015 01:52 AM PDT

PLKN
Hishammuddin dan Khairy Jamaluddin bersama alumni pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) pada majlis perasmian Makmal Tranformasi PLKN di Putrajaya. - Foto Bernama
 
 
KUALA LUMPUR - Penyertaan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) secara sukarela dijangka dilaksanakan menjelang 2019.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, ia dibuat berdasarkan sambutan menggalakkan yang diterima dalam projek perintis sekarang.

"Dalam projek perintis, 75 peratus pelatih adalah penyertaan secara sukarela oleh peserta melalui online," katanya pada sidang media di lobi Parlimen, semalam.

Menurutnya, kementerian sedang meyakinkan semua pihak termasuk ibu bapa, pelatih dan operator kem dalam usaha menjalankan penyertaan pelatih secara sukarela.

"Kita lakukan secara berperingkat dan saya percaya lama-kelamaan mereka akan yakin dan percaya dengan manfaat yang akan diperoleh dengan menyertai program ini. Ia mengambil masa," katanya.

Projek Perintis Transformasi Program Khidmat Latihan Negara (PLKN) 2.0  yang diadakan di Kem Princess Haliza, Sepang bermula 17 Oktober lalu melibatkan 410 pelatih.

Pelatih projek itu diuji dengan  keberkesanan kedua-dua fasa dalam PLKN iaitu iaitu Fasa 1 Model Pembelajaran Bersepadu dan Fasa 2 Latihan Kemahiran.

PLKN dijadualkan dilaksanakan semula pada 18 Januari 2016 selepas ditangguhkan pada tahun ini.


[ARTIKEL BERKAITAN: PLKN 2.0 mula Januari, tak akan ditangguh]

Baru-baru ini, Hishammuddin mengumumkan PLKN 2.0 akan memperkenalkan lapan modul baharu, selain dilaksanakan dengan mengguna pakai konsep pengambilan secara sukarela.

Menjawab soalan Tan Sri Annuar Musa (BN-Ketereh), Hishammuddin berkata, landskap ekonomi semasa menjadi cabaran kementerian dalam mempertahankan pelaksanaan program PLKN 2.0.

Katanya, dalam mendepani cabaran itu, kementerian melaksanakan kerjasama rapat dengan 20 kementerian dan agensi lain untuk mendapatkan input yang boleh disalurkan kepada PLKN tanpa menjejaskan peruntukan induk kementerian dan agensi terbabit.

"Antaranya kita melihat apa-apa infrastruktur sedia ada di kementerian dan agensi untuk diguna pakai.

"Melalui kerjasama itu juga kita boleh memberi peluang kepada peserta PLKN yang tidak mendapat peluang ke institusi pengajian tinggi mengikuti pendidikan vokasional dan teknikal melalui institusi kemahiran di bawah kementerian yang mempunyai matlamat sama," katanya.

"Saya percaya, PLKN 2.0 merupakan transformasi terbaik dan kita sedang melihatnya dengan konteks penjimatan dalam keadaan ekonomi hari ini," katanya.

Cari formula ganti baiah taklik

Posted: 22 Oct 2015 01:49 AM PDT

Abdul Fattah Harun
Abdul Fattah Harun


KOTA BHARU - Pas perlu mencari formula baharu untuk memastikan wakil rakyat di negeri ini terus istiqamah kepada parti sekiranya cadangan mansuh baiah taklik dilaksanakan.

Veteran Pas, Abdul Fattah Harun berkata, selain bersetuju cadangan presiden parti, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mempertimbangkan untuk memansuhkan baiah itu, formula baharu tersebut wajar dilaksanakan pada PRU14 nanti.

"Bagi saya patut buang taklik kerana sepatutnya Pas kena yakin, khususnya calon wakil rakyat nanti adalah yang kuat akidahnya, jadi kalau tidak ada taklik pun mereka tidak mudah lompat parti.

"Sepatutnya sudah tidak ada (taklik), dan Pas (perlu) menanam akidah yang tinggi terhadap kepimpinan termasuk calon-calon wakil rakyat supaya terus setia dengan kita (Pas)," katanya kepada Sinar Harian.

Tidak bermaksud meragui kesetiaan jemaah parti itu, namun beliau selaku Yang Dipertua Pas Rantau Panjang melihat, sudah sampai masanya sesuatu dilakukan sesuai dengan keadaan semasa.

"Mungkin juga merasakan ada tekanan, Pas juga agaknya memerhati ramai masyarakat tidak bersetuju dengan taklik sehingga menimbulkan polemik dalam rumah tangga yang dikaitkan dengan agama dan tidak mahu dilihat kejam," katanya.

Pas katanya sudah kuat di Kelantan dan kemungkinan dengan keyakinan itu jugalah membolehkan taklik talak tiga dalam lafaz baiah dimansuhkan di negeri Serambi Makkah ini.


Kurang BR1M helah halalkan kadar tol naik?

Posted: 22 Oct 2015 01:46 AM PDT

Tol


SHAH ALAM – Kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa kerajaan tiada pilihan selain menaikkan kadar tol jika tidak kadar pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) mungkin terpaksa dikurangkan sebagai satu cubaan menghalalkan tindakan syarikat konsesi.

 Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sosial, Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Dr Jeniri Amir berkata, Najib perlu menyedari situasi bahawa tidak semua rakyat di negara ini adalah pengguna jalan bertol dan tidak semua merupakan penerima BR1M.

"Itu (kenyataan Najib) sudah tentu langkah terbaik untuk perdana menteri memberi justifikasi kenapa tol harus dinaikkan tapi perlu diingat bahawa tidak semua orang menggunakan tol dan tidak semua orang menerima BR1M. Jadi, itu alasan dan justifikasi yang diberikan oleh beliau untuk menghalalkan langkah atau tindakan yang telah diambil oleh pemegang konsesi terbabit.

"Tapi masalahnya, jika kerajaan tidak tangani, kemungkinan syarikat dan kerajaan akan berhadapan masalah besar. Jadi, harus dicari jalan terbaik untuk jangka masa panjang supaya tidak membebankan kerajaan, syarikat dan rakyat," katanya kepada Sinar Online.

Ahad lalu, berucap pada perasmian Persidangan Perwakilan Nasional ke-44 Parti Gerakan, Najib berkata, jika kadar tol tidak dinaikkan, pampasan perlu dibayar.

[ARTIKEL BERKAITAN: Jika tol tidak naik, BR1M akan berkurang]

"Kita terpaksa meningkatkan kos. Kita tiada pilihan. Jikalau tidak naik, pampasan perlu dibayar. Perjanjian tol ditandatangani 20 tahun lalu di mana jika tiada kenaikan kadar tol, kita perlu membayar pampasan. Jadi apabila kita membayar pampasan, peruntukan untuk perkara lain juga berkurangan. Kurang duit untuk BR1M.

"Gerakan mahu saya meningkatkan harga BR1M. Namun anda perlu pilih, yang mana satu anda mahu kerana kita ada peruntukan yang terhad," katanya.

Sementara itu, Dr Jeniri beranggapan bahawa kenyataan Najib itu boleh dikatakan menaikkan suhu kemarahan rakyat yang sedang tertekan dengan isu kos sara hidup.

"Sudah tentu kenyataan ini... harus diakui bahawa kenyataan ini tidak diterima rakyat begitu sahaja. Mereka begitu kritikal lebih-lebih lagi dalam membabitkan unsur-unsur sensitif, soal sara hidup, GST, harga rumah dan sebagainya.

"Nak dikatakan kenyataan itu menaikkan suhu kemarahan rakyat, mungkin juga ya," katanya.

Beliau juga sempat menasihati menteri di Kabinet agar berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan bersabit isu-isu rakyat kerana rakyat hari ini lebih pandai daripada sesetengah menteri.

"Menteri bukan sahaja harus dan perlu berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan, tapi juga harus mengeluarkan kenyataan yang bijak dan berpijak di bumi yang nyata. Bukan kenyataan yang dilihat hanya sedap dilepaskan kerana rakyat sekarang bukan sahaja lebih bijak daripada sesetengah menteri, tapi mereka juga tahu apa yang berlaku.

"Jadi, untuk tidak menjejaskan reputasi dan imej menteri serta kerajaan, Kabinet bukan sahaja harus dilihat bijak, tapi perlu sangat berhati-hati memilih kata-kata dan mengungkapkan buah fikiran mereka dengan ayat yang betul," katanya.


Kit Siang ucap ‘bye’ sebelum keluar dewan

Posted: 22 Oct 2015 01:43 AM PDT

Lim Kit Siang
Lim Kit Siang


KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang sempat melambai kepada ahli Parlimen BN sebelum meninggalkan sidang Dewan Rakyat selepas disahkan digantung selama enam bulan.

"OK, 'bye-bye'," katanya.

Perkara itu diputuskan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Seri Dr Ronald Kiandee setelah usul penggantungan beliau dibuat oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said sebentar tadi.

"Hasil undian ahli Parlimen 107 sokong berbalas 77 mengenai usul ini," katanya.

[ARTIKEL BERKAITAN: Kit Siang hanya ada masa hingga 11.30 pagi ini]


Pengurus akaun didakwa keluar wang Pengasas D'Herb

Posted: 22 Oct 2015 01:40 AM PDT

SINAR HARIAN


Aliff Syukri
Aliff Syukri


KUALA LUMPUR - Seorang pengurus akaun hari ini didakwa atas tiga pertuduhan mengeluarkan wang tunai dari akaun bank milik pengasas produk kecantikan dan kesihatan D'Herbs, Datuk Aliff Syukri Kamarzaman.
  
Hasliani Hashim, 36, yang bekerja di syarikat itu, mengaku tidak bersalah atas kesemua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Mohamad Firdaus Sadina Ali.
  
Wanita itu didakwa di Mahkamah Majistret Ampang mengeluarkan wang tunai melalui tiga transaksi menggunakan kad ATM Al Rajhi Bank milik Aliff Syukri, 28, berjumlah RM4,500, tanpa kuasa daripadanya.
  
Dia didakwa melakukan ketiga-tiga kesalahan itu di Mesin ATM Al Rajhi, Setia City Mall, Setia Alam, di sini pada pukul 2.27 petang, pukul 2.28 petang dan pukul 2.29 petang, 30 Julai lepas.
  
Bagi kesemua tuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 4(1) Akta Jenayah Komputer 1997 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM150,000 atau penjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Goh Ai Rene menawarkan wang jaminan RM5,000 bagi setiap pertuduhan dan memohon mahkamah menetapkan syarat tambahan iaitu tertuduh perlu menyerahkan passport kepada mahkamah.
  
Peguam MK Thas yang mewakili tertuduh memohon mahkamah mengurangkan wang jaminan dengan alasan tertuduh mempunyai empat orang anak dengan yang bongsu masih menyusu badan.
  
"Penjamin juga adalah suami tertuduh dan beliau bersedia memastikan isterinya hadir ke mahkamah pada setiap kali sebutan dan sekiranya syarat tambahan perlu dipertimbangkan, saya percaya syarat ini boleh dijadikan faktor bagi mengurangkan wang jaminan," hujahnya.
  
Majistret Mohamad Firdaus membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin dan menetapkan dua syarat tambahan iaitu tertuduh perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran dan menyerahkan passport kepada mahkamah sehingga kes itu selesai.
  
Mahkamah menetapkan 16 November depan untuk sebutan semula kes. - Bernama


Najib janji tindakan paling keras jika siasatan 1MDB dedah wujud salah laku

Posted: 21 Oct 2015 05:11 PM PDT

MALAYSIAKINI


 


Datuk Seri Najib Tun Razak berjanji mengambil "tindakan paling keras" terhadap mereka yang bertanggungjawab jika siasatan 1MDB mendedahkan wujud salah laku.

Perdana menteri berkata 1MDB berdepan tempoh yang sangat mencabar namun "langkah-langkah konkrit" sedang diambil untuk menangani keadaan.

Berucap merasmikan Forum Transformasi Global, atau GTF 2015 yang pertama kali diadakan di KLCC di ibunegara semalam, beliau berkata 1MDB melaksanakan pelan rasionalisasi yang, jika dibiarkan berterusan tanpa halangan, akan membolehkan syarikat itu membayar balik hutang terkumpul dan menyelesaikan "isu-isu aliran tunai" yang dihadapinya.

"Dari segi dakwaan salah laku, terdapat beberapa penyiasatan, sesetengahnya di Malaysia - yang saya sendiri arahkan - dan yang lain dengan pihak berkuasa antarabangsa yang saya alu-alukan," kata Najib.

"Daripada menjalankan perbicaraan oleh media, kita mesti menunggu hasil siasatan, dan jika didapati sebarang bukti salah laku, saya boleh memberi jaminan bahawa tindakan yang paling keras akan diambil terhadap mereka yang bertanggungjawab," katanya.

Sambil merujuk kepada teras forum tersebut, Najib berkata, Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu) di Jabatan Perdana Menteri, telah menarik minat negara-negara lain dan mendapat pengiktirafan badan-badan antarabangsa yang terkemuka bagi metodologinya dalam membawa transformasi negara.

"Kita telah menerima banyak penghargaan untuk kerja-kerja yang kita lakukan. Tahun lepas sahaja Bloomberg dan Nesta UK - National Endowment for Science, Technology and the Arts - menamakan Pemandu sebagai satu daripada 20 pasukan inovasi kerajaan dalam dunia.

"Ketua Pegawai Eksekutif Pemandu Datuk Seri Idris Jala dapat menyertai senarai 50 pembuat dasar teratas Bloomberg. Institusi yang dihormati seperti Harvard dan Princeton, dan juga Bank Dunia, telah melakukan kajian kes yang ekstensif terhadap usaha Pemandu," kata perdana menteri.

Najib berkata, pasukan Pemandu itu menyertai perbincangan intensif dengan kakitangan dari beberapa negara mengenai bagaimana mereka boleh menerima pakai metodologi transformasi Malaysia.

Forum tiga hari itu dianjurkan oleh Big Fast Results Institute Malaysia dengan kerjasama Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa Bersatu UNDP.

GTF akan menjadi platform bagi pemegang taruh global untuk berkongsi pengalaman dan amalan terbaik, dan untuk membangunkan satu keazaman transformasi untuk menangani isu-isu utama sosio-ekonomi.
- Bernama


Sedia peti sejuk kalau orang nak sedekah makanan

Posted: 21 Oct 2015 05:08 PM PDT

SINAR HARIAN


 Masjid Alwi
Masjid Alwi, Kangar. Foto: itc.gov.my
 
 
KANGAR - Masjid Alwi di sini menyediakan dua buah peti sejuk untuk orang ramai menghantar makanan.
  
Peti sejuk itu diletak di tangga luar dewan solat lelaki dan dewan solat wanita bagi memudahkan orang ramai menyimpan makanan untuk orang lain yang memerlukannya.
  
"Mungkin ada musafir yang singgah untuk bersolat atau berehat di masjid ini dalam keadaan kelaparan atau terputus wang untuk membeli makanan, maka mereka boleh mengambil makanan yang terdapat di dalam peti sejuk itu," kata Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainal Abidin yang juga penasihat masjid berkenaan.
  
Beliau memberitahu perkara itu pada majlis taskirah mingguan masjid itu malam tadi.
  
"Cara yang boleh dilakukan ialah dengan orang ramai menghantar makanan berlebihan ke masjid ini dan memasukkannya ke dalam dua buah peti sejuk yang disediakan oleh pihak pengurusan masjid," katanya.
  
Namun Mohd Asri berharap makanan yang hendak disumbang perlu masih elok dan segar untuk dimakan sama ada berupa makanan yang dimasak, buah-buahan, kek atau kuih-muih.
  
Dua peti sejuk itu didapati sudah diisi dengan makanan sejak diletakkan beberapa hari lepas. - Bernama


Sabah, Sarawak masih ketinggalan, ujar pembangkang

Posted: 21 Oct 2015 05:04 PM PDT

Sabah, Sarawak masih ketinggalan, ujar pembangkang


KUALA LUMPUR -  Meskipun memiliki capaian tinggi terhadap hasil sumber asli, Sabah dan Sarawak didakwa masih lagi ketinggalan hampir kesemua petunjuk kemajuan.

Pakatan Harapan dalam Belanjawan Alternatifnya berkata, jurang antara Sabah Sarawak dan Semenanjung semakin melebar meskipun pelbagai peruntukan diberikan oleh kerajaan.

"Saban tahun, dalam belanjawan Persekutuan pelbagai rancangan dan peruntukan diberikan namun jurang itu masih wujud," katanya.

Justeru, di dalam Belanjawan Alternatif, Pakatan Harapan mencadangkan mewujudkan tabung pembiayaan sumber bagi kedua negeri itu.

"Permintaan 20 peratus royalti minyak dan gas akan menjadi kenyataan di bawah kerajaan Pakatan Harapan.

"Kami akan asingkan 20 peratus royalti untuk menubuhkan tabung sumber bermodelkan Alaskan Permanent Fund dan Norwegeian Persion Fund," katanya.

Dalam belanjawan Alternatif itu juga mencadangkan untuk membatalkan projek kereta api laju dari Kuala Lumpur ke Singapura.

"Dana RM35 bilion tersebut akan digunakan untuk membina jaringan pengangkutan kereta api antara Kuching ke Tawau.

" ini akan meningkatkan  jaringan antara bandar dan akhirnya menjana impak berganda kepada pembangunan ekonomi," katanya.

Selain itu, Pakatan Harapan turut mencadangkan penubuhan dana biasiswa untuk pelajar cemerlang di Malaysia Timur itu untuk belajar di universiti ternama di dalam dan luar negeri dengan syarat perlu pulang selepas menamatkan pengajian.

"Cadangan ini akan memberangsangkan pembangunan modal insan di Sabah dan Sarawak pada masa sama dapat menangani kes pelajar tidak pulang sebaik sahaja tamat pengajian," katanya.


Pakatan Harapan pun tak akan mansuh GST tapi...

Posted: 21 Oct 2015 05:00 PM PDT

Rafizi Ramli
Rafizi Ramli - Foto Sinar Harian 
 
 
SHAH ALAM - Membatalkan akta cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang dilihat membebankan, mengurangkan pendapatan boleh belanja dan lain-lain yang tidak membantu ekonomi, bukan satu tindakan yang cerdik.

Hal ini kerana menurut Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli, ‎semua sistem perakaunan, latihan, perbelanjaan mematuhi syarat GST yang telah dibelanjakan oleh semua syarikat  termasuk kerajaan akan menyebabkan kerugian.

"Jika pakatan membatalkan akta GST untuk elakkan rakyat bayar cukai, itu nampak tidak cerdik kerana perbelanjaan RM5 billion yang dibelanjakan oleh syarikat-syarikat dan kerajaan untuk pematuhan kos  ini adalah  sia-sia," katanya.

[ARTIKEL BERKAITAN: ‎Bajet alternatif pembangkang jimat RM30b]

Justeru katanya, langkah terbaik untuk memastikan rakyat tidak terbeban dengan GST ialah menjadikan GST itu pada kadar sifar.

"Bila kadar GST sifar, maka samalah seperti rakyat tidak membayar GST, tetapi syarikat boleh terus menggunakan sistem perakaunan.

"Sebab itu kerana kita hendak kurangkan beban kepada semua, cara terbaik ialah dengan mengenakan kadar sifar," katanya dalam satu kenyataan.

‎Belanjawan Alternatif Pakatan Harapan 2016 yang dibentangkan hari ini mencadangkan kadar sifar bagi cukai itu.

Belanjawan alternatif itu menyatakan kadar sifar GST boleh diseimbangkan menerusi penjimatan menerusi membasmi pembaziran dan rasuah.

Pakatan pembangkang itu berkata, meskipun pelaksanaan kadar sifar GST bermakna kehilangan pendapatan sebanyak RM16 bilion, namun ia tidak akan memberi kesan kepada kedudukan fiskal secara keseluruhan terhadap kerajaan.


Projek pasir: Bekas pengarah antara 2 akan didakwa

Posted: 21 Oct 2015 04:56 PM PDT

Simi Abdul Ghani
Simi Abdul Ghani


SHAH ALAM - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dijangka mendakwa seorang bekas pengarah agensi kerajaan berhubung kesalahan mengambil rasuah bagi melaksanakan kerja-kerja perlombongan pasir di Selangor sejak tahun lalu.

Difahamkan individu itu akan didakwa bersama seorang kakitangan yang masih berkhidmat. Kedua-dua mereka berusia antara awal 40-an dan 60 tahun.

Pengarah SPRM Selangor, Datuk Simi Abdul Ghani mengesahkan pihaknya telah melengkapkan siasatan.

"Siasatan sudah selesai. Kita akan dakwa dalam waktu terdekat," kata beliau tanpa mengulas lanjut.

Kes ini merupakan antara kes berprofil tinggi disiasat SPRM Selangor.

Ini pertuduhan pertama melibatkan penjawat awam pertama berkaitan isu pasir di Selangor.

Bagaimanapun difahamkan bahawa suapan yang diterima dalam bentuk wang dan kemudahan penginapan adalah sebagai dorongan untuk mendapatkan projek atau kerja-kerja tersebut yang melibatkan agensi kerajaan terbabit.

Kesalahan meminta rasuah membabitkan mereka dipercayai berlaku di Selangor, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan.

Menurut laporan media Jun lalu, seorang bekas pengarah berpangkat datuk, bersama seorang lagi pegawai agensi dia berkhidmat ditahan oleh SPRM.

Mereka ditahan reman selama tujuh hari kerana didakwa meminta rasuah sebanyak RM250,000.

Mereka ditahan oleh SPRM disebuah hotel lima bintang berdekatan Port Dickson.


32 kawasan kekal IPU tidak sihat

Posted: 21 Oct 2015 04:54 PM PDT

SINAR HARIAN



Jerebu
Gambar hiasan.


KUALA LUMPUR - Sebanyak 32 kawasan kekal mencatat bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat sejak pukul 6 petang hingga 10 malam tadi.
  
Menurut laporan Jabatan Alam Sekitar (JAS), sehingga 10 malam, Kangar merekodkan bacaan tertinggi iaitu 188.
   
Kawasan lain yang mencatatkan bacaan tidak sihat adalah Seberang Jaya 2 dan Universiti Sains Malaysia (USM)  dengan 187, Pelabuhan Klang (186) dan Langkawi (181), Bakar Arang, Sg Petani (177), Alor Setar (174), Seri Manjung (173), SK Jalan Pegoh (170).
  
Sri Aman (165), Perai dan Putrajaya masing-masing dengan bacaan (157), Batu Muda (155), Jalan Tasek (156), Tanjong Malim (136), Samarahan (132) dan Kuching (131).
  
Sebanyak 20 lagi kawasan berada pada tahap sederhana.
  
Tiada bacaan IPU untuk kategori baik dan sangat tidak sihat direkodkan setakat ini.
  
Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategori sebagai baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (bahaya).
  
Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh layari portal http://apims.doe.gov.my untuk mengetahui bacaan IPU semasa. - Bernama


Jerebu, antara bala dan iltizam politik

Posted: 21 Oct 2015 04:51 PM PDT




Oleh CORETAN MARHAEN


HARI ini untuk ke sekian kalinya semua sekolah di Me­laka, Negeri Sembilan, Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya serta daerah Kuching dan Samarahan di Sarawak di samping daerah Tawau, Lahad Datu, Semporna dan Kunak di Sabah terpaksa ditutup gara-gara jerebu.

Selepas ditutup semalam, arahan penutupan terpaksa di­sambung hari ini selepas bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di kawasan terbabit masih merekodkan tahap Tidak Sihat.

Turut menyertai arahan penutupan sekolah hari ini adalah di daerah Muar, Ledang dan Segamat di Johor.

Ekoran penutupan 3,029 buah sekolah yang terlibat, ini bermakna seramai 1,909,842 orang murid di negeri dan daerah tersebut tidak perlu pergi ke sekolah.

Walaupun calon Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan Sijil Pelajaran Vokasional Malaysia (SPVM) masih perlu ke sekolah menduduki peperiksaan berkenaan, mereka terpaksa memakai topeng muka.

Di sesetengah sekolah yang sedang menjalankan peperiksaan akhir tahun pula, peperiksaan terpaksa ditangguhkan. Jadual peperiksaan dan persekolahan mereka akan berubah.

Ada sekolah yang sudah merancang mengadakan majlis penyampaian anugerah kecemerlangan akademik pelajar seperti Sekolah Menengah Seksyen 7 di Shah Alam, Selangor, semalam terpaksa menangguhkan keesokan harinya iaitu hari ini. Malangnya hari ini pun sekolah ditutup, dan majlis itu terpaksa ditangguhkan lagi.

Bagi pihak sekolah yang sudah merancang program pemantapan pelajar yang bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dengan menjemput penceramah luar, arahan penutupan terpaksa 'dilanggar' demi anak-anak yang akan mula menghadap kertas peperiksaan itu 2 November ini. Program diteruskan untuk mereka di dalam bilik mesyuarat dan surau yang ada pendingin hawa.

Pokoknya jerebu membuatkan jadual harian kita huru-hara. Sesi persekolahan terganggu. Program yang dirancang tergendala.

Guru-guru pening kepala memikirkan silibus yang mungkin belum habis, atau peperiksaan akhir tahun yang terpaksa dijadualkan semula.

Bagi ibu bapa lebih sejuta murid dan pelajar yang terlibat dengan arahan penutupan sekolah gara-gara jerebu ini pun ikut pusing dan pening kepala.

Apa tidaknya, rutin harian yang teratur selama ini menjadi cacamarba jadinya.

Tidak apa jika salah seorang daripada pasangan suami isteri tidak bekerja atau menjadi suri rumah sepenuh masa. Tidak apa juga jika ada amah sepanjang masa di rumah. Jadi tidak perlu risau meninggalkan anak yang 'direhatkan' kerana penutupan sekolah ini di rumah.

Tetapi bagaimana jika kedua-dua ibu bapa bekerja? Tempoh waktu dari 7.30 pagi hingga 2 petang setiap hari Isnin hingga Khamis manakala Jumaat sehingga 12.30 tengah hari, anak-anak ini selalunya berada di sekolah. Sekarang hendak diletak di mana?

Ibu bapa bekerja selama ini dapat bekerja dengan tenang dan selesa. Maklumlah anak-anak di sekolah, ada cikgu yang menjaga.

Namun jerebu me­ngacau rutin harian mereka. Ke mana pula hendak 'ditinggalkan' anak-anak ini sementara mereka pergi be­kerja?

Kalau yang sudah bersekolah menengah, boleh tahan lagilah. Tetapi bagaimana pula yang bersekolah rendah atau masih prasekolah? Satu masalah pula dibuatnya.

Kalau ibu bapa 'bos' di syarikat sendiri, tentu tidak ada masalah untuk membawa anak-anak ke pejabat.

Tetapi bagaimana pula yang bukan bos, lebih-lebih lagi yang persekitaran tempat kerjanya cukup rigid dengan peraturan ketat. Orang yang kerja bank, penguat kuasa, doktor, peguam dan sebagainya.

Sekali lagi hakikatnya jerebu mengganggu kehidupan seharian kita rakyat Malaysia.

Bukan sahaja kualiti udara untuk kita bernafas terjejas, kualiti kehidupan kita juga turut sama menerima impaknya.

Apabila kualiti kehidupan sudah terganggu dan terjejas kesannya kelak sudah pasti tali-temali. Tahap kesihatan penduduk di kawasan terjejas jerebu pasti merosot, ramai yang akan mengambil cuti sakit (MC) termasuk yang tidak ada orang untuk menjaga anak yang 'dicutikan' daripada bersekolah. Akhirnya produktiviti turut terjejas.

Bukan sahaja produktiviti guru yang terganggu jadual pengajarannya, bahkan murid dan pelajar yang terbantut pembelajaran dan tumpuan mereka, begitu juga ibu bapa yang tergendala rutin harian, seterusnya organisasi terlibat dan akhirnya negara pasti menerima tempiasnya.

Malangnya jerebu yang 'dihantar' oleh negara jiran Indonesia terus bermaharajalela dan tidak tahu sampai bila akan lenyapnya.

Berita terbaru dari seberang, masalah pembakaran terbuka ladang-ladang di Sumatera yang menjadi punca utama jerebu telah merebak ke kawasan baharu. Akibatnya angin monsun yang diharapkan untuk meniup pergi jerebu ke lautan tidak berupaya memindahkan masalah yang menyelubungi la­ngit dan atmosfera kita. Fenomena El-Nino atau cuaca panas kering yang bakal menyusul Disember depan pula dijangka memburukkan lagi keadaan.

Jika kebakaran di Sumatera dan wilayah Kalimantan masih lagi tidak berjaya dipadamkan, bayangkan keadaannya apabila El-Nino melanda. Pasti sahaja umpama api dalam sekam, baranya akan membesar dan membakar lebih banyak ladang dan hutan. Dan kita di Malaysia akan terus bernafas dalam asap jerebu.

Seorang ustaz mengatakan ini bala daripada Tuhan dan menyarankan agar kita berdoa untuk mengenyahkan bala ini.

Sementara tidak salah, bahkan mungkin elok kita berdoa mengharapkan perlindungan-Nya, doa sahaja tentu tidak cukup untuk memadamkan kebakaran dan menghapuskan jerebu dari langit negara-negara Asia Tenggara.

Suatu tindakan drastik, bersepadu dan tegas perlu diambil dan digerakkan oleh negara anggota ASEAN untuk mengatasi masalah ini.

Jangan berdolak-dalih dan bertangguh-tangguh lagi.

Oleh kerana tangan-tangan manusialah yang menjadi punca musibah ini, manusia jugalah yang perlu menangani­nya.

Seorang wak dari Indonesia yang sudah lama bekerja di restoran mamak popular di kawasan tempat tinggal penulis di Shah Alam, ketika ditanya tentang jerebu pantas menjawab: "Ah! Ini semua politik."

Sementara penulis sama sekali tidak percaya yang jerebu berpunca daripada politik sebaliknya kedangkalan manusia terhadap alam sekitar, penulis yakin dan percaya krisis je­rebu hanya dapat diselesaikan dengan iltizam politik.

Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2015 boleh memimpin dan menerajui negara-negara anggota untuk menamatkan krisis ini, once and for all. Platformnya sudah tersedia, hanya menunggu iltizam tanpa politiking. - www.utusan.com.my

Bajet 2016: Nilai BB1M Tidak Dikurangkan

Posted: 21 Oct 2015 04:43 PM PDT

MSTAR ONLINE
 
 
 
 
 
SHAH ALAM: Kementerian Pendidikan Tinggi menjangkakan insentif kerajaan kepada pelajar menerusi program Baucar Buku 1Malaysia (BB1M) tidak akan dikurangkan dalam Bajet 2016.

Menterinya Datuk Seri Idris Jusoh berkata sebaliknya, hanya sistem pengagihan BB1M akan ditambah baik berikutan kementeriannya mengesan terdapat beberapa pihak telah menyalahgunakan baucer itu sebelum ini.

"Sama ada nilai BB1M akan ditambah atau sebaliknya Perdana Menteri akan putuskan (dalam Bajet 2016) tetapi saya rasa tidak akan dikurangkan cuma sistem pengedaran baucer itu akan diubah," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Tadbir Urus 1 Universiti Teknologi Mara (UiTM) Multisistem di sini petang Rabu.

Turut hadir Pengerusi Lembaga Pengarah universiti itu, Tan Sri Dr Ahmad Zaidee Laidin dan Naib Canselornya Tan Sri Profesor Sahol Hamid Abu Bakar.

Dalam bajet sebelum ini, kerajaan memperuntukkan lebih RM325 juta menerusi program BB1M.

Idris dalam pada itu berharap agar sektor pendidikan tinggi akan terus diberi keutamaan dalam Bajet 2016 yang akan dibentangkan Jumaat ini.

"Kita harap (yang) terbaik kerana kita tahu bajet ini agak sukar untuk kerajaan dengan kejatuhan harga minyak, kejatuhan komoditi serta ekonomi yang agak tenat di seluruh dunia.

"Bagaimanapun apa dijanjikan Perdana Menteri beliau akan cuba yang terbaik," katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai ketiadaan arahan penangguhan kuliah di institusi pengajian tinggi berbanding sekolah yang diarah ditutup berikutan jerebu, Idris berkata situasi di kedua-dua institusi pendidikan itu adalah berbeza.

Beliau berkata sekolah menerima arahan daripada ketua pengarah pelajaran sementara pusat pengajian tinggi menerima arahan daripada naib canselor masing-masing.

"Universiti ada visi mereka sendiri dan kita telah beri kuasa pada setiap naib canselor untuk tentukan sama ada mereka boleh teruskan pengajian atau tidak.

"Bagaimanapun kita peka dengan perkara tersebut dan kita beritahu setiap naib canselor supaya tidak adakan aktiviti luar jika jerebu tinggi," katanya.

Mengulas mengenai pelancaran Tadbir Urus 1 UiTM Multisistem, beliau berkata ia merupakan sebahagian daripada Program Transformasi universiti itu bersandarkan konsep 3K iaitu Kesedaran, Kemahiran dan Komitmen.

Idris berkata tadbir urus baharu itu akan membawa lebih kecemerlangan dan kejayaan kepada UiTM yang mempunyai 13 kampus di seluruh negara. - BERNAMA

Azalina Buat 'Pusingan U', Hantar Semula Usul Gantung Kit Siang

Posted: 21 Oct 2015 04:39 PM PDT

Oleh: IZRA ABDUL RAHMAN

 
 
 

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said membuat 'pusingan U' apabila menyerahkan sekali lagi notis membentang usul menggantung Lim Kit Siang daripada menghadiri persidangan Dewan Rakyat.

Keputusan itu dibuat pada pukul 6 petang, Rabu, kira-kira satu jam selepas beliau menarik balik notis usul yang sama apabila diminta oleh Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia untuk berbuat demikian.

Pada masa yang sama, Pandikar turut menuntut Kit Siang memohon maaf dan menarik balik kenyataan yang dibuat terhadap dirinya, tetapi pemimpin veteran DAP itu melakukannya.

Penghantaran semula notis usul ini dimaklumkan kepada pemberita oleh Ahli Parlimen Subang, R Sivarasah sebaik sahaja sidang ditangguhkan, petang Rabu.

Terdahulu, Azalina mengedarkan pemberitahuan usul kepada ahli Dewan Rakyat sebagai tindakan untuk mempertahankan kemuliaan Dewan Rakyat dan menegakkan kebenaran bahawa Speaker hanya bertindak mengikut Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

"Menuduh Yang Dipertua Dewan Rakyat menyalahgunakan kuasa budi bicara beliau untuk 'sabotaj' siasatan 1MDB oleh Jawatankuasa Kira-Kira (PAC) diikuti tuduhan beliau adalah 'diktator' adalah satu tuduhan yang bersifat bukan sahaja menghina institusi perundangan tertinggi negara - Parlimen.

"Ini adalah satu tuduhan yang berat sekali gus menjejaskan nama baik Dewan Rakyat," kata Azalina, merujuk kepada tindakan Kit Siang terhadap Pandikar.

Azalina berkata Pandikar telah memberi masa sewajarnya untuk Kit Siang menjelaskan dan memohon maaf tetapi tiada tindakan susulan daripadanya.

"Kerajaan tiada pilihan lain selain membentangkan satu usul di bawah Peraturan Majlis Mesyuarat 27(3) untuk menggantung YB Gelang Patah," katanya.

Pada Isnin, Pandikar menuntut Kit Siang membuat permohonan maaf tanpa syarat susulan kenyataan menuduhnya menyalahgunakan kuasa speaker Dewan Rakyat dan cuba mensabotaj siasatan membabitkan syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Pandikar pada sesi perbahasan Dewan Rakyat pada hari pertama persidangan bermula itu berkata, sekiranya Kit Siang tidak membuat permohonan maaf dan menarik balik kenyataannya itu, tindakan boleh diambil terhadapnya.

BR1M Tidak Selesaikan Masalah Kos Sara Hidup Rakyat - Pemuda Umno Johor

Posted: 21 Oct 2015 04:36 PM PDT

MSTAR ONLINE
 
 
 
 
PETALING JAYA: Pergerakan Pemuda Umno Johor berpendapat Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang bersifat 'sekali beri' tidak menyelesaikan masalah kos sara hidup rakyat ketika ini.

Ketuanya, Hahasrin Hashim berkata, kerajaan sebaliknya perlu mewujudkan keseimbangan antara pemberian tunai dan subsidi yang selama ini diamalkan.

Jelas beliau, berikutan itu Pemuda Umno Johor berpendapat Bajet 2016 yang akan dibentangkan pada Jumaat ini dapat mendahulukan keperluan asas rakyat selain memperkukuhkan kembali ekonomi negara.

"Kerajaan boleh mengambil alternatif lain dalam membantu rakyat untuk menangani kos sara hidup dengan mengurangkan cukai–cukai dengan meneliti semula golongan yang paling terkesan.

"Pemuda Umno Johor juga berharap  kerajaan meneliti dan mengkaji sebaik-baiknya dalam merangka Bajet 2016, dengan mengutamakan keperluan rakyat khususnya anak muda yang kian tersepit dengan perubahan landskap ekonomi yang tidak menentu," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Hahasrin memberitahu, pihaknya menggesa kerajaan menyediakan program sosial yang komprehensif dan akses kepada kesihatan, pendidikan dan pekerjaan bagi golongan muda.

Menurut beliau, langkah drastik untuk menangani kesukaran memiliki rumah pertama perlu menjadi kutamaan dalam bajet kali ini.

"Permasalahan ini (membeli rumah) timbul disebabkan harganya yang melambung tinggi dan kesukaran bagi pembeli, khususnya golongan muda dalam mendapatkan kelulusan pinjaman.

"Kami mencadangkan supaya dalam bajet kali ini menggariskan semula syarat bagi memudahkan pemilikan rumah, menilai semula polisi kuota Bumiputera, meningkatkan bekalan rumah mampu milik, serta pengecualian Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) bagi rumah mampu milik atau hartanah kawalan," tegasnya.

Selain itu, Hahasrin memberitahu, pihaknya menyarankan kerajaan  memandang serius dalam merancang dan melaksanakan pelbagai aspek pembangunan usahawan khususnya industri mikro, kecil dan sederhana dalam mengurangkan kebergantungan negara terhadap eksport komoditi yang kian melambung.

Katanya, hal ini kerana keusahawanan merupakan sektor penting dalam memacu pertumbuhan ekonomi Malaysia ke arah sebuah negara berpendapatan tinggi.

Tiada ulasan: