Sabtu, 17 Oktober 2015

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


Tol Naik, Harga Barang di Malaysia Diberikan Amaran Menteri Jangan Naik Juga!

Posted: 17 Oct 2015 08:24 AM PDT

BERITA SEMASA


Tol Naik, Harga Barang di Malaysia Diberikan Amaran Menteri Jangan Naik Juga!

harga barang naik

Kenaikan tol naik bukan sahaja berikan satu bebanan rakyat Malaysia khususnya yang berulang-alik ke tempat kerja dari kediaman masing-masing apabila acapkali poket mereka bocor dan bocor setiap kali melalui deretan pondok kecil yang dipacakkan di tengah-tengah lebihraya.

Tetapi tol naik juga berikan kesengsaraan tambahan apabila pemborong dan peniaga yang terpaksa mengalami kos tambahan ketika penghantaran barang yang akhirnya bebanan tersebut akan dipulangkan kepada end user iaitu anda, anda semua termasuklah kalangan kami Berita Semasa.
Tiba-tiba, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Hamzah Zainuddin tampil ke hadapan dengan berikan pesanan dan amaran kepada peniaga jangan gunakan alasan kenaikan tol naik untuk buatkan harga barang naik di Malaysia.

KLIK SINI : Kenaikan Harga Barang Naik 20%-30% Bermula 1 April 2015 Pelaksanaan Cukai GST Malaysia 6%. Survey Anda Pula?

 

Harga Barang Naik VS Tol Naik?

Alasan yang diberikan menteri adalah :
  • Bukan semua pengguna lori menggunakan tol yang disenaraikan dalam pengumuman kenaikan tol naik baru-baru ini
  • Peniaga tida sepatutnya naik harga barang dengan peratusan kenaikan tol naik
  • Tidak banyak loro yang menggunakan lebuhraya
P/S : Senang betul jadi menteri hari ini, boleh main berikan pesanan sahaja tanpa berfikir 2, 3 kali apa yang diungkapkan.

PP/S : Tol naik, kos harga barang tidak naik? Adakah peniaga, pemborong yang akan tanggung kenaikan kos penghantaran tersebut? Ermm…..




Kedudukan ahli Parlimen Pas berubah Isnin ini

Posted: 17 Oct 2015 08:19 AM PDT

MALAYSIAKINI


Dewan Rakyat
Dewan Rakyat
 
 
KUALA LUMPUR - Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-13 yang bersidang Isnin ini akan menyaksikan perubahan tempat duduk beberapa ahli Parlimen daripada Barisan Nasional (BN) dan pembangkang berikutan rentetan persitiwa dalam senario politik kebelakangan ini.

Kedudukan barisan ahli Parlimen Pas, yang diketuai presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang, kini telah berubah dari Blok I ke Blok G dan ada yang di Blok F.

Sebelum ini, semasa bersama dalam pakatan pembangkang, Abdul Hadi berserta beberapa pemimpin kanan parti itu diletakkan bersama dengan kepimpinan parti PKR dan DAP di Blok I, mengikut rajah tempat duduk ahli-ahli Dewan Rakyat yang dimuatkan dalam laman web Parlimen Malaysia www.parlimen.gov,my.

Tempat duduk Pas kini telah diisi oleh parti baharu, Parti Amanah Negara (Amanah), yang merupakan parti serpihan Pas, yang kini telah bergabung dengan PKR dan DAP dan menamakan gabungan mereka sebagai Pakatan Harapan.

Naib Pengerusi parti itu, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa (Amanah-Parit Buntar) kini duduk sebaris dengan Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, yang merupakan ketua pembangkang dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng (DAP-Bagan) di Blok I, iaitu di I-3. 

Turut berada dalam Blok I tersebut adalah ahli jawatankuasa parti itu Mohamed Hanipa Maidin (Amanah-Sepang), ahli jawatankuasanya Khalid Abd Samad (Amamah-Shah Alam), ketua wanitanya Siti Mariam Mahmud (Amanah-Kota Raja) dan Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad (Amanah-Kuala Terengganu).

Seorang lagi ahli parti itu iaitu ahli jawatankuasa parti itu, Dr Mohd Hatta Md Ramli (Amanah-Kuala Krai) ditempatkan di Blok H sebaris dengan Timbalan Pengerusi PKR, Mohamed Azmin Ali (PKR-Gombak), Timbalan Pengerusi DAP, Tan Kok Wai (DAP-Cheras) dan Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar (PKR-Lembah Pantai).

Pas kini hanya mempunyai 14 ahli Parlimen berbanding 21 sebelum ini.

Selain ahli Parlimen Pas yang menyertai Amanah, seorang lagi ahli Parlimen Pas dari Tumpat, Datuk Kamarudin Jaffar telah menyertai PKR pada 11 September lepas.

Sementara itu, ahli Parlimen DAP veteran, Dr Tan Seng Giaw kini telah dipindahkan ke Blok F. Sebelum ini, beliau adalah antara ahli Parlimen DAP yang ditempatkan bersama pemimpin kanan parti pembangkang di Blok I. 

Kedudukan tempat duduk ahli Parliamen dari Barisan Nasional (BN) di Dewan Rakyat turut berubah berikutan pengguguran lima anggota Parlimen BN daripada Kabinet pada rombakan 28 Julai lepas.

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Timbalan Perdana Menteri kini ditempatkan di barisan pertama Blok A sebelah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, manakala Muhyiddin diletakkan di barisan pertama Blok E, bersama Tengku Razaleigh Hamzah dan Tan Sri Joseph Pairin Kitingan.

Turut ditempatkan di Blok E ialah bekas menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, bekas presiden MIC dan bekas menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri G Palanivel, bekas menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hasan Malek dan bekas menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr Ewon Ebin.

Tempat Palanivel sebelum ini di Blok A, diganti oleh Presiden MIC baharu, Datuk Seri Dr S Subramaniam, yang juga Menteri Kesihatan. 

Sementara kedudukan kerusi barisan menteri yang baharu dilantik turut berubah termasuk Datuk Hamzah Zainudin (Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan) dan Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar (Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar).

Datuk Seri Mahdzir Khalid (Menteri Pendidikan), Datuk Wilfred Madius Tangau (Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi), Datuk Seri Azalina Othman Said (Menteri di Jabatan Perdana Menteri) dan Datuk Seri Ong Ka Chuan (Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri II).

Selain beberapa perubahan dengan pelantikan baru jawatan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed, Timbalan Menteri Luar, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Mas Ermieyati Samsudin.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Masir anak Kujat, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Johari Abdul Ghani dan Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Nogeh anak Gumbek.

Selain itu, muka baharu dalam Dewan Rakyat terdiri daripada Senator Datuk Seri Dr Mohd Salleh Tun Said Keruak yang dilantik sebagai Menteri Komunikasi dan Multimedia, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Senator Chong Sin Woon, Timbalan Menteri Pendidikan.

Persidangan Dewan Rakyat yang akan bermula Isnin ini akan berjalan selama 25 hari dijangka hangat dengan pembentangan Bajet 2016 pada Jumaat ini oleh Najib serta isu-isu semasa. 

Najib juga dijangka mengemukakan usul untuk menamakan Ahli Parlimen Rompin, Datuk Hasan Arifin sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) baharu bagi menggantikan Nur Jazlan yang telah dilantik sebagai Timbalan Menteri.

Dalam pada itu, laporan akhir persempadanan semula bahagian-bahagian Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak dijangka dibentangkan pada persidangan kali ini berikutan kemungkinan ia akan diadakan awal tahun depan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Shukri dipetik sebagai berkata pembentangan laporan itu bagi membolehkan 11 kerusi Dun yang baharu diwujudkan, mendapat kelulusan dan diwartakan, sekali gus menjadikan keseluruhannya 82 kerusi Dun dipertandingkan pada PRN Sarawak ke-11.

Dalam pada itu, lima rang undang-undang dijadual untuk dikemukakan bagi bacaan kali pertama iaitu Rang Undang-Undang Perbekalan 2016, Rang Undang-Undang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (Pindaan) 2015, Rang Undang-Undang Perbadanan Insuran Deposit Malaysia (Pindaan) 2015, Rang Undang-Undang Syarikat 2015 dan dan Rang Undang-Undang Skim Kepentingan 2015.

Empat lagi rang undang-undang yang dibawa dari mesyuarat lepas turut disenarai untuk dikemukakan bagi bacaan kali kedua iaitu Rang Undang-undang Keterangan (Pindaan) 2015, Rang Undang-undang Tatacara Jenayah (Pindaan) 2015, Rang Undang-undang Profesion Kesihatan Bersekutu 2015, Rang undang-undang Dadah Berbahaya (Pindaan) 2014. - Bernama


Sokongan pengundi kepada Najib terendah

Posted: 17 Oct 2015 08:16 AM PDT

MALAYSIAKINI


 


Satu kaji selidik menunjukkan kerajaan Datuk Seri Najib Razak tidak lagi mendapat sokongan rakyat - untuk kali pertama berlaku - lapor akhbar Straits Times (ST) Singapura.

Memetik keputusan kaji selidik Merdeka Center, akhbar itu melaporkan hanya 31 peratus pengundi Melayu berpuas hati terhadap kerajaan semasa.

Keputusan itu menunjukkan sokongan pengundi Melayu berkurangan di bawah 50 peratus untuk kali pertama sejak agensi berkenaan merekodkan data mengenainya pada Februari 2012.

Kemerosotan sokongan itu dilihat begitu drastik kerana pada Januari lalu tahap keyakinan di kalangan pengundi Melayu berada di paras 52 peratus.

Faktor demografi pula memainkan peranan penting kerana ia membentuk sokongan padu penyokong Umno yang membantu gabungan pemerintah terus berkuasa ketika parti lain dalam BN menunjukkan kelemahan.

Lapor ST, keputusan kajian itu dibentangkan kepada penganalisis sektor kewangan pada minggu lalu.

Sokongan keseluruhan terhadap kerajaan juga menurun kepada 23 peratus - tahap terburuk pernah dicatatkan sejak kaji selidik mengenainya mula dibuat Merdeka Center pada 2012.

Mengenai pengundi Cina pula, hanya lima peratus responden menyokong kerajaan berbanding 11 peratus pada Januari lalu.

Kaji selidik sama juga mendapati kemerosotan sokongan terhadap kerajaan kebanyakannya disebabkan oleh cara isu ekonomi ditangani.

Data dikumpul Merdeka Center menunjukkan hanya 17 peratus responden berpuas hati dengan cara kerajaan menguruskan ekonomi berbanding 78 peratus yang tidak berpuas hati.

Kaji selidik itu dijalankan di kalangan responden di Semenanjung Malaysia pada Ogos, sejurus selepas Najib menggugurkan Tan Sri Muhyiddin Yassin daripada tugasnya sebagai timbalan perdana menteri.

Menteri arah kaji Internet laju dengan harga mampu

Posted: 17 Oct 2015 08:06 AM PDT

MALAYSIAKINI


 


Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Mohd Salleh Said Keruak mengarahkan kementeriannya memuktamadkan kaedah terperinci untuk mempertingkatkan kelajuan Internet di samping mengambil kira kemampuan pengguna.

Arahan itu dibuat selepas kenyataannya sebelum ini bahawa rakyat Malaysia lebih gemar Internet perlahan tetapi murah, mengundang kritikan hebat.

"Saya minta kementerian saya beri penekanan khas dan tumpukan kepada pembangkang infrastruktur untuk memperluas penembusan Internet dan liputannya di seluruh Malaysia.

"Apabila infrastrukturnya dapat menampung, kita mungkin pertimbang tukar pakej awal kepada kelajuan lebih tinggi tanpa sebarang peningkatan kos untuk memastikan pengguna tetap mampu tetapi pada masa yang sama ditawarkan lebih kelajuan.

"Kementerian saya sedang meneliti perkara ini," tulisnya di blog hari ini.

Ketua parlimen DAP Lim Kit Siang bulan lalu berkata Salleh lebih berminat menjadi tukang propaganda kepada Datuk Seri Najib Razak daripada menumpukan kepada tugas meningkatkan had laju Internet.

Sebagai reaksi, Salleh berkata walaupun terdapat pakej Internet berkelajuan tinggi, ramai orang lebih gemar pada yang lebih perlahan kerana ia lebih murah.

Fastaqim ujian PAS tanpa Pakatan Rakyat

Posted: 17 Oct 2015 08:04 AM PDT

Zulaikha Zulkifli


 


Selepas BERSIH 4 pada Ogos, diikuti 'perhimpunan Baju Merah' pada September lalu, kini tiba giliran PAS mengadakan perhimpunan besar-besaran mereka.

Diberi nama Himpunan Fastaqim 60 ribu (H60K), ia diadakan di Stadium Sultan Muhammad IV di Kota Bharu, Kelantan.

PAS tidak menyertai BERSIH 4 yang diadakan pada 29 dan 30 Ogos lalu bagi menyatakan bantahan rakyat terhadap kerajaan, terutama mengenai isu skandal kewangan 1MDB dan dana RM2.6 bilion yang dimasukkan ke akaun persendirian Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Itu merupakan kali pertama PAS tidak menyertai perhimpunan BERSIH secara rasmi.

Parti itu memberitahu mereka tidak menyertai BERSIH 4 kerana ingin memberi fokus kepada H60K ini.

Himpunan yang menyasarkan kehadiran 60,000 penyokong PAS itu juga program besar-besaran pertama dianjurkan PAS selepas parti itu berdepan kemelut yang membawa kepada tertubuhnya Parti Amanah Negara (AMANAH).

AMANAH ditubuhkan oleh kumpulan progresif dalam PAS yang 'terkorban' dalam pemilihan perwakilan PAS pada Jun lalu.

Walaupun masih baru, AMANAH mendakwa mereka sudah menerima permohonan keahlian seramai 50,000 dan paling ramai adalah dari Kelantan iaitu 12,000 orang.

Doakan H60K berjaya

AMANAH - bersama PKR dan DAP kemudian membentuk gabuang baru pembangkang yang diberi nama Pakatan Harapan. Namun ia tidak disertai PAS.

Justeru, himpunan di Kota Bharu hari ini akan memberi makna yang besar kepada PAS apabila ia diadakan tanpa sokongan rasmi daripada mana-mana parti lain.

Sebelum ini ada ura-ura kumpulan Baju Merah diketuai Pengerusi Gerakan NGO Melayu Datuk Jamal Md Yunos akan menyertai H60K.

Namun apabila dihubungi Malaysiakini semalam, Jamal berkata penyertaan mereka dibatalkan di saat-saat akhir.

Alasannya, sehingga kini beliau tidak menerima manifesto yang menjelaskan tujuan perhimpunan itu diadakan PAS.

PERKASA benar ahli sertai
Di sebalik penolakan itu Jamal tetap mendoakan perhimpunan itu dilangsungkan dengan berjaya.

"Kami memang pada awalnya bercadang nak sertai perhimpunan tersebut tapi saya sehingga sekarang belum dapat melihat hala tuju perhimpunan tersebut.

"Walaupun tak hadirkan diri, saya doakan perhimpunan yang dikatakan untuk memartabatkan agama dan Melayu berjaya," katanya.

Sementara itu Presiden PERKASA Datuk Ibrahim Ali pula berkata pertubuhan berkenaan membenarkan ahlinya menyertai perhimpunan berkenaan.

"Ahli PERKASA Kelantan boleh menyertai acara itu atas kapasiti peribadi," katanya.

Perhimpunan hari ini dijadual diisi dengan aktiviti persembahan dan solat hajat sebelum acara kemuncak malam ini menampilkan beberapa tokoh terkenal di pentas ceramah.

Antara yang dijangka berucap ialah Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali dan Abdul Hadi sendiri.
Abdul Hadi dijangka akan menyatakan hala tuju parti itu selepas gagasan Pakatan Rakyat berkubur Julai lalu.


PAS janji sokong undi tidak percaya PM

Posted: 17 Oct 2015 07:56 AM PDT

Zulaikha Zulkifli 





Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan berkata, PAS akan menyokong sekiranya undi tidak percaya terhadap perdana menteri dibawa ke parlimen dalam persidangan kali ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu bagaimaapun berkata, PAS akan menunggu terlebih dulu untuk melihat jika usul berkenaan benar-benar dibawa ke parlimen.

"Kita tunggu perkara ini dibentang di parlimen dulu. Ia terpulang kepada Ketua Pembangkang Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail," katanya kepada media malam ini.

Beliau ditemui Beliau di dalam program Himpunan Fastaqim (H60K) di Stadium Muhammad IV Kota Bharu, Kelantan.

Takiyuddin berkata undi tidak percaya merupakan sebahagian daripada prosedur dibenarkan dalam sistem demokrasi berparlimen.

"Dan kita akan menyokong undi tidak percaya," katanya.

Tak perlu lantik pengerusi dari luar PAC

Posted: 17 Oct 2015 07:51 AM PDT


Dr Tan Seng Giaw
Dr Tan Seng Giaw
 
 
SHAH ALAM – Tidak wajar melantik pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) yang baharu dari luar jawatankuasa itu kerana lima ahli sedia ada sudah mencukupi untuk berfungsi seperti biasa.

Timbalan Pengerusi PAC, Dr Tan Seng Giaw menegaskan walaupun keanggotaan jawatankuasa itu perlu diwakili oleh parti pemerintah, namun setiap ahli termasuk pengerusi itu tertakluk kepada undang-undang dan perlu menjalankan tugas dengan telus tanpa berpihak kepada parti masing-masing.

"Siapa saja dilantik pengerusi PAC, dia tidak lagi mewakili parti, kerana PAC itu untuk menyiasat untuk mendapat kebenaran apa saja yang berlaku dalam 1MDB. Pengerusi yang dilantik itu juga perlu ikut peraturan, tak payah lantik situ..sini, tak payah..kerana ahli yang ada pun cukup.

"Kita tak kira apa kebenarannya, tugas kita untuk mencungkil fakta-fakta kepada orang yang terbabit kemudian semua laporan ini akan dibentang ke Parlimen. Masalahnya bila menjalankan tugas, kita bukan lagi ahli Parlimen," katanya kepada Sinar Online.

Beliau mengulas pelantikan Ahli Parlimen Rompin, Datuk Hasan Arifin sebagai Pengerusi PAC yang baharu bagi menggantikan Datuk Nur Jazlan Mohamed yang telah dilantik sebagai Timbalan Menteri Dalam Negeri.

[ARTIKEL BERKAITAN:  MP Rompin Pengerusi PAC baharu]

Perkara itu dinyatakan dalam Aturan Urusan Mesyuarat dan Usul-usul Mesyuarat Ketiga, Penggal Ketiga Parlimen Ketiga Belas 2015 yang dimuat naik dalam Portal Rasmi Parlimen Malaysia, semalam.

Ia merupakan satu usul yang akan dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di pada persidangan Dewan Rakyat bermula Isnin ini.

Usul itu memerlukan sokongan majoriti anggota Parlimen sebelum Hasan dilantik mengetuai jawatankuasa Parlimen itu.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Kepong itu turut menasihatkan pengerusi PAC yang baharu itu agar mengikut undang-undang negara dalam menyiasat skandal kewangan 1MDB.

"Ikut peraturan lah pengerusi, perkara ini besar, perkara yang ditonton..dilihat oleh dunia dan kita mesti tunjukan kita di Malaysia ini orang yang berintegriti, itu saja.

"Kita kena tunjuk kepada dunia kita boleh mampu dengan adil dan sakma untuk mencungkil kebenaran," ujarnya.

Ditanya tentang kedudukan ahli PAC sedia ada dari pembangkang, beliau yakin ia masih kekal namun perlu kepada penggantian keanggotan dari BN untuk menyeimbangkan jawatankuasa itu.

"Itu memang tak nampak lagi (pengganti empat ahli BN), tapi masih kekal kerana kita masih ada lima ahli dari Pakatan.

"Nak seimbangkan PAC kena lantik dalam kalangan BN, itu memang dalam peraturan tetap kita pun sebutkan, kita berikhtiar untuk menyeimbangkannya," katanya lagi.


Pukul, minta RM1,000 kerana kotorkan kereta?

Posted: 17 Oct 2015 07:46 AM PDT

Pukul, minta RM1,000 kerana kotorkan kereta?
Sedutan video yang viral di laman sosial hari ini.
 

RAKAMAN seorang lelaki menampar pekerja khidmat mencuci kereta menjadi viral selepas tersebar di laman sosial, hari ini.

Video tersebut yang dimuatnaik ke laman Facebook mengatakan seorang lelaki memukul pekerja tersebut yang didakwa warganegara Bangladesh kerana memasuki kenderaan pelanggan dan dituduh mengotorkannya.

"Mungkin bangla tu kotor berpakaian lusuh dan hina," tulis seorang pelayar laman Facebook.

Tak cukup dengan memukul, pekerja tersebut dikehendaki membayar RM1,000 kerana duduk dan mengotorkan kereta tersebut ketika mengelap cermin.

Menurut pelayar tersebut, pukulan tersebut menyebabkan pekerja terbabit berdarah dan terpaksa mendapatkan rawatan di klinik.

"Klinik kata patah/bengkak teruk dan refer hospital," tulis pelayar tersebut lagi.

Perkongsian berkenaan mendapat perhatian lebih 33,000 pelayar laman sosial dan menarik lebih 16,000 komen yang mengecam tindakan pemilik kenderaan tersebut.

"Mahal ke kereta dia tu? Kalau kereta harga RM1 juta, lainlah. Report polis!," kata Sam.

"Tak payah berlagak la. Kalau kaya, kenapa pergi tempat bangla kerja? Kenapa tak pergi tempat high class?" marah Angah.


H60K: Ribuan penyokong Pas berhimpun

Posted: 17 Oct 2015 07:41 AM PDT

SINAR HARIAN



H60K: Ribuan penyokong Pas berhimpun
Para peserta Himpunan Fastaqim (H60K) di Stadium Sultan Muhammad Ke IV, malam ini anjuran Pas itu bertujuan menguatkan kembali sokongan akar umbi kepada parti terbabit. - Foto Sinar Harian oleh JAZALY AMRY JAAFAR


KOTA BHARU - Ribuan penyokong Pas berhimpun di Stadium Sultan Muhammad IV di sini, bagi menghadiri Himpunan Fastaqim (H60K) hari ini.

Perhimpunan itu yang bermula pukul 3 petang, bertujuan untuk mengukuhkan perpaduan di kalangan ahli Pas selepas parti berkenaan mengalami perpecahan apabila beberapa pemimpin kanannya tewas pada muktamar tahunan pada Jun lepas.

Perpecahan itu turut menyebabkan mereka yang tewas menubuhkan parti baharu dikenali sebagai Parti Amanah Negara (Amanah) yang diketuai bekas Timbalan
Presiden Pas, Mohamad Sabu.

Himpunan juga dibuat bagi menyambut Sambutan Jubli Perak 25 tahun pemerintahan Pas di Kelantan.
Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang dijangka menyampaikan amanatnya pada malam ini dan akan turut mengadakan sesi dialog bersama penyokong parti itu. - Bernama


Siapakah sebenarnya sampah di Malaysia?

Posted: 17 Oct 2015 07:39 AM PDT



Oleh Hafidz Baharom 


Saya memang tidak bersetuju dengan penghijrahan Datuk Saifuddin Abdullah ke dalam PKR kerana ia satu perbuatan memakan diri selepas beliau menggunakan laman Twitter berkata tidak akan meninggalkan Umno.

Tetapi tiadalah sampai mengatakan beliau "sampah", seperti yang dinyatakan oleh Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor. Saya tidak begitu kurang ajar.

Tetapi disebabkan Tengku Adnan sanggup membangkitkan perkataan sampah, dia memberi laluan kepada rakyat Malaysia sendiri untuk menentukan siapa sebenarnya sampah di Malaysia.

Bagi definisi saya sendiri, sampah adalah orang yang pecah amanah, yang "mencapati" janji, yang memporak-perandakan rakyat Malaysia yang dulunya makmur dan bersatu, tetapi sekarang sudah luntur dan berbahagi daripada aspek agama, bangsa, malah jantina.

Daripada aspek agama, rakyat Malaysia sekarang dibahagi dari pelbagai segi, sampaikan hendak mengucap "Selamat Tahun Baharu Cina" dan "Merry Christmas" pun dijadikan isu syak.

Malah, memandangkan kita sekarang dalam bulan Oktober, tunggu sajalah "tokoh agama" bersuara 31 hari bulan nanti.

Malah, ada juga yang cukup bangang dan hipokrit, salahkan perempuan saja kerja golongan ini.

Perempuan tidak pakai tudung, pakai tidak menutup aurat dijadikan sasaran hinaan, caci maki dan lawak seksual – ada juga yang bangang sampai ke tahap mengancam rogol dan bunuh semata-mata perempuan tersebut menyatakan sesuatu yang jantan ini tidak boleh terima.

Saya sengaja guna perkataan "jantan" sebab tidak boleh hendak terima mereka ini manusia berperangai binatang. Saya kata mereka ini hipokrit kerana tidak pula sama tapah keganasan ini terhadap lelaki – perempuan saja yang kena.

Ada ke tidak mereka tengok permainan bola sepak bising kata "tengok mereka itu tidak tutup aurat!" dan tanya "berapa inci agaknya itu dalam seluar pendek"?

Tentulah tiada. Kononnya nak tunjuk alim, tetapi jadi zalim kerana tiada hadis atau ayat al Quran pun yang menjustifikasikan perangai "sampah" mereka itu.

Kemudian sampailah kategori "sampah" kedua, iaitu cakap tidak serupa bikin. Kategori ini berlambak contoh baik daripada pihak politik prokerajaan dan propembangkang. Bagi pihak pembangkang di Selangor, mulanya kata tidak setuju dengan pembinaan mana-mana lebuh raya baharu.

Tiba-tiba, muncul pelan pembinaan Lebuhraya Damansara Shah Alam (DASH), Lebuhraya Lembah Klang Timur (EKVE) dan Lebuhraya Ekspres Kinrara Damansara (Kidex). Kidex dilupuskan, tetapi apakah justifikasi pecah janji bagi yang lagi 2 itu?

Bagi yang prokerajaan pula, pilih saja yang mana-mana dari 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sampailah ke isu rumah mampu milik yang entah bagaimana definisinya sampai golongan yang perlukan pun tidak mampu membeli.

Kemudian ada seorang individu yang cuba mengharamkan perbuatan pemberian makanan percuma kepada golongan kurang bernasib di Kuala Lumpur pada suatu masa dahulu. Apabila perbuatan derma yang ikhlas pun boleh diharamkan, itulah perbuatan "sampah" sebenarnya.

Tambah lagi, tengoklah pelbagai kenyataan menteri kabinet berkait dengan kos sara hidup dari dulu sampai sekarang. Ada yang kata kalau tidak mampu beli daging, jangan beli. Ada yang suruh pelajar duduk di kampus masak sendiri hendak elak cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

Kemudian ada pula yang sekadar naik tren sehari dah boleh kata sistemnya "begitu bagus sekali". Banyak sangat kenyataan dan perbuatan "sampah" bagi pihak kerajaan sampaikan yang menggeledah sampah dan membangkitkan isu korupsi tahap tinggi pun dihalang.

Kategori "sampah" ke-3 di Malaysia ini istimewa sikit dan paling berbahaya, yakni pihak yang rasis membangkitkan semangat perkauman semata-mata tanpa sebarang tindakan undang-undang diambil oleh pihak berkuasa.

Ini kategori sampah ajaib, macam "Recycle Bin" di komputer yang tidak boleh dikosongkan.

Contohnya senang saja, boleh dilihat di Ampang memakai baju merah dalam protes terbarunya menentang kerajaan Selangor. Tidak cukup dia merosakkan keamanan negara dan memporak-perandakan perpaduan bangsa di Kuala Lumpur pada Hari Malaysia lepas, sekarang pula Selangor menjadi mangsa yang perlu "diselamatkan". Diselamatkan dari apa? Entahlah.

Yang tidak tahannya, siap ada penyokong tahap ahli Parlimen yang mengatakan beliau boleh rasis mengikut Islam. Memang sampah ajaib, entah ikut mazhab mana. Siap ada sampah berpangkat timbalan menteri yang kata rakyat Cina di Malaysia jangan bising supaya tidak dilempang. Malah, disebut dan direkod media massa tapi tiada tindakan.

Malah, "cover line" pihak Cina prokerajaan boleh kehilangan taring kata timbalan menteri itu "tidak cukup senior" untuk diendahkan sebagai alasan tiada tindakan. Macam mana itu?

Bagi saya, ketiga-tiga kategori sampah ini merupakan kebanyakan rakyat Melayu Malaysia, maaf saya katakan bagi mereka yang terasa. Inilah Melayu daripada pihak pemimpin sekarang sampailah kepada rakyat Melayu Islam Malaysia yang bergiat begitu aktif menjadi pendakwah hipokrit di media sosial.

Lebih menyedihkan, mereka inilah golongan majoriti di negara ini, pemimpin masa depan Malaysia dan juga kemudian hari juga mungkin menjadi tokoh korporat kita yang dibangga-banggakan.

Inilah bangsa Malaysia yang hendak menjadi negara "berpendapatan tinggi", yang diwar-warkan di luar negara sebagai "Truly Asia" untuk warga asing dan kononnya negara yang menjadi tarikan bagi pelabur asing di Asia.

Inilah bangsa yang mengutuk mereka yang meminta tolong kerana kehilangan orang tersayang sebab tidak menggunakan bahasa Melayu. Inilah bangsa yang mengutuk pemenang pingat emas gimnastik Sukan SEA, malah pemenang biasiswa Bank Negara Malaysia kerana tidak menutup aurat.

Senang cakap, ini ialah bangsa sampah dan tin kosong yang perlu dikitarkan semula menjadi masyarakat bermentaliti dunia pertama. - themalaysianinsider.com

Ahli Parlimen PKR usul undi tidak percaya terhadap Najib

Posted: 17 Oct 2015 07:35 AM PDT

 


 
DETIK DAILY



Seorang ahli Parlimen PKR mengemukakan notis untuk membawa usul tidak percaya terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, menurut Aturan Urusan Mesyuarat Dewan Rakyat bagi persidangan Isnin ini.

Notis dikemukakan wakil rakyat Petaling Jaya Selatan Hee Loy Sian itu merupakan item ke-25 dalam senarai untuk dibahaskan apabila Dewan mula bersidang untuk mesyuarat ke-3 bagi penggal ke-3 Parlimen ke-13, Isnin ini.

Hee menyenaraikan beberapa sebab untuk memulakan usul itu, termasuk wang RM2.6 bilion yang diterima Najib dalam akaun peribadinya.


Pengkritik Najib selama ini menggesa usul undi tidak percaya dibentangkan terhadap Najib.

Perdana menteri ketika ini menghadapi serangan berkaitan syarikat yang diilhamkan beliau, 1MDB, serta "derma" RM2.6 bilion dari penderma yang tidak diketahui di Timur Tengah, yang dimasukkan ke akaun peribadi beliau menjelang pilihan raya umum 2013.

PKR sebelum ini berkata, pembangkang hanya memerlukan 25 ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) untuk menyokong usul undi tidak percaya bagi memaksa Najib berundur.

Pengkritik Najib yang dulunya menyokong beliau, bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, juga menggesa penggubal undang-undang persekutuan dari BN memberikan sokongan mereka kepada usul tidak percaya itu.

Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli mengakui semalam, "sukar" untuk berjaya membawa usul tidak percaya di Dewan Rakyat, tetapi pihak pembangkang akan tetap cuba melakukannya.

"Kita perlu susun semula jangkaan. Kita tidak mahu situasi di mana selepas Parlimen, Najib masih berkuasa, dan orang menyalahkan kita. Bukan kami yang kawal, Najib dan Speaker (yang kawal)," katanya.

"Betul, memang sukar, tetapi kita kena cuba," kata Rafizi lagi

Zamani buat laporan polis berhubung kehilangannya - Polis

Posted: 17 Oct 2015 07:19 AM PDT

Bernama
Zamani buat laporan polis berhubung kehilangannya - Polis
Bekas penyanyi utama kumpulan Slam itu telah membuat laporan polis di IPD berkenaan kira-kira pada pukul 3.45 pagi semalam. -Gambar fail
 
 
KUALA LUMPUR: Polis Muar mengesahkan penyanyi terkenal Zamani Ibrahim atau lebih dikenali sebagai Zamani Slam telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar di sini awal pagi semalam berhubung laporan
kehilangannya dari Pusat Pengasih di Kuala Lumpur.

Ketua Polis Daerah Muar, ACP Azman Ayob ketika mengesahkan perkara itu berkata bekas penyanyi utama kumpulan Slam itu telah membuat laporan polis di IPD berkenaan kira-kira pada pukul 3.45 pagi semalam.

"Zamani sendiri telah datang membuat laporan polis di IPD Muar pada pukul 3.45 pagi semalam," katanya ketika dihubungi di sini, malam ini.

Difahamkan Zamani telah menafikan beliau melarikan diri atau diculik dari pusat berkenaan sebaliknya bertindak keluar atas kerelaannya sendiri.

Semalam, akhbar tempatan melaporkan Zamani telah melarikan diri dari Pusat Pengasih di Jalan Syers Off Lebuhraya Mahameru, Kuala Lumpur pada pukul 10.26 malam Khamis lalu dengan menaiki kereta berwarna putih.

Tindakannya itu telah dirakam melalui kamera litar tertutup (CCTV) pusat berkenaan dan pengurusan pusat itu membuat laporan polis kerana bimbang Zamani diculik.

Sungguh sepi menjadi sederhana dalam Umno, kata Saifuddin

Posted: 16 Oct 2015 10:31 PM PDT



Walaupun gagal melakukan pembaharuan dalam Umno, Datuk Saifuddin Abdullah yakin parti itu masih boleh diselamatkan jika masalah kepimpinan dapat diatasi memandangkan ia masih mempunyai ramai ahli yang bagus. – Gambar The Malaysian Insider oleh Seth Akmal, 17 Oktober, 2015.Walaupun gagal melakukan pembaharuan dalam Umno, Datuk Saifuddin Abdullah yakin parti itu masih boleh diselamatkan jika masalah kepimpinan dapat diatasi memandangkan ia masih mempunyai ramai ahli yang bagus. – Gambar The Malaysian Insider oleh Seth Akmal.
 
 
Menjadi antara segelintir bersuara sederhana dalam Umno membuatkan bekas pemimpin parti Melayu itu, Datuk Saifuddin Abdullah, berasa "sungguh sepi".

"Perkataannya ialah, sepi. Sungguh sepi," katanya kepada The Malaysian Insider dalam satu temu bual, sambil mengakui beliau tidak mendapat sokongan yang diperlukan daripada parti pemerintah itu.

Sebagai contoh, bekas ahli Majlis Tertinggi Umno itu berkata, beliau sebelum ini menyokong idea Gerakan supaya Barisan Nasional (BN) menjadi sebuah parti tunggal.

Beliau mengetengahkan perkara itu dalam mesyuarat Majlis Tertinggi parti dan menulis mengenainya, serta menyerahkan tulisannya itu kepada pengerusi Datuk Seri Najib Razak. "Walaupun tidak menerima jawapan 'tidak', saya tidak melihat ia terjadi," katanya.

Isu lain yang menurut Saifuddin satu perbezaan ketara antara BN dan Pakatan Harapan ialah pilihan raya tempatan.

Beliau yang baru menyertai PKR itu berkata, terdapat percubaan di negeri Pakatan Harapan iaitu Pulau Pinang dan Selangor, untuk mengadakan pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT), dengan Pulau Pinang mengambil pendekatan undang-undang manakala Selangor meletakkan ahli bukan politik dalam majlis tempatan sebagai sebahagian daripada pentadbirannya.

"Jadi, wujud contoh yang jelas di mana Pakatan Harapan cuba membawa pembaharuan tetapi dalam Umno dan BN, jangan haraplah, kita tidak akan melakukannya," katanya.

Insiden ini, ditambah pula dengan kurangnya perbincangan mengenai dasar awam pada mesyuarat Majlis Tertinggi Umno, membuatkan bekas timbalan menteri pengajian itu membuat kesimpulan yang parti terdahulunya itu tidak berminat melakukan pembaharuan.

Saifuddin berkata, sebelum ini bekas ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dan bekas menteri undang-undang Datuk Zaid Ibrahim, yang pernah bersama Umno, cuba melakukan reformasi terhadap parti tetapi mereka gagal.

"Sekarang saya tidak tahu siapa yang akan melakukannya.

"Dulu kita sebut nama-nama seperti KJ, Rahman Dahlan dan Nur Jazlan," katanya menamakan menteri Khairy Jamaluddin Abu Bakar, Datuk Abdul Rahman Dahlan dan Datuk Nur Jazlan Mohamed yang dianggap progresif dalam Umno.

"Sekarang saya tidak pasti sama ada masih ada golongan sederhana yang tinggal, dengan yang 3 orang ini pun, saya tak pasti."

Walaupun beliau gagal melakukan pembaharuan dalam Umno, Saifuddin berkata ia tidak bermakna parti itu tidak dapat diselamatkan.

"Umno sebagai sebuah parti bukan satu isu, masih ada ahli yang bagus dalam Umno. Masalahnya ialah kepimpinan. Saya memilih untuk keluar tetapi ia tidak bermakna parti itu tidak boleh berubah. Tolong teruskan perubahan dari dalam," katanya.

Beliau berkata Najib bermula sebagai seorang pemimpin yang sederhana dan progresif tetapi berubah selepas "trauma" pilihan raya umum (PRU) pada 2013 di mana beliau dipengaruhi penasihatnya untuk percaya yang BN akan berjaya.

Bagaimanapun, BN gagal mendapat majoriti dua pertiga dalam PRU13 yang menyebabkan Najib menyimpulkan keputusan itu sebagai "tsunami Cina".

"Sesetengah kenyataan beliau akhir-akhir ini tidak menggambarkan Najib sebagai pemimpin sederhana seperti yang kita kenali satu masa dulu.

"Dan apabila beliau mengakui RM2.6 bilion itu adalah sumbangan derma dan beliau berpendapat ia okay, itu bukan Najib yang sama ketika melancarkan GTP, di mana salah satu daripada NKRA ialah untuk memerangi rasuah," katanya, merujuk kepada singkatan untuk Program Transformasi Kerajaan dan Bidang Keberhasilan Utama Negara.

"Oleh itu, sama ada PM sudah berubah, atau ada terlalu banyak paradoks," kata Saifuddin.

Beliau yang akan melepaskan jawatannya sebagai ketua pegawai eksekutif Yayasan Gerakan Kesederhanaan Global (GMM) itu berkata, beliau selama ini menjelajah ke seluruh dunia atas kapasitinya mengetuai GMM yang menggalakkan kesederhanaan.

Kebelakangan ini katanya, orang kenamaan asing menemui beliau dan mula bertanya mengenai mesej berbeza yang dibawa Malaysia di dalam dan luar negara.

"Para diplomat bertanya kepada saya, adakah anda 'doublespeak' (bercakap berlapik)? Apabila bercakap pada forum antarabangsa, anda membawa suara kesederhanaan tetapi di tanah air, suaranya berbeza," kata mereka.

"Saya sering menerima soalan seperti itu sejak akhir-akhir ini. Mereka bertanya dengan cara yang berbeza tetapi kata kuncinya sama, 'doublespeak'.

"Saya menyifatkan ini sesuatu yang agak luar biasa kerana kita semua tahu, dasar luar bermula di tanah air. Dan akhirnya satu hari nanti, orang akan bertanya, adakah anda mengamalkan 'doublespeak'."


PAS tak gadai prinsip, kerjasama dengan Perkasa demi kebaikan, kata Pemuda

Posted: 16 Oct 2015 10:27 PM PDT

THE MALAYSIAN INSIDER



PAS menafikan kesepakatan bersama Perkasa akan menjejaskan prisip perjuangan parti itu dan ia sebagai satu daripada cara membuka mata NGO pro Umno lain terhadap perjuangan PAS selama ini. – Gambar fail The Malaysian Insider, 17 Oktober, 2015.PAS menafikan kesepakatan bersama Perkasa akan menjejaskan prisip perjuangan parti itu dan ia sebagai satu daripada cara membuka mata NGO pro Umno lain terhadap perjuangan PAS selama ini. – Gambar fail The Malaysian Insider. 
 
 
PAS tidak akan menggadaikan prisip perjuangannya dalam menjalankan kerjasama dengan mana-mana pihak, sama ada pertubuhan politik mahupun pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk Pertubuhan Pribumi Perkasa Kebangsaan (Perkasa), kata Pemuda PAS menurut laporan Sinar Harian hari ini.

Memetik ketua penerangannya Ahmad Fadhli Shaari, PAS dilaporkan sentiasa sedia membuka pintu untuk berunding dengan mana-mana pihak demi mencapai kebaikan bersama.

Tetapi katanya, keterbukaan PAS itu tidak membawa maksud parti itu akan bergabung dengan mana-mana parti mahupun NGO ketika ini.

"Desas desus mengatakan PAS akan bergabung dengan Perkasa adalah tidak benar sama sekali. Pertemuan yang diadakan kelmarin hanyalah untuk menyatakan persetujuan bersama dalam beberapa hal sahaja. "Ia (pertemuan) tidak pelik. Mereka bukan satu-satunya NGO yang menjalankan perundingan dengan PAS," beliau dipetik berkata akhbar itu.

Perkasa pada Selasa mengunjungi Ibu Pejabat PAS di Kuala Lumpur dan turut mengadakan pertemuan selama 2 jam bersama presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang serta mencapai persetujuan bersama dalam isu berkaitan kepentingan rakyat dan negara.

Tiga persetujuan yang dibuat ialah mengenai teguran Majlis Raja-Raja Melayu terhadap skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), bantahan penahanan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 atau Sosma dan Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPPA).

Bagaimanapun, selepas pengumuman Hadi mengenai kerjasama antara mereka itu dilaporkan media, beberapa pihak dalam PAS termasuk setiausaha politik presiden itu sendiri mengeluarkan kenyataan menafikan wujud kerjasama rasmi antara mereka.

Setiausaha Hadi tersebut, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kedua-dua pihak itu hanya bersetuju mengenai 3 isu itu sahaja, manakala Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan berkata, pertemuan itu sekadar bersependapat dalam isu nasional tanpa niat menjalinkan kerjasama dalam soal politik.

Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Iskandar A Samad pula berkata, pihaknya menolak sama sekali mana-mana pihak yang membawa sentimen perkauman, merujuk kepada Perkasa.

Fadhli berkata, PAS mempunyai ketetapan tersendiri untuk bersetuju dengan beberapa perkara bersama Perkasa dan ia tidak kelihatan pelik selagi tiada provokasi oleh pertubuhan itu agar parti Islam mengetepikan agenda perjuangannya.

Beliau berkata, cara ini juga akan membuka mata NGO pro Umno yang tidak nampak apa diperjuangkan PAS selama ini.

"Sebenarnya, tindakan Hadi membuka ruang untuk kehadiran Perkasa ke Pejabat Agung PAS adalah satu tindakan yang tepat.

"Ia membuktikan NGO pro Umno selama ini mula melihat PAS sebagai parti alternatif bagi membela umat Islam dan bangsa Melayu, bahkan semua bangsa di negara ini," katanya.


Saifuddin tak yakin rakyat percaya laporan Audit Negara mengenai 1MDB

Posted: 16 Oct 2015 10:21 PM PDT



Datuk Saifuddin Abdullah berkata sukar untuk rakyat menerima dapatan laporan Ketua Audit Negara berhubung skandal 1Malaysia Development Berhad kerana seluruh rantaian penyiasatan terdapat gangguan dan campur tangan meragukan. – Gambar The Malaysian Insider oleh Seth Akmal, 17 Oktober, 2015.Datuk Saifuddin Abdullah berkata sukar untuk rakyat menerima dapatan laporan Ketua Audit Negara berhubung skandal 1Malaysia Development Berhad kerana seluruh rantaian penyiasatan terdapat gangguan dan campur tangan meragukan. – Gambar The Malaysian Insider oleh Seth Akmal.
 
 
 
Bekas pemimpin Umno, Datuk Saifuddin Abdullah ragu-ragu orang ramai akan percaya dengan dapatan laporan Ketua Audit Negara mengenai 1Malaysia Development Berhad (1MDB), yang dijadualkan siap hujung tahun ini. 
 
Beliau berkata, sesuatu yang sangat sukar untuk membuatkan orang ramai percaya dengan laporan itu kerana keseluruhan rantaian penyiasatan ke dalam firma milik negara yang bermasalah itu tertakluk kepada gangguan dan campur tangan.

Bekas ahli Majlis Tertinggi Umno itu berkata, ini termasuk pemecatan 2 menteri – Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Shafie Apdal – yang mengkritik 1MDB, penyingkiran bekas peguam negara Tan Sri Abdul Gani Patail dan pertukaran pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), walaupun ia kemudiannya dibatalkan.

Saifuddin juga memetik "gangguan" yang dibuat terhadap pemberi maklumat seperti bekas pemimpin Umno Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dan peguamnya Matthias Chang yang didakwa kerana mensabotaj ekonomi, serta penyalahgunaan undang-undang keselamatan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) terhadap pengkritik kerajaan. 
 
"Saya sangat percaya dengan integriti dan menggalakkan integriti. Tetapi selepas semua yang berlaku, saya menyimpulkan, keadilan nampaknya tidak dilaksanakan dengan cara yang adil.

"Oleh itu, apa yang akan berlaku sekarang ialah, apabila kerajaan mengemukakan laporan mengenai 1MDB, saya tidak akan mempercayainya. Selepas semua yang berlaku, bagaimana boleh anda percaya dengan kandungannya?

"Walaupun jika mereka katakan 1MDB betul atau tidak melakukan sebarang kesalahan, atau pun jika mereka katakan 1MDB ada buat salah, bagaimana hendak harapkan orang seperti saya percaya?

"Ini kerana, seluruh rantaian penyiasatan tertakluk kepada gangguan dan campur tangan," kata Saifuddin dalam satu temu bual dengan The Malaysian Insider.

Beliau meninggalkan Umno semalam bagi menyertai PKR, atas alasan tidak berpuas hati dengan pengendalian Putrajaya dalam kes skandal 1MDB dan "derma" RM2.6 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

1MDB, syarikat yang ditubuhkan hasil buah fikiran Najib, kini menanggung hutang RM42 bilion yang dikumpul dalam tempoh 6 tahun beroperasi.

Dana pelaburan negara itu pada ketika ini sedang berdepan pelbagai siasatan kerana dakwaan salah laku kewangan.


PAS harap Amanah tidak kacau kerusinya di Sarawak

Posted: 16 Oct 2015 10:18 PM PDT



 
 
 
PAS Sarawak berharap Parti Amanah Negara (Amanah) tidak mengganggu kawasan yang akan ditandingi olehnya dalam pilihan raya negeri yang dijangka awal tahun depan.

Pesuruhjaya PAS Sarawak, Jofri Jaraiee berkata jika perlu, pihaknya akan berbincang secara tidak langsung dengan Amanah Sarawak bagi mengelakkan berlaku pertandingan dengan kumpulan serpihan parti Islam itu untuk kerusi negeri.

"Amanah ini bukan orang lain, sahabat-sahabat kita juga.

"Kita akan maklum mereka secara 'informal' supaya jangan kacau kerusi kita," kata Jofri kepada The Malaysian Insider ketika ditemui di Miri, Sarawak.
  Pesuruhjaya PAS Sarawak Jofri Jaraiee akan merujuk PAS Pusat terlebih dahulu sebelum membuat rundingan dengan Parti Amanah Negara berhubung kawasan yang akan ditandingi dalam pilihan raya negeri. – Gambar The Malaysian Insider, 17 Oktober, 2015. Pesuruhjaya PAS Sarawak Jofri Jaraiee akan merujuk PAS Pusat terlebih dahulu sebelum membuat rundingan dengan Parti Amanah Negara berhubung kawasan yang akan ditandingi dalam pilihan raya negeri. – Gambar The Malaysian Insider.Bagaimanapun, katanya beliau akan merujuk PAS Pusat terlebih dahulu sebelum melakukan apa-apa rundingan dengan Amanah yang kini menggantikan PAS dalam Pakatan Harapan selepas terkuburnya Pakatan Rakyat.

"Kita akan bincang dengan pusat dulu dan nampaknya pusat tidak akan bekerjasama dengan Amanah.

"Jika pusat kata okay, kita akan bincang secara rasmi. Jika tidak, kita buat secara tidak formal," katanya.

Di peringkat pusat, PAS hanya mempunyai hubungan dengan PKR selepas berpisah dengan DAP yang disifatkan sebagai musuh, manakala Amanah pula disifatkan sebagai pengkhianat.

Menurut Jofri, PAS akan bertanding 10 daripada 82 kerusi dalam pilihan raya negeri akan datang selepas bertanding hanya 5 kerusi dalam pilihan raya negeri yang lalu.
Ketika ini, nasib malang PAS Sarawak dilihat bertimpa-timpa.

Selepas perginya 3 tunggak utama mereka menyertai Amanah iaitu setiausaha perhubungan Abang Ahmad Kerdee Abang Masagus, pengarah pilihan raya Mohamad Fidzuan Zaidi dan ketua penerangan Andri Zulkarnaen Hamden, pesuruhjaya mereka pula meninggal dunia.

Jofri dilantik sebagai pesuruhjaya selepas kematian Adam Ahid pada 17 September lalu akibat sakit jantung.

"Kita mensasarkan untuk menang sekurang-kurangnya satu atau 2 kerusi dalam pilihan raya ini," kata Jofri dengan mensasarkan kerusi Beting Maro sebagai paling berpotensi untuk parti itu.

Sementara itu, Amanah berkata ia sedia bertanding melawan PAS dalam pilihan raya negeri akan datang jika terpaksa selepas berunding dengan rakan-rakannya dalam Pakatan Harapan.

"Orang bertanya di mana kita akan bertanding dalam pilihan raya umum akan datang.

"Besar kemungkinan di kerusi yang ditandingi PAS sebelum ini," kata Pengerusi Amanah Sarawak Mohamad Fidzuan Zaidi.

Amanah, sebagaimana PAS juga mensasarkan untuk menang sekurang-kurangnya satu kerusi pada pilihan raya negeri akan datang.

"Kita sasar satu kerusi baharu di Kuching dan kita berharap rakan-rakan memberi laluan kepada Amanah," kata Fidzuan merujuk kepada 11 kerusi baharu yang dibentuk di Sarawak dalam persempadanan semula kawasan pilihan raya.

PAS, Amanah serta PKR dijangka akan bertanding di kerusi-kerusi majoriti Melayu yang kini dikuasai Parti Pesaka Bumiputra Bersatu (PBB) yang menjadi tunggak Barisan Nasional (BN) yang memerintah Sarawak.

Dalam pilihan raya negeri 2011 lalu, PKR hanya menang di 2 kerusi majoriti Dayak dan satu Cina tetapi kalah di semua kerusi majoriti Melayu.

Pembangkang dijangka akan menghadapi laluan sukar dalam pilihan raya kali ini berikutan pencapaian baik yang dibuat Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem.


Rakyat hanya percaya polis jika undang-undang dikuatkuasakan dengan adil, kata peguam

Posted: 16 Oct 2015 10:09 PM PDT



Polis kini berdepan defisit amanah kerana undang-undang yang mengawal keganasan sedang disalahgunakan. – Gambar fail The Malaysian Insider, 17 Oktober, 2015.Polis kini berdepan defisit amanah kerana undang-undang yang mengawal keganasan sedang disalahgunakan. – Gambar fail The Malaysian Insider.
.
 
Polis akan mendapati sukar untuk meyakinkan orang ramai yang Malaysia sedang diancam kumpulan pengganas Negara Islam Iraq dan Syria (Isis) selagi penguatkuasa undang-undang negara ini dilihat menyalahgunakan undang-undang, kata peguam hak sivil.

Mereka berkata, polis hanya akan mendapat kepercayaan orang ramai termasuk daripada ahli Parlimen pembangkang, jika mereka menguatkuasakan undang-undang secara bebas, telus dan adil.

Peguam Syahredzan Johan (gambar, kanan) berkata, kesalahan itu tidak semata-mata terletak di bahu pihak polis tetapi juga Parlimen kerana meluluskan undang-undang tanpa penelitian yang mencukupi.

"Sebagai penguatkuasa undang-undang, polis kini berdepan defisit amanah kerana undang-undang yang mengawal keganasan sedang disalah guna," katanya. 
 
Syahredzan berkata, beliau percaya Isis akan menjadi ancaman kepada keselamatan negara dan ketenteraman awam jika polis tidak mengambil langkah proaktif membendung pengaruh mereka.

Tetapi malang katanya, orang ramai mempunyai persepsi negatif terhadap polis, terutama dalam kes penangkapan dan penahanan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dan peguamnya Matthias Chang di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 atau Sosma.

Syahredzan berkata demikian mengulas kenyataan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar yang ramai rakyat Malaysia termasuk beberapa penggubal undang-undang, masih tidak percaya kepada ancaman Isis.

"(Mereka fikir) ancaman Isis adalah sebahagian daripada drama kerajaan dan satu sandiwara," kata Khalid sambil menambah polis menjemput ahli Parlimen untuk satu sesi taklimat tertutup supaya lebih memahami perkara itu.

Katanya, Malaysia juga mempunyai undang-undang mencukupi untuk menangani keganasan termasuk Sosma dan Akta Pencegahan Keganasan (Pota).

Khairuddin dan Chang didakwa cuba mensabotaj ekonomi Malaysia dan kewangan tetapi polis mengklasifikasikan kes itu sebagai kesalahan keselamatan.

Pendakwa berhasrat menggunakan prosedur Sosma, bukan peruntukan dalam Akta Keterangan dan Kanun Tatacara Jenayah, untuk membuktikan kes mereka.

Kedua-duanya juga dinafikan ikat jamin dan kini ditahan di penjara.

Peguam Joshua Tay berkata, tidak dapat dibayangkan bagaimana tindakan kedua-dua individu itu, yang membuat laporan dengan agensi penyiasatan asing terhadap syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berkaitan dakwaan pengubahan wang haram dan rasuah boleh dianggap mensabotaj sistem perbankan dan kewangan Malaysia.

Tay berkata ia merupakan kes klasik di mana keyakinan orang ramai terhadap pasukan polis terus terhakis kerana undang-undang itu disalahgunakan atas sebab-sebab yang tidak diketahui.

"Tertuduh akan dinafikan perbicaraan yang adil apabila pendakwa bergantung kepada Sosma untuk membuktikan kes mereka," katanya.

Peguam SN Nair berkata, pasukan polis sejak 15 tahun lalu mencipta defisit amanah dalam fikiran orang ramai.

"Kuatkuasakan undang-undang secara saksama bagi memenangi hati dan minda rakyat, ia pasti menghasilkan keputusan yang baik," kata Nair, bekas pegawai polis yang juga pernah berkhidmat di Cawangan Khas.

Oleh itu, beliau berkata, perlu ada reformasi yang serius dan transformasi kepimpinan pasukan polis bagi memulihkan "kredibiliti yang baik seperti zaman dulu."


Johor berhak tarik diri daripada perjanjian Persekutuan Malaysia-TMJ

Posted: 16 Oct 2015 10:06 PM PDT

 
Ia berdasarkan persetujuan bersama kedua belah pihak yang disepakati di bawah Perjanjian Persekutuan 1948


TMJ


PETALING JAYA : Johor boleh berpisah daripada Persekutuan Malaysia sekiranya syarat yang dipersetujui di bawah Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu dilanggari.

Pandangan itu dibuat Tunku Mahkota Johor (TMJ), Brigadier Jeneral Tuanku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, yang menegaskan perjanjian itu dibuat dengan persetujuan bersama kedua-dua belah pihak.

"Kita menyertai Persekutuan Tanah Melayu pun dengan kedua belah pihak bersetuju dengan syarat-syarat tertentu, dan sekiranya terdapat syarat-syarat tersebut dilanggar, kita berhak menarik diri.

"Anda boleh menuduh saya memainkan sentimen kenegerian, tetapi pada saya, saya sekadar menjalankan tugas saya kepada rakyat Johor, dan mengingatkan mereka berkenaan sejarah dan warisan bumi bertuah ini," titah baginda dalam satu temubual ekslusif bersama dengan sebuah portal bolasepak FourthOfficial.

Sebelum ini, adinda TMJ, Tunku Idris Sultan Ibrahim turut memuat naik menerusi laman instagramnya berkaitan perjanjian bersama dengan Persekutuan Tanah Melayu.

Catatan itu turut menyebut Johor setuju menandatangani perjanjian 1948 itu dengan mengenakan beberapa syarat.

"Sekiranya mana-mana daripada syarat-syarat tersebut dilanggar, maka terkeluarlah Johor daripada Malaysia," tulisnya.

UMNO perlu berubah – Khaled Nordin

Posted: 16 Oct 2015 10:02 PM PDT

 
UMNO seharusnya tidak lemas dengan gelombang globalisasi yang sarat dengan idea baru dan segar demi kepentingan bangsa.


Khaled-Nordin,-umno


PETALING JAYA : UMNO perlu menjadi sebuah parti moden agar terus menjadi pilihan masyarakat.

Menurut Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin parti itu tidak seharusnya lemas dengan gelombang globalisasi yang sarat dengan idea baru .

"Bagi memastikan UMNO terus kekal dan relevan, parti memerlukan banyak idea baharu yang baik. Dan kesemua ini memerlukan kajian dan penyelidikan yang serius.

"Pada masa yang sama, UMNO perlu merangka pelbagai agenda dan keputusan berasaskan pemikiran terkini dan maklumat terbaik," tulisnya di blog muafakatjohor.com.

Beliau yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO Johor berkata, dasar parti seharusnya disadarkan dengan pemikiran, analisis, saranan, kritikan dan pandangan yang disokong dengan data emperikal terbukti serta terkini.

"Bukan didorong dengan sentimen dan emosi yang membuak-buak atau retorik kosong," ujarnya.

Menurut Khaled, parti itu perlu merencana dan mencipta sejarah yang baru dan perkara itu boleh dilakukan sekiranya semua pihak dalam UMNO terutama sekali golongan profesional diberikan ruang dan kepercayaan yang sewajarnya.

Beliau berkata UMNO memerlukan lebih ramai pemikir tetapi dalam usaha untuk meningkatkan kedudukan profesional dan berpendidikan tinggi dalam proses pengislahan parti itu, ia sewajarnya diimbangi secara kolektif dengan nasihat, pengalaman dan 'wisdom' oleh ahli parti yang lebih berpengalaman, lebih lama dan lebih dewasa.

"Kita percaya, kesepaduan minda dan pemikiran kedua-dua pihak ini akan melonjakkan lagi kedudukan UMNO menjadi sebuah parti politik mendahului zamannya," ujarnya.

Senator desak Undang-Undang Rasuah dibawa ke Parlimen

Posted: 16 Oct 2015 10:00 PM PDT

 
Ia perlu bagi memperkasa SPRM dan mewujudkan persekitaran yang bebas dari rasuah.


Abu-Zahar-Ujang_sprm_law_600


PETALING JAYA: Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR) menggesa agar kerajaan segera meluluskan pembentukan syor penambah baikan undang-undang rasuah bagi memantau perjalanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Senator Tan Sri Abu Zahar Ujang, berkata ia perlu bagi memperkasakan SPRM selain mewujudkan persekitaran yang bebas dari rasuah di negara ini.

"Meskipun beberapa syor dan cadangan telah dikemukakan untuk penambah baikan undang-undang pencegahan rasuah, tetapi sehingga kini masih belum dibawa ke Parlimen dan dilaksanakan.

"Ini tahun ketiga saya menjadi Pengerusi Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah, kami telah mencadangkan perubahan-perubahan ke atas Akta SPRM 2009 bagi membawa penambah baikan demi memperkukuhkan SPRM.

"Namun, saya tidak pasti sama ada perubahan ini akan dibawa ke Parlimen pada sesi ini (yang akan bermula 19 Oktober 2015), tetapi saya berharap pindaan-pindaan yang telah disyorkan sebelum ini akan dibawa sebelum penggal saya sebagai ahli Dewan Negara berakhir April 2016," kata Abu Zahar.

Mengulas lanjut, antara perkara yang disyorkan termasuk pembentukan satu Suruhanjaya Perkhidmatan Pencegahan Rasuah Malaysia, selain aspek pelantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM di bawah Perlembagaan Persekutuan, pindaan Seksyen 23 dan 36 Akta SPRM 2009.

"Saya juga berharap agar satu peruntukan liabiliti korporat dan salah laku penjawat awam dibentuk," katanya lagi.

Ahli JKMR terdiri daripada Ahli Parlimen iaitu Tan Sri Abu Zahar; Dr. Tan Seng Giaw, Senator Datuk Doris Sophia Anak Brodi, Datuk Ir. Irmohizam Ibrahim, Datuk Fauzi Abd Rahman, Dato' Takiyuddin Hassan dan Datuk Noraini Ahmad.

Anina hentam Noh kerana perbodohkan rakyat

Posted: 16 Oct 2015 09:07 PM PDT

 
Noh Omar cuba menggelirukan rakyat apabila mendakwa kerajaan Selangor sebagai punca kenaikan tol di Lembah Klang.


anina


PETALING JAYA: Anina Saadudin mengingatkan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Seri Noh Omar supaya tidak memperbodohkan rakyat.

Bekas ahli Wanita UMNO itu membuat ingatan itu apabila Noh menyalahkan kerajaan Selangor sebagai punca kenaikan harga tol di Lembah Klang.

Noh meminta Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali memulangkan segala keuntungan dari saham 30 peratus yang dimiliki dalam dua syarikat lebuh raya kepada rakyat.

Anina berkata, kerajaan Pusat dibawah pentadbiran Barisan Nasiona (BN) yang sepatutnya dipersalahkan kerana membenarkan kenaikan kadar tol itu.

"Punca sebenar kenaikan kadar tol adalah kerana Putrajaya mengambil keputusan untuk menghentikan bayaran konsesi yang sepatutnya dibayar oleh Pusat kepada syarikat pengendali lebuhraya.

"Rakyat juga perlu tahu bahawa lebuhraya yang melibatkan pegangan saham 30% anak syarikat kerajaan Selangor hanyalah KESAS dan SPRINT (yang terlibat dalam kenaikan kadar tol)," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan Noh supaya tidak terlalu melampau bermain politik dan menuding jari kepada pihak lain.

"Shah Alam tidak pernah menjanjikan 30% saham anak syarikatnya kepada rakyat TETAPI Putrajaya sememangnya mencanangkan bahawa kutipan GST akan dipulangkan kepada rakyat.

"Saya penyokong BN, tetapi saya tidak menyokong sebarang bentuk pembohongan kepada rakyat.

Pengundi BN adalah rakyat. Tidak salah jika saya meminta Putrajaya memulangkan hak rakyat kepada rakyat," katanya,

DAP bentang usul batal kenaikan tol

Posted: 16 Oct 2015 09:04 PM PDT

 
Lim Lip Eng berharap usul itu diluluskan Speaker Dewan Rakyat untuk dibahaskan dalam Parlimen.


Lim-Lip-Eng


PETALING JAYA: Ahli Parlimen DAP akan membentangkan usul untuk menghentikan kenaikan kadar tol tanpa perlu kerajaan membayar pampasan kepada syarikat konsesi lebuh raya.

Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng berkata, dia bercadang untuk membentangkan usul untuk meminta kerajaan membatalkan perjanjian dengan syarikat konsesi yang berat sebelah bagi membolehkan kerajaan mengambil alih konsesi lebuh raya.

Lip Eng dalam kenyataan berkata, dia amat berharap Ahli Parlimen Pembangkang dan Kerajaan akan menyokong usul itu.

Bagaimanapun, katanya, usul itu hanya boleh dibahas oleh kedua-dua pihak jika ia diluluskan Speaker Dewan Rakyat terlebih dahulu.

Dewan Rakyat akan mula bersidang pada Isnin ini untuk pembentangan Bajet 2016 dan merupakan sesi persidangan terakhir bagi tahun ini.

Kenaikan tol antara 10 sen sehingga RM3 melibatkan 12 lebuh raya antara bandar berkuatkuasa Khamis lalu.

Kenaikan itu berdasarkan perjanjian konsesi yang membenarkan syarikat konsesi lebuh raya menaikkan kadar tol untuk tempoh tertentu.

Kerajaan perlu membayar pampasan kepada syarikat konsesi jika mahu kadar tol terus kekal.


NGO Melayu buat laporan polis terhadap Zeti

Posted: 16 Oct 2015 09:02 PM PDT

ANTARAPOS.COM


Post Pic


KUALA LUMPUR: Sebuah badan bukan kerajaan, Jaringan Melayu Malaysia (JMM), hari ini membuat laporan polis terhadap Gabenor Bank Negara, Tan Seri Zeti Akhtar Aziz

Ketua Setiausaha JMM, Hamdan Mohd Salleh menyifatkan, tindakan Zeti menarik balik tiga kebenaran yang diberikan Bank Negara kepada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sebagai berniat jahat.

Katanya, pembatalan tersebut dilihat sebagai cubaan menjatuhkan nama baik dan merendahkan Peguam Negara, Tan Sri Mohd Apandi Ali.

Menurutnya, Bank Negara telah membatalkan kebenaran itu di bawah Akta Kawalan Pertukaran Wang 1953, (ECA) sedangkan Peguam Negara membuat keputusan bahawa tiada kesalahan jenayah yang dilakukan di bawah ECA.

"BNM telah membuat keputusan pembatalan atas alasan yang salah dan pembatalan tersebut dibuat kerana maklumat yang diberikan adalah samada tidak tepat atau tidak lengkap.

"Namun begitu, kesalahan yang tertakluk di bawah ECA adalah berkaitan dengan pengemukaan keterangan palsu dan bukannya berkaitan tidak tepat atau tidak lengkap," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas membuat laporan polis ke atas Gabenor Bank Negara di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di sini hari.

Tambah Hamdan, tindakan Zeti itu seolah-olah menutup kesalahan BNM meluluskan permohonan 1MDB untuk pelaburan mereka di luar negara.

Jelasnya, mengapakah keputusan pembatalan ini dibuat setelah empat hingga enam tahun setelah kebenaran diberikan serta sejurus sebelum siasatan dirujuk kepada Peguam Negara.

"Tindakan yang dibuat oleh Gabenor Bank Negara ini seperti terdapat agenda tersembunyi dan saya percaya juga terdapat banyak kes lagi yang membabitkan kesilapan BNM yang tidak ketahui umum.

"Keputusan ini seolah olah menutup kesalahan dan kelemahan BNM dan saya menggesa pihak berkuasa untuk membuka kertas siasatan ke atas Zeti dalam masa tujuh hari," ujarnya.

Maria Chin, 6 lagi mahu cabar pertuduhan di bawah Akta Perhimpunan Aman

Posted: 16 Oct 2015 09:00 PM PDT

ANTARAPOS.COM


Post Pic



KUALA LUMPUR: Pengerusi Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah memberitahu mahkamah bahawa dia akan merujuk isu perlembagaan di Mahkamah Persekutuan terhadap tuduhan yang dihadapinya mengikut Akta Perhimpunan Aman (APA) 2012 berhubung perhimpunan #KitaLawan di ibu negara, Mac lepas.

Perkara itu dimaklumkan oleh peguam Gooi Hsiao Leung ketika kes itu disebut di hadapan Majistret Nur Azura Murah, di sini hari ini.

Selain Chin, tiga lagi iaitu Pengerusi Jingga 13, Mohd Fariz Abd Talib @ Musa, Pengurus Sekretariat Bersih 2.0, Mandeep Singh dan Anggota Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin akan turut membuat permohonan sama.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin memohon tarikh perbicaraan memandangkan pihaknya bersedia untuk memulakan perbicaraan kes itu selain kesemua dokumen berkaitan kes itu telah diserahkan kepada pihak pembelaan.

Bagaimanapun, mahkamah menetapkan 7 Disember ini untuk sebutan semula kes itu bagi membolehkan kesemua tertuduh itu merujuk persoalan undang-undang itu ke Mahkamah Persekutuan.

Mengikut pertuduhan, keempat-empat mereka didakwa bersama dengan orang lain yang masih bebas menyertai suatu protes jalanan bagi tujuan tertentu di hadapan kawasan air pancut persimpangan Jalan Tun Perak dan berakhir di hadapan Kompleks Sogo di sini.

Mereka didakwa menyertai protes jalanan itu bagi tujuan antaranya Reformasi dan Bebaskan Anwar dan Bebas Berhimpun Bebas Bersuara antara 3.15 petang hingga 6 petang, 28 Mac lalu.

Sementara itu, di Mahkamah Majistret lain, tiga lagi individu iaitu Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teja, Chang Lih Kang, 35, Pegawai Khas Anggota Parlimen Batu, Rozan Azen Mat Rasip, 38, dan anggota PKR, Lee Chean Chung, 34, akan turut memfailkan permohonan sama ke Mahkamah Persekutuan.

Sebelum ini, ketiga-tiga mereka mengaku tidak bersalah menyertai protes jalanan bermula di hadapan Sogo dan berakhir di kawasan air pancut persimpangan Jalan Tun Perak di sini antara 4.30 petang dan 5.05 petang, 21 Mac lalu.

Kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 4(2)(c) APA 2012 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(3) akta sama membawa hukuman denda tidak melebihi RM10,000, jika sabit kesalahan.

Majistret Ashraf Rezal Abdul Manan menetapkan 7 Disember ini untuk sebutan semula kes. – BERNAMA

PAS lebih minat tukar kerajaan melalui pilihan raya bukan gulingkan PM

Posted: 16 Oct 2015 08:55 PM PDT

Oleh Syed Mu'az Syed Putra

 
Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan PAS Pusat Nasrudin Hassan berkata parti itu lebih berminat melakukan perubahan menerusi pilihan raya umum daripada menyokong percubaan jatuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. 
 
PKR dan DAP sebelum ini diuar-uarkan mahu mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap Najib pada persidangan Parlimen yang akan bermula minggu depan.
 
Bagaimanapun usul itu tidak mendapat sokongan PAS.
 
Nasrudin berkata, masalah sama tetap akan berulang dalam pemerintahan negara meskipun perdana menteri ditukar jika corak pemerintahan asas tidak diubah.
 
"Saya mempunyai pandangan yang tersendiri dalam isu ini, bagi menyelesaikan masalah saya lihat isunya bukan pada perdana menteri tapi pada sistem dan juga dasar yang diamalkan kerajaan," katanya kepada Antarapos.
 
Nasrudin menegaskan tindakan menukar perdana menteri yang kini disandang Datuk Seri Najib bukan pilihan terbaik selagi dasar negara tidak dirombak.
 
"Kalau dijatuhkan sekalipun perdana menteri yang ada sekarang ini Datuk Seri Najib dengan apa caralah sama ada undi tak percaya atau beliau meletakkan jawatan nantinya akan naik orang lain yang juga daripada Umno.
 
Justeru Ahli Parlimen Temerloh berkata, ini adalah lebih wajar untuk rakyat menggunakan mandat memilih demi melakukan perubahan bersifat total dengan menukar parti pemerintah pada pilihan raya umum akan datang.
 
"Jadi perubahan itu adalah perubahan yang bersifat ranting ataupun bersifat cabang yang tak menyelesaikan masalah.
 
"Kita sebenarnya perlu pergi kepada penyelesaian yang bersifat total dan asas. Maknanya kena ubah dasar dan juga sistem iaitu dasar ekonomi atau sistem ekonomi itu mesti diubah," katanya.
 
"Saya bimbang kalau mood yang ada pada hari ini hanya sekadar terhenti nak tukar Najib, naik orang baru ia akan beri kesan kepada potensi kita berdepan pilihanraya akan datang," katanya.
 
"Sebab setiap kali berlaku pertukaran perdana menteri seketika ia akan memberi kekuatan dan nafas baru kepada Umno sebagai contoh 20 tahun lebih Tun Mahathir memimpin orang benci macam kata orang sekarang tahap gaban.
 
"Akhirnya terpaksa letak jawatan dan diganti dengan Pak Lah. Kemudian orang memberi harapan baru Umno dan berubah dengan kepimpinan baru...Jadi diberilah peluang kepada Pak Lah yang datang dengan Islam Hadhari, kuat seketika dan kita kalah dalam pilihan raya," katanya.
 
 

Tiada ulasan: