Khamis, 15 Oktober 2015

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


DUA KEMUSYKILAN TENTANG TOL

Posted: 15 Oct 2015 05:47 AM PDT

shahbudindotcom.

 
 
 
Pengguna di beberapa lebuhraya dalam bandar mulai robek poket apabila kenaikan tol tetap juga dilaksanakan oleh syarikat-syarikat konsesinya bermula hari ini.

Rayuan, bantahan dan kemarahan rakyat menolak kenaikan itu nampaknya tidak menyentuh langsung detik rasa kerajaan untuk bertindak sebaliknya. 

Sepertimana biasa, alasan yang biasa digunakan  tentang kenaikan itu ialah kerana mematuhi syarat yang sudah termaktub dengan syarikat konsesi. Kalau syarat itu tidak dipatuhi, kerajaan kena membayar pampasan kepada syarikat-syarikat terbabit.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Abdul Wahid Omar berkata, kerajaan terpaksa membayar pampasan RM510 juta kepada syarikat-syarikat konsesi bagi tempoh Januari - Oktober tahun ini berikutan penangguhan kenaikan tol yang sepatutnya dilaksanakan Januari lalu.

Jumlah itu, tambahnya, lebih tinggi berbanding hanya RM430 juga bagi tahun sebelumnya.

"Sebab itulah kita terpaksa membenarkan syarikat konsesi menaikkan kadar tol," katanya sambil menambah ia dilakukan kerana terikat dengan perjanjian dengan syarikat konsesi sebelum ini.

Menteri Kerjaraya, Fazilah Yusof pula sebelum ini berkata, dengan kenaikan tol, kerajaan dapat menjimatkan perbelanjaannya yang bermakna lebih banyak kemudahan awam seperti sekolah, hospital dan sebagainya dapat dibina.

Kumpulan totok Najib pula menyalahkan Tun Mahathir Mohamad dalam semua kenaikan tol itu kerana dakwa mereka, banyak perjanjian itu dilakukan ketika era pemerintahannya.

Dalam ertikata lain, apabila tol naik, mereka cuba mengatakan kerajaan dan Perdana Menteri, Najib Razak tidak bersalah sama sekali kerana kenaikan itu.

Kerajaan kononnya terikat dengan perjanjian dengan syarikat konsesi yang sebahagian besar daripadanya dilakukan ketika era pentadbiran Tun Mahathir lagi. Lebih dari itu, rakyat cuba disogok agar menerima kenaikan itu dengan baik kerana kononnya lebih banyak sekolah, hospital dan kemudahan awam lain akan dibina oleh kerajaan.

Sekali imbas dan sekali fikir, memang nampak logik hujah menteri dan kumpulan totok Najib itu. Bermakna, kita tena redha sajalah dengan semua kenaikan tol. 

Tetapi dua tiga kali fikir, kita akan nampak kerajaan sebenarnya seperti cuba "membodohkan" kita sebagai rakyat dan pengguna.
 
 
 
 
Pertama, kerajaan adalah pihak yang paling berkuasa dalam negara ini. Tiada individu atau syarikat yang mampu menjadi lebih kuat daripada kerajaan. Lebih-lebih lagi berkaitan dengan tol, sama ada penjanjian itu dibuat oleh pentadbiran sebelumnya atau sekarang, tidak bolehkah kerajaan menunjukkan diri mereka sebagai pihak yang benar-benar ada kuasa?

Apakah susahnya untuk memanggil syarikat-syarikat konsesi itu untuk diajak berunding bagi mengelakkan kenaikan dengan menggunakan hujah pengguna jalanraya sudah meningkat sehingga di luar jangkaan sama sekali yang mungkin tiada dalam pertimbangan ketika perjanjian itu ditandatangani?

Lagi pula, bukankah banyak syarikat konsesi lebuhraya ini dimiliki oleh syarikat berkaitan kerajaan, kroni pemimpin dan terdapat juga adik menteri yang menjadi pemegang sahamnya?

Lebih dari itu, kebanyakan syarikat itu juga banyak bergantung kepada kontrak-kontrak kerajaan dalam perniagaan mereka seterusnya. Maka, tidak bolehkah kerajaan "main sedikit tarik tali" dan "menunjuk sedikit kuasa" dengan syarikat-syarikat itu demi kepentingan rakyat?

Menyalahkah kepimpinan terdahulu yang membuat perjanjian hanya menunjukkan kepimpinan yang ada hari ini tidak berkuasa dan tidak tahu menggunakan kuasa. Lalu, buat apa jadi kerajaan jika tak tahu menggunakan kuasa sedangkan perjanjian itu bukanlah suci seperti Al Quran yang tidak boleh diubah sama sekali?

Yang kedua, janji tidak menaikkan tol dalam bandar ini adalah janji Najib sendiri sebelum pilihanraya umum 2013 yang lalu. Jika sudah tahu ada perjanjian dengan syarikat konsesi, kenapa Najib  masih "gatal mulut" berjanji dengan rakyat mengenainya?

Apakah ia sekadar janji politik atau Najib sendiri tidak tahu mengenai perjanjian itu?  Munasabahkah sebagai Perdana Menteri, Najib tidak tahu tentang perjanjian itu? 

Sebagai orang Islam pula, tentu sekali mustahil Najib tidak tahu hukum memungkiri janji dan apakah label kepada yang berbuat demikian?

Sekali lagi, kesimpulannya mudah saja - hanya berkaitan tol saja pun kita sebagai rakyat sebenarnya sudah tiada alasan lagi untuk terus mengekalkan Najib mengetuai negara ini.
 
 
 

Gagal tangani isu 1MDB, RM2.6 bilion dorong saya keluar Umno, kata Saifuddin

Posted: 15 Oct 2015 05:33 AM PDT



Bekas ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Saifuddin Abdullah menyifatkan penyertaannya bersama PKR sebagai satu keputusan besar dan menjelaskan Umno kini sudah tidak serasi dengan landasan perjuangannya. – Gambar The Malaysian Insider oleh Seth Akmal, 15 Oktober, 2015. 
Bekas ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Saifuddin Abdullah menyifatkan penyertaannya bersama PKR sebagai satu keputusan besar dan menjelaskan Umno kini sudah tidak serasi dengan landasan perjuangannya. – Gambar The Malaysian Insider oleh Seth Akmal.
 
 
 Bekas timbalan menteri Datuk Saifuddin Abdullah menyifatkan kegagalan Umno menangani isu berhubung syarikat bermasalah 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan wang derma RM2.6 bilion sebagai punca beliau meninggalkan parti tersebut.

Bercakap kepada media selepas penyertaannya secara rasmi ke dalam PKR hari ini, Saifuddin berkata beliau kecewa dengan beberapa keputusan Umno berhubung2 isu tersebut menyebabkan beliau tekad keluar daripada parti utama kaum Melayu itu.

"Cara Umno tangani isu 1MDB dan RM2.6 bilion menyebabkan saya terdetik keluar Umno," katanya di ibu pejabat PKR, Petaling Jaya hari ini.

Dua isu tersebut mencetuskan polemik dalam Umno, bahkan 2 pemimpin tertinggi parti itu, Tan Sri Muhyddin Yassin dan Datuk Seri Shafie Apdal juga tersingkir daripada Kabinet kerana kritikan mereka membabitkan 1MDB. Saifuddin sebelum ini juga menerima surat tunjuk sebab hanya kerana menghadiri program pembangkang Pakatan Harapan.

Beliau menyifatkan penyertaannya bersama PKR sebagai satu keputusan besar dan menjelaskan Umno kini sudah tidak serasi dengan landasan perjuangannya.

"Malangnya, sejak saya menyertai Umno, tidak ada satu perbincangan yang komprehensif dan mendalam. Oleh itu, saya rasa tidak serasi lagi dalam Umno dan Barisan Nasional," katanya.

Menjelaskan pilihannya untuk bersama PKR, Saifuddin berkata bentuk parti berbilang kaum dan agama yang menyebabkan beliau tertarik dengan parti yang diasaskan selepas pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1999 itu.

"Terdapat banyak parti berbilang kaum dan agama dalam negara, tapi hati saya terpaut dengan PKR," katanya.

Spekulasi tersebut terjawab selepas Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail secara rasmi mengumumkan penyertaan Saifuddin ke dalam parti mereka ketika berada di mahkamah di Kuala Lumpur terdahulu hari ini.

Ketika berada dalam kerajaan, Saifuddin yang pernah memegang jawatan timbalan menteri pengajian tinggi itu begitu lantang mengkritik permasalahan pendidikan dalam soal Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) 1971, selain membuka ruang kebebasan, terutama kepada mahasiswa.

Beliau pernah menjadi ahli Majlis Tertinggi Umno dan merupakan timbalan ketua Umno bahagian Temerloh sejak 2009.

Beliau juga pernah menjadi ahli Parlimen Temerloh selepas menang pada pilihan raya umum ke-12 sebelum tewas kepada Ketua Penerangan PAS Nasruddin Hassan pada PRU 2013.


Bersih kecam ‘taktik kotor’ SPR segerakan cadangan persempadanan semula Sarawak

Posted: 15 Oct 2015 05:31 AM PDT

THE MALAYSIAN INSIDER



Bersih 2.0 kecam tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya serah laporan persempadanan semula Sarawak ke Jabatan Perdana Menteri sebelum kes itu selesai di Mahkamah Persekutuan. – Gambar fail The Malaysian Insider, 15 Oktober, 2015.Bersih 2.0 kecam tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya serah laporan persempadanan semula Sarawak ke Jabatan Perdana Menteri sebelum kes itu selesai di Mahkamah Persekutuan. – Gambar fail The Malaysian Insider,
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
Tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyerahkan laporan persempadanan semula Sarawak ke Jabatan Perdana Menteri sebelum kes itu diputuskan di Mahkamah Persekutuan menyebabkan proses keadilan terhenti, kata pemantau reformasi pilihan raya Bersih 2.0 hari ini.
 
Bersih berkata, SPR juga menghina mahkamah dengan memendekkan proses undang-undang itu bagi tujuan "kepentingan politik".

"Tindakan tergesa-gesa SPR, yang tidak langsung menunggu rayuan itu difailkan di Mahkamah Persekutuan menggagalkan proses keadilan," kata jawatankuasa pemandu kumpulan itu dalam satu kenyataan hari ini.

"Bersih mengutuk tindakan jahat SPR itu yang ternyata bagi membolehkan persempadanan semula di Sarawak dibentangkan di Dewan Rakyat minggu depan, walaupun mahkamah masih belum tampil dengan keputusan mengenai rayuan itu," katanya. 
 
 Terdahulu hari ini, Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan yang notis persempadanan semula SPR bagi kawasan pilihan raya Sarawak itu adalah sah.

Pada 7 Ogos, Mahkamah Rayuan membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuching pada 15 Mei yang memutuskan SPR perlu menerbitkan semula notisnya kerana ia tidak cukup butiran lanjut.

"Hasil daripada keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini, SPR diberi kuasa untuk membuat keputusan mengenai jenis maklumat yang ingin dibentangkannya kepada orang ramai dan untuk meminggirkan hak dan kuasa pengundi untuk mengkaji cadangan persempadanan semula itu supaya mereka boleh membuat bantahan dengan berkesan," kata Bersih.

"Bersih sangat kecewa dengan SPR yang menggunakan taktik licin bagi menggagalkan tindakan mencabar cadangan persempadanan semula itu, yang merupakan satu tindakan yang sah."

Kumpulan reformasi pilihan raya itu berkata, harapannya untuk melihat pilihan raya dijalankan secara telus kini menjadi malap, tetapi berikrar tidak akan mengaku kalah dalam perjuangannya.

"Ia memberi petanda jelas yang pilihan raya negeri Sarawak akan diadakan dalam masa terdekat bagi mengesahkan kedudukan dan mengukuhkan pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, yang kini tergugat akibat skandal seperti derma RM2.6 bilion dan juga hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

"Bersih tidak akan berdiam, akan komited untuk melawan sebarang penipuan dan akan berjuang untuk integriti pilihan raya, terutama dalam kes persempadanan semula pengundi di seluruh negara," katanya.


Kerajaan diminta henti ugut rakyat guna SOSMA

Posted: 15 Oct 2015 05:27 AM PDT

 
Kerajaan dituduh menyalahgunakan SOSMA bagi menyekat suara pembangkang.


Nik-Nazmi-Nik-Ahmad_law_600


PETALING JAYA: Kerajaan diminta supaya berhenti daripada mengugut rakyat dengan menyalahguna Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 atau SOSMA.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Nik Nazmi Nik Ahmad mendakwa, kerajaan dilihat telah menggunakan akta berkenaan bagi mengelak pihak tertentu daripada diambil tindakan kehakiman.

"Jelas terdapat corak penyalahgunaan undang-undang apabila integriti pihak berkuasa dipersoal dan ini boleh dibuktikan dengan penggunaan SOSMA ke atas individu padahal niat pembentukan undang-undang itu adalah untuk menyekat aktiviti keganasan," katanya menerusi kenyataan pada Khamis.

Menurut Nik Nazmi lagi, penggunaan Akta Hasutan yang semakin menjadi-jadi pada masa ini untuk menyekat suara pembangkang.

Katanya, langkah yang diambil oleh kerajaan itu dalam melakukan perkara berkenaan dengan tujuan politik dianggap sebagai satu tindakan kolot.

Jelasnya, apa yang berlaku itu sememangnya bertentangan dengan hak asasi rakyat seperti mana yang telah ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan.

"Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri telah berjanji untuk memansuhkan tetapi tidak menepatinya apabila mendapati kedudukan beliau sudah tidak selamat," katanya.

Nik Nazmi turut mengambil contoh terhadap apa yang berlaku kepada aktivis Khalid Ismath apabila dia dikatakan telah dipaksa mengaku bersalah di atas dakwaan tertentu.

Katanya, apa yang berlaku itu merupakan ugutan dan ia telah melanggar hak pihak yang tertuduh.

Pakatan Harapan: PKR terus tagih simpati Pas

Posted: 15 Oct 2015 05:25 AM PDT

 
PKR memaklumkan mereka belum menerima keputusan secara rasmi dari Pas berhubung penolakan parti itu untuk sertai Pakatan Harapan.


azmin,pas,dap,amanah


PETALING JAYA: PKR terus menagih simpati Pas untuk menyertai Pakatan Harapan walaupun parti Islam itu bertegas tidak akan menjalinkan kerjasama dengan DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) di bawah satu gabungan.

Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali berkata, parti itu masih belum menerima sebarang keputusan rasmi daripada Pas berhubung penolakan tersebut.

"Kita belum dimaklumkan secara rasmi (Pas tidak akan menyertai Pakatan Harapan), setakat ini perbincangan (dengan Pas) masih berjalan seperti biasa.

"Kita sentiasa bersikap terbuka untuk bekerjasama dengan semua parti politik (pembangkang) dan individu yang berpegang kepada prinsip untuk membawa perubahan," katanya ketika ditemui pemberita di Ibu Pejabat PKR pada Khamis.

Terdahulu, Timbalan Presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Pas serik dengan permainan politik DAP dan menegaskan tidak akan menyertai Pakatan Harapan walaupun PKR masih mengharapkan parti itu akan menyertai pakatan pembangkang berkenaan.

Katanya,Pas tiada masa untuk melayan kerenah bekas rakan komponennya dalam Pakatan Rakyat, DAP yang kerap menjadikan Pas sasaran serangan.

Jamal pertikai bidang kuasa polis

Posted: 15 Oct 2015 05:23 AM PDT

 
Menurut Jamal kelulusan untuk mengadakan perhimpunan itu bukan urusan mereka kerana ia tanggungjawab polis.


jamal


AMPANG JAYA : Perhimpunan 'Selamatkan Negeri Selangor Daripada Kerajaan Pakatan Caca-marba' akan tetap diteruskan pada Ahad ini walaupun tidak mendapat permit daripada pihak berkuasa.

Pengerusi Gabungan NGO Melayu Malaysia, Datuk Jamal Md Yunos berkata, mendapat kelulusan untuk mengadakan perhimpunan itu bukan urusan mereka kerana ia tanggungjawab pihak polis.

"(Memperoleh kelulusan) itu kerja polis. Biar dia buat kerja, kami bawa suara rakyat. Polis ada tanggungjawab dan kami juga ada tanggungjawab.

"Saya tidak berniat untuk mencabar polis atau pihak berkuasa cuma mahu beritahu, 18 Oktober ini kami tetap adakan himpunan itu," katanya kepada pemberita di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya.

Jamal yang juga Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar berkata, perhimpunan itu diadakan ekoran pelbagai masalah tidak berkesudahan di Selangor khususnya masalah denggi, sampah dan lif rosak di kawasan rumah pangsa yang tidak diselenggara.

"Itu merupakan sebab untuk kami mengadakan himpunan ini," katanya.

Jamal mensasarkan kira-kira 5,000 peserta akan menyertai himpunan yang akan diadakan di Bandar Baru Ampang itu.

Bukan itu sahaja, Jamal juga bercadang mengadakan himpunan yang sama di dua kawasan yang lain iaitu Kelana Jaya dan Subang.

"Himpunan ini dijangka diatur dalam masa enam bulan akan datang," ujarnya.

Kerajaan Selangor tolak kenaikan kadar tol

Posted: 15 Oct 2015 05:13 AM PDT

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
SHAH ALAM:  Kerajaan negeri Selangor menolak kenaikan kadar tol di 18 lebuh raya di seluruh negara, 12 daripadanya di Lembah Klang, berikutan kos sara hidup yang meningkat pada masa ini.
 
Sehubungan itu, Menteri Besarnya Mohamed Azmin Ali meminta Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan Kumpulan Perangsang Selangor (KPS) Berhad mengadakan pertemuan dengan KESAS Sdn Bhd dan Sistem Penyuraian Trafik KL Barat Holdings Sdn Bhd bagi menyuarakan bantahan itu.
 
"PKNS dan KPS masing-masing memiliki saham minoriti 30 peratus dalam syarikat konsesi Lebuhraya KESAS dan 20 peratus dalam syarikat konsesi Lebuhraya SPRINT.
 
"Atas sebab itu, PKNS dan KPS telah diminta untuk memanggil mesyuarat khas lembaga pengarah bagi kedua-dua konsesi tol ini bagi menyatakan pendirian kerajaan negeri berhubung isu kenaikan kadar tol," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor di sini hari ini.
 
Sebelum ini, beberapa syarikat konsesi lebuh raya utama termasuk di Lembah Klang mengumumkan kenaikan kadar tol antara 10 sen dan RM6 berkuat kuasa hari ini.
 
Ia melibatkan Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK), Lebuhraya Maju Expressway (MEX), Lebuhraya Kajang-SILK, Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE), Syarikat Mengurus Air Banjir dan Terowong (SMART), Lebuhraya KL-Kuala Selangor (LATAR), Lebuhraya Sungai Besi (BESRAYA), Lebuhraya Baru Pantai (NPE), Lebuhraya Kajang Seremban (LEKAS), Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), Lebuhraya SPRINT dan Lebuhraya Cheras-Kajang (GRAND SAGA).
 
 

Jamal tetap mahu teruskan demo anti-k'jaan S'gor

Posted: 15 Oct 2015 05:02 AM PDT

Radzi Razak


 


Orang kuat disebalik himpunan 'baju merah' pada 16 September lalu, Datuk Jamal Mohd Yunus mahu meneruskan himpunan anti-kerajaan negeri Selangor pada 18 Oktober ini.

Malah, ketua Umno bahagian Sungai Besar itu memaklumkan beliau sedang merancang untuk melakukan siri jelajah di Selangor selama enam bulan, bermula dengan perhimpunan di Ampang, Ahad ini.

Jamal berkata beliau juga telah menghantar notis kepada pihak polis dan meminta pihak berkuasa melakukan kerja mereka.

Saya tidak mencabar pihak polis atau pihak berkuasa. Saya cuma nak beritahu 18 Oktober ini kami tetap akan mengadakan perhimpunan itu.

"Kami tidak jangkakan kehadiran ramai orang, anggaran kami sekitar 5,000 orang. Ini adalah siri jelajah.

"Selepas ini, kami akan berhimpun di Kelana Jaya dan Subang... siri jelajah ini akan dilakukan dalam masa enam bulan sebelum kita kumpulkan ratusan ribu dalam satu himpunan," katanya kepada pemberita di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya, hari ini.

Minggu lalu, Jamal mengumumkan akan mengadakan perhimpunan "Selamatkan Negeri Selangor daripada Kerajaan Pakatan Cacamarba" pada Ahad ini di Ampang.

Jamal pada mulanya bercadang mengadakan satu perhimpunan di Kajang sebaik sahaja beliau dibebaskan selepas ditangkap susulan kenyataannya berkaitan kemungkinan rusuhan di Jalan Petaling, Kuala Lumpur.

Pengerusi Gabungan NGO Melayu itu berkata tindakan itu dibuat kerana presiden PKR dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kajang Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail didakwa tidak memenuhi janji pilihan raya kecil kawasan itu dua tahun lalu.

Jamal kemudian membatalkan hasrat mengadakan demonstrasi di Kajang sebaliknya mensasarkan pentadbiran Selangor bawah Menteri Besar Mohamed Azmin Ali.

Tol di Selangor

Sementara itu, Jamal juga mahu kerajaan negeri Selangor bertanggungjawab terhadap kenaikan tol.

Katanya, ini kerana kerajaan Selangor memiliki 30 peratus keuntungan daripada syarikat konsesi tol yang beroperasi di negeri termaju di Malaysia itu.

"Kerajaan negeri Selangor menikmati royalti daripada 30 peratus saham dalam syarikat konsesi lebuh raya itu.

"Apa salahnya kerajaan negeri beri subsidi kepada syarikat konsesi ini. Ini satu cabaran kepada kerajaan Selangor yang hanya pandai bercakap sahaja," kata Jamal.

Zam jangka lebih ramai tinggalkan ‘kapal’ Najib

Posted: 15 Oct 2015 04:59 AM PDT

MALAYSIAKINI


 


Bekas Menteri Penerangan Tan Sri Zainuddin Maidin menjangkakan lebih ramai ahli Umno akan menjejaki langkah Datuk Saifuddin Abdullah meninggalkan parti itu kerana tidak mahu 'karam' bersama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak .

"Saifuddin nampak pengaruh Najib semakin terhakis, jadi beliau melompat sebelum kapal tenggelam. Saya berpendapat lebih ramai akan melompat sebelum kapal Umno karam," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Zainuddin berkata imej kesederhanaan Najib semakin terhakis kerana perdana menteri gagal menyatakan pendiriannya berhubung beberapa isu.

"Sebagai contoh, sekolah satu aliran yang diperjuangkan oleh Utusan (Malaysia), jika beliau tidak bersetuju, beliau harus beritahu Utusan (akhbar milik Umno) supaya henti menyiarkan isu itu.

"Sama juga dengan (demo) baju merah, beliau membiarkan perhimpunan itu dan kemudian membidasnya," kata Zainuddin yang mesra dengan panggilan Zam dan juga pernah menerajui Utusan.

Beliau juga mendakwa tindakan Saifuddin meninggalkan Umno memberi kesan lebih buruk kepada Najib berbanding Umno.

"Umno tidak rugi tetapi ini akan menjejaskan imej kesederhanaan Najib," katanya lagi.

Menurut Zainuddin, tindakan ahli beramai-ramai meninggalkan Umno akan menjejaskan parti tetapi pada masa yang sama beliau yakin tindakan itu bakal menyaksikan mereka bersatu pada kemudian hari.

Saifuddin mengetuai Gerakan Moderate Global sebuah badan keamanan dunia yang diilhamkan oleh Najib ketika ucapannya pada sidang Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu pada 2010.

Beliau meninggalkan Umno hari ini dan menyertai PKR dengan alasan tidak puas hati dengan cara kerajaan mengendalikan skandal 1MDB.


PKNS, KPS diarah desak bantahan kenaikan tol

Posted: 15 Oct 2015 04:11 AM PDT

Azmin Ali
Azmin Ali


SHAH ALAM – Kerajaan Selangor mengarahkan dua anak syarikatnya meskipun sekadar pemegang saham minoriti dalam konsesi Lebuhraya Shah Alam (Kesas) dan Lebuhraya Damansara–Puchong (LDP) untuk mendesak mesyuarat khas lembaga pengarah membantah kenaikan kadar tol.

Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali berkata, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) yang memiliki 30 peratus saham minoriti dalam konsesi Lebuhraya Kesas sejak 1993 dan Kumpulan Perangsang Selangor Berhad (KPS)  sebanyak 20 peratus dari 1999 memaklumkan bahawa sehingga hari ini tiada sebarang mesyuarat lembaga pengarah diadakan membincangkan kenaikan tol ia sekadar makluman.

"Kenaikan kadar tol berkuatkuasa hari ini tidak dibawa dalam mesyuarat lembaga pengarah oleh itu Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) telah mengarahkan PKNS dan juga KPS untuk menulis surat kepada Kesas dan juga Sprint untuk mendesak satu mesyuarat khas lembaga pengarah dipanggil bagi membincangkan perkara ini dan dalam mesyuarat tersebut kerajaan negeri telah mengarahkan kedua-dua anak syarikat membantah dan menolak kenaikan kadar tol tersebut.

"Walaupun kita adalah pemegang saham minoriti dan tidak mempunyai kata pemutus tetapi mereka perlu mewakili pendirian kerajaan negeri yang tidak membenarkan sebarang kenaikan tol ketika ini," katanya ketika ditemui selepas mempengerusikan MTES di sini, hari ini.

Beliau yang juga Pengerusi PKNS menegaskan meskipun kerajaan negeri tidak mempunyai kuasa pemutus dan sekadar pemegang minoriti dalam syarikat konsesi lebuhraya namun dasar Selangor membantah kenaikan tol yang tidak bertanggungjawab dan menekan kehidupan rakyat semakin terhimpit akibat kegawatan ekonomi serta kejatuhan nilai ringgit.

"Pertama kita kena tolak dulu bantah dan kemudian kita lihat opsyen  lain bagaimana boleh membantu meringankan bebanan rakyat.

"Kita ada mencadangkan dalam MTES bahawa kerajaan persekutuan sepatutnya menggunakan perolehan dari hasil kutipan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) untuk membiayai dan meneruskan pembayaran pampasan kepada syarikat konsesi," katanya.

Timbalan Presiden PKR itu berkata, dimaklumkan perolehan daripada kutipan GST itu besar lebih daripada RM 6 bilion seperti diumumkan.

"Mengapa tidak menggunakan perolehan GST ini untuk meringankan bebanan rakyat tetapi menggunakan kesempatan seperti ini untuk terus menekan kehidupan rakyat khususnya pengguna lebuh raya.

"Bagaimanapun selaku pemegang saham minoriti dan tidak ada kata pemutus cuma gunakan wakil kita untuk membantah kenaikan tol tersebut dan sama ada berjaya meyakinkan lembaga pengarah itu, ia akan diputuskan dalam mesyuarat akan datang," katanya.

Beliau menyatakan, keputusan kerajaan persekutuan membenarkan kenaikan  kadar tol di 18 lebuhraya di seluruh negara berkuatkuasa hari ini adalah tidak bertanggungjawab dan amat dikesali.

Menurutnya, kenaikan tol di antara 10 sen sehingga RM4.70 hanya akan membebankan rakyat dalam keadaan ekonomi negara yang semakin gawat dan kos sara hidup yang semakin tertekan.


TPP perlu dibentang di Parlimen Jan 2016

Posted: 15 Oct 2015 04:07 AM PDT

SINAR HARIAN



Mustapa Mohamed
Mustapa Mohamed
 
 
KOTA KINABALU - Dokumen Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) perlu dibentangkan di Dewan Rakyat pada pertengahan Januari depan, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Beliau menjelaskan Malaysia tidak boleh lewat daripada dua minggu pertama tahun 2016 untuk membuat keputusan sama ada menandatangani perjanjian tersebut atau tidak.

"Masalahnya minggu ini ada pembentangan bajet negara, jadi kita tidak boleh ganggu proses itu.

"Sudah tentu saya akan berbincang dengan Speaker (Dewan Rakyat) bagi mendapatkan tarikh (untuk bentangkan TPPA)," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ceramah mengenai TPPA pada Program Outreach Perjanjian Perdagangan Bebas kementeriannya di sini, hari ini.

Rundingan TPPA dimuktamadkan pada 5 Oktober lalu di Atlanta, Amerika Syarikat (AS) dan teks dokumen dijangka disiapkan penghujung bulan ini. 

Rundingan TPPA yang julung kali dilancar pada 2005 membabitkan 12 negara - Australia, Brunei, Kanada, Chile, Jepun, Malaysia, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura, AS dan Vietnam.

Mustapa berkata TPPA merupakan perjanjian paling kontroversi yang memerlukan kerajaan memberi penerangan secara menyeluruh mengenai pro dan kontra.   

Menurut beliau kebanyakan perbincangan mengenai TPPA pada masa sekarang lebih berdasarkan kepada spekulasi.

Katanya kerajaan perlu melakukan pusingan lain perbincangan dokumen itu walaupun sudah terdapat kepastian mengenainya sebaik dokumen dikeluarkan. - Bernama


MH17: Rusia nafi guna peluru berpandu 9N314M

Posted: 15 Oct 2015 04:06 AM PDT

MH17
Kemusnahan pada pesawat MH17 kesan dari serangan peluru berpandu. – Foto Bernama


KUALA LUMPUR - Moscow menafikan sekeras-kerasnya dakwaan yang dibuat Lembaga Keselamatan Belanda (DSB) yang memutuskan pesawat MH17 ditembak jatuh oleh misil BUK buatan negara tersebut.

Duta Besarnya ke Malaysia, Valery N Yermolov berkata, Moscow tidak lagi memiliki peluru misil BUK jenis 9N314M kerana ia tidak lagi digunakan sejak 2011.

Beliau turut mendakwa peluru berpandu jenis itu turut dimiliki negara-negara lain.

"Saya agak terkejut mendengar pemimpin Malaysia mengeluarkan kenyataan terhadap laporan itu bahawa MH17 telah ditembak jatuh oleh peluru berpandu buatan Rusia.

"Banyak bekas negara Kesatuan Soviet yang ada peluru berpandu itu malah sebahagian ahli Nato  (Perjanjian Pakatan Atlantik Utara) seperti Greece juga ada peluru berpandu ini. Peluru berpandu BUK ini bukan sahaja dibuat oleh Rusia tapi juga bekas negara Kesatuan Soviet," katanya pada sidang media di Kedutaan Rusia di sini, hari ini.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam status Facebooknya mengulas bahawa berdasarkan laporan akhir nahas MH17, pesawat itu disahkan telah ditembak oleh peluru berpandu buatan Rusia yang dilancarkan dari wilayah yang dikuasai pemberontak di timur Ukraine.

Menurut Valery, Malaysia tidak sepatutnya menuding jari kepada sesiapa yang bertanggungjawab terhadap tragedi tersebut.

"Malaysia jangan tuding jari dan jangan salahkan sesiapa bertanggungjawab dalam tragedi ini. Kami melihat banyak yang Malaysia buat untuk cari kebenaran seperti Rusia. Kami juga mahu membawa pesalah ke pengadilan.

"Malah dalam laporan Belanda sebelum ini juga menyebut bahawa mereka tidak dapat menyatakan mana asal peluru itu ditembak tapi mereka sebut pelancaran itu dari kawasan Timur Ukraine...," katanya.

Menjawab pertanyaan media, Valery mengesahkan bahawa peluru berpandu yang disebut dalam laporan akhir itu tidak lagi digunakan Rusia sejak 2011.

"Ya (peluru berpandu itu tidak lagi digunakan pihak berkuasa Rusia). Peluru berpandu itu dibuat pada 1986...ia boleh digunakan untuk 25 tahun sahaja.

"Pada 2011, peluru berpandu ini telah dilupuskan dalam ketenteraan Rusia. Tapi kami tahu bahawa tentera Ukraine memiliki 520 peluru berpandu sehingga kini," katanya.

Kelmarin, Lembaga Keselamatan Belanda mengesahkan MH17 ditembak jatuh dengan peluru berpandu darat ke udara BUK jenis 9N314M di ruang udara timur Ukraine tahun lepas.

Pengerusinya Tjibbe Joustra berkata, peluru berpandu itu meledak di sebelah kiri kokpit pesawat berkenaan.

Pesawat MH17 ditembak jatuh ketika terbang pada ketinggian 30,000 kaki dan terhempas di kawasan bergolak Ukraine berhampiran sempadan Rusia pada 17 Julai 2014.

Kesemua 283 penumpang dan 15 anak kapal pesawat Boeing 777 itu, yang dalam perjalanan ke Kuala Lumpur dari Amsterdam, terkorban.


Rasuah: Anwar saman Dr Mazlan

Posted: 15 Oct 2015 04:02 AM PDT

SINAR HARIAN



Anwar Ibrahim
Anwar Ibrahim - Foto Sinar Harian oleh ROSLI TALIB


KUALA LUMPUR - Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini memfailkan saman fitnah terhadap bekas calon BN Permatang Pauh dan dua lagi atas dakwaan mengaitkannya terlibat dengan rasuah membabitkan badan kehakiman dan Pejabat Peguam Negara, dua tahun lalu.

Anwar, 64, memfailkan saman itu di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Sivil dengan menamakan Dr Mazlan Ismail, Sistem Televisyen Malaysia (TV3) dan Utusan Melayu (M) Bhd sebagai defendan pertama hingga ketiga.

Dalam saman yang difailkan melalui firma Guaman Tetuan Karpal Singh & Co itu, Anwar mendakwa Mazlan telah menyebabkan TV3 menyiarkan perkataan fitnah yang disiarkan di Buletin Utama pada 8 malam, 2 Ogos 2013.

Anwar juga mendakwa Mazlan menyebabkan perkataan fitnah itu diterbitkan di akhbar Utusan Malaysia bertarikh 3 Ogos 2013.

Dia mendakwa Mazlan mengadakan persidangan media yang mengandungi perkataan fitnah itu.

Anwar mendakwa perkataan fitnah itu merupakan fitnah serius dan berniat jahat oleh defendan yang membawa maksud beliau seorang yang tidak beretika, terlibat dalam rasuah, melakukan aktiviti berunsur jenayah, tidak jujur dan tidak bermoral.

Anwar menuntut ganti rugi am, teruk, dan teladan serta perintah injunksi yang menghalang defendan daripada mengulangi atau menyiarkan semula perkataan fitnah itu. - Bernama


Pas, Perkasa tiada hubungan politik

Posted: 14 Oct 2015 10:41 PM PDT

Takiyuddin Hassan


SHAH ALAM -  Pertemuan antara Pas dan Perkasa sekadar bersependapat dalam isu nasional tanpa niat menjalinkan kerjasama dalam soal politik, kata Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan.

Katanya, Pas telah lama membangkitkan perkara itu dan merupakan pendirian parti sebelum ini.

"Tiga perkara yang dipersetujui bersama, soal RCI dalam isu 1MDB (1Malaysia Development Berhad), Sosma dan perjanjian TPP (Perkongsian Trans-Pasifik) adalah isu yang ditentang oleh Pas sebelum ini," katanya.

Menurutnya, Pas tiada hubungan politik dengan Perkasa dan itu pendirian diambil kepimpinan Pas pusat.

 Jelas Takiyuddin, pertemuan itu atas permintaan Perkasa sebagai kunjung hormat kepada Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

"Polisi kita terbuka, menerima kunjungan pelbagai pihak sama ada NGO itu Melayu, Cina, India dan luar negara juga kita terima.

"Perkasa adalah NGO dan Pas adalah parti politik. Pertemuan itu atas dasar NGO sahaja bukan politik," katanya lagi.

Tambahnya, Pas bukanlah parti yang terdesak untuk meraih sokongan seperti mana yang didakwa segelintir pihak.

"Tidak sama sekali, kita parti politik sudah lama, lebih 60 tahun. Kita ada penyokong kita sendiri. Ahli kita sahaja lebih sejuta," katanya.

Takiyuddin berkata, penganjuran Kongres Rakyat baru-baru ini membuktikan parti itu mendapat sokongan lebih 200 NGO.

"Kalau kita nak sokongan Perkasa, tidak betul sama sekali. Kita ada 200 NGO,  kecil, besar yang terdiri daripada pelbagai kaum menyokong kita.

"Kita parti politik lama, sudah banyak jatuh bangun. Kerjasama kita dengan sesiapa sahaja, tidak semestinya hubungan politik. Dakwaan itu tidak benar," katanya.

Kelmarin, kepimpinan Perkasa mengadakan kunjungan hormat ke atas Abdul Hadi dan pimpinan Pas di ibu pejabat parti itu di Jalan Raja Laut.

Pada pertemuan itu, tiga perkara dipersetujui bersama iaitu menyambut baik titah Majlis Raja-raja Melayu berkenaan isu membabitkan syarikat 1MDB.

Dua perkara lain yang dipersetujui adalah membebaskan bekas Naib Ketua Umno Bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan, dan peguamnya, Matthias Chang yang ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) atau Sosma 2012, serta meminta Putrajaya benar-benar telus dalam isu perjanjian TPP.


Ucapan Najib sempena Ma'al Hijrah ...

Posted: 14 Oct 2015 10:35 PM PDT



Oleh Aspan Alias 


Najib telah menasihati kita semua supaya mengenal apa itu Islam yang sebenar agar kita tidak terpedaya dengan segala gejala yang menentang Islam itu sendiri. Saya amat tertarik dengan ucapan beliau semasa menyambut kedatangan tahun baru hijriah 1437 semalam. Saya sangat merasa bingung dengan apa yang diucapkan beliau kerana apa yang diucapkan beliau itu adalah benar belaka tetapi persoalannya adakah beliau sendiri telah melaksanakan tuntutan Islam itu sendiri.

Beliau menyeru supaya kita orang Islam tidak membenarkan tersebarnya pengaruh tempatan dan antarabangsa untuk memecahkan Islam dan beliau berjanji untuk memajukan negara berlandaskan islam sebagai nadi pentadbiran beliau. Ucapan itu adalah ucapan yang telah disediakan tetapi beliau patut menyedarkan diri beliau sendiri yang beliau lah yang sangat perlu membuat 'soul searching' dan menilai diri sendiri samada segala elemen dalam pentadbiran beliau itu semuanya berlandaskan Islam. Adalah tidak mencukupi jika beliau hanya membaca teks yang telah tersedia tetapi segala isi kandungan teks ucapan beliau itu sesungguhnya diarah dan ditujukan kepada beliau sendiri.

Setahu saya yang tidak begitu mahir tentang agama ini ingin juga bertanya kepada Najib, adakah membazirkan wang rakyat dan tidak berusaha untuk memperbaiki keadaan pentadbiran negara itu adalah unsur agama kita yang suci? Adakah menyalahgunakan kedudukan dan mempermainkan rakyat dengan berbagai tipu helah sebagaimana yang dipersepsikan oleh rakyat terhadap beliau itu merupakan satu unsur Islam?

Adakah menggunakan pengaruh sebagai Perdana Menteri dengan menjadi orang yang penting dalam syarikat kerajaan dengan mengambil keputusan dalam semua hal perniagaan dan kewangan 1MDB itu berunsurkan agama Islam suci kita?

Adakah dengan mengubah dan melakukan 'displacement' terhadap jawatankuasa penyiasat terhadap 1MDB itu satu dari tuntutan agama kita? Menggagalkan usaha penyiasatan kerana untuk menutupi kesalahan diri sendiri itu adalah sangat bertentangan dengan kehendak Islam itu sendiri.

Melakukan tindakan untuk mencari kebenaran dengan menukar serta menganjak dan mengalih pegawai penyiasat itu tidak perlu mendengar nasihat pakar agama kerana orang yang begitu tidak begitu mengerti dan memahami agama dengan mendalam ini pun tahu tindakan itu salah dan bertentangan dengan agama kita. Orang yang tidak mendalami ilmu agama pun tahu yang makan rasuah itu adalah kerja yang lebih hina dari memakan daging saudaranya sendiri.

Kita hendak menyebut ini kerana beliau adalah pemimpin. Jika orang percaya dengan kata-kata beliau ini maka orang ramai akan beranggapan yang Islam membenarkan dan bebas menyalahgunakan wang rakyat tanpa had. Kita khuatir orang ramai akan terpedaya dengan kata-kata beliau yang membuang pegawai kerajaan kerana takut rakyat mengetahui segala dosa dan noda kepimpinan itu dibenarkan oleh Islam.
Kita tidak mahu Islam itu dianggap sebagai agama yang mempertahankan kesalahan dan menjunjung kegagalan. Kita juga tidak mahu Islam itu dianggap sebagai agama yang menekan sesiapa yang ingin mencari kebenaran dan menangkap dan membawa mereka di depan penghakiman dan berniat untuk menutupi kesalahan sendiri.

Perpecahan yang disentuh oleh Najib itu juga merupakan perkara yang benar, tetapi Najib perlu tahu yang salah satu dari penyebab perpecahan itu berpunca dari ketidak yakinan rakyat terhadap kepimpinan beliau. Rakyat jelas mahu beliau berhenti sahaja dari memikul tanggungjawab negara tetapi beliau bertindak membelakangkan tekanan rakyat ini. Di sebaliknya beliau menggunakan pemimpin-pemimpin yang sudah tertutup hijab mereka untuk menyokong beliau walaupun itu bukannya sokongan rakyat.

Sempena kedatangan tahun baru hijriah ini elok kita ingatkan Najib dan penyokong beliau seperti Shahrir Samad dan lain-lain yang mereka perlu melakukan sesuatu untuk kebaikan diri mereka sendiri yang salah satu tuntutan ketuhanan ialah untuk kita berjaya membuka hijab kita agar kita akan mampu menentukan dan menilai yang mana yang hak dan mana yang batil. Jika kita berjaya membuka hijab kita maka kita tidak akan mendengar Shahrir Samad mengalihkan isu dari berusaha menyelesaikan masalah kepada membuat tuduhan terhadap pengkritik Najib itu sebagai kumpulan yang mempunyai agenda peribadi.

Jika hijab mereka terbuka mereka akan memberikan tumpuan yang lebih bagi mencari penyelesaian dengan meneliti tentang isu 1MDB dan isu 'derma' yang berbillion yang masuk ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri. Pengerusi Kelab Backbencher parlimen Malaysia itu sepatutnya membuat penyelidikan kenapa wang 'derma' yang dipindahkan ke Singapura itu di sitar oleh pihak penguasa negara itu. Selidiklah isu ini dengan teliti sebagai seorang ahli legislatif yang bertanggungjawab, bukannya menurunkan darjat beliau setahap dengan Ahmad Maslan, Salleh Said Keruak, Rahman Dahlan dan Adnan Mansor serta Ismail Sabri.

Najib perlu memberikan penjelasan kenapa beberapa orang individu yang terlibat dalam pemindahan wang secara haram seperti Nik Faizal dan Datuk Subuh sekarang sudah menjadi 'fugitive' negara. Sharir sepatutnya bantu rakyat untuk mencari mereka ini dan memberikan penjelasan kenapa mereka perlu melarikan diri jika tidak terlibat melakukan kesalahan seperti yang dituduh rakyat itu? Kenapa perlu lari keluar negara jika tidak bersalah?

Pendeknya apa yang disebut oleh Najib dalam ucapan beliau itu semuanya benar, tetapi seluruh ucapan dan nasihat yang terkandung dalam ucapan beliau itu sesungguhnya adalah nasihat untuk beliau sendiri.
Sementara itu ramai yang memberikan pandangan yang ucapan beliau itu meloyakan. Setengah yang lain berpendapat ia seperti ketam menyuruh anak berjalan dengan betul. Terpulanglah, timbang-timbanglah sendiri-http://aspanaliasnet.blogspot.my

‘Kerajaan BN ingkar janji’

Posted: 14 Oct 2015 10:35 PM PDT

Mohd Nor Hamzah
Mohd Nor Hamzah


MARANG - Pas Terengganu menyifatkan pengumuman kenaikan kadar tol di beberapa lebuh raya seluruh negara adalah antara siri pengingkaran janji kerajaan BN dalam PRU13 lalu, yang memberi kesan dan menekan kehidupan rakyat bawahan.

Ketua Penerangan Pas Terengganu, Mohd Nor Hamzah berkata, walaupun kenaikan kadar tol hanya berlaku di sekitar Kuala Lumpur, tetapi ia tetap beri kesan kepada kenaikan harga barang kerana pusat ekonomi negara ada di sana.

"Bagi lebuh raya yang lain, saya percaya kenaikan tol akan berlaku dalam masa terdekat kerana dikatakan kadar tol sudah lama tidak dinaikkan. Saya percaya tunggu masa (untuk diumumkan) sahaja.

"Apatah lagi kenyataan Menteri Besar (Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman) dalam Sidang Dun, Mei lalu, yang memaklumkan kutipan tol LPT2 akan bermula selepas September. Saya yakin rakyat Terengganu akan dihadiahkan dengan kadar tol baru.

"Ia menambah lagi keperitan rakyat kerana baru minggu lepas, kerajaan umum kenaikan harga minyak, walaupun harga minyak di pasaran dunia hanya berlegar di bawah USD50 sebarrel," katanya.

Menurut Mohd Nor, kerajaan menaikkan harga bahan api mengikut harga pasaran semasa harga minyak dunia tinggi, namun ketika harga minyak dunia turun, kerajaan menggunakan alasan nilai ringgit pula jatuh.

"Persoalan sekarang, kenapa RM jatuh? Apa penyebab utama? Mungkin faktor kenaikan harga minyak dunia di luar kawalan kita, tapi kejatuhan nilai mata wang adalah sebaliknya.

"Ini jelas dengan kritikan bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainudin bahawa kejatuhan RM kerana pelabur sudah hilang keyakinan kepada kerajaan di bawah pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak. Najib gagal meyakinkan pelabur bahawa ekonomi negara berada dalam keadaan baik dan kukuh," katanya.

Beliau yang juga Adun Bukit Payong berkata, mungkin pelabur yakin dengan keadaan ekonomi negara berada dalam keadaan baik sekiranya pelbagai isu seperti 1MDB, GST, TTPA, penangkapan menggunakan Sosma dan kejatuhan teruk saham FGV, tidak diselesaikan.

"Isu-isu ini sebenarnya menekan hidup rakyat bawahan kerana apa-apa kesan buruk ekonomi yang berlaku, ia akan terkena kepada rakyat bawahan dahulu yang tinggal di kampung dan felda di seluruh negara, " katanya.


Kereta terperosok bawah treler, enam sekeluarga maut di LPT2

Posted: 14 Oct 2015 10:08 PM PDT

BERNAMA

 

LPT2 -1
Keadaan kereta Toyota Camry yang remuk teruk selepas merempuh lori treler di kilometer 258.8, Leburaya Pantai Timur (LPT2) yang menyebabkan enam sekeluarga maut hari ini. - Foto Bernama


KEMAMAN- Enam sekeluarga maut selepas kereta yang dinaiki mereka terbabas sebelum terperosok ke bawah sebuah treler yang berhenti di lorong kecemasan di Kilometer 258.8, Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) berhampiran kawasan rehat dan rawat (R&R) Perasing, di sini tengah hari ini.

Mereka yang maut dikenali sebagai pemandu kereta Azaman Ramli, 49, isterinya Noor Akmal Mohd Zain, 48, Noor Amira Syahirah Alias, 22, Aliff Hateem Azaman, 16, Aliff Hakim Azaman, 12 dan Aqeel Muslim Abdullah, 3 tahun.
LPT2 -2
Enam sekeluarga, dari kiri Aliff Hakim Azaman, 12, Noor Amira Syahirah Alias, 22, Noor 
Akmal Mohd Zain, 48, Aqeel Muslim Abduulah, tiga, Azaman Ramli, 49, dan Aliff Kateem Azaman, 16, maut dalam kemalangan melibatkan sebuah kereta dan lori treler di kilometer
258.8, Leburaya Pantai Timur (LPTII), Rabu. Anak sulung Azaman, Puteri Nabila, 19,
(depan) selamat kerana tidak menyertai ahli keluarganya yang lain. – Foto Bernama
Ketua Polis Daerah Kemaman, Supt Mohd Said Ibrahim hari ini berkata kesemua mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada bahagian kepala dan anggota badan selepas tersepit di dalam kenderaan itu.

Mohd Said memberitahu kejadian 12.30 tengah hari itu berlaku semasa hujan lebat dan keadaan jalan agak licin.

"Ketika kejadian, kesemua mangsa dalam perjalanan dari arah Kuala Terengganu menghala ke Kuantan sebelum kenderaan jenis Toyota Camry itu dipercayai hilang kawalan.

"Keadaan itu menyebabkan kenderaan tersebut berpusing sebelum bahagian belakang kereta itu terperosok di bawah lori treler berkenaan yang berhenti di lorong kecemasan," katanya kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian.
LPT2 -3
Sebuah kereta jenis Toyota Camry terbabas sebelum terperosok ke bawah sebuah lori treler 
dalam kemalangan yang berlaku di Kilometer 258.8 Lebuhraya Pantai Timur (LPT2) yang menyebabkan enam sekeluarga maut hari ini. – Foto Bernama
Semasa kejadian, pemandu lori treler yang berusia 35 tahun itu dipercayai sedang tidur di dalam kenderaan itu dan tidak menyedari tentang kemalangan itu sehingga diberitahu oleh pengguna jalan raya yang lain.

Bagaimanapun, Mohd Said berkata pemandu lori yang berasal dari Kelantan itu tidak mengalami sebarang kecederaan.

Jelasnya kesemua mangsa kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Kemaman untuk bedah siasat.
Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang melihat dan mempunyai maklumat berhubung nahas itu tampil ke balai polis Kemaman bagi membantu siasatan.
LPT2 -4
Anggota bomba mengambil masa lebih sejam untuk mengeluarkan kesemua mangsa yang 
tersepit di dalam kenderaan. – Foto Bernama
Sementara itu, Ketua Zon II Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu Penguasa Kanan Bomba II, Azmi Abdul Rahim Ibrahim, berkata anggota bomba mengambil masa lebih sejam untuk mengeluarkan kesemua mangsa yang tersepit di dalam kenderaan.

"Ketika tiba di tempat kejadian, didapati hampir keseluruhan bahagian kereta itu terperosok di bawah treler berkenaan," katanya.

Katanya, seramai 25 anggota dengan dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Cheneh serta Gambang bergegas ke tempat kejadian sebaik menerima laporan kejadian 12.36 tengah hari.

‘DBKL, beri masa kami pindah niaga tempat lain’

Posted: 14 Oct 2015 10:03 PM PDT

BERNAMA

 

downtown
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) diminta untuk memberi lebih banyak masa kepada 650 peniaga serta penjaja kecil di Pasar Malam Downtown Cheras untuk mengosongkan tempat tersebut bagi membolehkan mereka mencari kawasan baharu. - Foto Kredit kldowntown.com


yunus
Presiden Persatuan Pengasih Malaysia, Datuk Mohd Yunus Pathi – Foto Bernama
KUALA LUMPUR, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) diminta untuk memberi lebih banyak masa kepada 650 peniaga serta penjaja kecil di Pasar Malam Downtown Cheras untuk mengosongkan tempat tersebut bagi membolehkan mereka mencari kawasan baharu.

Presiden Persatuan Pengasih Malaysia, Datuk Mohd Yunus Pathi, yang merupakan pengurus dan pentadbir Downtown Cheras berkata pihaknya kesal apabila DBKL menghantar surat notis meminta semua peniaga dan penjaja mengosongkan tempat itu sehingga 1 November ini sebelum pihaknya sempat mencari kawasan baharu.

"Kami terkejut apabila menerima notis pengosongan tersebut pada 7 Oktober lalu sedangkan kami sudah berbincang dan berunding dengan pihak DBKL agar memberi masa yang cukup untuk berpindah setelah mendapat kawasan lain untuk berniaga," katanya yang dilapor Bernama.

Mohd Yunus berkata jika pihak DBKL masih mahu meneruskan tindakan notis itu, ia akan menjejaskan pendapatan para peniaga dan penjaja sepenuh masa yang kebanyakannya berpendapatan rendah untuk mencari nafkah.

Katanya, notis pengosongan itu dikeluar bagi memberi laluan kepada pembinaan bangunan baru Jakel yang dikatakan akan dibina di situ tidak lama lagi.

"Kini kami masih mencari kawasan baharu yang sesuai dan ia sedang dalam proses permohonan untuk mendapatkan kebenaran daripada pihak DBKL.

"Sebaik permohonan tempat baharu itu diluluskan, kami akan pindah serta-merta," katanya yang tidak menamakan tempat tersebut.

Empat pistol dirampas, individu disyaki geng jenayah ditahan

Posted: 14 Oct 2015 09:53 PM PDT

BEN TAN

 

ketua polis negara
Khalid memuji kejayaan STAFOC dan JSJ Johor dalam Twitter miliknya. Foto fail TRP/ Siti Syahirah


JOHOR BARU,  Polis merampas empat pistol daripada beberapa individu disyaki penjenayah dalam sebuah rumah di Skudai, dekat sini, lewat semalam.


Serbuan dan rampasan telah dijalankan oleh pasukan dari Pasukan Petugas Khas Melawan Jenayah Terancang (STAFOC).

Pasukan itu turut dibantu beberapa pegawai dan kakitangan dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ).

STAFOC adalah sebuah unit elit polis persekutuan dengan keupayaan pelbagai tugas ditubuhkan pada Januari tahun lepas untuk mengurus dan menangani jenayah yang serius, sindiket haram, gangsterisme, perjudian, maksiat dan perdagangan manusia.

Beberapa individu, dipercayai sebahagian daripada geng jenayah lebih besar, ditangkap dan kini dalam tahanan polis.

Difahamkan, serbuan yang sebahagian daripada Ops Cantas Khas yang sedang dijalankan, diadakan pada jam 10.30 malam.

Susulan itu, polis turut membuat sekatan jalan raya sebagai sebahagian daripada pemeriksaan pencegahan jenayah di beberapa daerah di selatan Johor, malam tadi.

Dalam taklimat menerusi Twitter pada jam 11.48 malam tadi, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar mengucapkan tahniah kepada STAFOC dan pasukan JSJ Johor untuk kejayaan mereka.

"Syabas STAFOC dan JSJ Johor @PDRMsia tadi berjaya merampas 4 pucuk pistol di Tmn (Taman) Skudai, JBaru (Johor Baru) dari ahli Kump (Kumpulan) Penjenayah. Go PDRM (Polis DiRaja Malaysia) Go," tulisnya dalam akaun Twitter miliknya malam tadi.

Difahamkan, senjata yang dikenal pasti sebagai 9 milimeter (mm) pistol separa automatik, telah dihantar ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor dekat sini, untuk dianalisis dan diperiksa jika ada dilaporkan hilang
Pada masa sama, pistol itu juga akan menjalani ujian balistik untuk menentukan sama ada ada digunakan dalam beberapa kes tembakan di negeri ini sejak April tahun ini.

Polis dijangka mengadakan sidang media mengenai perkara itu tidak lama lagi.

PAS tak sendirian walaupun tidak bersama Pakatan Harapan - Takiyuddin

Posted: 14 Oct 2015 05:36 PM PDT

 Oleh Sharifah Azmawati Syed Abdul Aziz

 
Post Pic


KUALA LUMPUR: Walaupun tidak menyertai gabungan baru parti pembangkang Pakatan Harapan, PAS tidak bersendirian serta boleh menjalin kerjasama dengan banyak lagi parti-parti lain, tegas Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan.

Katanya, setakat ini pun ada kira-kira 20 parti yang PAS boleh jalinkan kerjasama walaupun tidak menganggotai pakatan pembangkang baru itu.

"Kita putuskan dalam konteks lain kita bersendirian, tetapi tidak bermaksud kami bersendirian. Kita mungkin kalaupun tidak bersama DAP dan Amanah, kita bersama dengan PKR dan mungkin ada parti-parti lain.

"Ada beberapa parti yang baru sahaja berdaftar dengan ROS, 20 parti-parti kecil yang telah didaftarkan dan telah diterima oleh ROS. Jadi banyak lagi parti-parti politik lain.

"Yang baru ada, yang lama ada (parti), banyak. Jadi kami tidak bergantung kepada parti yang kukuh sahaja," katanya semalam.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali yang masih mengharapkan PAS menyertai pakatan pembangkang baru itu yang turut dianggotai DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah).

Kelmarin, Mohamed Azmin berkata, PKR mahu melihat keanggotaan pakatan pembangkang baru itu diperluaskan kepada Parti Sosialis Malaysia (PSM) serta parti-parti pembangkang di Sabah dan Sarawak.

Menurut beliau, PKR turut menggesa sekutu-sekutunya dalam pakatan pembangkang untuk menghentikan perbalahan sesama sendiri dan jangan mencampuri urusan dalaman parti lain.

Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu berkata, bagi PAS kerjasama dengan pakatan pembangkang setakat ini hanya melibatkan PKR.

"Setakat ini kita masih bersama dengan PKR sahaja, jadi untuk parti-parti lain buat masa ini kita belum buat keputusan apa-apa," ujarnya.

Terdahulu Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim berkata, PAS tiada masa untuk melayan kerenah bekas rakan komponennya dalam Pakatan Rakyat, DAP yang kerap menjadikan PAS sasaran serangannya di samping mendakwa serik terkena banyak kali dengan permainan politik DAP.

"Bagi PAS dengan DAP ini (sudah dua tiga kali) terkena.

"Dulu DAP tarik diri daripada Barisan Alternatif (BA), kemudian DAP 'serang' PAS selepas muktamar dan selepas dengan muktamar ini, kita tidak mungkin buat kerjasama dari segi politik.

1MDB bukan lagi di bawah siasatan

Posted: 14 Oct 2015 05:33 PM PDT

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Syarikat milik penuh kerajaan, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tidak lagi di bawah sebarang siasatan selepas Peguam Negara memperakukan ia tidak melakukan sebarang kesalahan sebagaimana yang didakwa Bank Negara sebelum ini.
 
"Peguam Negara, setelah mengkaji semua dokumen berkaitan yang terkandung dalam kertas siasatan Bank Negara, mengguna pakai undang-undang berkaitan yang mengawal selia perkara tersebut serta mengesahkan bahawa 'tiada kesalahan dilakukan' oleh 1MDB.
 
"Pengesahan oleh Pejabat Peguam Negara memperkuatkan lagi kenyataan SPRM pada 22 September bahawa 1MDB tidak berada di bawah siasatan," kata syarikat itu dalam satu kenyataan hari ini.
 
Tambah syarikat berkenaan, mereka yang terus membuat tuduhan jenayah terhadap syarikat berkenaan perlu tampil memberikan bukti sekiranya mempunyai alasan untuk siasatan lain.
 
Syarikat berkenaan dalam pada itu juga menggesa pemimpin DAP, Tony Pua yang terus-terusan menuduh 1MDB agar mengemukakan bukti terhadap dakwaan yang dilemparkan.
 
"Ini adalah tuduhan jenayah yang serius, kami menggesa Pua untuk mengemukakan bukti yang nyata kepada pihak berkuasa untuk siasatan lanjut.
 
"1MDB secara konsisten menegaskan bahawa jika ada apa-apa bukti tentang salah laku, maka tindakan perlu diambil mengikut undang-undang.
 
"Bagaimanapun, jika beliau gagal mengemukakan bukti, maka Pua perlu berhenti membuat tuduhan liar dan tidak berasas yang jelas bermotifkan politik," kata kenyataan itu lagi.
 
 

Menteri: K'jaan tak harus terus tanggung pampasan tinggi

Posted: 14 Oct 2015 05:27 PM PDT

MALAYSIAKINI







Kerajaan berpendapat ia tidak harus terus menanggung pampasan yang sangat tinggi yang dibayar kepada syarikat konsesi lebuh raya dalam usaha mengekang kenaikan kadar tol, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar.

Beliau menarik perhatian bahawa kerajaan terpaksa membayar pampasan berjumlah RM510 juta bagi tempoh Januari-Oktober tahun ini susulan keputusan menangguhkan kenaikan kadar tol yang sepatutnya dilaksanakan pada Januari lepas.

Bercakap dalam program Soal Jawab terbitan TV3 malam tadi, beliau berkata jumlah itu lebih tinggi berbanding RM403 juta pampasan yang dibayar kepada syarikat konsesi pada tahun lepas.

"Kerana itulah kita membenarkan syarikat konsesi menaikkan kadar tol," katanya sambil menambah kenaikan itu dilakukan mengikut perjanjian konsesi yang dimeterai sebelum ini.

Beliau berkata kenaikan itu hanya melibatkan lebuh raya dalam bandar dengan kadar kenaikan maksimum RM1.

Menurut Abdul Wahid, langkah itu membolehkan kerajaan membelanjakan sumber kewangannya untuk kepentingan rakyat seperti menyediakan kemudahan seperti sekolah dan klinik.- Bernama


Azmin arah firma S'gor naikkan tol hadir MTES

Posted: 14 Oct 2015 05:17 PM PDT

MALAYSIAKINI


 


Dua syarikat milik kerajaan negeri Selangor yang mempunyai pegangan saham minoriti dalam dua lebuh raya di negeri itu hari ini diarahkan hadir ke mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES), esok.

Dua syarikat berkenaan- Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan Kumpulan Perangsang Selangor (PKS) - diarahkan supaya menjelaskan kenaikkan kadar tol yang berkuatkuasa esok.

"Saya telah minta PKNS dan Kumpulan Perangsang yang masing masing ada kepentingan minoriti dalam Kesas dan Sprint untuk hadir ke MTES esok.

"MTES akan meneliti maklumbalas dari PKNS dan KPS. Dasar Kerajaan Negeri adalah jelas membantah sebarang kenaikan tol yang membebankan rakyat," katanya dalam beberapa posting di twitter.

Menurut Laporan Tahunan PKS 2014, kerajaan negeri memiliki 20 peratus pegangan saham dalam Lebuh Raya Sprint.

PKNS pula mempunyai 30 peratus saham dalam Lebuh Raya Kesas.

Isnin lalu, sebanyak 18 syarikat konsesi lebuh raya mengumumkan kenaikan kadar baru tol selepas kerajaan menghentikan subsidi tol.

Penasihat 1MDB, Goldman Sachs dalam pemerhatian FBI

Posted: 14 Oct 2015 05:15 PM PDT

MALAYSIAKINI


 


Akhbar The Wall Street Journal melaporkan Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) dan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat sedang meneliti peranan Goldman Sachs yang bertindak sebagai penasihat kepada syarikat pelaburan negara 1MDB berhubung beberapa siri transaksi.

Memetik sumber, WSJ berkata siasatan ke atas Goldman Sach adalah pada peringkat pengumpulan maklumat dan setakat ini tiada petunjuk berhubung salah-laku.

"(Penyiasat) masih belum dapat memastikan sama ada perkara itu akan menjadi tumpuan mana-mana siasatan terhadap skandal 1MDB," kata seorang jurucakap FBI.

Goldman Sachs adalah penasihat 1MDB yang kini sarat hutang berhubung tiga pengambil-alihan dan menguruskan penjualan bon bernilai AS$6.5 bilion dengan yuran perkhidmatan sebanyak AS$600 juta.


Menurut laporan itu, eksekutif bank yang bertanggungjawab mendapatkan dana untuk 1MDB juga terbabit dalam urus niaga kontroversi dengan Lembaga Pelaburan Libya, yang kini menjadi subjek tuntutan mahkamah.

Muhyiddin: Fikir waras, siapa sebenar sabotaj negara?

Posted: 14 Oct 2015 05:12 PM PDT

Muhyiddin Yassin





Saya telah membaca beberapa kenyataan yang dibuat oleh segelintir pihak yang mendakwa bahawa saya telah membantah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan pada 12 Oktober lalu.

Dan ini kononnya bercanggah dengan pendirian saya menyokong SOSMA semasa di dalam kabinet dan ketika rang undang-undang Sosma dibentangkan di parlimen.

Pendirian saya tidak pernah berubah.

Saya menyokong Sosma untuk menangani kesalahan-kesalahan keselamatan yang menggugat keamanan dan ketenteraman awam.

Yang saya tidak bersetuju ialah penyalahgunaan Sosma yang bercanggah dengan tujuan asal akta ini digubal sepertimana yang berlaku dalam kes penahanan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dan Matthias Chang.

Tindakan mereka membuat laporan mengenai dakwaan salah laku 1MDB kepada pihak-pihak berkuasa dalam dan luar negara tidaklah boleh dikatakan sebagai satu tindakan sabotaj bawah Seksyen 124L Kanun Keseksaan, iaitu satu kesalahan keselamatan yang membolehkan penggunaan Sosma.

Bukankah mereka sekadar melaksanakan tanggungjawab sebagai warganegara yang prihatin?

Pendirian saya ini adalah selari dengan jaminan kerajaan ketika akta ini digubal bahawa ia tidak akan disalahgunakan untuk tujuan-tujuan lain, terutamanya yang bermotifkan politik.

Moga perjuangan diberkati

Ini termasuk mendiamkan pengkritik dan menyekat kebebasan rakyat untuk bersuara dan memberikan pandangan.

Jaminan ini adalah selaras dengan langkah transformasi politik yang diambil oleh kerajaan.

Adakah 1MDB terlalu kebal sehinggakan pihak yang mengkritik dan membuat laporan terhadapnya didakwa di mahkamah?

Seorang yang berfikiran waras pastinya akan bertanya siapakah yang sebenarnya mensabotaj sistem perbankan dan perkhidmatan kewangan negara?

Orang yang membuat laporan kepada pihak berkuasa supaya menyiasat dakwaan salah laku 1MDB atau orang yang mengakibatkan berbillion ringgit wang rakyat dalam 1MDB lesap?

Apakah pemimpin Umno harus berdiam diri dalam hal ini dan bersekongkol dengan para petualang?

Janganlah dibiarkan jiwa perjuangan yang mengalir dalam darah setiap pejuang Umno dibeli dengan harga yang murah.

Adalah menjadi tanggungjawab setiap pejuang Umno untuk bangkit menentang penyelewengan dan perompakan harta negara oleh pihak-pihak tertentu.

Barulah Umno akan disegani dan dihormati oleh rakyat seluruhnya dan diberkati perjuangannya oleh Allah SWT.

TAN SRI MUHYIDDIN MOHD YASSIN timbalan presiden Umno dan bekas timbalan perdana menteri. Kenyataan ini dimuatkan kali pertama di Facebook beliau sebentar tadi.

Tiada ulasan: