Selasa, 13 Oktober 2015

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


SOKONG SOSMA SEMASA DALAM KERAJAAN TIDAK BERERTI SETUJU IA DISALAHGUNAKAN

Posted: 13 Oct 2015 08:25 AM PDT

shahbudindotcom

 
 
 
Apabila Muhyiddin Yassin termasuk dalam senarai tujuh pemimpin yang mengeluarkan kenyataan bersama mengecam penggunaan undang-undang Sosma kepada penentang kerajaan, Pengarah Komunikasi Strategik BN, Abdul Rahman Dahlan pantas melakukan kritikannya terhadap Timbalan Presiden UMNO itu.

Dalam hujahnya, beliau mengingatkan bahawa Muhyiddinlah yang ketika itu Ketua Whip BN yang bersungguh-sungguh memastikan semua wakil rakyat parti itu mengundi bagi kelulusan Sosma di Parlimen.

Menulis di twitternya, Abdul Rahman yang juga Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata, "Sosma adalah lebih baik daripada ISA. Malah bekas Ketua Whip BN, TSMY memastikan semua Ahli Parlimen BN termasuk Ahli Parlimen Semporna mengundinya di Parlimen."

Abdul Rahman turut mempertahankan Sosma yang menurutnya lebih memberi peluang kepada pesalahnya melihat nasib mereka ditentukan di mahkamah berhanding ISA, selain menyindir pemerintahan 22 tahun Tun Mahathir Mohamad yang penuh warna warni serta menimbulkan "budaya ketakutan yang tidak dinafikan".

Semalam Tun Mahathir, Tengku Razaleigh Hamzah, Muhyiddin Yassin, Shafie Apdal, Tun Ling Liong Sik, Ong Tee Keat dan Sanusi Junid mengeluarkan kenyataan bersama mengecam penahanan Khairuddin Abu Hassan dan Mathias Chang di bawah Sosma yang dianggap suatu bentuk penyalahgunaan kuasa dan tindakan terdesak mendiamkan pengkritik.

Seiring dengan kenyataan bersama itu juga memperlihatkan Tun Mahathir dan Ku Li sudah duduk semeja dan seakan terus sehati sejiwa dalam fasa-fasa berikutnya untuk melakukan tekanan bagi pengunduran Najib Razak sebagai Perdana Menteri.

Apa yang Pengarah Strategik BN itu perlu faham dan hadam betul-betul ialah ketujuh-tujuh yang menentang Sosma itu kerana wujud unsur penyalahgunaan kuasa dan undang-undang itu dilakukan semata-mata untuk mendiamkan pengkritik Perdana Menteri.

Sosma yang digubal untuk menangani ancaman keganasan dan terrorisme, secara akal loginya tidak wajar dikenakan kepada seseorang yang hanya membuat laporan polis meminta siasatan dilakukan terhadap 1MDB.

Membuat laporan kepada pihak berkuasa, sama ada di dalam mahu pun di luar negara, bukanlah suatu bentuk keganasan atau ancaman kepada keselamatan negara kerana ia hanya merupakan satu tindakan mencari kebenaran terhadap 1MDB yang mungkin turut melakukan kesalahan di negara-negara terbabit.

Khairuddin dan Mathias barangkali boleh dianggap bersubahat dengan pengganas dan mengancam keselamatan negara jika mereka melaporkan mengenai 1MDB kepada kumpulan pengganas yang tidak diiktiraf seperti IS atau mana-mana kumpulan kiri dan haram di negara -negara Barat.

Ini mereka hanya membuat laporan kepada pihak polis di beberapa negara dan FBI saja, jadi apa masalahnya?

Kenapa kita rasa terancam bila laporan dibuat kepada pihak berkuasa keselamatan yang sah di luar negara? 

Kalau ada asas terhadap laporan itu, biarlah siasatan dijalankan? Kenapa sudah rasa tergugat dengan sekadar laporan polis, sedangkan penyiasatan mungkin dilakukan dan mungkin tidak?

Peranan Muhyiddin selaku Ketua Whip semasa menjadi Timbalan Perdana Menteri hanyalah untuk memastikan undang-undang itu diluluskan yang ketika digubal jelas tujuan dan matlamatnya, tetapi ia tidak bererti bersetuju jika ia disalahgunakan.

Apa yang berlaku, berdasarkan hujah-hujah dalam kenyataan bersama itu, Sosma jelas telah disalahgunakan terhadap Khairuddin dan Mathias berbanding dengan tujuan asal undang-undang itu diluluskan di Parlimen.

Mengecam Sosma kerana percaya ia disalahgunakan, walaupun oleh orang yang pernah berperanan penting meluluskannya adalah jauh lebih terpuji berbanding mereka yang terus mempertahankan penahanan Khairuddin dan Mathias yang ternampak seperti membenarkan Sosma sewenang-wenangnya diselewengkan.

Dalam pada itu, baik ketika pentadbiran Tun Mahathir atau pemimpin sebelum dan selepasnya di mana ISA masih berkuatkuasa, tidak pernah ada sesiapa ditahan hanya semata-mata kerana membuat laporan polis mengenai sesebuah anak syarikat milik kerajaan.

Dalam semua penahanan yang dilakukan ketika itu, ia dilakukan dengan alasan yang lebih besar dan ada ancamannya kepada keselamatan negara berbanding individu kerdil yang hanya sekadar pergi ke balai polis seorang diri membuat laporan dan minta dilakukan siasatan.
 
 
 

Jika Najib Bersalah, Bukan Sekadar Digari Malah Patut Dipenjarakan

Posted: 13 Oct 2015 08:05 AM PDT

KELAB GREENBOC


SPRM dedahkan siasat individu paling berkuasa di Malaysia

Bekas Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Zakaria Jaffar mendedahkan agensi itu kini sedang melakukan siasatan terhadap individu paling berkuasa dalam negara.

Zakaria yang secara rasminya bersara hari ini berkata, siasatan SPRM merujuk kes SRC International dan dana RM2.6 bilion.


SRC International merupakan anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang mempunyai kaitan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Manakala skandal derma RM2.6 bilion didedahkan dalam laporan The Wall Street Journal (WSJ) di mana ianya disalurkan dalam akaun peribadi Najib.


"Sepanjang saya berkhidmat di BPR dan SPRM, saya tidak pernah terfikir dan terlintas pada diri saya yang SPRM akan menghadapi cabaran terbesar dan paling hebat seperti yang dilalui sekarang," katanya merujuk kepada Badan Pencegah Rasuah.

"Semua sedia maklum SPRM sedang menjalankan siasatan paling besar sejak 1967. Oleh itu pegawai- pegawai yang terlibat dalam siasatan kes ini harus diberi sokongan dan suntikan semangat kepahlawanan untuk berjuang di medan yang paling sukar ini.

"Kita berhadapan dengan satu siasatan yang melibatkan orang paling berkuasa dalam negara,"
katanya ketika berucap dalam majlis persaraannya di Akademi SPRM di Kuala Lumpur hari ini. -TMI

Khairuddin mahu lawan hingga tangan Najib bergari

Bekas pemimpin akar umbi Umno Datuk Khairuddin Abu Hassan dan peguamnya Matthias Chang berikrar akan berdepan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak habis-habisan.

Hadir dalam pakaian oren lokap, mereka memasuki mahkamah sambil melambai tangan yang bergari dan sempat melontar senyuman kepada hadirin.

"Saya akan pastikan tangan Najib bergari," kata Khairuddin kepada penyokongnya yang hadir.

Chang berkata mereka tidak bersalah selagi tidak dibuktikan bersalah.

Beliau yang sudah lima hari mogok lapar bagaimanapun tampil dalam keadaan baik.

Khairuddin dan Chang hari ini dituduh di mahkamah atas cubaan mensabotaj perkhidmatan kewangan dan perbankan negara ini.

Mereka didakwa bawah Seksyen 124L Kanun Keseksaan, yang dibaca bersama Seksyen 34 akta yang sama.

Pendakwaan itu susulan laporan polis mereka di Perancis, England, Switzerland, Hong Kong dan Singapura. Jika bersalah, mereka berdepan penjara 15 tahun.

Khairuddin dan Chang kini ditahan bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas). Perbicaraan bawah akta ini harus dibuat di Mahkamah Tinggi.

ULASAN GB

Bukan sahaja bergari, jika benar dibuktikan kesalahannya, disumbatkan ke dalam penjara itu lebih patut untuknya. Juga terhap mereka yang bersekongkol dengannya.

Kita sama-sama berdoa agar ianya menjadi kenyataan sebagai pengajaran kepada semua pihak yang memegang kuasa, bahawa hukum kebenaran dan keadilan tetap berjalan sepanjang masa dan yang bersalah PASTI akan menerima hukumannya. 

Kenyataan Raja-raja – kukuhkan rancangan undi tidak percaya terhadap PM?

Posted: 13 Oct 2015 07:40 AM PDT



Oleh Aziz Bari


Sehinggalah Majlis Raja-raja mengeluarkan kenyataan mendesak isu 1MDB diselesaikan secepat mungkin pada 6 Oktober lalu, ramai di kalangan kita yang kian merasakan kemungkinan untuk Perdana Menteri Najib Razak disingkirkan melalui undi tidak percaya di Parlimen semakin surut.

Walaupun ada yang merasakan kenyataan tegas Penyimpan Mohor Besar Raja-raja Syed Danial tidak membawa sebarang kesan - memandangkan penglibatan besar majoriti keluarga diraja kita dalam perniagaan dan kewangan, apa yang berlaku selepas itu agak signifikan.

Perkembangan yang menarik perhatian itu adalah arahan untuk mengembalikan RM7.5 bilion pemindahan yang dibuat 1MDB kembali ke dalam negara. Arahan tersebut dibuat Bank Negara Malaysia dan dikeluarkan selepas Pejabat Peguam Negara sekali lagi membersihkan 1MDB daripada apa-apa kesalahan.

Kembali kepada kenyataan Raja-raja - bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad, DAP dan bekas TPM Muhyiddin Yassin memberikan sokongan mereka. Malah kerajaan sendiri, melalui jurucakapnya Abdul Rahman Dahlan, berhadapan kesukaran untuk mengabaikan kebimbangan yang disuarakan Raja-raja ini.

Tidak kurang menarik juga apabila kenyataan tersebut turut dilaporkan media asing, termasuk New York Times.

Perlu disebut bahawa TPM Ahmad Zahid Hamidi tidak lagi menghentam usul tersebut, selepas Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata polis tidak akan mengambil sebarang tindakan selagi rancangan itu tidak melibatkan jenayah.

Khalid berkata demikian pada 24 Ogos lalu, tidak lama selepas Zahid mendakwa ada rancangan yang didalangi seorang "tua yang bercita-cita tinggi".

Pemerhati politik percaya yang Zahid mensasarkan tokoh veteran Umno Tengku Razaleigh

Hamzah, yang mengaku beliau ada berjumpa dengan Mahathir. 

Apa-apa pun, kerabat diraja Kelantan itu kemudiannya berkata beliau tiada masalah dengan Najib.

Semua orang kini sudah menerima hakikat bahawa Najib tidak boleh lagi disingkirkan melalui Umno, memandangkan pemilihan parti itu sudah ditangguhkan. 

Harapan untuk menyingkirkannya melalui undi tidak percaya pula berhadapan halangan apabila Speaker Dewan Rakyat Pandikar Amin Mulia berkata usul tersebut bergantung kepadanya selaku "penjaga" bagi setiap usul yang ingin dibentangkan.

Ia menyebabkan kebuntuan kerana kita tentunya masih ingat bagaimana Pandikar memainkan peranannya untuk menghalang usaha menjatuhkan kerajaan Abdullah Ahmad Badawi melalui cara yang sama pada tahun 2008.

Namun senario sekarang berbeza. Walaupun tanpa Anwar Ibrahim untuk memimpin pembangkang, keadaan Umno sekarang tidak lagi bersatu; terutama selepas pemecatan pemimpin yang bersuara terhadap Najib, seperti Muhyiddin dan Shafie Apdal.

Malah Mahathir sudah banyak kali menggesa ahli parlimen Umno-BN untuk menjatuhkan Najib demi menyelamatkan negara.

Kita perlu ingat, berbeza dengan 2008, birokrasi hari ini tidak lagi kukuh di belakang kerajaan. Pemindahan secara tiba-tiba yang melibatkan pegawai kanan polis dan SPRM serta pelepasan jawatan Abdul Gani Patail sebagai peguam negara telah menjejaskan pentadbiran Najib.

Maka di situlah terletaknya kepentingan kenyataan tegas oleh Majlis Raja-raja. Dari satu sisi, ia boleh dilihat sebagai undi tidak percaya Raja-raja Melayu terhadap pentadbiran Najib.

Mungkin ada yang mengatakan ia hanyalah kejadian terpencil. Namun kerana ia jarang berlakulah kenyataan tersebut dianggap signifikan. Jika Raja-raja sering mengeluarkan kenyataan seperti ahli parlimen pembangkang, tiada siapa yang akan memberikan perhatian.

Dengan tindakan Bank Negara yang secara bersopan mengatakan 1MDB tidak bertindak dengan betul, kini hanya peguam negara yang tinggal untuk mempertahankan Najib. Ini juga akan meletakkan Speaker dalam keadaan berbelah bahagi.

Beliau tentunya akan terus menggunakan kuasanya untuk mematahkan apa-apa usul yang cuba dibawa.
Namun dengan mengambil kira perkembangan terbaru, tentu sukar bagi Pandikar untuk menjustifikasikan tindakannya. Beliau akan dilihat menyalahgunakan kuasa – untuk membela sesuatu yang tidak lagi boleh dipertahankan.

Apatah lagi apabila apa yang beliau perlu lakukan sekarang hanya membenarkan sahaja proses pencarian kebenaran ini untuk berjalan. Ini adalah pertimbangan yang membuatkan hari-hari menjelang sidang Dewan Rakyat yang akan bermula pada 19 Oktober ini penuh dengan debaran.theantdaily.com

 Dr Abdul Aziz Bari pernah menjadi pensyarah undang-undang di Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) selama lebih 22 tahun. 

Mahkamah tolak permohonan KDN hentikan penerbitan Edge

Posted: 13 Oct 2015 07:30 AM PDT

OLEH V. ANBALAGAN, PENOLONG PENGARANG BERITA

 Permohonan Kementerian Dalam Negeri menghalang The Edge Weekly dan The Edge Financial Daily daripada diterbitkan semula sehingga kes rayuannya selesai ditolak Mahkamah Tinggi, hari ini. – Gambar fail The Malaysian Insider, 13 Oktober, 2015.Permohonan Kementerian Dalam Negeri menghalang The Edge Weekly dan The Edge Financial Daily daripada diterbitkan semula sehingga kes rayuannya selesai ditolak Mahkamah Tinggi, hari ini. – Gambar fail The Malaysian Insider. 




 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak permohonan Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk menghalang The Edge Weekly dan The Edge Financial Daily daripada diterbitkan semula, sehingga kes rayuannya selesai.
 
Peguam Kanan Persekutuan Alice Loke Yee Ching berkata Hakim Datuk Asmabi Mohamad juga berkata tidak ada keadaan khas untuk membenarkan penangguhan.

"Hakim berkata penerbit tidak boleh dilucutkan daripada hasil kejayaan litigasi mereka," katanya kepada wartawan di luar mahkamah, hari ini.

Loke berkata hakim juga berpendapat tidak ada keburukan yang akan berlaku jika penerbitan kedua-dua akhbar itu disambung semula. Asmabi menyampaikan keputusannya itu di dalam kamar, kata Loke.

Hakim juga memerintahkan kos RM4,000 kepada penerbit, The Edge Communications Sdn Bhd.

Loke berkata, kementerian itu boleh meneruskan rayuannya di Mahkamah Rayuan walaupun penggantungan 3 bulan akhbar itu tamat pada 26 Oktober.

"Rayuan itu tidak akademik. Jika Mahkamah Rayuan menukar keputusan Mahkamah Tinggi sekalipun, kita tidak perlu bayar ganti rugi," katanya.

Bagaimanapun, katanya, Mahkamah Rayuan belum menetapkan tarikh untuk mendengar rayuan berkenaan.

Peguam Darryl Goon dan Raja Eileen Soraya Raja Aman mewakili penerbit itu.

Pada 21 September, Mahkamah Tinggi membatalkan keputusan menteri dalam negeri menggantung permit penerbitan akhbar mingguan The Edge dan harian The Edge Financial Daily selama 3 bulan yang berakhir pada 26 Oktober.

Asmabi ketika membenarkan permohonan semakan kehakiman berkata, responden (menteri) melanggar Seksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

"Responden tidak mematuhi keadilan mengikut prosedur kerana beliau tidak memberi butiran penggantungan kepada pemohon," katanya.

Hakim itu berkata, menteri mengambil pertimbangan yang tidak relevan untuk mengenakan larangan menyeluruh selama 3 bulan itu.

KDN menggantung permit penerbitan akhbar mingguan dan harian itu selama 3 bulan mulai 27 Julai.– 13 Oktober, 2015.


Permohonan Khairuddin, Chang didengar Isnin depan

Posted: 13 Oct 2015 06:54 AM PDT

MALAYSIAKINI


 


Bekas Naib Ketua Umno Bahagian Batu Kawan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dan peguam Matthias Chang Wen Chieh hari ini memohon Mahkamah Tinggi menyemak pertuduhan cuba melakukan sabotaj terhadap perkhidmatan perbankan dan kewangan negara yang dihadapi mereka.

Peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla memberitahu mahkamah, ini kerana pertuduhan yang dihadapi dua anak guamnya mengikut Seksyen 124L Kanun Keseksaan tidak tergolong di bawah peruntukan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Beliau berkata permohonan Khairuddin dan Chang adalah isu undang-undang bagi menentukan sama ada Seksyen 124L Kanun Keseksaan tergolong di bawah SOSMA atau tidak.

Hakim Datuk Mohd Azman Husin menetapkan 19 Okt untuk mendengar permohonan itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Masri Mohd Daud memaklumkan pihaknya memerlukan tempoh untuk menjawab beberapa persoalan berhubung isu undang-undang yang dibangkitkan itu.

Pagi ini, Khairuddin dan Chang, memfailkan notis usul supaya Mahkamah Tinggi membuat beberapa perintah. Mereka menfailkan notis usul itu berserta sijil perakuan segera supaya kes itu didengar segera.
Tarikh sebutan permohonan itu ditetapkan mahkamah pada petang tadi.

Dalam notis usul itu mereka memohon perintah Mahkamah Tinggi bahawa pertuduhan yang dihadapi mereka mengikut Seksyen 124L Kanun Keseksaan tidak tergolong sebagai pertuduhan untuk dibicarakan mengikut SOSMA.

Khairuddin dan Chang juga memohon mahkamah supaya melepaskan mereka dengan jaminan berpatutan, selain turut memohon lain-lain perintah yang dianggap adil dan sesuai oleh mahkamah.

Kedua-duanya mengemukakan permohonan itu atas alasan keputusan Mahkamah Majistret yang membenarkan pertuduhan dibaca tanpa dipindahkan serta-merta ke Mahkamah Tinggi bagi tujuan pengambilan pengakuan daripada mereka adalah tidak sah dan cacat.

Mereka juga mendakwa Majistret itu telah gagal untuk menentukan sama ada pertuduhan mengikut Seksyen 124L Kanun Keseksaan terhadap mereka adalah tidak tergolong sebagai pertuduhan untuk dibicarakan mengikut SOSMA.

Semalam, Khairuddin dan Chang didakwa di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan cuba melakukan sabotaj terhadap perkhidmatan perbankan dan kewangan negara.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di lima lokasi - pejabat Ketua Bahagian Jenayah Ekonomi dan Kewangan Peranchis di Paris, Balai Polis Charing Cross London, United Kingdom, pejabat Peguam Negara Switzerland di Bern, Balai Polis WaiChan, Hong Kong, dan ibu pejabat polis Cantoment, Singapura - antara 28 Jun hingga 26 Ogos tahun ini.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 124L Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang membawa hukuman penjara sehingga 15 tahun, jika sabit kesalahan.

Tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh ketika kes itu disebut di hadapan Majistret Siti Radziah Kamarudin kerana kes itu merupakan bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Siti Radziah tidak membenarkan mereka diikat jamin dan menetapkan 26 Okt untuk sebutan semula kes.

Apa kesudahan pendedahan Zakaria?

Posted: 13 Oct 2015 05:41 AM PDT

Akmal Nasir


 


ULASAN Datuk Seri Zakaria Jaffar membuat mendedahkan bahawa siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia melibatkan "orang paling berkuasa" di Malaysia.

Pendedahan oleh bekas timbalan pesuruhjaya SPRM itu mengesahkan beberapa perkara mustahak.

Perkara pertama adalah mengenai gangguan terhadap SPRM. Siasatan ke atas tujuh orang pegawai dan arahan ke atas pegawai SPRM untuk bertukar ke Jabatan Perdana Menteri dalam beberapa bulan yang lepas berkemungkinan ada kaitannya dengan 'orang paling berkuasa'.

Kedua, walaupun menghadapi pelbagai tekanan dan cabaran, SPRM masih lagi sedang menjalankan siasatan dan ini akan terus menjadi duri dalam daging kepada "orang paling berkuasa" tersebut.

Ketiga, pegawai yang tahu selok-belok atau terlibat membantu siasatan ini hanya mampu bersuara setelah mereka dipindahkan atau bersara.

Ini menunjukkan bahawa tekanan oleh "orang paling berkuasa" begitu hebat dan pegawai ini hanya tampil setelah mereka tidak lagi berkhidmat.

Kesimpulannya, jika trend atau perkembangan ini berterusan, memang jelas akhirnya hasil siasatan SPRM akan sia-sia belaka kerana sebarang tindakan terhadap "orang paling berkuasa" tidak akan berlaku selagi beliau berkuasa.

Adakah benar pegawai SPRM perlu suntikan semangat pahlawan?

Jika Bank Negara Malaysia boleh dedahkan hasil siasatan mereka dan menunjukkan pelanggaran undang-undang pemindahan wang oleh 1MDB, maka sudah pasti SPRM juga mampu dedahkan hasil siasatan kepada seluruh rakyat Malaysia.

Kita perlu tahu tahu identiti dan kesalahan undang-undang oleh "orang paling berkuasa".


AKMAL NASIR pengarah National Oversight and Whistleblowers (NOW).

Mustafa: Waktu ini PAS hanya kerjasama dengan PKR

Posted: 13 Oct 2015 05:38 AM PDT

Radzi Razak





PAS tidak mempunyai rancangan segera untuk mengadakan kerjasama politik dengan Umno atau Pakatan Harapan.

Pengarah Pilihan Raya PAS Datuk Mustafa Ali berkata ketika ini kerjasama politik mereka hanya dengan bekas rakan sekutu dalam Pakatan Rakyat, PKR.

" (Pada) waktu ini, dari sudut politik, hanya dengan PKR," kata bekas setiausaha agung PAS itu
"Dengan Pakatan Harapan (kita) tidak bersama, Umno pun tidak bersama," tegasnya lagi.

Beliau menjawab soalan pemberita sama ada parti Islam itu akan bekerjasama dengan Umno selepas secara rasmi mengadakan kerjasama dengan NGO Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA).

Mustafa berkata sejak hubungan keruh Umno - PAS pada 1977, PAS hanya bekerjasama melalui pentas bukan politik dengan parti dominan dalam gabungan parti pemerintah.

"Kita tidak ada kerjasama politik (dengan Umno) tapi (kita) tak ada masalah bekerjasama seperti isu krisis Palestin atau isu nuklear. Kita bekerjasama dengan kerajaan mengenai isu melibatkan kepentingan bersama," katanya.

Sementara itu, Presiden PERKASA Datuk Ibrahim Ali - turut hadir dalam sidang media itu mencadangkan PAS mengambil langkah bekerjasama dengan Umno demi perpaduan Melayu.

"Perkasa minta PAS proaktif dan bekerjasama dengan semua pihak termasuk Umno.

"Sekalipun perbezaan ideologi dan politik tidak seharusnya memecahbelahkan Islam," katanya.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada PAS yang memutuskan hubungan dengan DAP.


PM hilang sokongan orang kanan, rakyat

Posted: 13 Oct 2015 05:31 AM PDT

Mohd Khairuddin Aman Razali






ULASAN Sidang media Tun Dr. Mahathir Mohamed bersama lima tokoh Umno/BN semalam adalah bukti nyata bahawa pendirian dan sikap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berhubung isu 1MDB tidak mendapat sokongan.

Ia juga menunjukkan bahawa pendirian itu ditentang oleh orang kanan Umno/BN sendiri khususnya. Tan Sri Muhyiddin Yasin dan Datuk Seri Shafie Apdal yang masih menyandang jawatan timbalan dan naib presiden Umno turut serta dalam majlis tersebut.

Saya bersetuju bahawa tindakan dengan menggunakan SOSMA 2012 ke atas Matthias Chang dan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan adalah suatu bentuk manipulasi terhadap peruntukan undang-undang sedia ada.

Malangnya, amalan mempergunakan undang-undang untuk bertahan sebagai Kerajaan di negara ini sudah menjadi budaya Umno/BN sejak sekian lama sehingga sukar untuk transformasi politik berlaku secara efektif dan komprehensif.

Saya serta seluruh rakyat Malaysia menyokong penuh kenyataan bersama enam tokoh Umno/BN ini dan mendesak agar pertuduhan ke atas Datuk Khairuddin Abu Hassan serta peguamnya, Matthias Chang digugurkan.

Saya juga amat mengalu-alukan keberanian dan ketegasan Tan Sri Datuk Seri Zeti Akhtar Aziz untuk membongkar kebenaran di sebalik isu 1MDB.

Langkah ini perlu bagi memulihkan reputasi Malaysia di peringkat antarabangsa yang telah terjejas teruk akibat skandal yang turut mengenaitkan perdana menteri.


DATUK MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI ahli Majlis Syura Ulama PAS dan MP Kuala Nerus.

Najib bohong isu sensitiviti kartunis

Posted: 13 Oct 2015 05:25 AM PDT

Zunar  





ULASAN Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tidak bercakap benar dalam majlis Anugerah Kampung Boy 2015 untuk kartunis di Putrajaya malam tadi.

Beliau mengelak dari menyentuh masalah kekangan kerajaan terhadap kartunis dalam ucapannya. Najib dipetik media sebagai berkata, kerajaan membenarkan kartunis menyentuh isu politik.

Ini adalah pembohongan nyata kerana di bawah pemerintahan beliau, karya kartun politik diharamkan dan kartunis politik ditangkap, seperti dalam kes saya sendiri.

Dalam ucapan itu juga, Najib menasihati kartunis supaya tidak cuba mengikut gaya lukisan oleh kartunis Charlie Hebdo yang tidak sensitif dalam isu agama.

PM tidak perlu merawang jauh tentang Charlie Hebdo kerana kartunis di Malaysia menghormati sensitiviti agama dan kaum kerana itu ia bukan isu di negara ini.

Isu besar yang kartunis hadapi ialah sempitnya ruang berekspesi kerana kekangan undang-undang seperti Akta Hasutan dan juga Akta Mesin Cetak & Penerbitan.

Akta ini adalah senjata kerajaan yang menyebabkan kartunis tidak berani mengkritik perlakuan rasuah seperti skandal 1MDB dan isu berbilion ringgit dalam akaun peribadi Najib sendiri.

Ini menyebabkan kartunis gagal menjalankan tanggungjawab sebagai pengritik kerajaan. Kartun sememangnya lucu, tetapi tindakan kerajaan menyekat kartunis lebih lucu.

Akta ini juga menyebabkan akhbar arus perdana tidak berani menyediakan ruang untuk kartunis yang bersikap kritikal dalam akhbar mereka.

Tindakan ini membunuh aspirasi kartunis baru. Ia jauh berbeza dengan amalan kerajaan Asean lain seperti Indonesia dan Filipina, malah Myanmar sejak akhir-akhir ini.

Saya mengalu-alukan pengumuman Najib bahawa kerajaan akan memperuntukkan sebuah "rumah" bagi kartunis mempamerkan karya mereka selain dijadikan tempat berkumpul.

Namun, kaedah peruntukan seperti BR1M ini dan bukanlah penyelesaian kepada masalah yang melanda industri kartun di Malaysia.

Selain dari penapisan dari kerajaan, industri kartun tanah air menghadapi masalah kebanjiran penerbitan kartun dari luar terutama dari Hong Kong dan Jepun yang menyebabkan beberapa majalah kartun tempatan terpaksa gulung tikar dan juga semakin tidak laku.

Saya difahamkan ratusan permit dilulus oleh KDN bagi majalah kartun dari Hong Kong dan Jepun setiap tahun.

Kerajaan perlu mengambil langkah tegas mengawal kemasukan majalah seperti ini bagi menlindungi industri dan juga kartunis tempatan.

Cukuplah Najib menasihati kartunis. Saya ingin menasihati Najib supaya segera menghapuskan Akta Mesin Cetak & Penerbitan serta Akta Hasutan. Wujudkan ruang berekspresi yang luas kepada kartunis.

ZUNAR atau nama sebenarnya ZULKIFLEE ANWAR ULHAQUE kartunis politik.

Mat Sabu: Dengar rayuan rakyat, undurlah Najib...

Posted: 13 Oct 2015 05:21 AM PDT

MALAYSIAKINI


 


Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) Mohamad Sabu merayu dan menyeru Datuk Seri Najib Razak melepaskan jawatan perdana menteri selepas pelbagai pihak tidak puas hati gaya pentadbiran dan cara pengurusan ekonomi negara.

Mohamad berkata semua pihak termasuk pemimpin kerajaan dan pembangkang, bekas pemimpin serta pegawai kanan kerajaan telah hilang keyakinan terhadap beliau khususnya berkaitan skandal 1MDB dan derma RM2.6 bilion yang didepositkan ke akaun peribadi beliau.

Bekas timbalan presiden PAS itu juga berkata, tindakan Najib melepaskan jawatan dapat memberikan kebaikan kepada keluarganya, kerajaan, rakyat terbanyak sekaligus menyelamatkan negara.

"Saya sebagai Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) merayu dengan sesungguhnya agar Datuk Seri Najib mendengar rayuan ini, sama ada daripada parti pemerintah, pembangkang, NGO serta rakyat seluruhnya supaya beliau meletak jawatan segera.

"Ia bukan berkait soal peribadi semata-mata kerana Datuk Seri Najib adalah Perdana Menteri Malaysia. Sehingga kini sebarang tuduhan tidak dijawab, ditambah skandal bertimpa-timpa menyebabkan keyakinan pelabur dan rakyat terhadap kerajaan Malaysia tergugat.

"Kejatuhan nilai mata wang Malaysia pula begitu ketara sekali," katanya dalam satu kenyataan dari Frankfurt, German hari ini.

Mohamad turut membidas tindakan kerajaan yang menggunakan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) yang menurutnya menyamai Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) untuk memadamkan kritikan rakyat terhadapnya.

"Perbuatan ini tidak lain, hanya meruntuhkan lagi keyakinan rakyat terhadap Datuk Seri Najib," katanya.

Mohamad juga Mengulas kemunculan bersama bekas perdana menteri Tun Dr Mahahtir Mohamad, Tengku Razaleigh Hamzah, Tan Sri Muyiddin Yassin, Datuk Seri Shafie Apdal, Tan Sri Sanudi Junid dan Tun Dr Ling Liong Sik dalam satu sidang media semalam.

"(Ia) mengejutkan banyak pihak apabila muncul bersama pada satu sidang media semalam," kata Mohamad sama menambah mereka rasa tidak puas hati berkaitan isu 1MDB dan sumbangan politik itu.


Rafizi: Ikat Najib, bukan ringgit

Posted: 13 Oct 2015 05:19 AM PDT

Kow Gah Chie


 


Malaysia tidak perlu mengikat ringgit kepada dolar Amerika Syarikat (AS) bagi mengekang kejatuhan nilai mata wang negara itu.

Sebaliknya, kata Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli, cara paling mudah dengan menyelesaikan isu 1MDB, syarikat pelaburan negara yang terbeban hutang besar.

Rafizi berkata, kejatuhan nilai ringgit bukan disebabkan ketikdaktentuan pasaran global atau masalah kewangan tetapi 1MDB dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Oleh sebab itu, kata Rafizi, Bank Negara sendiri tidak setuju untuk mengikat ringgit dan mengawal mata wang itu.

"Tak ada keperluan untuk ikat mata wang, sebab kita hanya perlu ikat Datuk Seri Najib. Itu saja," katanya.
Ringgit jatuh ke tahap paling buruk dalam tempoh 18 tahun terakhir.

Rekod terburuknya minggu lalu dengan nilai RM4.40 untuk sedolar AS.


SPRM: Siasatan kes SRC International selesai akhir tahun

Posted: 13 Oct 2015 05:06 AM PDT

MALAYSIAKINI


 


Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberi jaminan siasatan berkaitan isu SRC International - bekas anak syarikat 1MDB - akan selesai pada hujung tahun ini, Ketua Pesuruhjaya Tan Sri Abu Kassim Mohamed.

Pada masa yang sama, beliau - yang kembali bertugas hari ini selepas cuti sakit sejak Ogos lalu - turut memberi jaminan siasatan dana RM2.6 bilion dijalankan dengan "setelus yang mungkin dan bebas".

Bercakap kepada pemberita di ibu negara hari ini, beliau berkata suruhanjaya tersebut maklum bahawa rakyat mahu isu yang mendapat perhatian ramai disiasat dengan telus.

"Kami akan memaklumkan anda (media) perkembangan dari semasa ke semasa. Saya tahu bahawa orang ramai mahu kami (SPRM) lebih telus. Ini adalah penting kerana orang ramai mahu tahu apa yang sedang berlaku.

"Tetapi pada masa yang sama, biarkan kami menyelesaikan siasatan kes ini (SRC dan dana RM2.6 bilion), "katanya selepas menghadiri Mesyuarat Pengarah-Pengarah SPRM di Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA), di Kuala Lumpur hari ini.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Mohd Shukri Abdull pula berkata SPRM yakin boleh menyelesaikan siasatan isu SRC International menjelang akhir tahun ini, sebelum dihantar ke Jabatan Peguam Negara.

"Kami sedang cuba untuk menyelesaikan siasatan sebelum hujung tahun ini. Saya yakin kami boleh selesaikan sebelum akhir tahun ini. Insya-Allah," kata beliau kepada wartawan.

Mengulas berkaitan siasatan isu dana RM2.6 bilion, Mohd Shukri berkata kemungkinan mengambil masa yang lebih lama sebab perlu mendapatkan maklumat dan kerjasama pihak dari luar negara.

"Kes RM2.6 bilion akan mengambil masa yang lebih lama," katanya.

September lalu, SPRM meminta kerjasama media agar tidak membuat spekulasi berhubung siasatan mereka terhadap ahli perniagaan Jho Low dan dua bekas pegawai tertinggi SRC International Sdn Bhd berkaitan kontroversi 1MDB.

Suruhanjaya itu juga akan menyiasat Pengarah Urusan SRC International Sdn Bhd Nik Faisal Ariff Nik Othman Kamil dan pengarahnya Suboh Mohd Yassin berkaitan kontroversi firma pelaburan negara itu.

Meskipun cuti sakit berakhir 16 Oktober ini, namun Abu Kassim hadir untuk bertugas lebih awal pada hari ini, kerana prihatin dengan perkembangan dengan kes yang disiasat.

"Saya telah menerangkan keadaan saya kepada pegawai-pegawai saya hari ini, dan saya juga telah mendapatkan penjelasan (awal) daripada pegawai-pegawai saya," kata beliau.


Sementara itu, ditanya sama ada SPRM akan memanggil Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, Shukri berkata pihaknya akan memanggil siapa sahaja yang diperlukan untuk membantu siasatan.

Pegawai kanan SPRM itu juga menegaskan bahawa SPRM tidak akan membenarkan campur tangan mana-mana pihak dalam siasatan.

"Kami akan panggil siapa sahaja yang diperlukan oleh SPRM untuk membantu siasatan.

"Tiada siapa pun boleh campur tangan dalam siasatan kami. SPRM akan menjalankan siasatan dengan bebas, telus dan profesional," katanya.


Siasat individu lindungi penjenayah ikut Sosma, kata Zaid

Posted: 13 Oct 2015 04:56 AM PDT

MALAYSIAKINI


 


Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) perlu digunakan bagi menghukum individu yang menghalang institusi awam daripada menjalankan tugas mereka, kata bekas menteri, Datuk Zaid Ibrahim.

Katanya, ini termasuk mereka 'yang melindungi penjenayah' yang mungkin adalah Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali sendiri.

"Satu hari nanti, kita mungkin terpaksa siasat Peguam Negara sendiri jika benar beliau terbabit melindungi individu tertentu," kata Zaid ketika dihubungi Malaysiakini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Apandi berhubung keputusan Pejabat Peguam Negara yang memutuskan 'untuk tidak mengambil tindakan lanjut berhubung siasatan Bank Negara ke atas 1MDB.

Jawapan Zaid juga merujuk kepada tweet yang dibuatnya berhubung kenyataan lain oleh Apandi (bawah, kanan) hari ini bahawa Sosma adalah undang-undang prosedur dan tidak terhad kepada pengganas.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggung jawab terhadap portfolio undang-undang itu juga bersetuju dengan Peguam Negara bahawa Sosma tidak seharusnya terhad kepada aktiviti keganasan.

"Pengganas bukan sahaja seseorang yang merusuh di negara ini menggunakan pistol. Ia terpakai kepada sesiapa yang cuba memusnahkan atau menghalang institusi awam daripada melakukan kerja mereka.

"Ia (Sosma) terpakai kepada semua orang, itulah undang-undang yang baik," katanya ketika diminta mengulas lanjut mengenai tweet beliau.

Kerajaan dituduh menyalah-gunakan Sosma dengan menangkap bekas timbalan pengerusi Umno Bahagian Batu Kawan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dan peguamnya Matthias Chang.

Antara pengkritik berkenaan termasuk Tun Dr Mahathir Mohamad, dan Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Apandi bagaimanapun hari ini menjelaskan bahawa Khairuddin dan Chang didakwa mengikut Kanun Keseksaan kerana cubaan sabotaj, dan bukannya Sosma.

PAS-PERKASA kerjasama, Hadi-Ibrahim berpelukan

Posted: 13 Oct 2015 04:54 AM PDT

MALAYSIAKINI

 


PAS hari ini mengumumkan parti Islam itu kini secara rasminya bekerjasama dengan kumpulan pendesak Melayu PERKASA.

Perkara tersebut diumumkan presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang hari ini selepas mereka bersetuju beberapa perkara termasuk mengutuk Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPPA).

Kedua-dua pihak itu juga sepakat menolak tangkapan terhadap bekas pemimpin akar umbi Umno Datuk Khairuddin Abu Hassan dan peguam Matthias Chang.

Dalam kenyataan bersama itu Abdul Hadi berkata kedua-dua isu kritikal ini mempunyai kesan yang serius kepada rakyat Malaysia.

"Kami bimbang bahawa penggunaan Sosma dalam kes ini boleh dilihat sebagai penyalahgunaan kuasa serta bertentangan dengan prinsip kebebasan bersuara yang dijamin Perlembagaan.

"Kami menggesa kerajaan untuk menjadi telus dan tidak berbohong mengenai isu TPPA kepada orang ramai," katanya kepada pemberita dalam satu sidang media di ibu pejabat PAS hari ini.

Tujuh tokoh penting BN, termasuk Tun Dr Mahathir Mohamad, timbalan presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Tengku Razaleigh Hamzah, mengadakan sidang media bersama menolak penahanan itu.

Mereka mendakwa Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (Sosma) disalah guna terhadap pengkritik selepas Khairuddin membuat laporan di peringkat antarabangsa berkaitan dakwaan skandal 1MDB.

Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali hari ini menjelaskan Khairuddin dan Matthias Chang didakwa mengikut Seksyen 124L Kanun Keseksaan dan bukannya bawah Sosma.

Sementara itu, ketika bergambar, Ibrahim turut memeluk Hadi dengan berkata mereka kini berkawan dan tidak cukup dengan berjabat tangan.

Tak sejajar dengan parti sekular

Sementara itu, Ibrahim berkata beliau gembira dengan kerjasama tersebut di mana kedua-dua pihak dapat melakukan aktiviti bersama selain menyokong perjuangan masing-masing untuk manfaat rakyat.

"Kami mempunyai perbincangan yang sangat jelas, terbuka dan ikhlas dan saya juga menjelaskan mengapa saya kritikal terhadap PAS sebelum ini.

"Sekarang kita kosong-kosong. Semuanya kini di belakang kami," katanya bekas anggota Parlimen Pasir Mas itu.

Selain itu, Ibrahim turut mengucapkan tahniah kepada PAS kerana memutuskan hubungan dengan DAP.
Katanya, matlamat untuk mempertahankan Islam tidak sejajar dengan hala tuju parti sekular.


SPRM akan panggil siapa saja, termasuk PM?

Posted: 13 Oct 2015 04:46 AM PDT

SPRM akan panggil siapa saja, termasuk PM?
Tan Sri Abu Kassim Mohamed menyertai Mesyuarat Pengarah-pengarah SPRM di Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia, di ibu negara, pagi tadi.


KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yakin boleh menyelesaikan kertas siasatan membabitkan isu SRC International, bekas anak syarikat 1MDB, menjelang akhir tahun ini.

Keyakinan itu dinyatakan oleh Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Mohd Shukri Abdull ketika ditemui pada Mesyuarat Pengarah-Pengarah SPRM di Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) di sini, hari ini.

"Kami sedang cuba untuk menyelesaikan siasatan sebelum hujung tahun ini. Saya yakin kita boleh selesaikan sebelum akhir tahun ini. Insya-ALLAH," katanya.

Bagaimanapun siasatan berkenaan isu dana RM2.6 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun milik Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, beliau berkata, ia kemungkinan mengambil masa yang lebih lama sebab perlu mendapatkan maklumat dari pihak di luar negara.

"Kes RM2.6 bilion akan mengambil masa yang lebih lama," kata beliau.

[ARTIKEL BERKAITAN: 'Saya akan berhubung dengan Tan Sri Abu Kassim']

Ketika ditanya sama ada pihaknya akan memanggil Najib, Shukri berkata, pihaknya akan memanggil siapa sahaja yang diperlukan untuk membantu siasatan SPRM.

"Kami akan panggil siapa sahaja yang diperlukan dalam siasatan," tegasnya.

Beliau juga menegaskan bahawa SPRM tidak akan membenarkan campur tangan mana-mana pihak dalam siasatan.

"Apa jua campur tangan tiada masalah. Tetapi tiada siapa pun boleh campur tangan dalam kes siasatan kami. SPRM akan menjalankan siasatan dengan bebas, telus dan profesional," kata beliau lagi.

SPRM dalam beberapa kenyataan sebelum ini ada menjelaskan bahawa pihaknya masih menjalankan siasatan berkenaan kedua-dua isu tersebut.

Turut hadir pada Mesyuarat Pengarah-Pengarah ialah Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Abu Kassim Mohamed yang cuti sakit sejak dua bulan lalu susulan pembedahan.

Terdahulu ketika ditemui wartawan, Abu Kassim berkata, beliau hadir untuk bertugas lebih awal, meskipun cuti sakit hanya berakhir hujung minggu ini, kerana prihatin dengan perkembangan dengan kes-kes yang disiasat.

"Saya telah menerangkan keadaan saya, dan saya juga telah mendapatkan penjelasan (awal) daripada pegawai-pegawai saya," katanya.

Bagaimanapun menurut beliau, SPRM akan memaklumkan perkembangan status kes yang disiasat ini dari semasa ke semasa.

"Kami akan memaklumkan perkembangan. Saya tahu bahawa orang ramai mahu lebih telus. Ini adalah penting sebab orang ramai mahu tahu apa yang berlaku," katanya.

"Tetapi pada masa yang sama, bolehkan kami menyelesaikan siasatan," kata beliau.

Semalam beliau berkata akan kembali bertugas mulai hari ini meskipun cuti sakit akan berakhir pada 16 Oktober ini.

Himpunan Hijau: Pas bukan hendak tunjuk hero

Posted: 13 Oct 2015 04:41 AM PDT




Nik Abduh Nik Abdul Aziz
Nik Abduh. - Foto Sinar Harian oleh ROSLI TALIB


KUALA LUMPUR - Penganjuran Himpunan Fastaqim (H60K) yang bakal diadakan di Kota Bharu pada 17 Oktober ini bukan untuk bersaing dengan himpunan lain sebaliknya hanya untuk menyatukan penyokong Pas.

Pengarah himpunan itu, Nik Muhammad Abduh Nik Abdul Aziz berkata, sebelum ini, ramai orang bertanya kepadanya berhubung penganjuran himpunan itu dan menyifatkan seolah-olah H60K mahu menjadi juara di sebalik penganjuran himpunan-himpunan sebelum ini.

"Ramai kata kita cuba bersaing, kalau dilihat Himpunan Bersih 4.0 kita tidak perlu bersaing kerana kita benarkan ahli kita pergi, sementara Himpunan Baju Merah pula kita tidak perlu bersaing sebab kita memang bersaing sejak dahulu lagi dengan mereka (merujuk kepada Umno).

"Jadi saya hendak nafikan perkara ini, dan ia tiada kaitan langsung‎, kita buat untuk kukuhkan parti dan untuk rakyat lihat bahawa  kita mampu menangani isu dalaman parti dengan cepat," katanya ketika menjadi panel dalam Forum Bicara Harakah di ibu negara, hari ini.

[ARTIKEL BERKAITAN: H60K terbuka kepada semua]

[ARTIKEL BERKAITAN: Warna hijau tapi H60K terbuka kepada semua]


Dalam pada itu, ketika mengulas lanjut, Nik Abduh berkata, terdapat beberapa signifikan di dalam penganjuran himpunan itu disamping pemilihan simbol angka 60.

"Saya boleh sebut kita pilih angka 60 ribu ini sempena dengan umur 60 tahun Pas Kelantan,  dan Pas sendiri  64 tahun walaupun sasaran kita harap himpunan itu dihadiri lebih 60 ribu.

"Tujuan himpunan ini adalah untuk mengukuhkan kekuatan Pas itu tujuan sebenar dan itu sambungan kepada himpunan Pas sebelum ini dengan niat hampir sama untuk mengukuhkan kesepaduan Pas.

"Untuk Pas dilihat sebagai sebuah parti yang kukuh dan bersatu yang layak untuk memimpin negara Malaysia, sebagai sebuah parti yang bercita-cita tinggi untuk sampai ke Putrajaya dengan membawa agenda Islam dalam pemerintahan Malaysia," katanya.


NGO desak SPRM siasat dua anak Dr Mahathir

Posted: 13 Oct 2015 04:37 AM PDT

NGO desak SPRM siasat dua anak Dr Mahathir
Razali Zakaria (tengah) pada sidang media di pejabatnya di Pandan Indah, Ampang, Selangor, hari ini. - Foto Sinar Online oleh NIZAM ZAIN


AMPANG - Pertubuhan Gerakan Martabat Pejuang Negara (GMPN) menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memulakan siasatan terhadap dua anak bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kerana didakwa mempunyai kekayaan luar biasa dalam tempoh singkat.

Presidennya, Mejar (B) Razali Zakaria menegaskan, sudah sampai masanya penguatkuasa itu menyiasat kesahihan bukti yang didedahkan Wall Street Journal (WSJ) dan media sosial yang membabitkan kekayaan Datuk Mokhzani dan Mirzan.

"Siasatan perlu dibuat oleh Peguam Negara tentang bagaimana kesemua anak Dr Mahathir boleh menjadi multi billionaire dalam masa singkat dan menimbulkan tanya tanya daripada masyarakat di negara ini dan dunia.

"Mungkin berlaku penyalahgunaan kuasa ketika era pemerintahan bapanya, Dr Mahathir. Benarkah Dr Mahathir menggunakan syarikat GLC yang besar ketika 22 tahun memerintah untuk kepentingan peribadi anaknya," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

[ARTIKEL BERKAITAN: Anak saya bukan 'bilionaires' kata Tun M]

Razali juga berkata, kekayaan yang dimiliki kedua-dua anaknya semakin jelas apabila Mokhzani didakwa mempunyai jumlah aset kereta bernilai RM36 juta manakala Mirzan pula dengan pemilikan 100 syarikat sebagai pemegang saham.

"Segala keraguan ini menjadi tanda tanya dan pelbagai fitnah termasuk Dr Mahathir dan anak-anak beliau mempunyai perasaan busuk hati serta dengki kepada kerajaan sekarang.

"Adakah ini benar dan beliau harus membuang persepsi negatif apatah lagi beliau pemimpin yang dihormati. Tun M harus menjelaskan perkara ini supaya rakyat tidak lagi menabur fitnah dan hasutan kepada mereka sekeluarga," katanya lagi.


Naik tol: Kerajaan boleh pilih memihak pada rakyat

Posted: 13 Oct 2015 04:35 AM PDT

tol


SHAH ALAM - Pas menggesa syarikat konsesi tol memberi rebat kepada pengguna lebuh raya yang terpaksa membuat pembayaran awal melalui sistem SmartTag dan TouchNGo untuk meringankan beban akibat kenaikan kadar tol bermula 15 Oktober ini.

Timbalan Presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mendakwa kenaikan kadar tol yang tidak memberi faedah kembali kepada rakyat boleh diringankan dengan pemberian rebat tersebut.

"Malah beban bertambah kepada pengguna lebuh raya kerana TouchNGo adalah jenis perniagaan pembayaran awal 'advance payment'.

"Bayangkan ratusan ribu diperoleh melalui pembayaran awal ini namun pelanggan tidak memperoleh sebarang manfaat daripada sistem tersebut," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

[ARTIKEL BERKAITAN: Kenaikan tol menyesakkan golongan pekerja]

Beliau mengulas pengumuman kerajaan semalam berhubung kenaikan kadar tol baharu bermula 15 Oktober ini.

Peratusan kenaikan bayaran tol kali ini menyaksikan kenaikan sehingga 80 peratus melibatkan SILK, 67 peratus bagi Akleh, 54 peratus bagi Besraya, 50 peratus bagi LKSA dan Smart, manakala 10 lebuhraya lain menyaksikan kenaikan antara 17 hingga 44 peratus.

Dalam pada itu, Tuan Ibrahim juga membidas sikap kerajaan yang tidak memihak kepada rakyat susulan kenaikan kos sara hidup dan bebanan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang bermula April lalu.

"Sebenarnya kerajaan sendiri mempunyai banyak saham pegangan di dalam syarikat konsesi ini. Dengan memiliki kelebihan itu, kerajaan masih memilih untuk tidak memihak kepada rakyat.

"Inilah hasil kerajaan BN yang sering mengingatkan rakyat sentiasa didahulukan, terutamanya apabila melihat keputusan mengambil duit daripada rakyat," katanya lagi.


Tiada ulasan: