Sabtu, 10 Oktober 2015

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


Bajet 2016 Harga Rumah di Malaysia Yang Mampu Milik Semakin Sukar untuk Dimiliki? Apa Usaha Kerajaan?

Posted: 10 Oct 2015 06:52 AM PDT

BERITA SEMASA


Bajet 2016 Harga Rumah di Malaysia Yang Mampu Milik Semakin Sukar untuk Dimiliki? Apa Usaha Kerajaan?

bajet 2016 harga rumah


Berita Semasa dimaklumkan mellaui laporan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mengatakan sekurang-kurangnya kos sara hidup di Malaysia telah pun melonjak sehingga 33 peratus.

Lonjakan kos sara hidup yang berlaku di Malaysia hari ini, merangkumi kos-kos berkiatan dengan :
  1. telekomunikasi
  2. makanan
  3. barangan
  4. perubatan
  5. perbankan

 

Bajet 2016 Harga Rumah di Malaysia : Harapan Rakyat malaysia?

KLIK SINI : 32% Kondominium Mewah di Kuala Lumpur Tiada Penyewa! Sewa RM2000 Sebulan Ke Atas Berapa Ramai Mampu?

Ia belum ditambah dengan kos beli rumah di Malaysia. Rata-rata rakyat Malaysia pastinya tertunggu-tunggu apa lagi intipati istimewa yang boleh dihadiahkan kerajaan malaysia melalui pembentangan Bajet 2016 Malaysia kelak.

Sejarah kenaikan harga rumah di Malaysia telah menunjukkan yang mana kenaikan telah naik begitu mendadak antara tahun 2010 hingga 2013. Yang mana melihatkan di sini, rata-rata rakyat Malaysia mula merasa risau dan panik dengan situasi yang berlkau hari ini.
  • Masakan tidak melihatkan gaji bagi rakyat Malaysia antara RM2,500 – RM4,000 sebulan tetapi harga rumah kebanyakan RM250,000 dan ke atas.
  • Harga rumah yang mampu milik semakin sukar untuk dimiliki
Walaubagaimanapun, semakan Berita Semasa melihatkan trend kenaikan harga rumah di Malaysia hari ini telah mula sedikit sebanyak menurun seperti yang boleh anda semak gambar-gambar di bawah ini….


P/S : Kepada fresh graduate, jangan harapkan selepas anda bekerja anda mahu terus beli rumah di Malaysia. Beli pula yang antara RM300,000 dan RM400,000 ke atas. Jikalau mahu beli rumah juga, beli yang sesuai dengan pendapatan anda. Kemudian sedikit demi seidkit "upgrade" rumah anda selepas itu.


Azmin yakin PKR akan terus dapat kerjasama PAS

Posted: 10 Oct 2015 06:46 AM PDT

THE MALAYSIAN INSIDER



Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali berkata, PKR akan bekerjasama dengan mana-mana parti yang mempunyai agenda sama termasuk dengan PAS atau mana-mana parti lain sekali pun. – Gambar fail The Malaysian Insider, 10 Oktober, 2015.Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali berkata, PKR akan bekerjasama dengan mana-mana parti yang mempunyai agenda sama termasuk dengan PAS atau mana-mana parti lain sekali pun. – Gambar fail The Malaysian Insider. 
 
 
Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali percaya partinya akan terus mendapat kerjasama daripada PAS walaupun parti itu tidak menyertai pakatan baharu pembangkang, Pakatan Harapan.
 
Beliau yang juga menteri besar Selangor berkata, PKR akan bekerjasama dengan mana-mana parti yang mempunyai agenda sama termasuk dengan PAS atau mana-mana parti lain sekali pun.

"PKR mahu bekerjasama dengan PAS, Amanah (Parti Amanah Negara), DAP dan saya percaya DAP, PAS dan Amanah boleh menjalin kerjasama kelak .

"Kita sebagai pemimpin perlu berani mengakui kita tidak mempunyai semua jawapan dan kita mesti bekerjasama dengan semua parti dan masyarakat awam," katanya dalam sidang media selepas merasmikan Taman Perindustrian Pulau Indah, Fasa 3C di Pelabuhan Klang hari ini.  
 
Pakatan Harapan merupakan gabungan parti pembangkang terdiri daripada PKR, DAP dan Amanah yang ditubuhkan pada 22 September lepas bagi menggantikan Pakatan Rakyat yang dibubarkan berikutan pertelingkahan antara PAS dan DAP berhubung pelaksanaan hukum hudud di Kelantan.

PAS sebelum ini beberapa kali mengulangi pendirian untuk tidak menjalin kerjasama dengan Amanah dan DAP. – Bernama, 
 
 

Najib tak peduli negara, hanya mahu kekal kedudukan, kata Dr Mahathir

Posted: 10 Oct 2015 06:43 AM PDT



Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan hanya berminat untuk mengekalkan kedudukan Datuk Seri Najib Razak. – Gambar The Malaysian Insider oleh Seth Akmal, 10 Oktober, 2015.Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan hanya berminat untuk mengekalkan kedudukan Datuk Seri Najib Razak. – Gambar The Malaysian Insider oleh Seth Akmal. 
 
 
Datuk Seri Najib Razak disifatkan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai seorang perdana menteri yang tidak peduli kepada sebarang situasi buruk yang melanda negara, termasuk ketika Malaysia mengalami kejatuhan nilai ringgit.
 
Negarawan bersara itu mendakwa, yang menjadi keutamaan Najib ialah untuk mengekalkan kedudukannya dengan menggunakan wang.

"Kerajaan ini hanya berminat untuk mengekalkan kedudukan Najib, beliau tidak kisah mengenai hal lain, bukan mengenai bagaimana untuk mengumpul hasil dan membangunkan negara, bukan begitu.

"Beliau (Najib) pernah berkata kepada saya, wang itu raja. Beliau harap, dengan menaburkan wang, rakyat akan memberi sokongan," katanya pada sebuah forum di Brickfields, Kuala Lumpur hari ini. 
 
 Beliau berkata Najib mengabaikan nasihat beliau yang rakyat tidak akan menyokong kerajaan Barisan Nasional hanya dengan menghulurkan pemberian RM500 menerusi program Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

"Jadi, dia tak peduli sama ada negara ini dalam keadaan baik atau tidak, ringgit jatuh, dia tak peduli, dia kata itu normal... akan pulih semula.

"Harga saham jatuh, kebajikan rakyat, semua itu tak penting. Kebajikan pekerja tak penting. Dia tidak ada dasar pun mengenai pekerjaan. Yang dia tahu hanya beri wang kepada rakyat," katanya.

Dr Mahathir mendakwa, Najib tidak ada dasar sebenar berhubung kebajikan dan status pekerja serta tidak mempunyai program untuk menaik taraf industri dan melatih pekerja.

"Dasar yang mereka ada sekarang ialah bagaimana untuk melindungi Najib," katanya semasa sesi soal jawab ringkas pada forum "Kesan isu ekonomi ke atas pekerja Malaysia" anjuran Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Bank (NUBE).


Pemuda MCA pertikai Najib

Posted: 10 Oct 2015 06:35 AM PDT

Adrian Wong  





Kekalutan isu RM2.6 bilion yang membelenggu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menjadi tumpuan utama kepada Perhimpunan Tahunan Pemuda MCA di Kuala Lumpur hari ini.

Salah seorang perwakilan berkata, jika perdana menteri tidak menyelesaikan isu berkenaan Malaysia mungkin menyaksikan berlaku "skandal Watergate" di negara ini.

Watergate adalah insiden yang memaksa Richard Nixon meletak jawatan sebagai Presiden AS pada Ogos 1974.

Seorang lagi perwakilan berkata kepimpinan MCA perlu meletak jawatan daripada kabinet jika Najib didapati melakukan sebarang salah laku.

Wakil dari Kepong, Tan Hock Guan berkata rakyat kini keliru apabila perdana menteri mengeluarkan kenyataan saling bercanggah berhubung wang RM2.6 bilion yang dimasukkan ke akaun persendiriannya.

Memetik kata-kata "kejujuran adalah dasar terbaik" Hock Guan menggesa Najib membuat penjelasan mengenai isu berkenaan atau mungkin berdepan nasib seperti Nixon.

"Dalam kes 1MDB, berhubung pemindahan dana RM2.6 bilion ke akaun persendirian, kenyataan dibuat bertukar ganti berkali-kali.

"Ini mengingatkan kita kepada skandal Watergate," katanya.

Terkubur dalam perangkap sendiri

Dalam skandal itu, kata Hock Guan, Nixon gagal memberi penjelasan mengenai isu yang ditimbulkan sehingga ia menyebabkan presiden ke-37 AS itu terpaksa meletak jawatan.

"Nixon tidak berkata benar, tidak membuat penjelasan, malah secara konsisten campur yangan dalam siasatan dibuat. Maka masalah menjadi semakin besar.

"Dia akhirnya terkubur dalam perangkap yang dibuatnya sendiri," katanya.

Nixon (gambar) berundur daripada jawatannya ekoran tekanan daripada pelbagai pihak selepas akhbar Washington Post mendedahkan tokoh politik Republikan itu mengintip talian telefon di ibu pejabat parti Demokrat.

Sementara itu wakil dari Pendang, Kedah, Tan Chee Tong turut membangkitkan persoalan kepada Najib sambil mendesak penjelasan memuaskan dibuat.

"Mengapa anda menukar peguam negara ketika siasatan 1MDB dibuat? Mengapa anda melantik anggota Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara menjadi menteri?

"Mengapa anda menyaman orang lain dan bukan (Tun) Dr Mahathir (Mohamad) yang lantang mengkritik pelbagai isu? Adakah anda setuju dengan kenyataan Mahathir?" katanya.

Sesetengah orang, kata Chee Tong, tidak berani berbalah dengan Najib kerana takut kedudukan dalam kerajaan terancam.

"Saya percaya MCA dan Pemuda MCA tidak akan kekal dalam kerajaan jika kebenaran diketahui (dan Najib didapati bersalah," katanya.

Kepercayaan rakyat musnah akibat BN yang mungkir janji

Posted: 10 Oct 2015 04:07 AM PDT



Oleh Alyaa Alhadjri


Jelas bahawa rakyat semakin hilang keyakinan dan kepercayaan kepada pentadbiran, apabila begitu banyak janji yang dimungkiri kerajaan Barisan Nasional.

Tempat teratas dalam senarai ini tentunya janji Perdana Menteri Najib Razak untuk memulakan reformasi sivil dan ikrarnya bahawa undang-undang lapuk seperti Akta Hasutan 1948 tidak akan disalahguna.

Tangkapan terhadap bekas ketua Umno Batu Kawan Khairuddin Abu Bakar di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) juga mencetuskan kebimbangan sejumlah 38 pertubuhan masyarakat sivil, yang undang-undang itu telah disalahgunakan untuk menjaga kepentingan pihak tertentu.

"Sosma pada asalnya dibentangkan oleh kerajaan sebagai langkah anti-keganasan dan keselamatan negara, dan ia membenarkan tahanan tanpa bicara selama 28 hari. Tiada tuduhan atau bukti yang menunjukkan Khairuddin memiliki latar belakang keganasan.

"Sebaliknya Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar berkata dengan jelas bahawa Khairuddin ditahan kerana membuat laporan di Hong Kong, Switzerland, Perancis dan United Kingdom berhubung skandal kewangan melibatkan 1MDB," kata kumpulan itu dalam satu kenyataan.

Dalam sidang media 7 Oktober lalu, presiden Persatuan Kebangsaan Hak Asasi Manusia (Hakam) Ambiga Sreenevasan berkata, walaupun ketika Akta Keselamatan Dalam Negeri digubal dahulu, ia dengan janji bahawa hanya digunakan terhadap pemberontak komunis.

"Janji ini juga termaktub di bawah Seksyen 4(3) Sosma, yang menyatakan tiada siapa yang akan ditahan hanya kerana kegiatan dan pegangan politik mereka," katanya lagi.

Ambiga berkata lagi, sebab penahanan Khairuddin juga tidak jelas.

CEO Gerakan Kesederhanaan Global (GMM) Saifuddin Abdullah berkata, beliau percaya tindakan itu diambil bagi menakut-nakutkan ahli Umno yang lain.

"Pemimpin tertinggi Umno mahu memastikan beliau (Khairuddin) menutup mulut, pada masa sama menimbulkan ketakutan pada ahli Umno agar turut menutup mulut mereka.

"Pimpinan tertinggi faham bahawa secara praktikalnya, Umno-lah yang boleh menjatuhkan perdana menteri," kata ahli Umno tersebut.

Beliau kini berhadapan kemungkinan tindakan disiplin kerana menghadiri majlis pelancaran Pakatan Harapan.

Saifuddin berkata lagi, kini masa untuk melihat jika kerajaan mengamalkan dwi-piawai dalam menggunakan Sosma.

"Saya tidak takut (untuk ditangkap) tetapi adakah mereka berani menahan Dr Mahathir Mohamad?" katanya lagi.

Khairuddin dikenali sebagai penyokong Mahathir. Beliau ditahan pada 23 September lalu selama 28 hari di bawah Sosma selepas ke beberapa negara untuk meminta pihak berkuasa luar menyiasat 1MDB.

Ini berikutan siri laporan akhbar US, Wall Street Journal yang berhubung kegiatan meragukan melibatkan syarikat pelaburan milik negara tersebut.

Sementara itu pengarah eksekutif Institut Rakyat Yin Shao-Loong berkata, tiada keperluan untuk menahan mana-mana individu tanpa bicara jika ada bukti cukup untuk mendakwanya di mahkamah dengan undang-undang sedia ada.

Tambahnya lagi, pada masa ini, satu-satunya cara yang boleh digunakan untuk menyingkirkan Najib adalah melalui Umno sendiri.

"Semua mekanisme kebertanggungjawaban yang boleh digunakan terhadap perdana menteri telah diruntuhkan. Malah langkah undi tidak percaya di Parlimen juga telah ditolak Speaker, walaupun tindakannya itu boleh diperdebatkan.

"Satu-satunya proses yang tinggal adalah untuk Umno – parti pemerintah – menyingkirkan pemimpin mereka," katanya lagi.

Setiausaha agung Umno Tengku Adnan Mansor sebelum ini menimbulkan tanda tanya ketika berkata Umno memantau "tujuh pemimpin" yang mungkin melanggar peraturan parti.

Antara nama yang disyaki adalah Saifuddin sendiri dan tokoh veteran Umno Sanusi Junid. Kedua-duanya secara terbuka berkata yang mereka tidak takut untuk bersuara.

Berbanding menimbulkan ketakutan terhadap ahli Umno, barangkali tindakan terbaru itu hanya menguatkan persepsi bahawa Najib seorang pemimpin yang takut dengan bayang-bayangnya sendiri. - theantdaily.com

Tentangan Pas tak gugat DAP

Posted: 10 Oct 2015 04:04 AM PDT

Tentangan Pas tak gugat DAP
Laporan Sinar Harian 8 Oktober 2015.


JOHOR BAHRU – DAP Johor tidak berasa tergugat sekiranya Pas meletakkan calon di kawasan yang ditandingi mereka dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang dan menganggapnya sebagai satu persaingan sihat dalam negara demokrasi.

Pengerusinya, Liew Chin Tong berkata, tentangan dari Pas tidak akan memberi impak besar kepada parti itu dan yakin mereka dapat mengekalkan kerusi dengan majoriti undian lebih tinggi hasil sokongan pengundi pelbagai kaum.

"Semua parti perlu faham senario di Johor bahawa dua pertiga daripada kerusi yang dipertandingkan terdiri dari komposisi pengundi pelbagai kaum. Jadi semua parti termasuk Pas perlu dapat sokongan semua kaum bukan hanya Melayu.

"Menerusi gabungan Pakatan Harapan saya yakin DAP dapat mengekalkan kedudukan dan menambah kemenangan dalam PRU akan datang," katanya ketika dihubungi, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas hasrat Pas Johor untuk menambah bilangan kerusi pada PRU akan datang termasuk meletakkan calon bukan Melayu di kawasan ditandingi DAP serta kawasan bukan majoriti Melayu.

Chin Tong berkata, Pas sebelum ini berjaya memenangi empat kerusi Dun hasil sokongan pengundi pelbagai kaum dan parti itu akan berdepan cabaran mengekalkan kemenangan sekiranya masih mengamalkan kepimpinan yang tidak terbuka.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah), Dzulkefly Ahmad berkata, perbincangan antara semua parti pembangkang termasuk Pas perlu diadakan bagi memastikan tidak berlaku pertindihan kerusi menentang BN.

"Pas berhak bertanding di mana-mana kawasan tapi semua parti pembangkang perlu memahami hasrat rakyat yang mahukan perubahan dan menukar kerajaan. Pertembungan tiga penjuru adalah langkah yang tidak bijak.

"Sekiranya ia berlaku pastinya BN dan Umno akan terus menang dan kekal sebagai pemerintah.
Perbincangan antara semua parti pembangkang perlu diadakan bagi mencari penyelesaian," katanya.

Dalam pada itu, Dzulkefly turut menasihatkan Pas supaya mempertimbangkan peluang kemenangan mereka untuk meletakkan calon di setiap kawasan dan tidak hanya membuat keputusan mengikut emosi.

Pas Johor pada PRU-13 lalu turut meletakkan dua calon bukan Islam iaitu Ketua Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP), Hu Pang Chaw di Parlimen Ayer Hitam manakala Ketua Wanita DHPP, R Kumutha di Dun Tiram.

Pan Chaw yang menentang calon BN, Datuk Wee Ka Siong kalah dengan undian sebanyak 14,735 berbanding 22,045 milik Ka Siong dengan kemenangan majoriti 7,310 undian.

Sementara itu, Kumutha mendapat 16,273 undi berbanding penentangnya calon BN, Datuk Maulizan Bujang yang meraih 23,716 undian dengan majoriti kemenangan 7,443 undian.


Satu lagi rangka ditemui, keadaan sempurna

Posted: 10 Oct 2015 03:53 AM PDT

hilang orang asli


KOTA BHARU - Satu lagi rangka kanak-kanak ditemui hari ini berdekatan lokasi dua kanak-kanak yang masih hidup ditemui di Post Tohoi, Gua Musang di sini semalam.

Rangka terbabit yang ditemui kira-kira jam 11 pagi ini dalam keadaan sempurna.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim berkata, rangka berkenaan belum dikenal pasti milik siapa.

"Kini ‎rangka terbabit dihantar ke Hospital Gua Musang untuk bedah siasat disamping ujian DNA akan dilakukan untuk membuat pengecaman.

[ARTIKEL BERKAITAN: Mayat ditemui di bawah akar besar]

[ARTIKEL BERKAITAN: ‎Anggota keluarga pengsan lihat anak masih hidup]

"Setakat ini enam kanak-kanak telah ditemui‎, empat meninggal dunia, dua masih hidup dan hanya seorang lagi belum ditemui,"katanya.

TPM tegur pemimpin BN yang timbulkan provokasi

Posted: 10 Oct 2015 03:51 AM PDT

SINAR HARIAN


Ahmad Zahid Hamidi
Ahmad Zahid Hamidi


WASHINGTON DC – AMERIKAT SYARIKAT. Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegur kalangan pemimpin parti BN kerana menimbulkan provokasi yang boleh menyebabkan khalayak meragui kewibawaan agensi penguatkuasaan melaksanakan tanggungjawab berhubung soal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Katanya sebarang kenyataan bersifat provokasi tidak seharusnya dijadikan sandaran untuk menggambarkan seolah-olah agensi penguatkuasaan tidak mengambil tindakan segera bagi menyelesaikan penyiasatan dan melakukan pendakwaan lebih awal.

"Ketulusan saranan daripada kenyataan Majlis Raja-Raja tidak sepatutnya ditangguk dalam air keruh yang seharusnya dijernihkan agar terpancar keikhlasan untuk menyelamatkan parti dan kerajaan," katanya dalam kenyataan media yang diedar kepada wartawan Malaysia yang meliputi lawatan kerja beliau di sini Jumaat.

Katanya tindakan dendam dan memburukkan keadaan akhirnya menyumbang kepada "menang sorak kampung tergadai".

Majlis Raja-Raja Melayu pada 6 Oktober lepas bertitah meminta supaya siasatan berhubung 1MDB diselesaikan segera. Beberapa pihak termasuk bekas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah menyuarakan pandangan berkenaan titah Majlis Raja-Raja.

Ahmad Zahid berkata menjunjung kasih saranan Majlis Raja-Raja bukanlah dengan mengambil langkah provokasi untuk mengajak khalayak meragui kredibiliti agensi yang berwibawa untuk mengambil tindakan secara rasional mengikut proses perundangan.

"Sebagai pemimpin yang masih dihormati atas apa jua jawatan penting di dalam parti, seharusnya tindakan yang diambil harus memperlihatkan usaha penyatuan dalam situasi sukar yang sedang dihadapi oleh Umno, BN dan kerajaan," kata Ahmad Zahid yang juga Naib Presiden Umno.

Katanya jika benar tersemat hasrat sesetengah pihak untuk menyelamatkan negara dan parti, tindakan berhemah hendaklah menjadi keutamaan agar ia tidak diambil kesempatan oleh yang bersuara minoriti untuk mengambil alih kerajaan secara tidak bermoral biarpun ia tidak menyalahi system perundangan.

"Selaku seorang pejuang parti Umno yang setia, saya percaya semua permasalahan pastinya mampu diatasi dengan istiqamah.

"Saya yakin Perdana Menteri dan kerajaan sedang lakukan usaha terbaik dalam memastikan program rasionalisasi yang mendapat sokongan Jemaah Menteri dapat diselesaikan dalam tempoh enam bulan seperti yang dipersetujui," kata Ahmad Zahid.  

Ahmad Zahid berkata situasi sebegini pernah dialami kepimpinan terdahulu,  dan atas kesatuan dokongan akhirnya permasalahan dapat didepani dengan bijaksana.

Beliau meminta pemimpin parti kerajaan di semua peringkat supaya berlapang dada dan berfikiran terbuka tanpa menanam rasa kebencian serta tidak "berkokok berdegar-degar tetapi ekor bergelumang dengan najis".

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata kepercayaan hendaklah diberi kepada ketua-ketua jabatan berkaitan khasnya Pejabat Peguam Negara, Bank Negara Malaysia, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menyediakan kertas siasatan dan kertas pendakwaan mengikut kaedah perundangan yang ada.

"Sebarang tekanan atas sifat melayani sentimen dan menuding jari tidak seharusnya menyandari sebarang saranan untuk tidak melengahi langkah perundangan yang dilakukan," katanya.

Semasa di sini, Ahmad Zahid, antara lain, menandatangani dokumen Arahan Presiden Keselamatan Negara No.6 (HSPD-6) bersama Setiausaha Negara Amerika Syarikat John Kerry, bagi membolehkan Malaysia menyertai program pengecualian visa Amerika. - Bernama

Pakatan Harapan kurang aura Pakatan Rakyat tanpa PAS - Penganalisis

Posted: 09 Oct 2015 11:22 PM PDT

Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar

 
Post Pic


KUALA LUMPUR: Tanpa PAS kewibawaan Pakatan Harapan dilihat gagal menandingi 'kehebatan' gabungan pembangkang sebelum ini, Pakatan Rakyat (PR)," demikian menurut penganalisis politik Dr Salawati Mat Basir.

"Ia masih tidak dapat menandingi aura ketika PAS berada di dalam PR suatu ketika dahulu. Saya lihat ia (keakraban) masih longgar dan mencari kesesuaian yang kukuh untuk sama seperti dahulu," katanya ketitka diwawancara bersama Antarapos, baru-baru ini.

Salawati terlebih dahulu mengulas pelbagai reaksi dan tanggapan mengenai penubuhan Pakatan Harapan di antara PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) pada 22 September lalu, bagi menggantikan PR yang terkubur kerana perbalahan di antara DAP dan PAS.

Gabungan pembangkang tersebut bagaimanapun tidak disertai oleh PAS yang berkeras tidak mahu menjalin sebarang kerjasama dengan DAP, juga dengan Amanah yang disifatkannya sebagai pengkhianat.

Salawati menegaskan ketiadaan PAS di dalam gabungan baru pembangkang itu satu kerugian,
memandangkan parti tersebut selama ini berjaya meraih sokongan yang besar, terutamanya di kalangan kaum Melayu.

"Ia adalah satu jalan yang sukar kepada pembangkang sebab apabila PAS tidak mahu berada di dalam Pakatan Harapan, ia jelas menunjukkan wujudnya ketidakstabilan, kerana pengaruh PAS bukan sedikit terhadap rakyat dan pembangkang," ujarnya lagi.

Meskipun masih terlalu awal untuk meramal nasib Pakatan Harapan dalam persada politik negara, Salawati, yang juga pensyarah kanan undang-undang Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu juga berpandangan gabungan itu pasti berdepan dengan liku yang mencabar.

Apatah lagi dengan kemelut yang melibatkan pemimpin PKR yang tidak berpuas hati dengan penubuhan gagasan tersebut dan konflik antara PAS dan Amanah.

"Kegagalan hanya boleh dilihat pada satu jangka masa tertentu. Namun mereka sedang menghadapi perjalanan sukar dan ia bukan mudah kerana perlu mencari semula kekuatan yang pernah ada suatu masa dahulu," katanya.

Kadar fi ganti MyKad hilang akibat kecuaian dinaikkan bermula 15 Okt - KDN

Posted: 09 Oct 2015 11:20 PM PDT

ANTARAPOS.COM

 
Post Pic
 
 
PUTRAJAYA: Kadar fi bagi penggantian kad pengenalan yang hilang akibat kecuaian akan dinaikkan bermula 15 Okt ini, kata Timbalan Ketua Setiausaha Kanan (Dasar Keselamatan) Kementerian Dalam Negeri, Datuk Seri Adenan Ab Rahman.
 
Beliau berkata fi bagi kehilangan kali pertama kekal pada kadar RM100, manakala kehilangan kali kedua dinaikkan dari RM200 kepada RM300 dan bagi kehilangan kali ketiga dan seterusnya dinaikkan daripada RM300 kepada RM1,000.
 
Bagaimanapun, katanya pengecualian kadar fi diberikan kepada orang kurang upaya (OKU), fakir miskin, warga emas berumur 60 tahun ke atas, mangsa bencana, kes jenayah seperti kecurian, samun dan ragut serta remaja warganegara Malaysia berusia bawah 18 tahun.
 
Katanya kenaikan fi itu adalah sebahagian daripada penambahbaikan prosedur penggantian MyKad berikutan rekod Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang menunjukkan kadar kehilangan MyKad akibat kecuaian dari 2010 hingga September 2015 adalah 1,356,135 kes.
 
"Kaedah pelaksanaan penambahbaikan prosedur ini tidak akan mengambil kira sejarah kehilangan kad pengenalan sebelum ini dan kadar fi baharu hanya akan bermula pada tarikh kuat kuasa prosedur ini," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
 
Adenan berkata selain kenaikan fi, prosedur penggantian MyKad turut diperketatkan dengan garis panduan baharu.
 
Katanya bagi permohonan gantian hilang kad pengenalan kali pertama, pemohon boleh terus ke kaunter JPN, manakala bagi permohonan kali kedua dan seterusnya, pemohon hendaklah membuat laporan polis mengenai kehilangan tersebut sebelum memohon di kaunter JPN.
 
"Permohonan gantian hilang kad pengenalan kali ketiga dan seterusnya akan disiasat terlebih dahulu sebelum kad pengenalan gantian dikeluarkan," katanya.
 
Tambahnya semua permohonan gantian hilang kad pengenalan akan dikeluarkan dengan Dokumen Pengenalan Sementara sebelum kad pengenalan gantian dikeluarkan.
 
Adenan berkata selaras dengan Peraturan 6, Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990, setiap orang yang dikeluarkan kad pengenalan adalah bertanggungjawab menjaga kad pengenalan tersebut dan hendaklah memastikan ia berada dalam keadaan baik.-- BERNAMA
 
 

'Bila tak nak jadi katak bawah tempurung'

Posted: 09 Oct 2015 11:17 PM PDT

Nadia Azam


 


Untuk mara ke peringkat akhir Akademi Fantasia (AF) 2015 bukan mudah, selain memerlukan vokal yang mantap, penerimaan dan persediaan terhadap mental dan diri sendiri juga perlu kuat.

Pada masa sama, keadaan fizikal juga kadang-kadang boleh menimbulkan persepsi salah kepada penonton.

Itulah cabaran diadahapi finalis wanita tunggal AF 2015, Bila, atau nama sebenarnya Nurnajmi Nabila Samsaidi, 19.

Namun biarpun memiliki bentuk badan gempal, Bila tetap berjaya menarik perhatian panel penilai di peringkat separuh akhir dan memasuki senarai empat pelajar terbaik AF tahun ini.

Bila akan berentap dengan tiga laki peserta lelaki - Sufi, Shahrul dan Syamel - di acara kemuncak AF malam esok.

Remaja bersuara lunak - dan seperti kata Datuk Ramli MS, tidak pernah sumbang menyanyi - memang dikenali sebagai anak sulung kepada pemain bass kumpulan Wings, Eddie.

Menceritakan cabaran dihadapi Bila, Eddie memberitahu, pada awalnya dia turut bimbang terhadap penerimaan orang ramai kerana faktor fizikal anaknya itu.

"Saya katakan kepada Bila, nanti orang ramai akan ketawakan adik. Mereka akan kata adik gemuk.

"Tetapi walaupun begitu Bila beritahu saya, adik akan cuba tahan sedaya upaya," katanya kepada Malaysiakini semalam.

"Adik" adalah panggilan Eddie kepada anaknya itu.

Ada alasan kukuh

Kata Eddie, Bila memang terkenal kerana sifat pendiam dan pemalunya tetapi dia berjaya mengejutkan kedua ibu bapanya apabila tersenarai ke peringkat kedua sesi Uji Bakat Insta AF2015.

Menurut Eddie, dia amat tidak menyangka melihat Bila begitu ceria dan berani berdepan dengan orang ramai apabila menjadi pelajar AF.

"Sedangkan kalau pergi majlis kenduri kahwin saudara-mara dan ada set karaoke, dia tidak akan menyanyi kerana perasaan malunya amat tebal.

"Sebab itu apabila melihat persembahannya di pentas AF, saya sering bertanyakan kepada isteri: Betulkah itu anak kita?" katanya.

Sebenarnya, rezeki Bila dalam AF bagaikan sudah tersurat. Dia tidak menghadiri sesi uji bakat di lokasi yang ditetapkan, sebaliknya dia hanya menghantar video nyanyian ke Instagram rasmi AF2015.

Daripada situ panel penilai menerima Bila untuk menjalani ujian dan diterima sebagai salah seorang penuntut AF kali ini.

Menurut Eddie, anak perempuannya itu mempunyai alasan kukuh yang mendorongnya untuk sampai ke tahap sekarang.

"Saya ada bertanyakan kepada Bila - mengapa dia begitu. Jawab Bila, ia adalah usahanya untuk mengubah diri sendiri.

"Dia tidak mahu menjadi seperti katak di bawah tempurung dan nak cuba pergi sejauh yang mungkin," katanya.

Pada masa sama Eddie berkata, dia tidak menaruh harapan terlalu tinggi buat anaknya itu, namun mengharapkan orang ramai mengukur kemampuan Bila menerusi vokal dan bukan penampilan.

"Kalau menang, bagus. Kalau tidak berjaya, pun alhamdulillah. Dia dah masuk dalam kelompok empat pelajar terbaik dalam tahun ini. Itu adalah pencapaian sangat baik untuk Bila.

"Saya berharap kita memandang kepada bakat dan bukan rupa atau bentuk badan," katanya.

Eddie juga mengakui sikap peminat seni di negara ini sudah berubah dan terbuka.

"Mentaliti orang Malaysia sudah berubah. Kini mereka lebih terbuka dan boleh terima individu berbadan besar sebagai penyanyi," katanya.


Khalid Ismath ditahan semula

Posted: 09 Oct 2015 11:14 PM PDT

MALAYSIAKINI


 


Khalid Mohd Ismath yang baru dibebaskan daripada reman, ditahan semula malam tadi.

Bekas Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM), S Arutchelvan, memberitahu Malaysiakini aktivis terbabit dipercayai kini ditahan mengikut Akta Hasutan.

Sebelum itu Arutchelvan dapat menghubungi isteri Khalid.

Khalid sepatutnya dibebaskan malam tadi apabila majistret menolak permohonan polis untuk mendapatkan lanjutan tahanan reman sebanyak dua hari lagi.

Memetik kata-kata isteri Khalid, Arutchelvan berkata apabila tempoh reman itu tamat malam tadi, polis mengekalkan pakaian oren yang dipakaikan pada suaminya.

"Justeru, itu menunjukkan kemungkinan polis tidak akan membebaskan Khalid," katanya.

Khalid idtahan di Johor Bahru pada Rabu mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia atas dakwaan membuat kenyataan mengenai penahanan bekas Naib Ketua Umno Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dan peguamnya, Matthias Chang.

TPPA rugikan petani, kata NGO

Posted: 09 Oct 2015 11:11 PM PDT

MALAYSIAKINI


 


Syarikat-syarikat pengeluar benih dikatakan bakal mendapat lebih banyak hak ke atas petani mengikut Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) yang sudah dipersetujui Malaysia, kata dua pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Antara lain, TPPA akan menghalang petani daripada bertukar-tukar benih, kata laporan dibuat kumpulan berpangkalan AS dan Rangkaian Dunia Ketiga di Pulau Pinang.

"Konvensyen Antarabangsa Untuk Perlindungan Kerencaman Baru Tanaman 1991 menghalang petani daripada menukar benih masing-masing dan ia tidak konsisten dengan amalan petani di kebanyakan negara membangun apabila mereka perlu mempelbagaikan tanaman.

"Dalam kes di Malaysia, ia bermakna undang-undang perlindungan penukaran tanaman akan berakhir, termasuk memberikan kuasa monopoli lebih lama kepada syarikat pembekal, melarang petani menukar benih yang disimpan dan mengubah peruntukan perlindungan biokeselamatan dan antipenjarahan hayati (anti-biopiracy), " katanya dalam satu analisis semalam.

Ketika ini Akta Perlindungan Kerencaman Tanaman Baru 2004 membenarkan petani kecil menukar benih sesama sendiri.

Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani ketika ini mendefinisi "petani kecil" sebagai mana-mana pihak yang mengusahakan tanah kurang daripada 0.2 hektar.

Malaysia negara pariah-Tun M

Posted: 09 Oct 2015 10:40 PM PDT

 
Beliau mendakwa SOSMA telah disalah guna untuk menangkap sesiapa sahaja bagi melindungi kedudukan Najib


MAHATHIR


PETALING JAYA: Malaysia telah menjadi sebuah negara pariah, di mana sesiapa sahaja boleh ditahan, disoal siasat dan didakwa tanpa pembelaan.

Tidak terkecuali, peguam yang menggendalikan kes berkenaan turut berdepan dengan tindakan yang sama.

Dakwaan itu dibuat Tun Dr Mahathir Mohamad yang kecewa dengan ketelusan Jabatan Peguam Negara.
Katanya, meskipun banyak laporan yang dibuat berhubungsalah laku yang membabitkan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak, tetapi tiada tindakan diambil.

Sebaliknya, mereka yang mengkritik dan menegur kesilapan akan berdepan dengan tindakan undang-undang termasuk ditahan.

Mengulas mengenainya, Dr Mahathir berkata, kerajaan telah menyalah guna Undang-Undang Kesalahan Keselamatan (SOSMA) 2012.

"Penangkapan Dato Khairuddin dan peguamnya Matthias Chang telah menimbulkan perasaan takut di kalangan orang ramai bahawa melaporkan tentang salah laku kerajaan dan pegawai-pegawainya merupakan ancaman kepada keselamatan. Pemberi maklumat yang Kerajaan dikatakan menggalakkan, kini menghadapi bahaya dituduh mengancam keselamatan negara.

"Dengan ini titah oleh Raja-Raja untuk pemeriksaan dijalankan secara adil dan telus tidak lagi boleh dicapai.

"Terdapat berpuluh-puluh orang yang mempunyai maklumat tentang salah laku dalam 1MDB yang tidak akan mengambil risiko memberi keterangan atau membuat tuduhan kerana mereka menghadapi risiko ditahan dan didakwa di bawah Akta Kesalahan Keselamatan," tulis beliau di blognya chedet.cc.

Jelas Dr Mahathir lagi, keadaan itu menyebabkan siasatan berhubung 1MDB dan AS Dollar 700 juta ke dalam akaun peribadi Najib telah tergendala ekoroan pemecatan Peguam Negara, pemindahan pegawai-pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), pengebirian Jawatankuasa Kira-kira Awam (PAC) dan ancaman tersirat terhadap Bank Negara.

TPP: Kerajaan berhadapan risiko disaman

Posted: 09 Oct 2015 10:38 PM PDT

TPP


KUALA LUMPUR – Kerajaan mungkin berhadapan dengan risiko disaman Amerika Syarikat sebaik sahaja rundingan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) dimuktamadkan.

Ini kerana menurut Ketua Eksekutif Operasi Majlis Tindakan Ekonomi Melayu, Mohd Rizal Jaapar masih banyak dasar negara yang berbeza dengan dasar yang ditetapkan oleh Amerika Syarikat.

"Inilah yang kita cuba sampaikan kepada semua pihak. Bila sampai masanya, kita semua perlu nyatakan penolakan kita terhadap TPP kerana dasar kita berbeza dengan mereka.

"Kita hanya ada masa tiga bulan sahaja lagi. Kita sudah tidak ada masa. Apabila kerajaan bersetuju untuk menjadi sebahagian daripada negara yang bersetuju terhadap rundingan tersebut, kerajaan tidak ada pilihan lainselain terpaksa menyesuaikan kandungan tuntutan TPP mengikut perundangan kita. Jika kita gagal, kita akan rugi dan kerajaan akan disaman," katanya dalam sidang media Majlis NGO-NGO membantah TPP di sini, hari ini.

Isnin lalu, Malaysia bersama 11 negara lain telah mencapai persetujuan dalam rundingan perdagangan bebas TPP yang akan menghapuskan sekatan dan memudahcarakan prosedur perdagangan di semua negara anggota.

Memetik sumber Reuters, perkara itu sudah dipersetujui oleh semua Menteri-Menteri Perdangan negara Pasifik yang menghadiri mesyuarat Menteri-Menteri TPP di Atlanta, Amerika Syarikat bermula Rabu lalu.

Tambahnya lagi, meskipun kerajaan sudah mempersetujui penyertaan negara dalam kumpulan TPP, pihaknya tidak akan mudah menyerah dan akan terus melakukan kempen untuk menolak rundingan perjanjian tersebut.

"Pihak kami sudah melakukan kajian terhadap TPP dalam tempoh yang agak lama, seiring dengan tempoh masa perbincangan TPP diadakan secara sulit terdahulu.

"Kami sudah drafkan 75 garis merah yang perlu diambil kira semasa kerajaan bersetuju menandatangani TPP. Kalau betul 75 garis merah ini dipenuhi, maka kita boleh benarkan dasar TPP digunapakai di negara ini," katanya lagi.


Anggota keluarga pengsan lihat anak masih hidup

Posted: 09 Oct 2015 10:32 PM PDT

Anggota keluarga pengsan lihat anak masih hidup
Seorang anggota keluarga mangsa pengsan selepas dua kanak-kanak terbabit selamat ditemui.


GUA MUSANG - Tiga ahli keluarga dua kanak-kanak Orang Asli yang dijumpai kurus kering dan masih hidup, pengsan ketika melihat anak mereka dibawa ke Hospital Gua Musang (HGM)  untuk menerima rawatan, petang semalam.

Suasana cemas di lobi hospital itu juga riuh rendah dengan suara jeritan ahli keluarga yang tidak dapat menahan sebak dan sedih melihat dua kanak-kanak tersebut, Noreen Yaacob, 10, dan Mirsudiar Aluj, 11, tidak seperti sebelum ini.

Malah, polis terpaksa mengawal keadaan itu dengan membawa ahli keluarga yang pengsan ke kawasan rehat supaya mereka dapat bertenang.

Dua kanak-kanak terbabit ditemui anggota polis bersama penduduk kampung ketika melancarkan gerakan mencari sepanjang Sungai Perias, Pos Tohoi, dengan menggunakan bot kira-kira jam 12.17 tengah hari.

Turut ditemui, mayat seorang lagi rakan mereka dikenali Ika Ayel, 10, kira-kira 3.3 kilometer dari Pos Tohoi dalam keadaan berpakaian lengkap dan dikenali ahli keluarganya.

Penemuan itu menjadikan jumlah keseluruhan mangsa ditemui setakat ini lima orang dan dua lagi masih dicari.

Kira-kira jam 7 petang, Rabu lalu, mayat separuh reput dikenali Sasa Sobrie, 8, dijumpai dalam Sungai Perias dengan kakinya tersangkut pada dahan kayu, manakala seorang lagi mangsa ditemui dalam keadaan tinggal rangka dan belum diketahui identitinya.

Seorang ibu mangsa yang ditemui selamat, Midah Angah, 40, berkata, dia belum gembira sepenuhnya kerana seorang lagi anaknya, Haika Yaacob 8, belum ditemui dan belum tentu nasibnya.

"Saya tidak tahan sedih dan menjerit sekuat hati kerana wajah anak cengkung serta kurus kering tetapi mujur dia ditemui, jika tidak tak tahulah apa yang akan berlaku.

"Ketika datang ke hospital beberapa hari lalu untuk mengecam mayat pertama, saya risau kerana takut anak saya macam itu dan meninggal dunia, tetapi seorang masih selamat," katanya.

Ayel Ajip, 42, pula berkata, dia menerima kematian anaknya, Ika Ayel, 9, dengan hati yang terbuka.

"Saya amat pilu melihat mayat anak saya yang baru ditemui tetapi masih berpakaian lengkap. Dia dipercayai baru meninggal dunia kerana lapar," katanya.


Waris bersyukur kanak-kanak Orang Asli selamat

Posted: 09 Oct 2015 10:30 PM PDT


Waris bersyukur kanak-kanak Orang Asli selamat
Rosita mencium dahi anaknya Missudiar yang masih lemah dan kini dirawat di wad 5, HRPZ II.


KOTA BHARU -  Waris kepada dua kanak-kanak hilang di Post Tohoi, Gua Musang bersyukur selepas kedua-dua mangsa ditemui dalam keadaan selamat.

Ibu kepada salah seorang mangsa, Midah‎ Angah, 40, berkata, walaupun keadaan anaknya, Noreen Yaacob, 10, lemah namun dia bersyukur kerana anaknya selamat.

"Memang sebelum ini saya sudah putus harapan, memandangkan kehilangan dua anak saya Noreen dan Haikal  bersama rakan mereka tidak dapat dikesan.

"Namun apabila menerima berita penemuan Noreen yang masih hidup pagi kelmarin, saya amat gembira namun masih berharap Haikal adik kepada, Noreen turut ditemui.

Midah berkata, keadaan Noreen amat lemah dan kini hanya mampu makan makanan lembut seperti bubur dan kurang bercakap.

"Walaupun adiknya Haikal masih hilang dan dipercayai dihanyutkan arus, saya berharap dia juga turut ditemui dan terus berdoa, biarpun dalam keadaan apa jua sekalipun.

Sementara itu, bapa saudara seorang lagi mangsa Missudiar Aluj 11, Akid Bahir, 46, berkata setakat ini anak saudara‎nya tidak banyak bercakap.

"Dia banyak mendiamkan diri berbanding sebelum kehilangannya, Apapun kami ucap terima kasih kepada semua yang banyak membantu,"katanya.

"Buat masa ini dia ditemani ibunya, Rosita yang merupakan adik saya, memang ibunya juga dalam keadaan terkejut dan banyak mendiamkan diri,"katanya.


Azmin Menteri Besar yang gagal – Khalid Ibrahim

Posted: 09 Oct 2015 10:28 PM PDT

 
Azmin Ali didakwa lebih suka menyalahkan pihak lain berbanding megaku kelemahan diri dan berusaha memperbaiki keadaan.


azmin-ali,khalid-ibrahim


PETALING JAYA: Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menganggap Mohamed Azmin Ali sebagai Menteri Besar yang gagal kerana menggunakan strategi politik murahan.

Beliau berkata, walaupun lebih setahun menjadi Menteri Besar, Azmin gagal membuang taktik menagih simpati lapuk.

"Peluang yang diberikan rakyat untuk membuktikan beliau seorang negarawan berjiwa besar setelah diangkat menjadi Menteri Besar dipersiakan kerana jelas beliau masih tidak cuba bermuhasabah dan mengambil tanggungjawab atas kegagalan melaksanakan prinsip urus tadbir yang baik dalam pentadbiran negeri.

"Sebaliknya, beliau terus sewenang-wenangnya mempersalahkan orang lain tanpa mengakui kelemahan diri atau memperbaiki keadaan.

"Sekiranya orang luar atau bukan anggota dikatakan tiada hak mencampuri urusan dalaman PKR, wajarkah atau adilkah PKR dan parti pembangkang lain diberi ruang menegur, membidas atau membantah apa sahaja yang dilakukan atau disuarakan oleh parti komponen Barisan Nasional?," katanya kepada FMT.

Beliau memberi respons itu selepas Azmin menasihatkan Khalid tidak mencampuri urusan dalaman PKR kerana beliau bukan lagi ahli PKR.

Sementara itu, bekas Setiausaha Politik Khalid, Faekah Hussin berkata, Khalid hanya memberi respons itu selepas ditanya oleh media.

Katanya, wajar bagi Ahli Parlimen Bandar Tun Razak itu menjawab tentang krisis dalaman PKR kerana beliau dipecat secara jahat bagi membolehkan kerusi Menteri Besar dikosongkan.

"Jawapan Azmin menyerlahkan kegagalan pembangkang mencapai kata sepakat berhubung pembentukan Pakatan Harapan.

'Azmin nampaknya mahir dalam memainkan peranan dan bermuka-muka. Azmin akur dengan telunjuk DAP dan Parti Amanah Negara tetapi masa yang sama berbaik-baik dengan Pas semata-mata mahu mengekalkan jawatan Menteri Besar," katanya.

SOSMA boleh dicabar jika disalah guna-TPM

Posted: 09 Oct 2015 10:26 PM PDT

Zahid menegaskan polis telah menjalankan kuasa yang diperuntukan di bawah SOSMA


zahid-hamidi,sosma


PETALING JAYA: Penahanan bekas Naib Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dan peguamnya, Matthias Chang, adalah tindakan polis tanpa membabitkan kerajaan dan mana-mana agensi lain.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menjelaskan ia selari dengan peruntukan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

"KDN serahkan sepenuhnya kepada polis untuk ambil tindakan, walaupun saya menteri yang bertanggungjawab menjaga pihak polis. Kini terpulang kepada Jabatan Peguam Negara dan polis memberi penjelasan mengenai siasatan.

"Jika ada unsur kesalahan berkaitan dengan SOSMA, maka tindakan boleh diambil.

"Sekiranya, ada yang merasakan SOSMA disalah guna, maka ada aspek bagi yang berkenaan untuk cabar ikut saluran undang-undang," katanya pada sidang media, di Washington yang dipetik daripada Berita Harian Online.

Di bawah SOSMA, Khairuddin dan Matthias boleh ditahan tanpa bicara hingga 28 hari.

SOSMA digubal bawah Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan untuk mengawal keselamatan negara termasuk ketenteraman awam, tindakan keganasan, sabotaj dan pengintipan.

Tiga maut dihempap struktur papan tanda

Posted: 09 Oct 2015 10:24 PM PDT

 
Struktur berkenaan dikatakan jatuh selepas dilanggar sebuah lori kontena yang terbabas sebelum menimpa kereta di belakang


Bahasa,-PLUS,-papan-tanda-runtuh


PETALING JAYA: Tiga maut selepas struktur papan tanda di Kilometer (KM) 339.6 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara berhampiran Tanjung Malim jatuh menghempap sebuah kenderaan.

Kejadian berlaku sekitar jam 6.30 pagi tadi.

Struktur berkenaan dikatakan jatuh selepas dilanggar sebuah lori kontena yang terbabas.

Berikutan kejadian itu semua lorong menuju utara dan selatan terhalang mengakibatkan kesesakan trafik sejauh kira-kira dua kilometer.

Jurucakap PLUS berkata, ketiga-tiga mangsa iaitu masing-masing dua lelaki dan satu wanita iaitu pemandu dan penumpang kenderaan maut di tempat kejadian.

Bagaimanapun tiada butiran terperinci mengenai mangsa diberikan.

Tiada ulasan: